2 Korintus
1
Pendahuluan
1 aDaripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai rasul Isa al-Masih, dan daripada saudara kita, Timotius,
kepada jemaah di Korintus dan kepada semua orang salih yang tinggal di Akhaya:
 
2 Semoga Allah, Bapa kita, dan Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, memberimu rahmat dan damai sejahtera.
Allah sumber segala penghiburan
3 Segala puji bagi Allah, Bapa Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, Bapa Yang Maha Pemurah dan Allah sumber segala penghiburan. 4 Dia menghibur kami dalam pelbagai kesusahan, supaya kami pula dapat menghibur orang yang mengalami kesusahan dengan penghiburan yang kami terima sendiri daripada Allah. 5 Sebagaimana banyaknya penderitaan al-Masih yang telah kami alami, begitulah banyaknya penghiburan yang kami terima daripada-Nya. 6 Jika kami menanggung kesusahan, itu adalah untuk menghibur kamu dan untuk penyelamatanmu. Jika kami dihibur, itu akan menghibur kamu juga, supaya kamu tetap tabah menanggung penderitaan yang telah kami alami juga. 7 Kami tetap menaruh harapan tentang kamu, kerana kami tahu, jika kamu mengalami penderitaan seperti yang kami alami, maka kamu juga akan menerima penghiburan seperti yang kami terima.
8 bKami juga hendak memberitahumu, saudara-saudara, tentang kesusahan yang telah menimpa kami di Asia Kecil. Beban kami sungguh berat, lebih daripada yang terdaya kami tanggung, sehingga kami putus asa untuk terus hidup. 9 Kami berasa bagaikan telah dijatuhi hukum mati. Namun demikian, itu telah berlaku supaya kami tidak lagi berharap kepada diri sendiri tetapi kepada Allah yang menghidupkan semula orang mati. 10 Dialah yang telah melepaskan kami daripada bahaya yang amat dahsyat, dan Dialah yang akan melepaskan kami. Kami menaruh harapan kepada-Nya, bahawa Dia akan melepaskan kami. 11 Kamu juga harus menolong kami dengan doa, sehingga ramai orang bersyukur kepada Allah atas kurnia yang diberikan kepada kami kerana doa ramai orang.
Perubahan rancangan Paulus
12 Inilah kebanggaan kami, dan hati nurani kami bersaksi demikian, iaitu dalam kalangan semua orang, terutamanya dalam kalanganmu, kami hidup di dunia dengan kesucian dan keikhlasan yang datang daripada Allah. Kami melakukan ini bukan dengan kebijaksanaan kami sebagai manusia, tetapi dengan rahmat Allah. 13 Segala yang kami tuliskan kepadamu dalam surat ini tidak mengandungi erti yang lain daripada yang kamu baca dan fahami. 14 Aku berharap bahawa walaupun kamu baru memahami sebahagian tentang diri kami, kamu akan memahami kami sepenuhnya nanti, dan kamu akan berbangga dengan kami sebagaimana kami berbangga dengan kamu pada hari kedatangan Isa, Junjungan kita Yang Ilahi.
15 Oleh sebab keyakinan itulah maka aku pernah berniat ke tempatmu lebih dahulu, supaya kamu mendapat berkat dua kali. 16 cNiatku dahulu ialah singgah di tempatmu dalam perjalanan ke Makedonia, dan dari Makedonia datang ke tempatmu lagi untuk meminta kamu menolongku meneruskan perjalanan ke Yudea. 17 Jika aku merancang begitu, adakah ini menunjukkan aku tidak berpendirian tetap? Atau adakah aku merancang seperti orang duniawi, demikian mudah berkata “ya” dan “tidak” pada saat yang sama?
18 Demi Allah Yang Maha Setia, apa yang kami katakan kepadamu bukanlah “ya” atau “tidak.” 19 dSebabnya Isa al-Masih, Putera Allah yang telah disampaikan berita-Nya kepadamu oleh aku, Silwanus dan Timotius, bukanlah “ya” dan “tidak,” tetapi pada-Nya ada “ya” semata-mata. 20 Isa adalah “ya” bagi semua janji Allah. Oleh itulah melalui-Nya kita menyebut “Amin” demi kemuliaan Allah. 21 Allah telah menentukan kami bersama kamu dalam al-Masih. Dia telah melantik kita, 22 menandakan kita dengan materai-Nya, dan mengurniakan Roh-Nya untuk masuk ke hati kita sebagai jaminan.
23 Aku berseru kepada Allah untuk menjadi saksi terhadap jiwaku, bahawa sebabnya aku belum juga ke Korintus ialah kerana kasihku kepadamu. 24 Kami bukanlah berhasrat memberikan perintah tentang apa yang harus kamu percayai; kamu sudah berdiri teguh dalam keyakinanmu. Kami mahu bekerja bersama kamu demi kebahagiaanmu.
 
 
 
 
 
