Keluaran
1
Orang Israel tertindas di Mesir
1 aPara anak Israel, iaitu Yakub, yang datang bersama-sama bapa mereka ke Mesir, masing-masing dengan seisi keluarganya ialah 2 Ruben, Simeon, Lewi, Yudah, 3 Isakhar, Zebulon, Benyamin, 4 Dan, Naftali, Gad, dan Asyer. 5 Jumlah semua keturunan Yakub ialah tujuh puluh jiwa, tetapi sebelum itu, Yusuf sudah berada di Mesir. 6 Masa berlalu dan Yusuf wafat, dan begitu jugalah halnya dengan semua saudaranya dan kalangan orang Israel yang satu keturunan dengannya. 7 bNamun begitu, orang Israel terus beranak cucu dan bilangan mereka meningkat dengan pesatnya. Mereka bertambah ramai dan menjadi luar biasa kuatnya, sehingga negeri itu padat dengan warga mereka.
8 cKemudian seorang raja baru yang tidak kenal akan Yusuf memerintah kerajaan Mesir. 9 Dia berkata kepada rakyatnya, “Lihatlah, betapa rakyat orang Israel ini menjadi teramat ramai dan lebih kuat daripada kita. 10 dAyuh kita cari akal untuk mengatasi mereka. Jika tidak, mereka akan terus bertambah ramai, dan jika berlaku perang mereka akan bersekutu dengan para musuh kita lalu berperang melawan kita dan meninggalkan negeri ini.” 11 Maka warga Mesir melantik tukang kerah atas orang Israel untuk menindas mereka serta menjadikan mereka buruh paksa. Mereka membangunkan kota perbekalan, iaitu Pitom dan Raamses untuk Firaun. 12 Walau bagaimanapun, semakin tertindas, bilangan mereka semakin ramai dan terus berkembang, lantas warga Mesir menjadi takut kepada orang Israel. 13 Maka semakin kuat dan kejamlah warga Mesir menzalimi orang Israel, 14 dan menjadikan kehidupan mereka menderita dalam perhambaan yang cukup perit. Mereka dipaksa mengerjakan tanah liat dan batu bata serta semua jenis pekerjaan yang menjerihkan di padang.
15 Raja Mesir juga memerintahkan para bidan orang Ibrani, iaitu seorang yang bernama Sifra dan nama yang seorang lagi Pua, 16 katanya, “Sewaktu kamu membidani para perempuan Ibrani, awasilah mereka di tempat bersalin. Jika anak yang dilahirkan mereka itu lelaki, kamu harus membunuh anak itu, tetapi jika anak itu perempuan biarkan anak itu hidup.” 17 Namun begitu, kerana bidan-bidan itu bertakwa kepada Allah, mereka tidak bertindak mengikut seperti yang diperintahkan oleh raja Mesir kepada mereka. Mereka membiarkan hidup anak-anak lelaki yang lahir. 18 Lalu raja Mesir memanggil para bidan itu dan bertanya kepada mereka, “Mengapakah kamu melakukan hal ini, membiarkan para bayi lelaki hidup?”
19 Jawab para bidan itu kepada Firaun, “Sebabnya perempuan Ibrani tidak seperti perempuan Mesir. Mereka lebih kuat. Sebelum bidan tiba, mereka sudah siap bersalin.” 20 Maka Allah memberkati para bidan itu, dan orang Israel terus bertambah ramai serta menjadi sangat kuat. 21 Selain itu, kerana para bidan itu bertakwa kepada Allah, Dia memberkati mereka dengan kaum keluarga mereka sendiri. 22 eAkhirnya, Firaun memerintahkan sedemikian kepada seluruh rakyatnya, “Semua anak lelaki orang Israel yang dilahirkan hendaklah kamu buang ke dalam Sungai Nil, tetapi biarkan semua anak perempuan mereka hidup.”
 
 
 
 
 
 
2
Kelahiran Nabi Musa
1 Ada seorang lelaki daripada keturunan kaum Lewi yang memperisteri seorang perempuan suku Lewi. 2 aPerempuan itu kemudian mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Apabila dia melihat betapa elok dan sihatnya bayi itu, dia menyembunyikannya selama tiga bulan. 3 Namun begitu, dia tidak dapat menyembunyikannya lebih lama, maka dia mengambil sebuah bakul daripada daun papirus, melapiskannya dengan selut dan perekat kayu, lalu membaringkan anak itu di dalamnya. Kemudian dia meletakkan bakul itu di tengah-tengah rumpun mensiang di tepi Sungai Nil. 4 Kakak kepada anak itu berdiri agak jauh dari situ untuk mengetahui apa yang akan terjadi kepada adiknya.
5 Kemudian datanglah puteri Firaun untuk mandi di Sungai Nil, sementara para dayangnya berjalan menelusur di tepi sungai. Terlihatlah dia bakul yang berada di tengah-tengah rumpun mensiang itu lalu disuruhnya para hamba perempuannya pergi mengambil bakul itu. 6 Apabila dibukanya bakul itu, kelihatanlah bayi itu. Bayi itu pula sedang menangis, maka timbullah perasaan belas kasihannya kepada bayi tersebut. Katanya, “Ini tentunya salah seorang bayi orang Ibrani.”
7 Lalu bertanyalah kakak bayi itu kepada puteri Firaun, “Bolehkah hamba pergi memanggil seorang inang penyusu daripada perempuan Ibrani untuk menyusui bayi ini bagi tuan puteri?”
8 Jawab puteri Firaun kepadanya, “Baik, pergilah.” Gadis itu pun pergi memanggil ibu bayi itu. 9 Lalu kata puteri Firaun kepada ibu itu, “Bawalah bayi ini dan susuilah dia bagiku. Aku akan memberi kamu upah.” Maka ibu itu mengambil bayi itu dan menyusuinya. 10 bSetelah anak itu besar, ibu itu membawanya kepada puteri Firaun, yang menjadikannya anaknya. Dia menamai anak itu Musa, katanya, “Sebabnya aku menariknya keluar daripada air.”
Nabi Musa lari ke Tanah Madyan
11 cdPada suatu hari, apabila Musa sudah besar, dia keluar untuk bersama-sama para saudara sebangsanya dan melihat bagaimana mereka menanggung beban sebagai buruh paksa. Dia melihat bagaimana seorang warga Mesir memukuli seorang Ibrani, iaitu orang sebangsanya. 12 Setelah menoleh ke sana ke mari, dia mendapati tiada seorang pun di situ, lalu dia membunuh orang Mesir itu dan kemudian menyembunyikan mayat orang itu di dalam pasir. 13 Ketika dia keluar lagi keesokan harinya, dia melihat dua orang Ibrani sedang berkelahi. Bertanyalah dia kepada orang yang bersalah, “Mengapakah kamu memukul rakan sebangsa denganmu?”
14 Jawab orang itu, “Siapakah yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami? Adakah kamu berniat membunuhku sebagaimana kamu membunuh warga Mesir itu?” Maka Musa menjadi takut dan berfikir, “Pasti kejadian itu sudah diketahui orang.” 15 eFiraun yang terdengar hal itu pun berikhtiar untuk membunuh Musa, namun Musa sempat melarikan diri daripada Firaun dan tiba di Tanah Madyan.
Lalu duduklah dia dekat sebuah perigi di tempat itu.
16 Di Madyan ada seorang imam yang mempunyai tujuh orang anak perempuan. Para perempuan itu datang untuk menimba air dan mengisi palung-palung untuk memberikan minum kepada ternakan domba ayah mereka, 17 tetapi para gembala datang mengusir mereka. Lalu Musa bangkit menolong mereka dan memberikan minum kepada kawanan ternakan domba mereka. 18 Apabila mereka kembali kepada Rehuel,f ayah mereka, Rehuel bertanya, “Mengapakah kamu pulang cepat hari ini?”
19 Jawab mereka, “Ada warga Mesir yang menolong kami daripada gangguan para gembala, bahkan dia menimba air berlimpah-limpah untuk kami dan memberikan minum kepada kawanan ternakan domba kita.”
20 Katanya kepada anak-anaknya, “Di manakah orang itu? Mengapakah kamu tinggalkan dia? Ajaklah dia untuk makan.”
21 Musa bersetuju untuk tinggal di rumah orang itu, lalu orang itu memberikan Zipora anaknya untuk diperisteri oleh Musa. 22 Perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki, lalu Musa menamainya Gersom, kerana katanya, “Aku telah menjadi seorang pendatang di negeri asing.”
23 Tempoh masa yang panjang itu menyaksikan kemangkatan raja Mesir. Orang Israel masih berkeluh-kesah kerana diperhamba sedemikian teruk. Maka berseru-serulah mereka hingga doa dan teriakan mereka mengenai perhambaan itu sampai ke hadirat Allah. 24 gAllah mendengar keluhan mereka dan mengingati perjanjian-Nya dengan Ibrahim, Ishak, dan Yakub. 25 Allah melihat betapa orang Israel menanggung segala penganiayaan itu dan Dia tahu akan keadaan mereka.h
 
 
 
 
 
 
3
Belukar yang bernyala-nyala
1 Sewaktu itu, Musa menggembala kawanan ternakan domba kepunyaan ayah mentuanya, Yitro,a imam di Madyan dan dia menggiring ternakan itu ke daerah paling hujung di gurun lalu ke gunung Allah, iaitu Horeb. 2 bLalu malaikat Allah menampakkan diri kepadanya dalam api bernyala di tengah-tengah sebuah belukar. Maka Musa melihat api menyala-nyala di tengah belukar itu walhal api itu tidak pun memakan belukar itu. 3 Fikir Musa, “Elok juga jika kulihat dari dekat mengapa belukar itu tidak terbakar.”
4 Apabila Allah melihat bahawa Musa menghampiri-Nya, Allah pun berseru kepadanya dari tengah-tengah belukar itu, firman-Nya, “Musa, Musa!”
Lalu dia menjawab, “Ya, aku ada di sini.”
5 Allah berfirman, “Jangan datang lebih dekat. Tanggalkan kasutmu daripada kakimu kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci.” 6 Firman-Nya lagi, “Akulah Tuhan yang disembah oleh ayahmu, juga oleh Ibrahim, Ishak, dan Yakub.” Lalu Musa menutup mukanya, kerana dia takut memandang Allah.
7 Berfirmanlah Allah, “Aku telah menyaksikan penindasan umat-Ku di Mesir, dan mendengar rintihan mereka kerana dianiayai oleh para tukang kerah mereka. Aku tahu tentang keperitan yang dialami mereka. 8 Maka Aku turun untuk membebaskan mereka daripada cengkaman warga Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke sebuah negeri yang luas dan kaya lagi berlimpah-limpah susu dan madu, iaitu wilayah orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus. 9 Sesungguhnya, Aku telah mendengar rintihan orang Israel, dan telah melihat betapa tertindasnya mereka dalam tangan warga Mesir. 10 Maka sekarang, Aku mengutus kamu kepada Firaun untuk membawa orang Israel, iaitu umat-Ku, keluar dari Mesir.”
11 Akan tetapi, Musa berkata kepada Allah, “Siapakah hamba-Mu ini sehingga hamba harus pergi menghadap Firaun dan membawa orang Israel keluar dari Mesir?”
12 Firman-Nya, “Sesungguhnya, Aku akan bersama dengan kamu. Inilah tanda untukmu bahawa Aku yang mengutus kamu: Apabila kamu telah membawa orang Israel keluar dari Mesir, kamu akan beribadat kepada Allah di gunung ini.”
13 cKata Musa kepada Allah, “Tetapi apabila hamba mendatangi orang Israel dan berkata kepada mereka, ‘Tuhan nenek moyangmu mengutus aku kepadamu,’ mereka akan bertanya, ‘Siapakah nama-Nya?’ Apakah yang harus hamba katakan kepada mereka?”
14 dFirman Allah kepada Musa, “Akulah Aku.” Firman-Nya lagi, “Kamu harus berkata begini kepada orang Israel, ‘Akulah Aku yang mengutus aku kepadamu.’ 15 Allah selanjutnya berfirman kepada Musa, “Kamu harus katakan begini kepada orang Israel, ‘Allah,e Tuhan nenek moyangmu, Tuhan Ibrahim, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub, telah mengutus aku kepadamu.’ Itulah nama-Ku untuk selama-lamanya dan dengan nama itulah Aku harus diingati turun-temurun. 16 Pergilah, kumpulkanlah kalangan tua-tua orang Israel, dan katakanlah kepada mereka, ‘Allah, Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ishak, dan Yakub telah menampakkan diri kepadaku dan berfirman, “Aku sungguh-sungguh mengendahkan umat-Ku dan memperhatikan apa yang dilakukan terhadapmu di Mesir. 17 Maka Aku berfirman bahawa Aku akan membawa kamu keluar daripada kesusahan di Mesir, ke negeri orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus, iaitu ke tanah yang berlimpah-limpah susu dan madu.”
18 Mereka akan mendengar kata-katamu. Kemudian pergilah kamu bersama-sama kalangan tua-tua orang Israel menghadap raja Mesir dan katakanlah kepadanya, ‘Allah, Tuhan yang disembah orang Ibrani, telah menemui kami. Maka sekarang, izinkanlah kami pergi ke kawasan gurun sejauh tiga hari perjalanan, supaya kami dapat mempersembahkan korban kepada Allah, Tuhan kami. 19 Tetapi Aku tahu bahawa raja Mesir tidak akan membiarkan kamu pergi kecuali dipaksa oleh kuasa yang jauh melebihi kuasanya. 20 Maka, kuasa-Ku akan mengazab Tanah Mesir dengan pelbagai keajaiban yang akan Kuadakan di tengah-tengah mereka. Sesudah itu, barulah dia akan mengizinkan kamu pergi.
21 fAkan Kubuat warga Mesir berbaik hati kepada bangsa ini, sehingga kamu tidak pergi dengan tangan kosong ketika kamu pergi kelak. 22 Setiap perempuan harus meminta barang-barang perak, barang-barang emas, dan pakaian daripada tetangganya dan daripada pendatang perempuan yang menumpang di rumahnya. Kesemua itu akan kamu pakaikan pada anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan. Demikianlah kamu akan menjarah harta orang Mesir.”
 
 
 
 
 
 
4
Tanda keajaiban terlihat pada Nabi Musa
1 Jawab Musa pula, “Tetapi mereka tidak akan mempercayai aku atau mendengar kata-kataku, bahkan mereka akan berkata, ‘Allah tidak menampakkan diri kepadamu!”
2 Firman Allah kepadanya, “Apakah yang ada di tanganmu itu?”
Jawab Musa, “Tongkat.”
3 Firman-Nya, “Campakkannya ke tanah.” Musa mencampakkannya ke tanah, lalu tongkat itu menjadi ular lantas larilah Musa meninggalkannya. 4 Firman Allah kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu dan tangkaplah ekornya.” Musa menghulurkan tangannya dan menangkapnya, lalu ular itu menjadi tongkat semula di tangannya. 5 “Lakukanlah hal itu supaya mereka percaya bahawa Allah, Tuhan yang disembah nenek moyang mereka, Tuhan Ibrahim, Tuhan Ishak dan Tuhan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu.”
6 Firman Allah lagi kepadanya, “Masukkanlah tanganmu ke dalam bajumu.” Musa memasukkan tangannya ke dalam bajunya. Setelah dikeluarkan, tampak tangannya dijangkiti kusta, putih seperti salji. 7 Firman Allah, “Masukkan tanganmu semula ke dalam bajumu.” Dia pun memasukkan tangannya semula ke dalam bajunya. Setelah dikeluarkan lagi dari dalam bajunya, kelihatan tangannya itu pulih kembali, sama seperti kulitnya yang sediakala. 8 “Maka, sekiranya mereka tidak mempercayai kamu dan tidak meyakini keajaiban yang pertama, mereka akan percaya setelah melihat keajaiban yang berikutnya. 9 Akan tetapi, jika mereka masih tidak percaya setelah melihat kedua-dua tanda itu dan enggan mendengar kata-katamu, ambillah air Sungai Nil dan curahkanlah ke tanah yang kering, maka air Sungai Nil itu akan menjadi darah di tanah yang kering itu.”
10 Namun begitu, kata Musa kepada Allah, “Ya Rabbi, hamba-Mu ini bukan seorang yang pandai berbicara, baik dahulu mahupun sekarang, saat Engkau berfirman kepada hamba-Mu ini, kerana hamba-Mu ini berat mulut dan berat lidah.”
11 Firman Allah kepadanya, “Siapakah yang menjadikan mulut manusia? Siapakah yang menjadikan orang bisu atau pekak, celik atau buta? Bukankah Aku, iaitu Allah? 12 Sekarang, pergilah. Aku akan menolong kamu berbicara dan Aku akan mengajarmu apa yang patut kamu katakan.”
13 Akan tetapi, Musa berkata, “Ya Rabbi, hamba mohon utuslah orang lain, sesiapa sahaja yang patut Kauutus.”
14 Maka menyalalah murka Allah terhadap Musa, firman-Nya, “Bukankah ada Harun, abangmu, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berbicara. Apatah lagi dia telah berangkat untuk menemuimu. Apabila dia melihat kamu, akan sukacitalah hatinya. 15 Kamu harus berbicara dengannya dan memberitahukan kata-kata tadi kepadanya. Aku akan menolong kamu dan dia untuk berbicara, dan Aku akan memberitahumu apa yang harus kamu lakukan. 16 Dia harus menjadi jurucakap kamu untuk berbicara kepada orang Israel. Bagi kamu dia bagaikan mulutmu, dan baginya kamu seolah-olah Allah. 17 Kamu bawalah tongkat ini kerana dengan tongkat inilah kamu akan menunjukkan segala keajaiban itu.”
Nabi Musa kembali ke Mesir
18 Lalu Musa kembali kepada mentuanya, Yitro, dan berkata kepadanya, “Izinkanlah aku kembali kepada para saudaraku yang berada di Mesir untuk melihat sama ada mereka masih hidup.” Kata Yitro kepada Musa, “Pergilah dengan selamat.”
19 Maka berfirmanlah Allah kepada Musa yang masih di Madyan, “Kembalilah ke Mesir, kerana orang yang mengancam nyawamu sudah mati.” 20 Kemudian Musa membawa isteri bersama-sama anak-anaknya dan menaikkan mereka pada seekor keldai lalu dia berangkat bersama-sama mereka untuk kembali ke Tanah Mesir dengan membawa tongkat Allah di tangannya.
21 Firman Allah kepada Musa, “Bersedialah apabila kamu kembali ke Mesir, segala keajaiban yang telah Kuserahkan ke dalam tanganmu, lakukanlah kesemuanya di hadapan Firaun. Akan tetapi, Aku akan membuat dia keras hati dan tidak mengizinkan orang Israel pergi. 22 Maka katakanlah kepada Firaun, ‘Beginilah firman Allah, “Israel itu anak-Ku yang sulung, 23 adan telah Kufirman kepadamu: Benarkanlah anak-Ku itu pergi supaya dia menyembah Aku tetapi jika kamu enggan melepaskannya, lihatlah, Aku akan membunuh anak lelakimu yang sulung.”’”
24 Lalu dalam perjalanan, di sebuah tempat bermalam, Allah bertemu dengan Musa dan hendak mengambil nyawanya. 25 Akan tetapi, Zipora mengambil pisau batu, lalu menyunatkan kulup anaknya. Setelah itu, dia menyentuh kulup itu pada kaki Musa, sambil berkata, “Sesungguhnya, kamu pengantin darah bagiku.” 26 Maka Tuhan tidak mengapa-apakan anak itu. Pada waktu itulah, sehubungan dengan penyunatan itu, perempuan itu berkata, “Kamu pengantin darah.”
27 Ketika itu Allah berfirman kepada Harun, “Pergilah menemui Musa di gurun.” Maka Harun pun pergi. Dia bertemu dengan Musa di gunung Allah, lalu menciumnya. 28 Lalu Musa memberitahu Harun tentang semua kata yang Allah suruh disampaikannya dan semua keajaiban yang harus dibuatnya, seperti yang diperintahkan-Nya.
29 Maka Musa dan Harun berangkat dan mengumpulkan semua tua-tua orang Israel. 30 Lalu Harun menyampaikan kepada mereka semua yang difirmankan Allah kepada Musa, serta menunjukkan keajaiban itu di hadapan mata orang Israel. 31 Maka percayalah mereka, dan ketika mereka mendengar bahawa Allah memang prihatin terhadap orang Israel serta maklum akan segala penderitaan mereka, terus sahaja mereka membongkok lantas sujud menyembah.
 
 
 
 
 
 
5
Nabi Musa menghadap Firaun
1 Sesudah itu, pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun lalu berkata, “Beginilah firman Allah, Tuhan yang disembah Israel, ‘Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat mengadakan perayaan bagi-Ku di gurun.”
2 Tetapi kata Firaun, “Siapakah Allah itu sehingga aku harus mematuhi-Nya dan mengizinkan orang Israel pergi? Aku tidak kenal akan Allah itu dan aku tidak mengizinkan orang Israel pergi.”
3 Kemudian mereka berkata, “Tuhan yang disembah orang Ibrani menemui kami. Izinkanlah kami pergi sejauh tiga hari perjalanan ke gurun dan mempersembahkan korban kepada Allah, Tuhan kami, supaya Dia tidak mengazab kami dengan wabak penyakit atau dengan pedang.”
4 Tetapi kata raja Mesir kepada mereka, “Musa dan Harun, mengapakah kamu membuat orang Israel untuk melalaikan pekerjaan mereka? Kembali bekerja kamu!” 5 Tambah Firaun lagi, “Lihat, sekarang bangsa itu sudah begitu ramai di negeri ini, dan kamu mahu menghentikan mereka daripada pekerjaan mereka.”
6 Maka pada hari itu juga Firaun memberikan perintah demikian kepada para tukang kerah orang Israel itu dan kepada para mandur mereka, 7 “Jangan lagi kamu beri bangsa itu jerami untuk membuat batu bata seperti sebelumnya. Biarkan mereka sendiri pergi mengumpulkan jerami. 8 Namun begitu, jumlah batu bata yang perlu dibuat mereka mestilah sama banyaknya dengan yang dibuat mereka sebelumnya; jangan mengurangkannya. Mereka itu pemalas, maka itulah sebabnya mereka berteriak, ‘Izinkanlah kami pergi mempersembahkan korban kepada Tuhan kami. 9 Beratkan pekerjaan mereka itu lagi supaya mereka terus bekerja dan tidak menghiraukan kata-kata dusta.”
10 Maka keluarlah para pengerah bangsa itu dan para mandur mereka, lalu berkatalah mereka kepada orang Israel, “Beginilah titah Firaun, ‘Aku tidak akan memberikan jerami lagi kepadamu. 11 Pergi dan carilah sendiri jerami di mana-mana sahaja kamu boleh mendapatkannya. Akan tetapi, bahagian pekerjaanmu tidak boleh kurang sedikit pun.” 12 Maka orang Israel menjelajah seluruh Tanah Mesir untuk mengumpulkan tunggul gandum sebagai jerami. 13 Para tukang kerah terus mendesak mereka dengan berkata, “Selesaikanlah pekerjaanmu sehari-hari seperti pada waktu ada jerami.” 14 Lalu para tukang kerah Firaun memukul para mandur orang Israel yang diangkat oleh mereka untuk menyelia bangsa mereka sambil berkata, “Mengapa kelmarin ataupun hari ini jumlah batu bata yang kamu buat tidak menurut jumlah yang ditetapkan, iaitu seperti dahulu?”
15 Maka pergilah para mandur orang Israel menghadap Firaun lalu berseru, “Mengapakah tuanku bertindak seperti itu kepada hamba-hambamu ini? 16 Jerami tidak lagi diberikan kepada hamba-hambamu ini, tetapi para tukang kerah berkata kepada kami, ‘Buat batu bata! Ketahuilah, hamba-hambamu ini dipukul padahal orang tuanku yang bersalah.”
17 Kata Firaun, “Memang kamu semua pemalas! Maka sebab itulah kamu berkata, ‘Izinkanlah kami pergi mempersembahkan korban kepada Allah. 18 Sekarang, pergilah bekerja semula! Kamu tidak akan diberi jerami lagi tetapi jumlah batu bata yang mesti kamu serahkan sama seperti biasa!” 19 Maka sedarlah para mandur orang Israel bahawa mereka berada dalam kesusahan apabila mereka diberitahu, “Kamu tidak boleh mengurangkan jumlah batu bata yang ditetapkan setiap hari.”
20 Ketika mereka keluar meninggalkan Firaun, mereka bertemu dengan Musa dan Harun, yang sedang berdiri menantikan mereka. 21 Lalu kata mereka kepada kedua-duanya, “Semoga Allah melihat perbuatanmu serta menghukum kamu, kerana kamu telah membusukkan nama kami di hadapan Firaun dan di hadapan para pegawainya. Kamu memberikan sebilah pedang kepada mereka untuk membunuh kami.”
22 Maka kembalilah Musa menghadap Allah, katanya, “Ya Rabbi, mengapakah Engkau menyusahkan bangsa ini? Mengapakah pula Engkau mengutus hamba-Mu ini? 23 Sejak hamba-Mu menghadap Firaun untuk berbicara atas nama-Mu, dia telah melakukan kejahatan terhadap bangsa ini. Engkau sama sekali tidak melepaskan umat-Mu.”
 
 
 
 
 
 
6
Allah menjanjikan pembebasan
1 Lalu berfirmanlah Allah kepada Musa, “Sekarang kamu akan melihat apa yang akan Kulakukan terhadap Firaun, kerana hanya setelah dipaksa oleh tangan yang kuat barulah dia akan mengizinkan orang Israel pergi. Ya, dengan dipaksa oleh tangan yang kuat barulah dia akan mengusir mereka dari tanahnya.” 2 aKemudian berfirmanlah Allah kepada Musa, “Akulah Allah. 3 Aku telah menampakkan diri kepada Ibrahim, Ishak, dan Yakub sebagai Allah Yang Maha Kuasa, tetapi Aku belum menyatakan diri dengan sepenuh makna nama-Ku, Allah.b 4 Aku juga sudah menetapkan perjanjian-Ku dengan mereka untuk mengurniakan Tanah Kanaan kepada mereka, iaitu tempat mereka tinggal sebagai pendatang. 5 Aku telah mendengar rintihan orang Israel yang diperhamba oleh warga Mesir, dan Aku ingat akan perjanjian-Ku. 6 Maka katakanlah kepada orang Israel, ‘Akulah Allah. Aku akan membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir. Aku akan melepaskan kamu daripada perhambaan mereka, dan menebus kamu dengan kuasa yang nyata dan dengan hukuman yang dahsyat. 7 Aku akan mengangkat kamu untuk menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Tuhanmu. Kamu akan tahu bahawa Akulah Allah, Tuhanmu, yang membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir. 8 Aku akan membawa kamu ke negeri yang dengan bersumpah Aku berjanji akan Kukurniakan kepada Ibrahim, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengurniakannya kepadamu untuk menjadi milikmu. Akulah Allah.”
9 Namun begitu, apabila Musa menyampaikan kata-kata itu kepada orang Israel, mereka yang terlalu sedih dengan penindasan daripada beban perhambaan atas mereka itu langsung tidak mahu mendengar kata-kata Musa itu. 10 Allah berfirman pula kepada Musa, 11 “Pergilah dan katakanlah kepada Firaun, raja Mesir, supaya dia mengizinkan orang Israel pergi dari negerinya.”
12 Tetapi Musa berkata kepada Allah, “Orang Israel pun enggan mendengar hamba-Mu ini, bagaimanakah mungkin Firaun akan mendengar kata-kata hamba-Mu ini. Apatah lagi, hamba seorang yang tidak petah lidahnya?”
13 Tetapi Allah berfirman lagi kepada Musa dan Harun serta mengutus mereka kepada orang Israel dan kepada Firaun, raja Mesir, untuk membawa orang Israel keluar dari Tanah Mesir.
Para leluhur Nabi Musa dan Imam Harun
14 Inilah salasilah leluhur mereka: Para anak Ruben, anak sulung Israel ialah Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. Itulah kaum keluarga Ruben. 15 Para anak Simeon ialah Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan Saul, anak seorang perempuan Kanaan. Itulah kaum keluarga Simeon. 16 cNama anak Lewi menurut urutan kelahiran mereka ialah Gerson, Kehat, dan Merari. Lewi hidup sehingga berusia 137 tahun. 17 Para anak Gerson ialah Libni dan Simei, menurut kaum keluarga masing-masing. 18 Para anak Kehat ialah Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel. Kehat hidup sehingga berusia 133 tahun.
19 Para anak Merari ialah Mahli dan Musi. Itulah kaum-kaum Lewi menurut keturunan mereka. 20 Amram memperisteri Yokhebed, saudara ayahnya, dan isterinya itu melahirkan Harun dan Musa baginya. Amram hidup sehingga berusia 137 tahun. 21 Para anak Yizhar ialah Korah, Nefeg, dan Zikhri.
22 Para anak Uziel ialah Misael, Elsafan, dan Sitri. 23 Harun memperisteri Eliseba binti Aminadab, saudara Nahason, dan isterinya itu melahirkan Nadab, Abihu, Eleazar, serta Itamar untuknya. 24 Para anak Korah ialah Asir, Elkana, dan Abiasaf. Itulah kaum keluarga bani Korah.
25 Eleazar bin Harun memperisteri salah seorang anak perempuan Putiel, dan isterinya itu melahirkan Pinehas untuknya. Itulah salasilah kaum keluarga bani Lewi. 26 Mereka itulah Harun dan Musa yang menerima firman Allah, “Bawalah orang Israel keluar dari Tanah Mesir secara teratur menurut pelbagai kumpulan mereka.”
27 Mereka berdualah yang berbicara kepada Firaun, raja Mesir, bahawa mereka akan membawa orang Israel keluar dari Mesir. Musa dan Harun itulah orangnya. 28 Demikianlah firman Allah kepada Musa ketika Allah berbicara kepada Musa di Tanah Mesir, 29 “Akulah Allah. Katakanlah kepada Firaun, raja Mesir, segala hal yang Kufirman kepadamu.” 30 Tetapi Musa menjawab kepada Allah, “Sesungguhnya, hamba-Mu ini seorang yang tidak petah lidahnya, bagaimanakah mungkin Firaun akan mendengar kata-kata hamba?”
 
