1 Timotius
1 Daripada Paulus, rasul Isa al-Masih, dengan perintah Allah, Penyelamat kita, dan Isa al-Masih, harapan kita,
2 akepada Timotius, anak sejatiku dalam iman:
Semoga Allah, Bapa kita, dan Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, memberimu rahmat, belas kasihan dan kesejahteraan.
Peringatan terhadap guru sesat
3 Sebagaimana telah kutegaskan kepadamu ketika aku bertolak ke Makedonia, supaya kamu tinggal di Efesus untuk memerintahkan beberapa orang berhenti daripada menyebarkan ajaran sesat,
4 mendengar cerita dongeng dan salasilah yang panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak membawa ke rancangan Allah, yang berasaskan iman.
5 Tujuan perintah ini ialah kasih yang datang daripada hati yang suci, hati nurani yang bersih dan iman yang ikhlas.
6 Sesetengah mereka telah menyimpang daripadanya dan berpaling kepada perbincangan yang sia-sia.
7 Mereka hendak menjadi guru hukum Taurat, iaitu hukum yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat, tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan mereka dan hal-hal yang ditegaskan mereka dengan begitu yakin.
8 Tetapi kita tahu bahawa hukum Taurat adalah baik jika digunakan dengan betul.
9 Kita tahu bahawa hukum diadakan bukan untuk orang yang benar, tetapi untuk orang yang hidup berleluasa dan ingkar, untuk orang yang tidak taat akan Allah dan yang berbuat dosa, untuk orang yang tidak salih dan yang mengutamakan dunia, untuk pembunuh ibu bapa sendiri, serta untuk semua pembunuh.
10 Selain itu juga untuk pencabul, untuk pemburit, untuk penculik, untuk pendusta, untuk saksi palsu, dan untuk orang yang melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan ajaran benar yang
11 berasaskan Injil mulia Allah Yang Terpuji. Injil inilah yang diamanahkan kepadaku untuk disampaikan.
Rahmat Allah terhadap Paulus
12 Aku bersyukur kepada Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, yang telah menguatkanku, kerana Dia menganggapku setia, lalu memberiku tugas itu,
13 bwalaupun dahulu aku seorang yang kufur, menganiaya dan ganas. Namun demikian, aku dikasihani-Nya kerana aku telah melakukan semuanya itu ketika aku jahil dan tidak beriman.
14 Tuhan kita melimpahkan rahmat-Nya kepadaku, dengan iman dan kasih dalam Isa al-Masih.
15 Pernyataan ini benar dan harus diterima sepenuhnya: Isa al-Masih datang ke dunia untuk menyelamatkan orang yang berdosa – akulah orang yang paling berdosa.
16 Namun demikian, justeru itulah aku dikasihani, supaya Isa al-Masih dapat menunjukkan kesabaran-Nya yang tidak terhingga, sebagai contoh kepada orang yang akan beriman kepada-Nya untuk hidup kekal.
17 Penghormatan dan kemuliaan selama-lamanya kepada Raja segala zaman, yang baqa, yang tidak dapat dilihat, iaitu Allah Yang Esa. Amin.
18 Perintah ini kuamanahkan kepadamu, anakku Timotius, menurut apa yang telah dinubuatkan tentangmu, supaya dengan mematuhinya, kamu akan perjuangkan perjuangan mulia ini,
19 sambil berpegang kepada iman dan hati nurani yang bersih. Ada yang membelakanginya lalu memusnahkan iman mereka.
20 Antaranya ialah Himeneus dan Iskandar, yang kuserahkan kepada Iblis supaya mereka insaf daripada mengkufuri Allah.
Doa jemaah
1 Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dinaikkan untuk semua manusia –
2 untuk raja-raja dan semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat.
3 Inilah yang baik dan diredai oleh Allah Penyelamat kita
4 yang berkehendakkan semua manusia diselamatkan dan mengetahui apa yang benar.
5 Hanya ada satu Tuhan dan hanya ada satu Pengantara antara Allah dengan manusia iaitu seorang insan Isa al-Masih.
6 Dia telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa seluruh umat manusia, dan hal ini akan dipersaksikan pada masanya.
7 aItulah sebabnya aku dijadikan pemberita Injil dan rasul – aku berkata benar, aku tidak berdusta – dan sebagai pengajar kepada bangsa asing dalam iman dan kebenaran.
8 Oleh itu, aku menyeru kaum lelaki di mana-mana sahaja supaya berdoa serta menadahkan tangan yang suci, tanpa kemarahan atau perselisihan.
