2 Tesalonika
1 aDaripada Paulus, Silwanus dan Timotius,
kepada jemaah di Tesalonika dalam Allah, Bapa kita, dan dalam Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi:
2 Semoga Allah, Bapa kita, dan Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, memberimu rahmat dan damai sejahtera.
Ucapan syukur dan doa
3 Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah keranamu, saudara-saudaraku. Ini memang sepatutnya, kerana imanmu bertambah teguh dan kamu semakin kasih-mengasihi.
4 Dengan demikian kami berbangga denganmu di antara jemaah Allah kerana kesabaran dan imanmu menanggung segala penganiayaan serta kesengsaraan.
5 Segala ini bukti nyata penghakiman yang adil daripada Allah, supaya kamu dikira layak memasuki kerajaan Allah, yang untuknya kamu telah menderita.
6 Allah akan melakukan keadilan, membalas dengan kesengsaraan terhadap mereka yang menyebabkan kamu sengsara, dan
7 Dia akan memberikan kelegaan kepadamu yang menderita dan juga kepada kami apabila Isa, Junjungan Yang Ilahi, muncul dari syurga diiringi malaikat-malaikat perkasa-Nya dengan api yang menyala.
8 Dia mengenakan hukuman kepada mereka yang tidak mengenal Allah, dan mereka yang tidak taat akan Injil Isa, Junjungan kita Yang Ilahi.
9 bMereka akan dihukum dengan kebinasaan selama-lamanya, tersingkir dari hadirat Allah dan kemuliaan kuasa-Nya.
10 Semua itu akan berlaku apabila Dia datang, pada hari itu, untuk dimuliakan oleh pengikut-pengikut-Nya yang salih dan untuk diberi penghormatan oleh semua orang beriman. Ini termasuk kamu kerana kamu percaya kepada kesaksian kami antara kamu.
11 Oleh itu, kami sentiasa berdoa untukmu supaya Tuhan kita menganggapmu layak dipanggil, dan supaya Dia memenuhi segala hasratmu berbuat baik untuk-Nya serta menyempurnakan segala usaha imanmu dengan kuasa-Nya.
12 Dengan demikian, nama Isa, Junjungan kita Yang Ilahi, akan kamu muliakan dan kamu akan dimuliakan oleh-Nya, dengan rahmat Allah dan Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi.
Keingkaran sebelum kedatangan Tuhan
1 aSekarang, saudara-saudaraku, tentang kedatangan Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, dan betapa kita akan dikumpulkan bersama-Nya kelak, kami menyerumu,
2 janganlah kamu mudah keliru atau goyah jika orang berkata hari Tuhan sudah tiba kerana kononnya kami yang mengatakan begitu melalui nubuat, ajaran atau surat.
3 Jangan sekali-kali biarkan sesiapa memperdayamu kerana hari itu tidak akan datang sebelum berlakunya kemurtadan dan manusia leluasa, iaitu anak kebinasaan menampilkan diri.
4 bDia akan menentang dan meninggikan dirinya daripada semua yang disembah manusia. Dia akan duduk di dalam Bait Allah dan mengisytiharkan dirinya sebagai Allah.
5 Ingatkah kamu ketika aku masih bersamamu dahulu, aku telah memberitahumu segala ini?
6 Kini kamu tahu apa yang menahannya sekarang, supaya manusia itu tampil pada waktu yang telah ditentukan baginya.
7 Kuasa rahsia keleluasaan sudah pun mula bertindak. Hanya yang menahannya sekarang akan terus berbuat demikian sehingga disingkirkan.
8 cKemudian manusia leluasa itu akan ternyata dan Isa, Junjungan Yang Ilahi, akan membunuhnya dengan hembusan nafas dari mulut-Nya dan membinasakannya dengan sinar gemilang kedatangan-Nya.
