Yahya
Firman menjadi manusia
1 Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah.
2 Dia bersama Allah pada permulaan.
3 Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Daripada segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya.
4 Hidup ada di dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia.
5 Dan cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya.
6 aAllah mengutus seorang bernama Yahya.
7 Dia datang untuk memberikan kesaksian tentang cahaya itu, supaya semua orang akan percaya melalui Dia.
8 Dia sendiri bukanlah cahaya itu, dia datang untuk memberikan kesaksian tentang-Nya.
9 Itulah cahaya benar yang menerangi setiap manusia, sedang mendatangi dunia.
10 Dia berada di dunia, dan dunia telah dicipta melalui-Nya, namun manusia di dunia tidak mengenal-Nya.
11 Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya.
12 Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya.
13 Kelahiran mereka bukan melalui darah keturunan, atau kehendak tabii manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Allah.
14 Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Putera Yang Esa, yang datang daripada Bapa, penuh dengan rahmat dan kebenaran.
15 Nabi Yahya memberikan kesaksian tentang-Nya. Dia berseru, “Inilah Dia yang kukatakan akan datang selepasku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku.”
16 Daripada limpah kesempurnaan-Nya kita semua telah menerima rahmat demi rahmat.
17 Ini kerana hukum Taurat disampaikan melalui Nabi Musa, tetapi rahmat dan kebenaran dinyatakan melalui Isa al-Masih.
18 Tiada siapa pernah melihat Allah, melainkan Putera Yang Esa, yang ada di pangkuan Bapa, telah menyerlahkan-Nya.
Kesaksian Nabi Yahya tentang dirinya sendiri
19 Inilah kesaksian Yahya, apabila orang Yahudi di Yerusalem mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?”
20 Yahya mengaku, “Aku bukanlah al-Masih”.
21 bMereka bertanya, “Jadi, kamu ini siapa? Nabi Ilyas?”
“Bukan,” jawabnya.
“Adakah kamu nabi yang akan datang?”
Dia menjawab, “Bukan.”
22 Kemudian mereka berkata, “Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?”
23 cYahya menjawab, “Aku ini satu suara yang berseru di gurun, ‘Luruskanlah jalan untuk Tuhan,’ sebagaimana kata Nabi Yesaya.”
24 Antara orang yang diutus itu ada beberapa orang dari mazhab Farisi.
25 Mereka terus menyoal, “Mengapakah kamu mengimadkan orang, kiranya kamu bukan al-Masih, bukan Ilyas dan bukan pula nabi yang akan datang?”
26 Yahya menjawab, “Aku mengimadkan dengan air, tetapi dalam kalanganmu ada seorang yang tidak kamu kenali,
27 iaitu Dia yang datang selepasku. Aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.”
28 Semua ini terjadi di Baitani, di seberang Sungai Yordan; di situlah Yahya mengimadkan orang.
Nabi Yahya menunjuk kepada Isa
29 Pada keesokan harinya, Yahya melihat Isa berjalan ke arahnya lalu berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia!
30 Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku.
31 Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan mengimadkan orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.”
32 Yahya memberikan kesaksian: “Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya.
33 Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk mengimadkan orang dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Engkau akan melihat Roh Allah turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan mengimadkan orang dengan Roh Allah Yang Maha Suci.’
34 Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Putera Allah.”
Pengikut-pengikut Isa yang pertama
35 Pada hari yang berikut, Yahya berada di situ lagi bersama dua orang pengikutnya.
36 Dia melihat lagi Isa lalu di tempat itu dan dia berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah!”
37 Apabila dua orang pengikut Yahya itu mendengar kata-kata demikian, mereka pun mengikut Isa.
38 Isa menoleh dan melihat mereka mengikut-Nya lalu bertanya, “Apa hajatmu?”
Mereka menjawab, “Rabbi (ertinya Guru), di manakah Engkau tinggal?”
39 “Marilah lihat,” kata Isa.
Mereka terus mengikut-Nya dan melihat tempat tinggal-Nya. Waktu itu kira-kira pukul empat. Mereka pun tinggal bersama Isa pada hari itu.
40 Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yahya lalu mengikut Isa ialah Andreas, saudara Simon Petrus.
41 Andreas segera mencari Simon, saudaranya, dan berkata, “Kami telah bertemu dengan Mesias!” (“Mesias” bererti al-Masih)
42 Selepas itu, Andreas membawa Simon berjumpa dengan Isa.
Isa memandang Simon lalu berkata, “Kamu Simon bin Yahya, tetapi kamu akan digelar Kefas.” (Kefas sama ertinya dengan Petrus, yakni batu pejal.)
43 Pada keesokan harinya, Isa membuat keputusan hendak pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus dan berkata, “Ikutlah Aku.”
44 Seperti Andreas dan Petrus, Filipus juga warga kota Baitsaida.
45 Filipus pula mendapatkan Natanael dan berkata, “Kami telah bertemu dengan orang yang disebut oleh Musa dalam Kitab Suci Taurat dan oleh nabi-nabi. Orang itu ialah Isa bin Yusuf dari Nazaret.”
46 Tetapi Natanael berkata, “Mungkinkah sesuatu yang baik datang dari Nazaret?”
“Marilah lihat,” balas Filipus.
47 Ketika Isa melihat Natanael berjalan ke arah-Nya, Dia berkata, “Ini orang Israel tulen, tiada yang palsu pada dirinya.”
48 Natanael bertanya, “Bagaimana Engkau mengenal aku?”
Isa menjawab, “Sebelum Filipus memanggilmu, Aku telah melihatmu di bawah pokok ara itu.”
49 Natanael berseru, “Tuan Guru, Engkau Putera Allah! Engkau Raja bangsa Israel!”
50 Isa berkata, “Adakah kamu beriman kepada-Ku kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat hal-hal yang jauh lebih hebat daripada ini!”
51 dIsa berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan melihat langit terbuka dan malaikat-malaikat Allah turun naik menemui Putera Insan.”
Perkahwinan di Kana
1 Pada hari yang ketiga, suatu majlis perkahwinan diadakan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Isa turut hadir.
2 Isa dan pengikut-pengikut-Nya juga dijemput ke majlis itu.
3 Apabila air anggur yang ada habis diminum, ibu Isa berkata kepada-Nya, “Mereka kehabisan air anggur.”
4 Isa menjawab, “Puan, usahlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba.”
5 Namun demikian, ibu Isa berkata kepada pelayan-pelayan di majlis itu, “Buatlah apa sahaja yang disuruh-Nya.”
6 Di situ ada enam buah tempayan yang digunakan untuk istiadat penyucian orang Yahudi. Tiap-tiap tempayan dapat memuat kira-kira seratus liter air.
7 Isa berkata kepada pelayan-pelayan, “Isilah tempayan-tempayan ini dengan air.” Mereka pun mengisi penuh keenam-enam tempayan itu.
8 Setelah itu, Isa berkata pula, “Sekarang ambillah sedikit air itu, bawanya kepada ketua majlis.” Mereka pun menghidangkan air itu kepada ketua majlis.
9 Setelah ketua majlis merasa air yang telah menjadi air anggur itu, dia pun memanggil pengantin lelaki. Dia tidak tahu dari mana datangnya air anggur itu, tetapi para pelayan yang mengambil dan membawa air itu mengetahuinya.
10 Dia berkata kepada pengantin lelaki, “Selalunya orang menghidangkan air anggur yang terbaik di awal majlis. Setelah tetamu banyak minum, dihidangkan pula air anggur yang biasa sahaja. Tetapi kamu menyimpan dahulu air anggur yang terbaik, sekarang baru dihidangkan!”
11 Itulah mukjizat Isa yang pertama dilakukan-Nya di Kana, Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya, maka pengikut-pengikut-Nya percaya kepada-Nya.
Isa di Kapernaum
12 aSetelah itu, Isa bersama ibu-Nya, saudara-saudara-Nya dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum lalu tinggal di situ beberapa hari.
Isa menyucikan Bait Allah
13 bKetika Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba, Isa pergi ke Yerusalem.
14 Di dalam Bait Allah Dia mendapati orang berjual beli lembu, domba dan burung merpati, serta pengurup-pengurup wang duduk di situ.
15 Isa membuat cemeti daripada tali lalu mengusir kesemua orang, domba dan lembu dari Bait Allah. Dia juga menghamburkan wang pengurup wang itu dan menterbalikkan meja mereka.
16 Dia berkata kepada penjual burung merpati, “Bawa keluar semuanya. Jangan jadikan Rumah Bapa-Ku tempat berniaga!”
17 cPara pengikut-Nya teringat bahawa telah tersurat: “Kasih-Ku terhadap Rumah-Mu membakar hati-Ku!”
18 Orang Yahudi menyoal Isa, “Apakah mukjizat yang dapat Kamu lakukan sebagai bukti bahawa Kamu berhak bertindak begini?”
19 dIsa menjawab, “Robohkanlah Bait Allah ini, akan Kubina semula dalam tiga hari.”
20 “Pembinaan Bait Allah ini mengambil masa empat puluh enam tahun! Akan Kaubina semula dalam tiga hari?” tanya orang Yahudi kepada-Nya.
21 Sebenarnya, Bait Allah yang dimaksudkan oleh Isa itu ialah tubuh-Nya sendiri.
22 Apabila Isa bangkit daripada kematian, pengikut-pengikut-Nya teringat kata-kata-Nya itu. Dengan demikian percayalah mereka akan Kitab Suci dan kata-kata Isa.
23 Sewaktu Isa di Yerusalem pada masa Perayaan Paskah, ramai orang yang percaya kepada nama-Nya disebabkan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya.
24 Namun demikian, Isa tidaklah mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui isi hati manusia.
25 Dia tidak memerlukan kesaksian sesiapa tentang manusia kerana Dia mengetahui niat dan perasaan setiap orang.
Isa mengajar Nikodemus
1 Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi daripada golongan Farisi yang bernama Nikodemus.
2 Dia mengunjungi Isa pada suatu malam lalu berkata, “Tuan Guru,* kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya.”
3 Isa menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah.”
4 Nikodemus bertanya, “Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!”
5 Isa menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan daripada air dan Roh Allah, dia tidak akan masuk ke dalam kerajaan Allah.
6 Yang dilahirkan manusia ialah manusia, dan yang dilahirkan Roh ialah roh.
7 Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula.
8 Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Allah.”
9 Nikodemus bertanya, “Bagaimana hal itu boleh berlaku?”
10 Isa menjawab, “Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini?
11 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kami ketahui, itulah yang kami katakan, dan apa yang telah kami lihat, itulah yang kami saksikan, tetapi kamu tidak mahu menerimanya.
12 Jika kamu tidak percaya ketika Aku bercakap tentang hal-hal dunia, bagaimana mungkin kamu percaya sekiranya Aku bercakap tentang hal-hal syurga?
13 Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Putera Insan yang turun dari syurga.
14 a“Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Putera Insan akan diangkat
15 supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal.”
16 Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Putera-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.
17 Allah mengutus Putera-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan.
18 Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudah pun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Putera Yang Esa yang datang daripada Allah.
19 Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat.
20 Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah.
21 Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah.
Kesaksian Nabi Yahya tentang Isa
22 Selepas itu, Isa dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke wilayah Yudea. Isa tinggal bersama mereka di sana dan mengimadkan orang.
23 Yahya pula mengimadkan di Ainon, tidak berapa jauh dari Salim, kerana di situ ada banyak air. Orang datang kepadanya dan dia mengimadkan mereka.
