Kisah Para Rasul
Isa dinaikkan ke syurga
1 aKepada Teofilus, dahulu dalam kitabku yang pertama aku telah menceritakan segala yang dilakukan dan diajarkan oleh Isa,
2 dari awal pelayanan-Nya hingga ke hari Dia diangkat ke syurga. Sebelumnya, Dia telah memberikan perintah melalui Roh Allah Yang Maha Suci kepada para rasul yang telah dipilih-Nya.
3 Dia telah menampakkan diri-Nya dalam keadaan hidup kepada mereka selepas kesengsaraan-Nya dengan banyak keterangan sahih. Mereka melihat-Nya selama empat puluh hari, dan Dia bercakap tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan Allah.
4 bPada suatu hari ketika Isa bersama mereka, Dia berpesan supaya mereka jangan meninggalkan Yerusalem. Kata-Nya, “Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku;
5 ckerana Nabi Yahya telah mengimadkan orang dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Allah tidak berapa lama lagi.”
6 Oleh itu, ketika mereka berhimpun, mereka pun bertanya kepada Isa, “Ya Junjungan, pada masa inikah Junjungan mengembalikan kerajaan ini kepada bangsa Israel?”
7 Dia berkata kepada mereka, “Tidaklah diberi bagi kamu mengetahui waktu atau saat yang sudah ditetapkan oleh Bapa dalam kekuasaan-Nya sendiri.
8 dTetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Allah datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi.”
9 eSetelah Dia berkata demikian, di hadapan mata mereka Dia diangkat lalu disambut awan dan lenyap daripada pandangan mereka.
10 Sedang mereka merenung ke langit ketika Dia diangkat, tiba-tiba dua orang yang berpakaian putih berdiri di samping mereka.
11 Orang itu berkata, “Wahai orang Galilea, mengapa kamu berdiri memandang ke langit? Sebagaimana Isa telah diangkat ke syurga daripada kalanganmu, begitu jugalah Dia datang kelak.”
Matias dipilih menggantikan Yudas
12 Setelah itu, para rasul pun kembali ke Yerusalem dari bukit bernama Zaitun yang dekat dengan kota itu, jaraknya perjalanan sehari Sabat.
13 fSetibanya mereka di Yerusalem, mereka naik ke bilik atas tempat mereka menumpang. Mereka ialah Petrus, Yahya, Yakobus, Andreas; Filipus dan Tomas, Bartolomeus, Matius, Yakobus bin Alfeus, dan Simon, orang Patriot;* serta Yudas bin Yakobus.
14 Mereka semuanya dengan sehati terus-menerus berdoa, bersama orang perempuan dan Maryam ibu Isa, serta saudara-saudara-Nya.
15 Pada masa itu Petrus berdiri dalam kalangan pengikut Isa (kesemuanya yang berhimpun kira-kira seratus dua puluh orang) lalu berkata,
16 “Saudara-saudara, pastilah terlaksana Kitab Suci yang dahulu disampaikan oleh Roh Allah melalui lidah Nabi Daud tentang Yudas, yang menjadi panduan kepada orang yang menangkap Isa.
17 Dia telah dianggap sebahagian daripada kita dan diberi jawatan dalam pekerjaan kita ini.”
18 g(Dia memperoleh sekeping tanah dengan upah durjananya; dia jatuh terjerumus, bahagian pertengahan tubuhnya pecah dan segala isi perutnya terburai.
19 Seluruh penduduk Yerusalem mendapat tahu hal itu lalu menamakan tanah itu Hakal Dama dalam bahasa mereka, iaitu Tanah Darah.)
20 h“Sudah tersurat dalam Kitab Suci Zabur,
“‘Biarlah tempat kediamannya menjadi sepi;
jangan sesiapa pun tinggal di situ,’ dan,
‘Biarlah orang lain mengambil jawatannya.’
21 i“Oleh itu, antara orang yang telah berserta dengan kita sepanjang masa Isa, Junjungan Yang Ilahi, keluar masuk bersama kita,
22 dari masa Dia diimadkan oleh Yahya sampailah ke hari Dia diangkat naik daripada kalangan kita, seorang daripada mereka haruslah menjadi saksi di samping kita tentang kebangkitan-Nya.”
23 Mereka mencadangkan dua orang: Yusuf yang juga dipanggil Barsabas (juga dikenali sebagai Yustus), dan Matias.
24 Mereka pun berdoa, “Ya Tuhan yang mengetahui hati sekalian manusia, tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini Engkau pilih
25 untuk memegang jawatan ini serta menjalankan kerja kerasulan bagi menggantikan Yudas; sebabnya Yudas telah meninggalkan jawatan dan pekerjaan ini untuk pergi ke tempat yang wajar baginya.”
26 Mereka membuang undi lalu terkena kepada Matias. Dia pun diambil menyertai sebelas rasul itu.
Kedatangan Roh Allah
1 aApabila tiba Hari Pentakosta, mereka semuanya bersama-sama di suatu tempat.
2 Tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk.
3 Kemudian kelihatan lidah-lidah yang berbelah-belah, seperti api rupanya, dan setiap satu hinggap di atas setiap orang daripada mereka.
4 Mereka semuanya dipenuhi Roh Allah lalu mulai bertutur dalam pelbagai bahasa asing, seperti yang diberikan oleh Roh itu.
5 Pada waktu itu terdapat orang Yahudi yang salih daripada segala bangsa di bawah langit tinggal di Yerusalem.
6 Apabila mendengar bunyi itu, mereka datang beramai-ramai lalu tercengang kerana masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya.
7 Mereka hairan dan takjub lalu berkata sesama sendiri, “Bukankah semuanya yang berkata-kata ini orang Galilea?
8 Bagaimanakah mungkin masing-masing kita mendengar bahasa ibunda sendiri?
9 Orang Partia, Media, dan Elam, orang yang tinggal di Mesopotamia, Yudea dan Kapadokia, Pontus dan Asia Kecil.
10 Frigia dan Pamfilia, Mesir dan kawasan-kawasan Libya yang bersempadan dengan Kirene, pengunjung dari Rom,
11 baik berbangsa Yahudi mahupun penganut agama Yahudi, orang Kreta dan orang Arab, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita masing-masing tentang perbuatan Allah yang menakjubkan.”
12 Oleh itu, mereka hairan dan bingung lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah ertinya semua ini?”
13 Ada pula yang mengejek, “Semua orang ini mabuk air anggur manis.”
Khutbah Petrus
14 Petrus berdiri bersama sebelas rasul lagi lalu berkata dengan suara yang lantang, “Saudara-saudara orang Yahudi dan semua penduduk di Yerusalem, ketahuilah hal ini serta dengarlah baik-baik kata-kataku.
15 Mereka ini bukanlah mabuk seperti saudara-saudara sangka, kerana hari baru pukul sembilan pagi sekarang.
16 Tetapi inilah yang dikatakan oleh Nabi Yo'el:
17 b“‘Bahawa akan berlaku pada akhir zaman, firman Allah,
Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia.
Anakmu lelaki perempuan akan bernubuat,
Orang mudamu akan melihat penglihatan,
Orang tuamu akan bermimpi.
18 Dan ke atas hamba-Ku lelaki perempuan,
Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu,
lalu mereka bernubuat.
19 Aku akan menunjukkan keajaiban di langit dan tanda di bumi,
darah dan api serta kepulan-kepulan asap.
20 Matahari akan menjadi gelap,
dan bulan menjadi seperti darah,
sebelum tiba hari Tuhan yang besar dan mulia.
21 Dan terlaksanalah kelak,
bahawa sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.’
22 “Saudara-saudara orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Isa orang Nazaret itu seorang Manusia yang dipersaksikan oleh Allah kepadamu dengan mukjizat, keajaiban dan tanda yang dilakukan Allah melalui-Nya dalam kalangan kamu. Kamu sendiri tahu tentang hal itu.
23 cDia, yang diserahkan kepadamu seperti yang telah dirancangkan dan ditentukan oleh Allah, telah kamu salib dan bunuh dengan bantuan orang durjana.
24 dAllah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya.
25 eKerana Daud telah berkata tentang-Nya:
“‘Bahawa aku telah melihat Tuhan sentiasa di hadapanku.
Dia ada di sisi kananku,
aku tidak akan goyah.
26 Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira;
jasadku juga akan bersandar pada harapan.
27 Kerana Engkau tidak akan meninggalkan rohku di alam maut,
dan Engkau tidak akan membiarkan Orang Suci-Mu reput.
28 Engkau telah menunjukkan jalan hidup,
dan Engkau akan memenuhiku dengan kebahagiaan di hadirat-Mu.’
29 “Saudara-saudaraku, aku akan bercakap terus terang kepadamu tentang moyang kita Daud, bahawa dia telah wafat dan dimakamkan, dan makamnya ada di tanah kita sampai hari ini.
30 fOleh sebab dia seorang nabi dan menyedari bahawa Allah telah berjanji kepadanya dengan bersumpah bahawa Dia akan mendudukkan seorang daripada benih keturunan jasadnya di atas takhta kerajaan Daud.
31 Dia telah melihat terdahulu hal ini, maka dia bercakap tentang kebangkitan al-Masih, bahawa roh-Nya tidak akan ditinggalkan di alam maut, dan jasad-Nya tidak akan reput.
32 “Allah telah membangkitkan Isa ini dan kami semua menyaksikannya.
33 Dia telah dinaikkan ke syurga ke sebelah kanan Allah, dan daripada Allah Bapa Dia telah menerima Roh Allah yang telah dijanjikan-Nya. Lalu Dia mencurahkan Roh itu seperti yang kamu lihat dan dengar sekarang.
34 gDaud tidak naik ke syurga, tetapi dia sendiri berkata demikian,
“‘Allah berfirman kepada Junjunganku Yang Ilahi:
“Duduklah di sebelah kanan-Ku,
35 sehingga Kujadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.”’
36 “Oleh itu, hendaklah seluruh keturunan kaum Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Isa, yang kamu salib itu, Junjungan Yang Ilahi dan juga al-Masih.”
37 Apabila mereka mendengar ini, hati mereka pun berasa tertusuk, lalu mereka berkata kepada Petrus dan para rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang patut kami perbuat?”
38 Petrus pun berkata kepada mereka, “Bertaubatlah, dan hendaklah setiap orang daripada kamu diimadkan atas nama Isa al-Masih supaya dosa-dosamu diampunkan; dan kamu akan menerima pemberian Roh Allah;
39 kerana janji itu telah dibuat kepada kamu dan anak-anakmu, dan kepada semua yang jauh-jauh, seberapa ramai yang akan dipanggil oleh Allah, Tuhan kita.”
40 Petrus bersaksi dengan banyak perkataan lain lagi, dan menyeru mereka, “Selamatkanlah dirimu daripada angkatan yang ingkar ini.”
41 Kemudian semua orang yang menerima kata-katanya dengan rela hati diimadkan; pada hari itu bilangan mereka bertambah kira-kira tiga ribu orang.
Jemaah yang pertama
42 Mereka berpegang teguh pada pengajaran para rasul, dan pada persaudaraan, pembahagian roti dan doa.
43 Rasa takut memenuhi setiap hati dan banyak keajaiban serta tanda dilakukan melalui para rasul itu.
44 hKetika itu semua yang beriman tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka,
45 serta menjual harta benda mereka lalu membahagikannya antara mereka menurut keperluan seseorang.
46 Demikianlah setiap hari mereka di Bait Allah dengan satu hati, dan membahagi roti dari rumah ke rumah, lalu memakan rezeki mereka dengan sukacita dan tulus hati,
47 sambil memuji Allah dan menerima rasa muhibah daripada semua orang. Setiap hari Junjungan Yang Ilahi menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan.
Orang lumpuh disembuhkan
1 Petrus dan Yahya naik ke Bait Allah bersama-sama pada waktu sembahyang, iaitu pukul tiga petang.
2 Ada seorang lumpuh sejak dari rahim ibunya. Setiap hari dia diangkat orang dan diletakkan di pintu Bait Allah itu yang dinamakan Pintu Indah, untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Bait Allah itu.
3 Apabila dia melihat Petrus dan Yahya sedang hendak masuk ke Bait Allah itu, dia pun meminta sedekah.
4 Petrus merenungnya, bersama Yahya, lalu berkata, “Pandanglah kami.”
5 Orang itu pun menatap mereka, dengan harapan mendapat sesuatu daripada mereka.
6 Kemudian Petrus berkata, “Emas perak tiada padaku, tetapi apa yang ada padaku kuberikan kepadamu: Dalam nama Isa al-Masih, orang Nazaret, bangkit dan berjalanlah.”
7 Petrus memegang tangan kanannya dan menolongnya berdiri, lalu serta-merta tulang kaki dan buku lalinya mendapat kekuatan.
8 Orang itu melompat bangun, berdiri lalu berjalan. Kemudian dia masuk ke Bait Allah itu mengikut Petrus dan Yahya sambil berjalan, melompat dan memuji Allah.
9 Semua orang melihatnya berjalan sambil memuji Allah.
10 Ketika itu mereka pun mengetahui dia itu orang yang duduk meminta sedekah di Pintu Indah Bait Allah itu. Mereka pun dipenuhi rasa hairan dan ajaib akan apa yang telah berlaku kepadanya.
Petrus berkhutbah di Bait Allah
11 Sementara orang lumpuh yang telah disembuhkan itu berpegang kepada Petrus dan Yahya, semua orang yang tersangat hairan itu berlari mengerumuni mereka di serambi yang dinamakan Serambi Sulaiman.
12 Apabila Petrus melihat keadaan ini, dia terus berkata kepada orang yang berhimpun itu, “Saudara-saudara orang Israel, mengapa kamu takjub melihat kejadian ini? Mengapa pula kamu merenung kami, seolah-olah dengan kuasa atau kesalihan kami sendiri kami telah membolehkan orang ini berjalan?
13 aTuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub, iaitu Tuhan nenek moyang kita, telah memuliakan Hamba-Nya Isa yang telah kamu serahkan dan sangkal di hadapan Pilatus walaupun dia membuat keputusan hendak melepaskan-Nya.
14 bKamu menyangkal Yang Suci dan Benar itu, serta meminta seorang pembunuh diserahkan kepadamu,
15 lalu kamu membunuh sumber hayat itu; Allah membangkitkan-Nya daripada kematian, dan kami ini menjadi saksinya.
16 Iman pada nama Isa telah menguatkan orang ini, yang kamu lihat dan kenali. Ya, iman yang datang daripada-Nya telah memberi orang ini kesihatan yang sempurna di hadapan kamu sekalian.
17 “Namun demikian, saudara-saudara, aku tahu bahawa kamu berbuat demikian dalam kejahilan, begitu juga para pemimpinmu.
18 Tetapi dengan cara demikianlah segala yang dinyatakan Allah melalui lidah nabi-nabi-Nya, bahawa al-Masih akan menderita, telah ditunaikan-Nya.
19 Oleh itu, bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan,
20 dan supaya masa yang memberikan kesegaran datang kelak daripada Tuhan. Dan juga supaya Dia menghantar Isa al-Masih yang telah ditentukan-Nya menjadi al-Masih bagimu.
21 Al-Masih mesti tetap di syurga sampai masa Allah memulihkan segala-galanya, seperti yang difirmankan-Nya dahulukala melalui lidah nabi-nabi-Nya yang suci.
22 cNabi Musa sesungguhnya telah berkata kepada nenek moyang kita, ‘Allah, Tuhanmu, akan membangkitkan untukmu seorang Nabi sepertiku daripada kalangan bangsamu. Dengarlah segala kata-Nya kepadamu dalam semua hal.
23 dSetiap jiwa yang tidak mendengar kata Nabi itu akan dibinasakan sama sekali daripada kalangan kaumnya.’
24 “Ya, semua nabi, daripada Samuel dan selepasnya, semua yang telah bersuara, juga telah bernubuat tentang zaman ini.
25 eKamu ialah anak cucu nabi-nabi itu, dan waris perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita melalui firman-Nya kepada Nabi Ibrahim, ‘Melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati.’
26 Pertama sekali kepada kamu, Allah telah membangkitkan Hamba-Nya Isa dan menghantar-Nya untuk memberkatimu dengan memalingkan kamu sekalian daripada kejahatanmu.”
Petrus dan Yahya di hadapan Majlis Agama
1 Sementara Petrus dan Yahya bercakap kepada orang ramai, para imam dan ketua pengawal Bait Allah serta orang Saduki datang kepada mereka.
2 Mereka sangat gelisah bahawa rasul itu mengajar orang ramai dan memberitakan kebangkitan daripada kematian melalui Isa.
3 Mereka menangkap Petrus dan Yahya lalu memasukkan mereka ke dalam penjara sampai esok kerana hari sudah malam.
4 Namun demikian, ramai orang yang telah mendengar apa yang diajarkan itu percaya, dan jumlah laki-laki telah bertambah kira-kira lima ribu.
5 Pada esoknya, para pemimpin masyarakat Yahudi, tua-tua dan ahli-ahli Taurat berhimpun di Yerusalem,
6 dan juga imam besar Hanas, Kayafas, Yahya, Iskandar dan seluruh keluarga imam besar.
7 Mereka membawa Petrus dan Yahya untuk dihadapkan kepada mereka. Kemudian mereka pun bertanya, “Dengan kuasa apa dan dengan nama siapakah kamu telah melakukan perkara itu?”
8 Petrus yang dipenuhi Roh Allah berkata kepada mereka, “Para pemimpin masyarakat Israel!
9 Sekiranya hari ini kami dihakimi atas perbuatan baik kepada seorang yang lumpuh, sehingga dia dipulihkan,
10 maka ketahuilah kamu sekalian dan seluruh bangsa Israel, bahawa dengan nama Isa al-Masih dari Nazaret, yang telah kamu salib dan telah dibangkitkan Allah daripada kematian, dengan nama Dialah orang ini berdiri di sini di hadapanmu dalam keadaan sihat sempurna.
11 aInilah
“‘batu yang kamu buang sebagai pembina,
kini telah menjadi batu penjuru.’
12 Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan dalam kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita.”
13 Apabila mereka melihat keberanian Petrus dan Yahya sedangkan kedua-duanya ternyata orang yang tidak berpelajaran serta tidak terlatih, mereka pun hairan. Mereka sedar bahawa kedua-duanya telah bersama dengan Isa.
14 Apabila mereka melihat orang yang sudah disembuhkan itu berdiri di sisi kedua-duanya, mereka tidaklah dapat menyangkal lagi.
15 Tetapi setelah mereka menyuruh kedua-duanya keluar dari majlis itu, mereka pun bermesyuarat sesama sendiri,
16 “Apakah yang akan kita lakukan kepada mereka itu? Sesungguhnya, sudah nyata kepada semua orang Yerusalem bahawa satu mukjizat yang mengagumkan telah dilakukan melalui mereka, dan kita tidak dapat menafikannya.
17 Tetapi supaya berita ini tidak tersebar lebih luas dalam kalangan bangsa kita, eloklah kita melarang mereka berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan menggunakan nama itu.”
18 Dengan demikian mereka pun memanggil kedua-duanya itu dan mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Isa.
19 Tetapi Petrus dan Yahya menjawab, “Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu lebih daripada mendengar kata Allah? Timbangkanlah,
20 kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu.”
21 Setelah membuat beberapa ugutan lagi, mereka melepaskan kedua-dua rasul itu kerana tidak tahu bagaimana hendak menghukum mereka, memandangkan seluruh masyarakat memuji Allah atas apa yang telah dilakukan itu;
22 padahal orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu sudah berumur lebih daripada empat puluh tahun.
Doa orang beriman
23 Setelah dilepaskan, Petrus dan Yahya segera pergi mendapatkan rakan-rakan mereka lalu menceritakan segala yang dikatakan oleh para imam besar dan pemimpin masyarakat itu kepada mereka.
24 bApabila mendengar segalanya, mereka semua berseru dengan satu hati, “Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta laut dengan segala isinya!
25 cDengan Roh-Mu Engkau telah berfirman melalui wahyu yang diturunkan kepada Daud, nenek moyang kami, berfirman:
“‘Mengapa bangsa-bangsa asing naik berang
dan kaum-kaum berkomplot dengan sia-sia?
26 Raja-raja bumi ini menegakkan pendirian,
dan para pemimpin bermuafakat
untuk melawan Tuhan
dan melawan Dia yang diurapi-Nya.’
