Wahyu
1
Pendahuluan
1 Inilah wahyu Isa al-Masih yang dinyatakan Allah kepada-Nya supaya Dia menyampaikan kepada hamba-hamba-Nya segala yang pasti segera terjadi. Al-Masih menghantarkan malaikat-Nya untuk memberitahukan perkara-perkara itu kepada hamba-Nya Yahya. 2 Maka Yahya pun bersaksi tentang semua yang telah dilihatnya iaitu Firman Allah dan kesaksian Isa al-Masih. 3 Diberkatilah orang yang membaca kata-kata nubuat ini dan mendengarnya serta mematuhi apa yang tersurat dalamnya, kerana masanya sudah dekat.
Salam kepada tujuh jemaah
4 aDaripada Yahya kepada tujuh jemaah di Asia Kecil:
 
Rahmat dan kesejahteraan kepadamu daripada Allah, iaitu Dia yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang, juga daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, 5 bdan daripada Isa al-Masih, Saksi Setia. Dialah yang pertama dibangkitkan daripada kalangan orang mati dan Dialah Raja kepada sekalian raja dunia.
 
Isa mengasihi kita, maka Dia membebaskan kita daripada segala dosa kita dengan darah-Nya 6 cserta menjadikan kita suatu kerajaan, dan imam bagi Allah, Bapa-Nya. Bagi-Nyalah kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
 
7 dLihatlah, Dia datang dalam awan! Seluruh umat manusia akan melihat-Nya, termasuk mereka yang telah menikam Dia. Semua suku bangsa di bumi akan berkabung kerana Dia. Ya, tentu sekali. Amin.
 
8 e“Akulah Alif dan Ya,” demikian firman Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa, yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang.
Penglihatan di Patmos
9 Aku, Yahya, saudara dan temanmu yang turut serta dalam kesengsaraan, kerajaan dan ketabahan dalam Isa, berada di Pulau Patmos kerana firman Allah dan kesaksian Isa. 10 Pada hari Tuhan, Roh menguasaiku, lalu aku mendengar suara yang lantang, seperti bunyi sangkakala, berkata-kata di belakangku. 11 Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang kaulihat dan hantarkan kitab itu kepada tujuh jemaah: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia dan Laodikia.”
12 Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata itu. Kulihat tujuh kaki pelita daripada emas. 13 fDi tengah-tengah kaki pelita itu kelihatan suatu susuk seakan-akan Putera Insan, berjubah labuh sampai ke kaki dan memakai seutas pending emas yang meliliti dada-Nya. 14 g hRambut-Nya putih seperti kapas dan mata-Nya menyala-nyala laksana api. 15 iKaki-Nya bersinar umpama gangsa digilap di dalam relau dan suara-Nya ibarat deru air terjun yang hebat. 16 Tangan kanan-Nya memegang tujuh bintang dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang mata dua yang tajam. Wajah-Nya bersinar-sinar laksana matahari pada waktu tengah hari.
17 jApabila aku melihat-Nya, rebahlah aku di kaki-Nya seolah-olah tidak bernyawa lagi. Dia meletakkan tangan kanan-Nya ke atasku lalu berfirman, “Janganlah takut! Akulah Yang Pertama dan Yang Terakhir. 18 Akulah Dia yang hidup. Aku pernah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku memegang anak kunci kematian dan alam maut. 19 Oleh itu, tuliskanlah apa yang kaulihat, baik yang ada sekarang mahupun yang akan terjadi. 20 Inilah maksud perlambangan tujuh bintang yang kaulihat di tangan kanan-Ku dan tujuh kaki pelita daripada emas itu. Tujuh bintang itu melambangkan para malaikat jemaah di tujuh tempat itu manakala tujuh kaki pelita itu melambangkan jemaah di situ.”
 
 
 
 
 
 
2
Surat kepada jemaah di Efesus
1 “Kepada malaikat jemaah di Efesus, tulislah:
 
Inilah firman daripada Dia yang memegang tujuh bintang di tangan kanan-Nya dan yang melangkah di antara tujuh kaki pelita daripada emas: 2 Aku tahu perbuatanmu, jerih payahmu dan ketabahanmu. Aku tahu bahawa kamu tidak tahan lagi dengan kejahatan orang durjana. Kamu telah menguji orang yang membuat pengakuan palsu bahawa mereka rasul padahal mereka bukan, dan kamu telah mendapati mereka itu pendusta. 3 Kamu tetap tabah dan tetap menderita kerana nama-Ku tanpa berputus asa.
4 Namun demikian, Aku mencelamu kerana satu perkara: Kamu telah meninggalkan kasihmu yang pertama. 5 Sedarilah betapa dalamnya kamu telah terjerumus. Bertaubatlah dan lakukanlah apa yang kamu lakukan mula-mula lagi. Jika tidak, Aku akan datang dan mengalihkan kaki pelitamu dari tempatnya. 6 Namun demikian, ada sesuatu yang baik padamu: Kamu benci akan perbuatan pengikut Nikolaus yang juga Kubenci.
7 aSesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Kepada yang menang akan Kuizinkan makan buah dari pokok hayat di Taman Firdaus Allah.”
Surat kepada jemaah di Smirna
8 b“Kepada malaikat jemaah di Smirna, tulislah:
 
Inilah firman daripada Dia Yang Pertama dan Yang Terakhir, yang telah mati dan hidup semula. 9 Aku tahu akan kesengsaraanmu. Aku tahu kamu miskin, tetapi sebenarnya kamu kaya. Aku tahu akan fitnah yang dilemparkan kepadamu oleh orang yang mengaku diri orang Yahudi tetapi sebenarnya mereka bukan. Mereka jemaah Iblis. 10 Janganlah takut terhadap apa yang akan kamu deritai kelak. Ketahuilah, Iblis akan menghumbankan sebilangan daripadamu ke dalam penjara untuk mengujimu. Kamu akan menanggung kesengsaraan selama sepuluh hari. Setialah sampai mati, maka Aku akan menganugerahimu mahkota hidup sebagai ganjaran kemenangan.
11 cSesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Mereka yang menang tidak akan mengalami sengsara kematian yang kedua.”
Surat kepada jemaah di Pergamus
12 “Kepada malaikat jemaah di Pergamus, tulislah:
 
Inilah firman daripada Dia yang memiliki sebilah pedang mata dua yang tajam. 13 Aku tahu akan tempat kediamanmu. Di situlah Iblis bertakhta. Namun demikian, kamu setia berpegang kepada nama-Ku. Malah kamu tidak menyangkal imanmu kepada-Ku ketika Antipas, saksi-Ku yang setia, dibunuh di tempat kediaman Iblis.
14 dTetapi Aku mencelamu kerana beberapa perkara: Ada di antaramu yang menganut ajaran Bileam. Bileam telah mengajak Balak untuk memujuk umat Israel supaya berdosa dengan makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala serta melakukan pencabulan. 15 Secara itu juga ada sebilangan daripadamu yang mengikut ajaran Nikolaus. 16 Bertaubatlah. Jika tidak, Aku akan datang segera kepadamu dan menyerang mereka dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku.
17 eSesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Aku akan memberikan sebahagian manna yang tersembunyi kepada sesiapa yang menang. Juga Aku akan memberinya batu putih yang bertulis nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa selain penerimanya.”
Kepada jemaah di Tiatira
18 “Kepada malaikat jemaah di Tiatira, tulislah:
 
Inilah kata-kata daripada Putera Allah, yang mata-Nya menyala-nyala seperti api, dan kaki-Nya laksana gangsa digilap. 19 Aku tahu perbuatanmu, kasihmu, imanmu, pelayananmu dan ketabahanmu. Aku juga tahu bahawa kamu sekarang lebih banyak berusaha daripada dahulu.
20 fNamun demikian, Aku mencelamu kerana satu perkara: Kamu membenarkan perempuan bernama Izebel yang mengaku dirinya nabiah Allah itu mengajar umat-Ku. Dia mengajar dan menyesatkan hamba-hamba-Ku sehingga mereka melakukan pencabulan dan makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala. 21 Aku telah memberinya peluang untuk bertaubat tetapi dia enggan menghentikan perbuatannya yang cabul. 22 Ketahuilah, Aku akan menghukumnya ke atas ranjang dengan sakit terlantar dan mereka yang berzina dengannya akan menanggung kesengsaraan yang dahsyat melainkan mereka bertaubat daripada perbuatan mereka dengannya. 23 gAku juga akan meragut nyawa anak-anaknya, supaya seluruh jemaah tahu bahawa Akulah yang menyelami hati dan fikiran manusia. Aku akan memberikan balasan yang setimpal dengan perbuatan setiap orang. 24 Tetapi sesetengah daripada kamu di Tiatira tidak mengikut ajaran durjana itu. Kamu tidak menuntut ilmu daripada Iblis. Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan menambahkan bebanmu dengan kewajipan baru. 25 Namun demikian, kamu haruslah memelihara apa yang sudah ada padamu, hingga saat Aku datang nanti.
26 hKepada yang menang dan melakukan kehendak-Ku sampai akhir akan Kuanugerahi kekuasaan ke atas bangsa-bangsa,
 
27 ‘Dia akan memerintah mereka dengan tongkat besi kerajaan
dan meremukkan mereka seperti tembikar,’
 
—seiring dengan kekuasaan yang telah Kuterima daripada Bapa-Ku. 28 Aku akan menganugerahi mereka bintang fajar.
29 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.”
 
