Ulangan
1
Nabi Musa meriwayatkan pengalaman di Gunung Horeb
1 Inilah kata-kata peringatan yang disampaikan Musa kepada seluruh umat Israel di kawasan gurun di seberang Sungai Yordan, iaitu di Araba. Araba terletak di seberang Suf, di antara Paran dengan Tofel, Laban, Hazerot, serta Dizahab. 2 Jauhnya jarak dari Horeb ke Kadesh-Barnea melalui jalan Pergunungan Seir ialah sebelas hari perjalanan. 3 Pada hari pertama bulan kesebelas tahun keempat puluh, Musa mengatakan kepada orang Israel semua yang diperintahkan Allah untuk disampaikannya kepada mereka. 4 aKetika itu dia baru sahaja mengalahkan Sihon, raja bani Amori, yang tinggal di Hesbon, dan Og, raja Basan, yang tinggal di Astarot dekat Edrei. 5 Di seberang Sungai Yordan, di Tanah Moab, Musa mulai menjelaskan hukum Taurat ini.
Katanya, 6 Allah, Tuhan kita, berfirman kepada kita di Horeb, demikian, ‘Sudah cukup lama kamu tinggal di gunung ini. 7 Bangkitlah dan berangkatlah. Pergilah ke pergunungan bani Amori dan kepada semua bangsa tetangga mereka di Araba, daerah pergunungan, daerah dataran rendah, Tanah Negeb, daerah tepi laut negeri bani Kanaan dan Lebanon, sampai sungai besar, iaitu Sungai Efrat. 8 Ketahuilah, Aku telah menyerahkan negeri itu kepadamu. Masukilah dan dudukilah negeri yang telah Allah sumpah untuk memberi nenek moyangmu, iaitu Ibrahim, Ishak, dan Yakub, serta keturunan mereka.’
Pelantikan pemimpin
9 Pada waktu itu aku berkata kepadamu, ‘Aku seorang diri tidak sanggup memikul tanggungjawab atas kamu. 10 Allah, Tuhanmu, telah melipatgandakan bilanganmu untuk menjadi tersangat ramai, dan sesungguhnya ketika ini ramainya kamu sudah seperti bintang-bintang di langit. 11 Semoga Allah, Tuhan nenek moyangmu, menambah jumlahmu seribu kali lipat dan memberkati kamu seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu. 12 Akan tetapi, bagaimana mungkin aku seorang diri dapat memikul tanggungjawab atas kesusahanmu, bebanmu, dan perselisihanmu? 13 Pilihlah daripada kalangan suku kaum kamu beberapa orang yang bijak, arif, dan berpengalaman. Aku akan melantik mereka menjadi sebagai yang memimpin kamu.’ 14 Lalu kamu menjawab aku, ‘Usul yang kamu kemukakan itu baik untuk dilaksanakan.’ 15 Oleh sebab itu, aku mengambil para ketua sukumu, orang yang bijak dan berpengalaman lalu menetapkan mereka sebagai pemimpin kepadamu, iaitu pemimpin pasukan seribu, pemimpin pasukan seratus, pemimpin pasukan lima puluh, pemimpin pasukan sepuluh, juga sebagai pengatur pasukan bagi suku-sukumu.
16 Kepada para hakimmu pada waktu itu aku memberikan perintah, ‘Dengarlah perkara-perkara yang ada antara saudaramu dan putuskanlah hukum secara adil antara seseorang dengan saudaranya atau dengan pendatang yang tinggal bersama-samanya. 17 Dalam hal penghakiman jangan pandang muka. Hendaklah kamu dengar perkaranya baik dia orang kecil mahupun orang besar. Jangan takut kepada manusia, kerana penghakiman milik Allah. Jika ada perkara yang terlalu berat untukmu, bawalah kepadaku supaya kudengar.’ 18 Demikianlah pada waktu itu aku mengarahkan kamu tentang segala hal yang harus kamu lakukan.
Keengganan orang Israel memasuki negeri itu
19 Kemudian kita berangkat dari Horeb dan berjalan melalui gurun yang luas dan menakutkan seperti yang telah kamu lihat, ke arah pergunungan bani Amori, selaras dengan perintah Allah, Tuhan kita. Lalu sampailah kita di Kadesh-Barnea. 20 Kataku kepadamu, ‘Kamu telah sampai di pergunungan bani Amori yang telah dikurniakan Allah, Tuhan kita, kepada kita. 21 Ketahuilah bahawa Allah, Tuhanmu, telah menyerahkan negeri itu kepadamu. Majulah dan dudukilah tanah itu, seperti yang difirmankan Allah, Tuhan nenek moyangmu, kepadamu. Jangan takut dan jangan berasa kecewa.’
22 Kemudian kamu semua datang mendekatiku dan berkata, ‘Mari kita utus beberapa orang mendahului kita untuk menjelajah negeri itu bagi kita dan membawa khabar kepada kita mengenai jalan yang harus kita tempuh serta kota-kota yang akan kita datangi.’
23 Usul itu kupandang baik. Lalu aku memilih dua belas orang daripada kalangan kamu, seorang daripada setiap suku. 24 Mereka pergi, naik ke pergunungan, lalu sampai di Lembah Eskol dan mulai mengintip negeri itu. 25 Mereka mengambil buah-buahan hasil negeri itu dan membawanya kepada kita. Mereka juga membawa khabar demikian, ‘Negeri yang dikurniakan Allah, Tuhan kita, kepada kita itu baik.’
26 bNamun demikian, kamu tidak mahu pergi ke sana. Kamu menderhaka terhadap firman Allah, Tuhanmu. 27 Di dalam khemahmu kamu bersungut-sungut dan berkata, ‘Kerana Allah membenci kita, maka Dia membawa kita keluar dari Mesir dan menyerahkan kita ke dalam tangan bani Amori supaya kita dibinasakan. 28 Ke manakah kita akan pergi? Saudara-saudara kita telah membuat hati kita tawar dengan berkata, “Orang di sana lebih besar dan lebih tinggi daripada kita! Kota-kota mereka besar dan kubu-kubu mereka mencapai langit! Kami pun melihat bani Enak di sana.” ’
29 Lalu aku berkata kepadamu, ‘Jangan gentar dan jangan takut kepada mereka. 30 Allah, Tuhanmu, yang memimpin kamu, Dialah yang akan berperang untukmu seperti yang telah dilakukan-Nya bagimu di Mesir, di hadapan matamu sendiri. 31 cBegitu juga di gurun. Di sana kamu telah melihat bagaimana Allah, Tuhanmu, mendukungmu di sepanjang jalan yang kamu tempuh seperti seseorang mendukung anaknya, sampai kamu tiba di tempat ini. 32 dMeskipun begitu, kamu tidak percaya kepada Allah, Tuhanmu, 33 yang memimpin kamu dalam perjalanan dan mencari tempat bagimu untuk berkhemah walhal Dia hadir di dalam api pada malam hari dan di dalam awan pada siang hari untuk menunjukkan kepadamu jalan yang harus kamu tempuh.
Hukuman atas pemberontakan orang Israel
34 eApabila Allah mendengar kata-katamu, murkalah Dia lalu bersumpah demikian, 35 ‘Tiada seorang pun daripada angkatan yang jahat ini akan melihat negeri yang baik, yang telah Kusumpah untuk memberi nenek moyangmu. 36 Hanya Kaleb bin Yefune yang akan melihatnya. Kepadanya dan kepada anak-anaknya akan Kukurniakan negeri yang telah dipijaknya itu, kerana dia mengikuti Allah dengan sepenuh hati.’ 37 Malahan Allah juga murka kepadaku kerana kamu. Firman-Nya, ‘Engkau pun tidak akan masuk ke sana, 38 melainkan Yusha bin Nun, pelayanmu, yang akan masuk ke sana. Kuatkanlah hatinya kerana dialah yang akan memimpin orang Israel untuk mewarisi negeri itu.
39 Dan anak-anak kecilmu yang kamu katakan akan menjadi tawanan, iaitu anak-anakmu yang sekarang ini belum tahu tentang yang baik dan yang jahat, merekalah yang akan masuk ke sana. Kepada merekalah akan Kukurniakan negeri itu dan mereka akan memilikinya. 40 Tetapi kamu ini, berbaliklah dan berangkatlah ke gurun, ke arah Laut Merah.’
Kegagalan menakluki Tanah Kanaan (Palestin Purba)
41 Kemudian jawabmu kepadaku, ‘Kami telah berdosa terhadap Allah. Kami sendirilah yang akan maju berperang selaras dengan semua yang diperintahkan Allah, Tuhan kami, kepada kami.’ Lalu kamu menyandang senjata perang masing-masing, kerana kamu fikir mudahnya untuk naik ke pergunungan itu.
42 Tetapi Allah berfirman kepadaku, ‘Katakanlah kepada mereka, “Jangan maju dan jangan berperang, kerana Aku tidak hadir antara kamu, nanti kamu tumpas di hadapan musuh-musuhmu.” ’ 43 Maka aku mengatakan hal itu kepadamu, tetapi kamu tidak mahu mendengar. Kamu menderhaka terhadap firman Allah dan dengan sombongnya naik ke pergunungan itu. 44 Lalu keluarlah bani Amori yang tinggal di pergunungan itu menghadapi kamu. Mereka mengejar kamu seperti kawanan lebah dan menghentam kamu dari Seir sampai ke Horma. 45 Maka kembalilah kamu dan menangis di hadapan Allah, tetapi Allah tidak mendengar tangisanmu dan tidak memperhatikan kamu. 46 Setelah itu, cukup lama kamu tinggal di Kadesh.
 
 
 
 
 
 
2
Bertahun-tahun di kawasan gurun
1 aKemudian kita berbalik dan berangkat ke gurun, ke arah Laut Merah, seperti yang difirmankan Allah kepadaku. Beberapa lamanya kita menelusur mengelilingi pergunungan Seir.
2 Lalu Allah berfirman kepadaku, 3 ‘Sudah cukup lama kamu mengelilingi pergunungan ini. Sekarang, tujulah ke utara 4 bdan berikanlah perintah kepada bangsa itu demikian, “Sekarang kamu akan melalui daerah saudaramu, iaitu bani Esau, yang tinggal di Seir. Mereka akan berasa takut kepadamu, tetapi ingat baik-baik, 5 jangan kamu bertempur dengan mereka. Aku tidak akan memberikan negeri mereka kepadamu walau setapak kaki pun, kerana Seir telah Kukurniakan kepada Esau untuk menjadi miliknya. 6 Hendaklah kamu membeli makanan daripada mereka dengan wang supaya kamu dapat makan dan hendaklah kamu membeli air daripada mereka dengan wang supaya kamu dapat minum.” ’
7 Allah, Tuhanmu, telah memberkatimu dalam segala yang dikerjakan oleh tanganmu dan Dia memerhatikan perjalananmu di gurun yang luas ini. Selama empat puluh tahun ini Allah, Tuhanmu, menyertai engkau dan engkau tidak kekurangan satu apa-apa pun.
8 Maka berjalanlah kita meninggalkan saudara kita, iaitu bani Esau yang tinggal di Seir, lalu kita tinggalkan jalan dari Araba, iaitu dari Elat dan dari Ezion-Geber. Kemudian kita mengubah arah melalui jalan ke Gurun Moab. 9 cAllah pun berfirman kepadaku, ‘Jangan ganggu orang Moab dan jangan cabar mereka untuk berperang kerana Aku tidak akan memberikan negeri mereka kepadamu untuk menjadi milikmu, kerana Ar telah Kukurniakan kepada bani Lut untuk menjadi miliknya.
10 (Dahulunya bani Emim tinggal di sana. Mereka bangsa yang besar, ramai jumlah mereka, dan tinggi-tinggi seperti bani Enak. 11 Mereka juga tergolong dalam bani Refaim seperti bani Enak, tetapi bani Moab menyebut mereka bani Emim. 12 Dahulunya bani Hori juga tinggal di Seir, tetapi bani Esau mengusir mereka. Bani Esau menghapuskan mereka dari hadapan mereka lalu tinggal di sana menggantikan mereka, seperti yang dilakukan orang Israel di negeri yang dikurniakan Allah kepada mereka sebagai milik mereka.)
13 Sekarang, segeralah seberangi Sungai Zered.’ Maka kita pun menyeberangi Sungai Zered. 14 dSelama tiga puluh lapan tahun kita berjalan dari Kadesh-Barnea ke seberang Sungai Zered, hingga seluruh angkatan pejuang musnah dari perkhemahan, seperti yang telah disumpahkan Allah kepada mereka. 15 Tangan Allah sendiri menentang mereka, mengacau mereka sehingga semua mereka dihapuskan daripada perkhemahan.
16 Setelah mati kesemua pejuang daripada kalangan bangsa itu, 17 Allah berfirman kepadaku, 18 ‘Pada hari ini kamu akan melalui perbatasan Moab, iaitu Ar. 19 eKetika engkau berada dekat dengan bani Amon, jangan usik mereka dan jangan cabar mereka. Aku tidak akan memberikan negeri bani Amon kepadamu untuk menjadi milikmu, kerana Aku telah mengurniakannya kepada bani Lut sebagai miliknya.
20 (Negeri ini juga termasuk negeri bani Refaim yang dahulunya tinggal di sana, tetapi bani Amon menyebut mereka orang Zamzumim. 21 Mereka bangsa yang besar, ramai jumlah mereka, dan tinggi-tinggi seperti bani Enak. Akan tetapi, Allah memusnahkan mereka dari hadapan bani Amon. Bani Amon mengusir mereka, lalu tinggal di sana menggantikan mereka. 22 Begitu pulalah yang dilakukan Allah bagi bani Esau yang tinggal di Seir, ketika Dia memusnahkan bani Hori dari hadapan mereka. Mereka mengusir bani Hori dan tinggal di sana menggantikan kalangan itu sampai hari ini. 23 Demikian pula halnya dengan bani Awi yang tinggal di desa-desa sampai ke Gaza. Bani Kaftor, yang datang dari Kaftor, memusnahkan mereka dan tinggal di sana menggantikan mereka.)
24 Segeralah berangkat dan seberangilah Sungai Arnon. Ketahuilah, Aku menyerahkan Sihon, raja Hesbon, bani Amori itu, berserta negerinya ke dalam tanganmu. Hendaklah engkau mulai merebutnya. Tentanglah mereka untuk berperang. 25 Hari ini juga, atas bangsa-bangsa di seluruh kolong langit, Aku mulai mendatangkan rasa gentar dan takut terhadap kamu. Ketika mereka mendengar khabar tentang kamu, mereka akan gementar dan ketakutan kerana kamu.’
Tertewasnya Raja Sihon
26 Kemudian aku menghantar beberapa orang utusan dari Gurun Kedemot kepada Sihon, raja Hesbon, untuk menyampaikan pesan damai yang berbunyi demikian, 27 ‘Izinkanlah kami melalui negerimu. Kami hendak berjalan di jalan raya sahaja dan tidak akan menyimpang ke kanan ataupun ke kiri. 28 Juallah makanan kepada kami dengan bayaran wang supaya kami dapat makan, dan berilah kami air dengan bayaran wang supaya kami dapat minum. Hanya, izinkanlah kami lalu dengan berjalan kaki 29 sampai kami menyeberangi Sungai Yordan untuk memasuki negeri yang dikurniakan Allah, Tuhan kami, kepada kami. Begitulah bani Esau, yang tinggal di Seir, juga orang Moab, yang tinggal di Ar, memperlakukan kami.’
30 Tetapi Sihon, raja Hesbon, tidak mahu mengizinkan kita untuk melalui negerinya kerana Allah, Tuhanmu, telah mengeraskan hatinya dan menjadikan hatinya degil supaya dia diserahkan ke dalam tanganmu, seperti yang terjadi pada hari ini.
31 Allah berfirman kepadaku, ‘Ketahuilah, Aku mulai menyerahkan Sihon dan negerinya kepadamu. Kamu harus mulai menduduki negerinya supaya kamu dapat memilikinya.’ 32 Lalu keluarlah Sihon menghadapi kita berserta seluruh pasukannya untuk berperang di Yahas. 33 Tetapi Allah, Tuhan kita, menyerahkan dia kepada kita, sehingga kita mengalahkan dia, anak-anaknya, dan seluruh pasukannya. 34 Pada waktu itu kita merebut semua kotanya dan menumpaskan semua penduduknya, baik lelaki, perempuan, mahupun anak-anak. Tiada seorang pun kita biarkan selamat. 35 Hanya ternakan yang kita rampas bagi kita berserta jarahan daripada kota-kota yang kita rebut. 36 Mulai Aroer yang terletak di Lembah Arnon dan juga kota di lembah itu sampai ke Gilead, tidak ada kota yang terlalu kuat bagi kita. Allah, Tuhan kita, menyerahkan semuanya kepada kita. 37 Hanya negeri bani Amon yang tidak kamu dekati, iaitu seluruh tempat di tepi Sungai Yabok, kota-kota di pergunungan, dan semua tempat yang dilarang oleh Allah, Tuhan kita.
 
 
 
 
 
 
3
Og, raja negeri Basan ditewaskan
1 Setelah itu, kita berangkat dan menuju ke arah Basan. Og, raja Basan, berserta seluruh pasukannya keluar menghadapi kita untuk berperang di Edrei. 2 Namun demikian, Allah berfirman kepadaku, ‘Jangan takut kepadanya, kerana Aku telah menyerahkan dia ke dalam tanganmu juga seluruh pasukannya dan negerinya. Perlakukanlah dia seperti engkau memperlakukan Sihon, raja bani Amori, yang tinggal di Hesbon.’
3 Demikianlah Allah, Tuhan kita, menyerahkan Og, raja Basan dan seluruh pasukannya ke dalam tangan kita. Kita mengalahkannya, tiada seorang pun yang kita biarkan terselamat. 4 Pada waktu itu kita merebut semua kotanya. Tidak ada kota yang tidak kita rebut daripada mereka – enam puluh buah kota, iaitu seluruh kawasan Argob, kerajaan Og di Basan. 5 Semua kota itu berkubu, bertembok tinggi, berpintu gerbang, dan berpalang, di samping kota-kota tidak bertembok yang sangat banyak jumlahnya. 6 Kita menumpas mereka seperti yang kita lakukan terhadap Sihon, raja Hesbon. Kita tumpas penduduk, baik lelaki dan perempuan, mahupun kanak-kanak di setiap kota. 7 Tetapi segala ternakan dan jarahan dari kota-kota itu kita rampas untuk diri kita.
8 Demikianlah pada waktu itu kita merebut negeri itu daripada tangan kedua-dua orang raja bani Amori yang tinggal di seberang Sungai Yordan, dari Lembah Arnon sampai ke Gunung Hermon. 9 (Hermon disebut Siryon oleh orang Sidon, tetapi bani Amori menyebutnya Senir), 10 semua kota di dataran tinggi, seluruh Gilead dan seluruh Basan sampai ke Salkha dan Edrei, iaitu kota-kota kerajaan Og di Basan.
11 (Hanya Og, raja Basan itu, yang masih tinggal hidup daripada saki-baki orang Refaim. Bukankah tempat tidurnya, katil daripada besi, masih tersimpan di Raba, kota bani Amon? Panjangnya sembilan hasta dan lebarnya hampir empat hasta, menurut hasta yang lazim.)
Pembahagian daerah di seberang Sungai Yordan
12 Setelah kita menduduki negeri itu pada waktu itu, wilayah dari Aroer di Lembah Arnon dan separuh Gilead dengan kota-kotanya kuberikan kepada bani Ruben dan bani Gad 13 manakala wilayah Gilead yang selebihnya serta seluruh Basan, iaitu seluruh kawasan Argob, kerajaan Og, kuberikan kepada separuh suku Manasye.
(Seluruh Basan itu disebut negeri orang Refaim. 14 Yair, keturunan Manasye, merebut seluruh kawasan Argob sampai ke perbatasan wilayah orang Gesur dan orang Maakha. Kemudian dinamainya Basan itu Hawot-Yair, menurut namanya sendiri, sampai hari ini.)
15 Kepada Makhir kuberikan Gilead. 16 Kepada bani Ruben dan bani Gad kuberikan wilayah dari Gilead sampai ke Lembah Arnon, dengan bahagian tengah lembah sebagai perbatasannya, lalu terus ke Sungai Yabok, perbatasan daerah bani Amon; 17 demikian juga wilayah Araba dengan Sungai Yordan sebagai batasnya, dari Danau Kineret sampai ke Laut Araba, iaitu Laut Mati di kaki lereng Gunung Pisga ke arah timur.
18 aPada waktu itu aku memberikan perintah kepadamu, ‘Allah, Tuhanmu, telah mengurniakan negeri ini kepadamu untuk diduduki. Hendaklah orang kamu yang bersenjata, iaitu semua orang yang gagah perkasa, menyeberang di depan saudaramu orang Israel. 19 Tetapi biarlah isterimu, anakmu, dan segala ternakanmu (aku tahu bahawa kamu mempunyai banyak ternakan) tinggal di kota-kota yang telah kuberikan kepadamu, 20 sampai Allah mengurniakan ketenteraman kepada saudaramu seperti kepadamu, dan mereka juga memiliki negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepada mereka di seberang Sungai Yordan. Setelah itu, barulah kamu boleh kembali, masing-masing ke tanah miliknya yang telah kuberikan kepadamu.’
21 Kemudian pada waktu itu juga aku memberikan perintah kepada Yusha, ‘Dengan matamu sendiri kamu telah melihat semua yang dilakukan Allah, Tuhanmu, kepada kedua-dua orang raja itu. Allah pun akan melakukan hal yang sedemikian itu terhadap semua kerajaan di tempat yang akan kamu masuki. 22 Jangan takut kepada mereka, kerana Allah, Tuhanmu, Dialah yang akan berperang untukmu.’
Nabi Musa tidak diperkenankan memasuki Tanah Kanaan (Palestin Purba)
23 bPada waktu itu pula aku memohon belas kasihan Allah, 24 ‘Ya Allah, ya Rabbi, Engkau telah mulai menyatakan kepada hamba-Mu ini kebesaran-Mu dan kekuatan-Mu, kerana tuhan manakah di langit atau di bumi dapat melakukan perbuatan yang perkasa seperti Engkau? 25 Izinkanlah hamba menyeberang dan melihat negeri yang baik di seberang Sungai Yordan itu, pergunungan yang baik, dan juga Lebanon.’
26 Akan tetapi, Allah murka kepadaku kerana kamu dan tidak mahu mendengar permohonanku. Firman Allah kepadaku, ‘Cukup! Jangan bicarakan hal itu lagi dengan-Ku. 27 Naiklah ke puncak Gunung Pisga dan layangkanlah pandangan ke barat, ke utara, ke selatan, dan ke timur. Lihatlah dengan saksama, kerana engkau tidak akan menyeberangi Sungai Yordan ini. 28 Berikanlah perintah kepada Yusha, kuatkanlah dan teguhkanlah hatinya, kerana dialah yang akan memimpin bangsa ini untuk menyeberang dan dialah yang akan memimpin mereka untuk mewarisi negeri yang akan engkau lihat itu.’ 29 Maka tinggallah kita di lembah yang berseberangan dengan Bet-Peor.
 