27 dSesungguhnya, Herodes dan Pontius Pilatus, bersama orang asing dan bangsa Israel telah berhimpun di negeri ini melawan Isa, Hamba Suci-Mu yang telah Kauurapi,
28 untuk melakukan segala yang sudah ditentukan oleh kuasa dan tujuan-Mu.
29 Ya Tuhan, lihatlah ugutan mereka dan kurniakanlah kepada hamba-hamba-Mu ini sepenuh keberanian untuk menyampaikan firman-Mu.
30 Hulurkan tangan-Mu untuk menyembuhkan dan melakukan tanda-tanda ajaib serta mukjizat dengan nama Isa, Hamba Suci-Mu.”
31 Setelah mereka berdoa, tempat mereka berhimpun itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi dengan Roh Allah dan mengucap firman Allah dengan berani.
Orang beriman berkongsi segalanya
32 eSemua orang yang sudah percaya itu sehati sejiwa. Tiada seorang pun yang mengatakan sesuatu itu miliknya; mereka berkongsi segalanya.
33 Dengan kuasa yang hebat rasul-rasul itu bersaksi tentang kebangkitan Isa, Junjungan Yang Ilahi. Rahmat Allah besar melimpahi mereka sekalian.
34 Tiada seorang pun di antara mereka yang kekurangan; kerana semua yang memiliki harta atau rumah telah menjualnya, membawa wang jualan itu
35 dan meletakkannya di kaki para rasul; lalu dibahagikanlah antara mereka menurut keperluan masing-masing.
36 Yusuf yang digelar para rasul Barnabas (yang diterjemahkan sebagai Anak Pendorong), orang Lewi dari Siprus,
37 ada mempunyai tanah. Dia menjualnya lalu membawa wang jualan itu, dan meletakkannya di kaki para rasul.
Ananias dan Safira
1 Seorang yang bernama Ananias, serta isterinya Safira, telah menjual sebidang tanah milik mereka.
2 Dia menyimpan sebahagian wang jualan itu dengan pengetahuan isterinya dan membawa sebahagian lagi untuk diletakkan di kaki para rasul.
3 Petrus berkata, “Ananias, mengapakah Iblis memenuhi hatimu sehingga kau berdusta kepada Roh Allah dengan menyimpan sebahagian wang jualan tanah itu untuk dirimu?
4 Ketika tanah itu masih ada, bukankah tanah itu milikmu? Setelah dijual, bukankah wangnya dalam kawalanmu juga? Mengapakah kamu membentuk niat ini dalam hatimu? Kamu bukan berdusta kepada manusia tetapi kepada Allah.”
5 Apabila Ananias mendengar kata-kata itu, dia pun rebah lalu meninggal dunia. Oleh yang demikian semua orang yang mendengar hal itu amat ketakutan.
6 Orang muda-muda bangun lalu mengafankannya, mengangkatnya keluar dan menguburkannya.
7 Kira-kira tiga jam kemudian, isterinya masuk tanpa mengetahui apa yang telah terjadi.
8 Petrus berkata kepadanya, “Katakanlah kepadaku, adakah kamu menjual tanah itu dengan harga sekian?” Safira menjawab, “Ya, dengan harga sekian.”
9 Petrus berkata kepadanya, “Bagaimana pula kamu berdua telah bermuafakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, kaki orang yang telah menguburkan suamimu ada di muka pintu, dan mereka akan mengangkatmu pula keluar.”
10 Perempuan itu serta-merta rebah di kakinya lalu meninggal dunia. Orang muda-muda itu masuk dan mendapati perempuan itu sudah mati lalu mengangkatnya keluar dan menguburkannya di sisi suaminya.
11 Oleh yang demikian, seluruh jemaah amat ketakutan, begitu juga semua yang mendengar hal itu.
Tanda-tanda ajaib dan mukjizat
12 Melalui rasul-rasul itu banyak tanda ajaib dan mukjizat dilakukan dalam kalangan masyarakat itu. Semuanya berhimpun dengan sehati di Serambi Sulaiman.
13 Walaupun orang lain tidak berani menyertai mereka, namun orang ramai sangat menghormati mereka.
14 Semakin lama semakinlah bertambah bilangan orang yang mempercayai Junjungan Yang Ilahi, baik lelaki mahupun perempuan.
15 Orang membawa orang sakit keluar ke tengah jalan, membaringkan mereka di atas katil dan tikar, dengan harapan sekurang-kurangnya bayang-bayang Petrus akan menyentuh sesetengahnya apabila dia lalu kelak.
16 Ramai pula orang dari kota-kota sekeliling Yerusalem datang berhimpun, membawa orang yang sakit dan yang dirasuk roh-roh jahat, lalu semuanya disembuhkan.
Para rasul dianiaya
17 Imam besar dan semua yang bersamanya (iaitu daripada mazhab orang Saduki) amat iri hati
18 lalu menangkap rasul-rasul itu dan memasukkan mereka ke penjara umum.
19 Tetapi pada malam itu malaikat Tuhan membuka pintu penjara lalu membawa rasul-rasul itu keluar sambil berkata,
20 “Pergilah berdiri di Bait Allah dan nyatakan segala yang dikatakan tentang hidup baru ini kepada orang ramai.”
21 Setelah mendengar kata-kata itu, ketika fajar menyingsing, mereka pergi ke Bait Allah dan mula mengajar.
Kemudian tibalah imam besar dan pengikut-pengikutnya. Mereka memanggil para tua-tua orang Israel berkumpul untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama, lalu memerintahkan rasul-rasul itu dibawa dari penjara untuk dihadapkan kepada mereka.
22 Apabila pegawai-pegawai itu sampai di penjara dan mendapati rasul-rasul itu tidak ada di situ, mereka pun pulang melaporkan hal itu,
23 “Kami dapati pintu penjara tetap berkunci dan pengawal-pengawal berjaga di situ, tetapi apabila kami membuka pintu, kami dapati tiada seorang pun di dalam penjara itu.”
24 Apabila ketua Bait Allah dan ketua-ketua imam mendengar laporan itu, mereka kebingungan tentang apa yang mungkin terjadi kelak.
25 Kemudian seorang lelaki masuk dan berkata kepada mereka, “Orang yang tuan-tuan penjarakan itu sedang mengajar orang ramai di dalam Bait Allah!”
26 Dengan demikian, ketua Bait Allah pergi diiringi pegawai-pegawai lalu membawa rasul-rasul itu beredar dari situ tanpa menggunakan kekerasan, kerana takut direjam oleh orang ramai.
27 Mereka membawa para rasul ke hadapan Majlis Agama. Imam besar berkata,
28 a“Bukankah kami telah melarang keras kamu mengajar atas nama itu? Tetapi lihatlah, kamu telah menyebarkan ajaran itu ke serata Yerusalem dan berniat mempertanggungjawabkan kami atas kematian-Nya!”
29 Petrus dan rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat akan Allah, bukan manusia!
30 Allah, Tuhan yang disembah oleh nenek moyang kita, telah membangkitkan Isa yang telah kamu bunuh dengan menyalib-Nya.
31 Allah mengangkat Isa kepada kedudukan mulia di sebelah kanan-Nya, sebagai Anak Raja dan Penyelamat, supaya umat Israel dapat bertaubat dan dosa-dosa mereka diampunkan.
32 Kami menjadi saksi dalam semua hal ini, begitu juga Roh Allah yang dikurniakan Allah kepada semua yang taat akan perintah-Nya.”
33 Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka sangat marah sehingga berura-ura hendak membunuh para rasul.
34 Akan tetapi, dalam kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang dari mazhab Farisi bernama Gamaliel, seorang ahli Taurat yang sangat disegani. Dia bangkit lalu mengarahkan orang membawa para rasul keluar sejurus.
35 Kemudian dia berkata kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara orang Israel! Timbangkan halus-halus apa yang hendak saudara semua lakukan terhadap orang itu.
36 Suatu masa dahulu, Teudas telah bangkit dan mengaku dirinya pemimpin besar. Kira-kira empat ratus orang menjadi pengikutnya. Tetapi dia dibunuh, lalu semua pengikutnya kucar-kacir dan pergerakannya hilang begitu sahaja.
37 Selepas itu muncul pula Yudas, orang Galilea, pada masa pembancian. Dia mempengaruhi ramai orang untuk memberontak, namun dia juga dibunuh, lantas semua pengikutnya kucar-kacir.
38 Dengan demikian, dalam hal ini, aku cadangkan jangan ambil apa-apa tindakan terhadap orang itu. Bebaskan mereka. Kalau rancangan atau usaha ini daripada manusia, segalanya akan hilang begitu sahaja.
39 Sebaliknya, kalau segalanya itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak mungkin menumpaskannya, malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.”
40 Majlis Agama menerima nasihat Gamaliel. Para rasul dipanggil, dipukul, dilarang lagi bercakap dengan nama Isa, lalu dibebaskan.
41 Ketika beredar pergi dari Majlis Agama, para rasul bersukacita kerana dianggap layak menanggung aib atas nama Isa.
42 Setiap hari, di Bait Allah dan di setiap rumah orang, mereka terus-menerus mengajarkan dan mengkhabarkan berita baik bahawa Isa itulah al-Masih.
Tujuh orang dipilih untuk berkhidmat
1 Tidak berapa lama selepas itu, ketika pengikut Isa kian meningkat bilangannya, timbullah aduan daripada orang Yahudi peranakan Yunani terhadap orang Yahudi Ibrani. Orang Yahudi peranakan Yunani berkata bahawa balu dalam kalangan mereka diabaikan dalam pengagihan bantuan harian.
2 Dengan demikian, dua belas rasul itu menghimpunkan semua pengikut lalu berkata, “Kami ini tidaklah wajar mengetepikan kewajipan menyampaikan firman Allah untuk melayan di meja makan.
3 Oleh itu, pilihlah tujuh orang dalam kalangan saudara yang mempunyai nama baik dan dipenuhi Roh Allah serta kebijaksanaan, supaya kami tugaskan mereka mengendalikan hal itu.
4 Kami akan memenuhi masa kami dengan berdoa dan menyampaikan perkhabaran firman Allah.”
5 Semua bersetuju dengan cadangan para rasul. Mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat teguh imannya serta dikuasai oleh Roh Allah. Di samping itu, mereka memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang penganut agama Yahudi.
6 Tujuh orang itu dibawa ke hadapan para rasul. Para rasul pun berdoa dan meletakkan tangan ke atas mereka.
7 Dengan demikian firman Allah semakin tersebar dan bilangan pengikut Isa di Yerusalem kian meningkat, dan ramai imam menjadi orang beriman.
Stefanus ditangkap
8 Stefanus, yang dipenuhi rahmat Allah dan kuasa rohani, banyak melakukan keajaiban dan tanda dalam kalangan orang ramai.
9 Tetapi ada beberapa orang yang bangkit menentangnya, iaitu anggota saumaah yang disebut Saumaah Orang Yang Dibebaskan (terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene, Iskandaria, Kilikia dan Asia). Mereka mulai berbahas dengan Stefanus.
10 Namun demikian, mereka tidak dapat menewaskan kebijaksanaan dan Roh Allah yang mengilhamkan kata-katanya.
11 Setelah itu, mereka senyap-senyap mendorong beberapa orang berkata, “Kami telah mendengar dia melafazkan kata-kata kufur terhadap Musa dan Allah.”
12 Mereka menghasut orang ramai, tua-tua dan ahli-ahli Taurat sehingga Stefanus ditangkap dan dihadapkan ke Majlis Agama.
13 Mereka membawa saksi-saksi palsu yang berkata tentang Stefanus, “Orang ini tidak putus-putus meluahkan kata-kata kufur tentang tempat suci ini dan hukum agama kita.
14 Kami mendengar dia berkata bahawa Isa orang Nazaret itu akan membinasakan tempat ini dan mengubah segala adat yang telah disampaikan kepada kita oleh Musa.”
15 Ketika itu semua orang yang duduk di Majlis Agama merenung Stefanus dan melihat mukanya seperti wajah malaikat.
Pembicaraan Stefanus
1 Kemudian imam besar bertanya kepada Stefanus, “Benarkah segala tuduhan ini?”
2 aStefanus menjawab, “Bapa-bapa dan saudara-saudara! Dengarlah: Sebelum moyang kita Ibrahim berpindah ke Haran, Allah Yang Maha Mulia telah menampakkan diri kepadanya di Mesopotamia.
3 Allah berfirman kepadanya, ‘Tinggalkanlah negerimu dan sanak saudaramu. Pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.’
4 b“Ibrahim pun terus meninggalkan negeri Kasdim dan tinggal di Haran. Setelah bapa Ibrahim meninggal dunia, Allah memindahkan pula Ibrahim ke negeri tempat saudara-saudara dan bapa-bapa tinggal sekarang ini.
5 cKetika itu Allah tidak memberikan warisan apa pun kepada Ibrahim sebagai miliknya, secebis tanah pun tidak. Namun begitu, Allah berjanji akan mengurniakan tanah ini kepada Ibrahim sebagai miliknya dan milik keturunannya, walaupun pada masa itu Ibrahim tidak mempunyai anak.
6 dNamun demikian, Allah berfirman kepadanya bahawa keturunannya akan menjadi pendatang di negeri orang dan akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun.
7 e‘Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka,’ Allah berfirman. ‘Setelah itu, mereka akan keluar dari negeri itu dan menyembah-Ku di sini.’
8 fKemudian Allah membuat perjanjian sunat dengan Nabi Ibrahim; maka Ibrahim mendapat anak lelaki bernama Ishak dan menyunatkannya pada hari kelapan; Nabi Ishak mendapat Yakub dan Nabi Yakub mendapat dua belas orang anak lelaki yang menjadi nenek moyang bangsa kita.
9 g“Nenek moyang bangsa kita itu menaruh hasad dengki terhadap Nabi Yusuf lalu menjualnya sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertainya
10 hdan menyelamatkannya daripada segala kesusahannya. Apabila Yusuf menghadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniainya budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir melantiknya menjadi pemerintah yang berkuasa atas seluruh negeri itu dan istananya.
11 i“Kemudian seluruh Mesir dan Kanaan dilanda kebuluran, dan nenek moyang kita tidak dapat mencari makanan.
12 Apabila Yakub mendengar bahawa di Mesir ada gandum, dia menyuruh anak-anaknya, nenek moyang kita, pergi ke situ bagi kali pertama.
13 jKetika mereka ke sana bagi kali kedua, Yusuf diperkenalkan kepada saudara-saudaranya itu dan keluarga Yusuf diketahui oleh Firaun.
14 kLalu Yusuf mengirim khabar dan meminta bapanya, Yakub, serta seluruh keluarganya berpindah ke Mesir; tujuh puluh lima jiwa semuanya.
15 lYakub sekeluarga pun berpindah ke Mesir. Di situlah dia dan nenek moyang kita meninggal dunia.
16 mJenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikebumikan di kuburan yang telah dibeli oleh Ibrahim dengan sejumlah wang daripada suku Hamor, bapa Sikhem.
17 n“Apabila masa bagi Allah menunaikan janji-Nya kepada Ibrahim semakin hampir, bilangan bangsa kita di Mesir telah meningkat banyak sekali.
18 Kemudian seorang raja lain yang tidak kenal akan Yusuf menaiki takhta kerajaan Mesir.
19 oRaja itu memperdaya bangsa kita dan menindas nenek moyang kita, dengan memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir dan membiarkannya mati.
20 p“Pada masa itulah Nabi Musa dilahirkan, seorang bayi yang elok di mata Allah. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan.
21 qApabila dia terpaksa dibuang, puteri Firaun mengambilnya dan memeliharanya sebagai anak sendiri.
22 Musa menjadi arif dalam segala ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan orang Mesir dan menjadi seorang yang sangat handal, baik dari segi perkataan mahupun perbuatan.
23 r“Sewaktu Musa berusia empat puluh tahun, hatinya tergerak hendak mengunjungi saudara-saudaranya orang Israel.
24 Dia terpandang seorang daripada mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia pun membela orang yang dianiaya itu dan membunuh orang Mesir itu;
25 kerana Musa menyangka saudara-saudara sebangsanya mengerti bahawa Allah akan menyelamatkan mereka melaluinya, tetapi mereka tidak mengerti.
26 Esoknya, dia terlihat pula dua orang Israel sedang bergaduh lalu cuba mendamaikan mereka, katanya, ‘Kamu bersaudara. Mengapa kamu saling menganiaya?’
27 “Tetapi orang yang menganiaya saudara sebangsanya itu menolak Musa ke tepi sambil bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?
28 Adakah kamu ingin membunuhku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?’
29 sKetika Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu menetap di negeri Madyan. Di situ dia mendapat dua orang anak lelaki.
30 t“Empat puluh tahun kemudian, malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam api belukar yang bernyala, di tanah gurun dekat Gunung Sinai.
31 Musa kehairanan melihatnya lalu menghampirinya. Dia mendengar suara Tuhan berfirman,
32 ‘Akulah Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ishak dan Yakub.’ Musa gementar ketakutan dan tidak berani memandang lagi.
33 “Tuhan berfirman seterusnya, ‘Tanggalkan kasutmu dari kakimu, kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci.
34 Aku telah melihat penindasan umat-Ku di Mesir. Aku telah mendengar rintihan mereka, dan telah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutusmu ke Mesir.’
35 u“Musa inilah yang telah ditolak oleh umat Israel dengan kata-kata, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?’ Justeru dialah yang diutus Allah sebagai pemerintah dan pembebas, melalui malaikat yang menampakkan diri kepadanya di belukar itu.
36 vMusa memimpin orang Israel keluar dari Mesir setelah melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah dan kemudian di tanah gurun selama empat puluh tahun.
37 w“Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, ‘Allah akan membangkitkan untukmu seorang nabi sepertiku daripada kalangan bangsamu.’
38 xMusa inilah yang bersama jemaah bangsa Israel yang berhimpun di tanah gurun. Dia di sana berserta nenek moyang kita dan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Dialah yang menerima firman hidup, untuk disampaikan kepada kita.
39 “Tetapi nenek moyang kita enggan taat kepadanya. Mereka menolaknya dan dalam hati mereka berpaling semula ke Mesir.
40 yMereka berkata kepada Nabi Harun, ‘Buatkan kami patung pujaan yang dapat memimpin kami, kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Mesir.’
41 zSetelah itu, mereka membuat berhala berbentuk anak lembu dan mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka bersuka ria meraikan buatan tangan mereka sendiri.
42 aOleh itu, Allah berpaling daripada mereka dan membiarkan mereka menyembah segala yang di langit. Demikianlah yang tersurat dalam kitab nabi-nabi:
“‘Adakah kamu mempersembahkan korban sembelihan dan persembahan kepada-Ku
selama empat puluh tahun di tanah gurun, hai keturunan kaum Israel?
43 Malah kamu mengusung khemah Molokh
dan bintang berhalamu Refan,
patung-patung yang kamu buat untuk kamu sembah;
maka Aku akan membuangmu jauh ke seberang Babel.’
44 b“Nenek moyang kita mempunyai Khemah Kesaksian di tanah gurun. Khemah ini dibuat sebagaimana yang diperintahkan kepada Musa menurut contoh yang telah dilihatnya.
45 cNenek moyang kita, setelah menerimanya, bersama Nabi Yusha telah membawanya masuk ke negeri kita yang dikuasai oleh bangsa-bangsa asing. Allah telah mengusir bangsa-bangsa asing itu di hadapan mereka, dan khemah itu tetap di tanah tersebut hingga zaman Nabi Daud.
46 dDaud mendapat keredaan Allah dan memohon izin-Nya untuk membina sebuah rumah untuk Tuhan yang disembah oleh Yakub.
47 eTetapi Nabi Sulaiman yang membina rumah untuk-Nya.
48 “Namun demikian, Tuhan Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan tangan manusia, seperti kata nabi:
49 f“Tuhan berfirman, ‘Syurga arasy-Ku,
dan bumi alas kaki-Ku.
Rumah apakah yang hendak kamu bina untuk-Ku,
dan di manakah tempat persemayam-Ku?
50 Bukankah Aku sendiri yang telah mencipta semua ini?’”
51 g“Hai yang keras kepala dan tidak bersunat hati dan telingamu! Kamu sentiasa melawan Roh Allah sebagaimana yang dilakukan oleh nenek moyangmu.
52 Nabi manakah yang tidak dianiaya oleh nenek moyangmu? Mereka membunuh nabi-nabi yang telah menubuatkan kedatangan Yang Benar itu, yang kamu khianati dan bunuh.
