Markus
Nabi Yahya
1 Inilah permulaan Injil tentang Isa al-Masih, Putera Allah.
2 aSeperti yang tersurat dalam kitab Nabi Yesaya:
“Ketahuilah, Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu;
dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu,”
3 b“satu suara berseru di gurun:
‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan,
luruskanlah jalan untuk-Nya.’”
4 Demikianlah Nabi Yahya muncul di gurun, mengkhabarkan firman mengimadkan pertaubatan untuk pengampunan dosa.
5 Ramailah orang yang datang dari Yudea dan Yerusalem untuk mendengar kata-kata Yahya. Mereka mengakui dosa mereka lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan.
6 cYahya memakai pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Dia makan belalang dan madu gurun.
7 Inilah beritanya: “Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai.
8 Aku mengimadkanmu dengan air, tetapi Dia akan mengimadkanmu dengan Roh Allah Yang Maha Suci.”
Isa diimadkan oleh Nabi Yahya
9 Kemudian Isa datang dari Nazaret di Galilea, lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan.
10 Ketika Isa keluar dari sungai itu, Dia melihat langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun hinggap ke atas-Nya.
11 dLalu kedengaran suara dari syurga: “Engkaulah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.”
12 Lantas, Roh Allah memimpin Isa ke gurun.
13 Isa di situ selama empat puluh hari dan digoda oleh Iblis serta dikelilingi binatang liar. Para malaikat datang melayani-Nya.
Pengikut Isa yang pertama
14 Setelah Yahya dipenjarakan, Isa pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah.
15 eIsa berkata, “Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!”
16 Ketika Isa sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak Simon dan saudaranya Andreas, sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan.
17 Isa berkata kepada mereka, “Mari ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.”
18 Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.
19 Sejurus berjalan, Isa melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus bin Zabdi dan Yahya, saudaranya. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu.
20 Isa terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka, Zabdi, dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Isa.
Isa membentak roh jahat
(Lukas 4:31-37)
21 Isa dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Isa masuk ke saumaah lalu mengajar.
22 fMereka kagum dengan ajaran-Nya kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti para ahli Taurat mereka.
23 Ketika itu seorang yang dirasuk roh jahat berada di saumaah. Dia berseru:
24 “Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Isa orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!”
25 Isa membentak roh itu, “Diam! Keluar daripada dia!”
26 Roh jahat itu menggoncang-goncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit.
27 Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, “Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh jahat dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya.”
28 Dengan demikian, khabar tentang Isa segera tersebar ke seluruh Galilea.
Isa menyembuhkan ramai orang
29 Isa dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yahya, keluar dari saumaah itu lalu ke rumah Simon dan Andreas.
30 Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Isa di situ, Dia diberitahu tentang hal itu.
31 Isa menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayan mereka.
32 Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa.
33 Semua penduduk kota berhimpun di hadapan pintu itu.
34 Isa menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia.
Isa mengajar di kota-kota lain
(Lukas 4:42-44)
35 Keesokannya, pada waktu subuh, Isa bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa.
36 Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Isa.
37 Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: “Semua orang sedang mencari-Mu, ya Junjungan!”
38 Isa berkata, “Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Sebab untuk itulah, maka Aku datang.”
39 gLalu Isa menjelajah ke serata Galilea dan berkhutbah di saumaah dan menghalau roh-roh iblis.
Isa menyembuhkan seorang yang sakit kusta
40 Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Isa lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, “Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku.”
41 Isa berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!”
42 Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta.
43 Isa segera menyuruhnya pergi dengan memberikan suatu peringatan keras:
44 h“Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Nabi Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.”
45 Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Isa tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Isa tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.
Isa menyembuhkan seorang lumpuh
1 Beberapa hari kemudian, Isa pulang ke Kapernaum dan tersebarlah khabar itu.
2 Ramailah orang datang berhimpun di rumah tempat Dia tinggal itu, sehingga penuh sesak sampai ke pintu. Isa pun menyampaikan firman kepada mereka.
3 Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh.
4 Mereka tidak dapat membawanya kepada Isa kerana orang ramai itu. Oleh itu, mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Isa berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar.
5 Ketika Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.”
6 Ahli-ahli Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati,
7 “Lancangnya orang ini mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!”
8 Tetapi Isa segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu?
9 Manakah yang lebih mudah dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau, ‘Bangun, angkat tikarmu dan berjalan’?
10 Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Putera Insan berkuasa mengampunkan dosa,” Dia berkata kepada orang lumpuh itu,
11 “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah.”
12 Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu pun bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ tercengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat kejadian begini!”
Panggilan Lewi
(Matius 9:9-13; Lukas 5:27-32)
13 Isa pergi lagi ke pinggir laut. Ramai orang datang kepada-Nya lalu Dia mengajar mereka.
14 Ketika Isa berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Lewi bin Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Isa berkata kepadanya, “Ikutlah Aku,” lalu Lewi bangun mengikut-Nya.
15 Selepas itu, Isa makan di rumah Lewi. Ramai pemungut cukai dan orang berdosa mengikut Isa dan ramai antara mereka turut makan bersama Isa serta pengikut-pengikut-Nya.
16 Ahli Taurat daripada mazhab Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada para pengikut Isa: “Mengapa Dia makan bersama pemungut cukai dan orang berdosa?”
17 Isa terdengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukan untuk memanggil orang yang benar, tetapi orang berdosa.”
Berpuasa
18 Pada suatu masa ketika para pengikut Yahya Pengimad dan pengikut dari mazhab Farisi berpuasa, beberapa orang datang kepada Isa lalu bertanya, “Pengikut Yahya Pengimad dan pengikut dari mazhab Farisi sedang berpuasa, mengapa pengikut-Mu tidak?”
19 Isa menjawab, “Patutkah tetamu dalam jamuan perkahwinan berpuasa semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Selagi pengantin lelaki ada bersama mereka, tidaklah mereka berpuasa.
20 Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.
21 “Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan baru itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian lama.
22 Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru akan memecahkan kirbat, dan kedua-duanya terbuang. Air anggur baru mesti dituangkan ke dalam kirbat yang baru.”
Isa dan hari Sabat
23 aPada suatu hari Sabat, Isa dan pengikut-pengikut-Nya berjalan melalui ladang gandum. Para pengikut-Nya mula memetik bulir gandum.
24 Kemudian orang dari mazhab Farisi berkata kepada Isa, “Lihatlah, mereka melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!”
25 bIsa menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Nabi Daud semasa dia dan mereka yang berada bersamanya kekurangan dan kelaparan?
26 cDia masuk ke Khemah Suci Allah sewaktu Abiatar berjawat sebagai Imam Besar lalu makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Daud juga memberikan roti itu kepada mereka yang ada bersamanya.”
27 Isa menambah, “Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat.
28 Jadi Putera Insan jugalah Junjungan atas hari Sabat.”
Isa menyembuhkan orang pada hari Sabat
1 Kemudian Isa masuk semula ke saumaah. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya.
2 Ada beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Isa. Oleh itu, mereka mengawasi Isa sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat.
3 Isa berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Berdiri, marilah ke depan.”
4 Kemudian Dia menyoal orang di situ, “Manakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan atau membinasakan nyawa?” Tetapi semuanya berdiam diri.
5 Isa memandang orang di sekeliling-Nya dengan rasa marah dan amat dukacita dengan mereka yang begitu keras hati. Lalu Dia berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkan tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh, lalu tangan itu terus sembuh.
6 Orang dari mazhab Farisi keluar dari situ lalu segera berpakat dengan beberapa anggota golongan Herodes untuk membunuh Isa.
Orang ramai mengikut Isa
7 Isa beredar ke laut bersama pengikut-pengikut-Nya. Ramai orang Galilea datang kepada-Nya. Ada yang dari Yudea,
8 Yerusalem, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan sekitar Tirus dan Sidon. Mereka datang berduyun-duyun kerana mendengar segala yang telah dilakukan-Nya.
9 aBegitu ramainya orang sehingga Isa menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu untuk-Nya supaya Dia tidak terhimpit.
10 Ramai orang telah disembuhkan-Nya. Oleh itu, orang sakit berebut-rebut hendak menyentuh-Nya.
11 Apabila orang yang dirasuk roh-roh jahat melihat-Nya, mereka sujud di hadapan-Nya lalu berseru, “Engkau Putera Allah.”
12 Isa melarang keras mereka mengatakan siapa Dia.
Isa memanggil dua belas rasul
13 Kemudian Isa naik ke bukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya lalu mereka datang kepada-Nya.
14 Isa memilih dua belas orang antara pengikut-Nya itu untuk menyertai-Nya dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil
15 serta dikurniai kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.
16 Dua belas orang yang dipilih-Nya itu ialah: Simon (yang juga diberi-Nya nama Petrus);
17 Yakobus bin Zabdi dan Yahya, saudaranya (dua orang adik-beradik ini diberi-Nya nama Boanerges, yang bermakna Anak Petir);
18 Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus bin Alfeus, Tadeus, Simon orang Patriot*
19 dan juga Yudas Iskariot yang kelak mengkhianati-Nya.
Isa dan Beelzebul
20 Selepas itu, Isa masuk ke sebuah rumah, tetapi begitu ramainya orang yang datang berkumpul semula sehingga Isa dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan.
21 Apabila keluarga Isa mendengar perkara ini, mereka juga datang untuk mengambil-Nya apabila mendengar orang berkata, “Dia tidak siuman.”
22 bSebilangan ahli Taurat dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk Beelzebul! Dengan kuasa ketua roh iblis Dia menghalau roh-roh iblis.”
23 Oleh itu, Isa memanggil semua orang itu lalu bercakap melalui beberapa ibarat: “Bagaimana Iblis dapat menghalau Iblis?
24 Kalau sebuah kerajaan berpecah belah, kerajaan itu tidak dapat bertahan.
25 Dan jika sebuah keluarga berpecah belah, keluarga itu tidak dapat bertahan.
26 Dan jika Iblis berontak melawan dirinya sendiri dan berpecah belah, dia tidak dapat bertahan; sudah sampailah saat kemusnahannya.