24 bPada masa itu, Yahya belum lagi dimasukkan ke dalam penjara.
25 Pada suatu hari tercetus pertengkaran antara sebilangan pengikut Yahya dengan seorang Yahudi tentang istiadat penyucian.
26 Mereka pergi kepada Yahya dan berkata, “Tuan Guru, seorang yang bersama dengan engkau di seberang Sungai Yordan dahulu, orang yang engkau tunjukkan kepada kami, Dia mengimadkan orang dan semua orang pergi kepada-Nya.”
27 Yahya menjawab, “Seseorang tidak mungkin menerima sesuatu kecuali diberi kepadanya dari syurga.
28 cKamu semua menjadi saksiku bahawa aku telah berkata, ‘Aku bukanlah al-Masih, tetapi aku diutus sebelum-Nya.’
29 Yang mendapatkan pengantin perempuan ialah pengantin lelaki. Sahabat pengantin lelaki yang cuma menanti dan mendengarkan ketibaan pengantin lelaki, berasa bahagia ketika mendengar suara pengantin lelaki. Demikian juga aku. Sekarang sempurnalah kebahagiaanku.
30 Memang sewajarnya Dia semakin utama dan aku semakin kecil.
31 “Dia yang datang dari atas adalah di atas segala-galanya. Orang yang berasal dari dunia datang dari dunia dan bercakap tentang hal-hal dunia. Tetapi Dia yang datang dari syurga adalah di atas segala-galanya,
32 Dia menyampaikan apa yang dilihat dan didengar-Nya, tetapi tidak ada seorang pun yang menerima kesaksian-Nya.
33 Namun begitu, mereka yang menerima kesaksian-Nya mengaku bahawa Allah itu benar.
34 Dia yang diutus oleh Allah menyampaikan firman Allah, kerana Allah mengurniai-Nya Roh Allah sepenuhnya.
35 dBapa kasih akan Putera-Nya dan telah meletakkan segala-galanya di bawah kuasa Putera-Nya.
36 Sesiapa yang percaya kepada Putera itu mendapat hidup yang kekal. Sesiapa yang tidak taat kepada-Nya tidak akan mendapat hidup yang kekal itu dan kemurkaan Allah kekal ke atasnya.”
Isa bercakap dengan perempuan Samaria
1 Ketika Isa mengetahui orang dari mazhab Farisi telah mendengar berita bahawa Dia mendapat dan mengimadkan lebih ramai pengikut berbanding dengan Yahya,
2 (sebenarnya para pengikut Isa yang mengimadkan, bukan Isa),
3 Dia pun meninggalkan Yudea lalu pulang ke Galilea semula.
4 Dalam perjalanan-Nya itu, Isa semestinya melalui Samaria.
5 aDi Samaria, Isa sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf.
6 Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Isa duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira pukul dua belas tengah hari.
7 Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Isa berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.”
8 Pengikut-pengikut Isa telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.
9 bPerempuan Samaria itu menjawab, “Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?” (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.)
10 Isa menjawab, “Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, ‘Berilah Aku minum,’ tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup.”
11 Perempuan itu berkata, “Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu?
12 Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini.”
13 Isa berkata, “Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula;
14 tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.”
15 Perempuan itu berkata, “Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.”
16 Isa menjawab, “Pergilah dahulu, bawa suamimu ke mari.”
17 Perempuan itu berkata, “Aku tidak ada suami.”
Isa pun berkata, “Memang benar engkau tidak ada suami sekarang.
18 Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.”
19 Perempuan itu berkata, “Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi.
20 Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa Tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Yerusalem.”
21 Isa berkata, “Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Yerusalem.
22 Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi.
23 Akan sampai saatnya, malah sudah pun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian.
24 Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.”
25 Perempuan itu berkata, “Aku tahu Mesias, yang disebut al-Masih itu, akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.”
26 Isa berkata kepada perempuan itu, “Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.”
27 Pada ketika itu para pengikut Isa pulang ke situ. Mereka hairan melihat Isa bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, “Apa hajatmu?” atau kepada Isa, “Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?”
28 Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku.
29 Perempuan itu berkata, “Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu al-Masih?”
30 Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Isa.
31 Sementara itu, para pengikut Isa menggesa-Nya, “Tuan Guru, makanlah.”
32 Isa menjawab, “Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.”
33 Lalu para pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, “Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?”
34 Isa berkata, “Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya.
35 Bukankah kamu berkata, ‘Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?’ Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai.
36 Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama.
37 Dalam hal ini benarlah pepatah, ‘Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.’
38 Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.”
39 Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Isa setelah mendengar perempuan itu berkata, “Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.”
40 Oleh yang demikian, ketika orang Samaria datang menemui Isa, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Isa pun tinggal di situ selama dua hari.
41 Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Isa kerana kata-kata-Nya.
42 Mereka berkata kepada perempuan itu, “Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah al-Masih, Penyelamat dunia.”
Kembali ke Galilea
43 Selepas tinggal dua hari di Samaria, Isa ke Galilea pula,
44 ckerana Isa sendiri bersaksi bahawa seorang nabi tidak mendapat penghormatan di negerinya sendiri.
45 dSetiba-Nya di Galilea, orang Galilea menyambut-Nya. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada masa Perayaan Paskah dahulu. Pada ketika itu, mereka juga berada di sana.
Isa menyembuhkan anak pegawai kerajaan
46 eSelepas itu, Isa pulang ke Kana di Galilea, iaitu tempat Dia mengubah air menjadi air anggur. Seorang pegawai kerajaan di situ mempunyai anak lelaki yang sedang sakit di Kapernaum.
47 Apabila pegawai itu mendengar tentang kedatangan Isa ke Galilea dari Yudea, dia pun pergi berjumpa dengan Isa. Dia meminta Isa datang ke Kapernaum untuk menyembuhkan anaknya yang sakit tenat dan hampir maut.
48 Tetapi Isa berkata, “Kalau kamu semua tidak melihat mukjizat dan hal-hal luar biasa, tidaklah kamu percaya.”
49 Pegawai itu merayu, “Tuan, datanglah segera sebelum anakku mati.”
50 Isa pun berkata, “Pergilah, anakmu akan sembuh.”
Pegawai itu percaya akan kata-kata Isa lalu pergi.
51 Dalam perjalanannya ke rumah, hambanya datang memberitahu bahawa anaknya itu telah sembuh.
52 Apabila pegawai itu bertanya bila anaknya mula pulih, mereka menjawab, “Kelmarin, pada pukul satu petang, dia tidak demam lagi.”
53 Bapa anak itu teringat bahawa pada waktu itulah Isa telah berkata, “Anakmu akan sembuh.” Dengan demikian, pegawai itu dan seluruh keluarganya percaya kepada Isa.
54 Itulah mukjizat Isa yang kedua dilakukan-Nya di Galilea setelah tiba di situ dari Yudea.
Penyembuhan di Baithasda
1 Setelah itu, Isa pergi ke Yerusalem pada masa suatu perayaan Yahudi.
2 Di Yerusalem, berdekatan Pintu Domba, ada sebuah kolam yang dipanggil Baithasda dalam bahasa Ibrani. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi.
3 Di setiap serambi itu ramai orang sakit dan cacat berbaring – ada yang buta, ada yang tempang dan ada yang lumpuh – menunggu air kolam itu berkocak.
4 Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya.
5 Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun.
6 Isa melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya. Isa bertanya kepadanya, “Inginkah kamu sembuh?”
7 Orang sakit itu menjawab, “Tuan, tiada siapa pun di sini yang dapat memasukkan aku ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak. Setiap kali aku cuba masuk, orang lain telah masuk dahulu.”
8 Isa berkata kepadanya, “Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah.”
9 Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan. Perkara itu terjadi pada hari Sabat.
10 aOleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang yang disembuhkan itu, “Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar.”
11 Orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan.”
12 Mereka pun bertanya, “Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?”
13 Akan tetapi, orang yang baru disembuhkan itu tidak dapat menunjukkan siapa orangnya, kerana Isa telah menghilang di antara orang ramai di situ.
14 Tidak lama selepas itu, Isa bertemu dengan orang itu di dalam Bait Allah dan berkata kepadanya, “Sekarang kamu sudah sembuh. Jangan berbuat dosa lagi, supaya kamu tidak menerima padah yang lebih teruk.”
15 Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Isalah yang telah menyembuhkannya.
16 Dengan demikian, orang Yahudi mula memusuhi Isa kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat.
17 Namun demikian, Isa berkata kepada mereka, “Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku.”
18 Kata-kata-Nya ini mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya. Bukan sahaja Dia melanggar hukum hari Sabat, malah juga mengatakan Allah itu Bapa-Nya, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah.
Kesaksian Isa tentang diri-Nya
19 Isa menjawab mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Putera tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Putera,
20 kerana Bapa kasih akan Putera dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Putera-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Putera, sehingga kamu semua menjadi hairan.
21 Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Putera-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya.
22 Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya.
23 Dengan demikian, semua orang menghormati Putera sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Putera, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya.
24 “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.
Dua jenis kebangkitan
25 “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudah pun sampai, ketika orang mati mendengar suara Putera Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup.
26 Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Putera-Nya juga sumber hidup.
27 Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya, kerana Dia itu Putera Insan.
28 “Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang di dalam kubur mendengar suara-Nya.
29 bMereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum.
30 Aku tidak dapat melakukan sesuatu pun atas usaha-Ku sendiri. Aku menghakimi manusia menurut perintah Allah. Penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.
31 “Jika Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, itu tidaklah wajar diterima sebagai bukti yang sah.
32 Ada lain yang memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian yang disampaikan-Nya tentang-Ku itu benar.
Kesaksian Yahya
33 c“Kamu telah mengutus orang untuk berjumpa dengan Yahya, dan dia telah bersaksi tentang kebenaran.
34 Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian manusia. Aku menyebutnya supaya kamu percaya dan dapat diselamatkan.
35 Yahya ibarat pelita yang menyala dan bercahaya. Bagi seketika lamanya, kamu memilih untuk menikmati cahayanya.
36 “Tetapi kesaksian-Ku lebih besar daripada kesaksian Yahya. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan hal ini membuktikan bahawa Bapa telah mengutus-Ku.
37 dBapa yang mengutus-Ku dan memberikan kesaksian tentang diri-Ku ini belum pernah kamu dengar suara-Nya atau lihat wajah-Nya.
38 Firman-Nya tidak menetap dalam dirimu kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus Bapa.
Kesaksian Kitab
39 “Kamu mengkaji Kitab Suci dengan tekun kerana kamu percaya dalamnya kamu mendapat hidup kekal. Sebenarnya Kitab Suci memberikan kesaksian tentang diri-Ku.
40 Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku untuk mendapatkan hidup kekal.
41 “Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia.
42 Aku mengenalmu. Aku tahu kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah.
43 Aku datang atas nama Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut-Ku. Namun demikian, ketika orang lain datang atas namanya sendiri, kamu menyambutnya.
44 Bagaimana kamu mungkin percaya kepada-Ku, sedangkan kamu mencari pujian sesama sendiri? Kamu tidak berusaha mendapatkan pujian daripada Allah Yang Esa.
45 “Jangan sangka Aku akan menuduhmu di hadapan Bapa. Musa yang kamu harapkan itulah yang akan menuduhmu.
