1 Petrus
1
1 Daripada Petrus, rasul Isa al-Masih,
kepada umat pilihan Allah yang tinggal merata-rata di Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia dan Bitinia. 2 Kamu terpilih menurut rancangan Allah, Bapa kita, dijadikan umat-Nya dengan Roh Allah, supaya taat akan Isa al-Masih dan disucikan dengan darah-Nya:
 
Semoga kamu dilimpahi rahmat dan damai sejahtera daripada Allah.
Harapan dan iman
3 Segala puji bagi Allah, Bapa Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi! Kerana belas kasihan-Nya yang amat besar Dia telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Isa al-Masih daripada kematian. Dengan demikian, kita hidup dengan harapan yang tidak akan binasa, dan 4 kita mengharapkan warisan yang tidak mungkin reput, tercemar atau lenyap – disimpan untukmu di syurga. 5 Kamu dipelihara dengan kuasa Allah, melalui iman untuk penyelamatan yang akan ternyata sepenuhnya pada akhir zaman. 6 Oleh yang demikian bersukacitalah, meskipun sekarang untuk seketika mungkin kamu berdukacita kerana menghadapi pelbagai cubaan. 7 Segalanya ini untuk menguji imanmu yang lebih berharga daripada emas, kerana emas tetap musnah walaupun telah diuji dengan api. Imanmu kelak ternyata tulen dan akan mendapat puji, penghormatan serta kemuliaan apabila Isa al-Masih datang kembali. 8 Kamu mengasihi-Nya walaupun belum pernah melihat-Nya. Kamu percaya kepada-Nya tanpa melihat-Nya. Oleh itu, kamu merasai kebahagiaan yang tidak terkata dan penuh dengan kemuliaan 9 kerana kamu akan mencapai matlamat imanmu, iaitu penyelamatan jiwamu.
10 Nabi-nabi telah mengkaji penyelamatan ini dan bernubuat tentang rahmat Allah kepadamu. 11 Roh al-Masih yang ada pada nabi-nabi bernubuat tentang penderitaan al-Masih dan kemuliaan-Nya kelak. Mereka berusaha untuk mengetahui bila dan bagaimana perkara itu akan terjadi. 12 Allah telah menyatakan kepada nabi-nabi bahawa segala yang dilakukan oleh mereka itu bukan untuk mereka tetapi untuk kita. Sekarang perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu telah kamu dengar melalui Injil yang diisytiharkan dengan kuasa Roh Allah dari syurga. Para malaikat juga ingin mengerti perkara itu.
Hendaklah kamu suci
13 Oleh yang demikian, bersedialah dengan akal budimu, berjaga-jaga dan sandarkanlah harapan kepada rahmat yang akan kamu terima apabila Isa al-Masih menyatakan diri-Nya kelak. 14 Jadilah anak-anak yang taat akan Allah, dan janganlah hidup mengikut nafsumu seperti dahulu, sebelum kamu mengenal-Nya. 15 Pastikanlah segala perbuatanmu suci, sebagaimana Tuhan yang memanggilmu itu suci. 16 aAda tersurat dalam Kitab Suci, “Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci.”
17 Jika kamu berdoa kepada Allah Bapa, yang menghakimi manusia dengan adil menurut perbuatan masing-masing, maka sepanjang hayatmu di dunia ini takuti dan patuhilah Dia. 18 Kamu mengetahui bahawa untuk membebaskanmu daripada hidup sia-sia warisan nenek moyangmu, tebusannya bukanlah sesuatu yang dapat dibinasakan seperti perak atau emas 19 tetapi darah al-Masih yang amat berharga, darah anak domba yang tiada cacat celanya. 20 Dia telah ditetapkan sebelum dunia dicipta, tetapi dinyatakan pada akhir zaman ini untukmu. 21 Melalui-Nya kamu percaya kepada Allah, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian dan memberi-Nya kemuliaan, supaya kamu beriman dan berharap kepada Allah.
22 Oleh sebab kamu telah menyucikan jiwamu dalam mematuhi kebenaran supaya kamu mempunyai kasih persaudaraan yang ikhlas, maka kasihilah satu sama lain dengan sepenuh perasaan dan suci hati; 23 kerana kamu telah dilahirkan semula, bukan daripada benih yang dapat dibinasakan tetapi daripada yang tidak mungkin dimusnahkan, melalui firman Allah yang hidup kekal selama-lamanya. 24 bKerana,
 
“Semua manusia umpama rumput,
dan segala kemuliaannya umpama bunga di padang;
rumput layu, dan bunga gugur,
25 tetapi firman Tuhan kekal selama-lamanya.”
 
Inilah firman yang disampaikan kepadamu.
 