 
 
 
 
 
4
Nasihat Nabi Musa supaya mematuhi hukum Allah
1 Sekarang, wahai Israel, dengarlah segala ketetapan dan peraturan yang kuajarkan kepadamu untuk kamu lakukan, supaya kamu dapat hidup dan selanjutnya dapat memasuki serta menduduki negeri yang dikurniakan kepadamu oleh Allah, Tuhan nenek moyangmu. 2 aJangan tambah ataupun kurangkan perkataan yang kusampaikan kepadamu. Dengan demikian, kamu berpegang teguh pada perintah-perintah Allah, Tuhanmu, yang kusampaikan kepadamu. 3 bMatamu sendiri telah melihat apa yang dilakukan Allah di Baal-Peor. Semua orang yang mengikuti Dewa Baal-Peor dibinasakan oleh Allah, Tuhanmu, daripada kalangan kamu. 4 Akan tetapi, kamu semua yang teguh berpaut pada Allah, Tuhanmu, masih hidup sampai hari ini.
5 Ingatlah, seperti yang diperintahkan kepadaku oleh Allah, Tuhanku, aku telah mengajarmu segala ketetapan dan peraturan untuk dilaksanakan di negeri yang akan kamu masuki serta duduki kelak. 6 Peganglah teguh dan lakukanlah semua itu, kerana semua itu akan menjadi hikmah dan kearifan kamu di hadapan mata bangsa-bangsa lain. Ketika mereka mendengar segala ketetapan ini, mereka akan berkata, ‘Sesungguhnya, bangsa yang besar ini memang kalangan yang berhikmah dan arif!’
7 Bangsa besar yang manakah mempunyai tuhan yang sedemikian dekat kepada mereka seperti Allah, Tuhan kita dekat kepada kita bila-bila sahaja kita berseru kepada-Nya? 8 Bangsa besar yang manakah mempunyai segala ketetapan dan peraturan yang adil seperti seluruh hukum Taurat yang kusampaikan kepadamu pada hari ini? 9 Hanya, berhati-hatilah dan jagalah dirimu baik-baik. Jangan sampai kamu lupa akan hal-hal yang telah kamu lihat dengan matamu sendiri, dan jangan sampai semua itu lenyap daripada hatimu seumur hidupmu. Ceritakanlah kepada anak cucumu 10 tentang hari ketika kamu menghadap hadirat Allah, Tuhanmu, di Horeb. Pada waktu itu Allah berfirman kepadaku, ‘Kumpulkanlah bangsa itu di hadapan-Ku. Aku akan memperdengarkan firman-Ku, supaya mereka dapat belajar bertakwa kepada-Ku seumur hidup mereka di bumi dan dapat mengajarkannya pula kepada anak-anak mereka.’
11 cKemudian kamu tampil dekat dan berdiri di kaki gunung itu, sementara gunung itu menyala dengan api sampai pusat langit di tengah-tengah kegelapan, awan, dan kelam pekat. 12 Lalu berfirmanlah Allah kepadamu dari tengah-tengah api itu. Bunyi firman itu kamu dengar, tetapi kamu tidak melihat sesuatu bentuk pun. Yang ada hanya suara. 13 dDia menyatakan kepadamu perjanjian-Nya dan memerintahkan kamu untuk melakukannya, iaitu Sepuluh Perintah, yang kemudian ditulis-Nya pada dua buah loh batu. 14 ePada waktu itu, Allah memerintahkan aku untuk mengajarkan segala ketetapan dan peraturan ini kepadamu, supaya kamu melaksanakannya di negeri yang akan kamu masuki serta duduki kelak.
15 Kamu tidak melihat suatu wujud pun pada hari Allah berfirman kepadamu dari tengah-tengah api di Horeb. Oleh itu, jagalah dirimu baik-baik, 16 fJangan sampai kamu berlaku kufur lalu membuat untukmu patung berhala ukiran dalam wujud apa-apa pun, baik berupa susuk lelaki mahupun perempuan, 17 gsusuk sesuatu binatang yang ada di darat, susuk seekor unggas bersayap yang terbang di udara, 18 susuk sesuatu binatang yang merayap di tanah, atau susuk sesuatu ikan yang ada di laut, di bawah bumi. 19 Jangan pula kamu melayangkan pandangan ke langit untuk memperhatikan matahari, bulan, dan bintang – seluruh cakerawala di langit – lalu kamu terdorong untuk sujud menyembah serta beribadat kepada benda-benda itu. Semua itu telah diberikan Allah, Tuhanmu, kepada segala bangsa di seluruh kolong langit sebagai bahagian mereka. 20 hTetapi Allah telah mengambil dan membawa kamu keluar dari dapur peleburan besi, iaitu Mesir, untuk menjadikan kamu umat milik-Nya sendiri seperti yang terjadi pada hari ini. 21 iApatah lagi Allah murka kepadaku kerana kamu sehingga Dia bersumpah bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan dan tidak akan masuk ke negeri baik yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu sebagai harta pusaka. 22 Aku akan mati di negeri ini, dan aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan. Tetapi kamu akan menyeberanginya dan menduduki negeri yang baik itu. 23 Berhati-hati, jangan sampai kamu lupa akan perjanjian Allah, Tuhanmu, yang telah diikat-Nya dengan kamu, dan membuat bagimu patung ukiran dalam apa-apa pun bentuk yang dilarang oleh Allah, Tuhanmu. 24 jAllah, Tuhanmu, ialah api yang menghanguskan, Tuhan yang tidak mahu diduakan.
25 Apabila kamu telah beranak cucu dan menjadi tua di negeri itu lalu kamu berlaku kufur serta membuat patung ukiran dalam apa-apa bentuk pun, juga melakukan hal yang jahat dalam pandangan Allah, Tuhanmu, sehingga kamu membangkitkan kemurkaan-Nya, 26 maka pada hari ini aku memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi terhadap kamu bahawa pasti kamu segera binasa daripada negeri yang akan kamu miliki setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan. Umurmu tidak akan lanjut di sana, dan kamu pasti punah. 27 kAllah akan mencerai-beraikan kamu hingga kamu terdampar dalam kalangan bangsa, dan jumlahmu akan tinggal sedikit sahaja dalam kalangan bangsa tempat Allah menggiring kamu. 28 Di sana kamu akan beribadat kepada tuhan buatan tangan manusia, iaitu kayu dan batu yang tidak dapat melihat, tidak dapat mendengar, tidak dapat makan, dan tidak dapat menghidu bau. 29 lDi sana pula kamu akan mencari hadirat Allah, Tuhanmu, dan kamu akan tetap menemukan-Nya, asalkan kamu mencari hadirat-Nya dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu. 30 Dalam kesengsaraan kamu itu, ketika segala hal itu menimpamu pada kemudian hari, kamu akan kembali kepada Allah, Tuhanmu, dan akan mematuhi-Nya. 31 Allah, Tuhanmu, sememangnya Allah Yang Maha Penyayang. Dia tidak akan membuat kamu terlantar atau memusnahkan kamu. Dia tidak akan melupakan perjanjian dengan nenek moyangmu yang dibuat-Nya atas sumpah kepada mereka.
32 Cubalah tanyakan dari hujung langit ke hujung langit tentang zaman dahulu, zaman yang telah ada sebelum kamu. Sejak Allah menciptakan manusia di bumi, pernahkah terjadi hal sebesar ini atau pernahkah terdengar hal seperti ini? 33 Pernahkah sesuatu bangsa mendengar suara Allah berfirman dari tengah-tengah api, seperti yang telah kamu dengar, dan tetap hidup? 34 Atau, pernahkah sesuatu tuhan berupaya untuk mengambil baginya sesuatu bangsa daripada tengah-tengah bangsa lainnya dengan memberikan pelbagai cubaan, tanda ajaib, mukjizat, dan peperangan, serta dengan tangan yang perkasa dan kuasa yang nyata, dan kehebatan yang besar, seperti semua yang dilakukan bagimu oleh Allah, Tuhanmu, di Mesir, di hadapan matamu? 35 mHal-hal itu diperlihatkan kepadamu supaya kamu tahu bahawa Allah sememangnya Allah. Tidak ada yang lain selain Dia. 36 Dari langit Dia memperdengarkan suara-Nya kepadamu untuk mengajar kamu, sementara di bumi Dia memperlihatkan api-Nya yang besar, dan firman-Nya kaudengar dari tengah-tengah api itu. 37 Kerana Dia mengasihi nenek moyangmu, maka Dia memilih keturunan mereka. Dia menuntun kamu keluar dari Mesir dengan hadirat-Nya, iaitu dengan kuasa-Nya yang besar, 38 dan mengusir dari hadapanmu bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu, untuk membawa kamu masuk ke negeri mereka serta mengurniakan negeri itu kepadamu sebagai harta pusaka, seperti yang terjadi pada hari ini.
39 Oleh sebab itu, ketahuilah pada hari ini dan pahatlah dalam hatimu bahawa Allah ialah Tuhan yang ada di syurga, di atas, dan yang ada di bumi, di bawah. Tidak ada yang lain. 40 Peganglah dengan teguh segala ketetapan-Nya dan segala perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini supaya baik keadaan kamu serta keadaan anak-anakmu kelak, dan supaya panjang umurmu di tanah yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu sepanjang masa.”
Kota-kota perlindungan di seberang Sungai Yordan
41 nKemudian Musa mengkhususkan tiga buah kota di seberang Sungai Yordan, di sebelah timur, 42 supaya seorang yang membunuh sesamanya tanpa sengaja dan tanpa membenci orang itu sebelumnya dapat melarikan diri ke sana. Jika dia melarikan diri ke salah sebuah kota itu, maka dia dapat tetap hidup. 43 Kota-kota itu ialah Bezer, untuk bani Ruben, yang terletak di gurun di daerah dataran tinggi; Ramot, untuk bani Gad, yang terletak di Gilead; dan Golan untuk bani Manasye, yang terletak di Basan.
Hukum Nabi Musa
44 Inilah hukum Taurat yang dipaparkan Musa kepada orang Israel. 45 Inilah peringatan, ketetapan, dan peraturan yang disampaikan Musa kepada orang Israel setelah mereka keluar dari Mesir, 46 iaitu ketika mereka berada di seberang Sungai Yordan, di lembah yang berseberangan dengan Bet-Peor. Dulu tempat itu wilayah Sihon, raja bani Amori yang tinggal di Hesbon. Kemudian Sihon dikalahkan oleh Musa dan orang Israel setelah mereka keluar dari Mesir. 47 Mereka menduduki negerinya dan juga negeri Og, negeri raja Basan. Kedua-duanya ialah raja bani Amori yang wilayahnya terletak di seberang Sungai Yordan, di sebelah timur, 48 mulai Aroer di tepi Sungai Arnon sampai Gunung Sion (iaitu Hermon), 49 dan seluruh Araba di seberang Sungai Yordan sebelah timur, sampai ke Laut Araba di kaki lereng Gunung Pisga.
 
 
 
 
 
 
5
Sepuluh Perintah Allah
1 Musa memanggil semua orang Israel dan berkata kepada mereka, “Dengarlah, wahai Israel, segala ketetapan dan peraturan yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. Pelajarilah semua itu dan lakukannya dengan setia. 2 Allah, Tuhan kita, telah mengikat perjanjian dengan kita di Horeb. 3 Bukan dengan nenek moyang kita Allah mengikat perjanjian ini, melainkan dengan kita, iaitu kita semua di sini yang masih hidup pada hari ini. 4 Denganmu Allah bicara berhadap-hadapan di gunung, dari tengah-tengah api. 5 (Pada waktu itu aku berdiri di antara Allah dengan kamu untuk memberitahukan firman Allah kepadamu, kerana kamu takut kepada api itu dan kamu tidak naik ke gunung itu.)
Dia berfirman, 6 ‘Akulah Allah, Tuhanmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.
7 Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku.
8 aJangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa-apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi.
9 bJangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, Allah, Tuhanmu, Tuhan yang tidak mahu diduakan. Aku membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat daripada kalangan yang membenci Aku. 10 Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku.
11 cJangan gunakan nama Allah, Tuhanmu, dengan sembarangan, kerana Allah akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan.
12 dPeliharalah hari Sabat dan jagalah kesuciannya, seperti yang diperintahkan Allah, Tuhanmu, kepadamu. 13 eEnam hari lamanya kamu akan bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu, 14 tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi Allah, Tuhanmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, mahupun lembumu, keldaimu, haiwanmu, juga pendatang yang ada di kotamu. Dengan demikian, hambamu baik lelaki mahupun perempuan dapat beristirahat, sama seperti kamu. 15 Ingatlah bahawa kamu pun pernah menjadi hamba di Tanah Mesir, tetapi Allah, Tuhanmu, telah membawa kamu keluar dari sana dengan tangan yang perkasa dan kuasa yang nyata. Itulah sebabnya Allah, Tuhanmu, memerintahkan kamu untuk memelihara hari Sabat.
16 fHormatilah ibu bapamu, seperti yang telah diperintahkan Allah, Tuhanmu, kepadamu, supaya lanjut umurmu dan baik keadaanmu di tanah yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu.
17 gJangan membunuh.
18 hJangan berzina.
19 iJangan mencuri.
20 jJangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu.
21 kJangan ingini isteri sesamamu. Jangan dambakan rumah sesamamu, demikian pula ladangnya, hambanya baik lelaki mahupun perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu.’
22 lItulah firman yang disampaikan Allah kepada seluruh jemaahmu dengan suara gemuruh di gunung, dari tengah-tengah api, awan, dan kelam pekat. Dia tidak menambahkan apa-apa lagi. Setelah itu, Dia menulis semua itu pada dua loh batu lalu menyerahkannya kepadaku.
Orang Israel takut menghadapi kemuliaan Allah
23 Sebaik sahaja kamu mendengar suara itu di tengah-tengah kegelapan sementara gunung itu menyala-nyala dengan api, maka kamu, iaitu semua ketua sukumu dan tua-tuamu, mendatangi aku. 24 Kamu berkata, ‘Sesungguhnya Allah, Tuhan kita, telah memperlihatkan kepada kita kemuliaan-Nya dan kebesaran-Nya, bahkan kita telah mendengar suara-Nya dari tengah-tengah api. Pada hari ini kami telah melihat Allah berfirman kepada manusia tetapi manusia itu tetap hidup. 25 Sekarang, mengapakah kami harus mati? Api yang besar ini akan menghanguskan kami! Jika lebih lama lagi kami mendengar suara Allah, Tuhan kita, kami akan mati. 26 Kerana makhluk yang manakah dapat tetap hidup setelah mendengar suara Allah yang hidup itu berfirman dari tengah-tengah api, seperti yang kami dengar? 27 Tuan sajalah yang tampil dekat dan mendengar semua yang difirmankan Allah, Tuhan kita. Setelah itu, sampaikanlah kepada kami segala yang difirmankan Allah, Tuhan kita, kepada tuan. Kami akan mendengar serta melaksanakannya.’
28 Allah mendengar kata-katamu ketika kamu berbicara kepadaku. Lalu Allah berfirman kepadaku, ‘Aku telah mendengar kata-kata yang disampaikan bangsa ini kepadamu. Semua yang dikatakan mereka itu baik. 29 Kalau sahaja hati mereka tetap begitu, selalu bertakwa kepada-Ku dan berpegang teguh pada segala perintah-Ku, sehingga keadaan mereka serta anak-anak mereka baik untuk selama-lamanya! 30 Pergilah, katakan kepada mereka, “Kembalilah ke khemahmu.” 31 Akan tetapi, engkau tinggallah di sini bersama-sama Aku dan akan Aku sampaikan kepadamu segala perintah, ketetapan, dan peraturan yang harus kauajarkan kepada mereka, supaya mereka melaksanakannya di negeri yang Kukurniakan kepada mereka sebagai milik mereka.’
32 Jadi, lakukanlah semua itu dengan setia, seperti yang diperintahkan Allah, Tuhanmu, kepadamu. Jangan menyimpang ke kanan atau ke kiri. 33 Tempuhlah segala jalan yang diperintahkan Allah, Tuhanmu, kepadamu supaya kamu dapat hidup, keadaan kamu baik, dan lanjut umurmu di negeri yang akan kamu miliki.
 
 
 
 
 
 
6
Perintah yang terutama
1 Inilah perintah, iaitu segala ketetapan dan peraturan yang kuajarkan kepadamu atas perintah Allah, Tuhanmu, untuk dilaksanakan di negeri yang akan kamu masuki serta duduki, 2 supaya kamu dan anak cucumu bertakwa kepada Allah, Tuhanmu, seumur hidupmu dengan berpegang teguh pada segala ketetapan serta perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu, dan supaya lanjut umurmu. 3 Jadi, dengarlah baik-baik, wahai Israel! Laksanakanlah semua itu dengan setia supaya baik keadaanmu dan supaya jumlahmu menjadi sangat ramai di negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu, seperti yang telah dijanjikan Allah, Tuhan nenek moyangmu, kepadamu.
4 aDengarlah, wahai Israel! Allah ialah Tuhan kita. Allah itu esa. 5 bKasihilah Allah, Tuhanmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dan dengan sepenuh kekuatanmu. 6 cSimpanlah dalam hatimu kata-kata yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. 7 Ajarkanlah kesemuanya dengan saksama kepada anak-anakmu dan bicarakanlah semua itu ketika engkau duduk di rumahmu, ketika engkau dalam perjalanan, ketika engkau berbaring, dan ketika engkau bangun. 8 Ikatkanlah semua itu sebagai tanda peringatan pada tangan dan dahimu, 9 kemudian tulislah pada tiang-tiang pintu rumahmu dan pada pintu-pintu gerbangmu.
10 dApabila Allah, Tuhanmu, telah membawa engkau masuk ke negeri yang telah Dia sumpah untuk diberikan kepada nenek moyangmu, iaitu Ibrahim, Ishak, dan Yakub – kota-kota besar dan baik yang tidak engkau bangunkan, 11 rumah-rumah yang penuh dengan segala sesuatu yang baik yang tidak kauisi, perigi-perigi yang tidak kaugali, kebun-kebun anggur dan pokok-pokok zaitun yang tidak kautanam – dan engkau makan sampai kenyang, 12 berhati-hatilah, jangan sampai kaulupakan Allah yang telah membawamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. 13 eBertakwalah kepada Allah, Tuhanmu, beribadatlah kepada-Nya, dan bersumpahlah demi nama-Nya. 14 Jangan ikuti tuhan-tuhan lain, iaitu tuhan daripada bangsa-bangsa yang ada di sekelilingmu, 15 kerana Allah, Tuhanmu, yang hadir di tengah-tengahmu, sememangnya Tuhan yang tidak mahu diduakan. Jangan sampai murka Allah, Tuhanmu, menyala atasmu sehingga engkau dipunahkan-Nya dari muka bumi.
16 fJanganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu, seperti engkau menduga Dia di Masa. 17 Hendaklah kamu benar-benar berpegang teguh pada perintah-perintah Allah, Tuhanmu, serta segala peringatan dan ketetapan yang disampaikan-Nya kepadamu. 18 Lakukanlah apa yang benar dan baik dalam pandangan Allah, supaya keadaanmu baik dan engkau dapat memasuki serta menduduki negeri yang baik, yang telah Allah sumpah untuk diberikan kepada nenek moyangmu 19 dengan mengusir semua musuhmu dari hadapanmu, seperti yang difirmankan Allah.
20 Apabila anakmu bertanya kepadamu pada masa yang akan datang, ‘Apakah maknanya peringatan, ketetapan dan peraturan yang diperintahkan Allah, Tuhan kita, kepadamu?’ 21 maka katakanlah kepada anakmu, ‘Dahulu kami hamba kepada Firaun di Mesir, tetapi Allah membawa kami keluar dari Mesir dengan tangan yang kuat. 22 Di depan mata kami, Allah mengadakan tanda-tanda ajaib serta mukjizat-mukjizat besar yang membawa bencana terhadap Mesir, terhadap Firaun, dan terhadap seisi istananya. 23 Lalu Dia mengeluarkan kami dari sana, membawa kami masuk ke sini, dan memberikan kepada kami negeri ini, seperti yang telah Dia sumpah untuk diberikan kepada nenek moyang kita. 24 Allah memerintahkan agar kami melaksanakan segala ketetapan ini serta bertakwa kepada Allah, Tuhan kita, supaya keadaan kami sentiasa baik dan supaya kami tetap hidup seperti pada hari ini. 25 Kita akan dinyatakan benar jika kita melaksanakan kesemua perintah itu dengan setia di hadapan Allah, Tuhan kita, seperti yang diperintahkan-Nya kepada kita.’
 
 
 
 
 
 
7
Umat pilihan Allah
1 aApabila Allah, Tuhanmu, membawa kamu ke negeri yang akan kaumasuki serta duduki, Dia akan mengusir banyak bangsa dari hadapanmu, iaitu orang Het, orang Girgasi, orang Amori, orang Kanaan, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus iaitu tujuh bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu. 2 Pada masa Allah, Tuhanmu, menyerahkan mereka kepadamu sehingga mereka kamu kalahkan, hendaklah kamu menumpaskan mereka sama sekali. Jangan ikat perjanjian dengan mereka dan jangan kasihani mereka. 3 Jangan saling berkahwin dengan mereka. Jangan berikan anak perempuanmu kepada anak lelaki mereka, dan jangan ambil anak perempuan mereka untuk menjadi isteri kepada anak lelakimu, 4 kerana mereka akan membuat anak lelakimu untuk menyimpang, tidak lagi mengikuti Aku, dan kemudian beribadat kepada tuhan-tuhan lain. Jika demikian halnya, maka murka Allah akan menyala terhadap kamu dan Dia akan membinasakan kamu dengan segera. 5 bSebaliknya, hendaklah kamu melakukan begini terhadap mereka: robohkanlah segala mazbah tempat pembakaran korban mereka, hancurkanlah segala tiang berhala mereka, tebanglah patung berhala dewi Asyera mereka, dan bakarlah habis patung-patung ukiran mereka, 6 ckerana kamu umat yang suci bagi Allah, Tuhanmu. Kamu telah dipilih oleh Allah, Tuhanmu, untuk menjadi umat kesayangan-Nya daripada semua bangsa yang ada di muka bumi.
7 Allah terpaut kepadamu dan memilih kamu bukan kerana jumlahmu lebih besar daripada segala bangsa – sesungguhnya kamulah bangsa yang terkecil – 8 melainkan kerana Allah mengasihi kamu dan berpegang teguh pada sumpah yang diikrarkan-Nya kepada nenek moyangmu. Itulah sebabnya Allah membawa kamu keluar dengan tangan yang kuat dan membebaskan kamu dari tempat perhambaan, daripada tangan Firaun, raja Mesir. 9 dOleh sebab itu, ketahuilah bahawa Allah, Tuhanmu, Dia Allah, Tuhan yang setia, yang berpegang teguh pada perjanjian, dan menunjukkan rahmat-Nya terhadap orang yang mengasihi-Nya serta yang berpegang teguh pada perintah-perintah-Nya, sampai beribu-ribu keturunan. 10 Tetapi terhadap orang yang membenci-Nya, Dia mengadakan pembalasan dengan membinasakan orang itu. Dia tidak menunda-nunda untuk mengadakan pembalasan terhadap orang yang membenci-Nya. 11 Oleh sebab itu lakukanlah dengan setia segala perintah, ketetapan, dan peraturan yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.
Berkat dijanjikan bagi umat yang taat
12 eJadi, apabila kamu mendengar dan mentaati segala peraturan itu serta melakukannya dengan bersungguh-sungguh, maka Allah, Tuhanmu, akan berpegang teguh pada perjanjian dan kasih-Nya yang abadi, yang telah Dia sumpah kepada nenek moyangmu. 13 Dia akan mengasihi kamu, memberkati kamu, dan meramaikan jumlahmu. Dia akan memberkati buah kandunganmu, hasil tanahmu, iaitu gandummu, anggurmu, dan minyakmu, juga anak lembumu serta kawanan dombamu di negeri yang telah Dia sumpah untuk diberikan kepada nenek moyangmu. 14 Kamu akan diberkati melebihi segala bangsa. Tidak akan ada seorang pun yang mandul dalam kalanganmu, baik lelaki mahupun perempuan, bahkan juga haiwan ternakanmu. 15 Allah akan menjauhkan segala penyakit daripada kamu. Segala wabak dahsyat yang kamu ketahui di Mesir tidak akan ditimpakan-Nya terhadapmu, melainkan akan didatangkan-Nya kepada semua orang yang membenci kamu. 16 Kamu harus menghancurkan segala bangsa yang diserahkan Allah, Tuhanmu, kepadamu. Jangan berasa hiba terhadap mereka dan jangan beribadat kepada tuhan mereka, kerana hal itu akan menjadi jerat bagimu.
17 Jika kamu berfikir dalam hatimu, ‘Bangsa-bangsa itu lebih besar daripada aku. Bagaimanakah dapat aku mengusir mereka?’ 18 maka janganlah takut kepada mereka. Ingatlah baik-baik apa yang dilakukan Allah, Tuhanmu, terhadap Firaun dan terhadap semua orang Mesir, 19 iaitu cubaan-cubaan besar yang kamu lihat dengan matamu sendiri, tanda-tanda ajaib, mukjizat-mukjizat, tangan yang perkasa dan kuasa yang nyata. Dengan semua hal itu Allah, Tuhanmu, telah membawa kamu keluar. Demikian jugalah yang akan dilakukan Allah, Tuhanmu, terhadap segala bangsa yang kautakuti. 20 Selain itu, Allah, Tuhanmu, akan melepaskan serangga penyengat ke tengah-tengah mereka, sampai kalangan yang masih selamat dan yang menyembunyikan diri daripada kamu akan habis binasa. 21 Janganlah gentar terhadap mereka kerana Allah, Tuhanmu, hadir di tengah-tengahmu. Dialah Tuhan yang besar dan teramat hebat. 22 Allah, Tuhanmu, akan menyingkirkan bangsa-bangsa itu dari hadapanmu secara beransur-ansur. Kamu tidak boleh memusnahkan mereka sama sekali, supaya jangan jumlah binatang liar melebihi jumlah kamu. 23 Allah, Tuhanmu, akan menyerahkan mereka kepadamu dan mengacau-bilaukan mereka dengan hebat sampai mereka punah. 24 Dia juga akan menyerahkan raja-raja mereka ke dalam tanganmu dan kamu akan melenyapkan nama mereka dari kolong langit. Tiada seorang pun akan dapat bertahan di hadapanmu, sampai mereka kamu musnahkan. 25 Hendaklah kamu membakar habis segala tuhan mereka yang berupa patung-patung ukiran. Janganlah kamu menginginkan perak dan emas yang ada pada mereka atau mengambilnya untuk dirimu, supaya jangan kamu terjebak olehnya, kerana perbuatan itu suatu kekejian kepada Allah, Tuhanmu. 26 Apa yang dipandang keji oleh-Nya jangan kamu bawa masuk ke dalam rumahmu sehingga kamu pun perlu dikhususkan untuk dimusnahkan seperti barang-barang itu. Hendaklah kamu benar-benar membenci dan benar-benar memandang keji kesemua barang itu, kerana kesemuanya akan dikhususkan untuk dimusnahkan.
 
