Efesus
1 aDaripada Paulus, rasul Isa al-Masih dengan kehendak Allah,
kepada semua orang salih di Efesus, iaitu orang yang beriman kepada Isa al-Masih:
2 Semoga Allah, Bapa kita, dan Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, memberimu rahmat dan damai sejahtera.
Berkat rohani dalam al-Masih
3 Segala puji bagi Allah, Bapa Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam al-Masih.
4 Sebabnya Dia telah memilih kita dalam al-Masih sebelum dunia ini dijadikan, supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya. Dalam kasih,
5 Dia telah menentukan kita dari mulanya untuk diangkat sebagai anak oleh Isa al-Masih kepada diri-Nya, menurut keredaan dan kehendak-Nya –
6 supaya terpujilah kemuliaan rahmat-Nya, yang dirahmati-Nya kepada kita dalam Dia yang dikasihi-Nya.
7 bDalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa, menurut limpah rahmat-Nya
8 yang dilimpahkan-Nya kepada kita dengan segala kebijaksanaan dan pengertian.
9 Dia memberitahu kita rahsia kehendak-Nya, menurut keredaan-Nya yang sudah ditentukan-Nya dalam al-Masih,
10 bahawa setelah sampai masa pelaksanaannya – Dia akan menyatukan segala sesuatu di bawah al-Masih sebagai kepala, baik yang di syurga mahupun yang di bumi.
11 Dalam-Nya juga kita telah mendapat warisan, kerana telah ditentukan dari mulanya menurut maksud Allah yang melakukan segalanya seperti pertimbangan kehendak-Nya,
12 bahawa kami yang mula-mula menaruh harapan pada al-Masih akan mendatangkan puji bagi kemuliaan-Nya.
13 Kamu juga dalam al-Masih setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Allah yang dijanjikan-Nya,
14 yang menjadi jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah – segala puji bagi kemuliaan-Nya.
Syukur dan doa
15 Oleh itu aku juga, setelah mendengar bahawa kamu beriman kepada Isa, Junjungan Yang Ilahi, dan mengasihi semua orang yang salih,
16 tidak putus-putus bersyukur tentangmu dan menyebutmu dalam doaku.
17 cAku berdoa semoga Allah, iaitu Bapa kemuliaan, Tuhan Isa al-Masih Junjungan kita, memberimu dkebijaksanaan rohani dan wahyu untuk semakin mengenali-Nya.
18 Semoga Allah menerangkan mata hatimu untuk mengetahui harapan daripada panggilan-Nya, limpah kemuliaan warisan-Nya dalam orang yang salih,
19 dan betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman. Demikianlah pelaksanaan kuasa-Nya yang agung itu
20 edalam al-Masih apabila membangkitkan-Nya daripada kematian dan mendudukkan-Nya di sebelah kanan-Nya di syurga.
21 Allah meletakkan al-Masih jauh di atas segala penguasa dan kekuasaan, kuasa dan pemerintahan, dan setiap nama yang dinamakan, bukan sahaja pada zaman ini tetapi juga pada zaman akan datang.
22 fAllah meletakkan segalanya di bawah kaki al-Masih dan menjadikan-Nya kepala semua hal ehwal jemaah,
23 yang merupakan tubuh-Nya, disempurnakan oleh Dia yang menyempurnakan segala-galanya.
Dihidupkan dalam al-Masih
1 aKamu telah mati akibat kesalahan dan dosa
2 yang dahulu kamu lakukan menurut jalan dunia, menurut raja segala kuasa di udara, roh yang sekarang bertindak dalam diri anak-anak derhaka.
3 Kami semua juga pernah hidup sedemikian, memuaskan hawa nafsu, menunaikan kehendak tubuh dan fikiran, dan secara tabii merupakan anak-anak yang dimurkai, seperti yang lain juga.
4 Namun Allah, yang kaya dengan belas kasihan, kerana kasih-Nya yang amat besar kepada kita,
5 walaupun ketika kita telah mati disebabkan kesalahan kita, telah menghidupkan kita bersama al-Masih – kamu telah diselamatkan dengan rahmat-Nya.
6 Allah telah membangkitkan kita bersama al-Masih, serta mendudukkan kita bersama-Nya di syurga,
7 supaya pada zaman-zaman akan datang Allah dapat menunjukkan limpah kekayaan rahmat-Nya dalam belas ihsan-Nya kepada kita dalam Isa al-Masih.