46 Sekiranya benar kamu percaya kepada Musa, tentulah kamu percaya kepada-Ku, kerana Musa telah menulis tentang diri-Ku.
47 Kamu tidak percaya akan apa yang ditulis oleh Musa, maka bagaimana kamu mungkin percaya akan apa yang Kukatakan?”
Isa memberi lima ribu orang makanan
1 Setelah itu, Isa pergi ke seberang Laut Galilea yang juga dipanggil Laut Tiberias.
2 Ramai orang mengikut-Nya setelah melihat mukjizat-Nya menyembuhkan orang sakit.
3 Isa mendaki sebuah bukit lalu duduk di situ bersama pengikut-pengikut-Nya.
4 Pada masa itu Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba.
5 Apabila Isa memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, “Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?”
6 (Sebenarnya Isa bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.)
7 Filipus menjawab, “Roti yang berharga dua ratus dinar pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.”
8 Seorang lagi pengikut Isa yang bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya,
9 “Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!”
10 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ajaklah mereka duduk.” (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya.
11 Isa mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu, Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada mereka yang duduk di sini. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula sebanyak yang dikehendaki mereka.
12 Setelah kenyang semuanya, Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.”
13 Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu.
14 Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Isa itu, mereka pun berkata, “Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!”
15 Isa tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu, Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri.
Isa berjalan di atas air
16 Setelah senja hari, para pengikut Isa turun ke tasik.
17 Mereka menaiki perahu menyeberangi tasik itu ke Kapernaum. Hari sudah gelap namun Isa belum pulang mendapatkan mereka.
18 Ketika itu tasik mulai bergelombang kerana angin bertiup kencang.
19 Setelah para pengikut Isa berkayuh tiga atau tiga setengah batu, mereka terpandang Dia berjalan di atas air ke arah perahu mereka, lalu mereka pun ketakutan.
20 Tetapi Isa berkata kepada mereka, “Jangan takut, Aku Isa!”
21 Barulah mereka mahu menyambut-Nya naik ke perahu. Pada saat itu juga tibalah perahu itu ke tempat yang dituju.
Orang banyak mencari Isa
22 Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik menyedari bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Isa tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para pengikut Isa telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya.
23 Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Junjungan mengucap syukur.
24 Apabila mereka tidak melihat Isa atau pengikut-pengikut-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Isa.
Roti hidup
25 Ketika mereka bertemu dengan Isa di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Tuan Guru, bilakah Engkau sampai ke mari?”
26 Isa menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang.
27 Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepadamu oleh Putera Insan, kerana Allah Bapa telah memateraikan-Nya.”
28 Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?”
29 Isa berkata, “Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.”
30 Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan?
31 aNenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: ‘Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.’ ”
32 Lalu Isa berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga.
33 Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.”
34 Kemudian mereka berkata, “Tuan, berilah kami roti itu selalu.”
35 Isa berkata kepada mereka, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.
36 Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku.
37 Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku.
38 Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.
39 Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberikan kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir.
40 Demikianlah kehendak Bapa-Ku, iaitu setiap orang yang melihat Putera-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.”
41 Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Isa kerana kata-kata-Nya, “Akulah roti yang turun dari syurga.”
42 Mereka berkata, “Bukankah Dia Isa bin Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, ‘Aku turun dari syurga’?”
43 Lalu Isa berkata kepada mereka, “Janganlah merungut sesama sendiri.
44 Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.
45 bAda tersurat dalam tulisan para nabi: ‘Semua manusia akan diajar oleh Allah.’ Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku.
46 Tiada seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa.
47 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal.
48 Akulah roti hidup.
49 Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga.
50 Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati.
51 Akulah roti hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini ialah tubuh-Ku.”
52 Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri, “Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?”
53 Isa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Putera Insan dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu.
54 Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.
55 Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar.
56 Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya.
57 Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup.
58 Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.”
59 Demikianlah kata-kata Isa ketika mengajar di saumaah di Kapernaum.
Ramai pengikut yang meninggalkan Isa
60 Antara pengikut yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, “Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?”
61 Isa tahu tanpa diberitahu akan rungutan pengikut-pengikut-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya?
62 Bagaimana nanti kalau kamu melihat Putera Insan naik semula ke tempat asal-Nya?
63 Hanya Roh Allah memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Allah dan memberi hidup.
64 Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.” (Isa mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.)
65 Isa berkata lagi, “Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.”
66 Selepas itu, ramai pengikut Isa menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya.
Pengakuan Petrus
67 Oleh yang demikian, Isa bertanya kepada pengikut-Nya yang dua belas itu, “Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?”
68 cSimon Petrus berkata kepada Isa, “Ya Junjungan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal.
69 Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.”
70 Isa berkata, “Tidakkah kamu dua belas orang ini Kupilih, tetapi seorang daripadamu ialah iblis?”
71 Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Yudas bin Simon Iskariot. Meskipun Yudas salah seorang pengikut Isa yang dua belas itu, dia akan mengkhianati-Nya.
Isa pergi ke Yerusalem untuk Perayaan Pondok Daun
1 Selepas itu, Isa pergi berjalan di Galilea. Dia tidak pergi ke daerah Yudea kerana orang Yahudi di situ berniat hendak membunuh-Nya.
2 aKetika itu perayaan orang Yahudi, iaitu Perayaan Pondok Daun hampir tiba.
3 Oleh itu, saudara-saudara Isa berkata kepada-Nya, “Beredarlah dari sini ke Yudea, supaya pengikut-pengikut-Mu dapat melihat perbuatan-Mu.
4 Orang tidak menyembunyikan perbuatannya kalau ingin menjadi ternama. Kerana Kamu sudah melakukan perkara-perkara ini, biarlah diri-Mu dikenal orang di dunia.”
5 Saudara-saudara Isa sendiri tidak percaya kepada-Nya.
6 Lalu Isa berkata kepada mereka, “Saat-Ku belum sampai lagi. Saatmu bila-bila sahaja.
7 Dunia ini tiada sebab untuk membencimu. Tetapi dunia membenci-Ku, kerana Aku memberikan kesaksian tentangnya bahawa kerjanya durjana.
8 Pergilah menyambut perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum sampai sepenuhnya.”
9 Setelah berkata demikian, Isa tetap tinggal di Galilea.
10 Apabila saudara-saudara-Nya telah bertolak untuk menghadiri perayaan itu, Isa pun pergi juga secara diam-diam.
11 Pada masa perayaan itu orang Yahudi mencari Isa. Mereka bertanya, “Di manakah Dia?”
12 Orang ramai berbisik-bisik tentang-Nya. Ada yang berkata, “Dia seorang yang baik.”
Ada pula yang berkata, “Tidak! Dia membawa ajaran sesat!”
13 Tetapi semuanya tidak berani bercakap secara terbuka tentang Isa, kerana takut akan orang Yahudi.
Kesaksian Isa tentang diri-Nya
14 Pada pertengahan masa perayaan itu, Isa masuk ke Bait Allah lalu mengajar.
15 Orang Yahudi tercengang mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, “Bagaimanakah orang ini begitu berpengetahuan walaupun tidak dididik?”
16 Lalu Isa menjawab, “Apa Kuajarkan bukanlah ajaran-Ku, tetapi ajaran Dia yang mengutus-Ku.
17 Orang yang mahu melaksanakan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran ini datang daripada diri-Ku atau daripada Allah.
18 Seseorang yang bercakap atas namanya sendiri mencari kemuliaan bagi dirinya. Sebaliknya, seseorang yang mencari kemuliaan bagi Dia yang mengutusnya, adalah jujur dan bersih daripada sebarang kepalsuan.
19 Tidakkah Musa menyampaikan hukum Taurat kepadamu? Tetapi tiada seorang pun antara kamu yang melaksanakan hukum Taurat itu. Mengapakah kamu hendak membunuh-Ku?”
20 Orang ramai menjawab, “Kamu dirasuk roh iblis! Siapa pula yang hendak membunuh-Mu?”
21 Isa berkata kepada mereka, “Aku melakukan satu mukjizat, lalu kamu semua berasa takjub.
22 bMusa telah memberimu peraturan bersunat. Oleh itu, pada hari Sabat pun kamu hendak menyunatkan anak lelakimu. (Sebenarnya peraturan bersunat itu bukanlah bermula daripada Musa, tetapi daripada nenek moyangmu sebelumnya.)
23 cKiranya seorang anak lelaki boleh disunatkan pada hari Sabat kerana tidak mahu melanggar hukum Musa, mengapakah kamu marah kepada-Ku kerana menyembuhkan seluruh tubuh seseorang pada hari Sabat?
24 Janganlah hakimi seseorang berdasarkan apa yang dilihat. Hakimilah dengan adil.”
25 Sebilangan penduduk Yerusalem berkata, “Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh?
26 Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia al-Masih?
27 Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya. Tetapi, apabila al-Masih datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya.”
28 Ketika Isa mengajar di Bait Allah, Dia berseru dengan suara lantang, “Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya.
29 Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya.”
30 Selepas itu, mereka cuba menangkap Isa. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai.
31 Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Isa. Mereka berkata, “Apabila al-Masih datang, adakah Dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?”
32 Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang dari mazhab Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal Bait Allah menangkap Isa.
33 Namun demikian, Isa berkata, “Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu, Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku.
34 Kamu akan mencari-Ku, tetapi tidak dapat menemui-Ku. Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut.”
35 Orang Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah Dia hendak pergi sehingga kita tidak dapat menemui-Nya? Adakah Dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di perantauan dalam kalangan orang Yunani untuk mengajar orang Yunani?
36 Apakah maksud kata-kata-Nya, ‘Kamu akan mencari-Ku tetapi tidak dapat menemui-Ku,’ dan ‘Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut’?”
Air Sumber Hidup
37 dPada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Isa berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum.
38 eSebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.’”
39 (Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Roh Allah yang akan diterima kelak oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu Roh Allah belum dikurniakan, kerana Isa belum dimuliakan.)
Perbalahan tentang siapa Isa
40 Sebilangan orang yang mendengar kata-kata Isa berkata, “Sudah tentu orang inilah Nabi itu!”
41 Ada pula yang berkata, “Dialah al-Masih yang diutus oleh Allah.”
Sebaliknya, ada yang berkata, “Al-Masih yang diutus oleh Allah bukan dari Galilea.
42 fMenurut Kitab Suci, al-Masih yang diutus Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Baitlahim, tempat asal Raja Daud.”
43 Demikianlah mereka berbalah lalu berpihak-pihak kerana Isa.
44 Beberapa orang ingin menangkap-Nya, namun tiada siapa pun memegang-Nya.
45 Kemudian para pengawal Bait Allah datang kepada para ketua imam dan orang dari mazhab Farisi. Lalu mereka bertanya kepada para pengawal Bait Allah itu, “Mengapakah kamu tidak membawa Dia ke sini?”
46 Para pengawal itu menjawab, “Belum pernah seseorang bercakap seperti-Nya!”
47 Orang dari mazhab Farisi berkata, “Adakah kamu disesatkan juga?
48 Adakah mana-mana pemerintah atau orang dari mazhab Farisi percaya kepada-Nya?
49 Tetapi hanya orang ramai ini tidak mengenal hukum Taurat – terlaknatlah mereka ini!”
50 gNikodemus, seorang dari mazhab Farisi yang pernah pergi menemui Isa, berkata,
51 “Bukankah mengikut hukum Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang tanpa perbicaraan dan penyiasatan terlebih dahulu?”
52 Mereka berkata, “Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah, dan kamu akan tahu tiada nabi yang datang dari Galilea.”
53 Selepas itu, semua orang pulang ke rumah.
Perempuan yang berzina
1 Akan tetapi, Isa pergi ke Bukit Zaitun.
2 Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Dia masuk ke Bait Allah. Semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mengajar mereka.