27 Tiada siapa dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya, kecuali orang gagah itu dapat diikat dahulu.
28 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, segala dosa dan kata kufur manusia dapat diampunkan.
29 cTetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah Yang Maha Suci tidak akan diampuni; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.”
30 Isa berkata demikian kerana ada orang berkata, “Dia dirasuk roh jahat.”
Isa dan saudara-saudara-Nya
31 Apabila ibu dan saudara-saudara Isa tiba, mereka menanti di luar dan menyuruh orang memanggil-Nya.
32 Pada waktu itu, orang ramai duduk di sekeliling Isa berkata kepada-Nya, “Lihatlah! Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar. Mereka hendak bertemu dengan-Mu.”
33 Isa menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?”
34 Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, “Lihat, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku!
35 Sesiapa yang melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.”
Ibarat tentang seorang penyemai
1 aIsa mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai.
2 Isa mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata:
3 “Dengarlah! Seorang penyemai pergi menabur benih.
4 Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu dimakan burung.
5 Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam.
6 Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar.
7 Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah.
8 Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.”
9 Lalu kata-Nya, “Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”
10 Ketika Isa bersendirian, dua belas pengikut-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu.
11 Isa berkata kepada mereka, “Kamu telah diberi rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengar segala sesuatu melalui ibarat,
12 bsupaya:
“‘Mereka terus melihat tetapi tidak nampak,
mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti;
kerana sekiranya mereka mengerti,
mereka akan bertaubat dan diampuni!’”
13 Kemudian Isa bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain?
14 Penyemai itu menabur firman.
15 Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur dalam hati mereka.
16 Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita,
17 tetapi mereka tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik mereka menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, iman mereka pun segera murtad.
18 Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu,
19 tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah.
20 Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur mendengar dan menerima firman itu lalu menghasilkan tiga puluh, enam puluh bahkan seratus kali ganda.”
Ibarat tentang pelita
(Lukas 8:16-18)
21 cIsa berkata pula, “Pernahkah orang memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita.
22 dYang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan.
23 Jika kamu bertelinga, dengarlah.”
24 eSelepas itu Isa berkata, “Perhatikan apa yang kamu dengar. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu, malah lebih berat lagi.
25 fSesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil daripadanya.”
Ibarat tentang benih yang tumbuh
26 Isa berkata seterusnya, “Kerajaan Allah ibarat seorang yang menabur benih di ladangnya.
27 Malam dia tidur, siang dia bekerja. Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Dia tidak faham bagaimana hal itu terjadi.
28 Tanahlah yang menumbuhkan tanaman hingga berbuah – mula-mula pucuk, kemudian bulir, akhirnya buah.
29 gSetelah masak, buahnya disabit oleh orang itu dengan segera kerana musim menuai telah tiba.”
Ibarat tentang biji sesawi
30 “Dengan apakah dapat kita bandingkan kerajaan Allah?” kata Isa lagi. “Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya?
31 Kerajaan Allah itu seperti sebutir biji sesawi paling kecil di dunia yang ditabur di tanah.
32 Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung di udara membuat sarang di bawah keteduhannya.”
33 Dengan banyak ibarat yang semacam itu Isa mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham.
34 Dia tidak berucap kepada mereka tanpa menggunakan ibarat. Tetapi apabila Dia bersendiri dengan pengikut-pengikut-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya.
Angin ribut diredakan
35 Pada petang itu juga, Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita pergi ke seberang sana.”
36 Ketika itu Isa di dalam perahu. Para pengikut-Nya meninggalkan orang ramai itu di pantai lalu belayar bersama-Nya. Ada beberapa perahu lain yang belayar bersama-sama.
37 Lalu angin ribut bertiup kencang dan ombak melanda perahu sehingga hampir dipenuhi air.
38 Ketika itu Isa sedang tidur di buritan perahu, kepala-Nya beralaskan bantal. Para pengikut-Nya membangunkan Dia lalu berkata, “Ya Tuan Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!”
39 Isa bangun lalu menegur angin dan berkata kepada ombak, “Diam! Tenanglah!” Angin pun reda dan laut menjadi tenang.
40 Kemudian Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?”
41 Mereka berasa gerun lalu berkata sesama sendiri, “Siapakah Dia ini? Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya!”
Isa menyembuhkan seorang yang dirasuk roh iblis
1 Lalu sampailah mereka di seberang laut, di daerah Gerasa.
2 Sebaik-baik Isa turun dari perahu, seorang lelaki yang kerasukan roh jahat keluar dari perkuburan lalu menemui-Nya.
3 Orang itu tinggal di gua kubur. Tiada siapa terdaya mengikatnya lagi, meskipun dengan rantai.
4 Berkali-kali dia dirantai dan dibelenggu, tetapi dapat diputuskannya rantai itu dan dipatahkannya belenggu itu. Tiada seorang pun dapat menguasainya.
5 Siang malam dia merayau di perkuburan dan di bukit, sambil menjerit-jerit dan mencederakan badannya dengan batu.
6 Dari jauh dia melihat Isa lalu lari mendekati-Nya dan sujud di hadapan-Nya.
7 Orang itu berseru dengan suara keras, “Ya Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi, apa urusan-Mu dengan aku? Demi Allah, jangan seksa aku!”
8 Kerana sebelumnya Isa berkata kepadanya, “Roh jahat, keluarlah kamu daripada orang ini!”
9 Kemudian Isa bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?”
Orang itu menjawab, “Legion, kerana kami ini ramai sekali.”
10 Dia memohon sungguh-sungguh kepada Isa supaya tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu.
11 Berdekatan tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit.
12 Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa, “Suruhlah kami pindah kepada babi itu, biarlah kami masuk ke dalam tubuh babi itu.”
13 Isa bersetuju, lalu roh-roh jahat itu keluar dan masuk ke dalam tubuh kawanan babi itu. Kesemua babi itu, kira-kira dua ribu ekor, terjun dari tepi cenuram ke dalam laut lalu mati lemas.
14 Penjaga-penjaga babi itu lari lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di desa. Para penduduk pun keluar hendak melihat apa yang telah terjadi.
15 Mereka menghampiri Isa lalu melihat orang yang tadinya dirasuk legion daripada roh iblis itu, kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman. Mereka semua pun ketakutan.
16 Semua yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan segala-galanya tentang orang yang kerasukan roh iblis dan kawanan babi itu.
17 Oleh itu, mereka meminta Isa meninggalkan daerah itu.
18 Ketika Isa menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh iblis itu memohon kepada-Nya, supaya dia dibenarkan menyertai-Nya.
19 Tetapi Isa tidak membenarkannya, sebaliknya berkata, “Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan kepada kamu.”
20 Orang itu pun mula menjelajahi daerah sepuluh kota dan menceritakan segala yang telah dilakukan oleh Isa untuknya. Mereka semua kehairanan.
Isa melakukan mukjizat dan penyembuhan
21 Setelah itu, Isa kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali.
22 Datanglah seorang bernama Yairus, ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Isa, dia sujud di hadapan-Nya
23 dan merayu, “Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.”
24 Isa pun pergi bersama Yairus.
Begitu ramainya orang yang mengikut Isa sehingga Dia diasak dari semua pihak.
25 Di situ ada seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun.
26 Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, malah semakin parah keadaannya.
27 Wanita itu telah banyak mendengar tentang Isa. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya.
28 “Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,” kata wanita itu, “tentu aku akan sembuh.”
29 Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan badannya sudah sembuh.
30 Pada saat itu Isa sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, “Siapa yang menyentuh jubah-Ku?”
31 Para pengikut-Nya berkata, “Ya Junjungan, lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?”
32 Tetapi Isa memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu.
33 Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Isa serta menceritakan segala-galanya.
34 Isa berkata kepadanya, “Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.”
35 Sedang Isa berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Tuan Guru lagi.”
36 Isa tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada ketua saumaah, “Jangan takut, percaya sahaja.”
37 Lalu Isa tidak membenarkan sesiapa pun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus.
38 Apabila tiba di rumah ketua saumaah, Isa melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat.
39 Isa masuk lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.”
40 Tetapi mereka mentertawakan Isa.
Setelah menyuruh mereka semua keluar, Isa mengajak ibu bapa anak itu dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring.
41 Isa memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, “Talitha kum!” (maksudnya, “Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!”).
42 Anak perempuan itu segera bangkit lalu berjalan (kerana umurnya sudah dua belas tahun). Mereka semua sungguh kagum.
43 Tetapi dengan tegas Isa melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.
Isa mengajar di Nazaret
1 Isa beredar dari situ lalu pulang bersama pengikut-pengikut-Nya ke kampung halaman-Nya.
2 Pada hari Sabat Dia mula mengajar di saumaah. Jemaah di situ hairan mendengar ajaran Isa.
“Dari manakah Dia memperoleh semua ini?” tanya mereka. “Apakah kebijaksanaan yang ada pada-Nya? Bagaimanakah Dia dapat melakukan mukjizat?
3 Bukankah Dia ini tukang kayu, anak kepada Maryam, saudara kepada Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya tinggal di sini?” Oleh itu, mereka enggan menerima-Nya.
4 aIsa berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati di mana-mana kecuali di kampung halamannya, antara sanak saudaranya dan dalam keluarganya sendiri.”
5 Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka.
6 Dia sungguh hairan bahawa mereka tidak percaya.
Isa mengutus dua belas pengikut-Nya
Selepas itu, Isa pergi ke kampung-kampung di sekitar itu dan mengajar.
7 Dia memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu, lalu mengutus mereka berdua-dua, serta memberi mereka kuasa atas roh-roh jahat.
8 Perintah-Nya kepada mereka demikian: “Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat – roti pun jangan, beg pun jangan, wang dalam tali pinggang pun jangan.
