Bilangan
1
Banci penduduk orang Israel yang pertama
1 aAllah berfirman sedemikian kepada Musa di dalam Khemah Pertemuan di Gurun Sinai pada hari pertama bulan kedua tahun kedua setelah orang Israel keluar dari Tanah Mesir: 2 “Jalankanlah banci penduduk atas seluruh umat Israel menurut kaum dan keluarga mereka. Catatlah satu demi satu nama semua lelaki 3 di Israel yang berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang. Hendaklah kamu dan Harun menghitung mereka menurut pasukan masing-masing. 4 Hendaklah ada seorang daripada setiap suku yang menyertaimu, iaitu orang yang menjadi ketua kaum keluarganya. 5 Inilah nama orang yang harus menyertaimu:
Elizur bin Syedeur, daripada suku Ruben;
6 Selumiel bin Zurisyadai, daripada suku Simeon;
7 Nahason bin Aminadab, daripada suku Yudah;
8 Netaneel bin Zuar, daripada suku Isakhar;
9 Eliab bin Helon, daripada suku Zebulon;
10 Elisama bin Amihud, daripada suku Efraim,
dan Gamaliel bin Pedazur, daripada suku Manasye, kedua-duanya keturunan Yusuf;
11 Abidan bin Gideoni, daripada suku Benyamin;
12 Ahiezer bin Amisyadai, daripada suku Dan;
13 Pagiel bin Okhran, daripada suku Asyer;
14 Elyasaf bin Deuel, daripada suku Gad;
15 Ahira bin Enan, daripada suku Naftali.”
16 Itulah orang yang dipilih daripada kalangan umat, iaitu pemimpin suku kaum bapa leluhur mereka. Mereka ketua suku kaum Israel. 17 Maka Musa dan Harun memanggil orang yang telah dinamai itu, 18 lalu pada hari pertama bulan kedua itu mereka mengumpulkan seluruh umat. Seluruh umat pun menyatakan salasilah mereka menurut keluarga serta suku kaum mereka, dan nama setiap lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas dicatat satu demi satu, 19 seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
Demikianlah Musa menghitung mereka di kawasan Gurun Sinai:
20 Daripada bani Ruben, iaitu keturunan daripada anak sulung Israel:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 21 Jumlah yang dihitung daripada suku Ruben ialah 46,500 orang.
22 Daripada bani Simeon:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 23 Jumlah yang dihitung daripada suku Simeon ialah 59,300 orang.
24 Daripada bani Gad:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 25 Jumlah yang dihitung daripada suku Gad ialah 45,650 orang.
26 Daripada bani Yudah:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 27 Jumlah yang dihitung daripada suku Yudah ialah 74,600 orang.
28 Daripada bani Isakhar:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 29 Jumlah yang dihitung daripada suku Isakhar ialah 54,400 orang.
30 Daripada bani Zebulon:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 31 Jumlah yang dihitung daripada suku Zebulon ialah 57,400 orang.
32 Daripada bani Yusuf, khususnya daripada bani Efraim:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 33 Jumlah yang dihitung daripada suku Efraim ialah 40,500 orang.
34 Daripada bani Manasye:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya, 35 dan jumlah yang dihitung daripada suku Manasye ialah 32,200 orang.
36 Daripada bani Benyamin:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 37 Jumlah yang dihitung daripada suku Benyamin ialah 35,400 orang.
38 Daripada bani Dan:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 39 Jumlah yang dihitung daripada suku Dan ialah 62,700 orang.
40 Daripada bani Asyer:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 41 Jumlah yang dihitung daripada suku Asyer ialah 41,500 orang.
42 Daripada bani Naftali:
Nama setiap lelaki berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang dicatat satu demi satu menurut kaum dan keluarganya. 43 Jumlah yang dihitung daripada suku Naftali ialah 53,400 orang. 44 Itulah jumlah orang yang dihitung oleh Musa dan Harun berserta kesemua dua belas orang pemimpin Israel, yang masing-masing mewakili keluarganya. 45 Jadi, seluruh orang Israel yang dihitung menurut keluarga mereka, iaitu semua orang Israel berumur dua puluh tahun ke atas yang sanggup berperang 46 berjumlah 603,550 orang.
47 Akan tetapi, mereka yang termasuk bani Lewi menurut suku bapa leluhur mereka tidak turut dihitung bersama-sama orang itu, 48 kerana demikianlah firman Allah kepada Musa, 49 “Hanya, suku Lewi jangan kausenaraikan. Jangan kauadakan banci penduduk atas mereka bersama-sama orang Israel lainnya, 50 melainkan angkatlah orang Lewi sebagai pengawas kepada Khemah Suci tempat kesaksian, kepada segala alat kelengkapannya, dan kepada segala sesuatu yang ada di dalamnya. Mereka harus mengusung Khemah Suci dengan segala alat kelengkapannya serta mengurusnya. Selain itu, mereka pun harus berkhemah di sekelilingnya. 51 Apabila berangkat, orang Lewilah yang harus membongkar Khemah Suci itu, dan apabila hendak berkhemah, orang Lewi pulalah yang harus memasangnya. Hendaklah orang awam yang mendekati Khemah itu harus dihukum mati. 52 Orang Israel lainnya harus berkhemah di perkhemahan masing-masing menurut pasukan mereka, berdekatan dengan panji masing-masing, 53 tetapi orang Lewi harus berkhemah di sekeliling Khemah Suci, tempat loh hukum, supaya jangan umat Israel tertimpa murka. Jadi, orang Lewi harus menunaikan kewajipan mereka untuk memelihara Khemah Suci, tempat loh hukum itu.” 54 Orang Israel pun melakukannya. Selaras dengan segala yang diperintahkan Allah kepada Musa, demikianlah yang dilakukan mereka.
 
 
 
 
 
 
2
Pembahagian tempat perkhemahan
1 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, 2 “Orang Israel harus berkhemah menurut panji masing-masing dengan lambang kaum keluarganya. Khemah mereka harus didirikan berkeliling menghadap Khemah Pertemuan.
3 Mereka yang di bawah panji-panji pasukan Yudah harus berkhemah di sebelah timur, arah matahari terbit, menurut pasukan mereka. Pemimpin bani Yudah ialah Nahason bin Aminadab. 4 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 74,600 orang.
5 Yang akan berkhemah berdekatan dengan mereka ialah suku Isakhar. Pemimpin bani Isakhar ialah Netaneel bin Zuar. 6 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 54,400 orang.
7 Selanjutnya suku Zebulon. Pemimpin bani Zebulon ialah Eliab bin Helon. 8 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 57,400 orang.
9 Jadi, jumlah semua orang yang dihitung dalam pasukan Yudah menurut pasukan mereka ialah 186,400. Mereka harus berangkat lebih dahulu.
10 Di sebelah selatan hendaklah ada panji-panji pasukan Ruben menurut pasukan mereka. Pemimpin bani Ruben ialah Elizur bin Syedeur. 11 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 46,500 orang.
12 Yang akan berkhemah berdekatan dengan mereka ialah suku Simeon. Pemimpin bani Simeon ialah Selumiel bin Zurisyadai. 13 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 59,300 orang.
14 Selanjutnya suku Gad. Pemimpin bani Gad ialah Elyasaf bin Deuel. 15 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 45,650 orang.
16 Jadi, jumlah semua orang yang dihitung dalam pasukan Ruben ialah 151,450 orang, menurut pasukan mereka. Mereka harus berangkat dalam kumpulan kedua.
17 Setelah itu, Khemah Pertemuan harus dibawa berangkat bersama-sama rombongan bani Lewi, di tengah-tengah pasukan-pasukan itu. Sama halnya seperti ketika mereka berkhemah, iaitu masing-masing di tempatnya menurut panji-panji mereka, demikianlah juga mereka harus berangkat.
18 Di sebelah barat haruslah ada panji-panji pasukan Efraim menurut pasukan mereka. Pemimpin bani Efraim ialah Elisama bin Amihud. 19 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 40,500 orang.
20 Berdekatan dengannya harus ada suku Manasye. Pemimpin bani Manasye ialah Gamaliel bin Pedazur. 21 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 32,200 orang.
22 Selanjutnya suku Benyamin. Pemimpin bani Benyamin ialah Abidan bin Gideoni. 23 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 35,400 orang.
24 Jadi, jumlah semua orang yang dihitung dalam pasukan Efraim ialah 108,100 orang menurut pasukan mereka. Mereka harus berangkat dalam kumpulan ketiga.
25 Di sebelah utara haruslah ada panji-panji pasukan Dan menurut pasukan mereka. Pemimpin bani Dan ialah Ahiezer bin Amisyadai. 26 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 62,700 orang.
27 Yang akan berkhemah berdekatan dengan mereka ialah suku Asyer. Pemimpin bani Asyer ialah Pagiel bin Okhran. 28 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 41,500 orang.
29 Selanjutnya suku Naftali. Pemimpin bani Naftali ialah Ahira bin Enan. 30 Pasukannya yang dihitung berjumlah seramai 53,400 orang.
31 Jadi, jumlah semua orang yang dihitung dalam pasukan Dan ialah 157,600 orang. Mereka harus berangkat terakhir, menurut panji-panji mereka.”
32 Itulah orang Israel yang dihitung menurut kaum keluarga mereka. Jumlah semua orang yang dihitung dalam perkhemahan itu menurut pasukan masing-masing ialah 603,550 orang. 33 Akan tetapi, bani Lewi tidak turut dihitung bersama dengan orang Israel, seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
34 Demikianlah yang dilakukan oleh orang Israel. Selaras dengan segala yang diperintahkan Allah kepada Musa, demikianlah mereka berkhemah menurut panji-panji mereka, dan demikian pulalah mereka berangkat, masing-masing menurut kaum serta keluarganya.
 
 
 
 
 
 
3
Keturunan Imam Harun
1 Inilah keturunan Harun dan Musa pada waktu Allah berfirman kepada Musa di Gunung Sinai. 2 aInilah nama anak-anak Harun: Nadab, yang sulung, Abihu, Eleazar, dan Itamar. 3 Itulah nama anak-anak Harun, iaitu imam yang diurapi dan ditahbiskan untuk menyandang jawatan imam. 4 bAkan tetapi, Nadab dan Abihu mati setelah mereka mempersembahkan api yang tidak dibenarkan itu di hadapan Allah di Gurun Sinai. Mereka tidak mempunyai anak, maka Eleazar dan Itamar yang menyandang jawatan imam semasa Harun, iaitu ayah mereka, masih hidup.
Penugasan bani Lewi
5 Allah berfirman kepada Musa, 6 “Bawalah suku Lewi menghadap Imam Harun, supaya mereka melayani dia. 7 Mereka harus menunaikan segala tugas untuk Harun dan untuk seluruh umat itu di depan Khemah Pertemuan dengan melaksanakan pekerjaan di Khemah Suci. 8 Mereka harus menguruskan segala kelengkapan Khemah Pertemuanc dan menunaikan segala tugas untuk orang Israel dengan melaksanakan pekerjaan di Khemah Suci. 9 Serahkanlah bani Lewi kepada Harun dan anak-anaknya. Seluruh bani Lewi dalam kalangan orang Israel hendaklah diserahkan kepadanya. 10 Hendaklah kamu menugaskan Harun dan anak-anaknya untuk menyandang jawatan imam. Hendaklah orang awam yang mendekati Khemah itu harus dihukum mati.”
11 Allah berfirman kepada Musa, 12 d“Sesungguhnya, Aku mengambil bani Lewi dalam kalangan orang Israel sebagai ganti semua anak sulung, iaitu yang lahir pertama daripada rahim antara orang Israel. Jadi, bani Lewi ialah kepunyaan-Ku, 13 kerana semua anak sulung ialah kepunyaan-Ku. Pada waktu Aku menewaskan semua anak sulung di Tanah Mesir, Aku mentahbiskan bagi-Ku semua yang sulung di Israel, baik manusia mahupun haiwan.e Semua itu kepunyaan-Ku. Akulah Allah.”
14 Allah berfirman kepada Musa di Gurun Sinai, 15 “Hitunglah bani Lewi menurut keluarga dan kaum mereka. Hendaklah kamu menghitung bilangan lelaki yang berumur satu bulan ke atas.” 16 Maka Musa menghitung mereka menurut firman Allah yang diperintahkan kepadanya. 17 Inilah nama anak-anak Lewi: Gerson, Kehat, dan Merari. 18 Nama anak-anak Gerson mengikut nama keturunan kaum mereka: Libni dan Simei. 19 Anak-anak Kehat mengikut nama keturunan kaum mereka: Amram, Yizhar, Hebron, dan Uziel. 20 Anak-anak Merari mengikut nama keturunan kaum mereka: Mahli dan Musi. Inilah kaum-kaum bani Lewi menurut keluarganya.
21 Daripada Gerson terdirilah kaum Libni dan kaum Simei. Itulah keturunan kaum Gerson. 22 Menurut penghitungan, jumlah lelaki yang berumur satu bulan ke atas ialah 7,500 orang. 23 Keturunan kaum Gerson itu berkhemah di belakang Khemah Suci, di sebelah barat. 24 Pemimpin keluarga Gerson ialah Elyasaf bin Lael. 25 Di dalam Khemah Pertemuan, bani Gerson berkewajipan menguruskan Khemah Suci, khemah berserta penudungnya, tirai pintu Khemah Pertemuan, 26 kain yang memagari laman dalaman, tirai pintu laman dalaman yang mengelilingi Khemah Suci dan mazbah berserta tali-talinya, serta semua yang berhubungan dengan pekerjaan itu.
27 Daripada Kehat terdirilah kaum Amram, kaum Yizhar, kaum Hebron, dan kaum Uziel. Itulah keturunan kaum Kehat, 28 dan mereka berkewajipan menguruskan tempat suci. Menurut penghitungan, jumlah lelaki yang berumur satu bulan ke atas ialah 8,600 orang. 29 Kaum-kaum bani Kehat itu berkhemah di sebelah selatan Khemah Suci. 30 Pemimpin keluarga daripada keturunan kaum Kehat ialah Elisafan bin Uziel. 31 Kewajipan mereka ialah menguruskan tabut, meja, kaki pelita, mazbah-mazbah, kelengkapan tempat suci yang digunakan untuk menyelenggarakan ibadat, tirai, dan semua yang berhubungan dengan pekerjaan itu.
32 Pada waktu itu, pemimpin tertinggi bani Lewi ialah Eleazar, anak Imam Harun. Dia mengawasi orang yang berkewajipan menguruskan tempat suci.
33 Daripada Merari terdirilah kaum Mahli dan kaum Musi. Itulah keturunan kaum Merari. 34 Menurut penghitungan, jumlah lelaki yang berumur satu bulan ke atas ialah 6,200 orang. 35 Pemimpin keluarga daripada keturunan kaum Merari ialah Zuriel bin Abihail. Mereka berkhemah di sebelah utara Khemah Suci. 36 Kewajipan yang dipercayakan kepada bani Merari ialah menguruskan papan-papan Khemah Suci, kayu-kayu palangnya, tiang-tiangnya, alas-alasnya, segala kelengkapannya, dan semua yang berhubungan dengan pekerjaan itu, 37 juga tiang-tiang di sekeliling laman dalaman dengan alas, pasak, serta talinya.
38 Mereka yang berkhemah di depan Khemah Suci, iaitu di sebelah timur, di depan Khemah Pertemuan, arah matahari terbit, ialah Musa dan Harun berserta anak-anaknya. Mereka berkewajipan menguruskan tempat suci dan menunaikan tugas bagi orang Israel. Selain mereka, hendaklah orang awam yang berani mendekati khemah itu dihukum mati. 39 Jumlah semua bani Lewi yang dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman Allah, menurut kaum-kaum mereka, iaitu semua lelaki yang berumur satu bulan ke atas, ialah 22,000 orang.
40 Allah berfirman kepada Musa, “Hitunglah semua anak sulung lelaki orang Israel yang berumur satu bulan ke atas dan buatlah daftar nama mereka. 41 Kemudian khususkanlah bani Lewi bagi-Ku – Akulah Allah – sebagai ganti semua anak sulung antara orang Israel, demikian juga haiwan bani Lewi sebagai ganti semua yang sulung antara haiwan orang Israel.” 42 Musa pun menghitung semua anak sulung dalam kalangan orang Israel, seperti yang diperintahkan Allah kepadanya. 43 Menurut daftar nama orang yang berumur satu bulan ke atas, jumlah semua anak sulung lelaki ialah 22,273 orang.
44 Lalu Allah berfirman kepada Musa demikian, 45 “Khususkanlah bani Lewi sebagai ganti semua anak sulung antara orang Israel, juga haiwan bani Lewi sebagai ganti haiwan mereka. Bani Lewi ialah kepunyaan-Ku. Akulah Allah. 46 Sebagai wang tebusan bagi 273 anak sulung orang Israel yang melebihi jumlah bani Lewi, 47 ambillah lima syikal daripada setiap orang menurut syikal rasmi Khemah Suci yang beratnya dua puluh gera,f 48 lalu berikanlah wang itu kepada Harun dan anak-anaknya sebagai tebusan bagi orang yang berlebihan itu.” 49 Musa pun mengumpulkan wang tebusan daripada orang di luar jumlah yang ditebus oleh bani Lewi. 50 Jadi, daripada anak-anak sulung orang Israel itu dia menerima 1,365 syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci. 51 Kemudian Musa memberikan wang tebusan itu kepada Harun dan anak-anaknya selaras dengan firman Allah, seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
 
 
 
 
 
