1 Korintus
Salam
1 Daripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai rasul Isa al-Masih, dan daripada Sostenes, saudara kita,
2 akepada jemaah Allah di Korintus, yang telah disucikan dalam Isa al-Masih, dan yang telah dipanggil untuk menjadi orang salih bersama semua orang di mana jua, yang berseru kepada nama Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, iaitu Junjungan mereka dan Junjungan kita juga.
3 Semoga Allah, Bapa kita, dan Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, memberimu rahmat dan damai sejahtera.
Ucapan syukur
4 Aku sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, sebab Dia telah menganugerahimu rahmat dalam Isa al-Masih.
5 Oleh sebab di dalam Dia, kamu telah diperkaya dalam segala hal: dalam segala perkataan dan dalam segala pengetahuan;
6 bahkan kesaksian tentang al-Masih telah diperkukuh dalam dirimu,
7 sehingga kamu tidak kekurangan satu kurnia pun sementara menunggu Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, dinyatakan.
8 Dia akan menguatkanmu hingga akhir supaya kamu tidak bercela pada hari Junjungan kita Yang Ilahi, Isa al-Masih.
9 Allah setia, dan Dia telah memanggilmu hidup dalam keakraban dengan Putera-Nya, Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi.
Perpecahan dalam kalangan jemaah
10 Saudara-saudaraku! Demi nama Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, aku berseru kepada kamu semua supaya seia sekata dan tidak wujud perpecahan. Dengan demikian, kamu bersatu hati dan fikiran sepenuhnya.
11 Saudara-saudaraku, beberapa orang anggota keluarga Kloe telah menyatakan kepadaku bahawa berlaku sengketa antara kamu.
12 bInilah yang kumaksudkan: Ada orang yang berkata, “Aku mengikut Paulus”; ada yang berkata, “Aku mengikut Apolos”; ada yang berkata, “Aku mengikut Kefas”; dan ada pula yang berkata, “Aku mengikut al-Masih.”
13 Adakah al-Masih berbelah bahagi? Bukannya Paulus yang mati di kayu salib untukmu! Bukanlah kamu telah diimadkan dalam nama Paulus!
14 cAku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak mengimadkan kamu, kecuali Krispus dan Gayus.
15 Oleh itu, tiada siapa pun dapat mengatakan kamu diimadkan dalam namaku.
16 d(Sebenarnya, aku juga mengimadkan Stefanus sekeluarga. Selain itu, aku tidak ingat siapakah lagi yang kuimadkan.)
17 Al-Masih mengutusku bukan untuk mengimadkan orang, tetapi untuk menyampaikan Injil. Aku menyampaikannya bukan dengan kata-kata kebijaksanaan manusia. Dengan demikian salib al-Masih tidak menjadi sia-sia.
Kebijaksanaan Allah dan kebijaksanaan manusia
18 Bagi mereka yang akan binasa, berita tentang salib dianggap suatu kebodohan. Namun demikian, bagi kita yang diselamatkan Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan-Nya.
19 eTelah tersurat:
“Allah berfirman,
‘Aku akan memusnahkan kebijaksanaan orang yang bijak.
Dan kepandaian orang yang pandai Aku akan ketepikan.’ ”
20 fJadi, di manakah orang yang bijak? Di manakah ahli Taurat? Di manakah orang berilmu zaman ini? Bukankah Allah telah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia sebenarnya kebodohan semata-mata?
21 Oleh sebab kebijaksanaan Allah, Dia telah menetapkan bahawa dunia tidak mungkin mengenal-Nya dengan kebijaksanaan sendiri. Allah berkenan menyelamatkan orang yang beriman kepada-Nya melalui berita yang kami khabarkan, yang dianggap sebagai kebodohan.
22 Orang Yahudi menuntut tanda berbentuk mukjizat, manakala orang Yunani menuntut kebijaksanaan.
23 Sebaliknya kami memberitakan al-Masih yang disalib. Hal ini menjadi batu sandungan kepada orang Yahudi dan dipandang bodoh oleh bangsa-bangsa lain.
24 Namun demikian, bagi mereka yang dipanggil Allah, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, al-Masih kuasa Allah dan kebijaksanaan Allah.
25 Kebodohan Allah lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia. Kelemahan Allah lebih kuat daripada kekuatan manusia.
26 Saudara-saudara! Fikirkan keadaanmu ketika Allah memanggilmu. Di mata manusia, tidak ramai daripadamu yang bijak, atau berkuasa, atau bangsawan.
27 Sememangnya Allah memilih yang bodoh di dunia untuk memalukan yang bijak. Allah memilih yang lemah di dunia untuk memalukan yang kuat.
28 Allah memilih yang rendah dan dihina di dunia bahkan yang tidak ada untuk meniadakan yang ada.
29 Oleh itu, tiada siapa pun dapat bermegah di hadirat Allah.
30 Oleh sebab Allah, kamu berada dalam Isa al-Masih. Allah telah membuat Dia menjadi kebijaksanaan bagi kita, dan melalui Dia, Allah memperbenar, menyucikan, serta menebus kita.
31 gDengan demikian, sebagaimana telah tersurat, “Jika sesiapa yang bermegah, maka hendaklah dia bermegah dalam Tuhan.”
1 Saudara-saudaraku! Ketika aku datang kepadamu untuk menyampaikan rahsia Allah, aku tidak datang dengan kata-kata indah atau kebijaksanaan.
2 Sebabnya sewaktu aku bersamamu, aku telah bertekad untuk menyampaikan berita tentang Isa al-Masih semata-mata, khususnya tentang kewafatan-Nya di kayu salib.
3 aOleh itu, ketika aku mendekatimu, aku daif dan gementar ketakutan.
4 Dan perkhabaran serta pengajaranku tidak disampaikan dengan kata-kata hikmah yang meyakinkan. Sebaliknya aku menyampaikannya secara menunjukkan kuasa Roh.
5 Dengan demikian, imanmu bukanlah berasaskan kebijaksanaan manusia, tetapi berasaskan kuasa Allah.
Kebijaksanaan yang benar
6 Namun begitu, aku berkata juga tentang kebijaksanaan kepada mereka yang sudah matang kehidupan rohani. Kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia, atau kebijaksanaan para pemerintah dunia ini, kerana kuasa mereka akan punah.
7 Kebijaksanaan yang kusampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah, di luar pengetahuan manusia, yang telah diwujudkan-Nya untuk kemuliaan kita sebelum Dia mencipta dunia ini.
8 Para pemerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Kalaulah mereka tahu, mereka tidak akan menyalib Junjungan Yang Mulia.
9 bSebagaimana telah tersurat:
“Apa yang belum pernah dilihat oleh mata,
atau didengar oleh telinga,
atau timbul dalam hati manusia,
itulah yang disediakan Allah untuk mereka yang mengasihi-Nya.”
10 Akan tetapi kepada kita, Allah menyatakannya melalui Roh-Nya, kerana Roh itu yang menyoroti segala-galanya, termasuk rahsia Allah yang paling dalam.
11 Siapakah antara kita yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri seseorang selain roh orang itu sendiri yang berada dalam dirinya? Begitulah juga tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri Allah selain Roh Allah.
12 Kita tidak menerima roh dunia ini. Kita menerima Roh daripada Allah agar mengetahui segala kurnia Allah kepada kita.
13 Jadi, segala perkara ini kami sampaikan bukan dengan kata-kata daripada kebijaksanaan manusia tetapi daripada ajaran Roh yang menggabungkan fikiran rohani dengan kata-kata rohani.
14 Orang jasmani yang tidak mempunyai Roh Allah tidak dapat menerima hal-hal daripada Roh Allah, kerana dia menganggap hal-hal itu kebodohan semata-mata, dan dia tidak dapat memahaminya, disebabkan hal-hal itu hanya dapat dinilai secara rohani.
15 Orang rohani menilai segala-galanya tetapi tiada siapa dapat menilai orang itu.
16 cSebabnya:
“Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan?
Siapakah yang berupaya menasihati-Nya?”
Namun demikian, kita mempunyai fikiran al-Masih!
Perselisihan
1 Saudara-saudaraku! Aku tidak dapat bercakap denganmu seperti dengan orang yang mempunyai Roh Allah. Aku terpaksa bercakap denganmu seperti dengan orang yang masih hidup secara duniawi atau yang masih mentah dalam al-Masih.
2 aDulu aku memberimu susu kerana kamu belum sedia menerima makanan pepejal. Tetapi sekarang pun kamu masih belum bersedia menerimanya.
3 Sebabnya kamu masih hidup secara duniawi. Kamu berdengki-dengkian dan berbalah; bukankah itu tanda kamu masih hidup secara duniawi, sama seperti manusia biasa?
4 bApabila seorang daripadamu berkata, “Aku mengikut Paulus,” dan seorang lagi berkata, “Aku mengikut Apolos,” bukankah kelakuanmu sama seperti kelakuan orang dunia ini?