 
 
 
 
 
7
1 Allah berfirman kepada Musa, “Lihatlah, Aku telah menjadikan engkau bagaikan Allah kepada Firaun, dan Harun abangmu seolah-olah nabi untukmu. 2 Engkau hendaklah mengatakan semua yang Kuperintahkan kepadamu, dan Harun abangmu hendaklah mengatakan kepada Firaun bahawa dia hendaklah mengizinkan orang Israel pergi dari negerinya. 3 aAkan tetapi, Aku akan mengeraskan hati Firaun dan melipatgandakan tanda serta mukjizat-Ku di Tanah Mesir. 4 Firaun tidak akan mempedulikan kata-kata engkau, maka Aku akan menunjukkan kuasa-Ku atas Mesir dan membawa keluar rombongan umat-Ku, iaitu orang Israel, dari Tanah Mesir dengan mengenakan pelbagai hukuman yang berat. 5 Warga Mesir akan tahu bahawa Akulah Allah, apabila Aku menghulurkan tangan-Ku terhadap Mesir serta membawa orang Israel keluar daripada tengah-tengah mereka.” 6 Maka Musa dan Harun melaksanakan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka. 7 Umur Musa lapan puluh tahun manakala Harun lapan puluh tiga tahun sewaktu mereka berbicara kepada Firaun.
8 Allah berfirman kepada Musa dan Harun demikian, 9 “Apabila Firaun berkata kepada kamu begini, ‘Tunjukkanlah suatu mukjizat, maka haruslah kamu katakan kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan campakkanlah di hadapan Firaun, kemudian tongkat itu akan menjadi ular.” 10 Maka pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun, lalu mereka melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan Firaun dan di hadapan para pegawainya, lalu tongkat itu menjadi ular. 11 Kemudian Firaun memanggil orang berilmu serta para ahli sihir. Mereka, iaitu para ahli sihir Mesir itu, menggunakan ilmu mereka lalu turut membuat perkara yang sama. 12 Masing-masing mencampakkan tongkatnya, lalu tongkat-tongkat itu menjadi ular. Tetapi tongkat Harun menelan tongkat-tongkat mereka. 13 Meskipun begitu, hati Firaun tetap keras dan dia enggan mendengar permintaan Musa dan Harun, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah.
Azab pertama: air menjadi darah
14 Firman Allah kepada Musa, “Memang degil hati Firaun. Dia tidak membenarkan orang Israel pergi. 15 Temuilah Firaun pada pagi hari ketika lazimnya dia keluar ke sungai. Nantikanlah dia di tepi Sungai Nil dan bawalah di tanganmu tongkat yang pernah berubah menjadi ular itu. 16 Katakanlah kepadanya, ‘Allah, Tuhan yang disembah orang Ibrani, telah mengutus aku kepadamu dengan firman, “Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku di gurun.” Tetapi sampai sekarang engkau tidak mahu mendengar. 17 bOleh sebab itu, beginilah firman Allah, “Dengan hal yang berikut ini engkau akan tahu bahawa Akulah Allah.” Lihatlah, dengan tongkat di tanganku ini akan kupukul air Sungai Nil, dan air itu akan berubah menjadi darah. 18 Ikan-ikan di dalam Sungai Nil akan mati sehingga Sungai Nil berbau busuk, dan warga Mesir akan jijik meminum air daripada Sungai Nil.”
19 Firman Allah lagi kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Ambillah tongkatmu dan hulurkanlah tanganmu ke atas perairan di Mesir, iaitu ke atas sungai-sungainya, segala terusannya, segala kolamnya, dan ke atas setiap penampungan airnya, maka semua itu akan berubah menjadi darah. Dengan demikian, akan ada darah di seluruh Tanah Mesir, baik di dalam tahang kayu mahupun di dalam tempayan batu.”
20 Lalu Musa dan Harun melaksanakan seperti yang diperintahkan oleh Allah. Di hadapan Firaun serta para pegawainya, Harun mengangkat tongkatnya dan memukulkannya pada air di Sungai Nil. Maka seluruh air di Sungai Nil berubah menjadi darah. 21 Ikan-ikan di Sungai Nil mati sehingga Sungai Nil berbau busuk, dan warga Mesir tidak dapat meminum air daripada Sungai Nil itu. Ada darah di seluruh Tanah Mesir. 22 Tetapi para ahli sihir Mesir membuat hal yang sama dengan ilmu mereka, maka hati Firaun tetap keras. Dia tidak mahu mendengar apa yang dikatakan oleh kedua-dua mereka sebagaimana yang telah difirmankan Allah. 23 Firaun berpaling lalu masuk ke istananya tanpa mahu memperhatikan hal itu. 24 Semua warga Mesir menggali-gali kawasan di sekitar Sungai Nil demi mencari air yang dapat diminum, kerana mereka tidak dapat meminum air Sungai Nil.
25 Maka berlalulah tujuh hari sesudah Allah mengazabkan Sungai Nil itu.
 
 
 
 
 
 
8
Azab kedua: katak
1 Allah berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman Allah, “Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 2 Jika engkau tidak mengizinkan mereka pergi, maka Aku akan mengazabkan seluruh daerahmu dengan mendatangkan katak. 3 Sungai Nil akan berlimpah dengan katak dan katak-katak itu akan naik lalu masuk ke dalam istanamu, ke dalam bilik tidurmu, dan ke atas tempat tidurmu. Juga ke dalam rumah para pegawaimu dan rakyatmu, ke dalam tempat pembakaran rotimu, serta ke dalam tempat adunanmu. 4 Katak-katak itu pun akan naik memanjati engkau, rakyatmu, dan semua pegawaimu.”’”
5 Firman Allah lagi kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Hulurkanlah tanganmu dengan tongkatmu ke atas segala sungai, terusan, serta kolam, dan buatlah supaya muncul segala katak di atas Tanah Mesir.” 6 Harun pun menghulurkan tangannya ke atas perairan Mesir, lalu muncullah katak lalu menutupi Tanah Mesir. 7 Para ahli sihir turut melakukan hal yang sama dengan ilmu mereka lalu membuat katak turut muncul serta melitupi Tanah Mesir.
8 Kemudian Firaun memanggil Musa dan Harun serta berkata, “Berdoalah kepada Allah supaya Dia menyingkirkan kesemua katak itu daripadaku dan daripada rakyatku, maka aku akan mengizinkan orang Israel itu pergi supaya mereka dapat mempersembahkan korban kepada Allah.”
9 Kata Musa kepada Firaun, “Katakan sahaja kepadaku bila harus aku berdoa untukmu, untuk para pegawaimu, dan untuk rakyatmu supaya katak-katak itu disingkirkan daripadamu dan dari rumah-rumahmu, sehingga ada di Sungai Nil sahaja.”
10 Kata Firaun, “Esok.”
Lalu kata Musa, “Jadilah seperti katamu itu, supaya engkau tahu bahawa tidak ada yang seperti Allah, Tuhan kami. 11 Katak-katak itu akan disingkirkan daripadamu, dari rumah-rumahmu, daripada para pegawaimu, dan daripada rakyatmu hingga ada di Sungai Nil sahaja.” 12 Setelah Musa dan Harun keluar meninggalkan Firaun, berserulah Musa kepada Allah tentang katak-katak yang telah Dia datangkan kepada Firaun, 13 dan Allah mengabulkan permintaan Musa. Matilah katak di segala rumah, halaman, dan ladang. 14 Bangkai katak yang dikumpulkan itu bertimbun-timbun sehingga tanah itu berbau busuk. 15 Namun begitu, apabila Firaun melihat ada kelegaan, maka dikeraskan lagi hatinya dan enggan mendengar permintaan kedua-duanya, seperti yang telah difirmankan oleh Allah.
Azab ketiga: agas
16 Allah berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun, ‘Hulurkanlah tongkatmu dan pukullah debu tanah, maka debu itu berubah menjadi agasa di seluruh Tanah Mesir.” 17 Mereka pun melaksanakan hal itu. Harun menghulurkan tangannya dengan tongkatnya, lalu dipukulnya debu tanah. Maka muncullah agasb yang tidak terhingga banyaknya lalu hinggap pada manusia dan binatang. Semua debu tanah berubah menjadi agas di seluruh Tanah Mesir. 18 Para ahli sihir turut berusaha memunculkan agas dengan ilmu mereka, tetapi mereka tidak berdaya melakukannya. Maka berkerumunlah segala agasc itu menghinggapi manusia dan binatang. 19 dLantas berkatalah para ahli sihir itu kepada Firaun, “Inilah kuasa Allah.” Tetapi hati Firaun tetap keras dan dia enggan mendengar permintaan mereka, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah.
Azab keempat: kawanan lalat
20 Allah berfirman kepada Musa, “Bangunlah pagi-pagi, lalu nantikanlah Firaun ketika lazimnya dia keluar ke sungai. Katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman Allah, “Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku, 21 kerana jika engkau tidak mengizinkan umat-Ku pergi, maka akan Kubuat kawanan lalat mendatangimu, mendatangi para pegawaimu, rakyatmu, serta rumah-rumahmu. Rumah orang Mesir akan penuh dengan kawanan lalat, dan begitu jugalah bumi yang dipijak mereka itu. 22 Akan tetapi, pada hari itu Aku akan mengecualikan Tanah Gosyen yang dihuni para umat-Ku. Di sana tidak akan ada kawanan lalat, supaya engkau tahu bahawa Akulah, Allah, yang hadir di tengah-tengah tanah ini. 23 Aku akan mengadakan perbezaan antara umat-Ku dengan rakyatmu. Esok mukjizat ini akan terjadi.”’” 24 Maka Allah pun berbuat demikian. Maka datanglah begitu banyak kawanan lalat yang masuk ke dalam istana Firaun, ke dalam rumah para pegawainya, dan ke seluruh Tanah Mesir. Rosaklah negeri itu akibat kawanan lalat itu.
25 Lalu Firaun memanggil Musa dan Harun. Katanya, “Pergilah, persembahkanlah korban kepada Tuhanmu di negeri ini.”
26 Tetapi Musa berkata, “Kami tidak dapat berbuat demikian, kerana korban yang hendak kami persembahkan kepada Allah, Tuhan kami, ialah sesuatu yang dipandang keji oleh warga Mesir. Apabila kami mempersembahkan korban yang dipandang keji oleh warga Mesir di hadapan mata mereka, tidakkah mereka akan merejam kami? 27 Kami perlu pergi ke gurun yang sejauh tiga hari perjalanan, dan mempersembahkan korban kepada Allah, Tuhan kami, sebagaimana yang Dia firmankan kepada kami.”
28 Kata Firaun, “Aku akan mengizinkan kamu pergi mempersembahkan korban kepada Allah, Tuhanmu, di gurun. Hanya, janganlah pergi terlalu jauh, dan berdoalah untukku.”
29 Kata Musa, “Lihatlah, aku akan keluar meninggalkan kamu dan aku akan berdoa kepada Allah supaya esok kawanan lalat ini disingkirkan daripada Firaun, daripada para pegawainya, serta rakyatnya. Hanya, janganlah Firaun berbohong lagi dengan tidak mengizinkan umat ini pergi mempersembahkan korban kepada Allah.”
30 Setelah itu, keluarlah Musa meninggalkan Firaun, lalu berdoa kepada Allah. 31 Allah pun mengabulkan permintaan Musa lalu Dia menyingkirkan kawanan lalat itu daripada Firaun, daripada para pegawainya, serta rakyatnya, sehingga tidak ada seekor pun yang tertinggal. 32 Namun demikian, kali ini juga, Firaun mengeraskan hatinya dan tidak mengizinkan umat itu pergi.
 
 
 
 
 
 
9
Azab kelima: penyakit sampar menyerang ternakan
1 Allah berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman Allah, Tuhan yang disembah orang Ibrani, “Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 2 Sebabnya jika engkau tidak mengizinkan mereka pergi dan masih menahan mereka, 3 maka tangan Allah akan mendatangkan penyakit sampar yang sangat teruk kepada ternakan kamu di padang, iaitu kuda, keldai, unta, lembu, serta domba. 4 Tetapi Allah akan membezakan ternakan orang Israel daripada ternakan warga Mesir. Tidak seekor pun daripada ternakan orang Israel akan mati.”’” 5 Kemudian Allah menetapkan waktunya, firman-Nya, “Hari esok Allah akan melaksanakan hal itu di negeri ini.”
6 Keesokan harinya, Allah pun melaksanakan hal itu. Semua ternakan warga Mesir mati, tetapi tidak ada seekor pun ternakan orang Israel mati. 7 Lalu Firaun menyuruh orang untuk memeriksa hal itu, dan benarlah, tidak seekor pun ternakan orang Israel mati. Namun demikian, hati Firaun tetap keras. Dia masih tidak mengizinkan orang Israel pergi.
Azab keenam: bisul
8 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah segenggam penuh jelaga dari relau, lalu hendaklah Musa menghamburkannya ke udara di hadapan Firaun. 9 Jelaga itu akan menjadi debu halus yang meliputi seluruh Tanah Mesir serta menjadi bisul yang pecah bernanah pada manusia dan haiwan di seluruh Tanah Mesir.” 10 aMaka mereka mengambil jelaga dari relau lalu berdiri di hadapan Firaun. Musa menghamburkan jelaga itu ke udara, lalu berjangkitlah penyakit bisul yang pecah bernanah pada manusia serta haiwan. 11 Para ahli sihir tidak dapat berdiri lagi di hadapan Musa akibat bisul-bisul itu, kerana bisul itu juga menjangkiti para ahli sihir, seperti semua warga Mesir yang lain. 12 Tetapi Allah mengeraskan hati Firaun sehingga dia tidak mahu mendengar kata kedua-duanya, sebagaimana yang telah Allah firmankan kepada Musa.
Azab ketujuh: hujan batu
13 Allah berfirman kepada Musa, “Bangunlah pagi-pagi, dan berdirilah di hadapan Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman Allah, Tuhan yang disembah orang Ibrani, “Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku, 14 kerana kali ini Aku akan melepaskan segala azab-Ku atas dirimu, atas para pegawaimu, serta atas rakyatmu, supaya engkau tahu bahawa tidak ada yang seperti Aku di seluruh bumi. 15 Sekarang pun Aku boleh sahaja menghulurkan tangan-Ku untuk mengazab engkau dan rakyatmu dengan wabak penyakit sehingga engkau lenyap dari bumi. 16 bAkan tetapi, untuk tujuan ini Aku membiarkan engkau hidup, iaitu supaya Aku dapat memperlihatkan kepadamu kuasa-Ku, dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi. 17 Meskipun demikian, engkau masih sahaja meninggikan diri terhadap umat-Ku dan tidak mengizinkan mereka pergi. 18 Sesungguhnya esok, pada waktu seperti ini, Aku akan menurunkan hujan batu yang sangat lebat, yang belum pernah terjadi di Mesir sejak Mesir diwujudkan sampai sekarang ini. 19 Sekarang, suruhlah orang mengandangkan ternakan engkau dan segala sesuatu yang kaumiliki di padang. Semua orang dan haiwan yang ada di padang dan tidak dibawa masuk ke rumah akan mati ditimpa oleh hujan batu itu.”’” 20 Maka beberapa orang daripada pegawai Firaun yang takut kepada firman Allah menggegaskan para hamba serta ternakan masing-masing ke rumah. 21 Tetapi orang yang tidak mengendahkan firman Allah meninggalkan para hamba serta ternakan mereka di padang.
22 Firman Allah kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke langit supaya hujan batu turun di seluruh Tanah Mesir dan melanda manusia, haiwan, serta segala tumbuhan di padang, di Tanah Mesir.” 23 Musa pun menghulurkan tongkatnya ke langit, lalu Allah mendatangkan guruh dan hujan batu, serta menurunkan api pula ke bumi. Allah mencurahi Tanah Mesir dengan hujan batu. 24 cHujan batu turun dan api sambar-menyambar di tengah-tengah hujan batu itu dengan sangat hebatnya. Belum pernah terjadi hal sebegitu di seluruh Tanah Mesir sejak Mesir menjadi sebuah negara. 25 Hujan batu itu membinasakan segala sesuatu yang ada di padang di seluruh Tanah Mesir, baik manusia mahupun haiwan. Maka rosaklah dan binasalah segala tumbuhan serta pokok akibat hujan batu itu. 26 Hanya di Tanah Gosyen, iaitu tempat tinggal orang Israel, hujan batu tidak turun.
27 Maka Firaun menyuruh agar Musa dan Harun dipanggil. Lalu katanya kepada mereka, “Kali ini aku telah berdosa. Allah itulah yang benar, sedangkan aku dan rakyatku bersalah. 28 Berdoalah kepada Allah. Cukuplah sudah guruh yang luar biasa dan hujan batu ini. Aku akan mengizinkan kamu pergi. Tidak usah lagi kamu tinggal di sini.”
29 Kata Musa kepadanya, “Apabila aku sudah keluar dari kota ini, aku akan menadahkan tanganku kepada Allah. Guruh akan berhenti dan hujan batu tidak akan turun lagi, supaya engkau tahu bahawa bumi ini milik Allah. 30 Akan tetapi, aku tahu bahawa sesungguhnya engkau dan para pegawaimu belum juga bertakwa kepada Allah, Al-Khalik.”
31 Pada masa itu musnah segala tumbuhan rami dan barli, kerana barli sedang berbulir dan rami sedang berbunga. 32 Tetapi gandum dan sekoi yang belum tumbuh itu tidak musnah.
33 Musa keluar dari kota itu meninggalkan Firaun, lalu dia menadahkan tangannya kepada Allah. Maka berhentilah guruh dan hujan batu, dan hujan tidak lagi mencurah-curah ke atas bumi. 34 Namun begitu, apabila Firaun melihat bahawa hujan, hujan batu, dan guruh sudah berhenti, dia kembali berdosa dan mengeraskan hatinya. Begitu jugalah para pegawainya. 35 Hati Firaun tetap keras dan dia tidak mengizinkan orang Israel pergi, sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah dengan perantaraan Musa.
 
 
 
 
 
 
10
Azab kelapan: belalang juta
1 Allah berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun, kerana Aku telah mengeraskan hatinya dan hati para pegawainya, supaya Aku dapat menunjukkan segala mukjizat-Ku ini dalam kalangan mereka, 2 dan supaya kamu dapat menceritakan kepada anak cucumu bagaimana Aku mempermainkan warga Mesir, serta segala mukjizat yang telah Kulakukan dalam kalangan mereka. Dengan demikian, kamu tahu bahawa Akulah Allah.”
3 Maka pergilah Musa dan Harun menghadap Firaun, lalu berkata kepadanya, “Beginilah firman Allah, Tuhan yang disembah orang Ibrani, ‘Berapa lama lagi engkau enggan merendahkan diri di hadapan-Ku? Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 4 Sebabnya jika engkau tidak mengizinkan umat-Ku pergi, maka hari esok Aku akan mendatangkan kawanan belalang juta ke daerahmu. 5 Segala belalang juta itu akan melitupi permukaan bumi sehingga tanah tidak lagi kelihatan. Kawanan belalang juta itu juga akan memakan habis sisa yang terluput, iaitu yang masih tertinggal bagimu setelah peristiwa hujan batu itu, dan akan memakan habis semua pokok yang tumbuh di padang. 6 Kawanan belalang juta itu akan memenuhi istanamu, rumah semua pegawaimu, dan rumah semua warga Mesir. Hal seperti itu belum pernah terjadi pada zaman ayahmu serta nenek moyangmu sejak mereka lahir di dunia sampai hari ini.’ ” Lalu Musa berpaling dan keluar meninggalkan Firaun.
7 Maka berkatalah para pegawai Firaun kepadanya, “Berapa lama lagi orang ini akan menjadi jerat bagi kita? Kami mohon lepaskan sajalah orang Israel itu pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada Allah, Tuhan mereka. Belum sedarkah tuanku bahawa Mesir telah binasa?”
8 Musa dan Harun pun dibawa kembali ke hadapan Firaun, lalu dia berkata kepada mereka, “Pergilah, beribadatlah kepada Allah, Tuhanmu. Siapakah sebenarnya yang akan pergi?”
9 Kata Musa, “Kami akan pergi bersama-sama orang tua dan orang muda. Kami akan pergi membawa anak-anak kami, baik lelaki mahupun perempuan, juga kawanan domba dan kawanan lembu kami, kerana kami harus mengadakan perayaan untuk Allah.”
10 Kata Firaun kepada mereka, “Semoga Allah menyertai kamu seandainya aku mengizinkan kamu pergi bersama-sama anak-anakmu. Lihat, kamu memang berniat jahat! 11 Tidak demikian! Biarlah kaum lelaki sahaja yang pergi beribadat kepada Allah, kerana itulah yang kamu inginkan.” Lalu mereka diusir dari hadapan Firaun.
12 Allah berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas Tanah Mesir supaya muncul kawanan belalang juta di Tanah Mesir dan memakan habis segala tumbuhan di tanah, iaitu segala sesuatu yang masih tertinggal setelah peristiwa hujan batu itu.” 13 Musa pun menghulurkan tongkatnya ke atas Tanah Mesir, lalu Allah mendatangkan angin timur ke negeri itu sehari-harian dan semalam-malaman. Pagi harinya angin timur itu membawa kawanan belalang juta. 14 aMaka muncullah belalang juta di seluruh Tanah Mesir. Sangat banyak sekali kawanan belalang juta yang hinggap di seluruh daerah Mesir. Sebelum itu tidak pernah muncul sedemikian banyaknya belalang juta dan sesudah itu pun tidak pernah terjadi lagi yang demikian. 15 Kawanan belalang juta itu melitupi seluruh permukaan tanah hingga seluruh wilayah negeri itu menjadi gelap. Segala tumbuhan di tanah serta buah-buahan di pokok yang masih tertinggal setelah peristiwa hujan batu itu dimakan habis oleh kawanan belalang juta. Tidak tertinggal sesuatu pun yang hijau pada pokok serta tumbuh-tumbuhan di padang, di seluruh Tanah Mesir.
16 Maka segeralah Firaun memanggil Musa dan Harun, lalu katanya, “Aku telah berdosa terhadap Allah, Tuhanmu, dan terhadap kamu. 17 Sekarang, mohon ampunkanlah dosaku sekali ini sahaja dan berdoalah kepada Allah, Tuhanmu, supaya Dia menyingkirkan bahaya maut ini daripada diriku.” 18 Musa pun keluar meninggalkan Firaun lalu berdoa kepada Allah. 19 Maka Allah membalikkan angin itu untuk menjadi angin barat yang sangat kencang. Angin itu membawa semua belalang juta yang ada dan mencampakkannya ke dalam Laut Merah. Tidak ada seekor pun belalang juta yang tertinggal di seluruh daerah Mesir. 20 Namun begitu, Allah mengeraskan hati Firaun, sehingga dia tidak mengizinkan orang Israel pergi.
Azab kesembilan: gelap-gelita
21 Allah berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke langit, supaya kegelapan datang ke atas Tanah Mesir, sehingga orang benar-benar merasakan kegelapan itu.” 22 bMusa pun menghulurkan tangannya ke langit, lalu datanglah kegelapan yang pekat ke atas seluruh Tanah Mesir selama tiga hari. 23 Orang tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun dapat bergerak dari tempatnya selama tiga hari. Akan tetapi, seluruh orang Israel menikmati cahaya di tempat tinggal mereka.
24 Kemudian Firaun memanggil Musa dan berkata, “Pergilah, beribadatlah kepada Allah. Hanya, tinggalkanlah kawanan domba dan kawanan lembumu di sini. Anak-anakmu juga boleh pergi bersama-samamu.”
25 Tetapi Musa berkata, “Engkau juga harus memberi kami beberapa korban sembelihan dan korban bakaran supaya kami dapat mempersembahkannya kepada Allah, Tuhan kami. 26 Ternakan kami pun harus kami bawa sekali. Seekor pun tidak akan kami tinggalkan, kerana beberapa ekor ternakan itu harus kami ambil untuk beribadat kepada Allah, Tuhan kami. Sebelum sampai di sana, kami tidak tahu apa yang patut kami gunakan untuk beribadat kepada Allah kami.”
27 Tetapi Allah mengeraskan hati Firaun, sehingga dia tidak mengizinkan mereka pergi. 28 Kata Firaun kepada Musa, “Nyahlah dari hadapanku! Awas, jangan pandang mukaku lagi, kerana pada waktu engkau memandang mukaku, engkau akan mati.”
29 Kata Musa, “Benar seperti katamu! Aku tidak akan memandang mukamu lagi.”
 
 
 
 
 
 
11
Ancaman azab kesepuluh
1 Allah berfirman kepada Musa, “Aku akan mendatangkan satu azab lagi atas Firaun dan atas Mesir. Sesudah itu, barulah dia akan mengizinkan kamu pergi dari sini dan dia akan benar-benar mengusir kamu dari sini. 2 Katakanlah kepada orang Israel, hendaklah setiap lelaki meminta daripada tetangganya barang-barang perak dan emas, dan begitu jugalah setiap perempuan meminta daripada tetangganya.” 3 Lalu Allah membuat warga Mesir berbaik hati kepada umat itu, apatah lagi, Musa memang seorang yang dipandang tinggi di Tanah Mesir, baik di mata pegawai-pegawai Firaun mahupun di mata rakyat.
4 Kata Musa, “Beginilah firman Allah, ‘Pada waktu tengah malam Aku akan datang ke tengah-tengah Mesir. 5 Maka semua anak sulung di Tanah Mesir akan mati, mulai anak sulung Firaun yang duduk di atas takhtanya hingga anak sulung hamba perempuan yang bekerja menggunakan pengisar itu, dan juga semua anak sulung ternakan. 6 Tangisan yang kuat akan berlaku di seluruh Tanah Mesir yang belum pernah terjadi sebelum itu dan tidak akan terjadi lagi. 7 Akan tetapi, kepada sesiapa pun daripada orang Israel, baik manusia mahupun binatang, tidak ada seekor anjing pun akan berani menyalak, supaya kamu tahu bahawa Allah membezakan antara warga Mesir dengan orang Israel. 8 Semua pegawaimu akan datang kepadaku, akan sujud memberi hormat kepadaku dan berkata, ‘Keluarlah engkau bersama-sama seluruh rakyat yang mengikut engkau.’ Sesudah itu, aku akan pergi.” Lalu keluarlah Musa meninggalkan Firaun dengan kemarahan yang menyala-nyala.
9 Firman Allah kepada Musa, “Firaun tidak akan mendengar kamu, maka dengan demikian akan bergandalah mukjizat yang dapat Kutunjukkan di Tanah Mesir.” 10 Musa dan Harun melakukan segala keajaiban itu di hadapan Firaun, tetapi Allah mengeraskan hati Firaun sehingga dia tidak mengizinkan orang Israel pergi dari negerinya.
 