 
2
1 Aku telah membuat keputusan sendiri, bahawa aku tidak akan datang lagi ke tempatmu dalam kesedihan; 2 kerana jika aku mendatangkan kesedihan kepadamu, siapa lagi yang dapat memberikan kegembiraan kepadaku selain kamu yang telah kusedihkan? 3 Oleh itulah aku menuliskannya dalam suratku, supaya jangan nanti aku bersedih kerana mereka yang sepatutnya memberikan kegembiraan kepadaku. Aku percaya bahawa jika aku gembira, kamu akan turut gembira. 4 Aku menulis kepadamu dengan air mata bercucuran kerana hatiku sungguh sedih dan cemas. Aku bukanlah berniat hendak menyedihkan kamu, tetapi aku mahu kamu tahu bahawa aku amat mengasihimu.
Mengampuni orang bersalah
5 Jika seseorang telah mendatangkan kesedihan maka bukan aku yang ditimpa kesedihan itu, tetapi kamu semua, atau sekurang-kurangnya – supaya aku tidak terlalu keras – sebilangan daripadamu. 6 Bagi orang itu, hukuman yang dijatuhkan oleh sebilangan besar sudah cukup. 7 Oleh itu, baiklah kamu mengampuni dan menghiburnya, supaya dia tidak ditenggelami kesedihan. 8 Dengan demikian, aku meminta kamu menunjukkan bahawa kamu benar-benar mengasihinya. 9 Aku menuliskan hal ini untuk mendapat bukti sama ada kamu mahu menurut petunjukku dalam semua perkara. 10 Siapa sahaja yang telah kamu ampuni, aku pun telah mengampuninya. Kesalahan apa pun yang kuampunkan – jika memang ada yang harus kuampunkan – kuampunkan di hadapan al-Masih untukmu 11 supaya Iblis tidak mendapat keuntungan, kerana kita mengetahui tujuan-tujuannya.
Kebimbangan Paulus di Troas
12 aApabila aku pergi ke Troas untuk menyebarkan Injil al-Masih, ternyata Tuhan telah membukakan pintu untukku. 13 Namun demikian, hatiku tidak tenang juga kerana aku tidak menjumpai saudaraku Titus. Oleh itulah aku meminta diri kepada mereka lalu pergi ke Makedonia.
14 Tetapi syukur kepada Allah yang sentiasa memimpin kami ke arah kemenangan dalam al-Masih, dan melalui kami menyebarkan keharuman pengenalan-Nya di merata-rata; 15 kerana kepada Allah kami adalah keharuman al-Masih dalam kalangan mereka yang berada di jalan keselamatan dan mereka yang berada di jalan kebinasaan. 16 Bagi yang berada di jalan kebinasaan, kami seperti bau daripada maut yang membawa maut, manakala bagi yang berada di jalan keselamatan, kami seperti bau daripada hidup yang membawa hidup. Siapakah yang sanggup melaksanakan tugas sedemikian? 17 Kami tidak seperti sebilangan besar orang yang mencari keuntungan daripada firman Allah; sebaliknya, kami berhati ikhlas. Sebagai utusan Allah, kami berkata-kata atas nama al-Masih dengan penuh tanggungjawab di hadapan Allah.
 
 
 
 
 
 
3
1 Adakah kami memuji diri? Atau perlukah kami menunjukkan surat pujian kepadamu atau yang datang daripadamu, seperti dilakukan oleh sebilangan orang? 2 Kamulah surat pujian kami, yang tersurat dalam hati kami, dan yang dapat diketahui serta dibaca oleh semua orang. 3 aKamu adalah surat kiriman al-Masih yang kami hantarkan. Surat itu ditulis bukan dengan dakwat, tetapi dengan Roh Allah yang hidup; bukan pada loh batu tetapi pada loh daging iaitu hati manusia.
4 Demikianlah keyakinan kami kepada Allah melalui al-Masih. 5 Kami tidak menganggap kesanggupan kami bekerja datang daripada diri kami sendiri. Kesanggupan itu datang daripada Allah. 6 bDialah yang telah menjadikan kami sanggup mengabdi diri kepada umat perjanjian baru yang tidak lagi berasaskan hukum-hukum bertulis tetapi berasaskan Roh; kerana hukum-hukum yang tertulis itu membawa kematian sedangkan Roh membawa kehidupan.
Kemuliaan perjanjian baru
7 cJika perjanjian yang membawa kepada kematian, iaitu yang terukir hurufnya pada loh-loh batu, diturunkan dari kemuliaan wajah Nabi Musa sehingga bangsa Israel tidak dapat memandang wajahnya, walaupun ketika itu sinarnya sudah mulai malap; 8 maka tentulah perjanjian yang datang daripada Roh lebih besar lagi kemuliaannya. 9 Jika perjanjian yang membawa manusia kepada penghakiman begitu mulianya, maka perjanjian yang membawa manusia kepada perbenaran tentulah jauh lebih mulia lagi! 10 Sesuatu yang dahulu dipandang mulia tidak mulia lagi berbanding sesuatu yang jauh lebih mulia. 11 Jika sesuatu yang sementara telah diturunkan dengan kemuliaan, maka sesuatu yang kekal haruslah diturunkan dengan kemuliaan yang lebih besar.
12 Oleh sebab kami menaruh harapan demikian, maka kami lebih berani, 13 dberbeza dengan Musa yang menutup wajahnya dengan selubung supaya bangsa Israel tidak dapat memandang kemuliaan yang beransur malap. 14 Fikiran mereka menjadi tumpul, kerana hingga hari ini, apabila mereka membaca Kitab-kitab Suci yang mengandungi perjanjian lama, selubung itu masih tetap menghalang pandangan mereka. Selubung tidak akan terbuka kecuali dalam al-Masih. 15 Malah hingga sekarang, ketika mereka membaca Kitab Suci yang disampaikan melalui Musa, selubung itu masih menutupi hati mereka. 16 eApabila hati mereka kembali kepada Tuhan, selubung itu akan disingkapkan. 17 Tuhan ialah Roh; dan di mana ada Roh Tuhan, di situlah ada kebebasan. 18 Kita semua melihat kemuliaan Tuhan tercermin dengan wajah yang tidak berselubung, dan kita diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan.
 
 
 
 
 