 
 
 
 
 
8
Pemberian Allah di gurun
1 Segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini wajib kamu lakukan dengan setia supaya kamu dapat hidup, bertambah ramai, dan dapat memasuki serta memiliki negeri yang telah Allah sumpah untuk memberi nenek moyangmu. 2 Ingatlah seluruh perjalanan yang kamu tempuh dalam pimpinan Allah, Tuhanmu, di gurun selama empat puluh tahun ini. Melalui semua itu Dia bermaksud untuk merendahkan hatimu, menguji kamu, dan mengetahui apa yang ada dalam hatimu, sama ada kamu mahu berpegang teguh pada segala perintah-Nya atau tidak. 3 aDia merendahkan hatimu, membiarkan kamu lapar, dan memberi kamu makan manna, iaitu makanan yang belum pernah dikenali, baik oleh kamu mahupun oleh nenek moyangmu, supaya kamu sedar bahawa manusia hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi dengan setiap firman yang disampaikan oleh Allah. 4 Selama empat puluh tahun ini pakaianmu tidak menjadi usang pada tubuhmu dan kakimu pun tidak menjadi bengkak. 5 Maka sedarilah dalam hatimu bahawa seperti seseorang yang mendidik anaknya, demikianlah Allah, Tuhanmu, mendidik kamu. 6 Oleh sebab itu, peganglah dengan teguh pada segala perintah Allah, Tuhanmu, dengan cara tetap melangkah mengikut jalan-Nya serta bertakwa kepada-Nya. 7 Allah, Tuhanmu, sedang menghantar kamu ke negeri yang baik, iaitu negeri dengan aliran sungai, mata air, dan sumber air yang dalam, yang memancar di lembah-lembah serta di gunung-gunung; 8 negeri dengan gandum, barli, pokok anggur, pokok ara, dan pokok delima; negeri dengan minyak zaitun dan madu. 9 Di negeri itu kamu akan makan roti tanpa harus berjimat, dan kamu tidak akan kekurangan sesuatu pun. Batu-batan di negeri itu juga mengandungi besi, dan daripada pergunungannya kamu dapat menggali tembaga. 10 Kamu akan makan sampai kenyang dan kamu akan memuji Allah, Tuhanmu, atas negeri yang baik yang dikurniakan-Nya kepadamu.
11 bBerhati-hati, jangan sampai kamu lupa akan Allah, Tuhanmu, dengan tidak berpegang teguh pada segala perintah-Nya, peraturan-Nya, dan ketetapan-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. 12 Setelah kamu makan sampai kenyang, setelah kamu membina rumah-rumah yang baik dan tinggal di dalamnya, 13 setelah bertambah banyak kawanan lembu dan kawanan dombamu, juga perak dan emas kamu, serta segala sesuatu yang kamu miliki, 14 jangan sampai kamu menjadi takbur dan lupa akan Allah, Tuhanmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. 15 Dialah yang memimpin kamu berjalan di gurun yang luas dan menakutkan, tempat ular berbisa dan kala jengking, dengan tanah yang kering kontang dan tidak berair. Dialah yang telah memancarkan air bagimu daripada batu pejal yang keras, 16 dan Dia jugalah yang telah memberi kamu makan manna di gurun, iaitu makanan yang belum pernah dikenal oleh nenek moyangmu. Maksud semua itu adalah untuk merendahkan hatimu serta menguji kamu, sehingga akhirnya membuahkan kebaikan bagimu. 17 Jangan sampai kamu berkata dalam hatimu, ‘Kekuatan dan keperkasaan tangankulah yang membuat aku memiliki kekayaan ini.’ 18 Sebaliknya, ingatilah Allah, Tuhanmu, kerana Dialah yang memberikan kepadamu kekuatan untuk memperoleh kekayaan itu, demi meneguhkan perjanjian yang telah Dia sumpah kepada nenek moyangmu, seperti pada hari ini. 19 Jika kamu benar-benar melupakan Allah, Tuhanmu, lalu mengikuti tuhan-tuhan lain, beribadat kepada semua tuhan itu dan sujud menyembah kepadanya, maka pada hari ini aku mengingatkan kamu bahawa kamu pasti binasa. 20 Sama seperti bangsa-bangsa yang dibinasakan Allah di hadapanmu, demikianlah kamu akan dibinasakan, kerana kamu tidak mahu mematuhi Allah, Tuhanmu.
 
 
 
 
 
 
9
Orang Israel diberi peringatan
1 Dengarlah, wahai Israel! Pada hari ini kamu akan menyeberangi Sungai Yordan untuk memasuki dan menduduki wilayah bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripadamu dengan kota-kota yang besar serta kubu-kubu yang mencapai langit. 2 Orang di situ, iaitu bani Enak, seperti kamu ketahui ramai bilangannya dan tinggi. Malah kamu mendengar tentang mereka, ‘Siapakah yang mampu bertahan di hadapan bani Enak?’ 3 Tetapi ketahuilah pada hari ini bahawa Allah, Tuhanmu, Dialah yang akan maju di hadapanmu seperti api yang menghanguskan. Dia akan membinasakan kalangan itu dan akan menaklukkan mereka di hadapanmu. Dengan demikian, kamu dapat mengusir dan membinasakan mereka dengan segera, seperti yang dijanjikan Allah kepadamu.
4 Setelah Allah, Tuhanmu, mengusir mereka dari hadapanmu, janganlah kamu berkata demikian dalam hatimu, ‘Kerana kesalihanku itu, maka Allah membawa aku masuk menduduki negeri ini.’ Padahal, kerana kefasiqan bangsa-bangsa itulah Allah mengusir mereka dari hadapanmu. 5 Bukan kesalihanmua atau ketulusan hatimu yang membuat kamu dapat masuk dan menduduki negeri mereka, melainkan kerana kefasiqan bangsa-bangsa itulah maka Allah, Tuhanmu, mengusir mereka dari hadapanmu demi menepati janji yang diikrarkan Allah atas sumpah kepada nenek moyangmu, iaitu Ibrahim, Ishak, dan Yakub. 6 Oleh sebab itu, ketahuilah bahawa bukan kerana kesalihanmu, maka Allah, Tuhanmu, mengurniakan kepadamu negeri yang baik itu untuk diduduki. Sesungguhnya, engkau memang bangsa yang keras kepala!
Sejarah kederhakaan orang Israel
7 Ingatlah dan jangan lupa bagaimana engkau membuat Allah, Tuhanmu, murka di gurun. Sejak engkau keluar dari Mesir sampai tiba di tempat ini, kamu terus menderhaka terhadap Allah. 8 Di Horeb kamu membuat Allah murka, hingga begitu marah Dia terhadapmu dan hendak memusnahkan kamu. 9 bSetelah aku naik ke gunung untuk menerima loh-loh batu, iaitu loh-loh berisi perjanjian yang diikat Allah dengan kamu, aku tinggal di gunung itu empat puluh hari empat puluh malam lamanya. Roti tidak kumakan dan air tidak kuminum. 10 Kemudian Allah menyerahkan kepadaku dua loh batu yang ditulis oleh tangan Allah sendiri. Pada kedua-dua loh batu itu tertulis segala firman yang disampaikan Allah kepadamu di gunung itu dari tengah-tengah api, pada hari kamu berkumpul. 11 Selepas empat puluh hari empat puluh malam, Allah menyerahkan kepadaku kedua-dua loh batu itu, iaitu loh-loh perjanjian.
12 Kemudian Allah berfirman kepadaku, ‘Bangkitlah dan turunlah dengan segera dari sini, kerana bangsamu yang kaupimpin keluar dari Mesir itu telah berbuat kemungkaran. Begitu cepatnya mereka menyimpang daripada jalan yang Kuperintahkan kepada mereka. Mereka telah menempa sebuah patung daripada logam tuangan.’
13 Allah berfirman pula kepadaku, ‘Aku telah melihat bangsa ini. Sesungguhnya, mereka memang bangsa yang keras kepala. 14 Usah halang Aku. Aku akan memusnahkan mereka dan menghapuskan nama mereka dari kolong langit. Tetapi engkau akan Kubuat untuk menjadi sebuah bangsa yang lebih kuat dan lebih besar daripada mereka.’
15 Setelah itu, aku berpaling lalu turun dari gunung yang masih menyala-nyala itu dengan kedua-dua loh perjanjian di kedua-dua tanganku. 16 Kemudian aku menyaksikan bahawa kamu telah berdosa terhadap Allah, Tuhanmu. Kamu membuat bagi dirimu sebuah arca anak lembu tuangan. Begitu cepatnya kamu menyimpang daripada jalan yang diperintahkan Allah kepadamu. 17 Maka kugenggam kedua-dua loh itu, kuhempaskan daripada kedua-dua tanganku dan kupecahkan di hadapan matamu. 18 Setelah itu, aku bersujud di hadapan Allah seperti sebelumnya, empat puluh hari empat puluh malam lamanya. Roti tidak kumakan dan air tidak kuminum kerana segala dosa yang telah kamu lakukan. Kamu telah melakukan perkara yang jahat dalam pandangan Allah sehingga kamu membangkitkan kemurkaan-Nya. 19 cAku takut kerana Allah begitu murka dan marah terhadap kamu sehingga Dia hendak memusnahkan kamu. Namun demikian, kali itu pun Allah berkenan mendengar aku. 20 Allah pun sangat murka terhadap Harun, sehingga Dia hendak membinasakannya. Maka pada waktu itu aku berdoa untuk Harun juga. 21 Kemudian kuambil hasil perbuatanmu yang penuh dosa, iaitu arca anak lembu tuangan itu, lalu kubakar habis, kutumbuk, dan kugiling betul-betul sampai halus seperti debu. Setelah itu, kucampakkan debu itu ke sungai yang mengalir turun dari gunung.
22 dDemikian jugalah di Tabera, di Masa, dan di Kibrot-Taawa, kamu membuat Allah murka. 23 ePada waktu Allah menyuruh kamu pergi dari Kadesh-Barnea dengan berfirman, ‘Majulah dan dudukilah negeri yang telah Kukurniakan kepadamu itu,’ kamu menderhaka terhadap firman Allah, Tuhanmu. Kamu tidak percaya kepada-Nya dan tidak mahu mematuhi-Nya. 24 Kamu telah menderhaka terhadap Allah sejak aku mengenal kamu.
25 Maka bersujudlah aku di hadapan Allah. Empat puluh hari empat puluh malam lamanya aku bersujud kerana Allah telah berfirman hendak memusnahkan kamu. 26 Aku berdoa kepada Allah demikian, ‘Ya Allah, ya Rabbi, janganlah musnahkan umat-Mu dan harta pusaka-Mu yang Kaubebaskan dengan kebesaran-Mu, dan yang Kaubawa keluar dari Mesir dengan tangan yang kuat. 27 Ingatlah akan hamba-hamba-Mu, iaitu Ibrahim, Ishak, dan Yakub. Janganlah Kauperhatikan kekerasan hati bangsa ini, juga kefasiqan dan dosa mereka. 28 Jangan sampai negeri, dari mana Kaubawa kami keluar, berkata, “Kerana Allah tidak sanggup membawa mereka masuk ke negeri yang dijanjikan-Nya kepada mereka, dan kerana kebencian-Nya terhadap mereka, Dia membawa mereka keluar lalu membunuh mereka di gurun.” 29 Mereka ialah umat-Mu dan harta pusaka-Mu, yang Kaubawa keluar dengan kekuatan-Mu yang besar dan kuasa-Mu yang nyata.’
 
 
 
 
 
 
10
Riwayat loh batu yang baru
1 Pada waktu itu Allah berfirman kepadaku, ‘Pahatlah dua keping loh batu seperti yang pertama itu, dan naiklah ke gunung menemui Aku. Buatlah juga sebuah tabut daripada kayu. 2 Aku akan menulis pada loh-loh itu firman yang ada pada loh-loh pertama, yang telah kaupecahkan itu. Setelah itu, letaklah loh-loh itu di dalam tabut.’
3 Maka aku membuat sebuah tabut daripada kayu akasia dan memahat dua buah loh batu seperti yang pertama. Kemudian aku naik ke gunung dengan kedua-dua loh itu di tanganku. 4 Lalu Allah menulis semula pada loh-loh itu Sepuluh Perintah, seperti tulisan mula-mula, yang telah disampaikan-Nya kepadamu di gunung dari tengah-tengah api, pada hari kamu berkumpul. Setelah itu, Allah menyerahkannya kepadaku. 5 Aku pun berpaling dan turun dari gunung, lalu kuletak loh-loh itu di dalam tabut yang telah kubuat. Di situlah kedua-dua loh batu itu tersimpan, seperti yang diperintahkan Allah.
6 aOrang Israel pun berangkat dari Beerot Bene-Yaakan ke Mosera. Di sanalah Harun meninggal dan dimakamkan. Maka Eleazar, anaknya, menggantikannya sebagai imam. 7 Dari sana mereka berangkat ke Gudgod, lalu dari Gudgod ke Yotbata, sebuah daerah yang bersungai-sungai. 8 bPada waktu itu Allah mengkhususkan suku Lewi untuk mengusung tabut perjanjian Allah. Selain itu, mereka juga bertugas untuk menyelenggarakan ibadat di hadapan Allah serta menyampaikan berkat atas nama-Nya, sampai pada hari ini. 9 Oleh sebab itu, orang Lewi tidak mendapat bahagian atau harta pusaka seperti halnya dengan para saudara mereka. Allah sendirilah yang menjadi harta pusaka mereka, seperti yang difirmankan Allah, Tuhanmu, kepada mereka.
10 cKemudian aku tinggal di gunung itu seperti sebelumnya, empat puluh hari empat puluh malam lamanya. Kali itu pun Allah berkenan mendengar aku, sehingga Allah tidak memusnahkan engkau. 11 Lalu firman Allah kepadaku, ‘Bersiaplah, pimpinlah bangsa itu supaya mereka dapat memasuki serta menduduki negeri yang telah Aku sumpah untuk diberikan kepada nenek moyang mereka.’
Gesaan untuk mengasihi Allah dan juga manusia
12 Sekarang, wahai orang Israel, apakah yang dituntut Allah, Tuhanmu, daripada dirimu? Tidak lain daripada bertakwa kepada Allah, Tuhanmu, hidup menurut segala jalan-Nya, mengasihi-Nya, beribadat kepada Allah, Tuhanmu, dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu, 13 serta berpegang teguh pada segala perintah Allah dan segala ketetapan-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, supaya baik keadaanmu. 14 Sesungguhnya, Allah, Tuhanmu, yang empunya langit, bahkan langit di atas segala langit, juga bumi dengan segala isinya. 15 Meskipun begitu, kepada nenek moyangmulah Allah terpaut sehingga Dia mengasihi mereka dan memilih kamu, iaitu keturunan mereka, daripada segala bangsa seperti yang terjadi pada hari ini. 16 Oleh sebab itu, buanglah kedegilan hatimu dan jangan lagi keras kepala. 17 dAllah, Tuhanmu, sememangnya Tuhan segala tuhan, Junjungan segala junjungan, Tuhan yang besar, perkasa, dan tersangat hebat, yang tidak memilih kasih serta tidak menerima sogokan. 18 Dia membela hak anak yatim dan balu. Dia mengasihi kaum pendatang, dan memberikan kepada mereka makanan serta pakaian. 19 Oleh sebab itu hendaklah kamu mengasihi kaum pendatang, kerana kamu pun pernah menjadi pendatang di Tanah Mesir. 20 Bertakwalah kepada Allah, Tuhanmu, dan beribadatlah kepada-Nya. Berpautlah pada-Nya dan bersumpahlah demi nama-Nya. 21 Dialah pokok puji-pujian kamu dan Dialah Tuhanmu, yang telah melakukan perbuatan-perbuatan yang besar dan teramat hebat bagimu, seperti yang telah kaulihat dengan matamu. 22 eKetika nenek moyangmu pergi ke Mesir, jumlah mereka tujuh puluh jiwa. Tetapi sekarang Allah, Tuhanmu, telah menjadikan kamu sebanyak bintang-bintang di langit.
 
 
 
 
 
 
11
Mengulangi seruan agar umat sentiasa taat
1 Maka hendaklah kamu mengasihi Allah, Tuhanmu, dan memegang dengan teguh segala kewajipanmu kepada-Nya, juga segala ketetapan, peraturan, serta perintah-Nya. 2 Fahamlah bahawa aku sekarang bukannya berbicara kepada anak-anakmu, yang tidak mengenal dan tidak mengalami didikan Allah, Tuhanmu. Kamulah yang mengetahui kebesaran-Nya, tangan-Nya yang perkasa, kuasa-Nya yang nyata, 3 atanda-tanda ajaib-Nya, dan segala perbuatan yang dilakukan-Nya di Mesir terhadap Firaun, raja Mesir, serta seluruh negerinya. 4 bKamu tahu apa yang dilakukan-Nya terhadap pasukan Mesir dan terhadap kuda-kuda serta segala kereta kuda mereka, bagaimana Dia membuat air Laut Merah untuk meluap melanda mereka saat mereka mengejar kamu, dan bagaimana Allah melenyapkan mereka sampai hari ini. 5 Kamu pun tahu apa yang dilakukan-Nya terhadap kamu di gurun hingga kamu sampai di tempat ini, 6 cjuga apa yang dilakukan-Nya terhadap Datan dan Abiram, anak-anak Eliab keturunan Ruben, ketika bumi mengangakan mulutnya dan menelan mereka berserta keluarga mereka, khemah-khemah mereka, dan semua yang hidup yang mengikuti mereka di tengah-tengah semua orang Israel. 7 Dengan matamu sendiri kamu telah melihat segala perbuatan besar yang telah dilakukan Allah.
Kelimpahan di tanah yang dijanjikan
8 Maka hendaklah kamu berpegang teguh pada segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, supaya kamu kuat untuk memasuki serta menduduki negeri yang akan kamu miliki setelah kamu menyeberang, 9 dan supaya lanjut umurmu di tanah yang telah disumpahkan Allah kepada nenek moyangmu untuk diberikan kepada mereka serta keturunan mereka, iaitu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu. 10 Sesungguhnya, negeri yang akan kamu masuki dan akan kamu duduki itu tidak seperti Tanah Mesir, tempat yang telah kamu tinggalkan. Di Mesir, setelah kamu menyemai benih, kamu perlu mengairinya dengan susah payah seperti kebun sayur. 11 Akan tetapi, negeri yang akan kamu masuki untuk kamu duduki itu sebuah negeri yang bergunung-gunung dan berlembah-lembah, yang menyerap air hujan dari langit. 12 Allah, Tuhanmu, memelihara negeri itu; mata Allah, Tuhanmu, selalu memerhatikannya sejak awal tahun sampai akhir tahun.
13 dJadi, jika kamu sungguh-sungguh mendengar perintah-perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, iaitu mengasihi Allah, Tuhanmu, serta beribadat kepada-Nya dengan sepenuh hati dan sepenuh jiwamu, 14 maka Dia juga akan menurunkan hujan bagi negerimu pada musimnya, baik hujan awal musim mahupun hujan akhir musim, sehingga kamu dapat mengumpulkan hasil gandummu, anggurmu, dan minyakmu. 15 Dia akan menyediakan tumbuh-tumbuhan di padangmu bagi ternakanmu, dan kamu pun akan makan sampai kenyang. 16 Berhati-hati, jangan sampai kamu tertipu oleh pujuk rayu sehingga kamu menyimpang lalu beribadat kepada tuhan-tuhan lain dan sujud menyembah tuhan-tuhan itu. 17 Jika demikian halnya, maka akan menyala-nyalalah murka Allah terhadap kamu. Dia akan menutup langit sehingga tidak ada hujan, dan tanah tidak akan memberikan hasil. Kamu pun akan lenyap dengan segera dari negeri yang baik, yang dikurniakan Allah kepadamu.
18 eTaruhlah perkataan-perkataanku ini dalam hati dan jiwamu, ikatkannya sebagai suatu tanda peringatan pada tangan dan dahimu. 19 Ajarkanlah perkara ini kepada anak-anakmu dan bicarakannya ketika engkau duduk di rumahmu, ketika engkau dalam perjalanan, ketika engkau berbaring, dan ketika engkau bangun. 20 Kemudian tulislahnya pada tiang-tiang pintu rumahmu dan pada pintu-pintu gerbangmu. 21 Dengan demikian, akan panjanglah umurmu dan umur anak-anakmu di negeri yang telah disumpahkan Allah untuk diberikan kepada nenek moyangmu selama langit ada di atas bumi.
22 Jika kamu benar-benar berpegang teguh pada segala perintah yang kusampaikan kepadamu dan teliti melakukannya, iaitu mengasihi Allah, Tuhanmu, hidup menurut segala jalan-Nya, dan berpaut pada-Nya, 23 maka Allah akan mengusir semua bangsa ini dari hadapanmu, dan kamu akan menduduki wilayah bangsa-bangsa yang lebih besar serta lebih kuat daripada kamu. 24 fSetiap tempat yang dipijak oleh telapak kakimu akan menjadi milikmu. Daerahmu akan terbentang dari gurun sampai Lebanon, dan dari sungai itu, iaitu Sungai Efrat, sampai laut di sebelah barat. 25 Tiada seorang pun akan dapat bertahan di hadapanmu. Allah, Tuhanmu, akan mendatangkan rasa gentar dan rasa takut terhadap kamu di seluruh negeri yang akan kamu pijak, seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu.
26 Lihatlah, pada hari ini aku menghadapkan kepadamu berkat dan kutukan. 27 Berkat kamu terima jika kamu mendengar perintah-perintah Allah, Tuhanmu, yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. 28 Kutukan kamu terima jika kamu tidak mahu mendengar perintah-perintah Allah, Tuhanmu, dan menyimpang daripada jalan yang kuperintahkan kepadamu pada hari ini dengan mengikuti tuhan-tuhan lain yang tidak kamu kenal. 29 gJadi, setelah Allah, Tuhanmu, membawa kamu ke negeri yang akan kaumasuki serta duduki, kamu mesti mengucapkan berkat di Gunung Gerizim dan kutukan di Gunung Ebal. 30 Bukankah kedua-dua gunung itu terletak di seberang Sungai Yordan, di belakang jalan menuju ke arah matahari terbenam, di wilayah bani Kanaan di Araba yang berseberangan dengan Gilgal, dekat pokok-pokok oak di More? 31 Kamu sudah hendak menyeberangi Sungai Yordan untuk masuk dan menduduki negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu. Setelah kamu mendudukinya dan tinggal di situ, 32 lakukanlah dengan setia segala ketetapan dan peraturan yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.
 