5 Siapakah Apolos? Siapakah Paulus? Kami hanyalah hamba Allah yang memimpinmu ke arah iman terhadap al-Masih. Kami sekadar menjalankan tugas yang ditetapkan oleh Tuhan.
6 cAku menyemaikan benih manakala Apolos menyiram, tetapi Allah yang membolehkan tanaman itu tumbuh.
7 Yang menyemaikan benih dan yang menyiram tidak penting. Hanya Allah yang penting, kerana Dialah yang membolehkan tanaman itu tumbuh.
8 Yang menyemaikan benih dan yang menyiram mempunyai kedudukan yang sama. Allah akan mengurniakan ganjaran berdasarkan kerja masing-masing.
9 Kami sama-sama pekerja Allah, dan kamu ibarat ladang Allah. Kamu juga boleh diumpamakan sebagai bangunan Allah.
10 Dengan rahmat Allah, aku sebagai pembina yang mahir telah meletakkan asas bangunan itu, lalu orang lain membina bangunan di atas asas itu. Setiap orang yang membina perlu berhati-hati.
11 Kerana tiada siapa yang dapat meletakkan asas selain asas yang telah tersedia, iaitu Isa al-Masih.
12 Ada orang yang menggunakan emas, perak atau permata untuk membina bangunan di atas asas itu. Ada pula yang menggunakan kayu, rumput kering atau jerami.
13 Mutu kerja setiap orang akan terserlah pada hari Tuhan datang kembali, kerana ia akan diuji dengan api.
14 Sekiranya bangunan yang didirikan di atas asas itu tahan api, pembinanya akan mendapat ganjaran.
15 Sebaliknya, jika bangunan yang dibina oleh seseorang itu dimakan api, dia akan kerugian, walaupun dirinya terselamat seperti orang yang terlepas daripada kebakaran.
16 dKamu tentu tahu bahawa kamu bait Allah, kerana Roh Allah tinggal di dalam dirimu.
17 Oleh itu, sekiranya seseorang memusnahkan Bait Allah, Allah akan memusnahkan orang itu, kerana Bait Allah itu suci dan kamulah bait Allah itu.
18 Janganlah menipu diri. Jika sesiapa dalam kalanganmu menganggap dirinya bijak berdasarkan penilaian dunia, dia harus menjadikan dirinya bodoh di mata dunia supaya dia benar-benar bijak;
19 ekerana apa yang dipandang dunia sebagai kebijaksanaan sebenarnya kebodohan di sisi Allah. Telah tersurat: “Allah memerangkap orang bijak dengan kecerdikan mereka sendiri.”
20 fJuga tersurat: “Tuhan mengetahui fikiran orang bijak itu sia-sia.”
21 Jadi, janganlah bermegah dengan perbuatan manusia, kerana segala-galanya telah dikurniakan kepadamu.
22 Paulus, Apolos, Kefas, dunia ini, hidup dan mati, zaman ini dan zaman akan datang, segala-galanya milikmu,
23 dan kamu milik al-Masih, dan al-Masih milik Allah.
Hamba al-Masih
1 Kamu hendaklah memandang kami sebagai hamba al-Masih yang diamanahkan dengan rahsia-rahsia Allah.
2 Setelah dipertanggungjawabkan dengan amanah, hamba demikian itu wajib membuktikan bahawa dia dapat dipercayai.
3 Aku tidak peduli baik diadili oleh kamu mahupun orang lain; malah diriku sendiri pun tidak aku adili.
4 Aku tidak berasa bersalah, tetapi ini tidak bererti aku tidak bersalah. Yang berhak mengadili aku hanya Tuhan sendiri.
5 Oleh itu, janganlah menghakimi seseorang sama ada dia bersalah atau tidak sebelum sampai waktunya. Tunggulah hingga Junjungan Yang Ilahi datang kembali dan mendedahkan segala rahsia yang diselubungi kegelapan, segala niat yang terpendam dalam hati manusia. Ketika itulah setiap orang akan mendapat penilaian yang sewajarnya daripada Allah.
6 Saudara-saudaraku! Untuk kebaikanmu, segala ini telah kukerjakan dalam diriku dan Apolos supaya dengan mengikut teladan kami, kamu dapat mengerti kata-kata hikmah ini: “Janganlah melampaui apa yang telah tersurat”. Dengan demikian, kamu tidak memegahkan seseorang daripada yang lain.
7 Siapakah yang menjadikan dirimu lebih baik daripada yang lain? Apakah yang ada padamu yang tidak kamu terima? Jadi, jika kamu memang menerimanya, mengapakah kamu bermegah, seolah-olah apa yang ada padamu itu bukan kurnia-Nya?
8 Ya, kamu tidak memerlukan apa-apa lagi! Kamu memang sudah kaya-raya! Tanpa kami pun kamu sudah menjadi raja! Namun demikian, kamu tidak begitu. Alangkah baiknya jika kamu benar-benar raja. Dapatlah kami memerintah bersamamu.
9 Pada pandanganku, Allah memberikan kedudukan paling rendah kepada kami para rasul; tak ubah seperti orang yang dijatuhi hukum mati bagi tontonan dunia, para malaikat dan manusia.
10 Kerana al-Masih, kami menjadi orang yang bodoh; tetapi kerana al-Masih, kamu menjadi orang bijak. Kami lemah, namun kamu kuat! Kami dihina, sedangkan kamu dimuliakan!
11 Hingga saat ini kami lapar dan dahaga, berpakaian lusuh, didera, tiada tempat tinggal yang tetap.
12 aKami bertungkus lumus menyara hidup. Kami membalas sumpah seranah dengan berkat restu, dan bersabar ketika dianiaya.
13 Kami membalas caci maki dengan kata-kata yang baik. Kami dianggap sampah masyarakat, sampah dunia hingga sekarang.
14 Aku menulis demikian kepadamu bukanlah untuk memalukanmu, tetapi untuk menasihatimu sebagai anak-anakku yang kusayangi.
15 Walaupun kamu mungkin mempunyai sepuluh ribu orang pengasuh dalam al-Masih, bapamu tidaklah ramai. Sebabnya dalam Isa al-Masih, aku seperti bapamu yang telah membawa Injil kepadamu.
16 bOleh itu, aku menyeru kamu, ikutlah teladanku.
17 Bagi tujuan itu aku mengutus Timotius, anakku yang dikasihi dan setia dalam Tuhan. Dia akan mengingatkan kamu tentang jalan hidup yang kuikut dalam Isa al-Masih, iaitu jalan hidup yang telah kuajarkan kepada jemaah di serata tempat.
18 Ada antara kamu yang bersikap angkuh kerana menyangka aku tidak akan mengunjungimu.
19 Kiranya diizinkan Tuhan, aku akan mengunjungimu tidak lama lagi dan melihat bukan hanya apa yang dikatakan oleh orang yang angkuh itu tetapi apa kuasa mereka.
20 Kerana kerajaan Allah bukan sekadar kata-kata sahaja tetapi terdiri daripada kuasa.
21 Mana yang kamu pilih? Agar aku datang kepadamu dengan rotan, atau dengan kasih sayang dan lemah lembut?
Dosa dalam jemaah
1 aAku dimaklumkan bahawa dalam kalanganmu ada perbuatan cabul yang tidak pernah dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Tuhan pun: Seorang lelaki berzina dengan isteri ayahnya.
2 Namun begitu, kamu masih bermegah. Sewajarnya kamu bersedih dan bertindak menyingkirkan orang yang melakukan perbuatan itu.
3 Walaupun pada lahirnya aku jauh daripadamu, namun pada batinnya aku bersamamu. Aku pun sudah menjatuhkan hukuman atas orang yang melakukan perbuatan itu seolah-olah aku berada di tengah-tengah kamu.
4 Apabila kamu berhimpun demi nama Isa, Junjungan kita, sifatkanlah aku ada dalam kalanganmu pada batinnya dan dengan kuasa Isa, Junjungan kita Yang Ilahi,
5 serahkanlah orang itu kepada Iblis supaya tubuhnya dimusnahkan tetapi rohnya dapatlah diselamatkan pada hari Tuhan, iaitu hari Isa, Junjungan Yang Ilahi, datang kembali.
6 bKamu tidak harus bermegah. Tentu kamu mengenal pepatah ini: “Sedikit ragi mencemari seluruh adunan.”
7 cBuanglah ragi lama supaya kamu menjadi adunan baru tanpa ragi. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya begitu. Kerana al-Masih, domba Paskah kita telah dikorbankan.
8 dMarilah kita sambut Perayaan Paskah bukan dengan ragi yang lama, iaitu ragi kejahatan dan kezaliman, melainkan dengan roti yang tidak beragi, iaitu ketulusan hati dan keikhlasan.