8 Kamu telah diselamatkan dengan rahmat-Nya melalui iman – ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah –
9 bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorang pun yang dapat bermegah.
10 Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Isa al-Masih untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan.
Dipersatukan dalam al-Masih
11 Oleh itu, ingatlah bahawa dari segi tubuhmu kamu ini dahulu orang bangsa asing, disebut “orang tidak bersunat” oleh mereka yang disebut “orang bersunat” (iaitu sunat yang dibuat dengan tangan orang pada tubuh).
12 Pada masa itu kamu tanpa al-Masih, terasing daripada perhimpunan orang Israel dan daripada perjanjian Allah, tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini.
13 Tetapi sekarang dalam Isa al-Masih, kamu yang dahulu jauh sudah dibawa dekat oleh darah al-Masih.
14 Kerana Dia sendiri adalah perdamaian kita, Dia menyatukan kedua-dua pihak dan meruntuhkan dinding pemisah, iaitu perseteruan.
15 bDia menghapuskan dengan tubuh-Nya perseteruan itu, iaitu Taurat dengan hukum-hukum yang diperintahkan di dalamnya, untuk mencipta dalam diri-Nya seorang yang baru daripada dua, dan mengadakan perdamaian demikian,
16 cserta untuk mendamaikan kedua-duanya dengan Allah dalam satu tubuh melalui salib, dengan itu mematikan perseteruan itu.
17 dDan Dia datang dan mengkhabarkan perdamaian kepada kamu yang jauh dan kepada mereka yang dekat.
18 Kerana melalui-Nya kita, kedua-dua pihak, dapat menghampiri Allah Bapa dengan satu Roh.
19 Oleh itu, sekarang, kamu bukan lagi orang asing dan pendatang, tetapi sesama warga negeri dengan orang yang salih dan ahli-ahli keluarga Allah,
20 yang telah dibina atas asas para rasul dan para nabi, dengan Isa al-Masih sendiri sebagai batu penjuru utama.
21 eDalam al-Masih seluruh bangunan itu disatukan lalu menjadi Bait Allah yang suci dalam Tuhan,
22 maka dalam-Nya kamu pun dibina bersama menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh.
Paulus penginjil kepada orang bukan bani Israel
1 Dengan demikian aku, Paulus, yang terpenjara kerana Isa al-Masih untuk kamu, orang yang tidak termasuk bani Israel.
2 Tentu kamu telah mendengar, bahawa aku diberi tugas melaksanakan rahmat Allah untukmu.
3 Melalui wahyu, Allah telah memberitahuku rahsia itu sebagaimana sudah kutuliskan secara ringkas.
4 aApabila kamu membacanya kamu akan mengerti pengetahuanku dalam rahsia al-Masih.
5 Pada zaman-zaman silam rahsia itu tidak diberitahu kepada keturunan Nabi Adam, sebagaimana sekarang telah dinyatakan oleh Roh kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci –
6 bahawa orang bukan bani Israel sama-sama menjadi waris, satu tubuh, dan sama-sama mendapat bahagian daripada perjanjian Allah dalam al-Masih melalui Injil.
7 Aku telah menjadi seorang hamba Injil dengan rahmat Allah yang telah diberikan-Nya kepadaku melalui pelaksanaan kuasa-Nya.
8 Kepadaku, yang lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah, rahmat ini telah diberikan supaya aku pergi menyampaikan perkhabaran kepada bangsa-bangsa asing tentang kekayaan al-Masih yang tidak mungkin dapat dicari itu,
9 dan menjelaskan kepada semua orang pelaksanaan rahsia itu, yang dari permulaan zaman telah terselindung dalam hati Allah yang menjadikan segala-galanya.
10 Dengan demikian sekarang pelbagai kebijaksanaan Allah diberitahu oleh jemaah kepada segala pemerintah dan kuasa di syurga.
11 Ini adalah menurut maksud-Nya yang kekal yang telah ditunaikan-Nya dalam Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi;
12 yang dalam-Nya kita mendapat kebebasan dan keyakinan menghampiri Allah melalui iman.