 
 
 
 
 
12
Satu-satunya tempat ibadat
1 Inilah segala ketetapan dan peraturan yang harus kamu lakukan dengan setia di negeri yang dikurniakan Allah, Tuhan nenek moyangmu, kepadamu untuk kamu miliki selama kamu hidup di bumi. 2 Musnahkanlah sama sekali semua tempat yang digunakan oleh bangsa-bangsa yang kamu halau itu untuk beribadat kepada tuhan mereka, iaitu tempat di atas gunung-gunung tinggi, di atas bukit-bukit, dan di bawah setiap pokok yang rimbun. 3 aRobohkanlah mazbah-mazbah mereka, hancurkanlah tiang-tiang berhala mereka, dan bakarlah habis patung-patung dewi Asyera mereka. Tebanglah patung-patung ukiran mereka, iaitu tuhan mereka, dan lenyapkanlah nama mereka dari tempat itu.
4 Janganlah kamu beribadat seperti mereka itu apabila kamu menyembah Allah, Tuhanmu. 5 Sebaliknya, carilah tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu, daripada kalangan semua sukumu sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya, dan pergilah ke sana. 6 Bawalah ke sana korban bakaranmu, korban sembelihanmu, persembahan sepersepuluh kamu, persembahan khususmu, korban nazarmu, korban sukarela kamu, dan anak sulung daripada kawanan lembu dan kawanan dombamu. 7 Hendaklah kamu dan keluargamu makan di hadapan Allah, Tuhanmu itu, dan bersuka ria atas segala usahamu, kerana Allah, Tuhanmu, telah memberkatimu.
8 Jangan lakukan seperti yang kita lakukan sekarang di sini, dengan masing-masing melakukan apa-apa sahaja yang betul menurut pandangannya. 9 Memang sampai sekarang kamu belum masuk ke tujuan akhir, iaitu harta pusaka yang dikurniakan kepadamu oleh Allah, Tuhanmu, 10 tetapi nanti kamu akan menyeberangi Sungai Yordan dan tinggal di negeri yang diberikan Allah, Tuhanmu, untuk menjadi harta pusakamu. Setelah Dia mengurniakan kepadamu ketenteraman daripada semua musuh di sekelilingmu dan kamu tinggal dengan aman, 11 bawalah semua yang kuperintahkan kepadamu, iaitu korban bakaranmu, korban sembelihanmu, persembahan sepersepuluh kamu, persembahan khususmu, dan segala korban nazarmu yang terpilih, yang kamu nazarkan kepada Allah, ke tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. 12 Bersuka rialah di hadapan Allah, Tuhanmu, bersama-sama anak-anakmu dan hamba-hambamu, baik lelaki mahupun perempuan, serta bani Lewi yang ada di kotamu – kerana tidak seperti kamu, bani Lewi tidak mendapat bahagian atau harta pusaka. 13 Berhati-hatilah jangan sampai kamu persembahkan segala korban bakaranmu di sembarangan tempat yang kaulihat. 14 Persembahkanlah korban bakaranmu hanya di tempat yang akan dipilih Allah di daerah salah satu sukumu, dan hendaklah di sana kamu melakukan segala sesuatu yang kuperintahkan kepadamu.
15 Meskipun begitu, engkau boleh menyembelih haiwan dan memakan dagingnya sesuka hatimu di kota mana-mana pun kamu tinggal, selaras dengan berkat yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu. Baik orang yang bernajis mahupun orang suci boleh memakannya seperti memakan daging kijang atau daging rusa. 16 bHanya, darahnya jangan kamu makan. Tumpahkanlah darah itu ke tanah seperti air. 17 Persembahan sepersepuluh daripada gandummu, anggurmu, minyakmu, anak sulung daripada kawanan lembu dan kawanan dombamu, segala korban nazar yang kamu nazarkan, korban sukarela kamu, atau persembahan khususmu tidak boleh kamu makan di kota-kotamu. 18 Baik engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, mahupun bani Lewi yang ada di kotamu, harus memakannya di hadapan Allah, Tuhanmu, iaitu di tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu. Bersuka rialah di hadapan Allah, Tuhanmu, atas segala usaha kamu. 19 Ingat, jangan sampai kauabaikan bani Lewi selama engkau tinggal di tanahmu.
20 Apabila Allah, Tuhanmu, telah meluaskan daerahmu seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu dan kamu berkata, ‘Aku hendak makan daging,’ kerana engkau ingin makan daging, maka engkau boleh makan daging sesuka hatimu. 21 Jika tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu, untuk menegakkan nama-Nya itu terlalu jauh dari tempatmu, maka engkau boleh menyembelih haiwan daripada kawanan lembu dan kawanan domba yang dikurniakan Allah kepadamu, seperti kuperintahkan kepadamu, dan memakannya di kota-kotamu sesuka hatimu. 22 Makanlah seperti kamu memakan daging kijang atau daging rusa; orang yang bernajis ataupun yang suci sama-sama boleh memakannya. 23 cHanya, ingatlah baik-baik, jangan kamu makan darahnya kerana darah ialah nyawa. Kamu tidak boleh memakan nyawa bersama-sama daging. 24 Jangan makannya, tetapi tumpahkanlah ke tanah seperti air. 25 Jangan makannya supaya keadaanmu dan keadaan anak-anakmu kelak akan baik, kerana engkau melakukan apa yang benar dalam pandangan Allah. 26 Akan tetapi, barang-barang suci yang ada padamu dan korban-korban nazarmu harus kauangkut serta kaubawa ke tempat yang akan dipilih Allah. 27 Persembahkanlah korban bakaranmu, iaitu daging dan darahnya, di atas mazbah Allah, Tuhanmu. Darah korban sembelihanmu itu harus dicurahkan pada mazbah Allah, Tuhanmu, sedangkan dagingnya boleh kaumakan. 28 Taatilah semua kata yang kuperintahkan kepadamu ini. Dengan demikian, keadaanmu dan keadaan anak-anakmu kelak akan baik untuk selama-lamanya, kerana engkau melakukan apa yang baik dan benar dalam pandangan Allah, Tuhanmu.
Amaran terhadap penyembahan berhala
29 Apabila Allah, Tuhanmu, melenyapkan bangsa-bangsa daripadamu dan daerah mereka kamu masuki serta duduki, dan apabila kamu telah mengusir mereka serta tinggal di negeri mereka, 30 berhati-hatilah supaya jangan sampai engkau terjerat sehingga engkau mengikuti perilaku mereka sesudah mereka dipunahkan daripada hadapanmu. Jangan sampai engkau bertanya-tanya tentang tuhan mereka seperti ini, ‘Bagaimanakah bangsa-bangsa ini menyembah tuhan mereka? Aku juga mahu berbuat sebegitu.’ 31 Jangan berbuat seperti itu terhadap Allah, Tuhanmu. Sesungguhnya, kalangan itu telah melakukan segala hal keji yang dibenci Allah demi tuhan mereka itu. Bahkan mereka membakar anak-anak mereka sendiri, baik lelaki mahupun perempuan, sebagai korban bagi tuhan mereka.
32 dHendaklah kamu taat melakukan segala hal yang kuperintahkan kepadamu. Janganlah kamu tambah apa-apa kepadanya dan jangan juga kurangkan satu apa-apa pun daripadanya.
 
 
 
 
 
 
13
Peringatan tentang ibadat yang sesat
1 Seandainya muncul seorang nabi atau seorang pemimpi dalam kalangan kamu, dan dia menunjukkan kepadamu suatu tanda ajaib atau mukjizat, 2 lalu tanda ajaib atau mukjizat yang dikatakannya kepadamu itu terjadi dan dia berkata, ‘Mari kita mengikuti tuhan-tuhan lain, iaitu tuhan-tuhan yang tidak kaukenal, dan mari kita beribadat kepadanya,’ 3 jangan dengarkan kata-kata nabi atau pemimpi itu, kerana Allah, Tuhanmu, sedang menguji kamu untuk mengetahui sama ada kamu sungguh-sungguh mengasihi Allah, Tuhanmu, dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu. 4 Ikutilah Allah, Tuhanmu, dan bertakwalah kepada-Nya. Taatilah betul-betul segala perintah-Nya dan patuhilah Dia. Beribadatlah kepada-Nya dan berpautlah pada-Nya. 5 Hendaklah nabi atau pemimpi itu dihukum mati kerana dia telah mencetuskan api pemberontakan terhadap Allah, Tuhanmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir dan yang membebaskan engkau dari tempat perhambaan. Pemimpi itu bermaksud menyesatkan kamu daripada mengikuti jalan yang sepatutnya kamu tempuhi sebagaimana yang diperintahkan Allah, Tuhanmu, kepadamu. Oleh itu, singkirkanlah orang jahat itu daripada kalangan kamu.
6 Seandainya saudara lelakimu, iaitu anak lelaki ibumu, atau anak lelakimu, atau anak perempuanmu, atau isterimu sendiri yang dikasihi, atau sahabatmu yang paling karib memujuk engkau secara diam-diam dengan berkata, ‘Mari kita beribadat kepada tuhan-tuhan lain,’ tuhan-tuhan yang tidak kamu kenal atau dikenali oleh nenek moyangmu, 7 iaitu tuhan daripada bangsa-bangsa yang ada di sekelilingmu, baik yang dekat mahupun yang jauh, dari satu hujung bumi ke hujung bumi yang lagi satu, 8 jangan ikuti dan jangan dengarkan pujukannya. Jangan berasa kasihan terhadapnya dan jangan lindungi dia, 9 melainkan hendaklah engkau menjalankan hukum mati atasnya. Hendaklah tanganmu yang pertama sekali bergerak untuk menjalankan hukum mati atasnya, kemudian barulah tangan seluruh umat pula. 10 Rejamlah dia dengan batu hingga mati kerana dia berusaha menyesatkan engkau daripada Allah, Tuhanmu, yang telah membawa engkau keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. 11 Maka semua orang Israel akan mendengar hal itu dan menjadi takut, sehingga mereka tidak lagi melakukan perkara jahat seperti itu dalam kalangan kamu.
12 Jika kamu terdengar orang berkata di salah sebuah kota yang dikurniakan untuk kamu diami oleh Allah, Tuhanmu, 13 bahawa daripada kalangan kamu muncul beberapa orang tidak berguna yang menyesatkan penduduk kota mereka dengan berkata, ‘Mari kita beribadat kepada tuhan-tuhan lain,’ iaitu tuhan-tuhan yang tidak kamu kenal, 14 maka hendaklah kamu teliti menanyakan, memeriksa, dan meneliti hal itu baik-baik. Kalau ternyata hal itu benar dan sudah pasti bahawa hal keji itu dilakukan dalam kalangan kamu, 15 maka hendaklah kamu menghentam penduduk kota itu dengan mata pedang. Tumpaslah kota itu serta segala isinya dan juga ternakannya dengan mata pedang. 16 Kumpulkanlah segala jarahan ke tengah-tengah lapangan, lalu bakarlah habis kota dengan jarahan itu sekali gus untuk dipersembahkan kepada Allah, Tuhanmu. Semua itu akan menjadi timbunan puing untuk selama-lamanya dan tidak akan dibangunkan semula. 17 Jangan biarkan satu apa-apa pun daripada barang-barang yang dikhususkan untuk dimusnahkan itu melekat pada tanganmu. Dengan demikian, Allah akan berpaling daripada kemurkaan-Nya yang menyala-nyala, menunjukkan belas kasihan-Nya kepadamu, menyayangi engkau, dan membuat engkau untuk menjadi ramai, seperti yang telah dijanjikan Dia dengan sumpah kepada nenek moyangmu, 18 kerana engkau mematuhi Allah, Tuhanmu, berpegang teguh pada segala perintah-Nya yang aku sampaikan kepadamu pada hari ini, dan melakukan apa yang benar dalam pandangan Allah, Tuhanmu.
 
 
 
 
 
 
14
Antara yang suci dengan yang haram
1 bKamu anak-anak bagi Allah, Tuhanmua maka janganlah menoreh tubuhmu atau menggondolkan rambut di atas dahimu kerana kematian seseorang. 2 cEngkau umat yang suci bagi Allah, Tuhanmu, dan engkau telah dipilih Allah untuk menjadi umat kesayangan-Nya daripada segala bangsa yang ada di bumi.
3 Jangan makan sesuatu yang keji lagi terlarang. 4 Inilah haiwan yang boleh kamu makan: lembu, domba, kambing, 5 rusa, kijang, pelanduk, kambing hutan, kijang gunung, antelop, dan domba gunung. 6 Semua haiwan antara kawanan ternakan yang terbelah kuku kakinya, iaitu yang kukunya terbahagi dua sama sekali, dan yang mengunyah bahan mamahan, boleh kamu makan. 7 Namun begitu, haiwan-haiwan yang hanya mengunyah bahan mamahan atau hanya terbelah kuku kakinya jangan kamu makan. Unta, arnab, dan landak jangan kamu makan, kerana semua haiwan itu memang mengunyah bahan mamahan tetapi tidak terbelah kuku kakinya. Jadi, semua itu haram bagimu. 8 Demikian pula babi, kerana haiwan ini memang terbelah kuku kakinya tetapi tidak mengunyah bahan mamahan. Jadi, haiwan itu haram bagimu. Jangan kamu makan daging haiwan-haiwan itu, dan jangan juga kamu sentuh bangkainya.
9 Inilah yang boleh kamu makan daripada segala yang hidup di dalam air: segala yang bersirip dan bersisik. 10 Segala yang tidak bersirip dan tidak bersisik jangan kamu makan. Haiwan itu haram bagimu.
11 Segala burung yang halal boleh kamu makan. 12 Inilah yang tidak boleh kamu makan: burung rajawali, burung hering berjanggut, burung hering hitam, 13 burung lang, pelbagai jenis burung reng, 14 segala jenis burung gagak, 15 burung unta, jampuk, camar, pelbagai jenis burung helang, 16 burung pungguk, burung hantu besar, burung hantu putih, 17 burung undan, burung lang hitam, burung dendang air, 18 burung ranggung, jenis-jenis burung bangau, burung hudhud, dan kelawar.
19 Semua serangga bersayap adalah haram bagimu; tidak boleh dimakan. 20 Segala haiwan bersayap yang halal boleh kamu makan.
21 dJangan engkau makan bangkai apa-apa pun, kerana engkau umat yang suci bagi Allah, Tuhanmu. Namun demikian, engkau boleh memberikannya kepada pendatang yang ada di kotamu untuk dimakan olehnya, atau menjualnya kepada bangsa asing.
Jangan rebus anak kambing di dalam air susu induknya.
Persembahan sepersepuluh
22 eHendaklah kamu mempersembahkan sepersepuluh daripada segala hasil benih yang tumbuh di ladangmu, tahun demi tahun. 23 Makanlah persembahan sepersepuluh daripada gandummu, anggurmu, minyakmu, dan anak sulung daripada kawanan lembumu atau kawanan dombamu di hadapan Allah, Tuhanmu, iaitu di tempat yang akan dipilih-Nya sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. Dengan demikian, engkau belajar untuk sentiasa bertakwa kepada Allah, Tuhanmu. 24 Akan tetapi, jika perjalanannya terlalu jauh bagimu kerana tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu, untuk menegakkan nama-Nya itu terlalu jauh daripadamu, padahal Allah, Tuhanmu, telah memberkati kamu sedemikian sehingga kamu tidak dapat mengangkut persembahan sepersepuluh kamu, 25 maka hendaklah engkau menukarnya dengan wang. Bungkuslah wang itu dan bawalah ke tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu. 26 Belanjakanlah wang itu untuk sesuatu yang disukai hatimu – lembu, domba, atau air anggur, atau minuman hasil petapaian, atau apa-apa pun yang diinginkan hatimu – lalu engkau bersama dengan keluargamu harus makan dan bersuka ria di sana, di hadapan Allah, Tuhanmu.
27 Jangan abaikan bani Lewi yang ada di kotamu, kerana mereka tidak mendapat bahagian atau harta pusaka seperti halnya kamu. 28 Pada akhir setiap tiga tahun, keluarkanlah segala persembahan sepersepuluh daripada hasil usaha kamu dalam tahun itu dan tempatkanlah di kotamu, 29 supaya orang Lewi, yang tidak mendapat bahagian atau harta pusaka seperti kamu, demikian pula para pendatang, anak yatim, dan balu yang ada di kotamu dapat datang dan makan sampai kenyang. Dengan demikian, Allah, Tuhanmu, akan memberkati segala pekerjaan yang dilakukan tanganmu.
 
 
 
 
 
 
15
Pembebasan hamba tebusan
1 Hendaklah kamu mengadakan pembatalan hutang pada akhir setiap tujuh tahun. 2 Beginilah cara pembatalan hutang itu: hendaklah setiap pemiutang melepaskan apa yang dipinjamkannya kepada sesamanya. Tidak boleh dia menagih hutangnya daripada sesamanya ataupun saudaranya kerana pembatalan hutang telah dimaklumkan Allah. 3 Engkau boleh menagih hutang daripada orang asing, tetapi hendaklah engkau lepaskan apa-apa pun milikmu yang ada pada saudaramu.
4 Meskipun begitu, tidak akan ada fakir miskin dalam kalangan engkau kerana Allah pasti memberkati engkau di negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu sebagai harta pusaka untuk engkau duduki, 5 asalkan engkau sungguh-sungguh mematuhi Allah, Tuhanmu, dan melakukan dengan setia segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. 6 Allah, Tuhanmu, akan memberkati engkau seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu, dan engkau akan memberikan pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi engkau sendiri tidak akan meminjam. Engkau akan menguasai banyak bangsa, tetapi mereka tidak akan menguasai engkau.
7 aApabila antaramu ada orang miskin, iaitu salah seorang saudaramu di kota mana-mana pun di negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu, maka jangan keraskan hatimu dan jangan tutup tanganmu terhadap saudaramu yang miskin itu. 8 Sebaliknya, bukalah tanganmu lebar-lebar baginya dan berikanlah pinjaman dengan murah hati kepadanya untuk mencukupkan sebarang kekurangan yang dialaminya. 9 Berhati-hati, jangan sampai tersimpan fikiran yang tidak wajar seperti ini dalam hatimu, ‘Hampir tiba tahun ketujuh, iaitu tahun pembebasan hutang,’ lalu engkau memandang saudaramu yang miskin itu dengan mata yang jahat dan tidak memberikan apa-apa kepadanya. Dia akan berseru kepada Allah mengenai engkau, dan engkau akan menjadi berdosa. 10 Berilah dengan murah hati. Janganlah hatimu berat ketika engkau memberikan kepadanya. Maka kerana hal itu Allah, Tuhanmu, akan memberkati segala pekerjaanmu dan segala usaha kamu. 11 bOrang miskin memang tidak akan pernah habis di negeri itu lantas aku memerintahkan kepadamu supaya kamu membuka tanganmu lebar-lebar bagi saudaramu, iaitu bagi orang yang tertindas dan yang miskin di negerimu.
12 cJika saudaramu, seorang lelaki atau seorang perempuan Ibrani, dijual kepadamu dan menghambakan diri kepadamu enam tahun lamanya, maka pada tahun ketujuh hendaklah engkau melepaskannya pergi sebagai orang yang merdeka. 13 Apabila engkau melepaskannya pergi sebagai orang merdeka, jangan engkau lepaskan kepergiannya dengan tangan kosong. 14 Dengan murah hati bekalilah dia daripada kawanan dombamu, dari tempat pembantingan hasil tuaianmu, dan dari tempat pemerasan anggurmu. Hendaklah kamu memberikan kepadanya, selaras dengan berkat yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu. 15 Ingatlah bahawa engkau pun dahulu hamba di Tanah Mesir, lalu Allah, Tuhanmu, menebus kamu. Itulah sebabnya aku memerintahkan hal itu kepadamu pada hari ini.
16 Akan tetapi, jika orang itu berkata kepadamu, ‘Aku tidak mahu pergi daripada tuan,’ atas sebab dia mengasihi kamu serta keluargamu, kerana baik keadaannya selama dia bersama-samamu, 17 maka ambillah penindik lalu tindiklah telinganya pada pintu. Dengan demikian, dia akan menjadi hambamu untuk seterusnya. Perbuatlah demikian juga terhadap hambamu yang perempuan. 18 Jangan berasa berat ketika kamu melepaskan dia pergi sebagai orang bebas, kerana dia telah bekerja untukmu selama enam tahun dengan nilai pekerjaannya dua kali ganda usaha pekerja upahan. Dengan demikian, Allah, Tuhanmu, akan memberkatimu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan.
Anak Sulung Ternak
19 dSemua anak sulung jantan yang lahir dalam kawanan lembu dan kawanan dombamu harus kaukhususkan bagi Allah, Tuhanmu. Jangan berbuat sesuatu dengan anak sulung lembumu dan jangan gunting bulu anak sulung dombamu. 20 Hendaklah tahun demi tahun engkau dan keluargamu memakannya di hadapan Allah, Tuhanmu, di tempat yang akan dipilih oleh Allah. 21 Akan tetapi, jika haiwan itu bercacat cela seperti tempang, buta, atau apa-apa pun yang buruk, maka janganlah kamu persembahkan haiwan itu kepada Allah, Tuhanmu. 22 Makanlah dagingnya di kotamu. Baik orang bernajis mahupun orang suci sama-sama boleh memakannya seperti memakan daging kijang atau daging rusa. 23 eHanya, jangan kaumakan darahnya. Tumpahkanlah darah itu ke tanah seperti air.
 
 
 
 
 
 
16
Perayaan Paskah dan Perayaan Roti Tidak Beragia
1 bIngatlah akan bulan Abib dan rayakanlah Paskah bagi Allah, Tuhanmu, kerana pada bulan Abib itulah Allah, Tuhanmu, membawa kamu keluar dari Mesir pada malam hari. 2 Hendaklah kamu menyembelih korban Paskah daripada kawanan domba atau kawanan lembu untuk dipersembahkan kepada Allah, Tuhanmu, di tempat yang akan dipilih Allah sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. 3 Jangan makan korban itu dengan roti yang beragi. Selama tujuh hari hendaklah kamu memakannya dengan roti yang tidak beragi, iaitu roti penderitaan, kerana dengan terburu-buru kamu keluar dari Tanah Mesir. Dengan demikian, engkau akan mengingati hari engkau keluar dari Tanah Mesir itu seumur hidupmu. 4 Tujuh hari lamanya tidak boleh terlihat ada ragi di seluruh daerahmu. Selain itu, daripada daging yang kamu sembelih pada waktu petang hari pertama janganlah berbaki pada pagi harinya.
5 Engkau tidak boleh mempersembahkan korban Paskah di salah sebuah kotamu yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu, 6 tetapi hendaklah dipersembahkan di tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. Di sanalah engkau harus mempersembahkan korban Paskah pada waktu maghrib, ketika matahari terbenam, bertepatan dengan waktu ketika engkau keluar dari Mesir. 7 Masaklah korban itu dan makanlah di tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu. Kemudian esok paginya kembalilah ke khemahmu. 8 Selama enam hari, makanlah roti yang tidak beragi dan pada hari ketujuh adakanlah perhimpunan penuh takzim bagi Allah, Tuhanmu. Jangan lakukan apa-apa pekerjaan pun pada hari itu.
Perayaan Tujuh Minggu
9 cHendaklah kamu menghitung tujuh minggu yang dimulai sejak kali pertama sekali sabit menuai gandum yang belum dipotong. 10 Kemudian rayakanlah Perayaan Tujuh Minggu bagi Allah, Tuhanmu, dengan mempersembahkan korban sukarela yang harus kauberikan selaras dengan berkat yang dikurniakan kepadamu oleh Allah, Tuhanmu. 11 Bersuka rialah di hadapan Allah, Tuhanmu, di tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya, baik engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, bani Lewi yang ada di kotamu, pendatang, anak yatim, mahupun balu yang ada dalam kalangan kamu. 12 Ingatlah bahawa engkau pun dahulu hamba di Mesir. Taatilah ketetapan-ketetapan dengan teguh dan laksanakanlahnya.
Perayaan Pondok Daun
13 dHendaklah kamu merayakan perayaan Pondok Daun selama tujuh hari setelah engkau mengumpulkan hasil tempat pembantingan kamu dan tempat pemerasan anggurmu. 14 Pada hari rayamu itu bersuka rialah engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, orang Lewi, pendatang, anak yatim, serta balu yang ada di kotamu. 15 Hendaklah selama tujuh hari kamu mengadakan perayaan bagi Allah, Tuhanmu, di tempat yang akan dipilih Allah, kerana Allah, Tuhanmu, akan memberkati segala hasil tanahmu dan segala pekerjaan tanganmu. Jadi, hendaklah engkau bersuka ria dengan bersungguh-sungguh.
16 Tiga kali setahun, iaitu pada Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Tujuh Minggu, dan Perayaan Pondok Daun, hendaklah setiap lelaki dalam kalangan kamu menghadap hadirat Allah, Tuhanmu, di tempat yang akan dipilih-Nya. Jangan seorang pun menghadap hadirat Allah dengan tangan kosong. 17 Hendaklah masing-masing membawa persembahan menurut kemampuannya, selaras dengan berkat yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu.
Cara pengadilan
18 Hendaklah kamu melantik hakim dan petugas menurut suku-sukumu di kesemua kota yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu. Hendaklah mereka menghakimi bangsa itu dengan hukum yang adil. 19 eJangan putarbalikkan keadilan, jangan berat sebelah, dan jangan terima rasuah, kerana rasuah membutakan mata orang bijak serta memutarbalikkan perkara orang benar. 20 Kejarlah keadilan semata-mata, supaya engkau dapat hidup dan mewarisi negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu.
Bentuk-bentuk penyembahan yang terlarang
21 fApabila engkau membuat mazbah untuk Allah, Tuhanmu, jangan pacakkan di sisinya sesuatu kayu sebagai lambang dewi Asyera. 22 gJangan dirikan sesuatu tiang berhala bagimu, iaitu hal yang dibenci oleh Allah, Tuhanmu.
 