3 Ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi membawa kepada Isa seorang perempuan yang didapati berzina. Mereka membuat perempuan itu berdiri di hadapan semua orang di situ.
4 Mereka berkata kepada Isa, “Tuan Guru, perempuan ini ditangkap ketika berzina.
5 aDalam hukum Taurat, Nabi Musa memberikan perintah supaya perempuan demikian direjam sampai mati. Bagaimanakah pendapat-Mu?”
6 Mereka bertanya demikian untuk menduga Isa supaya mempunyai alasan untuk menuduh-Nya.
Tetapi Isa tunduk menulis di tanah dengan jari-Nya.
7 Mereka tetap mengulangi pertanyaan itu. Oleh yang demikian, Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada mereka, “Sesiapa di antaramu yang tidak berdosa, hendaklah dia yang pertama merejam batu kepadanya.”
8 Kemudian Isa tunduk menulis semula di tanah.
9 Setelah mendengar kata-kata Isa, seorang demi seorang, bermula dengan yang tertua, beredar dari situ. Akhirnya hanya Isa dan perempuan itu yang tinggal.
10 Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada perempuan itu, “Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang mengutukmu?”
11 Perempuan itu menjawab, “Tidak ada, ya Junjungan.”
Isa berkata, “Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.”
Isa cahaya dunia
12 bIsa berkata lagi kepada mereka, “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.”
13 cLalu orang dari mazhab Farisi yang hadir berkata kepada Isa, “Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.”
14 Isa menjawab, “Walaupun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi.
15 Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapa pun.
16 Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adalah betul, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku.
17 dAda tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah.
18 Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberikan kesaksian tentang diri-Ku.”
19 Oleh itu, mereka bertanya, “Di manakah Bapa-Mu itu?”
Isa menjawab, “Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.”
20 Isa mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di Bait Allah. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.
Isa bukan dari dunia ini
21 Isa berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.”
22 Lalu orang Yahudi berkata, “Adakah Dia hendak membunuh diri?” Kerana Dia berkata, “Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.”
23 Isa berkata, “Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia.
24 Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.”
25 “Siapa Kamu ini?” tanya mereka.
Isa menjawab, “Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi.
26 Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.”
27 Mereka tidak faham bahawa selama ini Isa bercakap tentang Bapa.
28 Lalu Isa berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Putera Insan, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa.
29 Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.”
30 Setelah mendengar kata-kata Isa, ramai orang percaya kepada-Nya.
Kebenaran yang membebaskanmu
31 Isa berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu pengikut-Ku yang sejati.
32 Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.”
33 eMereka berkata, “Kami keturunan Nabi Ibrahim. Kami belum pernah diperhamba. Apakah maksud kata-kata-Mu, ‘Kamu akan dibebaskan’?”
34 Isa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa.
35 Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu.
36 Dengan demikian, jika Putera membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya.”
Keturunan Nabi Ibrahim yang tidak berasal daripada Allah
37 “Aku tahu kamu keturunan Ibrahim, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu.
38 Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.”
39 Mereka menjawab, “Bapa kami Ibrahim.”
Tetapi Isa berkata, “Sekiranya kamu benar-benar anak Ibrahim, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Ibrahim.
40 Aku hanya memberitahumu kebenaran yang Kudengar daripada Allah, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Ibrahim!
41 Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.”
Mereka menjawab, “Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.”
42 Isa berkata kepada mereka, “Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya.
43 Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku.
44 Bapamu iaitu Iblis, dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta.
45 Sebaliknya Aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku.
46 Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku?
47 Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.”
Isa sudah ada sebelum Nabi Ibrahim
48 Orang Yahudi berkata, “Tidakkah benar kami katakan, Kamu ini orang Samaria dan dirasuk roh iblis?”
49 Isa menjawab, “Aku tidak dirasuk roh iblis. Aku memuliakan Bapa-Ku, tetapi kamu menghina-Ku.
50 Aku tidak mencari kemuliaan untuk diri-Ku, tetapi Dia yang mencarinya untuk-Ku, dan Dialah yang menghakimi.
51 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.”
52 Orang Yahudi berkata kepada-Nya, “Sekarang tahulah kami bahawa Kamu dirasuk roh iblis! Ibrahim sudah mati, begitu juga nabi-nabi. Tetapi Kamu berkata, ‘Sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.’
53 Adakah Kamu lebih besar daripada bapa kami Ibrahim yang sudah mati? Nabi-nabi juga sudah mati. Kamu sangka Kamu ini siapa?”
54 Isa menjawab, “Sekiranya Aku memuliakan diri-Ku, kemuliaan itu tidak bererti. Bapa-Ku yang memuliakan Aku. Kamu mengatakan, ‘Dia itu Tuhan kami.’
55 Namun demikian, kamu tidak mengenal-Nya, tetapi Aku mengenal-Nya. Sekiranya Kukatakan Aku tidak mengenal-Nya, jadilah Aku pendusta sepertimu. Aku mengenal-Nya dan taat akan firman-Nya.
56 Bapamu Ibrahim bersukacita melihat hari-Ku. Dia melihatnya dan bergembira.”
57 Orang Yahudi berkata kepada-Nya, “Usia-Mu belum sampai lima puluh tahun. Bagaimana Kamu mungkin berjumpa dengan Ibrahim?”
58 Isa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang Kukatakan ini benar, sebelum Ibrahim dilahirkan, Aku ada.”
59 Setelah itu, mereka memungut batu untuk merejam Isa, tetapi Isa menyembunyikan diri-Nya lalu meninggalkan Bait Allah.
Penyembuhan seorang lelaki yang buta sejak lahir
1 Ketika Isa sedang lalu di suatu tempat, Dia terpandang seorang lelaki yang buta sejak lahir.
2 Para pengikut-Nya bertanya, “Tuan Guru, siapakah yang berdosa, orang itu atau ibu bapanya, maka dia dilahirkan buta?”
3 Isa menjawab, “Bukan dosa dia dan bukan juga dosa ibu bapanya. Dia begitu supaya kuasa Allah dapat dinyatakan melaluinya.
4 Selagi siang, kita mesti melakukan tugas Dia yang telah mengutus-Ku. Malam akan tiba apabila seorang pun tidak dapat melakukan apa-apa lagi.
5 aSelama Aku di dunia, Akulah cahaya dunia.”
6 Selepas itu, Isa berludah ke tanah untuk membuat tanah liat lalu menyapukannya pada mata orang itu.
7 Isa berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam” (Siloam bererti “diutus” dalam bahasa Ibrani). Orang itu pun pergi membasuh muka. Apabila dia kembali, dia sudah dapat melihat.
8 Jiran tetangga dan semua orang yang tahu dia buta bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?”
9 Ada yang berkata, “Ya, dialah.” Ada pula yang berkata, “Bukan, hanya serupa dengannya.”
Tetapi orang itu sendiri mengaku, “Akulah orang itu.”
10 Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah sekarang kamu dapat melihat?”
11 Dia menjawab, “Orang yang bernama Isa telah membuat secebis tanah liat, disapukan-Nya ke mataku lalu berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Sebaik-baik sahaja aku membasuh muka di kolam itu, aku pun dapat melihat.”
12 Mereka bertanya, “Di manakah orang itu?”
Dia menjawab, “Aku tidak tahu.”
Perselisihan pendapat tentang Isa
13 Orang yang dahulunya buta itu dibawa mereka kepada orang dari mazhab Farisi.
14 Isa telah membuat tanah liat dan menyembuhkan mata orang itu pada hari Sabat.
15 Orang dari mazhab Farisi menanya orang itu bagaimana dia dapat melihat. Jawabnya, “Dia menyapukan tanah liat pada mataku, lalu aku membasuh muka, dan kemudian aku dapat melihat.”
16 Sebilangan orang dari mazhab Farisi itu berkata, “Dia bukan daripada Allah, kerana Dia melanggar peraturan hari Sabat.” Tetapi ada pula yang berkata, “Kalau Dia orang berdosa, bagaimana Dia dapat melakukan mukjizat begini?” Dengan demikian timbullah perselisihan pendapat dalam kalangan mereka.
17 Orang dari mazhab Farisi bertanya lagi kepada orang yang dahulunya buta itu, “Kamu berkata Dia menyembuhkan matamu. Bagaimana pendapatmu tentang Dia?”
Orang itu menjawab, “Dia seorang nabi.”
18 Orang Yahudi enggan percaya bahawa orang itu dahulu buta matanya. Oleh itu, mereka memanggil ibu bapanya.
19 Mereka bertanya, “Benarkah dia anak kamu yang buta sejak lahir? Bagaimana pula dia boleh celik?”
20 Ibu bapa orang itu menjawab, “Ya, benar dia anak kami yang buta sejak lahir.
21 Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang dan siapa yang menyembuhkan matanya. Dia sudah dewasa, tanyalah dia. Dia dapat menjawab sendiri.”
22 Ibu bapa orang itu berkata demikian kerana takut akan orang Yahudi itu yang telah bersetuju bahawa sesiapa yang mengakui Isa itu al-Masih akan disingkirkan daripada saumaah.
23 Maka oleh itulah ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa, tanyalah dia.”
24 Mereka pun memanggil orang itu lagi dan berkata, “Akuilah kemuliaan Allah! Kamu tahu Dia itu orang berdosa.”
25 Dia menjawab, “Sama ada Dia orang berdosa atau tidak, aku tidak tahu. Yang kutahu, dahulu aku buta, sekarang aku dapat melihat.”
26 Mereka bertanya lagi, “Apa yang dibuat-Nya kepadamu? Bagaimana Dia mencelikkan matamu?”
27 Dia menjawab, “Aku telah pun memberitahumu, tetapi kamu tidak mendengar. Mengapakah kamu hendak mendengarnya lagi? Adakah kamu ingin menjadi pengikut-Nya juga?”
28 Mereka mencacinya dan berkata, “Kamulah pengikut-Nya. Kami pengikut Nabi Musa.
29 Kami tahu Allah berfirman kepada Nabi Musa. Orang itu, tiada siapa yang tahu dari mana Dia datang.”
30 “Hairan sekali,” kata orang yang dahulunya buta itu. “Kamu tidak tahu dari mana Dia datang, tetapi Dia telah mencelikkan mataku!
31 Kita tahu bahawa Allah tidak mendengar permintaan orang berdosa. Tetapi jika seseorang bertakwa kepada Allah dan melakukan kehendak-Nya, Allah akan mendengar permintaannya.
32 Sejak permulaan dunia, belum pernah kedengaran kisah orang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir.
33 Jika orang itu bukan daripada Allah, tidaklah dapat Dia melakukannya.”
34 Mereka berkata kepadanya, “Kamu orang berdosa sejak lahir. Kamu hendak cuba mengajar kami?” Mereka pun menghalaunya keluar.
Kebutaan rohani
35 Isa mendengar bahawa mereka telah menghalaunya keluar, dan selepas menemuinya, Dia bertanya, “Adakah kamu percaya kepada Putera Insan?”
36 Orang itu menjawab, “Siapakah Dia, ya Junjungan? Katakanlah kepadaku, supaya aku dapat percaya kepada-Nya.”
37 Isa berkata, “Kamu sudah pun melihat-Nya. Dialah yang sedang bercakap denganmu sekarang.”
38 Orang itu berkata, “Ya Junjungan, aku percaya.” Dia pun sujud kepada Isa.
39 Isa berkata, “Aku datang ke dunia ini untuk menghakimi manusia; supaya orang buta dapat melihat, manakala orang yang dapat melihat pula buta.”