9 Pakailah capal, tetapi jangan pakai dua helai baju.”
10 Isa berkata lagi, “Apabila kamu disambut di sesebuah rumah, menetaplah di situ hingga kamu beredar dari bandar itu.
11 bSebaliknya, jika penduduk sesuatu bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, pergilah dari situ dan kebaskanlah debu daripada tapak kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.”
12 Pengikut Isa yang dua belas itu pun pergi menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat.
13 cMereka menghalau banyak roh iblis, dan menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka.
Nabi Yahya dibunuh
14 dRaja Herodes mendengar tentang kejadian itu, kerana nama Isa sudah terkenal di mana-mana. Ada orang berkata, “Yahya Pengimad telah dibangkitkan daripada kematian! Itulah sebab Dia mempunyai kuasa melakukan mukjizat.”
15 Yang lain berkata, “Dia ini Ilyas.”
Ada pula yang berkata, “Dia ini nabi, seperti nabi zaman dahulu.”
16 Ketika mendengar hal demikian, Herodes berkata, “Dia itu Yahya yang kepalanya telah kupancung, tetapi dia hidup semula!”
17 eSebabnya memang Herodes telah memberikan perintah supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan. Herodes berbuat demikian kerana Herodias, isteri kepada saudaranya Filipus, yang telah dikahwininya.
18 Yahya pernah menegur perbuatan Herodes itu, “Mengambil isteri saudaramu sebagai isterimu adalah haram.”
19 Akibatnya Herodias menaruh dendam terhadap Yahya dan hendak membunuhnya, tetapi hasratnya terhalang,
20 kerana Herodes takut akan Yahya. Herodes tahu Yahya seorang yang benar dan suci, oleh itu dia melindungi Yahya. Herodes juga suka mendengar kata-kata Yahya, meskipun kata-kata itu membuatnya sangat gelisah.
21 Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea.
22 Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya. Oleh itu, raja berkata kepada gadis itu, “Mintalah daripadaku apa sahaja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu.”
23 Dia menyambung dengan sumpah, “Apa sahaja yang kamu minta akan kuberikan kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun.”
24 Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, “Apakah yang patut kuminta?”
Jawabnya, “Kepala Yahya Pengimad.”
25 Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, “Aku mahu kamu berikan kepadaku kepala Yahya Pengimad di atas talam sekarang juga.”
26 Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia tidak mahu menolak permintaannya.
27 Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawa kepala Yahya. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yahya.
28 Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya.
29 Apabila para pengikut Yahya mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yahya lalu mengebumikannya di dalam kubur.
Isa memberi makan kepada lima ribu orang
30 Kemudian rasul-rasul kembali berkumpul dengan Isa dan melaporkan segala yang telah dilakukan serta diajarkan mereka.
31 Orang yang datang dan pergi di situ begitu ramainya sehingga Isa dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu, Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah ke tempat yang sunyi supaya kita dapat bersendirian, dan berehat sebentar.”
32 Mereka pun bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi.
33 Tetapi pada waktu mereka bertolak ramai orang melihat dan mengenal mereka. Orang dari semua kota berlari ikut jalan darat supaya sampai di tempat yang dituju itu sebelum Isa dan pengikut-pengikut-Nya.
34 fApabila Isa turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka kerana mereka ibarat domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajar banyak perkara kepada mereka.
35 Ketika hari sudah petang, para pengikut Isa datang kepada-Nya dan berkata, “Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil.
36 Suruhlah semua orang ini pergi supaya mereka ke pekan atau ke kampung yang berdekatan untuk membeli makanan.”
37 Tetapi Isa menjawab, “Kamu berilah mereka makan.”
Para pengikut-Nya bertanya, “Haruskah kami pergi membeli roti berharga dua ratus keping wang dinar untuk memberi mereka makan?”
38 Isa bertanya, “Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.”
Setelah mereka memeriksanya, mereka berkata, “Lima buku roti dan dua ekor ikan.”
39 Isa mengarahkan mereka supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di atas rumput.
40 Mereka pun duduk dalam kelompok; ada yang seratus orang sekelompok dan ada yang lima puluh orang.
41 Setelah Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua.
42 Mereka semuanya makan sehingga kenyang.
43 Para pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan roti dan ikan sebanyak dua belas bakul.
44 Jumlah orang lelaki yang makan itu kira-kira lima ribu orang.
Isa berjalan di atas air
45 Isa segera mengarahkan pengikut-pengikut-Nya pergi dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang laut sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang.
46 Setelah mereka pergi, Isa naik ke bukit untuk berdoa.
47 Apabila hari sudah malam, perahu para pengikut Isa sudah sampai ke tengah laut sedangkan Isa seorang diri di darat.
48 Isa melihat pengikut-pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah bertentangan. Kira-kira antara dinihari dan subuh, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka. Dia hendak mendahului mereka.
49 Tetapi ketika mereka terpandang Dia berjalan di atas air, mereka menyangka-Nya hantu lalu mereka berteriak-teriak.
50 Mereka ketakutan melihat Isa.
Tetapi Dia segera berkata kepada mereka, “Tabahkanlah hatimu! Aku Isa. Jangan takut.”
51 Dia naik ke perahu mereka, lalu angin pun teduh. Para pengikut-Nya hairan tercengang.
52 Mereka masih belum mengerti apa sebenar yang berlaku dengan roti itu, kerana hati mereka masih keras.
Isa menyembuhkan orang sakit di Genesaret
(Matius 14:34-36)
53 Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu.
54 Sebaik-baik mereka turun dari perahu, orang mengenal Isa
55 lalu berlari ke serata kawasan dan membawa orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya di mana-mana sahaja Dia berada.
56 Di setiap tempat yang dikunjungi-Nya – baik di kota, di pekan mahupun di kampung – penduduk di situ membawa orang yang sakit ke pasar. Mereka memohon agar sekurang-kurangnya Isa membenarkan mereka menyentuh hujung jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.
Adat istiadat nenek moyang
(Matius 15:1-20)
1 Orang dari mazhab Farisi dan beberapa ahli Taurat yang datang dari Yerusalem berkumpul di keliling Isa.
2 Mereka melihat beberapa pengikut Isa makan dengan tangan najis, iaitu tangan yang tidak dibasuh.
3 (Orang dari mazhab Farisi malah semua orang Yahudi taat mengikut adat istiadat nenek moyang mereka. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditentukan.
4 Apabila pulang dari pasar, mereka juga tidak akan makan sebelum membersihkan diri. Banyak lagi peraturan yang diamalkan oleh mereka, seperti hal membasuh cawan, kendi, dan bekas tembaga.)
5 Oleh itu, orang dari mazhab Farisi dan ahli Taurat di situ bertanya kepada Isa, “Mengapakah pengikut-Mu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang najis?”
6 aIsa menjawab, “Tepat sekali kata-kata Nabi Yesaya dalam nubuatnya tentangmu, hai orang munafik; seperti yang tersurat:
“‘Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata,
tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.
7 Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku;
sedangkan ajaran yang diajarkan mereka ialah peraturan manusia.’
8 Kamu mengetepikan perintah Allah untuk menurut adat istiadat manusia.”
9 Isa berkata lagi: “Kamu sungguh pandai menyingkirkan perintah Allah untuk menegakkan adat istiadatmu sendiri!
10 bMusa menyampaikan perintah ini, ‘Hormatilah ibu bapamu’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.’
11 Tetapi kamu mengajar: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang harus kugunakan untuk membantu ayah atau ibu, sudah kujadikan korban’ (iaitu telah dipersembahkan kepada Allah),
12 maka orang itu tidak perlu menolong ibu bapa.
13 Jadi, adat istiadat yang kamu sampaikan membatalkan firman Allah. Banyak lagi perkara sedemikian yang kamu lakukan.”
14 Isa memanggil orang ramai itu lagi lalu berkata kepada mereka, “Kamu semua, dengarlah kepada-Ku dan fahamlah.
15 Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya.
16 Jika kamu bertelinga, dengarlah!”
17 Setelah Isa meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu.
18 Isa berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya?
19 Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.” (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)
20 Kata-Nya lagi: “Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya
21 kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh,
22 berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh.
23 Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.”
Iman seorang perempuan Siro-Fenisia
(Matius 15:21-28)
24 Kemudian Isa pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri.
25 Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh jahat telah mendengar tentang Isa lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya.
26 Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Isa menghalau roh iblis yang merasuk anaknya.
27 Isa menjawab, “Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing.”
28 “Benar, ya Tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak.”
29 Maka Isa berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu.”
30 Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis.
Isa menyembuhkan seorang bisu tuli
31 Selepas itu Isa meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota.
32 Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Isa meletakkan tangan padanya.
33 Isa membawanya ke samping, jauh daripada orang ramai itu, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Kemudian Dia meludah dan menyentuh lidah orang itu.
34 Selepas itu, Dia menengadah ke langit lalu menarik nafas panjang dan berkata kepada orang itu, “Efata!” (ertinya “Terbukalah!”).
35 Serta-merta telinga orang itu terbuka dan lidahnya pulih, lalu dia bertutur dengan baik.
36 Isa melarang semua yang hadir menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Isa melarang, semakin mereka menceritakannya.
37 Mereka sungguh hairan dan berkata, “Dia melakukan segala-galanya dengan baik sekali. Dia membolehkan orang tuli mendengar dan orang bisu berkata-kata.”
Isa memberi makan kepada empat ribu orang
(Matius 15:32-39)
1 Pada suatu hari, ketika orang tersangat ramai berhimpun dan kehabisan makanan, Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata,
2 “Aku berbelas kasihan kepada orang ramai ini, sudah tiga hari mereka bersama-Ku, dan sekarang mereka kehabisan makanan.
3 Kalau Kusuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan kerana ada yang datang dari jauh.”
4 Para pengikut Isa menjawab, “Di tempat terpencil ini, di mana hendak dicari roti yang cukup untuk semua orang ini?”
5 Isa bertanya kepada mereka, “Berapa banyakkah roti yang ada padamu?”
“Tujuh buku,” jawab mereka.
6 Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti itu dan mengucap syukur. Setelah itu, Dia memecah-mecahkannya dan menghulurkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan. Mereka pun memberikannya kepada orang ramai.