 
 
 
 
 
17
Persembahan haiwan cacat dilarang
1 Janganlah kamu persembahkan lembu atau domba yang ada sebarang cacat cela kepada Allah, Tuhanmu, kerana itu sesuatu yang keji bagi Allah, Tuhanmu.
Hukuman mati bagi penyembah berhala
2 Seandainya dalam kalangan kamu, didapati seorang lelaki atau perempuan yang melakukan sesuatu yang jahat dalam pandangan Allah, Tuhanmu di salah sebuah kota yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu yakni dia melanggar perjanjian-Nya 3 adengan pergi beribadat dan sujud menyembah tuhan-tuhan lain atau menyembah matahari, bulan, atau seluruh cakerawala di langit yang Kularang 4 dan kemudian hal itu diberitahukan kepadamu atau terdengar oleh kamu, dan setelah engkau menyelidikinya dengan baik ternyata hal itu benar serta terbukti bahawa hal keji itu memang dilakukan dalam kalangan orang Israel, 5 maka hendaklah lelaki atau perempuan yang telah melakukan hal yang jahat itu dibawa ke pintu gerbang dan harus kaurejam dengan batu sampai mati. 6 bHendaklah orang itu dihukum mati berdasarkan keterangan dua atau tiga orang saksi; seseorang tidak boleh dihukum mati berdasarkan keterangan seorang saksi sahaja. 7 cHendaklah tangan para saksilah yang pertama-tama sekali bergerak untuk menjalankan hukuman mati itu, kemudian barulah tangan seluruh umat. Demikianlah harus kausingkirkan orang yang jahat itu daripada kalanganmu.
Rayuan ke mahkamah lebih tinggi
8 Jika di kota-kotamu muncul persengketaan tentang perkara hukum yang terlalu sukar untuk kauputuskan, misalnya perihal bunuh-membunuh, serang-menyerang, tuntut-menuntut, atau luka-melukai, maka pergilah segera ke tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu. 9 Pergilah menghadap para imam Lewi dan hakim yang ada pada waktu itu untuk berunding serta menanyakan pendapat mereka, dan mereka akan menyatakan kepadamu keputusan hukum. 10 Turutlah keputusan hukum yang dinyatakan mereka kepadamu di tempat yang akan dipilih Allah itu dan lakukanlah dengan saksama semua yang ditunjukkan mereka kepadamu. 11 Lakukanlah tepat seperti hukum yang ditunjukkan mereka kepadamu dan seperti keputusan yang dikatakan mereka kepadamu. Jangan menyimpang daripada keputusan yang dinyatakan mereka kepadamu, baik ke kanan mahupun ke kiri. 12 Orang yang semberono dan tidak mendengar kata-kata imam yang bertugas di sana sebagai pelayan Allah, Tuhanmu, atau kata-kata hakim itu, harus dihukum mati. Demikianlah harus kausingkirkan yang jahat itu daripada kalangan orang Israel. 13 Maka seluruh umat akan mendengar hal itu dan menjadi takut, sehingga mereka tidak lagi semberono.
Hukum pelantikan raja
14 dApabila engkau sudah masuk ke negeri yang dikurniakan kepadamu oleh Allah, Tuhanmu, dan apabila engkau sudah memilikinya serta tinggal di dalamnya lalu engkau berkata, ‘Aku hendak mengangkat seorang raja atasku seperti segala bangsa yang ada di sekelilingku,’ 15 maka pastikanlah engkau mengangkat atasmu seorang raja yang dipilih Allah, Tuhanmu. Angkatlah seorang raja atasmu, daripada antara kamu, daripada kalangan saudaramu, jangan seorang asing yang bukan saudaramu. 16 eHanya, dia tidak boleh memiliki banyak kuda dan tidak boleh menyuruh bangsa ini kembali ke Mesir demi memperbanyak bilangan kudanya, kerana Allah telah berfirman kepadamu, ‘Jangan kembali melalui jalan ini lagi.’ 17 fTidak boleh dia mempunyai banyak isteri, supaya jangan hatinya menyimpang. Begitu juga dia tidak boleh mengumpulkan terlalu banyak perak dan emas bagi dirinya. 18 Apabila dia bersemayam di atas takhta kerajaannya, hendaklah dia menuliskan dirinya salinan hukum ini menurut Kitab Suci Taurat yang ada pada para imam Lewi. 19 Hendaklah salinan itu sentiasa ada padanya dan hendaklah dibacanya seumur hidupnya, supaya dia belajar bertakwa kepada Allah, Tuhannya, dengan berpegang teguh dan mengikut semua kata dalam hukum Taurat ini serta ketetapan-ketetapan ini. 20 Dengan demikian, tidaklah dia meninggikan diri terhadap para saudaranya dan tidak menyimpang daripada perintah itu, baik ke kanan mahupun ke kiri, sehingga lamalah tempoh pemerintahannya dan pemerintahan anak-anaknya dalam kalangan orang Israel.
 
 
 
 
 
 
18
Peruntukan bagi imam dan bani Lewi
1 Para imam Lewi, iaitu seluruh suku Lewi, tidak akan mendapat bahagian atau harta pusaka sebagaimana orang Israel lainnya. Mereka harus mendapat rezeki daripada korban bakaran bagi Allah, dan daripada apa yang menjadi milik-Nya. 2 aMereka tidak akan mendapat harta pusaka dalam kalangan saudara mereka kerana Allah ialah harta pusaka mereka, seperti yang dijanjikan-Nya kepada mereka.
3 Inilah yang menjadi hak para imam daripada umat, iaitu daripada orang yang mempersembahkan korban sembelihan, baik berupa lembu mahupun domba. Hendaklah mereka memberikan kepada imam bahagian bahu, kedua-dua rahang, dan perut besar. 4 Hendaklah kamu berikan kepada mereka hasil pertama daripada gandummu, anggurmu, minyakmu, serta hasil pertama guntingan bulu dombamu, 5 kerana Allah, Tuhanmu, telah memilih mereka dan keturunan mereka daripada kalangan segala sukumu untuk sentiasa bertugas menyelenggarakan ibadat demi nama Allah.
6 Jika seorang Lewi dari kotamu yang mana-mana pun di seluruh Israel tempat dia tinggal, datang berdasarkan keinginan hatinya ke tempat yang akan dipilih Allah, 7 maka dia boleh menyelenggarakan ibadat demi nama Allah, Tuhannya, seperti semua saudaranya, iaitu kalangan bani Lewi yang bertugas di sana, di hadapan Allah. 8 Hendaklah mereka mendapat bahagian rezeki yang sama, di samping apa yang diterima mereka daripada hasil penjualan harta para leluhur mereka.
Perbuatan-perbuatan keji
9 Apabila engkau masuk ke negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu, jangan belajar melakukan hal-hal keji seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa itu. 10 bJangan didapati dalam kalangan kamu orang yang mempersembahkan anak lelakinya atau anak perempuannya sebagai korban yang dibakar, atau orang yang menjadi penenung, peramal, ahli nujum, ahli sihir, 11 ctukang mantera, orang yang bertanya kepada arwah, atau orang yang meminta petunjuk daripada orang mati. 12 Sesungguhnya, setiap orang yang melakukan hal-hal itu dipandang keji oleh Allah. Kerana hal-hal keji itulah Allah, Tuhanmu, mengusir bangsa-bangsa itu dari hadapanmu. 13 dHendaklah kamu hidup tidak bercela di hadapan Allah, Tuhanmu.
Seorang nabi yang akan datang
14 Bangsa-bangsa yang akan kauusir itu mendengar nasihat para peramal dan penenung, tetapi Allah, Tuhanmu, tidak mengizinkan engkau berbuat demikian. 15 fAllah, Tuhanmu, akan membangkitkan untukmu seorang nabi sepertiku, daripada antara kamu, daripada kalangan saudaramu.e Dialah yang harus kamu dengar, 16 seperti yang telah kamu minta kepada Allah, Tuhanmu, di Horeb pada hari kamu berkumpul. Katamu, ‘Janganlah kami dengar lagi suara Allah, Tuhan kami, dan janganlah kami lihat lagi api yang besar ini, supaya jangan kami mati.’
17 Kemudian Allah berfirman kepadaku, ‘Apa yang dikatakan mereka itu baik. 18 Aku akan membangkitkan bagi mereka seorang nabi seperti engkau, daripada antara kamu, daripada kalangan saudara mereka. Aku akan memberitahukan kepadanya firman-Ku, dan dia akan menyampaikan kepada mereka semua yang Kuperintahkan kepadanya. 19 gJadi, setiap orang yang tidak mahu mendengar firman-Ku yang akan disampaikan nabi itu atas nama-Ku akan Kutuntut pertanggungjawaban. 20 Tetapi hendaklah dihukum mati seseorang nabi yang dengan semberono menyampaikan atas nama-Ku perkataan yang tidak Kusuruh sampaikan, atau yang berbicara atas nama tuhan-tuhan lain.’
21 Jika kamu bertanya dalam hatimu, ‘Bagaimanakah kami boleh mengetahui perkataan yang tidak difirmankan Allah?’ 22 Apabila seorang nabi berbicara atas nama Allah tetapi hal itu tidak terjadi dan tidak terlaksana, maka perkataan itu tidak difirmankan Allah. Nabi itu telah berbicara dengan semberono. Kamu tidak perlu takut kepadanya.
 
 
 
 
 
 
19
Hukum tentang kota-kota perlindungan
1 aApabila Allah, Tuhanmu telah melenyapkan bangsa-bangsa dan negeri mereka dikurniakan Allah, Tuhanmu kepadamu, dan engkau telah mengusir mereka serta tinggal di kota-kota mereka dan juga di rumah-rumah mereka, 2 maka khususkanlah tiga buah kota di negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu untuk diduduki itu. 3 Sediakanlah jalan-jalan dan bahagikan negeri yang diberikan Allah, Tuhanmu, sebagai harta pusakamu itu untuk menjadi tiga bahagian wilayah, supaya setiap pembunuh dapat melarikan diri ke sana. 4 Inilah peruntukan bagi pembunuh yang melarikan diri ke sana untuk menyelamatkan nyawanya. Seandainya dia membunuh sesama manusia tanpa sengaja dan tanpa membenci orang itu sebelumnya – 5 misalnya dia pergi ke hutan dengan kawannya untuk membelah kayu, dan ketika tangannya mengayunkan kapak untuk menebang pokok, mata kapak itu terlepas daripada gagangnya lalu mengenai kawannya hingga mati – maka dia boleh melarikan diri ke salah sebuah kota itu supaya dia dapat terus hidup. 6 Maksudnya supaya jangan dalam amarah orang yang menuntut bela atas hutang darah itu mengejar pembunuh itu dan dapat menyusul dia kerana jauhnya perjalanan menuju kota itu lalu menghukumnya mati, padahal orang itu tidak patut dihukum mati kerana sebelumnya dia tidak membenci kawannya. 7 Oleh sebab itu, aku memerintahkan kepadamu demikian, ‘Khususkanlah bagimu tiga buah kota.’
8 Jika Allah, Tuhanmu, telah meluaskan daerahmu seperti yang disumpah-Nya kepada nenek moyangmu dan memberikan kepadamu seluruh negeri yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyangmu 9 (asalkan engkau melakukan dengan setia segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, dengan mengasihi Allah, Tuhanmu, dan sentiasa hidup menurut jalan-Nya), maka tambahkanlah tiga buah kota selain yang tiga buah itu. 10 Dengan demikian, darah orang yang tidak bersalah tidak akan tertumpah di negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu sebagai harta pusaka sehingga darah itu ditanggungkan kepadamu.
11 Akan tetapi, jika seseorang membenci sesamanya lalu mengadangnya lalu menyerangnya, dan memukul orang itu hingga mati, kemudian melarikan diri ke salah sebuah kota itu, 12 maka hendaklah para tua-tua kotanya menyuruh orang untuk mengambil dia dari sana dan menyerahkan dia ke dalam tangan orang yang menuntut balasan darah, supaya dia dihukum mati. 13 Jangan berasa hiba kepadanya, melainkan hapuskanlah daripada Israel darah orang yang tidak bersalah supaya sejahteralah kamu.
Hal tentang batu sempadan
14 bJangan pindahkan batas harta tanah sesamamu yang sudah ditetapkan kalangan terdahulu dalam harta pusaka yang akan kaudapatkan di negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu untuk diduduki.
Hukum tentang saksi
15 cSeorang saksi sahaja tidak cukup untuk mendakwa seseorang atas kesalahan atau dosa apa-apa pun yang dilakukannya. Berdasarkan keterangan dua atau tiga orang saksi, sesuatu dakwaan akan diteguhkan. 16 Jika seorang saksi yang tidak benar mendakwa seseorang mengenai suatu pelanggaran, 17 maka hendaklah kedua-dua orang yang bersengketa itu berdiri di hadapan Allah, di depan para imam dan para hakim yang ada pada waktu itu. 18 Para hakim harus memeriksanya baik-baik. Jika ternyata saksi itu seorang saksi dusta yang memberi kesaksian palsu terhadap saudaranya, 19 maka lakukanlah kepadanya selaras dengan niatnya memperlakukan saudaranya. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada kalanganmu. 20 Dengan demikian, kalangan yang ada akan mendengar hal itu dan menjadi takut, sehingga mereka tidak lagi melakukan perkara jahat seperti itu antaramu. 21 dJangan berasa hiba terhadapnya, kerana dalam hal itu berlaku: nyawa diganti nyawa, mata diganti mata, gigi diganti gigi, tangan diganti tangan, kaki diganti kaki.
 
 
 
 
 
 
20
Peraturan tentang peperangan
1 Apabila engkau keluar berperang melawan musuh-musuhmu lalu melihat segala kuda dan kereta kuda, iaitu pasukan yang lebih besar daripada kamu, jangan takut kepada mereka kerana Allah, Tuhanmu, yang telah menuntun kamu keluar dari Tanah Mesir, menyertai kamu. 2 Pada waktu kamu semakin menghampiri peperangan itu, hendaklah seorang imam maju ke hadapan dan berbicara kepada umat, yakni pasukannya. 3 Hendaklah dia berkata kepada mereka, ‘Dengarlah, wahai orang Israel! Pada hari ini kamu akan menghadapi peperangan untuk melawan musuh-musuhmu. Jangan tawar hati, jangan takut, jangan gentar, dan jangan cemas kerana mereka 4 oleh sebab Allah, Tuhanmu, hadir menyertai kamu untuk berperang bagimu melawan musuh-musuhmu, dan memberimu kemenangan.’
5 Kemudian hendaklah para pegawai yang memimpin pasukan berkata demikian kepada pasukan itu, ‘Siapakah yang baru selesai membina rumah tetapi belum mengadakan kesyukuran atasnya? Biarlah dia pulang ke rumahnya, supaya jangan dia mati dalam peperangan lalu orang lain yang mengadakan kesyukuran atas rumahnya. 6 Siapakah yang baru menanami kebun anggur tetapi belum menikmati hasilnya? Biarlah dia pulang ke rumahnya, supaya jangan dia mati dalam peperangan lalu orang lain yang menikmati hasil kebunnya. 7 Siapakah yang telah bertunangan dengan seorang perempuan tetapi belum memperisterinya? Biarlah dia pulang ke rumahnya, supaya jangan dia mati dalam peperangan lalu orang lain yang memperisteri tunangannya.’
8 Selanjutnya, hendaklah para pegawai yang memimpin pasukan berbicara lagi kepada pasukan itu demikian, ‘Siapakah yang takut dan tawar hati? Biarlah dia pulang ke rumahnya, supaya jangan hati para saudaranya turut menjadi tawar seperti hatinya.’ 9 Setelah para pegawai yang memimpin pasukan selesai berbicara kepada pasukan itu, lantiklah para panglima perang untuk mengepalai pasukan.
10 Apabila kamu menghampiri sebuah kota untuk memeranginya, tawarkanlah perdamaian kepadanya. 11 Jika kota itu memberikan sambutan terhadap seruan damaimu dan membuka pintu gerbangnya untukmu, maka semua orang yang ada di situ akan menjadi buruh paksa dan berkhidmat untukmu. 12 Sebaliknya, jika kota itu tidak mahu berdamai denganmu malah berperang melawan kamu, maka hendaklah kamu mengepungnya. 13 Ketika Allah, Tuhanmu, menyerahkannya ke dalam tanganmu, tewaskanlah semua lelakinya dengan mata pedang. 14 Akan tetapi, para perempuan, anak, ternakan, dan segala yang ada di dalam kota itu, iaitu seluruh jarahan, boleh kaurampas untuk dirimu. Engkau boleh menikmati jarahan daripada musuh-musuhmu, yang diserahkan Allah, Tuhanmu, kepadamu. 15 Begitulah yang harus kamu lakukan kepada semua kota yang letaknya sangat jauh daripadamu, yang tidak termasuk kota bangsa-bangsa di sini.
16 Akan tetapi, daripada kota bangsa-bangsa itu yang telah dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu sebagai harta pusaka, jangan biarkan hidup apa-apa pun yang bernafas. 17 Punahkanlah sama sekali bani Het, bani Amori, bani Kanaan, bani Feris, bani Hewi, dan bani Yebus, seperti yang diperintahkan Allah, Tuhanmu, kepadamu. 18 Maksudnya ialah supaya mereka kelak tidak mengajar kamu untuk membuat segala hal keji yang dilakukan mereka bagi tuhan mereka sehingga kamu berdosa terhadap Allah, Tuhanmu.
19 Apabila engkau mengepung sesebuah kota selama beberapa hari dan kemudian memeranginya untuk merebutnya, jangan kaurosakkan pokok-pokok dengan kapak. Makanlah buahnya, tetapi jangan tebang pokok-pokok itu. Pokok-pokok di ladang bukan manusia sehingga semuanya harus turut kaukepung! 20 Tetapi pokok yang kauketahui bukan pokok yang dapat dimakan buahnya boleh kaurosakkan dan kautebang untuk mendirikan pagar pengepungan terhadap kota yang berperang melawanmu, sampai tertakluknya kota itu.
 
 
 
 
 
 
21
Pembunuh yang tidak diketahui
1 Jika seseorang didapati terbunuh di tanah yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu untuk diduduki, dan mayatnya terbaring di padang tanpa diketahui siapa yang membunuhnya, 2 maka hendaklah para tua-tuamu dan para hakimmu pergi mengukur jarak dari tempat orang yang terbunuh itu ke kota-kota yang ada di sekelilingnya. 3 Setelah didapati kota yang terdekat dengan orang yang terbunuh itu, maka hendaklah para tua-tua kota itu mengambil seekor lembu betina muda yang belum pernah dijadikan haiwan tenaga dan belum pernah dipasangkan kuk. 4 Kemudian hendaklah para tua-tua kota itu membawa lembu muda itu turun ke lembah berair yang belum pernah dibajak dan belum pernah disemai lalu di lembah itu, hendaklah mereka mematahkan batang leher lembu betina muda itu. 5 Setelah itu, hendaklah para imam bani Lewi tampil ke hadapan kerana merekalah yang dipilih Allah, Tuhanmu, untuk menyelenggarakan ibadat bagi-Nya dan untuk menyampaikan berkat atas nama Allah. Berdasarkan keputusan merekalah segala persengketaan dan segala perkelahian harus diselesaikan. 6 Kemudian hendaklah kesemua tua-tua dari kota yang terdekat dengan tempat orang yang terbunuh itu membasuh tangan mereka di atas lembu betina muda yang batang lehernya dipatahkan di lembah itu. 7 Hendaklah mereka berkata, ‘Bukan tangan kami yang menumpahkan darah ini dan mata kami pun tidak melihatnya. 8 Adakanlah pendamaian bagi umat-Mu, Israel, yang telah Kaubebaskan, ya Allah, dan janganlah tanggungkan darah orang yang tidak bersalah ke tengah-tengah umat-Mu, Israel.’ Maka mereka akan diampuni kerana darah itu. 9 Demikianlah harus kamu hapuskan darah orang yang tidak bersalah itu daripada kalanganmu, kerana dengan demikian, kamu melakukan apa yang benar dalam pandangan Allah.
Tawanan perempuan yang diambil menjadi isteri
10 Apabila kamu pergi berperang melawan musuh-musuhmu dan Allah, Tuhanmu, menyerahkan mereka ke dalam tanganmu sehingga kamu membawa mereka sebagai tawanan, 11 kemudian antara tawanan itu kamu melihat seorang perempuan yang cantik parasnya sehingga kamu terpaut kepadanya dan hendak memperisterinya, 12 maka hendaklah kamu membawanya masuk ke rumahmu lalu hendaklah dia mencukur rambut kepalanya, memotong kukunya, 13 menanggalkan pakaian yang dipakainya sewaktu ditawan, dan tinggal di rumahmu untuk meratapi ibu bapanya selama sebulan penuh. Setelah itu, barulah kamu boleh berkahwin dengannya – kamu menjadi suaminya dan dia menjadi isterimu. 14 Pada kemudian hari, jika kamu tidak menyukainya lagi, biarkanlah dia pergi sesuka hatinya. Jangan sekali-kali menjualnya demi wang, dan jangan layan dia seperti hamba, kerana kamu telah pun mengaibkannya.
Hak pewarisan anak sulung
15 Seandainya seorang lelaki mempunyai dua orang isteri, seorang dicintainya dan seorang lagi tidak dicintainya. Kedua-duanya, baik yang dicintai mahupun yang tidak dicintai itu, melahirkan anak lelaki baginya dan anak lelaki yang sulung adalah daripada isteri yang tidak dicintai. 16 Kelak, pada waktu dia membahagikan harta miliknya sebagai pusaka kepada anak-anaknya, anak daripada isteri yang dicintainya tidak boleh dijadikannya sebagai anak sulung untuk menggantikan anak sulung sebenar daripada isteri yang tidak dicintainya. 17 Hendaklah dia mengakui anak sulung itu, iaitu anak daripada isteri yang tidak dicintainya, dengan memberikan kepadanya dua bahagian daripada segala yang ada padanya. Kerana anak itu ialah permulaan keperkasaannya, maka dialah yang mempunyai hak pewarisan anak sulung.
Anak yang suka melawan
18 Jika seseorang mempunyai anak lelaki yang degil lagi suka melawan dan tidak mahu mendengar kata ayahnya atau ibunya, bahkan tidak mahu taat kepada mereka meskipun setelah dihukum, 19 maka hendaklah ayah dan ibunya membawanya untuk menghadap para tua-tua kota di pintu gerbang kota tempat tinggalnya. 20 Hendaklah mereka berkata kepada para tua-tua kota, ‘Anak kami ini degil lagi suka melawan dan dia tidak mahu mendengar kata-kata kami, apatah lagi dia rakus serta pemabuk.’ 21 Kemudian hendaklah seluruh penduduk kota itu merejamnya dengan batu sampai mati. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada antaramu. Maka semua orang Israel akan mendengar hal itu dan menjadi takut.
Pengebumian orang yang dihukum mati
22 Jika seseorang berbuat dosa dan patut dikenakan hukuman mati, kemudian dia dijatuhi hukuman mati dan kamu menggantungnya pada sebatang tiang, 23 amaka jangan biarkan mayatnya tergantung semalam-malaman pada tiang itu, tetapi kuburkanlah dia pada hari itu juga, kerana orang yang tergantung ialah orang yang dikutuk Allah. Jangan kaunajiskan tanah yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu sebagai harta pusaka.
 
 
 
 
 
 
22
Hal tentang tolong-menolong
1 aJangan berpura-pura tidak tahu apabila kamu melihat lembu atau domba saudaramu tersesat tetapi hendaklah kamu membawa haiwan itu pulang kepada saudaramu. 2 Jika saudaramu itu tidak tinggal dekat denganmu atau jika kamu tidak mengenalnya, bawalah haiwan itu ke rumahmu untuk tinggal denganmu sampai saudaramu mencarinya. Kemudian pulangkanlah haiwan itu kepadanya. 3 Perbuatlah demikian juga dengan keldainya, pakaiannya, dan segala barang milik saudaramu yang hilang yang kamu temukan. Kamu tidak boleh berpura-pura tidak tahu.
4 Apabila kamu melihat keldai atau lembu saudaramu rebah di jalan, jangan berpura-pura tidak tahu, melainkan bantulah saudaramu membangunkannya.
Pelbagai peraturan
5 Seorang perempuan tidak boleh memakai pakaian lelaki, dan seorang lelaki tidak boleh memakai pakaian perempuan. Allah, Tuhanmu, memandang keji sesiapa sahaja yang berbuat demikian.
6 Jika kamu terjumpa sarang burung dalam perjalanan, baik di atas pokok mahupun di atas tanah, dengan anak-anak burung atau telur-telur di dalamnya serta sang induk yang sedang melindungi anak-anak atau telur-telur itu, jangan kauambil sang induk bersama-sama anak-anaknya. 7 Anak-anaknya boleh kamu ambil, tetapi hendaklah sang induk kamu lepaskan, supaya baik keadaanmu dan lanjut umurmu.
8 Apabila kamu membina rumah baru, pasanglah pagar di sekeliling pinggir atapnya supaya jangan kamu tanggung hutang darah atas rumahmu jika seseorang terjatuh dari situ.
9 bJangan semai dua jenis benih di dalam kebun anggurmu supaya jangan seluruh hasil kebun anggurmu termasuk benih lain yang kautaburkan itu menjadi milik tempat suci.
10 Jangan membajak dengan lembu dan keldai bersama-sama menarik bajakmu.
11 Jangan kenakan pakaian daripada bahan campuran, iaitu bulu domba dan linen, secara bersama-sama.
12 cBuatlah untaian tali pada keempat-empat bucu pakaian yang menutupi tubuhmu.
Hukum perkahwinan
13 Seandainya seorang lelaki memperisteri seorang perempuan, tetapi setelah menghampirinya dia tidak mencintainya lagi, 14 bahkan dia melemparkan tuduhan yang memalukan terhadap perempuan itu dan membusukkan namanya dengan berkata, ‘Aku telah memperisteri perempuan ini, tetapi setelah aku menghampirinya tidak kudapati tanda-tanda keperawanan padanya.’
15 Maka ayah gadis itu berserta ibunya harus mengambil tanda-tanda keperawanan gadis itu dan membawanya kepada para tua-tua kota di pintu gerbang. 16 Hendaklah ayah gadis itu berkata kepada para tua-tua, ‘Aku telah memberikan anakku kepada lelaki ini untuk menjadi isterinya, tetapi kemudian dia tidak mencintainya lagi. 17 Bahkan dia melemparkan tuduhan yang memalukan dengan berkata, “Aku tidak mendapati tanda-tanda keperawanan pada anakmu.” Inilah tanda-tanda keperawanan anakku.’ Kemudian mereka harus membentangkan pakaian itu di hadapan para tua-tua kota. 18 Selanjutnya, hendaklah para tua-tua kota itu mengambil lelaki itu dan menghukumnya 19 serta mendendanya seratus syikal perak untuk diberikan kepada ayah si gadis, kerana dia telah mengaibkan nama seorang perawan Israel. Hendaklah perempuan itu terus menjadi isterinya, dan dia tidak boleh mengusir perempuan itu seumur hidupnya.
20 Akan tetapi, jika hal itu benar, iaitu tidak didapati tanda-tanda keperawanan pada si gadis, 21 maka hendaklah gadis itu dibawa ke luar, ke depan pintu rumah ayahnya. Kemudian orang lelaki kota itu harus merejam dia sampai mati, kerana ia telah melakukan hal yang keji di Israel dengan bersundal di rumah ayahnya. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada kalanganmu.
22 Jika seorang lelaki didapati meniduri seorang perempuan yang sudah bersuami, maka hendaklah kedua-dua mereka dihukum mati, baik lelaki yang meniduri perempuan itu mahupun perempuan itu sendiri. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada kalangan orang Israel.
23 Jika ada seorang gadis perawan yang sudah bertunangan dengan seorang lelaki bertemu dengan lelaki lain di kota itu lalu tidur dengannya, 24 maka hendaklah kamu membawa kedua-duanya keluar ke pintu gerbang kota itu. Rejamlah mereka sampai mati – si gadis, kerana dia tidak berteriak meskipun di dalam kota, dan si lelaki, kerana dia mencabuli isteri sesamanya. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada kalanganmu.
25 Akan tetapi, jika lelaki itu bertemu dengan gadis yang sudah bertunangan itu di padang, lalu lelaki itu memaksa serta meniduri gadis itu, maka hendaklah lelaki yang meniduri gadis itu sahaja yang dihukum mati. 26 Jangan lakukan apa-apa terhadap si gadis, kerana gadis itu tidak melakukan dosa yang setimpal dengan hukuman mati. Perkara ini sama halnya dengan seorang yang bangkit menyerang orang lain dan membunuhnya, 27 kerana lelaki itu bertemu dengan gadis itu di padang, dan sekalipun gadis yang sudah bertunangan itu berteriak, tidak ada seorang pun yang menolongnya.
28 dJika seorang lelaki bertemu dengan seorang gadis perawan yang belum bertunangan, lalu dia menangkapnya dan menidurinya, tetapi kemudian mereka tertangkap berseketiduran, 29 maka hendaklah lelaki yang meniduri gadis itu memberikan lima puluh syikal perak kepada ayah gadis itu, dan hendaklah gadis itu dijadikannya isterinya kerana dia telah memperkosanya dan dia tidak boleh mengusir perempuan itu seumur hidupnya.
30 eSeorang lelaki tidak boleh memperisteri isteri ayahnya dan tidak boleh mengaibkan ayahnya.
 
