2 Timotius
1
1 Daripada Paulus, rasul Isa al-Masih, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup dalam Isa al-Masih,
2 akepada Timotius, anakku yang dikasihi:
 
Semoga Allah, Bapa kita, dan Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, memberimu rahmat, belas kasihan dan damai sejahtera.
Kesetiaan dalam iman
3 Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam. 4 Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia. 5 bAku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai dalam jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga. 6 Oleh itu, aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu. 7 Allah tidak memberi kita roh ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib.
8 Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Junjungan kita Yang Ilahi atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi ikut serta menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah. 9 Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan rahmat-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Isa al-Masih sebelum permulaan zaman. 10 Sekarang segala ini telah dinyatakan dengan kedatangan Penyelamat kita Isa al-Masih, yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil.
11 cAku telah ditugaskan menjadi seorang daripada pemberita Injil, rasul, dan guru. 12 Oleh itu, aku menanggung segala penderitaan ini. Namun demikian, aku tidak berasa malu, kerana aku tahu akan Tuhan yang kupercayai dan aku yakin Dia dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya hingga pada Hari itu. 13 Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Isa al-Masih. 14 Peliharalah perkara baik yang diamanahkan kepadamu dengan Roh Allah yang berada dalam diri kita.
15 Kamu tahu bahawa semua yang di Asia telah berpaling daripadaku, termasuk Figelus dan Hermogenes. 16 Semoga Tuhan menunjukkan belas kasihan kepada Onesiforus sekeluarga, kerana dia sering menyegarkan tubuh dan jiwaku, serta tidak malu bahawa aku dipenjarakan, 17 malah apabila dia tiba di Rom, dia telah mencariku sedaya upaya sehingga bertemu. 18 Semoga Tuhan mengurniainya supaya mendapat belas kasihan daripada-Nya pada Hari itu! Engkau cukup mengetahui pelbagai cara dia telah menolongku di Efesus.
 
 
 
 
 
 
2
1 Anakku, kuatkan dirimu dengan rahmat yang ada dalam Isa al-Masih. 2 Segala yang telah kaudengar daripadaku di hadapan saksi yang ramai, sampaikan kepada orang setia yang dapat mengajarkannya kepada orang lain pula. 3 Kamu mestilah ikut serta menanggung kesusahan sebagai seorang askar yang baik di bawah Isa al-Masih. 4 Seseorang yang memegang tugas dalam peperangan tidak akan melibatkan dirinya dengan hal ehwal kehidupan ini, supaya dia mendapat keredaan orang yang mengambilnya sebagai askar. 5 Demikian juga jika seseorang menyertai pertandingan olahraga, dia tidak akan mendapat mahkota kemenangan melainkan dia bertanding mengikut semua peraturan. 6 Petani yang telah bertungkus-lumus, pasti dialah yang pertama menikmati hasil tanaman. 7 Fikirkan kata-kataku kerana Tuhan akan mengurniaimu pengertian dalam semua perkara.
8 Ingatlah bahawa Isa al-Masih, keturunan Nabi Daud, telah dibangkitkan daripada kematian menurut Injil yang kusampaikan, 9 yang kerananya aku menderita seolah-olah aku seorang penjahat, sehingga dipenjarakan. Tetapi firman Allah tidak mungkin dipenjarakan. 10 Oleh itu, aku menanggung segalanya untuk mereka yang terpilih, supaya mereka juga mendapat penyelamatan dalam Isa al-Masih dengan kemuliaan yang kekal.
11 Kata-kata ini benar:
 
Jika kita mati bersama-Nya,
kita juga akan hidup bersama-Nya;
12 ajika kita tabah,
kita juga akan memerintah bersama-Nya.
Jika kita menyangkal-Nya,
Dia juga akan menyangkal kita;
13 jika kita tidak setia,
Dia tetap setia,
Dia tidak boleh menyangkal diri-Nya.
 