9 dDatangnya manusia leluasa itu adalah hasil usaha Iblis, dengan membawa kuasa, tanda dan keajaiban palsu,
10 serta tipu helah durjana untuk menyesatkan orang yang binasa kerana mereka enggan menerima dan mengasihi kebenaran yang dapat menyelamatkan mereka.
11 Oleh yang demikian Allah menghantar pengaruh yang akan menyesatkan mereka sehingga mereka mempercayai apa yang tidak benar.
12 Dengan itu semua yang tidak mempercayai apa yang benar dan gembira melakukan perkara yang salah akan dihukum.
Berdiri dengan kukuh
13 Tetapi kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, saudara-saudara yang dikasihi oleh Tuhan, kerana dari mulanya Allah telah memilih kamu untuk diselamatkan melalui penyucian dengan Roh Allah dan kepercayaan terhadap apa yang benar.
14 Allah memanggil kamu melalui Injil yang kami sampaikan kepadamu, supaya mendapat kemuliaan Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi.
15 Oleh itu, saudara-saudaraku, berdirilah dengan kukuh dan berpegang teguh pada segala ajaran yang telah kami sampaikan secara lisan atau melalui surat.
16 Semoga Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, dan Allah, Bapa kita, yang mengasihi kita dan menetapkan hati serta meneguhkan harapan kita selama-lamanya dengan rahmat-Nya,
17 memberimu perangsang dan kekuatan untuk berbuat dan mengatakan yang baik.
Berdoa
1 Akhirnya, saudara-saudaraku, doakanlah kami, semoga Firman Tuhan segera tersebar dan dimuliakan, seperti dalam kalanganmu dahulu.
2 Doakan semoga Allah menyelamatkan kami daripada orang yang mungkar dan durjana, kerana bukan semua orang mempunyai iman.
3 Tetapi Tuhan kita setia dan akan menguatkan kamu serta melindungimu daripada si durjana.
4 Kami mempunyai keyakinan dalam Tuhan tentang kamu, bahawa kamu sedang dan akan terus mengamalkan apa yang telah kami ajarkan kepadamu.
5 Semoga Tuhan membimbing hatimu ke arah kasih Allah dan ketabahan al-Masih.
Amaran terhadap sikap malas
6 Tetapi, saudara-saudaraku, kami memerintahkan kamu dengan nama Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, supaya menjauhkan diri daripada setiap saudara yang hidup malas dan tidak menurut ajaran yang telah kami berikan.
7 Kamu tahu bahawa kamu harus mengikut teladan kami. Kami tidak hidup malas ketika bersamamu dahulu.
8 Kami juga tidak mendapatkan makanan daripada orang lain dengan percuma. Sebaliknya, kami bertungkus-lumus siang malam supaya tidak membebankan sesiapa pun antara kamu.
9 Bukan kerana kami tidak berhak menuntut bantuanmu, tetapi untuk menjadi teladan kepadamu.
10 Sewaktu kami bersamamu, kami telah memberikan perintah ini: “Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.”
11 Kami mendengar ada di antaramu orang yang hidup malas, langsung tidak bekerja tetapi mencampuri urusan orang.
12 Dengan nama Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, kami memerintahkan dan menyeru orang begitu supaya bekerja sewajarnya, menjaga hal masing-masing dan mencari nafkah sendiri.
13 Tetapi kamu, saudara-saudaraku, janganlah jemu berbuat baik.
14 Jika sesiapa tidak mengikut apa yang kami tuliskan di dalam surat ini, perhatikan dia dan jangan bergaul dengannya, supaya dia berasa malu.
15 Namun demikian, jangan pula anggap dia sebagai musuh. Sebaliknya nasihatilah dia sebagai saudaramu.
Salam akhir
16 Semoga Tuhan, sumber segala kesejahteraan, sentiasa mengurniaimu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan bersama kamu semua.
17 Salam daripada Paulus, kutulis dengan tanganku sendiri. Inilah tanda dalam setiap surat, demikianlah kutulis.
18 Semoga rahmat Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, menyertai kamu semua.