 
 
 
 
 
2
1 Oleh itu, singkirkan segala niat jahat, penipuan, kepura-puraan, iri hati dan semua fitnah. 2 Seperti bayi yang baru lahir, hendaklah kamu selalu haus akan air susu suci firman Allah, supaya kamu bertumbuh subur sehingga beroleh penyelamatan. 3 aKamu sendiri telah mengalami kebaikan Tuhan.
Isa al-Masih batu penjuru
4 Datanglah kepada Dia yang seperti batu hidup, yang dibuang oleh manusia tetapi dipilih oleh Allah dan berharga di hadirat-Nya. 5 Kamu juga umpama batu hidup, yang digunakan untuk membina rumah rohani bagi para imam yang suci, untuk mempersembahkan korban rohani yang diredai Allah melalui Isa al-Masih. 6 bAda tersurat dalam Kitab Suci:
 
“Lihatlah, Kuletakkan di Sion,
batu penjuru yang terpilih dan berharga,
dan sesiapa yang percaya kepada-Nya
tidak akan diaibkan.”
 
7 cBagi kamu yang percaya, batu itu berharga, tetapi bagi mereka yang tidak percaya,
 
“Batu yang dibuang oleh pembina
telah menjadi batu penjuru,”
 
8 ddan,
 
“Batu tempat orang tersandung
dan batu pejal yang membuat mereka terjatuh.”
 
Mereka tersandung kerana mereka ingkar akan firman Allah, yang telah ditetapkan bagi mereka.
9 eTetapi kamu umat terpilih, para imam kerajaan Allah, bangsa suci, umat-Nya sendiri, yang dipilih untuk mengisytiharkan puji-pujian bagi Dia yang telah memanggilmu daripada kegelapan kepada cahaya-Nya yang gemilang. 10 fDahulu kamu bukan suatu umat tetapi sekarang kamu umat Allah. Dahulu kamu tidak mendapat belas kasihan Allah tetapi sekarang kamu telah mendapat belas kasihan-Nya.
11 Saudara-saudara yang kukasihi, aku merayu kepadamu sebagai orang asing dan pendatang di dunia, jauhilah hawa nafsu yang sentiasa menyerang jiwa. 12 Amalkan kelakuan yang mulia, maka apabila orang di kelilingmu yang tidak mengenal Allah mengata kamu berbuat jahat, mereka tetap melihat perbuatanmu yang baik lalu memuliakan Allah pada waktu Tuhan datang kembali.
Berserah kepada pemerintah
13 Demi Tuhan berserahlah kepada pemerintah dalam kerajaan manusia, baik raja sebagai pemerintah tertinggi 14 mahupun para penguasa yang dilantiknya untuk menghukum orang yang berbuat jahat dan menghargai orang yang berbuat baik. 15 Inilah kehendak Allah, bahawa dengan berbuat baik kamu menutup mulut orang jahil dan bodoh yang hendak mengatamu. 16 Hiduplah dengan bebas, tetapi jangan gunakan kebebasan untuk menutup maksiat. Hiduplah sebagai hamba Allah. 17 Hormatilah semua orang, kasihilah saudara-saudara seimanmu, bertakwalah kepada Allah, dan hormatilah raja.
18 Hamba, berserahlah kepada tuanmu dengan penuh hormat, bukan tuan yang baik dan lemah lembut sahaja, tetapi yang kejam juga. 19 Kamu layak dipuji jika kerana Allah kamu tabah menanggung derita akibat perlakuan yang tidak adil. 20 Apakah istimewanya jika kamu menerima dengan sabar apabila dipukul kerana kesalahanmu? Tetapi apabila kamu berbuat baik lalu menderita, jika kamu menerimanya dengan sabar, maka kamu terpuji di hadapan Allah. 21 Justeru inilah kamu telah dipanggil, kerana al-Masih juga menderita untuk kita, memberi kita teladan, supaya kita menurut jejak langkah-Nya.
 
22 g“Dia tidak melakukan dosa,
dan tidak ada tipu daya dalam mulut-Nya.”
 
23 hApabila Dia dicela, Dia tidak mencela kembali. Apabila Dia menderita, Dia tidak mengugut, tetapi menyerahkan diri-Nya kepada Allah yang menghakimi dengan adil. 24 iDia menanggung dosa kita dalam tubuh-Nya sendiri di kayu salib, supaya kita mati terhadap dosa dan hidup untuk perbenaran. Luka-luka-Nya telah menyembuhkan kamu. 25 Dahulu kamu seperti domba yang sesat, tetapi sekarang kamu telah kembali kepada Gembala dan Pemelihara jiwamu.
 