40 Ketika orang dari mazhab Farisi di situ mendengar kata-kata Isa, mereka bertanya kepada-Nya, “Adakah Kaumaksudkan kami juga buta?”
41 Isa menjawab, “Kalaulah kamu buta, tidaklah kamu berdosa. Tetapi kamu berkata kamu dapat melihat, maka kamu tetap berdosa.”
Ibarat tentang seorang gembala yang baik
1 “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak.
2 Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba.
3 Penjaga kandang membuka pintu untuknya, dan kawanan domba itu mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar.
4 Setelah semua domba keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutnya kerana mengenal suaranya.
5 Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.”
6 Isa bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.
7 Oleh yang demikian, Isa berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu.
8 Orang yang datang sebelum Aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka.
9 Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput.
10 Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.
11 “Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya.
12 Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran.
13 Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.
14 a“Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku,
15 sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku.
16 Aku miliki domba-domba lain yang bukan daripada kawanan ini. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.
17 Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti.
18 Sesiapa pun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah perintah yang Kuterima daripada Bapa-Ku.”
19 Setelah mendengar kata-kata Isa, orang Yahudi berselisih pendapat lagi.
20 Sebilangan besar berkata, “Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar kata-Nya?”
21 Namun demikian, ada yang berkata, “Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?”
Isa ditolak orang Israel
22 Di Yerusalem, Perayaan Pentahbisan sedang disambut.
23 Ketika itu musim sejuk, dan Isa sedang berjalan di serambi Sulaiman di dalam Bait Allah.
24 Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, “Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini al-Masih?”
25 Isa menjawab, “Aku sudah pun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan nama Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang diri-Ku.
26 Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku.
27 Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku.
28 Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku.
29 Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapa pun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa.
30 Aku dan Bapa adalah satu.”
31 Selepas itu, orang Yahudi yang hadir pun memungut batu sekali lagi untuk merejam Isa.
32 Tetapi Isa berkata kepada mereka, “Aku telah banyak melakukan perbuatan baik yang diserahkan Bapa kepada-Ku. Perbuatan manakah yang mendorong kamu merejam-Ku?”
33 bOrang Yahudi itu menjawab, “Kami hendak merejam Kamu bukan kerana perbuatan-Mu yang baik, tetapi kerana Kamu mengkufuri Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!”
34 cIsa berkata kepada mereka, “Tidakkah tersurat dalam Kitab Suci Taurat kamu: Allah berfirman, ‘Kamu ilahi’?
35 Jika Allah menyebut orang sebagai ‘ilahi’ kerana firman Allah ditujukan kepada mereka, (apa yang tersurat dalam Kitab Suci tidak dapat dibatalkan)
36 bagaimana dengan Dia yang telah disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa? Wajarkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku berkata, ‘Aku Putera Allah’?
37 Andainya Aku tidak melakukan kehendak Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.
38 Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Kulakukan, kalaupun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian akan fahamlah kamu bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa.”
39 Mereka mencuba lagi menangkap Isa, tetapi Isa dapat melepaskan diri daripada tangan mereka.
Isa di seberang Sungai Yordan
40 dIsa kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di tempat Yahya mengimadkan orang dahulu.
41 Ramai orang datang kepada Isa. Mereka berkata, “Nabi Yahya tidak melakukan mukjizat, namun kata-katanya tentang orang ini semuanya benar.”
42 Ramai orang di kawasan itu percaya kepada Isa.
Kematian dan kebangkitan Lazarus
1 aPada suatu ketika, seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Baitani bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maryam dan Marta.
2 bMaryam, yang saudaranya Lazarus sedang sakit, merupakan seorang perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Junjungan dan menyapunya dengan rambutnya.
3 Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Isa, “Ya Junjungan, dia yang Kaukasihi itu sakit.”
4 Apabila menerima berita itu, Isa berkata, “Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Disebabkan kejadian ini Putera Allah akan dimuliakan.”
5 Isa mengasihi Marta, Maryam dan Lazarus.
6 Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.
7 Kemudian Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita pulang ke Yudea.”
8 Para pengikut-Nya menjawab, “Tuan Guru, bukankah orang Yahudi di situ baru sahaja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?”
9 Isa berkata, “Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini.
10 Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi.”
11 Kemudian Isa menambah, “Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.”
12 Para pengikut Isa berkata, “Ya Junjungan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.”
13 Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi pengikut-pengikut-Nya mengambil erti tidur yang biasa.
14 Oleh itu, Isa berkata kepada mereka dengan jelas, “Lazarus sudah meninggal.
15 Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya.”
16 Tomas yang disebut Didimus berkata kepada pengikut Isa yang lain. “Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!”
17 Ketika Isa sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam.
18 Baitani terletak kira-kira dua batu dari Yerusalem.
19 Oleh itu, ramai orang Yahudi datang melawat Maryam dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus.
20 Apabila Marta mendengar Isa datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maryam tinggal di rumah.
21 Marta berkata kepada Isa, “Ya Junjungan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!
22 Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Allah.”
23 Isa berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.”
24 Marta menjawab, “Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.”
25 Isa berkata kepada Marta, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.
26 Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?”
27 Marta menjawab, “Ya Junjungan, aku percaya bahawa Junjungan adalah al-Masih, Putera Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.”
28 Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maryam dan berbisik kepadanya, “Guru ada di sini. Dia memanggilmu.”
29 Maryam pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa dengan Isa.
30 (Pada waktu itu Isa belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya.)
31 Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maryam untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya.
32 Setelah Maryam melihat Isa, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, “Ya Junjungan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!”
33 Ketika melihat Maryam menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Isa sungguh hiba dan terharu.
34 Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu letakkan dia?”
Mereka menjawab, “Marilah lihat, Ya Junjungan.”
35 Isa menangis.
36 Semua orang Yahudi yang hadir berkata, “Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.”
37 Namun demikian, ada yang berkata, “Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?”
38 Isa yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar.
39 Isa berkata, “Alihkan batu itu.”
Tetapi Marta, saudara perempuan kepada orang yang meninggal itu, berkata, “Ya Junjungan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.”
40 Isa berkata kepada Marta, “Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?”
41 Mereka mengalihkan batu itu. Isa menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku.
42 Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.”
43 Selepas itu, Isa berseru lantang, “Lazarus, keluar!”
44 Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka.
Isa berkata kepada orang ramai di situ, “Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.”
Pakatan untuk membunuh Isa
45 Ramai orang Yahudi yang datang melawat Maryam dan melihat apa yang dilakukan oleh Isa terus percaya kepada-Nya.
46 Namun demikian, ada yang pulang mendapatkan orang dari mazhab Farisi dan melaporkan apa yang dilakukan oleh Isa.
47 Oleh yang demikian, orang dari mazhab Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat!
48 Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Rom akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!”
49 Seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, “Kamu semua tidak tahu suatu apa pun.
50 Kamu tidak faham bahawa lebih baik satu orang mati untuk bangsa kita, daripada seluruh bangsa kita dimusnahkan?”
51 Kayafas bukanlah melahirkan pendapatnya sendiri. Sebagai imam besar tahun itu, dia bernubuat bahawa Isa akan mati untuk bangsa Yahudi.
52 Sebenarnya Isa mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi untuk menyatukan seluruh anak Allah yang berselerak di merata-rata tempat.
53 Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Isa.
54 Isa tidak lagi pergi ke sana ke mari secara terbuka di antara orang Yahudi. Dia beredar ke daerah bernama Efraim dekat gurun, dan menetap di sana bersama pengikut-pengikut-Nya.
55 Menjelang Perayaan Paskah, ramai orang Yahudi dari kampung pergi ke Yerusalem untuk menjalani upacara bersuci sebelum perayaan itu.
56 Mereka mencari Isa. Ketika di Bait Allah, mereka bertanya sesama sendiri, “Bagaimana fikiranmu? Datangkah Dia ke perayaan ini?”
57 Ketua imam dan orang dari mazhab Farisi telah mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang tahu di mana Isa berada mesti melaporkannya supaya Dia dapat ditangkap.
Isa diurapi
1 Enam hari sebelum Perayaan Paskah, Isa pergi ke Baitani, tempat tinggal Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
2 Di situ Dia diperjamu. Marta menghidangkan makanan, dan Lazarus serta tetamu lain duduk bertelekan di meja bersama Isa.
3 aKemudian Maria membawa sepaun minyak narwastu murni yang mahal, dan menuangkannya ke kaki Isa, lalu menyapu kaki Isa dengan rambutnya. Semerbaklah keharuman minyak itu di seluruh rumah.
4 Yudas Iskariot, salah seorang pengikut Isa yang mengkhianati-Nya kelak berkata,
5 “Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang dinar, supaya wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin?”
6 Yudas berkata demikian bukanlah kerana dia prihatin terhadap orang miskin, tetapi kerana dia yang diamanahkan menyimpan wang bagi mereka sering mencuri sedikit untuk keperluannya.
7 Isa berkata, “Biarkan dia begitu. Apa yang dilakukannya dimaksudkan untuk hari pengebumian-Ku.
8 bOrang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.”
Pakatan untuk membunuh Lazarus
9 Apabila orang Yahudi mendengar Isa ada di Baitani, ramai yang ke situ bukan hanya untuk melihat-Nya tetapi juga Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
10 Ketua imam merancang hendak membunuh Lazarus juga.
11 Ini disebabkan ramai orang Yahudi telah berpaling daripada mereka dan percaya kepada Isa.
Isa memasuki Yerusalem
12 Pada keesokan harinya, orang ramai yang datang menyambut Perayaan Paskah mendengar bahawa Isa sedang dalam perjalanan ke Yerusalem.
13 cMereka mengambil dahan-dahan pokok palma lalu pergi mengalu-alukan Isa sambil berseru,
“Segala puji bagi Allah!”
“Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan, Raja Israel!”
14 Isa mendapatkan seekor keldai muda lalu menunggangnya, seperti yang tersurat:
15 d“Janganlah takut. Wahai puteri Sion;
lihatlah Rajamu datang
menunggang seekor keldai muda!”
16 Sewaktu itu para pengikut Isa tidak memahami erti segala ini. Setelah Isa dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka menyedari bahawa segala yang dilakukan oleh orang ramai terhadap-Nya telah tersurat dalam Kitab Suci.
17 Orang yang mendengar Isa memanggil Lazarus keluar dari makam dan melihat Dia membangkitkannya daripada kematian terus memberikan kesaksian tentang kejadian itu.
18 Dengan demikian, ramai orang datang berjumpa dengan Isa kerana mendengar tentang mukjizat-Nya itu.
19 Orang dari mazhab Farisi berkata sesama sendiri, “Lihatlah, sia-sia segala usaha kita. Seluruh dunia telah mengikut-Nya.”
Isa memberitahu tentang kewafatan-Nya
20 Di antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani.
21 Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, “Tuan, kami ingin bertemu dengan Isa.”
22 Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Isa.
23 Isa berkata kepada mereka, “Sudah sampai masanya Putera Insan dimuliakan.
24 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.
25 eOrang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal.
26 Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.
27 “Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini?’ Namun demikian, sebab itulah Aku datang menghadap saat ini.
28 Bapa, tunjukkanlah kemuliaan nama-Mu!”
Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.”
29 Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, “Guruh.” Tetapi ada pula yang berkata, “Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.”
30 Isa berkata kepada mereka, “Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu.
31 Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan.
32 Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.”
33 Kata-kata Isa ini membayangkan cara kematian-Nya kelak.
34 fOrang ramai berkata kepada Isa, “Dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa al-Masih yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Putera Insan akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Putera Insan itu?”
35 Isa menjawab, “Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya.
36 Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.” Setelah berkata-kata demikian, Isa meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.