 
 
 
 
 
3
Surat kepada jemaah di Sardis
1 “Kepada malaikat jemaah di Sardis, tulislah:
 
Inilah kata-kata daripada Dia yang memiliki tujuh Roh Allah dan tujuh bintang. Aku tahu perbuatanmu. Nama sahaja kamu hidup tetapi sebenarnya mati. 2 Bangunlah dan teguhkanlah apa yang masih ada padamu dan yang hampir mati kerana Kudapati apa yang kamu lakukan belum lagi sempurna di mata Tuhan-Ku. 3 aIngatlah semula segala yang telah diajarkan kepadamu dan segala yang telah kamu dengar. Patuhilah segalanya dan bertaubatlah. Jika tidak, Aku akan datang kepadamu sebagai pencuri. Kamu tidak mungkin tahu saatnya Aku datang.
4 Namun demikian, ada sebilangan daripadamu di Sardis yang tidak mencemarkan pakaian mereka. Mereka akan berjalan bersama-Ku dengan berpakaian putih kerana mereka layak mendapat kemuliaan sedemikian. 5 bKepada yang menang akan dapat berpakaian putih seperti itu dan Aku tidak akan memadamkan nama mereka dari Kitab Hidup. Aku akan mengakui mereka sebagai milik-Ku di hadirat Bapa-Ku dan di hadapan para malaikat-Nya.
6 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.”
Surat kepada jemaah di Filadelfia
7 c“Kepada malaikat jemaah di Filadelfia, tulislah:
 
Inilah kata-kata daripada Dia yang suci dan sejati dan yang memegang kunci milik Nabi Daud. Apabila Dia membuka pintu, tiada siapa yang dapat menutupnya, dan apabila Dia menutupnya, tiada siapa yang dapat membukanya. 8 Aku tahu perbuatanmu. Lihatlah Aku telah membukakan sebuah pintu untukmu, dan tiada siapa yang dapat menutupnya. Aku tahu bahawa kamu tidaklah begitu kuat, tetapi kamu taat kepada firman-Ku dan tidak sekali-kali menyangkal nama-Ku. 9 dAku akan membuat mereka daripada jemaah Iblis, para pendusta yang bukan Yahudi tetapi mengaku diri orang Yahudi datang kepadamu dan sujud pada kakimu. Sememangnya mereka akan tahu bahawa Aku mengasihimu. 10 Oleh sebab kamu taat akan perintah-Ku supaya tabah menanggung kesengsaraan, Aku akan menyelamatkanmu daripada masa pancaroba yang akan menimpa seluruh dunia sebagai dugaan kepada umat manusia.
11 Aku akan datang segera. Peliharalah apa yang ada padamu dengan sempurna, supaya mahkotamu tidak diragut orang. 12 eAku akan menjadikan dia yang menang seperti tiang di Bait Suci Tuhan-Ku dan dia akan tetap tinggal di situ. Aku akan menulis pada dirinya nama Allah dan Kota Allah, iaitu Yerusalem baru yang akan diturunkan Allah dari syurga, juga nama-Ku yang baru.
13 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.”
Surat kepada jemaah di Laodikia
14 f“Kepada malaikat jemaah di Laodikia, tulislah:
 
Inilah perkhabaran daripada Dia yang disebut Amin, Saksi yang setia dan benar, Permulaan segala ciptaan Allah. 15 Aku tahu perbuatanmu. Aku tahu bahawa kamu ini sejuk tidak, panas pun tidak. Betapa baiknya jika kamu mengambil satu daripada dua sikap itu. 16 Tetapi oleh sebab kamu suam-suam sahaja, Aku akan meludahkan kamu. 17 Kamu berkata, ‘Aku kaya dan cukup segala-galanya, tiada kekurangan apa-apa.’ Tetapi kamu tidak tahu bahawa kamu sebenarnya dalam keadaan yang serba kekurangan dan amat malang, miskin, telanjang serta buta. 18 Dengan demikian Kunasihati kamu: Belilah emas daripada-Ku, emas tulen, supaya kamu kaya. Belilah pakaian putih untuk menutup tubuhmu yang telanjang lagi mengaibkan. Belilah ubat untuk matamu supaya dapat melihat.
19 gAku menegur dan menghukum orang yang Kukasihi. Oleh itu, amalkanlah sikap bersungguh-sungguh dan bertaubatlah. 20 Dengarlah! Aku berdiri di hadapan pintu sambil mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke rumahnya. Aku akan makan bersamanya dan dia bersama-Ku. 21 Aku akan membenarkan mereka yang menang duduk di atas takhta-Ku, seperti Aku yang telah menang kini duduk di sisi Bapa-Ku di atas takhta-Nya.
22 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.”
 
 
 
 
 
 
4
Takhta di syurga
1 Selepas itu, aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi sangkakala yang pernah kudengar dahulu berkata kepadaku, “Marilah naik ke sini. Aku akan memperlihatkan apa yang pasti terjadi kemudian kelak.” 2 aSerta-merta Roh menguasaiku. Kulihat sebuah takhta di syurga dan seorang bersemayam di atasnya. 3 Dia yang bersemayam itu berwajah gilang-gemilang seperti batu yaspis dan akik. Takhta itu dikelilingi pelangi yang bersinar laksana zamrud. 4 Di sekeliling takhta itu kelihatan dua puluh empat buah takhta lain. Di atasnya duduk dua puluh empat tua-tua yang berpakaian putih dan bermahkota emas. 5 bDari takhta itu kulihat kilat memancar dan kudengar guruh berbunyi. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh pelita yang menyala, iaitu tujuh Roh Allah. 6 cDi hadapan takhta itu juga kelihatan sesuatu yang seperti lautan kaca, jernih seperti hablur.
Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu di setiap sisi. Bahagian depan dan belakang makhluk itu penuh dengan mata. 7 Makhluk yang pertama rupanya seperti singa; yang kedua seperti anak lembu; yang ketiga mukanya seperti muka manusia; dan yang keempat rupanya seperti burung helang sedang terbang. 8 dSetiap makhluk itu bersayap enam. Di bawah sayapnya pun penuh dengan mata. Siang malam mereka tidak henti-henti menyanyi:
 
“Suci, suci, sucilah Allah,
Tuhan Yang Maha Kuasa,
yang ada dahulu, yang ada sekarang dan yang akan datang.”
 
9 Keempat-empat makhluk itu menyanyikan pelbagai nyanyian yang memuliakan, menyanjung dan menyatakan syukur kepada Dia yang sedang bersemayam di atas takhta, Dia yang hidup selama-lamanya. 10 Sambil itu, dua puluh empat tua-tua sujud kepada Dia yang bersemayam di atas takhta, menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka mencampakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu lalu berkata,
 
11 “Ya Allah, Ya Tuhan kami!
Hanya Engkau yang layak menerima kemuliaan, kehormatan dan kuasa,
kerana Engkaulah yang mencipta segala-galanya,
dan dengan kehendak-Mu segala-galanya wujud dan dicipta.”
 
 
 
 
 
 
5
Gulungan naskhah dan Anak Domba
1 aKemudian aku melihat segulungan naskhah di tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta itu. Gulungan itu bertulis kedua-dua belah dan dimaterai dengan tujuh materai. 2 Setelah itu, kulihat dan kudengar malaikat yang gagah perkasa bertanya dengan suara lantang, “Siapakah yang layak memecahkan materai dan membuka gulungan naskhah ini?” 3 Namun demikian, tiada seorang pun, baik di syurga, di bumi, mahupun di bawah bumi, yang terdaya membuka gulungan naskhah itu dan melihat kandungannya. 4 Oleh itu, aku pun menangis teresak-esak kerana tiada seorang pun yang layak membuka dan membaca gulungan naskhah atau melihat kandungannya. 5 bKemudian salah seorang tua-tua itu berkata kepadaku, “Jangan menangis. Lihatlah! Singa daripada suku Yahuda, zuriat yang mulia daripada Daud, telah menang. Dia dapat membuka gulungan naskhah itu dan memecahkan tujuh materai dan membuka gulungan naskhah itu.”
6 cSelepas itu kulihat Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh keempat-empat makhluk dan para tua-tua. Anak Domba itu, yang kelihatan sudah disembelih, mempunyai tujuh tanduk dan tujuh mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah dihantar ke seluruh dunia. 7 Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah dari tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta. 8 dKetika Dia mengambil gulungan kitab itu, empat makhluk dan dua puluh empat orang tua-tua sujud kepada Anak Domba itu. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah batil emas berisi setanggi, iaitu segala doa orang salih. 9 eMereka menyanyikan lagu baru:
 
“Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan membuka materainya kerana Engkau telah dibunuh, dan dengan darah kematian-Mu Engkau telah menebus untuk Allah manusia daripada segala suku, bahasa, kaum, dan bangsa.
10 fEngkau telah menjadikan mereka suatu kerajaan dan imam-imam Allah untuk menyembah Tuhan kita dan memerintah di bumi.”
 
11 gAku melihat lagi. Aku mendengar suara ribuan dan jutaan malaikat. Mereka berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua. 12 Mereka menyanyi dengan suara yang lantang:
 
“Anak Domba yang telah disembelih layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, kehormatan, kemuliaan dan puji-pujian.”
 
13 Aku mendengar semua makhluk di syurga, di bumi, di bawah bumi, di dalam laut, dan semua yang ada di dalamnya, menyanyi:
 
“Segala puji, kemuliaan dan kuasa kepada Dia yang duduk di atas takhta dan kepada Anak Domba untuk selama-lamanya.”
 