9 Dalam suratku yang lalu, aku telah menyerumu supaya menjauhkan diri daripada orang yang cabul.
10 Orang cabul yang kumaksudkan bukanlah yang tidak mengenal Allah maka berkelakuan cabul, tamak, menipu dan menyembah berhala. Untuk menjauhkan diri daripada mereka ini, terpaksalah kamu keluar dari dunia ini.
11 Maksudku ialah kamu tidak harus bergaul dengan orang yang mengaku diri sebagai saudara tetapi pada hakikatnya orang yang cabul, tamak, penyembah berhala, pengumpat, pemabuk atau penipu. Janganlah makan bersama mereka.
12 eApakah urusanku sehingga aku harus mengadili orang di luar jemaah? Bukankah kamu mengadili orang di dalam jemaah sahaja?
13 Tetapi bagi yang di luar jemaah, Allah sendiri akan mengadili mereka. Oleh itu, kamu harus singkirkan orang yang durjana daripada kalanganmu.
Tuntutan mahkamah tidak digalakkan
1 Sekiranya salah seorang antara kamu bertikai dengan yang lain, wajarkah dia bawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah dan bukan kepada orang salih?
2 Tidakkah kamu tahu bahawa orang salih akan mengadili dunia ini? Jika kamu mengadili dunia ini, tidak sanggupkah kamu mengadili perkara yang kecil?
3 Tidakkah kamu tahu bahawa kita akan mengadili para malaikat? Apatah lagi hal ehwal hidup sehari-hari?
4 Adakah kamu akan membawa perkara begitu ke hadapan orang yang langsung tidak ada kedudukan dalam kalangan jemaah?
5 Alangkah memalukan! Tentu ada seorang daripada kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan pertikaian antara saudara seiman.
6 Tetapi tidak, seorang saudara tergamak mendakwa saudara yang lain, justeru di hadapan orang yang tidak percaya!
7 Dengan adanya pendakwaan sesama kamu, jelaslah bahawa kamu sudah ditewaskan. Daripada yang demikian, bukankah lebih baik kamu dipersalah? Bukankah lebih baik kamu dirugikan.
8 Sebaliknya kamu sendiri yang bersalah dan merugikan saudara seimanmu sendiri!
9 Kamu tentu tahu bahawa orang durjana tidak akan mewarisi kerajaan Allah. Janganlah menipu diri. Orang yang berkelakuan cabul, menyembah berhala, berzina, bersetubuh dengan sesama jantina,
10 mencuri, bersikap tamak, sering mabuk, mengumpat atau merompak – semuanya tidak akan mewarisi kerajaan Allah.
11 Begitulah kelakuan sebilangan daripadamu dahulu. Tetapi kamu telah dibersihkan, dikuduskan dan diperbenar dengan nama Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, dan dengan Roh Allah, Tuhan kita.
Jauhilah perbuatan cabul
12 aSegala-galanya halal bagiku, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Segala-galanya halal bagiku, tetapi aku tidak membiarkan sesuatu pun memperhambakan diriku.
13 Makanan untuk perut dan perut untuk makanan. Ya, tetapi Allah akan menghapuskan kedua-duanya. Tubuh kita bukan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk Tuhan, dan Tuhan untuk tubuh kita.
14 Allah telah membangkitkan Isa, Junjungan Yang Ilahi, daripada kematian. Begitu jugalah Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya.
15 Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu sebahagian tubuh al-Masih; maka wajarkah kamu menjadikannya sebahagian tubuh seorang pelacur? Tidak sekali-kali!
16 bAtau tidakkah kamu tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur itu menjadi satu jasad dengan pelacur itu? Dalam kitab suci jelas tersurat, “Mereka berdua menjadi satu.”
17 Apabila seseorang menyatukan diri dengan Tuhan, rohnya akan menjadi satu dengan Roh Tuhan.
18 Jauhilah perbuatan cabul. Dosa lain tidak dilakukan terhadap tubuh sendiri; tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul berdosa terhadap tubuhnya sendiri.
19 cKamu tentu tahu bahawa tubuhmu itu tempat kediaman Roh Allah yang telah dikurniakan Allah kepadamu. Tubuhmu bukanlah milikmu, tetapi milik Allah.
20 Allah telah membelimu dengan harga yang sudah dibayar sepenuhnya. Oleh itu, gunakanlah tubuhmu untuk memuliakan Allah.
Tentang perkahwinan
1 Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu kemukakan dalam suratmu. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, itu memang baik.
2 Namun demikian, supaya tidak tergoda melakukan perbuatan yang cabul, lebih baiklah setiap lelaki itu beristeri dan setiap perempuan bersuami.
3 Seorang suami harus menunaikan kewajipan kepada isterinya, begitu juga seorang isteri kepada suaminya.
4 Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri; suaminya berkuasa atas tubuhnya. Demikianlah juga, seorang suami tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri; isterinya yang berkuasa atas tubuhnya.
5 Jangan renggangkan hubungan sebagai suami isteri, kecuali sementara waktu dengan persetujuan bersama untuk bertumpu kepada ibadat doa. Tetapi setelah itu teruskan hubungan sebagai suami isteri, supaya Iblis tidak berjaya menggodamu kerana kamu tidak dapat menahan nafsu.
6 Aku menyampaikan ini bukanlah sebagai perintah tetapi sebagai nasihat.
7 Memanglah aku lebih suka sekiranya kamu semua sepertiku. Tetapi Allah memberikan kurnia yang khusus; yang seorang kurnia ini, yang lain kurnia itu.
8 Kepada yang belum berkahwin dan kepada wanita yang telah menjadi balu. Inilah nasihatku: Memang baik kamu terus hidup sendirian seperti aku.
9 Tetapi sekiranya kamu tidak dapat menahan nafsu, berkahwinlah. Ini lebih baik daripada membiarkan hawa nafsu bergelora.
10 aKepada yang sudah berkahwin, inilah perintahku, yang sebenarnya bukan perintah aku tetapi perintah Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya.
11 Tetapi jika seorang isteri telah meninggalkan suaminya, dia mesti terus hidup bersendirian, atau dia boleh balik kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya.
12 Kepada yang lain aku memberikan nasihat ini, iaitu nasihatku sendiri, bukan perintah Tuhan: Jika seorang lelaki beriman mempunyai isteri yang tidak beriman dan isteri itu bersetuju terus hidup bersamanya, maka lelaki itu tidak boleh menceraikan isterinya.
13 Jika seorang wanita beriman mempunyai suami yang tidak beriman dan suami itu bersetuju untuk terus hidup bersamanya, maka wanita itu tidak boleh menceraikan suaminya.
14 Seorang suami yang tidak beriman menjadi suci kerana isterinya. Demikian juga, seorang isteri yang tidak beriman menjadi suci kerana suami. Jika tidak, anak-anakmu akan menjadi anak-anak yang tercela. Tetapi dengan demikian mereka ialah anak-anak yang suci.
15 Namun demikian, jika seseorang yang tidak beriman hendak meninggalkan isteri atau suaminya yang beriman, biarkanlah dia berbuat demikian. Jika ini terjadi, saudara atau saudari itu tidak terikat lagi. Allah mahu kamu semua hidup aman damai.
16 Wahai isteri yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suamimu? Demikian juga, wahai suami yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isterimu?
Hidup dalam keadaan seperti waktu dipanggil Allah
17 Setiap orang harus hidup dalam keadaan yang ditetapkan Tuhan untuknya ketika Allah memanggilnya. Demikianlah ajaran yang telah kusampaikan kepada semua jemaah.
18 Contohnya, jika seseorang itu sudah pun bersunat sewaktu Allah memanggilnya, janganlah pula dia cuba menghilangkan tanda sunat itu. Demikian juga, sekiranya seseorang itu tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, janganlah dia meminta disunatkan.
19 Bersunat atau tidak bersunat bukan perkara yang terpenting. Yang terpenting ialah taat akan perintah Allah.
20 Setiap orang harus terus hidup dalam keadaannya ketika dia telah dipanggil Allah.
21 Jika kamu hamba ketika dipanggil Allah, janganlah bersusah hati kerana itu; tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang merdeka, ambillah peluang itu.
22 Hamba yang beriman kepada Tuhan menjadi orang merdeka di sisi Tuhan. Begitu juga orang merdeka yang beriman kepada al-Masih menjadi hamba kepada al-Masih.
23 Kamu telah dibeli dengan harga yang dibayar sepenuhnya; maka janganlah kamu menjadi hamba manusia.
24 Saudara-saudaraku, masing-masing hiduplah bersama Allah dalam keadaan yang sama seperti ketika dipanggil Allah.
25 Tuhan tidak memberiku perintah tentang orang yang belum kahwin; tetapi aku menasihatimu, kerana dengan belas kasihan Tuhan aku boleh dipercayai.
26 Oleh sebab kini kita diancam pelbagai pancaroba, aku yakin bahawa setiap lelaki baiklah meneruskan hidup dalam keadaannya sekarang.
