Galatia
1 Daripada Paulus, seorang rasul – bukan daripada manusia atau melalui manusia, tetapi melalui Isa al-Masih dan Allah Bapa, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian –
2 dan daripada semua saudara yang bersamaku,
kepada semua jemaah di Galatia:
3 Rahmat dan damai sejahtera kepadamu daripada Allah, Bapa kita, dan daripada Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi,
4 yang telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa kita agar Dia melepaskan kita daripada zaman durjana ini, menurut kehendak Bapa kita Allah.
5 Bagi-Nyalah kemuliaan selama-lamanya. Amin.
Hanya satu Injil
6 Aku hairan bahawa kamu telah berpaling begitu cepat daripada Dia yang telah memanggilmu dalam rahmat al-Masih, kepada suatu injil lain –
7 yang bukannya Injil. Tetapi ada orang yang mengacau kamu dan hendak memesongkan Injil al-Masih.
8 Tetapi jika kami atau malaikat dari syurga sekalipun kelak mengkhabarkan suatu injil yang lain daripada Injil yang telah kami khabarkan kepadamu, maka terlaknatlah orang itu!
9 Sebagaimana aku sudah berkata dahulu, sekarang kukatakan lagi: Jika sesiapa mengkhabarkan Injil kepadamu lain daripada yang telah kamu terima, terlaknatlah orang itu!
10 Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba al-Masih.
Bagaimana Paulus menjadi rasul
11 Aku memberitahu kepadamu, saudara-saudara, Injil yang kusampaikan bukanlah menurut manusia.
12 Aku tidak menerimanya daripada manusia, dan aku tidak pula mempelajarinya; tetapi Injil itu datang melalui wahyu daripada Isa al-Masih.
13 aKamu telah mendengar tentang kelakuanku dahulu ketika dalam agama Yahudi, betapa aku telah menganiaya jemaah Allah habis-habisan dan cuba membinasakannya.
14 bAku jauh lebih maju dalam agama Yahudi daripada orang sebayaku dalam kalangan bangsaku, kerana aku teramat kuat berpegang kepada segala adat nenek moyangku.
15 cTetapi apabila Allah, yang telah mengasingkanku daripada rahim ibuku dan memanggilku, melalui rahmat-Nya
16 berkenan untuk menyatakan Putera-Nya dalamku agar aku mengkhabarkan tentang Dia dalam kalangan bangsa lain. Pada waktu itu, aku sama sekali tidak bermesyuarat dengan sesama manusia.
17 Aku tidak juga pergi ke Yerusalem untuk menemui mereka yang telah menjadi rasul terdahulu daripadaku, tetapi aku ke Tanah Arab, lalu pulang semula ke Damsyik.
18 dTiga tahun kemudian, aku ke Yerusalem bertemu dengan Petrus lalu tinggal dengannya lima belas hari.
19 Tetapi aku tidak melihat para rasul yang lain – kecuali Yakobus, saudara Junjungan Yang Ilahi.
20 Sesungguhnya, di hadapan Allah, perkara-perkara yang kutuliskan kepadamu ini benar, aku tidak berbohong.
21 Selepas itu, aku pergi ke rantau Siria dan Kilikia.
22 Mukaku masih belum dikenali oleh jemaah al-Masih di Yudea.
23 Mereka hanya mendengar: “Orang yang dahulu menganiaya kita sekarang mengkhabarkan iman yang hendak dibinasakannya dahulu.”
24 Lalu mereka memuji Allah keranaku.
Paulus diakui oleh para rasul
1 aKemudian, selepas empat belas tahun, aku naik lagi ke Yerusalem dengan Barnabas, serta membawa Titus bersama.
2 Aku pergi ke sana untuk mematuhi wahyu yang diterima daripada Allah, dan membentangkan kepada mereka Injil yang kukhabarkan dalam kalangan bangsa asing. Tetapi aku melakukan ini secara persendirian kepada orang yang terkemuka, takut kalau-kalau pekerjaanku sia-sia, baik pada masa itu mahupun sebelum itu.
3 Namun demikian, walaupun Titus yang bersamaku itu seorang Yunani, dia pun tidak dipaksa bersunat.
4 Ini disebabkan beberapa orang yang pura-pura beriman telah dibawa masuk. Mereka mencuri-curi masuk untuk mengintip kebebasan yang kami miliki dalam Isa al-Masih agar mereka dapat memperhamba kami.