 
4
Tugas bani Kehat
1 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, 2 “Jalankanlah banci penduduk yang berasingan atas bani Kehat daripada kalangan bani Lewi menurut kaum dan keluarga masing-masing. 3 Hitunglah orang yang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun, iaitu semua orang yang memenuhi syarat untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan. 4 Pekerjaan bani Kehat di Khemah Pertemuan ialah menguruskan barang-barang yang teramat suci.
5 Ketika perkhemahan akan berangkat, hendaklah Harun dan anak-anaknya masuk ke dalam untuk menurunkan tabir penyekat dan menudungi tabut loh hukum dengan tabir itu. 6 Hendaklah di atasnya mereka meletakkan penutup daripada kulit anjing laut, menghamparkan sehelai kain yang seluruhnya berwarna biru di atas kulit itu, lalu memasang kayu-kayu pengusungnya.
7 Hendaklah mereka menghamparkan sehelai kain biru di atas meja roti persembahan dan meletakkan di atasnya pinggan, perbaraan, mangkuk, serta cawan persembahan minuman, selain roti persembahan yang harus tetap ada di atasnya. 8 Kemudian hendaklah mereka menghamparkan sehelai kain merah menyala di atas semua itu, menudunginya dengan tudung daripada kulit anjing laut lalu memasang kayu-kayu pengusungnya.
9 Setelah itu, hendaklah mereka mengambil sehelai kain biru untuk menudungi kaki pelita bagi pencahayaan itu berserta pelita-pelitanya, gunting-gunting sumbunya, perbaraan-perbaraannya, dan segala wadah bagi penyimpanan minyaknya. 10 Hendaklah mereka membungkus kaki pelita serta segala kelengkapannya dengan kulit anjing laut dan meletakkannya di atas usungan.
11 Selanjutnya, hendaklah mereka menghamparkan sehelai kain biru di atas mazbah yang terbuat daripada emas, lalu menudunginya dengan tudung daripada kulit anjing laut, lalu memasang kayu-kayu pengusungnya. 12 Hendaklah mereka juga mengambil segala wadah bagi pelayanan yang digunakan di tempat suci dan membungkusnya dengan kain biru, menudunginya dengan tudung kulit anjing laut, dan meletakkannya di atas usungan. 13 Kemudian hendaklah mereka menyingkirkan abu dari mazbah lalu menghamparkan sehelai kain ungu ke atasnya. 14 Hendaklah mereka juga meletakkan di atasnya segala kelengkapan yang digunakan untuk peribadatan di mazbah, iaitu segala perbaraan, garpu, penyodok, dan bejana. Lalu hendaklah mereka menghamparkan penutup daripada kulit anjing laut di atas semua itu, dan memasang kayu-kayu pengusungnya. 15 Setelah Harun dan anak-anaknya menudungi kesemua barang suci dan segala kelengkapan tempat suci ketika perkhemahan akan berangkat, barulah bani Kehat boleh datang untuk mengusung semuanya. Akan tetapi, mereka tidak boleh menyentuh barang-barang suci itu, supaya jangan mereka mati.
Itulah barang-barang di Khemah Pertemuan yang perlu diusung oleh bani Kehat.
16 Ketika itu, Eleazar, anak Imam Harun, bertanggungjawab atas minyak untuk pencahayaan, dupa harum, persembahan bahan makanan yang tetap, dan minyak tahbis. Dia bertanggungjawab di dalam seluruh Khemah Suci dengan segala isinya, iaitu barang-barang suci serta segala kelengkapannya.”
17 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, 18 “Jangan biarkan suku Kehat dan kaum mereka lenyap daripada kalangan bani Lewi. 19 Lakukanlah hal ini bagi mereka supaya mereka tetap hidup dan tidak mati ketika mendekati barang-barang yang teramat suci itu: hendaklah Harun dan anak-anaknya masuk lebih dahulu untuk menentukan pekerjaan masing-masing serta barang-barang yang harus diangkut oleh mereka. 20 Tetapi bani Kehat tidak boleh masuk ke dalam untuk melihat barang-barang suci itu sekalipun hanya sesaat, supaya jangan mereka mati.”
Tugas bani Gerson dan bani Merari
21 Allah berfirman kepada Musa, 22 “Jalankanlah banci penduduk atas bani Gerson menurut keluarga dan kaum mereka pula. 23 Hitunglah orang yang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun, iaitu semua orang yang memenuhi syarat-syarat bekerja untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan. 24 Inilah tugas kaum bani Gerson dalam hal pelayanan dan dalam pengangkutan barang: 25 Hendaklah mereka mengangkut kain tabir Khemah Suci, Khemah Pertemuan dengan penudungnya juga tudung daripada kulit anjing laut yang ada di atasnya, tirai pintu masuk ke Khemah Pertemuan, 26 kain yang memagari laman dalaman, tirai pintu gerbang laman dalaman yang mengelilingi Khemah Suci juga mazbah, tali-talinya, dan segala kelengkapan yang digunakan dalam pekerjaan itu. Hendaklah mereka mengerjakan segala tugas yang perlu dilaksanakan sehubungan dengan kesemua itu. 27 Seluruh tugas bani Gerson, baik pengangkutan barang mahupun pekerjaan lainnya, hendaklah dilakukan berdasarkan perintah Harun dan anak-anaknya. Hendaklah kamu menetapkan tanggungjawab mereka atas semua barang yang harus diangkut oleh mereka. 28 Itulah tugas kaum bani Gerson di Khemah Pertemuan. Hendaklah kewajipan mereka itu dilaksanakan di bawah pimpinan Itamar, anak Imam Harun.
29 Hendaklah kamu juga menghitung bani Merari menurut kaum dan keluarga mereka. 30 Hitunglah orang yang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun, iaitu semua orang yang memenuhi syarat untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan. 31 Sehubungan dengan segala tugas mereka di Khemah Pertemuan itu, inilah barang-barang yang dipertanggungjawabkan untuk diangkut mereka: kerangka Khemah Suci, kayu-kayu palangnya, tiang-tiang dengan semua kekakinya, 32 tiang-tiang di sekeliling laman dalaman dengan kekakinya, pasak-pasaknya, tali-temalinya, segala kelengkapannya, dan semua yang digunakan untuk pekerjaan itu. Hendaklah kamu menghitung nama segala kelengkapan yang wajib diangkut mereka. 33 Itulah tugas kaum bani Merari, iaitu segala pekerjaan yang harus dilaksanakan mereka di Khemah Pertemuan di bawah pimpinan Itamar, anak Imam Harun.”
Penghitungan bani Lewi
34 Maka Musa, Harun, dan para pemimpin umat menghitung bani Kehat menurut kaum dan keluarga mereka, 35 iaitu orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk bekerja di Khemah Pertemuan. 36 Jumlah yang dihitung menurut kaum mereka itu ialah 2,750 orang. 37 Itulah jumlah penghitungan kaum bani Kehat, iaitu semua orang yang bekerja di Khemah Pertemuan. Mereka dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman Allah dengan perantaraan Musa.
38 Kemudian bani Gerson dihitung menurut kaum dan keluarga mereka, 39 iaitu orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk bekerja di Khemah Pertemuan. 40 Jumlah yang dihitung menurut kaum dan keluarga mereka ialah 2,630 orang. 41 Itulah jumlah penghitungan kaum bani Gerson, iaitu semua orang yang bekerja di Khemah Pertemuan. Mereka dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman Allah. 42 Selanjutnya, kaum bani Merari dihitung menurut kaum dan keluarga mereka, 43 iaitu orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk bekerja di Khemah Pertemuan. 44 Jumlah yang dihitung menurut kaum mereka itu ialah 3,200 orang. 45 Itulah jumlah penghitungan kaum bani Merari. Mereka dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman Allah dengan perantaraan Musa. 46 Demikianlah Musa, Harun, dan para pemimpin Israel menghitung jumlah semua bani Lewi menurut kaum dan keluarga mereka, 47 iaitu semua orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk melaksanakan tugas dan pekerjaan mengangkut barang di Khemah Pertemuan. 48 Jumlah yang dihitung ialah 8,580 orang.
49 Berdasarkan firman Allah dengan perantaraan Musa, setiap orang disenaraikan menurut tugasnya sama ada yang melayan atau yang mengangkut. Demikianlah mereka dihitung sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Musa.
 
 
 
 
 
 
5
Pengasingan orang bernajis
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Perintahkanlah orang Israel supaya mereka menyuruh semua orang yang sakit kusta, yang mengeluarkan lelehan, dan yang dinajiskan oleh mayat, keluar dari perkhemahan, 3 baik lelaki mahupun perempuan, supaya jangan mereka najiskan perkhemahan, tempat Aku bersemayam di tengah-tengah mereka.” 4 Maka orang Israel melaksanakan hal itu dan menyuruh orang bernajis itu keluar dari perkhemahan. Seperti yang difirmankan Allah kepada Musa, demikianlah yang dilakukan orang Israel.
Hukum tentang penebusan kesalahan
5 aAllah berfirman kepada Musa, 6 “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Apabila seseorang lelaki atau perempuan melakukan sesuatu dosa terhadap sesama manusia, dan dengan itu melakukan kemungkaran terhadap Allah, lantas orang itu bersalah dan 7 dia harus mengakui dosa yang telah dilakukannya itu. Dia juga harus membayar tebusan sepenuhnya atas kesalahannya itu serta menambah seperlima lagi, lalu menyerahkannya kepada orang yang dilakukannya kesalahan itu. 8 Akan tetapi, jika orang ini tidak mempunyai kerabat yang dapat menerima pembayarannya, maka tebusan kesalahan itu harus dibayar kepada Allah dengan menyerahkannya kepada imam, selain domba jantan tebusan yang digunakan untuk mengadakan pendamaian baginya. 9 Semua persembahan khusus, iaitu semua barang suci yang dipersembahkan orang Israel kepada imam, ialah bahagian imam. 10 Setiap persembahan suci milik seseorang akan menjadi bahagiannya sendiri, tetapi apa yang diberikannya kepada imam akan menjadi bahagian imam.’ ”
Apabila seorang isteri berzina
11 Allah berfirman kepada Musa, 12 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakanlah kepada mereka, ‘Seandainya isteri seseorang menyeleweng dan tidak setia kepada suaminya, 13 lalu seorang lelaki lain menidurinya tanpa diketahui suaminya dan hal itu tetap tersembunyi walaupun dia telah melakukan noda terhadap dirinya. Selain itu, tidak ada seorang saksi pun terhadap perbuatannya dan dia tidak ditangkap basah. 14 Namun begitu, rasa cemburu menguasai si suami sehingga dia mencurigai isterinya yang sememangnya telah menodai kesucian dirinya sendiri itu. Atau, seorang suami dikuasai rasa cemburu sehingga dia mencurigai isterinya walhal isterinya itu tidak menodai kesucian dirinya sendiri. 15 Jika demikian halnya, hendaklah si suami membawa isterinya menghadap imam dengan membawa persembahan berupa sepersepuluh efab tepung barli demi isterinya itu. Dia tidak boleh menuangkan minyak dan meletakkan kemenyan ke atasnya oleh sebab itu ialah persembahan bahan makanan kerana rasa cemburu, suatu persembahan pengingatan untuk mengingatkan kesalahan.
16 Hendaklah imam menyuruh perempuan itu datang dekat lalu menghadapkannya ke hadirat Allah. 17 Selanjutnya, hendaklah imam itu mengambil air suci di dalam sebuah belanga tanah lalu mengambil debu tanah dari lantai Khemah Suci dan membubuhnya ke dalam air itu. 18 Setelah imam menghadapkan perempuan itu ke hadirat Allah, hendaklah dia menguraikan rambut perempuan itu dan meletakkan di telapak tangannya persembahan pengingatan, iaitu persembahan bahan makanan kerana rasa cemburu itu. Sementara itu, di tangan imam sendiri hendaklah ada air pahit yang mendatangkan kutukan. 19 Kemudian, hendaklah imam menyuruh perempuan itu bersumpah dengan berkata kepadanya, “Jika memang tidak ada lelaki lain yang tidur dengan kamu, dan jika memang kamu tidak menyeleweng serta menajiskan diri sementara kamu berada di bawah kuasa suamimu, maka bebaslah kamu daripada air pahit yang mendatangkan kutukan ini. 20 Sebaliknya, jika ternyata kamu telah menyeleweng dan menajiskan diri sementara kamu berada di bawah kuasa suamimu, dan jika seorang lelaki selain suamimu ada meniduri kamu,” 21 kemudian hendaklah imam menyuruh perempuan itu bersumpah dengan sumpah kutukan dan berkata kepada perempuan itu, “Semoga Allah membuat kamu untuk menjadi kutukan dan sumpah seranah di tengah-tengah kalangan bangsamu ketika Allah menyusutkan pahamu serta membuncitkan perutmu. 22 Semoga air yang mendatangkan kutukan ini masuk ke dalam tubuhmu, membuncitkan perutmu, dan menyusutkan pahamu.”
Perempuan itu harus berkata, “Amin, amin.”
23 Kemudian, hendaklah imam menulis kutukan itu pada segulungan kertas lalu menghapuskannya dengan air pahit. 24 Hendaklah imam menyuruh perempuan itu meminum air pahit yang mendatangkan kutukan itu, sehingga air tersebut masuk ke dalam tubuhnya dan menyebabkan rasa sakit yang pedih. 25 Setelah itu, hendaklah imam mengambil persembahan bahan makanan kerana rasa cemburu daripada tangan perempuan itu, lalu mengunjukkannya di hadirat Allah serta membawanya ke mazbah. 26 Dari persembahan bahan makanan itu imam harus mengambil segenggam sebagai bahagian peringatannya lalu membakarnya di atas mazbah. Kemudian barulah dia menyuruh perempuan itu meminum air tersebut. 27 Setelah perempuan itu disuruhnya meminum air tersebut, maka akan tersingkaplah segalanya: jika perempuan itu ternyata telah menodai dirinya dan tidak setia kepada suaminya, maka air yang mendatangkan kutukan itu, yang masuk ke dalam tubuhnya, akan menyebabkan rasa sakit yang pedih sehingga perutnya membuncit dan pahanya menyusut. Perempuan itu pun akan menjadi kutukan dalam kalangan bangsanya. 28 Akan tetapi, jika perempuan itu tidak menajiskan diri dan tetap suci, maka dia akan bebas daripada kutukan itu dan dapat mempunyai anak kelak.”
29 Itulah peraturan tentang kecemburuan, ketika seorang isteri menyeleweng dan menodai diri sendiri sementara dia berada di bawah kuasa suaminya, 30 atau ketika rasa cemburu menguasai seorang suami sehingga dia mencurigai isterinya. Hendaklah dia menghadapkan isterinya ke hadirat Allah dan hendaklah imam menjalankan seluruh hukum ini terhadap perempuan itu. 31 Suami akan bebas daripada kesalahan, tetapi hendaklah si isteri itu menanggung kesalahannya.’ ”
 
 
 
 
 
 
6
Peraturan bagi seorang yang bernazar
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Jika seorang lelaki atau perempuan telah bernazar secara khusus, iaitu mengucapkan nazar sebagai seorang penazar untuk mengasingkan dirinya bagi Allah, 3 amaka hendaklah dia menjauhkan dirinya daripada meminum air anggur dan minuman yang memabukkan. Dia tidak boleh minum cuka daripada anggur ataupun cuka minuman yang memabukkan, tidak boleh minum apa-apa air buah daripada buah anggur, juga tidak boleh makan buah anggur, baik yang segar mahupun yang kering. 4 Selama dia mengasingkan dirinya itu, dia tidak boleh makan sesuatu apa-apa pun yang berasal daripada pokok anggur, baik bijinya mahupun kulitnya.
5 Sepanjang tempohnya sebagai seorang penazar, pisau cukur tidak boleh mengenai kepalanya. Hendaklah dia suci hingga dia selesai mengasingkan dirinya bagi Allah, dan hendaklah dia membiarkan rambut di kepalanya memanjang. 6 Selama tempoh dia mengasingkan dirinya bagi Allah, dia tidak boleh mendekati mayat. 7 Dia tidak boleh menajiskan diri dengan mendekati jenazah ayahnya, ibunya, saudara lelakinya, atau saudara perempuannya sekalipun, jika mereka meninggal, kerana di kepalanya ada tanda bahawa dia mengasingkan dirinya bagi Allah. 8 Selama pengasingan dirinya sebagai penazar itu, dia suci bagi Allah.
9 Jika seseorang tiba-tiba mati di sisinya sehingga ternajis kepalanya yang disucikan itu, maka hendaklah dia mencukur rambutnya pada hari penyuciannya, iaitu hari ketujuh. 10 Pada hari kelapan, hendaklah dia membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati kepada imam di pintu Khemah Pertemuan. 11 Hendaklah imam menyediakan seekor untuk menjadi korban penghapus dosa dan seekor lagi untuk menjadi korban bakaran, lalu mengadakan pendamaian bagi orang itu atas sebab dosanya kerana berada dekat mayat. Hendaklah pada hari itu juga dia menyucikan kepalanya. 12 Hendaklah dia mengasingkan dirinya semula bagi Allah selama dia bernazar dan hendaklah dia membawa seekor domba jantan berumur setahun sebagai korban penebus kesalahan. Hari-hari yang dahulu dia bernazar dianggap batal atas sebab pengasingan dirinya sudah ternajis.
13 bInilah peraturan bagi seorang penazar. Apabila selesainya tempoh pengasingan diri, hendaklah dia dibawa ke pintu Khemah Pertemuan. 14 Hendaklah dia mempersembahkan kepada Allah seekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela sebagai korban bakaran, seekor domba betina berumur setahun yang tidak bercacat cela sebagai korban penghapus dosa, dan seekor domba jantan yang tidak bercacat cela sebagai korban kedamaian. 15 Hendaklah dia juga mempersembahkan sebakul roti tidak beragi, kuih daripada tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun, roti nipis tidak beragi yang disapukan minyak zaitun, bersama dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.
16 Kemudian imam harus membawa kesemua itu ke hadirat Allah dan mempersembahkan korban penghapus dosa serta korban bakarannya. 17 Hendaklah imam juga mempersembahkan domba jantan itu sebagai korban kedamaian bagi Allah bersama dengan sebakul roti yang tidak beragi, dan selanjutnya mempersembahkan persembahan bahan makanan serta persembahan minumannya. 18 Kemudian, hendaklah penazar itu mencukur rambut kepala yang menandakan dirinya sebagai seorang penazar itu di depan pintu Khemah Pertemuan. Hendaklah dia juga mengambil rambut kepala yang menandakan dirinya sebagai penazar itu lalu meletakkannya di dalam api di bawah korban kedamaian.
19 Hendaklah imam mengambil bahu domba jantan yang sudah direbus, sebiji kuih tidak beragi dari dalam bakul, dan sekeping roti nipis tidak beragi, lalu meletakkannya di telapak tangan penazar setelah dia mencukur rambut kepala yang menandakan dirinya sebagai penazar itu. 20 Kemudian hendaklah imam mengunjukkan semua itu di hadapan Allah sebagai persembahan unjukan. Itulah yang menjadi bahagian suci bagi imam bersama dengan dada persembahan unjukan dan paha persembahan khusus. Setelah itu, barulah penazar itu boleh minum air anggur.”
21 Itulah peraturan bagi seorang penazar, yang menazarkan persembahannya kepada Allah kerana kedudukannya sebagai penazar, belum termasuk hal lain yang mampu dipersembahkannya. Berdasarkan nazar yang diucapkannya, hendaklah demikian itu juga yang dilakukannya, selaras dengan peraturan bagi para penazar.’ ”
Pemberian restu oleh imam
22 Allah berfirman kepada Musa, 23 “Katakanlah kepada Harun dan kepada anak-anaknya, ‘Beginilah kamu harus memberkati orang Israel. Katakanlah kepada mereka,
24 Allah memberkati kamu dan melindungi kamu.
25 Allah menyinari kamu dengan wajah-Nya dan memberi kamu kasih kurnia.
26 Allah menghadapkan wajah-Nya kepada kamu dan memberi kamu kedamaian.” ’
27 Demikianlah mereka harus menyebutkan nama-Ku atas orang Israel, maka Aku akan memberkati mereka.’
 