Mengapa orang Israel tidak dapat percaya
37 Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya.
38 gDengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya:
“Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami?
Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?”
39 Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yesaya lagi:
40 h“Dia telah membutakan mata mereka
dan menjadikan mereka keras hati.
Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, dan mengerti dengan hati,
lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.”
41 Yesaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya serta berkata-kata tentang-Nya.
42 Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Isa. Namun demikian, disebabkan orang dari mazhab Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah.
43 Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah.
Firman Isa yang menghakimi
44 Isa berseru, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku.
45 Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku.
46 Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan.
47 “Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya.
48 Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari akhir.
49 Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya.
50 Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu, apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku.”
Isa membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya
1 Sebelum Perayaan Paskah, Isa tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Isa mengasihi mereka hingga ke saat akhir.
2 Semasa Isa dan pengikut-pengikut-Nya sedang makan malam, Iblis sudah pun menimbulkan niat dalam hati Yudas Iskariot bin Simon untuk mengkhianati Isa.
3 Isa tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya.
4 Dengan demikian, Isa berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya.
5 Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah baldi lalu membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya.
6 Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, “Ya Junjungan, wajarkah Engkau membasuh kakiku?”
7 Isa menjawab, “Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.”
8 Petrus berkata kepada Isa, “Ya Junjungan, jangan sekali-kali membasuh kakiku!”
Namun demikian, Isa menjawab, “Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.”
9 Simon Petrus berkata, “Ya Junjungan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!”
10 Isa berkata kepadanya, “Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.”
11 Isa tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, “Bukan semua yang bersih.”
12 aSetelah membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya, Isa memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu?
13 Kamu memanggil-Ku Guru dan Junjungan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Junjungan.
14 Jika Aku sebagai Junjungan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri.
15 Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu.
16 bSesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya.
17 Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.
18 c“Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat dalam Kitab Suci pastilah terlaksana, ‘Orang yang makan bersama-Ku telah berpaling menentang-Ku.’
19 Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia.
20 dSesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menerima orang yang Kuutus, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Dia yang mengutus-Ku.”
Isa memperkatakan tentang pengkhianatan-Nya
21 Setelah melafazkan kata-kata itu, Isa berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus terang, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.”
22 Para pengikut Isa berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Isa.
23 Salah seorang pengikut yang dikasihi oleh Isa duduk bertelekan di sisi-Nya.
24 Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, “Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.”
25 Pengikut itu melayah dekat kepada Isa lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Junjungan?”
26 Isa menjawab, “Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.” Isa pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas Iskariot bin Simon.
27 Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya.
Isa pun berkata kepadanya, “Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan.”
28 Tiada seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Isa berkata demikian kepada Yudas.
29 Beberapa orang pengikut Isa menyangka Isa menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk Perayaan Paskah, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka.
30 Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Isa lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam.
Perintah baru
31 Setelah Yudas pergi, Isa berkata, “Sekarang Putera Insan dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya.
32 Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia di dalam diri-Nya segera.
33 eAnak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, ‘Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.’
34 f“Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri.
35 Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-Ku.”
Isa memperingatkan Petrus
36 Simon Petrus bertanya kepada Isa, “Ya Junjungan, ke mana Engkau hendak pergi?”
Isa menjawab, “Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ.”
37 Petrus bertanya lagi, “Ya Junjungan, mengapa aku tidak dapat mengikut Engkau sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, ya Junjungan!”
38 Isa menjawab, “Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali.
Isa menghiburkan hati para pengikut
1 “Janganlah resah hatimu. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku.
2 Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu.
3 Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada.
4 Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi.”
5 Tomas berkata kepada Isa, “Ya Junjungan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?”
6 Isa menjawab, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku.
7 Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudah pun melihat-Nya.”
Keesaan dengan Bapa
8 Filipus berkata kepada Isa, “Ya Junjungan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami.”
9 Isa menjawab, “Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami?’
10 Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu.
11 Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan.
12 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Kulakukan, malah pekerjaan lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa.
13 Apa sahaja yang kamu minta dengan nama-Ku, Aku akan melakukannya supaya kemuliaan Bapa ternyata melalui Putera-Nya.
14 Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku dengan nama-Ku akan Kulakukan.
Isa menjanjikan Roh Kebenaran
15 “Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku.
16 Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya.
17 Penolong itu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat menerima-Nya kerana tidak dapat melihat atau mengenal-Nya. Tetapi kamu mengenal-Nya kerana Dia tetap di dalammu dan akan ada di dalam dirimu.
18 “Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu.
19 Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab Aku hidup, kamu juga akan hidup.
20 Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu.
21 “Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya.”
22 Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Isa, “Ya Junjungan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?”
23 Isa menjawab, “Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya.
24 Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, padahal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku.
25 “Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu.
26 Namun demikian, Penolong, iaitu Roh Allah Yang Maha Suci yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu.
27 “Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Janganlah resah hatimu dan janganlah takut.
28 “Kamu telah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.’ Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku.
29 Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku.
30 Aku tidak dapat bercakap lama lagi denganmu, kerana sudah tiba waktunya pemerintah dunia ini datang. Sebenarnya dia tidak berkuasa atas diri-Ku.
31 Namun demikian, Aku menjalankan semua perintah Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa.
“Bangkitlah, marilah kita beredar dari sini.
Pokok anggur yang benar
1 “Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur.
2 Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya berbuah lebih lebat lagi.
3 Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu.
4 Tetaplah di dalam-Ku seperti Aku di dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok anggur. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap di dalam-Ku.
5 “Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap di dalam-Ku dan Aku di dalammu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa.
6 Sesiapa yang tidak tetap di dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar.
7 Sekiranya kamu tetap di dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap di dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan.
8 Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar pengikut-Ku.
Perintah supaya saling mengasihi
9 “Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku.
10 Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya.
11 “Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu.
12 aInilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu.
13 Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya.
14 Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan.
15 Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu.
16 Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu.
17 Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri.
Dunia membenci Isa dan pengikut-Nya
18 “Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu.
19 Andainya kamu milik dunia, maka dunia akan mengasihimu seperti kepunyaannya sendiri. Tetapi Aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu.
20 bIngatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, ‘Seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga.
21 Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku.
22 Kalaulah Aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, tidaklah mereka berdosa. Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai alasan bagi dosa mereka.
23 Sesiapa yang membenci-Ku, membenci Bapa-Ku juga.
24 Sekiranya Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di hadapan mata mereka, mereka tidaklah berdosa. Tetapi mereka telah melihat sendiri apa yang Kulakukan dan mereka tetap membenci-Ku dan Bapa-Ku.
25 cHal ini semestinya begitu, supaya berlaku apa yang tersurat dalam Taurat mereka: ‘Mereka membenci-Ku tanpa alasan.’
26 “Apabila Penolong, Roh Kebenaran daripada Bapa, yang Kuutus kepadamu datang, Dia akan bersaksi tentang-Ku.
27 Kamu juga akan bersaksi tentang-Ku, kerana kamu semua bersama-Ku dari mula lagi.
Peringatan Isa
1 “Semua ini Kukatakan kepadamu supaya kamu tidak sesat.
2 Mereka akan menyingkirkanmu daripada saumaah. Masanya akan tiba ketika semua orang yang membunuhmu menganggap bahawa dengan berbuat demikian dia mengabdi kepada Allah.
3 Perkara ini akan dilakukan oleh mereka, kerana mereka belum mengenal baik Bapa mahupun Aku.
4 Semua ini Kukatakan kepadamu supaya ketika berlaku nanti, kamu akan ingat bahawa Aku sudah pun memberitahumu. Aku tidak memberitahumu dari mulanya lagi kerana Aku masih bersamamu.
Pekerjaan Roh Allah
5 “Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus-Ku. Tiada seorang pun antaramu bertanya, ‘Ke mana Engkau hendak pergi?’
6 Sekarang hatimu bersedih, kerana Aku telah memberitahu perkara ini kepadamu.
7 Apa yang Kukatakan kepadamu ini benar; untuk kepentinganmu, baiklah Aku pergi. Selagi Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepadamu. Jika Aku pergi, Aku akan mengutus-Nya kepadamu.
8 Setelah Dia datang nanti, Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, perbenaran, dan penghakiman;
9 tentang dosa kerana mereka tidak percaya kepada-Ku;
10 tentang perbenaran kerana Aku akan pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat-Ku lagi;
11 dan tentang penghakiman kerana pemerintah dunia ini telah dihakimi.
12 “Ada banyak lagi yang ingin Kukatakan kepadamu, tetapi kamu belum berupaya menerimanya.
13 Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran datang, Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran. Roh itu tidak akan mengatakan sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi.
14 Roh itu akan memuliakan-Ku, kerana Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.
15 Segala milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Maka itulah Kukatakan bahawa Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.”
16 Isa berkata, “Tidak lama lagi, kamu tidak akan melihat-Ku dan tidak lama kemudian, kamu akan melihat-Ku.”
Kedukaan dan kegembiraan
17 Sebilangan pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, “Apakah maksud kata-Nya, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku’? Dia juga berkata, ‘Aku akan pergi kepada Bapa.’ ”
18 Mereka berkata, “Apakah maksud ‘tidak lama lagi’? Kami tidak faham erti kata-kata-Nya!”
19 Isa tahu bahawa mereka ingin bertanya kepada-Nya. Lalu kata-Nya kepada mereka, “Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku.’ Adakah kamu mempersoalkan kata-Ku itu?
20 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan.
21 Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia.
22 Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapa pun.
23 Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu.
24 Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.
25 “Aku telah mengatakan semua ini kepadamu secara kiasan. Tetapi akan sampai ketikanya Aku tidak lagi menggunakan kiasan; Aku akan berterus terang kepadamu tentang Bapa.
26 Pada hari itu, kamu akan meminta dalam nama-Ku. Aku tidak berkata Aku akan meminta kepada Bapa bagi pihakmu.
27 Bapa sendiri mengasihimu, kerana kamu mengasihi-Ku dan percaya Aku datang daripada Bapa.
28 Aku memang berasal daripada Bapa dan datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini dan pulang semula kepada Bapa.”
29 Para pengikut-Nya berkata, “Sekarang barulah Junjungan bercakap terus terang, tanpa menggunakan kiasan.
30 Sekarang kami faham bahawa Engkau mengetahui segala-galanya dan sesiapa pun tidak perlu lagi bertanya apa-apa kepada-Mu. Oleh itu, kami percaya, ya Junjungan, bahawa Engkau datang daripada Allah.”
31 Isa berkata kepada mereka, “Percayakah kamu sekarang?
32 Saatnya akan datang, malah sudah pun sampai, ketika kamu akan bertempiaran. Kamu akan menjaga diri masing-masing, dan meninggalkan Aku keseorangan. Tetapi sebenarnya Aku tidaklah keseorangan, kerana Bapa bersama-Ku.
33 “Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan; tetapi tegapkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia.”
Doa Isa untuk pengikut-pengikut-Nya
1 Setelah itu, Isa menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, sudah sampailah saatnya. Muliakanlah Putera-Mu, supaya Putera-Mu dapat memuliakan Bapa.
2 Engkau telah memberi Putera-Mu kekuasaan ke atas umat manusia, supaya Dia pun memberikan hidup kekal kepada setiap orang yang telah Kauserahkan kepada-Nya.
3 Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Isa al-Masih yang Kauutus.
4 Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku.
5 Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersama-Mu sebelum dunia ini diwujudkan.