 
4
Harta rohani dalam bejana tanah
1 Oleh itu, dengan belas kasihan Allah, kami mempunyai amanah pelayanan ini. Maka kami tidak tawar hati. 2 Kami menolak semua perbuatan rahsia yang memalukan. Kami juga tidak melakukan tipu daya atau menyalahertikan firman Allah. Akan tetapi dengan menyatakan kebenaran, kami menyerahkan diri untuk dinilai oleh hati nurani semua orang di hadapan Allah. 3 Namun demikian, sekiranya Injil yang kami sampaikan itu tetap terselubung juga, maka memanglah Injil itu terselubung bagi mereka yang akan binasa. 4 Fikiran orang yang tidak beriman itu telah dibutakan oleh tuhan pujaan dunia, maka mereka tidak dapat melihat cahaya Injil tentang kemuliaan al-Masih, wujud Allah yang nyata. 5 Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami, tetapi tentang Isa al-Masih sebagai Junjungan Yang Esa. Diri kami mengabdi kepadamu sebagai hamba kerana Isa. 6 aAllah telah berfirman, “Hendaklah cahaya bersinar dari dalam gelap”. Allah juga yang telah membuat cahaya itu bersinar dalam hati kita, sehingga kita mendapat pengetahuan tentang kemuliaan Allah di wajah Isa al-Masih.
7 Tetapi kami memiliki harta yang ada dalam bejana tanah liat supaya jelaslah bahawa kuasa yang melebihi segala-galanya berasal daripada Allah, bukan daripada diri sendiri. 8 Dalam segala hal kami dihimpit, tetapi tidak hancur. Kami bingung, tetapi tidak putus asa. 9 Kami dianiaya, tetapi tidak ditinggalkan. Kami dijatuhkan, tetapi tidak dimusnahkan. 10 Ke mana-mana pun kami pergi, kami sentiasa membawa kematian Isa dalam tubuh kami, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami. 11 Kami yang masih hidup ini sentiasa diserahkan ke tangan maut demi Isa, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami yang fana. 12 Oleh itu, maut bekerja dalam diri kami, sebaliknya hidup bekerja dalam dirimu.
13 bNamun demikian, oleh sebab kami mempunyai roh iman seperti yang tersurat, “Aku percaya, maka aku bersuara”, kami pun berkata, “Kami percaya, maka kami bersuara.” 14 Kami tahu bahawa Dia yang telah membangkitkan Isa, Junjungan Yang Ilahi, akan membangkitkan kami juga bersama Isa, lalu menghadapkan kami bersama kamu kepada-Nya. 15 Semuanya berlaku untukmu; dengan melimpahnya rahmat kepada orang yang kian ramai, melimpah pulalah ucap syukur bagi kemuliaan Allah.
16 Dengan demikian, kami tidak tawar hati. Walaupun manusia lahiriah kami kian merosot, namun manusia batiniah kami diperbaharu setiap hari. 17 Kesusahan yang ringan dan hanya sedetik ini membawa bagi kami kemuliaan yang kekal tanpa bandingan. 18 Kami tidak mementingkan hal-hal yang kelihatan, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan; kerana yang kelihatan itu cuma sedetik, manakala yang tidak kelihatan itu kekal.
 
 
 
 
 
 
5
Tempat tinggal di syurga
1 Kami tahu bahawa apabila khemah tempat kami tinggal di bumi ini roboh, Allah telah menyediakan tempat kediaman bagi kami di syurga, yang tidak diperbuat oleh tangan manusia, dan yang bersifat kekal. 2 Dalam khemah yang kita diami kini, kita merintih dan merindui tempat tinggal kita di syurga, yang akan kita terima. 3 Setelah kita menerimanya, kita tidaklah akan tinggal terdedah. 4 Selagi kita masih mendiami khemah yang sekarang, kita merintih kerana terbeban, kerana kita tidak mahu terdedah; kita ingin dilindungi oleh yang kekal, ingin agar yang fana digantikan dengan yang hidup. 5 Inilah yang telah disediakan Allah untuk kita; dan Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita sebagai jaminan.
6 Oleh itu, kami sentiasa yakin. Kami tahu bahawa selagi kami mendiami tubuh ini, kami masih jauh daripada Tuhan; 7 Sebabnya kami hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan. 8 Kami sentiasa yakin. Sebenarnya kami lebih suka jika dipisahkan dari tubuh ini dan tinggal bersama Tuhan. 9 Dengan demikian, baik ketika masih mendiami tubuh ini mahupun ketika dipisahkan darinya, kami berusaha supaya tetap diredai-Nya. 10 aKita semua akan dihadapkan ke pengadilan al-Masih, dan setiap orang akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan dalam hidupnya, baik ataupun jahat.
Mengusahakan pendamaian
11 Kami tahu apa yang dimaksudkan dengan takut kepada Tuhan. Oleh itu, kami berusaha meyakinkan orang. Allah mengenal kami dengan jelas, dan aku berharap dalam hati nuranimu kamu juga mengenal kami dengan jelas. 12 Kami bukanlah cuba memuji diri lagi di hadapanmu, tetapi kami memberimu alasan untuk berbangga dengan kami, supaya kamu dapat memberikan jawapan kepada mereka yang membanggakan hal-hal lahiriah dan bukan hal-hal batiniah. 13 Sekiranya kami kelihatan seperti orang yang kehilangan akal, itu adalah demi kepentingan Allah. Jika kami kelihatan seperti orang yang berakal, itu adalah demi kepentinganmu. 14 Kasih al-Masih menguasai hidup kami, dan kami yakin bahawa apabila seseorang telah mati bagi semua orang, maka semua orang itu pun telah mati. 15 Dia telah mati bagi semua orang, supaya mereka yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi untuk Dia yang telah mati dan telah dibangkitkan bagi mereka.
16 Oleh itu, dari saat itu kami tidak memandang orang berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Memang kami pernah memandang al-Masih secara lahiriah tetapi kini tidak lagi. 17 Sesiapa yang ada dalam al-Masih adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru. 18 Semuanya datang daripada Allah, yang telah mendamaikan kita dengan diri-Nya melalui al-Masih, dan mengamanahkan kepada kami tugas mulia untuk mengusahakan pelayanan pendamaian itu. 19 Dalam al-Masih, Allah telah mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka. Berita pendamaian itu telah diamanahkan-Nya kepada kami. 20 Kami ialah para duta al-Masih. Melalui kami, Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, demi al-Masih, kami meminta kepadamu: Berdamailah semula dengan Allah! 21 Allah menjadikan al-Masih yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita menjadi benar di hadapan Allah.
 
 
 
 
 
 
6
1 Sebagai rakan-rakan sekerja, kami meminta kepadamu, janganlah sia-siakan rahmat Allah yang telah kamu terima, 2 akerana demikianlah firman-Nya,
 
“Aku telah mendengar kata-katamu ketika Aku berkenan,
dan pada hari penyelamatan, Aku telah menolongmu.”
 