 
 
 
 
 
7
Persembahan pemimpin
1 Pada hari Musa selesai mendirikan Khemah Suci dan mengurapi serta menyucikan Khemah itu berserta segala kelengkapannya dan begitu jugalah diurapi dan ditakdiskannya mazbah berserta segala kelengkapannya, 2 para pemimpin Israel, iaitu ketua suku kaum mereka, membawa persembahan masing-masing. Mereka pemimpin suku kaum yang mengepalai mereka yang dibanci itu. 3 Mereka membawa ke hadirat Allah persembahan berupa enam buah gerabak yang beratap dan dua belas ekor lembu – sebuah gerabak daripada dua orang pemimpin dan seekor lembu daripada setiap pemimpin. Semua itu dipersembahkan mereka di depan Khemah Suci. 4 Berfirmanlah Allah kepada Musa, 5 “Terimalah semua itu daripada mereka, supaya dapat digunakan bagi pekerjaan di Khemah Pertemuan. Serahkanlah semuanya kepada bani Lewi selaras dengan pekerjaan masing-masing.” 6 Maka Musa menerima kesemua gerabak dan lembu itu lalu menyerahkannya kepada bani Lewi. 7 Dua buah gerabak dan empat ekor lembu diserahkannya kepada bani Gerson selaras dengan pekerjaan mereka, 8 sedangkan empat buah gerabak dan lapan ekor lembu yang lain diserahkannya kepada bani Merari selaras dengan pekerjaan mereka di bawah pimpinan Itamar, anak Imam Harun. 9 Akan tetapi, Musa tidak menyerahkan apa-apa pun kepada bani Kehat kerana pekerjaan mereka adalah untuk menguruskan barang-barang suci yang harus diusung mereka di atas bahu.
10 Para pemimpin itu juga membawa persembahan untuk pentahbisan mazbah pada hari mazbah itu diurapi lalu segala persembahan itu dibawa mereka ke hadapan mazbah. 11 Allah berfirman kepada Musa, “Setiap hari, hendaklah seorang pemimpin membawa persembahannya untuk pentahbisan mazbah itu.”
 
12 Orang yang membawa persembahannya pada hari pertama ialah Nahason bin Aminadab daripada suku Yudah.
13 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana peraka seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 14 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 15 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 16 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 17 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Nahason bin Aminadab.
 
18 Pada hari kedua giliran Netaneel bin Zuar, pemimpin Isakhar pula membawa persembahan.
19 Sebagai persembahannya dibawanya sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 20 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 21 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 22 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 23 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Netaneel bin Zuar.
 
24 Hari ketiga giliran Eliab bin Helon, pemimpin bani Zebulon.
25 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 26 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 27 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 28 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 29 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Eliab bin Helon.
 
30 Hari keempat giliran Elizur bin Syedeur, pemimpin bani Ruben.
31 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 32 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 33 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 34 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 35 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Elizur bin Syedeur.
 
36 Hari kelima giliran Selumiel bin Zurisyadai, pemimpin bani Simeon.
37 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 38 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 39 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 40 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 41 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Selumiel bin Zurisyadai.
 
42 Hari keenam giliran Elyasaf bin Deuel, pemimpin bani Gad.
43 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 44 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 45 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 46 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 47 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Elyasaf bin Deuel.
 
48 Hari ketujuh giliran Elisama bin Amihud, pemimpin bani Efraim.
49 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 50 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 51 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 52 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 53 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Elisama bin Amihud.
 
54 Hari kelapan giliran Gamaliel bin Pedazur, pemimpin bani Manasye.
55 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 56 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 57 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 58 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 59 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Gamaliel bin Pedazur.
 
60 Hari kesembilan giliran Abidan bin Gideoni, pemimpin bani Benyamin.
61 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 62 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 63 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 64 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 65 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Abidan bin Gideoni.
 
66 Hari kesepuluh giliran Ahiezer bin Amisyadai, pemimpin bani Dan.
67 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 68 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 69 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 70 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 71 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Ahiezer bin Amisyadai.
 
72 Hari kesebelas giliran Pagiel bin Okhran, pemimpin bani Asyer.
73 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 74 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 75 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 76 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 77 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Pagiel bin Okhran.
 
78 Hari kedua belas giliran Ahira bin Enan, pemimpin bani Naftali.
79 Persembahannya berupa sebuah pinggan perak seberat seratus tiga puluh syikal dan sebuah bejana perak seberat tujuh puluh syikal menurut syikal rasmi Khemah Suci (kedua-duanya berisi tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun untuk persembahan bahan makanan), 80 sebuah perbaraan emas seberat sepuluh syikal yang berisi dupa, 81 seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, seekor anak domba jantan berumur setahun untuk korban bakaran, 82 dan seekor kambing jantan untuk korban penghapus dosa. 83 Manakala untuk korban kedamaian ialah dua ekor lembu, lima ekor domba jantan, lima ekor kambing jantan, dan lima ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan Ahira bin Enan.
84 Itulah persembahan daripada para pemimpin Israel untuk pentahbisan mazbah ketika mazbah itu diurapi. Persembahan mereka berupa dua belas buah pinggan perak, dua belas buah bejana perak, dua belas perbaraan emas. 85 Beratnya pinggan perak 130 syikal dan masing-masing bejana 70 syikal beratnya. Seluruh kelengkapan perak itu 2,400 syikal beratnya, menurut syikal rasmi Khemah Suci. 86 12 buah perbaraan emas berisi dupa itu masing-masing 10 syikal beratnya, menurut syikal rasmi Khemah Suci. Jadi, seluruh emas perbaraan itu 120 syikal beratnya. 87 Jumlah segala ternak untuk korban bakaran ialah 12 ekor lembu jantan, 12 ekor domba jantan, dan 12 ekor anak domba jantan berumur setahun, dengan persembahan bahan makanannya. Jumlah kambing jantan untuk korban penghapus dosa ialah 12 ekor. 88 Kemudian jumlah segala ternak untuk korban kedamaian ialah 24 ekor lembu jantan, 60 ekor domba jantan, 60 ekor kambing jantan, dan 60 ekor anak domba jantan berumur setahun. Itulah persembahan untuk pentahbisan mazbah, sesudah mazbah itu diurapi.
89 Apabila Musa masuk ke dalam Khemah Pertemuan untuk berbicara dengan Allah, dia mendengar suara yang berfirman kepadanya dari sebelah atas penutup pendamaian yang di atas tabut loh hukum dan di antara kedua-dua arca malaikat kerubin itu lalu Dia berfirman kepadanya sedemikian.
 
 
 
 
 
 
8
Tujuh buah pelita
1 aAllah berfirman kepada Musa, 2 “Berbicaralah kepada Harun dan katakanlah kepadanya, ‘Apabila kamu memasang pelita, hendaklah ketujuh-tujuh pelita itu menerangi bahagian di hadapan kaki pelita.’ ” 3 Maka Harun pun melaksanakannya dengan memasang pelita-pelita itu untuk menerangi bahagian di hadapan kaki pelita, sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Musa. 4 Dari alasnya hingga bunga-bunganya, seluruh kaki pelita itu diperbuat daripada emas tempaan, seperti yang diperlihatkan Allah kepada Musa, demikianlah dia membuat kaki pelita itu.
Pentahbisan bani Lewi
5 Allah berfirman kepada Musa, 6 “Pisahkanlah bani Lewi daripada kalangan orang Israel dan sucikanlah mereka. 7 Hendaklah kamu lakukan begini terhadap mereka demi menyucikan mereka: Percikkanlah pada mereka air penyucian lalu suruhlah mereka mencukur sekujur tubuh dan mencuci pakaian mereka. 8 Kemudian hendaklah mereka mengambil seekor lembu jantan muda berserta persembahan bahan makanannya daripada tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun. Hendaklah kamu juga mengambil seekor lembu jantan muda yang lain untuk korban penghapus dosa. 9 Setelah itu, bawalah bani Lewi mendekati depan Khemah Pertemuan dan kumpulkanlah seluruh kalangan umat Israel. 10 Ketika kamu memperhadapkan bani Lewi ke hadirat Allah, hendaklah orang Israel meletakkan tangan mereka ke atas bani Lewi itu, 11 dan hendaklah Harun mengunjukkan bani Lewi itu di hadapan Allah sebagai persembahan unjukan daripada orang Israel, supaya mereka dapat melaksanakan pekerjaan untuk Allah. 12 Kemudian, hendaklah bani Lewi meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu-lembu jantan muda itu tadi dan hendaklah dipersembahkan salah seekor sebagai korban penghapus dosa dan yang seekor lagi sebagai korban bakaran untuk dipersembahkan kepada Allah, demi mengadakan pendamaian bagi bani Lewi.
13 Selanjutnya, hadapkanlah bani Lewi kepada Harun dan kepada anak-anak Harun, lalu unjukkanlah mereka kepada Allah sebagai persembahan unjukan. 14 Demikianlah harus kamu asingkan bani Lewi daripada kalangan orang Israel, dan bani Lewi itu menjadi milik-Ku. 15 Setelah itu, barulah bani Lewi boleh masuk untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan, iaitu setelah kamu menyucikan mereka dan mempersembahkan mereka sebagai persembahan unjukan. 16 Hendaklah mereka diserahkan sepenuhnya kepada-Ku daripada kalangan orang Israel, kerana Aku telah mengambil mereka bagi-Ku sebagai ganti semua yang lahir pertama, iaitu semua anak sulung antara orang Israel. 17 bSemua anak sulung antara orang Israel ialah kepunyaan-Ku, baik manusia mahupun haiwan. Aku telah mentahbiskan mereka bagi-Ku pada waktu Aku menewaskan semua anak sulung di Tanah Mesir, 18 dan Aku mengambil bani Lewi sebagai ganti semua anak sulung antara orang Israel. 19 Selanjutnya, Aku menyerahkan bani Lewi sebagai pemberian kepada Harun dan anak-anaknya daripada kalangan orang Israel untuk melaksanakan pekerjaan bagi orang Israel di Khemah Pertemuan dan untuk mengadakan pendamaian bagi orang Israel, supaya jangan orang Israel ditimpa wabak apabila mereka mendekati tempat suci.”
20 Maka Musa, Harun, dan seluruh kalangan umat Israel berbuat demikian terhadap bani Lewi. Mengikut segala yang diperintahkan Allah kepada Musa tentang bani Lewi, begitulah yang dilakukan orang Israel kepada mereka. 21 Bani Lewi pun menyucikan diri masing-masing daripada dosa serta mencuci pakaian masing-masing, lalu Harun mempersembahkan mereka sebagai persembahan unjukan di hadapan Allah dan mengadakan pendamaian bagi mereka untuk menyucikan mereka. 22 Setelah itu, barulah bani Lewi boleh masuk untuk melaksanakan pekerjaan mereka di Khemah Pertemuan di bawah pengawasan Harun dan anak-anaknya. Seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa mengenai bani Lewi, demikianlah yang dilakukan kepada mereka.
Pekerjaan bani Lewi
23 Allah berfirman kepada Musa, 24 “Inilah arahan yang berkaitan dengan bani Lewi: hendaklah setiap orang yang berumur dua puluh lima tahun ke atas mengambil bahagian dalam pengerjaan tugas di Khemah Pertemuan 25 dan hendaklah mereka yang berumur lima puluh tahun berhenti daripada tugas mereka dan tidak lagi bekerja. 26 Namun demikian, mereka boleh membantu saudara mereka yang sedang menunaikan kewajipan masing-masing di Khemah Pertemuan, tetapi mereka tidak lagi melakukan pekerjaan itu. Demikianlah kewajipan yang harus kamu tugaskan kepada bani Lewi.”
 
 
 
 
 
 
9
Peraturan tentang Perayaan Paskah
1 aPada bulan pertama tahun kedua setelah keluarnya orang Israel dari Tanah Mesir, Allah berfirman kepada Musa di Gurun Sinai, 2 “Hendaklah orang Israel merayakan Paskahb pada waktu yang sudah ditetapkan. 3 Rayakannya pada waktu yang ditetapkan, iaitu pada waktu senja hari keempat belas bulan ini, menurut segala ketetapan dan peraturannya.” 4 Maka Musa menyuruh orang Israel untuk merayakan Paskah. 5 Maka orang Israel merayakan Paskah pada waktu senja hari keempat belas bulan pertama, di Gurun Sinai sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Musa.
6 Namun demikian, ada beberapa orang yang bernajis kerana telah menyentuh mayat lantas mereka tidak dapat merayakan Paskah pada hari itu. Maka datanglah mereka menghadap Musa dan Harun pada hari itu juga 7 lalu berkata kepada Musa, “Kami memang bernajis kerana telah menyentuh mayat, tetapi mengapa kami dicegah daripada mempersembahkan persembahan kepada Allah dalam kalangan orang Israel pada waktu yang ditetapkan?”
8 Jawab Musa kepada mereka, “Tunggulah dahulu, aku akan mendengar apa yang diperintahkan Allah mengenai kamu.”
9 Maka berfirmanlah Allah kepada Musa, 10 “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Jika ada seseorang daripada kalangan kamu atau dalam kalangan kaum kerabat kamu yang bernajis kerana menyentuh mayat atau berada dalam perjalanan jauh, hendaklah dia juga merayakan Paskah untuk Allah. 11 Mereka harus merayakannya pada waktu senja hari keempat belas bulan kedua. Hendaklah mereka makan korban Paskah dengan roti yang tidak beragi dan sayur pahit. 12 cMereka tidak boleh meninggalkan sisa sedikit pun sampai pagi hari, dan sebatang tulang pun tidak boleh dipatahkan mereka, yakni hendaklah mereka merayakan Paskah menurut segala ketetapan perayaan hari Paskah. 13 Sebaliknya, jika ada orang yang tidak bernajis dan bukan dalam perjalanan, namun dia lalai merayakan Paskah, maka hendaklah orang itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya, kerana dia tidak mempersembahkan persembahan kepada Allah pada waktu yang ditetapkan dan perlulah dia menanggung dosanya.
14 Jika seorang pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu mahu merayakan Paskah untuk Allah, maka hendaklah dia merayakannya menurut segala ketetapan dan peraturan Paskah. Ketetapan yang sama berkuat kuasa atas kamu semua, baik pendatang mahupun warga asli.’ ”
Awan yang melitupi Khemah Suci
15 ePada hari Khemah Suci didirikan, awan melitupi Khemah Suci itu, khemah kesaksian.d Pada waktu maghrib sehingga pagi hari esoknya, di atas Khemah Suci ada sesuatu yang kelihatan seperti api. 16 Demikianlah yang selalu terjadi: Awan melitupi Khemah itu, dan pada malam hari ada sesuatu yang kelihatan seperti api. 17 Apabila awan itu terangkat dari atas khemah, maka orang Israel pun berangkat, dan di mana-mana sahaja awan itu berhenti, di situ pulalah orang Israel berkhemah. 18 Maka orang Israel berangkat berpandukan firman Allah dan mereka juga berkhemah berpandukan firman Allah. Selama awan itu tetap berada di atas Khemah Suci, selama itulah mereka terus berkhemah. 19 Sekalipun awan itu berhenti cukup lama di atas Khemah Suci, maka orang Israel menunaikan kewajipan mereka terhadap Allah dan tidak berangkat. 20 Ada kalanya awan itu hanya berhenti beberapa hari di atas Khemah Suci. Jadi, berpandukan firman Allah mereka berkhemah dan berpandukan firman Allah jugalah mereka berangkat. 21 Ada kalanya awan itu berhenti dari petang sampai pagi, dan ketika awan itu terangkat pada pagi harinya, mereka pun berangkat. Baik siang mahupun malam, apabila awan itu terangkat, mereka pun berangkat. 22 Tidak kiralah sama ada dua hari, sebulan, atau lebih lama lagi awan itu berhenti di atas Khemah Suci, orang Israel akan tetap berkhemah dan tidak akan berangkat. Akan tetapi, apabila naik sahaja awan itu, mereka pun berangkat. 23 Berpandukan firman Allah mereka berkhemah dan berpandukan firman Allah jugalah mereka berangkat. Mereka menunaikan kewajipan mereka terhadap Allah berpandukan firman Allah dengan perantaraan Musa.
 
