Kolose
1
1 Daripada Paulus, rasul Isa al-Masih dengan kehendak Allah dan daripada saudara kita Timotius,
2 kepada semua orang salih dan saudara-saudara yang setia dalam al-Masih di Kolose:
 
Semoga Allah, Bapa kita, memberimu rahmat dan damai sejahtera.
Ucapan syukur dan doa
3 Kami mengucapkan syukur kepada Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih, dan kami sentiasa mendoakan kamu, 4 sejak kami mendengar tentang imanmu dalam Isa al-Masih dan kasihmu terhadap semua orang salih – 5 kerana harapan yang ada bagimu di syurga, yang telah kamu dengar dalam kata kebenaran, iaitu Injil, 6 yang telah datang kepadamu. Di seluruh dunia, Injil ini sedang membuahkan manfaat dan tersebar luas, seperti dalam kalanganmu sejak kamu mendengar dan mengetahui rahmat Allah dalam segala kebenarannya. 7 aKamu telah mendengar juga daripada teman sekerja kami yang dikasihi, Epafras, yang menjadi hamba al-Masih yang beriman bagi kami, 8 yang juga telah menceritakan kepada kami kasihmu dalam Roh.
9 Oleh itu, sejak kami mendengarnya, kami juga tidak putus-putus mendoakan kamu, dan memohon supaya kamu dipenuhi pengetahuan tentang kehendak-Nya dalam segala kebijaksanaan dan pengertian rohani. 10 Kami mendoakan demikian supaya hidupmu layak di hadapan Tuhan, dan kamu mendapat sepenuh keredaan-Nya dalam segala hal: membuahkan manfaat dalam setiap pekerjaan yang baik, bertambah-tambah mengenal Allah, 11 diteguhkan dengan segala kekuatan berdasarkan kuasa-Nya yang mulia, yang mendatangkan kesabaran dan kebahagiaan. 12 Kita mengucapkan syukur kepada Bapa kita yang telah melayakkan kita menerima sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya. 13 Dia telah melepaskan kita daripada kuasa kegelapan dan memindahkan kita ke dalam kerajaan Putera yang dikasihi-Nya, 14 bmelalui Dialah kita ditebus dan mendapat pengampunan dosa.
Keulungan al-Masih
15 Dia ialah wujud nyata daripada Allah yang tidak kelihatan; Dialah yang lebih utama antara segala yang diciptakan. 16 Kerana melalui Dia segala sesuatu diciptakan: yang wujud di bumi dan di syurga, yang kelihatan dan tidak kelihatan, baik yang bertakhta mahupun yang berkuasa, baik pemerintah mahupun kerajaan; segala-galanya telah dicipta melalui-Nya dan untuk-Nya. 17 Dia terdahulu daripada segalanya, dan setiap yang wujud ada dalam-Nya. 18 cDan Dia ialah kepala kepada tubuh iaitu jemaah; Dia adalah permulaan, anak sulung yang bangkit daripada kematian, supaya dalam segalanya Dialah yang terutama. 19 Kerana Allah berkenan bahawa seluruh diri-Nya berada dalam Dia. 20 dJuga melalui Dia, Allah mendamaikan segalanya dengan diri-Nya, baik yang di bumi mahupun di syurga, dengan mengadakan perdamaian melalui pencurahan darah-Nya di atas salib.
21 Kamu dahulu tersisih daripada Allah dan merupakan seteru dalam pemikiranmu kerana perbuatanmu yang jahat. 22 Akan tetapi, sekarang Allah telah mendamaikan kamu dengan diri-Nya melalui kematian tubuh jasmani Putera-Nya, supaya Dia dapat memperhadapkan kamu sebagai orang suci, yang tidak bercela dan tidak bersalah di hadapan-Nya – 23 jika kamu tetap beriman, mantap dan berdiri teguh, tidak berganjak daripada harapan Injil yang kamu dengar. Inilah Injil yang dikhabarkan kepada seluruh ciptaan di bawah langit, dan yang aku, Paulus, menjadi hambanya.
Pengabdian Paulus untuk jemaah
24 Aku sekarang bersukacita atas penderitaanku untukmu, dan aku menyempurnakan dengan tubuhku apa yang kurang dalam kesengsaraan al-Masih, untuk tubuh-Nya yang suci, iaitu jemaah. 25 Aku sudah dijadikan hamba jemaah, menurut amanat Allah yang telah diberikan kepadaku untuk kamu, bagi menyampaikan firman Allah dengan sepenuhnya – 26 iaitu rahsia yang telah tersembunyi daripada segala zaman dan keturunan tetapi sekarang telah dinyatakan kepada orang salih-Nya. 27 Kepada mereka Allah berkehendak supaya diberitahu betapa kayanya kemuliaan rahsia itu dalam kalangan orang bukan bani Israel, iaitu al-Masih dalam kamu, harapan untuk mendapat kemuliaan.
28 Al-Masih itulah yang kami khabarkan. Kami menasihati dan mengajar setiap orang dengan sepenuh bijaksana, supaya dapat kami hadapkan setiap orang dalam keadaan sempurna dalam al-Masih. 29 Untuk tujuan inilah juga aku berusaha, berjuang dengan segala kekuatan kuasa-Nya yang bertindak hebat dalam diriku.
 