Pekerja yang diredai Allah
14 Ingatkan mereka tentang segala ini. Pesan kepada mereka di hadapan Allah supaya jangan bertengkar sia-sia tentang kata-kata, sehingga membinasakan orang yang mendengar. 15 Berusahalah supaya ternyata kamu diredai Allah, seorang pekerja yang tidak perlu berasa malu, yang menyebarkan kebenaran dengan sewajarnya. 16 Jauhi percakapan yang bercorak duniawi dan sia-sia, kerana ini akan menambah kemungkaran. 17 Kata-kata mereka akan merebak seperti penyakit barah, Himeneus dan Filetus termasuk orang begini. 18 Mereka telah sesat dalam hal kebenaran. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian telah berlalu, dan mereka merosakkan iman sesetengah orang. 19 bNamun demikian, asas kukuh Allah tetap bertapak, diteguhkan dengan materai ini: “Tuhan mengenal siapa milik-Nya,” dan “Setiap orang yang menyebut nama Tuhan hendaklah meninggalkan kejahatan.”
20 Tetapi di dalam rumah yang besar bukan hanya ada bekas daripada emas dan perak tetapi juga daripada kayu dan tanah liat, sesetengahnya untuk kegunaan mulia dan sesetengahnya untuk kegunaan cemar. 21 Dengan demikian, jika seseorang membersihkan dirinya daripada kecemaran, dia akan menjadi bekas untuk kegunaan mulia, berguna kepada Tuannya, dan bersedia untuk melakukan kerja yang baik. 22 Singkirkan hawa nafsu muda. Berusaha mengamalkan perbenaran, iman, kasih dan kesejahteraan bersama mereka yang menyeru nama Tuhan dengan hati yang suci. 23 Jauhi perbahasan yang sia-sia dan jahil, kerana kamu tahu semua ini mencetuskan perkelahian. 24 Hamba Tuhan tidak harus berkelahi. Sebaliknya, mereka mestilah lemah lembut kepada semua orang, pandai mengajar, sabar, dan 25 dengan rendah hati menegur orang yang menentang, semoga Allah membukakan hati mereka untuk bertaubat supaya mereka mengenal kebenaran, 26 lalu mereka menjadi waras semula dan terlepas daripada cengkaman Iblis yang telah memerangkap mereka untuk melakukan kehendaknya.
 
 
 
 
 
 
3
Kemungkaran pada akhir zaman
1 Ketahuilah, bahawa pada akhir zaman, akan datang suatu masa yang sukar. 2 Manusia akan menjadi pencinta diri, pencinta wang, bercakap besar, berlagak bongkak, mencaci maki, ingkar terhadap ibu bapa, tidak bersyukur, tidak suci, 3 tidak mengasihi, tidak mengampuni, suka memfitnah, tidak menguasai diri, buas dan pembenci kebaikan, 4 khianat, gopoh, angkuh, serta lebih mencintai keseronokan daripada mengasihi Allah. 5 Mereka kelihatan seolah-olah bersikap yang taat beribadat keagamaan, tetapi menyangkal kuasanya. Jauhilah orang demikian. 6 Dalam kalangan mereka ada yang masuk secara rahsia ke rumah orang dan memerangkap perempuan lemah, yang dibebani dosa serta dipengaruhi pelbagai keinginan. 7 Perempuan-perempuan ini sentiasa belajar tetapi tidak menerima kebenaran. 8 aSebagaimana Yanes dan Yambres melawan Nabi Musa dahulu, demikianlah orang ini menentang ajaran yang benar – mereka tidak berfikiran waras dan telah menyeleweng daripada iman sebenar. 9 Namun mereka tidak akan berjaya lebih jauh lagi, kerana semua orang akan menyedari kebodohan mereka, seperti halnya dengan Yanes dan Yambres dahulu.
Perintah Paulus untuk Timotius
10 Tetapi kamu telah mengikut dengan penuh hemat segala ajaranku, cara hidupku, tujuan hidupku, imanku, kesabaranku, kasihku dan ketabahanku. 11 bEngkau telah melihat penganiayaan dan kesengsaraan serta segala yang menimpaku di Antiokhia, Ikonium dan Listra – betapa penganiayaan yang kutanggung. Akan tetapi, Tuhan telah menyelamatkanku daripada semuanya itu. 12 Memang, semua orang yang ingin hidup warak dalam Isa al-Masih akan dianiaya. 13 Orang durjana dan penipu akan bertambah durjana, memperdaya serta diperdaya. 14 Tetapi kamu mestilah terus berpegang kepada segala yang telah kamu pelajari dan yakini, kerana kamu tahu daripada siapa segalanya telah kamu pelajari, 15 dan sejak kecil kamu telah mengenal Kitab Suci yang dapat memberimu kebijaksanaan untuk diselamatkan melalui iman dalam Isa al-Masih. 16 Seluruh Kitab Suci diilhamkan oleh Allah,* dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah hidup yang benar. 17 Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik.
 