 
 
 
 
 
10
Peniupan semboyan nafiri
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Buatlah dua buah nafiri daripada perak tempaan, lalu gunakanlah nafiri itu untuk memanggil kalangan umat serta untuk menandakan penutupan perkhemahan dan berangkatnya orang Israel. 3 Apabila kedua-duanya ditiup, maka seluruh umat harus berkumpul menghadap kamu di depan pintu Khemah Pertemuan. 4 Tetapi jika hanya satu yang ditiup, maka para pemimpin, iaitu ketua kaum orang Israel sajalah yang harus berkumpul menghadap kamu. 5 Apabila kamu meniupkan isyarat semboyan, hendaklah pasukan-pasukan yang berkhemah di sebelah timur berangkat, 6 dan apabila isyarat semboyan ditiup buat kali keduanya, maka hendaklah pasukan-pasukan yang berkhemah di sebelah selatan berangkat. Jadi, hendaklah isyarat semboyan ditiup apabila perjalanan hendak dimulakan lagi. 7 Manakala, apabila kalangan umat itu dikumpulkan, maka nafiri harus ditiup tanpa isyarat semboyan. 8 Hendaklah nafiri itu ditiup oleh anak-anak Imam Harun. Inilah suatu ketetapan yang berkekalan bagi kamu turun-temurun. 9 Apabila kamu pergi berperang di negerimu dan menghadapi lawan yang menindas kamu, tiuplah isyarat semboyan dengan nafiri. Dengan begitu, kamu akan diingati di hadapan Allah, Tuhanmu, dan akan diselamatkan daripada musuhmu. 10 Demikian pula pada masa kamu bersuka ria, iaitu pada hari-hari rayamu dan pada bulan-bulan baru, tiuplah nafiri dengan diiringi persembahan korban bakaranmu dan korban kedamaianmu, maka kamu akan diingati di hadapan Tuhanmu. Akulah Allah, Tuhanmu.”
Perjalanan dari Gunung Sinai ke Kadesh
11 Pada hari kedua puluh bulan kedua tahun kedua terangkatlah awan dari atas Khemah Suci, tempat kesaksian. 12 Maka berangkatlah orang Israel dari Gurun Sinai sehingga berhenti awan itu lalu berjuntai semula di Gurun Paran.
13 Itulah pertama kalinya mereka berangkat berpandukan firman Allah dengan perantaraan Musa. 14 Pasukan di bawah panji-panji bani Yudah ialah pasukan yang berangkat terlebih dahulu dengan diketuai oleh Nahason bin Aminadab 15 manakala Netaneel bin Zuar mengetuai pasukan suku bani Isakhar, 16 dan Eliab bin Helon mengetuai pasukan suku bani Zebulon.
17 Selepas itu, Khemah Suci dibongkar, lalu berangkatlah bani Gerson serta bani Merari yang mengangkut Khemah Suci itu.
18 Kemudian pasukan di bawah panji-panji Ruben berangkat, pasukan demi pasukan. Elizur bin Syedeur mengetuai pasukan itu, 19 Selumiel bin Zurisyadai mengetuai pasukan suku bani Simeon, 20 dan Elyasaf bin Deuel mengetuai pasukan suku bani Gad.
21 Selepas itu, berangkatlah bani Kehat, yang mengangkut barang-barang tempat suci, dan sebelum ketibaan mereka kelak, Khemah Suci seharusnya sudah didirikan.
22 Selanjutnya, pasukan di bawah panji-panji bani Efraim berangkat, pasukan demi pasukan dengan diketuai oleh Elisama bin Amihud, 23 manakala Gamaliel bin Pedazur mengetuai pasukan suku bani Manasye, 24 dan Abidan bin Gideoni mengetuai pasukan suku bani Benyamin.
25 Kemudian berangkatlah barisan belakang di bawah panji-panji bani Dan, pasukan demi pasukan dengan diketuai oleh Ahiezer bin Amisyadai 26 manakala Pagiel bin Okhran mengetuai pasukan suku bani Asyer, 27 dan Ahira bin Enan mengetuai pasukan suku bani Naftali. 28 Itulah susunan keberangkatan orang Israel, pasukan demi pasukan, ketika mereka berangkat.
29 Musa berkata kepada Hobab bin Rehuel orang Madyan, mentua Musa, “Kami hendak berangkat ke tempat yang dimaksudkan Allah ketika Dia berfirman, ‘Aku akan mengurniakannya kepadamu.’ Mari, pergilah bersama-sama kami. Kami akan berbuat baik kepadamu, kerana Allah telah menjanjikan hal yang baik mengenai Israel.”
30 Tetapi jawabnya kepada Musa, “Aku tidak akan pergi. Aku hendak pulang ke negeriku, kepada sanak saudaraku.”
31 Kata Musa, “Kumohon, jangan tinggalkan kami, kerana kamulah yang tahu di mana kami harus berkhemah di gurun. Kamu dapat menjadi penunjuk jalan bagi kami. 32 Jika kamu pergi bersama-sama kami, maka segala kebaikan yang dilakukan Allah terhadap kami akan kami lakukan juga terhadap kamu.”
33 Maka berangkatlah mereka dari gunung Allah itu, tiga hari perjalanan jauhnya, sementara tabut perjanjian Allah telah berangkat mendahului mereka tiga hari perjalanan jauhnya untuk mencari tempat perhentian bagi mereka. 34 Awan Allah ada di atas mereka pada siang hari, ketika mereka berangkat dari tempat berkhemah.
35 aSetiap kali tabut dibawa berangkat, Musa berkata,
“Bertindaklah, ya Allah!
Biarlah musuh-Mu tercerai-berai
dan biarlah orang yang membenci Engkau melarikan diri dari hadirat-Mu.”
36 Dan setiap kali tabut itu berhenti, berkatalah dia,
“Kembalilah, ya Allah,
kepada puluhan ribu orang Israel.’
 
 
 
 
 
 
11
Pelbagai rungutan orang Israel
1 Lalu bersungutlah orang Israel di hadapan Allah mengenai nasib malang yang menimpa mereka dan ketika Allah mendengarnya, menyalalah kemurkaan-Nya lalu api Allah menyala dalam kalangan mereka dan menghanguskan bahagian pinggiran perkhemahan. 2 Maka berserulah bangsa itu kepada Musa dan Musa pun berdoa kepada Allah, lalu padamlah api itu. 3 Itulah sebabnya tempat itu dinamai Tabera kerana api Allah menyala dalam kalangan mereka.
Rungutan tentang makanan
4 Maka pada suatu waktu, gerombolan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam kalangan mereka itu amat bernafsu untuk makan daging lalu menangislah orang Israel seraya berkata, “Kalaulah ada yang memberi kita daging untuk dimakan! 5 Kita ingat akan ikan yang kita makan di Mesir yang didapati dengan percuma sahaja, mentimun, tembikai, bebawang, bawang merah, dan bawang putih. 6 Tetapi sekarang kita kurus kering. Tidak ada apa-apa selain manna yang kita lihat di hadapan mata.”
7 aManna itu seperti biji ketumbar dan kelihatan seperti damar. 8 bBangsa itu berjalan ke sana ke mari memungutinya, lalu mengisarnya di dalam pengisar atau menumbuknya di dalam lesung. Setelah itu, mereka memasaknya dalam periuk lalu merebusnya di dalam belanga lalu membuat kuih bundar daripadanya. Rasanya seperti penganan yang dibakar dengan minyak. 9 Apabila embun turun di perkhemahan itu pada malam hari, turun jugalah manna itu.
10 Musa mendengar ratapan umat itu, semua orang daripada kaum masing-masing menangis di depan pintu khemah mereka. Maka sangat menyalalah murka Allah, tetapi Musa berasa tidak senang. 11 Lalu kata Musa kepada Allah, “Mengapakah Engkau menyusahkan hamba-Mu ini? Mengapakah tidak ada rahmat bagi hamba dalam pandangan-Mu, sehingga beban seluruh bangsa ini Kautanggungkan kepadaku? 12 Adakah hamba yang mengandung seluruh bangsa ini? Adakah hamba yang menjadikan mereka sehingga Engkau berfirman kepada hamba, ‘Bawalah mereka dalam dakapanmu seperti seorang pengasuh menggendong anak yang sedang menyusu,’ ke tanah yang Kaujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka? 13 Dari manakah hamba dapat memperoleh daging untuk diberikan kepada seluruh bangsa ini? Mereka menangis di depan hamba sambil berkata, ‘Berilah kami daging untuk dimakan.’ 14 Hamba tidak dapat menanggung beban seluruh bangsa ini seorang diri, kerana hal itu terlalu berat bagi hamba. 15 Jika Engkau memperlakukan hamba demikian, ambil sahaja nyawa hamba sekarang, kalau memang ada rahmat bagi hamba dalam pandangan-Mu. Jangan biarkan hamba melihat kemalangan hamba.”
16 Firman Allah kepada Musa, “Kumpulkanlah bagi-Ku tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua Israel yang kaukenal sebagai tua-tua umat dan pegawai atasan rakyat. Bawalah mereka ke Khemah Pertemuan, dan suruhlah mereka menyatakan pendirian mereka di sana bersama-samamu. 17 Aku akan hadir dan berfirman kepadamu di sana, lalu Aku akan mengambil sebahagian daripada Roh yang ada padamu dan meletakkan-Nya pada mereka lantas mereka akan menanggung beban bangsa ini bersama dengan kamu, sehingga kamu tidak perlu menanggungnya bersendirian. 18 Katakanlah kepada bangsa itu, ‘Sucikanlah dirimu untuk hari esoknya lalu kamu akan memakan daging. Allah telah mendengar kamu menangis sambil berkata, “Siapakah yang akan memberi kami makan daging? Keadaan kami di Mesir dahulu lebih baik!” Jadi, Allah akan memberi kamu daging dan kamu akan memakannya. 19 Kamu akan memakannya bukan sehari, dua hari, lima hari, sepuluh hari, atau dua puluh hari sahaja, 20 tetapi selama sebulan penuh, sampai daging itu keluar melalui lubang hidungmu dan membuat kamu muak. Hal itu terjadi kerana kamu telah menolak Allah yang hadir dalam kalangan kamu dan kamu menangis di hadirat-Nya sambil berkata, “Untuk apa kami keluar dari Mesir?”’”
21 Akan tetapi, Musa berkata, “Umat yang bersama-sama hamba ini seramai 600,000 orang pejalan kaki, dan Engkau berfirman, ‘Aku akan memberi mereka daging untuk mereka makan selama sebulan penuh!’ 22 Jika kawanan domba dan kawanan lembu disembelih, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka? Atau, jika segala ikan di laut dikumpulkan, cukupkah semua itu untuk mengenyangkan mereka?”
23 Firman Allah kepada Musa, “Apakah kuasa Allah terbatas? Sekarang kamu akan melihat sama ada firman-Ku akan ternyata atasmu atau tidak.”
24 Maka keluarlah Musa lalu disampaikannya firman Allah kepada bangsa itu. Dia mengumpulkan tujuh puluh orang daripada kalangan tua-tua bangsa itu dan disuruhnya mereka berdiri di sekeliling Khemah. 25 Kemudian Allah hadir dalam awan dan berfirman kepada Musa. Diambil-Nya sebahagian daripada Roh yang ada pada Musa, lalu diletakkan-Nya pada kesemua tujuh puluh orang tua-tua umat itu. Ketika Roh itu turun ke atas mereka, bernubuatlahc mereka seperti nabi, tetapi sesudah itu, mereka tidak lagi bernubuat.
26 Akan tetapi, ada dua orang tertinggal di perkhemahan, seorang bernama Eldad dan seorang lagi bernama Medad. Mereka termasuk antara orang yang tercatat, tetapi tidak turut pergi ke Khemah. Walaupun demikian, Roh itu pun turun ke atas mereka dan mereka bernubuat seperti nabi di perkhemahan. 27 Lalu seorang muda berlari memberitahukan hal itu kepada Musa, katanya, “Eldad dan Medad bernubuat seperti nabi di perkhemahan.”
28 Yusha bin Nun, yang menjadi pembantu Musa sejak masa mudanya, berkata, “Tuanku Musa, cegahlah mereka!”
29 Tetapi kata Musa kepadanya, “Adakah kamu mencemburui hal itu demi aku? Kalau sahaja seluruh umat Allah menjadi nabi kerana Allah mengurniakan Roh-Nya kepada mereka!” 30 Setelah itu, Musa kembali ke perkhemahan bersama-sama tua-tua Israel.
Rezeki berupa burung puyuh
31 Kemudian bertiuplah angin daripada Allah, menerbangkan burung-burung puyuh dari arah laut dan menjatuhkannya di sekitar perkhemahan hingga kira-kira sehari perjalanan jauhnya di sekeliling perkhemahan itu. Burung-burung itu berterbangan kira-kira dua hasta di atas permukaan tanah. 32 Segeralah bangsa itu mengumpulkan burung-burung puyuh sepanjang hari, sepanjang malam, bahkan hingga esoknya sehari-harian. Setiap orang paling sedikit mengumpulkan rezeki seberat sepuluh homer,d kemudian mereka menebarkan semuanya di sekeliling perkhemahan. 33 Akan tetapi, sementara daging masih dikunyah oleh mereka dan belum ditelan, menyalalah kemurkaan Allah terhadap bangsa itu. Allah mengazab mereka dengan wabak yang amat besar. 34 Itulah sebabnya tempat itu dinamai Kibrot-Taawa, kerana di sanalah dikebumikan orang yang bernafsu makan daging.
35 Dari Kibrot-Taawa bangsa itu melanjutkan perjalanan ke Hazerot, lalu mereka tinggal di Hazerot.
 
 
 
 
 
 
12
Miryam dan Imam Harun mencemuh Nabi Musa
1 Miryam dan Harun mencemuh Musa berhubungan dengan seorang perempuan Kusha yang telah diperisteri Musa. Memang Musa telah memperisteri seorang perempuan Kush. 2 Kata mereka, “Sungguhkah Allah berfirman melalui Musa sahaja? Bukankah Dia juga berfirman melalui kita?” Dan Allah mendengar hal itu. 3 Musa seorang yang begitu lembut hatinya, bahkan lebih lembut daripada semua umat yang berada di muka bumi ini.
4 Tiba-tiba berfirmanlah Allah kepada Musa, Harun, dan Miryam, “Keluarlah kamu bertiga ke Khemah Pertemuan.” Maka keluarlah mereka bertiga. 5 Kemudian Allah hadir dalam tiang awan, di pintu Khemah itu. Dipanggil-Nya Harun dan Miryam, lalu tampillah kedua-duanya. 6 Firman-Nya, “Dengarlah firman-Ku ini:
Jika ada seorang nabi Allah dalam kalangan kamu,
maka Aku akan menyatakan diri-Ku kepadanya melalui penglihatan,
dan Aku akan berfirman kepadanya dalam mimpi.
7 bTetapi tidak demikian halnya dengan hamba-Ku Musa,
seorang yang setia di dalam seluruh bait-Ku.
8 Dengan dia Aku berbicara secara bersemuka,
secara jelas dan bukan dengan teka-teki,
dan dia juga pernah melihat secara jelas akan kemuliaan Allah.
Mengapakah kamu tidak takut untuk mencemuh hamba-Ku Musa?”
9 Menyala-nyalalah kemurkaan Allah terhadap mereka, lalu ditinggalkan-Nya mereka. 10 Setelah awan itu berpindah dari atas Khemah, nampaklah kudis kusta seputih salji ada pada Miryam! Harun memandang Miryam, dan memang ternyata Miryam ada kudis kusta! 11 Kata Harun kepada Musa, “Wahai tuanku, kumohon janganlah hukum kami atas dosa kesalahan kami, yang kami lakukan dengan bodoh itu. 12 Mohon jangan biarkan dia menjadi seperti orang mati yang dagingnya sudah separuh rosak ketika keluar daripada rahim ibunya.”
13 Musa pun berseru kepada Allah dan memohon: “Ya Allah, tolonglah kiranya menyembuhkan dia.”
14 cNamun demikian, Allah berfirman kepada Musa, “Sekiranya ayahnya meludahi mukanya, bukankah dia akan dimalukan selama tujuh hari? Jadi, biarlah dia dikurung di luar perkhemahan selama tujuh hari dan setelah itu, barulah dia boleh dibawa masuk semula.” 15 Maka Miryam pun dikurung di luar perkhemahan selama tujuh hari, dan umat itu tidak berangkat sebelum Miryam dibawa masuk kembali. 16 Setelah itu, berangkatlah umat itu dari Hazerot, lalu berkhemah di Gurun Paran.
 
 
 
 
 
 
13
Dua belas orang pengintip
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Utuslah beberapa orang untuk mengintip keadaan Tanah Kanaan yang akan Kukurniakan kepada orang Israel. Utuslah seorang daripada setiap suku leluhur mereka dan setiap orang itu ialah pemimpin dalam kalangan sukunya.”
3 Musa pun mengutus mereka dari Gurun Paran, selaras dengan perintah Allah. Mereka semua ialah ketua orang Israel. 4 Inilah nama mereka:
Syamua bin Zakur, daripada suku Ruben;
5 Safat bin Hori, daripada suku Simeon;
6 Kaleb bin Yefune, daripada suku Yudah;
7 Yigal bin Yusuf, daripada suku Isakhar;
8 Hosea bin Nun, daripada suku Efraim;
9 Palti bin Rafu, daripada suku Benyamin;
10 Gadiel bin Sodi, daripada suku Zebulon;
11 Gadi bin Susi, daripada suku Yusuf, iaitu daripada suku Manasye;
12 Amiel bin Gemali, daripada suku Dan;
13 Setur bin Mikhail, daripada suku Asyer;
14 Nahbi bin Wofsi, daripada suku Naftali;
15 Guel bin Makhi, daripada suku Gad.
16 Itulah nama orang yang diutus Musa untuk mengintip negeri itu. Musa menamai Hosea bin Nun itu Yusha.
17 Mereka semua diutus oleh Musa untuk mengintip Tanah Kanaan. Katanya kepada mereka, “Pergilah dari sini ke Tanah Negeb lalu naiklah ke pergunungan. 18 Amatilah bagaimana keadaan negeri itu, sama ada bangsa yang mendiaminya kuat atau lemah, sedikit ataupun ramai. 19 Amatilah juga sama ada negeri yang didiami mereka itu baik ataupun buruk dan sama ada kota-kota yang didiami mereka itu berkubu ataupun seperti perkhemahan. 20 Bagaimana keadaan tanahnya, subur atau tandus, ada pepohonan ataupun tidak. Kuatkanlah hatimu dan bawalah beberapa jenis buah hasil negeri itu.” Waktu itu ialah musim buah anggur hasil pertama.
21 Maka pergilah mereka itu lalu mengintip negeri itu mulai Gurun Zin sampai ke Rehob, dekat jalan masuk ke Hamat. 22 Mereka berjalan melalui Tanah Negeb lalu sampai ke Hebron. Keturunan orang Enak, iaitu orang Ahiman, Sesai, dan Talmai, tinggal di sana. Hebron dibangunkan tujuh tahun lebih dahulu daripada Zoan di Mesir. 23 Kemudian sampailah mereka di Lembah Eskol. Di sana mereka mengerat sebatang cabang dengan setandan buah anggurnya, lalu dua orang memikulnya dengan sebatang kayu. Selain itu, mereka juga membawa buah delima dan buah ara. 24 Tempat itu dinamai Lembah Eskol kerana tandan buah anggur yang dikerat orang Israel di sana.
25 Empat puluh hari kemudian, kembalilah mereka yang telah mengintip negeri itu. 26 Mereka datang mendapatkan Musa, Harun, dan seluruh kalangan umat Israel yang berkumpul di Kadesh, di Gurun Paran. Mereka pun menyampaikan khabar kepada Musa dan Harun serta kepada seluruh umat itu, lalu memperlihatkan kepada semua orang buah-buahan hasil negeri itu. 27 Kepada Musa mereka bercerita demikian, “Kami telah sampai di negeri tempat tuan utus kami. Memang negeri itu berlimpah-limpah susu dan madu. Inilah hasil buah-buahannya. 28 Hanya, bangsa yang mendiami negeri itu sangat kuat. Kota-kota mereka pun berkubu dan amat besar. Kami juga melihat keturunan orang Enak di sana. 29 Bani Amalek tinggal di Tanah Negeb. Bani Het, bani Yebus, dan bani Amori tinggal di pergunungan, sedangkan bani Kanaan tinggal di pesisir dan di tepi Sungai Yordan.”
30 Kaleb berusaha menenangkan hati bangsa itu di depan Musa, katanya, “Kita harus maju dan menduduki negeri itu, kerana kita pasti dapat mengalahkannya!”
31 Akan tetapi, orang yang pergi bersama-samanya berkata, “Kita tidak dapat menyerang bangsa itu, kerana mereka lebih kuat daripada kita!” 32 Lalu mereka menyampaikan laporan buruk kepada orang Israel tentang negeri yang diintip mereka itu, kata mereka, “Negeri yang kami jelajahi untuk diintai itu ialah negeri yang memakan penduduknya. Semua orang yang kami lihat di situ tinggi-tinggi belaka. 33 aKami melihat pula di sana orang Nefilim, iaitu keturunan Enak yang berasal daripada orang Nefilim. Di mata kami sendiri diri kami seperti belalang sahaja dan begitu jugalah di mata mereka.’
 