5 Namun demikian, seketika pun kami tidak tunduk menyerah kepada mereka, supaya kebenaran Injil tetap bersamamu.
6 bTetapi daripada orang yang kelihatan berwibawa – walau apa pun mereka, sama sahaja bagiku; Allah tidak bersikap pilih kasih kepada sesiapa – mereka tidak menambah apa-apa kepada pengajaranku.
7 Sebaliknya, mereka menyedari bahawa penyampaian Injil kepada orang yang tidak bersunat telah diamanahkan kepadaku, sebagaimana penyampaian Injil kepada orang yang bersunat telah diamanahkan kepada Petrus.
8 Kerana Dia yang telah bekerja dengan berkesan dalam Petrus bagi pengutusan kepada orang yang bersunat, telah bekerja dengan berkesan juga dalamku bagi pengutusan kepada orang yang tidak bersunat.
9 Dan apabila Yakobus, Petrus dan Yahya, yang dipandang sebagai tiang asas yang kukuh, menyedari amanah yang telah diberikan kepadaku, mereka berjabat tangan denganku dan Barnabas sebagai tanda persahabatan, supaya kami pergi kepada orang yang bukan keturunan Nabi Ibrahim manakala mereka pergi kepada orang yang bersunat.
10 Mereka hanya meminta agar kami ingat akan orang miskin, sesuatu yang sememangnya hendak kulakukan.
Paulus bertentangan dengan Petrus
11 Tetapi apabila Petrus datang ke Antiokhia, aku bersemuka dengannya dan membantah perbuatannya, kerana dia bersalah.
12 Sebelum beberapa orang datang daripada Yakobus, Petrus makan bersama bangsa asing. Akan tetapi apabila mereka datang, dia berundur dan mengasingkan diri, disebabkan takut akan orang yang berpegang kepada persunatan.
13 Orang Yahudi yang lain turut bersikap munafik, sehingga Barnabas pun tersesat kerana kemunafikan itu.
14 Aku lihat kelakuan mereka itu tidak menepati kebenaran Injil, lalu aku berkata kepada Petrus di hadapan semuanya, “Jika kamu, orang Yahudi, hidup seperti orang bangsa asing dan tidak seperti orang Yahudi, mengapakah kamu memaksa orang bangsa asing menurut adat orang Yahudi?
15 “Kita memang asal orang Yahudi bukan orang berdosa daripada bangsa asing;
16 ctetapi kita mengetahui bahawa seseorang itu diperbenar bukanlah kerana mengerjakan hukum Taurat, iaitu hukum yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat, tetapi kerana beriman akan al-Masih. Oleh itu, kita pun mempercayai al-Masih, supaya kita diperbenar kerana beriman akan al-Masih, bukan kerana mengerjakan hukum Taurat. Tiada seorang pun manusia yang diperbenar kerana mengerjakan hukum Taurat.
17 Tetapi, ketika kita berusaha untuk diperbenar melalui al-Masih, ternyata kita sendiri didapati berdosa, adakah ini bermakna al-Masih mengajar kita berdosa? Tidak sekali-kali!
18 Kalaulah kubina semula apa yang pernah kuruntuhkan, nyatalah aku seorang pelanggar hukum.
19 Melalui hukum Taurat, aku telah mati kepada hukum itu untuk hidup kepada Allah.
20 Aku telah disalib bersama al-Masih, bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi al-Masih yang hidup dalam aku. Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Putera Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku.
21 Aku tidak mengetepikan rahmat Allah, kerana jika perbenaran datang daripada hukum Taurat, sia-sialah kematian al-Masih!”
Diperbenar melalui iman
1 Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menyihirkan kamu sedangkan di hadapan matamu Isa al-Masih telah jelas ditunjukkan tersalib?
2 Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Allah kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan?
3 Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani?
4 Adakah segala yang kamu deritai itu sia-sia sahaja – kalaulah sebenarnya sia-sia?
5 Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat dalam kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan?
6 aSamalah sebagaimana Ibrahim: “Dia percaya kepada Allah dan oleh itu, Allah menganggap dia sebagai orang yang benar.”*
7 bOleh itu ketahuilah, hanya mereka yang beriman dianggap anak cucu Ibrahim.
8 cOleh sebab telah diketahui bahawa Allah akan memperbenar bangsa asing melalui iman, Kitab Suci telah menyampaikan Injil itu kepada Ibrahim terlebih dahulu: “Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati.”
9 Dengan demikian, semua orang yang beriman diberkati bersama Ibrahim yang beriman.
10 dSetiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri mengerjakan hukum Taurat adalah terlaknat, kerana sudah tersurat: “Terlaknatlah orang yang tidak terus-menerus melakukan segala yang tersurat dalam Kitab Suci Taurat.”