14 Keempat-empat makhluk itu menyahut, “Amin!” Para tua-tua itu pun sujud menyembah Allah dan Anak Domba itu.
 
 
 
 
 
 
6
Materai dibuka
1 Seterusnya aku melihat Anak Domba itu memecahkan materai pertama daripada ketujuh-tujuh materai itu. Lantas kudengar satu daripada empat makhluk itu berkata dengan suara seperti guruh, “Marilah, lihat!” 2 aAku melihat seekor kuda putih ditunggang oleh seorang yang memegang busur panah. Dia diberi sebuah mahkota dan tampil sebagai seorang penakluk yang sedia untuk menakluk.
3 Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai kedua dan kudengar makhluk kedua berkata, “Marilah, lihat!” 4 bSeekor kuda merah pula muncul. Penunggangnya diberi kuasa untuk melenyapkan damai sejahtera daripada bumi dan menyebabkan manusia berbunuh-bunuhan. Dia diberi sebilah pedang yang besar.
5 cKemudian Anak Domba itu memecahkan materai ketiga lalu kudengar makhluk ketiga berkata, “Marilah, lihat!” Aku melihat seekor kuda hitam. Penunggangnya memegang dacing. 6 Aku mendengar sesuatu seperti suara dari tengah-tengah makhluk berempat itu, berkata, “Secupak gandum sekeping wang dinar harganya, dan tiga cupak barli juga sekeping wang dinar harganya, tetapi minyak dan air anggur itu jangan kaurosakkan.”
7 Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai keempat. Kudengar makhluk keempat berkata, “Mari!” 8 dAku melihat seekor kuda berwarna pucat. Penunggangnya bernama Maut, dan Alam Maut mengekorinya. Mereka diberi kuasa membunuh seperempat penghuni bumi melalui peperangan, kebuluran, wabak penyakit dan serangan binatang buas.
9 Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai kelima. Di bawah mazbah aku melihat roh-roh orang yang telah dibunuh kerana firman Allah dan kerana kesaksian yang dipegang mereka dengan setia. 10 Mereka berseru dengan suara lantang, “Ya Penguasa yang suci dan benar! Berapa lama lagi sebelum Engkau menghakimi penghuni bumi dan membalas perbuatan mereka yang telah menumpahkan darah dan meragut nyawa kami?” 11 Setiap roh itu diberi sehelai jubah putih dan disuruh berehat sebentar lagi hingga cukup bilangan hamba sepengabdian dan orang yang menjadi saudara seiman, yang akan dibunuh seperti mereka.
12 eKemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan materai keenam. Seketika itu terjadilah gempa bumi yang dahsyat. Matahari menjadi seperti kain hitam dan bulan merah seperti darah. 13 fBintang-bintang gugur dari syurga ke bumi seperti buah ara luruh ditiup angin kencang. 14 gLangit lenyap tergulung seperti gulungan naskhah manakala gunung dan pulau teralih dari tempatnya. 15 hSeluruh umat manusia, baik raja-raja di dunia, pegawai, panglima, orang berharta dan berkuasa, orang bebas mahupun hamba abdi, lari bersembunyi di dalam gua dan di celah-celah batu di gunung. 16 iMereka berseru kepada gunung dan batu itu, “Hempaplah kami! Sembunyikan kami daripada pandangan Dia yang bersemayam di atas takhta dan daripada kemurkaan Anak Domba! 17 jHari besar yang dahsyat, hari kemurkaan mereka telah tiba. Allah dan Anak Domba akan menghukum kami. Siapa yang dapat bertahan?”
 
 
 
 
 
 
7
144,000 dimateraikan
1 aSelepas itu, kulihat empat malaikat berdiri di empat penjuru bumi dan menahan keempat-empat angin di bumi supaya tidak ada angin yang bertiup di darat, di laut, atau di pokok. 2 Kemudian kulihat malaikat lain datang dari timur membawa materai yang digunakan oleh Allah, Tuhan yang hidup. Dengan suara lantang malaikat itu berseru kepada empat malaikat yang telah diberi kuasa untuk merosakkan darat dan laut. 3 bMalaikat itu berkata, “Janganlah rosakkan darat, laut atau pokok-pokok hingga kami telah mematerai dahi hamba-hamba Allah.” 4 Lalu aku mendengar bahawa seratus empat puluh empat ribu daripada semua suku Israel dimateraikan.
 
5 Daripada suku Yahuda dua belas ribu,
daripada suku Ruben dua belas ribu,
daripada suku Gad dua belas ribu,
6 daripada suku Asyer dua belas ribu,
daripada suku Naftali dua belas ribu,
daripada suku Manasye dua belas ribu,
7 daripada suku Simeon dua belas ribu,
daripada suku Lewi dua belas ribu,
daripada suku Isakhar dua belas ribu,
8 daripada suku Zebulon dua belas ribu,
daripada suku Yusuf dua belas ribu,
daripada suku Benyamin dua belas ribu.
Orang ramai berjubah putih
9 Selepas itu, aku melihat lagi. Kulihat lautan manusia, tidak terkira banyaknya, daripada segala bangsa, suku, kaum, dan bahasa, berjubah putih dan memegang daun palma. Mereka semua berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba. 10 Mereka berseru dengan lantang, “Penyelamatan ada pada Tuhan kami yang bersemayam di atas takhta dan pada Anak Domba!” 11 Semua malaikat berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua, lalu semuanya sujud di hadapan takhta menyembah Allah. 12 Mereka berkata, “Amin! Segala pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, kehormatan, kuasa dan kebesaran bagi Tuhan kami selama-lamanya! Amin.”
13 Salah seorang tua-tua itu bertanya kepadaku, “Siapakah yang berjubah putih itu dan dari manakah mereka itu?”
14 c“Aku tidak tahu, tetapi tuan tahu,” sahutku. Dia berkata, “Merekalah orang yang berjaya menempuh kesengsaraan yang dahsyat. Mereka telah membasuh jubah mereka menjadi putih bersih dengan darah Anak Domba.
 
15 “Maka sekarang, mereka berdiri di hadapan takhta Allah dan menyembah-Nya siang malam di dalam Bait Allah-Nya.
Dia yang bersemayam di atas takhta akan membentangkan khemah-Nya di atas mereka.
16 dMereka tidak akan lapar atau dahaga lagi.
Terik matahari atau sesuatu yang amat panas pun tidak akan dapat membakar mereka lagi
17 ekerana Anak Domba di tengah-tengah takhta itu akan menjadi gembala mereka.
Dia akan membimbing mereka ke mata air yang membawa hidup,
dan Allah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka.”
 
 
 
 
 
 
8
Materai ketujuh
1 Apabila Anak Domba memecahkan materai ketujuh, syurga menjadi senyap sunyi kira-kira setengah jam. 2 Kemudian aku melihat tujuh malaikat menghadap Allah. Mereka diberi tujuh sangkakala.
3 aSatu lagi malaikat datang berdiri di hadapan mazbah sambil membawa tempat bara yang diperbuat daripada emas. Dia diberi banyak setanggi untuk ditambahkan kepada doa semua orang salih dan untuk dipersembahkan di atas mazbah emas di hadapan takhta. 4 Doa orang salih bersama asap setanggi yang dibakar itu naik berkepul-kepul dari tangan malaikat yang menghadap Allah. 5 bKemudian malaikat itu mengisi tempat bara dengan bara api dari mazbah lalu melontarkannya ke bumi. Dalam sekelip mata kedengaran guruh petir dan kelihatan kilat sabung-menyabung lalu seluruh bumi bergempa.
Empat sangkakala yang pertama
6 Kemudian tujuh malaikat yang memegang tujuh sangkakala itu bersedia untuk meniupnya.
7 cMalaikat pertama meniup sangkakalanya. Hujan batu dan api bercampur darah terus dilemparkan ke bumi. Lalu sepertiga bumi, dan sepertiga pokok serta segala tumbuh-tumbuhan yang hijau hangus dibakar.
8 Kemudian malaikat kedua meniup sangkakalanya. Sesuatu yang kelihatan seperti gunung besar yang menyala dicampakkan ke dalam laut. Sepertiga air laut menjadi darah. 9 Sepertiga makhluk di laut mati dan sepertiga kapal musnah.
10 dKemudian malaikat ketiga meniup sangkakalanya. Sebuah bintang besar yang menyala-nyala seperti suluh gugur dari langit menimpa sepertiga sungai dan mata air di bumi. 11 e(Bintang itu bernama “Apsintus” iaitu “Pahit”.) Sepertiga air menjadi pahit dan ramai orang mati kerana meminumnya.
12 fKemudian malaikat keempat meniup sangkakalanya. Sepertiga matahari, bulan dan bintang terpukul, sehingga tidak dapat bersinar sepertiga waktu. Matahari tidak memancar sepertiga siang, manakala bulan dan bintang tidak bercahaya sepertiga malam.
13 Kemudian aku melihat dan mendengar seekor burung helang yang terbang tinggi di tengah langit berseru nyaring, “Sengsara! Sengsara! Sengsaralah sekalian penghuni bumi kerana tiga malaikat lagi yang akan meniup sangkakalanya.”
 
 
 
 
 