 
 
 
 
 
14
Pemberontakan orang Israel
1 Maka berteriaklah seluruh umat dengan suara yang nyaring, dan pada malam itu umat itu menangis. 2 Seluruh orang Israel, iaitu seluruh umat itu, bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun lalu berkata kepada mereka, “Kalau sahaja kami mati di Tanah Mesir! Kalau sahaja kami mati di gurun ini! 3 Mengapakah Allah membawa kami ke negeri ini? Supaya kami tewas oleh pedang, dan isteri serta anak-anak kami menjadi tawanan? Bukankah lebih baik kami pulang ke Mesir?” 4 Kemudian mereka pun berkata antara satu sama lain, “Ayuh kita angkat seorang pemimpin lalu pulang ke Mesir!”
5 Lalu Musa dan Harun menyembamkan muka mereka ke bumi di depan seluruh kalangan umat Israel yang berkumpul di sana. 6 Yusha bin Nun dan Kaleb bin Yefune, yang termasuk antara orang yang mengintip negeri itu, mengoyakkan pakaian mereka sendiri 7 dan berkata kepada seluruh kalangan umat Israel, “Tersangat baiknya negeri yang kami lalui untuk diintai itu. 8 Jika Allah berkenan kepada kita, tentu Dia akan membawa kita masuk ke negeri itu serta mengurniai kita sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu. 9 aHanya, janganlah derhaka terhadap Allah dan janganlah kamu takut kepada rakyat negeri itu, kerana mereka itu betapa mudah kita gempurkan. Pelindung mereka sudah meninggalkan mereka, sedangkan Allah menyertai kita. Jadi, jangan takut kepada mereka.” 10 Tetapi seluruh umat itu mengancam akan merejam kedua-duanya dengan batu. Lalu tampaklah kemuliaan Allah di Khemah Pertemuan, di hadapan seluruh orang Israel.
11 Firman Allah kepada Musa, “Berapa lama lagi bangsa ini menista Aku? Berapa lama lagi mereka tidak mahu percaya kepada-Ku, padahal segala tanda ajaib sudah Kulakukan dalam kalangan mereka? 12 Aku akan mengazabkan mereka dengan wabak penyakit dan melenyapkan mereka, tetapi kamu akan Kubuat untuk menjadi bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada mereka.”
13 bKata Musa kepada Allah, “Jika hal itu didengar orang Mesir, padahal dengan kuasa-Mu telah Kaubawa bangsa ini keluar daripada kalangan mereka, 14 maka tentunya mereka akan menceritakan hal itu kepada penduduk negeri ini. Penduduk negeri ini telah mendengar bahawa Engkau, ya Allah, hadir di tengah-tengah bangsa ini, kerana Engkau, ya Allah, tampak nyata di hadapan mereka melalui awan-Mu yang berdiri di atas mereka. Dalam tiang awan Engkau memimpin mereka pada siang hari dan dalam tiang api pada malam hari. 15 Jika Engkau melenyapkan seluruh bangsa ini, maka bangsa-bangsa yang telah mendengar khabar kemasyhuran tentang-Mu akan berkata, 16 ‘Kerana Allah tidak sanggup membawa bangsa ini masuk ke negeri yang dijanjikan-Nya dengan bersumpah kepada mereka, maka Dia membunuh mereka di gurun.’ 17 Jadi, sekarang agungkanlah kuasa Tuhan seperti yang telah Kaufirmankan, 18 cAllah itu panjang sabar dan kasih setia-Nya berlimpah-limpah. Dia mengampunkan kesalahan serta pelanggaran, meski sekali-kali tidak membebaskan orang yang bersalah daripada hukuman, dan membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan yang ketiga dan yang keempat.’ 19 Semoga Engkau ampunkan kesalahan bangsa ini selaras dengan kasih-Mu yang besar, sebagaimana Engkau telah mengampuni bangsa ini sejak dari Mesir lagi sampai sekarang ini.”
20 Firman Allah, “Aku telah mengampuni mereka sebagaimana permintaanmu itu. 21 dNamun demikian, demi Aku yang hidup dan demi kemuliaan Allah yang memenuhi seluruh bumi, 22 sesungguhnya semua orang yang telah melihat kemuliaan-Ku dan tanda-tanda ajaib yang Kuadakan di Mesir serta di gurun tetapi masih juga menguji Aku sampai sepuluh kali dan tidak mahu mematuhi-Ku, 23 sekali-kali tidak akan melihat negeri yang Kujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka! Semua yang menista Aku tidak akan melihat negeri itu. 24 eTetapi hamba-Ku Kaleb, kerana jiwa lain yang ada padanya dan dia mengikut Aku sepenuhnya, maka akan Kubawa dia masuk ke negeri yang telah dimasukinya itu, dan keturunannya akan memilikinya. 25 Orang Amalek dan orang Kanaan tinggal di lembah-lembah. Oleh sebab itu, berbaliklah esok dan berangkatlah ke gurun melalui jalan menuju ke Laut Merah.”
26 Allah berfirman lagi kepada Musa dan Harun, 27 “Berapa lama lagi umat yang jahat ini akan bersungut-sungut terhadap Aku? Telah Kudengar pelbagai sungutan yang dilontarkan orang Israel kepada-Ku. 28 Katakanlah kepada mereka, ‘Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Allah, sesungguhnya seperti yang kamu ucapkan di hadirat-Ku, begitulah akan Kulakukan terhadapmu. 29 fDi gurun ini akan bergelimpangan mayatmu, iaitu semua orang berumur dua puluh tahun ke atas yang telah dihitung dan yang bersungut-sungut terhadap-Ku. 30 Tiada seorang pun daripada kamu akan masuk ke negeri yang telah Kujanjikan dengan bersumpah untuk kamu diami, kecuali Kaleb bin Yefune dan Yusha bin Nun. 31 Anak-anakmulah, yang kamu katakan akan menjadi tawanan, yang akan Kubawa masuk. Mereka akan menikmati negeri yang kamu tolak itu. 32 Akan tetapi bagi kamu, mayatmu akan bergelimpangan di gurun ini. 33 gAnak-anakmu akan menjadi gembala di gurun empat puluh tahun lamanya dan akan menanggung kesalahan akibat kekufuran kamu, sampai mayat-mayatmu habis di gurun. 34 Selaras dengan jumlah hari kamu mengintip negeri itu, iaitu empat puluh hari, demikianlah empat puluh tahun lamanya kamu akan menanggung kesalahanmu itu, satu tahun dihitung untuk menggantikan satu hari. Kamu akan tahu bagaimana rasanya jika Aku menentang kamu. 35 Aku, Allah, telah berfirman. Sesungguhnya, hal itu akan Kulakukan terhadap seluruh umat yang jahat ini, yang telah bermuafakat untuk melawan Aku. Di gurun ini mereka akan habis, dan di sini juga mereka akan mati.’ ”
36 Orang yang telah diutus Musa mengintip negeri itu namun kembali dengan menyampaikan laporan buruk mengenai negeri itu sehingga seluruh umat bersungut-sungut kepada Musa, 37 mati terkena wabak di hadapan Allah. 38 Daripada mereka yang pergi mengintip negeri itu hanya Yusha bin Nun dan Kaleb bin Yefune yang terus hidup.
39 Ketika Musa menyampaikan firman ini kepada seluruh orang Israel, amat berdukalah umat itu. 40 Mereka bangun pagi-pagi hendak naik ke puncak gunung, dan berkata, “Memang kami telah berdosa. Sekarang kami hendak maju ke tempat yang difirmankan Allah.”
41 Tetapi kata Musa, “Mengapakah kamu mahu melanggar firman Allah? Kamu tidak akan berhasil! 42 Jangan maju, kerana Allah tidak menyertaimu. Jangan sampai kamu dikalahkan musuhmu, 43 kerana orang Amalek dan bani Kanaan ada di sana, di depanmu. Kamu akan tewas oleh pedang. Kerana kamu telah berpaling daripada Allah, maka Allah tidak mahu menyertai kamu.”
44 Meskipun begitu, mereka tetap bertekad untuk naik ke puncak gunung itu, padahal tabut perjanjian Allah dan juga Musa tidak berganjak dari tengah-tengah perkhemahan. 45 Maka orang Amalek dan bani Kanaan yang tinggal di pergunungan itu turun menyerbu mereka dan mengejar mereka sampai ke Horma.
 
 
 
 
 
 
15
Peraturan tentang korban
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu sampai di negeri yang akan Kukurniakan kepadamu sebagai tempat kediamanmu, 3 dan kamu hendak mempersembahkan korban kepada Allah daripada kawanan lembu atau kawanan domba, yakni sebagai korban bakaran ataupun korban sembelihan yang keharumannya diredai Allah, sama ada untuk membayar nazar khusus, untuk korban sukarela, atau korban pada hari-hari perayaan tertentu, 4 maka hendaklah orang yang membawa persembahannya itu mempersembahkan kepada Allah persembahan bahan makanan berupa sepersepuluh efaa tepung terbaik yang dicampurkan dengan seperempat hinb minyak zaitun. 5 Persembahkanlah seperempat hin air anggur juga sebagai persembahan minuman bersama-sama korban bakaran atau korban sembelihan itu, untuk setiap anak domba korban. 6 Jika korbanmu berupa seekor domba jantan, persembahkanlah persembahan bahan makanan daripada dua persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan sepertiga hin minyak zaitun, 7 dan persembahan minuman berupa sepertiga hin air anggur, sehingga keharumannya diredai Allah. 8 Apabila kamu menyediakan seekor lembu jantan muda, baik sebagai korban bakaran mahupun korban sembelihan untuk membayar sesuatu nazar khusus, atau sebagai korban kedamaian yang dipersembahkan kepada Allah, 9 maka bersama dengan lembu jantan muda itu bawalah persembahan bahan makanan daripada tiga persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan setengah hin minyak zaitun, 10 dan persembahan minuman berupa setengah hin air anggur untuk menjadi korban bakaran, sehingga keharumannya diredai Allah.
11 Hendaklah dilakukan sedemikian untuk setiap lembu atau domba jantan, setiap anak domba atau kambing. 12 Berapa banyak pun jumlah ternakan yang kamu sediakan, hendaklah kamu lakukan sedemikian juga untuk setiap ternakan. 13 Hendaklah setiap warga asli melakukan hal ini dengan cara demikian pada waktu dia mempersembahkan korban bakaran, yang keharumannya diredai Allah. 14 Jika seorang pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu atau sesiapa sahaja yang menetap turun-temurun dalam kalangan kamu hendak mempersembahkan korban bakaran, iaitu korban yang keharumannya diredai Allah, maka hendaklah dia melakukannya sebagaimana yang kamu lakukan. 15 Satu ketetapan berkuat kuasa atas seluruh jemaah itu, baik bagi kamu mahupun bagi pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu, dan ketetapan itu berkuat kuasa untuk seterusnya bagi kamu turun-temurun. Kamu dan juga pendatang-pendatang itu sama di hadapan Allah. 16 cSatu hukum dan satu peraturan berkuat kuasa, baik bagi kamu mahupun bagi pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu.’ ”
17 Allah berfirman kepada Musa, 18 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu sampai di negeri tempat Aku membawa kamu, 19 dan kamu mulai menikmati hasil negeri itu, maka hendaklah kamu mempersembahkan persembahan khusus kepada Allah. 20 Persembahkanlah sebakul roti daripada tepung barli hasil pertama sebagai persembahan khusus. Sama halnya seperti persembahan khusus dari tempat pembantingan, demikian pulalah kamu harus mempersembahkannya. 21 Daripada tepung barli hasil pertama itu kamu harus mempersembahkan persembahan khusus kepada Allah, secara berterusan turun-temurun.’ ”
Peraturan bagi dosa yang tidak disengajakan
22 “Jika kamu dengan tidak sengaja lalai mematuhi segala perintah yang difirmankan Allah kepada Musa, 23 iaitu segala yang diperintahkan Allah kepadamu dengan perantaraan Musa sejak Allah memerintahkannya sampai kaum keluargamu seterusnya turun-temurun, 24 dan jika hal itu dilakukan tanpa sengaja dan tanpa pengetahuan kalangan umat, maka hendaklah seluruh umat mempersembahkan seekor lembu jantan muda sebagai korban bakaran, korban yang keharumannya diredai Allah dan juga persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya menurut peraturan yang berkuat kuasa, juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa. 25 Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi seluruh kalangan umat Israel dan mereka akan diampuni, kerana hal itu tidak disengajakan. Di samping itu, mereka juga telah membawa persembahan mereka, iaitu korban bakaran untuk dipersembahkan kepada Allah dan korban penghapus dosa di hadapan Allah, akibat ketidaksengajaan mereka itu. 26 Seluruh kalangan umat Israel akan diampuni, begitu juga pendatang yang tinggal dalam kalangan mereka, kerana mereka melakukannya tanpa sengaja.
27 dJika seorang sahaja yang berbuat dosa tanpa sengaja, maka hendaklah dia mempersembahkan seekor kambing betina berumur setahun sebagai korban penghapus dosa. 28 Hendaklah imam mengadakan pendamaian di hadapan Allah bagi orang yang berbuat dosa tanpa sengaja itu, supaya dengan pendamaian yang diadakan baginya dapatlah dia diampuni. 29 Satu hukum berkuat kuasa bagi orang yang berbuat dosa tanpa sengaja, baik warga asli orang Israel mahupun pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu.
30 Akan tetapi, jika seseorang, baik warga asli mahupun pendatang, berbuat dosa dengan sengaja, itu bererti bahawa dia mencerca Allah dan hendaklah dia disingkirkan daripada kalangan bangsanya. 31 Kerana orang itu telah menghina firman Allah dan mengingkari perintah-Nya, maka hendaklah dia disingkirkan daripada kalangan bangsanya. Kesalahannya tertanggung kepada dirinya.’ ”
Pelanggar peraturan Sabat dihukum mati
32 Sewaktu orang Israel berada di gurun, mereka mendapati seorang yang sedang mengumpulkan kayu api pada hari Sabat. 33 Maka orang yang mendapatinya sedang mengumpulkan kayu bakar itu membawa dia kepada Musa, Harun, dan seluruh umat. 34 Orang itu dimasukkan ke dalam tahanan, kerana belum dinyatakan apa yang harus dilakukan terhadapnya. 35 Kemudian Allah berfirman kepada Musa, “Hendaklah orang itu dihukum mati. Seluruh umat harus merejamnya dengan batu di luar perkhemahan.” 36 Maka seluruh umat membawa dia ke luar perkhemahan dan merejamnya dengan batu hingga mati, seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
Peraturan rumbai
37 Allah berfirman kepada Musa, 38 e“Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Buatlah rumbai-rumbai pada bucu pakaianmu dan amalkan itu turun-temurun, dan letaklah sehelai benang biru pada rumbai-rumbai pada bucu pakaian itu. 39 Rumbai-rumbai itu akan menjadi rambu-rambu peringatan bagimu, kerana setiap kali kamu melihatnya, kamu akan mengingat segala perintah Allah dan melakukannya, sehingga kamu tidak lagi mengikuti keinginan hatimu atau keinginan matamu sendiri, seperti yang biasa kamu lakukan dalam kekufuran kamu. 40 Dengan demikian, kamu dapat ingat untuk melakukan segala perintah-Ku, sehingga kamu menjadi suci bagi Tuhanmu. 41 Akulah Allah, Tuhanmu, yang telah membawa kamu keluar dari Tanah Mesir supaya Aku menjadi Tuhanmu. Akulah Allah, Tuhanmu.”
 