27 Sekiranya kamu sudah beristeri, janganlah cuba menceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, usahlah berkahwin.
28 Namun demikian, kalau kamu berkahwin, kamu tidaklah berdosa. Demikian juga, jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin banyak menghadapi masalah; aku mahu kamu bebas daripada masalah itu.
29 Saudara-saudaraku, maksudku demikian: Masa kita sudah semakin suntuk. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri, hiduplah seolah-olah tidak beristeri;
30 orang yang menangis, hiduplah seolah-olah tidak bersedih; orang yang tertawa, hiduplah seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang, sifatkanlah seolah-olah barang yang dibeli itu tidak dimilikinya;
31 Orang yang menggunakan barang-barang yang ada di dunia seolah-olah tidak menggunakannya kerana dunia dalam keadaan sekarang sedang lenyap.
32 Aku mahu kamu bebas daripada kerunsingan. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan minat kepada hal-hal Tuhan untuk mendapat keredaan Tuhan.
33 Sebaliknya, seorang yang mempunyai isteri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menggembirakan isterinya.
34 Dengan demikian perasaannya berbelah bagi. Seorang wanita atau gadis yang tidak bersuami menumpukan minatnya kepada hal-hal Tuhan kerana ingin mengabdikan seluruh jiwa raganya kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang telah bersuami akan memusatkan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menyukakan hati suaminya.
35 Aku menasihati kamu demikian untuk menolongmu. Aku tidak mahu melarangmu membuat itu dan ini. Aku ingin kamu melakukan apa yang wajar dan mengabdikan diri sepenuh hati kepada Tuhan.
36 Sekiranya seorang lelaki berasa dia tidak adil terhadap tunangnya, dan jika gadis itu semakin meningkat usianya, dan dia berasa dia patut berkahwin dengan gadis itu, maka dia harus bertindak menurut hasratnya. Dia tidaklah berdosa jika berkahwin.
37 Tetapi jika seorang lelaki dengan kerelaannya sendiri mengambil keputusan dalam hatinya untuk tidak berkahwin dengan gadis tunangnya itu, dan dia dapat mengawal nafsunya, serta tahu apa yang akan dilakukannya, maka lebih baiklah dia tidak berkahwin.
38 Tegasnya, berkahwin itu baik, tetapi tidak berkahwin lebih baik lagi.
39 Seorang wanita yang telah berkahwin terikat kepada suaminya hanya sepanjang hayat suaminya itu. Setelah suaminya meninggal dunia, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan sesiapa sahaja lelaki pilihannya asalkan dia seorang beriman dalam al-Masih.
40 Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika tidak berkahwin lagi. Ini fikiranku sendiri, tetapi aku yakin aku mendapat panduan daripada Roh Allah.
Makanan yang dipersembahkan kepada berhala
1 Sekarang tentang soal makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala: kita tahu bahawa “kita semua mempunyai ilmu pengetahuan.” Tetapi ilmu pengetahuan boleh membuat orang angkuh manakala kasih membina hidup.
2 Seseorang yang menyangka dirinya serba tahu, sebenarnya tidak mengetahui apa yang patut diketahui.
3 Tetapi seseorang yang mengasihi Allah, dikenal oleh Allah.
4 Tentang makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala: kita tahu bahawa “berhala tidak bererti apa-apa pun di dunia.” Kita tahu bahawa “Allah itu Esa, tiada tuhan selain Allah.”
5 Walaupun ramai yang dipanggil dewa dan junjungan, di syurga dan di bumi,
6 namun bagi kita Allah ialah Esa, Bapa yang mencipta segala-galanya, dan untuk Dialah kita hidup. Junjungan kita juga Esa, iaitu Isa al-Masih. Segala-galanya dicipta melalui-Nya, dan kerana Dialah kita hidup.
7 Tetapi tidak semua orang yang mengetahui hakikat ini. Ada orang yang hingga sekarang ini sudah biasa menyembah berhala, dan apabila mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, mereka merasakan bahawa makanan itu makanan berhala. Oleh itu, hati nurani mereka yang lemah menjadi ternoda.
8 Sebenarnya makanan tidak dapat mengeratkan hubungan kita dengan Allah. Kita tidak akan rugi jika kita tidak makan makanan itu, dan tidak pula untung jika memakannya.
9 Namun demikian, berhati-hatilah, jangan sampai kebebasanmu melakukan apa sahaja menjadi batu sandungan kepada orang yang lemah.
10 Sekiranya seseorang yang hati nuraninya lemah melihat kamu yang dianggap lebih berpengetahuan makan di kuil berhala, tidakkah ini akan menggalakkannya makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala?
11 Dengan demikian pengetahuan kamu itu membawa kebinasaan kepada saudaramu yang lemah itu, sedangkan al-Masih telah mati untuknya juga.
12 Jika kamu secara demikian berdosa terhadap saudara-saudaramu dan melukai hati nurani mereka yang lemah, kamu sebenarnya berdosa terhadap al-Masih.
13 Jadi, jika makanan menyebabkan saudaraku berdosa, aku tidak akan makan daging lagi, supaya jangan sampai aku membuat saudaraku tersandung.
Hak dan kewajipan rasul
1 Bukankah aku seorang yang “merdeka”? Bukankah aku seorang rasul? Tidakkah aku pernah melihat Isa, Junjungan kita Yang Ilahi? Bukankah kamu hasil kerjaku untuk Tuhan?
2 Mungkin orang lain enggan mengakui aku sebagai rasul, tetapi kamu pasti mengakuiku! Hidupmu yang bersatu dengan Tuhan membuktikan kerasulanku.
3 Apabila orang mengecamku, kujawab demikian.
4 Tidak berhakkah kami menerima makanan dan minuman untuk kerja kami?
5 Tidakkah kami berhak membawa isteri yang beriman, sebagaimana yang dilakukan oleh saudara-saudara Junjungan Yang Ilahi dan oleh rasul-rasul lain termasuk Kefas?
6 Wajarkah aku dan Barnabas sahaja mencari nafkah sendiri?
7 Tiada askar yang menyara diri sendiri dalam angkatan perang. Tiada peladang yang tidak makan buah anggur dari ladang sendiri. Tiada gembala yang tidak minum susu daripada domba sendiri.
8 Adakah aku mengatakan semua ini hanya dari segi pandangan manusia? Tidakkah hukum Taurat juga menyuarakan perkara ini?
9 aTelah tersurat dalam hukum Nabi Musa, “Jangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik bijirin.” Tentulah Allah tidak menumpukan perhatian kepada lembu sahaja.
10 Bukankah kita yang dimaksudkan oleh Allah dalam firman itu? Tentu sekali. Orang yang membajak dan menuai memang wajar bekerja dengan harapan menerima sebahagian daripada tuaian.
11 bKami telah menyemai benih rohani dalam hidupmu. Memang patutlah kami menuai sedikit hasil kebendaan daripadamu.
12 Jika orang lain berhak mengharapkannya daripadamu, bukankah kami lebih berhak lagi?
Namun demikian, kami tidak menggunakan hak itu. Kami lebih suka menanggung segala-galanya supaya tidak tergendala penyebaran Injil tentang al-Masih.
13 cKamu tentu tahu bahawa orang yang bekerja dalam Bait Allah menerima makanan dari Bait Allah. Orang yang bertugas mempersembahkan korban di atas mazbah menerima sebahagian daripada korban itu.
14 dBegitu jugalah Tuhan telah menetapkan, bahawa orang yang menyampaikan Injil harus menerima nafkah daripada kerja itu.
15 Tetapi aku belum menggunakan satu pun hak itu. Aku menulis demikian bukanlah untuk menuntut hak-hak itu bagi diriku. Biarlah aku mati daripada membiarkan orang merampas apa yang kumegahkan.
16 Namun demikian, aku tidak berhak untuk bermegah dengan menyampaikan Injil kerana kerja ini telah menjadi kewajipanku. Malanglah aku jika tidak menjalankannya.
17 Andainya aku melakukannya mengikut kehendakku sendiri, patutlah aku mengharapkan upah. Tetapi aku melakukannya sebagai kewajipan, kerana Allah telah memberiku tugas itu.
18 Jadi, apakah upahku? Upahku ialah mendapat hak istimewa untuk menyampaikan Injil tanpa meminta bayaran atau menuntut hakku sebagai penyebarnya.
19 Aku orang merdeka, bukan hamba sesiapa. Tetapi aku memperhambakan diri kepada semua orang supaya aku dapat menawan hati ramai orang.
20 Bagi orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya aku dapat menawan hati orang Yahudi. Bagi orang yang terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, padahal aku tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka.
21 Bagi orang yang tidak terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka. Ini tidaklah bermakna aku tidak taat akan hukum Allah. Sebenarnya aku dikuasai oleh hukum al-Masih.