Sekaranglah waktunya Allah berkenan dan sekaranglah hari penyelamatan itu.
Penderitaan Paulus
3 Dalam hal apa jua, kami tidak menyebabkan orang tersandung, supaya pengabdian kami tidak dicela. 4 Sebaliknya, dalam semua hal, kami telah membuktikan bahawa kami bersikap secara yang wajar bagi hamba-hamba Allah. Kami cukup tabah menghadapi kesusahan, kesulitan dan kesempitan, 5 bsebatan, pemenjaraan, huru-hara, penat lelah, bercekang mata, dan keadaan lapar. 6 Kami hidup dalam kesucian, pengetahuan, kesabaran, baik budi, dalam Roh Allah, dan dalam kasih sejati. 7 Kami menyampaikan kebenaran, dan hidup dalam kuasa Allah. Kami bersenjatakan perbenaran, di tangan kanan dan kiri. 8 Kami dimuliakan dan dihina, dikeji dan dipuji. Kami dipanggil penipu sedangkan kami benar. 9 Kami dianggap tidak dikenali, padahal terkenal. Kami disangka sudah hampir mati, tetapi ternyata masih hidup. Kami dibelasah, namun tidak dibunuh. 10 Kami disedihkan, tetapi sentiasa gembira. Kami miskin, namun ramai yang kami perkaya. Kami tidak memiliki apa-apa, tetapi kami mempunyai segala-galanya.
11 Wahai orang Korintus! Kami telah bercakap terus terang kepadamu, hati kami terbuka luas. 12 Kamu terbatas bukanlah oleh kami tetapi oleh perasaanmu sendiri.
Jangan berpasangan dengan orang yang tidak beriman
13 Oleh itu, aku berkata seperti kepada anak-anak, bukalah hatimu supaya antara kita saling berterus terang.
14 Janganlah berpasangan dengan orang yang tidak beriman. Pasangan begitu tidak sepadan; kerana adakah persamaan antara yang benar dengan yang jahat? Dapatkah terang bersatu dengan gelap? 15 Adakah muafakat antara al-Masih dengan Belial? Adakah kesamaan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman? 16 cApakah hubungannya antara Bait Allah dengan berhala-berhala? Kita ialah Bait Allah yang hidup, seperti dalam firman-Nya,
 
“Aku akan tinggal dalam mereka dan berjalan di antara mereka.
Aku akan menjadi Tuhan mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku.”
 
17 dOleh itu,
 
“Keluarlah daripada kalangan mereka,
dan asingkanlah dirimu daripada mereka,”
demikianlah firman Tuhan.
“Jangan sentuh yang najis,
maka Aku akan menerimamu,”
18 e“Aku akan menjadi Bapamu,
dan kamu, anak-anak-Ku lelaki perempuan,”
demikianlah firman Tuhan Yang Maha Kuasa.
 
 
 
 
 
 
7
1 Oleh sebab kita telah mendapat janji-janji itu, saudara-saudara yang kukasihi, sucikanlah diri daripada segala yang menajiskan tubuh atau roh, dan sempurnakan kesucian kita dengan rasa takut kepada Allah.
Sukacita Paulus
2 Berikanlah tempat bagi kami dalam hatimu. Kami tidak pernah berbuat salah kepada sesiapa. Kami tidak pernah merosakkan iman atau memperalatkan sesiapa. 3 Aku berkata demikian bukan untuk menyalahkan kamu, kerana tadi aku menyatakan bahawa kamu telah mendapat tempat dalam hati kami, maka kita sehidup semati. 4 Aku sangat mempercayaimu dan berbangga denganmu. Aku sangat terhibur, dan dalam segala kesusahan kami, hatiku dipenuhi kegembiraan.
5 aSetelah sampai di Makedonia, ternyata kami langsung tidak mengalami ketenangan dalam batin. Kami menanggung pelbagai kesusahan: persengketaan dari luar, dan ketakutan dalam diri sendiri. 6 Tetapi Allah, yang menghibur orang yang putus asa, menghibur kami dengan kedatangan Titus. 7 Bukan kedatangannya sahaja yang menghibur, malah juga penghiburan yang didapatinya keranamu. Dia bercerita kepada kami tentang kerinduanmu, penyesalanmu, dan kesungguhan semangatmu menyokongku, yang lebih menggembirakan lagi hatiku.
8 Walaupun aku telah menyedihkanmu dengan surat yang kukirim, aku tidak menyesal. Pada suatu ketika memang aku menyesal, kerana jelas sekali surat itu telah menyedihkanmu, biarpun untuk beberapa detik. 9 Tetapi kini aku gembira, bukan kerana kamu bersedih, tetapi kerana kesedihanmu itu membawa taubat. Ertinya, memanglah kamu bersedih, tetapi hal itu selaras dengan kehendak Allah, maka kami tidaklah merugikanmu. 10 Kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah membawa taubat dan penyelamatan, maka tidak harus disesali. Sebaliknya, kesedihan dari dunia ini membawa maut. 11 Perhatikan bahawa kesedihanmu itu selaras dengan kehendak Allah. Betapa hebatnya yang dicetuskan dalam dirimu: kesungguhan, keinginan membersihkan diri daripada tuduhan, kemarahan, ketakutan, kerinduan, semangat, dan usaha menegakkan keadilan. Dari segala segi kamu telah membuktikan dirimu suci dalam hal ini. 12 Kutulis surat itu kepadamu bukan untuk orang yang melakukan kesalahan itu, dan bukan pula untuk orang yang menjadi mangsa kesalahan itu, tetapi supaya perhatian kami terhadapmu di hadapan Allah ternyata kepadamu. 13 Oleh sebab itulah kami berasa terhibur.
Tetapi selain itu, kami berasa lebih gembira lagi melihat kegembiraan Titus, kerana kamu telah menenteramkan hatinya. 14 Aku telah berbangga denganmu di hadapan Titus dan aku tidak malu berbuat demikian. Sebagaimana dalam hal-hal lain kami bercakap benar kepadamu, kata-kata bangga kami terhadapmu di hadapan Titus juga ternyata benar. 15 Kasihnya kepadamu kian mendalam apabila dia mengingati ketaatanmu, dan betapa kamu telah menyambutnya dengan takut dan gementar. 16 Aku gembira kerana aku dapat mempercayaimu dalam segala hal.
 