13 Oleh itu, aku meminta kepadamu, janganlah tawar hati akibat kesusahan yang kutanggung keranamu, ini adalah kemuliaanmu.
Doa Paulus untuk orang Efesus
14 Dengan sebab itulah aku bertelut kepada Bapa,
15 yang daripada-Nya seluruh bangsa di syurga dan di bumi telah dinamakan.*
16 Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu.
17 Semoga al-Masih mendiami hatimu melalui iman. Dan kamu, setelah berakar umbi dalam kasih,
18 akan mengerti bersama semua orang salih betapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih al-Masih,
19 dan mengetahui kasih al-Masih ini yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia, supaya kamu dipenuhi dalam seluruh kepenuhan Allah.
20 Kepada Allah yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita,
21 kepada-Nya kemuliaan dalam jemaah dan dalam Isa al-Masih zaman-berzaman selama-lamanya! Amin.
Kesatuan dalam tubuh al-Masih
1 Oleh itu aku, yang terpenjara kerana Tuhan, merayu agar kamu, sebagai orang yang telah dipanggil, hiduplah berpadanan dengan panggilan itu.
2 aKamu haruslah selalu rendah hati dan lemah lembut; sabar, bertolak ansur satu sama lain dalam kasih,
3 dan berusaha memelihara perpaduan dalam Roh dengan ikatan sejahtera.
4 Kamu hendaklah satu tubuh dan satu Roh – sebagaimana kamu telah dipanggil dengan satu harapan panggilan itu –
5 satu Junjungan, satu iman, satu pengimadan;
6 satu Allah, iaitu Bapa sekalian, yang di atas sekalian, melalui sekalian, dan dalam kamu sekalian.
“Apabila Dia naik ke tempat tinggi,
Dia menawan tawanan, dan memberi pemberian kepada manusia.”
9 (Apakah maksud “Dia naik ke atas”? Tentulah ertinya bahawa sebelum itu Dia telah turun ke bahagian terbawah di bumi.
10 Dia yang telah turun itu adalah juga Dia yang naik jauh ke atas semua lapisan langit, untuk memenuhi segala-galanya.)
11 Dan Dialah yang memberi sesetengah orang menjadi rasul, nabi, penyebar Injil, pembimbing jemaah dan pengajar,
12 untuk menyediakan orang yang salih bagi kerja melayani, untuk meneguhkan tubuh al-Masih.
13 Dengan itu, kita semua mencapai kesatuan dalam iman dan pengetahuan akan Putera Allah, agar menjadi dewasa, dan memiliki pertumbuhan yang sesuai dengan kadar kesempurnaan al-Masih.
14 Maka, kita tidaklah lagi berupa kanak-kanak, dipukul ombak dan ditiup ke sana ke mari oleh setiap angin pengajaran orang, tipu daya manusia, dan putar belit muslihat jahat.
15 Sebaliknya, kita sentiasa bercakap benar dalam kasih, dan bertumbuh dalam segala hal ke arah Dia yang menjadi Kepala, iaitu al-Masih.
16 cDaripada-Nya, seluruh tubuh yang dihubungkan dan dijalin erat oleh setiap sendi dalam kelengkapannya manakala setiap bahagian menjalankan peranan masing-masing, bertumbuh untuk meneguhkan dirinya dalam kasih.
Hidup sebagai anak cahaya
17 Oleh itu, aku berkata demikian dan bersaksi demi Tuhan, janganlah lagi kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, menurut pemikiran yang sia-sia.
18 Akibatnya, daya pengertian mereka dimalapkan, dan diri mereka tersisih daripada kehidupan Allah, kerana kejahilan mereka, kerana kedegilan hati mereka.
19 Oleh sebab sudah hilang perasaan, mereka telah menceburkan diri dalam kancah maksiat, bergelumang dalam segala noda dengan rakus.
20 Tetapi bukan demikian yang kamu pelajari tentang al-Masih,
21 jika kamu telah mendengar-Nya dan diajar oleh-Nya, sebagaimana kebenaran itu dalam Isa.
22 dBerkenaan kelakuanmu yang dahulu, kamu menyingkirkan dirimu yang lama, yang dirosakkan oleh hawa nafsu tipu daya;
23 dan kamu diperbaharu dalam roh pemikiranmu;
24 eserta berubah kepada diri baru yang dicipta menurut teladan Allah dalam perbenaran dan kesucian sejati.