 
 
 
 
 
2
1 Aku mahu kamu tahu betapa perasaanku bergolak keranamu dan orang Laodikia, juga semua yang belum lagi bertemu muka denganku. 2 Aku ingin hati mereka terhibur, terjalin rapat dalam kasih, dan mereka mencapai pengertian penuh dalam segala kekayaan serta kepastiannya, supaya mereka mengetahui rahsia Allah, iaitu al-Masih itu sendiri, 3 yang dalam-Nya tersembunyi seluruh harta kebijaksanaan dan pengetahuan. 4 Aku mengatakan ini supaya kamu tidak tertipu dengan hujah. 5 Sungguhpun tubuhku tiada di sisimu, namun rohku tetap bersamamu, dan aku sukacita kerana melihat keadaanmu yang teratur rapi dan imanmu yang kukuh dalam al-Masih.
Kemerdekaan dalam al-Masih
6 Oleh sebab kamu telah menerima Isa al-Masih sebagai Junjungan Yang Ilahi, hiduplah melangkah dalam Dia, 7 berasas dan terbina dalam-Nya serta bertapak teguh dalam iman, sebagaimana kamu telah diajar, penuh melimpah dengan kesyukuran.
8 Awaslah, jangan tertipu oleh orang yang menggunakan falsafah dan tipu daya yang sia-sia, menurut adat manusia, menurut ajaran asas dunia, bukan menurut al-Masih. 9 Dalam-Nya terhimpun seluruh ketuhanan berbentuk jasmani, 10 dan kamu sempurna dalam-Nya, yang merupakan kepala segala perintah dan kuasa.
11 Dalam-Nya juga kamu telah disunatkan dengan persunatan tanpa menggunakan tangan, iaitu dengan membuangkan segala dosa hawa nafsu dunia daripada tubuhmu, melalui persunatan al-Masih. 12 aKamu telah dikuburkan bersama-Nya dengan pengimadan, dan telah dibangkitkan bersama-Nya melalui iman dalam kuasa Allah yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian.
13 bKamu dahulu mati kerana melakukan dosa dan kerana tidak bersunat secara lahiriah. Allah telah menghidupkan kamu bersama Tuhan dan mengampunkan segala kesalahanmu. 14 cDia telah memansuhkan hukum-hukum bertulis yang menghimpit dan menghalang kita; Dia telah mencabutnya dan memakukannya pada salib. 15 Setelah menumpaskan segala roh yang berkuasa dan memerintah, Dia mendedahkan mereka di hadapan orang ramai dan menunjukkan bahawa Dia telah menakluki mereka dalam salib.
16 dOleh itu, janganlah siapa pun menghakimi kamu tentang makanan atau minuman, hari raya, bulan baru atau hari Sabat. 17 Segala ini hanya bayang-bayang perkara akan datang, sedangkan yang nyata ialah al-Masih. 18 Janganlah ganjaranmu dikurangkan oleh seseorang yang pura-pura bersikap rendah diri dan menyembah malaikat. Orang seperti itu berpaut pada penglihatan-penglihatannya dan tanpa alasan menyombongkan dirinya dengan fikiran-fikirannya yang duniawi, 19 edan tidak berpegang teguh pada al-Masih sebagai kepala. Daripada-Nya seluruh tubuh, yang dibesarkan dan dijalin rapat dengan sendi urat, bertumbuh seperti yang dikehendaki oleh Allah.
20 Oleh itu, jika kamu telah mati bersama al-Masih daripada ajaran asas dunia, mengapakah kamu berkelakuan seolah-olah kamu hidup berpandukan kebiasaan dunia, dengan mematuhi peraturan-peraturannya, iaitu: 21 “Jangan sentuh! Jangan kecap! Jangan pegang!”? 22 Peraturan sedemikian melibatkan perkara-perkara yang lenyap setelah dipakai. Mengapa kamu masih menurut hukum-hukum dan pengajaran manusia? 23 Peraturan-peraturan begini memang kelihatan seolah-olah bijaksana, dalam pegangan agama yang dikenakan pada diri sendiri, sikap merendah diri yang palsu, dan pengabaian tubuh, tetapi segalanya tidak menolong kamu melawan hawa nafsu dunia.
 