53 Kamu telah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat, tetapi kamu tidak mematuhinya.”
Stefanus direjam
54 Apabila mendengar kata-kata ini, mereka tersangat sakit hati dan berang terhadap Stefanus.
55 Akan tetapi, dia dipenuhi Roh Allah lalu merenung ke langit dan melihat kemuliaan Allah serta Isa berdiri di sebelah kanan Allah.
56 Dia berkata, “Lihatlah! Aku nampak syurga terbuka dan Putera Insan berdiri di sebelah kanan Allah!”
57 Mereka pun bertempik sambil menutup telinga lalu menyerang Stefanus serentak.
58 Mereka menyeret dia ke luar kota lalu merejamnya. Orang yang menyaksikan segalanya itu meletakkan jubah mereka di kaki seorang muda bernama Saul.
59 Ketika mereka merejam Stefanus, dia berseru, “Ya Isa, ya Junjunganku, terimalah rohku.”
60 Kemudian dia berlutut dan berteriak dengan suara yang kuat, “Ya Junjunganku, jangan tanggungkan dosa ini atas mereka.” Setelah berkata demikian, dia pun meninggal dunia.
Penganiayaan terhadap jemaah di Yerusalem
1 Saul menyetujui kematian Stefanus. Pada masa itu penganiayaan yang dahsyat dilakukan terhadap jemaah di Yerusalem; dan mereka pun bercerai-berai di serata Yudea dan Samaria, kecuali para rasul.
2 Beberapa orang yang salih mengebumikan Stefanus dan amat meratapi kematiannya.
3 aSaul berusaha untuk menghapuskan jemaah; dia memasuki setiap rumah dan menyeret keluar lelaki perempuan lalu memasukkan mereka ke dalam penjara.
Filipus di Samaria
4 Mereka yang bercerai-berai pergi ke merata-rata menyampaikan firman.
5 Kemudian Filipus pergi ke sebuah kota di Samaria dan memberitakan al-Masih kepada orang di situ.
6 Apabila orang ramai mendengar apa yang dikatakan Filipus dan melihat segala tanda keajaiban yang dilakukannya, mereka semua memperhatikan dengan sepenuh hati apa yang dikatakannya.
7 Roh-roh jahat melolong sambil keluar daripada ramai orang yang kerasukan, manakala sebilangan besar yang lumpuh dan tempang telah disembuhkan.
8 Seluruh kota itu amat bersukacita.
Simon ahli sihir
9 Akan tetapi, ada seorang lelaki bernama Simon, yang dahulunya mengamalkan sihir di situ dan mengagumkan orang Samaria serta mengaku dirinya seorang yang hebat.
10 Mereka semua, daripada yang paling rendah tarafnya hinggalah kepada yang tertinggi, mendengar katanya. Mereka berkata, “Orang ini dikenal sebagai Kuasa Besar Allah.”
11 Mereka mendengar katanya kerana dia telah lama mengagumkan mereka dengan sihirnya.
12 Namun apabila mereka mempercayai Filipus ketika dia mengkhabarkan berita baik tentang kerajaan Allah dan nama Isa al-Masih, mereka pun diimadkan, baik lelaki mahupun perempuan.
13 Kemudian Simon sendiri percaya; dan setelah diimadkan dia terus menyertai Filipus dan amat kagum melihat mukjizat-mukjizat serta tanda yang dilakukan.
14 Apabila para rasul di Yerusalem mendengar bahawa orang Samaria telah menerima firman Allah, mereka mengutus Petrus dan Yahya ke sana.
15 Setelah sampai di situ, kedua-duanya berdoa semoga mereka menerima Roh Allah,
16 kerana mereka belum lagi dipenuhi oleh-Nya. Mereka baru diimadkan sahaja dengan nama Isa, Junjungan Yang Ilahi.
17 Kemudian Petrus dan Yahya meletakkan tangan atas mereka lalu mereka menerima Roh Allah.
18 Setelah Simon melihat betapa Roh Allah diberikan ketika para rasul meletakkan tangan, dia menawarkan wang kepada mereka
19 sambil berkata, “Berilah aku kuasa itu juga, supaya sesiapa yang kuletakkan tangan atasnya akan menerima Roh Allah.”
20 Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Punahlah wangmu bersamamu, kerana kamu menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang!
21 Kamu tidak ada bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak ikhlas di hadapan Allah.
22 Oleh itu, bertaubatlah daripada kejahatanmu itu, dan berdoalah kepada Tuhan semoga kamu dapat diampuni kerana niat dalam hatimu itu;
23 kerana kulihat kamu diracuni perasaan kepahitan dan dibelenggu dosa.”
24 Simon menjawab, “Berdoalah kepada Tuhan untukku, supaya apa yang kamu sebutkan tadi tidak menimpaku.”
25 Setelah mereka memberikan kesaksian dan menyampaikan firman Tuhan, mereka pun pulang ke Yerusalem, sambil menyebarkan Injil tentang Isa di banyak kampung orang Samaria.
Filipus dan sida-sida dari negeri Habsyah
26 Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, “Bangkit dan pergilah ke arah selatan di jalan antara Yerusalem dengan Gaza. Sekarang tempat itu lengang.”
27 Dia pun bangkit lalu pergi. Ada seorang Habsyah,* seorang sida-sida, yang besar pangkatnya di bawah perintah Kandake, ratu negeri Habsyah, dan ditugaskan menjaga seluruh perbendaharaannya. Dia telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat.
28 Ketika dia sedang dalam perjalanan pulang dan sambil duduk di dalam kereta kudanya, dia membaca kitab Nabi Yesaya.
29 Roh Allah berkata kepada Filipus, “Pergi dekati kereta kuda itu.”
30 Filipus pun berlari mendapatkannya lalu mendengarnya membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus berkata, “Fahamkah apa yang kamu baca itu?”
31 Jawabnya, “Bagaimana aku dapat memahaminya, kecuali ada orang yang membimbingku?” Dia pun mengajak Filipus naik duduk di sisinya.
32 bBahagian Kitab Suci yang dibacanya ialah:
“Seperti domba yang dibawa untuk disembelih,
seperti anak domba yang senyap di hadapan orang yang menggunting bulunya,
maka Dia tidak membuka mulut-Nya.
33 Dia dihina dan keadilan direntap daripada-Nya,
maka siapa akan mengisahkan keturunan-Nya?
Nyawa-Nya direnggut dari muka bumi.”
34 Sida-sida itu berkata kepada Filipus, “Aku bertanya kepadamu, tentang siapakah nabi itu bercakap, tentang dirinya atau seseorang lain?”
35 Filipus pun membuka mulutnya: bermula dari bahagian Kitab Suci itu, dia menyampaikan berita baik tentang Isa kepada sida-sida itu.
36 Sedang mereka meneruskan perjalanan, mereka sampai di suatu tempat yang berair. Sida-sida itu berkata, “Lihat, di sini ada air. Apa yang menghalang aku daripada diimadkan?”
37 Filipus berkata, “Jika kamu percaya sepenuh hati, kamu boleh diimadkan.” Sida-sida itu menjawab, “Aku percaya bahawa Isa al-Masih itu Putera Allah.”
38 Lalu dia mengarahkan kereta kuda itu dihentikan. Dia bersama Filipus turun ke dalam air, lalu Filipus mengimadkannya.
39 Setelah mereka keluar dari air, Roh Allah mengambil Filipus dari situ. Sida-sida itu tidak melihatnya lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita.
40 Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil menyampaikan Injil di segala kota hingga sampai di Kaisarea.
Saul bertaubat
1 Saul, yang terus-menerus mengancam hendak membunuh pengikut-pengikut Isa, Junjungan Yang Ilahi, pergi mendapatkan imam besar
2 dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaah di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan yang ditunjukkan oleh Junjungan Yang Ilahi, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Yerusalem.
3 Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba suatu cahaya dari langit bersinar mengelilinginya.
4 Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, “Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?”
5 Saul bertanya, “Siapakah Engkau, ya Tuan?” Jawab-Nya, “Akulah Isa yang kauaniaya.
6 Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat.”
7 Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapa pun.
8 Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh yang demikian, mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik.
9 Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum.
10 Ada seorang pengikut Isa yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Junjungan Yang Ilahi berkata, “Ananias!”
“Ya, Junjungan,” sahut Ananias.
11 Junjungan berkata kepadanya, “Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa,
12 dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.”
13 Ananias menjawab, “Ya Junjunganku, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Yerusalem.
14 Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.”
15 Namun demikian, Junjungan berkata, “Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel.
16 Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana nama-Ku.”
17 Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, “Saudaraku Saul, Isa, Junjungan Yang Ilahi, yang telah menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Allah.”
18 Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu diimadkan.
19a Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih.
Saul di Damsyik dan Yerusalem
19b Saul tinggal beberapa hari di Damsyik bersama para pengikut Isa.
20 Dia terus mengkhabarkan di saumaah tentang Isa, bahawa Dia Putera Allah.
21 Semua yang mendengarnya tercengang lalu berkata, “Bukankah dia ini yang menganiaya semua yang menyebut nama Isa di Yerusalem? Bukankah dia datang ke mari untuk menangkap semua orang yang demikian di sini dan menyeret mereka ke hadapan ketua-ketua imam?”
22 Makin sehari makin bertambah kuasa yang diberikan Allah kepada Saul. Semua orang Yahudi di Damsyik tercengang apabila dia menyatakan bahawa Isa itu al-Masih.
23 aSelepas beberapa hari, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Saul.
24 Akan tetapi, Saul mendapat tahu tentang pakatan itu. Orang yang hendak membunuhnya itu menunggu di pintu gerbang siang malam;
25 tetapi pengikut-pengikut Saul mengambilnya pada waktu malam dan menurunkannya melalui tingkap ke kaki tembok di dalam sebuah keranjang.
26 Apabila Saul sampai di Yerusalem, dia cuba menghubungi para pengikut Isa tetapi mereka takut dan tidak percaya bahawa dia benar-benar pengikut Isa.
27 Tetapi Barnabas membawa Saul ke hadapan para rasul. Dia menceritakan bagaimana Saul telah melihat Junjungan Yang Ilahi ketika dalam perjalanan ke Damsyik, dan bagaimana Junjungan itu bersabda kepadanya. Dia juga menceritakan bagaimana Saul menyebarkan nama Isa di Damsyik dengan berani.
28 Selepas itu, Saul keluar masuk di Yerusalem bersama para rasul serta mengajar dengan berani dalam nama Junjungan Yang Ilahi.
29 Dia bercakap dan berhujah dengan orang Yahudi peranakan Yunani; mereka pun hendak membunuhnya.
30 Apabila para pengikut Isa yang lain mengetahui hal itu, mereka membawa Saul ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus.
31 Dengan demikian sejahteralah jemaah di seluruh Yudea, Galilea dan Samaria. Jemaah itu diberi kekuatan dan hidup bertakwa kepada Tuhan. Dengan pertolongan Roh Allah bilangan mereka semakin besar.
Petrus menyembuhkan Eneas dan membangkitkan Dorkas dari kematian
32 Ketika Petrus melawat daerah-daerah, dia mengunjungi orang salih yang tinggal di Lida.
33 Di situ dia menemui seorang bernama Eneas yang sudah lapan tahun lumpuh terlantar di tempat tidur.
34 Petrus berkata kepadanya, “Eneas, Isa al-Masih menyembuhkanmu. Bangunlah, kemaskan tempat tidurmu.” Pada saat itu juga Eneas bangun.
35 Semua penduduk Lida dan Saron melihatnya lalu berpaling kepada Tuhan.
36 Di Yope ada seorang pengikut perempuan Isa bernama Tabita (dalam bahasa Yunani disebut Dorkas). Dia sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah.
37 Pada masa itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya dibaringkan di dalam bilik di tingkat atas.
38 Lida berdekatan dengan Yope. Apabila para pengikut Isa mendapat tahu bahawa Petrus ada di Lida, mereka menghantar dua orang berjumpa dengannya dan memintanya datang secepat mungkin.
39 Petrus segera pergi bersama mereka. Setibanya di situ, dia dibawa naik ke bilik di tingkat atas itu. Semua balu di situ berdiri di sisinya sambil menangis dan menunjukkan pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh Dorkas untuk mereka sewaktu hidupnya.
40 Petrus menyuruh semuanya keluar; kemudian dia bertelut dan berdoa. Selepas itu, dia berpaling kepada jenazah itu lalu berkata, “Hai Tabita, bangunlah.” Tabita membuka matanya dan apabila dia melihat Petrus, dia pun duduk.
41 Petrus memegang tangannya dan membantunya berdiri. Seterusnya Petrus memanggil semua pengikut Isa, termasuk balu-balu itu dan menunjukkan kepada mereka perempuan yang sudah hidup itu.
42 Berita itu tersebar di seluruh Yope dan ramai orang beriman kepada Junjungan Yang Ilahi.
43 Petrus tinggal beberapa hari di Yope di rumah Simon, seorang penyamak kulit.
Petrus dan Kornelius
1 Di Kaisarea ada seorang bernama Kornelius, ketua tentera yang disebut pasukan Itali.
2 Dia seorang yang bertakwa dan takut akan Allah, begitu juga seisi rumahnya. Dia banyak bersedekah kepada orang yang miskin dan sentiasa berdoa kepada Allah.
3 Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, dalam suatu penglihatan dia melihat dengan nyata malaikat Allah mendapatkannya dan berkata kepadanya, “Hai Kornelius!”
4 Dia merenung dengan ketakutan sambil bertanya, “Ya Tuan, ada apa Tuan?” Malaikat itu berkata, “Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah.
5 Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.
6 Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.”
7 Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hambanya dan seorang askar yang takut akan Allah daripada kalangan orang yang bertugas melayaninya.
8 Dia menceritakan segala yang berlaku itu kepada mereka dan menyuruh mereka pergi ke Yope.
Penglihatan Petrus
9 Esoknya, ketika mereka dalam perjalanan dan hampir sampai ke Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah untuk berdoa, kira-kira pukul dua belas tengah hari.
10 Kemudian dia berasa lapar dan hendak makan, tetapi sementara makanan sedang disediakan, dia diliputi kuasa ilahi.
11 Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan ke arahnya lalu ke bumi.
12 Di dalamnya ada segala jenis binatang, yang berkaki empat dan yang melata, juga burung-burung di langit.
13 Dia terdengar suara berkata, “Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.”
14 Petrus berkata, “Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.”
15 Suara itu berkata pula kepadanya, “Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.”
16 Ini berulang tiga kali, kemudian kain itu terangkat naik ke langit.
17 Sedang Petrus bertanya-tanya apa agaknya erti penglihatan itu, orang yang disuruh oleh Kornelius itu telah bertanyakan rumah Simon. Mereka berdiri di muka pintu.
18 Lalu mereka berseru bertanya sama ada Simon bergelar Petrus ada menumpang di situ.
19 Petrus masih lagi memikirkan penglihatannya itu. Roh Allah berkata kepadanya, “Ada tiga orang mencarimu.
20 Bangunlah, turun dan pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.”
21 Petrus pun turun mendapatkan orang itu lalu berkata, “Aku inilah orang yang kamu cari itu; apa hajatmu datang ke mari?”
22 Mereka berkata, “Kornelius, seorang ketua tentera yang benar dan takut akan Allah serta disegani oleh seluruh bangsa Yahudi, telah menerima pesan Allah melalui malaikat yang suci bahawa dia hendaklah menjemput tuan datang ke rumahnya untuk mendengar apa yang akan tuan katakan.”
23 Petrus mengajak ketiga-tiga orang itu masuk dan menumpang bermalam di rumah itu.
Petrus di rumah Kornelius
Esoknya dia bangun lalu pergi bersama mereka; beberapa orang saudara seiman di Yope turut serta.
24 Keesokan harinya mereka sampai di Kaisarea. Kornelius sedang menantikan kedatangan mereka, bersama semua kaum keluarga dan sahabat handai yang diajaknya berhimpun di situ.
25 Apabila Petrus masuk, Kornelius mendapatkannya lalu sujud menyembah di kakinya;
26 tetapi Petrus menariknya bangkit berdiri sambil berkata, “Bangkitlah; aku ini pun seorang manusia juga.”
27 Sambil bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah itu dan melihat betapa ramainya orang yang berhimpun di situ.
28 Petrus berkata kepada mereka, “Saudara-saudara sedia maklum bahawa orang Yahudi dilarang berhubung dengan orang bangsa lain atau mengunjungi mereka; tetapi Allah telah menyatakan kepadaku supaya jangan memandang sesiapa pun sebagai haram atau najis.
29 Oleh itu, apabila aku dipanggil, aku terus datang tanpa teragak-agak. Sekarang aku bertanya kepadamu, apakah sebabnya aku dipanggil datang ke sini?”
30 Kornelius berkata, “Empat hari lalu, kira-kira pukul tiga petang, aku sedang berdoa di rumah; tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku, pakaiannya bersinar-sinar.
31 Dia berkata, ‘Hai Kornelius! Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah.
32 Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.’
33 Aku terus menyuruhkan orang mendapatkanmu; kamu sungguh baik hati datang ke mari. Sekarang kami semua hadir di sini di hadirat Allah untuk mendengar segala perkara yang diperintahkan Tuhan kepadamu untuk disampaikan kepada kami.”
34 aPetrus pun berkata, “Sesungguhnya, aku mengerti sekarang bahawa Allah tidak memilih kasih.
35 Sesiapa yang takut akan Allah dan mengerjakan yang benar, tidak kira apa bangsanya, dialah yang diredai-Nya.
36 Firman yang disampaikan Allah kepada bangsa Israel ialah firman yang mengkhabarkan kesejahteraan melalui Isa al-Masih, yang ialah Junjungan Yang Ilahi semua manusia.
37 Saudara-saudara tahu akan apa yang berlaku di seluruh Yudea mulai dari Galilea, selepas pengimadan yang dikhabarkan oleh Yahya.
38 Perkhabaran itu tentang Isa orang Nazaret, betapa Allah telah memilih-Nya sebagai al-Masih dan memberi-Nya Roh Allah serta kuasa. Dia telah pergi ke merata-rata membuat kebajikan dan menyembuhkan orang yang diseksa oleh Iblis, kerana Allah menyertai Isa.
39 “Kami ini menjadi saksi akan segala yang dilakukan-Nya di tanah orang Yahudi malah juga di Yerusalem. Dia telah dibunuh dengan disalib;
40 tetapi Allah membangkitkan-Nya pada hari yang ketiga serta memperlihatkan Dia;
41 bukan kepada semua orang tetapi kepada kami yang telah dipilih oleh Allah sebagai saksi, kami yang semakan seminum dengan-Nya setelah Dia bangkit daripada kalangan orang mati.
42 Dia memerintah kami mengkhabarkan kepada semua orang dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang dijadikan Allah hakim ke atas orang hidup dan orang mati.
43 Semua nabi bersaksi tentang-Nya bahawa setiap orang yang percaya kepada Isa akan diampuni dosanya dengan nama-Nya.”
44 Ketika Petrus sedang bercakap, Roh Allah turun dan memenuhi semua yang mendengar perkhabaran itu.
45 Orang yang percaya kepada Isa daripada golongan bersunat datang bersama Petrus berasa hairan melihat Allah mencurahkan Roh Allah kepada bangsa-bangsa asing juga.
46 Mereka mendengar orang itu bertutur dalam aneka bahasa dan memuji Allah. Kemudian Petrus berkata,
47 “Lihatlah, mereka telah menerima Roh Allah seperti kita. Dapatkah sesiapa menghalang mereka diimadkan dengan air?”
48 Petrus pun menyuruh mereka diimadkan dengan nama Isa al-Masih. Selepas itu, mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka beberapa hari.
Petrus menjelaskan tindakannya
1 Para rasul dan saudara-saudara di seluruh Yudea mendengar khabar bahawa bangsa-bangsa asing juga telah menerima firman Allah.
2 Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Isa dan masih berpegang kepada upacara sunat, membantah perbuatannya.
3 Mereka berkata, “Kamu telah menumpang di rumah orang bangsa asing yang tidak bersunat; malah kamu telah makan bersama mereka!”
4 Oleh yang demikian, Petrus menerangkan segala yang telah berlaku, satu persatu:
5 “Ketika aku sedang berdoa di Yope, aku telah melihat satu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan dari langit lalu terletak dekat denganku.
6 Aku memerhatikannya lalu melihat binatang yang berkaki empat, yang liar dan yang melata, juga burung-burung di langit.
7 Aku mendengar suara berkata, ‘Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.’
8 “Aku berkata, ‘Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.’