22 Bagi mereka yang lemah, aku berlaku lemah untuk menawan hati mereka. Aku menjadi segala-galanya kepada semua orang supaya dengan sedaya upaya aku dapat menyelamatkan seramai mungkin.
23 Aku melakukan semua ini untuk Injil, semoga aku juga turut mendapat berkatnya.
24 Sebagaimana kamu tahu, dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian tetapi hanya seorang yang mendapat hadiah. Oleh yang demikian, berlarilah, hingga menerima hadiah.
25 Setiap ahli sukan yang bertanding dalam sukan berlatih dengan gigih, kerana ingin mendapat mahkota, walaupun mahkota itu tidak kekal. Tetapi kita menjalani latihan yang ketat untuk mendapat mahkota yang kekal.
26 Oleh itu, aku terus-menerus lari ke garis penamat. Juga seperti ahli tinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku.
27 Aku bersungguh-sungguh melatih tubuhku, untuk menguasai diri, supaya aku tidak ditolak setelah mengkhabarkan Injil kepada orang lain.
Peringatan dari sejarah Israel
1 aSaudara-saudaraku, aku ingin mengingatkan kamu bahawa nenek moyang kita berada di bawah awan, dan semuanya menyeberangi Laut Merah.
2 Mereka semua diimadkan di dalam awan dan laut itu untuk menjadi pengikut Musa.
3 bMereka makan makanan rohani yang sama
4 cdan minum minuman rohani yang sama dari batu pejal rohani yang menyertai mereka, dan batu pejal rohani itu ialah al-Masih sendiri.
5 dNamun demikian, Allah tidak meredai kebanyakan daripada mereka, maka mayat mereka bergelimpangan di gurun.
6 eSemua ini menjadi contoh kepada kita supaya kita tidak ingin akan kejahatan seperti mereka dahulu;
7 fdan supaya kita tidak menyembah berhala seperti sebilangan daripada mereka. Telah tersurat, “Umat itu duduk untuk makan minum lalu bangkit untuk bersuka ria.”
8 gJanganlah kita berkelakuan cabul seperti sesetengah mereka. Akibat perbuatan itu, dua puluh tiga ribu orang mati dalam sehari.
9 hJanganlah kita cubai al-Masih seperti yang dilakukan oleh sebilangan daripada mereka. Akibatnya mereka mati dipagut ular berbisa.
10 iJanganlah kita bersungut seperti sesetengah mereka, sehingga nyawa mereka dicabut Malaikat Maut.
11 Semua yang terjadi kepada mereka merupakan suatu iktibar, dan telah ditulis untuk menjadi amaran kepada kita yang hidup pada akhir zaman.
12 Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri tegap, berhati-hatilah supaya tidak jatuh.
13 Setiap cubaan yang kamu alami memang biasa dihadapi orang. Tetapi Allah setia menepati janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai melebihi kekuatanmu. Sewaktu kamu dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya.
14 Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala.
15 Aku berkata-kata kepadamu seperti kepada orang bijaksana. Fikirkanlah masak-masak apa yang aku katakan.
16 jBukankah cawan kesyukuran yang kita berkati itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam darah al-Masih? Bukankah roti yang kita pecah-pecahkan itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam tubuh al-Masih?
17 Walaupun kita ramai, kita semua merupakan satu tubuh, kerana kita makan roti yang satu itu bersama-sama.
18 kPerhatikan bangsa Israel: Bukankah mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah itu bersama-sama mengambil bahagian dalam penyembahan?
19 Adakah maksudku bahawa berhala, atau makanan yang dipersembahkan kepada berhala, tidak bererti apa-apa?
20 lTidak! Apa yang dipersembahkan di atas mazbah berhala bukanlah persembahan kepada Allah tetapi kepada roh-roh iblis. Aku tidak mahu kamu terlibat dengan roh-roh iblis.
21 Kamu yang tidak dapat minum dari cawan Tuhan, minum pula daripada cawan roh iblis. Kamu yang tidak dapat makan di meja Tuhan, makan pula di meja roh iblis.
22 mBukankah kita yang membuat Tuhan cemburu sekiranya kita berbuat demikian? Adakah kita lebih kuat daripada Tuhan?
Kebebasan orang beriman
23 nKita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya berfaedah; kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya membina hidup.
24 Janganlah lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Lakukanlah untuk kepentingan orang lain juga.
25 Kamu boleh makan apa sahaja yang dijual di pasar daging. Jangan tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu;
26 okerana “Bumi ini milik Tuhan dengan segala yang di dalamnya.”
27 Jika kamu diajak makan oleh seorang yang tidak beriman dan kamu menerima, makanlah apa-apa yang dihidangkan. Usah tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu.
28 Tetapi jika seseorang memberitahumu, “Makanan ini telah dipersembahkan kepada berhala”, janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu, dan demi hati nurani.
29 Maksudku bukan hati nuranimu, tetapi hati nurani orang itu. Mungkin ada yang bertanya, “Mengapa pula kebebasanku harus kubatasi untuk hati nurani orang lain?
30 Jika aku turut makan dengan mengucap syukur kepada Allah atas makanan itu, mengapa orang harus mengecamku?”
31 Setiap yang kamu lakukan, baik makan mahupun minum, lakukanlah untuk memuliakan Allah.
32 Jagalah tingkah lakumu, jangan sampai menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi atau orang Yunani, mahupun jemaah Allah.
33 Ikutlah teladanku. Dalam setiap yang kubuat, aku cuba menyukakan hati semua orang. Aku tidak melebihkan kepentingan diriku. Aku mengutamakan kepentingan orang lain, untuk menyelamatkan mereka.
Peraturan bagi jemaah
1 aTeladani aku, sebagaimana aku meneladani al-Masih.
2 Sekarang aku memujimu, saudara-saudaraku, kerana kamu mengingatiku dalam semua hal dan memelihara segala ajaran yang telah kusampaikan kepadamu.
3 Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa ketua setiap lelaki ialah al-Masih, ketua wanita ialah lelaki dan ketua al-Masih ialah Allah.
4 Jika seorang lelaki berdoa atau bernubuat dengan kepala bertudung, dia mengaibkan kepalanya.
5 Sebaliknya, jika seorang wanita berdoa atau bernubuat dengan kepala tidak bertudung, dia mengaibkan kepalanya, samalah seperti dia membotakkan kepalanya.
6 Jika seseorang wanita tidak bertudung kepala, baiklah rambutnya dicukur. Jika satu keaiban bagi wanita dicukur atau dibotakkan kepalanya, hendaklah dia bertudung kepala.
7 bSeorang lelaki tidak patut menudung kepalanya, kerana dia mencerminkan dan memuliakan Allah; tetapi wanita adalah kemuliaan lelaki.
8 cLelaki tidak berasal daripada wanita, tetapi wanita berasal daripada lelaki.
9 Begitu juga, lelaki tidak dicipta untuk wanita, tetapi wanita dicipta untuk lelaki.
10 Oleh itu, dan oleh sebab para malaikat, wanita harus memakai satu lambang kewibawaan di atas kepalanya.
11 Walau bagaimanapun, lelaki dan wanita saling bergantung, di bawah kuasa Tuhan.
12 Sebagaimana wanita berasal daripada lelaki, maka lelaki pula lahir melalui wanita; segala-galanya daripada Allah.
13 Timbangkanlah sendiri. Wajarkah seorang wanita berdoa kepada Allah dengan tidak bertudung kepala?
14 Tidakkah alam tabii sendiri mengajar kamu bahawa jika seorang lelaki menyimpan rambut panjang, itu suatu keaiban baginya?
15 Tetapi jika seorang wanita mempunyai rambut panjang, itu suatu kemuliaan baginya; kerana rambut dikurniakan kepadanya sebagai penudung.
16 Namun demikian, jika sesiapa kelihatan ingin membantah, maka jawablah bahawa kita tidak mempunyai adat yang lain, begitu juga semua jemaah Allah.
Amalan-amalan yang salah dalam Perjamuan Tuhan
17 Dalam memberimu petunjuk-petunjuk yang berikut, aku tidak memujimu kerana apabila kamu berhimpun, bukan kebaikan tetapi keburukan yang timbul.
18 Pertama sekali, apabila kamu berhimpun sebagai satu jemaah, aku dengar kamu berkelompok-kelompok, dan aku percaya sebahagian yang kudengar.
19 Sememangnya dalam kalanganmu pasti terbentuk beberapa kelompok, sehingga mereka yang diperkenan Allah menjadi nyata.
20 Apabila kamu berhimpun di suatu tempat, bukanlah perjamuan Tuhan yang kamu makan
21 kerana semua berebut hendak makan dahulu; sehingga ada yang lapar dan ada pula yang mabuk.