 
 
 
 
 
16
Pemberontakan Korah, Datan, dan Abiram
1 bKoraha bin Yizhar bin Kehat bin Lewi bersama-sama anak-anak Eliab, iaitu Datan dan Abiram, serta On bin Pelet, ketiga-tiganya daripada bani Ruben, menghasut orang 2 untuk memberontak dan melawan Musa dengan disertai dua ratus lima puluh orang ternama daripada orang Israel, iaitu para pemimpin umat yang dipilih oleh jemaah. 3 Maka berhimpunlah mereka menentang Musa dan Harun. Kata mereka kepada kedua-duanya, “Kamu sudah berlebih-lebihan! Sesungguhnya, seluruh umat memang orang suci, dan Allah hadir di tengah-tengah mereka. Mengapakah kamu meninggikan diri terhadap jemaah Allah?”
4 Apabila Musa mendengar hal itu, disembamkan mukanya ke tanah. 5 Lalu katanya kepada Korah dan seluruh pengikutnya, “Esok pagi Allah akan memberitahukan siapa milik-Nya dan siapa yang suci, kemudian Dia akan mengizinkan orang yang dipilih-Nya itu untuk mendekat kepada-Nya. 6 Buatlah begini: wahai Korah dan seluruh pengikutnya, pada esok hari ambillah perdupaan, 7 lalu di hadapan Allah letaklah api di dalamnya dan dupa di atasnya. Orang yang dipilih Allah, dialah yang suci. Kamu sudah terlanjur, wahai bani Lewi!”
8 Kata Musa lagi kepada Korah, “Dengarlah, wahai bani Lewi! 9 Terlalu kecilkah bagimu bahawa kamu telah dikhususkan oleh Tuhan yang disembah Israel daripada kalangan umat Israel untuk dibolehkan kamu tampil dekat kepada-Nya, melaksanakan pekerjaan di Khemah Suci Allah, serta bertugas melayani umat? 10 Dia telah mengizinkan kamu berserta semua saudaramu bani Lewi untuk tampil dekat kepada-Nya, tetapi sekarang kamu mahu menuntut jawatan imam pula! 11 Dengan demikian, kamu dan seluruh pengikutmu telah bermuafakat melawan Allah. Siapakah Harun itu sehingga kamu bersungut-sungut kepadanya?”
12 Kemudian Musa menyuruh orang memanggil Datan dan Abiram, anak-anak Eliab, tetapi jawab mereka, “Kami tidak mahu datang. 13 Belum cukupkah bahawa kamu telah memimpin kami keluar dari negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu untuk membunuh kami di gurun, sehingga sekarang kamu mahu menjadikan dirimu tuan penguasa atas kami pula? 14 Apatah lagi kamu tidak membawa kami ke negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu! Kamu pun tidak memberikan kepada kami harta pusaka berupa ladang dan kebun anggur. Masihkah kamu mahu mengelabui mata orang ini? Kami tidak mahu datang!”
15 Musa menjadi sangat marah lalu berkatalah dia kepada Allah, “Janganlah kiranya Engkau pedulikan persembahan mereka. Tidak pernah kuambil daripada mereka seekor keldai pun, dan tidak pernah kubuat jahat terhadap seorang pun daripada mereka.”
16 Musa berkata kepada Korah, “Esok kamu dan seluruh pengikutmu harus menghadap Allah. Ya, kamu dan mereka, dan juga Harun. 17 Masing-masing harus membawa perdupaannya, menaruh dupa di atasnya, dan mempersembahkannya di hadapan Allah – dua ratus lima puluh perdupaan. Demikian pula kamu dan Harun harus membawa perdupaan kamu masing-masing.” 18 Mereka pun membawa perdupaan masing-masing, menaruh api di dalamnya, dan juga dupa di atasnya. Setelah itu, mereka berdiri di depan pintu Khemah Pertemuan bersama dengan Musa dan Harun. 19 Ketika Korah mengumpulkan seluruh umat untuk menentang kedua-duanya di depan pintu Khemah Pertemuan, tampaklah kemuliaan Allah di hadapan seluruh umat itu. 20 Allah pun berfirman kepada Musa dan Harun, 21 “Pisahkanlah dirimu daripada umat ini, kerana mereka akan Kulenyapkan sekejap lagi.”
22 Tetapi kedua-duanya bersujud dan berkata, “Ya Allah, Tuhan atas roh semua manusia! Jika seorang sahaja yang berdosa, akankah Engkau murka terhadap seluruh umat ini?”
23 Firman Allah kepada Musa, 24 “Katakanlah kepada umat itu, ‘Pergilah jauh dari sekitar kediaman Korah, Datan, dan Abiram.’ ”
25 Kemudian pergilah Musa mendapatkan Datan dan Abiram, diikuti tua-tua Israel. 26 Katanya kepada umat itu, “Pergilah jauh dari khemah orang fasiq ini. Jangan sentuh sesuatu pun milik mereka, supaya jangan kamu binasa kerana segala dosa mereka.” 27 Maka jemaah itu pun pergi jauh dari sekitar kediaman Korah, Datan, dan Abiram.
Datan dan Abiram keluar, lalu berdiri di depan pintu khemah mereka berserta isteri, anak-anak lelaki, juga anak-anak yang masih kecil. 28 Kata Musa, “Dengan yang berikut ini kamu akan tahu bahawa Allah telah mengutus aku untuk melakukan segala pekerjaan ini dan bahawa hal ini bukan berasal daripada niat hatiku sendiri. 29 Jika orang ini mati secara lazim seperti yang dialami setiap manusia, atau jika ajal menjemput mereka seperti ajal menjemput setiap manusia, maka Allah tidak mengutus aku. 30 Akan tetapi, jika Allah membuat sesuatu yang baru, dan tanah mengangakan mulutnya serta menelan mereka bersama dengan segala sesuatu yang dimiliki mereka hinggakan mereka turun hidup-hidup ke alam kubur, maka kamu akan tahu bahawa orang ini telah menista Allah.”
31 Sebaik sahaja Musa selesai mengucapkan semua kata itu, terbelahlah tanah di bawah kaki orang itu. 32 Bumi mengangakan mulutnya dan menelan mereka bersama-sama seisi rumah mereka, juga semua pengikut Korah berserta segala harta benda mereka. 33 Demikianlah mereka turun hidup-hidup ke alam kubur berserta semua yang ada pada mereka. Bumi pun tertutup semula dan mereka binasa daripada tengah-tengah jemaah itu. 34 Apabila mendengar teriakan mereka itu, seluruh umat Israel yang ada di sekeliling mereka berlarian sambil berkata, “Jangan-jangan kita juga ditelan bumi!”
35 Setelah itu, turunlah api daripada Allah menghanguskan 250 orang yang mempersembahkan dupa itu.
36 Allah berfirman kepada Musa, 37 “Suruhlah Eleazar, anak Imam Harun, memungut semua perdupaan dari tempat kebakaran itu lalu serakkanlah abu arangnya jauh-jauh, kerana semua perdupaan itu suci. 38 Hendaklah semua perdupaan mereka, iaitu orang berdosa lalu kehilangan nyawa masing-masing itu, ditempa tipis-tipis untuk menjadi salutan bagi tempat pembakaran korban, kerana mereka sudah mempersembahkannya di hadapan Allah sehingga semuanya menjadi suci. Hal itu akan menjadi tanda bagi orang Israel.” 39 Kemudian Imam Eleazar mengambil kesemua perdupaan daripada gangsa yang telah dipersembahkan oleh orang yang telah hangus itu, lalu menempanya untuk menjadi bahan yang menyaluti tempat pembakaran korban. 40 Hal itu menjadi tanda pengingat bagi orang Israel supaya jangan seorang pun selain keturunan Harun berani tampil dekat untuk membakar dupa di hadapan Allah, dan supaya jangan mereka jadi seperti Korah dan pengikutnya, seperti yang difirmankan Allah kepada Eleazar dengan perantaraan Musa.
41 Namun demikian, keesokan harinya seluruh kalangan umat Israel bersungut-sungut kepada Musa dan Harun. Kata mereka, “Kamu telah membunuh umat Allah.” 42 Seluruh umat berkumpul melawan Musa dan Harun. Tetapi ketika mereka berpaling ke arah Khemah Pertemuan, tampak awan menutupi Khemah itu dan kemuliaan Allah pun terlihat. 43 Maka pergilah Musa dan Harun ke depan Khemah Pertemuan. 44 Firman Allah kepada Musa, 45 “Pergilah jauh daripada umat ini, kerana mereka akan Kulenyapkan sekejap lagi.”
Maka sujudlah kedua-duanya. 46 Musa berkata kepada Harun, “Ambillah perdupaanmu, taruhlah di dalamnya api daripada tempat pembakaran korban, dan taruhlah dupa di atasnya. Setelah itu, bawalah dengan segera ke tempat kalangan umat itu dan adakanlah pendamaian bagi mereka, kerana kemurkaan Allah telah berkobar-kobar dan wabak mulai berlaku.” 47 Maka Harun mengambil perdupaan, seperti yang dikatakan Musa, lalu berlari ke tengah-tengah jemaah itu. Tampak wabak sudah mulai melanda bangsa itu. Diletakkannya dupa di dalam perdupaan itu dan diadakannya pendamaian bagi bangsa itu. 48 Dia berdiri dalam kalangan yang mati dan yang hidup, lalu berhentilah wabak itu. 49 Mereka yang mati kerana wabak itu sejumlah 14,700 orang semuanya, belum termasuk orang yang mati dalam hal kemungkaran Korah. 50 Sesudah wabak itu berhenti, Harun kembali menemui Musa di depan pintu Khemah Pertemuan.
 
 
 
 
 
 
17
Bertunasnya tongkat Imam Harun
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Berbicaralah kepada orang Israel dan ambillah tongkat daripada setiap pemimpin, yakni satu tongkat daripada setiap pemimpin yang mewakili setiap suku kaum, iaitu sejumlah dua belas batang tongkat. Tulislah nama para pemimpin itu pada tongkat masing-masing. 3 Nama Harun harus kamu tulis pada tongkat bani Lewi, kerana satu tongkat harus mewakili setiap ketua suku kaum. 4 Letakkanlah semua tongkat itu di dalam Khemah Pertemuan, di hadapan tabut loh hukum, tempat Aku menemui kamu. 5 Nanti, sesiapa yang akan Kupilih, tongkatnya akan bertunas. Demikianlah Aku akan meredakan segala rungutan yang dilontarkan oleh orang Israel terhadap kamu.”
6 Maka berbicaralah Musa kepada orang Israel, lalu semua pemimpin mereka memberikan tongkat masing-masing kepadanya. Setiap pemimpin memberikan sebatang tongkat menurut suku kaum mereka, maka terdapat sejumlah dua belas batang tongkat. Tongkat Harun pun ada antara tongkat itu. 7 Musa meletakkan tongkat-tongkat itu di hadapan Allah, di dalam khemah kesaksian.
8 aKeesokan harinya ketika Musa masuk ke dalam khemah kesaksian, tampak tongkat Harun yang mewakili bani Lewi telah bertunas. Tongkat itu pun mengeluarkan kuncup, berbunga, dan menghasilkan buah badam. 9 Kemudian Musa membawa semua tongkat itu keluar dari hadirat Allah, ke hadapan seluruh orang Israel. Mereka melihat tongkat-tongkat itu, lalu setiap pemimpin mengambil tongkat masing-masing. 10 Berfirmanlah Allah kepada Musa, “Kembalikanlah tongkat Harun ke hadapan tabut loh hukum untuk disimpan sebagai tanda bagi orang derhaka itu. Dengan begitu, kamu menamatkan segala rungutan mereka kepada-Ku, supaya jangan mereka mati.” 11 Maka Musa pun melaksanakannya. Dilakukannyalah seperti yang diperintahkan Allah kepadanya itu.
12 Kata orang Israel kepada Musa, “Sesungguhnya, kami akan mati! Kami binasa, kami semua binasa! 13 Sesiapa pun yang datang mendekati Khemah Suci Allah akan mati. Apakah kami semua akan binasa?”
 
 
 
 
 
 
18
Kewajipan para imam
1 Allah berfirman kepada Harun, “Kamu, anak-anakmu, dan kaum keluargamu harus menanggung akibat daripada kesalahan terhadap tempat suci. Akan tetapi, hanya kamu dan anak-anakmulah yang harus menanggung kesalahan yang dilakukan dalam keimamanmu. 2 Suruhlah saudara-saudaramu suku Lewi juga, iaitu suku bapa leluhurmu, datang bergabung denganmu dan melayani kamu sewaktu kamu dan anak-anakmu berada di depan khemah kesaksian. 3 Hendaklah mereka bertanggungjawab kepadamu serta melaksanakan seluruh pekerjaan dalam Khemah kecuali mereka tidak boleh mendekati kelengkapan-kelengkapan tempat suci atau mazbah, supaya jangan mereka ataupun kamu mati. 4 Hendaklah mereka menyertai kamu dan bertanggungjawab atas pemeliharaan Khemah Pertemuan, serta melakukan semua pekerjaan di dalam Khemah itu. Jangan ada orang awam yang datang dekat kepadamu. 5 Hendaklah kamu bertanggungjawab atas tempat suci dan mazbah, supaya tidak ada lagi murka terhadap orang Israel. 6 Sesungguhnya, Aku telah memilih saudara-saudaramu bani Lewi daripada kalangan orang Israel sebagai pemberian untukmu. Mereka telah diserahkan kepada Allah untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan. 7 Tetapi hendaklah kamu dan anak-anakmu memegang jawatan imam dalam segala hal yang berkaitan dengan mazbah serta apa yang ada di balik tabir. Lakukanlah pekerjaan itu. Jawatan imam Kukurniakan kepadamu sebagai suatu pemberian; hendaklah orang awam yang berani mendekati Khemah itu dihukum mati.”
8 Firman Allah lagi kepada Harun, “Sesungguhnya, Aku telah memberikan kepadamu tanggungjawab untuk menguruskan persembahan khusus bagi-Ku, iaitu segala sesuatu yang disucikan oleh orang Israel. Semua itu Kukurniakan kepadamu dan kepada anak-anakmu sebagai peruntukan tetap untuk selama-lamanya. 9 Itulah bahagianmu daripada persembahan teramat suci yang tidak harus dibakar, setiap persembahan mereka, iaitu persembahan bahan makanan, korban penghapus dosa, dan korban penebus kesalahan yang diserahkan mereka kepada-Ku. Itulah bahagian teramat suci yang diperuntukkan bagimu dan bagi anak-anakmu. 10 Makanlah itu sebagai bahagian yang teramat suci. Semua lelaki boleh memakannya, dan bahagian itu harus kaupandang suci.
11 Persembahan khusus daripada pemberian mereka, iaitu segala persembahan unjukan orang Israel, juga menjadi bahagianmu. Aku mengurniakannya kepadamu dan kepada anak-anakmu, baik lelaki mahupun perempuan, sebagai peruntukan tetap untuk selama-lamanya. Sesiapa yang suci dalam keluargamu boleh memakannya.
12 Segala yang terbaik daripada minyak zaitun, air anggur, dan gandum yang dipersembahkan mereka sebagai hasil pertama kepada Allah, juga Kukurniakan kepadamu. 13 Hasil pertama daripada semua yang ada di tanah mereka dan yang dipersembahkan mereka kepada Allah, juga menjadi bahagianmu. Sesiapa yang suci dalam keluargamu boleh memakannya.
14 aSemua yang diwakafkan dalam kalangan orang Israel ialah bahagianmu.
15 Demikian jugalah semua yang lahir pertama daripada segala yang bernyawa, baik manusia mahupun haiwan, yang dipersembahkan mereka kepada Allah, menjadi bahagianmu. Hanya, hendaklah kamu menebus anak sulung manusia serta anak sulung haiwan yang najis. 16 Semua itu harus kamu tebus sejak umurnya satu bulan bersamaan dengan nilai lima syikal wang perak menurut syikal rasmi Khemah Suci, iaitu seberat dua puluh gera.b 17 Namun demikian, anak lembu, anak domba, atau anak kambing yang sulung tidak boleh kamu tebus, kerana semua itu suci. Percikkanlah darahnya ke mazbah dan bakarlah lemaknya sebagai korban bakaran, yang keharumannya diredai Allah. 18 Dagingnya menjadi bahagianmu, sama seperti dada persembahan unjukan dan paha kanan yang juga menjadi bahagianmu.
19 Segala persembahan khusus daripada barang-barang suci yang dipersembahkan orang Israel kepada Allah, Kukurniakan kepadamu dan kepada anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan sebagai peruntukan tetap untuk selama-lamanya. Itu ialah suatu perjanjian garamc untuk selama-lamanya di hadapan Allah bagimu dan bagi keturunanmu.”
20 Allah berfirman kepada Harun, “Kamu tidak akan mendapat harta pusaka di negeri mereka dan tidak akan mendapat bahagian dalam kalangan mereka. Akulah bahagianmu dan harta pusaka milikmu dalam kalangan orang Israel.
21 dBagi bani Lewi sesungguhnya telah Kukurniakan semua persembahan sepersepuluh di Israel menjadi harta pusaka mereka sebagai imbalan atas pekerjaan yang dilaksanakan mereka di Khemah Pertemuan. 22 Mulai sekarang, jangan lagi orang Israel mendekati Khemah Pertemuan, supaya jangan mereka menanggung dosa lalu mati. 23 Bani Lewi sahajalah yang harus melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan, dan merekalah yang harus menanggung akibat daripada kesalahan terhadap Khemah itu. Itulah suatu ketetapan yang berkuat kuasa untuk selama-lamanya bagimu turun-temurun. Mereka tidak akan mendapat harta pusaka dalam kalangan orang Israel, 24 kerana persembahan sepersepuluh orang Israel yang diserahkan sebagai persembahan khusus kepada Allah telah Kukurniakan kepada bani Lewi untuk menjadi harta pusaka mereka. Itulah sebabnya tentang mereka Aku berfirman bahawa mereka tidak akan mendapat harta pusaka dalam kalangan orang Israel.”
25 Allah berfirman kepada Musa, 26 “Apatah lagi, hendaklah kamu berbicara kepada bani Lewi dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu menerima persembahan sepersepuluh daripada orang Israel, yang Kukurniakan kepadamu untuk menjadi harta pusakamu, maka kamu pun harus mempersembahkan sepersepuluh daripada persembahan itu sebagai persembahan khusus kepada Allah. 27 Persembahan khususmu itu akan dianggap sama dengan gandum dari tempat pembantingan serta hasil dari tempat pemerasan anggur. 28 Dengan cara itu, kamu pun mempersembahkan persembahan khusus kepada Allah daripada segala persembahan sepersepuluh yang kamu terima daripada orang Israel. Serahkanlah persembahan khusus itu kepada Imam Harun, 29 dan persembahkanlah yang terbaik daripada semuanya, iaitu bahagian sucinya, daripada semua yang diberikan kepada Allah.’ 30 Oleh itu, katakanlah juga kepada mereka, ‘Pada waktu kamu mempersembahkan yang terbaik daripadanya, maka bagi bani Lewi hal itu akan dianggap sama dengan hasil tempat pembantingan dan hasil tempat pemerasan anggur. 31 Kamu ataupun keluargamu boleh memakannya di mana-mana sahaja sebagai upahmu, sebagai imbalan atas pekerjaanmu di Khemah Pertemuan. 32 Kamu tidak akan menanggung dosa kerananya apabila kamu telah mempersembahkan yang terbaik daripadanya. Jangan najiskan persembahan-persembahan suci orang Israel, supaya jangan kamu mati.’ ”
 
 
 
 
 