 
 
 
 
 
23
Orang yang tidak boleh masuk menjadi jemaah Allah
1 Orang yang rosak buah pelirnya atau terpotong kemaluannya tidak boleh masuk dalam jemaah Allah.
2 Seorang anak haram tidak boleh masuk dalam jemaah Allah, bahkan zuriatnya sampai keturunan kesepuluh pun tidak boleh masuk dalam jemaah Allah.
3 aTiada bani Amon atau bani Moab yang boleh masuk dalam jemaah Allah, bahkan zuriat mereka sampai keturunan kesepuluh pun tidak boleh masuk dalam jemaah Allah untuk selama-lamanya, 4 bkerana mereka tidak menyambut kamu dengan roti dan air minum dalam perjalananmu setelah kamu keluar dari Mesir. Bahkan mereka mengupah Bileam bin Beor dari Petor di Aram-Mesopotamia untuk mengutuk kamu. 5 cTetapi Allah, Tuhanmu, tidak mahu mendengar Bileam. Allah, Tuhanmu, mengubah kutukan itu untuk menjadi berkat bagimu kerana Allah, Tuhanmu, mengasihi kamu. 6 Seumur hidupmu, bahkan untuk selama-lamanya, jangan usahakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka.
7 Jangan kamu pandang keji orang Edom kerana mereka ialah saudaramu, dan jangan kamu pandang keji orang Mesir kerana kamu pernah menjadi pendatang di negeri mereka. 8 Anak-anak yang lahir bagi mereka daripada keturunan ketiga boleh masuk dalam jemaah Allah.
Kesucian dalam hal kebersihan diri
9 Apabila kamu mara dengan pasukanmu untuk melawan musuh-musuhmu, jagalah dirimu daripada segala hal yang jahat. 10 Jika seorang lelaki di antaramu menjadi najis disebabkan oleh sesuatu yang terjadi pada malam hari, maka hendaklah dia pergi ke luar perkhemahan dan tidak boleh dia masuk ke dalam perkhemahan itu. 11 Menjelang maghrib hendaklah dia membasuh dirinya dengan air lalu dengan terbenamnya matahari, barulah dia boleh masuk kembali ke dalam perkhemahan.
12 Hendaklah kamu mempunyai suatu tempat di luar perkhemahan yang dapat kamu pergi, 13 dan hendaklah ada alat penggali antara segala peralatan kamu. Setelah kamu bercangkung membuang hajat, hendaklah kamu menggali lubang dengan alat itu lalu menutupi najis kamu pula. 14 Sebabnya Allah, Tuhanmu, hadir menyertai kamu di tengah-tengah perkhemahanmu untuk menolongmu dan menyerahkan musuh-musuhmu kepadamu. Oleh itu, perkhemahanmu hendaklah suci supaya jangan Dia melihat hal yang tidak bersih di antaramu lalu berpaling daripada kamu.
Menolong hamba yang melarikan diri
15 Janganlah kamu serahkan kepada tuannya seorang hamba yang lari kepadamu daripada tuannya. 16 Biarkanlah dia tinggal bersama-samamu, di tengah-tengahmu, iaitu di tempat yang dipilih dan disukainya di salah sebuah kotamu. Jangan engkau menindas dia.
Menentang pelacuran di tempat suci
17 dJangan ada seorang pun yang menjadi pelacur di tempat suci, baik antara anak perempuan Israel mahupun antara anak lelaki Israel. 18 Jangan bawa masuk upah pelacur atau upah perbuatan pelacur lelaki ke dalam bait Allah, Tuhanmu, untuk membayar nazar apa-apa pun, kerana kedua-duanya itu kekejian bagi Allah, Tuhanmu.
Larangan memungut faedah daripada saudara sebangsa
19 eJangan kenakan faedah atas pinjaman kepada saudaramu, baik berbentuk wang, makanan, mahupun segala sesuatu yang menjadi faedah. 20 Kamu boleh mengenakan faedah atas pinjaman kepada orang asing, tetapi kamu tidak boleh mengenakan faedah kepada saudaramu. Dengan demikian, Allah, Tuhanmu, akan memberkati kamu dalam segala usahamu di negeri yang akan kaumasuki untuk diduduki.
Hal tentang nazar
21 fApabila kamu bernazar kepada Allah, Tuhanmu, janganlah menunda-nunda untuk menunaikannya kerana Allah, Tuhanmu, pasti menuntutnya daripada kamu, dan kamu berdosa jika tidak menunaikannya. 22 Padahal kamu tidak berdosa jika kamu tidak bernazar. 23 Apa yang kauucapkan sebagai janji harus kaulaksanakan, seperti juga nazar yang kauucapkan secara sukarela dengan mulutmu sendiri kepada Allah, Tuhanmu.
Menghormati harta benda orang lain
24 Apabila kamu memasuki kebun anggur jiranmu, kamu boleh makan buah anggur sesuka hatimu sampai kenyang, tetapi jangan kamu masukkan satu pun ke dalam uncangmu. 25 Apabila kamu memasuki ladang gandum jiranmu yang belum dituai, kamu boleh memetik bulir-bulirnya dengan tanganmu, tetapi janganlah potong gandum itu dengan sabit.
 
 
 
 
 
 
24
Hukum tentang perceraian
1 aSeandainya seorang lelaki meminang seorang perempuan dan memperisterinya, tetapi kemudian dia tidak menyukai perempuan itu lagi setelah mendapati ada sesuatu aib padanya, maka dia boleh menulis serta menyerahkan surat cerai kepada perempuan itu dan menyuruh dia pergi dari rumahnya. 2 Setelah perempuan itu keluar dari rumahnya dan pergi dari sana, dia boleh menjadi isteri orang lain. 3 Tetapi jika suaminya yang kedua itu juga tidak menyukainya lalu menulis dan menyerahkan surat talak kepada perempuan itu serta menyuruh dia pergi dari rumahnya; atau sekiranya suaminya yang terakhir itu meninggal, 4 maka suaminya yang pertama, yang dahulu telah menyuruhnya pergi, tidak boleh mengambilnya kembali untuk menjadi isteri setelah perempuan itu ternajis, kerana hal itu keji di hadapan Allah. Janganlah kamu datangkan dosa atas negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu sebagai harta pusaka.
5 Apabila seorang lelaki baru menikahi seorang perempuan, dia tidak boleh pergi berperang dan tidak boleh dibebani urusan apa-apa pun. Hendaklah dia diberi kelepasan selama setahun untuk mengurus rumah tangganya dan menyenangkan hati isterinya itu.
Berbagai-bagai peraturan
6 Janganlah sesiapa pun mengambil tempat mengisar atau batu kisar sebagai gadaian, kerana itu bererti bahawa dia mengambil penyambung hidup sebagai gadaian.
7 bJika didapati bahawa seseorang menculik seorang saudaranya daripada orang Israel, lalu menjadikannya sebagai hamba atau menjualnya, maka hendaklah penculik itu dihukum mati. Demikianlah hendaknya kamu menyingkirkan yang jahat daripada kalanganmu.
8 cBerwaspadalah sekiranya munculnya penyakit kusta. Maka berhati-hatilah melakukan segala yang diajarkan kepadamu oleh para imam Lewi. Seperti yang kuperintahkan kepada mereka, demikianlah yang perlu kamu lakukan dengan cermat. 9 dIngatlah apa yang dilakukan Allah, Tuhanmu, kepada Miryam dalam perjalananmu setelah keluar dari Mesir.
10 eApabila kamu meminjamkan sesuatu kepada sesamamu, jangan masuk ke dalam rumahnya untuk mengambil jaminannya. 11 Berdirilah di luar dan biarlah orang yang kamu beri pinjaman itu membawa jaminannya kepadamu di luar. 12 Jika dia seorang miskin, jangan sampai waktu tidur kamu tahan jaminannya itu. 13 Hendaklah kamu kembalikan jaminan itu kepadanya pada waktu matahari terbenam, supaya dia dapat tidur dengan memakai pakaiannya sendiri dan memohonkan berkat bagimu. Dengan demikian, kamu dipandang benar di hadapan Allah, Tuhanmu.
14 fJangan tindas orang upahan yang miskin dan melarat, baik saudaramu mahupun pendatang yang ada di negerimu, di dalam kotamu. 15 Berikanlah upahnya sebelum matahari terbenam setiap hari, kerana dia miskin; hidupnya bergantung pada upah itu. Jangan sampai dia berseru kepada Allah mengenai kamu, dan hal itu menjadi dosa bagimu.
16 gSeorang ayah tidak boleh dihukum mati kerana anaknya, dan anak tidak boleh dihukum mati kerana ayahnya. Hendaklah setiap orang dihukum mati atas dosanya sendiri sahaja.
17 hJangan putarbalikkan keadilan kaum pendatang atau anak yatim. Jangan ambil pakaian seorang balu sebagai gadaian. 18 Ingatlah bahawa dahulunya kamu juga hamba di Mesir, lalu Allah, Tuhanmu, membebaskan kamu dari sana. Itulah sebabnya aku memerintahkan kamu melakukan hal ini.
19 iSetelah kamu menuai hasil tanahmu lalu ternyata tertinggal seberkas di ladangmu, jangan kembali untuk mengambilnya. Itulah bahagian para pendatang, anak yatim, dan balu. Dengan demikian, Allah, Tuhanmu, akan memberkati kamu dalam segala pekerjaan tanganmu. 20 Setelah kamu menjolok buah pokok zaitunmu, jangan kauperiksa dahan-dahannya sekali lagi. Itulah bahagian para pendatang, anak yatim, dan balu. 21 Demikian pula setelah kamu memetik hasil kebun anggurmu, jangan kamu balik untuk memetik sekali lagi. Itulah bahagian para pendatang, anak yatim, dan balu. 22 Ingatlah bahawa dahulunya kamu juga hamba di Tanah Mesir. Itulah sebabnya aku memerintahkan kamu melakukan hal ini.
 
 
 
 
 
 
25
Menentang kekerasan yang sewenang-wenang
1 Seandainya timbul persengketaan antara beberapa orang, lalu mereka pergi ke muka pengadilan dan diadili lalu seorang didapati tidak bersalah dan seorang lagi dihukum kesalahannya. 2 Jika kemudian orang yang bersalah itu patut disebat, maka hakim harus menyuruh dia meniarap dan menyuruh seseorang untuk menyebat si pesalah itu di hadapan hakim dengan jumlah sebatan yang setimpal dengan kadar kesalahannya, 3 anamun tidak lebih daripada empat puluh kali. Jika dia disebat lebih daripada jumlah tersebut, maka itu bererti bahawa saudaramu dihina di hadapan matamu.
4 bJangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik bijian.
Kewajipan mengahwini isteri arwah saudaramu
5 cJika orang yang bersaudara tinggal bersama-sama, lalu seorang daripada mereka meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, maka janganlah balu orang yang meninggal itu berkahwin lagi dengan orang di luar keluarganya. Iparnya harus datang kepadanya, meminangnya untuk menjadi isterinya, dan memenuhi kewajipan perkahwinan ipar terhadapnya. 6 Anak sulung yang dilahirkan perempuan itu akan menjadi penegak nama saudara yang meninggal itu, supaya namanya tidak terhapus daripada kalangan Israel. 7 dJika orang itu tidak mahu menikahi balu saudaranya, maka hendaklah balu itu pergi ke pintu gerbang menghadap para tua-tua serta berkata, ‘Iparku enggan menegakkan nama saudaranya dalam kalangan orang Israel. Dia tidak mahu memenuhi kewajipan perkahwinan ipar terhadap aku.’ 8 Setelah itu, para tua-tua kota harus memanggil orang itu dan berbicara kepadanya. Jika dia tetap pada pendiriannya dan berkata, ‘Aku tidak mahu memperisterinya,’ 9 maka hendaklah balu saudaranya itu mendekati orang itu di hadapan mata para tua-tua itu lalu menanggalkan kasut daripada kakinya dan meludahi mukanya sambil berkata, ‘Beginilah orang yang tidak mahu membina keluarga saudaranya akan diperlakukan.’ 10 Maka di Israel nama keluarganya akan disebut: Keluarga yang kasutnya ditanggalkan.
Larangan bersikap biadab
11 Jika dua orang sedang berkelahi satu sama lain lalu isteri salah seorang datang untuk menolong suaminya daripada orang yang memukulnya, dan dia menghulurkan tangannya lalu mencengkeram kemaluan orang itu, 12 maka hendaklah kamu memotong tangan perempuan itu dan jangan berasa hiba terhadapnya.
Timbang sukat yang benar
13 eJangan ada batu timbangan yang berlainan, iaitu yang besar dan yang kecil di dalam kantungmu. 14 Di dalam rumahmu jangan ada penyukat yang berlainan, iaitu yang besar dan yang kecil. 15 Sebaliknya, hendaklah kamu memiliki batu timbangan yang tepat dan benar, juga penyukat yang tepat dan benar, supaya lanjut umurmu di tanah yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu. 16 Allah, Tuhanmu, memandang keji semua orang yang berbuat demikian, iaitu semua orang yang melakukan kecurangan.
Perintah untuk menghapuskan orang Amalek
17 fIngatlah apa yang dilakukan orang Amalek terhadap kamu dalam perjalananmu setelah kamu keluar dari Mesir. 18 Ketika kamu lelah dan penat, mereka mendatangimu di jalan dan menyerang barisan belakangmu, iaitu semua orang lemah yang ketinggalan di belakang kamu. Mereka tidak takut kepada Allah. 19 Jadi, apabila Allah, Tuhanmu, telah mengurniakan keamanan kepadamu daripada semua musuh di sekelilingmu di negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu sebagai harta pusaka untuk diduduki, hendaklah kamu hapuskan ingatan kepada orang Amalek dari kolong langit. Jangan lupa!
 
 
 
 
 
 
26
Persembahan hasil pertama
1 Kelak apabila engkau telah masuk ke negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu sebagai harta pusaka, dan engkau telah memilikinya serta tinggal di dalamnya, 2 ahendaklah kamu mengambil sebahagian hasil pertama daripada segala hasil tanahmu yang kamu kumpulkan daripada negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu. Letaklah semua itu di dalam bakul lalu pergilah ke tempat yang akan dipilih Allah, Tuhanmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. 3 Datanglah kepada imam yang ada pada waktu itu dan katakanlah kepadanya, ‘Pada hari ini aku menyatakan di hadapan Allah, Tuhanmu, bahawa aku telah memasuki negeri yang telah disumpahkan Allah untuk memberi nenek moyang kita.’
4 Maka hendaklah imam mengambil bakul itu daripada tanganmu dan meletakkannya di depan mazbah Allah, Tuhanmu. 5 Kemudian hendaklah kamu berkata di hadapan Allah, Tuhanmu, ‘Nenek moyangku seorang Aram, seorang pengembara. Dia pergi ke Mesir dan tinggal di sana sebagai pendatang dengan jumlah beberapa orang sahaja, tetapi di sana dia menjadi sebuah bangsa yang besar, kuat, dan ramai jumlah mereka. 6 Kemudian orang Mesir menyeksa dan menindas kami, serta mengerah kami untuk melakukan pekerjaan yang berat-berat. 7 Kami pun berseru kepada Allah, Tuhan nenek moyang kami. Allah mendengar suara kami dan melihat penderitaan serta kesengsaraan kami dan penindasan terhadap kami. 8 Kemudian Allah membawa kami keluar dari Mesir dengan tangan yang perkasa dan kuasa yang nyata, dengan kehebatan yang besar, dan dengan pelbagai tanda ajaib serta mukjizat. 9 Dia membawa kami ke tempat ini dan memberi kami negeri ini, sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu. 10 Sekarang lihatlah, aku membawa hasil pertama dari tanah yang telah Kaukurniakan kepadaku, ya Allah.’
Sesudah itu, letakkanlah semua itu di hadapan Allah, Tuhanmu, dan sujudlah menyembah di hadapan Allah, Tuhanmu. 11 Kemudian bersuka rialah kamu, bani Lewi, serta kaum pendatang yang ada dalam kalanganmu kerana segala kebaikan yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu dan kepada keluargamu.
Persembahan sepersepuluh
12 bSetelah kamu selesai membayar segala persembahan sepersepuluh daripada hasil tanahmu pada tahun ketiga, iaitu tahun pembayaran persembahan sepersepuluh, maka berikanlah persembahan itu kepada bani Lewi, kaum pendatang, para anak yatim, dan balu supaya mereka dapat makan di kotamu sampai kenyang. 13 Sesudah itu, katakanlah di hadapan Allah, Tuhanmu, ‘Aku telah mengeluarkan persembahan suci itu dari rumahku dan memberikannya kepada bani Lewi, kaum pendatang, para anak yatim, dan balu, selaras dengan segala perintah yang Kauberikan kepadaku. Aku tidak melanggar atau melupakan apa-apa pun daripada perintah-Mu. 14 Daripada persembahan itu tidak sesuatu pun kumakan ketika aku berkabung, tidak sesuatu pun kukeluarkan ketika aku dalam keadaan najis, dan tidak sesuatu pun kupersembahkan kepada orang mati. Sebaliknya, aku mematuhi Allah, Tuhanku, dan melakukan segala yang Engkau perintahkan kepadaku. 15 Lihatlah dari kediaman-Mu yang suci, dari syurga, dan berkatilah umat-Mu Israel serta tanah yang Engkau berikan kepada kami, seperti yang telah Engkau sumpah kepada nenek moyang kami – sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu.’
Kata penutup tentang pemberitahuan hukum Taurat
16 Pada hari ini Allah, Tuhanmu, memerintahkan kamu untuk melakukan ketetapan dan peraturan ini. Maka peganglah semuanya dengan teguh dan lakukannya dengan sepenuh hatimu serta dengan sepenuh jiwamu. 17 Pada hari ini kamu telah menyatakan bahawa Allah ialah Tuhanmu, dan bahawa kamu akan hidup menurut jalan-Nya, akan berpegang teguh pada ketetapan-Nya, perintah-Nya, dan peraturan-Nya, serta akan mematuhi-Nya. 18 cPada hari ini juga Allah menyatakan bahawa engkau ialah umat kesayangan-Nya sendiri, seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu, dan bahawa engkau harus berpegang teguh pada segala perintah-Nya. 19 Dia akan meninggikan kamu di atas segala bangsa yang telah dijadikan-Nya agar kamu menjadi terpuji, ternama, serta terhormat. Kamu juga akan menjadi umat yang suci bagi Allah, Tuhanmu, seperti yang dijanjikan-Nya.”
 
 
 
 
 
 
27
Batu peringatan dan mazbah di Gunung Ebal
1 Musa dan para tua-tua Israel memberikan perintah kepada bangsa itu demikian, “Peganglah dengan teguh segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. 2 aPada hari kamu menyeberangi Sungai Yordan untuk menuju negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu, dirikanlah beberapa batu besar lalu tempelkan lepa pada batu-batu itu. 3 Setelah kamu menyeberang, tulislah pada batu-batu itu semua kata dalam hukum Taurat ini supaya kamu dapat masuk ke negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu, iaitu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu seperti yang dijanjikan Allah, Tuhan nenek moyangmu, kepadamu. 4 Setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan, batu-batu itu – seperti yang kuperintahkan kepadamu pada hari ini – hendaklah kamu dirikan di Gunung Ebal dan tempelkan lepa pada batu-batu itu. 5 bDi sana, hendaklah kamu bangunkan sebuah mazbah yang terbuat daripada batu bagi Allah, Tuhanmu. Jangan kamu gunakan sebarang perkakas besi pada mazbah itu. 6 Hendaklah mazbah bagi Allah, Tuhanmu, itu dibangunkan daripada batu yang belum dipahat, dan hendaklah di atasnya kaupersembahkan korban-korban bakaran kepada Allah, Tuhanmu. 7 Persembahkanlah korban-korban kedamaian juga, lalu makanlah semua itu di sana dan bersuka rialah di hadapan Allah, Tuhanmu. 8 Tulislah pada batu-batu itu semua kata dalam hukum Taurat ini sejelas-jelasnya.”
Kutukan dari Gunung Ebal
9 Kemudian Musa dan para imam Lewi berbicara kepada semua orang Israel, “Diamlah dan dengarlah, wahai orang Israel! Pada hari ini kamu telah menjadi umat Allah, Tuhanmu. 10 Oleh sebab itu, patuhilah Allah, Tuhanmu, dan lakukanlah segala perintah-Nya serta segala ketetapan-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini.”
11 Pada hari itu juga Musa memberikan perintah kepada bangsa itu, 12 c“Sesudah kamu menyeberangi Sungai Yordan, hendaklah suku-suku ini berdiri di Gunung Gerizim untuk memberkati umat itu: suku Simeon, Lewi, Yudah, Isakhar, Yusuf, dan Benyamin. 13 Dan hendaklah suku-suku ini berdiri di Gunung Ebal untuk menyampaikan kutukan: suku Ruben, Gad, Asyer, Zebulon, Dan, serta Naftali. 14 Kemudian hendaklah bani Lewi berkata kepada semua orang Israel dengan suara nyaring:
15 d‘Terlaknatlah orang yang membuat patung ukiran atau patung tuangan daripada logam – suatu kekejian bagi Allah, buatan tangan seorang tukang – dan yang mendirikannya secara sembunyi-sembunyi.’
Lalu seluruh bangsa itu harus menjawab, ‘Amin!’
16 e‘Terlaknatlah orang yang mengaibkan ayah dan ibunya.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
17 f‘Terlaknatlah orang yang memindahkan tanda sempadan tanah sesamanya.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
18 g‘Terlaknatlah orang yang menyesatkan orang buta di jalan.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
19 h‘Terlaknatlah orang yang memutarbalikkan keadilan kaum pendatang, anak yatim, dan balu.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
20 i‘Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan isteri ayahnya kerana dia telah mengaibkan ayahnya.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
21 j‘Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan apa-apa pun jenis haiwan.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
22 k‘Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan saudara perempuannya, iaitu anak ayahnya atau anak ibunya.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
23 l‘Terlaknatlah orang yang bersetubuh dengan ibu mentuanya.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
24 ‘Terlaknatlah orang yang membunuh sesamanya dengan sembunyi-sembunyi.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
25 ‘Terlaknatlah orang yang menerima rasuah untuk membunuh orang yang tidak bersalah.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
26 m‘Terlaknatlah orang yang tidak menegakkan perkataan hukum Taurat ini dengan melaksanakannya.’
Lalu seluruh bangsa itu harus berkata, ‘Amin!’
 