 
9
Sangkakala yang kelima
1 Kemudian malaikat kelima meniup sangkakalanya. Kulihat sebuah bintang gugur dari langit ke bumi. Bintang itu diberi kunci jurang yang tidak terduga dalamnya. 2 aBintang itu membuka jurang itu lalu asap keluar seperti dari relau yang amat besar. Matahari dan seluruh angkasa gelap diselubungi asap itu. 3 bDari dalam asap itu keluarlah sekawan belalang lantas turun ke bumi. Belalang itu diberi kuasa seperti kala jengking di bumi. 4 cBelalang itu ditegah merosakkan rumput di bumi, pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan lain; tugasnya menyerang manusia yang tidak mempunyai tanda materai Allah di dahinya. 5 Belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Sakitnya diseksa belalang itu samalah seperti disengat kala jengking. 6 dPada masa itu manusia yang diseksa itu mencari maut tetapi tidak menemukannya. Mereka ingin mati, namun kematian terlepas daripada mereka.
7 eBelalang itu kelihatan seperti kuda yang siap sedia untuk berperang. Di kepalanya ada sesuatu seperti mahkota emas dan mukanya mirip muka manusia. 8 fRambutnya seperti rambut wanita dan giginya serupa gigi singa. 9 gDadanya kelihatan seperti berperisai. Bunyi sayapnya seperti bunyi kereta-kereta kuda mara ke medan perang. 10 Ekor dan sengatnya seperti kala jengking. Dengan ekornya yang bersengat, belalang itu mempunyai kuasa untuk menyeksa manusia selama lima bulan. 11 Raja kepada belalang itu ialah malaikat yang menjaga jurang yang tidak terduga dalamnya. Namanya Abadon dalam bahasa Ibrani dan Apolion (bermakna “Pemusnah”) dalam bahasa Yunani.
12 Bencana pertama telah berlalu. Dua bencana lagi akan menyusul.
13 hKemudian malaikat keenam meniup sangkakalanya. Aku mendengar suara dari keempat-empat tanduk mazbah emas di hadapan Allah. 14 Suara itu berkata kepada malaikat keenam yang memegang sangkakala itu, “Lepaskanlah empat malaikat yang terikat di sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat itu!” 15 Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah disediakan khas untuk membunuh sepertiga umat manusia pada jam, hari, bulan dan tahun itu. 16 Aku diberitahu bahawa pasukan berkuda itu terdiri daripada dua ratus juta askar. 17 Dalam penglihatan aku nampak banyak kuda dan penunggangnya. Perisai dada penunggang-penunggang itu merah seperti api, biru seperti nilam dan kuning seperti belerang. Kepala kuda itu seperti kepala singa dan dari mulutnya keluar api, asap dan belerang. 18 Api, asap dan belerang dari mulut kuda itu merupakan tiga bencana yang membunuh sepertiga umat manusia. 19 Kuasa kuda itu pada mulut dan ekornya. Kuda itu menyeksa manusia dengan ekornya yang seperti ular berkepala.
20 iManusia yang tidak terbunuh oleh bencana itu tidak berpaling daripada berhala buatan tangan mereka. Mereka meneruskan amalan menyembah roh-roh iblis dan berhala yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, batu dan kayu yang tidak dapat melihat, mendengar atau berjalan. 21 Mereka juga tidak berpaling daripada membunuh, menggunakan sihir, melakukan pencabulan dan mencuri.
 
 
 
 
 
 
10
Malaikat dan gulungan naskhah
1 Setelah itu, aku melihat satu lagi malaikat yang gagah perkasa turun dari syurga, tubuhnya diliputi awan dan kepalanya dilingkari pelangi. Wajahnya bersinar seperti matahari, dan kakinya seperti tiang api. 2 Tangannya memegang segulungan naskhah kecil yang terbuka. Kaki kanannya di laut, kaki kirinya di darat. 3 Dia berseru dengan suara seperti bunyi sekawan singa mengaum, disahut oleh tujuh guruh dengan gemuruh. 4 Sebaik-baik tujuh guruh itu berkata-kata, aku hendak mencatat kata-katanya. Tetapi kudengar suara dari syurga berkata kepadaku, “Materaikan segala yang dikatakan oleh tujuh guruh itu, jangan dituliskan.”
5 aMalaikat yang kulihat berdiri di antara laut dengan darat itu mengangkat tangannya ke langit. 6 Dia bersumpah demi Dia yang hidup selama-lamanya, yang telah mencipta syurga dan segala isinya, bumi dan segala isinya serta laut dan segala isinya, bahawa segalanya tidak harus dilengah-lengahkan lagi. 7 Tetapi pada masa malaikat ketujuh hendak meniup sangkakalanya, rahsia Allah akan selesai, sebagaimana firman-Nya disampaikan kepada hamba-Nya, para nabi.
8 bKemudian suara yang kudengar dari syurga itu berkata lagi kepadaku, “Pergilah ambil gulungan naskhah kecil yang terbuka daripada tangan malaikat yang berdiri di antara laut dengan darat itu.”
9 Aku pun mendapatkan malaikat itu dan berkata, “Berilah aku gulungan naskhah kecil itu.” Katanya kepadaku, “Ambil dan makanlah naskhah ini. Perutmu akan terasa pahit tetapi di mulutmu akan terasa semanis madu.”
10 Lantas kuambil gulungan naskhah kecil itu daripada tangan malaikat itu lalu kumakan, maka di mulutku terasa semanis madu. Tetapi setelah habis kumakan, perutku terasa pahit. 11 Dia berkata kepadaku, “Kamu harus bernubuat lagi tentang pelbagai kaum, bangsa, bahasa dan raja.”
 
 
 
 
 
 
11
Dua saksi Allah
1 aKemudian aku diberi sebatang tongkat yang kelihatan seperti kayu pengukur. Lalu seorang berkata, “Bangkitlah, ukur Bait Allah dan mazbah, serta hitunglah orang yang beribadat di situ. 2 bTetapi jangan ukur halaman di luar, kerana bahagian itu telah diberikan kepada orang bangsa asing. Mereka akan melanyak kota suci selama empat puluh dua bulan. 3 Aku akan memberikan kuasa kepada dua orang saksi-Ku dan mereka akan bernubuat selama seribu dua ratus enam puluh hari dengan memakai kain kabung.”
4 cInilah dua pokok zaitun dan dua kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan yang memerintah segala bumi. 5 Jika sesiapa hendak mencederakan mereka, api akan keluar dari mulut mereka dan menghanguskan musuh mereka itu. Orang yang hendak mencederakan mereka itu mesti dibunuh sedemikian. 6 dMereka mempunyai kuasa menutup langit, supaya hujan tidak turun sepanjang masa mereka bernubuat. Mereka berkuasa atas air dan dapat menukarkannya menjadi darah. Mereka juga berupaya menimpakan pelbagai wabak penyakit ke atas bumi sekerap yang dikehendaki mereka.
7 eSetelah mereka selesai membuat kesaksian, binatang buas dari dalam jurang itu akan memerangi, menewaskan dan membunuh mereka. 8 fMayat mereka akan bergelimpangan di jalan raya kota agung yang dari segi rohani disebut Sodom dan Mesir, iaitu kota tempat Junjungan mereka disalib. 9 Orang dari pelbagai kaum, suku, bahasa dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah dan tidak membenarkan mereka dikuburkan. 10 Penghuni bumi ini akan bergembira, berpesta dan berkirim-kiriman hadiah, kerana kedua-dua nabi itu telah menyeksa mereka yang tinggal di bumi. 11 gSelepas tiga hari setengah, roh hayat daripada Allah memasuki mereka lalu mereka bangkit berdiri. Sekalian yang melihatnya amat ketakutan. 12 hKedua-dua nabi itu mendengar suara lantang dari langit berkata, “Naiklah ke sini.” Lalu mereka naik ke langit di dalam awan, di hadapan mata musuh mereka. 13 iPada ketika itu terjadilah gempa bumi yang dahsyat, memusnahkan sepersepuluh kota itu. Tujuh ribu orang terbunuh dalam gempa itu. Mereka yang masih hidup sungguh takut lalu memuliakan Allah yang berada di syurga.
14 Bencana kedua telah berlalu. Ketahuilah, bencana ketiga akan segera menyusul.
15 jKemudian malaikat ketujuh meniup sangkakalanya. Suara-suara lantang di syurga berkata,
 
“Segala kerajaan di dunia ini telah menjadi kerajaan Tuhan kita dan kerajaan al-Masih-Nya,
dan Dia akan memerintah selama-lamanya!”
 
16 Dua puluh empat tua-tua yang menghadap Allah yang bersemayam di atas takhta itu sujud menyembah Allah 17 sambil berkata:
 
“Kami bersyukur kepada-Mu,
ya Allah, ya Tuhan Yang Maha Kuasa;
yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang.
Kerana Engkau telah melaksanakan
kuasa-Mu yang besar lalu memerintah.
18 kBangsa-bangsa asing marah,
maka datanglah kemurkaan-Mu,
dan masanya untuk orang mati dihakimi,
dan Engkau memberi ganjaran
kepada hamba-hamba-Mu,
para nabi dan orang salih,
serta manusia kecil dan besar
yang takut akan Nama-Mu.
Dan Engkau membinasakan mereka yang membinasakan bumi.”
 
19 lKemudian Bait Allah dibuka di syurga, dan kelihatanlah tabut perjanjian-Nya, diiringi kilat, pelbagai suara, guruh, gempa bumi dan hujan batu yang dahsyat.
 
 
 
 
 
 
12
Perempuan dan naga
1 Suatu tanda besar kelihatan di langit: Seorang perempuan yang berpakaian matahari, bulan di bawah kakinya dan sebuah mahkota dua belas bintang terkalung menghiasi kepalanya. 2 Dia sedang hamil dan sudah sampai waktunya untuk melahirkan anak, maka dia berteriak kesakitan. 3 aLantas suatu tanda muncul di langit: seekor naga merah yang amat besar, berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh, dan di atas kepalanya ada tujuh mahkota. 4 bNaga itu mengheret sepertiga bintang di langit dengan ekornya dan menghumbankannya ke bumi. Ia menunggu di hadapan perempuan yang hendak bersalin untuk menelan anaknya sebaik-baik dia lahir. 5 cKemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah segala bangsa dengan tombak besi. Dan anak itu dibawa ke hadirat Allah dan takhta-Nya. 6 Perempuan itu lari ke gurun, ke tempat yang memang ditentukan Allah untuknya. Dia dijaga di situ selama seribu dua ratus enam puluh hari.
Naga dikalahkan
7 dKemudian perang tercetus di syurga. Mikhail dengan malaikat-malaikatnya berperang dengan naga dan malaikat-malaikatnya. 8 Naga itu tewas dalam peperangan. Ia dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi. 9 eDengan demikian tersingkirlah naga besar itu, ular purba yang bernama Iblis atau Syaitan, yang memperdaya umat manusia. Ia dan semua malaikatnya dibuang ke bumi.
Nyanyian kemenangan
10 fKemudian aku mendengar suara lantang berkata di syurga,
 
“Sekarang penyelamatan, kekuatan, kerajaan Tuhan kita,
dan kuasa al-Masih-Nya telah tiba;
kerana penuduh saudara-saudara kita,
yang telah menuduh mereka siang malam di hadapan Tuhan kita telah disingkirkan.
11 Mereka telah menumpaskannya dengan darah Anak Domba
dan dengan kata-kata kesaksian mereka,
dan mereka tidak menyayangi nyawa sendiri hingga mati.
12 Oleh itu, bergembiralah wahai syurga
dan kamu semua yang tinggal di dalamnya!
Tetapi malanglah penduduk bumi dan laut!
Iblis telah turun kepadamu,
dalam keadaan sangat berang,
kerana ia tahu masanya sudah singkat.”
Naga memburu perempuan
13 Apabila naga itu sedar ia telah dibuang ke bumi, ia pun memburu perempuan yang melahirkan anak lelaki itu. 14 gTetapi perempuan itu diberi sepasang sayap helang besar untuk terbang ke tempatnya di gurun. Di situ dia dijaga selama tiga tahun setengah jauh dari mata naga itu. 15 Naga itu menyemburkan air dari mulutnya seperti air bah untuk menghanyutkan perempuan itu. 16 Tetapi bumi membantu perempuan itu dengan membuka mulutnya dan menelan air bah yang disemburkan oleh naga itu. 17 Naga itu amat marah terhadap perempuan itu lalu pergi memerangi anak-anaknya yang lain, yang taat kepada perintah Allah dan mempunyai kesaksian Isa al-Masih. 18 Kemudian naga itu berdiri di atas pasir di tepi laut.
 