9 bAku juga menyeru kaum perempuan supaya berpakaian serta menghias diri dengan sopan santun dan sederhana. Jangan berhias dengan jalinan rambut yang berlebihan atau dengan emas ataupun mutiara mahupun pakaian yang mahal-mahal.
10 Hiasi diri dengan perbuatan baik, yang sepatutnya bagi perempuan yang mengaku kesalihannya.
11 Perempuan hendaklah belajar dengan senyap dan rendah hati.
12 Aku tidak membenarkan perempuan mengajar atau memerintah lelaki; dia harus berdiam diri
13 ckerana Nabi Adam telah dicipta dahulu, kemudian barulah Hawa.
14 dDan bukan Adam yang terperdaya, tetapi perempuan itu yang terperdaya, lalu melakukan dosa.
15 Walaupun demikian, perempuan akan diselamatkan dengan melahirkan anak jika mereka tetap dalam iman, kasih, dan kesucian dengan penguasaan diri.
Syarat-syarat bagi penyelia jemaah
1 Kata-kata ini benar: Jika seseorang ingin menjadi penyelia jemaah, maka dia ingin akan pekerjaan yang baik.
2 aSeorang penyelia jemaah haruslah tidak bercela. Dia harus beristeri seorang sahaja, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dihormati, meraikan tetamu dengan tangan terbuka, dan berkebolehan mengajar.
3 Dia seharusnya bukan pemabuk, tidak melakukan kekerasan, lemah lembut, bukan kaki gaduh, dan tidak tamak akan wang.
4 Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya supaya bersikap taat dan hormat.
5 (Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia hendak mengurus jemaah Allah?)
6 Dia seharusnya bukan seorang yang baru beriman, takut kalau-kalau dia menjadi sombong dan dikutuk seperti Iblis dahulu.
7 Dia mestilah mempunyai nama yang baik dan dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dicela dan terjerumus ke dalam perangkap Iblis.
8 Penolong jemaah juga haruslah orang yang dihormati, bukan orang yang lidah bercabang, pemabuk atau mengejar keuntungan secara haram.
9 Mereka hendaklah berpegang teguh pada rahsia iman dengan hati nurani yang suci.
10 Tetapi mereka harus diuji terlebih dahulu dan jika didapati mereka tidak bercela, barulah dijadikan penolong jemaah.
11 Begitu juga isteri mereka, mestilah orang yang dihormati, tidak memfitnah orang, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dan jujur dalam semua hal.
12 Setiap penolong jemaah haruslah orang yang hanya beristeri satu dan mendidik anak-anak serta mengurus rumah tangga dengan baik.
13 Penolong jemaah yang telah menjalankan tugas dengan baik akan dihormati dan menjadi amat yakin dalam iman dalam Isa al-Masih.
14 Aku menuliskan hal-hal ini kepadamu, sungguhpun aku berharap akan dapat mengunjungimu tidak lama lagi.
15 Namun demikian, kalau-kalau aku tidak dapat datang dengan cepat, aku menuliskannya supaya engkau tahu bagaimana seharusnya berkelakuan dalam keluarga Allah, iaitu jemaah Allah, Tuhan yang hidup, tiang dan asas kebenaran.
16 Tidak dapat dinafikan betapa mulianya rahsia iman:
Dia telah menampakkan diri sebagai manusia,
dinyatakan benar oleh Roh Allah,
dilihat oleh para malaikat,
dikhabarkan kepada bangsa-bangsa,
dipercayai di seluruh dunia,
dinaikkan dengan kemuliaan.
Arahan Paulus untuk Timotius
1 Roh Allah menyatakan dengan jelas bahawa pada akhir zaman sesetengah orang akan berpaling daripada iman, mengikut roh-roh yang memperdayakan dan ajaran roh-roh iblis.
2 Ajaran ini disampaikan oleh pendusta yang munafik yang hati nuraninya bagaikan diselar besi panas.
3 Mereka melarang orang berkahwin dan menegah orang memakan makanan yang telah dijadikan Allah untuk diterima dengan syukur oleh orang yang beriman dan mengetahui ajaran yang benar.
4 Setiap ciptaan Allah itu baik, dan tiada suatu apa pun yang harus ditolak, asalkan diterima dengan syukur,
5 kerana segalanya telah disucikan dengan firman Allah dan doa.
6 Jika engkau mengajarkan hal-hal ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Isa al-Masih yang baik, yang dipupuk dengan kata-kata iman dan ajaran baik yang telah kauikut dengan teliti.