9 “Suara dari syurga berkata pula kepadaku, ‘Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.’
10 Ini berulang tiga kali, kemudian semuanya terangkat naik semula ke langit.
11 “Pada ketika itu tiga orang yang diutus dari Kaisarea kepadaku berdiri di hadapan rumah yang kami tumpang.
12 Roh Allah menyuruh aku pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu. Enam orang saudara seiman menyertaiku ke Kaisarea lalu kami masuk ke rumah orang itu.
13 Kemudian orang itu bercerita kepada kami bahawa dia telah melihat malaikat berdiri di hadapannya di rumahnya dan berkata kepadanya, ‘Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.
14 Dia akan menyampaikan perkhabaran yang menyelamatkan kamu sekeluarga.’
15 “Apabila aku mula bercakap, Roh Allah memenuhi mereka, seperti yang terjadi kepada kita dahulu.
16 aKetika itu aku teringat kata-kata Junjungan Yang Ilahi: ‘Yahya mengimadkan dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Allah.’
17 Jelaslah bahawa Allah telah memberi orang asing itu kurnia yang sama seperti yang kita terima ketika kita beriman kepada Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi. Siapakah aku untuk cuba menghalang kuasa Allah?”
18 Setelah mendengar penjelasan Petrus, mereka tidak membantah perbuatannya lagi, lantas mereka memuji Allah dan berkata, “Kalau begitu, Allah memberikan peluang kepada bangsa-bangsa asing juga untuk bertaubat dan mendapat hidup.”
Jemaah di Antiokhia
19 bSetelah Stefanus dibunuh, orang yang tercerai-berai kerana dianiaya sampai ke Fenisia, Siprus dan Antiokhia. Mereka menyampaikan firman hanya kepada orang Yahudi;
20 tetapi sesetengah daripada mereka dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia lalu mengkhabarkan berita baik tentang Isa, Junjungan Yang Ilahi, kepada orang Yunani.
21 Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya.
22 Jemaah di Yerusalem mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia.
23 Setelah dia sampai dan melihat rahmat Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Junjungan Yang Ilahi dengan sepenuh hati.
24 Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Allah dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Junjungan Yang Ilahi.
25 Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul;
26 setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para pengikut mula-mula disebut orang Masihi.
27 Pada masa itu beberapa orang nabi turun dari Yerusalem ke Antiokhia.
28 cSeorang yang bernama Agabus bernubuat dengan ilham Roh Allah bahawa bencana kebuluran akan melanda seluruh dunia; ini sesungguhnya terjadi pada zaman Klaudius.
29 Para pengikut Isa membuat keputusan hendak menghantar bantuan, menurut kemampuan masing-masing, kepada saudara-saudara di Yudea.
30 Mereka mengirimkannya kepada tua-tua melalui Barnabas dan Saul.
Petrus dipenjarakan
1 Pada masa itu Raja Herodes pula turut menganiaya beberapa orang daripada jemaah.
2 Dia memerintahkan pembunuhan Yakobus, saudara Yahya, dengan pedang.
3 Apabila dilihatnya orang Yahudi sukacita dengan tindakannya, dia menangkap Petrus pula, pada Perayaan Roti Tidak Beragi.
4 aDia memasukkan Petrus ke dalam penjara dan menyerahkannya kepada enam belas orang askar yang bertugas menjaganya bergilir-gilir, empat orang segiliran. Niatnya hendak membawa Petrus ke hadapan orang Yahudi selepas Perayaan Paskah.
5 Sementara itu Petrus dikawal rapi di dalam penjara; tetapi jemaah berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah untuknya.
6 Pada malam sebelum hari perbicaraan yang ditetapkan oleh Herodes itu, Petrus tidur di antara dua orang askar, terikat dengan dua rantai; di samping itu para pengawal berjaga di hadapan pintu penjara itu.
7 Tiba-tiba malaikat Tuhan terdiri di situ dan cahaya menyinari bilik itu. Malaikat itu menepuk Petrus dan membangunkannya lalu berkata, “Cepat bangun.” Dalam sekelip mata gugurlah rantai daripada tangan Petrus.
8 Malaikat itu berkata lagi, “Ikatlah tali pinggang dan pakailah kasutmu.” Setelah Petrus berbuat demikian, malaikat itu berkata lagi, “Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.”
9 Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara tanpa mengetahui sama ada segalanya itu benar-benar terjadi atau hanya suatu penglihatan.
10 Mereka melalui tempat pengawal berjaga yang pertama dan yang kedua. Akhirnya mereka sampai di pintu besi yang menghala ke kota lalu pintu itu terbuka dengan sendirinya dan mereka pun keluar. Ketika mereka berjalan di suatu lorong, malaikat itu pun tiba-tiba meninggalkan Petrus.
11 Pada saat itu barulah Petrus sedar apa yang telah terjadi. Dia berkata, “Sekarang tahulah aku bahawa segalanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan aku daripada Raja Herodes dan segala yang hendak dilakukan oleh orang Yahudi kepadaku.”
12 Setelah itu, Petrus pergi ke rumah Maryam, ibu kepada Yahya yang bergelar Markus. Di situ ramai orang berhimpun dan sedang berdoa.
13 Apabila Petrus mengetuk pintu, seorang hamba perempuan bernama Rode datang ke pintu.
14 Dia mengenali suara Petrus. Akan tetapi, dia begitu sukacita hinggakan terus masuk semula tanpa membukakan pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus ada di luar.
15 “Kamu gila!” seru mereka, namun Rode beria-ia mengatakan orang yang di luar itu Petrus. Mereka berkata, “Tentu itu malaikatnya!”
16 Petrus mengetuk pintu lagi berulang-ulang. Akhirnya mereka membukakan pintu dan tercengang apabila melihat Petrus.
17 Petrus memberikan isyarat meminta mereka bertenang lalu mengisahkan betapa Tuhan telah mengeluarkannya dari penjara. Selepas itu Petrus berkata, “Khabarkanlah hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara lain.” Kemudian dia pun pergi ke tempat lain.
18 Setelah hari siang, askar-askar yang berkawal itu gempar, tertanya-tanya apakah yang telah terjadi kepada Petrus.
19 Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus tetapi tidak berjaya. Lantas Raja Herodes mengeluarkan perintah supaya askar-askar yang berkawal itu disoal siasat dan kemudiannya dihukum bunuh.
Kematian Raja Herodes
Selepas itu, Raja Herodes berpindah dari Yudea ke Kaisarea lalu tinggal di sana.
20 Raja Herodes amat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh yang demikian, mereka datang bersama-sama untuk menghadap Raja Herodes. Pertama sekali mereka mendapatkan sokongan Blastus, ketua istana Raja Herodes. Selepas itu, mereka menghadap Raja Herodes dan meminta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes.
21 Pada hari yang telah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran diraja, duduk di atas singgahsana lalu berkata kepada rakyat.
22 Mereka berseru, “Itu suara seorang dewa, bukan manusia.”
23 Pada saat itu malaikat Tuhan memukul Raja Herodes kerana tidak menghormati Allah. Raja Herodes pun mati dimakan ulat.
24 Firman Allah semakin luas tersebar dan kian ramai orang percaya kepada Isa.
25 Setelah Barnabas dan Saul menjalankan tugas mereka pulang dari Yerusalem dan membawa Yahya yang bergelar Markus itu bersama mereka.
1 Di antara jemaah di Antiokhia ada beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang bergelar Niger, Lukius dari Kirene, Menahem, yang dibesarkan bersama Raja Herodes, dan Saul.
2 Sedang mereka beribadat kepada Tuhan dan berpuasa, Roh Allah berkata kepada mereka, “Khaskan Barnabas dan Saul untuk-Ku, bagi melaksanakan tugas yang telah Kutetapkan untuk mereka.”
3 Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saul lalu melepaskan mereka pergi.
Saul dan Barnabas di Pulau Siprus
4 Barnabas dan Saul diutus ke Seleukia oleh Roh Allah. Dari situ mereka belayar ke Siprus.
5 Apabila sampai di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di saumaah orang Yahudi, dibantu oleh Yahya.
6 Mereka pergi ke serata pulau itu hingga sampai di Pafos. Di situ mereka bertemu dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yusha, seorang nabi palsu Yahudi.
7 Dia berkawan baik dengan Sergius Paulus, pemerintah pulau itu, seorang yang bijaksana. Sergius Paulus memanggil Barnabas dan Saul kerana ingin mendengar firman Allah.
8 Akan tetapi, Elimas ahli sihir itu (ini namanya dalam bahasa Yunani) cuba menghalang pemerintah itu daripada percaya kepada Junjungan Yang Ilahi.
9 Saul, yang juga disebut Paulus, dipenuhi oleh Roh Allah lalu merenung ahli sihir itu dan
10 berkata, “Hai kamu anak Iblis, seteru segala yang benar, kamu yang penuh dengan tipu daya! Tiadakah kamu mahu berhenti memesongkan Jalan Tuhan yang betul?
11 Tuhan akan menghukum kamu pada saat ini juga. Kamu akan buta, tidak dapat melihat cahaya matahari buat beberapa waktu.”
Dalam sekelip mata Elimas merasa kabus gelap menyelaputi matanya. Dia pun berjalan teraba-raba mencari orang yang dapat memimpinnya.
12 Apabila pemerintah itu melihat apa yang terjadi, dia pun mempercayai Isa dan amat kagum akan pengajaran Tuhan.
Di Pisidia
13 Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di tanah Pamfilia. Dari situ Yahya meninggalkan mereka lalu pulang ke Yerusalem.
14 Yang lain meneruskan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke saumaah lalu duduk di situ.
15 Selepas pembacaan Taurat Musa dan tulisan nabi-nabi, ketua-ketua saumaah itu menghantar orang berkata kepada kedua-dua rasul itu, “Saudara-saudara, sekiranya ada sesuatu nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah sampaikan.”
16 Paulus bangkit, memberikan isyarat lalu berkata, “Saudara-saudara orang Israel dan sekalian yang bertakwa kepada Allah, dengarlah!
17 aAllah, Tuhan umat Israel, telah memilih nenek moyang kita untuk dijadikan bangsa besar, ketika mereka tinggal menumpang di Mesir. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya.
18 bSelama empat puluh tahun di gurun, Dia bersabar dengan kelakuan mereka.
19 cDia membinasakan tujuh bangsa di Tanah Kanaan dan menjadikan kawasan itu kepunyaan umat-Nya.
20 dSegala ini berlaku selama 450 tahun.
“Selepas itu, Allah mengurniai mereka hakim-hakim sampai ke zaman Nabi Samuel.
21 eKemudian mereka memohonkan seorang raja lalu Allah memberi mereka Saul bin Kish daripada suku Benyamin sebagai raja mereka selama empat puluh tahun.
22 fSetelah Allah memecatnya daripada takhtanya, Allah memberi mereka Daud pula sebagai raja. Allah berfirman tentang Daud, ‘Aku mendapati Daud bin Isai, seorang yang menyenangkan hati-Ku; dia akan melakukan segala yang Kuingini.’
23 “Daripada keturunan Daud inilah Allah membangkitkan Isa, seorang Penyelamat bagi umat Israel sebagaimana telah dijanjikan-Nya.
24 gSebelum Isa memulakan tugas-Nya, Yahya menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa dan diimadkan.
25 hKetika tugas Yahya hampir selesai, dia berkata kepada orang ramai, ‘Siapakah aku ini pada sangkaanmu? Aku bukanlah Dia yang kamu nanti-nantikan itu. Dia akan datang kemudian, dan aku ini tidak layak membuka kasut-Nya pun.’
26 “Hai saudara-saudara keturunan Ibrahim, dan semua yang bertakwa kepada Allah! Kepada kitalah Allah telah menyampaikan berita penyelamatan itu.
27 Penduduk Yerusalem dan ketua-ketua mereka tidak sedar bahawa Penyelamat itu ialah Isa. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, maka mereka menghukum Isa. Dengan tindakan mereka itu, segala yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi menjadi kenyataan.
28 iWalaupun mereka tidak ada apa-apa asas untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada Isa, mereka mendesak Pilatus menjatuhkan hukuman itu ke atas-Nya.
29 jSetelah mereka melakukan segala yang tersurat dalam Kitab Suci tentang-Nya, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam makam.
30 Akan tetapi, Allah membangkitkan-Nya daripada kematian.
31 kSelepas itu, selama beberapa hari Dia menampakkan diri-Nya kepada mereka yang dahulu mengiringi-Nya dalam perjalanan dari Galilea ke Yerusalem. Kini mereka itu menjadi saksi bagi-Nya kepada umat Israel.
32 l“Dengan demikian kami datang ke sini untuk menyampaikan berita baik ini kepada kamu.
33 Allah telah melaksanakan untuk kita apa yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita, dengan membangkitkan Isa daripada kematian, sebagaimana tersurat dalam Zabur bab dua:
“‘Engkaulah Putera-Ku;
pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.’
34 mAllah telah membangkitkan-Nya daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi. Tentang ini Allah berfirman:
“‘Aku akan memberkati-Mu dengan berkat yang suci,
yang pasti akan dipenuhi,
sebagaimana telah Kujanjikan kepada Daud.’
35 nDalam suatu ayat lagi firman-Nya:
“‘Engkau tidak akan membiarkan orang suci-Mu mengalami kebinasaan.’
36 Daud melakukan suruhan Allah ketika dia hidup. Apabila dia wafat dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya dan jasadnya reput.
37 Namun demikian, ini tidak terjadi kepada Dia yang dibangkitkan Allah daripada kematian.
38 “Oleh itu, ketahuilah saudara-saudara, melalui Isa berita pengampunan dosa disampaikan kepada saudara sekalian.
39 Setiap orang yang percaya kepada-Nya diampuni segala dosanya yang tidak dapat diampunkan melalui Taurat Musa.
40 Berhati-hatilah, supaya apa yang telah disebutkan oleh nabi-nabi tidak menimpa saudara sekalian:
41 o“‘Dengarlah hai orang yang menghina Allah!
Kamu akan terkejut dan punah!
Apa yang Kulakukan kini tidak akan kamu percayai,
walaupun diterangkan kepadamu!’”
42 Apabila Paulus dan Barnabas meninggalkan saumaah itu, mereka diminta untuk meneruskan penerangan tentang hal-hal tersebut pada hari Sabat berikutnya.
43 Setelah bersurai perhimpunan di saumaah itu, ramai orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang telah memeluk agama Yahudi mengikut Paulus dan Barnabas. Kedua-dua rasul itu menasihati mereka supaya sentiasa hidup berpegang teguh pada rahmat Allah.
44 Pada hari Sabat berikutnya, hampir seluruh penduduk kota itu berhimpun mendengar firman Allah.
45 Setelah dilihat oleh orang Yahudi betapa ramainya orang datang itu, timbullah hasad dengki dalam hati mereka lalu mereka membangkang kata-kata Paulus serta mencelanya.
46 Namun demikian, Paulus dan Barnabas bercakap dengan berani. Mereka berkata, “Memang seharusnya firman Allah disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Akan tetapi, disebabkan kamu menolak firman-Nya dan menganggap dirimu tidak layak menerima hidup kekal, kami berpaling daripadamu dan pergi kepada bangsa asing.
47 pInilah perintah Tuhan kepada kami:
“‘Aku telah menetapkan kamu menjadi cahaya kepada bangsa-bangsa asing,
supaya kamu akan membawa penyelamatan daripada-Ku sampai ke hujung bumi.’”
48 Orang bangsa asing bersukacita dan memuji firman Allah setelah mendengar kata-kata itu. Mereka yang dipilih Allah untuk menerima hidup kekal pun percayalah kepada Isa.
49 Firman Tuhan tersebar di serata daerah itu.
50 Orang Yahudi menghasut orang yang berkuasa di kota itu dan wanita-wanita terkemuka bangsa asing yang takut akan Allah. Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas lalu mengusir kedua-duanya dari daerah tersebut.
51 qRasul-rasul itu pun mengebaskan debu dari kaki mereka sebagai bantahan terhadap orang di situ lalu pergi ke Ikonium.
52 Bagaimanapun, para pengikut Isa amat bergembira dan dipenuhi Roh Allah.
Penganiayaan terhadap Paulus dan Barnabas
1 Di Ikonium, Paulus dan Barnabas juga masuk ke saumaah dan kata-kata mereka begitu berkesan sehingga ramai orang Yahudi dan orang Yunani percaya kepada Isa.
2 Akan tetapi, orang Yahudi yang tidak mahu percaya kepada Isa menghasut orang bangsa lain sehingga mereka marah dan menentang pengikut Isa.
3 Rasul-rasul itu tinggal lama di situ dan berkata-kata dengan berani tentang Tuhan. Tuhan pun menunjukkan kebenaran kata-kata mereka tentang rahmat-Nya dengan memberi mereka kuasa melakukan pelbagai tanda dan mukjizat.
4 Penduduk bandar itu terbahagi dua: sebahagian memihak kepada orang Yahudi dan yang sebahagian lagi kepada rasul-rasul itu.
5 Kemudian orang Yahudi dan bangsa lain serta ketua-ketua mereka berpakat untuk menganiaya dan merejam rasul-rasul itu.
6 Apabila rasul-rasul itu mendapat tahu tentang hal itu, mereka lari ke Listra dan Derbe, kota-kota di Likaonia, serta daerah sekitarnya.
7 Di situ mereka menyampaikan Injil.
Di Listra dan Derbe
8 Di Listra ada seorang lelaki yang lumpuh kakinya sejak lahir dan tidak pernah berjalan.
9 Dia duduk mendengar kata-kata Paulus. Pada pandangan Paulus orang itu dapat disembuhkan kerana dia mempunyai iman.
10 Oleh yang demikian Paulus merenungnya sambil bersuara lantang, “Bangunlah berdiri tegak!” Lalu orang itu melompat berdiri dan mula berjalan.
11 Orang ramai melihat apa yang dilakukan oleh Paulus itu lalu berseru dalam bahasa Likaonia, “Lihatlah, dewa-dewa telah menjelma sebagai manusia dan turun ke dunia.”
12 Dengan demikian Barnabas dipanggil mereka “Zeus” dan Paulus disebut “Hermes” kerana dia yang terutama bercakap.
13 Imam Dewa Zeus, yang rumah berhalanya di luar kota, datang membawa lembu jantan dan kalungan bunga ke pintu gerbang untuk dijadikan korban persembahannya dan orang ramai kepada rasul-rasul itu.
14 Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang hendak dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyakkan pakaian dan berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru,
15 a“Mengapa kamu berbuat begini? Kami manusia biasa seperti kamu sekalian! Kami datang membawa berita baik supaya kamu berhenti daripada pemujaan yang sia-sia ini dan datang kepada Allah, Tuhan yang hidup, yang menjadikan langit, bumi dan laut serta segala yang di dalamnya.
16 Pada zaman silam, Allah membiarkan manusia mengikut jalan masing-masing.
17 Namun demikian, Allah sentiasa memberikan kesaksian tentang diri-Nya dengan kebaikan yang dilakukan-Nya. Dia mengurniaimu hujan dari langit dan hasil dari bumi menurut musimnya. Dia memuaskan hatimu dengan makanan dan kegembiraan.”
18 Sungguhpun rasul-rasul itu berkata begitu, sukar juga mereka menghalang orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka.
19 Setelah itu, beberapa orang Yahudi dari Antiokhia dan Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, kemudian menyeretnya ke luar kota, dengan sangkaan dia sudah mati.
20 Akan tetapi, apabila pengikut Isa mengelilinginya, dia bangun lalu masuk semula ke dalam kota. Esoknya dia keluar pergi ke Derbe bersama Barnabas.
Kembali ke Antiokhia
21 Setelah mengkhabarkan berita baik kepada semua penduduk dan membawa beberapa orang menjadi pengikut Isa, kedua-duanya kembali ke Listra, ke Ikonium dan Antiokhia.
22 Di sana mereka menguatkan hati para pengikut Isa dan mengingatkan mereka supaya berpegang teguh pada kepercayaan mereka, katanya, “Memang tidak dapat dielakkan bahawa kita masuk ke dalam kerajaan Allah dengan menanggung banyak kesusahan.”
23 Setelah menetapkan para tua-tua bagi setiap jemaah dan berdoa serta berpuasa, mereka menyerahkan tua-tua itu kepada Tuhan yang sudah pun dipercayai oleh mereka.