11 eJelaslah bahawa tiada siapa pun diperbenar di sisi Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, “Orang yang benar oleh iman akan hidup.”*
12 fHukum Taurat tidak berdasarkan iman; tetapi, “Orang yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.”
13 gAl-Masih telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: “Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib.”
14 Dia menebus kita supaya berkat Ibrahim datang kepada bangsa asing melalui Isa al-Masih, dan kita menerima Roh yang dijanjikan itu melalui iman.
Hukum Taurat atau perjanjian
15 Saudara-saudara, aku hendak menggunakan contoh daripada hidup sehari-hari. Walaupun suatu perjanjian hanya antara manusia, namun setelah ditetapkan, tiada siapa harus memansuhkannya atau menolak-tambah padanya, begitulah juga hal ini.
16 Janji Allah telah dibuat kepada Ibrahim dan keturunannya. Kitab Suci tidak menyebut “dan kepada keturunan-keturunannya,” dengan erti ramai orang, tetapi “dan kepada keturunanmu,” yang bererti seorang sahaja, iaitu al-Masih.
17 hAku berkata bahawa hukum Taurat, yang datang 430 tahun kemudian, tidak dapat memansuhkan perjanjian yang telah ditetapkan dahulu oleh Allah atau menjadikan janji itu tidak sah lagi.
18 iJika warisan itu daripada hukum Taurat, itu bukanlah lagi berdasarkan janji; tetapi Allah dalam rahmat-Nya telah memberikannya kepada Ibrahim melalui janji.
19 Kalau begitu, apakah tujuan hukum Taurat? Hukum itu ditambahkan kerana pelanggaran manusia. Hukum itu berterusan sehingga datangnya keturunan yang dijanjikan itu, dan hukum itu diberikan melalui malaikat oleh seorang pengantara.
20 Pengantara tidaklah menjadi pengantara bagi satu pihak sahaja; tetapi Allah itu Esa.
21 Jadi, adakah hukum Taurat itu berselisih dengan janji-janji Allah? Tidak sekali-kali! Kerana kalaulah ada hukum yang dapat memberikan kehidupan, tentulah perbenaran didapati melalui hukum itu.
22 Namun demikian, Kitab Suci telah menentukan bahawa semuanya terbelenggu oleh dosa, supaya apa yang dijanjikan melalui iman dalam Isa al-Masih dapat diberikan kepada mereka yang percaya.
23 Sebelum datangnya iman, kita dikawal oleh hukum Taurat, dikurung sementara menantikan iman yang akan dinyatakan kelak.
24 Oleh itu, hukum Taurat ialah guru kita, yang membawa kita kepada al-Masih untuk diperbenar oleh iman.
25 Tetapi selepas datangnya iman, kita tidak lagi di bawah pengawasan hukum Taurat.
Anak dan waris melalui al-Masih
26 Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman dalam Isa al-Masih.
27 Dan semua antara kamu yang telah diimadkan dalam al-Masih telah meliputi dirimu dengan al-Masih.
28 Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Isa al-Masih.
29 jDan jika kamu milik al-Masih, kamu ialah keturunan Ibrahim, dan menjadi waris menurut janji itu.
Tiada lagi perhambaan
1 Sekarang aku berkata bahawa waris, selagi dia masih kanak-kanak, tidak berbeza daripada hamba, walaupun dia tuan kepada segala miliknya.
2 Dia di bawah kawalan para penjaga dan pengurus sehingga masa yang ditetapkan oleh bapanya.
3 Demikianlah kita, ketika masih kanak-kanak, diperhamba menurut ajaran asas dunia.
4 Tetapi apabila sampai waktunya, Allah telah menghantar Putera-Nya, yang dilahirkan melalui seorang perempuan, di bawah hukum Taurat,
5 auntuk menebus mereka yang di bawah hukum itu, supaya kita mendapat hak sepenuh sebagai anak.
6 Dan kerana kamu anak-anak-Nya, Allah telah menghantar Roh Putera-Nya ke dalam hatimu, Roh yang berseru, “Ya Abba, ya Bapa.”
7 Dengan demikian kamu bukan lagi hamba tetapi anak; dan sebagai anak, Allah telah menjadikan kamu waris-Nya.
Paulus bimbang tentang orang Galatia
8 Dulu, ketika kamu belum mengenal Allah, kamu telah memperhambakan diri kepada dewa-dewa yang sebenarnya bukan tuhan.
9 Tetapi sekarang, setelah kamu mengenal Allah – atau lebih tepat, dikenali Allah – mengapakah kamu berpaling semula kepada ajaran asas yang lemah dan serba kurang itu, dan ingin terbelenggu semula sebagai hamba kepadanya?