22 Apa! Tidakkah kamu mempunyai rumah untuk makan minum di dalamnya? Atau adakah kamu memandang hina jemaah Allah dan hendak memperkecil orang yang tidak mempunyai apa-apa? Apakah akan kukatakan kepadamu? Akan kupujikah kamu dalam hal ini? Tentunya tidak!
23 Aku telah menerima daripada Isa, Junjungan Yang Ilahi, apa yang telah kusampaikan kepadamu: Bahawa pada malam Dia dikhianati, Isa, Junjungan Yang Ilahi, telah mengambil roti;
24 dan selepas mengucap syukur, Dia telah memecah-mecahkan roti itu lalu berkata, “Ambil, dan makanlah. Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.”
25 dDemikian juga, sesudah makan, Dia mengambil cawan itu sambil berkata, “Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukan ini sebagai peringatan kepada-Ku,”
26 Kerana setiap kali kamu makan roti dan minum dari cawan dengan cara demikian, kamu memberitakan kematian Junjungan Yang Ilahi hingga kedatangan-Nya.
27 Jika sesiapa makan roti atau minum dari cawan Tuhan ini secara yang tidak wajar, dia akan menanggung dosa terhadap tubuh dan darah Junjungan Yang Ilahi.
28 Hendaklah setiap orang memeriksa dirinya, dan kemudian makan roti itu dan minum dari cawan itu;
29 kerana jika seseorang memakannya dan meminumnya tanpa mengenal tubuh al-Masih, dia makan dan minum akan penghukuman kepada dirinya.
30 Oleh sebab itu ada sebilangan besar yang lemah dan yang sakit dalam kalanganmu, malah ada yang meninggal dunia.
31 Jika kita menghakimi diri sendiri, tidaklah kita dihakimi.
32 Tetapi apabila kita dihakimi, kita dihukum oleh Tuhan supaya kita insaf, agar kita tidak dibinasakan bersama-sama dunia.
33 Oleh itu, saudara-saudaraku, apabila kamu berhimpun untuk makan, tunggulah satu sama lain sebelum bermula.
34 Tetapi jika ada sesiapa yang lapar, makanlah dahulu di rumah, supaya perhimpunanmu tidak mendatangkan hukuman. Hal-hal lain akan kuatur ketika aku datang kelak.
Kurnia rohani
1 Aku tidak mahu kamu jahil, saudara-saudaraku, tentang kurnia-kurnia rohani:
2 Kamu tahu bahawa dahulu, sebelum kamu menjadi umat Allah, kamu telah terperdaya dalam pelbagai cara untuk menjadi pengikut berhala-berhala yang bisu.
3 Oleh itu, aku menyatakan kepadamu, tiada siapa pun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: “Isa terkutuk”; dan tiada siapa pun dapat mengakui, “Isa ialah Junjungan Yang Esa,” kecuali di bawah bimbingan Roh Allah.
4 aTerdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh.
5 Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan.
6 Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah Yang Esa mengerjakan semuanya.
7 Tetapi Roh Allah memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua.
8 Ada yang diberi kurnia oleh Roh Allah untuk berbicara dengan penuh hikmah, dan ada pula yang dikurniai Roh Allah untuk berbicara tentang pengetahuan.
9 Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama.
10 Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu.
11 Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Allah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya.
Banyak anggota tetapi satu tubuh
12 bSebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga al-Masih.
13 Oleh satu Roh kita semua telah diimadkan ke dalam satu tubuh – baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang merdeka – dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama.
14 Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota.
15 Kalaulah kaki berkata, “Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh?
16 Dan kalaulah telinga berkata, “Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh?
17 Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan?
18 Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya.
19 Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh?
20 Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh.
21 Mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukanmu.” Kepala tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukanmu.”
22 Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan.
23 Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan.
24 Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya,
25 supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain.
26 Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita.
27 Kamu adalah tubuh al-Masih, dan setiap daripadamu anggota tubuh itu.
28 cAllah telah menentukan tempat masing-masing anggota jemaah: Pertama sebagai rasul-rasul, kedua nabi-nabi, ketiga guru-guru; seterusnya mereka yang diamanahkan untuk melakukan pelbagai mukjizat, mereka yang diberi kurnia untuk menyembuhkan, untuk memberi pertolongan, untuk memimpin dan untuk bertutur dalam aneka lidah.
29 Adakah semua menjadi rasul? Adakah semua menjadi nabi? Adakah semua menjadi guru? Adakah semua melakukan mukjizat?
30 Adakah semua diberi kurnia untuk menyembuhkan? Adakah semua dapat bertutur dalam pelbagai lidah? Adakah semua diberi kurnia untuk mentafsirkan bahasa-bahasa itu?
31 Oleh itu, berusahalah kamu bersungguh-sungguh untuk mendapat kurnia-kurnia yang lebih besar. Aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lebih baik.
Kasih
1 Kalaupun aku dapat bertutur dalam semua lidah manusia, malah bahasa malaikat juga, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku hanya seperti gong tembaga yang berbunyi bising atau genta yang berdentang.
2 aKalaupun aku diberi kurnia untuk bernubuat, dan mengetahui semua rahsia serta ilmu, malah memiliki kekuatan iman yang dapat mengalih gunung-ganang, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak bererti.
3 Begitu juga, kalaupun aku memberikan segala milikku untuk memberi makan kepada orang miskin, atau menyerahkan tubuhku untuk dibakar, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak berguna.
4 Kasih itu penyabar dan penyayang. Kasih tidak iri hati, tidak membanggakan diri, dan tidak angkuh.
5 Kasih tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri, tidak cepat meradang, tidak memperhitungkan kesalahan orang lain.
6 Kasih tidak gembira dengan kejahatan, tetapi gembira meraikan kebenaran.
7 Kasih tahan menderita segala-galanya, percaya akan segala-galanya, berharap akan segala-galanya, terus-menerus menanggung segala-galanya.
8 Kasih tidak akan luput. Nubuat-nubuat akan berakhir, bahasa-bahasa akan berhenti, dan ilmu pengetahuan akan lenyap
9 kerana pengetahuan dan nubuat kita tidak sempurna.
10 Setelah yang sempurna datang, maka yang tidak sempurna akan disingkirkan.
11 Pada zaman kanak-kanak, aku bercakap secara kanak-kanak, mengerti secara kanak-kanak. Tetapi setelah aku dewasa, segala sifat kanak-kanak itu kutinggalkan.
12 Sekarang kita hanya melihat samar-samar melalui cermin, tetapi akan tiba saatnya kita melihat dengan jelas berpandang muka. Demikianlah, sekarang aku hanya mengetahui sebahagian, tetapi akan tiba masanya aku mengetahui sepenuhnya, sebagaimana aku diketahui.
13 Hanya tiga yang tinggal: iman, harapan dan kasih. Antara ketiga-tiga ini, yang paling utama ialah kasih.
Kurnia bernubuat dan bertutur dalam lidah
1 Usahakanlah memperoleh kasih dan cubalah sungguh-sungguh untuk mendapatkan kurnia-kurnia rohani, terutamanya kurnia untuk bernubuat.
2 Apabila seseorang bertutur dalam lidah, dia bukanlah bercakap kepada sesama manusia tetapi kepada Allah; dia bertutur tentang hal-hal rahsia dengan Roh.
3 Sebaliknya, apabila seseorang bernubuat, dia bercakap kepada sesama manusia dengan kata-kata yang membina, menasihati dan menghibur.
4 Orang yang bertutur dalam lidah membina diri sendiri, manakala orang yang bernubuat membina jemaah.
5 Aku suka jika kamu bertutur dalam lidah, tetapi aku lebih suka jika kamu bernubuat; kerana orang yang bernubuat lebih membawa manfaat daripada orang yang bertutur dalam lidah, kecuali jika dia mentafsirkan apa yang dituturkannya itu untuk membina jemaah.
6 Saudara-saudaraku, bermanfaatkah bagimu sekiranya aku datang bertutur kepadamu dalam lidah? Tidakkah lebih bermanfaat jika aku bertutur dalam bahasa yang kamu fahami, baik dalam penyampaian wahyu, ilmu pengetahuan, nubuat mahupun pengajaran?
7 Samalah dengan benda-benda tidak bernyawa yang mengeluarkan bunyi; seperti seruling atau kecapi, jika bunyinya tidak terang, bagaimana orang dapat mengetahui lagu apa yang dimainkan?
8 Sekiranya nafiri mengeluarkan bunyi yang tidak menentu, siapa yang akan bersiap untuk berperang?
9 Demikianlah juga, jika kamu tidak bertutur dengan bahasa yang jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui apa yang kamu katakan? Kamu seolah-olah bercakap kepada angin.
10 Bahasa dunia entah berapa banyaknya, tetapi tiada satu pun yang tidak bererti.
11 Namun demikian, jika aku tidak mengetahui erti sesuatu bahasa, maka aku menjadi orang asing bagi penuturnya dan penutur itu orang asing bagiku.