 
19
Peraturan bagi penyucian
1 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, 2 “Inilah ketetapan hukum yang diperintahkan Allah: Suruhlah orang Israel membawa kepadamu seekor lembu betina warna merah yang tidak bercacat cela, dan yang belum pernah dipasangkan kuk. 3 Serahkanlah lembu itu kepada Imam Eleazar. Selanjutnya, hendaklah lembu itu dibawa ke luar perkhemahan dan hendaklah disembelih di hadapannya. 4 Kemudian, hendaklah Imam Eleazar mengambil sebahagian daripada darah lembu itu dengan jarinya dan memercikkannya tujuh kali ke sebelah depan Khemah Pertemuan. 5 Lalu hendaklah lembu itu dibakar di hadapan matanya. Hendaklah kulit, daging, darah, malah kotoran lembu itu dibakar. 6 Setelah itu, hendaklah imam mengambil kayu araz, ranting hisop, dan kain merah tua, lalu melemparkannya ke dalam api yang sedang membakar lembu itu. 7 Kemudian hendaklah imam mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air, baru sesudah itu dia boleh masuk ke perkhemahan. Namun demikian, imam itu menjadi najis sampai waktu maghrib. 8 Orang yang membakar lembu itu juga harus mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air, dan dia juga menjadi najis sampai waktu maghrib. 9 aSelanjutnya, hendaklah seorang yang suci mengumpulkan abu lembu itu dan meletakkannya di suatu tempat yang suci di luar perkhemahan. Abu itu harus disimpan agar kalangan umat Israel dapat memakainya untuk membuat air pembersih kecemaran demi menghapuskan dosa. 10 Maka, hendaklah orang yang mengumpulkan abu lembu itu mencuci pakaiannya, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. Ketetapan itu berkuat kuasa untuk selama-lamanya, baik bagi orang Israel mahupun bagi pendatang yang tinggal dalam kalangan mereka.
11 Sesiapa yang menyentuh mayat akan menjadi najis selama tujuh hari. 12 Hendaklah dia menyucikan dirinya dengan air itu pada hari ketiga, dan pada hari ketujuh dia menjadi suci. Tetapi jika dia tidak menyucikan diri pada hari ketiga, maka pada hari ketujuh dia tidak menjadi suci. 13 Sesiapa yang menyentuh mayat, iaitu tubuh manusia yang telah mati, tetapi tidak menyucikan dirinya, maka dia menajiskan Khemah Suci Allah dan hendaklah disingkirkan daripada Israel. Dia najis kerana air pembersih kecemaran tidak dipercikkan padanya, dan kenajisannya tetap melekat padanya.
14 Inilah hukumnya jika seseorang mati di dalam khemah: sesiapa pun yang masuk ke dalam khemah itu dan sesiapa sahaja yang telah berada di dalam khemah itu menjadi najis selama tujuh hari. 15 Malahan semua wadah yang terbuka, tanpa penutup yang melekat di atasnya juga menjadi najis. 16 Sesiapa pun di padang terbuka yang menyentuh orang yang terbunuh dengan pedang, menyentuh mayat biasa, menyentuh tulang belulang manusia, atau menyentuh makam, dia menjadi najis selama tujuh hari.
17 Hendaklah orang yang najis itu mengambil sebahagian daripada abu korban penghapus dosa yang dibakar, letakkannya di dalam sebuah wadah, lalu tuangkan padanya air segar daripada mata air. 18 Selanjutnya, hendaklah seorang yang suci mengambil ranting hisop dan mencelupnya ke dalam air itu. Kemudian air itu harus dipercikkan pada khemah tadi, pada semua wadah, pada orang yang ada di dalam khemah, atau pada orang yang telah menyentuh tulang belulang, menyentuh mayat orang yang dibunuh, menyentuh mayat biasa, atau menyentuh makam tadi. 19 Hendaklah orang yang suci itu memercikkan orang yang najis itu, baik pada hari ketiga mahupun pada hari ketujuh, dan pada hari ketujuh hendaklah dia menyucikannya. Kemudian hendaklah orang itu mencuci pakaiannya dan membasuh dirinya dengan air, lalu pada waktu maghrib dia menjadi suci.
20 Akan tetapi, hendaklah orang yang menjadi najis dan tidak menyucikan dirinya disingkirkan daripada kalangan umat, kerana dia telah menajiskan tempat suci Allah. Dia tetap najis kerana air pembersih kecemaran tidak dipercikkan padanya. 21 Itulah ketetapan yang berkuat kuasa selama-lamanya bagi mereka. Orang yang memercikkan air pembersih kecemaran itu pun harus mencuci pakaiannya, dan orang yang menyentuh air pembersih kecemaran itu menjadi najis sampai waktu maghrib. 22 Barang apa-apa pun yang disentuh oleh orang yang najis akan menjadi najis, dan sesiapa menyentuh barang itu akan menjadi najis juga sampai waktu maghrib.”
 
 
 
 
 
 
20
Miryam meninggal
1 Sampailah seluruh kalangan umat Israel di Gurun Zin pada bulan pertama, lalu tinggallah umat itu di Kadesh. Di sanalah Miryam meninggal dan dimakamkan.
Pengingkaran Nabi Musa dan Imam Harun
2 aPada suatu waktu, tidak ada air bagi umat itu. Maka berhimpunlah mereka menentang Musa dan Harun. 3 Bangsa itu berbantah terhadap Musa dan berkata, “Kalau sahaja kami mati ketika saudara-saudara kami itu mati di hadapan Allah! 4 Mengapakah kamu membawa jemaah Allah ke gurun ini? Supaya kami dan ternakan kami mati di sini? 5 Mengapa pula kamu memimpin kami keluar dari Mesir dan membawa kami ke tempat buruk ini, yang bukan tempat biji-bijian, bukan tempat pokok ara, pokok anggur, atau pokok delima, bahkan air minum pun tidak ada?” 6 Musa dan Harun pergi meninggalkan jemaah itu untuk menuju pintu Khemah Pertemuan, lalu mereka pun bersujud. Kemudian kemuliaan Allah tampak di hadapan mereka.
7 Firman Allah kepada Musa, 8 “Ambillah tongkatmu, lalu bersama dengan Harun abangmu kumpulkanlah jemaah itu. Berbicaralah kepada bukit batu itu di hadapan mata mereka agar bukit batu itu mengeluarkan airnya. Begitulah cara kamu mengeluarkan air daripada bukit batu itu bagi mereka dan memberikan minum kepada umat itu berserta segala ternakan mereka.” 9 Musa mengambil tongkat itu dari hadirat Allah, seperti yang diperintahkan-Nya kepadanya.
10 Kemudian Musa dan Harun mengumpulkan umat itu di depan bukit batu. Kata Musa kepada mereka, “Dengarlah, hai orang derhaka! Apakah kami harus mengeluarkan air bagimu daripada bukit batu ini?” 11 Lalu Musa mengangkat tangannya dan memukul bukit batu itu dua kali dengan tongkatnya. Maka keluarlah air dengan limpahnya, dan minumlah umat itu berserta ternakan mereka.
12 Akan tetapi, Allah berfirman kepada Musa dan Harun, “Kerana kamu tidak percaya kepada-Ku dan tidak menyatakan kesucian-Kub di hadapan mata orang Israel, maka kamu tidak akan membawa jemaah ini masuk ke negeri yang akan Kukurniakan kepada mereka.”
13 Itulah mata air Meriba. Di situlah orang Israel berbantah dengan Allah, dan di situ pulalah Dia menyatakan kesucian-Nya dalam kalangan mereka.
Penolakan orang Edom (bani Esau)
14 Musa mengirim beberapa orang utusan dari Kadesh kepada raja Edom dengan pesan, “Beginilah kata saudaramu Israel, ‘Kamu tahu segala kesusahan yang telah menimpa kami. 15 Nenek moyang kami dahulu pergi ke Mesir dan kami tinggal lama sekali di Mesir. Akan tetapi, kemudian orang Mesir memperlakukan kami dan nenek moyang kami dengan jahat. 16 Kami berseru kepada Allah, lalu Dia mendengar suara kami dan mengutus malaikat untuk membawa kami keluar dari Mesir. Sekarang ini kami berada di Kadesh, sebuah kota di tepi perbatasanmu. 17 Izinkanlah kami melalui negerimu. Kami tidak akan lalu di ladang atau kebun anggurmu dan kami pun tidak akan minum air perigimu. Kami akan berjalan di jalan raya raja sahaja tanpa menyimpang ke kanan atau ke kiri, sehingga kami melalui perbatasanmu.’ ”
18 Tetapi kata orang Edom kepada mereka, “Kamu tidak boleh lalu di daerah kami! Jangan sampai kami keluar menghadapi kamu dengan pedang!”
19 Kata orang Israel kepada mereka, “Kami hanya akan berjalan melalui jalan raya. Kalaupun kami dan ternakan kami meminum airmu, kami akan membayarnya. Hanya, izinkanlah kami melaluinya dengan berjalan kaki. Tidak ada permintaan lain lagi daripada kami.”
20 Tetapi jawab mereka, “Kamu tidak boleh melalui jalan raya itu.” Lalu orang Edom keluar menghadapi mereka dengan rakyat yang ramai dan dengan pasukan yang kuat. 21 Kerana orang Edom menolak dan tidak mengizinkan orang Israel lalu di daerah mereka, maka berbaliklah orang Israel meninggalkan mereka.
Wafatnya Imam Harun
22 Setelah seluruh kalangan umat Israel berangkat dari Kadesh, sampailah mereka di Gunung Hor. 23 Kemudian di Gunung Hor itu, di perbatasan Tanah Edom, Allah berfirman kepada Musa dan Harun, 24 “Harun akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurnya. Dia tidak akan masuk ke negeri yang Kukurniakan kepada orang Israel, kerana kamu berdua telah menderhaka terhadap firman-Ku di mata air Meriba. 25 Panggillah Harun dan Eleazar, anaknya, dan bawalah mereka naik ke Gunung Hor. 26 Kemudian tanggalkanlah pakaian Harun dan kenakanlah pada Eleazar, anaknya, kerana Harun akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurnya. Dia akan wafat di sana.” 27 Musa melakukan seperti yang diperintahkan Allah. Mereka naik ke Gunung Hor di hadapan mata seluruh umat itu. 28 cDi sana Musa menanggalkan pakaian Harun dan mengenakannya kepada Eleazar, anaknya. Kemudian wafatlah Harun di sana, di puncak gunung itu. Setelah itu, Musa dan Eleazar turun dari gunung itu. 29 Ketika seluruh umat itu tahu bahawa Harun telah wafat, maka seluruh keturunan kaum Israel meratap untuk Harun itu selama tiga puluh hari.
 
 
 
 
 
 
21
Peperangan dekat Horma
1 aApabila raja negeri Arad, orang Kanaan yang tinggal di Tanah Negeb, mendengar bahawa orang Israel datang melalui jalan Atarim, berperanglah dia melawan orang Israel dan menawan beberapa orang daripada mereka. 2 Lalu bernazarlah orang Israel kepada Allah: “Jika Engkau menyerahkan bangsa ini ke dalam tangan kami, maka kami akan menumpaskan kota-kota mereka.” 3 Allah mendengar permohonan orang Israel dan menyerahkan orang Kanaan itu. Mereka pun menumpaskan orang itu berserta kota-kota mereka. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Horma.
Ular tembaga
4 bMereka melanjutkan perjalanan dari Gunung Hor ke arah Laut Merah untuk mengelilingi Tanah Edom. Akan tetapi, bangsa itu tidak dapat menahan hati lagi di tengah jalan. 5 cMereka merungut-rungut terhadap Allah dan Musa, “Mengapakah kamu memimpin kami keluar dari Mesir? Supaya kami mati di gurun? Sesungguhnya, di sini tidak ada roti dan tidak ada air, dan kami muak dengan makanan yang tidak berguna ini!” 6 Kemudian Allah melepaskan ular-ular berbisa ke tengah-tengah bangsa itu. Ular-ular itu memagut umat itu sehingga banyak rakyat Israel yang mati. 7 Maka datanglah bangsa itu kepada Musa dan berkata, “Kami telah berdosa kerana kami berkata-kata melawan Allah dan kamu. Berdoalah kepada Allah supaya Dia menjauhkan ular-ular ini daripada kami.” Lalu Musa berdoa bagi bangsa itu, 8 dan Allah berfirman kepada Musa, “Buatlah arca ular berbisa dan letaklah di atas sebatang tiang.d Sesiapa pun yang dipagut oleh ular tadi akan tetap hidup kalau dia memandang arca ular itu.” 9 eLalu Musa membuat ular tembaga dan meletakkannya di atas sebatang tiang. Jika ada sesiapa yang dipagut oleh ular, dia akan memandang arca ular tembaga dan terus hidup.
Menuju daerah Moab
10 Maka berangkatlah orang Israel lalu berkhemah di Obot. 11 Setelah itu, mereka berangkat pula meninggalkan Obot, lalu berkhemah di reruntuhan Abarim, di gurun yang menghadap ke Moab, di sebelah timur. 12 Dari situ mereka melanjutkan perjalanan, lalu berkhemah di Lembah Zered. 13 Dari situ mereka berangkat lagi, lalu berkhemah di seberang Sungai Arnon di gurun, yang mengalir dari daerah orang Amori. Sungai Arnon ialah perbatasan di antara daerah bani Moab dengan bani Amori. 14 Itulah sebabnya disebutkan dalam Kitab Hikayat Peperangan Allah,f
“Waheb di Sufa dan wadi Sungai Arnon,
15 dan lereng wadi yang terbentang ke arah Kota Ar,
condong ke perbatasan Moab.”
16 Dari situ mereka berangkat menuju Beer. Itulah perigi tempat Allah berfirman kepada Musa, “Kumpulkanlah bangsa itu, Aku akan memberi mereka air.” 17 Pada waktu itu orang Israel menyanyikan nyanyian ini:
“Membuak-buaklah, wahai perigi!
Bernyanyilah tentang dia,
18 perigi yang digali oleh pembesar,
yang dikorek oleh kaum bangsawan dalam kalangan bangsa itu
dengan cokmar pemerintahan
dan dengan tongkat-tongkat mereka.”
Selanjutnya, dari gurun itu mereka berangkat ke Matana, 19 dari Matana ke Nahaliel, dari Nahaliel ke Bamot, 20 dari Bamot ke lembah di daerah Moab, dekat puncak Gunung Pisga yang menghadap ke gurun.
Kemenangan atas Sihon dan Og
21 Kemudian orang Israel mengirim beberapa orang utusan kepada Sihon, raja bani Amori, dengan pesan, 22 “Izinkanlah kami lalu di negerimu. Kami tidak akan menyimpang untuk memasuki ladang atau kebun anggurmu, dan kami tidak akan minum air dari perigimu. Kami hendak berjalan menyusuri jalan raya raja sahaja sehingga kami lalu di perbatasanmu.” 23 Akan tetapi, Sihon tidak mengizinkan orang Israel lalu di daerahnya. Sebaliknya, dia mengerahkan seluruh pasukannya keluar mendatangi orang Israel di gurun. Setibanya di Yahas berperanglah dia melawan orang Israel. 24 Namun demikian, orang Israel mengalahkannya dengan mata pedang dan menduduki negerinya dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok, hingga sejauh perbatasan bani Amon, kerana perbatasan bani Amon itu kuat. 25 Orang Israel merebut semua kota itu lalu tinggal di kota-kota orang Amori, iaitu di Hesbon dan di kota-kota kecil sekitarnya. 26 Hesbon ialah kota kediaman Sihon, raja bani Amori. Dia pernah berperang melawan raja Moab yang terdahulu dan merebut seluruh negeri itu daripada tangannya, sampai ke Arnon.
27 Itulah sebabnya penyair-penyair berkata,
“Datanglah ke Hesbon,
biarlah kota kediaman Sihon itu
dibangunkan dan diperkuat!
28 gApi keluar dari Hesbon,
nyala api dari kota kediaman Sihon,
menghanguskan Ar-Moab,
warga tempat-tempat tinggi dekat Sungai Arnon.
29 Malangnya kamu, hai Moab!
Binasalah kamu, hai umat Kamos!
Dia membuat anak-anak lelakinya menjadi pelarian
dan anak-anak perempuannya menjadi tawanan
bagi Sihon, raja bani Amori.
30 Kita telah memanah mereka,
maka Hesbon binasa sampai ke Dibon.
Kita pun telah menanduskannya sampai ke Nofah,
yang terbentang sampai ke Medeba.”
31 Demikianlah orang Israel tinggal di negeri bani Amori. 32 Kemudian Musa mengutus orang untuk mengintip Yaezer, lalu mereka berhasil merebut kota-kota kecil di sekitarnya dan mengusir bani Amori yang ada di sana.
33 Setelah itu, mereka berbalik dan maju ke arah Basan. Og, raja Basan, keluar menghadapi mereka berserta seluruh pasukannya untuk berperang di Edrei. 34 Tetapi Allah berfirman kepada Musa, “Jangan takut kepadanya kerana Aku telah menyerahkan dia dan seluruh pasukannya ke dalam tanganmu, bahkan seluruh negerinya. Lakukanlah terhadapnya sebagaimana kamu lakukan terhadap Sihon, raja bani Amori, yang tinggal di Hesbon.”
35 Maka mereka pun mengalahkan Og, anak-anaknya, dan seluruh pasukannya hinggakan tiada seorang pun yang terselamat. Setelah itu, mereka menduduki negerinya.
 
