Titus
1
1 Daripada Paulus, sebagai hamba Allah dan rasul Isa al-Masih demi iman semua orang pilihan Allah dan pengetahuan akan kebenaran yang menghasilkan kesalihan. 2 Iman dan pengetahuan itu berasaskan harapan untuk memperoleh hidup yang kekal. Allah tidak berdusta, Dia telah menjanjikan hidup ini sebelum permulaan zaman. 3 Pada masa yang telah ditentukan, Allah menyatakan janji itu melalui perkhabaran-Nya yang diamanahkan kepadaku. Aku menyebarkan perkhabaran ini dengan perintah Allah, Penyelamat kita.
4 aKepada Titus, kamu seperti anakku sendiri dalam iman kita yang sama:
 
Semoga Allah, Bapa kita, dan Isa al-Masih Penyelamat kita, memberimu rahmat dan damai sejahtera.
Tugas Titus di Kreta
5 Aku telah meninggalkanmu di Kreta supaya kamu dapat melaksanakan segala hal yang masih perlu diselesaikan serta melantik tua-tua di setiap kota seperti yang telah kuarahkan kepadamu. 6 bSeorang tua-tua hendaklah tidak bercela, dan beristeri seorang sahaja, manakala anak-anaknya haruslah hidup beriman dan tidak dapat dituduh berkelakuan liar serta ingkar. 7 Ini perlu kerana seorang penyelia jemaah memegang tugas mengendalikan pekerjaan Allah. Oleh yang demikian, dia mestilah tidak bercela – tidak menindas orang lain, tidak pemarah, tidak pemabuk, tidak ganas, dan tidak rakus. 8 Dia haruslah bersifat mesra, mencintai kebaikan, pandai menguasai diri, tulus, suci dan tertib. 9 Dia mesti berpegang teguh pada perkhabaran yang layak dipercayai serta selaras dengan asas iman. Dengan demikian dapatlah dia menggalakkan orang menerima ajaran yang benar dan menunjukkan kesilapan mereka yang menentang ajaran itu.
10 Sebabnya ada ramai pemberontak, orang yang bercakap kosong dan penipu, terutamanya orang yang dahulunya daripada mazhab persunatan. 11 Mulut mereka mesti ditutupkan kerana mereka telah memesongkan seisi keluarga orang dengan mengajar ajaran yang tidak patut – untuk mendapat keuntungan yang haram. 12 Seorang nabi mereka dari Kreta pernah berkata, “Orang Kreta pembohong. Mereka rakus dan malas laksana binatang buas.” 13 Kata-kata kesaksian itu memang benar. Oleh itu tegurlah mereka dengan tegas supaya iman mereka kukuh 14 dan tidak terpengaruh dengan cerita karut orang Yahudi atau perintah-perintah yang dikenakan oleh orang yang menolak ajaran yang benar. 15 Bagi orang yang suci, segala-galanya suci. Sebaliknya bagi orang yang fikirannya dinodai dosa dan tidak percaya akan kebenaran, tiada suatu pun yang suci, kerana jiwa dan hati nuraninya sudah tercemar. 16 Mereka mendakwa mereka mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikan dakwaan ini. Mereka terkutuk, ingkar kepada Allah, dan tidak dapat melakukan sesuatu yang baik.
 
 
 
 
 