 
 
 
 
 
13
1 aKemudian aku melihat seekor binatang keluar dari dalam laut, bertanduk sepuluh berkepala tujuh. Di setiap tanduk terletak mahkota dan di setiap kepala tertulis nama kufur. 2 bBinatang itu kelihatan seperti harimau bintang tetapi kakinya seperti kaki beruang dan mulutnya seperti mulut singa. Naga itu memberi binatang itu kuasa dan takhtanya serta kekuasaan yang besar. 3 Di salah satu kepala binatang itu terdapat seolah-olah pernah luka parah yang membawa maut tetapi telah sembuh. Seluruh penghuni dunia mengagumi dan mengikut binatang itu. 4 Mereka menyembah naga yang telah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu, dan mereka menyembah binatang itu sambil berkata, “Siapakah yang setanding dengan binatang ini? Siapakah yang dapat memeranginya?”
5 cBinatang itu diberi mulut untuk melafazkan hal-hal besar dan kufur, serta diberi kekuasaan melakukannya selama empat puluh dua bulan. 6 Ia pun membuka mulutnya lalu mengkufuri Allah, nama Allah, tempat kediaman-Nya dan semua penghuni syurga. 7 dBinatang itu dibenarkan memerangi dan menewaskan orang salih, serta diberi kekuasaan ke atas semua suku, kaum, bahasa dan bangsa. 8 eBinatang itu akan disembah oleh setiap orang di bumi yang sejak dunia dicipta namanya tidak tersenarai di dalam Kitab Hidup milik Anak Domba yang telah disembelih.
9 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.
10 fOrang yang harus ditawan pasti akan ditawan kelak.
Orang yang harus dibunuh dengan pedang pasti akan dibunuh dengan pedang juga.
Yang dituntut di sini ialah ketabahan dan iman orang salih.
Binatang yang keluar dari dalam bumi
11 Kemudian aku melihat seekor lagi binatang buas muncul dari bumi, bertanduk dua seperti anak domba dan bertutur seperti naga. 12 Binatang kedua itu menjalankan segala kekuasaan binatang pertama di hadapannya, dan menyuruh bumi serta semua penghuninya menyembah binatang yang telah sembuh daripada luka parah yang membawa maut itu. 13 Binatang kedua itu mengadakan beberapa tanda yang hebat, termasuk menurunkan api dari langit ke atas bumi di hadapan umat manusia. 14 Dengan tanda-tanda yang dapat diadakannya di hadapan binatang pertama itu, binatang kedua memperdaya sekalian penghuni bumi, dan menyuruh mereka membuat patung binatang yang dilukai pedang namun tetap hidup. 15 Binatang kedua itu diberi kuasa untuk meniupkan nyawa ke dalam patung binatang pertama itu, supaya patung itu dapat berkata-kata dan menyebabkan semua yang enggan menyembahnya dibunuh. 16 Ia memaksa semua manusia, kecil besar, kaya miskin, orang merdeka dan hamba abdi, menerima suatu tanda pada tangan kanan atau dahi, 17 dan seorang pun tidak dibenarkan berjual beli kecuali ada padanya tanda atau nama binatang buas itu, atau angka namanya.
18 Yang dituntut di sini ialah kebijaksanaan. Sesiapa yang mengerti, kirakanlah angka binatang itu, kerana angka itu angka seorang manusia, dan angka itu 666.
 
 
 
 
 
 
14
Anak Domba dan pengikut-Nya
1 aKemudian tiba-tiba aku melihat Anak Domba berdiri di puncak Gunung Sion, dan bersama-sama-Nya seratus empat puluh empat ribu orang dengan nama-Nya dan nama Bapa-Nya tertulis di atas dahi mereka. 2 Aku mendengar suara dari syurga, seperti bunyi air menderu, dan seperti bunyi guruh yang kuat, dan suara yang kudengar itu seperti bunyi daripada pemain-pemain memetik kecapi. 3 Mereka menyanyikan suatu nyanyian yang terasa baru di hadapan takhta, empat makhluk dan para tua-tua. Tiada siapa pun dapat mempelajari nyanyian itu kecuali seratus empat puluh empat ribu orang yang ditebus dari bumi. 4 Mereka ini tidak pernah menajiskan diri dengan perempuan kerana mereka menjaga kesucian mereka. Mereka mengikut Anak Domba ke mana-mana Dia pergi. Mereka telah ditebus daripada kalangan manusia, sebagai persembahan hasil pertama bagi Allah dan Anak Domba. 5 bMulut mereka tiada kata-kata bohong, dan mereka tiada cacat cela.
Tiga malaikat
6 Kemudian aku melihat satu lagi malaikat terbang di tengah langit, membawa Injil yang kekal untuk disampaikan kepada penghuni bumi dan kepada setiap bangsa, suku, bahasa dan kaum. 7 Katanya dengan suara lantang, “Bertakwalah kepada Allah dan muliakan Dia, kerana sudahlah sampai saat penghakiman-Nya; dan sembahlah Dia yang menjadikan langit dan bumi, laut dan mata air.”
8 cSatu lagi malaikat mengikutnya, sambil berkata, “Babel telah runtuh, telah runtuh, kota yang besar itu telah memberi semua bangsa minum air anggur kemurkaan Allah terhadap pencabulan mereka.”
9 Mereka diikut oleh satu lagi malaikat yang berkata dengan suara lantang, “Jika sesiapa menyembah binatang itu dan patungnya, dan menerima tandanya di atas dahi atau tangan, 10 ddia juga akan minum air anggur kemurkaan Allah, yang dituangkan tanpa ditambah air ke dalam cawan murka-Nya itu. Dia akan dikenakan azab api dan belerang di hadapan para malaikat yang suci dan di hadapan Anak Domba. 11 eAsap api yang menyeksa mereka itu akan naik berkepul-kepul selama-lamanya. Mereka tidak akan berehat siang malam, kerana mereka menyembah binatang itu dan patungnya serta menerima tanda namanya.”
12 Yang dituntut di sini ialah ketabahan orang salih yang mengikut perintah Allah serta beriman kepada Isa.
13 Aku mendengar suara dari syurga berkata, “Tuliskanlah: Dari saat ini diberkatilah semua orang yang mati dalam Tuhan.”
“Ya,” kata Roh, “supaya mereka dapat berehat daripada penat lelah, dan hasil usaha mereka menyertai mereka.”
Tuaian di bumi
14 fTiba-tiba aku melihat awan putih dan di atasnya duduk seorang yang rupanya seperti Putera Insan, bermahkota emas dan memegang sabit yang tajam. 15 gMuncul satu lagi malaikat dari Bait Allah sambil berseru lantang kepada Dia yang duduk di atas awan, “Gunakanlah sabit-Mu, tuailah, kerana sudah sampai waktunya Engkau menuai; tuaian dunia sudah masak.” 16 Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke atas bumi, dan bumi pun dituai.
17 Kemudian satu lagi malaikat keluar dari Bait Allah yang di syurga, juga membawa sabit tajam. 18 Menyusul pula malaikat lain yang keluar dari mazbah dan menguasai api, sambil berseru nyaring kepada yang memegang sabit tajam, “Gunakanlah sabitmu yang tajam itu, kumpulkan segala gugusan anggur di bumi, kerana anggurnya sudah cukup masak.” 19 Maka malaikat itu menggunakan sabitnya untuk mengumpulkan gugusan anggur di bumi, dimasukkannya ke dalam pengirik kemurkaan Allah. 20 hPengirik itu diinjak di luar kota, lalu darah mengalir keluar, setinggi kekang kuda dan sejauh dua ratus batu.
 
 
 
 
 
 
15
Nyanyian mereka yang menang
1 Aku melihat pula di langit suatu tanda lagi, yang besar dan ajaib, iaitu tujuh malaikat membawa tujuh wabak terakhir, maka dengannya selesailah kemurkaan Allah. 2 Kulihat seakan-akan lautan kaca bercampur api. Mereka yang menang menghadapi dugaan binatang itu, patungnya, tandanya dan angka namanya, berdiri di atas laut kaca itu memegang kecapi Allah. 3 aMereka menyanyikan nyanyian Nabi Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba:
 
“Agung dan ajaib pekerjaan-Mu,
ya Allah, ya Tuhan Yang Maha Kuasa!
Benar dan adil setiap jalan-Mu,
Ya Raja segala bangsa!
4 bSiapakah yang tidak takut kepada-Mu,
dan tidak memuliakan nama-Mu, ya Tuhan?
Kerana hanya Engkaulah Yang Maha Suci.
Semua bangsa akan datang
dan sujud menyembah-Mu,
kerana penghakiman-Mu telah ternyata.”
 