7 Mereka juga ada beberapa ekor ikan kecil. Setelah mengucap syukur atasnya, Isa menyuruh supaya ikan itu dibahagi-bahagikan juga.
8 Mereka pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh.
9 Bilangan mereka itu kira-kira empat ribu orang. Isa pun menyuruh mereka pulang.
10 Selepas itu, Isa terus menaiki perahu bersama pengikut-pengikut-Nya pergi ke daerah Dalmanuta.
Orang dari mazhab Farisi meminta tanda
(Matius 16:1-4)
11 aBeberapa orang dari mazhab Farisi datang kepada Isa dan mula bersoal jawab dengan-Nya. Untuk menduga-Nya, mereka meminta-Nya menunjukkan suatu tanda ajaib dari syurga.
12 bIsa mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepada orang zaman ini.”
13 Isa meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang.
Ragi orang dari mazhab Farisi dan ragi Herodes
(Matius 16:5-12)
14 Para pengikut Isa terlupa membawa roti yang mencukupi. Di dalam perahu itu cuma ada sebuku roti.
15 cIsa mengingatkan mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang dari mazhab Farisi dan ragi Herodes.”
16 Kemudian mereka membincangkannya satu sama lain dan berkata, “Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.”
17 Isa mengetahui apa yang dibincangkan mereka lalu Dia bertanya, “Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham lagi? Begitu tumpulkah hatimu?
18 dKamu ada mata, tidakkah kamu melihat? Kamu ada telinga, tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu ingat
19 bagaimana Aku memecah-mecahkan lima buku roti untuk lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?”
“Dua belas,” jawab mereka.
20 “Dan apabila Aku memecah-mecahkan tujuh buku roti untuk empat ribu orang, berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?”
“Tujuh,” jawab mereka.
21 Lalu Isa berkata kepada mereka, “Kamu masih belum faham lagi?”
Isa menyembuhkan seorang buta di Baitsaida
22 Isa dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Baitsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Isa dan memohon agar Dia menyentuhnya.
23 Isa memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Isa meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, “Adakah kamu melihat apa-apa?”
24 Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, “Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.”
25 Sekali lagi Isa meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh.
26 Isa pun menyuruhnya pulang sambil berkata, “Jangan masuk lagi ke pekan itu.”
Pengakuan Petrus
27 Setelah itu, Isa dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Isa bertanya kepada mereka, “Menurut orang, Aku ini siapa?”
28 eMereka menjawab, “Ada yang berkata, Yahya Pengimad; yang lain berkata, Nabi Ilyas; ada pula yang berkata, seorang daripada nabi.”
29 f“Tetapi menurut kamu, Aku ini siapa?” tanya Isa. Petrus menjawab, “Ya Junjungan, Engkau ialah al-Masih.”
30 Dengan tegasnya Isa melarang mereka memberitahu sesiapa pun tentang diri-Nya.
Isa memberitahu tentang kematian-Nya
31 Kemudian Isa mula mengajar mereka bahawa Putera Insan harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula.
32 Isa mengatakan perkara ini dengan terus terang. Oleh itu, Petrus menarik Isa ke tepi lalu menegur Dia.
33 Isa berpaling memandang pengikut-pengikut-Nya lalu menegur Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.”
34 gSetelah itu, Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai di situ lalu berkata kepada mereka, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya, dan mengikut-Ku.
35 hSesiapa yang mempertahankan hidupnya, akan kehilangan hidupnya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku dan untuk Injil, akan menyelamatkan hidupnya itu.
36 Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya?
37 Dapatkah hidup itu ditukar dengan apa pun?
38 Jika seseorang malu mengakui Aku dan perkataan-Ku dalam kalangan angkatan yang cabul dan berdosa ini, Putera Insan juga akan malu mengakuinya ketika Dia datang dalam kemuliaan Bapa-Nya diiringi para malaikat suci.”
1 Isa berkata lagi, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ada beberapa orang di sini yang tidak akan menemui maut sebelum melihat kerajaan Allah datang dengan kuasa.”
Isa dimuliakan di atas gunung
2 aEnam hari kemudian, Isa membawa Petrus, Yakobus, dan Yahya, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi. Di situ Isa berubah rupa di hadapan mata mereka.
3 Pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan laksana salji, tiada siapa di bumi ini dapat memutihkan kain sehingga seputih itu.
4 Ilyas dan Musa muncul pula di hadapan mereka lalu bercakap dengan Isa.
5 Lalu Petrus berkata kepada Isa, “Ya Tuan Guru,* baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah – satu untuk Engkau, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Ilyas.”
6 (Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang hendak dikatakannya, kerana mereka amat ketakutan.)
7 bSegumpal awan meliputi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, “Inilah Putera-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!”
8 Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Isa.
9 Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Isa memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah dilihat mereka, sehingga Putera Insan bangkit daripada kematian.
10 Mereka mentaati pesan itu, sambil tertanya-tanya apa maksud “bangkit daripada kematian.”
11 cMereka bertanya kepada Isa, “Mengapa ahli Taurat berkata Ilyas mesti datang dahulu?”
12 Isa menjawab, “Benar, Ilyas akan datang dahulu dan memulihkan segala sesuatu. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Putera Insan, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan?
13 Aku berkata kepadamu, Ilyas sudah pun datang dan orang berbuat sesuka hati kepadanya, seperti yang tersurat tentang dirinya.”
Isa menyembuhkan seorang anak lelaki yang bisu
14 Apabila mereka pulang mendapatkan para pengikut yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang ahli Taurat sedang bersoal jawab dengan para pengikut Isa.
15 Sebaik-baik orang ramai itu melihat Isa, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya.
16 Isa bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?”
17 Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Ya Tuan Guru, aku membawa anakku kepada-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu.
18 Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon pengikut-pengikut-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.”
19 Isa berkata kepada mereka, “Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.”
20 Mereka pun membawa anak itu kepada Isa. Sebaik-baik roh itu melihat Isa, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih.
21 Isa bertanya kepada bapa anak itu, “Sejak bila dia begini?” Bapa anak itu menjawab, “Sejak dia kecil lagi.
22 Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.”
23 Isa berkata kepadanya, “Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.”
24 Bapa itu segera berseru, “Aku percaya; tolonglah agar aku lebih percaya lagi!”
25 Ketika Isa melihat orang ramai datang berkerumun, Dia membentak roh jahat itu, “Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.”
26 Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, “Dia sudah mati.”
27 Tetapi Isa memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri.
28 Selepas itu, Isa masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada-Nya, “Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?”
29 Isa menjawab, “Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apa-apa pun, kecuali dengan doa.”
30 Setelah itu, Isa dan pengikut-pengikut-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana
31 kerana Dia sedang mengajar pengikut-pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Putera Insan akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.”
32 Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Isa.
Siapa yang terbesar di antara para pengikut
33 Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Isa bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?”
34 dMereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar.
35 eIsa duduk lalu memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, “Kalau sesiapa ingin menjadi yang terdahulu, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.”
36 Selepas itu, Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka,
37 f“Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku. Sesiapa yang menyambut-Ku bukanlah menyambut-Ku tetapi menyambut Dia yang mengutus-Ku.”
Menghalau roh iblis
(Lukas 9:49-50)
38 Yahya berkata kepada Isa, “Ya Tuan Guru, kami melihat seorang lelaki menghalau roh-roh iblis dengan nama-Mu, lalu kami larang dia, kerana dia bukan dalam kumpulan kita.”
39 Tetapi Isa berkata, “Jangan larang dia, kerana seseorang yang melakukan mukjizat dengan nama-Ku tidak mungkin mencela-Ku sejurus selepas itu.
40 gOrang yang tidak menentang kita, memihak kepada kita.
41 hSesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang memberimu secawan air dalam nama-Ku, kerana kamu pengikut al-Masih, pasti akan mendapat ganjarannya.
Menyebabkan orang lain berdosa
42 “Tetapi sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak yang percaya kepada-Ku ini berdosa, lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia dicampakkan ke dalam laut.
43 iJika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung sebelah tangan, daripada mempunyai dua tangan tetapi terhumban ke dalam neraka, ke dalam api yang tidak terpadam.
44 Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.
45 Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung, daripada memiliki dua kaki tetapi terhumban ke dalam neraka.
46 Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.
47 j“Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu. Lebih baik kamu memasuki kerajaan Allah dengan sebelah mata sahaja, daripada memiliki dua mata tetapi terhumban ke dalam neraka.
48 kDi sana
“ ‘cacingnya tidak akan mati, dan apinya tidak akan padam.’ ”
49 “Setiap orang akan disaluti api.
50 l“Garam itu baik, tetapi jika menjadi tawar, bagaimanakah garam dapat dimasinkan semula? Adakanlah garam pengukuh dalam dirimu, dan hiduplah rukun damai sesamamu.”
Perceraian
(Matius 19:1-9)
1 Setelah itu, Isa beredar dari situ lalu pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Ramai sekali orang yang datang kepada-Nya, dan seperti biasa, Dia pun mengajar mereka.
2 Beberapa orang dari mazhab Farisi datang kepada Isa dan menduga-Nya. Mereka bertanya, “Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya?”
3 Dia menjawab, “Apa yang diperintahkan oleh Musa kepadamu?”
4 aMereka berkata, “Musa membenarkan seseorang lelaki menulis surat cerai dan menyuruh isterinya pergi.”
5 Isa menjawab mereka, “Disebabkan hati kamu begitu tegar, Musa menuliskan peraturan itu.
6 bTetapi sejak alam dicipta, Allah ‘telah menjadikan lelaki dan perempuan.’
7 c‘Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya,
8 lalu mereka berdua menjadi satu.’ Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu.
9 Apa yang telah disatukan oleh Allah, janganlah manusia pisahkan.”
10 Di dalam rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya lagi kepada-Nya tentang hal ini.
11 dDia menjawab, “Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, berzina.
