2 Petrus
1
1 Daripada Simon Petrus, hamba dan rasul Isa al-Masih,
kepada mereka yang seiman dengan kami melalui perbenaran* Tuhan kita dan Penyelamat kita Isa al-Masih:
 
2 Semoga kamu dilimpahi berkat dan damai sejahtera daripada Allah, kerana kamu mengenal Allah dan Isa, Junjungan kita Yang Ilahi.
Panggilan dan pilihan Allah
3 Dengan kuasa ilahi-Nya Allah telah mengurniai kita segala yang diperlukan untuk hidup dan kesalihan, melalui apa yang kita ketahui tentang Dia yang memanggil kita dengan kemuliaan dan kebaikan-Nya. 4 Allah telah menganugerahi kita janji yang besar dan berharga. Melaluinya kamu akan mengambil bahagian dalam sifat keilahian Allah setelah menjauhi kebinasaan akibat hawa nafsu di dunia. 5 Oleh itu, berusahalah untuk membekalkan imanmu dengan kebaikan; dan kebaikan dengan pengetahuan; 6 dan pengetahuan dengan penguasaan diri; dan penguasaan diri dengan ketabahan; dan ketabahan dengan kesalihan; 7 dan kesalihan dengan belas ihsan persaudaraan; dan belas ihsan persaudaraan dengan kasih. 8 Jika kamu semakin kaya dengan segala ini, tidaklah kamu sia-sia dan hampa dalam mengenal Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi. 9 Seseorang yang tidak memiliki sifat-sifat ini adalah rabun, malah buta, dan lupa bahawa dia telah disucikan daripada dosa-dosanya dahulu.
10 Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah lebih keras lagi untuk memastikan kekalnya panggilan dan pilihan Allah akan dirimu. Jika kamu melakukan segala ini, kamu tidak akan tersandung. 11 Kamu akan diberi sepenuh hak untuk mewarisi kerajaan kekal Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi dan Penyelamat kita.
Nubuat dalam Kitab Suci
12 Oleh itu, aku tidak akan lalai daripada mengingatkan kamu tentang segala ini, walaupun kamu sudah mengetahuinya dan berpegang teguh pada ajaran benar yang kamu terima. 13 Selagi ada hayatku, wajarlah aku mengingatkan kamu tentang hal-hal itu. 14 Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini, sebagaimana telah dinyatakan jelas kepadaku oleh Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi. 15 Aku akan mengusahakan supaya kamu tetap diingatkan tentang hal-hal itu setelah aku tiada lagi.
16 Kami tidaklah bercerita dongeng kepadamu apabila kami memberitahumu tentang kuasa dan kedatangan Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi. Kami telah menyaksikan kemuliaan-Nya dengan mata kami sendiri. 17 aDia telah menerima penghormatan dan kemuliaan daripada Allah, Bapa kita. Suatu suara daripada Yang Maha Tinggi berfirman, “Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.” 18 Kami telah mendengar suara yang datang dari syurga ketika kami bersama-Nya di puncak gunung suci.
19 Dengan demikian, kata-kata nubuat yang ada pada kami menjadi lebih jelas. Terimalah kata-kata nubuat ini seperti lampu yang bersinar di tempat gelap, hingga fajar menyingsing dan bintang pagi terbit di dalam hatimu. 20 Hal terutama yang harus kamu ketahui: Tidak ada satu nubuat pun dalam Kitab Suci yang berasal daripada pentafsiran sendiri, 21 kerana nubuat bukanlah lahir dengan kehendak manusia, tetapi disuarakan oleh orang ketika digerakkan oleh Roh Allah untuk menyampaikan firman daripada Allah.
 