5 cSetelah itu, aku melihat pula dan ternampak Bait Suci di dalam khemah kesaksian di syurga terbuka. 6 Dari Bait Suci itu keluarlah tujuh malaikat yang membawa tujuh wabak itu, berpakaian linen yang bersih dan berseri-seri, dada mereka dililiti pending emas. 7 Kemudian satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh mangkuk emas yang dipenuhi kemurkaan Allah, iaitu Tuhan yang hidup selama-lamanya. 8 dBait Suci dipenuhi asap daripada kemuliaan Allah dan kuasa-Nya dan tiada siapa dapat memasukinya hingga tujuh wabak yang dibawa oleh tujuh malaikat itu selesai.
 
 
 
 
 
 
16
Tujuh mangkuk kemurkaan Allah
1 Kemudian aku mendengar suara lantang dari dalam Bait Allah, berkata kepada tujuh malaikat itu, “Pergi tuangkan kemurkaan Allah di dalam tujuh mangkuk itu ke bumi.”
2 aOleh itu, malaikat pertama pergi, mencurahkan isi mangkuknya ke tanah, lalu tumbuh pekung yang busuk dan menjijikkan pada orang yang mempunyai tanda binatang itu dan orang yang menyembah patungnya.
3 Kemudian malaikat kedua mencurahkan isi mangkuknya ke laut lalu airnya menjadi darah seperti darah orang mati, maka setiap makhluk yang hidup di laut itu mati.
4 bKemudian malaikat ketiga mencurahkan isi mangkuknya ke sungai dan mata air, lalu bertukar airnya menjadi darah. 5 Aku mendengar malaikat perairan itu berkata:
 
“Engkau adil, ya Tuhan,
kerana Engkau telah menghakimi hal-hal ini,
ya Engkau Yang Suci,
yang ada sekarang, dan ada dahulu, dan yang akan datang!
6 Mereka telah menumpahkan darah orang salih dan nabi-nabi,
maka Engkau memberi mereka minum darah,
suatu hukuman yang setimpal.”
 
7 Aku mendengar suatu suara lagi dari mazbah berkata,
 
“Sememangnya, ya Allah, ya Tuhan Yang Maha Kuasa,
penghakiman-Mu benar dan adil.”
 
8 Kemudian malaikat keempat mencurahkan isi mangkuknya ke atas matahari, dan dia diberi kuasa menghanguskan manusia dengan api. 9 Manusia dihanguskan dengan darjah kepanasan yang amat tinggi, lalu mereka mengkufuri nama Allah yang menguasai wabak-wabak itu. Mereka tidak bertaubat dan tidak memuliakan-Nya.
10 cKemudian malaikat kelima mencurahkan isi mangkuknya ke atas takhta binatang itu, lalu kerajaannya diselaputi kegelapan, dan mereka menggigit lidah kerana kesakitan. 11 Mereka mengkufuri Allah yang memerintah syurga kerana kesakitan dan pekung di tubuh mereka. Mereka tidak bertaubat daripada perbuatan mereka.
12 dKemudian malaikat keenam mencurahkan isi mangkuknya ke dalam sebatang sungai besar, iaitu Efrat, lantas airnya kering kontang, untuk menyediakan jalan bagi raja-raja dari Timur. 13 Aku melihat tiga roh jahat seperti rupa katak keluar dari mulut naga itu, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu. 14 Mereka itu roh-roh iblis, dan mereka melakukan pelbagai tanda, yang sampai kepada raja-raja di seluruh dunia untuk menghimpunkan mereka bagi peperangan pada hari besar Allah Yang Maha Kuasa.
15 eLihatlah, Aku datang seperti pencuri. Diberkatilah orang yang berwaspada, dan menjaga pakaiannya, supaya dia tidak berjalan dan dilihat orang dalam keadaan telanjang lalu mendapat malu.
16 fDia menghimpunkan raja-raja itu ke tempat yang disebut Harmagedon dalam bahasa Ibrani.
17 Kemudian malaikat yang ketujuh mencurahkan isi mangkuknya ke udara, lalu kedengaran suara lantang dari Bait Allah di syurga, dari takhta, berkata, “Telah selesai!” 18 gKedengaran pelbagai bunyi serta guruh dan kilat sabung-menyabung. Juga berlaku gempa bumi yang paling dahsyat dalam sejarah manusia zaman-berzaman. 19 hKetika itu kota besar itu terbelah tiga, dan kota bangsa asing habis runtuh. Babel yang agung juga tidak ketinggalan menerima mangkuk air anggur kemurkaan Allah. 20 iKemudian setiap pulau lenyap dan gunung tidak ditemukan lagi. 21 jHujan batu besar yang seratus paun beratnya turun dari langit menimpa manusia. Mereka mengkufuri Allah kerana bencana hujan batu yang dahsyat itu.
 
 
 
 
 
 
17
Penghakiman atas Babel
1 aKemudian satu daripada tujuh malaikat yang membawa tujuh mangkuk emas itu datang kepadaku dan berkata, “Mari, kutunjukkan hukuman ke atas pelacur besar yang duduk di atas air yang banyak, 2 bdan yang berzina dengan raja-raja dunia; penghuni bumi mabuk dengan air anggur pencabulannya.”
3 cMalaikat itu membawaku dalam Roh ke gurun. Aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang buas yang berwarna merah dan penuh dengan nama-nama kufur. Binatang itu berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh. 4 dPerempuan itu berpakaian ungu dan merah, dihiasi emas permata serta mutiara, tangannya memegang cawan emas yang penuh dengan perbuatan cabul dan kecemaran perzinaannya. 5 Pada dahinya tertulis suatu nama rahsia:
“Babel Yang Agung, Ibu Segala Pelacur dan Kelucahan di Bumi.”
6 Aku melihat perempuan itu, mabuk dengan darah orang salih dan darah saksi Isa.
Apabila aku melihat perempuan itu, aku hairan tercengang. 7 Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, “Mengapa kamu hairan tercengang? Aku akan menceritakan rahsia di sebalik perempuan itu dan binatang yang ditunggangnya, yang berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh. 8 eBinatang yang kamu lihat itu pernah wujud tetapi tidak wujud lagi dan akan keluar dari jurang yang tidak terduga dalamnya lalu menuju kebinasaan. Penghuni bumi yang tidak tersenarai namanya dalam Kitab Hidup dari permulaan dunia akan tercengang melihat binatang yang pernah wujud dan sekarang tidak wujud lagi tetapi kemudian akan muncul lagi.
9 “Yang dituntut di sini ialah fikiran yang mempunyai kebijaksanaan. Tujuh kepala itu ialah tujuh gunung tempat perempuan itu tinggal. 10 Juga ada tujuh orang raja. Lima orang telah runtuh kerajaan mereka, satu masih bertakhta dan seorang lagi belum muncul. Datangnya nanti hanya untuk seketika. 11 Binatang yang pernah wujud dan yang tidak wujud lagi itu ialah raja yang kelapan, dan asalnya daripada yang ketujuh. Ia juga akan menuju kebinasaan.
12 f“Sepuluh tanduk yang kamu lihat itu bererti sepuluh orang raja yang belum mendapat kerajaan lagi, tetapi mereka menerima kekuasaan sebagai raja bersama dengan binatang itu selama sejam. 13 Mereka sepakat dan akan menyerahkan kuasa dan kekuasaan mereka kepada binatang itu. 14 Mereka akan memerangi Anak Domba, dan Anak Domba akan menumpaskan mereka, kerana Dialah Junjungan segala junjungan dan Raja segala raja. Orang yang dipanggil, dipilih serta setia ada bersama Dia.”
15 Malaikat itu berkata kepadaku, “Air yang kamu lihat di tempat pelacur itu duduk ialah kaum, orang ramai, bangsa dan bahasa. 16 Binatang dan sepuluh tanduknya yang kamu lihat itu akan membenci pelacur itu, dan membuatnya terlantar serta telanjang, lalu memakan dagingnya dan membakarnya dengan api. 17 Allah telah menggerakkan hati mereka untuk menunaikan kehendak-Nya, supaya sepakat dan menyerahkan kerajaan mereka kepada binatang itu hingga berlaku segala firman Allah. 18 Perempuan yang kamu lihat itu ialah kota agung yang menguasai semua raja di bumi ini.”
 
 
 
 
 
 
18
Kejatuhan Babel
1 Selepas segala ini, aku melihat satu lagi malaikat turun dari syurga, dengan kekuasaan besar, dan bumi diterangi oleh kemuliaannya. 2 aDia berseru dengan suara yang lantang dan hebat,
 
“Babel yang agung telah runtuh, telah runtuh,
dan telah menjadi tempat kediaman roh-roh jahat,
penjara bagi setiap roh jahat,
sangkar bagi setiap burung yang jijik dan dibenci!
3 bSemua bangsa telah minum air anggur hawa nafsunya yang cabul.
Raja-raja dunia telah berzina dengannya,
dan saudagar-saudagar dunia telah menjadi kaya-raya dari kemewahannya yang melimpah-limpah.”
 
4 cAku mendengar satu suara lagi dari syurga berkata,
 
“Keluarlah daripadanya, hai kaumku,
supaya kamu tidak bersubahat dengan dosanya
dan tidak ditimpa wabaknya.
5 dSegala dosanya telah bertimbun-timbun sampai ke syurga
dan Allah ingat akan kejahatannya.
6 ePerlakukan dia sebagaimana dia telah memperlakukanmu,
dan balas perbuatannya dua kali ganda.
Dalam cawan yang telah dibancuhnya,
bancuh dua kali ganda.
7 fSebagaimana dia telah memuliakan dirinya dan hidup mewah,
sebanyak itulah diberikan dia kesengsaraan dan kesedihan;
kerana dalam hatinya dia berkata,
‘Aku bersemayam sebagai ratu,
aku bukan balu, dan tidak akan mengalami kesedihan.’
8 Oleh itu, pelbagai bencana akan menimpanya dalam satu hari sahaja,
kematian dan ratapan serta kebuluran.
Dia akan hangus dibakar dengan api,
kerana Allah, Tuhan yang menghakiminya amat perkasa.”
 