12 Begitu juga, jika seseorang wanita menceraikan suaminya dan berkahwin dengan lelaki lain, dia berzina.”
Isa memberkati kanak-kanak
13 Selepas itu, orang membawa kanak-kanak kecil kepada-Nya supaya Dia menyentuh mereka, tetapi pengikut-pengikut-Nya memarahi mereka.
14 Tetapi apabila Isa melihat hal itu, Dia sungguh tidak menyenanginya, lalu berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku, jangan larang mereka, kerana orang yang seperti itulah yang empunya Kerajaan Allah.
15 eSesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, tidak akan masuk ke dalamnya.”
16 Isa mendukung dan mendakap kanak-kanak kecil itu, meletakkan tangan-Nya ke atas mereka, dan memberkati mereka.
Orang yang kaya itu
17 Ketika Dia sedang melangkah ke jalan, seorang datang berlari-lari, berlutut kepada-Nya dan bertanya, “Wahai Guru yang baik, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?”
18 Isa berkata kepadanya, “Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada siapa yang baik kecuali Allah.
19 fEngkau mengetahui perintah-perintah Allah: ‘Jangan membunuh, jangan berzina, jangan mencuri, jangan memberi kesaksian palsu, jangan mungkir, hormatilah ibu bapamu.’ ”
20 Orang itu menjawab, “Ya Tuan Guru, semua ini telah kutaati dari usia muda lagi.”
21 Isa memandangnya dengan penuh kasih lalu berkata, “Ada satu kekuranganmu. Pergilah, jual segala yang ada padamu dan sedekahkan kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu datanglah dan ikut Aku.”
22 Tetapi orang itu sedih mendengar kata-kata ini lalu pergi dengan dukacita, kerana dia mempunyai banyak harta.
23 Kemudian Isa memandang sekeliling dan berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Betapa susahnya bagi orang kaya memasuki Kerajaan Allah!”
24 Para pengikut-Nya kehairanan mendengar kata-kata-Nya. Tetapi Isa berkata lagi, “Anak-anak-Ku, betapa susahnya untuk memasuki Kerajaan Allah!
25 Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.”
26 Para pengikut-Nya berasa sungguh hairan, lalu berkata sama sendiri, “Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?”
27 Sambil memandang mereka Isa menjawab, “Bagi manusia hal itu mustahil, tetapi tidak bagi Allah; tidak ada satu pun yang mustahil bagi Allah.”
28 Kemudian Petrus berkata kepada-Nya, “Kami telah meninggalkan segala-galanya untuk mengikut-Mu, ya Junjungan!”
29 Isa menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, setiap orang yang telah meninggalkan rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu bapa, anak-anak, atau ladang untuk-Ku dan untuk Injil
30 pasti akan menerima seratus kali ganda dalam dunia ini: rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak dan ladang—serta penganiayaan—dan pada kemudian hari, hidup kekal.
31 gTetapi ramai orang yang terdahulu akan menjadi terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang terdahulu.”
Isa memberitahu lagi tentang kematian-Nya
32 Ketika mereka dalam perjalanan, menuju ke Yerusalem, dan Isa mendahului mereka, maka mereka sungguh takjub. Sambil mengikut-Nya, mereka berasa takut. Kemudian Dia membawa pengikut-Nya yang dua belas itu ke samping lalu memberitahu mereka apa yang akan terjadi kepada-Nya.
33 Kata-Nya, “Dengarlah, kita sekarang pergi ke Yerusalem. Putera Insan akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya dan menyerahkan-Nya ke tangan bangsa yang tidak mengenal Allah.
34 Mereka akan mengejek-Nya, menyebat-Nya, meludahi-Nya, dan membunuh-Nya. Pada hari ketiga Dia akan bangkit semula.”
Permintaan Yakobus dan Yahya
(Matius 20:20-28)
35 Kemudian Yakobus dan Yahya, anak-anak Zabdi, datang kepada-Nya lalu berkata, “Ya Tuan Guru, kami mahu Engkau membuat apa-apa yang kami minta untuk diri kami.”
36 Isa bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu mahu Aku buat untukmu?”
37 Mereka berkata kepada-Nya, “Kurniailah kami duduk di kiri dan kanan-Mu dalam kemuliaan-Mu.”
38 hTetapi Isa berkata kepada mereka, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta itu. Sanggupkah kamu minum dari cawan yang Kuminum, dan diimadkan dengan pengimadan yang Kuterima?”
39 “Sanggup,” jawab mereka.
Isa berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan yang Kuminum dan diimadkan dengan pengimadan yang Kuterima.
40 Tetapi untuk duduk di kiri dan kanan-Ku bukanlah Aku memberikannya, tetapi tempat itu milik mereka yang telah disediakan bagi mereka.”
41 Apabila sepuluh pengikut Isa yang lain mendengar perkara itu, mereka marah kepada Yakobus dan Yahya.
42 iTetapi Isa memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, “Kamu tahu bahawa orang yang dianggap sebagai pemerintah bangsa yang tidak mengenal Allah memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka.
43 jIni tidak harus berlaku dalam kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu.
44 Sesiapa yang ingin menjadi orang yang pertama haruslah menjadi hamba kepada semua.
45 Demikianlah Putera Insan juga datang bukan untuk dilayan tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.”
Isa menyembuhkan Bartimeus
46 Setelah itu, mereka tiba di Yerikho. Kemudian, ketika Dia keluar dari situ dengan pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai itu, seorang buta bernama Bartimeus bin Timeus, sedang duduk mengemis di tepi jalan.
47 Ketika dia mendengar bahawa yang lalu itu Isa orang Nazaret, dia berseru, “Ya Isa, ya Anak Daud, kasihanilah aku!”
48 Ramai orang memarahinya dan menyuruhnya diam, tetapi dia semakin kuat berseru, “Ya Anak Daud, kasihanilah aku!”
49 Oleh itu, Isa berhenti dan memberikan perintah supaya dia dipanggil.
Mereka pun memanggil orang buta itu sambil berkata, “Bergembiralah! Dan bangkitlah! Dia memanggilmu.”
50 Orang buta itu mencampakkan jubahnya ke tepi lalu bangkit dan pergi kepada Isa.
51 Kata Isa kepadanya, “Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?”
Jawab orang itu, “Ya Tuan Guru, aku ingin melihat.”
52 Isa menjawab, “Pergilah, imanmu telah menyembuhkanmu.” Serta-merta orang itu dapat melihat, lalu mengikut Isa dalam perjalanan-Nya.
Isa masuk ke Yerusalem
1 Apabila mereka sudah berhampiran Yerusalem, di Baitfagi dan Baitani, di Bukit Zaitun, Isa mengutus dua orang pengikut-Nya,
2 kata-Nya, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Sebaik-baik kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke mari.
3 Jika sesiapa bertanya kepadamu, ‘Mengapa kau berbuat demikian?’ katakan, ‘Junjungan memerlukannya, dan Dia akan segera memulangkannya.’ ”
4 Mereka pun pergi dan mendapati anak keldai itu tertambat di pintu di tepi jalan, lalu mereka melepaskannya.
5 Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu buat, melepaskan anak keldai itu?”
6 Mereka menjawab seperti yang diperintahkan oleh Isa, lalu mereka dibenarkan pergi.
7 Mereka membawa anak keldai itu kepada Isa dan mengalasnya dengan jubah mereka. Isa pun duduk di atas anak keldai itu.
8 Ramai orang membentangkan jubah mereka di atas jalan. Yang lain memotong dahan rimbun daripada pokok-pokok di situ dan meletakkannya sepanjang jalan.
9 aSetelah itu, mereka yang berjalan di hadapan dan yang mengikut dari belakang berseru,
“Segala puji bagi Allah!”
“Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!”
10 “Diberkatilah kerajaan yang datang, iaitu kerajaan nenek moyang kita Daud!”
“Segala puji di tempat yang maha tinggi!”
11 Isa masuk ke Yerusalem dan terus masuk ke dalam Bait Allah. Setelah Dia melihat semuanya, kerana hari sudah lewat petang, Dia pun pergi ke Baitani dengan pengikut-Nya yang dua belas itu.
Isa mengutuk pokok ara
(Matius 21:18-19)
12 Esoknya, setelah mereka keluar dari Baitani, Isa berasa lapar.
13 Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara.
14 Oleh itu Isa berkata kepada pokok itu, “Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.” Para pengikut-Nya mendengar kata-kata itu.
Isa membersihkan Bait Allah
15 Apabila sampai di Yerusalem, Isa masuk ke Bait Allah dan mengusir orang yang berjual beli di dalam Bait Allah. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati.
16 Dia tidak membenarkan siapa pun mengangkat barangan melalui Bait Allah.
17 bKemudian Dia mengajar mereka, kata-Nya, “Tidakkah tersurat: ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa bagi semua bangsa’? Tetapi kamu telah menjadikannya ‘sarang pencuri.’ ”
18 Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam mendengarnya lalu mencari jalan hendak membinasakan Isa, kerana mereka takut kepada-Nya, memandangkan semua orang mengagumi ajaran-Nya.
19 Setelah lewat petang, Isa keluar dari kota itu.
Pokok ara yang sudah kering
(Matius 21:20-22)
20 Pada pagi esoknya, ketika mereka lalu di situ, mereka melihat pokok ara itu telah layu kering daripada akarnya.
21 Petrus teringat lalu berseru, “Ya Tuan Guru, lihat! Pokok ara yang Engkau sumpah itu telah mati.”
22 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Berimanlah kepada Allah.
23 cSesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,’ tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu.
24 Oleh itu, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam doa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya.
25 dSetiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu.
26 Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.”
Kekuasaan Isa dipersoalkan
27 Selepas itu, mereka masuk semula ke Yerusalem. Sedang Dia berjalan di dalam Bait Allah, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para tua-tua datang kepada-Nya.
28 Mereka berkata kepada-Nya, “Dengan kuasa apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa untuk melakukannya?”
29 Tetapi Isa menjawab, “Aku juga akan bertanya satu soalan kepadamu. Jawablah soalan-Ku, maka Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara itu.