24 Setelah melalui Pisidia, rasul-rasul itu sampai di Pamfilia.
25 Mereka menyampaikan firman Allah di Perga, kemudian pergi ke Atalia.
26 Dari sana mereka belayar ke Antiokhia, tempat mereka dahulunya diserahkan kepada rahmat Allah untuk tugas yang baru diselesaikan mereka.
27 Setelah sampai di sana, mereka menghimpunkan jemaah lalu menceritakan segala yang telah dilakukan Allah melalui mereka dan bagaimana Allah telah membukakan pintu kepercayaan bagi orang bangsa asing.
28 Mereka tinggal di situ beberapa lama bersama pengikut Isa yang lain.
Persidangan di Yerusalem
1 aKemudian, beberapa orang datang dari Yudea dan mengajar pengikut Isa di Antiokhia, “Jika kamu tidak disunatkan menurut adat Musa, kamu tidak akan mendapat penyelamatan.”
2 Ini menyebabkan Paulus dan Barnabas banyak berbahas dan berbantah dengan mereka itu. Akhirnya diputuskan bahawa Paulus dan Barnabas serta beberapa orang lain pergi ke Yerusalem berjumpa dengan para rasul dan tua-tua untuk bertanyakan persoalan tersebut.
3 Jemaah menghantar mereka sampai ke luar kota. Semasa mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bagaimana orang bangsa asing telah percaya kepada Isa. Pengikut-pengikut Isa di situ amat sukacita mendengarnya.
4 Setelah sampai di Yerusalem, jemaah dan para rasul serta tua-tua menyambut mereka. Mereka pun menceritakan segala perkara yang telah dilakukan Allah melalui mereka.
5 Akan tetapi, beberapa orang daripada mazhab Farisi yang telah mempercayai Isa bangkit lalu berkata, “Orang bangsa asing itu haruslah disunatkan dan wajib menurut Taurat Musa.”
6 Para rasul dan tua-tua berkumpul untuk menyelidik serta membincangkan perkara itu.
7 bSetelah perkara itu banyak dibincangkan, Petrus berdiri lalu berkata, “Saudara-saudara semuanya tahu bahawa Allah telah memilihku sejak dahulukala daripada kalangan kita semua untuk menyampaikan firman-Nya tentang perkhabaran Injil kepada bangsa asing, lalu mereka percaya.
8 cAllah yang mengetahui hati manusia telah bersaksi akan mereka itu dengan memberi mereka Roh Allah sebagaimana diberi-Nya kepada kita.
9 Allah tidak membezakan mereka dengan kita sedikit pun. Dia menyucikan hati mereka kerana iman mereka.
10 Sekarang ini mengapa saudara-saudara menduga Allah dengan meletakkan pada leher orang yang sudah percaya kepada Junjungan Yang Ilahi suatu beban yang tidak dapat ditanggung oleh nenek moyang kita, malah oleh kita ini juga?
11 Kami percaya hanya dengan rahmat Isa, Junjungan kita Yang Ilahi, dapat kita berharap untuk diselamatkan, samalah seperti orang bangsa asing itu.”
12 Orang ramai pun diam lalu mendengar Barnabas dan Paulus menceritakan segala tanda dan mukjizat yang dilakukan Allah dalam kalangan bangsa asing melalui mereka berdua.
13 Setelah mereka habis bercerita, Yakobus pula berkata, “Saudara-saudara, dengarlah.
14 Simon telah menceritakan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bangsa asing dan memilih daripada kalangan mereka suatu kaum untuk menjadi umat bagi nama-Nya.
15 Hal ini selaras dengan nubuat nabi-nabi yang tersurat:
16 d“‘Setelah itu, Aku akan kembali
dan membina semula khemah Daud yang roboh;
dan segala keruntuhannya akan Kubangunkan,
lalu Kutegakkan semula,
17 supaya semua bangsa yang lain akan mencari Tuhan,
bangsa asing yang Kupanggil menjadi umat-Ku.’
18 Demikianlah firman Tuhan yang telah melakukan semua ini
dan yang telah menyatakannya sejak dahulukala.
19 “Oleh itu, pada fikiranku janganlah kita menyusahkan orang bangsa asing yang telah mempercayai Allah;
20 etetapi hendaklah kita berkirim surat kepada mereka dan menasihati mereka supaya menjauhkan diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada perbuatan cabul, daripada daging binatang yang mati dicekik dan daripada darah.
21 Sejak dahulukala di setiap negeri ada orang yang menyebarkan berita tentang Musa dan membaca Tauratnya di saumaah pada hari Sabat.”
Surat kepada jemaah bukan Yahudi
22 Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu.
23 Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi:
“Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bangsa asing yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia.
24 Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami.
25 Oleh itu, kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi,
26 iaitu orang yang telah mempertaruhkan nyawa kerana nama Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi.
27 Kami telah memilih Yudas dan Silas untuk pergi menyampaikan kepada saudara-saudara
28 pesan daripada Roh Allah dan daripada kami: iaitu janganlah diletakkan ke atas saudara-saudara beban yang lebih berat daripada yang perlu.
29 Cuma, jauhkanlah diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada daging binatang yang mati dicekik, daripada darah dan daripada perbuatan cabul. Jika saudara-saudara memeliharakan diri daripada segala ini, saudara-saudara melakukan hal yang betul.
Sekian, selamat sejahtera.”
30 Mereka yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Di sana mereka menghimpunkan jemaah dan menyampaikan surat.
31 Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu memberi perangsang kepada mereka.
32 Yudas dan Silas itu kedua-duanya nabi. Mereka menasihati dan menetapkan hati saudara-saudara seiman di situ.
33 Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ beberapa waktu, jemaah melepaskan mereka untuk pulang dengan kesejahteraan kepada orang yang mengutus mereka.
34 Akan tetapi, Silas memutuskan untuk tetap tinggal di situ.
35 Paulus dan Barnabas tinggal di Antiokhia beberapa lama sambil mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama ramai orang lain.
Paulus dan Barnabas berpisah
36 Kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, “Sekarang baiklah kita melawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Isa di semua kota yang telah kita sampaikan firman Tuhan, untuk melihat bagaimana hal mereka.”
37 Barnabas hendak membawa Yahya yang juga bergelar Markus
38 ftetapi Paulus tidak bersetuju kerana Markus telah meninggalkan mereka di Pamfilia dan tidak ikut serta menjalankan tugas.
39 Oleh itu, timbul perselisihan sengit dan mereka berpisah: Barnabas membawa Markus belayar ke Siprus
40 manakala Paulus memilih Silas sebagai teman seperjalanannya. Setelah jemaah menyerahkan mereka kepada rahmat Allah, mereka pun berangkat.
41 Mereka menjelajahi Siria dan Kilikia sambil menetapkan hati jemaah di situ.
Timotius menyertai Paulus dan Silas
1 Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan dari situ ke Listra. Di situ ada seorang pengikut Isa bernama Timotius, ibunya orang Yahudi yang percaya kepada Isa tetapi bapanya orang Yunani.
2 Timotius dipandang tinggi oleh para pengikut Isa di Listra dan di Ikonium.
3 Paulus hendak membawa Timotius bersamanya. Dia pun menyunatkan Timotius kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bapanya orang Yunani.
4 Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang telah ditetapkan oleh para rasul dan ketua-ketua di Yerusalem kepada jemaah di situ untuk dipatuhi.
5 Dengan demikian setiap jemaah semakin teguh imannya dan setiap hari bilangan mereka meningkat.
Paulus melihat suatu penglihatan
6 Mereka menjelajahi pula Frigia dan Galatia, kerana Roh Allah melarang mereka menyampaikan firman Allah di Asia.
7 Setelah sampai di sempadan Misia, mereka mencuba masuk ke Bitinia, tetapi dilarang oleh Roh Isa.
8 Oleh itu, mereka terus ke Troas melalui Misia.
9 Pada malam itu Paulus mendapat suatu penglihatan: seorang Makedonia berdiri di hadapannya sambil memohon, “Marilah ke Makedonia menolong kami.”
10 Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami pun hendak segera bertolak ke Makedonia, kerana pada hemat kami Allah memerintahkan kami menyampaikan Injil kepada orang di situ.
Paulus di Filipi
11 Oleh yang demikian, kami belayar dari Troas terus ke Samotrake dan esoknya ke Neapolis;
12 dan dari situ ke Filipi, sebuah kota di Makedonia, yang termasuk jajahan kerajaan Rom; kami tinggal beberapa hari di situ.
13 Pada hari Sabat kami pergi ke luar pintu gerbang kota ke tepi sungai, kerana di situ kami jangka ada tempat orang berdoa. Kami duduk bercakap dengan perempuan yang berhimpun di situ.
14 Salah seorang yang mendengar kami bercakap ialah seorang perempuan bernama Lidia, yang berjual kain ungu dan berasal dari Tiatira. Dia penyembah Allah. Tuhan membukakan hatinya lalu dia menerima segala yang dikatakan oleh Paulus.
15 Setelah dia dan seisi rumahnya diimadkan, dia berkata, “Jika pada hemat kamu, aku ini benar-benar percaya akan Junjungan Yang Ilahi, marilah tinggal di rumahku.” Demikian dia bersungguh-sungguh mengajak kami ke rumahnya.
Paulus dan Silas di penjara
16 Di tempat orang berdoa itu juga ada seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik; dia membawa keuntungan yang besar kepada tuan-tuannya dengan tilikannya itu.
17 Hamba perempuan itu mengikut Paulus dan kami sambil berseru-seru, “Orang ini hamba Allah Yang Maha Tinggi; mereka memberitahu kamu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!”
18 Demikianlah dilakukannya selama beberapa hari. Akhirnya Paulus gusar dan berpaling sambil berkata kepada roh itu, “Dengan nama Isa al-Masih aku perintahkan kamu keluar daripadanya!” Roh itu pun keluar serta-merta.
19 Apabila majikan-majikan perempuan itu menyedari bahawa harapan mereka mendapat sumber keuntungan telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota.
20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Rom dan berkata, “Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi
21 dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Rom.”
22 Orang ramai pun bangkit menentang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai melucutkan pakaian kedua-duanya dan mengarahkan supaya mereka disebat.
23 Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat.
24 Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka pada pasung.
25 Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka.
26 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut.
27 Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari.
28 Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, “Jangan apa-apakan dirimu, kami semua ada di sini.”
29 Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas.
30 Kemudian dia membawa mereka keluar lalu berkata, “Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?”
31 Mereka menjawab, “Percayalah kepada Isa, Junjungan Yang Ilahi, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.”
32 Mereka pun menyampaikan firman Tuhan kepadanya dan seisi rumahnya.
33 Pada malam itu juga ketua penjara membasuhkan luka-luka Paulus dan Silas. Dia dan seisi rumahnya diimadkan.
34 Selepas itu, dia membawa Paulus dan Silas naik ke rumahnya serta menghidangkan makanan untuk mereka dengan amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah.
35 Setelah hari siang, pegawai-pegawai kerajaan menghantar anggota penguasa untuk menyampaikan perintah membebaskan Paulus dan Silas.
36 Ketua penjara memberitahu Paulus tentang perintah itu, “Pegawai-pegawai menyuruh tuan-tuan dibebaskan. Oleh itu, keluarlah dan pergilah dengan sejahtera.”
37 Akan tetapi Paulus berkata, “Mereka telah menyebat kami di hadapan orang ramai tanpa menyiasat, sungguhpun kami orang Rom. Mereka telah memasukkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka hendak membebaskan kami senyap-senyap? Tidak boleh begitu! Hendaklah mereka sendiri datang membawa kami keluar.”
38 Kata-kata Paulus itu disampaikan oleh anggota penguasa kepada pegawai-pegawai itu. Apabila mendengar bahawa Paulus dan Silas orang Rom, pegawai-pegawai itu pun takut
39 lalu datang memujuk mereka, membawa mereka keluar dan meminta mereka meninggalkan kota itu.
40 Paulus dan Silas keluar dari penjara lalu pergi ke rumah Lidia. Setelah bertemu dengan pengikut-pengikut Isa di situ dan menetapkan hati mereka, Paulus dan Silas pun meneruskan perjalanan.
Paulus dan Silas di Tesalonika
1 Paulus dan Silas melalui Amfipolis dan Apolonia lalu sampai di Tesalonika. Di situ ada saumaah orang Yahudi.
2 Seperti biasa, Paulus masuk dan berbincang dengan orang di situ tiga hari Sabat berturut-turut tentang ayat-ayat Kitab Suci.
3 Dia menyatakan dan menunjukkan bahawa al-Masih mengalami kematian dan kemudian bangkit daripada kematian; juga katanya, “Isa yang kusebutkan kepadamu inilah al-Masih.”
4 Beberapa orang di situ percaya lalu bersahabat dengan Paulus dan Silas; antara mereka terdapat sebilangan besar orang Yunani yang bertakwa kepada Allah serta cukup ramai wanita yang terkemuka.
5 Tetapi orang Yahudi berasa dengki lalu mengumpulkan orang jahat dan memulakan huru-hara di kota itu; mereka menyerang rumah Yason untuk membawa keluar rasul-rasul itu menghadap orang ramai.
6 Apabila mereka tidak menemui Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang lagi pengikut Isa ke hadapan pegawai-pegawai yang berkuasa sambil berseru, “Orang ini telah menimbulkan kekacauan di merata-rata dan sekarang mereka datang pula ke sini
7 lalu dialu-alukan oleh Yason ke rumahnya. Mereka ini melanggar undang-undang Kaisar Rom dengan mengatakan ada orang lain yang menjadi raja, bernama Isa.”
8 Apabila orang ramai dan pegawai kerajaan mendengar kata-kata itu, mereka pun gempar.
9 Mereka menerima ikat jamin untuk Yason dan yang lain lalu membenarkan mereka pergi.
Di Beria
10 Para pengikut Isa itu segera menyuruh Paulus dan Silas bertolak ke Beria pada waktu malam. Setelah sampai di sana, mereka masuk ke saumaah orang Yahudi.
11 Orang Yahudi di situ lebih mulia rohaninya daripada yang di Tesalonika kerana mereka menerima firman Allah dengan amat sukacita dan menyelidik Kitab Suci untuk memastikan setiap kebenaran yang dikatakan Paulus.
12 Oleh yang demikian ramailah antara mereka yang percaya, baik wanita-wanita Yunani yang berkedudukan tinggi mahupun kaum lelaki.
13 Akan tetapi apabila orang Yahudi di Tesalonika mendapat tahu bahawa Paulus menyebarkan firman Allah di Beria juga, mereka pergi menghasut dan mengapi-apikan orang di situ supaya merusuh.
14 Para pengikut Isa di Beria segera menyuruh hantar Paulus ke pantai manakala Silas dan Timotius masih di Beria.
15 Orang yang menghantar Paulus itu membawanya hingga ke Atena; setelah menerima arahan Paulus menyuruh Silas dan Timotius segera menyertainya, orang itu pun pulang ke Beria.
Di Atena
16 Sementara Paulus menantikan kedua-duanya di Atena, dia berasa amat sedih melihat kota itu penuh dengan berhala.
17 Oleh itu, dia berhujah di saumaah dengan orang Yahudi dan orang Yunani yang bertakwa kepada Allah; dan di medan kota juga dia berbincang dengan siapa sahaja yang ditemuinya.
18 Beberapa orang yang berpegang kepada ajaran Epikuros dan Stoa berhujah dengannya. Ada yang berkata, “Apa yang dibebelkannya itu?” Yang lain berkata, “Nampaknya orang ini menyebarkan berita tentang dewa-dewa orang bangsa asing.” Demikianlah kata mereka kerana Paulus mengkhabarkan Injil tentang Isa dan kebangkitan daripada kematian.
19 Mereka membawanya ke Areopagus sambil berkata, “Bolehkah kami mengetahui apakah ajaran baru yang kamu katakan ini?
20 Kamu menyampaikan ke telinga kami perkara-perkara yang aneh; oleh itu, kami hendak mengetahui ertinya segala perkara ini.”
21 (Semua orang Atena dan orang asing di situ asyik sekali membincangkan atau mendengar tentang perkara-perkara terbaru).
22 Paulus berdiri di tengah-tengah Areopagus itu lalu berkata, “Hai saudara-saudara orang Atena! Aku lihat dalam semua hal saudara-saudara kamu sangat memperhatikan ibadat kepada dewa-dewamu.
23 Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: ‘Kepada Tuhan yang tidak diketahui.’ Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara.
24 a“Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya ialah Tuhan langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia,
25 dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya.
26 Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan daerah tempat mereka hidup.
27 Masing-masing diharap mencari Tuhan, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita.
28 ‘Kerana-Nya kita hidup, bergerak serta ada di dunia ini.’ Sebagaimana kata penyair bangsamu, ‘Kita ialah anak-Nya.’
29 “Oleh sebab kita ialah bangsa yang dijadikan oleh Allah, tidak patut kita sangka keilahian-Nya seperti patung yang serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia.
30 Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat;
31 kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian.”
32 Apabila mendengar “membangkitkan-Nya daripada kematian”, ada yang mengejek-ejek; tetapi ada yang berkata, “Kami mahu mendengar lagi kamu bercakap tentang perkara itu.”
33 Selepas itu, Paulus keluar daripada perhimpunan itu.
34 Namun demikian, ada beberapa orang yang menjadi pengikut Paulus dan percaya akan kata-katanya; di antaranya ialah Dionisius anggota Areopagus, dan seorang wanita bernama Damaris, serta beberapa orang lagi.
Paulus di Korintus
1 Seterusnya Paulus berangkat dari Atena ke Korintus.
2 Apabila tiba di situ, dia bertemu dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang lahir di kota Pontus. Dia baru datang dari Itali dengan isterinya Priskila, kerana Kaisar Klaudius telah menitahkan semua orang Yahudi keluar dari Rom. Paulus pergi menemui mereka
3 lalu tinggal dan bekerja bersama mereka kerana mata pencarian mereka sama iaitu sebagai tukang khemah.
4 Pada setiap hari Sabat, Paulus berhujah di saumaah untuk meyakinkan orang Yahudi dan juga orang Yunani menjadi pengikut Isa.
5 Setelah Silas dan Timotius sampai di situ dari Makedonia, Paulus menumpukan masa kepada usaha menyampaikan firman Allah serta memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Isa itulah al-Masih.
6 Akan tetapi, mereka menentang dan mencelanya; maka Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya lalu berkata, “Darahmu tertumpah ke atas kepalamu sendiri, aku tidak bertanggungjawab; aku bersih. Dari sekarang aku hendak pergi kepada orang bangsa asing.”
7 Paulus pun berpindah ke rumah Titus Yustus, seorang yang menyembah Allah; rumahnya bersebelahan dengan saumaah.
8 Krispus, ketua saumaah itu, serta seisi rumahnya, percaya kepada Junjungan Yang Ilahi; ramai lagi orang Korintus turut mendengar dan percaya lalu diimadkan.
9 Pada suatu malam Tuhan berfirman kepada Paulus dalam satu penglihatan, “Jangan takut, berkata-katalah terus dan jangan berhenti,
10 kerana Aku menyertaimu. Tiada seorang pun akan dapat mencederakanmu, kerana ramai orang di kota ini umat-Ku.”
11 Paulus tinggal di situ setahun setengah sambil menyebarkan firman Allah kepada orang di situ.
12 Semasa Galio menjadi pemerintah negeri Akhaya, orang Yahudi bangkit dengan sehati melawan Paulus lalu membawanya ke muka pengadilan.
13 Mereka berkata, “Orang ini cuba mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bercanggah dengan hukum Taurat.”
14 Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata, “Hai orang Yahudi, jika perkara ini tentang kesalahan atau jenayah, patutlah aku bersabar mendengarnya;
15 tetapi jika pertikaianmu tentang perkataan, nama dan hukummu hendaklah kamu menyelesaikannya sendiri; aku tidak mahu mengadili perkara yang demikian.”
16 Lalu Galio mengusir mereka keluar dari tempat pengadilan itu.
17 Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua saumaah, lalu memukulnya di hadapan tempat pengadilan itu, tetapi Galio tidak menghiraukannya.
Paulus kembali ke Antiokhia
18 aPaulus tinggal dengan para pengikut Isa di Korintus beberapa hari lagi. Selepas itu, dia meninggalkan mereka lalu belayar bersama Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea sebagai menunaikan nazarnya.
19 Apabila mereka sampai di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila di situ. Dia masuk seorang ke saumaah lalu berbincang dengan orang Yahudi.