 
 
 
 
 
8
Kemurahan hati
1 aKami ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, tentang rahmat Allah kepada jemaah-jemaah di Makedonia. 2 Sungguhpun mereka banyak diuji dengan kesusahan, namun kegembiraan mereka melimpah. Walaupun mereka sangat miskin, mereka kaya dalam kemurahan hati. 3 Aku dapat memberikan kesaksian bahawa dengan rela hati mereka telah memberi setakat termampu, malah lebih daripada itu. 4 Mereka telah meminta bersungguh-sungguh kepada kami agar mereka diberi hak istimewa untuk menyumbang kepada keperluan orang salih. 5 Hal ini benar-benar di luar jangkaan kami. Mereka mempersembahkan diri pertama-tama kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga dengan kehendak Allah. 6 Oleh itu, kami meminta bersungguh-sungguh kepada Titus, yang telah memulakan usaha itu, supaya melanjutkan pekerjaan yang kebaikan itu dalam kalanganmu. 7 Jadi, sebagaimana kamu kaya dalam segala hal dalam iman, kata-kata, pengetahuan, kesungguhan dan dalam kasihmu kepada kami hendaklah kamu kaya juga dalam pekerjaan yang kebaikan itu.
8 Ini bukanlah satu perintah, tetapi aku menguji keikhlasan kasihmu berbanding kesungguhan orang lain. 9 Kamu tahu tentang rahmat Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi. Dia kaya, tetapi kerana kamu Dia telah menjadikan diri-Nya miskin supaya melalui kemiskinan-Nya kamu menjadi kaya.
10 Dalam hal ini, aku menasihatimu: Sudah sewajarnya kamu meneruskan apa yang kamu mulakan setahun lalu. Pada masa itu, kamulah yang mula-mula berhasrat memberi, dan kamulah yang mula-mula bertindak. 11 Sekarang, hendaklah kamu menyempurnakannya. Dahulu kamu telah membuat keputusan memberi, maka sekarang buktikanlah bahawa kamu bersedia melaksanakannya menurut kemampuanmu. 12 Jika seseorang sanggup memberi, Allah reda menerima pemberiannya menurut apa yang dia ada, bukan apa yang dia tidak ada.
13 Maksudku bukanlah supaya orang lain dimudahkan manakala kamu disusahkan, tetapi agar terdapat persamaan. 14 Kini, kelebihanmu dapat menampung kekurangan mereka. Satu hari nanti, kelebihan mereka dapat menampung kekuranganmu pula, maka terdapatlah persamaan, 15 bseperti yang telah tersurat, “Orang yang memungut banyak tidak berlebihan, dan orang yang memungut sedikit tidak kekurangan.”
Titus diutus ke Korintus
16 Segala puji dan syukur kepada Allah kerana telah meletakkan ke dalam hati Titus keprihatinan yang sama terhadapmu. 17 Titus menerima permintaan kami, malah dengan kehendaknya sendiri pergi mengunjungimu. 18 Kami mengutus seorang lagi saudara kita bagi menyertai Titus: Seorang yang terpuji dalam kalangan semua jemaah kerana pelayanannya dalam hal-hal Injil. 19 Malah dia juga telah dipilih oleh semua jemaah untuk menemani kami dalam perjalanan kami, yang bertujuan menyampaikan pemberian itu, agar Tuhan dimuliakan dan kesediaanmu menolong menjadi nyata. 20 Kami juga ingin mengelakkan daripada dicela berkaitan tindakan kami membawa pemberian yang begitu besar. 21 cKami berusaha melakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Allah tetapi juga di mata manusia.
22 Oleh yang demikian, bersama Titus dan saudara kita itu, kami mengutus seorang lagi saudara kita. Kami telah mengujinya beberapa kali dan mendapatinya amat bersungguh-sungguh. Malah sekarang dia lebih bersungguh-sungguh lagi disebabkan kepercayaan yang sangat besar kepadamu. 23 Titus ialah temanku dan rakan sekerjaku untuk kepentinganmu. Saudara-saudara kita yang lain itu adalah utusan jemaah-jemaah, dan kemuliaan al-Masih. 24 Oleh itu, tunjukkanlah kepada mereka dan di hadapan semua jemaah bukti kasihmu serta kebanggaan kami terhadapmu.
 
 
 
 
 
 
9
1 Tentang pemberian bantuan kepada orang salih, aku tidak perlu menulis kepadamu, 2 kerana aku tahu kesediaanmu. Malah aku berbangga tentangmu di hadapan orang Makedonia dengan berkata bahawa Akhaya sudah siap memberi sejak tahun lalu; semangatmu telah banyak memberikan perangsang. 3 Aku mengutus saudara-saudara kita itu supaya kebanggaan kami terhadapmu dalam hal ini tidak sia-sia. Oleh itu, kamu hendaklah benar-benar siap sedia, seperti yang telah kukatakan kepada mereka. 4 Kalau ada orang Makedonia yang datang bersama aku dan mereka mendapati kamu belum siap, maka kami (tentulah juga kamu!) akan berasa malu, kerana kami begitu yakin. 5 Dengan demikian aku telah meminta saudara-saudara kita pergi terlebih dahulu menemui kamu dan mengatur pemberian yang telah kamu janjikan itu; biar pemberian itu terkumpul dari kemurahan hatimu, bukan kerana terpaksa.
Menyemai banyak
6 Ingatlah firman ini: Orang yang menyemai sedikit akan menuai sedikit, dan orang yang menyemai banyak akan menuai banyak. 7 Masing-masing hendaklah memberi setulus hati, jangan dengan rasa enggan atau terpaksa, kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan gembira. 8 Allah berkuasa melimpahkan rahmat-Nya kepadamu, supaya kamu dapat memenuhi segala keperluanmu dan berlebihan pula untuk amal kebajikan. 9 aSebagaimana tersurat,
 
“Dia telah menaburkan kurnia-Nya di merata-rata dalam kalangan orang miskin.
Perbenarannya kekal selama-lamanya.”
 