30 Pengimadan Yahya daripada syurga atau daripada manusia? Jawablah soalan-Ku!”
31 Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga’, Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’
32 Tetapi, apa pula kalau kita berkata, ‘Daripada manusia!’ ” (Mereka takut akan orang ramai itu yang semuanya menganggap Yahya seorang nabi.)
33 Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.”
Isa berkata, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.”
Ibarat tentang penyewa ladang
1 aSetelah itu, Dia mula berkata-kata kepada mereka melalui ibarat: “Seorang peladang menanam anggur, memasang pagar sekeliling ladangnya, menggali lubang untuk tempat memeras anggur, dan membina menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang lalu pergi ke negeri lain.
2 Apabila tiba musim memetik, peladang itu menghantar seorang hambanya untuk meminta bahagiannya daripada hasil ladang anggur itu.
3 Tetapi para penyewa ladang menangkap dan memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong.
4 Peladang itu menghantar seorang lagi hambanya. Mereka memukulnya, menyebabkannya luka di kepala dan menyuruhnya pergi setelah diperlakukan sebegitu kejinya.
5 Selepas itu, dia menghantar seorang lagi hambanya, dan mereka membunuh hamba itu. Ramai lagi dihantar, ada yang dibunuh dan ada yang dipukul.
6 “Oleh yang demikian, kerana dia masih ada seorang putera yang amat dikasihinya, dia menghantarnya sebagai utusan terakhir, sambil berkata dalam hatinya, ‘Mereka akan menghormati puteraku.’
7 “Tetapi para penyewa ladang berkata sesama sendiri, ‘Ini warisnya. Mari kita bunuh dia, supaya harta warisannya menjadi milik kita.’
8 Mereka pun menangkap dan membunuhnya lalu mencampakkannya ke luar ladang itu.
9 “Jadi, apa yang akan dilakukan oleh tuan ladang anggur itu? Dia akan datang dan membinasakan para penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada orang lain.
10 bBelum pernahkah kamu baca dalam Kitab Suci:
“‘Batu yang dibuang oleh pembina
telah menjadi batu penjuru;
11 Inilah perbuatan Tuhan,
sungguh hebat di mata kami.’”
12 Mereka cuba menangkap Isa kerana mereka tahu ibarat itu ditujukan terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu, mereka meninggalkan-Nya dan pergi dari situ.
Membayar cukai kepada Kaisar
13 Kemudian mereka menghantar kepada-Nya beberapa orang dari mazhab Farisi dan golongan Herodes, untuk memerangkap-Nya melalui kata-kata-Nya.
14 Orang yang dihantar itu berkata kepada-Nya, “Tuan Guru, kami tahu bahawa Engkau ikhlas. Engkau tidak takut kepada sesiapa pun kerana Engkau tidak pilih kasih, hanya mengajar Jalan Allah berdasarkan yang benar. Wajarkah membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?
15 Patutkah kami bayar, ataupun tidak?”
Tetapi Isa tahu bahawa mereka itu munafik lalu berkata, “Mengapa kamu menduga-Ku? Bawakan sekeping wang dinar untuk Kulihat.”
16 Mereka pun membawakannya kepada Isa dan Dia pun bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?”
“Kaisar,” jawab mereka.
17 Lalu Isa berkata kepada mereka, “Berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.” Mereka tercengang mendengar kata-kata-Nya.
Perkahwinan pada hari kebangkitan
18 cSelepas itu orang dari mazhab Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Isa lalu bertanya,
19 d“Tuan Guru, Musa menulis untuk kami bahawa jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya.
20 Kesemuanya ada tujuh adik-beradik lelaki. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak.
21 Yang kedua berkahwin dengan balu saudaranya, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Begitu juga yang ketiga.
22 Ketujuh-tujuhnya mengahwini wanita itu dan meninggal dunia tanpa anak. Akhirnya wanita itu juga meninggal dunia.
23 Jadi, pada hari kebangkitan ketika mereka bangkit daripada kematian, isteri siapakah wanita itu? Ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.”
24 Isa menjawab, “Tidakkah kamu tersilap, kerana kamu tidak memahami baik Kitab Suci mahupun kuasa Allah?
25 Apabila mereka bangkit daripada kematian, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga.
26 eTetapi tentang kebangkitan orang mati, tidakkah kamu baca dalam kitab Musa, bahagian tentang belukar yang bernyala, betapa Allah berfirman kepadanya, ‘Akulah Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub.’
27 Dia bukanlah Tuhan yang disembah oleh orang mati, tetapi Tuhan orang hidup. Oleh itu, kamu tersilap sama sekali!”
Perintah yang terutama
28 Seorang ahli Taurat datang mendengar mereka bersoal jawab. Dia menyedari bahawa Isa telah menjawab dengan baik. Dia pun bertanya kepada-Nya, “Perintah manakah yang terutama?”
29 fIsa menjawab, “Yang terutama antara semua perintah ialah: ‘Dengarlah, wahai umat Israel, Allah, Tuhan kita, adalah Tuhan Yang Maha Esa.
30 Kasihilah Allah, Tuhanmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.’ Inilah perintah yang terutama.
31 gPerintah yang kedua ialah: ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini.”
32 hAhli Taurat itu berkata kepada Isa, “Sungguh baik jawapan, ya Tuan Guru. Kata-kata Engkau itu benar, kerana Allah itu Esa, dan tiada yang lain daripada-Nya.
33 iMengasihi-Nya dengan sepenuh hati, dengan sepenuh fikiran, dengan sepenuh jiwa, dan dengan sepenuh kekuatan, serta mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri, adalah lebih utama daripada segala korban persembahan dan korban bakaran.”
34 jIsa menyedari bahawa jawapan itu bijaksana, lalu berkata kepadanya, “Kamu tidak jauh daripada kerajaan Allah.” Selepas itu, tiada siapa yang berani menyoal-Nya apa-apa lagi.
Pertanyaan tentang Isa dan Nabi Daud
35 Kemudian, ketika mengajar di Bait Allah, Isa berkata, “Bagaimanakah ahli-ahli Taurat dapat mengatakan bahawa al-Masih itu anak Daud?
36 kKerana Daud sendiri berkata dengan panduan Roh Allah Yang Maha Suci:
“‘Tuhan berfirman kepada Junjunganku:
“Duduklah di kanan-Ku
sehingga Kujadikan segala musuh-Mu alas kaki-Mu.”’
37 Jadi, Daud sendiri memanggil-Nya ‘Junjungan.’ Bagaimana mungkin Dia anaknya?”
Orang ramai mendengar kata-kata Isa dengan sukacita.
38 Dia mengajar mereka lagi, “Awas ahli-ahli Taurat, yang suka ke sana sini berjubah labuh, suka diberi salam hormat di pasar,
39 suka duduk di kerusi khas di saumaah dan tempat terhormat di majlis jamuan.
40 Mereka merampas rumah balu tetapi kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Mereka ini akan menerima hukuman yang lebih berat.”
Persembahan seorang balu
(Lukas 21:1-4)
41 Isa duduk berhadapan dengan peti wang persembahan dan melihat betapa orang memasukkan wang ke dalamnya. Ramai orang kaya memasukkan sumbangan yang besar.
42 Kemudian seorang balu yang miskin memasukkan dua keping wang tembaga, yang sangat kecil nilainya.
43 Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, balu yang miskin itu telah memberi lebih daripada semua orang yang telah memasukkan wang ke dalam peti persembahan;
44 kerana mereka memberi daripada kekayaan mereka yang melimpah, tetapi dia daripada kemiskinannya telah memasukkan semua yang ada padanya, seluruh rezekinya.”
Tanda-tanda akhir zaman
1 Ketika Isa sedang melangkah keluar dari Bait Allah, seorang pengikut-Nya berkata, “Ya Tuan Guru, lihatlah batu dan bangunan yang luar biasa di sini!”
2 Isa menjawab, “Adakah kamu melihat bangunan yang hebat-hebat ini? Tiada seketul pun batunya akan tinggal tersusun, semuanya akan dirobohkan.”
3 Ketika Dia duduk di atas Bukit Zaitun setentang dengan Bait Allah, pengikut-Nya Petrus, Yakobus, Yahya dan Andreas bertanya kepada-Nya secara peribadi,
4 “Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan terjadi? Apakah tanda-tandanya semua ini akan terjadi seperti yang telah dikatakan?”
5 Isa mula berkata kepada mereka, “Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun!
6 Ramai akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah Dia.’ Mereka akan membuat ramai orang terperdaya.
7 Apabila kamu mendengar peperangan dan desas-desus peperangan, jangan gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman.
8 Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Gempa bumi akan berlaku di merata-rata, dan juga kebuluran. Segala ini cuma permulaan kesakitan sebelum bersalin.
9 a“Berhati-hatilah tentang dirimu, kerana mereka akan mengheretmu ke hadapan majlis dan memukulmu di dalam saumaah. Kamu akan dibawa kepada pemerintah dan raja kerana-Ku, untuk memberikan kesaksian kepada mereka.
10 Injil mesti disebarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa.
11 Apabila mereka menangkapmu dan menyerahkanmu kepada pihak berkuasa, janganlah khuatir apa yang akan kamu katakan. Tetapi apa yang diberitahu kepadamu pada waktu itu, tuturkanlah, kerana yang bertutur itu Roh Allah Yang Maha Suci, bukanlah kamu.
12 “Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap ibu bapa, lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh.
13 bKamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan.
14 c“Apabila kamu melihat ‘kekejian yang membawa kebinasaan’ berdiri di tempat terlarang baginya (hendaklah para pembaca memperhatikan ertinya) orang yang ada di Yudea mesti lari ke pergunungan.
15 dOrang yang di atas bumbung ketika itu janganlah turun atau masuk ke rumah untuk mengambil apa-apa.