9 g“Raja-raja dunia yang telah berbuat cabul dan hidup mewah dengannya akan menangis dan meratapinya apabila mereka melihat asap api yang membakarnya. 10 Sambil berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, mereka berkata,
 
“ ‘Aduhai, sengsaranya,
kota Babel yang agung!
Dalam sejam sahaja hukuman telah menimpamu.’ ”
 
11 h“Saudagar-saudagar dunia akan menangis dan meratapinya, kerana tiada siapa membeli dagangan mereka lagi – 12 idagangan emas, perak, permata dan mutiara, kain linen halus, kain ungu, kain sutera dan kain kesumba, setiap jenis kayu yang harum baunya, segala bekas daripada gading, kayu indah, tembaga, besi dan batu marmar, 13 juga kayu manis, rempah-ratus, setanggi, minyak wangi, dupa, air anggur, minyak zaitun, tepung halus, gandum, dan lembu, domba, kuda, pedati, abdi, serta nyawa manusia.
14 “Mereka akan berkata, ‘Buah-buahan yang diidami oleh hati jiwamu telah lenyap dari matamu, dan segala benda yang mewah serta hebat telah terlepas dari tanganmu, dan kamu tidak akan mendapatkannya lagi.’ 15 jSaudagar-saudagar yang menjual segala dagangan itu, yang telah menjadi kaya-raya kerananya, akan berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, sambil menangis dan meratap. 16 Mereka akan berkata,
 
“ ‘Aduhai, sengsaranya, kota yang agung itu,
yang memakai kain linen halus, kain ungu dan kain kesumba,
serta dihiasi emas permata dan mutiara!
17 kDalam sejam sahaja segala kemewahan itu lenyap sama sekali.’
 
“Setiap nakhoda, pelayar, kelasi dan saudagar di laut, berdiri jauh. 18 lMereka menangis melihat asap api yang membakarnya, sambil berkata, ‘Kota manakah yang setanding dengan kota agung ini?’ 19 mMereka meletakkan debu ke atas kepala mereka sambil berseru dengan ratap tangisnya,
 
“ ‘Aduhai, sengsaranya, kota yang agung itu,
yang kekayaannya telah memperkaya setiap penduduknya
yang memiliki kapal di laut!
Dalam sejam sahaja ia telah kehilangan segala-galanya.
20 nBergembiralah melihat keadaannya,
wahai syurga dan sekalian orang salih,
para rasul serta nabi yang suci,
kerana Allah telah menghukumnya
kerana perbuatannya terhadapmu!’ ”
 
21 oKemudian malaikat yang gagah perkasa mengangkat batu yang besarnya seperti batu kisar rupanya lalu melontarkannya ke dalam laut sambil berkata,
 
“Demikianlah, dengan dahsyatnya,
kota Babel yang agung akan dilenyapkan,
dan tidak akan ditemukan lagi.
22 p qBunyi orang bermain kecapi, seruling, serunai dan sangkakala
tidak akan kedengaran lagi di dalammu.
Ahli-ahli seni pertukangan tidak akan terdapat lagi di dalammu.
Bunyi batu kisar tidak akan didengar lagi di dalammu.
23 Cahaya lampu tidak akan bersinar lagi di dalammu.
Suara pasangan pengantin tidak akan kedengaran lagi di dalammu.
Saudagar-saudagarmu dahulu orang besar-besar di dunia,
kerana dengan kuasa sihirmu semua bangsa telah terperdaya.
24 rDi dalamnya telah didapati darah para nabi dan orang salih,
serta semua yang telah dibunuh di bumi ini.”
 
 
 
 
 
 
19
Nyanyian segala puji bagi Allah
1 Setelah itu, aku mendengar suara orang yang amat banyak di syurga berseru lantang,
 
“Segala puji bagi Allah!
Penyelamatan dan kemuliaan dan kuasa bagi Tuhan kita!
2 aKerana segala penghakiman-Nya benar dan adil,
kerana Dia telah menghakimi pelacur besar yang telah mencemarkan dunia dengan perzinaannya;
dan Dia telah menghukumnya kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Nya!”
3 bMereka berkata lagi,
 
“Segala puji bagi Allah!
Asap api yang membakarnya naik menjulang selama-lamanya!”
 
4 Dua puluh empat orang tua-tua dan empat makhluk itu pun sujud menyembah Allah yang bersemayam di atas takhta sambil berkata,
 
“Amin! Segala puji bagi Allah!”
 
5 cKemudian kedengaran suara dari takhta berkata,
 
“Pujilah Tuhan kita,
hai kamu sekalian hamba-Nya
dan orang yang bertakwa kepada-Nya,
baik yang kecil mahupun yang besar!”
 
6 dKemudian aku mendengar bunyi seperti suara orang yang sangat banyaknya, seperti deru air dan bunyi guruh yang amat hebat, berkata,
 
“Segala puji bagi Allah!
Kerana Tuhan kita, Allah Yang Maha Kuasa sedang bertakhta!
7 Bergembira dan bersukacitalah serta muliakan Dia,
kerana saat perkahwinan Anak Domba telah tiba,
dan isteri-Nya sudah menyediakan dirinya.
8 Isterinya diberi kain linen yang halus,
suci berseri-seri untuk dipakai.”
(Kain linen yang halus melambangkan segala perbuatan benar yang dilakukan oleh orang salih.)
 
9 eKemudian dia berkata kepadaku, “Tulislah: Diberkatilah mereka yang dijemput ke jamuan kahwin Anak Domba!” Katanya lagi kepadaku, “Inilah firman Allah yang benar.”
10 Aku sujud di kakinya untuk menyembahnya, tetapi dia berkata, “Jangan buat begitu! Aku hamba Allah sepertimu, dan seperti saudara-saudaramu yang memiliki kesaksian Isa. Sembahlah Allah! Kesaksian Isa itu roh nubuat.”
Kedatangan al-Masih
11 fKemudian aku melihat syurga terbuka, dan kelihatan seekor kuda putih. Dia yang menunggangnya dipanggil Setia dan Benar, dan dengan keadilan Dia menghakimi serta memerangi. 12 gMata-Nya seperti nyala api, dan di atas kepala-Nya terletak mahkota yang banyak. Ada satu nama tertulis pada-Nya, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun selain Dia. 13 Dia memakai jubah yang bercelup darah, dan nama-Nya Firman Allah. 14 Segala tentera syurga, berpakaian kain linen halus yang putih bersih, menunggang kuda putih mengiringi-Nya. 15 hSekarang dari mulut-Nya keluar pedang yang tajam untuk diparangkan kepada segala bangsa. Dia sendiri akan memerintah mereka dengan tombak besi. Dia sendiri menginjak pengirik air anggur kemurkaan Allah Maha Kuasa. 16 Pada jubah dan paha-Nya tertulis nama:
 
“Raja segala Raja, dan Junjungan segala Junjungan”.
 
17 iKemudian aku melihat malaikat berdiri di matahari, berseru lantang kepada burung-burung yang terbang di udara, “Marilah berhimpun untuk makan malam Allah Yang Maha Besar! 18 Kamu akan makan daging raja, panglima, orang berkuasa, kuda dan penunggangnya, dan semua orang, baik hamba mahupun merdeka, baik kecil mahupun besar.”
19 Aku melihat binatang itu, raja-raja dunia dan tentera mereka berhimpun untuk memerangi Dia yang berkuda itu serta tentera-Nya. 20 jKemudian binatang itu ditawan, dan bersamanya nabi palsu yang mengadakan pelbagai tanda di hadapannya dan dengan demikian memperdaya orang yang telah menerima tanda binatang itu serta orang yang menyembah patungnya. Kedua-duanya dihumbankan hidup-hidup ke dalam lautan api yang menyala dengan belerangnya. 21 Yang lain dibunuh dengan pedang yang keluar daripada Dia yang berkuda. Burung-burung kenyang makan daging mereka.
 
 
 
 
 
 
20
Kerajaan seribu tahun
1 Kemudian aku melihat malaikat turun dari syurga, tangannya memegang kunci jurang serta rantai yang besar. 2 aDia menangkap naga, ular purba itu, iaitu Iblis atau Syaitan, lalu mengikatnya selama seribu tahun. 3 Dia menghumbankannya ke dalam jurang itu, dan menutupnya serta memateraikannya, supaya ia tidak dapat lagi memperdaya umat manusia hingga tamat tempoh seribu tahun. Selepas itu, ia akan dilepaskan seketika.
4 bAku melihat beberapa takhta, lantas orang duduk di atasnya dan diberi kuasa sebagai hakim. Aku melihat roh-roh orang yang telah dipancung kepala kerana memberikan kesaksian tentang Isa al-Masih dan firman Allah, yang tidak menyembah binatang itu atau patungnya, dan tidak menerima tandanya di dahi atau di tangan. Mereka itu hidup dan memerintah bersama al-Masih selama seribu tahun. 5 Tetapi orang mati yang lain tidak hidup semula hingga genap masa seribu tahun itu. Inilah kebangkitan yang pertama. 6 Diberkatilah dan sucilah mereka yang dapat menyertai kebangkitan pertama. Kematian kedua tiada kuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan al-Masih, dan akan memerintah di sisi-Nya selama seribu tahun.
Iblis ditewaskan
7 Setelah tamat tempoh seribu tahun itu, Iblis akan dibebaskan dari kurungan. 8 cDia akan keluar untuk menipu bangsa-bangsa di empat penjuru bumi, Gog dan Magog, dan mengumpulkan mereka untuk berperang. Bilangan mereka seperti pasir di tepi laut. 9 Mereka naik ke seluruh bumi dan mengepung perkhemahan orang salih serta kota yang dikasihi itu. Lalu Allah menurunkan api dari syurga serta menghanguskan mereka. 10 Iblis yang telah memperdaya mereka itu terus dihumbankan ke dalam lautan api dan belerang, tempat binatang dan nabi palsu telah dicampakkan. Mereka akan diseksa siang malam selama-lamanya.
Orang mati dihakimi
11 dKemudian aku melihat sebuah takhta yang besar berwarna putih dan Dia yang bersemayam di atasnya. Bumi dan langit lenyap menghilang dari hadirat-Nya dan tiada lagi tempat bagi kedua-duanya. 12 Aku melihat orang mati, kecil dan besar, berdiri di hadapan takhta itu, dan kitab-kitab dibuka. Sebuah kitab lagi dibuka, iaitu Kitab Hidup. Orang mati itu dihakimi menurut perbuatan mereka, berdasarkan segala yang tersurat dalam kitab-kitab itu. 13 Laut menyerahkan orang mati yang di dalamnya; Maut dan Alam Maut menyerahkan orang mati yang di dalamnya. Semuanya dihakimi, menurut perbuatan masing-masing. 14 Kemudian Maut dan Alam Maut dihumbankan ke dalam lautan api. Inilah kematian kedua iaitu kematian di lautan api. 15 Sesiapa yang tidak tertulis namanya di dalam Kitab Hidup dicampakkan ke dalam lautan api.
 