 
 
 
 
 
28
Berkat kerana ketaatan
1 aJika secara ikhlas engkau bersungguh-sungguh mematuhi Allah, Tuhanmu, dan melakukan dengan setia segala perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, maka Allah, Tuhanmu, akan meninggikan engkau demi mengatasi segala bangsa di bumi. 2 Segala berkat ini akan datang atasmu dan sampai kepadamu, jika engkau mematuhi Allah, Tuhanmu:
3 Diberkatilah engkau di kota dan diberkatilah engkau di ladang.
4 Diberkatilah buah kandunganmu, hasil tanahmu, dan hasil ternakanmu, iaitu anak lembumu dan kawanan dombamu.
5 Diberkatilah bakulmu dan tempat adunanmu.
6 Diberkatilah engkau ketika engkau masuk dan diberkatilah engkau ketika engkau keluar.
7 Allah akan menyebabkan musuhmu yang menyerang kamu tumpas di hadapanmu. Mereka akan datang melalui satu jalan untuk menggempur kamu, tetapi akan lari dari hadapanmu melalui tujuh jalan.
8 Allah akan memerintahkan berkat-Nya turun ke atas bangsal-bangsal di ladangmu dan atas segala usaha kamu. Dia akan memberkati engkau di negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu.
9 Allah akan meneguhkan kamu sebagai umat-Nya yang suci, seperti yang disumpah-Nya kepadamu, asalkan kamu mentaati segala perintah Allah, Tuhanmu, dan hidup menurut jalan-Nya. 10 Segala bangsa di bumi akan melihat bahawa nama Allah disebut olehmu, dan mereka akan takut kepadamu. 11 Allah akan membuat kamu berkelimpahan dalam kebaikan, dalam buah kandunganmu, hasil ternakanmu, dan hasil bumimu di tanah yang Allah sumpah untuk diberikan kepada nenek moyangmu. 12 Allah akan membuka bagimu perbendaharaan-Nya yang baik, iaitu langit, untuk menurunkan hujan ke atas tanahmu pada musimnya dan untuk memberkati segala pekerjaan tanganmu. Engkau akan memberikan pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi engkau sendiri tidak akan meminjam. 13 Allah akan membuat engkau untuk menjadi kepala, bukan ekor. Engkau akan berada di atas dan bukan di bawah, asalkan engkau mematuhi segala perintah Allah, Tuhanmu, yang kusampaikan kepadamu pada hari ini untuk kaulakukan dengan setia, 14 dan tidak menyimpang ke kanan atau ke kiri daripada segala hal yang kusampaikan kepadamu pada hari ini dengan mengikuti tuhan-tuhan lain serta beribadat menyembah mereka.
Kutukan kerana keingkaran
15 Akan tetapi, jika kamu tidak mahu mematuhi Allah, Tuhanmu, untuk melakukan dengan setia segala perintah-Nya dan ketetapan-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, maka segala kutukan ini mendatangimu dan sampai kepadamu:
16 Terlaknatlah kamu di kota dan terlaknatlah kamu di ladang.
17 Terlaknatlah bakulmu dan tempat adunanmu.
18 Terlaknatlah buah kandunganmu, hasil tanahmu, anak lembumu, dan kawanan dombamu.
19 Terlaknatlah kamu ketika kamu masuk dan terlaknatlah kamu ketika kamu keluar.
20 Allah akan mengirimkan kepadamu kutukan, kekacauan, dan herdikan dalam segala usaha yang kamu lakukan, hingga dengan segera kamu punah dan binasa akibat kemungkaran yang kamu lakukan, kerana kamu telah meninggalkan Aku. 21 Allah akan melekatkan wabak penyakit kepadamu hingga kamu habis dari tanah yang akan kamu masuki untuk diduduki. 22 Allah akan mengazab kamu dengan batuk kering, demam, radang, panas yang menyengat, kemarau, kelayuan tanaman, dan penyakit bijirin. Semua itu akan mengejar kamu hingga kamu binasa. 23 Langit di atas kepalamu akan menjadi gangsa dan bumi di bawahmu akan menjadi besi. 24 Hujan di negerimu akan dibuat Allah untuk menjadi debu, dan abulah yang akan turun dari langit ke atasmu hingga kamu binasa. 25 Allah akan menyebabkan kamu tumpas di hadapan musuh-musuhmu. Kamu akan mara melalui satu jalan untuk menyerang mereka, tetapi akan lari melalui tujuh jalan dari hadapan mereka. Kamu akan menjadi suatu kengerian bagi segala kerajaan di bumi. 26 Mayatmu akan menjadi makanan segala burung di udara serta binatang di bumi, dan tiada seorang pun akan mengusir haiwan itu. 27 Allah akan mengazab kamu dengan bisul Mesir, borok, kudis, dan kurap yang tidak dapat disembuhkan. 28 Allah pun akan mengazab kamu dengan ketidaksiuman, kebutaan, dan kekacauan fikiran. 29 Kamu akan meraba-raba pada tengah hari, seperti orang buta yang meraba-raba dalam kegelapan. Perjalananmu tidak akan berhasil. Sebaliknya, kamu akan selalu diperas dan dirampas orang tanpa ada yang menolong.
30 Kamu akan bertunangan dengan seorang perempuan, tetapi orang lain akan menidurinya. Kamu akan membina rumah, tetapi tidak akan tinggal di dalamnya. Kamu akan menanami kebun anggur, tetapi tidak akan menikmati hasilnya. 31 Lembumu akan dibantai orang di hadapan matamu, tetapi kamu tidak akan memakan dagingnya. Keldaimu akan dirampas dari hadapanmu dan tidak akan dikembalikan kepadamu. Dombamu akan diserahkan kepada musuh-musuhmu, dan tiada seorang pun akan menolong kamu. 32 Anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan akan diserahkan kepada bangsa lain. Matamu menyaksikannya dan menjadi sayu kerana merindukan mereka sepanjang hari, namun kamu tidak berdaya. 33 Hasil tanahmu dan segala jerih lelahmu akan dibaham oleh bangsa yang tidak kamu kenal, dan kamu akan selalu diperas serta ditindas. 34 Kamu akan menjadi gila kerana apa yang kamu lihat. 35 Allah akan mengazab kamu dengan bisul parah yang tidak dapat disembuhkan pada lutut dan pahamu, juga dari telapak kakimu sampai ke ubun-ubunmu.
36 Allah akan membawa kamu serta rajamu yang kamu lantik kepada suatu bangsa yang tidak dikenal baik kamu mahupun nenek moyangmu. Di sana kamu akan menyembah tuhan-tuhan lain yang terbuat daripada kayu dan batu. 37 Kamu akan menjadi suatu kengerian, ibarat, dan sindiran dalam kalangan segala bangsa tempat Allah menggiring kamu.
38 Banyak benih yang akan kamu bawa ke ladang, tetapi sedikit sahaja hasil yang akan kamu kumpulkan, kerana belalang akan melahapnya. 39 Kamu akan menanami kebun-kebun anggur dan menggarapnya namun tidak akan meminum air anggurnya dan tidak akan mengumpulkan hasilnya, kerana ulat-ulat akan melahapnya. 40 Pokok-pokok zaitun akan ada di seluruh daerahmu, tetapi kamu tidak akan mengurapi dirimu dengan minyaknya, kerana buah-buah zaitunmu akan gugur. 41 Kamu akan mempunyai anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, tetapi mereka tidak akan menjadi milikmu, kerana mereka akan pergi sebagai tawanan. 42 Segala pokok yang kamu tanam dan hasil tanahmu akan dimakan habis oleh kawanan belalang.
43 Kaum pendatang yang ada antaramu akan bangkit menjadi semakin tinggi mengatasi kamu. Akan tetapi, kamu akan menjadi semakin rendah. 44 Mereka akan memberikan pinjaman kepadamu, tetapi kamu tidak akan memberikan pinjaman kepada mereka. Mereka akan menjadi kepala, sedangkan kamu akan menjadi ekor.
45 Demikianlah segala laknat itu akan datang ke atasmu, mengejar kamu, dan sampai kepadamu hingga kamu punah, kerana kamu tidak mahu mematuhi Allah, Tuhanmu, dan tidak berpegang teguh pada segala perintah serta ketetapan-Nya yang disampaikan-Nya kepadamu. 46 Semua itu akan menjadi tanda ajaib dan mukjizat bagimu dan bagi keturunanmu untuk selama-lamanya.
Kutukan berupa pengepungan tentera
47 Oleh sebab kamu tidak beribadat kepada Allah, Tuhanmu, dengan gembira dan dengan hati yang riang atas segala kelimpahan yang ada 48 maka kamu akan menjadi hamba musuh-musuhmu, yang dikerahkan Allah untuk melawan kamu, dalam keadaan lapar, haus, telanjang, serta kekurangan segala sesuatu. Mereka akan memasang kuk besi pada tengkuk kamu hingga mereka memunahkan kamu. 49 Allah akan mendatangkan kepadamu sebuah bangsa dari jauh, dari hujung bumi, yang terbang melayah turun seperti rajawali – bangsa yang tidak kamu mengerti bahasa mereka, 50 bangsa yang garang muka, yang tidak mengendahkan orang tua dan juga tidak mengasihani kalangan muda. 51 Mereka akan melahap hasil ternakanmu dan hasil tanahmu hingga kamu punah. Mereka pun tidak akan meninggalkan sisa bagimu daripada gandum, anggur, atau minyak, juga anak lembumu dan kawanan dombamu, hingga kamu dibinasakan mereka. 52 Mereka akan mengepung kamu di segala kotamu, hingga runtuh tembok-tembok kebal yang tinggi dan berkubu yang kamu percayai di seluruh negerimu itu. Kamu akan dikepung di segala kotamu, di seluruh negeri yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu.
53 Dalam saat kesesakan sewaktu dikepung oleh musuhmu itu, kamu akan memakan buah kandunganmu sendiri, iaitu daging anak-anakmu, baik lelaki mahupun perempuan, yang dikurniakan Allah, Tuhanmu, kepadamu. 54 Lelaki yang paling lembut dan halus antaramu akan tidak mengasihani saudaranya, isterinya sendiri, dan anak-anaknya yang masih tinggal dengannya. 55 Dia tidak akan memberikan sedikit pun daging anak-anaknya yang sedang dimakannya kepada seorang daripada mereka, kerana tidak ada sisa apa-apa lagi padanya dalam kesesakan saat musuh mengepung kamu di segala kotamu. 56 bDemikian pula perempuan yang paling lembut dan halus antaramu, yang tidak pernah cuba menjejakkan telapak kakinya ke tanah kerana kehalusan dan kelembutannya. Dia tidak akan mengasihani suaminya dan anaknya baik lelaki mahupun perempuan 57 kerana dia bermaksud memakan bayi yang baru dilahirkannya berserta urinya secara sembunyi-sembunyi. Hal itu dilakukannya kerana dia kekurangan segala sesuatu selama musuh mengepung kamu di kota-kotamu.
58 Jika kamu tidak berhemat mengikut semua kata dalam hukum Taurat yang tertulis dalam kitab ini dan tidak takut kepada nama yang mulia serta terhebat, iaitu Allah, Tuhanmu, 59 maka Allah akan menimpakan kepadamu dan kepada keturunanmu azab yang luar biasa – segala azab yang besar dan lama serta penyakit-penyakit parah bagi tempoh yang lama juga. 60 Dia juga akan mendatangkan kepadamu segala wabak penyakit Mesir yang kautakuti itu. Semua itu akan melekat kepadamu. 61 Bahkan segala penyakit dan segala azab yang tidak ditulis dalam Kitab Suci Taurat ini pun akan didatangkan Allah kepadamu hingga kamu punah. 62 Sekalipun dahulunya kamu ramai sebagaimana bintang-bintang di langit, jumlahmu akan tinggal sedikit sahaja kerana kamu tidak mahu mematuhi Allah, Tuhanmu. 63 Jadi, sebagaimana Allah dengan senang telah berbuat baik kepadamu serta meramaikan jumlahmu, demikian juga Allah dengan senang akan membinasakan dan memunahkan kamu. Kamu akan dicabut-Nya dari tanah yang akan kaumasuki untuk kaududuki.
64 Allah pun akan mencerai-beraikan kamu antara segala bangsa dari hujung bumi ke hujung bumi. Di sana kamu akan beribadat menyembah tuhan-tuhan kayu dan batu, yang tidak dikenali baik kamu mahupun nenek moyangmu. 65 Dalam kalangan bangsa itu kamu tidak akan mendapat ketenangan. Tidak akan ada tempat perhentian bagi telapak kakimu. Di sana Allah akan memberikan kepadamu hati yang gementar, mata yang sayu, dan jiwa yang merana. 66 Hidupmu akan terkatung-katung. Siang dan malam kamu akan ketakutan, dan tidak ada kepastian dalam hidupmu. 67 Pada pagi kamu akan berkata, ‘Kalaulah sudah malam,’ dan pada waktu malam kamu akan berkata, ‘Kalaulah sudah pagi,’ kerana ketakutan yang dirasakan hatimu serta hal-hal yang kaulihat dengan matamu. 68 Allah akan membawa kamu kembali ke Mesir dengan kapal-kapal melalui jalan yang pernah kukatakan kepadamu, ‘Kamu tidak akan melihatnya lagi.’ Di sana kamu akan menjual diri kepada musuh-musuhmu untuk menjadi hamba lelaki dan hamba perempuan, tetapi tiada seorang pun akan membeli kamu.”
 
 
 
 
 
 
29
Perjanjian dengan Allah diperbaharui
1 Inilah perkataan perjanjian yang diikat Musa dengan orang Israel di Tanah Moab atas perintah Allah, di samping perjanjian yang telah diikat-Nya dengan mereka di Horeb.
2 Musa memanggil semua orang Israel lalu berkata kepada mereka, “Kamu sudah melihat segala hal yang dilakukan Allah di hadapan matamu di Tanah Mesir terhadap Firaun, terhadap seluruh pegawainya, dan terhadap seluruh negerinya. 3 Matamu sendiri melihat dugaan yang besar, tanda ajaib, dan mukjizat yang besar itu. 4 Tetapi sampai sekarang ini Allah belum juga mengurniakan kepadamu akal budi untuk memahami, mata untuk melihat, dan telinga untuk mendengar. 5 Aku telah memimpin kamu di gurun ini selama empat puluh tahun. Pakaianmu tidak menjadi lusuh di tubuhmu dan kasutmu tidak menjadi usang di kakimu. 6 Roti tidak kamu makan dan air anggur atau minuman keras tidak kamu minum, supaya kamu tahu bahawa Akulah Allah, Tuhanmu. 7 aSesampainya kamu di tempat ini, Sihon, raja Hesbon dan Og, raja Basan keluar menghadapi kita untuk berperang, tetapi kita mengalahkan mereka. 8 bKita merebut negeri mereka lalu memberikannya kepada suku Ruben, kepada suku Gad, dan kepada separuh suku Manasye sebagai harta pusaka mereka. 9 Oleh sebab itu, peganglah dengan teguh perkataan perjanjian ini dan lakukanlah semua itu, supaya kamu berhasil dalam segala sesuatu yang kamu lakukan.
10 Pada hari ini kamu semua berdiri di hadapan Allah, Tuhanmu: para ketua sukumu, para tua-tuamu, para pengatur pasukanmu, semua lelaki Israel, 11 anak-anakmu, isteri-isterimu, dan para pendatang yang ada di perkhemahanmu, juga para pembelah kayu api sampai para penimba air. 12 Kamu hadir untuk masuk dalam perjanjian Allah, Tuhanmu, serta dalam sumpah yang diikat Allah, Tuhanmu, denganmu pada hari ini, 13 supaya Dia meneguhkan kamu pada hari ini sebagai umat-Nya dan supaya Dia menjadi Tuhanmu, seperti yang dijanjikan-Nya dan disumpah-Nya kepada nenek moyangmu, iaitu Ibrahim, Ishak, dan Yakub. 14 Perjanjian serta sumpah ini bukan kuikat dengan kamu sahaja, 15 iaitu setiap orang yang pada hari ini berdiri di sini bersama dengan kita di hadapan Allah, Tuhan kita, melainkan juga dengan setiap orang yang pada hari ini tidak berada di sini bersama-sama kita.
16 Kamu tahu bagaimana kita tinggal di Tanah Mesir dan bagaimana kita berjalan di tengah-tengah bangsa yang telah kamu lalui. 17 Kamu telah melihat barang-barangc kejijikan dan berhala-berhala mereka yang terbuat daripada kayu, batu, perak, atau emas yang ada antara mereka. 18 dJangan sampai ada antaramu lelaki, perempuan, kaum, ataupun suku yang pada hari ini hatinya berpaling daripada Allah, Tuhan kita, untuk pergi beribadat menyembah tuhan bangsa-bangsa itu. Jangan sampai ada antaramu akar yang menghasilkan pokok beracun atau buah yang pahit.
19 Jika orang semacam itu mendengar perkataan laknat ini, dia menyangka bahawa dirinya tetap diberkati, katanya, ‘Aku akan tetap sejahtera, meskipun aku hidup dalam kedegilan hatiku.’ Akibatnya lenyaplah tanah yang basah ataupun yang kering. 20 Allah tidak akan rela mengampuni orang itu. Sebaliknya, kemurkaan Allah serta kecemburuan-Nya akan membara terhadap orang itu pada waktu itu. Segala laknat yang tertulis dalam kitab ini akan menimpanya, dan Allah akan menghapuskan namanya dari kolong langit. 21 Allah akan memisahkan dia daripada segala suku Israel dan membuatnya tertimpa bencana, selaras dengan segala laknat daripada perjanjian yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat ini.
22 Keturunan yang kemudian, iaitu anak-anakmu yang akan muncul selepas kamu, serta orang asing yang datang dari negeri jauh akan menyaksikan azab yang menimpa negeri itu, juga penderitaan yang didatangkan Allah kepadanya. 23 eSeluruh negeri itu menjadi hangus dengan belerang dan garam, tidak dapat disemai, tidak dapat menumbuhkan sesuatu, dan tidak tumbuh sesuatu pun di atasnya, sama seperti kehancuran Sodom, Gomora, Adma, dan Zeboim, yang ditunggangbalikkan Allah dalam kemurkaan serta amarah-Nya. 24 Segala bangsa akan berkata, ‘Mengapakah Allah memperlakukan negeri ini demikian? Apakah erti bernyala-nyalanya kemurkaan-Nya yang hebat ini?’ 25 Lalu orang akan menjawab, ‘Sebabnya mereka mengabaikan perjanjian Allah, Tuhan nenek moyang mereka, yang diikat-Nya dengan mereka ketika Dia membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. 26 Mereka pergi beribadat menyembah tuhan-tuhan lain dan sujud menyembah semua itu, iaitu tuhan-tuhan yang tidak dikenal mereka dan yang tidak diperuntukkan Allah untuk mereka. 27 Sebab itulah, kemurkaan Allah menyala-nyala terhadap negeri ini, sehingga Dia mendatangkan ke atasnya segala kutukan yang tertulis dalam kitab ini. 28 Dalam kemurkaan-Nya, kegusaran-Nya, serta dalam amarah-Nya yang besar Allah mencabut mereka dari tanah mereka lalu dibuang-Nya mereka ke negeri lain, seperti yang terjadi pada hari ini.’
29 Hal-hal yang tersembunyi adalah bagi Allah, Tuhan kita, tetapi hal-hal yang dinyatakan adalah bagi kita dan bagi anak-anak kita untuk selama-lamanya, supaya kita dapat mengikut semua kata dalam hukum Taurat ini.
 
 
 
 
 
 
30
Pertaubatan dan pengampunan
1 Jadi, apabila kamu telah mengalami semua hal ini, iaitu berkat dan laknat yang telah kuhadapkan kepadamu itu, dan kamu bertaubat dalam hatimu di tengah-tengah segala bangsa tempat kamu dibuang oleh Allah, Tuhanmu, 2 lalu kamu dan anak-anakmu berbalik kepada Allah, Tuhanmu, serta mematuhi-Nya dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu, seperti semua yang kuperintahkan kepadamu pada hari ini, 3 maka Allah, Tuhanmu, akan memulihkan keadaanmu dan akan mengasihani engkau. Dia akan kembali menghimpunkan kamu daripada kalangan bangsa di mana Allah, Tuhanmu, mencerai-beraikan kamu. 4 Bahkan jika ada antaramu yang terbuang ke hujung langit, maka dari sana juga Allah, Tuhanmu, akan menghimpunkan kamu, dan dari sana juga Dia akan mengambil kamu. 5 Allah, Tuhanmu, akan membawa kamu masuk ke negeri yang dimiliki nenek moyangmu, dan kamu juga akan memilikinya. Dia akan berbuat baik kepadamu dan meramaikan jumlahmu melebihi jumlah nenek moyangmu. 6 Allah, Tuhanmu, akan mengikis kedegilan hatimu serta hati keturunanmu, sehingga kamu mengasihi Allah, Tuhanmu, dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu, supaya engkau dapat hidup. 7 Allah, Tuhanmu, akan menimpakan segala laknat ini kepada musuh-musuhmu dan kepada mereka yang membenci serta menganiaya kamu. 8 Kamu akan kembali mematuhi Allah dan melakukan segala perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. 9 Allah, Tuhanmu, akan membuat kamu berkelimpahan dalam segala hasil pekerjaan tanganmu, dalam buah kandunganmu, dalam hasil ternakanmu, dan dalam hasil tanahmu. Allah sekali lagi akan berkenan mendatangkan kebaikan kepadamu – sebagaimana Dia dahulu berkenan kepada nenek moyangmu – 10 asalkan kamu mematuhi Allah, Tuhanmu, dengan berpegang teguh pada segala perintah-Nya serta segala ketetapan-Nya yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat ini, dan asalkan kamu berbalik kepada Allah, Tuhanmu, dengan sepenuh hatimu dan dengan sepenuh jiwamu.
Kehidupan atau kematian
11 Sesungguhnya, perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini tidaklah sukar bagimu dan tidaklah jauh daripada pencapaian kamu. 12 aBukan di langit tempatnya sehingga engkau berkata, ‘Siapakah yang akan naik ke langit dan mengambilnya untuk kita supaya kita dapat mendengarkannya lalu melakukannya?’ 13 Bukan pula di seberang laut tempatnya sehingga kamu berkata, ‘Siapakah yang akan pergi ke seberang laut dan mengambilnya untuk kita supaya kita dapat mendengarkannya lalu melakukannya?’ 14 Firman itu sangat dekat denganmu, iaitu dalam mulutmu dan dalam hatimu, sehingga kamu dapat melakukannya.
15 Lihatlah, pada hari ini aku menghadapkan kepadamu kehidupan dan kebahagiaan, kematian dan kesusahan. 16 Pada hari ini aku memerintahkan engkau untuk mengasihi Allah, Tuhanmu, dengan menjalani hidup menurut jalan-Nya dan berpegang teguh pada segala perintah-Nya, ketetapan-Nya, serta segala peraturan-Nya. Dengan demikian, engkau akan hidup, bertambah ramai, dan diberkati Allah, Tuhanmu, di negeri yang akan kaumasuki untuk kaududuki kelak. 17 Akan tetapi, jika hatimu berpaling dan kamu tidak mahu mendengar, bahkan kamu disesatkan sehingga kamu sujud menyembah tuhan-tuhan lain serta beribadat kepadanya, 18 maka pada hari ini kunyatakan kepadamu bahawa kamu pasti binasa. Umurmu pun tidak akan lama di negeri yang akan kaumasuki dan kaududuki dengan menyeberangi Sungai Yordan. 19 Pada hari ini juga aku memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi terhadap kamu, bahawa aku telah menghadapkan kepadamu kehidupan dan kematian, berkat dan kutukan. Pilihlah kehidupan, supaya engkau dan keturunanmu dapat hidup. 20 bKasihilah Allah, Tuhanmu, patuhilah Dia, dan berpautlah kepada-Nya. Sesungguhnya, Dialah sumber hidupmu dan yang membuat umurmu panjang, sehingga engkau dapat tinggal di tanah yang telah disumpahkan Allah untuk memberi nenek moyangmu, iaitu Ibrahim, Ishak, dan Yakub.”
 