16 Yang di ladang usahlah pulang mengambil pakaian.
17 Malanglah ibu yang mengandung dan yang menyusui anak pada masa itu!
18 Berdoalah semoga hal-hal itu tidak terjadi pada musim dingin.
19 ePada masa itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta Allah hingga waktu itu dan tidak akan pernah berlaku lagi.
20 Kalaulah Tuhan tidak menyingkatkan masa itu, tiada seorang pun akan selamat. Namun demikian, demi umat pilihan yang dipilih-Nya, masa itu disingkatkan-Nya.
21 Pada waktu itu, jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat, al-Masih ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia ada di sana!’ janganlah percaya;
22 kerana beberapa almasih palsu dan nabi palsu akan muncul dan menunjukkan pelbagai tanda serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk umat yang telah dipilih Allah.
23 Berhati-hatilah. Lihat, Aku telah memberitahumu semua ini sebelum terjadi.
24 f“Pada masa itu, selepas kesengsaraan,
“‘Matahari akan dikelamkan, dan bulan tidak akan bersinar lagi;
25 gbintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang.’
26 h“Kemudian mereka akan melihat Putera Insan datang dalam awan penuh dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.
27 Setelah itu, Dia akan menghantar para malaikat-Nya dan menghimpunkan umat pilihan-Nya dari empat mata angin, dari hujung bumi ke hujung langit.
28 “Sekarang, kajilah ibarat daripada pokok ara: Apabila dahan-dahannya sudah melembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba.
29 Begitulah juga kamu. Apabila kamu melihat perkara-perkara ini, ketahuilah kamu bahawa waktunya hampir tiba, sudah di ambang pintu!
30 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan zaman ini tidak akan luput sebelum segalanya ini terjadi.
31 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.”
Hari dan masa tidak diketahui
32 i“Tetapi tentang hari atau waktunya tiada siapa yang tahu baik para malaikat di syurga mahupun Putera. Hanya Bapa yang tahu.
33 Berhati-hatilah! Berjaga dan berdoa! Kerana kamu tidak tahu bila saatnya.
34 jUmpama seorang yang berpergian: Dia meninggalkan rumahnya dan memberikan kekuasaan kepada hamba-hambanya, setiap orang dengan tugasnya serta memerintahkan penjaga pintu supaya berjaga-jaga.
35 Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu bila tuan rumah akan pulang – pada waktu petang, atau tengah malam, ketika ayam berkokok, atau pada waktu pagi –
36 takut kalau-kalau dia datang tiba-tiba dan mendapatimu sedang tidur.
37 Apa yang Kukatakan kepadamu, Kukatakan kepada semua: ‘Berjagalah!’”
Isa diurapi
1 aDua hari lagi akan tibalah Perayaan Paskah dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat mencari jalan untuk memerangkap Isa secara tipu daya dan membunuh-Nya.
2 Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.”
3 bKetika itu Isa berada di Baitani di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Isa duduk bertelekan di meja, seorang wanita datang membawa kendi pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Isa.
4 Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, “Mengapa dibazirkan minyak wangi ini?
5 Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang dinar dan wangnya disedekahkan kepada orang miskin.” Mereka memarahi wanita itu.
6 Tetapi Isa berkata, “Biarkan dia begitu. Mengapakah kamu menyusahkannya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku.
7 cOrang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu.
8 Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia menuangkan minyak wangi ke atas tubuh-Ku sebagai persiapan bagi pengebumian-Ku.
9 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.”
10 Selepas itu Yudas Iskariot, seorang daripada pengikut Isa yang dua belas itu, pergi kepada ketua-ketua imam untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan-Nya kepada mereka.
11 Ketika mendengar kata-katanya mereka pun sukacita dan berjanji akan memberinya wang. Sejak itu Yudas mencari peluang untuk mengkhianati Isa.
Isa makan Paskah dengan pengikut-pengikut-Nya
12 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paskah, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, “Ya Junjungan, di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paskah untuk-Mu?”
13 Dia menghantar dua orang pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia.
14 Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, ‘Tuan Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan pengikut-pengikut-Ku?’
15 Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.”
16 Kedua-dua pengikut-Nya itu berangkat pergi ke kota, dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Isa kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah.
17 Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama pengikut-pengikut-Nya yang dua belas itu.
18 dSedang mereka duduk menikmati jamuan, Isa berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.”
19 Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, “Akukah orang itu, ya Junjungan?”
20 Isa menjawab, “Dia seorang daripada dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas.
21 Putera Insan memanglah harus pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Putera Insan! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.”
22 Ketika mereka sedang makan, Isa mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah, ini tubuh-Ku.”
23 Kemudian Dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum dari cawan itu.
24 eDia berkata kepada mereka, “Ini darah perjanjian-Ku yang ditumpahkan untuk ramai orang.
25 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.”
26 Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.
Petrus akan menyangkal Isa
27 fLalu Isa berkata kepada mereka, “Malam ini, iman kamu semua akan goyah kerana-Ku, seperti yang telah tersurat, ‘Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.’”
28 g“Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.”
29 Petrus berkata kepada-Nya, “Kalaupun semua yang lain tergoyah imannya, ya Junjungan, aku tidak akan goyah.”
30 Isa berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.”
31 Tetapi Petrus berkata dengan lebih tegas lagi, “Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu, ya Junjungan.” Semua yang lain pun berkata demikian.
Isa di Getsemani
32 Mereka sampai di suatu tempat yang dinamakan Getsemani. Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.”
33 Dia membawa Petrus, Yakobus dan Yahya bersama-Nya, dan Dia mula berasa gundah dan resah.
34 Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini, dan berjagalah.”
35 Dia pergi jauh sedikit lagi, lalu sujud ke tanah, dan berdoa kalau dapat, saat itu diedarkan daripada-Nya.
36 Kata-Nya, “Ya Abba, ya Bapa, segala-galanya dapat Kaulakukan. Edarkanlah cawan ini daripada-Ku. Namun demikian, bukanlah kehendak-Ku tetapi kehendak-Mu yang terlaksana.”
37 Kemudian Dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka tertidur, lalu Dia berkata kepada Petrus, “Simon, kamu tidurkah? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga?
38 Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.”
39 Dia pergi berdoa lagi, dengan kata-kata yang sama.
40 Apabila Dia kembali, didapati-Nya mereka telah tertidur lagi, kerana mata mereka amat mengantuk. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada-Nya.
41 Setelah Dia datang kepada mereka bagi kali ketiga, Dia berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Cukuplah! Waktunya sudah tiba. Lihat, Putera Insan sedang dikhianati dan diserahkan ke tangan orang berdosa.
42 Bangunlah! Mari kita pergi! Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba!”
Isa ditangkap
43 Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada pengikut-Nya yang dua belas itu, iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para tua-tua.
44 Pengkhianat Isa telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: “Yang kucium nanti, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.”
45 Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Isa sambil berkata, “Tuan Guru!”* lalu mencium-Nya.
46 Mereka pun menangkap Isa dan membawa-Nya pergi.
47 Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba Imam Besar, sehingga terputus telinganya.
48 Isa berkata kepada mereka, “Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi?
49 hSetiap hari Aku kalanganmu, mengajar di Bait Allah, dan kamu menangkap-Ku. Tetapi yang tersurat dalam Kitab Suci mestilah terlaksana.”
50 Setelah itu, semua pengikut Isa meninggalkan-Nya dan masing-masing melarikan diri.
51 Seorang pemuda mengikut-Nya, dengan hanya sehelai kain linen membalut tubuhnya. Pemuda-pemuda lain menangkapnya,
52 lalu dia melucutkan kain linen itu dan melarikan diri daripada mereka dalam keadaan telanjang.
Isa di hadapan Majlis Agama
53 Isa dibawa kepada Imam Besar. Bersamanya berhimpun semua ketua imam, tua-tua, dan ahli-ahli Taurat.
54 Petrus mengikut Isa dari jauh, turut masuk ke laman dalam rumah Imam Besar, dan duduk dalam kalangan hamba, berdiang di situ.
55 Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Isa supaya dapat membunuh-Nya, tetapi mereka tidak berjaya.
56 Ramai yang memberi kesaksian palsu terhadap-Nya, tetapi kesaksian mereka semua bercanggah.
57 Kemudian beberapa orang bangkit memberi kesaksian palsu terhadap-Nya dengan berkata,
58 i“Kami telah mendengar Dia berkata, ‘Aku akan membinasakan Bait Allah yang diperbuat dengan tangan ini, dan dalam tiga hari Aku akan membina Bait Allah yang diperbuat tanpa tangan.’ ”
59 Tetapi kesaksian mereka masih bercanggah.
60 Imam Besar bangkit berdiri di tengah-tengah kesaksian itu lalu bertanya kepada Isa, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?”
61 Tetapi Isa berdiam diri, tidak menjawab sepatah pun.
Imam Besar itu bertanya lagi kepada-Nya, “Adakah Kamu al-Masih, Putera yang datang dari Yang Terpuji?”
62 jIsa menjawab, “Ya, Akulah Dia. Kamu akan melihat Putera Insan duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.”
63 Imam Besar itu lalu mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Adakah kita perlukan saksi lagi?
64 kKamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya sendiri! Apakah pendapatmu?”
Lalu mereka semua menjatuhkan hukum ke atas-Nya, bahawa Dia patut dibunuh.
65 Kemudian sesetengah mereka mulai meludahi-Nya, membalut mata-Nya lalu memukul-Nya dan berkata kepada-Nya, “Bernubuatlah!” Pengawal-pengawal pula menampar-Nya.
Petrus menyangkal Isa
66 Petrus ada di bawah, di laman dalam. Seorang hamba perempuan Imam Besar datang ke situ.
67 Apabila dia melihat Petrus sedang berdiang memanaskan tubuhnya, dia memandang Petrus dan berkata, “Kamu juga bersama Isa orang Nazaret.”
68 Petrus menyangkal, katanya, “Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan.” Dia keluar ke serambi depan, lalu ayam berkokok.
69 Hamba perempuan itu melihatnya lagi, lalu mula berkata kepada orang yang berdiri di situ, “Ini seorang daripada mereka.”