 
2
Tanggungjawab orang tua dan muda
1 Kamu harus sampaikan ajaran yang selaras dengan asas kepercayaan yang benar. 2 Nasihatilah lelaki yang lebih tua supaya hidup sederhana, dihormati orang, mempunyai penguasaan diri, kuat beriman, penuh dengan kasih dan kegigihan. 3 Seterusnya nasihatilah perempuan yang lebih tua supaya berkelakuan santun: jangan menjadi pengumpat, pemabuk, sebaliknya ajarkanlah kebaikan. 4 Dengan demikian dapatlah perempuan yang lebih tua membimbing perempuan muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, 5 pandai mengawal diri, suci, menjadi suri rumah yang rajin, baik hati, dan taat kepada suami. Maka tidaklah dapat orang mencela perkhabaran Allah.
6 Orang lelaki muda pula, nasihatilah mereka supaya mengawal diri. 7 Jadilah teladan kepada mereka dengan melakukan perbuatan yang baik. Ajarlah mereka dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh 8 dan gunakan kata-kata bijak yang tidak dapat dicela, supaya musuhmu malu kerana gagal mencari kesalahan kita.
9 Ajarkan hamba supaya mematuhi perintah dan menyenangkan hati tuannya dalam semua perkara. Hamba tidak harus membantah 10 atau mencuri, sebaliknya hendaklah sentiasa amanah sehingga dalam segala hal mereka menjadikan ajaran tentang Allah Penyelamat kita itu menarik.
11 Hal ini demikian kerana rahmat Allah yang menyelamatkan seluruh umat manusia telah nyata. 12 Kita diajar supaya hidup warak, tidak memburu keinginan duniawi, mengawal diri, ikhlas, dan menghormati Allah pada zaman ini. 13 Kita sedang menunggu hari yang penuh berkat yang kita harap-harapkan, ketika kemuliaan Allah Yang Agung, Penyelamat kita, iaitu Isa al-Masih, akan terserlah. 14 aAl-Masih telah mengorbankan nyawa-Nya untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, menjadikan kita milik-Nya serta mendorong kita berbuat baik.
15 Ajarkanlah segala ini, dan galakkan serta tegur semua yang mendengar kata-katamu dengan penuh wibawa. Jangan biarkan sesiapa memandang rendah kepadamu.
 
 
 
 
 
 
3
Melakukan apa yang baik
1 Nasihati jemaahmu supaya taat akan pemerintah dan penguasa, serta sentiasa bersedia melakukan kebaikan. 2 Larang mereka mengumpat atau bertengkar, dan dorong mereka bersikap ramah-tamah serta lemah lembut kepada semua orang.
3 Dahulu kita juga bodoh, ingkar dan sesat. Kita dikuasai pelbagai nafsu dan keinginan. Kita hidup dengki-mendengki dan benci-membenci. 4 Tetapi Allah, Penyelamat kita, menunjukkan belas ihsan dan kasih-Nya kepada kita. 5 Allah menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan benar yang kita lakukan, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Dia menyelamatkan kita melalui pentahiran kelahiran semula dan melalui pembaharuan yang dilakukan Roh Allah. 6 Allah melimpahkan Roh Allah itu kepada kita melalui Isa al-Masih, Penyelamat kita. 7 Maka dengan rahmat-Nya kita sudah diperbenar untuk menjadi anak waris yang mendapat hidup kekal yang kita harapkan. 8 Kata-kata ini benar. Berikanlah perhatian terhadap hal-hal tersebut, supaya orang yang beriman kepada Allah berusaha sepenuhnya untuk melakukan segala yang baik serta bermanfaat kepada semua orang.
9 Sebaliknya, jauhilah perbahasan yang sia-sia, perbuatan menyusur galur nenek moyang, pertengkaran dan pertikaian tentang hukum Taurat. Segala ini tidak membawa faedah. 10 Berikan amaran kepada sesiapa yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan jemaah. Nasihati dia sekurang-kurangnya dua kali; jika dia tidak berubah, jauhilah dia. 11 Kamu tahu bahawa orang yang demikian itu sesat dan berdosa; dia menjatuhkan hukuman atas dirinya sendiri.
Salam akhir
12 aApabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, cubalah seberapa daya mengunjungiku di Nikopolis, kerana aku telah membuat keputusan akan berada di situ pada musim dingin. 13 bBerikanlah sepenuh bantuan kepada peguam yang bernama Zenas dan kepada Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan tanpa kekurangan apa-apa. 14 Jemaah kita haruslah mengamalkan kebajikan untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian bergunalah hidup mereka.
15 Semua saudara yang bersamaku berkirim salam kepada sahabat-sahabat seiman.
Semoga rahmat Allah menyertai kamu semua.