20 Ketika mereka memintanya tinggal lebih lama lagi di sana, dia menolak permintaan itu
21 lalu bermohon diri sambil berkata, “Insya-Allah, aku akan kembali bertemu denganmu.” Selepas itu, dia belayar meninggalkan Efesus.
22 Setelah sampai di Kaisarea, dia naik memberi salam kepada jemaah, lalu turun ke Antiokhia.
23 Di sana dia tinggal beberapa lama, kemudian berangkat melawat seluruh daerah Galatia dan Frigia serta mengukuhkan iman para pengikut Isa di situ.
Apolos di Efesus
24 Pada masa itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Iskandaria, pandai berpidato dan amat memahami Kitab Suci, datang ke Efesus.
25 Dia telah diajar tentang Jalan Tuhan, dan dengan bersungguh-sungguh dia berkata-kata dan mengajarkan perihal Isa dengan betul, walaupun dia hanya mengetahui pengimadan Yahya.
26 Dia mula bercakap dengan berani di saumaah. Priskila dan Akwila mendengar dia bercakap lalu membawanya ke tempat tinggal mereka dan menerangkan Jalan Allah kepadanya dengan lebih betul lagi.
27 Apabila dia hendak menyeberang ke Akhaya, para pengikut Isa di Efesus membantunya dengan menulis surat kepada saudara-saudara seiman di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Setibanya di Akhaya, dia banyak menolong orang yang dengan rahmat Allah telah beriman.
28 Dengan wibawa yang penuh Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perbahasan di hadapan orang ramai. Dengan memetik ayat-ayat Kitab Suci, dia membuktikan bahawa Isa itu al-Masih.
Paulus di Efesus
1 Sementara Apolos berada di Korintus, Paulus menjelajahi kawasan pedalaman lalu sampai di Efesus. Di situ dia bertemu dengan beberapa orang pengikut
2 lalu berkata, “Adakah kamu menerima Roh Allah pada waktu kamu percaya kepada Isa?”
Mereka menjawab, “Kami belum pernah mendengar pun tentang adanya Roh Allah.”
3 Paulus bertanya, “Kalau begitu, dalam pengimadan apakah kamu diimadkan?”
Kata mereka, “Dalam pengimadan Yahya.”
4 aPaulus berkata, “Yahya telah mengimadkan orang dengan pengimadan taubat dan berkata kepada mereka bahawa mereka hendaklah mempercayai Dia yang akan datang selepasnya, iaitu Isa.”
5 Setelah mereka mendengar penerangan itu, mereka diimadkan dengan nama Isa, Junjungan Yang Ilahi.
6 Paulus meletakkan tangan di atas mereka lalu datanglah Roh Allah menguasai mereka dan mereka semuanya bercakap dalam berbagai-bagai bahasa serta bernubuat.
7 Semuanya ada kira-kira dua belas orang.
8 Paulus masuk ke saumaah dan bercakap di situ dengan beraninya selama tiga bulan. Dia berbincang dengan orang di situ dan berusaha meyakinkan mereka tentang kerajaan Allah.
9 Akan tetapi, beberapa orang berkeras hati dan tidak mahu percaya malah memburuk-burukkan Jalan Tuhan di hadapan orang ramai. Oleh itu, Paulus meninggalkan mereka lalu membawa pengikut-pengikut Isa bersamanya ke dewan syarahan Tiranus dan di situlah dia mengadakan perbincangan.
10 Hal itu berlaku selama dua tahun, hingga semua penduduk Asia, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah mendengar firman Tuhan.
11 Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus.
12 Sesetengah mereka membawa pulang sapu tangan atau kain yang pernah dipakai Paulus kepada orang yang sakit lalu mereka sembuh dan roh-roh iblis yang merasuk mereka keluar dari tubuh mereka.
13 Beberapa orang Yahudi yang mengamalkan ilmu sihir turut serta menyebut nama Isa, Junjungan Yang Ilahi, untuk mengubat orang yang dirasuk roh-roh iblis, dengan berkata, “Aku menyumpahi kamu demi Isa yang dikhabarkan oleh Paulus.”
14 Ada tujuh orang anak Skewa, imam besar orang Yahudi, yang berbuat demikian.
15 Akan tetapi, roh jahat itu menjawab, “Aku kenal akan Isa, dan tahu akan Paulus, tetapi kamu ini siapa?”
16 Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menerkam dan mengerjakan mereka. Mereka pun lari dari dalam rumah itu dalam keadaan telanjang dan luka.
17 Berita itu tersebar baik dalam kalangan orang Yahudi mahupun orang Yunani di Efesus; mereka ketakutan lalu nama Isa, Junjungan Yang Ilahi, semakin dimuliakan.
18 Ramai orang yang mempercayai Isa datang sambil mengakui segala perbuatan jahat mereka yang lalu.
19 Beberapa orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan semua buku sihir mereka dan membakarnya di hadapan orang ramai. Semua buku sihir itu dianggar nilainya kira-kira lima puluh ribu keping wang perak.
20 Demikianlah, firman Tuhan tersebar luas dan semakin berkuasa.
Rusuhan di Efesus
21 Setelah selesai peristiwa itu, Paulus berniat dalam hatinya hendak menjelajahi Makedonia dan Akhaya dan kemudian ke Yerusalem. Dia berkata, “Selepas itu, aku mesti pergi ke Rom pula.”
22 Dia pun menyuruh Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantu-pembantunya, pergi dahulu ke Makedonia, manakala dia tinggal lebih lama di Asia.
23 Pada masa itu berlaku huru-hara di Efesus kerana ajaran tentang Jalan Tuhan.
24 Seorang tukang perak bernama Demetrius membuat balai-balai berhala Dewi Artemis daripada perak. Pekerjaan ini membawa hasil lumayan kepada pekerja-pekerjanya.
25 Dia menghimpunkan para pekerja serta tukang-tukang yang sama mata pencariannya lalu berkata, “Saudara-saudara sekalian tahu bahawa daripada pekerjaan inilah kita mendapat keuntungan.
26 Saudara-saudara juga melihat dan mendengar bahawa di Efesus ini malah hampir di seluruh Asia, Paulus itu telah mempengaruhi ramai orang dengan berkata bahawa barang yang diperbuat oleh manusia bukannya dewa.
27 Dengan demikian, apa yang dikhuatiri bukan sahaja mata pencarian kita ini dihina, bahkan rumah Artemis, dewi yang besar itu pun tidak akan diendahkan lagi, lalu hilanglah kebesaran dewi yang disembah orang di seluruh Asia malah di serata dunia.”
28 Setelah mendengar kata-kata itu, semua yang hadir naik berang dan berseru, “Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!”
29 Dengan demikian orang ramai merusuh di kota itu. Mereka menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke panggung kota itu.
30 Paulus hendak pergi bercakap kepada orang ramai tetapi para pengikut Isa tidak membenarkannya.
31 Beberapa orang pegawai kerajaan yang bersahabat dengan Paulus berpesan kepadanya supaya jangan masuk ke panggung itu.
32 Orang yang berkumpul di situ berseru-seru, sesetengah berkata begini dan sesetengah begitu; kerana semuanya dalam keadaan kelam-kabut dan sebilangan besar daripada mereka tidak tahu mengapa mereka berhimpun.
33 Orang Yahudi menolak Iskandar ke hadapan untuk menghadapi orang ramai. Iskandar memberikan isyarat dengan tangannya kerana dia hendak menjelaskan segalanya kepada mereka.
34 Akan tetapi apabila mereka mengenalinya sebagai orang Yahudi, semuanya berseru serentak selama kira-kira dua jam, “Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!”
35 Ketika itu jurutulis kota menyuruh mereka diam lalu berkata, “Hai orang Efesus, siapa yang tidak tahu bahawa orang kota Efesuslah yang memelihara kuil dewi besar Artemis dan patung sucinya yang turun dari langit?
36 Ini tidak dapat dinafikan. Oleh itu, kamu patut bertenang dan jangan bertindak gopoh-gapah.
37 Kedua-dua orang ini tidak merampas harta tempat berhala dan tidak pula menghina dewi kita, tetapi kamu membawa mereka ke mari.
38 Jika Demetrius dan tukang-tukang yang menyertainya itu ada sesuatu yang hendak diadukan tentang sesiapa, kita mempunyai mahkamah perbicaraan dan hakim; hendaklah mereka mendakwa orang berkenaan di mahkamah.
39 Jika kamu menuntut perkara lain, hendaklah diselesaikan dalam perhimpunan yang berpatutan.
40 Oleh sebab apa yang berlaku hari ini, kita akan didakwa menimbulkan huru-hara tanpa sebab; dan kita tidak dapat memberikan alasan yang wajar untuk membenarkan perhimpunan ini.”
41 Selepas itu, jurutulis kota menyuruh perhimpunan itu bersurai.
Paulus melalui Makedonia dan Yunani
1 Setelah kota itu aman semula, Paulus memanggil para pengikut Isa dan menasihatkan mereka, kemudian memohon diri lalu bertolak ke Makedonia.
2 Dia menjelajahi seluruh Makedonia sambil memberikan nasihat kepada orang di situ. Kemudian dia tiba di Yunani dan
3 tinggal di sana selama tiga bulan. Apabila dia hendak belayar ke Siria, dia mendengar bahawa orang Yahudi berpakat hendak membunuhnya. Oleh itu, dia membuat keputusan hendak berangkat melalui Makedonia.
4 Dia diiringi hingga ke Asia oleh Sopater bin Purrus orang Beria, oleh Aristarkhus dan Sekundus orang Tesalonika, oleh Gayus orang Derbe, Timotius, dan dua orang dari Asia, Tikhikus dan Trofimus.
5 Mereka berjalan dahulu, menantikan kami di Troas.
6 Kami belayar dari Filipi selepas Perayaan Roti Tidak Beragi, lalu menemui mereka di Troas lima hari kemudian. Kami tinggal di situ selama tujuh hari.
Paulus di Troas
7 Pada hari pertama minggu itu, kami berkumpul untuk memecah-mecahkan roti. Paulus yang akan belayar esoknya bercakap dengan orang di situ sampai tengah malam.
8 Di dalam bilik atas, tempat kami berhimpun itu, ada beberapa pelita.
9 Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Dia tertidur sementara Paulus masih bercakap. Oleh sebab lena tidurnya, pemuda itu jatuh dari tingkat ketiga itu sampai ke bawah. Orang mengangkatnya dan mendapatinya sudah mati.
10 Paulus turun lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu serta memeluknya sambil berkata, “Jangan bimbang, kerana ada lagi nyawanya.”
11 Selepas itu dia naik, membahagikan roti, makan lalu bertutur sampai dinihari. Kemudian dia pun berangkat.
12 Pemuda itu didapati hidup dan dibawa pulang ke rumahnya. Mereka semua amat terhibur.
Dari Troas ke Miletus
13 Kami berjalan dahulu naik ke kapal lalu belayar ke Asos untuk menyambut Paulus di sana; demikianlah yang telah dirancangnya, kerana dia sendiri hendak berjalan kaki.
14 Setelah menyambutnya di Asos, kami mengiringinya ke Metilene.
15 Kami belayar dari sana: Esoknya kami bertentangan dengan Pulau Khios; lusanya kami singgah di Samos; dan tulatnya kami sampai di Miletus.
16 Paulus telah membuat keputusan untuk belayar melalui Efesus, supaya jangan berlarutan di Asia; dia hendak cepat, dengan harapan sampai di Yerusalem pada Perayaan Pentakosta.
Perpisahan dengan para tua-tua jemaah di Efesus
17 Dari Miletus Paulus menyuruh orang pergi ke Efesus memanggil tua-tua jemaah di situ.
18 Apabila mereka datang menemuinya, Paulus berkata, “Kamu semua tahu cara hidupku sejak aku bersamamu, dari hari pertama aku datang ke Asia.
19 Aku telah memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata. Sudah beberapa cubaan menimpa diriku akibat pakatan orang Yahudi.
20 Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu baik di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing,
21 sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Isa, Junjungan kita Yang Ilahi.
22 “Sekarang aku pergi ke Yerusalem mentaati perintah Roh Allah sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku.
23 Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Allah telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku.
24 aTetapi sekali-kali aku tidak mengendahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Isa, Junjungan Yang Ilahi, iaitu memberikan kesaksian akan Injil tentang rahmat Allah.
25 “Sekarang ingatlah. Aku tahu bahawa kamu tidak akan memandang mukaku lagi, setelah sekian lama aku bersamamu dan mengkhabarkan kerajaan Allah.
26 Oleh itu, pada hari ini aku bersaksi bahawa aku tidak bersalah terhadap penumpahan darah manusia.
27 Aku telah menyatakan kepadamu seluruh kehendak Allah dengan sepenuh kerelaan.
28 Jagalah dirimu dan semua kawanan kerana kamulah yang telah diamanahkan Roh Allah untuk menjadi penyelia bagi menggembalakan jemaah Allah yang telah ditebus-Nya dengan darah Putera yang datang daripada Allah sendiri.
29 Aku tahu bahawa sepeninggalanku nanti, beberapa serigala garang akan masuk menyerang jemaah ini;
30 malah dari antara kamu sendiri akan bangkit beberapa orang yang memesongkan ajaran yang benar dan berusaha menarik para pengikut untuk mengikut mereka.
31 Oleh itu, berjaga-jagalah, serta ingatlah bagaimana selama tiga tahun aku tidak berhenti-henti siang malam menasihatkan setiap orang dengan air mataku.
32 “Sekarang aku menyerahkan kamu kepada Allah dan kepada perkhabaran tentang rahmat Allah, yang berkuasa meneguhkan imanmu dan memberimu warisan yang diperuntukkan bagi seluruh umat yang telah menjadi milik-Nya.
33 Aku tidak pernah ingin memiliki emas perak atau pakaian orang.
34 Kamu tahu bahawa kedua-dua belah tanganku ini telah bekerja untuk mencukupkan sara hidupku dan orang yang bersamaku.
35 Dalam semua perkara aku telah menunjukkan teladan kepadamu iaitu bagaimana kamu juga patut bekerja demikian untuk menolong orang yang lemah; dan ingatlah firman Isa, Junjungan Yang Ilahi, ‘Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima.’ ”
36 Setelah berkata demikian, Paulus berlutut dan berdoa-doa bersama semua yang hadir.
37 Semuanya menangis seraya memeluk dan mencium Paulus.
38 Mereka berdukacita terutamanya kerana dia berkata bahawa mereka tidak akan memandang mukanya lagi. Kemudian mereka menghantarkannya ke kapal.
Paulus pergi ke Yerusalem
1 Setelah berpisah dengan mereka, kami belayar ke Kos, dan esoknya ke Rodos, dan dari sana ke Patara.
2 Kami mendapati ada sebuah kapal yang hendak menyeberang ke Fenisia. Kami menaikinya lalu belayar.
3 Setelah kelihatan Siprus di sebelah kiri, kami terus belayar ke Siria lalu turun di kota Tirus kerana kapal itu hendak memunggah muatannya di situ.
4 Kami menemui para pengikut Isa lalu tinggal di kota itu selama tujuh hari. Melalui pimpinan Roh Allah mereka menggesa Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem.
5 Setelah sampai waktu yang dirancang, kami bertolak dari situ. Semua pengikut Isa bersama anak isteri menghantarkan kami sampai ke luar kota. Kami semua berlutut di pantai lalu berdoa dan bersalam-salaman.
6 Selepas itu, kami naik ke kapal dan mereka pulang ke rumah masing-masing.
7 Dari Tirus kami meneruskan pelayaran ke Ptolemais. Di situ kami memberi salam kepada saudara-saudara seiman lalu tinggal dengan mereka selama sehari.
8 aEsoknya kami pergi ke Kaisarea lalu masuk ke rumah Filipus, pemberita Injil yang menjadi seorang daripada tujuh pembantu para rasul, lalu kami tinggal dengannya.
9 Dia mempunyai empat orang anak gadis yang belum berkahwin dan mereka bernubuat.
10 bSetelah kami tinggal di situ beberapa hari, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea.
11 Dia mendapatkan kami lalu mengambil tali pinggang Paulus dan mengikat kaki tangannya sendiri sambil berkata, “Demikianlah kata Roh Allah, bahawa orang yang mempunyai tali pinggang ini akan diikat demikian di Yerusalem oleh orang Yahudi dan diserahkan ke tangan orang bangsa asing.”
12 Apabila mendengar kata-kata itu, kami dan penduduk kota itu meminta Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem.
13 Paulus menjawab, “Mengapa kamu menangis dan menyedihkan hatiku? Aku bersedia bukan sahaja untuk diikat, malah untuk mati di Yerusalem demi nama Isa, Junjungan Yang Ilahi.”
14 Oleh sebab dia tidak mahu mendengar kata kami, kami pun berhenti memujuknya lalu berkata, “Berlakulah kehendak Tuhan.”
15 Selepas itu, kami berkemas lalu pergi ke Yerusalem.
16 Beberapa orang pengikut Isa dari Kaisarea menyertai kami lalu membawa kami berjumpa Menason, orang Siprus, yang sudah lama percaya akan Isa; di rumahnyalah kami menumpang.
Paulus melawat Yakobus
17 Setelah sampai di Yerusalem, kami disambut oleh saudara-saudara seiman dengan sukacita.
18 Pada esoknya Paulus bersama kami masuk berjumpa dengan Yakobus; ketua-ketua yang lain pun ada di situ.
19 Setelah memberi salam kepada mereka, Paulus menceritakan segala yang telah dilakukan Allah secara terperinci dalam kalangan bangsa asing melalui pelayanannya.
20 Apabila mendengar kisah itu mereka memuji Allah dan berkata kepada Paulus, “Saudara, sebagaimana kamu lihat, ada berpuluh ribu orang Yahudi yang sudah percaya akan Isa dan mereka itu berpegang teguh pada Taurat.
21 Ada orang memberitahu mereka bahawa kamu mengajar orang Yahudi yang tinggal dalam kalangan orang bangsa asing supaya berpaling daripada Musa, jangan menyunatkan anak-anak dan jangan menurut adat orang Yahudi.
22 Sekarang bagaimana? Mereka tentu mendengar berita kedatanganmu ke sini.
23 cOleh itu, ikutlah seperti kata kami. Antara kami ada empat orang yang telah bernazar.
24 Bawalah mereka bersamamu dan sucikan dirimu bersama mereka serta tanggung belanja mencukur kepala mereka. Dengan demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang dikatakan tentangmu itu tidak benar, sebaliknya kamu mengikut Taurat.
25 dNamun demikian, tentang orang bangsa asing yang percaya akan Isa, kami telah berkirim surat memberikan hukum bahawa mereka hendaklah menjauhkan diri daripada makanan yang dipersembahkan kepada berhala, daripada darah, daging binatang yang mati dicekik dan daripada perbuatan cabul.”
26 Paulus pun membawa empat orang itu bersamanya dan pada esoknya dia menyucikan diri bersama mereka. Kemudian dia masuk ke Bait Allah dan memberitahu orang di situ bilangan harinya upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi setiap mereka.
Paulus ditangkap
27 Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam Bait Allah. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus
28 sambil berseru, “Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan di merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan Bait Allah. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam Bait Allah, menajiskan tempat suci ini.”
29 eMereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam Bait Allah.
30 Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar Bait Allah. Semua pintu Bait Allah pun segera ditutup.
31 Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera Rom mendengar bahawa seisi kota Yerusalem sedang merusuh.
32 Dia segera membawa beberapa orang ketua tentera dan askar-askar untuk mendapatkan perusuh-perusuh itu. Apabila melihat mereka datang, perusuh-perusuh itu berhenti memukul Paulus.
33 Ketua pasukan tentera itu datang menangkap Paulus, disuruhnya ikat dengan dua rantai. Dia bertanya siapakah dia dan apakah yang telah dilakukannya.
34 Di antara orang ramai itu sesetengah menjawab begini dan sesetengahnya begitu. Oleh sebab ketua pasukan tentera itu tidak dapat memastikan punca huru-hara itu, dia menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu.
35 Setelah sampai ke tangga, askar-askar mengangkat Paulus kerana orang ramai mengganas.
36 Mereka mengikut sambil berseru-seru, “Hapuskan dia!”
Paulus berucap kepada orang ramai
37 Ketika Paulus hendak dibawa masuk ke dalam kubu, dia berkata kepada ketua pasukan tentera itu, “Bolehkah aku menyatakan sesuatu kepadamu?”
Ketua pasukan tentera itu berkata, “Kamu tahu bahasa Yunani?