 
 
 
 
 
3
Peraturan untuk hidup suci
1 aDengan demikian, jika kamu telah dibangkitkan bersama al-Masih, carilah perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga, tempat al-Masih duduk di sebelah kanan Allah. 2 Tumpukan pemikiranmu kepada hal-hal di syurga, bukan hal-hal di bumi. 3 Kerana kamu telah mati, dan hidupmu tersembunyi bersama al-Masih dalam Allah. 4 Apabila al-Masih yang merupakan kehidupan kamu itu muncul, kamu akan muncul bersama-Nya dalam kemuliaan.
5 Oleh itu, matikanlah dalam dirimu segala yang bersifat dunia: perbuatan cabul, kecemaran, hawa nafsu, keinginan jahat dan tamak haloba, yang sama dengan menyembah berhala. 6 Disebabkan semua inilah kemurkaan Allah akan menimpa anak-anak derhaka. 7 Dulu kamu pun berkelakuan demikian, pada masa kamu masih dalam kehidupan itu. 8 Tetapi sekarang kamu haruslah menyingkirkan segalanya seperti: marah, geram, niat jahat, menghina Allah, mengeluarkan kata-kata kotor dari mulutmu. 9 bJangan bercakap bohong satu sama lain, kerana kamu sudah melucutkan dirimu yang lama itu dengan segala kelakuannya 10 cdan mengenakan diri yang baru, yang terus-menerus diperbaharu dengan pengetahuan menurut rupa Allah yang menjadikannya. 11 Dengan demikian tiada lagi orang Yunani atau orang Yahudi, orang bersunat atau orang tidak bersunat, orang gasar, orang Skit, hamba atau merdeka. Al-Masih segala-galanya dan dalam segala-galanya.
12 dSebagai orang pilihan Allah yang suci dan amat dikasihi-Nya kamu haruslah bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar. 13 eBersabarlah terhadap satu sama lain, maaf-memaafi, jika seseorang ada sesuatu aduan terhadap yang lain. Sebagaimana Tuhan telah mengampuni kamu, demikianlah kamu harus mengampuni sesama sendiri. 14 Paling utama amalkanlah kasih, ikatan dan penyatu yang sempurna.
15 Biarlah damai al-Masih menguasai hatimu. Kamu telah dipanggil untuk mendapat damai itu dalam satu tubuh. Kamu haruslah bersyukur. 16 fBiarlah sabda al-Masih menetap dalam dirimu dengan segala berlimpah-limpah. Ajar dan nasihati satu sama lain dengan kebijaksanaan. Nyanyikanlah zabur, lagu pujian dan nyanyian rohani, dengan rasa syukur kepada Allah dalam hatimu. 17 Segala yang kamu katakan dan lakukan haruslah dengan nama Isa, Junjungan Yang Ilahi, sambil mengucap syukur kepada Bapa kita Allah melalui-Nya.
Corak kehidupan dan rumah tangga
18 gIsteri, tunduklah kepada suamimu, sebagaimana yang patut dalam Tuhan.
19 hSuami, kasihilah isterimu dan jangan berlaku keras terhadapnya.
20 iAnak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam segala perkara, kerana demikianlah yang diredai Tuhan.
21 jBapa, jangan sakitkan hati anak-anakmu, supaya mereka tidak tawar hati.
22 kHamba sahaya, dalam segala hal turutlah perintah orang yang menjadi tuanmu dalam perkara dunia; bukan secara bermuka-muka, untuk menyukakan hati manusia, tetapi dengan tulus ikhlas dan takut akan Allah. 23 Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia, 24 kerana kamu tahu bahawa daripada Tuhan kamu akan menerima warisan sebagai ganjaranmu. Al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, ialah Tuanmu dan kamu hamba-Nya. 25 lOrang yang melakukan kesalahan akan mendapat balasan yang setimpal, tidak kira siapa dia.
 