 
 
 
 
 
3
Isteri dan suami
1 aDemikian juga kamu, isteri, berserahlah kepada suamimu. Dengan demikian, suami yang tidak percaya kepada firman Allah dapat ditarik untuk percaya tanpa sepatah kata, hanya dengan kelakuan isterinya 2 ketika mereka melihat betapa murni dan salihnya hidupmu. 3 bJanganlah hiasi dirimu di luar sahaja – mendandan rambut, memakai emas atau pakaian indah. 4 Hiasilah batinmu, dengan keindahan yang tidak dapat dimusnahkan, iaitu bersikap lembut dan tenang, yang sangat berharga di hadapan Allah. 5 Demikianlah hiasan perempuan zaman dahulu yang salih dan berharap pada Allah. Mereka berserah kepada suami, 6 cseperti Sarah yang taat kepada Nabi Ibrahim dan memanggilnya tuan. Kamu ialah anak-anak perempuan Sarah jika kamu berbuat baik dan tidak takut apa-apa.
7 dSuami, kamu juga hendaklah hidup bersama isterimu dengan sikap mengerti. Berilah penghormatan kepada isteri sebagai kaum yang lebih lemah dan sebagai rakan pewarismu yang sama-sama menerima kurnia Allah, iaitu kehidupan. Dengan demikian doamu kepada Allah tidak akan terhalang.
Menderita kerana berbuat baik
8 Sebagai kesimpulan, bersatu hatilah kamu semua, dan amalkan belas ihsan antara satu sama lain. Jalinkanlah kasih persaudaraan antaramu, dengan hati yang lembut dan adab sopan yang baik. 9 Jangan balas kejahatan dengan kejahatan atau celaan dengan celaan. Sebaliknya balaslah dengan memohon Allah memberkati mereka. Kamu mengetahui bahawa Allah telah memanggilmu supaya kamu mendapat berkat kelak. 10 eKerana,
“Sesiapa yang sayangkan hidup
dan inginkan panjang umur,
hendaklah menjaga lidahnya daripada kejahatan
dan bibirnya daripada kata-kata yang palsu.
11 Hendaklah dia tinggalkan kejahatan
dan lakukan kebaikan;
hendaklah dia cari
dan buru kedamaian.
12 Kerana mata Tuhan tertuju
kepada orang yang benar
dan telinga-Nya mendengar doa mereka,
tetapi wajah Tuhan menentang mereka yang berbuat jahat.”
 
13 Siapakah yang akan menyakitimu jika kamu berbuat kebaikan dengan penuh semangat? 14 f gNamun demikian, kalaupun kamu menderita kerana melakukan yang benar, kamu akan diberkati. “Jangan takut akan ugutan mereka dan janganlah bimbang.” 15 Hormatilah al-Masih sebagai Junjungan Yang Esa dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat, 16 serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu dalam al-Masih akan berasa malu. 17 Jika dikehendaki Allah kamu menderita kerana melakukan kebaikan, itu lebih baik daripada menderita kerana melakukan kejahatan. 18 Al-Masih juga telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang benar telah menderita untuk orang yang tidak benar supaya Dia dapat membawa kita kepada Allah. Dia telah dibunuh secara jasmani tetapi dihidupkan semula sebagai Roh. 19 Dalam keadaan demikian, Dia pergi menyampaikan perkhabaran kepada roh-roh yang dipenjarakan. 20 hRoh-roh itu tidak taat akan Allah yang menantikan mereka dengan sabar sepanjang masa Nabi Nuh membina bahteranya. Hanya lapan orang menaiki bahtera itu dan diselamatkan melalui air. 21 Air bah itu melambangkan pengimadan yang sekarang menyelamatkan kita, pengimadan – bukan pembersihan kotoran badan tetapi sambutan hati nurani yang bersih terhadap Allah – melalui pembangkitan Isa al-Masih daripada kematian. 22 Dia telah pergi ke syurga dan sekarang berada di kanan Allah. Para malaikat, penguasa dan pemerintah telah diletakkan di bawah-Nya.
 
 
 
 
 