6 “Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang di dunia ini yang telah Kauserahkan kepada-Ku. Mereka semua milik-Mu. Engkau telah mengamanahkan mereka kepada-Ku. Kini mereka taat akan firman-Mu.
7 Sekarang mereka tahu bahawa segala yang Kauberikan kepada-Ku itu sebenarnya berasal daripada-Mu.
8 Firman yang Kauberikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka dan mereka menerimanya. Mereka benar-benar tahu bahawa Aku sesungguhnya berasal daripada-Mu, dan percaya bahawa Engkau telah mengutus-Ku.
9 Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia. Aku berdoa untuk orang yang telah Kauserahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu.
10 Semua milik-Ku, milik-Mu juga. Semua milik-Mu, milik-Ku juga. Aku dimuliakan melalui mereka.
11 Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Ya Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu.
12 aSepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa kecuali anak kebinasaan itu supaya terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci.
13 “Sekarang Aku akan datang kepada-Mu. Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya.
14 Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan dari dunia ini.
15 Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku memohon semoga Engkau melindungi mereka daripada si durjana.
16 Sebagaimana Aku bukan dari dunia ini, begitu jugalah mereka.
17 Sucikanlah mereka dengan kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran.
18 Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus-Ku ke dunia.
19 Demi kebaikan mereka Aku menyucikan diri-Ku supaya mereka juga disucikan dalam kebenaran.
20 “Aku bukan berdoa untuk mereka sahaja tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui kata-kata mereka.
21 Ya Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu sebagaimana Engkau di dalam-Ku dan Aku di dalam-Mu dan supaya mereka juga ada di dalam Kita. Dengan demikian dunia dapat percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku.
22 Aku memberi mereka kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Kita adalah satu.
23 Aku di dalam mereka dan Engkau di dalam-Ku, supaya mereka bersatu sepenuhnya. Dengan demikian dunia akan tahu bahawa Engkau sebenarnya telah mengutus-Ku, dan Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi-Ku.
24 “Ya Bapa, Aku menghendaki mereka yang Kauserahkan kepada-Ku ada bersama-Ku di mana Aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi-Ku ketika dunia ini belum diwujudkan lagi.
25 “Ya Bapa Yang Maha Benar! Dunia tidak mengenal-Mu, namun Aku mengenal-Mu, dan kesemua mereka ini tahu bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku.
26 Aku telah menyatakan nama-Mu kepada mereka. Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku bertapak kukuh dalam hati mereka dan supaya Aku di dalam mereka.”
Yudas mengkhianati Isa
1 Setelah berdoa demikian, Isa pergi diiringi pengikut-pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Isa dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke taman itu.
2 Yudas, yang mengkhianati Isa, mengetahui tempat itu juga kerana Isa kerap ke situ dengan pengikut-pengikut-Nya.
3 Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang dari mazhab Farisi. Mereka membawa lantera, suluh serta senjata.
4 Isa mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?”
5 Mereka menjawab, “Isa orang Nazaret.”
Isa berkata kepada mereka, “Akulah Dia.”
Yudas, yang mengkhianati Isa, berdiri bersama mereka di situ.
6 Apabila Isa berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah.
7 Isa bertanya lagi kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?”
Mereka menjawab, “Isa orang Nazaret.”
8 Isa berkata, “Aku sudah berkata bahawa Akulah Dia. Kalau Aku yang kamu cari, biarkanlah mereka ini pergi.”
9 (Dengan demikian terlaksanalah apa yang pernah dikatakan-Nya, “Tiada seorang pun yang Kauserahkan kepada-Ku sesat.”)
10 Simon Petrus yang memiliki sebilah pedang menghunusnya lalu menetak telinga kanan hamba imam besar sehingga terputus. Nama hamba itu Malkus.
11 aIsa berkata kepada Petrus, “Sarungkan semula pedangmu! Bukankah Aku mesti minum daripada cawan penderitaan yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa?”
Isa di hadapan Hanas dan Kayafas
Petrus menyangkal Isa
12 Setelah itu, askar-askar dengan ketua mereka dan pegawai-pegawai Yahudi menangkap dan mengikat Isa.
13 Mula-mula mereka membawa-Nya ke hadapan Hanas, bapa mertua Kayafas, Imam Besar pada tahun itu.
14 bKayafas yang memang dahulunya berkata kepada orang Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati demi seluruh bangsa.
15 Simon Petrus dan seorang pengikut lain ikut serta apabila Isa dibawa pergi. Oleh sebab pengikut lain ini dikenali oleh Imam Besar, dia masuk bersama Isa ke halaman rumah Imam Besar.
16 Petrus menanti di luar, di hadapan pintu. Sejurus kemudian, pengikut lain yang mengenal Imam Besar itu keluar semula, bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk.
17 Kemudian hamba perempuan penjaga pintu itu berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu seorang daripada pengikut orang itu?”
Petrus menjawab, “Bukan.”
18 Hamba dan pegawai berdiri di situ setelah menyalakan api kerana pada masa itu hawa sejuk. Mereka sedang berdiang di situ. Petrus pun berdiri di situ dan berdiang bersama mereka.
19 Imam besar menyoal Isa tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya.
20 Isa menjawab, “Aku sentiasa bercakap terang-terangan kepada dunia. Aku sering mengajar di saumaah dan di Bait Allah, tempat semua orang Yahudi berhimpun. Tidak pernah Kukatakan apa-apa secara rahsia.
21 Mengapakah kamu menyoal-Ku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar apa yang Kukatakan kepada mereka. Mereka tahu apa yang Kukatakan itu.”
22 Seorang pegawai di situ menampar Isa sambil berkata, “Begitukah Kamu bercakap kepada seorang imam besar?”
23 Isa berkata kepadanya, “Sekiranya yang Kukatakan itu salah, tunjukkanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi kalau kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar-Ku?”
24 Selepas itu, Hanas menyuruh orang membawa Isa yang masih dalam keadaan terikat ke hadapan Imam Besar Kayafas.
25 Simon Petrus masih berdiri berdiang. Maka orang di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu seorang daripada pengikut orang itu?”
Petrus menjawab, “Bukan!”
26 Seorang daripada hamba imam besar ada di situ. Dia saudara kepada hamba yang ditetak putus telinganya oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang kulihat di taman itu bersama-Nya?”
27 Petrus menyangkal-Nya lagi, dan sejurus selepas itu, ayam berkokok.
Isa di hadapan Pilatus
28 Kemudian mereka membawa Isa dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Tetapi orang Yahudi tidak turut masuk ke dalam istana itu kerana pagi masih awal. Mereka tidak mahu terkena najis, kerana mereka hendak menyertai jamuan Paskah.
29 Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?”
30 Mereka menjawab, “Jika orang ini tidak melakukan perbuatan jahat, sudah tentu kami tidak akan membawa-Nya ke hadapanmu.”
31 Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah Dia dan adili Dia mengikut undang-undangmu.”
Orang Yahudi menjawab, “Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.”
32 cDengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Isa tentang cara kematian-Nya.
33 Selepas itu, Pilatus masuk semula ke istana dan memanggil Isa lalu bertanya, “Adakah Kamu raja orang Yahudi?”
34 Isa menjawab, “Adakah kata-kata ini daripada dirimu sendiri, atau adakah orang lain mengatakannya kepadamu tentang diri-Ku?”
35 Pilatus menjawab, “Adakah aku seorang Yahudi? Bangsa-Mu sendiri dan ketua-ketua imam telah membawa-Mu kepadaku. Apakah yang telah Kaulakukan?”
36 Isa menjawab, “Kerajaan-Ku bukanlah daripada dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku dari dunia ini, tentulah para pengikut-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah dari sini.”
37 Dengan demikian Pilatus pun berkata kepada-Nya, “Jadi, adakah Kamu seorang raja?” Isa menjawab, “Betul katamu. Aku seorang raja. Aku dilahirkan ke dunia untuk memberikan kesaksian tentang kebenaran. Setiap orang yang memihak kepada kebenaran mendengar suara-Ku.”
Isa dihukum mati
38 Pilatus berkata kepada-Nya, “Apakah itu kebenaran?” Kemudian dia keluar mendapatkan orang Yahudi lalu berkata, “Aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.
39 Tetapi kamu ada satu adat, iaitu aku harus membebaskan seorang daripada bangsamu pada Perayaan Paskah. Mahukah kamu kubebaskan raja orang Yahudi?”
40 Mereka semua berteriak lagi, “Jangan bebaskan orang itu. Bebaskan Barabas.” Barabas itu seorang perompak.
1 Setelah itu, Pilatus pun membawa Isa dan mengarahkan supaya Isa disesah.
2 Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Isa. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya.
3 Mereka datang kepada-Nya dan berkata, “Daulat raja orang Yahudi!” lalu menampar-Nya.
4 Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, “Lihat, aku bawa Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.”
5 Isa pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!”
6 Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!”
Pilatus berkata kepada mereka, “Kamu ambil dan salibkan Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.”
7 Orang Yahudi itu menjawab, “Kami ada hukum, dan menurut hukum itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Putera Allah.”
8 Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut.
9 Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Isa, “Dari manakah Kamu ini?” Tetapi Isa tidak menjawab.
10 Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah Kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?”
11 Isa menjawab, “Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.”
12 Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, “Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah sahabat Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.”
13 Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Isa, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut “Laman Batu”, dalam bahasa Ibrani Gabbatha.
14 Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk Perayaan Paskah, kira-kira pukul dua belas tengah hari.
Pilatus berkata kepada orang Yahudi, “Lihatlah Raja kamu!”
15 Tetapi mereka berseru, “Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!”
Pilatus berkata kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?”
Ketua-ketua imam menjawab, “Kami tidak ada raja selain Kaisar.”
16 Oleh itu, Pilatus pun menyerahkan Isa kepada mereka untuk disalib. Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi.
Isa disalib
17 Isa pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota.
18 Di situ mereka menyalib Isa, bersama-sama dua orang lain di kiri dan kanan-Nya dan Isa di tengah.
19 Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi:
Isa orang Nazaret, Raja orang Yahudi.
20 Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Isa disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin.
21 Ketua-ketua imam Yahudi pula berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis: ‘Raja orang Yahudi.’ Tetapi, tulislah: ‘Dia berkata Dia raja orang Yahudi.’ ”
22 Pilatus menjawab, “Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis.”
23 Setelah menyalib Isa, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas.
24 aOleh itu, mereka berkata-kata sesama sendiri, “Janganlah kita koyakkan. Kita buang undi untuk menentukan siapa yang dapat.”
Dengan demikian terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci:
“Mereka membahagikan pakaian-Ku antara mereka,
dan untuk mendapat jubah-Ku mereka membuang undi.”
Begitulah yang dilakukan oleh askar-askar itu.
25 Di tepi salib Isa berdiri ibu-Nya, dan saudara perempuan ibu-Nya, Maryam isteri Klopas, dan Maryam dari Magdala.
26 Apabila Isa melihat ibu-Nya dan pengikut-Nya yang dikasihi berdiri di situ, Dia pun berkata kepada ibu-Nya, “Lihat, itulah anakmu.”
27 Kepada pengikut-Nya Dia berkata, “Lihatlah ibumu.” Sejak itu pengikut tersebut mengambil ibu Isa sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya.
Kewafatan Isa
28 bSelepas itu, Isa mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, lalu berkata, “Aku dahaga.”
29 Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah span dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas batang hisop* dan mencecahkannya ke mulut Isa.
30 Setelah Isa menerima air anggur masam itu, Dia berkata, “Sudah selesai”. Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan roh-Nya.