10 bAllah telah menyediakan benih untuk disemai dan roti untuk dimakan. Semoga Allah melipatgandakan benih yang telah kamu semai dan memperbanyak buah hasil perbenaranmu, 11 serta memperkaya kamu dalam segala hal, sehingga kamu dapat terus-menerus bermurah hati. Pemberianmu yang disampaikan melalui kami akan menimbulkan rasa syukur kepada Allah.
12 Kerana pekerjaan mulia yang sedang kita usahakan ini bukan sahaja akan menampung kekurangan orang salih, tetapi juga menyebabkan ramai orang mengucap syukur kepada Allah. 13 Melalui pekerjaan mulia ini, kamu membuktikan imanmu dan mereka memuliakan Allah kerana melihat kesetiaan pengakuanmu terhadap Injil al-Masih serta kemurahan hati yang kamu tunjukkan dengan pemberian kepada mereka dan semua orang. 14 Mereka berdoa untukmu dan ingin berdamping denganmu kerana rahmat Allah yang melebihi segala-galanya memenuhi dirimu. 15 Segala puji dan syukur kepada Allah kerana kurnia-Nya yang tidak terperikan.
 
 
 
 
 
 
10
Paulus mempertahankan diri
1 Sekarang aku, Paulus, yang gementar ketika berhadapan denganmu tetapi berani ketika berjauhan, memohon sesuatu kepadamu atas sifat al-Masih yang lemah lembut dan rendah hati. 2 Aku memohon kepadamu, apabila aku datang nanti, janganlah sampai aku terpaksa menunjukkan keberanian di hadapanmu. Aku memang berniat untuk bertindak begitu terhadap beberapa orang yang menyangka bahawa kami hidup seperti orang duniawi. 3 Walaupun kami hidup di dunia, kami tidaklah berjuang secara duniawi. 4 Senjata-senjata kami bukanlah benda-benda duniawi tetapi kekuatan ilahi untuk meruntuhkan benteng-benteng, 5 mematahkan hujah-hujah dan segala yang meninggikan diri menentang pengenalan Allah, menundukkan semua fikiran supaya mematuhi al-Masih, 6 serta bersedia menghukum segala keingkaran terhadap Allah apabila ketaatanmu disempurnakan.
7 Kamu hanya melihat sesuatu berdasarkan lahiriahnya. Jika seseorang yakin dalam hatinya bahawa dia milik al-Masih, hendaklah dia memikirkan pula, bahawa sebagaimana dia milik al-Masih, begitu jugalah kita ini milik al-Masih. 8 Kalaupun aku berbangga lebih sedikit tentang kewibawaan kami, yang diberikan oleh Tuhan kepada kami untuk membangunkan dan bukan membinasakan kamu, aku tidak akan berasa malu. 9 Aku tidak mahu kamu menyangka bahawa aku hendak menakut-nakutkanmu dengan surat-suratku. 10 Ada yang berkata, “Surat-suratnya bernas dan tegas, tetapi apabila berhadapan muka, dia kelihatan daif dan pertuturannya pun tidak memberikan kesan.” 11 Orang yang berkata demikian haruslah menimbangkan hal ini: Bahawa sebagaimana kata-kata kami dalam surat ketika berjauhan, begitulah juga tindakan kami apabila berhadapan kelak.
12 Kami tidak berani menggolongkan atau membandingkan diri kami dengan mereka yang memuji diri sendiri. Apabila mereka menilai diri sendiri dan membandingkan diri sama sendiri, mereka tidaklah bertindak dengan bijaksana. 13 Sebaliknya, kami tidak akan berbangga berlebih-lebihan, tetapi dalam batas-batas lingkungan yang ditetapkan Allah untuk kami – lingkungan yang khususnya merangkum kamu. 14 Kami tidaklah melampaui batas-batas yang ditetapkan Allah, seolah-olah kami belum sampai ke tempatmu. Kamilah yang pertama datang membawa Injil al-Masih kepadamu. 15 Kami tidak berbangga di luar batas, iaitu tentang usaha orang lain; tetapi kami berharap bahawa dengan bertambahnya imanmu, kamu akan memperluas lingkungan kami. 16 Dengan demikian kami akan menyampaikan Injil di kawasan-kawasan yang lebih jauh lagi daripada tempatmu, dan tidak berbangga dalam lingkungan kerja orang lain. 17 a“Tetapi sesiapa yang bermegah, maka hendaklah dia bermegah dalam Tuhan.” 18 Kerana bukanlah orang yang memuji diri sendiri yang diperkenan tetapi orang yang dipuji oleh Tuhan.
 
 
 
 
 