 
4
Hidup demi Allah
1 Oleh sebab al-Masih telah menderita secara jasmani untuk kita, teguhkanlah dirimu untuk menghadapi penderitaan demikian. Dia yang telah menderita secara jasmani itu telah mengatasi dosa. 2 Dia tidak meneruskan hidupnya secara jasmani untuk memuaskan nafsu insani tetapi untuk melakukan kehendak Allah. 3 Sudah cukuplah waktu hidup silam yang kita habiskan dengan melakukan kehendak orang yang tidak mengenal Allah – hidup cabul, memuaskan nafsu, mabuk-mabuk bersuka ria, minum arak di majlis, dan melakukan kerja terkutuk menyembah berhala. 4 Dalam hal ini, mereka hairan kerana kamu tidak lagi menyertai mereka dalam kancah maksiat itu, lalu mereka mencela kamu. 5 Mereka kelak harus mempertanggungjawabkan perbuatan mereka kepada Allah yang sedia menghakimi orang hidup dan orang mati. 6 Itulah sebabnya Injil juga disampaikan kepada orang yang telah mati, supaya mereka yang dihakimi sebagai manusia secara jasmani, dapat hidup secara rohani menurut kehendak Allah.
7 Sudah hampir waktunya bagi segala-galanya berakhir. Oleh itu, berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan berjaga-jaga. 8 aPaling utama, kasihilah satu sama lain kerana kasih akan menutup banyak dosa. 9 Raikan satu sama lain tanpa bersungut. 10 Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. Sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, gunakanlah kurnia itu untuk kebaikan semua. 11 Jika sesiapa menyampaikan perkhabaran, sampaikanlah firman daripada Allah. Jika sesiapa memberi pertolongan, berilah dengan keupayaan yang dibekalkan oleh Allah. Dengan demikian, dalam semua hal Allah akan dimuliakan melalui Isa al-Masih yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
Menderita kerana menjadi pengikut al-Masih
12 Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah hairan bahawa kamu diuji dengan penderitaan yang berat, jangan anggap perkara itu luar biasa. 13 Sebaliknya, bergembiralah bahawa kamu turut mengalami penderitaan al-Masih. Dengan demikian, apabila kemuliaan-Nya ternyata, kamu juga dapat berasa sukacita yang tidak terhingga. 14 Sekiranya kamu dicela kerana menjadi pengikut dan mengambil nama al-Masih, diberkatilah kamu kerana Roh yang mulia iaitu Roh Allah ada bersamamu. 15 Namun demikian, janganlah seorang pun antara kamu menderita kerana kesalahan membunuh, mencuri, berbuat jahat atau mencampuri hal orang. 16 Tetapi jika sesiapa menderita sebagai seorang Masihi, janganlah berasa malu, malah muliakanlah Allah kerananya. 17 Sudah tiba masanya penghakiman dimulai, dan pertama-tama dihakimi ialah umat Allah sendiri. Jika penghakiman itu dimulai dengan kita, bagaimanakah kesudahannya orang yang tidak mentaati Injil daripada Allah? 18 bDan,
 
“Jika orang benar pun sukar diselamatkan,
apa jadinya orang yang ingkar dan yang berdosa?”
 
19 Oleh itu, mereka yang menderita menurut kehendak Allah hendaklah berbuat baik sambil berserah kepada Allah, Al-Khalik yang setia.
 
 
 
 
 
 
5
Jemaah umat Allah
1 Kepada tua-tua jemaah dalam kalanganmu, kutujukan pesanan ini. Aku, sebagai seorang tua-tua juga yang telah menyaksikan penderitaan al-Masih dan yang akan turut dimuliakan apabila kemuliaan-Nya ternyata, menyerumu: 2 aJagalah jemaah Allah sekitarmu seperti gembala menjaga kawanan domba. Awasi mereka – bukan secara terpaksa tetapi dengan rela; bukan untuk mendapat keuntungan yang tidak wajar, tetapi dengan sepenuh hati; 3 bukan sebagai tuan bagi mereka yang diamanahkan kepadamu, tetapi sebagai teladan untuk mereka. 4 Apabila Gembala Agung datang kelak, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang kekal.
5 bDemikian juga kamu, orang muda, tunduklah kepada orang tua yang memimpinmu. Ya, kamu semua hendaklah saling menghormati dan merendah diri, kerana,
 
“Allah menentang orang yang angkuh,
tetapi memberikan rahmat kepada orang yang rendah hati.”
 
6 cOleh itu, rendahkan dirimu di bawah kuasa Allah, supaya kamu ditinggikan-Nya pada waktu yang telah ditetapkan. 7 Serahkan segala kerunsinganmu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentangmu.
8 Kawallah dirimu dan berwaspadalah, kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa. 9 Lawanlah Iblis dengan iman yang teguh. Kamu tahu bahawa penderitaan yang sama sedang ditanggung oleh saudara-saudara seimanmu serata dunia.
10 Tetapi setelah kamu menderita beberapa waktu, Allah, sumber segala rahmat, yang telah memanggil kamu dalam al-Masih untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, akan menyempurnakan, menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan kamu. 11 Bagi Allah segala kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
Salam akhir
12 dAku menulis surat ringkas ini kepadamu dengan pertolongan Silwanus, yang kuanggap saudara kita yang setia. Tujuanku ialah menasihatimu dan memberi ringkasan kesaksianku bahawa inilah rahmat sejati daripada Allah untukmu. Berdiri teguhlah di dalamnya.
13 eJemaah di Babel, yang sepertimu juga dipilih Allah, berkirim salam kepadamu, begitu juga anakku Markus. 14 Bersalamanlah dengan ciuman kasih sayang.
Selamat sejahtera kepada kamu semua yang ada dalam al-Masih.