Isa ditikam
31 Oleh sebab hari itu hari persediaan dan mayat-mayat itu tidak sewajarnya masih ada di atas salib pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu hari mulia), orang Yahudi meminta kepada Pilatus agar mayat-mayat itu dipatahkan kakinya dan dibawa pergi.
32 Askar-askar pun datang mematahkan kaki orang yang disalib bersama Isa itu, seorang demi seorang.
33 Tetapi apabila mereka sampai kepada Isa dan melihat Dia sudah tidak bernyawa lagi, mereka pun tidak mematahkan kaki-Nya.
34 Tetapi seorang askar itu menikam rusuk-Nya dengan lembing, lalu keluarlah darah dan air.
35 Maka dia yang melihatnya merakamkan sebagai kesaksian, dan rakamannya itu benar. Dia tahu bahawa dia bercakap benar, supaya kamu percaya.
36 cSemua ini dilakukan supaya terlaksanalah yang tersurat dalam Kitab Suci, “Tidak ada satu pun tulang-Nya akan dipatahkan”.
37 dJuga tersurat dalam Kitab Suci, “Mereka akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka.”
Isa dimakamkan
38 Selepas itu, Yusuf yang berasal dari Arimatea meminta izin daripada Pilatus untuk mengambil jenazah Isa. Yusuf ialah seorang pengikut Isa secara diam-diam kerana takut akan ketua orang Yahudi. Dengan izin Pilatus, maka dia datang dan mengambil jenazah Isa.
39 eNikodemus, yang pernah mendapatkan Isa pada suatu malam dahulu, pergi bersama Yusuf membawa ramuan damar wangi dan gaharu sebanyak kira-kira tujuh puluh lima paun.
40 Mereka mengambil jenazah Isa lalu mengafankannya dengan kain linen dan ramuan rempah mengikut adat pengebumian orang Yahudi.
41 Di sebuah taman di tempat Isa disalib terdapat sebuah makam yang belum pernah digunakan.
42 Oleh sebab makam itu dekat dan hari itu hari persediaan orang Yahudi, mereka pun memasukkan jenazah Isa ke dalamnya.
Kebangkitan Isa al-Masih
1 Pada awal pagi hari pertama minggu itu, ketika masih gelap lagi, Maryam dari Magdala pergi ke makam itu. Dia mendapati batu penutup telah digulingkan dari lubang makam itu.
2 Dia pun berlari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Isa lalu berkata, “Jenazah Junjungan telah diambil dari makam, entah ke mana dialihkan.”
3 Petrus dan pengikut lain itu pun pergi ke makam.
4 Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu berlari mendahului Petrus dan tiba di makam itu lebih dahulu.
5 Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ tetapi tidak masuk ke makam itu.
6 Apabila Simon Petrus yang menyusul pengikut lain itu tiba, dia terus masuk ke dalam makam itu dan nampak kain linen terletak di situ.
7 Dia juga melihat kain kafan linen yang diikatkan pada kepala Isa, terlipat berasingan.
8 Kemudian, pengikut lain yang sampai dahulu di kubur itu pun masuk. Dia melihat segala-galanya lalu percaya.
9 Setakat itu mereka belum memahami apa yang tersurat dalam Kitab Suci, iaitu Dia harus bangkit daripada kematian.
10 Selepas itu, pengikut-pengikut Isa itu pun pulang ke rumah mereka.
Isa menampakkan diri kepada Maryam dari Magdala
11 Tetapi Maryam berdiri di hadapan makam itu sambil menangis. Kemudian sambil menangis dia menjenguk ke dalam.
12 Dia melihat dua malaikat berpakaian putih duduk di tempat jenazah Isa dibaringkan dahulu, satu malaikat di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki.
13 Malaikat-malaikat itu bertanya kepada Maryam, “Puan, mengapa menangis?”
Maryam menyahut, “Jenazah Junjunganku telah diambil, entah ke mana dialihkan!”
14 Kemudian Maryam menoleh lalu melihat Isa berdiri di situ, tetapi Maryam tidak mengenal-Nya.
15 Isa berkata kepada Maryam, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang kamu cari?”
Pada sangkaan Maryam, Dia tukang kebun di taman itu. Dengan demikian Maryam berkata, “Tuan, jika kamu telah mengalihkan jenazah Isa, beritahulah aku di mana kamu letakkan-Nya, supaya dapat kuambil jenazah-Nya.”
16 Isa berkata kepadanya, “Maryam!”
Maryam berpaling kepada Isa lalu berseru dalam bahasa Ibrani, “Rabboni!” (ertinya “Guru”).
17 Isa berkata kepadanya, “Jangan berpaut pada-Ku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku, katakan kepada mereka bahawa sekarang Aku akan kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, iaitu Tuhan-Ku dan Tuhanmu.”
18 Maryam dari Magdala pun pergi mendapatkan para pengikut Isa lalu memberitahu, “Aku telah melihat Junjungan!” Lalu ia menceritakan semua Dia telah menuturkan kata-kata itu kepadanya.
Isa menampakkan diri kepada pengikut-pengikut-Nya
(Lukas 24:36-39, 47-49)
19 Pada hari minggu itu, setelah petang, para pengikut Isa berhimpun di sebuah rumah dengan pintu terkunci kerana takut akan orang Yahudi. Isa berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Damai sejahtera kepada kamu!”
20 Selepas itu, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka, maka pengikut-pengikut itu pun bersukacita melihat Junjungan Yang Ilahi.
21 Isa berkata lagi kepada mereka, “Damai sejahtera kepada kamu! Sebagaimana Bapa mengutus-Ku, begitulah Aku mengutusmu.”
22 Kemudian Dia menghembuskan nafas-Nya ke atas mereka lalu berkata, “Terimalah Roh Allah Yang Maha Suci.
23 aSesiapa yang kamu ampunkan dosanya, dosanya diampunkan. Sesiapa yang tidak kamu ampunkan dosanya, dosanya tidak akan diampunkan.”
Isa menampakkan diri kepada Tomas
24 Tomas yang digelar Didimus, seorang daripada pengikut Isa yang dua belas itu, tidak ada bersama mereka apabila Isa datang.
25 Oleh itu, pengikut-pengikut lain memberitahu Tomas, “Kami telah melihat Junjungan!”
Tetapi Tomas berkata, “Selagi aku tidak melihat sendiri bekas paku di tangan-Nya, dan memasukkan jariku ke dalam bekas luka itu, juga memasukkan tanganku ke dalam rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.”
26 Seminggu selepas itu, para pengikut Isa termasuk Tomas berhimpun lagi di situ. Sungguhpun pintu terkunci seperti dahulu, Isa muncul dalam kalangan mereka lalu berkata, “Damai sejahtera kepada kamu!”
27 Setelah itu, Dia berkata kepada Tomas, “Hulurkan jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkan tanganmu dan masukkannya ke dalam rusuk-Ku. Jangan ragu-ragu lagi. Percayalah.”
28 Tomas pun berkata kepada Isa, “Ya Junjunganku! Ya Tuhanku!”
29 Isa berkata kepadanya, “Tomas, oleh sebab kamu telah melihat-Ku maka kamu percaya. Diberkatilah orang yang percaya walaupun tidak melihat-Ku!”
Tujuan kitab ini ditulis
30 Isa telah melakukan banyak lagi mukjizat di hadapan pengikut-pengikut-Nya, tetapi tidak ditulis dalam kitab ini.
31 Tetapi segala yang telah ditulis di sini bertujuan supaya kamu percaya bahawa Isa ialah al-Masih, Putera Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan memperoleh hidup dalam nama-Nya.
Isa menampakkan diri di Tasik Tiberias
1 Setelah itu, Isa menampakkan diri sekali lagi kepada pengikut-pengikut-Nya, di Tasik Tiberias. Demikianlah kejadian itu berlaku:
2 Simon Petrus, Tomas yang disebut Didimus, Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zabdi, dan dua orang pengikut Isa yang lain, sedang berhimpun di situ.
3 aSimon Petrus berkata kepada mereka, “Aku hendak pergi menangkap ikan.” Mereka berkata kepadanya, “Kami hendak pergi bersama-sama.” Mereka pun pergi menaiki perahu. Tetapi semalaman tiada seekor ikan pun dapat ditangkap oleh mereka.
4 Ketika matahari terbit, Isa berdiri di pantai, tetapi pengikut-pengikut tidak mengenal-Nya.
5 Isa bertanya kepada mereka, “Anak-anak, kamu ada ikan?”
“Tidak, kami tidak mendapat seekor ikan pun,” jawab mereka.
6 bIsa berkata kepada mereka “Tebarkanlah jalamu di sebelah kanan perahu, kamu akan mendapat ikan.” Mereka pun berbuat demikian, maka begitu sarat jala mereka dengan ikan sehingga tidak terdaya mereka menariknya kembali.
7 Oleh itu, pengikut yang dikasihi oleh Isa berkata kepada Simon Petrus, “Itu Junjungan!” Setelah mendengar bahawa Junjungan yang berdiri di situ, Petrus terus memakai baju luarnya (yang telah ditanggalkannya tadi untuk bekerja) lalu dia terjun ke dalam air.
8 Para pengikut lain menuju ke pantai dengan perahu sambil menarik jala yang sarat dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, hanya kira-kira dua ratus hasta.*
9 Setelah sampai di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api, dan roti pun ada.
10 Isa berkata kepada mereka, “Bawalah sedikit ikan yang baru kamu tangkap itu.”
11 Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Walaupun sarat dengan ikan yang besar-besar, seratus lima puluh tiga ekor semuanya, namun jala itu tidak koyak.
12 Isa berkata kepada mereka, “Marilah bersarapan.” Tiada seorang pengikut pun yang berani bertanya, “Siapakah Engkau?” kerana mereka tahu bahawa Dia ialah Junjungan Yang Ilahi.
13 Isa pun merapati mereka, mengambil roti lalu memberikannya kepada mereka. Begitu juga dilakukan-Nya dengan ikan.
14 Itulah kali ketiga Isa menampakkan diri kepada pengikut-pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian.
Isa meneguhkan hati Petrus
15 Selepas sarapan bersama-sama, Isa bertanya kepada Simon Petrus, “Simon, anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?”
Petrus menjawab, “Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.”
Isa berkata kepadanya, “Berilah anak-anak domba-Ku makan.”
16 Bagi kali kedua Isa bertanya, “Simon, anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?”
Petrus menjawab, “Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.”
Isa berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.”
17 Bagi kali ketiga Isa bertanya kepadanya, “Simon, anak Yahya, adakah kamu mengasihi-Ku?”
Petrus sedih kerana Isa bertanya kepadanya bagi kali ketiga, “Adakah kamu mengasihi-Ku?” Lalu dia menjawab, “Ya Junjungan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!”
Isa berkata kepadanya, “Berilah domba-domba-Ku makan.
18 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat kamu lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.”
19 Kata-kata Isa ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Isa pun berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!”
Pengikut yang dikasihi Isa
20 cPetrus menoleh lalu melihat pengikut yang dikasihi oleh Isa sedang mengikut mereka. Pengikut itulah yang duduk bertelekan di sisi-Nya ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, “Ya Junjungan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?”
21 Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Isa, “Ya Junjungan, bagaimana dengan orang ini?”
22 Isa menjawab, “Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.”
23 Oleh itu, tersebarlah dalam kalangan pengikut Isa bahawa pengikut tersebut tidak akan mati. Tetapi Isa tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati. Isa berkata, “Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?”
Kata penutup
24 Pengikut itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menulis semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar.
25 Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Isa. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu.