Adam: /آدم/. Orang lelaki pertama ciptaan Allah. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransliterasikan daripada bahasa Ibrani atau bahasa Yunani. Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘merah’ atau ‘bumi’ dan digunakan sebanyak 25 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Kejadian 1:26-5:5), dan namanya juga disebut sebanyak tiga kali lagi dalam Taurat dan tujuh kali dalam Injil.
Al-Masih: /المسيح/. Perkataan ini dalam bahasa Arab berasal daripada bahasa Ibrani (Mashiakh) yang sama erti dengan perkataan Kristus dalam bahasa Inggeris dan perkataan (khristos) dalam bahasa Yunani. Sebenarnya, perkataan ‘al-Masih’ ialah gelaran (bukan nama) dan digunakan sebanyak 11 kali dalam Al-Qur’an dan 521 kali dalam Injil. Gelaran ini dalam bahasa Arab bermaksud ‘yang diurapi’ untuk menandakan lantikan oleh Allah. Lihat juga glosari (Isa).
Allah: /الل/. Perkataan ‘Tuhan’ ialah transliterasi dalam bahasa Inggeris daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud berikut: Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mengetahui, Pencipta alam semesta, Tuhan yang Maha Esa, Yang layak dipuji, disembah dan dihormati, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Allah adalah sepadan dengan Tuhan seperti yang difahami dalam Kitab-Kitab terdahulu, yakni Taurat, Zabur dan Injil. Perkataan Allah digunakan sebanyak 2,697 kali dalam Al-Qur’an.
Tiap-tiap orang Muslim dan Kristian serta Yahudi yang berbahasa Arab menggunakan perkataan Allah untuk bermaksud Tuhan. Perkataan Allah digunakan di dalam semua versi kitab bahasa Arab, yakni Al-Qur’an, Injil, Zabur dan Taurat. Dari segi linguistik perkataan Allah sepadan dengan /elohim/ dalam bahasa Ibrani yang digunakan sebanyak 7,007 kali dalam Kitab Taurat untuk bermaksud Tuhan. Isa al-Masih menggunakan /eloi/ untuk menyeru Allah dalam Injil (Markus 15:34).
Ramai menganggap perkataan Allah itu bukan sahaja gelaran tetapi nama Tuhan dalam bahasa Arab, serupa dengan Yahweh dalam Kitab Taurat. Kedua-dua perkataan Allah dan Yahweh tidak mempunyai genus feminin atau bentuk jamak, dan juga tidak boleh digunakan sebagai kata ganti nama (iaitu Allah ku). Namun, tiada persetujuan tentang subjek ini. Al-Qur’an menegaskan bahawa Allah ialah Tuhan yang sama disembah oleh kaum Kristian, Yahudi, dan Muslim. Lihat juga glosari (Tuhan).
Api bergelojak: /لظى/. Unkapan ini hanya terdapat di QS.70:15, dan berkaitan dengan satu lagi ungkapan dalam QS.92:14 (menyala marak) untuk menggambarkan neraka. Lihat juga glosari (Jahanam), glosari (Jahim), dan glosari (Api neraka).
Api neraka: /النار/. Secara harfiah, perkataan ini dalam bahasa Arab bermaksud ‘api’ dan digunakan sebanyak 104 kali dalam Al-Qur’an untuk membawa maksud api neraka. Apabila bukan ini dimaksudkan, perkataan Arab /alnnari/ diterjemahkan sebagai ‘api’ sahaja (sebanyak 41 kali). Al-Qur’an sering menyatakan bahawa api neraka adalah abadi, dan mereka yang berada di dalamnya tidak dapat melepaskan diri (contohnya, QS.2:167,217,257,275).
Asmaul Husna: /اسماعيل حسنى/. Ungkapan ini daripada bahasa Arab bermaksud ‘nama-nama indah’ dan digunakan sebanyak empat kali dalam Al-Qur’an (QS.7:180; 17:110; 20:8 dan 59:24) untuk memggambarkan Allah sebagai Pemunya Asmaul Husna. Terdapat beberapa senarai 99 nama-nama indah Tuhan dengan sedikit beza di antaranya. Dalam senarai yang paling selalu diterima, 76 nama didapati dalam Al-Qur’an, dan semua 99 nama didapati dalam Taurat, Zabur, dan Injil masing-masing.
Ayat: /آية//. Perkataan bahasa Arab ini mempunyai dua makna. Terjemahan ini menggunakan ‘ayat’ apabila ayat dalam kitab dimaksudkan, dan ‘tanda’ apabila sesuatu mukjizat atau kemuliaan Allah dimaksudkan. Lihat juga glosari (Mukjizat).
Dalam Al-Qur’an, orang-orang yang mendustakan, mengingkari, mengkufuri, menolak, menzalimi atau tidak beriman kepada ayat-ayat Allah akan mengalami keadaan seperti berikut ...
- azab yang keras (QS.3:4)
- azab pedih (QS.29:23; 45:8) yang teruk (45:11)
- azab amat hina (QS.6:93; 22:57; 31:6)
- azab amat buruk (QS.6:157)
- api neraka (QS.4:56) dan Jahim (QS.5:10,86; 57:19)
- kekal dalam api [neraka] (QS.7:36; 41:28; 64:10)
- penghuni Jahanam (QS.17:97-98; 18:106; 78:21-28)
- keadaan tuli, bisu dan dalam kegelapan (QS.6:39)
- merugikan dirinya sendiri (QS.7:9) atau orang yang rugi (QS.10:95; 39:63)
- dilupakan oleh Allah (QS.7:51; QS.20:126-127)
- tidak akan masuk Jannah (QS.7:40)
Bahkan hukuman bagi orang-orang di dunia ini yang telah menolak ayat-ayat atau tanda-tanda Allah adalah berikut ...
- mengalami hukuman keras (QS.3:11) dan pengiraan Allah yang cepat (QS.3:19)
- menanggung kemurkaan Allah (QS.3:112)
- ditenggelamkan (QS.7:64,136; 21:77)
- dimusnahkan (QS.7:72; 25:36), dibinasakan (8:54)
- disambar oleh Allah (QS.8:52; 54:42)
- dilaknat oleh Allah (QS.11:59-60)
- di secara beransur-ansur (QS.7:182)
- amal-amalnya terhapus (QS.18:105)
Kebanyakan tanda-tanda yang disebutkan dalam Al-Qur’an berkaitan dengan penciptaan yang semua manusia dapat perhatikan seperti disebutkan dalam QS.2:164; 6:97-99 dan 10:5. Bahkan Allah memberikan tanda-tanda yang lebih khusus kepada para rasul-Nya, dan tiada seorang pun rasul yang membawa tanda [mukjizat] kecuali dengan izin Allah (QS.13:38; 40:78), seperti yang di beri kepada ...
- Adam (QS.7:26)
- Salih (QS.7:73; 11:64; 26:155-158; 27:45-52)
- Nuh (QS.7:64; 25:37; 26:119-121; 29:15; 54:15)
- Hud (QS.26:139)
- Lut (QS.15:74-75, 26:173-174; 29:31-35)
- Musa (QS.7:106-107,133; 17:101; 20:17-23; 26:65-67; 79:20)
- Shuaib (QS.26:188-190)
- [Samuil] nabi kepada Bani Israel (QS.2:248)
- Zakariya (QS.3:41; 19:10)
- Isa (QS.3:49; 5:113-115)
- kelahiran Isa digelar suatu tanda (QS.19:20-22; 23:50)
Perhatikan bahawa Muhammad (saw) tidak membawa tanda (QS.6:37,109; 7:203; 10:20; 13:27; 20:133; 21:5), dan Al-Qur’an menyata bahawa orang-orang kafir tetap akan menolaknya (QS.6:124; 37:14-15; 54:2). Walau bagaimanapun, Al-Qur’an yang diturunkan kepada Muhammad (saw) ialah tanda daripada Allah (QS.3:58; 12:1-2; 26:192-195; 41:2-3).
Ayub, Ayyub: /أيوب/. Nabi yang dikenali sebagai penyabar. Nama ini dalam bahasa Arab telah telah ditransliterasikan daripada bahasa Ibrani (Ayub) dan bukan daripada bahasa Yunani (Iob). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘kembali’ dan digunakan sebanyak empat kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Ayub 1-42), dan namanya juga disebut dalam Taurat (Yehezkiel 14:14,20) dan Injil (Yakobus 5:11).
Azab: /عذاب/'. Perkataan ini bermaksud seksaan yang akan dihadapi oleh orang yang tidak beriman. Malahan, perkataan azab membawa maksud lebih daripada penderitaan fizikal, yakni penghinaan dari segi psikologi dan emosi.
Bacaan: /رآن/. Lihat glosari (Qur’an).
Berserah diri: Lihat glosari (Muslim).
Bertakwa: Perkataan bahasa Arab ini sering terdapat dalam ungkapan ‘bertakwa kepada Allah’, untuk menggambarkan sifat seorang yang kerana takut kepada Allah, dia melakukan apa yang betul dan berakhlak mulia.
Daud/Dawud: /داود/. Raja Israel dan bapa kepada Sulaiman. Nama ini dalam bahasa Arab telah telah ditransliterasikan daripada bahasa Ibrani (Dawud) dan bukan daripada bahasa Yunani (Dauid). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘dikasihi’ dan disebut sebanyak 16 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (1 Samuil 16:13 - 1 Raja-Raja 2:10; 1 Tawarikh 9:22-29:30), dan namanya juga disebut sebanyak 204 kali dalam Taurat, 87 kali dalam Zabur, dan 59 kali dalam Injil.
Faham: /يفقه/. Perkataan ini digunakan sebanyak 20 kali dalam Al-Qur’an dan sering dikaitkan dengan orang yang berakal (QS.20:54,128) atau cerdas (QS.53:6), dan juga dikaitkan dengan orang yang kurang berakal (QS.48:15).
Fasik atau fasiq: /فسق/. Perkataan ini digunakan sebanyak 53 kali dalam Al-Qur’an untuk membawa maksud menyimpang dari ajaran agama, melanggar perintah Allah dan cenderung pada kemaksiatan. Lihat juga glosari (Maksiat). Perkataan ini juga mensifatkan seorang yang menyaksikan sesuatu tetapi tidak beriman kepadanya, atau mengetahui sesuatu tetapi tidak mengerjakannya. Fasik (dan fasiq) juga terdapat sebanyak 166 kali dalam Taurat, 79 kali dalam Zabur dan sekali dalam Injil.
Furqan: /الفرقان/. Kata akar perkataan ini ialah perbezaan, dan ertinya membawa bermaksud membezakan antara kebaikan dan keburukan, benar dan salah. Dalam QS.2:185, Furqan merujuk kepada Al-Qur’an, manakala dalam QS.2:53 dan 21:48, Furqan merujuk kepada Taurat.
Haji: /الحج/. Perkataan ini digunakan dalam konteks menunaikan haji yang dilakukan pada masa tertentu. Berhijrah untuk beribadat ada juga di sebut dalam Taurat (Keluaran 23:17; 34:23-24; Imamat 23:4-37; Ulangan 12:11; 16:16; Yesaya 4:5; Yoel 2:16), Zabur (ZS.84:7) dan Injil (Yahya 12:20; Kisah Para Rasul 8:27). Lihat juga glosari (Umrah).
Hamba atau hamba abdi: /عبد/. Secara umum, perkataan ini bermaksud abdi atau pelayan kepada orang lain, tetapi ada kalanya bermaksud penyembah.
Perkataan ini mempunyai dua bentuk jamak yang berasingan dengan dua makna yang berbeza. Apabila bentuk jamak /عبيد/abid/ digunakan, ertinya hamba abdi atau pelayan. Bentuk jamak ini digunakan sebanyak lima kali dalam Al-Qur’an (QS.3:182; 8:51; 22:10; 41:46 dan 50:29), dan secara umum kata tunggalnya juga membawa maksud yang sama. Apabila bentuk jamak /عباد/ibad/ digunakan, ertinya membawa maksud penyembah kerana Allah tidak memaksa sesiapa sahaja untuk menyembah-Nya. Perkataan bahasa Arab ini mempunyai makna yang sama dalam Taurat /abd/ dan Injil /doulos/.
Harun: /هارون/. Abang kandung Musa. Nama ini dalam bahasa Arab telah telah ditransliterasikan daripada bahasa Yunani (Aaron) dan bukan daripada bahasa Ibrani (Ahron). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘menyedari’, ‘mulia’ atau ‘unggul’ dan digunakan sebanyak 20 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Keluaran 4:14 - Bilangan 33:39), dan namanya juga disebut sebanyak 40 kali lagi dalam Taurat, lapan kali dalam Zabur, dan empat kali dalam Injil.
Hawiyah: /هاوية/. Perkataan ini digunakan sebanyak dua kali dalam QS.101:9,10 untuk menggambarkan neraka sebagai jurang atau lubang yang tanpa batas.
Hur Iin: /وَحُورٌ عِينٌ /. Ungkapan ini terdapat‘ tiga kali sahaja di QS.44:54; 52:20 dan 56:22. Tiap-tiap kali /hur iin/ digunakan, selalunya dalam konteks buah-buahan, makanan atau minuman. Terjemahan lain menggunakan perkataan ‘dara’ atau ‘bidadari’ tetapi perkataan ini tiada dalam teks. Perkataan Arab /hur/ di sini mungkin berkaitan dengan perkataan Suriyani /hura/ yang bermaksud ‘anggur’. Di dalam Jannah buah anggur disebut secara khusus dalam QS.23:19 dan 78:32. Oleh itu, terjemahan di sini mungkin ‘buah anggur putih jernih’. Lihat nota pada ayat QS.56:22.
Selain itu, konsep anak dara atau bidadari untuk keseronokan orang lelaki mukmin tidak sesuai dengan Jannah, di mana juga berada isterinya yang beriman (QS.36:56 dan 43:70). Malahan, ganjaran setimpal dijanjikan kepada para perempuan mukmin dalam QS.4:124; 16:97 dan 40:40. Pengulas-pengulas terawal berpendapat bahawa /hur iin/ akan dibawa kepada penghuni syurga oleh para pelayan.
Hutamah: / الْحُطَمَةِ /. Perkataan ini digunakan dalam QS.104:4,5 untuk menggambarkan neraka. Perkataan ini membawa maksud menghancurkan.
Iblis: /إِبْلِيسَ/. Nama atau gelaran ini diambil daripada bahasa Yunani (diabolos) yang bermaksud, ‘dia yang menimbulkan [masalah] antara orang’. Perkataan ini digunakan sebanyak 11 kali dalam Al-Qur’an.
Ibrahim: /ابراهيم/. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransiterasikan daripada bahasa Ibrani (Abraham) dan bukan daripada bahasa Yunani (Abraam). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘bapa leluhur banyak bangsa’ dan digunakan sebanyak 69 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Kejadian 11:26-25:8), dan namanya juga disebut sebanyak 65 kali dalam Taurat, empat kali dalam Zabur, dan 68 kali dalam Injil.
Idris: /إدريس/. Bapa kepada Metuselah dan moyang kepada Nuh. Asal nama ini dalam bahasa Arab tidak diketahui, tetapi dipercayai tidak ada kaitan dengan /Hanukh/ (bahasa Ibrani) atau /Enokh/ (bahasa Yunani). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘berdedikasi’ dan digunakan sebanyak dua kali dalam Al-Qur’an. Ada beberapa pengulas yang bercadang nama ini selaras dengan nama Ezra. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Kejadian 5:18-24), dan namanya juga disebut sebanyak satu kali lagi dalam Taurat dan tiga kali dalam Injil.
Ilyas: /إلياس/. Seorang rasul. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransiterasikan daripada bahasa Yunani (Ilias) dan bukan daripada bahasa Ibrani (Elihu). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘Dia-lah Tuhan’. Nama ini digunakan sebanyak dua kali dalam Al-Qur’an. Namun, nama ini dalam bentuk jamak terdapat di QS.37:130. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (1 Raja-Raja 17:1 - 2 Raja-Raja 2:11), dan namanya juga disebut sebanyak 13 kali lagi dalam Taurat dan 29 kali dalam Injil.
Ilyasa: /أليسع/. Pembantu kepada Ilyas yang kemudiannya menjadi nabi. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransliterasi daripada bahasa Ibrani (Alyasha’) dan bukan daripada bahasa Yunani (Elisaie). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘Tuhan penyelamatku’ dan digunakan sebanyak dua kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (1 Raja-Raja 19:16 - 2 Raja 13:21), dan namanya juga disebut sebanyak satu kali lagi dalam Injil (Lukas 4:27).
Infak: /أنفق/. Secara harfiah, perkataan ini bermaksud membelanja. Namun, perkataan ini sering digunakan dalam konteks perbelanjaan atau derma untuk menunaikan kehendak Allah atau memanfaatkan orang miskin.
Ingat atau mengingati: /ذكر/. Perkataan ini (dan dalam bentuk kata kerja) juga boleh membawa maksud, ‘fikirlah’ atau ‘sebutlah’ atau ‘ceritakanlah’. Lima kali dalam Al-Qur’an Surah 19, Allah mengarahkan, "Dan ceritakanlah kisah (Maryam, Ibrahim, Musa, Ismail dan Idris) di dalam Kitab". Nampaknya penerima asal Al-Qur’an lebih mengetahui tentang kisah-kisah itu dalam Kitab-Kitab terdahulu daripada orang zaman kini, dan mereka memahami kisah-kisah itu cuma dengan pesanan, ‘ceritakanlah’ kepada mereka.
Injil: /الإنجيل/. Perkataan ini dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan Yunani (evangelion) yang bermaksud ‘pengajaran’ atau ‘berita baik’. Kini perkataan Injil lebih dikenali sebagai Perjanjian Baru kepada kaum Kristian. Lihat juga glosari (Taurat).
Al-Qur’an menyatakan bahawa Allah memberikan Injil kepada Isa al-Masih yang mengandungi ‘petunjuk dan cahaya’ (QS.5:46). Isa al-Masih pula menerangkan bahawa ‘Roh Suci’ atau ‘Roh Kebenaran’ akan mengajar dan membimbing para pengikutnya segala kebenaran (Injil, Yahya 14:26; 16:12-13).
Isa: /عيسى/. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransiterasikan daripada bahasa Yunani (Isous) dan bukan daripada bahasa Ibrani (Yehoshua). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘Tuhan menyelamatkan’ dan digunakan sebanyak 25 kali dalam Al-Qur’an. Nama ini juga disebut sebanyak 911 kali dalam Injil, dan dikaitkan dengan gelaran Al-Masih. Lihat juga glosari (Al-Masih).
Isa satu-satunya dalam Al-Qur’an yang diberi gelaran Al-Masih. Minyak (zaitun) kerap kali digunakan apabila seseorang dilantik sebagai rasul, imam, atau raja. Malahan, minyak adalah simbolik untuk Roh Allah (Taurat, 1 Samuil 16:13; Yesaya 61:1; Zakharia 4:11-14; QS.2:87,253; 5:110). Isa al-Masih satu-satunya memegang ketiga-tiga peranan tersebut, yakni ...
- rasul (QS.3:49) dan nabi (QS.19:30; Injil, Matius 13:57; 21:11,46)
- imam (Injil, Ibrani 3:1; 6:20)
- raja (Injil, Wahyu 17:14)
Riwayat dan wafat Isa al-Masih terdapat dalam petikan berikut: QS.3:45,55; 4:158,171; 5:110,117; 19:19; 37:107; Injil, Ibrani 9:24-28; 10:5-12).
Ishak: /إسحاق/. Anak kedua Ibrahim. Nama ini dalam bahasa Arab (disebut Is-hak dan bukan Ish-ak) telah telah ditransliterasikan daripada bahasa Ibrani (Yits-haq) dan bukan daripada bahasa Yunani (Isak). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘dia bergelak’. Nama ini digunakan sebanyak 17 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Kejadian 17:19-21; 21:3-35:29), dan namanya juga disebut sebanyak 36 kali lagi dalam Taurat, sekali dalam Zabur, dan 20 kali dalam Injil.
Islam: /إسلام/. Agama kaum Muslim. Lihat juga glosari (Muslim).
Ismail: /إسماعيل/. Anak lelaki sulung Ibrahim. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransiterasikan daripada bahasa Ibrani (Yishmael) dan juga daripada bahasa Yunani (Ismail). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘Allah mendengar’ dan digunakan sebanyak 12 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Kejadian bab 16-17 dan 25), dan namanya juga disebut sebanyak enam kali dalam Taurat dan sekali dalam Zabur.
Jahanam: /جهنم/. Perkataan ini biasanya digunakan untuk bermaksud neraka, dan digunakan sebanyak 77 kali dalam Al-Qur’an. Perkataan ini mungkin berasal daripada perkataan Ibrani /gehennom/ yang bermaksud ‘Lembah Hinom’. Pada awalnya lembah tersebut digunakan untuk pengorbanan anak-anak, dan kemudiannya menjadi tempat pembuangan dan pembakaran sampah. Lihat juga glosari (Jahim).
Jahim: /الجحيم/. Perkataan ini juga digunakan untuk bermaksud neraka, dan digunakan sebanyak 27 kali dalam Al-Qur’an. Lihat juga glosari (Jahanam).
Jalan rohaniah: /ملة/. Secara umum, ungkapan ini membawa maksud agama (QS.2:120; 12:38; 7:88-89; 12:37; 38:7), dan digunakan sebanyak 15 kali dalam Al-Qur’an. Ungkapan ini kerap kali merujuk kepada Ibrahim, seorang monoteis (bukan musyrik) dan jalan rohaniahnya (atau agamanya) yang ‘lurus dan suci’ (QS.2:135; 3:95; 4:125; 6:161 dan 16:123). Ayat QS.22:78 menggambarkan orang yang mengikuti jalan rohaniah atau agama Ibrahim sebagai orang yang telah berserah diri atau Muslim.
Jalan yang Lurus: /الصراط المستقيم، سواء السبيل/. Dalam Al-Qur’an terdapat dua patah perkataan dalam bahasa Arab yang diterjemahkan ‘jalan’, yakni /sirat/ dan /sabil/, dan dua patah perkataan lain dalam bahasa Arab yang diterjemahkan ‘lurus’, yakni /sawa’/ dan /mustaqim/. Ungkapan ini digunakan sebanyak 39 kali dalam Al-Qur’an.
Selain itu, Jalan yang Lurus juga dirujuki seperti berikut …
- jalan-Mu yang lurus, QS.7:16
- jalan Tuhan engkau yang lurus, QS.6:126
- jalan-Ku yang lurus, QS.6:153
Namun, hanya QS.3:51; 6:153; 19:36; 36:61 dan 43:61,64 memberitahu apakah itu Jalan yang Lurus.
Jalut: /جالوت/. Gergasi yang dibunuh oleh Daud. Nama ini gunakan sebanyak tiga kali dalam Al-Qur’an (QS.2:249,250,251). Nama ini dikaitkan dengan nama /Golyath/ dalam bahasa Ibrani (dan mungkin bermaksud ‘menonjol’). Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (1 Samuil 17:1-58).
Jannah | Jannah-Jannah : /الْجَنَّةُ/ | /جَنَّاتُ/. Perkataan ini mempunyai dua maksud, iaitu kebun (atau taman) dan syurga (tempat kediaman abadi bagi orang yang beriman). Apabila perkataan ini merujuk kepada tempat di bumi, terjemahannya ialah taman atau kebun, manakala apabila merujuk kepada alam baqa, terjemahannya ialah Jannah.
Di dalam Al-Qur’an perkataan bahasa Arab ini boleh didapati dalam dua bentuk, oleh itu diterjemahkan Jannah (bentuk tunggal) dan Jannah-Jannah (bentuk jamak) untuk membezakan di mana perkataan yang spesifik itu digunakan.
Jihad: /الجهاد/. Secara harfiah, perkataan bahasa Arab ini bermaksud perjuangan (bukan peperangan suci), dan digunakan dalam Al-Qur’an sebanyak empat kali dalam bentuk ganti nama (QS.9:24; 22:78; 25:52 dan 60:1). Dalam bentuk kata kerja, perkataan (berjihad) lebih kerap digunakan. Perjuangan merupakan banyak aspek dalam Al-Qur’an ...
- berjihad di jalan Allah (QS.2:218; 5:54; 8:74; 9:19,20,24; 60:1)
- berjihad dengan harta dan jiwa (QS.4:95; 8:72; 9:44,81,88; 49:15; 61:11)
- berjuang dengan bersabar (QS.3:142; 16:110; 47:31)
- berjihad untuk [kebaikan] dirinya sendiri (QS.29:6)
- berjihad untuk [mencari keredaan] Kami (QS.29:69)
Tiada di antara ayat-ayat tersebut di atas berkenaan membunuh orang. Al-Qur’an sangat jelas bahawa musuh sejati orang mukmin ialah syaitan (QS.2:168,208; 5:91; 6:142; 7:22; 12:5; 17:53; 28:15; 35:6; 36:60 dan 43:62). Maka haruslah berjihad terhadap syaitan.
Jin: /جني/. Perkataan ini merujuk kepada makhluk halus. Walaupun kerap kali disifatkan jahat dalam Al-Qur’an, ada kalanya yang baik (QS.27:17,39; 34:12 dan 72:1-2). Sama juga dalam Taurat dan Injil, pemerhatian teliti menunjukkan bahawa terdapat makhluk halus (atau jin, roh jahat, atau roh dusta) yang menunaikan kehendak Allah (Taurat, 1 Samuil 16:14; 19:9; 1 Raja-Raja 22:23; 2 Tawarikh 18:22; Injil, 2 Korintus 12:7-9). Apabila seseorang dirasuk makhluk halus, ini mengakibatkan penyakit gila (QS.2:275). Lihat juga glosari (Iblis) dan glosari (Syaitan).
Kafir: /كفر/. Perkataan ‘kufur’ membawa maksud mengetahui tetapi menolak, walaupun maksud akarnya berkaitan dengan tidak bersyukur dan menutup yang benar. Perkataan ‘kafir’ ialah ganti nama bagi orang yang mengkufuri.
Kami: Perkataan ini sering terdapat di seluruh Al-Qur’an apabila Allah berfirman secara lisan. Besar kemungkinannya kata ganti nama ini digunakan seperti seorang raja (atau ratu) apabila merujuk kepada dirinya sendiri. Ini sama sekali tidak bermaksud bahawa Allah bukan Esa. Bentuk ganti nama ini (dan ‘Kita’) juga terdapat dalam Taurat, Kejadian 1:26. Lihat juga glosari (Allah) dan glosari (Tuhan).
Kasih: Allah digelar Maha Pengasih /الودود/al-Wadud/ sebanyak dua kali dalam Al-Qur’an (QS.11:90 dan 85:14). Al-Qur’an menyatakan Allah mengasihi orang-orang tertentu yang berikut ...
- yang muhsin (QS.2:195; 3:134,148)
- yang bertaubat (QS.2:222)
- yang menyucikan diri dan (QS.2:222; 9:108)
- yang memenuhi janjinya (QS.3:76)
- yang bertakwa (QS.3:76; 9:4,7)
- yang sabar (QS.3:146)
- yang bertawakal (QS.3:159)
- yang berlaku adil (QS.5:42; 49:9; 60:8),
- yang berperang di jalan-Nya (QS.61:4),
- yang mengasihi-Nya dan berjihad di jalan Allah (QS.5:54)
Orang yang Allah mengasihi ada juga disebut dalam Taurat (Ulangan 23:5; 33:3; 2 Tawarikh 2:11; Pepatah 3:12; 15:9; Hosea 13:1) dan Injil (2 Korintus 9:7; Ibrani 12:6; Yahya 3:35; 5:20; 10:17; 14:21,23; 16:27).
Al-Qur’an juga menyatakan Allah tidak suka kepada orang-orang tertentu yang berikut ...
- yang melanggar hukum (QS.2:190; 5:87)
- yang zalim (QS.3:57,140; 42:40)
- yang kafir atau mengkufuri (QS.3:32; 22:38; 30:45)
- yang berkhianat (QS.4:107; 8:58; 22:38)
- yang sombong, membanggakan diri dan bersikap takbur (QS.4:36; 16:23; 57:23)
- yang banyak berdosa (QS.2:276; 4:107)
- yang berbuat kerosakan (QS.5:64)
Orang-orang tertentu yang Allah tidak suka ada juga disebut dalam Taurat (Amsal 6:16-19) dan Zabur (ZS.5:4-5 dan 11:5).
Kata: /قل /. Perkataan ini hampir selalu diterjemahkan ‘katakanlah’ sebagai perintah dalam bentuk maskulin tunggal yang ditujukan kepada Nabi Muhammad (saw). Perkataaan ini mungkin juga telah ditransliterasikan daripada bahasa Ibrani (qol) yang boleh bererti ‘dengar’ (lihat Taurat, Yesaya 52:8).
Keadaan manusia: Semua Kitab-Kitab Allah menggambarkan keadaan manusia seperti berikut ...
- menzalimi dirinya sendiri (QS.3:117,135)
- berlaku tidak adil (QS.5:8; Taurat, Kejadian 6:5; Ayub 25:4; Injil, Kisah Para Rasul 3:26)
- zalim, kufur dan tidak bersyukur (QS.14:34; 17:67; 22:66; Injil, Ibrani 3:19)
- mendorong melakukan kejahatan (QS.12:53; Taurat, Yeremia 17:9; Injil, Matius 15:19; Markus 7:21)
- sesat dan berada dalam kerugian (QS.103:2; Taurat, Yeremia 50:6; Injil, Lukas 19:10; Rom 3:23 dan 6:23)
Kehadiran: /سكينة/. Perkataan ini dalam bahasa Arab sama dengan perkataan bahasa Ibrani (shekinah) yang membawa maksud ketenangan atau kehadiran Allah. Dalam terjemahan ini, kehadiran Allah dikaitkan dengan sifat Maha Luas (QS.2:248).
Kerosakan: /فساد/. Perkataan ini membawa maksud pemburukan akhlak apabila merujukkan kepada manusia. Apabila rujukannya sesuatu tempat, perkataan ini membawa maksud kebinasaan.
Kiamat: /يوم القيامة/. Hari atau saat Kiamat disebut sebanyak 145 kali dalam Al-Qur’an.
Selain Kiamat, hari ini juga dirujuki dan digambarkan seperti berikut ...
- Hari Akhirat (QS.2:8)
- Hari Penghakiman (QS.15:35)
- Hari Pertemuan (QS.40:15)
- Hari Pengumpulan (QS.42:7)
- hari yang dahsyat (QS.10:15)
- hari yang hebat (QS.11:3)
- hari itu (QS.11:66)
- hari yang penuh kesulitan (QS.11:77)
- hari yang meliputi (QS.11:84)
- hari yang akan disaksikan (QS.11:103)
- hari yang pedih (QS.43:65)
Kristian: /النصارى/. Perkataan ini merujuk kepada orang yang beragama Kristian, namun asalnya masih belum dikenal pasti. Perkataan ‘Kristian’ berasal daripada bahasa Yunani manakala perkataan ‘Nasrani’ berasal daripada bahasa Arab, tetapi kedua-dua perkataan yang demikian itu adalah sama ertinya. Dalam Injil, pengikut Isa al-Masih biasanya dipanggil orang mukmin, tetapi dalam Al-Qur'an, mereka digelar ‘hawariun’ (QS.3:52; 61:14). Lihat glosari (Nasrani).
Lut: /لوط/. Anak saudara Ibrahim. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransiterasikan daripada bahasa Ibrani (Lot). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘diselubungi’ dan digunakan sebanyak 27 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya disebut dalam Taurat (Kejadian 11:27-13:14; 14:12-16; 19:1-36), dan namanya juga disebut sebanyak dua kali lagi dalam Taurat, sekali dalam Zabur, dan tiga kali dalam Injil.
Maha Kaya: /الغني/. Ungkapan ini adalah salah satu daripada “99 nama Tuhan” (Asmaul Husna). Apabila merujuk kepada orang, perkataan ini diterjemahkan sebagai kaya. Apabila Allah dirujiki, terjemahannya adalah dalam bentuk ungkapan ‘Maha Kaya’ dan digunakan sebanyak 17 kali dalam Al-Qur’an.
Maha Pemurah, Maha Mengasihani: /الرحمن الرحيم/. Kedua-dua unkapan ini berasal daripada kata akar yang sama, yakni rahmat. ‘Maha Pemurah’ membawa maksud bahawa Allah memberi manusia ganjaran yang mereka tidak layak menerima, dan ‘Maha Mengasihani’ membawa maksud bahawa Allah tidak memberi manusia pembalasan yang sepatut diterimanya.
Maksiat: /فاحشة/. Perkataan ini membawa maksud sesuatu yang keji, lucah atau zina, dan digunakan sebanyak 13 kali dalam Al-Qur’an.
Maryam: /مريم/. Ibu kepada Isa. Nama ini dalam bahasa Arab ditransiterasikan daripada bahasa Yunani (Mariam) dan bukan daripada bahasa Ibrani (Miriam). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘pahit’ dan digunakan sebanyak 34 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya disebut dalam Injil (Matius 1:16-2:23; Lukas 1:27-2:51). Terdapat seorang lain yang bernama Miriam dalam Taurat (Keluaran 6:20; Bilangan 26:59). Walaupun ejaan nama (Miriam) itu dan ejaan Maryam dalam bahasa Arab adalah sama, tetapi orangnya lain.
Perhatikan bahawa Maryam adalah satu-satunya wanita yang namanya disebut dalam Al-Qur’an. Perhatikan juga, nama Isa satu-satunya dalam Al-Qur’an yang berbinkan nama ibunya oleh sebab kelahirannya yang unik (lihat QS.19:20). Kelahiran Isa ada juga disebut dalam Taurat (Yesaya 7:14) dan Injil (Matius 1:18-25; Lukas 1:26-38).
Menurunkan atau diturunkan: /تنزيل/ atau /نزول/. Kedua-dua perkataan ini membawa maksud menghantarkan dari langit (QS.5:112), atau mewahyukankan. Wahyunya Kitab Allah kerap kali disebut dalam Al-Qur’an (sebagai contoh, lihat QS.2:41,176; 3:3,93 dan 4:136).
Menghayati: /يتدبر/. Perkataan ini digunakan sebanyak empat kali dalam Al-Qur’an (QS.4:82; 23:68; 38:29; 47:24) dan selalunya dengan firman Allah.
Muhammad: /محمد/. Nama ini adalah daripada bahasa Arab yang bermaksud ‘sangat terpuji’ dan digunakan sebanyak empat kali dalam Al-Qur’an (QS.3:144; 33:40; 47:2 dan 48:29). Walau bagaimana pun, Nabi Muhammad (saw) dirujuki dengan gelaran Rasul (QS.2:101,129,151) dan Rasulullah (QS.7:158).
Mukjizat: /بينة/. Secara harfiah, perkataan ini bermaksud ‘jelas’ tetapi umumnya diterjemahkan ‘mukjizat’. Ini kerana mukjizat dengan jelasnya menyatakan sesuatu tanda daripada Allah atau menampakkan kuasa-Nya.
Musa: /موسى/. Nama ini dalam bahasa Arab ditransiterasikan daripada bahasa Ibrani (Mosheh) dan bukan daripada bahasa Yunani (Mosis). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘ditarik keluar [dari air]’ dan digunakan sebanyak 136 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat juga dalam Taurat (Keluaran 2:10 - Ulangan 34:5), dan namanya juga disebut sebanyak 117 kali lagi dalam Taurat, lapan kali dalam Zabur, dan 80 kali dalam Injil.
Muslim: /مسلم/. Secara harfiah, perkataan ini membawa maksud ‘berserah diri’ kepada Allah. Orang yang menganut agama Islam diberi nama Muslim, tetapi ramai di antara umat Islam hari ini hanya Muslim mengikut budaya, dan tidak pernah menyerahkan dirinya kepada Allah. Bahkan sesetengah orang Islam mengamalkan cara hidup yang bertentangan sama sekali dengan pengajaran Al-Qur’an. Islam yang telah berkembang sejak 14 abad lalu telah mengabungkan banyak tradisi Arab kepada ayat-ayat Al-Qur’an. Oleh itu, Islam hari ini menggambarkan sesuatu yang sangat berbeza dari makna asal perkataan Muslim dalam Al-Qur’an (yakni berserah diri). Oleh sebab itu, perkataan Muslim menjadi kabur, dan pemahamannya (secara umum pada hari ini) salah dikaitkan dengan pengikut Muhammad (saw) atau pengganas.
Perhatikan bahawa adanya orang Muslim sebelum zaman Muhammad (saw). Mereka itu telah berserah diri kepada Allah ...
- Nuh (QS.10:72)
- Ibraham (QS.3:67; 4:124)
- anak lelaki Ibraham (QS.37:103)
- Yusuf (QS.12:101)
- Firaun (QS.10:90)
- [Balqis] ratu Syeba dan Sulaiman (QS.27:44)
- para nabi (QS.5:44)
- para hawariun (QS.3:52; 5:111)
- segala di langit serta di bumi (QS.3:83)
Nasrani: Lihat glosari (Kristian).
Nuh: /نوح/. Nama in dalam bahasa Arab ditransiterasi daripada bahasa Ibrani (Nuh) dan daripada bahasa Yunani (Noe). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘rehat’ dan digunakan sebanyak 45 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Kejadian 5:29-9:29), dan namanya juga disebut sebanyak 10 kali lagi dalam Taurat dan lapan kali dalam Injil.
Peringatan: /ذكر /. Perkataan ‘peringatan’ ini juga boleh bermaksud ‘menyebut’ ataupun ‘pengingatan’. Meskipun peringatan itu kerap kali rujuk kepada Al-Qur’an (QS.3:58; 16:44; 21:24,50; 36:69; 43:5,44; 68:51,52), namun dalam ayat-ayat lain (QS.12:104; 20:99; 23:71; 38:87; 65:10; 81:27), peringatan itu tidak secara eksklusif memaksudkan Al-Qur’an. Beberapa ayat dalam Al-Qur’an dianggap sebagai peringatan (QS.21:2; 26:5), dan Al-Qur’an juga dinyatakan mengandungi peringatan (QS.21:10; 38:1). Perhatikan bahawa kisah Ismail, Ilyasa, dan Zulkifli menjadi pengingatan dalam QS.38:48-49, tetapi peringatan dalam ayat-ayat QS.36:11; 37:3; 41:41 kurang jelas rujukannya.
Peringatan dalam ayat-ayat yang berikut dengan jelasnya rujuk pada sesuatu yang lain daripada Al-Qur’an ...
- peringatan yang diberi kepada Nuh (QS.7:61,63)
- peringatan yang diberi kepada Hud (QS.7:67,69)
- peringatan yang diberi kepada Musa dan Harun (QS.21:48)
- peringatan yang sebelum Kitab Zabur (QS.21:105)
- peringatan daripada orang-orang dahulukala (QS.37:168)
- peringatan yang diberi kepada Thamud (QS.54:23,25)
Pertolongan: /نصير/. Perkataan ini dalam bahasa Arab boleh juga bermakna bantuan, kemenangan atau penyelamatan.
Qur’an: /القرآن/. Perkataan ini telah ditransliterasikan daripada bahasa Arab, dan maknanya secara harfiah ialah ‘bacaan’ atau ‘pembacaan’. Perkataan transliterasi (Al-Qur’an) ada kalanya digunakan secara tidak spesifik, seperti di QS.10:15,61; 42:7; 43:3. Ada kalanya digunakan secara spesifik (Al-Qur’an ini) seperti di QS.6:19; 12:3; 13:37; 17:9,41,89,89; 18:54; 25:30; 27:76; 30:58; 34:31; 39:27; 43:31; 59:21. Dan ada kala pula dimaksudkan ‘bacaan’ seperti di QS.10:15; 13:31; 41:3,26,44; 72:1; 75:18.
Al-Qur’an dihuraikan sebagai ...
- bacaan waktu fajar (QS.17:78)
- dalam bahasa Arab (QS.12:2; 39:28; 42:7; 43:3) dan bukan dalam bahasa asing (QS.41:44)
- yang jelas (QS.15:1; 36:69)
- yang agung (QS.15:87)
- yang mulia (QS.56:77)
- yang menakjubkan (QS.72:1)
- yang penuh hikmah (QS.36:2)
Al-Qur’an terbahagi menjadi 30 juz dan tiap-tiap juz terdiri empat bahagian kecil lagi (A1, A2, B1 B2) untuk menggalakkan pembacaannya, dan apabila membaca Al-Qur’an seharusnya memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan (QS.16:98).
Rahmat: /رحمة/. Rahmat ialah tema utama dalam semua Kitab-Kitab Allah. Dalam Al-Qur’an, perkataan ini digunakan lebih 200 kali, dan lebih 200 kali juga dalam Taurat, Zabur serta Injil. Konsep rahmat dalam bahasa Arab adalah lebih meluas dan melibatkan nilai-nilai murni termasuk kemurahan hati, kebaikan hati, dan pengampunan. Ejaan perkataan rahmat dalam bahasa Arab biasanya berbentuk maskulin kecuali dalam tujuh ayat di mana ejaannya berbentuk feminin (QS.2:218; 7:56; 11:73; 19:2; 30:50; 43:32), dan sebabnya tidak diketahui.
Rasul: Perkataan ini bermaksud seorang yang diutus oleh Allah. Terdapat banyak rasul yang disebut dalam Al-Qur’an, namun yang khususnya digelar ‘Rasulullah’ atau ‘Rasul Allah’ adalah berikut ...
- Muhammad (saw) (QS.7:158; 9:61,81,120; 33:21,40,53; 48:29)
- Isa (QS.4:157,171; 61:6)
- Musa (QS.61:5; 73:16)
- Salih (QS.7:73,75; 91:13)
Sabar: /يصبر/. Perkataan ini biasanya bermaksud bertahan dalam konteks menghadapi ujian atau kesukaran. Perkataan ini juga membawa maksud teguh hati menantikan sesuatu (contohnya, Hari Kiamat) atau mengerjakan sesuatu (contohnya, solat). Lihat Zabur 55:12; Injil, Matius 5:4,11-12; 10:22; 24:13; 1 Korintus 9:12; 10:13; 2 Korintus 1:6; Kolose 3:13; 2 Timotius 2:24; Ibrani 11:37; Yakobus 1:12; 5:7,11; 1 Petrus 2:20; Wahyu 2:2.
Salih: /صالح/. Datuk kepada Nuh. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransliterasikan dan dipendekkan daripada bahasa Ibrani (Methushalah) dan bahasa Yunani (Mathusala). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘kematiannya akan membawa’ dan digunakan sebanyak sembilan kali dalam Al-Qur’an (QS.7:73,75,77; 11:61,62,66,89; 26:142; 27:45). Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Kejadian 5:21-27), dan namanya juga disebut dalam Taurat (1 Tawarikh 1:3) dan Injil (Lukas 3:37).
Saqar: /سَقَرَ /. Nama ini telah ditransliterasikan daripada bahasa Arab, dan digunakan sebanyak empat kali dalam Al-Qur’an (QS.54:48; 74:26,27,42) sebagai nama lain untuk api neraka.
Saul: Lihat glosari (Talut).
Sedar: /يشعر/. Perkataan ini digunakan sebanyak 25 kali dalam Al-Qur’an untuk membawa maksud mengesan atau mengetahui.
Sulaiman: /سليمان/. Anak lelaki Daud. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransliterasikan daripada bahasa Yunani (Salomo) dan bukan daripada bahasa Ibrani (Shalmah). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘kedamaian’ dan digunakan sebanyak 17 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya dalam Taurat (1 Raja-raja 1:1 - 11:43; 1 Tawarikh 22:1 - 2 Tawarikh 9:31), dan ada juga disebut sebanyak 11 kali dalam Injil.
Syaitan: /الشيطان/. Perkataan ini dalam bahasa Arab mungkin diterjemahkan daripada bahasa Ibrani (shatan) dan bukan daripada bahasa Yunani (satanas). Dalam bahasa asalnya, perkataan ini bermaksud ‘musuh’ dan digunakan sebanyak 62 kali dalam Al-Qur’an dengan bentuk tunggal, dan 17 kali lagi dengan bentuk jamak. Dalam Injil, perkataan ini dikaitkan dengan Iblis (Wahyu 12:9; 20:2), dan perkataan ini diterjemahkan setan dalam Taurat (Ayub 1:6-9; Daniel 10:13,20). Lihat juga glosari (Jin), dan glosari (Taghut).
Syuaib: /شعيب/. Bapa mertua kepada Musa. Nama ini bermaksud ‘berdedikasi’ dan digunakan sebanyak 11 kali dalam Al-Qur’an. Asal nama ini dalam bahasa Arab tidak diketahui. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Keluaran 18:1-12), dan dia juga dikenali sebagai Hobab (Taurat, Hakim-Hakim 4:11) dan Rehuel (Taurat, Keluaran 2:18).
Taghut: /طاغوت/. Perkataan ini digunakan (dengan bentuk tunggal atau jamak) sebanyak lapan kali dalam Al-Qur’an untuk bermaksud sesuatu kepalsuan yang disembah, termasuk berhala dan syaitan.
Talut: /طالوت/. Raja pertama Israel. Nama ini dalam bahasa Arab digunakan sebanyak dua kali dalam Al-Qur’an (QS.2:247,249). Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (1 Samuil 9:1 - 2 Samuil 1:27) dengan namanya yang telah ditransliterasikan daripada bahasa Ibrani (Shaul) atau dalam bahasa Yunani (Saoul), yakni Saul.
Taubat: /يتوب /. Perkataan ini digunakan dalam konteks berkaitan dengan orang dan Allah. Apabila merujuk kepada orang, perkataan itu membawa maksud menyesal kerana sedar perbuatan itu yang salah atau buruk, dan dia tidak akan mengulanginya. Apabila dikaitkan dengan Allah, perkataan ini mensifatkan Allah sebagai Penerima taubat, iaitu mengasihani dan berbelas kasihan terhadap orang yang bertaubat.
Taurat: /التوراة/. Perkataan ini berasal daripada bahasa Ibrani (torah) yang merujukkan kepada lima surah yang pertama dalam Kitab Taurat, yang diturunkan kepada Musa. Perhatikan bahawa tiada ayat dalam Al-Qur’an yang ada kedua-dua perkataan ‘Taurat’ dan ‘Musa’, bahkan yang sering didapati ialah perkataan ‘Musa’ dan ‘Kitab’ dengan tersiratnya [Taurat]. Namun, perkataan ini dalam bahasa Arab memaksudkan Kitab yang diturunkan kepada Bani Israel secara keseluruhan (dan bukan hanya diturunkan kepada Musa). Oleh itu, makna yang lebih tepat ialah semua wahyu sebelum Isa al-Masih (atau kini dikenali sebagai Perjanjian Lama kepada kaum Kristian). Lihat juga glosari (Injil).
Tuhan: /إله/. Perkataan ini digunakan sebanyak 147 kali dalam Al-Qur’an dengan bentuk tunggal, dua-dua atau jamak. Perkataan ini merujuk kepada apa sahaja yang disembah oleh orang ramai, sama ada palsu (QS.20:88; 37:36) atau benar (QS.10:90; 29:46). Lihat juga glosari (Allah).
Semua Kitab-Kitab Allah, yakni Al-Qur’an, Injil, Zabur dan Taurat setujuan menyatakan Tuhan adalah Esa dalam petikan berikut ...
- Al-Qur’an: QS.2:133,163,163,255; 3:2,6,18,18,62
- Injil: Matius 19:17; Markus 12:29,32; Lukas 18:19; Yahya 10:30; 17:3,4,22
- Zabur: ZS.86:8,10
- Taurat: Keluaran 8:10;9:14; Ulangan 4:35,39; 6:4; 33:26
Umrah: /العمرة/. Penghijrahan yang dilakukan pada waktu lain dari yang ditetapkan untuk ibadat haji. Perkataan ini digunkan sebanyak dua kali dalam ayat QS.2:196. Lihat juga glosari (Haji).
Wildan Mukhalladun: /الولدان المخلدون/. Ungkapan ini digunakan sebanyak dua kali dalam Al-Qur’an (QS.56:17 dan 76:19), dan diterjemahkan ‘para pemuda yang kekal muda’ dalam kebanyakan terjemahan lain. Ini tidak tepat kerana perkataan ‘kekal’ dalam bahasa Arab (yang digunakan sebanyak 70 kali dalam Al-Qur’an) ialah /khalidun/ dan bukan /mukhalladun/. Seperti perkataan ‘Ghilman’ dalam ayat QS.52:24, makna ungkapan ‘Wildan Mukhalladun’ tidak pasti. Ada yang mencadangkan ‘Wildan Mukhalladun’ ialah rujukan kepada suatu makhluk di syurga yang ‘penuh dengan mata’ (lihat Injil, Wahyu 4:6,8) oleh sebab mereka kelihatan seperti ‘mutiara yang bertaburan’ (lihat QS.76:19).
Yahya: /يحيى/. Anak Zakaria, yang juga digelar ‘Pengimad’ (Injil, Matius 3:1-6). Asal-usul nama ini dalam bahasa Arab tidak dapat dipastikan, mungkin daripada bahasa Ibrani (Yuhanan) tetapi bukan daripada bahasa Yunani (Yuannis). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘rahmat Allah’ dan digunakan sebanyak lima kali dalam Al-Qur’an (QS.3:39; 6:85, 19:7,12; 21:90). Kisahnya juga terdapat dalam Injil (Matius 3:1 - 4:12; Markus 1:1-14; 6:14-29; 11:30-32). Kedatangan Yahya telah dinubuat dalam Taurat (Yesaya 40:3-5; Maleakhi 3:1; 4:5-6).
Ya’juj dan Ma’juj: /يأجوج ومأجوج/. Ungkapan ini dalam bahasa Arab mungkin berasal daripada bahasa Yunani /Gog kai Magog/ atau daripada bahasa Ibrani /Gog wa Magog/, dan digunakan sebanyak dua kali dalam Al-Qur’an (QS.18:94; 21:96). Tidak pasti rujukan memaksudkan suatu bangsa atau para pemimpin negara. Perkataan ‘Juj’ ada disebut dalam Taurat (1 Tawarikh 5:4; Yehezkiel 38:2,3,14,16,18,21; 39:1,11), dan ungkapan ‘Gog dan Magog’ ada disebut dalam Injil (Wahyu 20:8). Perkataan ‘Magog’ ada disebut dalam Taurat (Kejadian 10:2; 1 Tawarikh 1:5; Yehezkiel 38:2; 39:6).
Yakub: /يعقوب/. Anak Ishak dan cucu Ibrahim. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransliterasikan daripada bahasa Ibrani (Ya'qub) dan bukan daripada bahasa Yunani (Yakob). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘dia mengasak tempat’ atau ‘dia memegang tumit’ dan digunakan sebanyak 16 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Kejadian 25:26-49:33) dan namanya juga disebut sebanyak 132 kali lagi dalam Taurat, 34 kali dalam Zabur, dan 26 kali dalam Injil.
Nama Yakub ini ditukar menjadi Israel (Kejadian 25:22-29; 35:10) yang bermaksud ‘bergelut dengan Allah dan dengan manusia.’
Yunus: /يونس/. Nabi yang telah ditelan oleh seekor ikan besar. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransliterasikan daripada bahasa Yunani (Iunas) dan bukan daripada bahasa Ibrani (Yunah). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘merpati’ dan digunakan sebanyak empat kali dalam Al-Qur’an (QS.4:163; 6:86; 10:98; 37:139,147). Nabi ini juga digelar Zun-Nun yang bermaksud ‘dia yang di dalam ikan’ (QS.21:87-88). Kisahnya disebut dengan singkatnya dalam Al-Qur’an di QS.34:139-144; 68:48-50) dan selanjutnya dalam Taurat (Yunus bab 1-4), Namanya ada juga disebut lagi dalam Taurat (2 Raja-Raja 14:25) dan Injil (Matius 12:39-41; 16:4; Lukas 11:29-32).
Yusuf: /يوسف/. Anak Yaqub, cucu Ishak, dan cicit Ibrahim. Nama ini mungkin telah ditransliterasikan daripada bahasa Ibrani (Yusif) dan bukan daripada bahasa Yunani (Yosif). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘dia menambah’ dan digunakan sebanyak 27 kali dalam Al-Qur’an. Kisahnya juga terdapat dalam Taurat (Kejadian 37-50).
Zabur: /الزبور/. Perkataan ini membawa maksud ‘lagu’ dan ‘mazmur’. Selain Kitab Taurat dan Injil, Kitab Zabur ialah satu Kitab Suci yang diturunkan sebelum Al-Qur’an. Kitab Zabur mengandungi 150 surah, dan dibahagikan kepada lima jilid ...
- Jilid 1: Surah 1 - 41
- Jilid 2: Surah 42 - 71
- Jilid 3: Surah 73 - 89
- Jilid 4: Surah 90 - 106
- Jilid 5: Surah 107 - 150
Zakaria: /زكريا/. Bapa kepada Yahya Pengimad. Nama ini dalam bahasa Arab telah ditransliterasikan daripada bahasa Ibrani (Zakariyah) dan bukan dripada bahasa Yunani (Zakhariyas). Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘Allah mengingati’ dan digunakan sebanyak tujuh kali dalam Al-Qur’an (QS.3:37,38; 6:85; 19:2,7; 21:89). Kisahnya juga terdapat dalam Injil (Lukas 1:5-80). Lihat juga glosari (Yahya).
Zakat: /الزكاة/. Zakat ialah bahagian harta (sebanyak 2.5% setahun, menurut tradisi) yang wajib diperuntukkan kepada orang miskin. Kata kerja daripada kata ganti nama ini bermaksud ‘membersihkan’ dan mungkin terjemahan alternatif zakat ialah ‘pembersihan modal’ untuk memaksudkan setelah bahagian suci diasingkan, yang selebihnya adalah bersih.
Terdapat perkataan yang berkaitan, iaitu sedekah /صدقات/, yang digunakan untuk pemberian atau derma secara sukarela kepada orang miskin (contohnya, QS.2:263.271,276, 280; 9:58,60,103,104).
Zulkarnain: /ذو القرنين/. Nama ini dalam bahasa Arab bermaksud ‘dia yang bertanduk dua’ (tanduk ialah simbol untuk kuasa). Mungkin Raja Yunani yang terhebat dimaksudkan seperti dalam nubuat Nabi Daniel (Taurat, Daniel 11:3). Atau pun mungkin Raja Parsi yang bernama Kores dimksudkan menurut nunuat Nabi Yesaya (Taurat, Yesaya 45:13). Nama ini disebut sebanyak tiga kali dalam Al-Qur’an (QS.18:83,86,94).
Zulkifli: /ذو الكفل/. Nabi ini dikenali sebagai Yehezkiel dalam Kitab Taurat. Asalnya nama ini dalam bahasa Arab tidak diketahui. Dalam bahasa asalnya, nama ini bermaksud ‘dedikasi’ dan digunakan sebanyak dua kali dalam dalam Al-Qur’an (QS.21:85; 38:48), dan ada juga disebut dalam Taurat (Yehezkiel 1:3; 24:24). Beberapa pengulas percaya nabi ini ialah nama Obaja.