 
 
 
 
 
4
1 Di hadirat Allah dan Isa al-Masih yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati, dan demi kedatangan-Nya serta kerajaan-Nya, aku menyerumu: 2 Beritakanlah firman Allah, bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak. Tunjukkan apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran, 3 kerana akan sampai masanya mereka tidak menerima ajaran yang benar, tetapi mengumpulkan ramai guru mengikut kehendak mereka sendiri untuk mengajar apa yang ingin didengar oleh mereka. 4 Mereka enggan mendengar ajaran yang benar tetapi menumpukan perhatian kepada cerita-cerita dongeng. 5 Tetapi kamu, berwaspadalah dalam segala hal, tabah menanggung kesusahan, jalankan kerja menyebarkan Injil dan laksanakan tugas yang diamanahkan kepadamu dengan sempurna.
6 Tentang diriku, kini aku laksana minuman yang sedang dituangkan sebagai persembahan kepada Allah, dan sudah hampir masanya aku pergi menghadap-Nya. 7 Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman. 8 Sekarang mahkota perbenaran* telah disediakan untukku. Junjungan Yang Ilahi, Hakim yang adil itu, akan mengurniakannya kepadaku pada Hari itu, bukan kepadaku sahaja, tetapi kepada semua orang yang merindu kedatangan-Nya.
Nasihat akhir
9 Berusahalah untuk mengunjungiku dengan segera. 10 aDemas telah meninggalkanku kerana dia mencintai dunia ini, dia telah bertolak ke Tesalonika. Kreskes pula telah pergi ke Galatia dan Titus ke Dalmatia. 11 bHanya Lukas ada bersamaku. Dapatkan Markus dan bawa dia denganmu, kerana dia dapat membantuku dalam tugasku. 12 cAku telah mengutus Tikhikus ke Efesus. 13 dApabila kamu datang kelak, bawa baju jubah yang kutinggalkan dengan Karpus di Troas dan juga kitab-kitabku, terutamanya gulungan kulit.
14 eIskandar, tukang tembaga itu, telah banyak melakukan kejahatan terhadapku. Semoga Tuhan membalasnya setimpal dengan perbuatannya. 15 Kamu juga harus waspada dengannya, kerana dia menentang keras perkhabaran kita.
16 Ketika aku membela diriku pada kali pertama, tiada seorang pun berdiri di sisiku, semuanya meninggalkanku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka kerananya. 17 Tetapi Tuhan menyertaiku dan memberiku kekuatan, supaya berita baik dapat dikhabarkan sepenuhnya melaluiku, dan semua bangsa-bangsa lain dapat mendengarnya. Juga aku telah diselamatkan daripada mulut singa. 18 Tuhan akan menyelamatkanku daripada segala perbuatan durjana dan memeliharaku untuk kerajaan-Nya di syurga. Segala kemuliaan bagi-Nya untuk selama-lamanya. Amin.
Salam akhir
19 fSampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, serta keluarga Onesiforus. 20 gErastus tinggal di Korintus, tetapi Trofimus kutinggalkan di Miletus kerana dia sakit. 21 Cubalah sedaya upayamu untuk datang sebelum musim dingin.
Ebulus berkirim salam kepadamu, demikian juga Pudens, Linus, Klaudia dan semua saudara seiman yang lain.
22 Semoga Tuhan bersama rohmu.
Semoga rahmat Allah menyertai kamu semua.