25 fOleh itu, janganlah lagi berdusta. Hendaklah setiap orang daripada kamu bercakap benar sesama manusia kerana kita adalah sesama anggota.
26 g“Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa.” Jangan kekalkan kemarahanmu hingga matahari terbenam,
27 dan jangan beri tempat kepada iblis.
28 Orang yang mencuri hendaklah berhenti mencuri dan mula bekerja, membuat sesuatu yang baik dengan tangannya, supaya dapat memberi kepada orang yang kekurangan.
29 Janganlah biarkan kata-kata yang kesat keluar dari mulutmu, tetapi lafazkanlah teguran baik yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar.
30 Dan janganlah kamu menyedihkan Roh Allah Yang Maha Suci yang telah mematerai kamu bagi hari penebusan.
31 Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat.
32 hDan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam al-Masih.
1 Oleh itu, ikutlah teladan Allah seperti anak-anak yang dikasihi.
2 aHiduplah dalam kasih, sebagaimana al-Masih mengasihi kita dan menyerahkan diri-Nya untuk kita sebagai persembahan dan korban yang harum bagi Allah.
3 Tetapi perbuatan cabul dan segala kecemaran atau tamak haloba, jangan disebut pun dalam kalanganmu, kerana demikianlah sepatutnya bagi orang salih.
4 Jauhi kekotoran, percakapan tidak berakal dan lawak jenaka lucah, kerana segala ini tidak wajar, sebaliknya eloklah kamu mengucapkan kata-kata kesyukuran.
5 Kerana kamu tahu bahawa orang yang berzina, melakukan kecemaran, atau tamak haloba – yang sama dengan penyembah berhala tidak akan mewarisi kerajaan al-Masih dan Allah.
6 Jangan tertipu dengan kata-kata kosong, kerana itulah sebabnya kemurkaan Allah menimpa anak-anak derhaka.
7 Oleh itu, janganlah kamu sepakat dengan mereka.
8 Kerana dahulu kamu gelap tetapi sekarang sudah menjadi cahaya dalam Tuhan. Hiduplah sebagai anak-anak cahaya
9 (kerana yang dihasilkan oleh cahaya terdapat dalam segala yang baik, wajar dan benar),
10 maka kajilah apa yang diredai oleh Tuhan.
11 Jangan bersubahat dengan perbuatan gelap yang tidak berfaedah, sebaliknya dedahkan perbuatan itu.
12 Sebabnya perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka secara rahsia itu, jika disebut pun adalah memalukan.
13 Tetapi segala yang didedahkan itu dinyatakan oleh cahaya, kerana yang menyatakan adalah cahaya.
14 Oleh itu, firman Tuhan:
“Bangunlah, hai kamu yang tidur,
bangkit daripada kematian,
dan al-Masih akan memberimu cahaya.”
15 Hiduplah dengan hati-hati – bukan seperti orang tidak arif tetapi sebagai orang bijaksana,
16 bdan pergunakanlah setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana.
17 Dengan demikian, janganlah bodoh, tetapi mengertilah kehendak Tuhan.
18 Dan janganlah mabuk air anggur, yang berupa maksiat. Sebaliknya, penuhi diri dengan Roh.
19 cBerkata-katalah sesama sendiri dengan zabur, lagu pujian serta nyanyian rohani, menyanyi dan berlagu untuk Tuhan dalam hatimu.
20 Sentiasalah bersyukur atas segala-galanya kepada Allah Bapa dengan nama Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi.
21 Tunduklah kepada satu sama lain dengan bertakwa kepada al-Masih.
Suami dan isteri
22 dIsteri, tunduklah kepada suamimu seperti kepada Tuhan.
23 Kerana suami adalah kepala kepada isteri sebagaimana al-Masih kepala jemaah dan Penyelamat tubuh itu.
24 Oleh itu, sebagaimana jemaah tunduk kepada al-Masih, begitulah juga isteri terhadap suaminya dalam segala hal.
25 eSuami, kasihilah isterimu, sebagaimana al-Masih mengasihi jemaah dan menyerahkan diri-Nya untuk jemaah.