 
 
 
 
 
4
1 aKamu sekalian yang menjadi tuan, berilah apa yang adil dan wajar kepada hamba-hambamu, kerana kamu tahu bahawa kamu pun mempunyai Tuan di syurga.
Arahan-arahan lain
2 Bertekunlah dalam doa dan berjaga-jaga serta mengucap syukur. 3 Doakan kami juga, semoga Allah membukakan kami suatu pintu bagi firman-Nya, supaya kami bercakap tentang rahsia al-Masih. Oleh sebab rahsia itulah aku terpenjara ini, 4 semoga aku dapat menyatakannya dengan jelas, sebagaimana yang sewajarnya. 5 bDekatilah orang luar dengan bijaksana, dan pergunakanlah setiap peluang dengan baik. 6 Perkataanmu hendaklah sentiasa penuh lembut mesra, digarami kebijaksanaan, supaya kamu tahu menjawab setiap orang dengan sewajarnya.
Salam akhir
7 c dSaudara kita Tikhikus yang dikasihi akan memberitahumu segala hal ehwalku. Dia seorang hamba yang beriman, dan teman sekerjaku dalam pekerjaan Tuhan. 8 Aku mengutusnya kepadamu supaya dia mengetahui hal ehwal kamu dan menggalakkan hatimu. 9 eBersamanya ialah saudara kita Onesimus yang beriman dan dikasihi, dia orang kamu. Mereka berdua akan memberitahu kamu segala yang berlaku di sini.
10 fAristarkhus, temanku dalam penjara, berkirim salam kepadamu. Demikian juga Markus, saudara sepupu kepada Barnabas. (Kamu telah mendapat arahan tentangnya; kamu harus menyambut jika dia datang mengunjungimu.) 11 Yesua, yang dipanggil Yustus, juga berkirim salam kepadamu. Mereka inilah sahaja orang bersunat yang bekerja bersamaku untuk kerajaan Allah, dan mereka menjadi penghibur hatiku. 12 gEpafras, seorang daripada kamu, juga berkirim salam kepadamu. Dia hamba Isa al-Masih dan sentiasa mendoakanmu bersungguh-sungguh, supaya kamu berdiri teguh dengan penuh keyakinan dan kematangan dalam segala yang dikehendaki Allah. 13 Aku bersaksi bahawa dia amat berusaha untuk kamu dan orang di Laodikia serta di Hierapolis. 14 hLukas, tabib yang dikasihi itu, pun berkirim salam kepadamu, begitu juga Demas. 15 Sampaikan salamku kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada Nimfa serta jemaah di rumahnya itu.
16 Apabila surat ini dibacakan dalam kalanganmu, pastikan bahawa surat ini dibacakan pula dalam jemaah orang Laodikia. Kamu pula bacalah surat dari sana.
17 iKatakan kepada Arkhipus, “Berilah perhatian kepada kerja yang telah kamu terima dalam Tuhan, supaya kamu dapat melaksanakannya.”
18 Salam daripadaku, Paulus, dengan tulisan tanganku sendiri. Ingatlah bahawa aku terpenjara. Semoga rahmat Allah menyertaimu.