12 Begitu jugalah kamu. Dalam berusaha untuk mendapat kurnia-kurnia rohani, berusahalah untuk memperoleh yang utama, iaitu yang dapat membina jemaah.
13 Oleh itu, seseorang yang bertutur dalam lidah harus berdoa agar dia dapat mentafsirkannya juga.
14 Kalaulah aku berdoa dalam lidah, maka hanya rohku yang berdoa, sedangkan akalku tidak menghasilkan apa-apa.
15 Oleh itu, apa yang harus kulakukan? Aku akan berdoa dengan rohku dan akalku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku dan akalku juga.
16 Sekiranya kamu mengucap syukur hanya dengan rohmu, bagaimana orang yang tidak memahami dapat mengaminkan ucap syukurmu? Mereka tidak tahu apa yang kamu ucapkan!
17 Oleh itu, walaupun ucap syukurmu itu baik, orang lain tidak dapat dibina.
18 Aku mengucap syukur kepada Allah kerana aku dapat bertutur dalam lidah, lebih daripada kamu semua.
19 Tetapi dalam perhimpunan jemaah, aku lebih suka mengucapkan lima patah kata dari akalku daripada sepuluh ribu patah dalam lidah; dengan demikian aku dapat menyampaikan pengajaran kepada orang lain.
20 Saudara-saudaraku! Janganlah kamu menjadi kanak-kanak dalam akal fikiranmu. Berhubungan hal kejahatan, memang kamu harus menjadi kanak-kanak, tetapi akal fikiranmu hendaklah matang.
21 aDalam Kitab Taurat telah tersurat: “‘Dengan bahasa-bahasa asing dan dari mulut orang asing Aku akan bersuara kepada bangsa ini. Namun demikian, mereka tidak akan mendengar-Ku,’ Tuhan berfirman.”
22 Oleh itu, bertutur dalam lidah adalah tanda, bukan bagi orang yang percaya, tetapi bagi orang yang tidak percaya; manakala nubuat adalah tanda, bukan bagi orang yang tidak percaya, tetapi bagi orang yang percaya.
23 Sekiranya seluruh jemaah berhimpun di suatu tempat dan semuanya bertutur dalam lidah, lantas masuk orang yang tidak tahu atau orang yang tidak percaya, tidakkah mereka menyangka kamu semua gila?
24 Tetapi jika semuanya bernubuat, lalu masuk seorang yang tidak tahu atau yang tidak percaya, dia akan berasa diyakinkan dan dihakimi oleh segala yang didengarinya.
25 Dengan demikian, segala rahsia hatinya akan ternyata, lalu dia sujud menyembah Allah serta mengakui bahawa Allah sesungguhnya ada bersamamu.
Peraturan dalam jemaah
26 Jadi bagaimana, saudara-saudaraku? Apabila kamu berhimpun, hendaklah masing-masing menyampaikan zabur, atau pengajaran, atau wahyu, atau sesuatu dalam lidah, ataupun pentafsirannya. Tetapi hendaklah semuanya bertujuan untuk membina jemaah.
27 Jika ada orang yang bertutur dalam lidah, biarlah dua atau tiga orang sahaja, seorang lepas seorang, dan hendaklah ada orang yang mentafsirkannya.
28 Sekiranya tiada yang dapat mentafsirkannya, janganlah dituturkan dalam perhimpunan itu. Tuturkanlah bagi diri sendiri dan kepada Allah.
29 Bagi orang yang diberi kurnia sebagai nabi, biarlah dua atau tiga orang sahaja yang bernubuat, dan yang lain menilainya.
30 Tetapi sekiranya ternyata Allah mewahyukan sesuatu melalui seorang lain yang turut hadir, hendaklah orang pertama itu berhenti bernubuat.
31 Kamu semua boleh bernubuat, seorang demi seorang, agar semua mendapat pengajaran dan kekuatan.
32 Kurnia untuk bernubuat tertakluk kepada nabi yang memilikinya,
33 kerana Allah tidak menghendaki kekeliruan, tetapi kesejahteraan. Sebagaimana dalam semua jemaah orang salih,
34 wanita-wanita hendaklah berdiam diri dalam perhimpunan jemaah. Mereka tidak dibenarkan bercakap. Hendaklah mereka menurut perintah, sebagaimana tersurat dalam Taurat.
35 Jika mereka ingin mempelajari sesuatu, hendaklah mereka bertanya kepada suami mereka di rumah. Sungguh memalukan jika seorang wanita bersuara dalam perhimpunan jemaah.
36 Adakah firman Allah datang daripadamu? Atau adakah datangnya kepada kamu sahaja?
37 Sekiranya seseorang menyangka dirinya mendapat kurnia untuk bernubuat atau kurnia rohani yang lain, dia hendaklah mengakui bahawa yang kutuliskan kepadamu ini adalah perintah Tuhan.
38 Tetapi jika sesiapa tidak tahu, biarlah dia demikian.
39 Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah untuk dapat bernubuat, dan jangan larang orang bertutur dalam lidah.
40 Tetapi hendaklah segalanya dilakukan dengan sopan dan teratur.
Kebangkitan al-Masih
1 Aku menyatakan kepadamu, saudara-saudaraku, tentang Injil yang telah kusampaikan kepadamu, telah kamu terima dan pegang hingga sekarang.
2 Melalui Injil itu kamu diselamatkan, jika kamu tetap berpegang kepada Firman yang telah kusampaikan, dan imanmu bukan kosong semata-mata.
3 aAku telah menyampaikan kepadamu hal-hal utama, yang telah kuterima sendiri: Bahawa al-Masih telah mati untuk menebus dosa kita, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci;
4 bbahawa Dia telah dikuburkan, dan telah dibangkitkan pada hari yang ketiga, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci;
5 cdan bahawa Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepada Kefas, kemudian kepada dua belas pengikut-Nya.*
6 Selepas itu, Dia memperlihatkan diri-Nya kepada saudara-saudara kita, lebih daripada lima ratus orang pada satu masa. Kebanyakan mereka masih hidup, dan ada yang sudah meninggal dunia.
7 Seterusnya Dia memperlihatkan diri-Nya kepada Yakobus, kemudian kepada semua rasul-Nya.
8 dAkhir sekali Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepadaku, yang seperti bayi yang dilahirkan sebelum masa;
9 ekerana akulah yang paling rendah antara rasul, malah aku tidak layak disebut rasul, kerana aku telah menganiaya jemaah Allah.
10 Tetapi dengan rahmat Allah, aku telah menjadi seperti diriku sekarang. Rahmat-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepadaku tidaklah sia-sia, kerana aku telah bekerja lebih keras daripada mereka semua; sesungguhnya bukan aku yang melakukannya, tetapi rahmat Allah yang bersamaku.
11 Dengan demikian, baik aku mahupun mereka, begitulah yang kami khabarkan, dan begitulah yang kamu percaya.
Kebangkitan orang mati
12 Setelah kami khabarkan kepadamu tentang al-Masih yang dibangkitkan daripada kematian, mengapakah ada dalam kalanganmu yang berkata bahawa tiada kebangkitan selepas mati?
13 Jika tiada kebangkitan selepas mati, maka al-Masih juga tidak dibangkitkan.
14 Jika al-Masih tidak dibangkitkan, maka sia-sialah perkhabaran kami dan sia-sialah imanmu.
15 Kami juga ternyata sebagai saksi dusta kepada Allah, kerana kami telah membuat kesaksian bahawa Allah telah membangkitkan al-Masih, sedangkan Allah tidak membangkitkan-Nya, kalaulah benar tiada kebangkitan selepas mati;
16 kerana jika tiada kebangkitan selepas mati, maka al-Masih tidaklah dibangkitkan.
17 Dan jika al-Masih tidak dibangkitkan, sia-sialah imanmu; dan kamu masih bergelumang dosa!
18 Orang yang mati dalam al-Masih juga tetap binasa.
19 Sekiranya dalam hidup ini sahaja kita mempunyai harapan dalam al-Masih, kitalah yang paling malang antara manusia!
20 Tetapi al-Masih memang telah dibangkitkan daripada kematian. Dialah yang pertama daripada kalangan orang yang telah mati.
21 Oleh sebab satu orang, kematian berlaku; dan oleh sebab satu orang juga, kebangkitan orang mati berlaku;
22 kerana sebagaimana dalam Adam semua manusia mati, demikian juga dalam al-Masih semua manusia akan dihidupkan semula;
23 masing-masing mengikut aturannya: Pertama al-Masih, kemudian mereka yang telah menjadi milik-Nya, pada saat kedatangan-Nya kelak.
24 Selepas itu datanglah pengakhiran, ketika Dia menyerahkan kerajaan kepada Allah Bapa, ketika Dia melenyapkan semua pemerintahan, semua kewibawaan dan semua kekuasaan;
25 fkerana Dia harus memerintah sehingga semua musuh telah diletakkan-Nya di bawah kaki-Nya.