 
 
 
 
 
12
Perayaan Paskaha dimulakan
1 bDemikianlah firman Allah kepada Musa dan Harun di Tanah Mesir, 2 “Bulan ini akan menjadi bulan pertama bagimu dalam setahun. 3 Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel demikian, ‘Pada hari kesepuluh bulan ini setiap orang hendaklah mengambil seekor anak domba menurut isi rumah kaum keluarganya, seekor anak domba untuk setiap isi rumah. 4 Jika satu isi rumah terlalu kecil untuk menghabiskan seekor anak domba, maka bersama dengan isi rumah tetangga yang terdekat hendaklah diambil seekor domba menurut jumlah orang di sana. Cuba kira berapa banyak anak domba yang diperlukan untuk memenuhi jumlah yang dapat dimakan oleh setiap orang. 5 Hendaklah anak domba atau anak kambing itu – kamu boleh memilihnya – jantan, berumur setahun, dan tiada cacat celanya. 6 Kamu hendaklah menjaganya sampai hari keempat belas bulan ini, lalu setelah itu seluruh jemaah Israel hendaklah menyembelihnya pada waktu senja. 7 Hendaklah darahnya diambil sedikit lalu disapukan pada kedua-dua tiang pintu serta pada ambang setiap daun pintu rumah di mana orang memakan domba tersebut. 8 Dagingnya, yang sudah dipanggang di atas api, harus dimakan mereka pada malam itu juga dengan roti yang tidak beragi serta sayur herba pahit. 9 Janganlah makan daging itu mentah-mentah atau setelah direbus di dalam air, tetapi makanlah setelah dipanggang di atas api lengkap dengan kepala, kaki, dan isi perutnya. 10 Jangan tinggalkan sisa-sisanya sampai pagi. Kesemua sisa yang tertinggal sampai pagi hendaklah kamu bakar habis. 11 Beginilah kamu harus memakannya, iaitu dengan pinggang berikat, kaki berkasut, dan dengan tongkat di tanganmu. Kamu harus memakannya dengan terburu-buru kerana itulah Perayaan Paskah bagi Allah.
12 Pada malam itu juga, Aku akan melintasi Tanah Mesir dan menyerang semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak manusia sampai anak binatang. Akan Kuhukum semua tuhan sembahan warga Mesir. Akulah Allah. 13 Darah itu akan menjadi tanda bagimu di rumah-rumah yang kamu diami. Apabila Aku melihat darah itu, maka Aku akan melalui kamu sehingga rumahmu tidak ditimpa azab kemusnahan pada waktu Aku mengazabkan Tanah Mesir. 14 cHari ini akan menjadi hari yang harus kamu ingati. Kamu hendaklah merayakannya turun-temurun sebagai hari perayaan bagi Allah, dan perayaan itu hendaklah menjadi ketetapan buat selama-lamanya.
15 Kamu harus makan roti yang tidak beragi tujuh hari lamanya. Pada hari pertama, buanglah ragi dari rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi dari hari pertama sampai hari ketujuh, hendaklah dia disingkirkan daripada Israel. 16 Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, demikian pula pada hari ketujuh. Pada hari-hari itu tidak boleh dilakukan pekerjaan apa-apa pun, kecuali mempersiapkan makanan yang harus dimakan oleh setiap orang. 17 Rayakanlah selalu Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana tepat pada hari ini Aku membawa rombonganmu keluar dari Tanah Mesir. Oleh sebab itu, rayakanlah selalu hari ini turun-temurun sebagai suatu ketetapan untuk selama-lamanya. 18 Mulai waktu petang hari pada hari keempat belas bulan pertama, makanlah roti yang tidak beragi sampai waktu petang pada hari kedua puluh satu bulan itu juga. 19 Tujuh hari lamanya tidak boleh ada ragi di dalam rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi, dia harus disingkirkan daripada antara jemaah Israel, baik pendatang mahupun warga asli. 20 Apa-apa pun yang beragi tidak boleh kamu makan. Di seluruh tempat tinggalmu kamu harus makan roti yang tidak beragi.”
21 Kemudian Musa memanggil semua tua-tua Israel dan berkata kepada mereka, “Pergilah, ambillah anak domba bagi kaum keluargamu, dan sembelihlah domba Paskah. 22 Ambillah seikat ranting hisop, celuplah di dalam darah yang telah diisi di dalam sebuah mangkuk, lalu sapukanlah darah itu pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu rumah. Tiada seorang pun dalam kalangan kamu boleh keluar dari pintu rumahnya sampai pagi hari, 23 dkerana Allah akan melintas untuk mengazabkan warga Mesir. Apabila Dia melihat darah pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu sesebuah rumah, maka Allah akan melalui pintu itu dan tidak membiarkan pemusnah masuk ke dalam rumahmu untuk mengazabkan kamu. 24 Lakukanlah hal ini setiap kali dan jadikannya sebagai suatu ketetapan bagimu serta bagi anak-anakmu buat selama-lamanya. 25 Jadi, apabila kamu telah memasuki negeri yang akan Allah kurniakan kepadamu seperti yang difirmankan-Nya, kamu hendaklah terus memegang ibadat ini. 26 Nanti, apabila anak-anakmu bertanya kepadamu, ‘Apakah erti ibadat ini kepada ayah?’ 27 maka kamu harus menjawab, ‘Ini korban Paskah bagi Allah. Ketika Allah mengazabkan warga Mesir, Dia melalui rumah-rumah orang Israel di Mesir dan menyelamatkan rumah-rumah kita.’ ”
Lalu orang Israel menundukkan kepala dan sujud menyembah. 28 Kemudian pergilah orang Israel, melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa dan Harun.
Azab kesepuluh: matinya anak sulung
29 ePada waktu tengah malam Allah mematikan semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak sulung Firaun yang duduk di atas takhta sampai anak sulung para tawanan yang ada di dalam kurungan bawah tanah, juga semua anak sulung haiwan. 30 Maka bangunlah Firaun pada malam itu, demikian pula semua pegawainya dan semua warga Mesir. Lalu kedengaranlah tangisan yang dahsyat di Mesir, kerana tidak ada rumah yang tidak berlaku kematian. 31 Pada malam itu juga Firaun memanggil Musa dan Harun, katanya, “Segeralah keluar daripada kalangan rakyatku, baik kamu mahupun orang Israel! Pergilah, beribadatlah kepada Allah seperti katamu itu. 32 Bawalah kawanan domba dan kawanan lembumu seperti katamu itu, lalu pergilah. Mohonkanlah berkat juga bagiku.”
33 Warga Mesir juga mendesak orang Israel itu untuk pergi dengan segera dari negeri itu, kerana kata mereka, “Nanti kami semua mati.” 34 Kemudian orang Israel itu mengambil segala wadah berisi adunan yang belum diragi, lalu membungkusnya dengan pakaian dan memikulnya di atas bahu mereka. 35 fOrang Israel juga melaksanakan apa yang dikatakan oleh Musa. Mereka meminta daripada orang Mesir barang-barang perak, barang-barang emas, dan pakaian. 36 Allah membuat orang Mesir berbaik hati kepada umat-Nya itu, sehingga permintaan mereka dipenuhi. Demikianlah mereka menjarah warga Mesir.
Orang Israel keluar dari Mesir
37 Setelah itu, berangkatlah orang Israel dari Raamses menuju Sukot. Jumlah mereka 600,000 orang lelaki, tidak termasuk perempuan dan kanak-kanak. 38 Ada ramai juga daripada pelbagai bangsa yang ikut pergi bersama-sama, dan tentunya bersama dengan kawanan ternakan yang sangat besar jumlahnya, baik kawanan domba mahupun kawanan lembu. 39 Mereka membakar roti tanpa ragi daripada adunan yang dibawa mereka dari Mesir. Adunan itu memang belum beragi, kerana mereka diusir dari Mesir dan tidak boleh berlengah. Mereka juga tidak sempat menyediakan bekal untuk keperluan mereka.
40 gSelama empat ratus tiga puluh tahun orang Israel bermastautin di Mesir. 41 Sesudah empat ratus tiga puluh tahun, tepat pada hari itu, keluarlah seluruh rombongan umat Allah dari Tanah Mesir. 42 Malam itu malam yang harus tertumpu pada hal memperingati Allah yang telah membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Itulah malam yang harus diperingati oleh seluruh orang Israel, turun-temurun.
Ketetapan lebih lanjut bagi Perayaan Paskah
43 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, “Inilah ketetapan tentang korban hari Paskah: Tiada seorang pun warga asing yang boleh memakannya. 44 Akan tetapi, setiap hamba yang dibeli dengan wang boleh memakannya setelah kamu menyunatkannya. 45 Perantau dan orang upahan tidak boleh memakannya. 46 hPaskah itu harus dimakan di dalam sesebuah rumah. Kamu tidak boleh membawa sedikit pun daripada daging itu ke luar rumah. Selain itu, sebatang tulang pun tidak boleh kamu patahkan. 47 Seluruh jemaah Israel harus merayakan hari Paskah. 48 Apabila seorang pendatang yang tinggal di tengah-tengah kalangan kamu mahu merayakan Paskah juga bagi Allah, maka semua lelaki yang ada bersama-samanya harus disunatkan dahulu. Setelah itu, barulah dia boleh datang untuk merayakannya. Dia akan dianggap sama dengan warga asli. Tetapi orang yang tidak bersunat tidak boleh memakannya. 49 Satu hukum berkuat kuasa bagi warga Israel dan bagi pendatang yang tinggal di tengah-tengah kamu.” 50 Maka seluruh orang Israel pun melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa dan Harun. 51 Tepat pada hari itu Allah membawa segala rombongan orang Israel keluar dari Tanah Mesir.
 
 
 
 
 
 
13
Pentahbisan anak sulung dan Perayaan Roti Tidak Beragi
1 Allah berfirman kepada Musa demikian, 2 a“Tahbiskanlah untuk-Ku semua anak sulung. Semua yang lahir pertama daripada rahim dalam kalangan orang Israel, baik manusia mahupun haiwan, Akulah pemiliknya.”
3 Lalu berpesanlah Musa kepada orang Israel, “Peringatilah hari ini, iaitu hari apabila kamu keluar dari Mesir, dari tempat perhambaan, kerana dengan kuasa tangan-Nya Allah telah membawa kamu keluar dari sana maka sesuatu apa-apa pun yang beragi tidak boleh kamu makan. 4 Hari ini pada bulan Abib, kamu keluar. 5 Kelak apabila Allah telah membawa kamu masuk ke negeri bani Kanaan, bani Het, bani Amori, bani Hewi, dan bani Yebus – negeri yang telah Dia janjikan dengan bersumpah kepada nenek moyangmu untuk dikurniakan kepadamu, iaitu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu – maka kamu harus melaksanakan ibadat ini pada bulan ini juga. 6 Hendaklah kamu makan roti yang tidak beragi selama tujuh hari, dan pada hari ketujuh kamu harus mengadakan perayaan bagi Allah. 7 Makanlah roti yang tidak beragi selama tujuh hari itu. Sesuatu yang beragi tidak boleh kelihatan dalam kalangan kamu, dan begitu juga tidak boleh kelihatan di mana-mana pun di seluruh daerahmu. 8 Pada hari itu kamu harus memberitahu anak-anak lelakimu demikian, ‘Ibadat ini dilakukan untuk memperingati apa yang telah dilakukan Allah bagiku ketika aku keluar dari Mesir.’ 9 Perayaan itu akan menjadi satu peringatan bagimu – seperti tanda pada tanganmu dan peringatan pada dahimu – supaya hukum Allah ada di bibirmu, kerana Allah telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan tangan yang kuat. 10 Oleh yang demikian, patuhilah sentiasa ketetapan ini pada waktu yang sudah ditentukan, tahun demi tahun.
11 “Nanti, apabila Allah sudah membawa kamu masuk ke negeri orang Kanaan, seperti yang telah dijanjikan-Nya dengan bersumpah kepada nenek moyangmu, dan apabila negeri itu sudah dikurniakan-Nya kepadamu, 12 bmaka kamu harus mentahbiskan untuk Allah semua yang lahir pertama daripada rahim. Semua yang lahir pertama daripada binatang yang kaumiliki, iaitu yang jantan, ialah milik Allah. 13 Semua anak keldai yang lahir pertama harus kamu tebus dengan seekor anak domba. Jika kamu tidak menebusnya, maka kamu harus mematahkan lehernya. Semua anak sulung manusia antara anak lelakimu harus kamu tebus. 14 Nanti, pada kemudian hari anakmu bertanya kepadamu, ‘Apakah ertinya ini?’ maka kamu harus mengatakan kepadanya, ‘Dengan kekuatan tangan-Nya, Allah telah membawa kami keluar dari Mesir, dari tempat perhambaan. 15 Pada waktu Firaun berkeras hati enggan mengizinkan kami pergi, Allah menamatkan usia semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak sulung manusia sampai anak sulung binatang. Itulah sebabnya aku mempersembahkan kepada Allah semua binatang jantan yang lahir pertama daripada rahim, sedangkan semua anak sulung antara anak lelakiku pun kutebus.’ 16 Hal itu harus menjadi tanda pada tanganmu dan menjadi lambang di dahimu, kerana dengan kekuatan tangan-Nya Allah telah membawa kita keluar dari Mesir.”
Tiang awan dan tiang api
17 Setelah Firaun mengizinkan bangsa itu pergi, Allah tidak memimpin mereka melalui jalan ke negeri orang Filistin meskipun itu jalan terdekat, kerana Allah berfirman, “Jangan-jangan bangsa ini menyesal apabila mereka menghadapi peperangan, lalu kembali ke Mesir.” 18 Jadi, Allah membawa bangsa itu berputar melalui jalan di gurun yang menuju ke Laut Merah. Orang Israel keluar dari Tanah Mesir dengan bersenjata lengkap.
19 cMusa membawa tulang-tulang Yusuf, kerana Yusuf telah meminta orang Israel sungguh-sungguh bersumpah, katanya, “Allah pasti akan mendatangi kamu. Pada waktu itu kamu harus membawa tulang-tulangku dari sini.”
20 Mereka berangkat dari Sukot lalu berkhemah di Etam, di tepi gurun. 21 Allah hadir di hadapan mereka. Pada siang hari Dia memimpin mereka dalam perjalanan dengan tiang awan, dan pada malam hari Dia menerangi mereka dengan tiang api, sehingga mereka dapat berjalan tidak kira pada hari siang ataupun malam. 22 Pada siang harinya tiang awan tidak berganjak dari hadapan umat itu, demikian pula dengan tiang api pada malam harinya.
 
 
 
 
 
 
14
Menyeberangi Laut Merah
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Suruhlah orang Israel berpatah balik dan berkhemah di hadapan Pi-Hahirot, di antara Migdol dengan laut. Mereka harus berkhemah di tepi laut, di hadapan Baal-Zefon. 3 Firaun akan berkata, ‘Tentu orang Israel sudah tersesat di negeri ini. Gurun mengurung mereka.’ 4 Aku akan mengeraskan hati Firaun sehingga dia mengejar mereka. Kemuliaan-Ku akan dinyatakan melalui Firaun dan seluruh pasukannya, sehingga warga Mesir tahu bahawa Akulah Allah.” Maka orang Israel pun melaksanakan hal itu.
5 Ketika dikhabarkan kepada raja Mesir bahawa bangsa itu sudah lari, maka berubahlah fikiran Firaun dan para pegawainya terhadap bangsa itu. Mereka berkata, “Apakah yang telah kita lakukan ini? Kita melepaskan orang Israel daripada perhambaan kita!” 6 Lalu dia mempersiapkan segala kereta kudanya dan membawa pasukannya bersama-samanya. 7 Dia membawa enam ratus buah kereta kudanya pilihan serta kesemua kereta kuda yang ada di Mesir, lengkap dengan para perwira yang mengepalai kesemuanya. 8 Allah mengeraskan hati Firaun, raja Mesir, sehingga dia mengejar orang Israel. Sementara itu, orang Israel bergerak dengan semangat juang yang tinggi. 9 Orang Mesir mengejar mereka dengan semua kuda dan kereta kuda Firaun, dan dengan pasukan tentera berkuda. Mereka hendak menyusul orang Israel yang sedang berkhemah di tepi laut, dekat Pi-Hahirot, berhadapan dengan Baal-Zefon.
10 Ketika Firaun sudah dekat dan orang Israel melayangkan pandangan mereka, kelihatanlah betapa warga Mesir bergerak menyusul mereka. Maka orang Israel sangat ketakutan, lalu mereka berseru kepada Allah. 11 Kata mereka kepada Musa, “Apakah kerana tidak ada kuburan di Mesir maka engkau membawa kami pergi untuk mati di gurun ini? Apakah yang kaulakukan ini terhadap kami dengan membawa kami keluar dari Mesir? 12 Bukankah di Mesir telah kami katakan kepadamu, ‘Jangan ganggu kami, biarlah kami menghambakan diri kepada warga Mesir’? Lebih baik kami menjadi hamba kepada orang Mesir daripada mati di gurun ini.”
13 Lalu kata Musa kepada bangsa itu, “Jangan takut. Tetaplah berdiri dan lihatlah penyelamatan daripada Allah yang akan diberikan-Nya kepadamu pada hari ini, kerana selepas ini, warga Mesir yang kamu lihat kini tidak akan kamu lihat lagi buat selama-lamanya. 14 Allah akan berperang untuk kamu, dan kamu perlu berdiam sahaja.”
15 Firman Allah kepada Musa, “Mengapakah engkau berseru kepada-Ku? Suruhlah orang Israel mara ke hadapan. 16 Kemudian engkau, angkatlah tongkatmu, hulurkanlah tanganmu ke atas laut dan belahlah airnya, sehingga orang Israel dapat berjalan di tempat yang kering di tengah laut. 17 Sementara itu, Aku akan mengeraskan hati orang Mesir sehingga mereka akan bergerak mengikuti orang Israel. Kemuliaan-Ku akan dinyatakan kepada Firaun dan seluruh pasukannya, segala kereta kudanya dan pasukan berkudanya. 18 Orang Mesir akan mengetahui bahawa Akulah Allah pada waktu kemuliaan-Ku dinyatakan kepada Firaun, segala kereta kudanya, dan pasukan berkudanya.”
19 Kemudian malaikat Allah, yang sebelumnya berjalan di depan pasukan Israel, berpindah ke belakang mereka. Tiang awan itu bergerak dari depan mereka lalu berdiri di belakang mereka, 20 di antara pasukan Mesir dengan pasukan Israel. Awan itu menimbulkan kegelapan di satu sisi dan cahaya di sisi yang lain pada malam hari, sehingga semalaman itu, pasukan Mesir tidak dapat menghampiri pasukan orang Israel.
21 Kemudian Musa menghulurkan tangannya ke atas laut, dan Allah menguakkan laut dengan angin timur yang keras semalam-malaman itu, sehingga membuat dasar laut untuk menjadi tanah yang kering. Air pun terbelah. 22 aLalu masuklah orang Israel ke tengah-tengah laut dengan berjalan di tanah yang kering, sementara air itu menjadi seperti tembok di sebelah kanan dan kiri mereka. 23 Warga Mesir mengejar dan mengikuti mereka ke tengah-tengah laut – semua kuda Firaun, kereta kudanya, dan pasukan berkudanya. 24 Menjelang pagi, Allah menatap pasukan orang Mesir dari dalam tiang api dan awan, lalu mengacau pasukan warga Mesir itu. 25 Dia melepaskan roda-roda kereta kuda mereka sehingga berat untuk dikemudikan. Kata orang Mesir, “Mari kita lari daripada orang Israel kerana ternyata memang Allah yang berperang melawan Mesir untuk mereka.”
26 Firman Allah kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas laut supaya air berbalik melanda orang Mesir, segala kereta kuda mereka, dan pasukan berkuda mereka.” 27 Musa pun menghulurkan tangannya ke atas laut, lalu pada waktu fajar terbit kembalilah air laut ke tempatnya seperti sediakala, sementara orang Mesir berlari ke arah air itu. Demikianlah Allah menghempaskan orang Mesir di tengah-tengah laut. 28 Air itu kembali lalu menutupi segala kereta kuda dan pasukan berkuda, iaitu seluruh pasukan Firaun yang mengikuti orang Israel masuk ke laut. Tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang terselamat. 29 Sebaliknya, orang Israel berjalan di tanah yang kering di tengah laut, dan air itu menjadi seperti tembok di sebelah kanan dan kiri mereka.
30 Demikianlah Allah menyelamatkan orang Israel daripada tangan warga Mesir pada hari itu. Orang Israel melihat warga Mesir mati terdampar di pantai laut. 31 Ketika orang Israel melihat betapa besarnya kuasa yang ditunjukkan Allah terhadap orang Mesir, maka bertakwalah umat itu kepada Allah. Mereka pun percaya kepada Allah dan kepada Musa, hamba-Nya.
 
 
 
 
 
 
15
Nyanyian kemenangan Nabi Musa dan orang Israel
1 aMaka Musa dan orang Israel memanjatkan nyanyian ini bagi Allah. Demikianlah bunyinya,
“Akan kupanjatkan nyanyian kepada Allah kerana Dia amat termulia,
kuda dan penunggangnya dicampakkan-Nya ke dalam laut.
2 bAllah itu kekuatanku dan puji-pujianku,
Dia menjadi penyelamatanku.
Dialah Tuhanku, aku bernyanyi memuji Dia,
Dia Tuhan ayahku, aku akan meninggikan Dia.
3 Allah itu pejuang,
Allah, itulah nama-Nya.
4 Kereta kuda Firaun dan pasukannya dibuang-Nya ke dalam laut.
Para ketua tentera pilihannya pun dibenamkan ke dalam Laut Merah.
5 Samudera meliputi mereka,
seperti batu, mereka tenggelam ke dasar air.
6 Tangan kanan-Mu, ya Allah, mulia dalam kekuatan,
tangan kanan-Mu, ya Allah, menghancurleburkan musuh.
7 Dengan keagungan-Mu yang unggul
Engkau menjatuhkan orang yang bangkit melawan Engkau.
Engkau melepaskan murka-Mu yang menyala-nyala,
yang memakan habis mereka seperti tunggul jerami.
8 Dengan hembusan nafas-Muc sendiri, bertimbun-timbunlah air.
Membumbunglah air berdiri tegak bagaikan longgokan, sedangkan air di dasarnya membeku di pusat laut.
9 Kata musuh, ‘Aku mahu mengejar,
aku mahu menyusul, aku mahu membahagi-bahagikan hasil jarahan.
Aku akan memuaskan nafsuku terhadap mereka dan aku mahu menghunus pedangku.
Tanganku akan membinasakan mereka!
10 Engkau bertiup dengan angin-Mu,
dan laut pun meliputi mereka.
Mereka tenggelam seperti perum
dalam kehebatan kuasa air itu.
11 Siapakah seperti Engkau antara tuhan, ya Allah
Siapakah seperti Engkau,
mulia dalam kesucian,
mengerikan dalam puji-pujian-Nya,
wahai Engkau pembuat keajaiban?
12 Engkau menghulurkan tangan-Mu,
maka bumi pun menelan mereka.
13 Dengan kasih abadi-Mu Engkau memimpin
umat yang telah Kautebus.
Dengan kekuatan-Mu Engkau membimbing mereka
ke tempat kediaman-Mu yang suci.d
14 Bangsa-bangsa mendengarnya dan gementar,
tusukan perasaan mencekam penduduk Tanah Filistin.
15 Pada waktu itu para ketua kaum Edom gerun gementar,
kegentaran mencekam orang yang berkuasa di Moab,
seluruh penduduk Kanaan cemas.
16 Kengerian dan ketakutan melanda mereka.
Kerana kebesaran kuasa-Mu, mereka membisu seperti batu,
sampai umat-Mu menyeberang, ya Allah,
sampai selesai penyeberangan umat yang Kauperoleh itu.
17 Engkau akan membawa mereka masuk dan meletakkan mereka di gunung warisan pusaka-Mu,
di tempat yang Kaujadikan tempat tinggal-Mu, ya Allah,
di tempat suci yang telah didirikan oleh tangan-Mu, ya Allah.
18 Allah bertakhta untuk seterusnya dan selama-lamanya.”
19 Ketika kuda-kuda Firaun, segala kereta kudanya, dan pasukan berkudanya telah masuk ke laut, Allah membalikkan air laut ke atas mereka sedangkan orang Israel berjalan di tanah yang kering di tengah-tengah laut itu.
20 Kemudian Miryam, seorang nabiah yang juga saudara Harun, mengambil rebana, lalu semua perempuan keluar mengikutinya sambil memukul rebana dan menari-nari. 21 Miryam menyanyi berbalas-balasan dengan mereka,
“Akan kupanjatkan nyanyian kepada Allah kerana Dia amat termulia,
kuda dan penunggangnya dicampakkan-Nya ke dalam laut.”
Air yang pahit dijadikan manis
22 Setelah itu, Musa memimpin orang Israel mara dari Laut Merah, lalu mereka memasuki Gurun Syur. Selama tiga hari mereka berjalan di gurun itu tanpa mendapat air. 23 Kemudian sampailah mereka di Mara, tetapi air di Mara tidak dapat diminum mereka kerana rasanya pahit. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Mara. 24 Maka bersungut-sungutlah umat itu kepada Musa. Kata mereka, “Apakah yang akan kami minum?” 25 Musa berseru kepada Allah, lalu Allah menunjukkan kepadanya sebatang pokok kayu. Musa melemparkan kayu itu ke dalam air, lalu air itu menjadi manis.
Di sanalah Allah memberikan ketetapan dan peraturan kepada mereka dan di sanalah Dia menguji mereka. 26 Firman-Nya, “Jika kamu sungguh-sungguh mendengar suara Allah, Tuhanmu, melakukan apa yang benar dalam pandangan-Nya, memasang telinga kepada segala perintah-Nya, dan berpegang teguh pada segala ketetapan-Nya, maka Aku tidak akan mendatangkan atasmu penyakit yang telah Kubebankan atas warga Mesir, kerana Akulah Allah, yang menyembuhkan kamu.”
27 Maka sampailah mereka di Elim. Di sana ada dua belas buah mata air dan tujuh puluh batang pokok kurma. Mereka pun berkhemah di sana, berdekatan dengan air itu.
 