7 Jauhilah cerita-cerita yang bercorak duniawi dan karut, serta latihlah diri menjadi orang yang salih.
8 Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi kesalihan berfaedah dalam segala hal, kerana memuat janji baik bagi kehidupan sekarang ataupun kehidupan akan datang.
9 Kata-kata ini benar dan harus diterima sepenuhnya.
10 Kita bekerja keras dan berjuang, kerana kita yakin kepada Allah, Tuhan yang hidup, Penyelamat semua manusia, terutamanya mereka yang beriman.
11 Perintahkan dan ajarkanlah semua ini.
12 Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian.
13 Hingga aku datang nanti, tumpukan perhatian kepada membaca Kitab Suci di khalayak ramai, menyampaikan firman dan mengajar orang.
14 Jangan lalai dalam menggunakan kurnia yang diberikan kepadamu melalui nubuat ketika sekumpulan tua-tua jemaah meletakkan tangan ke atasmu.
15 Lakukanlah hal-hal ini dengan rajin. Curahkan seluruh keupayaan dirimu kepadanya, supaya kemajuanmu jelas di mata semua orang.
16 Berhematlah tentang dirimu dan ajaranmu. Lakukan terus-menerus, kerana dengan demikian engkau akan menyelamatkan dirimu dan mereka yang mendengar kata-katamu.
Petunjuk dan nasihat
1 Jangan marahi orang yang lebih tua daripadamu, tetapi nasihati dia seolah-olah dia bapamu. Nasihati lelaki yang lebih muda daripadamu seperti saudara lelakimu,
2 perempuan yang lebih tua seperti ibumu, perempuan yang lebih muda seperti adik perempuanmu, dengan hati yang suci.
3 Hormati balu yang benar-benar hidup sebagai balu.
4 Tetapi jika seorang balu mempunyai anak cucu, mereka harus terlebih dahulu mengamalkan kesalihan di rumah dan membalas budi orang tua mereka, kerana ini baik dan diredai Allah.
5 Seorang balu yang benar-benar hidup sendirian tanpa tempat bergantung hanya berharap kepada Allah dan berdoa siang malam.
6 Sebaliknya, seorang balu yang hidup berpelesiran sudah pun mati walaupun masih hidup.
7 Suruhlah mereka taati segala ini supaya mereka tidak bercela.
8 Sekiranya seseorang tidak menjaga sanak saudaranya, apatah lagi seisi rumahnya sendiri, maka dia menyangkal iman dan lebih buruk daripada orang yang tidak beriman.
9 Jangan masukkan ke dalam golongan balu mereka yang berusia di bawah enam puluh tahun. Seseorang boleh digolongkan sebagai balu jika dia bersuami cuma sekali,
10 dan terkenal berbuat baik, seperti mengasuh anak-anak, menumpangkan orang luar di rumahnya, melayani orang salih dengan hormat, membantu orang dalam kesusahan, serta sentiasa membuat kebajikan.
11 Jangan masukkan balu muda ke dalam golongan ini kerana apabila nafsu mengatasi tumpuan mereka kepada al-Masih, mereka hendak berkahwin lagi
12 dan dengan demikian dicela kerana mereka telah melanggar ikrar mereka yang pertama.
13 Tambahan pula mereka belajar membuang masa merayau dari rumah ke rumah. Bukan itu sahaja, mereka mengumpat dan menjaga tepi kain orang, mengatakan apa yang tidak patut disebutkan.
14 Oleh yang demikian aku mahu balu muda berkahwin lagi, mendapat anak dan mengurus rumah tangga, supaya musuh tidak dapat memburukkan nama kita;
15 kerana ada yang telah berpaling menurut Iblis.
16 Sekiranya seseorang perempuan yang beriman mempunyai ahli keluarga yang kematian suami, dia harus menjaga mereka dan tidak membebani jemaah dengan tanggungjawab itu. Dengan demikian jemaah dapat membantu balu yang tidak ada tempat untuk bergantung.
17 Tua-tua yang melaksanakan kewajipannya dengan sempurna layak menerima penghormatan tinggi, terutamanya yang giat menyampaikan firman dan ajaran.
18 aSebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Jangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik bijian,” dan “Orang yang bekerja layak menerima upah.”
19 bJangan percaya tuduhan terhadap seorang tua-tua jemaah melainkan diperkukuh oleh dua tiga orang saksi.
20 Apabila orang berbuat dosa, tegurlah mereka di hadapan jemaah supaya yang lain gentar melakukan perbuatan demikian.
21 Di hadirat Allah dan Isa al-Masih serta malaikat-malaikat yang terpilih, aku mengarahkanmu mematuhi perintah-perintah ini tanpa prasangka atau pilih kasih.