10 Kamu mematuhi hukum tentang hari, bulan, musim dan tahun!
11 Aku bimbang tentangmu, takut kalau-kalau aku berusaha untukmu dengan sia-sia.
12 Saudara-saudara, aku meminta supaya kamu menjadi sepertiku, kerana dahulu aku pun seperti kamu. Kamu tidak pernah menganiayaku.
13 Kamu tahu bahawa kerana kedaifan jasmani, aku mula-mula menyampaikan Injil kepadamu.
14 Dan kamu tidak menghina atau menyingkirkan aku kerana cubaan jasmani yang kutanggung. Sebaliknya, kamu telah menyambutku seperti malaikat Allah, malah seperti Isa al-Masih.
15 Betapakah berkat yang kamu nikmati ketika itu? Kerana aku bersaksi bahawa, kalau boleh, kamu rela mencungkil matamu sendiri dan memberikannya kepadaku.
16 Adakah aku telah menjadi seterumu kerana aku menyatakan yang benar kepadamu?
17 Mereka bersungguh-sungguh menawan hatimu, tetapi bukan dengan niat yang baik. Mereka hendak mengasingkan kamu, supaya kamu bersungguh-sungguh hendak menawan hati mereka.
18 Memang elok bersungguh-sungguh dalam perkara yang baik, dan bukan hanya ketika aku ada bersamamu.
19 Hai anak-anak kecilku, aku mengalami sengsara seperti hendak melahirkan kamu sekali lagi sehingga al-Masih terbentuk dalam dirimu.
20 Aku rindu hendak bersama kamu sekarang dan mengubah nada suaraku, kerana aku amat bimbang tentangmu!
Hajar dan Sarah
21 Katakan kepadaku, kamu yang ingin hidup di bawah hukum Taurat, tidakkah kamu dengar kata-kata hukum itu?
22 bTersurat bahawa Ibrahim mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dengan hamba perempuan dan seorang lagi dengan perempuan merdeka.
23 Anak dengan hamba perempuan itu dilahirkan sebagaimana kebiasaan manusia; tetapi anak dengan perempuan merdeka itu dilahirkan kerana janji.
24 Ini adalah ibarat kerana dua perempuan itu mewakili dua perjanjian – satu daripada Gunung Sinai yang melahirkan anak-anak perhambaan, iaitu Hajar,
25 kerana Hajar adalah Gunung Sinai di Tanah Arab, melambangkan Yerusalem yang ada sekarang, dan berada dalam perhambaan bersama anak-anaknya.
26 Tetapi Yerusalem yang di atas adalah merdeka, dan ia ibu kepada kita semua.
27 cKerana telah tersurat:
“Bergembiralah, hai perempuan mandul,
kamu yang tidak melahirkan anak;
bersorak-sorailah, wahai kamu yang tidak pernah merasa sakit melahirkan anak;
kerana perempuan yang sepi lara mempunyai lebih ramai anak daripada yang bersuami.”
28 Saudara-saudaraku, kita seperti Nabi Ishak, iaitu anak perjanjian.
29 dTetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang.
30 eWalau bagaimanapun, apakah yang dikatakan dalam Kitab Suci? “Singkirkan hamba perempuan itu dengan anaknya, kerana anak kepada hamba perempuan itu tidak akan menjadi waris bersama anak kepada perempuan merdeka.”
31 Dengan demikian, saudara-saudara, kita bukanlah anak kepada hamba perempuan, tetapi kepada perempuan yang merdeka.
Kemerdekaan dalam al-Masih
1 Demi kemerdekaan al-Masih telah memerdekakan kita. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh al-Masih kepada kita, dan jangan biarkan diri dibelenggu oleh kuk perhambaan semula.
2 Dengarlah kata-kataku! Aku, Paulus, bersaksi kepadamu bahawa jika kamu bersunat kelak, tiada berfaedahlah al-Masih kepadamu.
3 Dan aku bersaksi lagi kepada setiap orang yang bersunat, bahawa dia berhutang dan mesti mengerjakan seluruh hukum Taurat.
4 Kamu yang berusaha untuk diperbenar melalui hukum Taurat telah terpisah daripada al-Masih. Kamu telah terkeluar daripada rahmat Allah.