 
 
 
 
 
2
Nabi dan guru palsu
1 Namun demikian, ada nabi-nabi palsu dalam kalangan umat Allah pada zaman dahulu. Di antaramu juga akan muncul guru-guru palsu yang secara rahsia membawa masuk ajaran sesat yang memusnahkan. Mereka tergamak menyangkal Penguasa yang telah menyelamatkan mereka, lalu mereka ditimpa kemusnahan dalam sekelip mata. 2 Ramai orang akan mengikut cara mereka yang memalukan itu. Oleh itu, jalan yang benar akan dikufuri. 3 Dengan tamak haloba, mereka akan memperalatkan kamu melalui kata-kata dusta. Hukuman untuk mereka sudah ditetapkan dan akan menimpa mereka.
4 Allah tidak melepaskan malaikat yang berdosa daripada hukuman, tetapi menghumbankan mereka ke neraka dan membelenggu mereka dalam kegelapan untuk dihakimi kelak. 5 aDan Allah juga tidak melepaskan dunia purba daripada hukuman. Allah hanya menyelamatkan Nabi Nuh, penyampai perbenaran dengan tujuh orang yang lain, ketika Dia mendatangkan air bah kepada semua manusia yang ingkar. 6 bAllah telah memusnahkan kota Sodom dan Gomora sehingga menjadi abu, membinasakan penduduknya sebagai contoh hukuman terhadap orang yang ingkar. 7 cTetapi Allah menyelamatkan Lut, seorang yang benar, yang berdukacita kerana kelakuan cabul orang durjana 8 (jiwa Lut yang benar terseksa dari hari ke hari melihat dan mendengar perlakuan liar orang di kelilingnya). 9 Nyatalah bahawa Tuhan mengetahui cara menyelamatkan orang yang warak daripada godaan dan mengasingkan orang durjana untuk dihukum pada hari penghakiman, 10 terutamanya mereka yang menurut hawa nafsu cabul dan menghina kekuasaan Allah.
Mereka menganggap diri mereka besar dan mengikut kehendak sendiri semata-mata. Mereka tidak takut mencela makhluk yang adikudrati.* 11 Sedangkan para malaikat yang lebih kuat dan berkuasa tidak pernah mencela dan menuduh makhluk yang adikudrati itu di hadapan Tuhan. 12 Tetapi mereka ini, seperti binatang buas yang dijadikan untuk ditangkap dan dibunuh, mencela hal-hal yang tidak difahami, maka mereka akan dibinasakan. 13 Mereka akan menerima balasan perbuatan maksiat mereka seperti bersuka ria pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Mereka dipenuhi cacat cela dan bergembira memperdayamu sambil berjamu bersamamu. 14 Mata mereka dipenuhi nafsu cabul dan sentiasa berdosa, menggoda orang yang goyah imannya, hati mereka dikuasai tamak haloba dan mereka anak-anak yang terlaknat. 15 dMereka telah meninggalkan jalan yang benar lalu sesat mengikut jalan Bileam bin Bior, yang suka mendapat upah daripada kejahatan. 16 Tetapi dia telah ditegur kerana perbuatan jahatnya oleh seekor keldai yang bercakap dengan suara manusia lalu menjauhkan Bileam daripada perbuatannya yang tidak waras.
17 Mereka ini ibarat mata air yang kering dan kabus yang ditiup ribut. Kegelapan yang hitam pekat tersedia untuk mereka. 18 Apabila mereka mengeluarkan kata-kata yang hebat tetapi kosong, mereka menggunakan hawa nafsu dan keinginan cabul untuk menggoda orang yang baru terlepas daripada golongan yang hidup sesat. 19 Mereka menjanjikan kebebasan, sedangkan mereka sendiri hamba kebinasaan – kerana seseorang yang dikalahkan itu menjadi hamba kepada yang mengalahkannya. 20 Sekiranya, seseorang telah terlepas daripada noda dunia dengan mengenal Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi dan Penyelamat kita, kemudian terjebak semula lalu tewas, maka keadaannya lebih buruk daripada sebelum dia mengenal al-Masih. 21 Lebih baiklah jika dia tidak mengenal jalan yang benar, daripada mengenalnya, dan kemudian membelakangi perintah suci yang telah disampaikan kepadanya. 22 eYang terjadi kepadanya itu seperti kata pepatah yang benar: “Anjing akan menjilat muntahnya kembali,” dan “Babi yang dimandikan akan berkubang semula di lumpur.”
 