 
 
 
 
 
21
Langit baru dan bumi baru
1 aAku melihat langit baru dan bumi baru, kerana langit dan bumi yang lama telah lenyap, dan laut pun tiada lagi. 2 bKemudian aku, Yahya, melihat kota suci, Yerusalem Baru, diturunkan Allah dari syurga, seperti pengantin yang terhias untuk suaminya. 3 cAku mendengar suara lantang dari takhta berkata, “Lihatlah, tempat kediaman Allah sekarang berserta manusia, dan Dia akan tinggal bersama mereka, dan mereka akan menjadi umat-Nya, dan Allah sendiri akan bersama mereka sebagai Tuhan mereka. 4 dAllah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka. Tiadalah lagi kematian, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap.”
5 Kemudian Dia yang bersemayam di atas takhta berkata, “Lihatlah, Aku telah mencipta segalanya baru.” Dia berfirman kepadaku, “Tuliskanlah, kerana kata-kata ini benar dan tepat.”
6 eFirman-Nya lagi, “Segalanya telah selesai! Akulah Alif dan Ya, Yang Pertama dan Yang Terakhir. Aku akan memberikan mata air hidup dengan percuma kepada sesiapa yang dahaga. 7 fSesiapa yang menang akan mewarisi segala-galanya. Aku Tuhannya dan dia anak-Ku. 8 Tetapi mereka yang pengecut, tidak beriman, durjana, pembunuh, melakukan yang cabul, ahli sihir, penyembah berhala dan semua pendusta akan dimasukkan ke dalam lautan yang menyala dengan api dan belerang. Inilah kematian kedua.”
9 Kemudian satu daripada tujuh malaikat yang membawa tujuh mangkuk berisi tujuh wabak datang kepadaku dan berkata, “Marilah, aku akan menunjukkan kepadamu pengantin, isteri Anak Domba.”
Yerusalem yang baru
10 gDia membawaku dalam Roh ke sebuah gunung yang besar dan tinggi, lalu menunjukkan kepadaku kota yang agung, Yerusalem Yang Suci, diturunkan Allah dari syurga, 11 dipenuhi kemuliaan Allah. Cahayanya seperti batu yang amat berharga, batu yaspis, jernih seperti hablur. 12 hTembok kota itu besar dan tinggi, dan berpintu dua belas, maka pada dua belas pintu itu ada dua belas malaikat. Di pintu itu tersurat nama dua belas suku Israel. 13 Di timur ada tiga pintu, di utara tiga pintu, di selatan tiga pintu, dan di barat tiga pintu. 14 Tembok kota itu beralas dua belas, dan di atasnya ada dua belas nama, iaitu nama dua belas rasul Anak Domba.
15 iMalaikat yang bertutur denganku itu memegang batang pengukur emas, untuk mengukur kota itu termasuk pintu dan temboknya. 16 Kota itu empat persegi, panjangnya sama dengan lebarnya. Dia mengukur kota itu dengan batang pengukur, seribu empat ratus batu; panjang, lebar dan tingginya sama. 17 Temboknya seratus empat puluh empat hasta, menurut ukuran manusia, juga ukuran malaikat. 18 jTembok itu diperbuat daripada batu yaspis. Kota itu daripada emas tulen, seperti kaca yang jernih. 19 Segala alas tembok kota itu dihiasi dengan pelbagai permata. Alas yang pertama yaspis, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik putih, yang keempat zamrud, 20 yang kelima batu unam, yang keenam akik merah, yang ketujuh ratna cempaka, yang kelapan firuz, yang kesembilan yakut kuning, yang kesepuluh akik hijau, yang kesebelas batu lazuardi, dan yang kedua belas batu kecubung. 21 Dua belas pintu itu diperbuat daripada dua belas mutiara, iaitu setiap pintu itu sebutir mutiara yang sangat besar. Jalan di kota itu diperbuat daripada emas tulen, seperti kaca yang bening.
22 Aku tidak melihat Bait Allah di dalamnya, kerana Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa dan Anak Domba ialah Bait Allahnya. 23 kKota itu tidak memerlukan sinaran matahari dan bulan, kerana kemuliaan Allah meneranginya dan Anak Domba itu pelitanya. 24 lSemua bangsa berjalan dalam cahayanya, dan raja-raja di bumi membawa kemuliaan mereka ke dalamnya. 25 mPintu gerbangnya tidak pernah ditutup pada siang hari kerana malam tiada lagi. 26 Kemuliaan dan kehormatan segala bangsa akan dibawa ke dalamnya. 27 nTiada sekali-kali masuk ke dalamnya sesuatu yang najis atau sesiapa yang melakukan perbuatan keji atau berdusta. Manusia yang masuk ke dalamnya hanyalah yang tersurat namanya di dalam Kitab Hidup Anak Domba.
 
 
 
 
 
 
22
Sungai air hidup
1 aDia menunjukkan kepadaku sebatang sungai air hidup, jernih seperti hablur, mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba 2 bdi tengah-tengah kota itu. Di kiri kanan sungai itu terdapat pokok hayat, yang berbuah dua belas jenis setiap bulan; daun-daunnya menyembuhkan umat manusia. 3 cSegala yang terlaknat tiada lagi. Takhta Allah dan Anak Domba ada di dalam kota itu, dan hamba-hamba-Nya beribadat kepada-Nya. 4 Mereka melihat wajah-Nya, dan nama-Nya tersurat pada dahi mereka. 5 dMalam tiada lagi, dan cahaya pelita serta cahaya matahari tidak diperlukan lagi. Kerana Tuhan, iaitu Allah, akan menerangi mereka dan sekaliannya bertakhta selama-lamanya.
6 Katanya kepadaku, “Ini kata-kata yang dapat dipercayai dan benar. Allah, Tuhan segala roh nabi-nabi, telah menyuruh malaikat-Nya menunjukkan kepada hamba-hamba-Nya apa yang akan terjadi dengan segera.”
 
7 “Ingatlah, Aku akan datang dengan segera. Diberkatilah orang yang memeliharakan segala nubuat dalam kitab ini.”
 
8 Aku, Yahya, telah mendengar dan melihat segala hal itu. Apabila aku mendengar dan melihatnya, aku sujud hendak menyembah malaikat yang menunjukkannya kepadaku. 9 Tetapi dia berkata kepadaku, “Jangan buat begitu! Aku ini sesama hamba Allah sepertimu dan saudara-saudaramu, iaitu nabi-nabi dan sekalian yang memeliharakan kata-kata dalam kitab ini. Hanya Allah yang harus kamu sembah.”
Berita yang terakhir
10 Katanya lagi kepadaku, “Janganlah kamu materaikan nubuat di dalam kitab ini, kerana masanya sudah hampir tiba. 11 eOrang yang berbuat jahat, biarlah dia terus berbuat jahat. Orang yang cemar, biarlah dia terus cemar. Orang yang benar, biarlah dia terus benar. Orang yang suci, biarlah dia terus suci.”
12 f“Ingatlah, Aku akan datang dengan segera, dan ganjaran-Ku bersama-Ku, supaya setiap orang mendapat balasan setimpal dengan perbuatannya. 13 gAkulah Alif dan Ya, Yang Pertama dan Yang Terakhir, Yang Di Awal dan Yang Di Akhir.
14 h“Diberkatilah sekalian yang menyucikan pakaiannya, kerana mereka berhak menghampiri pokok hayat dan masuk ke dalam kota itu melalui pintu gerbangnya. 15 Di luar terdapat anjing, ahli sihir, orang yang cabul, pembunuh, penyembah berhala, dan semua yang menyukai dusta serta menuturkannya.
16 i“Aku, Isa, telah menyuruh malaikat-Ku memperlihatkan segala hal ini kepadamu untuk semua jemaah. Akulah akar dan zuriat yang mulia daripada Daud, dan bintang fajar yang bersinar.”
17 jRoh dan pengantin perempuan itu berkata, “Marilah”. Orang yang mendengar haruslah berkata, “Marilah.” Orang yang dahaga haruslah datang. Sesiapa yang suka boleh mengambil air hidup itu dengan percuma.
18 kAku bersaksi kepada setiap orang yang mendengar nubuat di dalam kitab ini, bahawa jika sesiapa menambahkan apa-apa kepadanya, Allah akan menambahkan baginya segala wabak yang tersurat dalam kitab ini. 19 Dan jika sesiapa menggugurkan sepatah kata pun daripada nubuat ini, Allah akan menggugurkan bahagiannya daripada pokok hayat dan kota suci seperti yang tersurat dalam kitab ini.
20 Yang bersaksi atas segala perkara ini berfirman, “Ya, Aku akan datang segera!” Sesungguhnya, marilah Engkau, ya Isa, Junjungan Yang Ilahi!
21 Semoga rahmat Isa, Junjungan Yang Ilahi, menyertai sekalian orang salih. Amin.