38 Bukankah kamu ini orang Mesir yang dahulu mencetuskan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas ke gurun?”
39 Paulus berkata, “Aku ini orang Yahudi dari kota Tarsus di tanah Kilikia iaitu kota yang agak terkenal, dan aku meminta kamu benarkan aku bercakap kepada orang ramai itu.”
40 Setelah mendapat kebenaran daripada ketua pasukan tentera, Paulus berdiri di atas tangga dan memberikan isyarat dengan tangannya supaya mereka diam. Setelah orang ramai itu senyap, Paulus berucap dalam bahasa Ibrani,
Paulus membela diri di Yerusalem
1 “Bapa-bapa dan saudara-saudara sekalian. Dengarlah peneranganku.”
2 Setelah mereka mendengar Paulus bertutur dalam bahasa Ibrani, mereka terus senyap.
Paulus berkata,
3 a“Aku ini orang Yahudi, dilahirkan di Tarsus di tanah Kilikia, tetapi dibesarkan di kota ini, berguru kepada Gamaliel. Aku diajar hukum nenek moyang kita dengan betul, dan aku pula tekun beribadat kepada Allah, sama seperti saudara-saudara sekalian pada hari ini.
4 bAku pernah menganiaya pengikut Jalan Tuhan malah membunuh mereka di samping mengikat dan memenjarakan mereka, baik lelaki mahupun perempuan.
5 Imam besar dan seluruh anggota Majlis Agama boleh bersaksi akan perbuatanku itu. Aku telah mendapatkan beberapa surat daripada mereka lalu pergi ke Damsyik untuk menangkap dan mengikat para pengikut Isa di sana dan membawa mereka ke Yerusalem ini untuk diseksa.
6 “Dalam perjalanan, ketika hampir sampai di Damsyik, sekitar tengah hari, tiba-tiba suatu cahaya yang besar dari langit bersinar mengelilingiku.
7 Aku rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadaku, ‘Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?’
8 “Aku berkata, ‘Siapakah Engkau, ya Tuan?’
“Jawab-Nya, ‘Akulah Isa orang Nazaret yang kauaniayakan.’
9 Semua orang yang bersamaku turut melihat cahaya itu tetapi tidak mendengar suara yang berkata-kata denganku itu.
10 “Aku berkata, ‘Tuan, apakah yang harus kulakukan?’
“Dia menjawab, ‘Bangunlah, pergi ke Damsyik. Di sana engkau akan diberitahu segala yang sudah ditetapkan untuk kaulakukan.’
11 Aku tidak dapat melihat langsung akibat cahaya yang terang itu. Teman seperjalananku memimpin tanganku masuk ke Damsyik.
12 “Ada seorang bernama Ananias yang kuat beribadat menurut hukum Taurat. Dia dipandang tinggi oleh orang Yahudi di Damsyik.
13 Dia datang berdiri di sisiku lalu berkata, ‘Saudaraku Saul, kamu dapat melihat semula!’ Pada saat itu juga aku dapat melihat semula lalu memandangnya.
14 “Dia berkata, ‘Allah, Tuhan nenek moyang kita, telah menetapkan bahawa kamu akan mengetahui kehendak-Nya, dan melihat Hamba-Nya yang Benar itu serta mendengar suara Hamba-Nya itu.
15 Kamu akan menjadi saksi tentang-Nya kepada semua manusia, termasuk segala yang telah kamu lihat dan dengar itu.
16 Sekarang mengapa kamu berlengah-lengah lagi? Bangunlah untuk diimadkan dan minta dihapuskan segala dosamu sambil menyeru nama-Nya.’
17 “Setelah aku pulang ke Yerusalem, sedang aku berdoa di Bait Allah, aku terlalai
18 lalu melihat Dia dan mendengar kata-kata-Nya kepadaku, ‘Segeralah keluar dari Yerusalem, kerana mereka tidak akan menerima kesaksian daripadamu tentang-Ku.’
19 “Aku berkata, ‘Ya Junjungan, mereka tahu bahawa aku pernah memenjarakan dan memukul orang yang mempercayai-Mu dalam semua saumaah;
20 cdan apabila darah Stefanus saksi-Mu itu ditumpahkan, aku turut berdiri berdekatan dan menyetujui pembunuhan itu, serta menjaga pakaian orang yang membunuhnya.’
21 “Kata-Nya kepadaku, ‘Keluarlah dari sini, kerana Aku hendak mengutusmu jauh-jauh kepada orang bangsa asing.’”
Paulus warga negeri Rom
22 Orang ramai mendengar ucapan Paulus setakat itu, kemudian berseru lantang, “Hapuskan orang begini dari muka bumi, tidak patut dia dibiarkan hidup!”
23 Mereka berteriak-teriak sambil mengebas-ngebas pakaian sehingga debu berterbangan.
24 Ketua pasukan tentera itu menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia mengarahkan mereka menyebat dan menyoalnya untuk mengetahui mengapa orang ramai berseru-seru demikian tentangnya.
25 Paulus diikat dengan tali kulit lalu dia berkata kepada ketua tentera yang berdiri di situ, “Jika seorang warga negeri Rom belum diadili dan didapati bersalah, berkuasakah kamu menyebatnya?”
26 Apabila ketua tentera itu mendengar kata-kata Paulus, dia pergi memberitahu ketuanya tentang perkara itu. Katanya, “Apa hendak buat? Orang ini warga negeri Rom.”
27 Ketua pasukan tentera itu mendapatkan Paulus lalu berkata, “Katakanlah kepadaku, adakah engkau ini warga negeri Rom?”
Paulus menjawab, “Ya.”
28 Ketua pasukan tentera itu berkata, “Aku dapat menjadi warga negeri dengan bayaran yang tinggi.”
Paulus menjawab, “Tetapi aku dilahirkan sebagai warga negeri Rom.”
29 Semua orang yang hendak menyoalnya itu berundur, dan ketua pasukan tentera itu ketakutan kerana telah mengikat warga negeri Rom.
Paulus di hadapan Majlis Agama
30 Esoknya, untuk mengetahui dengan pasti apa sebabnya Paulus dituduh oleh orang Yahudi, ketua tentera itu meminta imam besar dan semua ahli Majlis Agama berhimpun. Kemudian dia melepaskan Paulus daripada ikatan dan menghadapkannya kepada perhimpunan itu.
1 Paulus merenung perhimpunan itu lalu berkata, “Saudara-saudara, dengan hati nurani yang bersih aku telah melakukan segalanya di hadapan Allah sampai hari ini.”
2 Ananias, imam besar, menyuruh orang yang berdiri di sisi Paulus menampar mulutnya.
3 aPaulus berkata kepadanya, “Allah akan menampar mulutmu nanti. Kamu seperti tembok yang dicat putih! Kamu sekarang duduk untuk mengadiliku menurut hukum tetapi kamu sendiri melanggar hukum itu dengan menyuruh orang menamparku!”
4 Orang yang berdiri di sisi Paulus berkata, “Beranikah kamu mencela imam besar yang diangkat oleh Allah?”
5 bPaulus menjawab, “Saudara-saudara, aku tidak tahu dia itu imam besar. Memang tersurat dalam Kitab Suci, ‘Jangan hinakan pemimpin bangsamu.’”
6 cPaulus mengetahui bahawa dalam perhimpunan itu separuhnya orang dari mazhab Saduki dan separuhnya orang dari mazhab Farisi. Dia pun berkata, “Saudara-saudara, aku ini orang dari mazhab Farisi dan anak orang dari mazhab Farisi. Aku didakwa kerana berharap kepada kebangkitan daripada kematian.”
7 Dengan demikian orang dari mazhab Farisi dan orang dari mazhab Saduki mula berbahas. Seluruh perhimpunan berpecah kepada dua pihak.
8 dOrang dari mazhab Saduki mengatakan bahawa tiada kebangkitan daripada kematian, tiada malaikat dan tiada roh; tetapi orang dari mazhab Farisi percaya akan semuanya.
9 Pertengkaran besar tercetus. Beberapa orang ahli Taurat daripada pihak orang dari mazhab Farisi bangkit dan menegaskan dengan penuh kesungguhan, “Kami dapati orang ini tidak bersalah langsung. Mungkin sekali roh atau malaikat telah bercakap dengannya.”
10 Perkelahian menjadi begitu sengit sehingga ketua pasukan tentera itu takut kalau-kalau Paulus diserang. Dia menyuruh askar-askar segera mengambil Paulus dengan paksaan dari tengah-tengah orang itu dan membawanya ke dalam kubu.
11 Pada malam berikut itu Tuhan berdiri di sisinya dan berkata, “Tabahkanlah hatimu; kerana sebagaimana kamu telah bersaksi tentang-Ku dengan sungguh-sungguh di Yerusalem ini, begitulah kamu akan bersaksi di Rom pula.”
Pakatan Yahudi Yerusalem untuk membunuh Paulus
12 Setelah hari siang, orang Yahudi membuat pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus.
13 Lebih empat puluh orang sepakat mengangkat sumpah itu.
14 Mereka semua menghadap ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat mereka lalu berkata, “Kami telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga kami membunuh Paulus itu.
15 Kamu dan ahli-ahli Majlis Agama tolonglah minta ketua pasukan tentera itu hadapkan Paulus kepada kamu esok, seolah-olah kerana kamu hendak meneliti perkara itu dengan lebih halus lagi. Kami akan bersedia untuk membunuhnya sebelum dia sampai ke sini.”
16 Anak kepada saudara perempuan Paulus mendengar tentang pakatan itu lalu masuk ke kubu memberitahunya.
17 Paulus memanggil dan berkata kepada seorang ketua tentera, “Bawalah pemuda ini kepada ketua pasukan tentera kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakan kepadanya.”
18 Pegawai itu membawa pemuda itu berjumpa ketuanya lalu berkata, “Paulus, orang yang terpenjara itu, memanggilku dan meminta pemuda ini dibawa berjumpa tuan kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakannya kepada tuan.”
19 Ketua pasukan tentera memegang tangan pemuda itu dan membawanya ke tempat yang sunyi lalu bertanya, “Apa hal yang hendak kaukatakan kepadaku itu?”
20 Pemuda itu berkata, “Orang Yahudi telah berpakat hendak meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah hendak meneliti halnya lebih halus lagi.
21 Janganlah tuan terperdaya oleh kata-kata mereka, kerana lebih empat puluh orang daripada mereka telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus. Mereka akan membunuhnya sebelum dia sampai ke hadapan Majlis Agama itu. Sekarang pun mereka semua sudah sedia menantikan tuan berjanji demikian.”
22 Ketua pasukan tentera itu menyuruh pemuda itu pulang setelah berpesan, “Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu telah menyatakan hal ini kepadaku.”
Paulus dibawa ke Kaisarea
23 Kemudian dia memanggil dua orang ketua tentera lalu berkata, “Lengkapkan dua ratus orang askar untuk pergi ke Kaisarea; askar bertombak dua ratus orang dan askar berkuda tujuh puluh. Mereka mesti bertolak pada pukul sembilan malam ini.
24 Sediakan juga kuda tunggang untuk membawa Paulus kepada Feliks, gabenor negeri, dengan selamat.”
25 Ketua tentera itu menulis surat seperti yang berikut:
26 “Salam daripadaku, Klaudius Lisias, kepada Feliks, gabenor yang amat mulia.
27 Orang ini telah ditangkap oleh orang Yahudi. Mereka hendak membunuhnya, lalu aku datang dengan askar-askar dan menyelamatkannya. Aku mendapat tahu dia warga negeri Rom.
28 Aku ingin mengetahui apa sebabnya dia dituduh oleh bangsanya. Oleh itu, aku membawanya untuk menghadap Majlis Agama mereka.
29 Aku mendapati dia tertuduh atas beberapa pertikaian tentang hukum agama; tetapi tiada suatu tuduhan pun yang patut dihukum bunuh atau penjara.
30 Apabila aku diberitahu tentang suatu pakatan hendak membunuh orang ini, aku segera menghantarkannya kepada tuan. Aku berpesan kepada mereka yang menuduhnya supaya mendakwanya di hadapan tuan.”
31 Askar-askar mengambil Paulus sebagaimana diarahkan lalu membawanya pada waktu malam ke Antipatris.
32 Esoknya askar berkuda sahaja meneruskan perjalanan bersama Paulus manakala askar yang lain pulang ke kubu.
33 Setelah sampai ke Kaisarea, surat itu dipersembahkan kepada gabenor dan Paulus pun dihadapkan kepadanya.
34 Selepas membaca surat itu, gabenor itu bertanya kepada Paulus di mana negeri asalnya. Apabila dia mendengar bahawa Paulus orang Kilikia,
35 dia berkata, “Aku akan mengadili perkara ini setelah pendakwa-pendakwa kamu sampai.” Kemudian dia mengarahkan supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dahulu dibina oleh Herodes.
Paulus di hadapan Feliks
1 Selepas lima hari, Ananias imam besar datang ke Kaisarea dengan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi dan seorang peguam bernama Tertulus. Mereka menuduh Paulus di hadapan gabenor itu.
2 Setelah Paulus dipanggil hadir, Tertulus memulakan dakwaannya: “Feliks yang mulia, dengan limpah kurnia dan kebijaksanaanmu, kami hidup sejahtera dan menikmati perubahan yang baik di negeri ini.
3 Kami amat berterima kasih atas segala yang telah kamu lakukan.
4 Kerana tidak ingin mengambil terlalu banyak masamu, aku memohon kebaikan kamu untuk mendengar dakwaanku yang ringkas ini.
5 “Kami telah mendapati orang ini pengacau dan menimbulkan huru-hara dalam kalangan orang Yahudi di serata dunia. Dialah pemimpin mazhab ajaran orang Nazaret itu.
6 Malah dia cuba menajiskan Bait Allah tetapi kami menangkapnya dan hendak mengadilinya menurut hukum kami.
7 Akan tetapi, ketua pasukan tentera Lisias datang lalu merampasnya daripada kami.
8 Dia mengarahkan kami, pendakwa-pendakwa orang ini, supaya menghadapmu. Jika kamu menyoal orang ini, kamu akan mendapati bahawa segala tuduhan kami ini benar.”
9 Orang Yahudi turut serta menuduh Paulus, dan mengatakan bahawa segala yang dikatakan itu benar.
10 Setelah menerima isyarat daripada gabenor yang menyuruhnya bercakap, Paulus menjawab dakwaan itu demikian: “Aku tahu kamu telah lama menjadi hakim di negeri ini. Oleh itu, aku dengan senang hati mengadukan hal kepadamu.
11 Hanya dua belas hari yang lalu aku telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat.
12 Aku tidak didapati berbincang dengan sesiapa atau menghimpunkan orang ramai itu untuk menimbulkan huru-hara, baik di Bait Allah, saumaah, atau di mana-mana di kota itu.
13 Para pendakwa juga tidak dapat membuktikan kepadamu segala tuduhan mereka terhadapku.
14 Aku mengaku di hadapanmu bahawa aku menyembah Allah, Tuhan nenek moyang kami, menurut Jalan Tuhan yang dianggap salah oleh mereka. Aku juga percaya dan berpegang kepada hukum Taurat, dan segala yang tersurat dalam kitab nabi-nabi.
15 Seperti mereka juga, aku berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian kelak, sama ada orang benar ataupun orang jahat.
16 Oleh itu, aku sentiasa berusaha supaya hati nuraniku bersih daripada kesalahan kepada Allah dan kepada manusia.
17 a“Selepas beberapa tahun di tempat-tempat lain, aku ke Yerusalem membawa derma untuk bangsaku, dan mempersembahkan korban.
18 Mereka mendapati aku di dalam Bait Allah setelah aku menyucikan diri; aku tidak membawa kumpulan yang besar dan tidak mencetuskan huru-hara.
19 Ketika itu ada beberapa orang Yahudi dari Asia. Merekalah yang patut menghadap kamu di sini untuk mendakwa, kalaulah ada sesuatu yang patut didakwa tentang aku.
20 Ataupun biarlah orang di sini menyatakan apa kesalahan yang didapati pada diriku ketika aku berdiri di hadapan majlis mereka itu.
21 bPada waktu itu aku hanya melafazkan kata-kata yang sama, iaitu, ‘Tentang kebangkitan daripada kematianlah aku didakwa di hadapanmu pada hari ini.’”
22 Feliks menangguhkan perbicaraan walaupun dia memahami selok-belok Jalan Tuhan berkenaan. Dia berkata, “Apabila Lisias, ketua pasukan tentera itu, datang nanti, aku akan menyelesaikan perkara ini.”
23 Dia mengarahkan ketua tentera menahan Paulus tetapi secara longgar, dan membenarkan sahabat-sahabatnya membawa apa-apa untuknya.
24 Beberapa hari kemudian, Feliks datang bersama isterinya Drusila, seorang Yahudi. Dia menyuruh orang memanggil Paulus lalu mendengar penerangannya tentang iman terhadap Isa al-Masih.
25 Apabila Paulus bercakap tentang perbenaran,* tentang penguasaan diri, dan tentang hukuman yang akan datang pada hari kemudian, Feliks ketakutan lalu berkata, “Pergilah sekarang. Apabila ada kesempatan nanti, aku akan memanggilmu lagi.”
26 Dalam pada itu dia berharap Paulus akan memberikan wang kepadanya. Oleh itu, dia kerap kali menyuruh orang memanggil Paulus lalu bercakap dengannya.
27 Dua tahun kemudian, Feliks digantikan oleh Perkius Festus. Feliks membiarkan Paulus terpenjara kerana hendak mengambil hati orang Yahudi.
Penghakiman Paulus di hadapan Festus
1 Tiga hari selepas Festus tiba di wilayah itu, dia berangkat dari Kaisarea ke Yerusalem.
2 Ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh Paulus di hadapan Festus.
3 Mereka memohon jasa baik Festus menghantar Paulus ke Yerusalem kerana mereka telah berpakat hendak membunuhnya di pertengahan jalan.
4 Akan tetapi, Festus menjawab bahawa Paulus terpenjara di Kaisarea dan dia sendiri pun hendak segera ke sana.
5 Dia berkata, “Oleh itu, hendaklah orang yang berkuasa antara kamu berangkat ke sana bersamaku dan mendakwa orang itu, jika dia telah melakukannya.”
6 Setelah tinggal di Yerusalem kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, Festus pun berangkat ke Kaisarea. Pada esoknya dia duduk sebagai hakim di mahkamah lalu menyuruh orang membawa Paulus menghadapnya.
7 Setelah Paulus masuk, semua orang Yahudi yang datang dari Yerusalem itu berdiri mengelilinginya serta menuduhnya atas beberapa kesalahan yang berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka.
8 Kemudian Paulus membela dirinya sendiri dan berkata “Satu pun tiada kesalahanku, terhadap hukum orang Yahudi, atau terhadap Bait Allah, atau terhadap Kaisar.”
9 Akan tetapi, Festus hendak mengambil hati orang Yahudi lalu bertanya kepada Paulus, “Mahukah kamu pergi ke Yerusalem supaya aku mengadili perkaramu ini di sana?”
10 Paulus menjawab, “Aku sekarang berdiri di mahkamah Kaisar, dan di sinilah aku patut dibicarakan. Aku tidak pernah melakukan sesuatu yang buruk terhadap orang Yahudi, sebagaimana kamu terlebih maklum.
11 Kalaulah aku bersalah, atau telah melakukan sesuatu yang patut aku dibunuh, aku tidaklah enggan mati; tetapi jika segala tuduhan mereka ke atas aku itu tidak benar, tiada seorang pun yang boleh menyerahkanku kepada mereka. Aku hendak mengadu kepada Kaisar.”
12 Setelah berbincang dengan semua penasihatnya, Festus menjawab, “Kamu hendak mengadu kepada Kaisar; pergilah menghadap Kaisar!”
Festus berbincang dengan Raja Agripa
13 Beberapa hari kemudian, Raja Agripa berangkat bersama Bernike ke Kaisarea untuk meraikan kedatangan Festus.
14 Dalam beberapa hari raja itu tinggal di sana, Festus menceritakan hal Paulus kepadanya, “Di sini ada seorang yang ditinggalkan oleh Feliks di dalam penjara.
15 Ketika aku di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh orang itu dan meminta supaya dia dihukum.
16 “Tetapi aku menjawab bahawa menurut adat orang Rom, seseorang itu tidak boleh diserahkan sebelum berhadapan dengan pendakwanya dan diberi peluang membela diri.