70 Petrus menyangkalnya lagi.
Sejurus kemudian, mereka yang berdiri di situ berkata pula kepada Petrus, “Sudah tentu kamu seorang daripada mereka, kerana kamu orang Galilea.”
71 Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang yang kaukatakan itu!”
72 Ayam pun berkokok bagi kali kedua. Lalu Petrus teringat kata-kata Isa kepadanya: “Sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.” Memikirkan perkara itu, Petrus menangis dengan kesalnya.
Isa di hadapan Pilatus
1 Awal-awal pagi lagi ketua-ketua imam segera bermesyuarat dengan para tua-tua, ahli Taurat dan seluruh Majlis Agama. Kemudian mereka mengikat Isa, membawa-Nya pergi dan menyerahkan-Nya kepada Pilatus.
2 Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah Engkau raja orang Yahudi?” Isa menjawab, “Begitulah seperti katamu.”
3 Kemudian ketua-ketua imam melemparkan pelbagai tuduhan terhadap-Nya.
4 Pilatus bertanya lagi kepada-Nya, “Tidakkah Engkau mahu menjawab apa-apa? Lihat betapa banyaknya tuduhan mereka terhadap-Mu?”
5 Tetapi Isa masih tidak menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus kehairanan.
6 Pada waktu perayaan, lazimnya Pilatus membebaskan dari penjara seorang yang diminta oleh mereka.
7 Ada seorang bernama Barabas yang dirantaikan bersama beberapa orang pemberontak lain. Mereka telah melakukan pembunuhan dalam pemberontakan itu.
8 Orang ramai mula berseru lantang meminta Pilatus membebaskan seorang dari penjara seperti yang biasa dilakukannya.
9 Pilatus bertanya, “Adakah kamu mahu aku membebaskan kepadamu raja orang Yahudi?”
10 oleh sebab dia tahu bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati.
11 Tetapi ketua-ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan kepada mereka.
12 Pilatus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, apa yang kamu mahu kulakukan kepada Dia yang kamu panggil raja orang Yahudi?”
13 Mereka berseru lagi dengan kuatnya, “Salibkan Dia!”
14 Kata Pilatus kepada mereka, “Mengapa? Apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?”
Tetapi mereka semakin kuat berseru, “Salibkan Dia!”
15 Oleh itu, untuk memuaskan hati orang ramai itu, Pilatus membebaskan Barabas kepada mereka. Setelah menyebat Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
Isa diolok-olokkan
16 Kemudian para askar membawa-Nya ke dewan istana yang dipanggil Praetorium, lalu menghimpunkan seluruh pasukan tentera yang ada di situ.
17 Mereka mengenakan jubah ungu pada tubuh-Nya, dan membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala-Nya.
18 Kemudian mereka menyindir-Nya, “Daulat Tuanku, raja orang Yahudi!”
19 Mereka memukul kepala-Nya dengan mensiang, meludahi-Nya, kemudian tunduk menyembah-Nya.
20 Setelah mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya. Lalu mereka membawa-Nya untuk disalib.
Isa disalib
21 aKetika itu seorang yang bernama Simon, orang Kirene, bapa kepada Iskandar dan Rufus sedang lalu di situ. Dia baru sahaja datang dari luar bandar. Kemudian mereka memaksanya mengangkat salib Isa.
22 Mereka membawa-Nya ke tempat yang dipanggil Golgota (bermaksud Tempat Tengkorak).
23 Kemudian mereka memberi-Nya air anggur bercampur damar wangi, tetapi Dia enggan meminumnya.
24 bSetelah mereka menyalib-Nya, mereka membahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi.
Raja Orang Yahudi.
27 cMereka menyalib dua orang perompak bersama Isa, seorang di kanan dan seorang di kiri-Nya.
28 Dengan demikian terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci: “Dan Dia digolongkan dengan penjahat.”
29 dSemua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Isa. Mereka berkata, “Kamu mahu memusnahkan Bait Allah dan membinanya semula dalam tiga hari!
30 Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah diri-Mu!”
31 Begitu jugalah ketua-ketua imam dan ahli Taurat turut memperolok-olokkan Isa. Mereka berkata sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang, tetapi tidak dapat menyelamatkan diri-Nya sendiri!
32 Kiranya al-Masih ini, Raja orang Yahudi, turunlah dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepada-Nya!” Orang yang disalib bersama Isa pun mencela-Nya.
Kewafatan Isa
33 Pada tengah hari hingga tiga petang, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan.
34 ePada pukul tiga petang, Isa berseru dengan suara yang lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” Ertinya, “Ya Allah, ya Allah, mengapa Kautinggalkan Aku?”
35 Beberapa orang di situ mendengar seruan itu dan berkata, “Dengarlah, Dia memanggil Ilyas.”
36 fSeorang daripada mereka berlari mengambil span lalu mencelupnya ke dalam air anggur masam. Kemudian dia mencucukkan span itu di hujung sebatang mensiang dan menawarkannya kepada Isa untuk minum, sambil berkata, “Kita menunggu, kalau-kalau Ilyas datang menurunkan-Nya dari salib.”
37 Isa berseru dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir.
38 gSejurus kemudian, tirai di dalam Bait Allah terbelah dua, dari atas hingga ke bawah.
39 Ketua tentera yang berdiri di hadapan salib itu melihat semua ini lalu berkata, “Benarlah Dia Putera Allah!”
40 hBeberapa orang wanita menyaksikan segala-galanya dari jauh. Antara mereka ialah Maryam dari Magdala, serta Maryam ibu Yakobus Muda dan Yoses, serta Salome.
41 Mereka wanita yang mengikut dan menolong Isa ketika Dia di Galilea. Ada ramai juga wanita yang datang ke Yerusalem bersama-sama dengan Isa.
Isa dimakamkan
42 Hari sudah lewat petang. Hari itu Hari Persediaan, iaitu sehari sebelum hari Sabat.
43 Yusuf dari Arimatea, seorang ahli terkemuka Majlis Agama yang sedang menunggu kerajaan Allah, datang lalu memberanikan hatinya menghadap Pilatus dan memohon untuk mengambil jenazah Isa.
44 Pilatus hairan mendengar Isa sudah pun meninggal dunia, lalu memanggil ketua tentera dan bertanya sama ada Isa sudah meninggal.
45 Setelah mendengar laporan ketua tentera itu, dia pun menyerahkan jenazah Isa kepada Yusuf.
46 Yusuf membeli kain linen yang baik, menurunkan jenazah Isa dan mengafankannya dengan kain itu. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam yang telah digali di permukaan batu pejal, lalu menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu.
47 Maryam dari Magdala dan Maryam ibu Yoses memerhatikan tempat makam itu.
Kebangkitan Isa
1 Setelah tamat hari Sabat, Maryam dari Magdala, Maryam ibu Yakobus, dan Salome membeli ramuan rempah untuk melumuri jenazah Isa.
2 Pada awal pagi hari pertama minggu itu, mereka sampai di makam itu ketika matahari terbit.
3 Mereka berkata-kata sesama sendiri, “Siapa yang akan menggulingkan batu daripada pintu makam untuk kita?”
4 Apabila mereka memandang makam itu, mereka mendapati batu yang sangat besar itu telah pun digulingkan.
5 Mereka masuk ke dalam makam itu dan melihat seorang pemuda berjubah putih sedang duduk di sebelah kanan; mereka sungguh terkejut dan ketakutan.
6 Tetapi dia berkata kepada mereka, “Jangan takut. Kamu mencari Isa orang Nazaret, yang telah disalib. Dia telah bangkit semula! Dia tidak ada di sini. Lihatlah tempat mereka baringkan jenazah-Nya.
7 aTetapi, pergilah, beritahu pengikut-pengikut-Nya, termasuk Petrus, bahawa Dia mendahuluimu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya, seperti yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.”
8 Mereka pun segera keluar dan berlari meninggalkan makam itu, kerana mereka gementar dan kehairanan. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa, kerana mereka takut.
Isa menampakkan diri kepada pengikut-Nya.
9 Setelah Isa bangkit semula pada awal pagi hari pertama minggu itu, pertama sekali Dia menampakkan diri-Nya kepada Maryam dari Magdala yang telah disembuhkan-Nya daripada dirasuk tujuh roh iblis dahulu.
10 Maryam pun pergi memberitahu pengikut-pengikut-Nya yang sedang berkabung dan menangis.
11 Ketika mendengar bahawa Isa hidup dan telah dilihat oleh Maryam, mereka tidak percaya.
12 Selepas itu, Dia menampakkan diri dengan cara lain kepada dua orang daripada mereka ketika mereka sedang berjalan ke desa.
13 Kedua-dua orang pengikut Isa itu segera pergi memberitahu yang lain, tetapi mereka juga tidak percaya.
14 Kemudian Dia menampakkan diri kepada kesemua pengikut-Nya yang sebelas itu ketika mereka sedang makan. Dia menegur sikap mereka yang tidak percaya dan keras hati, kerana mereka tidak mempercayai orang yang telah melihat-Nya setelah Dia bangkit semula.
15 bDia berkata kepada mereka, “Pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan.
16 Sesiapa yang percaya dan diimadkan akan diselamatkan, tetapi sesiapa yang tidak percaya akan dihukum.
17 Tanda-tanda ini akan menyertai mereka yang percaya: Dengan nama-Ku mereka akan menghalau roh-roh iblis, dan mereka akan bertutur dalam bahasa-bahasa baru.
18 Mereka akan memegang ular tanpa mudarat. Kiranya mereka terminum racun, mereka tetap selamat. Mereka akan meletakkan tangan pada orang sakit dan orang itu akan sembuh.”
19 cSetelah Isa, Junjungan Yang Ilahi, berkata-kata dengan mereka, Dia disambut naik ke syurga lalu duduk di kanan Allah.
20 Para pengikut-Nya pergi menyampaikan perkhabaran Injil di serata dunia. Tuhan bekerja bersama mereka, mengesahkan firman dengan iringan tanda-tanda ajaib.