5 Kita, melalui Roh dan dengan iman, bersungguh-sungguh menantikan harapan mendapat perbenaran.
6 Kerana dalam Isa al-Masih, sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya, melainkan iman bekerja melalui kasih.
7 Dahulu perjalananmu baik. Siapakah yang telah menghalangmu sehingga kamu tidak lagi menurut yang benar?
8 Pujukan ini bukannya daripada Tuhan yang memanggilmu.
9 a“Sedikit ragi pun akan meragikan tepung segumpal.”
10 Aku yakin padamu, dalam Tuhan, bahawa fikiranmu tidak akan bercabang; tetapi orang yang mengacau fikiranmu itu akan menerima hukumannya, walau siapa pun dia.
11 Saudara-saudara, jika aku masih menyebarkan ajaran supaya orang bersunat, mengapakah aku masih dianiaya? Kalau begitu, salib itu tidak lagi menjadi penghalang.
12 Ingin kuminta agar orang yang mengacau fikiranmu itu mengasingkan diri mereka sendiri!
13 Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih.
14 bKerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”
15 Tetapi jika kamu gigit-menggigit dan makan-memakan sesama sendiri, berhati-hatilah, jangan sampai kamu saling membinasakan.
Hidup menurut Roh
16 Aku berkata, melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan keinginan sifat tabii.
17 cKerana keinginan tabii manusia menentang Roh, dan Roh menentang keinginan tabii manusia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan.
18 Tetapi jika kamu dipimpin oleh Roh, kamu tidaklah di bawah hukum Taurat.
19 Kelakuan tabii manusia adalah nyata: perbuatan cabul, kecemaran dan kelucahan;
20 menyembah berhala dan sihir; kebencian, perbalahan, hasad dengki, letusan kemarahan, cita-cita untuk kebesaran diri, perselisihan, berpuak-puak
21 dan iri hati; kemabukan, berpesta keterlaluan, dan sebagainya. Tentang ini aku berkata kepadamu, sebagaimana sudah kukatakan kepadamu dahulu, bahawa orang yang mengamalkan perkara-perkara demikian tidak akan mewarisi kerajaan Allah.
22 Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan,
23 lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini.
24 Mereka yang menjadi milik al-Masih telah menyalib tabii manusia berserta hawa nafsu dan keinginannya.
25 Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga.
26 Janganlah kita menjadi bongkak, saling menyakitkan hati, dan berdengki-dengkian sama sendiri.
Saling membantu
1 Saudara-saudara, jika seseorang didapati melakukan sesuatu kesalahan, kamu yang bersifat rohani pimpinlah dia ke jalan baik dengan lemah lembut, sambil menjaga dirimu, jangan sampai kamu turut tergoda.
2 Tanggung-menanggunglah beban satu sama lain, dan dengan demikian laksanakan hukum al-Masih.
3 Jika seseorang menyangka dirinya mempunyai kelebihan sedangkan dia sebenarnya tidak mempunyainya, maka dia menipu dirinya sendiri.
4 Setiap orang harus menguji kerjanya sendiri, supaya dia dapat bermegah atas apa yang ada pada dirinya sahaja, bukan berbanding dengan apa yang ada pada orang lain.
5 Sebabnya setiap orang akan menanggung bebannya sendiri.
6 Orang yang diajari firman hendaklah berkongsi segala yang baik dengan pengajarnya.
7 Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya.
8 Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal.
9 Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa.
10 Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman.
Bukan persunatan tetapi satu ciptaan baru
11 Lihatlah betapa besarnya huruf-huruf yang kutulis kepadamu dengan tanganku sendiri!
12 Mereka yang ingin menunjukkan diri baik secara lahiriah, merekalah yang ingin memaksa kamu bersunat, semata-mata untuk mengelakkan diri mereka dianiaya kerana salib al-Masih.
13 Orang yang bersunat itu pun tidak memegang hukum Taurat, tetapi mereka mahu kamu disunatkan supaya mereka dapat bermegah dengan keadaan lahiriahmu.
14 Tetapi aku sekali-kali tidak mahu bermegah dengan apa pun kecuali salib Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, yang melalui-Nya dunia telah disalib kepadaku dan aku juga kepada dunia.
15 Sebabnya sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya; menjadi satu ciptaan baru, itulah yang penting.
16 Bagi mereka yang hidup menurut hukum ini, sejahtera dan belas kasihan atas mereka, dan atas Israel Allah.
17 Akhir kata, janganlah sesiapa menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada parut-parut Isa.
18 Saudara-saudara, semoga rahmat Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Ilahi, menyertai rohmu. Amin.