17 Apabila mereka datang ke sini, esoknya tanpa berlengah-lengah aku duduk sebagai hakim dan mengarahkan supaya orang itu dibawa masuk ke mahkamah.
18 Para pendakwanya mengemukakan tuduhan tetapi tiada satu pun merupakan perbuatan jahat sebagaimana aku jangkakan.
19 Semua tuduhan itu berlegar sekitar perselisihan tentang agama, tentang seorang bernama Isa yang sudah mati dan dikatakan hidup semula oleh Paulus.
20 Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengadili hal itu, lalu bertanya kalau dia mahu ke Yerusalem supaya dibicarakan di sana.
21 Tetapi Paulus meminta tangguh, hendak mengadukan halnya supaya dibicarakan di hadapan yang maha mulia Kaisar; lalu aku menyuruh dia dipenjarakan hingga aku menghantarnya kepada Kaisar.”
22 Agripa berkata, “Aku pun ingin mendengar orang itu.”
Festus menjawab, “Esok dapatlah kamu mendengarnya.”
Paulus di hadapan Agripa
23 Pada esoknya Agripa dan Bernike berangkat dengan selengkap kebesarannya, masuk ke dalam balai mahkamah bersama para panglima dan orang yang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa masuk.
24 Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan sidang hadirin. Orang ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak patut dibiarkan hidup lagi.
25 Tetapi pada pandangan aku, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan yang patut dijatuhi hukuman mati. Oleh sebab dia sendiri hendak mengadukan halnya kepada yang maha mulia Kaisar, aku telah memutuskan akan menghantarnya kepada Kaisar.
26 Namun demikian, tiada suatu pun yang pasti untuk aku tuliskan tentangnya kepada Kaisar. Itulah sebabnya aku membawanya menghadapmu, dan terutamanya Raja Agripa. Setelah dia disoal nanti, bolehlah didapati sesuatu untuk aku tuliskan.
27 Pada pandanganku, tidaklah wajar menghantarkan seseorang untuk diadili tanpa menyatakan tuduhan ke atasnya dengan jelas.”
Paulus membela diri di hadapan Agripa
1 Setelah itu, Agripa berkata kepada Paulus, “Sekarang kamu diberi izin untuk membela dirimu.”
Paulus pun memberikan isyarat dengan tangannya lalu membela dirinya demikian,
2 “Tuanku Raja Agripa, aku berasa bahagia kerana dapat menjawab tuduhan orang Yahudi ke atasku di hadapan kamu pada hari ini;
3 lebih-lebih lagi kerana kamu memahami adat dan perselisihan yang berlaku dalam kalangan orang Yahudi. Oleh itu, aku memohon kamu mendengarku dengan sabar.
4 “Semua orang Yahudi telah maklum tentang cara hidupku dari muda lagi, ketika di negeriku dan kemudiannya di Yerusalem.
5 aDari mulanya mereka telah mengenaliku, kalaulah mereka mahu bersaksi. Mereka tahu bahawa aku menurut ajaran yang paling keras dalam agama kami kerana aku hidup sebagai orang dari mazhab Farisi.
6 Sekarang pun aku berdiri di sini dan didakwa kerana aku berharap akan janji Allah kepada nenek moyang kami.
7 Dua belas suku bangsa kami tekun menyembah Allah siang malam dan berharap akan janji itu juga. Oleh sebab harapan inilah, aku dituduh oleh orang Yahudi.
8 Jika benar Allah membangkitkan orang daripada kematian, mengapakah pada hematmu hal itu tidak dapat dipercayai orang?
9 b“Satu masa dahulu, pada perasaan hatiku, wajar sekali aku mengambil pelbagai tindakan terhadap nama Isa orang Nazaret itu;
10 dan aku sudah pun berbuat demikian di Yerusalem. Setelah mendapatkan kuasa daripada ketua-ketua imam, aku telah memenjarakan ramai orang yang salih; dan apabila mereka dibunuh, aku menyetujui pembunuhan itu.
11 Kerap kali di saumaah aku menyeksa mereka dalam usaha memaksa mereka berpaling daripada imannya kepada Isa; dan oleh sebab terlalu berang terhadap mereka, aku memburu mereka hingga ke negeri asing.
12 “Pada suatu hari sedang aku dalam perjalanan ke Damsyik, dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam,
13 pada waktu tengah hari, aku melihat di tengah jalan suatu cahaya dari langit, lebih terang daripada sinar matahari, bersinar mengelilingiku dan semua orang yang berjalan bersamaku.
14 Kami semua rebah ke bumi, lalu aku mendengar suatu suara berkata dalam bahasa Ibrani kepadaku, ‘Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku? Sukarlah bagimu, seperti menendang sesuatu yang tajam.’
15 “Aku bertanya, ‘Siapakah Engkau, ya Tuan?’
“Dia menjawab, ‘Akulah Isa yang kauaniayakan.
16 Tetapi bangunlah, berdirilah. Aku menampakkan diri kepadamu untuk melantikmu sebagai hamba-Ku dan saksi terhadap apa yang engkau lihat tentang-Ku, dan tentang apa yang akan Kutunjukkan lagi kepadamu.
17 Aku akan menyelamatkanmu daripada orang Yahudi dan bangsa lain juga. Aku akan mengutusmu kepada mereka,
18 untuk mencelikkan mata mereka dan membawa mereka daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kuasa Iblis kepada kuasa Allah. Dengan demikian mereka akan menerima pengampunan dosa dan warisan antara orang yang dipilih oleh Allah.’
19 “Oleh itu, Tuanku Raja Agripa, aku dengan sepenuh rela menurut perintah dari penglihatan yang datang dari syurga itu.
20 cAku telah menyampaikan kepada semua orang Damsyik, Yerusalem dan seluruh tanah Yudea, juga kepada orang bangsa asing, bahawa mereka hendaklah bertaubat dan berpaling kepada Allah serta berkelakuan selaras dengan pertaubatan itu.
21 Itulah sebabnya orang Yahudi menangkapku di dalam Bait Allah, serta mencari jalan hendak membunuhku.
22 Tetapi hingga saat ini Allah telah menolongku dan aku berdiri di sini sambil bersaksi kepada orang besar dan orang biasa, dengan mengatakan perkara yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi dan oleh Musa:
23 diaitu al-Masih pasti mengalami kematian dan menjadi orang yang pertama bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bangsa lain, penyelamatan yang seperti cahaya bagi semua.”
24 Sedang Paulus menegakkan pembelaannya demikian, Festus berkata dengan suara nyaring, “Kamu gila, Paulus; ilmu yang terlalu banyak menjadikan kamu gila.”
25 Paulus menjawab, “Aku bukannya gila, Festus yang mulia. Aku mengatakan perkara yang benar dan bijaksana.
26 Tuanku Raja Agripa, aku berani berkata-kata di hadapanmu dengan bebas kerana aku tahu di dalam hati bahawa kamu faham akan perkara-perkara ini, memandangkan segalanya tidaklah berlaku di tempat yang tersembunyi.
27 Tuanku Raja Agripa, percayakah kamu akan kata nabi-nabi itu? Aku tahu bahawa kamu percaya.”
28 Agripa berkata kepada Paulus, “Dengan sepatah dua katamu, kausangka dapat menjadikanku orang Masihi?”
29 Paulus menjawab, “Sepatah dua atau banyak, aku berdoa kepada Allah, mudah-mudahan kamu dan sekalian yang mendengar kata-kataku hari ini akan menjadi sama sepertiku, cuma tidak diikat dengan rantai.”
30 Raja Agripa, Festus pemerintah Kaisarea, Bernike dan semua yang bersama mereka,
31 berangkat keluar dari mahkamah sambil berbincang. Seorang daripada mereka berkata, “Orang itu tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan dia patut dibunuh atau dipenjara.”
32 Agripa berkata kepada Festus, “Orang ini boleh dibebaskan, kalau tidak kerana dia hendak mengadukan halnya kepada Kaisar.”
Pelayaran Paulus ke Rom
1 Setelah diputuskan bahawa kami akan belayar ke Itali, Paulus dan beberapa orang tahanan diserahkan kepada seorang ketua tentera dari Rejimen Kaisar, bernama Yulius.
2 Kami menaiki sebuah kapal yang datang dari Adramitium dan hendak menyusur teluk rantau tanah Asia. Aristarkhus, orang Makedonia dari Tesalonika, menyertai kami.
3 Esoknya kami singgah di Sidon. Yulius berasa kasihan dan melayani Paulus dengan baik serta membenarkannya bertemu dengan sahabat-sahabatnya untuk mendapatkan apa-apa yang diperlukannya.
4 Kemudian kami belayar menyusur Siprus di sebelah bawah angin, kerana ketika itu angin bertiup ke arah yang bertentangan dengan hala tujuan kami.
5 Setelah menyeberang laut Kilikia dan Pamfilia, kami sampai ke Mira di tanah Likia.
6 Di sana ketua tentera Kaisar itu mendapati sebuah kapal dari Iskandaria yang hendak belayar ke Itali, lalu dia menumpangkan kami dalam kapal itu.
7 Kami belayar dengan lambat dan susah payah kerana melawan arah tiupan angin. Selepas beberapa hari, kami tiba di kota Knidus. Oleh sebab masalah angin itu, kami belayar ke selatan Pulau Kreta, melalui Salmone.
8 Dengan susah payah juga kami menyusur pulau itu, lalu sampai ke tempat yang bernama Lindungan Indah, berdekatan Lasea.
9 Beberapa hari kemudian, keadaan kian berbahaya untuk meneruskan pelayaran. Hari Puasa orang Yahudi pun sudah berlalu. Paulus mengingatkan ketua tentera itu,
10 “Saudara-saudara, pada pandanganku, jika kita belayar, banyak bencana dan kerugian akan menimpa, bukan sahaja kapal ini dan muatannya malah nyawa kita juga.”
11 Tetapi ketua tentera itu lebih mempercayai kata pengemudi dan pemilik kapal itu daripada kata Paulus.
12 Pelabuhan itu memang tidak selesa untuk tinggal sepanjang musim dingin. Oleh itu, kebanyakan mereka hendak meneruskan pelayaran dengan harapan akan sampai ke Feniks lalu tinggal di situ, di pelabuhan di Pulau Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut.
Kapal terkandas
13 Apabila bertiup angin selatan sepoi-sepoi bahasa, sangka mereka telah tercapailah hasrat mereka. Mereka pun membongkar sauh lalu menyusur Pulau Kreta.
14 Tidak berapa lama kemudian, angin ribut yang bergelar Timur Laut membadai dari arah pulau itu.
15 Kapal kami dipukul ribut dan tidak terdaya belayar melawan arah angin. Kami pun membiarkannya berhanyut,
16 sampai ke selatan sebuah pulau kecil bernama Kauda. Dengan susah payah kami menyelamatkan sekoci kapal itu.
17 Setelah dinaikkan sekoci itu ke kapal, diusahakan memperkukuh kapal itu dengan ikatan tali. Oleh sebab takut terdampar ke tebing Sirtis, layar diturunkan dan kapal itu dibiarkan mengikut angin.
18 Kami begitu teruk dipukul ribut sehingga esoknya muatan kapal mula dibuang ke laut;
19 dan lusanya sebahagian alat kapal itu pula dibuangkan.
20 Beberapa hari kami tidak melihat matahari dan bintang serta dipukul ribut yang dahsyat; akhirnya putuslah harapan kami diselamatkan.
21 Sekian lama orang di dalam kapal itu tidak makan, lalu Paulus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara, sepatutnya dahulu saudara-saudara menurut kataku, jangan belayar meninggalkan Kreta, nanti ditimpa bencana dan kerugian demikian.
22 Sekarang aku berkata kepada saudara-saudara, tabahkanlah hati masing-masing, kerana seorang pun tidak akan kehilangan hidup, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan.
23 Malam tadi, di sisi aku terdiri malaikat daripada Allah, Tuhan yang memiliki seluruh diriku dan yang aku sembah.
24 Malaikat itu berkata, ‘Paulus, jangan takut. Engkau pasti akan berdiri di hadapan Kaisar. Semua yang belayar bersamamu akan diselamatkan juga sebagai rahmat Allah kepadamu.’
25 Oleh itu, saudara-saudara, tabahkanlah hati masing-masing. Aku percaya akan Allah dan janji-Nya yang disampaikan kepadaku itu.
26 Tetapi tidak dapat dielakkan, kita akan terdampar di sebuah pulau.”
27 Sampai ke malam yang keempat belas kami masih berhanyut dalam Laut Adria. Kira-kira tengah malam, anak kapal merasakan kami sudah hampir ke darat.
28 Mereka membuang batu duga untuk mengukur dalamnya laut, didapatinya dua puluh depa;* kemudian, apabila diduga lagi, didapatinya lima belas depa dalamnya.
29 Mereka takut kalau-kalau terdampar pada batu karang, lalu mereka menurunkan empat sauh dari buritan kapal serta berdoa untuk tibanya hari siang.
30 Ketika itu anak kapal hendak menyelamatkan diri sendiri. Mereka menurunkan sekoci ke laut dengan berpura-pura hendak menurunkan sauh di haluan kapal.
31 Paulus pun berkata kepada ketua tentera dan askar-askar, “Jika mereka itu meninggalkan kapal, saudara-saudara tidak akan selamat.”
32 Oleh itu askar mengerat tali sekoci dan membiarkannya hanyut.
33 Sementara menunggu hari siang, Paulus meminta semua orang makan. Dia berkata, “Sekarang sudah empat belas hari saudara-saudara berlapar.
34 Aku meminta kepada sekalian, makanlah sesuatu, kerana itulah yang akan membuat saudara-saudara selamat. Tiada seorang pun antara kita yang akan binasa sehelai rambutnya pun.”
35 Setelah berkata demikian, Paulus mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Allah di hadapan semua. Kemudian dia membahagi roti itu lalu makan.
36 Masing-masing pun berasa bersemangat lagi lalu makan bersama-sama.
37 Bilangan kami yang ada di dalam kapal itu dua ratus tujuh puluh enam jiwa.
38 Setelah kenyang sekaliannya, kapal itu diringankan lagi dengan membuang gandum ke laut.
39 Apabila hari siang, mereka melihat daratan yang tidak dikenali; di situ ada teluk yang berpantai rata lalu mereka bercadang hendak mengandaskan kapal itu ke situ.
40 Mereka memotong tali sauh dan membiarkannya tenggelam di laut. Selepas itu, mereka melucutkan tali kemudi lalu menaikkan layar di haluan supaya angin meniup kapal itu menuju ke pantai.
41 Kapal itu terlanggar busung pasir lalu terkandas haluannya, dan tidak dapat bergerak manakala buritannya pecah dipukul gelombang.
42 Askar-askar mula berura-ura hendak membunuh semua orang tahanan supaya tiada seorang pun berenang melarikan diri.
43 Tetapi ketua tentera itu hendak menyelamatkan Paulus lalu melarang askar-askarnya berbuat demikian. Dia menyuruh mereka yang tahu berenang terjun dahulu dan berenang ke darat.
44 Yang lain berpegang kepada papan atau pecahan-pecahan kapal. Dengan demikian semuanya selamat naik ke darat.
Paulus di Pulau Malta
1 Setelah mendarat dengan selamat, barulah kami mendapat tahu bahawa pulau itu bernama Malta.
2 Penduduk pulau itu sangat berbelas ihsan kepada kami. Mereka menyalakan api dan menyambut kami sekalian masuk berlindung daripada hujan dan kesejukan.
3 Paulus memungut ranting dan apabila dia meletakkannya di atas api, seekor ular kapak keluar melarikan diri daripada kepanasan itu lalu memagut tangan Paulus.
4 Apabila penduduk pulau itu melihat ular tersebut pada tangan Paulus, mereka berkata sama sendiri, “Tentu dia ini seorang pembunuh; sungguhpun dia selamat daripada bahaya laut, tetapi Dewi Keadilan tidak membiarkan dia hidup.”
5 Paulus mengebaskan ular itu ke dalam api tanpa mengalami sebarang kecederaan.
6 Semuanya menantikan kalau-kalau dia naik bengkak atau rebah mati; tetapi lama mereka menanti-nanti, tidak juga mereka melihat apa-apa bencana menimpanya. Sangkaan mereka pun berubah, lalu mengatakan Paulus itu seorang dewa.
7 Di daerah itu ada tanah yang dipunyai oleh seorang bernama Publius, penguasa pulau itu. Dia menyambut kami dan melayani kami selama tiga hari dengan budi bahasa yang baik.
8 Ketika itu bapa Publius terlantar menghidap demam dan mengalami cirit-birit. Paulus masuk menghampirinya lalu berdoa sambil meletakkan tangan ke atasnya dan menyembuhkannya.
9 Selepas itu, beberapa orang yang menghidap penyakit di pulau itu datang berjumpa Paulus, lalu dia menyembuhkan mereka.
10 Mereka menunjukkan penghargaan yang tinggi kepada kami; dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa pelbagai barang yang berguna ke dalam kapal sebagai bekalan untuk kami.
Paulus tiba di Rom
11 Tiga bulan kemudian, kami belayar dalam sebuah kapal bernama Dioskuri yang mempunyai lambang, “Dewa Kembar”. Kapal itu datang dari Iskandaria dan berlabuh di pulau itu sepanjang musim dingin.
12 Kami singgah di Sirakusa lalu tinggal di sana tiga hari,
13 kemudian belayar ke kota Regium. Esoknya angin mula bertiup dari selatan dan lusanya kami sampai ke Putioli.
14 Di sana kami bertemu dengan saudara-saudara seiman lalu menerima ajakan tinggal bersama mereka selama tujuh hari. Kemudian sampailah kami ke Rom.
15 Para pengikut Isa di Rom mendengar khabar tentang kami lalu datang dari sana sampai ke Pasar Apius dan Rumah Penginapan Tiga untuk bertemu dengan kami. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Allah dan menjadi tabah.
16 Di Rom Paulus dibenarkan tinggal seorang diri, hanya dijaga oleh seorang askar.
Khutbah Paulus di Rom
17 Tiga hari kemudian, Paulus meminta para pemimpin masyarakat Yahudi datang berjumpa dengannya. Dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara, sungguhpun aku tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap bangsa kita atau melanggar adat nenek moyang kita, namun aku ditahan di Yerusalem lalu diserahkan ke tangan orang Rom.
18 Mereka memeriksa perkaraku dan hendak membebaskanku kerana mereka mendapati aku tidak melakukan satu kesalahan pun yang patut dihukum mati.
19 aApabila orang Yahudi menentang keputusan itu, terpaksalah aku meminta hendak mengadu kepada Kaisar; tetapi bukanlah kerana hendak mengajukan apa-apa dakwaan terhadap bangsa kita.
20 Itulah sebabnya aku meminta saudara-saudara bertemu dan bercakap dengan aku. Aku dibelenggu begini kerana Dia yang diharapkan oleh orang Israel.”
21 Mereka berkata kepada Paulus, “Kami belum mendapat surat dari Yudea tentang saudara. Tiada seorang pun yang datang ke sini menyebutkan apa-apa kesalahan saudara.
22 Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu orang di serata tempat mencela ajaran yang saudara anuti.”
23 Mereka menetapkan hari untuk bertemu lagi dengan Paulus. Pada hari itu lebih ramai lagi yang datang ke tempat dia menumpang itu. Dia menerangkan segala-galanya, bersaksi tentang kerajaan Allah dan berusaha meyakinkan mereka tentang Isa dengan menunjukkan bukti dalam Taurat Musa dan tulisan para nabi, dari pagi hingga ke malam.
24 Ada yang percaya akan katanya itu dan ada yang tidak.
25 Mereka pergi dari situ dengan pendapat yang bercanggah sesama sendiri, setelah Paulus berkata, “Benarlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang kita,
26 b“‘Pergilah kepada bangsa ini dan katakan:
“Kamu akan mendengar tetapi tidak mengerti;
Kamu terus melihat tetapi tidak mengetahui.”
27 Kerana hati umat ini telah buntu,
mereka pekakkan telinga,
dan pejamkan mata.
Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata,
mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati,
lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.’”
28 Paulus berkata, “Saudara-saudara, ketahuilah: perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan Allah sekarang telah disampaikan kepada orang bangsa asing. Merekalah yang akan menerimanya.”
29 Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar hebat sesama mereka.
30 Paulus tinggal selama dua tahun di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut semua yang mengunjunginya
31 dan menyampaikan ajaran tentang kerajaan Allah serta Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, dengan berani dan bebas, tiada siapa yang menghalangnya.