 
 
 
 
 
31
Nabi Yusha mengganti Nabi Musa
1 Kemudian Musa pergi menyampaikan kata-kata ini kepada semua orang Israel. 2 aKatanya kepada mereka, “Hari ini aku berusia seratus dua puluh tahun. Aku tidak dapat giat lagi memimpinmu. Apatah lagi, Allah telah berfirman kepadaku, ‘Kamu tidak akan menyeberangi Sungai Yordan ini.’ 3 Allah, Tuhanmu, Dia sendirilah yang akan maju di hadapanmu. Dia akan memusnahkan bangsa-bangsa itu dari hadapanmu sehingga kamu dapat menakluki mereka, dan Yusha akan memimpin kamu untuk menyeberanginya, seperti yang difirmankan Allah. 4 bAllah akan memperlakukan mereka sebagaimana Dia memperlakukan Sihon dan Og, raja-raja bani Amori, dan juga negeri mereka ketika Dia memusnahkan mereka. 5 Allah akan menyerahkan mereka kepadamu dan hendaklah kamu memperlakukan mereka selaras dengan segala perintah yang kusampaikan kepadamu. 6 Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu. Jangan takut dan jangan gementar akan mereka, kerana Allah, Tuhanmu, menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu.”
7 Kemudian Musa memanggil Yusha dan berkata kepadanya di hadapan mata semua orang Israel, “Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu, kerana kamulah yang akan menyertai bangsa ini untuk memasuki negeri yang telah Allah sumpah untuk diberikan kepada nenek moyang mereka. Kamu juga akan memimpin mereka untuk mewarisinya. 8 cAllah sendiri akan memimpin kamu, dan Dia pulalah yang akan menyertai kamu. Dia tidak akan membiarkan kamu dan tidak akan meninggalkan kamu. Jangan takut dan jangan kecut hati.”
Pembacaan hukum Taurat setiap tujuh tahun
9 Musa menulis hukum Taurat ini dan menyerahkannya kepada para imam bani Lewi yang mengusung tabut perjanjian Allah, dan kepada semua tua-tua Israel. 10 dKemudian Musa memberikan perintah kepada mereka demikian, “Pada akhir setiap tujuh tahun, iaitu pada Perayaan Pondok Daun dalam tahun pembebasan hutang, 11 ketika semua orang Israel datang menghadap hadirat Allah, Tuhanmu, di tempat yang akan dipilih-Nya, bacalah hukum Taurat ini di depan semua orang Israel. 12 Kumpulkanlah umat, baik lelaki, perempuan, anak-anak, mahupun pendatang yang ada di kota-kotamu, agar mereka mendengarkannya dan belajar bertakwa kepada Allah, Tuhanmu, serta mentaati semua kata dalam hukum Taurat ini. 13 Dengan demikian, anak-anak mereka yang belum pernah mengetahuinya akan dapat mendengarkannya dan belajar bertakwa kepada Allah, Tuhanmu, selama kamu hidup di tanah yang akan kamu miliki setelah menyeberangi Sungai Yordan.”
Nabi Yusha ditauliahkan untuk memimpin orang Israel
14 Berfirmanlah Allah kepada Musa, “Ketahuilah, ajalmu hampir tiba. Panggillah Yusha dan hadirkanlah diri bersama-sama di Khemah Pertemuan. Aku akan mentauliahkan dia.” Maka pergilah Musa dan Yusha, lalu hadir di Khemah Pertemuan. 15 Kemudian Allah menampakkan diri di Khemah itu dalam tiang awan, dan tiang awan itu berdiri di pintu Khemah.
16 Firman Allah kepada Musa, “Ketahuilah, kamu akan dibaringkan bersama dengan nenek moyangmu. Kemudian bangsa ini akan melakukan kemungkaran kafir dengan mengikuti tuhan bangsa asing di negeri yang akan dimasuki mereka. Lalu mereka akan meninggalkan Aku dan mengingkari perjanjian-Ku yang Kuikat dengan mereka. 17 Pada waktu itu murka-Ku akan menyala-nyala terhadap mereka. Aku akan meninggalkan mereka dan menyembunyikan hadirat-Ku daripada mereka. Mereka akan dimakan habis dan ditimpa banyak malapetaka serta kesesakan. Pada waktu itu mereka akan berkata, ‘Bukankah malapetaka ini menimpa kita kerana Tuhan kita tidak lagi hadir di tengah-tengah kita?’ 18 Pada waktu itu Aku akan menyembunyikan hadirat-Ku sama sekali kerana segala kejahatan yang dilakukan mereka, iaitu kerana mereka berpaling dan menyembah tuhan-tuhan lain.
19 Sekarang, tulislah nyanyian ini dan ajarkannya kepada orang Israel. Kemudian latihlah mereka, supaya nyanyian ini menjadi saksi bagi-Ku terhadap orang Israel, 20 bahawa setelah Aku membawa mereka masuk ke tanah yang telah Kusumpah untuk diberikan kepada nenek moyang mereka, iaitu tanah yang berlimpah susu dan madu, dan setelah mereka makan sehingga kenyang lalu menjadi gemuk, mereka berpaling kepada tuhan-tuhan lain dan beribadat menyembah tuhan-tuhan itu. Mereka menista Aku dan mengingkari perjanjian-Ku. 21 Oleh itu, apabila banyak malapetaka dan kesesakan menimpa mereka, nyanyian ini akan menjadi saksi di hadapan mereka, kerana nyanyian ini tidak akan dilupakan oleh keturunan mereka. Sesungguhnya, sebelum Aku membawa mereka masuk ke negeri yang telah Kusumpah untuk diberikan kepada mereka, sudah Kuketahui niat yang dirancangkan mereka pada hari ini.”
22 Pada hari itu juga Musa menulis nyanyian ini lalu mengajarkannya kepada orang Israel.
23 eKemudian Allah mentauliahkan Yusha bin Nun, “Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu, kerana kamu akan membawa orang Israel ke negeri yang telah Kusumpah untuk diberikan kepada mereka. Aku akan menyertai kamu.”
24 Setelah Musa selesai menulis perkataan hukum Taurat ini sampai akhir di dalam sebuah kitab, 25 Musa memberikan perintah kepada bani Lewi yang mengusung tabut perjanjian Allah, 26 “Ambillah Kitab Suci Taurat ini dan letakkanlah di samping tabut perjanjian Allah, Tuhanmu. Kitab itu akan ada di situ sebagai saksi terhadap kamu, 27 kerana aku tahu betapa derhaka dan keras kepalanya kamu ini. Sekarang sahaja, semasa aku masih hidup bersama-sama kamu pun sudah kamu begitu menderhaka terhadap Allah apatah lagi setelah kematianku kelak. 28 Suruhlah semua tua-tua sukumu dan para pengatur pasukanmu berkumpul di depanku. Aku akan menyampaikan kata-kata ini kepada mereka serta memanggil langit dan bumi untuk menjadi saksi terhadap mereka, 29 kerana aku tahu bahawa setelah aku mati, kamu akan berlaku sangat keji dan menyimpang daripada jalan yang kuperintahkan kepadamu. Pada kemudian hari malapetaka akan menimpamu, kerana kamu akan melakukan apa yang jahat dalam pandangan Allah dan membangkitkan kemurkaan-Nya dengan perbuatan tanganmu.”
30 Kemudian Musa memperdengarkan perkataan nyanyian ini sehingga selesai kepada seluruh jemaah Israel.
 
 
 
 
 
 
32
Nyanyian Nabi Musa
1 “Berikanlah perhatian, wahai langit, aku hendak berkata-kata.
Dengarlah, wahai bumi, ucapan mulutku.
2 Semoga pengajaranku menitik seperti hujan
dan perkataanku menitis ke atas rumput muda,
bagai hujan lebat ke atas tumbuh-tumbuhan.
3 Aku hendak memasyhurkan nama Allah.
Nyatakanlah keagungan Tuhan kita!
4 Dialah Batu Pejal yang sempurna pekerjaan-Nya
kerana adil segala jalan-Nya.
Tuhan yang setia, tanpa kecurangan.
Dia adil dan benar.
5 Mereka berbuat kekejian terhadap Dia.
Oleh sebab noda mereka, mereka bukan lagi anak-anak-Nya,
suatu keturunan yang khianat dan rosak fikiran.
6 Begitukah balasanmu terhadap Allah, wahai bangsa yang bodoh dan tidak peka?
Bukankah Dia Bapamu yang menebus kamu,
yang menjadikan dan mengukuhkan kamu?
7 Ingatlah kepada zaman dahulu,
pertimbangkanlah tahun-tahun angkatan yang lalu.
Tanyalah kepada ayahmu, maka dia akan menunjukkan kepadamu;
kepada para tua-tuamu, maka mereka akan memberitahu kamu.
8 aKetika Yang Maha Tinggi membahagikan harta pusaka kepada bangsa-bangsa,
ketika Dia memisah-misahkan anak manusia,
Dia menetapkan daerah bangsa-bangsa
menurut jumlah orang Israel.b
9 Tetapi bahagian Allah ialah umat-Nya,
Yakub ialah bahagian harta pusaka-Nya.
10 Didapati-Nya Yakub di daerah gurun,
di gurun yang gersang, tempat binatang mengaum.
Dikelilingi-Nya dia, diperhatikan-Nya,
dan dijaga-Nya seperti apa yang disayangi-Nya.
11 Bagai rajawali menggoncang-goncangkan sarangnya,
melayang-layang di atas anak-anaknya,
mengembangkan sayapnya, mengambil mereka,
dan membawa mereka di atas sayapnya,
12 demikianlah Allah sendiri menuntun dia dan tidak ada tuhan asing menyertai dia.
13 Dibuat-Nya dia menunggangi tempat-tempat tinggi di bumi,
sehingga dia menikmati hasil ladang.
Dibuat-Nya dia menghisap madu daripada bukit batu,
dan minyak daripada batu pejal yang keras,
14 dadih daripada kawanan lembu dan susu daripada kawanan domba,
dengan lemak anak-anak domba;
domba-domba jantan muda dari Basan dan kambing-kambing jantan,
dengan gandum yang terbaik;
juga daripada buah anggur yang diperas kauminum air anggur.
15 Namun Yesyurunc menjadi gemuk dan menendang ke belakang.
Kamu menjadi gemuk, besar, dan tambun!
Dia meninggalkan Allah yang telah menjadikannya
dan menghina Batu Pejal sumber penyelamatannya.
16 Mereka menyebabkan Dia cemburu dengan tuhan-tuhan asing,
mereka membangkitkan murka-Nya dengan tuhan-tuhan kekejian.
17 dMereka mempersembahkan korban kepada roh-roh iblis, bukan Allah;
kepada tuhan-tuhan yang tidak dikenal mereka,
tuhan-tuhan baru yang belum lama muncul,
yang tidak ditakuti oleh nenek moyangmu.
18 Kamu mengabaikan Batu Pejal yang menciptakanmu,
dan kamu melupakan Allah yang menjadikanmu.
19 Allah melihat hal itu dan menolak mereka,
kerana kemurkaan-Nya telah dibangkitkan oleh anak-anak-Nyae baik lelaki mahupun perempuan.
20 Firman-Nya, ‘Aku akan menyembunyikan hadirat-Ku daripada mereka.
Aku akan melihat bagaimana kesudahan mereka,
kerana mereka itu angkatan yang serong,
anak-anak yang tidak setia.
21 fMereka menggusarkan Aku kerana menduakan Aku dengan yang bukan Allah,
mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan berhala mereka.
Oleh sebab itu, Aku akan membuat mereka iri hati dengan yang bukan umat
dan Aku akan membuat mereka marah dengan bangsa yang bodoh.
22 Dalam kemurkaan-Ku api tersulut,
menyala-nyala sampai ke alam kubur yang terbawah.
Tanah dan hasilnya ditelannya,
dan dasar-dasar gunung dihanguskannya.
23 Aku akan menimbun malapetaka terhadap mereka,
anak-anak panah-Ku akan Kuhabiskan untuk melawan mereka.
24 Mereka akan lemas kerana kelaparan,
dimamah oleh demam dan wabak yang dahsyat.
Aku akan melepaskan binatang buas yang bertaring kepada mereka
serta binatang melata yang berbisa di tanah.
25 Pedang di luar rumah dan kengerian di dalam bilik,
akan menggugurkan
baik pemuda mahupun anak dara,
anak menyusu serta orang beruban.
26 Seharusnya Aku berfirman, “Aku akan menyerakkan mereka.
Aku akan melenyapkan kenangan tentang mereka daripada kalangan manusia.”
27 Tetapi Aku mengkhuatirkan celaan musuh.
Jangan sampai musuh-musuh mereka salah faham,
jangan sampai mereka berkata, “Kami kuat dan hebat!
Bukan Allah yang mengerjakan semua ini.” ’
28 Mereka ialah bangsa yang kehilangan pertimbangan,
pada mereka tidak ada pengertian.
29 Kalau mereka bijaksana, mereka akan mengerti hal ini
dan akan memahami kesudahannya.
30 Bagaimana mungkin seorang dapat mengejar seribu orang,
atau dua orang dapat menyebabkan sepuluh ribu orang lari,
kalau mereka tidak dijual oleh Batu Pejal mereka?
Allah telah menyerahkan mereka!
31 Batu pejal kalangan itu tidak seperti Batu Pejal kita,
musuh kita pun dapat menilainya.
32 Sesungguhnya, pokok anggur mereka berasal daripada pokok anggur Sodom
dan dari ladang-ladang Gomora.
Buah anggur mereka buah anggur yang beracun,
tandan-tandannya pun pahit.
33 Air anggur mereka ialah bisa ular,
racun ular senduk yang ganas.
34 ‘Bukankah hal itu tersimpan pada-Ku,
termaterai dalam perbendaharaan-Ku?
35 gAkulah yang berhak membalas dan mengganjar.
Pada waktunya kaki mereka akan goyah,
kerana hari bencana sudah dekat
dan hal-hal yang sudah disiapkan bagi mereka akan segera datang.’
36 hAllah akan membela perkara umat-Nya
dan berbelas kasihan kepada hamba-hamba-Nya,
apabila dilihat-Nya kekuatan mereka lenyap
dan tidak ada yang terselamat, baik orang kurungan mahupun orang merdeka.
37 Dia akan berfirman, ‘Di manakah tuhan mereka,
batu pejal tempat mereka berlindung,
38 yang memakan lemak korban sembelihan mereka
dan meminum air anggur persembahan minuman mereka?
Biarlah mereka bangkit menolong kamu,
biarlah mereka menjadi tempat persembunyian bagimu.
39 Ketahuilah sekarang, sesungguhnya Aku sendirilah Dia.
Tidak ada Tuhan selain Aku.
Akulah yang mematikan, Aku pulalah yang menghidupkan.
Aku meremukkan, dan Aku menyembuhkan.
Tidak ada yang dapat melepaskan sesuatu daripada tangan-Ku.
40 Sesungguhnya, Kuangkat tangan-Ku ke langit
dan berfirman: Demi Aku yang hidup untuk selama-lamanya!
41 Jika Aku mengasah pedang-Ku yang berkilat-kilat,
dan penghukuman ada dalam tangan-Ku,
maka Aku akan menuntut balas terhadap musuh-musuh-Ku
dan mengganjar kalangan yang membenci Aku.
42 Aku akan membuat anak-anak panah-Ku mabuk darah,
sementara pedang-Ku memakan daging:
darah kalangan yang terbunuh dan kalangan yang ditawan,
daripada kepala para pemimpin musuh.’
43 iWahai bangsa-bangsa, bersorak-sorailah bersama dengan umat-Nya,
kerana Dia akan membalaskan darah hamba-hamba-Nya
dan menuntut balas kepada musuh-musuh-Nya.
Dia akan mengadakan pendamaian bagi tanah-Nya dan umat-Nya.”
44 Kemudian Musa berserta Yusha bin Nun datang untuk memperdengarkan semua kata nyanyian itu kepada bangsa itu.
45 Setelah Musa selesai memperdengarkan semua kata itu kepada semua orang Israel, 46 berkatalah dia kepada mereka, “Taruhlah dalam hatimu semua kata yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. Perintahkanlah anak-anakmu untuk mentaati semua kata dalam hukum Taurat ini, 47 kerana perkataan ini bukanlah perkataan yang sia-sia bagimu, melainkan kehidupanmu. Dengan perkataan ini umurmu akan lanjut di bumi yang akan kamu miliki setelah menyeberangi Sungai Yordan.”
Ajal Nabi Musa Mendekat
48 jPada hari itu juga, Allah berfirman kepada Musa, 49 “Naiklah ke Gunung Abarim, iaitu Gunung Nebo di Tanah Moab, yang berseberangan dengan Yerikho, lalu pandanglah Tanah Kanaan yang Kukurniakan kepada orang Israel untuk menjadi milik mereka. 50 Kamu akan wafat di atas gunung yang kamu daki itu dan akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurmu sebagaimana Harun, abangmu, yang telah wafat di Gunung Hor dan dikumpulkan bersama dengan kaum leluhurnya, 51 kerana kamu berdua tidak bertindak dengan setia terhadap Aku di tengah-tengah orang Israel, di mata air Meriba, Kadesh, di kawasan Gurun Zin. Kamu tidak menyatakan kesucian-Ku di tengah-tengah orang Israel. 52 Kamu boleh memandang negeri itu terbentang di hadapanmu tetapi tidak boleh masuk ke sana, ke negeri yang Kuberikan kepada orang Israel.”
 
 
 
 
 
 
33
Ucapan berkat terakhir Nabi Musa kepada orang Israel
1 Inilah ucapan berkat yang disampaikan Musa, hamba Allah itu, kepada orang Israel sebelum kewafatannya. 2 Katanya,
Allah datang dari Sinai
dan menunjukkan diri-Nya kepada orang Israel dari Seir.
Hadirat-Nya tampak bersinar dari Gunung Paran;
datang-Nya daripada antara puluhan ribu orang suci.
Di sebelah kanan-Nya ada api yang menyala bagi mereka.
3 Benarlah, Dia mengasihi umat-Nya, semua orang suci-Nya –
sememangnya mereka di dalam tangan-Mu.
Mereka duduk di kaki-Mu
dan menerima panduan daripada firman-Mu.
4 Musa telah mengamanatkan kepada kita hukum Taurat
sebagai hak milik bagi jemaah Yakub.
5 Allah ialah raja atas Yesyurun,
ketika para ketua umat berkumpul,
iaitu suku-suku Israel bersama-sama.
6 Biarkan Ruben hidup dan jangan mati,
tetapi biarlah jumlah orangnya sedikit.”
7 Mengenai Yudah, inilah katanya,
“Ya Allah, dengarlah suara Yudah
dan bawalah dia kepada bangsanya.
Dengan tangannya dia berjuang bagi dirinya.
Jadilah penolongnya untuk menghadapi musuh-musuhnya.”
8 aMengenai Lewi dia berkata,
“Tumim-Mu dan Urim-Mub
milik orang salih-Mu yang Kauuji di Masa –
dengannya Engkau berbantah di mata air Meriba.
9 Mengenai ayah dan ibunya dia berkata,
‘Aku tidak mengendahkan mereka.’
Dia juga tidak mengiktiraf saudara-saudaranyac
dan tidak mengakui anak-anaknya sendiri.
Akan tetapi, bani Lewi itu berpegang teguh pada firman-Mu
dan menjaga perjanjian-Mu.
10 Mereka mengajarkan peraturan-peraturan-Mu kepada Yakub,
dan hukum-Mu kepada Israel.
Mereka meletakkan dupa di hadapan-Mu
dan korban yang dibakar seluruhnya di atas mazbah-Mu.
11 Ya Allah, berkatilah kemampuannya
dan terimalah pekerjaan tangannya.
Remukkanlah pinggang orang yang bangkit melawannya
dan yang membencinya, sehingga orang itu tidak dapat bangkit lagi.”
12 Mengenai Benyamin dia berkata,
“Biarlah kekasih Allah itu berdiam di sisi-Nya dengan aman.
Allah melindunginya sepanjang waktu
dan ia berdiam di dalam pertolongan-Nya.”
13 Mengenai Yusuf dia berkata,
“Biarlah negerinya diberkati Allah
dengan yang terbaik dari langit, dengan embun,
dan dengan samudera yang terhampar di bawah;
14 dengan yang terbaik yang dihasilkan matahari,
dan dengan yang terbaik yang tumbuh setiap bulan;
15 dengan yang terutama dari gunung-gunung dahulukala,
dan dengan yang terbaik dari bukit-bukit purbakala;
16 dengan yang terbaik dari bumi serta segala isinya,
dan dengan keredaan Dia yang hadir di dalam belukar menyala.
Biarlah semua itu turun ke atas kepala Yusuf,
ke atas ubun-ubun orang yang teristimewa antara saudaranya.
17 Kegemilangannya bagaikan anak sulung lembunya,
dan tanduk-tanduknya ialah tanduk-tanduk lembu liar.
Dengan tanduk itu dia menanduk bangsa-bangsa
sampai ke hujung-hujung bumi.
Itulah puluhan ribu orang Efraim
dan ribuan orang Manasye.”
18 Mengenai Zebulon dia berkata,
“Bersuka rialah, wahai Zebulon, dalam perjalananmu,
dan kamu, wahai Isakhar, di dalam khemah-khemahmu.
19 Mereka akan memanggil bangsa-bangsa ke gunung.
Di sana mereka akan mempersembahkan pelbagai korban sembelihan yang benar.
Sesungguhnya, mereka akan menghisap kelimpahan laut
dan harta yang tersembunyi di dalam pasir.”
20 Mengenai Gad dia berkata,
“Diberkatilah Dia yang meluaskan wilayah Gad.
Gad berdiam di sana seperti singa betina.
Dicabik-cabiknya lengan bahkan ubun-ubun.
21 Dipilihnya bahagian yang terbaik untuk dirinya,
kerana di sana tersimpan bahagian panglima.
Maka datanglah dia bersama-sama ketua umat
dan dijalankannya keadilan Allah
serta hukum-hukum-Nya dalam hal orang Israel.”
22 Mengenai Dan dia berkata,
“Dan anak singa
yang melompat keluar dari Basan.”
23 Mengenai Naftali dia berkata,
“Naftali kenyang dengan keredaan
dan penuh dengan berkat Allah.
Milikilah daerah sebelah barat
dan sebelah selatan.”
24 Mengenai Asyer dia berkata,
“Diberkatilah Asyer melebihi anak-anak lelaki.
Biarlah dia disukai oleh saudara-saudaranya,
dan biarlah dia mencelupkan kakinya ke dalam minyak.
25 Semoga semua palang pintumu terbuat daripada besi dan tembaga
serta kekuatanmu bertahan sepanjang usiamu.
26 Tidak ada yang seperti Allah, wahai Yesyurun.
Sebagai penolongmu, Dia mengenderai langit
dan mengenderai awan-awan dalam kemegahan-Nya.
27 Allah yang abadi ialah tempat perlindunganmu,
dan di bawahmu ada lengan-lengan yang kekal.
Dia mengusir musuh dari hadapanmu
dan berfirman, ‘Punahkanlah!’
28 Maka Israel tinggal dengan aman.
Mata air Yakub tinggal bersendirian
di negeri tempat gandum dan air anggur.
Bahkan langitnya pun menitikkan embun.
29 Berbahagialah kamu, wahai Israel!
Siapakah seperti kamu?
Kamu ialah bangsa yang diselamatkan Allah.
Dialah perisai penolongmu
dan pedang kejayaanmu.
Musuh-musuhmu akan mengekot merendahkan diri kepadamu
dan kamu akan menginjak tempat-tempat tinggi mereka.”
 
 
 
 
 
 
34
Wafatnya Nabi Musa
1 Kemudian naiklah Musa dari dataran Moab ke Gunung Nebo, iaitu ke puncak Pisga, yang berseberangan dengan Yerikho. Lalu Allah memperlihatkan kepadanya seluruh negeri itu: dari Gilead sampai ke Dan, 2 seluruh Tanah Naftali, Tanah Efraim dan Manasye, seluruh Tanah Yudah sampai ke laut sebelah barat, 3 Tanah Negeb serta dataran rendah Yerikho, kota pokok kurma itu, sampai ke Zoar. 4 aFirman Allah kepadanya, “Itulah negeri yang Kusumpah kepada Ibrahim, Ishak, dan Yakub ketika Aku berfirman, ‘Aku akan memberikannya kepada keturunanmu.’ Aku mengizinkan engkau melihatnya dengan matamu, tetapi engkau tidak akan menyeberang ke sana.”
5 Setelah itu, Musa, hamba Allah itu, wafatlah di sana, di Tanah Moab, selaras dengan firman Allah. 6 Allah memakamkannya di lembah di Tanah Moab, yang berseberangan dengan Bet-Peor. Tiada seorang pun mengetahui makamnya sampai hari ini. 7 Musa berumur seratus dua puluh tahun ketika kewafatannya. Matanya belum kabur dan kekuatannya belum berkurangan. 8 Orang Israel menangisi Musa di dataran Moab selama tiga puluh hari. Setelah itu, selesailah masa tangisan dan perkabungan kerana Musa.
9 Yusha bin Nun penuh dengan roh kearifan, kerana Musa telah meletakkan tangannya ke atasnya. Orang Israel mentaatinya dan melakukan seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
10 bTidak pernah muncul lagi seorang nabi di Israel seperti Musa, yang dikenal Allah secara berhadapan muka. 11 Atas perintah Allah dia melakukan segala tanda ajaib dan mukjizat di Tanah Mesir bagi Firaun, seluruh pegawainya, serta seluruh negerinya, 12 dan di hadapan mata seluruh umat Israel, Musa menunjukkan segala perbuatan yang hebat serta melakukan keajaiban yang luar biasa.