 
 
 
 
 
16
Manna dan burung puyuh dari langit
1 Seluruh jemaah Israel berangkat dari Elim, lalu sampailah mereka di Gurun Sin yang terletak di antara Elim dengan Gunung Sinai, tepat pada hari kelima belas bulan kedua sejak mereka keluar dari Tanah Mesir. 2 Akan tetapi, seluruh jemaah Israel bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun di gurun itu. 3 Kata orang Israel kepada mereka, “Ah, kalaulah dahulu kami mati di tangan Allah di Tanah Mesir ketika kami duduk menghadapi kuali berisi daging dan makan roti sampai kenyang! Tetapi kamu pula membawa kami keluar ke gurun ini untuk membunuh seluruh jemaah ini dengan kelaparan.”
4 aKemudian berfirmanlah Allah kepada Musa, “Sesungguhnya, Aku akan menghujani kamu dengan roti dari langit. Tiap-tiap hari bangsa itu harus keluar untuk memungut keperluan satu hari secukupnya. Dengan demikian, Aku dapat menguji sama ada mereka mahu hidup menurut hukum-Ku. 5 Pada hari keenam mereka harus memungut dua kali ganda banyaknya daripada yang biasa dipungut mereka setiap hari, lalu memasak apa yang dibawa pulang oleh mereka.”
6 Musa dan Harun pun berkata kepada seluruh orang Israel, “Petang ini kamu akan tahu bahawa Allah sajalah yang sudah membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, 7 dan esok pagi kamu akan menyaksikan kemuliaan Allah, kerana Dia mendengar segala rungutanmu kepada Allah. Sebab, siapakah kami ini sehingga kamu bersungut-sungut terhadap kami?” 8 Kata Musa lagi, “Allah akan memberi kamu makan daging pada petang hari, dan roti pada pagi hari sampai kamu kenyang, kerana Allah mendengar segala rungutan yang kamu tujukan kepada-Nya. Siapakah kami ini? Sesungguhnya, kamu bukannya bersungut-sungut kepada kami, tetapi kepada Allah.”
9 Kemudian Musa berkata kepada Harun, “Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel, ‘Marilah mendekati hadirat Allah, kerana Dia telah mendengar rungutanmu.” 10 Sewaktu Harun sedang berbicara kepada seluruh jemaah Israel, mereka berpaling ke arah gurun. Tiba-tiba tampaklah kemuliaan Allah dalam awan. 11 Lalu Allah berfirman kepada Musa, 12 “Aku telah mendengar segala rungutan orang Israel. Katakanlah kepada mereka demikian, ‘Pada waktu senja kamu akan makan daging dan pada waktu pagi kamu akan kenyang dengan roti. Maka dengan itu, kamu akan tahu bahawa Akulah Allah, Tuhanmu.”
13 Pada petang hari itu datanglah burung-burung puyuh menutupi perkhemahan, dan pada pagi hari terdapat embun di sekeliling perkhemahan. 14 Setelah embun itu mengewap, kelihatanlah benda-benda tipis berkelopak seperti sisik dan bagaikan embun beku halus di atas tanah permukaan gurun itu. 15 bKetika orang Israel melihatnya, berkatalah mereka sesama diri, “Apakah ini?” kerana mereka tidak tahu apa benda itu.
Kata Musa kepada mereka, “Inilah roti yang dikurniakan Allah kepadamu sebagai makanan. 16 Beginilah perintah Allah, ‘Pungutlah makanan itu, masing-masing sebanyak yang dapat kamu makan. Ambillah satu omerc untuk tiap-tiap kepala, selaras dengan jumlah orang yang ada di dalam khemah masing-masing.”
17 Demikianlah yang dilakukan orang Israel. Masing-masing memungutnya, ada yang banyak, ada yang sedikit. 18 eKetika mereka mengukurnya dengan omer,d ternyata orang yang memungut banyak tidak berlebihan, dan orang yang memungut sedikit tidak kekurangan. Masing-masing memungut sebanyak yang dapat dimakannya. 19 Kata Musa kepada mereka, “Tiada seorang pun boleh meninggalkan sisa sampai pagi.” 20 Tetapi ada beberapa orang yang tidak menghiraukan peringatan Musa. Mereka meninggalkan sisa sampai pagi hari, lalu sisa itu berulat dan berbau busuk. Maka marahlah Musa kepada mereka. 21 Pagi demi pagi mereka memungutnya, masing-masing sebanyak yang dapat dimakannya. Namun begitu, setelah ada panas matahari, cairlah makanan itu.
22 Pada hari keenam mereka memungut roti itu dua kali ganda banyaknya, dua cupak untuk setiap orang. Kemudian datanglah semua pemimpin jemaah memberitahu Musa. 23 ghKata Musa kepada mereka, “Inilah yang telah difirmankan Allah, ‘Esok ialah hari istirahat penuh takzim, Sabatf yang suci bagi Allah. Oleh sebab itu, bakarlah apa yang perlu kamu bakar dan rebuslah apa yang perlu kamu rebus. Hidangan yang selebihnya simpanlah sampai pagi.” 24 Mereka menyimpannya sampai pagi sebagaimana yang diperintahkan Musa, tetapi roti itu tidak berbau busuk dan tidak berulat di dalamnya. 25 Kata Musa, “Makanlah itu pada hari ini, kerana hari ini ialah hari Sabat bagi Allah, dan kamu tidak akan menemukannya di padang. 26 Selama enam hari kamu harus memungutnya, tetapi pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat, tidak akan ada makanan itu.”
27 Pada hari ketujuh, beberapa orang daripada bangsa itu keluar untuk memungutnya, tetapi mereka tidak menemukannya. 28 Lalu berfirmanlah Allah dengan perantaraan Musa, “Berapa lama lagikah kamu enggan mentaati perintah-Ku dan hukum-Ku? 29 Ingatlah bahawa Allah telah mengurniakan hari Sabat kepadamu. Oleh sebab itu, pada hari keenam Dia memberimu roti untuk dua hari. Pada hari ketujuh masing-masing harus tinggal di tempatnya, tiada seorang pun boleh keluar dari tempatnya.” 30 Demikianlah bangsa itu beristirahat pada hari ketujuh.
31 jKeturunan kaum Israel menamai roti itu manna.i Besarnya seperti ketumbar, warnanya putih, dan rasanya seperti kuih bercampur madu. 32 Musa berkata, “Inilah yang diperintahkan oleh Allah, ‘Ambillah satu omerk penuh untuk disimpan bagi keturunanmu, supaya mereka dapat melihat roti yang Kuberikan kepadamu untuk dimakan di gurun, setelah Aku membawa kamu keluar dari Tanah Mesir.” 33 mKemudian Musa berkata kepada Harun, “Ambillah sebuah kendi, letakkan satu omerl penuh manna di dalamnya, lalu letakkanlah di hadapan Allah untuk disimpan bagi keturunanmu.” 34 Maka seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa, Harun pun menempatkan kendi itu di hadapan tabutn loh hukumo untuk disimpan. 35 pEmpat puluh tahun lamanya orang Israel makan manna itu, sampailah mereka tiba di negeri yang berpenduduk. Dimakanlah mereka manna itu sampai tiba di perbatasan Tanah Kanaan. 36 Satu omerq ialah sepersepuluh efa.
 
 
 
 
 
 
17
Air di Masa dan di Meriba
1 aKemudian seluruh jemaah Israel berangkat dari Gurun Sin lalu tahap demi tahap mereka meneruskan perjalanan mereka sebagaimana yang difirmankan oleh Allah. Mereka berkhemah di Rafidim, tetapi di sana tidak ada air untuk diminum oleh umat itu. 2 Lalu berbantahlah bangsa itu dengan Musa, kata mereka, “Berilah kami air supaya kami dapat minum.”
Kata Musa kepada mereka, “Mengapakah kamu berbantah dengan aku? Mengapakah kamu mencubai Allah?”
3 Tetapi umat itu kehausan di sana dan ingin minum. Maka mereka merungut-rungut kepada Musa dan berkata, “Mengapakah engkau memimpin kami keluar dari Mesir? Hanya untuk membunuh kami, anak-anak kami, dan ternakan kami dengan kehausan?”
4 Maka berserulah Musa kepada Allah, katanya, “Apakah yang harus kulakukan terhadap umat ini? Mereka sudah hampir-hampir mahu merejam aku.”
5 Firman Allah kepada Musa, “Berjalanlah di depan umat itu dan bawalah beberapa orang tua-tua Israel. Bawalah di tanganmu tongkatmu yang kamu gunakan untuk memukul Sungai Nil dahulu, dan pergilah. 6 Aku akan hadir di hadapanmu di atas batu pejal di Horeb. Pukullah batu pejal itu, maka air akan keluar dari dalamnya sehingga bangsa itu dapat minum.” Lalu Musa melaksanakan hal itu di hadapan mata para tua-tua Israel.
7 Dinamainya tempat itu Masa dan Meriba, kerana di sana orang Israel berbantah-bantah dan mencubai Allah dengan berkata, “Hadirkah Allah dalam kalangan kita atau tidak?”
Orang Israel menewaskan orang Amalek
8 Kemudian datanglah orang Amalek dan berperang melawan orang Israel di Rafidim. 9 Kata Musa kepada Yusha, “Pilihlah bagi kita beberapa orang, lalu keluarlah berperang melawan orang Amalek. Esok aku akan berdiri di atas puncak bukit itu dengan tongkat Allah di tanganku.” 10 Yusha pun melaksanakan apa yang dikatakan Musa kepadanya dan memerangi orang Amalek. Sementara itu, Musa, Harun, dan Hur naik ke puncak bukit. 11 Lalu inilah yang terjadi: apabila Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang, namun apabila ia menurunkan tangannya, orang Amalek menang. 12 Akan tetapi, lama-kelamaan tangan Musa menjadi letih. Oleh itu, mereka mengambil sebuah batu dan meletakkannya berdekatan dengan Musa supaya dia dapat duduk di atasnya. Kemudian Harun dan Hur menopang tangan Musa, seorang di satu sisi dan seorang lagi di sisi yang lain, sehingga tangannya tetap terangkat sampai terbenamnya matahari. 13 Maka Yusha melumpuhkan Amalek dan pasukannya dengan mata pedang.
14 bAllah berfirman kepada Musa, “Tulislah hal ini dalam kitab sebagai peringatan, dan sampaikan kepada Yusha bahawa Aku akan menghapuskan segala kenangan tentang orang Amalek dari bawah kolong langit.” 15 Maka Musa membina sebuah mazbah pembakaran korban, dan menamainya “Allah itu panjiku”, 16 kerana katanya, “Tangan terangkat ke arah takhta Allah, dan Allah berperang melawan Amalek turun-temurun.”
 
 
 
 
 
 
18
Nabi Musa dinasihati mentuanya, Yitro (Syu’aib)
1 Mentua Musa, iaitu Yitro, imam di Madyan, mendengar tentang semua pekerjaan Allah terhadap Musa dan terhadap Israel, umat-Nya, iaitu bahawa Allah telah membawa orang Israel keluar dari Mesir. 2 aKemudian Yitro, mentua Musa itu, membawa Zipora, isteri Musa, yang sebelum itu disuruh Musa pulang, 3 bserta dua orang anak lelaki Zipora. Anak yang seorang bernama Gersom, kerana kata Musa, “Aku telah menjadi pendatang di negeri asing,” 4 dan yang seorang lagi bernama Eliezer, kerana katanya, “Tuhan yang disembah ayahku ialah penolongku. Dia telah menyelamatkan aku daripada pedang Firaun.” 5 Akhirnya sampailah Yitro mentua Musa berserta anak-anak dan isteri Musa di gurun, tempat Musa berkhemah dekat dengan gunung Allah itu. 6 Diutusnya orang untuk menyampaikan berita kepada Musa, “Aku, mentuamu Yitro, datang mengunjungimu bersama-sama isterimu serta kedua-dua orang anaknya.” 7 Maka keluarlah Musa untuk menemui mentuanya lalu dia sujud memberi hormat kepadanya dan menciumnya. Mereka saling bertanya khabar satu sama lain lalu masuk ke dalam khemah. 8 Musa menceritakan kepada mentuanya semua yang dilakukan Allah terhadap Firaun dan warga Mesir demi orang Israel, dan juga segala kesusahan yang dialami mereka ketika dalam perjalanan serta bagaimana Allah menyelamatkan mereka. 9 Maka bersukacitalah Yitro mendengar segala kebaikan yang dilakukan Allah terhadap orang Israel dengan menyelamatkan mereka daripada tangan warga Mesir. 10 Kata Yitro, “Segala puji-pujian bagi Allah yang telah menyelamatkan kamu daripada tangan warga Mesir serta daripada tangan Firaun, dan yang telah menyelamatkan bangsa ini daripada tangan warga Mesir. 11 Sekarang aku tahu bahawa Allah lebih besar daripada semua tuhan, kerana hal ini dilakukan-Nya terhadap orang yang bersikap angkuh terhadap orang Israel.” 12 Lalu Yitro, mentua Musa, mempersembahkan korban bakaran dan beberapa korban sembelihan kepada Allah. Kemudian Harun dan semua tua-tua Israel datang untuk makan roti dengan mentua Musa di hadirat Allah.
Pelantikan hakim
13 Keesokan harinya, Musa duduk menjadi hakim atas umat itu. Mereka itu berdiri di hadapan Musa dari pagi hingga petang. 14 Ketika mentua Musa melihat semua pekerjaan Musa atas umat itu, berkatalah dia, “Apakah yang kaulakukan terhadap umat ini? Mengapakah engkau sendiri sahaja yang menjadi hakim sementara seluruh umat itu berdiri di hadapanmu dari pagi sampai petang?”
15 Jawab Musa kepada mentuanya, “Sebabnya bangsa ini datang kepadaku untuk mencari petunjuk Allah. 16 Jika ada suatu perkara antara mereka, maka mereka datang kepadaku dan aku menjadi hakim antara seorang dengan sesamanya. Aku menyampaikan kepada mereka segala ketetapan dan hukum Allah.”
17 Lalu kata mentua Musa kepadanya, “Apa yang kamu lakukan ini tidak baik. 18 Sebab dengan cara itu, engkau dan juga umat yang berserta denganmu ini akan menjadi sangat penat. Pekerjaan ini terlalu berat bagimu dan engkau tidak dapat mengerjakannya seorang diri. 19 Sekarang, dengarlah kata-kataku. Aku mahu memberikan nasihat kepadamu dan semoga Allah menyertai engkau. Engkau harus menghadap Allah untuk mewakili umat itu serta menyampaikan perkara-perkara mereka kepada Allah. 20 Ajarlah mereka ketetapan-ketetapan serta hukum-hukum, dan beritahu mereka cara hidup yang patut dijalani mereka serta pekerjaan yang patut dilakukan mereka. 21 Selain itu, carilah dalam kalangan seluruh umat itu beberapa orang yang berkebolehan lagi bertakwa kepada Allah, orang yang boleh dipercayai dan amanah, iaitu tidak dapat disuap. Lantiklah mereka untuk menjadi pemimpin seribu orang, pemimpin seratus orang, pemimpin lima puluh orang, dan pemimpin sepuluh orang. 22 Biarkanlah mereka menjadi hakim atas umat itu pada waktu-waktu yang telah ditetapkan. Semua perkara yang besar hendaklah dibawa mereka kepadamu, tetapi semua perkara yang kecil hendaklah diadili sendiri oleh mereka. Dengan demikian, akan ringanlah pekerjaanmu manakala mereka turut memikul beban untuk memimpin bersama-samamu. 23 Jika hal itu kaulakukan dan Allah memang memerintahkannya kepadamu, maka engkau akan sanggup menanggungnya dan seluruh umat ini juga akan pulang ke tempat mereka dengan sejahtera.”
24 Musa mendengar nasihat mentuanya lalu melaksanakan semua yang dikatakannya. 25 Daripada kalangan seluruh umat Israel, Musa memilih beberapa orang yang berkebolehan, dan melantik mereka untuk menjadi ketua atas umat itu sebagai pemimpin seribu orang, pemimpin seratus orang, pemimpin lima puluh orang, dan pemimpin sepuluh orang. 26 Mereka menjadi hakim atas umat itu pada waktu-waktu yang ditetapkan. Perkara-perkara yang sukar dibawa mereka kepada Musa, tetapi mereka sendiri menghakimi perkara yang kecil.
27 Kemudian Musa melepaskan mentuanya pergi untuk pulang ke negerinya sendiri.
 
 
 
 
 
 
19
Orang Israel di Gunung Sinai
1 Pada hari pertama bulan ketiga setelah orang Israel keluar dari Tanah Mesir, sampailah mereka di Gurun Sinai. 2 Setelah berangkat dari Rafidim, mereka tiba di Gurun Sinai lalu orang Israel pun berkhemah, berhadapan dengan Gunung Sinai.a 3 Maka naiklah Musa menghadap Allah.
Dan Allah berseru kepadanya dari gunung itu, lalu berfirman, “Beginilah harus kaukatakan kepada keturunan kaum Yakub dan hendaklah kamu sampaikan kepada orang Israel, 4 ‘Kamu telah melihat apa yang Aku lakukan atas warga Mesir, dan bagaimana Aku telah mengangkat kamu seperti di atas sayap burung rajawali serta membawa kamu ke hadirat-Ku. 5 bcSekarang, jika kamu sungguh-sungguh mematuhi-Ku dan taat memegang perjanjian-Ku dengan teguh, maka kamu akan menjadi harta-Ku yang istimewa antara segala bangsa, kerana seluruh bumi milik-Ku. 6 dBagi-Ku kamu akan menjadi kerajaan para imam dan bangsa suci. Firman inilah yang harus kausampaikan kepada orang Israel.” 7 Maka kembalilah Musa dan dipanggilnya tua-tua umat itu. Lalu dia menyampaikan kepada mereka semua firman yang Allah perintahkan kepadanya. 8 Kesemua umat itu pun menjawab bersama-sama, “Semua yang difirmankan Allah akan kami lakukan.” Lalu Musa menyampaikan apa yang dikatakan mereka kepada Allah.
9 Firman Allah kepada Musa, “Sesungguhnya, Aku akan datang kepadamu dalam awan yang tebal, supaya bangsa itu dapat mendengar apabila Aku berfirman kepadamu, dan supaya mereka akan sentiasa percaya kepadamu.” Lalu Musa menyampaikan kata-kata umat itu kepada Allah. 10 Firman Allah kepada Musa, “Pergilah kepada umat itu. Sucikanlah mereka pada hari ini dan esok. Mereka harus mencuci pakaian mereka 11 dan bersiap-siaplah menjelang hari ketiga, kerana pada hari ketiga itu Allah akan hadir di atas Gunung Sinai di hadapan mata seluruh bangsa itu. 12 eBinalah batas di sekeliling umat itu dan katakanlah kepada mereka, ‘Berhati-hatilah supaya kamu tidak naik ke gunung atau menyentuh kaki gunung itu. Sesiapa yang menyentuh gunung itu, dia pasti akan dihukum mati. 13 Tiada satu tangan pun boleh menyentuh orang tersebut, kerana dia pasti direjam atau dipanah sampai mati.’ Baik haiwan mahupun manusia tidak akan dibiarkan hidup. Apabila sangkakala berbunyi panjang, barulah mereka boleh mendekati gunung itu.”
14 Maka turunlah Musa dari gunung untuk menemui umat itu. Dia menyucikan umat itu, dan mereka pun mencuci pakaian masing-masing. 15 Kata Musa kepada umat itu, “Bersiap sedialah menjelang hari ketiga. Jangan bersentuh dengan perempuan.”
16 fgPada pagi hari ketiga berlakulah guruh dan kilat, dan awan pekat muncul di atas gunung itu serta bunyi sangkakala yang kedengaran tersangat kuat. Gementarlah seluruh umat di perkhemahan itu. 17 Musa membawa bangsa itu keluar dari perkhemahan untuk menemui Allah, lalu mereka berdiri di kaki gunung itu. 18 Gunung Sinai tertutup sepenuhnya oleh asap kerana Allah hadir di atasnya, di dalam api. Asapnya naik seperti asap daripada relau dan seluruh gunung itu bergetar dengan hebatnya. 19 Semakin lama, bunyi sangkakala itu semakin kuat. Lalu berbicaralah Musa, dan Allah menjawab dia dengan suara seperti guruh. 20 Allah hadir di atas puncak Gunung Sinai, lalu Allah memanggil Musa naik ke puncak gunung, maka Musa pun naik. 21 Firman Allah kepada Musa, “Turunlah, berikan peringatan kepada umat itu supaya jangan menerobos batas untuk datang melihat kemuliaan Allah, kelak ramai daripada mereka yang musnah. 22 Hendaklah para imam yang datang menghampiri Allah juga menyucikan diri supaya jangan kuasa Allah menyambar mereka.”
23 Kata Musa kepada Allah, “Umat itu tidak dapat naik ke Gunung Sinai kerana Engkau sendiri telah mengingatkan kami sedemikian, ‘Binalah batas di sekeliling gunung ini dan sucikannya.”
24 Firman Allah kepadanya, “Pergilah ke bawah, kemudian naiklah lagi ke mari bersama dengan Harun. Tetapi para imam dan rakyat tidak boleh menerobos naik untuk mendekati hadirat Allah, supaya jangan kuasa-Nya menyambar mereka.” 25 Maka turunlah Musa mendapatkan umat itu dan menyampaikan hal itu kepada mereka.
 
 
 
 
 
 
20
Sepuluh Perintah Allah
1 Lalu Allah berfirmankan semua kata ini:
2 “Akulah Allah, Tuhanmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan.
3 Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku.
4 aJangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa-apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi.
5 cJangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, Allah, Tuhanmu, ialah Tuhan yang tidak mahu diduakan, yang membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat dalam kalangan mereka yang membenci Aku.b 6 Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku.
7 dJangan gunakan nama Allah, Tuhanmu, dengan sembarangan, kerana Allah akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan.
8 ePeringatilah hari Sabat dan jagalah kesuciannya. 9 fEnam hari lamanya engkau harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu, 10 tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi Allah, Tuhanmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hamba lelakimu, hamba perempuanmu, ternakanmu, mahupun pendatang yang ada di kotamu. 11 gKerana enam hari lamanya Allah menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, lalu Dia beristirahat pada hari ketujuh. Itulah sebabnya Allah memberkati hari Sabat dan menjadikannya suci.
12 hHormatilah ibu bapamu, supaya lanjut usiamu di bumi yang Allah, Tuhanmu, kurniakan kepadamu.
13 iJangan membunuh.
14 jJangan berzina.
15 kJangan mencuri.
16 lJangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu.
17 mJangan mendambakan rumah sesamamu. Jangan mengingini isteri sesamamu, hambanya baik yang lelaki mahupun yang perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu.”
Orang Israel takut menghadapi hadirat Allah
18 nSeluruh umat itu menyaksikan guruh dan kilat, bunyi sangkakala, dan gunung yang berasap. Maka gementarlah mereka dalam ketakutan lalu berdiri jauh-jauh. 19 Kata mereka kepada Musa, “Engkau sajalah yang berbicara kepada kami, kami akan mendengar kata-katamu, tetapi janganlah Allah yang berbicara kepada kami, nanti kami mati.”
20 Kata Musa kepada umat itu, “Janganlah takut, kerana Allah telah datang untuk menguji kamu supaya kamu sentiasa bertakwa kepada-Nya lantas kamu tidak berbuat dosa.” 21 Umat itu berdiri jauh-jauh, tetapi Musa menghampiri kepekatan yang menyelubungi hadirat Allah.
Peraturan tentang mazbah
22 Allah berfirman kepada Musa, “Beginilah harus kamu katakan kepada orang Israel, ‘Kamu telah menyaksikan bahawa Aku berfirman kepadamu dari langit. 23 Jangan buat sesuatu yang menduakan Aku. Jangan buat untuk dirimu tuhan-tuhan perak ataupun tuhan-tuhan emas, 24 tetapi buatlah bagi-Ku suatu mazbah daripada tanah, lalu persembahkanlah di atasnya korban bakaranmu dan korban kedamaianmu, iaitu domba dan lembumu. Di setiap tempat yang Kujadikan nama-Ku diingati, di situlah Aku akan datang kepadamu dan memberkati kamu. 25 oJika kamu hendak membuat suatu mazbah daripada batu bagi-Ku, janganlah membangunkannya daripada batu yang dipahat, kerana jika kamu mengenakan pahatmu padanya maka kamu menajiskannya. 26 Jangan naik tangga ke mazbah-Ku, supaya jangan terselak auratmu di atasnya.
 
 
 
 
 
 
21
Peraturan tentang hamba berbangsa Ibrani
1 Inilah peraturan-peraturan yang harus kamu sampaikan kepada mereka. 2 aJika engkau membeli seorang hamba bangsa Ibrani, dia hanya boleh berkhidmat denganmu selama enam tahun. Pada tahun ketujuh, dia hendaklah keluar sebagai orang bebas tanpa dikenakan tuntutan. 3 Jika datangnya seorang diri, maka dia harus keluar seorang diri juga. Jika dia datang dengan isteri, maka isterinya harus keluar juga bersama-samanya. 4 Jika tuannya memberinya seorang isteri dan perempuan itu melahirkan anak lelaki atau perempuan untuknya, maka isterinya itu dengan anak-anaknya tetap menjadi milik tuannya. Hamba itu harus keluar seorang diri. 5 Tetapi jika hamba itu berkata dengan sejelas-jelasnya demikian, “Aku mengasihi tuanku, serta isteriku dan anakku. Aku tidak mahu keluar sebagai orang bebas,” 6 maka tuannya harus membawanya ke hadapan Allah, kemudian membawanya ke pintu atau ke tiang pintu untuk menindik telinganya dengan penindik. Maka, dengan itu, dia akan menjadi hamba tuannya seumur hidup.
7 Jika seseorang menjual anak perempuannya sebagai hamba, maka hamba perempuan itu tidak boleh keluar dan bebas seperti hamba lelaki. 8 Jika perempuan itu tidak disukai oleh tuannya yang telah memilihnya untuk dirinya, maka dia harus mengizinkan perempuan itu ditebus semula. Dia tidak berhak menjualnya kepada bangsa asing, kerana dia tidak menepati janjinya kepada perempuan itu. 9 Jika dia memilih perempuan itu untuk anak lelakinya, dia harus melayaninya sebagaimana seharusnya anak perempuan dilayan. 10 Jika dia memperisteri perempuan lain, maka dia tidak boleh mengurangkan makanan bagi perempuan itu, pakaiannya, dan juga nafkah batinnya. 11 Jika dia tidak memenuhi ketiga-tiga hal itu, maka perempuan itu boleh keluar dengan bebas tanpa dikenakan tuntutan.
Peraturan tentang kecederaan
12 bSesiapa yang memukul orang hingga mati, dia pasti dihukum mati. 13 cMeskipun begitu, jika pembunuhan itu tidak disengajakan dan Allah membiarkan tangannya berbuat demikian, maka Aku akan menentukan bagimu suatu tempat ke mana dia dapat lari. 14 Jika seseorang berbuat zalim kepada sesamanya dan membunuhnya dengan tipu muslihat, maka engkau harus mengambil orang itu dari mazbah pembakaran korban-Ku dan menjalankan hukuman mati atasnya.
15 Sesiapa yang memukul ayahnya atau ibunya, dia pasti dihukum mati.
16 dSesiapa yang menculik seseorang, sama ada orang itu sudah dijualnya atau masih dalam tangannya, dia pasti dihukum mati.
17 eSesiapa yang mengutuk ayahnya atau ibunya, dia pasti dihukum mati.
18 Jika ada orang bertengkar lalu salah seorang memukul yang lain dengan batu atau penumbuknya, dan mangsa itu tidak mati tetapi perlu terbaring di tempat tidur 19 serta kemudian dapat bangkit dan berjalan lagi di luar dengan memakai tongkat, maka orang yang memukulnya itu bebas daripada kesalahan. Dia hanya perlu mengganti kerugian orang itu kerana orang itu harus berhenti bekerja, dan dia harus menanggung biaya pengubatannya sampai sembuh.
20 Jika seseorang memukul hambanya baik lelaki mahupun perempuan dengan tongkat hingga hamba itu mati di tangannya, dia pasti dihukum. 21 Tetapi jika hamba itu masih hidup satu dua hari, dia tidak akan dihukum kerana hamba itu miliknya.
22 Jika ada orang berkelahi dan tidak sengaja memukul seorang perempuan yang mengandung sehingga kandungannya itu gugur walaupun perempuan itu selamat, maka orang itu pasti didenda sebanyak yang dikenakan oleh suami perempuan itu kepadanya, dan dia harus membayarnya untuk menepati apa yang diputuskan hakim. 23 Tetapi jika berlaku kecederaan yang parah, engkau harus membayar nyawa diganti nyawa, 24 fmata diganti mata, gigi diganti gigi, tangan diganti tangan, kaki diganti kaki, 25 luka terbakar diganti luka terbakar, luka diganti luka, dan bilur diganti bilur.g
26 Jika seseorang memukul mata hamba lelakinya atau mata hamba perempuannya hingga merosakkannya, maka dia harus memerdekakan hamba itu untuk mengganti matanya itu. 27 Jika dipukulnya sampai tertanggal gigi hamba lelakinya atau gigi hamba perempuannya, maka dia harus membebaskan hamba itu untuk mengganti giginya itu.
28 Jika seekor lembu menanduk seorang lelaki atau perempuan sehingga mati orang itu, maka lembu itu mesti direjam dan dagingnya tidak boleh dimakan, sedangkan pemilik lembu itu bebas daripada kesalahan. 29 Akan tetapi, jika lembu itu sejak dahulu memang sering menanduk dan pemiliknya tidak mahu menjaganya walaupun sudah diberi peringatan, lalu lembu itu menanduk mati seorang lelaki atau perempuan, maka lembu itu harus direjam dan pemiliknya pun harus dihukum mati. 30 Namun begitu, jika sejumlah wang tebusan ditanggungkan kepadanya, maka dia hendaklah membayar semua yang ditanggungkan kepadanya itu sebagai tebusan nyawanya. 31 Jika lembu itu menanduk seorang anak lelaki atau perempuan, maka peraturan itu berkuat kuasa pula atas pemiliknya. 32 Jika lembu itu menanduk seorang hamba lelaki atau hamba perempuan, maka pemiliknya harus membayar tiga puluh syikalh perak kepada pemilik hamba itu, dan lembu itu hendaklah direjam.
33 Jika seseorang membuka sebuah lubang, atau jika seseorang menggali sebuah lubang dan tidak menutupnya, lalu seekor lembu atau keldai jatuh ke dalamnya, 34 maka pemilik lubang itu harus membayar ganti rugi. Hendaklah dia membayar mengikut harga binatang itu kepada pemiliknya, dan bangkai binatang itu menjadi miliknya. 35 Jika lembu seseorang melukai lembu orang lain sampai mati, maka lembu yang hidup itu harus dijual dan wangnya harus dibahagi dua. Lembu yang mati itu pun harus dibahagi dua. 36 Akan tetapi, jika sudah diketahui bahawa lembu itu sejak dahulu sering menanduk, dan pemiliknya tidak mahu menjaganya, maka dia harus membayar ganti rugi penuh, lembu mengganti lembu, sedangkan bangkai itu menjadi miliknya.
 