22 Jangan terburu-buru meletakkan tangan ke atas seseorang dan jangan turut serta membuat dosa dengan orang. Jaga kesucianmu.
23 Jangan minum air sahaja, minumlah sedikit air anggur demi perutmu dan badanmu yang kerap sakit.
24 Dosa sesetengah orang ketara lalu dihakimi, manakala dosa sesetengahnya akan ternyata kemudian.
25 Demikian juga, sesetengah perbuatan baik terserlah di mata orang, namun yang tidak kelihatan pun tidaklah tersembunyi.
1 Semua orang yang diperhamba sebagai abdi harus menganggap tuan mereka wajar mendapat segala penghormatan supaya orang tidak dapat mencela nama Allah dan ajaran kita.
2 Apabila tuan mereka seorang beriman, mereka tidak harus memandang ringan kepadanya malah harus melayannya dengan lebih baik lagi, kerana yang mendapat manfaat layanan mereka itu saudara seiman yang dikasihi. Hal-hal ini harus kamu ajarkan dan sampaikan sebagai nasihat.
Tamak akan wang
3 Jika sesiapa mengajarkan sesuatu yang berlainan dan tidak menerima kata-kata yang benar iaitu kata-kata Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, dan ajaran yang selaras dengan kesalihan;
4 dia bersifat angkuh dan jahil, asyik bertikai dan berbahas tentang kata-kata, sehingga menimbulkan iri hati, perkelahian, pencacian, syak wasangka yang buruk,
5 pertengkaran sia-sia orang yang berfikiran keji dan tidak mengenal kebenaran. Sangkanya kesalihan itu satu cara mendapat keuntungan.
6 Kesalihan yang disertai dengan rasa puas membawa keuntungan besar.
7 Kita tidak membawa apa-apa ke dalam dunia ini, dan pasti sekali kita tidak dapat membawa apa-apa apabila kita meninggalkannya.
8 Oleh itu, jika kita ada pakaian dan makanan, kita harus berasa puas.
9 Orang yang mahu kaya tergoda dan terperangkap oleh pelbagai keinginan yang sia-sia dan berbahaya, yang menjerumuskannya ke dalam kerosakan dan kemusnahan.
10 Cinta akan wang punca segala kejahatan. Sesetengah orang memburu wang dengan begitu tamaknya sampaikan tersesat daripada iman dan akhirnya menanggung berbagai-bagai kesengsaraan jiwa.
Perintah Paulus untuk Timotius
11 Tetapi kamu, wahai hamba Allah, jauhilah segala ini. Amalkanlah perbenaran,* kesalihan, iman, kasih, kesabaran dan sikap lemah lembut.
12 Berjuanglah dalam perjuangan iman yang benar. Berpegang teguhlah kepada hidup kekal; kepada hidup itulah kamu telah dipanggil ketika kamu membuat pengakuan yang benar di hadapan saksi yang ramai.
13 aDi hadirat Allah yang memberi nyawa kepada segala sesuatu, dan di hadapan Isa al-Masih yang memberikan kesaksian akan pengakuan yang benar kepada Pontius Pilatus, aku berpesan kepadamu,
14 taatilah perintah ini dengan sempurna tanpa cela hingga hari Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, datang kembali,
15 yang akan ditunjukkan Tuhan pada masa yang ditentukan oleh-Nya sendiri. Dia Pemerintah Yang Terpuji dan Yang Esa, iaitu Raja segala raja dan Junjungan segala junjungan.
16 Hanya Dia yang hidup selama-lamanya, wujud dalam cahaya yang tidak dapat didekati, tidak pernah dan tidak dapat dilihat manusia. Bagi-Nya penghormatan dan kuasa selama-lamanya. Amin.
17 Perintahkan orang yang kaya pada masa ini supaya jangan angkuh, jangan berharapkan kekayaan yang sebenarnya tidak kekal, tetapi bergantunglah kepada Allah, yang melimpahkan segala sesuatu kepada kita untuk dinikmati.
18 Hendaklah mereka berbuat baik, supaya mereka kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, rela berkongsi.
19 Dengan demikian mereka meletakkan asas yang teguh bagi diri mereka untuk hari kemudian supaya mereka dapat hidup kekal kelak.
20 Wahai Timotius, jagalah apa yang telah diamanahkan kepadamu. Jauhi bebelan dan pertengkaran yang bercorak duniawi serta sia-sia, kononnya atas nama ilmu pengetahuan;
21 dengan menyuarakannya sesetengah orang telah sesat dalam hal iman.
Semoga rahmat Allah menyertai kamu semua.