 
11
Paulus menentang rasul palsu
1 Aku harap kamu akan bersabar dengan satu kebodohan kecilku. Sememangnya kamu bersabar denganku. 2 Aku cemburu terhadapmu dengan cemburu ilahi; kerana aku telah menunangkan kamu dengan al-Masih dan ingin menyerahkanmu kepada-Nya sebagai anak dara yang suci. 3 aTetapi aku takut kalau-kalau fikiranmu akan dicemari sebagaimana Hawa telah diperdaya oleh ular dengan kepintarannya, sehingga kamu berpaling daripada kesetiaanmu yang murni kepada al-Masih. 4 Jika seseorang datang menyebarkan perkhabaran tentang Isa yang lain daripada yang kami ajarkan; atau kamu memperoleh roh yang lain daripada yang telah kamu peroleh, atau Injil yang lain daripada yang telah kamu terima; mungkin sekali kamu bersabar sahaja terhadapnya. 5 Aku rasa aku tidaklah kurang berbanding rasul-rasul yang unggul itu. 6 Sungguhpun aku tidak terlatih dalam bertutur kata, namun aku tidaklah kekurangan dalam pengetahuan. Kami telah ternyata sepenuhnya kepadamu dalam segala hal.
7 Berdosakah aku merendahkan diriku supaya kamu ditinggikan, kerana aku menyampaikan Injil Allah kepadamu tanpa mengenakan bayaran? 8 Aku telah “merompak” jemaah-jemaah lain dengan menerima ganjaran daripada mereka untuk melayanimu. 9 bApabila aku berada dalam kalanganmu, dalam keadaanku yang serba kurang, aku tidak membebani sesiapa pun di antaramu; kerana segala keperluanku dipenuhi oleh saudara-saudara kita dari Makedonia. Dalam segala hal aku memastikan bahawa aku tidak menjadi beban kepadamu; dan demikianlah akan terus kulakukan. 10 Sebagaimana kebenaran al-Masih tetap ada dalam diriku, tiada siapa pun akan menghalangku daripada berbangga dalam hal ini di wilayah Akhaya. 11 Mengapa? Kerana aku tidak mengasihimu? Allah yang tahu!
12 Tetapi aku akan terus melakukan apa yang kulakukan sekarang, untuk menutup peluang bagi mereka yang mencari peluang supaya dianggap sama dengan kami dalam hal-hal yang dibanggakan mereka. 13 Mereka ialah rasul palsu. Mereka berusaha dengan tipu daya dan menyamar sebagai rasul al-Masih. 14 Ini tidaklah menghairankan, kerana Iblis sendiri menyamar sebagai malaikat cahaya. 15 Oleh itu, bukanlah suatu hal yang menakjubkan jika pelayan-pelayannya menyamar sebagai pelayan-pelayan yang benar. Akhirnya mereka akan menerima balasan setimpal dengan apa yang dikerjakan mereka.
Paulus berbangga dengan penderitaannya
16 Sekali lagi aku berkata, janganlah sesiapa menyangka aku bodoh. Tetapi sekiranya aku disangka begitu, terimalah aku sebagai orang bodoh, agar aku dapat berbangga sedikit. 17 Apa yang kukatakan ini bukanlah menurut Tuhan tetapi selaku orang bodoh dalam keyakinan berbangga. 18 Memandangkan ramai orang yang berbangga secara duniawi, maka aku akan berbangga juga; 19 kerana kamu begitu senang hati bersabar dengan orang bodoh, sedangkan kamu bijak. 20 Kamu bersabar dengan orang yang memperhamba kamu, yang menelanmu, yang memerangkapmu dengan tipu helah, yang meninggikan dirinya, yang menampar mukamu. 21 Dalam hal demikian, dengan rasa malu aku mengaku, kami memang lemah.
Tetapi jika orang lain berani berbangga tentang sesuatu sebagai orang bodoh aku berkata, aku juga berani. 22 Adakah mereka berbangga kerana mereka orang Ibrani? Aku juga begitu. Kerana mereka bangsa Israel? Aku juga begitu. Kerana mereka keturunan Nabi Ibrahim? Aku juga begitu. 23 cKerana mereka para pelayan al-Masih? Aku berkata sebagai orang bodoh: Aku lebih lagi! Aku lebih banyak bertungkus-lumus, lebih kerap disebat, lebih sering dipenjarakan, selalu sahaja diancam maut. 24 dLima kali, sebanyak empat puluh kurang satu sebatan setiap kalinya, aku disebat oleh orang Yahudi. 25 eTiga kali aku dipukul dengan tongkat, sekali direjam, tiga kali ditimpa kejadian kapal karam, dan sehari semalam terkatung-katung di laut. 26 fDalam perjalanan, sering kali aku menghadapi bahaya; bahaya dari sungai, bahaya daripada penyamun, bahaya daripada bangsaku sendiri orang Yahudi, bahaya daripada bangsa-bangsa lain, bahaya di kota, bahaya di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura sebagai saudara seiman. 27 Aku sering keletihan bekerja keras, kurang tidur, kelaparan dan kehausan. Kerap kali aku terpaksa mengikat perut, menanggung kesejukan, kekurangan pakaian. 28 Di samping itu, setiap hari aku dibebani rasa runsing dan prihatin terhadap semua jemaah. 29 Jika seseorang lemah, tidakkah aku turut merasakan kelemahannya? Jika seseorang tersandung, masakan hatiku tidak sengsara kerananya!
30 Sekiranya aku hendak berbangga, aku akan berbangga tentang kelemahan-kelemahanku. 31 Allah, Bapa Isa, Junjungan kita Yang Ilahi, yang terpuji selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta. 32 gGabenor kota Damsyik, di bawah pemerintahan Raja Aretas, menyuruh agar kota itu dijaga oleh tentera, untuk menangkapku. 33 Tetapi aku diturunkan di dalam sebuah bakul melalui sebuah jendela di tembok kota itu, lalu aku terlepas daripada tangannya.
 
 
 
 
 