 
 
 
 
 
22
Peraturan tentang harta benda
1 Jika seseorang mencuri seekor lembu atau seekor domba dan menyembelihnya atau menjualnya, maka hendaklah dia membayar ganti rugi, lima ekor lembu mengganti lembu itu dan empat ekor domba untuk mengganti domba itu. 2 Jika pencuri itu didapati sedang memecah masuk lalu dia dipukul orang sampai mati, maka tiada hutang darah yang ditanggungkan kepada si pemukul. 3 Tetapi jika pembunuhan itu berlaku sesudah terbit matahari, maka si pemukul berhutang darah. Seorang pencuri harus membayar ganti rugi penuh. Jika dia tidak memiliki apa-apa, maka hendaklah dia dijual sebagai mengganti barang curiannya itu. 4 Jika binatang curian itu, baik lembu, keldai, mahupun domba, didapati masih hidup di tangannya, maka hendaklah dia membayar ganti rugi dua kali ganda.
5 Jika seseorang menggembala ternakan di ladang atau di kebun anggur, dan ternakannya itu dibiarkan lepas sehingga memakan hasil di ladang orang lain, maka dia hendaklah memberikan hasil terbaik daripada ladangnya dan hasil terbaik daripada kebun anggurnya sendiri sebagai bayaran ganti rugi.
6 Jika berlaku kebakaran di ladang lalu merebak dan menyambar semak duri, sehingga timbunan gandum atau rumpun gandum yang belum dituai bahkan seluruh ladang dimakan api, maka orang yang menyalakan api itu harus membayar ganti rugi penuh.
7 Jika seseorang mengamanahkan wang atau barangnya untuk disimpan oleh jirannya lalu wang atau barang itu dicuri dari rumah kawan itu, maka jika si pencuri itu ditemukan, hendaklah dia membayar ganti rugi dua kali ganda. 8 Jika si pencuri tidak ditemukan, maka tuan rumah yang berkenaan hendaklah dihadapkan kepada Allah untuk diperiksa sama ada dia ada memanjangkan tangannya untuk mengambil barang milik jirannya.
9 Dalam segala bentuk kecerobohan, sama ada berkaitan dengan lembu, keldai, domba, pakaian, atau barang apa-apa pun yang hilang, jika salah seorang berkata, “Ini milikku,” maka perkara kedua-dua orang itu harus dibawa ke hadirat Allah. Sesiapa yang dipersalahkan oleh Allah harus membayar ganti rugi dua kali ganda kepada jirannya.
10 Jika seseorang mengamanahkan jirannya untuk menjaga seekor keldai, lembu, domba, atau binatang lainnya lalu binatang itu mati, luka, atau diambil orang tanpa ada yang melihatnya, 11 maka haruslah diangkat sumpah demi Allah antara kedua-dua orang itu untuk menentukan sama ada dia memanjangkan tangannya untuk mengambil harta milik jirannya. Sumpah itu harus diterima oleh si pemilik, dan jirannya itu tidak perlu membayar ganti rugi. 12 Tetapi jika binatang itu benar-benar dicuri daripadanya, maka dia harus membayar ganti rugi kepada si pemilik. 13 Jika binatang itu benar-benar dikoyak-koyakkan oleh binatang buas, maka dia harus membawanya sebagai bukti, dan dia tidak perlu membayar ganti rugi bagi binatang yang dikoyak-koyakkan itu.
14 Jika seseorang meminjam seekor binatang daripada jirannya lalu binatang itu luka atau mati ketika pemiliknya tidak ada di situ, maka dia harus membayar ganti rugi penuh. 15 Jika pemiliknya ada di situ, maka dia tidak perlu membayar ganti rugi. Jika binatang itu disewa, maka kerugian itu sudah termasuk dalam sewanya.
Peraturan tentang dosa yang keji
16 aJika seseorang memujuk seorang anak dara yang belum bertunangan lalu menidurinya, maka dia hendaklah membayar mas kahwin untuk memperisteri perempuan itu. 17 Jika ayah perempuan itu sama sekali menolak untuk memberikan anaknya kepadanya, maka orang itu masih perlu membayar wang senilai mas kahwin lazim bagi anak dara.
18 bJangan kamu biarkan hidup seorang perempuan yang menjadi ahli sihir.
19 cSesiapa bersetubuh dengan seekor binatang, dia wajib dihukum mati.
20 dSesiapa yang mempersembahkan korban kepada mana-mana tuhan, dan bukan kepada Allah semata-mata, dia hendaklah dimusnahkan.
21 eJangan menindas seorang pendatang atau menganiayainya, kerana kamu pun dahulu pendatang di Tanah Mesir. 22 Jangan menindas mana-mana balu atau anak yatim. 23 Jika engkau menindas mereka lalu mereka berseru kepada-Ku, Aku pasti akan mendengar seruan mereka. 24 Murka-Ku akan menyala-nyala dan Aku akan membunuh kamu dengan pedang lalu para isterimu menjadi balu dan anak-anakmu menjadi yatim.
25 fJika kamu meminjamkan wang kepada seorang daripada umat-Ku yang miskin dalam kalangan kamu, jangan menjadi penagih hutang terhadap dia dan jangan kaubebankan faedah hutang itu atasnya. 26 gJika kamu mengambil pakaian kawanmu sebagai gadaian, kembalikanlah pakaian itu kepadanya sebelum matahari terbenam, 27 kerana hanya itulah penutup dan pakaian pada tubuhnya; dengan apakah dia akan tidur? Jadi, jika dia berseru kepada-Ku, Aku akan mendengarkannya, kerana Aku ini maha pengasih.
Beberapa peraturan lain
28 hJangan menghina Allah dan jangan mengutuk seorang pemimpin bangsamu.
29 Jangan lalai mempersembahkan hasil tuaianmu dan hasil pemerahan anggurmu.
Yang sulung daripada anak-anak lelakimu harus kamu khususkan bagi-Ku. 30 Demikian jugalah harus kamu lakukan dengan kawanan lembu dan kawanan dombamu. Tujuh hari lamanya anak-anak binatang itu harus tinggal dengan induknya, tetapi pada hari kelapan engkau harus mempersembahkannya kepada-Ku.
31 iJadilah orang yang suci bagi-Ku. Jangan kamu makan daging yang dikoyak-koyakkan oleh binatang liar. Campakkanlah daging itu kepada anjing.
 
 
 
 
 
 
23
Peraturan tentang tanggungjawab awam
1 aJangan sebarkan khabar dusta. Jangan tolong orang fasiq dengan menjadi saksi yang tidak benar. 2 Jangan mengikut orang ramai melakukan kejahatan. Jika kamu menjadi saksi dalam suatu perkara, jangan menyimpang dengan mengikut orang ramai yang memutarbalikkan apa yang benar. 3 bJangan berpihak kepada orang miskin dalam tujuannya.
4 cJika kamu menemukan lembu musuhmu atau keldainya yang tersesat, kamu hendaklah mengembalikan binatang itu kepadanya. 5 Jika kamu melihat keldai milik orang yang membencimu rebah kerana berat tanggungannya, jangan enggan menolongnya. Tolonglah orang itu dan juga keldainya.
6 dJangan merampas hak orang miskin untuk mendapatkan keadilan. 7 Jauhkanlah dirimu daripada perkara dusta dan jangan kamu hukum mati orang yang tidak bersalah dan orang benar kerana Aku tidak akan membebaskan orang yang fasiq. 8 Jangan menerima rasuah kerana suap membutakan mata orang yang melihat dan memutarbalikkan kata-kata orang benar.
9 eJangan kamu menganiaya seorang pendatang. Kamu sendiri tahu bagaimana rasanya menjadi pendatang kerana kamu pun dahulunya pendatang di Tanah Mesir.
Peraturan tentang Sabat dan perayaan
10 fSelama enam tahun kamu hendaklah mengusahakan tanahmu dan mengumpulkan hasilnya, 11 tetapi pada tahun yang ketujuh kamu hendaklah membiarkannya dan meninggalkannya begitu sahaja supaya orang miskin antara bangsamu dapat makan, dan sisa yang ditinggalkan mereka dapat dimakan oleh binatang liar. Demikian jugalah harus kamu lakukan terhadap kebun anggurmu dan kebun zaitunmu.
12 gSelama enam hari hendaklah kamu lakukan pekerjaanmu, tetapi pada hari ketujuh hendaklah kamu berhenti. Dengan demikian, lembumu serta keldaimu dapat berehat dan anak hamba perempuanmu serta para pendatang dapat melepaskan lelah.
13 Ikuti baik-baik segala hal yang Kufirmankan kepadamu. Jangan menyebut nama tuhan lain, dan jangan biarkan nama itu kedengaran lantaran terkeluar daripada mulutmu.
14 Tiga kali dalam setahun kamu harus mengadakan perayaan bagi-Ku. 15 hTetaplah rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi. Tujuh hari lamanya kamu harus makan roti yang tidak beragi, seperti yang Kuperintahkan kepadamu. Hendaklah kamu lakukan hal itu pada waktu yang ditetapkan, iaitu pada bulan Abib, kerana pada bulan itulah kamu keluar dari Mesir. Jangan seorang pun menghadap hadirat-Ku dengan tangan kosong.
16 iTetap rayakanlah Perayaan Penuaian, iaitu penuaian hasil pertama daripada apa yang telah kamu usahakan di ladang. Selain itu, tetap rayakanlah Perayaan Pengumpulan Hasil pada akhir tahun, sewaktu kamu mengumpulkan hasil pekerjaanmu dari ladang.
17 Tiga kali setahun semua lelaki hendaklah menghadap ke hadirat Tuhan Allah.
18 Jangan kamu persembahkan kepada-Ku darah daripada korban sembelihan bersama dengan roti yang beragi. Lemak korban hari raya-Ku pun tidak boleh kaubiarkan bermalam sampai pagi.
19 jYang terbaik daripada hasil pertama tanahmu hendaklah kamu bawa ke dalam Bait Allah, Tuhanmu. Jangan kamu rebus anak kambing di dalam air susu induknya.”
Penaklukan Tanah Kanaan (Palestin Purba) dijanjikan
20 “Sesungguhnya, Aku mengutus malaikat-Ku berjalan di hadapanmu untuk melindungimu di jalan dan untuk membawamu ke tempat yang telah Kusediakan. 21 Dengarlah dan patuhilah kata-katanya kerana nama-Ku ada dalam dia.k Maka jangan menderhaka kepadanya kerana dia tidak akan mengampunkan pelanggaranmu. 22 Tetapi jika kamu sungguh-sungguh mentaati kata-katanya dan melakukan semua yang Kufirmankan, maka Aku akan memusuhi para musuhmu dan melawan para lawanmu. 23 Malaikat-Ku akan berjalan di depanmu dan membawamu ke negeri bani Amori, bani Het, bani Feris, bani Kanaan, bani Hewi, serta bani Yebus, dan Aku akan memusnahkan mereka sama sekali. 24 Jangan sujud menyembah tuhan mereka atau beribadat kepadanya, dan jangan ikuti kelakuan mereka. Sebaliknya, kamu hendaklah meruntuhkan semua itu sama sekali dan menghancurkan semua tiang berhala mereka. 25 Beribadatlah kepada Allah, Tuhanmu, maka Dia akan memberkati rotimu dan airmu. Aku akan menyingkirkan penyakit daripada antara kamu. 26 Tidak akan ada seorang perempuan pun yang keguguran atau yang mandul di negerimu. Aku akan menggenapkan jumlah umurmu.
27 Kengerian terhadap diri-Ku akan Kukirim mendahuluimu dan Aku akan mengacau-bilaukan semua bangsa yang kamu datangi. Aku akan membuat semua musuhmu lari membelakangimu. 28 Aku akan melepaskan serangga penyengat untuk mendahuluimu supaya bani Hewi, bani Kanaan, dan bani Het dihalau dari hadapanmu. 29 Aku tidak akan mengusir mereka dari hadapanmu dalam satu tahun, supaya jangan negeri itu menjadi sunyi sepi dan binatang liar bertambah banyak melebihi kamu. 30 Sedikit demi sedikit akan Kuusir mereka dari hadapanmu, sampai kamu beranak cucu dan memiliki negeri itu. 31 Aku akan menentukan batas daerahmu, iaitu dari Laut Merah sampai Laut Filistin, dan dari gurun sampai Sungai Efrat. Aku akan menyerahkan penduduk negeri itu ke dalam tanganmu, dan kamu akan mengusir mereka dari hadapanmu. 32 Jangan mengikat perjanjian dengan mereka atau dengan tuhan mereka. 33 Jangan biarkan mereka tinggal di negerimu supaya jangan mereka membuat kamu berdosa terhadap Aku, kerana akan kamu terjebak jika beribadat kepada tuhan mereka.”
 
 
 
 
 
 
24
Allah mengesahkan perjanjian-Nya
1 Berfirmanlah Dia kepada Musa, “Naiklah menghadap Allah, kamu dan Harun, Nadab dan Abihu, berserta tujuh puluh orang dalam kalangan tua-tua Israel dan sujudlah menyembah dari jarak yang jauh. 2 Musa sahaja yang boleh menghampiri Allah, tetapi umat yang lain tidak boleh datang dekat-dekat. Umat itu juga tidak boleh naik bersama-samanya.”
3 Maka pergilah Musa menyampaikan kepada umat itu semua perintah dan peraturan yang difirmankan Allah. Seluruh umat itu pun menjawab dengan suara serentak, “Segala yang telah difirmankan Allah akan kami laksanakan.” 4 Kemudian Musa menulis segala firman Allah itu. Keesokan harinya pagi-pagi lagi dia bangun lalu mendirikan sebuah mazbah di kaki gunung itu lengkap dengan dua belas batang tiang, setara dengan jumlah suku orang Israel, iaitu dua belas semuanya. 5 Dia mengarahkan beberapa orang muda Israel untuk mempersembahkan korban bakaran serta menyembelih lembu-lembu jantan sebagai korban kedamaian untuk Allah. 6 Musa mengambil sebahagian daripada darah itu dan menuangkannya ke dalam beberapa buah bejana, manakala sebahagian lagi darah dipercikkan pada mazbah. 7 Lalu dia mengambil kitab perjanjian itu dan membacanya di hadapan seluruh umat yang mendengarkannya. Lalu mereka berkata, “Segala firman Allah akan kami laksanakan dan kami patuhi.”
8 aSelepas itu, Musa mengambil darah itu lalu memercikkannya ke atas umat itu dan berkata, “Inilah darah perjanjian yang dimateraikan Allah dengan kamu sehubungan dengan segala firman-Nya ini.”
9 Lalu Musa, Harun, Nadab dan Abihu, serta tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua orang Israel mendaki gunung. 10 Mereka nampak Tuhanb yang disembah Israel dan di bawah kaki-Nya kelihatan sesuatu seperti turapan batu nilam yang tampak terang seperti langit. 11 Namun begitu, Allah tidak membinasakan para pemuka Israel itu. Setelah mereka memandang Allah, mereka pun makan dan minum.
Nabi Musa di Gunung Sinai
12 Allah berfirman kepada Musa, “Naiklah menghadap Aku di atas gunung dan tunggulah di situ. Aku akan memberimu loh-loh batu yang telah Kutulis hukum dan perintah yang harus diajarkan kepada mereka.” 13 Maka bangkitlah Musa, demikian juga Yusha, penolongnya, lalu Musa naik ke gunung Allah. 14 Sebelumnya, kepada para tua-tua itu dia berkata, “Tunggulah di sini sampai kami kembali kepadamu. Lihat, Harun dan Hur ada bersama-samamu. Sesiapa yang ada perkara berbangkit, biarlah dia pergi mengadukannya kepada mereka.”
15 Musa pun mendaki gunung, lalu awan melitupi gunung itu. 16 Kemuliaan hadirat Allah bersemayam di atas Gunung Sinai, dan awan melitupinya selama enam hari. Pada hari ketujuh Dia berfirman kepada Musa dari tengah-tengah awan itu. 17 Pada pandangan orang Israel, kemuliaan Allah di puncak gunung itu kelihatan seperti api yang menghanguskan. 18 cMusa masuk ke tengah-tengah awan itu dan naik ke atas gunung. Dia berada di atas gunung itu selama empat puluh hari empat puluh malam.
 
 
 
 
 
 
25
Persembahan untuk pembinaan Khemah Suci
1 Berfirmanlah Allah kepada Musa demikian, 2 “Beritahu orang Israel untuk mewakafkan persembahan khusus bagi-Ku. Ambillah persembahan khusus untuk-Ku itu daripada semua orang yang ikhlas hati. 3 Persembahan yang hendaklah kamu ambil daripada mereka itu ialah emas, perak, gangsa, 4 kain biru, kain ungu, kain merah menyala, linen halus, bulu kambing, 5 kulit domba jantan yang dicelup merah, kulit anjing laut, kayu akasia, 6 minyak untuk pelita, rempah-ratus untuk minyak tahbis dan untuk dupa harum, 7 oniks dan pelbagai batu permata tatahan untuk baju efod serta penutup dada. 8 Mereka harus membina tempat suci bagi-Ku, supaya Aku bersemayam di tengah-tengah mereka.a 9 Khemah Suci serta segala alat kelengkapannya hendaklah kamu buat mengikut semua contoh yang akan Kutunjukkan kepadamu.”
Tabut perjanjian
10 “Hendaklah dibuat mereka sebuah tabut daripada kayu akasia, panjangnya dua hasta setengah, lebarnya satu hasta setengah, dan tingginya satu hasta setengah. 11 Bahagian dalam dan luarnya hendaklah disalut dengan emas tulen, dan di sekeliling bahagian atasnya hendaklah dibuat bingkai emas. 12 Buatlah empat urat gelang emas dan pasangkannya pada keempat-empat kakinya, iaitu dua urat gelang pada satu sisinya dan dua urat gelang lagi pada sisi yang setentang dengannya. 13 Selanjutnya, buatlah pengusung daripada kayu akasia dan salutinya dengan emas. 14 Masukkanlah kayu pengusung itu ke dalam gelang pada setiap bucu tabut itu, supaya tabut dapat diusung dengan kayu itu. 15 Kayu pengusung itu hendaklah kekal berada di dalam gelang tabut itu, dan tidak boleh dicabut dari situ. 16 Kemudian, simpanlah loh hukum yang akan Kuberikan kepadamu di dalam tabut itu.
17 bBuatlah penutup pendamaian itu daripada emas tulen, dua hasta setengah panjangnya dan satu hasta setengah lebarnya. 18 Buatlah juga dua arca malaikat kerubin daripada emas tempaan pada setiap hujung penutup pendamaian itu. 19 Satu arca malaikat kerub hendaklah kamu buat pada satu hujung dan satu lagi arca malaikat kerub pada hujung yang setentang. Kedua-dua arca malaikat kerubin itu hendaklah dibuat di atas kedua-dua hujungnya dan secara bersepadu dengan penutup pendamaian itu. 20 Sayap kedua-dua arca malaikat kerubin itu hendaklah dikembangkan ke atas sehingga melitupi penutup pendamaian itu. Muka arca itu saling berhadapan dan menghadap ke arah penutup pendamaian itu. 21 Letakkanlah penutup pendamaian itu di atas tabut,c dan simpanlah loh hukumd yang akan Kuberikan kepadamu di dalam tabut itu. 22 Di sanalah Aku akan bertemu dengan kamu, dan dari atas penutup pendamaian itu, iaitu di antara kedua-dua arca malaikat kerubin yang ada di atas tabut loh hukum itu, Aku akan berfirman kepadamu tentang segala sesuatu yang akan Kuperintahkan untuk disampaikan kepada orang Israel.”
Meja bagi roti persembahan
23 “Buatlah sebuah meja daripada kayu akasia, dua hasta panjangnya, sehasta lebarnya, dan satu hasta setengah tingginya. 24 Salutlah meja itu dengan emas tulen dan buatlah bingkai emas di sekelilingnya. 25 Buatlah di sekelilingnya jalur pinggir selebar satu telapak tangan dan buatlah bingkai emas di sekeliling jalur pinggir itu. 26 Buatlah empat urat gelang emas untuk meja itu dan pasanglah gelang-gelang itu pada setiap penjurunya, di keempat-empat kakinya. 27 Gelang itu harus dekat dengan jalur pinggir tadi sebagai tempat memasukkan kayu pengusung, supaya para hamba boleh mengusung meja itu. 28 Hendaklah kamu buat pengusungnya daripada kayu akasia, dan salutinya dengan emas dan dengan kayu itulah meja itu harus diusung. 29 Seterusnya, buatlah pinggan-pinggannya, belanga-belanganya, balang-balangnya, dan mangkuk-mangkuknya, yang kesemuanya daripada emas tulen, yang akan dipakai untuk persembahan minuman. 30 eKamu hendaklah sentiasa meletakkan roti persembahan di atas meja itu di hadirat-Ku.”
Kaki pelita emas
31 “Buatlah kaki pelita daripada emas tulen yang ditempa. Seluruh bahagian alas dan batang kaki pelita itu serta kuncup bunga hiasan yang terdiri daripada kelopak dan mahkotanya hendaklah bersepadu dengan kaki pelita itu. 32 Dari kaki pelita itu harus timbul enam cabang bagi setiap sisinya: tiga cabang dari satu sisi dan tiga cabang lagi dari sisi yang lagi satu. 33 Pada setiap satu daripada enam cabang itu hendaklah dilengkapkan dengan tiga hiasan berupa kuncup bunga badam sempurna dengan kelopak dan mahkota bunganya. 34 Pada batang kaki pelita itu hendaklah dilengkapkan dengan empat hiasan berupa kuncup bunga badam sempurna dengan kelopak dan mahkota bunganya, 35 satu kelopak di bawah dua cabang pertama, satu kelopak di bawah dua cabang kedua, dan satu kelopak lagi di bawah dua cabang ketiga daripada keenam-enam cabang yang timbul di sisi batang kaki pelita itu. 36 Kelopak-kelopak serta cabang-cabang itu hendaklah bersepadu dengan kaki pelita itu. Seluruhnya dibuat daripada satu talenta emas tulen yang ditempa. 37 Buatlah tujuh buah pelita, kemudian pasangkan pelita-pelita itu di bahagian atasnya sehingga menerangi tempat di hadapannya. 38 Buatlah penyepit sumbu serta dulangnya daripada emas tulen. 39 Kaki pelita dengan segala kelengkapannya itu hendaklah dibuat daripada satu talenta emas tulen. 40 fBerhati-hatilah supaya kamu membuat kesemuanya mengikut contoh yang telah ditunjukkan kepadamu di atas gunung.
 
 
 
 
 
 
26
Mengenai Khemah Suci
1 Hendaklah kamu buat Khemah Suci daripada sepuluh helai tabir dewangga kain linen halus yang dipintal, iaitu bahan berwarna biru, ungu, dan merah menyala, dengan disulam arca malaikat kerubin, hasil kerja pereka bentuk yang mahir. 2 Setiap helai tabir hendaklah sepanjang dua puluh lapan hasta dan selebar empat hasta. 3 Lima helai tabir hendaklah dijahit cantum menjadi satu sambungan dan begitu jugalah dijahit cantum lima helai lagi tabir itu. 4 Kamu hendaklah membuat gegelung daripada kain biru di birai tabir paling hujung bagi set tabir sambungan pertama, dan begitu juga hendaklah kamu buat pada birai tabir terhujung bagi set tabir sambungan yang kedua. 5 Kamu hendaklah membuat sejumlah lima puluh urat gegelung bagi setiap set dengan kedudukan gegelung itu bersetentang antara satu sama lain. 6 Kemudian hendaklah kamu suruh agar dibuat lima puluh cangkuk pengancing emas lalu pasangkan dan cangkukkan gegelung dengan pengancing kedua-dua set tabir itu sehingga terjadi kesatuan berupa sebuah Khemah Suci.
7 Dan kamu hendaklah membuat sebelas helai tabir daripada bulu kambing untuk dijadikan atap khemah yang menutupi Khemah Suci. 8 Kesebelas-sebelas tabir itu hendaklah sama ukurannya, iaitu sepanjang tiga puluh hasta dan selebar empat hasta. 9 Lima helai tabir hendaklah dijahit cantum menjadi satu sambungan tersendiri dan enam helai kain lagi satu sambungan tersendiri, tetapi helaian tabir yang keenam itu hendaklah kamu lipat dua di bahagian depan khemah itu. 10 Buatlah lima puluh gegelung di birai tabir terhujung bagi tabir sambungan yang satu, dan lima puluh gegelung di birai tabir terhujung bagi tabir sambungan yang kedua. 11 Buat lima puluh cangkuk pengancing gangsa pula, lalu pasangkan dan cangkukkan gegelung dengan pengancing kedua-dua set tabir itu sehingga tersambung dua set tabir sambungan itu menjadi satu. 12 Biarkanlah setengah bahagian kain yang bertindihan itu terjuntai di belakang Khemah Suci. 13 Pertindihan sebanyak sehasta tabir yang berlebihan di kedua-dua sisi Khemah Suci hendaklah terjuntai menudung sisi khemah itu.
14 Selain itu, daripada kulit domba jantan yang dicelup merah, dan daripada kulit anjing laut hendaklah kamu suruh agar dibuat penudung bagi tabir dewangga itu untuk melapisi bahagian atasnya pula.
15 Buatlah rangka bagi Khemah Suci itu daripada papan kayu akasia yang ditegakkan. 16 Setiap papan hendaklah sepanjang sepuluh hasta dan selebar satu hasta setengah. 17 Pada tiap-tiap papan harus ada dua unjuran berpasak yang membolehkan papan-papan itu saling dihubungkan. Hendaklah kamu lakukan begitu bagi kesemua papan Khemah Suci. 18 Hendaklah kamu buat dua puluh rangka papan bagi sisi sebelah selatan, 19 dan hendaklah kamu suruh agar dibuat empat puluh lesung pasak daripada perak untuk dipasangkan di bawah kesemua dua puluh papan itu: dua lesung pasak di bawah setiap papan, masing-masing untuk dipasangkan dengan kedua-dua pasak setiap papan itu. 20 Buat dua puluh rangka papan lagi bagi sisi kedua, iaitu sisi utara Khemah Suci, 21 lengkap dengan kesemua empat puluh rongga peraknya, dua lesung pasak di bawah setiap papan. 22 Hendaklah kamu buat enam papan bagi bahagian belakang Khemah Suci, iaitu di sebelah barat. 23 Selain itu, buatlah dua papan untuk sudut-sudut di bahagian belakang Khemah Suci. 24 Kedua-dua rangka papan bahagian sudut itu hendaklah dua kali ganda tebalnya dari situ sampai bawah dan muat betul-betul ke dalam gegelang pertama. 25 Jadi, hendaklah ada lapan rangka papan lengkap dengan enam belas lesung pasak daripada perak, iaitu dua lesung pasak di bawah setiap rangka papan.
26 Hendaklah kamu buat palang daripada kayu akasia: lima batang kayu palang untuk rangka papan di satu sisi Khemah Suci, 27 dan lima batang kayu palang bagi rangka papan di sisi yang setentang dengannya, dan lima batang kayu palang bagi rangka papan di sisi belakang, iaitu bahagian sebelah barat di belakang Khemah Suci. 28 Kayu palang yang di tengah hendaklah melintang dari hujung ke hujung, setinggi setengah rangka papan itu. 29 Salutlah rangka papan itu dengan emas, dan buatlah gegelang emas tempat memasukkan kayu-kayu palang itu. Salutlah kayu-kayu palang itu juga dengan emas. 30 Hendaklah kamu dirikan Khemah Suci itu mengikut reka bentuk yang telah ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.
31 Seterusnya, buatlah tabir daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal. Sulamlah arca malaikat kerubin buatan seorang pereka yang mahir pada tabir itu. 32 Gantungkanlah tabir itu dengan cangkuk-cangkuk emas pada empat batang tiang daripada kayu akasia yang disalut dengan emas dan disangga oleh empat lesung pasak daripada perak. 33 aGantungkanlah tabir itu di bawah pengancing itu dan bawalah masuk tabut loh hukum ke balik tabir. Tabir itu menjadi pemisah bagimu di antara Tempat Suci dengan Tempat Yang Teramat Suci. 34 Di dalam Tempat Yang Teramat Suci itu letakkanlah penutup pendamaian di atas tabut loh hukum. 35 Letakkanlah meja di luar tabir berdekatan dengan sisi sebelah utara Khemah Suci, lalu letakkanlah kaki pelita dekat rusuk sebelah selatan, berhadapan dengan meja itu.
36 Selanjutnya, hendaklah kamu suruh agar dibuat tabir bagi pintu khemah itu daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, dihiasi dengan sulaman. 37 Lalu hendaklah kamu suruh agar dibuat lima batang tiang daripada kayu akasia bagi tabir itu dan salutlah dengan emas. Buat cangkuk-cangkuk daripada emas pula, dan buatlah leburan lima gegelung pengancing daripada gangsa bagi tiang-tiang itu.
 
 
 
 
 
 
27
Mazbah Pembakaran Korban
1 Hendaklah kamu buat mazbah berbentuk empat segi sama daripada kayu akasia, iaitu sepanjang lima hasta, selebar lima hasta, dan setinggi tiga hasta. 2 Buatlah tanduk bagi setiap satu daripada empat penjurunya secara bersepadu dengan mazbah itu, lalu salutlah keseluruhannya dengan gangsa. 3 Buatlah segala kelengkapannya juga, iaitu bekas untuk menampung abu, penyodok, bejana, cangkuk daging, dan penadah bara, kesemuanya daripada gangsa. 4 Lengkapilah mazbah itu dengan kekisi besi pengadang daripada gangsa, lalu buatlah empat gegelang gangsa di atas keempat-empat sudut kekisi itu. 5 Pasanglah kekisi itu di bawah belebas di sekeliling mazbah, dari bahagian bawah sehingga paras setengah ketinggian mazbah itu. 6 Buatlah dua pengusung daripada kayu akasia untuk mazbah itu, lalu salutlah dengan gangsa. 7 Masukkanlah kayu-kayu pengusung itu ke dalam gegelang tadi, sehingga kayu pengusung itu terletak di kedua-dua sisi mazbah itu ketika orang mengusungnya. 8 Hendaklah kamu buat mazbah itu daripada papan dan biarkannya berongga, seperti yang telah ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.
Laman dalamnya
9 Hendaklah kamu buat laman dalam bagi Khemah Suci. Sisi sebelah selatan laman dalam itu hendaklah dipagari hamparan tabir sepanjang seratus hasta daripada kain linen halus yang dipintal, 10 yang disangga oleh dua puluh batang tiang daripada gangsa dengan dua puluh lesung pasak daripada gangsa juga. Cangkuk-cangkuk bagi tiang serta kambi-kambinya hendaklah daripada perak. 11 Demikian jugalah halnya dengan sisi panjang sebelah utara. Hamparkanlah kain sepanjang seratus hasta yang disangga oleh dua puluh batang tiang dengan dua puluh lesung pasak, kesemuanya daripada gangsa. Kaitan-kaitan pada tiang serta penghubung-penghubungnya haruslah daripada perak. 12 Pada sisi lebar di bahagian barat laman dalam hendaklah dibentangkan hamparan dinding sepanjang lima puluh hasta yang disangga oleh sepuluh batang tiang dengan sepuluh lesung pasaknya. 13 Sisi sebelah timur laman dalam juga harus selebar lima puluh hasta. 14 Hamparan dinding bahagian tepi pintu yang satu hendaklah sepanjang lima belas hasta serta disangga oleh tiga batang tiang dengan lesung pasaknya. 15 Di bahagian tepi pintu sebelah lagi itu hendaklah juga dibentangkan kain sepanjang lima belas hasta yang disangga oleh tiga batang tiang dengan tiga lesung pasaknya. 16 Bagi pintu laman dalam itu, hendaklah dibuat layar sepanjang dua puluh hasta daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, berhiaskan sulaman. Layar itu hendaklah disangga oleh empat batang tiang dengan empat lesung pasaknya. 17 Semua tiang di sekeliling laman dalam itu harus dihubungkan dengan penyambung perak dan cangkuknya hendaklah daripada perak manakala lesung pasaknya daripada gangsa. 18 Laman itu hendaklah sepanjang seratus hasta, selebar lima puluh hasta, dan setinggi lima hasta, dan dipagari oleh kain linen halus yang dipintal, dengan lesung-lesung pasaknya daripada gangsa. 19 Segala kelengkapan Khemah Suci bagi keperluan ibadat, semua pasaknya, termasuk semua pasak laman dalam itu, hendaklah dibuat daripada gangsa.
Pengurusan minyak bagi kaki pelita
20 Hendaklah kamu perintahkan orang Israel untuk membawa kepadamu minyak zaitun tumbuk yang murni untuk pencahayaan supaya pelita sentiasa ternyala. 21 Di dalam Khemah Pertemuan, iaitu di bahagian luar tabir yang menutupi tabut loh hukum itu, Harun dan anak-anak lelakinya hendaklah mengurus pelita itu agar tetap menyala di hadapan Allah dari petang sampai pagi hari. Ketetapan ini hendaklah sentiasa dipatuhi oleh orang Israel, turun-temurun.
 
 
 
 
 
 
28
Pakaian imam
1 Hendaklah kamu suruh abangmu Harun dan anak-anaknya, iaitu Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar, tampil daripada kalangan orang Israel untuk menunaikan tugas sebagai imam bagi-Ku. 2 Hendaklah kamu buat pakaian peribadatan yang suci untuk Harun, abangmu, sebagai lambang kemuliaan dan kehormatan. 3 Hendaklah kamu berbicara kepada semua warga bijaksana yang telah Kukurniai kemahiran dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun agar dia ditahbiskan untuk menunaikan tugas sebagai imam. 4 Inilah pakaian yang harus dibuat mereka: penutup dada, baju efod, jubah, jubah bersulam, serban, dan ikat pinggang. Hendaklah dibuat mereka pakaian suci itu untuk abangmu Harun dan anak-anaknya, supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam. 5 Hendaklah digunakan mereka kain berwarna biru, ungu, merah menyala, kain benang emas dan kain linen halus.
6 Hendaklah dibuat mereka baju efod daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, buatan seorang pereka bentuk yang mahir. 7 Hendaklah pada baju efod itu dijahit dua tali penutup bahu yang bersambung di kedua-dua hujungnya sehingga baju efod itu tersambung. 8 Hendaklah disulam juga ikat pinggang daripada kain benang emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal yang bersepadu dan sedondon dengan baju efod itu. 9 Hendaklah kamu ambil dua biji batu permata oniks dan ukirkanlah nama anak-anak Israel, 10 enam nama di atas batu permata yang satu dan enam nama selebihnya pada batu permata yang kedua, menurut urutan kelahiran mereka. 11 Ukirkanlah nama anak-anak Israel di atas kedua-dua batu permata itu sebagaimana tukang permata mengukir materai, lalu lilitlah batu permata itu dengan ikatan emas. 12 Letakkanlah kedua-dua batu permata itu pada kedua-dua tali penutup bahu baju efod sebagai permata peringatan bagi anak-anak Israel, dan Harun hendaklah membawa nama mereka ke hadirat Allah di atas kedua-dua tali penutup bahunya sebagai tanda peringatan. 13 Ikatannya hendaklah dibuat daripada emas 14 dan dua untai rantai daripada emas tulen, terjalin seperti tali. Setelah itu, pasangkan jalinan rantai itu pada ikatan batu permata tadi.
Penutup dada
15 Hendaklah kamu secara mahir membuat penutup dada yang digunakan untuk mengemukakan keputusan hukum. Sama dengan baju efod, penutup dada itu hendaklah dibuat daripada kain benang emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal. 16 Hendaklah bentuknya empat persegi, berlapis dua, sepanjang sejengkal, dan selebar sejengkal. 17 Di penutup dada itu hendaklah dipasangkan empat baris batu permata tatahan: pertama sebaris batu permata berupa akik merah, manikam kuning, dan zamrud; 18 di baris kedua batu permata firus, nilam, dan intan; 19 dan di baris ketiga pula zirkon yakut, akik putih, dan kecubung. 20 Manakala di baris keempat ialah topaz, oniks, dan yaspis. Kesemuanya hendaklah diikat bertatah emas. 21 Hendaklah batu permata itu sejumlah dua belas biji, sejajar dengan nama-nama anak Israel. Hendaklah masing-masing diukir seperti materai dengan nama setiap satu daripada dua belas suku itu. 22 Untuk penutup dada itu hendaklah dibuat beberapa urat rantai berjalin kemili daripada emas tulen. 23 Buatlah dua urat gelang emas juga dan pasanglah kedua-dua urat gelang itu pada kedua-dua hujung penutup dada. 24 Kemudian pasanglah kedua-dua jalinan rantai emas itu di kedua-dua urat gelang di hujung penutup dada itu. 25 Pasanglah hujung-hujung lain daripada kedua-dua jalinan itu pada dua ikatan batu permata yang terpasang di tali-tali penutup bahu baju efod di bahagian depannya. 26 Hendaklah dibuat dua urat gegelang emas dan pasanglah pada kedua-dua hujung penutup dada itu di lapisan sebelah dalam, yang berhadapan langsung dengan baju efod. 27 Buatlah dua gegelang emas lagi dan pasanglah pada kedua-dua tali penutup bahu baju efod di bahagian bawah sebelah depan, dekat sambungannya, di atas ikat pinggang baju efod yang tertenun dengan kepakaran. 28 Maka gegelang penutup dada hendaklah diikatkan pada gegelang baju efod dengan benang biru agar penutup dada itu tetap berada di atas ikat pinggang baju efod yang tertenun dengan kepakaran itu agar ia tidak terungkai daripada baju efod itu.
29 Maka Harun yang masuk ke dalam Tempat Suci itu akan membawa nama anak-anak Israel tepat di depan jantungnya, iaitu pada penutup dada yang digunakan untuk mengemukakan keputusan hukum, hingga menjadi peringatan yang tetap di hadapan Allah. 30 bHendaklah kamu letakkan Urim dan Tumima di dalam penutup dada yang digunakan untuk mengemukakan keputusan hukum. Kedua-duanya hendaklah berada tepat di depan jantung Harun ketika dia masuk menghadap Allah. Dengan demikian, di hadapan Allah Harun akan sentiasa membawa keputusan-keputusan hukum bagi orang Israel.
Pakaian keimaman keseluruhan
31 Hendaklah dibuat keseluruhan jubah baju efod daripada kain biru, 32 dengan lubang untuk kepala betul-betul di tengah-tengahnya. Di sekeliling tepi lubang itu hendaklah diikat dengan sulaman sebagaimana dengan lubang pada baju zirah, supaya tidak koyak. 33 Di birai kaki jubah itu hendaklah dibuat hiasan seperti buah delima daripada kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala, dengan kerincing emas yang berselang-seli di antaranya, 34 iaitu satu kerincing emas lalu sebiji buah delima, kemudian satu kerincing emas lagi diikuti sebiji buah delima, demikianlah seterusnya di sekeliling birai kaki jubah itu. 35 Jubah itu hendaklah dipakai oleh Harun ketika dia menyelenggarakan peribadatan, maka bunyinya hendaklah terdengar ketika dia masuk ke dalam Tempat Suci di hadapan Allah dan ketika dia keluar, supaya terbukti bahawa dia tidak mati.
36 Hendaklah dibuat perhiasan kepala daripada emas tulen dan ukirkanlah tulisan ‘Dikuduskan bagi Allah padanya, seperti ukiran materai. 37 Pasanglah perhiasan itu di sebelah depan serban dengan benang biru. 38 Perhiasan itu hendaklah ada pada dahi Harun, dan Harun hendaklah menanggung akibat kesalahan terhadap barang-barang kudus yang disucikan oleh orang Israel sebagai persembahan suci mereka. Perhiasan itu hendaklah sentiasa ada pada dahinya, supaya mereka diterima di hadapan Allah.
39 Hendaklah ditenun tunik daripada kain linen halus lalu buatlah serban daripada kain linen halus juga berserta ikat pinggang berhiaskan sulaman.
40 Hendaklah dibuat juga beberapa tunik serta ikat pinggang untuk anak-anak Harun. Selain itu, buatlah ikat kepala untuk mereka sebagai tanda kemuliaan dan kehormatan. 41 Semua itu hendaklah kamu pakaikan pada abangmu Harun dan anak-anaknya. Kemudian kamu hendaklah mengurapi mereka, melantik serta mentahbiskan mereka, supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku. 42 Hendaklah dibuat untuk mereka seluar daripada kain linen untuk menutupi aurat mereka. Seluar itu hendaklah dari pinggang sampai paha. 43 Pada waktu Harun dan anak-anaknya masuk ke dalam Khemah Pertemuan, atau pada waktu mereka menghampiri mazbah untuk menyelenggarakan peribadatan di Tempat Suci, mereka hendaklah memakainya supaya jangan mereka mendatangkan kesalahan atas diri mereka sendiri lalu mati. Itulah ketetapan yang berkekalan baginya dan keturunannya untuk selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
29
Pentahbisan Imam Harun dan anak-anaknya
1 Hendaklah kamu lakukan ini untuk mentahbiskan Harun dan anak-anaknya agar mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam bagi-Ku. Ambillah seekor lembu jantan muda dan dua ekor domba jantan yang langsung tidak bercacat cela. 2 Sediakanlah roti yang tidak beragi, kuih tidak beragi yang dicampurkan dengan minyak, dan roti nipis tidak beragi yang dilepa minyak. Hendaklah kamu buat kesemuanya daripada tepung gandum halus. 3 Hendaklah kamu letakkan semuanya di dalam sebuah bakul lalu persembahkanlah bersama dengan lembu jantan dan kedua-dua ekor domba jantan itu.
4 Hendaklah kamu bawa Harun dan anak-anaknya dekat dengan Khemah Pertemuan, lalu sucikanlah mereka dengan air. 5 Kemudian ambillah pakaian keimaman dan pakaikanlah Harun tunik, jubah baju efod, baju efod, dan penutup dada. Ikatlah pinggangnya dengan ikat pinggang efod yang tertenun dengan kepakaran. 6 Kenakanlah serban di kepalanya dan sematkanlah mahkota suci pada serban itu. 7 Seterusnya, hendaklah kamu ambil minyak tahbis, curahkanlah ke atas kepalanya, dan urapilah dia.
8 Dan hendaklah kamu bawa anak-anaknya lalu pakaikanlah tunik pada mereka. 9 Ikatkanlah ikat pinggang pada mereka, iaitu pada Harun dan anak-anaknya, dan lilitkanlah ikat kepala di kepala mereka. Maka jawatan imam itu akan menjadi milik mereka melalui ketetapan yang berkekalan untuk selama-lamanya. Dengan cara demikianlah kamu hendaklah melantik Harun dan anak-anaknya.
10 Hendaklah dibawa lembu jantan tadi ke hadapan Khemah Pertemuan, lalu Harun dan anak-anaknya harus meletakkan tangan di atas kepala lembu jantan itu. 11 Sembelihlah lembu jantan itu di hadapan Allah, di depan pintu Khemah Pertemuan. 12 Kemudian hendaklah diambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu dan dengan jarimu, sapukan darah itu pada tanduk-tanduk mazbah, dan hendaklah semua baki darah itu dituangkan ke kekaki mazbah. 13 Hendaklah kamu juga ambil kesemua lemak yang menutupi isi perut, umbai hati, dan kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya, lalu bakarlah kesemuanya di atas mazbah. 14 Tetapi daging lembu jantan itu, kulit, dan najisnya hendaklah kamu bakar sampai habis di luar perkhemahan. Itulah korban penghapus dosa.
15 Hendaklah kamu ambil salah seekor domba jantan lalu Harun dan anak-anaknya hendaklah meletakkan tangan di atas kepala domba jantan itu. 16 Hendaklah kamu sembelih domba jantan itu, ambil dan percikkan darahnya ke sekeliling mazbah. 17 Hendaklah kamu potong domba jantan itu menjadi beberapa potongan lalu basuhlah isi perutnya dan kakinya, dan letakkan bersama dengan kepala dan potongan-potongan lainnya. 18 aHendaklah kamu bakar seluruh domba jantan itu di atas mazbah. Itulah korban bakaran yang dipersembahkan kepada Allah, yakni korban yang dibakar, yang harum di hadapan Allah.
19 Hendaklah diambil domba jantan yang seekor lagi dan hendaklah Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu. 20 Sembelihlah domba jantan itu, ambillah sedikit darahnya lalu sapukanlah pada cuping telinga kanan Harun serta anak-anaknya, juga pada ibu jari tangan kanan dan ibu jari kaki kanan mereka. Percikkanlah darah yang selebihnya ke sekeliling mazbah. 21 Hendaklah diambil sedikit darah yang ada di atas mazbah dan sedikit daripada minyak tahbis tadi, lalu percikkanlah pada Harun dan pakaiannya, juga pada anak-anaknya dan pakaian anak-anaknya. Maka disucikanlah pakaian Harun dan begitu juga pakaian anak-anaknya.b
22 Hendaklah diambil daripada domba jantan itu lemaknya, ekornya yang gemuk, lemak yang menutupi isi perutnya, umbai hatinya, kedua-dua buah pinggangnya dengan lemak yang melekat padanya, dan paha kanannya, kerana domba itu ialah domba jantan korban pentahbisan. 23 Hendaklah diambil daripada bakul berisi roti tidak beragi di hadapan Allah itu, sepotong roti, sepotong kuih daripada roti yang dicampurkan minyak, dan sekeping roti nipis. 24 Letakkanlah semua itu di atas telapak tangan Harun dan telapak tangan anak-anaknya, lalu unjukkanlah sebagai persembahan unjukan di hadapan Allah. 25 Kemudian ambillah kesemuanya daripada tangan mereka dan bakarlah di atas mazbah, betul-betul di atas korban bakaran, sebagai korban yang dibakar, yang harum di hadapan Allah.
26 Hendaklah pula diambil daging dada daripada domba jantan korban pentahbisan Harun dan unjukkanlah di hadapan Allah sebagai persembahan unjukan. Itulah bahagian untukmu.
27 Hendaklah engkau menyucikan dada persembahan unjukan dan paha persembahan khusus yang dipersembahkan daripada domba jantan yang diperuntukkan bagi pentahbisan Harun dan anak-anaknya 28 Semua itu menjadi peruntukan tetap untuk seterusnya bagi Harun dan anak-anaknya daripada orang Israel, kerana itu ialah persembahan khusus dan hendaklah menjadi persembahan khusus daripada orang Israel yang diambil daripada korban kedamaian mereka. Itulah persembahan unjukan bagi Allah.
29 Pakaian keimaman kudus Harun itu hendaklah diturunkan kepada anak-anaknya kelak. Mereka harus memakainya ketika mereka diurapi dan ditahbiskan. 30 Anaknya yang menggantikannya sebagai imam hendaklah memakainya selama tujuh hari ketika dia masuk ke dalam Khemah Pertemuan untuk menyelenggarakan peribadatan di Tempat Suci.
31 Hendaklah diambillah domba jantan korban pentahbisan itu lalu rebuslah dagingnya di sebuah tempat yang suci. 32 Hendaklah Harun dan anak-anaknya memakan daging domba jantan itu serta roti yang ada di dalam bakul itu di depan pintu Khemah Pertemuan. 33 Hendaklah mereka makan apa yang telah digunakan dalam upacara pendamaian bagi pentakdisan dan pentahbisan mereka. Orang awam tidak boleh memakannya, kerana kesemuanya itu suci. 34 Jika pada pagi hari ada lagi sisa daripada daging korban pentahbisan atau daripada roti itu, bakarlah habis sisa itu dan jangan memakannya, kerana kesemuanya itu suci.
35 Maka hendaklah dilakukan demikian itu terhadap Harun dan anak-anaknya, iaitu menurut segala yang Kuperintahkan kepadamu. Hendaklah selama tujuh hari kamu mentahbiskan mereka. 36 Hendaklah setiap hari disediakan seekor lembu jantan sebagai korban penghapus dosa di samping pelbagai persembahan pendamaian lainnya. Hendaklah disucikan mazbah apabila pendamaian dilakukan. Urapilah mazbah itu juga dengan minyak demi menyucikannya. 37 Hendaklah diadakan pendamaian serta penyucian untuk mazbah itu selama tujuh hari dan mazbah itu akan menjadi teramat suci. Apa-apa pun yang menyentuh mazbah itu akan menjadi sucic pula.
Korban pada pagi dan petang
38 Maka hendaklah kamu persembahkan ini di atas mazbah itu: dua ekor anak domba berumur setahun. 39 Sediakanlah seekor anak domba pada pagi hari dan seekor lagi anak domba pada petang harinya. 40 Bersama-sama seekor anak domba itu hendaklah disediakan sepersepuluh efad tepung terbaik yang dicampurkan dengan seperempat hine minyak tumbuk dan seperempat hin air anggur sebagai persembahan minuman. 41 Bersama dengan seekor lagi anak domba yang disediakan pada waktu senja, hendaklah disediakan persembahan bahan makanan dan persembahan minuman seperti pada pagi hari sebagai korban bakaran, yang harum di hadapan Allah. 42 Hendaklah persembahan sedemikian menjadi korban bakaran yang tetap dipersembahkan secara turun-temurun di depan pintu Khemah Pertemuan, di hadapan Allah. Di situlah Aku akan bertemu dengan kamu lalu berfirman kepadamu. 43 Di sana jugalah Aku akan menemui orang Israel, dan khemah itu akan disucikan oleh kemuliaan-Ku. 44 Aku akan menyucikan Khemah Pertemuan dan mazbah itu. Harun dan anak-anaknya pun akan Kusucikan supaya mereka dapat menunaikan tugas keimaman untuk-Ku. 45 Aku akan bersemayam di tengah-tengah orang Israel, dan Aku akan menjadi Tuhan mereka. 46 Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Allah, Tuhan mereka, yang telah membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, supaya Aku bersemayam di tengah-tengah mereka. Akulah Allah, Tuhan mereka.
 
 
 
 
 
 
30
Mazbah pendupaan
1 Hendaklah kamu buat mazbah daripada kayu akasia untuk membakar dupa. 2 Bentuknya empat persegi sepanjang sehasta, selebar sehasta, dan setinggi dua hasta. Hendaklah dibuat tanduk-tanduknya bersepadu dengannya. 3 Salutilah bahagian atasnya, sisi-sisi sekelilingnya, dan juga tanduk-tanduknya dengan emas tulen, dan hendaklah dibuat bingkai emas di sekelilingnya. 4 Hendaklah dibuat dua gegelang emas di bawah bingkai itu, iaitu pada rusuk kiri dan kanannya. Kayu pengusung akan dimasukkan ke dalam lubang gegelang-gegelang itu supaya mazbah dapat diusung. 5 Hendaklah dibuat pengusungnya daripada kayu akasia dan salutilah pengusung itu dengan emas. 6 Hendaklah mazbah itu diletakkan di hadapan tabir dekat tabut loh hukum, di hadapan penutup pendamaian, yang ada di atas loh hukum itu, tempat Aku akan bertemu dengan engkau. 7 Setiap pagi apabila Harun membersihkan pelita-pelita itu, dia hendaklah membakar dupa harum di atas mazbah itu. 8 Hendaklah Harun juga membakar dupa harum itu apabila dia memasang pelita-pelita pada waktu senja dan kerja mendupai itu hendaklah kamu lakukan secara berterusan di hadapan Allah, turun-temurun. 9 Di atas mazbah itu janganlah dipersembahkan dupa yang lain, korban bakaran, ataupun persembahan bahan makanan, dan jangan curahkan persembahan minuman. 10 Setahun sekali Harun hendaklah mengadakan pendamaian pada tanduk-tanduk mazbah pendupaan itu dengan darah korban penghapus dosa pembawa pendamaian. Hendaklah hal itu dilakukannya setahun sekali secara berterusan turun-temurun, kerana ini merupakan sesuatu yang teramat suci bagi Allah.”
Persembahan unjukan sewaktu pendaftaran orang Israel
11 Allah berfirman kepada Musa, 12 “Apabila kamu membanci orang Israel, hendaklah masing-masing mempersembahkan wang tebusan bagi jiwanyaa di hadapan Allah pada waktu mereka didaftarkan, supaya bencana tidak menimpa dalam kalangan mereka. 13 cSetiap orang yang dikira dalam pembancian itu hendaklah mempersembahkan setengah syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci yang seberat dua puluh gera.b Setengah syikal itu ialah persembahan khusus kepada Allah. 14 Setiap orang yang dikira dalam pembancian itu, iaitu mereka yang berumur dua puluh tahun ke atas, hendaklah memberikan persembahan khusus itu kepada Allah. 15 Sewaktu kamu memberikan persembahan khusus itu kepada Allah demi pendamaian bagi jiwamu dengan-Nya, janganlah orang kaya mempersembahkan lebih daripada setengah syikal itu dan janganlah orang miskin mempersembahkan kurang daripada jumlah itu. 16 Hendaklah kamu terima wang pendamaian itu daripada orang Israel dan gunakanlah untuk peribadatan di dalam Khemah Pertemuan Allah supaya itu akan menjadi tanda pengingatan bagi orang Israel di hadapan Allah demi pendamaian dirimu dengan-Nya.”
Bejana pembasuhan
17 Allah berfirman kepada Musa, 18 d“Hendaklah kamu buat sebuah bejana daripada gangsa yang kekakinya juga daripada gangsa, sebagai tempat membasuh. Hendaklah diletakkan bejana itu di antara Khemah Pertemuan dengan mazbah pembakaran korban, dan tuanglah air ke dalamnya. 19 Hendaklah Harun dan anak-anaknya membasuh tangan dan kaki mereka di situ. 20 Sebelum mereka masuk ke dalam Khemah Pertemuan, hendaklah mereka menyucikan diri mereka dengan air agar mereka tidak mati, dan begitu jugalah halnya sewaktu mereka menghampiri mazbah untuk menyelenggarakan peribadatan dengan membakar korban kepada Allah. 21 Jadi, hendaklah mereka membasuh tangan dan kaki mereka supaya jangan mereka mati. Ketetapan itu berkekalan bagi mereka, iaitu bagi Harun dan bagi keturunannya turun-temurun.”
Minyak tahbis dan dupa
22 eTambahan pula, Allah berfirman kepada Musa, 23 “Ambillah rempah-ratus yang terbaik: 500 syikal damar wangi cair, separuh jumlah berat itu kayu manis harum, 250 syikal tebu wangi, 24 500 syikal kayu lawang – semuanya menurut syikal rasmi Khemah Suci – serta satu hinf minyak zaitun. 25 Hendaklah daripada semua itu dibuat minyak tahbis yang suci, iaitu suatu campuran yang sepatutnya dihasilkan oleh ahli pembuat wangi-wangian. Hendaklah campuran itu dijadikan minyak tahbis yang suci. 26 Hendaklah kamu gunakan campuran untuk mengurapi Khemah Pertemuan, tabut loh hukum, 27 meja dengan segala alat kelengkapannya, kaki pelita dengan segala kelengkapannya, mazbah pembakaran dupa, 28 mazbah korban bakaran dengan segala kelengkapannya, dan bejana pembasuhan serta kekakinya. 29 Hendaklah disucikan semua itu sehingga menjadi teramat suci, maka apa-apa sahaja yang menyentuhnya akan menjadi suci. 30 Hendaklah kamu urapi Harun dan anak-anaknya dan sucikanlah mereka supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku. 31 Hendaklah kamu berkata kepada orang Israel, ‘Inilah minyak tahbis yang suci bagi-Ku dalam kalangan kamu turun-temurun. 32 Janganlah dicurahkan minyak itu ke atas tubuh orang biasa dan jangan membuat minyak yang sama campurannya. Minyak itu suci dan hendaklah dianggap suci bagimu. 33 Sesiapa sahaja yang membuat campuran minyak seperti ini atau yang menyapukannya pada orang awam hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya.”
34 Allah berfirman kepada Musa, “Ambillah rempah-ratus yang harum, iaitu getah damar wangi, kulit lokan, dan rasamala, juga kemenyan yang murni, masing-masing sama banyaknya. 35 Hendaklah daripada kesemua itu kamu membuat dupa campuran, seperti yang dihasilkan oleh ahli pembuat wangi-wangian, lalu tambahlah garam agar ia tetap murni dan suci. 36 Hendaklah kamu tumbuk sehingga halus sebahagian daripada dupa campuran itu dan letakkanlah di depan tabut loh hukum di dalam Khemah Pertemuan, tempat Aku akan bertemu dengan kamu. Kepadamu, tumbukan dupa campuran yang halus itu hendaklah teramat suci. 37 Jangan sekali-kali campuran dupa seperti itu dibuat bagi dirimu sendiri. Hendaklah kamu anggapnya sebagai sesuatu yang suci bagi Allah. 38 Sesiapa sahaja yang membuat dupa seperti itu untuk menikmati wanginya hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya.”
 
 
 
 
 
 
31
Bezaleel dan Aholiab
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Lihat, Aku telah memanggil Bezaleel bin Uri bin Hur daripada suku Yudah. 3 Aku memenuhi dia dengan Roh Allah, dengan kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan, dan segala jenis kemahiran bertukang 4 untuk merancang hasil kerja mahir daripada emas, perak, dan gangsa, 5 dan juga untuk mengukir batu permata untuk tatahan, mengukir kayu, serta mengerjakan segala jenis keahlian dalam pelbagai bidang kerja. 6 Tambahan pula Aku juga menetapkan orang, iaitu Aholiab bin Ahisamakh daripada suku Dan, untuk menyertainya. Dalam hati semua yang berkemahiran, Aku telah mengurniakan kebijaksanaan supaya mereka membuat semua yang telah Kuperintahkan kepadamu: 7 Khemah Pertemuan, tabut loh hukum dan penutup pendamaian di atasnya dan segala kelengkapan khemah itu, 8 iaitu meja dengan segala wadahnya, kaki pelita murni dengan segala wadahnya, dan mazbah pendupaan, 9 mazbah korban bakaran dengan segala wadahnya, bejana pembasuhan dengan kekakinya, 10 pakaian yang halus tenunannya, pakaian suci untuk Imam Harun dan pakaian anak-anaknya untuk menunaikan tugas keimaman, 11 minyak tahbis, serta dupa daripada rempah-ratus yang harum untuk Tempat Suci itu. Hendaklah dilakukan mereka sebagaimana segala yang telah Kuperintahkan kepadamu.”
Menguduskan hari Sabata
12 Allah berfirman kepada Musa, 13 “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Sesungguhnya, hendaklah kamu pelihara hari-hari Sabat-Ku, kerana itulah tanda peringatan antara Aku dengan kamu turun-temurun, supaya kamu tahu bahawa Akulah Allah yang menyucikan kamu. 14 Maka, peliharalah hari Sabat kerana hari itu hari yang suci bagimu. Sesiapa yang mencemarinya pastilah dihukum mati, kerana sesiapa pun yang melakukan pekerjaan pada hari itu, nyawanya harus dilenyapkan daripada kalangan bangsanya. 15 bHendaklah pekerjaan dilakukan selama enam hari, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat, hari istirahat penuh yang suci bagi Allah. Maka sesiapa pun yang melakukan pekerjaan pada hari Sabat pasti dihukum mati. 16 Oleh sebab itu, orang Israel hendaklah memelihara hari Sabat dengan merayakannya turun-temurun sebagai suatu perjanjian yang berkekalan. 17 cItulah tanda peringatan antara Aku dengan orang Israel untuk selama-lamanya, kerana enam hari lamanya Allah menjadikan langit dan bumi, dan pada hari ketujuh Dia berhenti daripada kerja penciptaan itu lantas berasa puas sekali.”
18 Setelah Allah selesai berfirman kepada Musa di Gunung Sinai, Dia menyerahkan kepada Musa kedua-dua loh hukum Allah, iaitu loh batu yang ditulis oleh Allah sendiri.
 