26 Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah Maut.
27 gSegala sesuatu telah ditaklukkan oleh Allah di bawah kaki al-Masih. Apabila dikatakan bahawa “segala sesuatu telah ditaklukkan” jelaslah bahawa Allah, yang membuat segala sesuatu itu takluk kepada al-Masih, tidak turut ditaklukkan.
28 Oleh itu, setelah segala sesuatu ditaklukkan kepada al-Masih, Dia sebagai Putera akan menaklukkan diri-Nya juga kepada Allah, maka Allah menjadi segala-galanya dalam semua perkara.
29 Apakah akan dilakukan oleh mereka yang telah diimadkan bagi pihak orang mati? Sekiranya orang mati tidak dibangkitkan, mengapa orang diimadkan untuk orang mati?
30 Begitu juga kami, mengapa sepanjang masa kami rela menghadapi bahaya?
31 Setiap hari aku menghadapi kematian. Aku mengakui ini, saudara-saudaraku, demi kebanggaanku denganmu yang kumiliki dalam Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi.
32 hJika menurut pertimbangan manusia, apa faedahnya bagiku berjuang seperti dengan binatang buas di Efesus? Juga, sekiranya orang mati tidak dibangkitkan, “marilah kita makan dan minum, kerana esok kita mati.”
33 Jangan kamu biarkan dirimu disesatkan orang. “Kebiasaan yang baik musnah kerana pergaulan yang buruk.”
34 Insaflah sepenuhnya dan jangan berbuat dosa lagi, kerana dalam kalanganmu ada sebilangan yang tidak mengenal Allah. Aku berkata demikian supaya kamu berasa malu.
Kebangkitan tubuh
35 Mungkin ada yang menyoal, “Bagaimana caranya orang mati dibangkitkan? Dengan tubuh yang bagaimanakah mereka akan hidup?”
36 Hai orang yang tidak berakal, sesuatu yang kamu semaikan tidak mungkin tumbuh jika tidak mati terlebih dahulu.
37 Tambahan pula, yang kamu semaikan bukanlah seluruh tubuh tanaman, tetapi bijinya sahaja, contohnya biji gandum atau biji-bijiran lain.
38 Tetapi kemudian Allah memberikan biji itu suatu tubuh, menurut kehendak-Nya. Setiap biji mempunyai tubuhnya yang tersendiri.
39 Semua yang bernyawa tidak serupa. Rupa manusia berbeza dengan rupa binatang, rupa burung berlainan dengan rupa ikan.
40 Ada benda di langit dan ada benda di bumi. Kemuliaan benda di langit berbeza dengan kemuliaan benda di bumi.
41 Kemuliaan matahari berbeza dengan kemuliaan bulan, dan berlainan pula dengan kemuliaan bintang-bintang; manakala kemuliaan bintang-bintang berbeza antara satu sama lain.
42 Demikianlah dengan kebangkitan orang mati. Tubuh disemaikan dalam kebinasaan, dan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan;
43 disemaikan dalam kehinaan, dibangkitkan dalam kemuliaan; disemaikan dalam kelemahan, dibangkitkan dalam kekuatan;
44 disemaikan dalam tubuh jasmani, dibangkitkan dalam tubuh rohani.
Jika ada tubuh jasmani, maka adalah juga tubuh rohani.
45 iSebagaimana telah tersurat, “Adam, manusia yang pertama, menjadi makhluk yang hidup,” manakala Adam yang terakhir menjadi roh yang menghidupkan.
46 Yang pertama bukan rohani tetapi jasmani, dan yang kemudian adalah yang rohani;
47 kerana manusia yang pertama berasal daripada debu bumi, tetapi manusia yang kedua berasal daripada syurga.
48 Seperti manusia yang berasal daripada debu bumi itu, begitulah semua orang yang berasal daripada debu bumi. Dan seperti manusia daripada syurga itu, begitulah semua orang yang syurgawi.
49 Sebagaimana kita telah memakai rupa yang berasal daripada debu bumi itu, kita akan memakai rupa manusia yang berasal daripada syurga.
50 Saudara-saudaraku, aku ingin mengatakan kepadamu, daging dan darah tidak akan mendapat tempat dalam kerajaan Allah, dan sesuatu yang boleh binasa tidak akan mendapat tempat dalam ketidakbinasaan.
51 jDengarlah, aku memberitahumu suatu rahsia: Tidak kita semua akan mati, tetapi semua akan diubah
52 serta-merta, dalam sekelip mata, ketika berbunyinya sangkakala yang terakhir. Pada saat itu orang mati akan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan, dan kita yang masih hidup akan diubah,
53 kerana yang boleh binasa ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh binasa, dan yang boleh mati ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh mati.
54 kSetelah ini berlaku, terbuktilah firman: “Maut telah ditelan dalam kemenangan.”
55 l“Wahai Maut, di manakah kemenanganmu?
Wahai Maut, di manakah sengatmu?”
56 Sengat maut ialah dosa, manakala kuasa dosa ialah Taurat.
57 Tetapi syukurlah kepada Allah yang telah memberi kita kemenangan melalui Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi.
58 Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, teguhkan pendirian, jangan berganjak, dan bersungguh-sungguhlah dalam pengabdianmu kepada Tuhan. Kamu tahu bahawa dalam Tuhan, jerih lelahmu tidak akan sia-sia.
Bantuan untuk jemaah di Yerusalem
1 aSekarang aku menyentuh tentang pengumpulan bantuan bagi orang salih. Lakukanlah sebagaimana yang telah kutentukan bagi semua jemaah di Galatia.
2 Pada hari pertama setiap minggu, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasingkan wang menurut kemampuan masing-masing dan menyimpannya. Janganlah setelah aku datang baru kamu mula mengumpulnya.
3 Setelah aku tiba, aku akan menghantar sesiapa yang kamu anggap sesuai untuk membawa pemberianmu itu bersama surat ke Yerusalem.
4 Sekiranya aku perlu pergi juga, mereka akan pergi bersamaku.
Permintaan Paulus
5 bAku akan datang ke tempatmu selepas Makedonia kerana aku akan datang melalui Makedonia.
6 Mungkin aku akan tinggal beberapa waktu denganmu, malah mungkin sepanjang musim dingin; kemudian kamu boleh menolongku meneruskan perjalanan.
7 Kali ini aku tidak mahu singgah sahaja; aku berharap akan dapat tinggal agak lama denganmu jika diizinkan Tuhan.
8 c dNamun demikian, aku akan tetap berada di Efesus sampai hari Pentakosta,
9 kerana pintu untuk melakukan pekerjaan besar telah terbuka luas bagiku walaupun ramai orang yang menentang.
10 eJika Timotius datang ke tempatmu, jangan biarkan dia berasa takut tinggal dalam kalanganmu, kerana dia juga melakukan pekerjaan untuk Tuhan, sama sepertiku.
11 Oleh itu, jangan sesiapa memandang ringan kepadanya. Setiap orang hendaklah menolongnya, supaya dia dapat meneruskan perjalanan dengan sejahtera dan datang menemuiku, kerana aku dan beberapa orang saudara lain menunggu kedatangannya.
12 Tentang saudara kita Apolos, aku telah mendesaknya mengunjungimu bersama saudara-saudara yang lain, tetapi dia enggan pergi sekarang ini. Jika ada kesempatan, dia akan datang juga.
13 Berhati-hatilah, berdiri teguh dalam iman, sentiasa berani dan gigih.
14 Lakukan segala-galanya dalam kasih.
15 fSaudara-saudaraku, ada satu permintaanku kepadamu. Kamu sedia maklum bahawa Stefanus sekeluarga merupakan hasil pertama pelayananku di Akhaya, dan mereka telah bertekad untuk mengabdikan diri kepada orang salih.
16 Aku meminta supaya kamu tunduk kepada orang yang demikian, dan kepada semua yang turut berusaha dengan kami.
17 Aku gembira bahawa Stefanas, Fortunatus dan Akhaikus telah datang, kerana apa-apa kekuranganku telah dilengkapkan oleh mereka.
18 Mereka telah menyenangkan hatiku dan hatimu. Oleh itu, hargailah orang yang demikian.
Salam
19 gJemaah-jemaah di Asia berkirim salam kepadamu. Akwila dan Priskila, serta jemaah di rumah mereka, berkirim salam mesra kepadamu dalam Tuhan.
20 Semua saudara seiman juga berkirim salam kepadamu. Bersalamanlah dengan ciuman suci.
21 Aku juga menyampaikan salam yang kutulis dengan tanganku sendiri – Paulus.
22 Jika ada yang tidak mengasihi Junjungan kita Yang Ilahi, terkutuklah dia. Ya Tuhan, datanglah segera!
23 Rahmat Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, menyertaimu.
24 Kasihku menyertai kamu semua dalam Isa al-Masih. Amin.