 
12
Penglihatan Paulus
1 Tentu sekali tiada faedahnya aku berbangga. Aku akan menceritakan penglihatan dan wahyu yang kudapati daripada Tuhan. 2 Aku mengenal seorang dalam al-Masih. Empat belas tahun lalu, orang itu dibawa ke langit yang ketiga (sama ada di dalam tubuh atau di luar tubuh aku tidak tahu, Allah yang mengetahuinya). 3 Aku tahu orang itu (sama ada di dalam tubuh atau di luar tubuh aku tidak tahu, Allah yang mengetahuinya) 4 dibawa ke Firdaus lalu mendengar kata-kata yang tidak terperikan, yang tidak boleh dituturkan oleh manusia. 5 Aku berbangga dengan orang itu, tetapi aku tidak akan berbangga dengan diriku, kecuali kelemahan-kelemahanku. 6 Walaupun jikanya aku ingin berbangga, aku bukanlah bodoh, kerana aku menyatakan yang benar. Tetapi aku tidak akan melakukannya, supaya jangan ada orang yang menilaiku lebih tinggi daripada yang dilihatnya tentangku dan yang didengarnya daripadaku.
7 Supaya aku tidak terasa terlalu tinggi kerana begitu dilimpahi wahyu, aku telah diberi duri dalam daging, utusan Iblis, untuk menyakitiku. 8 Sudah tiga kali aku memohon kepada Tuhan supaya seksa ini disisihkan daripadaku. 9 Tetapi firman-Nya, “Cukuplah rahmat-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan.” Oleh itu, aku paling rela berbangga tentang kelemahan-kelemahanku, supaya kuasa al-Masih menaungiku. 10 Oleh itu, aku rela menanggung pelbagai kelemahan, celaan, kesempitan, penganiayaan dan kesusahan untuk al-Masih; kerana apabila aku lemah, ketika itulah aku kuat.
Prihatin Paulus terhadap jemaah di Korintus
11 Aku telah berbangga selaku orang bodoh. Kamu telah memaksaku berbuat demikian. Sepatutnya kamu memberiku penghargaan; kerana aku tidak kurang daripada rasul-rasul terunggul itu, walaupun aku orang yang tidak penting. 12 Tanda-tanda kerasulanku telah ditunjukkan kepadamu dengan sepenuhnya, iaitu pelbagai tanda ajaib dan mukjizat. 13 Dari segi apakah kamu kurang daripada jemaah-jemaah lain, kecuali aku tidak membebanimu? Maafkan kesalahanku itu!
14 Kini, bagi kali ketiga, aku bersedia mengunjungi kamu. Aku tidak akan membebani kamu, kerana aku menghendaki kamu, bukan hartamu. Tidaklah wajar anak-anak mengumpulkan harta untuk ibu bapa. Ibu bapalah yang patut mengumpulkan harta untuk anak-anak. 15 Aku rela berbelanja malah berhabis untukmu. Oleh itu, jika kasihku semakin kulimpahkan kepadamu, wajarkah aku semakin kurang dikasihi? 16 Walau bagaimanapun, aku tidak membebanimu. Namun demikian, aku dikatakan pandai memperdaya dan menawanmu dengan tipu helah! 17 Pernahkah aku memperdayamu melalui orang yang telah kuutus kepadamu? 18 Aku telah meminta Titus pergi mengunjungimu, bersama seorang lagi saudara kita. Adakah Titus memperdayamu? Tidakkah kami hidup menurut roh yang sama? Tidakkah kami bertindak dengan langkah-langkah yang sama?
19 Adakah kamu menyangka kami membela diri di hadapanmu? Kami bersuara di hadapan Allah dalam al-Masih. Kami melakukan segala-galanya untuk menguatkanmu, saudara-saudara yang kukasihi. 20 Aku takut kalau-kalau ketika aku datang nanti, aku mendapatimu tidak seperti yang kuharapkan dan kamu mendapatiku tidak seperti yang kamu harapkan. Janganlah hendaknya ketika itu aku menemui pertengkaran, hasad dengki, kemarahan, sikap mementingkan diri, umpat-mengumpat, desas-desus, keangkuhan, dan huru-hara. 21 Aku harap, ketika aku datang kelak, janganlah aku dipermalu oleh Tuhanku di hadapanmu dan bersedih kerana ramai yang dahulu berbuat dosa tetap tidak bertaubat daripada kekejian, pencabulan dan keliaran hawa nafsu dalam kehidupan mereka.
 
 
 
 
 
 
13
Peringatan terakhir
1 aKunjunganku kepadamu nanti adalah bagi kali yang ketiga. Berdasarkan keterangan dua atau tiga orang saksi, sesuatu dakwaan akan diteguhkan. 2 Dahulu, sewaktu aku tinggal bersamamu dalam kunjunganku yang kedua, aku telah memperingatkan mereka yang berbuat dosa itu serta orang lain. Sekarang, dari jauh aku menulis memperingatkan mereka, bahawa apabila aku datang nanti aku tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada mereka. 3 Kamu menuntut bukti bahawa al-Masih bersuara melaluiku. Dia tidaklah lemah menghadapimu, tetapi bertindak dengan penuh kuasa dalam dirimu. 4 Walaupun Dia disalib kerana kelemahan, al-Masih hidup kerana kuasa Allah. Kami juga lemah dalam Dia, namun dengan kuasa Allah akan hidup bersama Dia untuk melayanimu.
5 Ujilah keteguhan imanmu; periksalah dirimu sendiri. Tidakkah kamu tahu al-Masih ada dalam dirimu? Kecuali kamu gagal. 6 Kami yakin kamu tahu bahawa kami bukanlah orang yang tidak tahan diuji. 7 Sekarang aku berdoa kepada Allah semoga kamu tidak melakukan kejahatan bukan kerana kami ingin kelihatan diperkenan sebagai rasul, tetapi supaya kamu melakukan perbuatan yang mulia, meskipun kiranya kami kelihatan seolah-olah tidak layak menjadi rasul. 8 Kami tidak mungkin melakukan sesuatu menentang apa yang benar. Setiap yang kami lakukan adalah untuk menegakkan yang benar. 9 Kami senang hati apabila kami lemah sedangkan kamu kuat. Kami juga mendoakan semoga kamu disempurnakan. 10 Oleh sebab itulah aku menulis segala ini sebelum aku berada di hadapanmu. Dengan demikian, apabila aku berhadapan denganmu kelak, tidaklah perlu aku berkeras terhadapmu melalui kekuasaan yang telah diberikan Tuhan kepadaku untuk meneguhkanmu bukan merosakkanmu.
11 Akhir kata, saudara-saudara seimanku, kuucapkan salam perpisahan dahulu. Berusahalah menjadi sempurna. Senangkan hati, bulatkan muafakat, hidup rukun damai; maka Allah sumber kasih dan damai sejahtera akan bersertamu.
12 Bersalamanlah dengan ciuman suci. 13 Semua orang salih di sini berkirim salam kepadamu.
14 Semoga rahmat Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, kasih Allah dan keakraban Roh Allah Yang Maha Suci menyertai kamu semua. Amin.