 
 
 
 
 
32
Arca anak lembu emas
1 aApabila orang Israel melihat bahawa Musa masih belum turun dari gunung itu, mereka berkumpul dan mengerumuni Harun lalu berkata kepadanya, “Buatkan kami tuhan-tuhan yang dapat memimpin kami kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Tanah Mesir.”
2 Lalu Harun berkata kepada mereka, “Tanggalkanlah anting-anting emas yang ada pada telinga isterimu, anak lelakimu, dan anak perempuanmu dan bawalah kesemuanya kepadaku.” 3 Maka seluruh bangsa itu menanggalkan anting-anting emas yang ada pada telinga mereka dan membawanya kepada Harun. 4 bHarun menerima semua itu daripada tangan mereka lalu meleburkannya di dalam sebuah relau cetakan dan membentuknya untuk menjadi arca anak lembu. Kemudian berkatalah kumpulan orang itu, “Wahai orang Israel, inilah tuhan kamu, yang telah memimpin kamu keluar dari Tanah Mesir!”
5 Apabila Harun melihat keadaan itu, dia pun membina sebuah mazbah di hadapan arca anak lembu itu, lalu berserulah dia, “Esok kita adakan pesta demi meraikan Allah!” 6 cPagi-pagi lagi pada keesokan harinya bangunlah mereka lantas mereka mempersembahkan korban bakaran serta membawa korban kedamaian. Dan umat itu duduk untuk makan minum, lalu bangkit untuk bersuka ria.
7 Berfirmanlah Allah kepada Musa, “Pergilah, turunlah, kerana bangsamu yang kamu pimpin keluar dari Tanah Mesir telah berkelakuan buruk. 8 Sebegitu cepat mereka terpesong daripada jalan yang Kuperintahkan kepada mereka. Mereka membuat sebuah arca anak lembu dan sujud menyembahnya serta mempersembahkan korban kepadanya sambil berkata, ‘Wahai orang Israel, inilah tuhanmu, yang telah memimpin kamu keluar dari Tanah Mesir!” 9 Firman Allah lagi kepada Musa, “Aku telah melihat bangsa ini. Sesungguhnya, mereka memang bangsa yang keras kepala. 10 Sekarang, tinggalkanlah Aku. Biarkan murka-Ku menyala terhadap mereka. Akan Kuhabiskan mereka, tetapi kamu akan Kubuat menjadi bangsa yang besar.”
11 dNamun demikian, Musa memohon belas kasihan Allah, Tuhannya. Dia berkata, “Ya Allah, mengapakah murka-Mu menyala terhadap umat-Mu yang Engkau bawa keluar dari Tanah Mesir dengan kuasa yang besar dan dengan tangan yang kuat? 12 Mengapakah orang Mesir harus berkata begini: ‘Dia membawa mereka keluar dengan niat jahat, iaitu untuk memusnahkan mereka di pergunungan dan untuk melenyapkan mereka daripada muka bumi’? Semoga Engkau berpalinglah daripada murka-Mu yang menyala-nyala dan berbelas kasihanlah. Janganlah datangkan malapetaka kepada umat-Mu. 13 eIngatlah akan para hamba-Mu, iaitu Ibrahim, Ishak, dan Israel, dan betapa Engkau telah bersumpah kepada mereka demi diri-Mu sendiri dan telah berfirman kepada mereka, ‘Aku akan memperbanyak keturunanmu seperti bintang di langit. Seluruh negeri yang telah Kujanjikan ini akan Kukurniakan kepada keturunanmu, dan mereka akan mewarisinya untuk selama-lamanya.” 14 Maka Allah pun berbelas kasihan dan tidak mendatangkan malapetaka kepada umat-Nya seperti yang dirancangkan-Nya.
15 Musa berpaling lalu turun dari gunung itu dengan dua loh hukum di tangannya. Pada dua sisi loh itu, sebelah-menyebelah, tertera tulisan. 16 Dua keping loh itu buatan Allah dan tulisannya ialah tulisan Allah yang terukir pada loh-loh itu.
17 Ketika Yusha mendengar hingar bingar bunyi sorakan umat itu, berkatalah dia kepada Musa, “Ada bunyi keriuhan peperangan di perkhemahan.”
18 Jawab Musa,
“Yang kudengar bukan bunyi teriakan kemenangan dan bukan bunyi teriakan kekalahan,
melainkan bunyi orang menyanyi berbalas-balasan.”
19 Lalu apabila dia menghampiri perkhemahan dan melihat arca anak lembu itu serta orang berpesta menari-nari itu, menyalalah kemarahan Musa. Dia menghempaskan loh-loh ituf daripada tangannya dan memecahkannya di kaki gunung itu. 20 Diambilnya anak lembu yang dibuat mereka itu, lalu dibakarnya habis. Digilingnya lumat-lumat, lalu ditaburkannya ke air. Setelah itu, disuruhnya orang Israel meminumnya. 21 Berkatalah Musa kepada Harun, “Apakah yang dilakukan umat ini terhadap kamu, sehingga kamu mendatangkan dosa yang begitu besar atas mereka?”
22 Kata Harun, “Janganlah hendaknya amarah tuanku menyala-nyala, tuan sendiri tahu betapa jahatnya umat ini. 23 Mereka berkata kepadaku, ‘Buatkan kami tuhan-tuhan yang dapat memimpin kami kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Mesir. 24 Lalu aku berkata kepada mereka, ‘Sesiapa yang memiliki emas, tanggalkanlah. Mereka pun memberikannya kepadaku dan aku menuangkannya ke dalam api, lalu keluarlah arca anak lembu ini.”
25 Ketaralah kepada Musa bahawa akibat perbuatan Harun, umat itu sudah menjadi tidak terkawal lagi hingga mengaibkan orang Israel sendiri di hadapan para musuh mereka. 26 Maka berdirilah Musa di pintu gerbang perkhemahan itu lalu berkata, “Sesiapa yang memihak Allah, datanglah kepadaku!” Lalu berkumpullah seluruh bani Lewi di sekelilingnya. 27 Kata Musa kepada mereka, “Beginilah firman Allah, Tuhan yang disembah Israel, ‘Hunuslah pedang kamu masing-masing! Lintasilah perkhemahan ini dari pintu ke pintu dan bunuhlah saudara, sahabat, dan tetangga masing-masing!” 28 Bani Lewi pun melaksanakan seperti yang diarahkan oleh Musa itu lalu pada hari itu matilah kira-kira tiga ribu orang dalam kalangan umat itu. 29 Kemudian Musa berkata, “Pada hari ini kamu telah mentakdiskan dirimu demi Allah, kerana masing-masing mengorbankan anaknya dan saudaranya semoga Dia mengurniakan berkat kepadamu pada hari ini.”
30 Keesokan harinya, Musa berkata kepada umat itu, “Kamu telah melakukan dosa besar maka aku akan naik menghadap Allah, mudah-mudahan aku mendapat pendamaian bagi dosa kamu itu.” 31 Lalu kembalilah Musa menghadap Allah dan berkata, “Ya, umat itu telah berdosa besar dengan membuat untuk diri mereka tuhan daripada emas. 32 gSemoga Engkau ampunkanlah dosa mereka itu, tetapi jika tidak, semoga dihapuskan sahaja namaku daripada kitab yang telah Kautulis nama para umat-Mu.”
33 Firman Allah kepada Musa, “Sesiapa yang berdosa terhadap Aku, dialah yang akan Kuhapuskan daripada kitab-Ku. 34 Sekarang, pergilah. Pimpinlah bangsa itu ke tempat yang telah Kunyatakan kepadamu. Sesungguhnya, malaikat-Ku akan mendahului perjalananmu. Akan tetapi, pada hari pembalasan-Ku kelak, atas mereka itu akan Aku balas dosa mereka.”
35 Kemudian Allah mengazabkan orang Israel dengan bencana penyakit atas sebab perbuatan mereka dalam hal arca anak lembu yang dibuat oleh Harun itu.
 
 
 
 
 
 
33
Diperintahkan untuk meninggalkan daerah Sinai
1 aAllah berfirman kepada Musa, “Berangkatlah dan pergilah dari tempat ini, kamu serta umat yang telah kamu pimpin keluar dari Tanah Mesir itu. Tujuilah negeri yang telah Kujanjikan dengan bersumpah kepada Ibrahim, Ishak, dan Yakub dengan berfirman, ‘Kepada keturunanmu akan Aku kurniakannya 2 dan akan Kuutus malaikat-Ku berjalan mendahuluimu dan akan Kuusir bani Kanaan, bani Amori, bani Het, bani Feris, bani Hewi, dan bani Yebus. 3 Pergilah ke negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu itu. Atas sebab kamu umat yang keras kepala, Aku sendiri tidak akan hadir menyertai kamu agar Aku tidak membinasakan kamu ketika kamu dalam perjalanan.”
4 Apabila terdengar kata-kata ancaman yang mengerikan itu, berkabunglah umat itu; tiada sesiapa pun antara mereka memakai barang perhiasan. 5 Firman Allah kepada Musa, “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Kamu ini umat yang keras kepala. Jika Aku hadir menyertai kalangan kamu walaupun sekadar sedetik, tentu Aku akan membinasakan kamu. Sekarang, tanggalkanlah perhiasanmu, dan Aku akan mempertimbangkan apa yang akan Kulakukan terhadapmu.” 6 Maka bermula dari Gunung Horeb, orang Israel tidak lagi memakai barang perhiasan mereka.
Khemah Pertemuan
7 Sudah kebiasaan untuk Musa mengambil sebuah khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan, agak jauh dari perkhemahan. Dia menamai khemah itu Khemah Pertemuan. Maka sesiapa pun yang mahu mendapatkan petunjuk Allah akan pergi ke Khemah Pertemuan, yang terletak di luar kawasan perkhemahan itu. 8 Apabila Musa pergi ke khemah itu, bangkitlah seluruh warga, lantas masing-masing berdiri di pintu khemahnya. Pandangan mereka mengikuti Musa sampai dia masuk ke dalam khemah itu. 9 Setelah Musa masuk ke dalam khemah itu, turunlah tiang awan lalu berdiri tegak di pintu khemah itu. Kemudian Allah pun berfirman kepada Musa. 10 Apabila seluruh umat itu melihat tiang awan berdiri di pintu khemah, mereka pun segera sujud menyembah, masing-masing di pintu khemahnya. 11 Berfirmanlah Allah kepada Musa secara berhadapan muka, sama seperti manusia bercakap dengan sahabatnya. Setelah itu, kembalilah Musa ke perkhemahan, tetapi Yusha bin Nun, pemuda yang menjadi penolongnya, tidak meninggalkan khemah itu.
12 Musa berkata kepada Allah, “Memang Engkau ada berfirman kepadaku, ‘Pimpinlah bangsa ini, tetapi Engkau tidak memberitahuku siapa yang akan Kauutus menyertai aku. Namun demikian, Engkau juga berfirman, ‘Aku mengenal namamu dan Aku berkenan kepadamu. 13 Sekarang, jika memang Engkau berkenan kepadaku, nyatakanlah kiranya jalan-jalan-Mu kepadaku, supaya aku dapat mengenal Engkau dan Engkau tetap berkenan kepadaku. Ingatlah juga bahawa bangsa ini ialah umat-Mu.”
14 Firman-Nya, “Hadirat-Ku akan memimpin kamu dan Aku akan memberikan ketenteraman kepadamu.”
15 Kata Musa kepada-Nya, “Jika hadirat-Mu tidak memimpin aku, janganlah kami dibawa pergi dari sini. 16 Dari manakah orang akan tahu bahawa Engkau berkenan kepadaku, iaitu aku dan umat-Mu ini? Bukankah kerana kehadiran-Mu menyertai kami maka kami, iaitu aku dan umat-Mu ini, dibezakan daripada semua bangsa yang ada di muka bumi?”
17 Berfirmanlah Allah kepada Musa, “Akan Kulaksanakan hal yang kamu katakan ini, kerana Aku berkenan kepadamu dan Aku mengenal namamu.”
18 Kata Musa, “Tunjukkanlah kiranya kepadaku kemuliaan-Mu.”
19 bFirman-Nya, “Segala kegemilangan-Ku akan Kulalukan di hadapanmu dan Aku akan menyeru nama Allah di hadapanmu. Aku akan mengasihani sesiapa yang Kukasihani dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelas kasihani.” 20 Firman-Nya lagi, “Kamu tidak dapat memandang wajah-Ku, kerana tiada manusia yang dapat memandang Aku dan terus hidup.” 21 Firman Allah, “Ada sebuah tempat dekat-Ku, dan kamu akan berdiri di atas keutuhan batu pejal itu. 22 Kelak apabila kemuliaan-Ku berlalu, Aku akan meletakkan kamu di celah batu gunung itu dan Aku akan melindungi kamu dengan tangan-Ku sehingga Aku selesai melintas lalu. 23 Kemudian Aku akan menarik semula tangan-Ku dan kamu akan melihat belakang-Ku,c tetapi muka-Ku tidak akan kelihatan.”
 
 
 
 
 
 
34
Dua keping loh batu baru
1 Allah berfirman kepada Musa, “Pahatlah dua keping loh batu seperti yang dahulu. Akan Kutulis pada loh-loh batu itu firman yang ada pada loh-loh dahulu, yang telah kaupecahkan itu. 2 Bersiaplah menjelang pagi hari dan pada pagi-pagi lagi dakilah Gunung Sinai. Berdirilah menghadap Aku di sana, di puncak gunung itu. 3 Tiada seorang pun yang boleh naik bersama denganmu dan jangan ada seorang pun yang boleh kelihatan di seluruh gunung itu, bahkan kawanan ternakan pun tidak boleh meragut rumput di kaki gunung itu.” 4 Maka Musa memahat dua keping loh batu seperti loh batu yang dahulu itu. Pagi-pagi lagi dia bangun lalu mendaki Gunung Sinai dengan membawa dua keping loh batu itu di tangannya seperti yang diperintahkan oleh Allah kepadanya.
5 Turunlah Allah dalam awan lalu hadir dan berdiri bersama-sama Musa di sana seraya menyeru nama Allah. 6 aKemudian Allah melintas di hadapan Musa lalu berseru, “Allah, ya Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih, panjang sabar, serta berlimpah kasih dan setia; 7 Allah mengukuhkan kasih abadi bagi beribu-ribu orang, mengampunkan kesalahan, pelanggaran, dan dosa, tetapi sekali-kali tidak membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman, serta membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya dan cucu-cucunya, kepada keturunan yang ketiga dan yang keempat.”b
8 Dengan segera Musa bersujud dan menyembah. 9 Dia berkata, “Ya Allah, jika Engkau benar-benar berkenan kepadaku, maka hadirlah kiranya Allah menyertai kami biarpun memang bangsa ini bangsa yang keras kepala. Namun begitu, ampunkanlah kesalahan dan dosa kami, serta terimalah kami untuk menjadi milik-Mu.”
10 Firman-Nya, “Ketahuilah bahawa Aku membuat satu perjanjian. Di hadapan seluruh bangsamu ini akan Kulakukan keajaiban yang belum pernah terjadi dalam kalangan bangsa mana-mana pun di seluruh bumi ini. Seluruh umat, yang kamu tinggal bersama-sama, akan menyaksikan pekerjaan Allah yang teramat hebatnya, yang akan Kulakukan denganmu. 11 Maka patuhilah betul-betul apa yang Kuperintahkan kepadamu pada hari ini. Sesungguhnya, Aku akan mengusir orang Amori, orang Kanaan, orang Het, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus dari hadapanmu. 12 Berhati-hatilah agar kamu tidak mengikat apa-apa perjanjian dengan penduduk negeri yang kaudatangi itu, agar mereka tidaklah menjadi jerat dalam kalangan kamu. 13 cSebaliknya, robohkanlah mazbah-mazbah mereka, hancurkanlah tiang-tiang berhala mereka, dan tebanglah patung berhala dewi Asyera mereka.
14 Kamu tidak boleh sujud menyembah tuhan lain, kerana Allah yang nama-Nya Cemburu, ialah Tuhan yang tidak mahu diduakan. 15 Jangan ikat perjanjian dengan penduduk negeri itu kerana pada waktu mereka berzina dengan mengikuti tuhan mereka dan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu, mereka akan menjemput kamu dan kamu akan ikut makan korban sembelihan mereka. 16 Apabila kamu mengambil anak-anak perempuan mereka untuk menjadi isteri anak-anakmu, dan anak-anak perempuan itu berzina dengan mengikuti tuhan mereka, maka mereka akan membuat anak-anak lelakimu berzina dengan mengikuti tuhan mereka.
17 dJangan buat bagi dirimu tuhan-tuhan buatan logam.
18 eTetap rayakanlah Perayaan Roti Tidak Beragi. Seperti yang Aku perintah kepadamu, tujuh hari lamanya kamu harus makan roti yang tidak beragi pada waktu yang ditetapkan pada bulan Abib, kerana pada bulan Abib itulah kamu keluar dari Mesir.
19 fSemua yang lahir pertama daripada rahim ialah milik-Ku, dan begitu jugalah semua ternakanmu yang jantan, yang lahir pertama daripada lembu atau domba. 20 gAnak keldai yang lahir pertama harus kamu tebus dengan seekor anak domba. Jika kamu tidak menebusnya, kamu hendaklah mematahkan lehernya. Semua anak lelakimu yang sulung harus kamu tebus.
Jangan ada seorang pun menghadap hadirat-Ku dengan tangan kosong.
21 hHendaklah kamu bekerja selama enam hari, tetapi hendaklah kamu berhenti pada hari ketujuh, sekalipun pada musim membajak dan pada musim menuai.
22 iRayakanlah Perayaan Tujuh Minggu apabila kamu mula menuai hasil pertama gandum kamu, begitu juga Perayaan Pengumpulan Hasil pada penghujung musim bertani.
23 Tiga kali setahun, hendaklah semua warga lelaki dalam kalangan kamu datang menghadap ke hadirat Allah Taala, Tuhan yang disembah Israel. 24 Aku akan mengusir bangsa-bangsa dari hadapanmu dan meluaskan daerahmu. Tiada seorang pun akan mengingini negerimu ketika kamu pergi menghadap ke hadirat Allah, Tuhanmu, tiga kali setahun.
25 jJangan kamu persembahkan darah daripada korban sembelihan yang diperuntukkan bagi Hari Raya-Ku dengan sesuatu yang beragi. Juga sembelihan Hari Raya Paskah tidak boleh tersisa sampai pagi.
26 kBawalah yang terbaik daripada hasil pertama tanahmu ke dalam Bait Allah, Tuhanmu.
Janganlah kamu merebus anak kambing atau anak domba di dalam air susu induknya.”
27 Firman Allah kepada Musa, “Tulislah firman ini, kerana berdasarkan firman inilah Aku telah membuat perjanjian dengan kamu dan dengan Israel.” 28 Selama empat puluh hari empat puluh malam Musa berada di sana bersama-sama Allah, dan selama itulah dia tidak makan roti dan tidak minum air dan dia menulis firman perjanjian, iaitu Sepuluh Perintah, di atas loh-loh batu itu.
29 lSewaktu Musa turun dari Gunung Sinai sambil membawa kedua-dua loh hukum di tangannya, Musa tidak sedar bahawa kulit mukanya bercahaya-cahaya kerana dia telah berbicara dengan Allah. 30 Apabila Harun dan orang Israel melihat Musa dengan kulit mukanya yang bercahaya-cahaya itu, mereka takut mendekatinya. 31 Tetapi Musa memanggil mereka, lalu Harun dan semua pemimpin jemaah Israel itu kembali kepadanya, dan berbicaralah Musa kepada mereka. 32 Sesudah itu, seluruh orang Israel mendekatinya, lalu Musa mengamanatkan kepada mereka semua yang difirmankan Allah kepadanya di atas Gunung Sinai. 33 Setelah Musa selesai berbicara dengan mereka, diselubungkanlah mukanya. 34 Tetapi ketika Musa masuk menghadap Allah untuk berbicara dengan-Nya, dia menanggalkan selubung itu sehingga dia keluar semula. Setelah keluar, dia menyampaikan kepada orang Israel apa yang diperintahkan kepadanya, 35 dan orang Israel melihat kulit muka Musa yang bercahaya-cahaya itu. Kemudian Musa pun menyelubungkan mukanya semula sampai dia masuk lagi untuk berbicara dengan Allah.
 
 
 
 
 
 
35
Peraturan hari Sabat
1 Musa mengumpulkan seluruh jemaah Israel dan berkata kepada mereka, “Inilah hal-hal yang diperintahkan Allah dan hendaklah kamu lakukannya. 2 aHendaklah kamu bekerja selama enam hari, tetapi hendaklah ada untuk kamu hari yang suci pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat, hari istirahat penuh takzim yang dikhususkan untuk Allah. Sesiapa pun yang melakukan pekerjaan pada hari itu hendaklah dihukum mati. 3 Janganlah kamu nyalakan api di seluruh tempat tinggalmu pada hari Sabat.”
Persembahan khusus untuk Khemah Suci
4 Musa berkata kepada seluruh jemaah Israel, “Inilah hal yang diperintahkan oleh Allah, 5 ‘Bawalah persembahan khusus daripada harta bendamu kepada Allah. Setiap orang yang ikhlas hatinya hendaklah membawa persembahan khusus kepada Allah berupa emas, perak, dan gangsa, 6 serta kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus, bulu kambing, 7 kulit domba jantan yang dicelup merah, kulit anjing laut, kayu akasia, 8 minyak untuk pencahayaan, rempah-ratus untuk minyak tahbis dan untuk dupa harum, 9 serta batu permata oniks dan batu permata tatahan untuk baju efod serta penutup dada.
10 Setiap orang antara kamu yang memiliki kepakaran hendaklah tampil untuk membuat semua yang diperintahkan oleh Allah: 11 Khemah Suci dengan khemah dan penudungnya, cangkuk-cangkuk pengancingnya, papan-papannya, kayu-kayu palangnya, tiang-tiangnya, serta lesung-lesung pasaknya; 12 tabut dengan kayu pengusungnya, penutup pendamaian, dan tabir penudung; 13 meja dengan kayu pengusungnya, segala kelengkapannya, dan roti persembahan; 14 kaki pelita untuk tatacahaya dengan kelengkapannya, pelitanya, dan minyak untuk pencahayaan; 15 mazbah pendupaan dengan kayu pengusungnya, minyak tahbis, dan dupa harum; tirai pintu untuk pintu Khemah Suci; 16 mazbah korban bakaran dengan kekisi gangsanya, kayu pengusungnya, dan segala kelengkapannya; bejana pembasuhan dengan alasnya; 17 kain yang memagari laman dalam, tiang-tiangnya, alas-alasnya, dan tirai pintu gerbang laman dalam; 18 pasak-pasak Khemah Suci dan pasak laman dalam dengan talinya; 19 pakaian yang halus tenunannya untuk menyelenggarakan peribadatan di tempat suci, pakaian suci untuk Imam Harun, dan pakaian anak-anaknya untuk menunaikan tugas sebagai imam.”
20 Kemudian pergilah seluruh jemaah Israel dari hadapan Musa. 21 Sesudah itu, datanglah semua orang yang tergerak hati mereka dan semua orang yang ikhlas jiwa mewakafkan persembahan khusus kepada Allah untuk pengerjaan Khemah Pertemuan, untuk seluruh peribadatannya, dan untuk pakaian suci. 22 Setiap orang yang ikhlas hatinya, baik lelaki mahupun perempuan, datang membawa anting-anting hidung, anting-anting telinga, cincin mohor, dan gelang tangan, iaitu segala jenis barang emas permata. Mereka semua mewakafkan persembahan unjukan daripada emas kepada Allah. 23 Selain itu, setiap orang yang mempunyai kain biru, kain ungu, kain merah menyala, kain linen halus, bulu kambing, kulit domba jantan yang dicelup merah, dan kulit anjing laut, datang membawanya. 24 Setiap orang yang dapat mempersembahkan persembahan khusus daripada perak atau gangsa, mewakafkannya sebagai persembahan khusus kepada Allah, dan setiap orang yang mempunyai kayu akasia untuk segala pekerjaan peribadatan datang pula membawanya. 25 Setiap perempuan yang ahli dalam hal memintal dengan tangannya sendiri datang membawa barang yang dipintalnya, iaitu kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus. 26 Kemudian setiap perempuan yang tergerak hatinya kerana memiliki keahlian itu pun memintal bulu kambing. 27 Para pemimpin membawa batu permata unam dan batu permata tatahan untuk baju efod serta penutup dada, 28 rempah-ratus dan minyak untuk pencahayaan, untuk minyak tahbis, dan untuk dupa harum. 29 Semua lelaki dan perempuan yang ikhlas hati membawa sesuatu bagi segala pekerjaan yang harus dilakukan, selaras dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dengan perantaraan Musa. Orang Israel datang mewakafkan semuanya sebagai persembahan sukarela kepada Allah.
Pembinaan Khemah Suci
30 Musa berkata kepada orang Israel, “Lihat, Allah telah memanggil Bezaleel bin Uri bin Hur, daripada suku Yudah. 31 Dia sudah memenuhi Bezaleel dengan Roh Allah, dengan kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan, dan segala kepandaian 32 supaya dia merancang pengerjaan emas, perak, dan gangsa, 33 pengukiran batu permata untuk ditatah, serta pengukiran kayu, dan supaya semua rancangan itu dapat dikerjakannya. 34 Allah telah mengurniakan dalam hatinya kemahiran untuk mengajar orang lain, dan begitu jugalah dalam hati Aholiab bin Ahisamakh daripada suku Dan. 35 Mereka itu telah dipenuhi-Nya dengan kemahiran untuk mengerjakan segala pekerjaan tukang, pekerjaan pakar, pekerjaan menyulam kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus, serta pekerjaan tukang tenun. Jadi, mereka semua pelaksana segala jenis pekerjaan serta pereka bentuk yang mahir.
 