26 Dengan demikian, Dia dapat menyucikan dan membersihkan jemaah dengan air melalui firman,
27 dan menghadapkannya kepada diri-Nya sebagai jemaah yang mulia, tanpa cela atau kerut, tetapi suci dan tidak bercela.
28 Demikian juga, suami harus mengasihi isterinya seperti tubuhnya, lelaki yang mengasihi isterinya itu mengasihi dirinya sendiri.
29 Tiada sesiapa pun pernah membenci tubuhnya sendiri, tetapi memelihara dan menyayanginya, seperti yang dilakukan oleh al-Masih kepada jemaah –
30 kerana kita adalah anggota tubuh-Nya.
31 f“Oleh sebab itu, seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.”
32 Ini adalah suatu rahsia besar – tetapi aku bercakap tentang al-Masih dan jemaah.
33 Walau bagaimanapun, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasihi isterinya seperti dirinya sendiri, dan isteri hendaklah menghormati suaminya.
Anak dan ibu bapa
1 aAnak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam Tuhan, kerana ini adalah wajar.
2 b“Hormatilah ibu bapamu” – iaitu perintah pertama yang disertai dengan janji –
3 “supaya kamu mendapat kebaikan dan umurmu panjang di bumi ini.”
4 cKamu, bapa, janganlah sakitkan hati anak-anak; tetapi peliharalah mereka dalam didikan dan nasihat Tuhan.
Hamba dan tuan
5 dHamba sahaya, taatlah kepada tuanmu di dunia ini, dengan takut dan hormat, dengan hati yang ikhlas, seperti kepada al-Masih.
6 Janganlah lakukan secara bermuka-muka, sekadar menyukakan hati orang, tetapi sebagai hamba al-Masih, melakukan kehendak Allah setulus hati.
7 Bekerjalah dengan niat bersih, seperti untuk Tuhan, bukan untuk manusia.
8 Ketahuilah bahawa apa-apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan dibalas sewajarnya oleh Tuhan, baik hamba mahupun orang merdeka.
9 eKamu, tuan kepada hamba, hendaklah juga berbuat baik kepada mereka, dan jangan lagi mengugut mereka, kerana kamu tahu bahawa Tuan mereka dan Tuanmu sendiri ada di syurga, dan Dia memandang semuanya sama rata.
Senjata rohani
10 Akhir kata, saudara-saudaraku, hendaklah kamu kuat dalam Tuhan dan dalam kekuatan kuasa-Nya.
11 Pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan terhadap tipu daya iblis.
12 Sebabnya kita berlawan bukan dengan darah dan daging, tetapi dengan para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh iblis di udara.
13 Oleh itu, pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan pada masa yang penuh kejahatan, dan berdiri tegap setelah kamu melakukan segalanya.
14 fDengan demikian, berdirilah dengan tegap setelah mengikat pinggangmu dengan tali pinggang kebenaran, memakai perbenaran sebagai perisai dada,
15 gmenyarungkan ke kakimu persediaan menyebarkan Injil perdamaian.
16 Yang paling utama, memakai perisai iman, untuk memadamkan segala anak panah berapi si durjana,
17 hdan ketopong penyelamatan serta pedang Roh, iaitu firman Allah.
18 Sambil itu, pohonlah sentiasa dengan segala doa dan rayuan dalam Roh, serta berjaga-jaga dengan segala ketekunan dan permohonan untuk semua orang yang salih.
19 Berdoalah juga untukku, supaya aku dikurniai daya pengucapan dan aku membuka mulut dengan berani untuk memberitahu rahsia Injil,
20 sedangkan aku adalah utusan yang terpenjara, supaya dengannya aku dapat bertutur dengan berani, sebagaimana sepatutnya aku bertutur.
Salam penutup
21 i jTetapi supaya kamu tahu hal ehwalku dan bagaimana keadaanku, maka Tikhikus, seorang saudara yang dikasihi dan hamba yang beriman kepada Tuhan, akan memberitahu segalanya kepadamu.
22 Aku menghantarnya kepadamu untuk tujuan ini, supaya kamu mengetahui hal ehwal kami dan dia dapat menggalakkan hatimu.
23 Damai sejahtera kepada saudara-saudara kita, dan kasih dengan iman daripada Allah, Bapa kita, dan daripada Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi.
24 Rahmat Allah bagi semua yang mengasihi Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, dengan kasih yang kekal.