 
 
 
 
 
3
Hari Tuhan
1 Saudara-saudara yang kukasihi, aku menulis surat yang kedua ini kepadamu. Aku menulis kedua-dua suratku untuk merangsang pemikiran murnimu untuk mengingatkanmu 2 supaya kamu ingat akan kata-kata para nabi yang suci dan perintah Junjungan Yang Ilahi dan Penyelamat kita sebagaimana yang disampaikan oleh para rasulmu.
3 aPertama, kamu harus tahu bahawa para pencemuh akan muncul pada akhir zaman. Sambil berbuat sesuka hati memuaskan nafsu, 4 mereka akan berkata, “Manakah ‘kedatangan-Nya’ yang dijanjikan itu? Nenek moyang kita sudah tiada, tetapi segala-galanya berterusan seperti sejak alam mula dicipta.” 5 bMereka sengaja melupakan bahawa dahulu Allah telah mencipta langit dan bumi dengan firman-Nya dan bumi dibentuk daripada air dan dengan air, 6 cdan dengan air itu juga dunia yang wujud dahulu dimusnahkan dengan air bah. 7 Tetapi langit dan bumi yang sekarang dipelihara dengan firman itu juga akan dimusnahkan dengan api, menjelang harinya orang ingkar dihukum dan dibinasakan.
8 dTetapi, saudara-saudara yang kukasihi, jangan lupa satu perkara: Di sisi Tuhan satu hari serupa seribu tahun, dan seribu tahun serupa satu hari. 9 Tuhan bukannya lengah menepati janji, seperti sangkaan sesetengah orang, tetapi amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa dan Dia ingin semuanya bertaubat.
10 eNamun demikian, hari Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari. Langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh dan segala anasir akan lebur oleh kepanasan yang dahsyat, bumi serta segala yang wujud di dalamnya akan hangus terbakar.
11 Oleh sebab segala-galanya akan musnah, bagaimanakah sewajarnya kamu hidup? Kamu harus hidup suci dan taat akan Allah, 12 sementara menanti dan mempercepat menjelangnya hari penghakiman Allah. Pada hari itu langit akan musnah terbakar dan segala anasir lebur oleh kepanasan yang dahsyat. 13 fTetapi kita berpegang kepada apa yang telah dijanjikan-Nya, iaitu langit baru dan bumi baru yang dipenuhi dengan segala yang benar.
14 Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, sementara menantikan semua itu, berusahalah untuk hidup suci, tidak bercela dan berdamai dengan Dia. 15 Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai penyelamatan, sebagaimana saudara kita yang dikasihi, Paulus, telah mengatakan dalam suratnya untukmu, dengan kebijaksanaan yang telah dikurniakan kepadanya. 16 Paulus menulis tentang hal-hal demikian dalam semua suratnya. Sesetengahnya sukar difahami, lalu orang yang jahil dan tipis iman memesongkan ertinya ke arah kebinasaan diri mereka sendiri. Demikian juga dilakukan oleh mereka terhadap tulisan-tulisan lain dalam Kitab Suci.
17 Saudara-saudara yang kukasihi, oleh sebab kamu telah mengetahui hal ini, berjaga-jagalah, jangan tergelincir daripada pendirianmu yang teguh akibat disesatkan oleh kesilapan orang durjana. 18 Hendaklah kamu semakin kukuh dalam rahmat Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi dan Penyelamat kita, dan semakin mengenal-Nya. Bagi-Nya kemuliaan, sekarang dan selama-lamanya! Amin.