 
 
 
 
 
36
1 Bezaleel, Aholiab, juga setiap warga berkemahiran yang dianugerahi kebijaksanaan dan pengertian oleh Allah agar mereka tahu bagaimana mengerjakan segala jenis pekerjaan untuk peribadatan di tempat suci, hendaklah bekerja sebagaimana yang Allah perintahkan.”
2 Kemudian Musa memanggil Bezaleel, Aholiab, serta setiap warga yang berkemahiran yang dianugerahi Allah kebijaksanaan, iaitu setiap orang yang tergerak hatinya untuk datang memikul pekerjaan itu. 3 Daripada tangan Musa, mereka menerima kesemua persembahan khusus yang dibawa oleh orang Israel untuk melaksanakan pekerjaan pembinaan tempat suci. Sementara itu, tiap-tiap pagi orang masih terus membawa persembahan sukarela kepada Musa. 4 Maka tampillah semua warga yang berkemahiran, iaitu para tukang, masing-masing meninggalkan pekerjaan yang sedang dikerjakannya, untuk melaksanakan segala pekerjaan pembinaan tempat suci itu. 5 Berkatalah mereka kepada Musa, “Lebih daripada cukup bahan yang dibawa oleh umat demi pelaksanaan pekerjaan yang diperintahkan oleh Allah itu.”
6 Lalu Musa memerintahkan supaya diuar-uarkan di perkhemahan bahawa: “Jangan lagi ada lelaki atau perempuan yang membuat sesuatu untuk dijadikan persembahan khusus bagi tempat suci.” Maka umat itu dicegah daripada membawa persembahan lagi, 7 kerana bahan yang diperlukan mereka untuk melakukan segala pekerjaan itu sudah cukup, bahkan berlebihan.
Pembinaan Khemah Suci
8 Lalu semua tukang dalam kalangan pelaksana pekerjaan Khemah Suci itu membuat sepuluh helai tabir dewangga daripada linen halus yang dipintal serta daripada kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala, dilengkapi dengan sulaman arca malaikat kerubin hasil kerja pereka bentuk yang mahir. 9 Setiap helai tabir itu sepanjang dua puluh lapan hasta dan selebar empat hasta, kesemuanya sama ukurannya. 10 Lima helai tabir itu dicantumkan di antara satu sama lain, dan demikian jugalah lima helai lagi tabir itu. 11 Mereka membuat gegelung pengancing daripada kain biru di tepi tabir terhujung cantuman yang pertama, demikian pula di tepi tabir terhujung cantuman kedua, 12 lima puluh gegelung pengancing pada tabir yang pertama dan lima puluh gegelung pengancing di tepi tabir kedua. Gegelung-gegelung pengancing itu saling berhadapan. 13 Setelah itu, mereka membuat lima puluh cangkuk pengancing emas dan menyambungkan tabir-tabir Khemah Suci itu di antara satu sama lain dengan cangkuk-cangkuk pengancing tersebut sehingga terbentuklah satu Khemah Suci.
14 Selanjutnya, mereka juga membuat sebelas helai tabir daripada bulu kambing untuk dijadikan atap khemah yang menutupi Khemah Suci. 15 Kesebelas-sebelas tabir itu sama ukurannya, iaitu sepanjang tiga puluh hasta dan selebar empat hasta. 16 Lalu mereka menjahit cantum lima tabir menjadi satu tabir cantuman tersendiri dan enam helai tabir lagi dijahit cantum juga menjadi tabir cantuman tersendiri. 17 Mereka membuat lima puluh gegelung pengancing di birai tabir terhujung bagi tabir cantuman pertama, dan lima puluh gegelung pengancing di birai tabir terhujung bagi tabir cantuman yang kedua. 18 Lalu mereka membuat lima puluh cangkuk pengancing gangsa pula untuk mengancing tabir-tabir itu agar menjadi satu kesatuan berupa sebuah khemah. 19 Selain itu, mereka juga membuat penudung daripada kulit domba jantan yang dicelup merah, dan daripada kulit anjing laut, untuk melapisi bahagian atas khemah itu.
20 Kemudian mereka membuat rangka papan-papan tegak daripada kayu akasia untuk Khemah Suci. 21 Panjang setiap keping papan sepuluh hasta dan satu hasta setengah lebarnya. 22 Pada setiap papan ada dua pasak yang membolehkan papan-papan itu saling dihubungkan antara satu sama lain. Mereka melakukan itu terhadap semua papan Khemah Suci. 23 Mereka membuat dua puluh papan bagi sisi sebelah selatan Khemah Suci, 24 dan mereka juga membuat empat puluh lesung pasak daripada perak untuk dipasangkan di bawah kesemua dua puluh papan itu, dua lesung pasak di bawah setiap papan, masing-masing untuk dipasangkan dengan kedua-dua pasak setiap papan itu. 25 Bagi sisi kedua Khemah Suci, iaitu di sebelah utara, mereka membuat dua puluh rangka papan 26 lengkap dengan kesemua empat puluh rongga peraknya, dua lesung pasak di bawah setiap papan. 27 Untuk bahagian belakang Khemah Suci, iaitu di sebelah barat, mereka membuat enam rangka papan. 28 Selain itu, mereka juga membuat dua rangka papan bagi bahagian sudut belakang Khemah Suci itu. 29 Kedua-dua rangka papan bahagian sudut itu dua kali ganda tebalnya dari situ sampai bawah dan muat betul-betul ke dalam gegelang pertama. Demikianlah yang dilakukan mereka bagi kedua-dua papan di kedua-dua sudut itu. 30 Jadi, ada lapan rangka papan lengkap dengan enam belas lesung pasaknya daripada perak, iaitu dua lesung pasak di bawah setiap papan.
31 Mereka juga membuat palang-palang daripada kayu akasia: lima batang untuk rangka papan pada satu sisi Khemah Suci, 32 dan lima batang untuk rangka papan pada sisi kedua, dan lima batang lagi untuk rangka papan pada bahagian belakang Khemah Suci, iaitu di sebelah barat. 33 Mereka membuat kayu palang di bahagian tengah melintang dari hujung ke hujung, setinggi setengah rangka papan itu. 34 Lalu mereka menyalut papan-papan itu dengan emas dan membuat gegelang-gegelang daripada emas sebagai tempat memasukkan kayu palang itu. Kayu-kayu palang itu disaluti mereka juga dengan emas.
35 Setelah itu, mereka membuat tabir daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus yang dipintal, lengkap dengan sulaman arca malaikat kerubin hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir. 36 Untuk tabir itu mereka membuat empat batang tiang daripada kayu akasia dan menyalutnya dengan emas. Mereka juga membuat cangkuk-cangkuk daripada emas untuk tiang itu, serta membuat lesung pasak leburan daripada perak. 37 Kemudian mereka membuat tirai untuk pintu khemah itu daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus yang dipintal, siap dengan sulamannya. 38 Untuk tirai itu dibuat lima batang tiang lengkap dengan cangkuk-cangkuknya. Mereka menyalut kepalanya dan pengancingnya dengan emas, manakala kelima-lima lesung pasaknya dibuat daripada gangsa.
 
 
 
 
 
 
37
Pembuatan tabut perjanjian
1 Bezaleel membuat tabut daripada kayu akasia yang berukuran sepanjang dua hasta setengah dan selebar satu hasta setengah, dan setinggi setengah hasta. 2 Bahagian dalam dan luar tabut itu disalutnya dengan emas tulen, manakala di sekeliling bahagian atasnya dibuatnya bingkai emas. 3 Dia membuat empat urat gegelang emas leburan pada keempat-empat penjurunya, iaitu dua urat gegelang pada satu sisi dan dua urat gegelang juga pada sisi yang setentang dengan sisi itu. 4 Lalu dia membuat pengusung daripada kayu akasia dan menyalutinya dengan emas. 5 Dia pun memasukkan kayu pengusung itu ke dalam gegelang pada dua sisi tabut itu, supaya dengannya tabut itu dapat diusung. 6 Kemudian dia membuat penutup pendamaian pula, daripada emas tulen, sepanjang dua hasta setengah dan selebar satu hasta setengah. 7 Dia juga membuat dua arca malaikat kerubin daripada emas tempaan pada kedua-dua hujung penutup pendamaian itu. 8 Satu arca malaikat kerub di satu hujung dan satu arca malaikat kerub di hujung lagi satu. Kedua-dua arca malaikat kerubin itu dibuat secara bersepadu dengan penutup pendamaian itu, pada kedua-dua hujungnya. 9 Arca-arca malaikat kerubin itu mengembangkan sayapnya ke atas, menudungi penutup pendamaian itu dengan sayapnya, sementara mukanya berhadapan antara satu sama lain, menghadap ke arah penutup pendamaian itu.
Pembuatan meja
10 Bezaleel juga membuat meja daripada kayu akasia sepanjang dua hasta, selebar sehasta, dan setinggi satu hasta setengah. 11 Dia menyaluti meja itu dengan emas tulen serta dibuatnya bingkai emas di sekelilingnya. 12 Selanjutnya, dia membuat jalur tepi selebar telapak tangan, lengkap dengan bingkai emas di sekeliling jalur tepi itu. 13 Dibuatnya pula empat urat gegelang emas leburan, lalu dipasangnya gegelang itu pada keempat-empat penjuru meja itu, di keempat-empat kakinya. 14 Berdekatan dengan jalur tepi tadi diletakkan gegelang-gegelang itu yang berfungsi sebagai wadah bagi memasukkan kayu pengusung agar meja itu dapat diusung. 15 Lalu dibuatnya pula pengusung daripada kayu akasia dan disaluti kayu pengusung itu dengan emas, supaya dengan pengusung itu meja dapat diusung. 16 Dia membuat segala alat kelengkapan yang perlu diletakkan di atas meja, iaitu kesemua pinggan dan belanga untuk pendupaan, serta mangkuk dan pialanya, yang akan dipakai untuk persembahan minuman kesemuanya daripada emas tulen.
Pembuatan kaki pelita
17 Kemudian Bezaleel membuat kaki pelita daripada emas tulen. Daripada emas tempaan dibuatnya kaki pelita, iaitu kakinya dan batangnya. Kuncupnya, kelopaknya, dan mahkotanya dibuatnya secara bersepadu dengan kaki pelita itu. 18 Enam cabang timbul dari sisi-sisi kaki pelita itu: tiga cabang dari satu sisi dan tiga cabang lagi dari sisi yang lain. 19 Ada tiga kuncup seperti bunga badam pada cabang yang satu, lengkap dengan kelopak dan mahkotanya, dan tiga kuncup seperti bunga badam pada cabang yang satu lagi, lengkap dengan kelopak dan mahkotanya. Demikian jugalah keenam-enam cabang yang timbul dari kaki pelita itu. 20 Pada kaki pelita itu sendiri ada empat kuncup bunga badam lengkap dengan kelopak dan mahkotanya. 21 Satu kelopak di bawah dua cabang pertama, satu kelopak di bawah dua cabang kedua, dan satu kelopak lagi di bawah dua cabang ketiga daripada keenam-enam cabang yang timbul dari kaki pelita itu. 22 Kelopak-kelopak serta cabang-cabang itu bersepadu dengan kaki pelita itu, seluruhnya daripada sepotong emas tulen tempaan. 23 Dibuatnya pula daripada emas tulen tujuh buah pelita untuk kaki pelita itu, penyepit sumbu, serta dulangnya. 24 Kaki pelita dengan segala kelengkapannya itu dibuatnya daripada satu talenta emas tulen.
Pembuatan mazbah pendupaan
25 Selanjutnya, dia membuat mazbah pendupaan daripada kayu akasia yang berbentuk empat persegi, sehasta panjangnya, sehasta lebarnya, dan dua hasta tingginya. Tanduk-tanduknya secara bersepadu dengannya. 26 Dia menyaluti semuanya dengan emas tulen, baik sisi atasnya, sisi-sisi sekelilingnya, mahupun tanduk-tanduknya, lalu dibuatnya bingkai emas di sekelilingnya. 27 Pada bahagian bawah bingkai di kedua-dua sisinya, dibuat pula dua urat gegelang emas sebagai tempat untuk memasukkan kayu pengusung supaya tempat pembakaran itu dapat diusung. 28 Kayu pengusungnya pula dibuatnya daripada kayu akasia yang disaluti emas.
29 aSeterusnya, dia membuat minyak tahbis yang suci dan dupa yang murni daripada rempah-ratus yang harum, seperti hasil kerja ahli pembuat wangi-wangian.
 
 
 
 
 
 
38
Pembuatan mazbah korban bakaran
1 Bezaleel membuat mazbah korban bakaran yang berbentuk empat persegi, panjangnya lima hasta, lebarnya lima hasta, dan tingginya tiga hasta, daripada kayu akasia. 2 Pada keempat-empat penjurunya dibuatnya tanduk-tanduk secara bersepadu dengan tempat persembahan itu, lalu disalutnya dengan gangsa. 3 Dia juga membuat segala kelengkapan mazbah itu, iaitu segala periuknya, penyodoknya, bejananya, cangkuk daging, dan penada baranya, kesemuanya daripada gangsa. 4 Kemudian dipasangnya rangkaian kekisi gangsa, pada mazbah itu di bawah birainya, mulai bahagian bawah hingga rangkaian kekisi itu mencapai setengah ketinggian mazbah. 5 Dia membuat empat urat gegelang leburan untuk dipasang pada keempat-empat penjuru kekisi gangsa itu sebagai tempat memasukkan kayu pengusung. 6 Lalu dibuatnya pengusung daripada kayu akasia dan disalutnya dengan gangsa. 7 Selanjutnya, dia memasukkan kayu-kayu pengusung itu ke dalam gegelang yang ada pada sisi mazbah itu, supaya dengan kayu itu mazbah dapat diusung. Mazbah itu dibuatnya berongga dan daripada papan.
Pembuatan bejana untuk pembasuhan
8 aBezaleel pun membuat bejana pembasuhan besar daripada gangsa, dengan kekakinya juga daripada gangsa yang diambil daripada cermin-cermin para pelayan perempuan yang menjalankan tugas pelayanan di pintu Khemah Pertemuan.
Pembuatan laman dalam
9 Selanjutnya, Bezaleel membuat laman dalam yang bahagian sebelah selatannya dipagari dengan kain linen halus yang dipintal sepanjang seratus hasta. 10 Sangganya ialah dua puluh batang tiang dengan dua puluh lesung pasak daripada gangsa manakala cangkuk-cangkuk serta segala pita penghubungnya dibuat daripada perak. 11 Begitu jugalah halnya dengan bahagian sebelah utara yang dipagari kain linen sepanjang seratus hasta yang disangga oleh dua puluh batang tiang dengan dua puluh lesung pasak daripada gangsa manakala cangkuk-cangkuk serta segala pita penghubungnya dibuat daripada perak. 12 Di sebelah barat digantungkan hamparan kain linen sepanjang lima puluh hasta, disangga oleh sepuluh batang tiang lengkap dengan sepuluh buah lesung pasaknya, cangkuk-cangkuk tiang serta segala pita penghubungnya yang kesemuanya dibuat daripada perak. 13 Lebar bahagian sebelah timur juga lima puluh hasta, 14 dengan hamparan gantung kain linen selebar lima belas hasta di satu sisi pintu masuk, disangga oleh tiga batang tiang dengan tiga buah lesung pasaknya. 15 Begitu jugalah di sisi satu lagi. Jadi, sebelah kiri dan kanan pintu masuk laman dalam itu tertutup oleh kain sepanjang lima belas hasta yang disangga oleh tiga batang tiang lengkap dengan tiga buah lesung pasaknya. 16 Maka sekeliling laman dalam itu dipagari oleh kain linen halus yang dipintal. 17 Semua lesung pasak bagi tiang-tiangnya dibuat daripada gangsa manakala cangkuk-cangkuk serta segala pita penghubungnya daripada perak. Kepala setiap tiang disaluti perak, dan semua tiang laman dalam itu dihubungkan dengan perak. 18 Tabir bagi pintu masuk laman dalam ialah hasil kerja sulaman pada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, berhiaskan sulaman. Panjangnya ialah dua puluh hasta, dan tingginya serta lebarnya ialah lima hasta, sama lebarnya dengan kain yang memagari laman dalam itu. 19 Tabir pintu masuk itu disangga oleh empat batang tiang, lengkap dengan empat buah lesung pasaknya daripada gangsa. Cangkuk-cangkuk serta segala pita penghubungnya dibuat daripada perak, dengan kepala tiangnya juga bersalut perak. 20 Semua pasak bagi Khemah Suci serta pasak untuk sekeliling laman dalam itu dibuat daripada gangsa.
Bahan-bahan bagi pembinaan Khemah Suci
21 Inilah daftar segala bahan yang digunakan untuk Khemah Suci, iaitu Khemah Suci tempat loh hukum, yang tersenarai dan tersusun oleh bani Lewi di bawah pimpinan Itamar, anak Imam Harun, atas perintah Musa.
22 Bezaleel bin Uri bin Hur, daripada suku Yudah, mengerjakan semua seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa. 23 Dia dibantu oleh Aholiab bin Ahisamakh daripada suku Dan, seorang tukang dalam bidang mengukir, merancang, juga menyulam kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus.
24 Jumlah kesemua emas yang digunakan dalam semua pekerjaan mendirikan tempat suci itu ialah dua puluh sembilan talenta dan tujuh ratus tiga puluh syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci. 25 bManakala perak daripada persembahan semua orang yang terdaftar dalam kalangan umat berjumlah seratus talenta dan 1,775 syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci. 26 cSetiap orang memberikan persembahan sebanyak satu beka, iaitu setengah syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci. Jumlah mereka yang terdaftar, iaitu mereka yang berumur dua puluh tahun ke atas, ialah 603,550 orang. 27 Seratus talenta perak digunakan sebagai perak leburan bagi lesung pasak tempat suci dan lesung pasak tiang tabir itu, yang seluruhnya berjumlah seratus. Jadi, satu talenta untuk satu lesung pasak. 28 Baki sebanyak 1,775 syikal perak itu digunakan pula untuk membuat cangkuk pada tiang-tiang, untuk menyalut kepala-kepala tiang, dan membuat pita penghubungnya. 29 Gangsa persembahan unjukan berjumlah 70 talenta dan 2,400 syikal. 30 Daripada kesemua itu dibuat lesung pasak pintu Khemah Pertemuan, mazbah daripada gangsa lengkap dengan kekisi dan segala kelengkapan mazbah, 31 dan lesung pasak di sekeliling laman dalam, lesung pasak pintu masuk laman dalam, semua pasak Khemah Suci, dan semua pasak di sekeliling laman dalam.
 
 
 
 
 
 
39
Pembuatan pakaian imam
1 Daripada kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala, Bezaleel dan Aholiab membuat pakaian yang berjalin kemili untuk penyelenggaraan ibadat di tempat suci. Mereka juga membuat pakaian suci untuk Harun, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa.
2 Mereka membuat baju efod daripada bahan emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus yang dipintal. 3 Emas ditempa untuk menjadi lembaran lalu dipotong-potong menjadi benang untuk disulam pada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus menurut kepakaran dan hasil kerja seorang pekerja mahir. 4 Kemudian mereka membuat tali penutup bahu yang bersambung pada kedua-dua hujung baju efod itu. 5 Ikat pinggang hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir disambungkan pula pada baju efod itu, bersepadu dan sedondon dengan baju efod itu, iaitu daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa. 6 Mereka menatah batu permata oniks secara jalinan kemili dengan ikatan emas, lalu sebagaimana pengukiran cincin materai, pada batu permata itu diukirkan nama para anak Israel. 7 Setelah itu, mereka menempatkan batu permata itu pada tali-tali penutup bahu baju efod sebagai permata peringatan untuk anak-anak Israel, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa.
8 Lalu mereka membuat penutup dada, melalui hasil kepakaran seorang pekerja mahir, sama seperti baju efod itu, iaitu daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal. 9 Bentuknya empat persegi, dibuat berlapis dua, sejengkal panjangnya dan sejengkal lebarnya. 10 Di penutup dada itu dipasang mereka empat baris batu permata tatahan: pertama sebaris batu permata berupa akik merah, manikam kuning, dan zamrud. 11 Di baris kedua batu permata firus, nilam, dan intan; 12 dan di baris ketiga pula zirkon yakut, akik putih, dan kecubung. 13 Manakala di baris keempat ialah topaz, oniks, dan yaspis dan semuanya diikatkan bertatah emas. 14 Jumlah batu permata ini dua belas biji, iaitu sejajar dengan jumlah nama anak Israel. Masing-masing batu permata itu diukir seperti materai, diukirkan satu nama daripada dua belas suku itu. 15 Di atas penutup dada itu mereka membuat beberapa rantai berjalin kemili seperti tali daripada emas tulen. 16 Lalu mereka membuat dua urat ikatan emas dan dua urat gegelang emas. Kedua-dua gegelang itu dipasang mereka pada kedua-dua hujung penutup dada, 17 dan pada gegelang itu disambungkan mereka kedua-dua jalinan rantai emas tadi. 18 Dua hujung yang lain daripada kedua-dua jalinan itu dipasang mereka pada dua ikatan emas tadi. Dengan demikian, kedua-duanya terpasang pada tali-tali bahu baju efod di sebelah depan. 19 Kemudian mereka membuat dua lagi gegelang emas lalu memasangnya pada dua hujung penutup dada di lapisan sebelah dalam, yang berhadapan langsung dengan baju efod. 20 Mereka juga membuat dua gegelang emas lain dan memasangnya pada bahagian bawah dari kedua-dua tali bahu baju efod di sebelah depan, dekat sambungannya, di atas ikat pinggang baju efod hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir itu. 21 Kemudian mereka mengikatkan gegelang penutup dada itu pada gegelang baju efod dengan benang biru, supaya penutup dada itu tetap berada di atas ikat pinggang baju efod hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir itu serta tidak terurai daripada baju efod itu, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa.
22 Mereka juga membuat jubah baju efod yang keseluruhannya daripada kain biru, melalui hasil kepakaran seorang tukang tenun. 23 Lubang untuk kepala seperti pada baju zirah dibuat betul-betul di tengah-tengah jubah itu dengan pita tenunan di seluruh kelilingnya supaya tidak koyak. 24 Di sekeliling tepi sebelah bawah jubah itu mereka membuat hiasan seperti buah delima daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal. 25 Selain itu, mereka membuat kerincing-kerincing daripada emas tulen, lalu memasangnya berselang-selang dengan hiasan buah delima tadi di sekeliling kelepet di bahagian bawah jubah. 26 Satu kerincing lalu satu buah delima, kemudian satu kerincing lagi diikuti satu buah delima, dan seterusnya di sekeliling kelepet jubah yang akan dipakai untuk penyelenggaraan ibadat itu, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa.
27 Setelah itu, mereka membuat tunik daripada linen halus tenunan pakar untuk Harun dan anak-anaknya, 28 begitu jugalah mereka membuat segala serban dan ikat kepala daripada kain linen halus, seluar daripada linen halus yang dipintal, 29 serta semua ikat pinggang daripada linen halus yang dipintal, dan kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala berhiaskan sulaman, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa. 30 Mereka juga membuat mahkota yang suci daripada emas tulen dan mengukirkan padanya tulisan “Suci bagi Allah”, seperti ukiran pada materai. 31 Hiasan itu dilengkapkan mereka dengan benang biru agar dapat dipasangkan pada bahagian atas serban, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa.
Nabi Musa memeriksa seluruh pekerjaan
32 Maka selesailah keseluruhan pembinaan Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan yang kesemuanya dilaksanakan oleh orang Israel menurut segala yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa. 33 Kemudian mereka membawa Khemah Suci itu ke hadapan Musa, iaitu: khemah dengan segala kelengkapannya seperti segala pengancingnya, rangka papannya, kayu palangnya, tiangnya, dan lesung pasaknya; 34 penutup khemah daripada kulit domba jantan yang dicelup merah, penutup daripada kulit anjing laut, dan tabir penudung; 35 tabut loh hukum dengan kayu-kayu pengusungnya dan penutup pendamaian; 36 meja dengan segala kelengkapannya dan roti persembahan; 37 kaki pelita daripada emas tulen dengan pelitanya – pelita yang berderet, segala kelengkapannya, dan minyak untuk pencahayaan; 38 mazbah pendupaan daripada emas, minyak tahbis, dan dupa harum; tirai bagi pintu khemah itu; 39 mazbah daripada gangsa dengan kekisi gangsanya, kayu-kayu pengusungnya, dan segala kelengkapannya; bejana pembasuhan dengan kekakinya; 40 hamparan gantung untuk laman dalam dengan segala tiang dan lesung pasaknya, tabir pintu masuk laman dalam dengan segala talinya dan pasaknya, serta segala kelengkapan untuk peribadatan di Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan. 41 Selain itu, dibawa juga pakaian yang berjalin kemili untuk penyelenggaraan ibadat di tempat suci, pakaian suci untuk Imam Harun, dan pakaian anak-anaknya untuk menunaikan tugas sebagai imam. 42 Orang Israel melaksanakan segala pekerjaan itu, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa. 43 Musa memeriksa seluruh pekerjaan itu, dan nyatalah bahawa mereka sudah melaksanakannya seperti yang diperintahkan oleh Allah. Kemudian Musa memohonkan keberkatan untuk mereka.
 
 
 
 
 
 
40
Terdirilah Khemah Suci
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Pada hari pertama bulan pertama hendaklah kamu dirikan Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan. 3 Hendaklah kamu letakkan tabut loh hukum di dalamnya dan pagarlah tabut itu dengan tabir di depannya. 4 Hendaklah kamu bawa meja ke dalam ruangan itu dan letaklah segala kelengkapannya mengikut aturannya. Hendaklah kamu bawa kaki pelita juga ke dalamnya, lalu nyala pelita-pelitanya. 5 Hendaklah kamu letakkan mazbah pendupaan daripada emas itu di depan tabut loh hukum, dan gantungkanlah tabir bagi pintu Khemah Suci. 6 Hendaklah kamu letakkan mazbah korban bakaran di hadapan pintu Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan. 7 Setelah itu, hendaklah kamu letakkan bejana pembasuhan di antara Khemah Pertemuan dengan mazbah pembakaran korban, dan tuangkanlah air ke dalamnya. 8 Buatlah laman luar di sekelilingnya dan gantungkanlah tirai pintu masuk laman dalam.
9 Hendaklah kamu ambil minyak tahbis, lalu urapilah Khemah Suci serta segala yang ada di dalamnya. Hendaklah kamu sucikan khemah itu dengan segala kelengkapannya, maka khemah itu akan menjadi suci. 10 Hendaklah kamu urapi mazbah korban bakaran dengan segala kelengkapannya, dan sucikanlah mazbah itu, maka mazbah itu akan menjadi teramat suci. 11 Hendaklah kamu urapi bejana pembasuhan itu dengan kekakinya, dan sucikannya.
12 Hendaklah kamu bawa Harun dan anak-anaknya ke pintu Khemah Pertemuan, lalu basuhlah mereka dengan air. 13 Hendaklah kamu kenakan kepada Harun pakaian yang suci dan kamu hendaklah mengurapi dan menyucikannya untuk menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku. 14 Kemudian, hendaklah kamu bawa anak-anaknya, lalu kenakanlah tunik pada mereka. 15 Hendaklah kamu urapi mereka seperti kamu mengurapi ayah mereka, supaya mereka juga dapat menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku. Maka upacara pengurapan dengan minyak itu akan membuat mereka secara rasmi untuk memegang jawatan imam, dan hal itu terus dijalankan sedemikian selama turun-temurun.”
16 Maka Musa pun melaksanakan semuanya, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. 17 Maka pada tahun kedua, iaitu pada hari pertama bulan pertama itu, terdirilah Khemah Suci. 18 Musa mendirikan Khemah Suci itu, meletakkan segala lesung pasaknya, dan menegakkan semua rangka papannya serta memasangkan kayu-kayu palangnya dan mendirikannya tiang-tiangnya. 19 Dia membentangkan khemah untuk menutupi Khemah Suci, lalu dipasangnya penutup khemah di atasnya, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. 20 Selanjutnya, dia mengambil loh hukum dan meletakkannya di dalam tabut. Lalu dipasangnya kayu pengusung pada tabut itu dan diletakkannya penutup pendamaian di atas tabut itu. 21 Kemudian dia membawa tabut itu ke dalam Khemah Suci, lalu digantungkannya tabir penyekat untuk menutupi tabut loh hukum, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepadanya.
22 Musa menempatkan meja di dalam Khemah Pertemuan, iaitu di sebelah luar tabir, pada sisi sebelah utara Khemah Suci. 23 Lalu dia menyusun roti di atasnya di hadapan Allah, menurut aturan seperti yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. 24 Kaki pelita diletakkannya berhadapan dengan meja itu di dalam Khemah Pertemuan, iaitu pada sisi sebelah selatan Khemah Suci. 25 Dia seterusnya memasang pelita-pelita di hadapan Allah, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. 26 Sesudah itu, dia menempatkan mazbah daripada emas itu di dalam Khemah Pertemuan, iaitu di depan tabirnya 27 lalu dibakarnya dupa daripada rempah-ratus harum di atas mazbah itu sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. 28 Lalu Musa menggantungkan tabir pintu Khemah Suci itu. 29 Dia menempatkan mazbah korban bakaran di muka pintu Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan, lalu di atasnya dipersembahkannya korban bakaran dan persembahan bahan makanan, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. 30 Ditempatkannya pula bejana pembasuhan di antara Khemah Pertemuan dengan mazbah itu, lalu dia menuangkan air ke dalamnya untuk pembasuhan. 31 Kemudian Musa, Harun, dan anak-anak Harun membasuh tangan serta kaki masing-masing di situ. 32 Bila-bila sahaja mereka masuk ke dalam Khemah Pertemuan dan menghampiri mazbah, mereka perlu membasuh tangan dan kaki, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa. 33 Setelah itu, Musa mendirikan pagar laman dalam di sekeliling Khemah Suci dan mazbah, lalu dia menggantungkan tabir pintu masuk laman dalam itu. Demikianlah Musa menyelesaikan pekerjaan itu.
Kemuliaan Allah
34 aKemudian awan menutupi Khemah Pertemuan dan kemuliaan Allah memenuhi Khemah Suci itu. 35 Musa tidak dapat masuk ke dalam Khemah Pertemuan, kerana awan itu menetap di atas khemah itu serta kemuliaan Allah memenuhi Khemah Suci. 36 Maka apabila sahaja awan itu naik dari atas Khemah Suci, orang Israel akan berangkat melanjutkan perjalanan mereka 37 tetapi jika awan itu tidak terangkat, mereka juga tidak berangkat sampai saatnya awan itu naik. 38 Maka awan Allah itu ada di atas Khemah Suci pada siang hari, dan pada malam hari ada api di dalam awan itu, di hadapan mata seluruh keturunan kaum Israel pada setiap tahap perjalanan mereka.