 
 
 
 
 
22
Bileam enggan mengutuk Israel
1 Kemudian berangkatlah orang Israel, lalu berkhemah di dataran Moab, di seberang Sungai Yordan dekat Yerikho.
2 Balak bin Zipor melihat segala sesuatu yang dilakukan orang Israel terhadap bani Amori. 3 Bani Moab menjadi sangat takut akan orang Israel kerana jumlah mereka sangat ramai. Hati mereka kecut menghadapi orang Israel. 4 Lalu kata mereka kepada tua-tua Madyan, “Sekarang pasukan besar itu akan melahap segala sesuatu di sekeliling kita seperti lembu melahap tumbuhan hijau di padang.” Maka Balak bin Zipor, raja Moab pada waktu itu, 5 amengirimkan beberapa orang utusan kepada Bileam bin Beor di Petor. Petor terletak di tepi Sungai Efrat, di bumi asal bangsanya. Dipesannya kepada Bileam, “Ketahuilah, ada suatu bangsa yang keluar dari Mesir dan sesungguhnya mereka menutupi muka bumi, dan sekarang mereka sedang tinggal berseberangan denganku. 6 Oleh sebab itu, datanglah ke mari sekarang dan kutuklah bangsa itu bagiku, kerana mereka lebih kuat daripada aku. Siapa tahu aku dapat mengalahkan mereka dan mengusir mereka dari negeri ini. Kerana aku tahu jika kamu memohonkan berkat bagi seseorang, dia memperoleh berkat, dan jika kamu mengutuk seseorang, dia menerima bahana kutukan.”
7 Kemudian, dengan membawa upah bagi penelahan mereka, berangkatlah tua-tua Moab dan Madyan, lalu sesampainya mereka di tempat Bileam, mereka pun menyampaikan pesan Balak kepadanya. 8 Kata Bileam kepada mereka, “Bermalamlah di sini, aku akan memberi kamu jawapan sebagaimana yang difirmankan Allah kepadaku.” Maka tinggallah orang besar Moab itu di tempat Bileam.
9 Kemudian Allah mendatangi Bileam dan berfirman, “Siapakah orang yang ada bersama-samamu itu?”
10 Jawab Bileam kepada Allah, “Balak bin Zipor, raja Moab, mengutus mereka kepadaku dengan pesan, 11 ‘Ketahuilah, ada suatu bangsa yang keluar dari Mesir, dan mereka menutupi muka bumi. Sekarang datanglah ke mari dan kutuklah mereka bagiku. Siapa tahu aku dapat memerangi mereka dan mengusir mereka.’ ”
12 Firman Allah kepada Bileam, “Jangan pergi bersama-sama mereka dan jangan kutuk bangsa itu, kerana mereka bangsa yang diberkati.”
13 Bangunlah Bileam pada pagi hari lalu katanya kepada orang besar Balak, “Pulanglah ke negerimu kerana Allah tidak mengizinkan aku pergi berserta kamu.” 14 Maka orang besar Moab itu segera pulang kepada Balak dan berkata, “Bileam tidak mahu datang bersama-sama kami.”
15 Sekali lagi Balak mengutus beberapa orang besar yang lebih ramai dan lebih mulia daripada yang terdahulu. 16 Sesampainya mereka di tempat Bileam, berkatalah mereka kepadanya, “Beginilah titah Balak bin Zipor, ‘Jangan biarkan sesuatu menghalang kamu untuk datang kepadaku, 17 kerana aku akan memberi hormat kepada kamu setinggi-tingginya. Apa-apa pun yang kamu minta daripadaku akan aku lakukan. Oleh sebab itu, datanglah ke mari dan kutuklah bangsa itu bagiku.’ ”
18 Jawab Bileam kepada para pegawai Balak, “Sekalipun Balak memberikan kepadaku perak dan emas yang memenuhi sebuah istana pun, aku tidak dapat melanggar firman Allah, Tuhanku, baik itu perkara besar mahupun kecil. 19 Sekarang, tinggallah bersama-samaku di sini, aku akan mendapat tahu apa lagi yang akan difirmankan Allah kepadaku.”
20 Lalu Allah mendatangi Bileam pada malam hari dan berfirman kepadanya, “Jika orang itu memang datang untuk memanggil kamu, pergilah segera bersama-sama mereka, tetapi kamu akan melakukan apa yang Kufirmankan kepadamu sahaja.”
Keldai Bileam dan malaikat Allah
21 Bileam bangun pada paginya dan mengenakan pelana pada keldainya lalu pergi bersama-sama orang besar Moab itu. 22 Akan tetapi, ternyalalah murka Allah kerana dia pergi,b maka malaikat Allah berdiri di jalan, mengadangnya sebagai lawan. Pada waktu itu Bileam menunggangi keldainya dan kedua-dua orang pelayannya menyertainya. 23 Ketika keldai itu melihat malaikat Allah berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya, menyimpanglah keldai itu dari jalan lalu masuk ke ladang. Bileam memukul keldainya supaya kembali ke jalan. 24 Kemudian malaikat Allah berdiri di tempat yang sempit di antara dua kebun anggur dengan tembok di sebelah-menyebelah. 25 Apabila keldai itu melihat malaikat Allah, dirapatkan tubuhnya pada tembok sehingga kaki Bileam terhimpit tembok. Lalu dia memukul keldainya lagi. 26 Setelah itu, malaikat Allah berjalan terus dan berdiri di suatu tempat sempit tanpa ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri. 27 Apabila keldai itu melihat malaikat Allah, direbahkannya badannya walhal Bileam masih berada di atasnya. Maka meluaplah amarah Bileam sehingga dipukulnya keldai itu dengan tongkatnya. 28 Kemudian Allah membuat keldai itu dapat berkata-kata lantas berkatalah keldai itu kepada Bileam, “Apakah yang kulakukan terhadapmu sehingga kamu memukul aku tiga kali?”
29 Jawab Bileam kepada keldai itu, “Kerana kamu membodohkan aku! Kalaulah ada pedang di tanganku, tentulah kamu kubunuh sekarang.”
30 Kata keldai itu kepada Bileam, “Bukankah aku ini keldaimu yang kamu tunggangi seumur hidupmu sampai hari ini? Adakah aku biasa berbuat demikian kepadamu?”
Jawabnya, “Tidak.”
31 Kemudian Allah menyingkapkan mata Bileam sehingga dia melihat malaikat Allah berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya. Maka membongkoklah dia dan sujud memberi hormat. 32 Sabda malaikat Allah kepadanya, “Mengapakah kamu memukul keldaimu sampai tiga kali? Ketahuilah, Aku keluar sebagai lawanmu, kerana ketelanjuran kelakuanmu di hadapan-Ku. 33 Keldai ini melihat Aku dan sudah tiga kali menyimpang dari hadapan-Ku. Kalau keldai itu tidak menyimpang dari hadapan-Ku, tentulah kamu sudah Kubunuh, dan keldai itu Kubiarkan hidup.”
34 Kata Bileam kepada malaikat Allah, “Hamba telah berdosa kerana hamba tidak tahu bahawa Engkau berdiri di jalan mengadang hamba. Sekarang, jika Engkau tidak berkenan akan hal ini, maka hamba hendak pulang.”
35 Sabda malaikat Allah kepada Bileam, “Pergilah bersama dengan orang itu, tetapi hanya katakan apa yang Kusabdakan kepadamu.” Maka pergilah Bileam bersama-sama orang besar Balak.
Bertemulah Bileam dengan Balak
36 Setelah Balak mendengar bahawa Bileam sudah tiba, keluarlah dia menyongsong Bileam ke kota Moab yang terletak di perbatasan Sungai Arnon, di hujung perbatasan daerahnya. 37 Kemudian Balak berkata kepada Bileam, “Bukankah aku sudah mengutus orang untuk memanggil kamu? Mengapakah kamu tidak mahu datang kepadaku? Tidakkah aku mampu memberi hormat kepada kamu?”
38 Jawab Bileam kepada Balak, “Nah, aku sudah datang kepadamu sekarang! Tetapi adakah mungkin aku dapat mengatakan sesuatu? Firman yang diberitahukan Allah kepadaku, itulah yang akan kukatakan.” 39 Kemudian Bileam pergi bersama dengan Balak, dan sampailah mereka di Kiryat-Huzot. 40 Balak mengorbankan beberapa ekor daripada kawanan lembu dan kawanan domba lalu mengirimkannya pula kepada Bileam serta orang besar yang menyertainya.
41 Pagi harinya Balak memanggil Bileam dan membawanya ke Bamot-Baal. Dari sana dia melihat sebahagian daripada bangsa Israel.
 
 
 
 
 
 
23
Bileam memberkati orang Israel
1 Kata Bileam kepada Balak, “Dirikanlah bagiku di sini tujuh buah mazbah, iaitu tempat pembakaran korban, dan sediakanlah bagiku di sini tujuh ekor lembu jantan serta tujuh ekor domba jantan.”
2 Balak melakukan seperti yang dikatakan Bileam, lalu Balak dan Bileam mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas setiap mazbah itu. 3 Setelah itu, Bileam berkata kepada Balak, “Berdirilah di samping korban bakaranmu sementara aku pergi. Mungkin Allah akan datang menemuiku, dan apa-apa pun yang dinyatakan-Nya kepadaku akan kuberitahukan kepadamu.” Lalu pergilah dia ke sebuah bukit yang gondol. 4 Allah menemui Bileam, dan Bileam berkata kepada-Nya, “Aku telah mengatur tujuh buah mazbah, dan di atas setiap mazbah itu telah kupersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan.”
5 Allah pun memberitahu Bileam apa yang harus dikatakannya lalu berfirman, “Kembalilah kepada Balak dan katakanlah demikian.” 6 Ketika Bileam kembali kepadanya, tampak Balak masih berdiri di samping korban bakarannya, disertai semua pembesar Moab. 7 Kemudian Bileam mengungkap ucapannya:
“Dari Aram, dari gunung-gunung wilayah timur,
aku dijemput oleh Balak, raja Moab.
Katanya, ‘Datanglah, kutuklah Yakub bagiku.
Datanglah, kecamlah Israel.’
8 Bagaimana mungkin aku mengutuk yang tidak dikutuk Allah?
Bagaimana mungkin aku mengecam yang tidak dikecam Allah?
9 Dari puncak gunung batu aku melihat mereka,
dari atas bukit aku memandang mereka.
Lihat, suatu bangsa yang diam tersendiri
dan tidak mahu diperhitungkan antara kalangan bangsa.
10 Siapa dapat memperhitungkan debu Yakub,
atau membilang seperempat bahagian daripada orang Israel?
Biarlah aku mati seperti matinya orang jujur,
dan biarlah kesudahan aku seperti kesudahan mereka.”
11 Maka kata Balak kepada Bileam, “Apakah yang kaulakukan terhadapku? Aku menjemput kamu supaya kamu mengutuk musuhku, tetapi kamu mengucapkan berkat atas mereka sebaliknya.”
12 Jawabnya, “Bukankah aku harus berhati-hati supaya aku mengatakan apa yang diberitahukan Allah kepadaku?”
13 Kemudian kata Balak kepadanya, “Mari pergi bersama-samaku ke tempat lain. Dari sana kamu dapat melihat mereka. Kamu akan melihat sebahagian sahaja daripada mereka, bukan semuanya. Kutuklah mereka untukku dari sana.” 14 Dibawanya Bileam ke Padang Zofim, ke puncak Gunung Pisga. Di situ dia mendirikan tujuh buah mazbah, dan di atas setiap mazbah itu dipersembahkannya seekor lembu jantan dan seekor domba jantan.
15 Bileam pun berkata kepada Balak, “Berdirilah di sini, di samping korban bakaranmu, sementara aku bertemu dengan Allah di sana.”
16 Lalu Allah menemui Bileam, memberitahunya apa yang harus dikatakannya dan berfirman, “Kembalilah kepada Balak dan katakanlah demikian.” 17 Ketika dia sampai kepada Balak, tampak Balak masih berdiri di samping korban bakarannya disertai orang besar Moab. Balak bertanya kepadanya, “Apakah yang difirmankan Allah?”
18 Bileam pun berwacana, katanya,
“Marilah, hai Balak, dengarlah.
Perhatikanlah aku, hai anak Zipor.
19 Allah bukanlah manusia sehingga Dia berbohong,
bukan anak manusia sehingga Dia menyesal dan berubah fikiran.
Jika Dia berfirman, masakan Dia tidak melakukannya?
Jika Dia berbicara, tidak akankah Dia laksanakannya?
20 Sesungguhnya, aku menerima perintah untuk mengucapkan berkat.
Jika Dia memberkati, aku tidak dapat mengubahnya.
21 Tidak dilihat-Nya kejahatan pada Yakub,
kezaliman pun tidak nampak pada Israel.
Allah, Tuhan mereka, menyertai mereka dan sorak seorang Raja ada dalam kalangan mereka.
22 Allah, yang membawa orang itu keluar dari Mesir,
dan Dialah seperti tanduk lembu liar bagi mereka.
23 Sesungguhnya, tidak ada mantera yang ampuh terhadap Yakub,
tidak ada tenungan yang menawan Israel.
Pada waktunya akan dikatakan tentang Yakub
dan tentang Israel, ‘Lihat, apa yang dikerjakan Allah!’
24 Lihat, bangsa itu bangkit seperti singa betina,
dan berdiri tegak seperti singa jantan.
Ia tidak akan berbaring sebelum memakan mangsanya
dan meminum darah daripada yang dibunuhnya.”
25 Maka kata Balak kepada Bileam, “Jika kamu sekali-kali tidak mahu mengutuk mereka, janganlah sekali-kali kauucapkan berkat atas mereka!”
26 Tetapi jawab Bileam kepada Balak, “Bukankah telah kukatakan kepadamu bahawa semua yang difirmankan Allah akan kulakukan?”
27 Balak berkata lagi kepada Bileam, “Mari pergi. Aku akan membawamu ke tempat lain. Siapa tahu Allah memperkenankan kamu untuk mengutuk mereka bagiku dari sana.” 28 Kemudian Balak membawa Bileam ke puncak Gunung Peor yang menghadap ke gurun. 29 Kata Bileam kepada Balak, “Dirikanlah bagiku di sini tujuh buah mazbah, dan sediakanlah bagiku di sini tujuh ekor lembu jantan serta tujuh ekor domba jantan.” 30 Balak melakukan seperti yang dikatakan Bileam dan mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas setiap mazbah itu.
 
 
 
 
 
 
24
Bileam berucap sekali lagi
1 Setelah Bileam melihat bahawa Allah berkenan memberkati Israel, maka dia tidak lagi pergi mencari petanda seperti sebelumnya, tetapi dia menghadapkan wajahnya ke arah gurun. 2 Bileam melayangkan pandangannya dan melihat orang Israel yang sedang berkhemah mengikut suku masing-masing. Lalu turunlah Roh Allah ke atasnya, 3 lalu dia mengucap ungkapannya:
“Pernyataan Bileam bin Beor,
pernyataan orang yang matanya kini tercelik.
4 Pernyataan orang yang mendengar firman Allah
dan mendapat penglihatan daripada Yang Maha Kuasa;
yang rebah namun matanya tersingkap.
5 Betapa eloknya khemah-khemahmu, wahai Yakub,
dan tempat-tempat kediamanmu, wahai Israel.
6 Semuanya bagaikan lembah yang terbentang,
bagaikan taman di pesisiran sungai,
bagaikan pokok gaharu yang ditanam oleh Allah,
bagaikan pokok araz di tepi air.
7 Air mengalir daripada timbanya
dan benihnya mendapat banyak air.
Rajanya akan lebih tinggi daripada Agag,
dan kerajaannya akan diagungkan.
8 Allah, yang membawanya keluar dari Mesir,
dan baginya Allah seperti tanduk lembu liar.
Dia akan melahap bangsa-bangsa yang menjadi lawannya,
menghancurkan tulang-tulang mereka,
dan meremukkan mereka dengan anak-anak panahnya.
9 aDia merunduk, mendekam seperti singa jantan
atau singa betina. Siapakah yang berani membangunkannya?
Diberkatilah orang yang mengucapkan berkat atasmu,
dan terkutuklah orang yang mengutuk kamu!”
10 Maka menyalalah amarah Balak terhadap Bileam. Ditepuknya kedua-dua belah tangannya lalu berkatalah dia kepada Bileam, “Aku memanggil kamu untuk mengutuk musuhku, tetapi kamu mengucapkan berkat atas mereka sehingga tiga kali! 11 Sekarang, nyahlah kamu! Pulanglah ke tempatmu! Aku pernah berkata bahawa aku akan membuat kamu kaya. Tetapi lihat, Allah tidak mengizinkan kamu untuk memperoleh kekayaan itu.”
12 Kata Bileam kepada Balak, “Bukankah telah kukatakan kepada orang utusan yang kaukirim kepadaku, 13 bahawa sekalipun Balak memberikan kepadaku perak dan emas yang memenuhi sebuah istana, aku tidak dapat melanggar firman Allah untuk melakukan hal yang baik atau jahat atas niat hatiku sendiri. Apa yang difirmankan Allah, itulah yang akan kukatakan.
14 Jadi, sekarang aku akan kembali kepada bangsaku. Tetapi marilah, akan kuberitahukan kepadamu apa yang akan dilakukan bangsa itu terhadap bangsamu pada kemudian hari.”
15 Lalu berwacanalah dia, katanya,
“Pernyataan Bileam bin Beor,
pernyataan orang yang matanya kini tercelik.
16 Pernyataan orang yang mendengar firman Allah,
dan mengetahui ilmu pengetahuan daripada Yang Maha Tinggi
dan mendapat penglihatan daripada Yang Maha Kuasa;
yang rebah namun matanya tersingkap:
17 bAku melihat dia tetapi bukan sekarang.
Aku memandang dia tetapi bukan dari dekat.
Sebuah bintang akan terbit daripada Yakub,
sebuah cokmar pemerintahan akan timbul daripada Israel,
yang akan meremukkan dahi segala bani Moab
dan merobohkan semua bani Set.
18 Edom akan diduduki, dan Seir juga,
musuhnya akan kehilangan semua milik mereka,
sedangkan Israel akan melakukan perbuatan yang gagah perkasa.
19 Daripada Yakub akan muncul seorang penuh berkuasa,
yang akan membinasakan orang yang terselamat dari kota-kota raya.”
20 Kemudian dia memandang orang Amalek lalu menyambung wacananya, katanya,
“Amalek adalah yang pertama dalam kalangan bangsa,
tetapi kesudahannya ialah kemusnahan yang mutlak.”
21 Dia memandang pula orang Keni lalu berwacana lagi, katanya,
“Memang kukuh tempat kediamanmu,
sarangmu terletak di bukit batu.
22 Namun demikian, orang Keni akan musnah.
Tidak lama lagi Asyur akan menawan kamu.”
23 Dia meneruskan lagi wacananya, katanya,
“Aduh! Siapa yang akan hidup
ketika Allah melakukan hal itu?
24 Namun demikian, akan datang kapal-kapal dari pesisir Siprus,
menindas Asyur serta Eber,
lalu dia juga kelak menerima kebinasaan yang mutlak.”
25 Setelah itu, Bileam segera kembali ke tempat tinggalnya, dan begitu juga halnya dengan Balak.
 
 
 
 
 
 
25
Penyembahan Dewa Baal di Peor
1 Sewaktu orang Israel berkelana di Sitim, umat itu mula berzina dengan perempuan bani Moab. 2 Para perempuan itu memujuk orang Israel untuk mengikuti upacara korban sembelihan bagi tuhan mereka lalu umat itu pun turut makan dan sujud menyembah tuhan mereka. 3 Dengan demikian, orang Israel turut beribadat kepada Dewa Baal di Peor itu sehingga menyala-nyalalah kemurkaan Allah terhadap orang Israel. 4 Firman Allah kepada Musa, “Tangkaplah semua ketua suku bangsa itu dan gantunglah mereka di bawah cahaya matahari di hadapan Allah, supaya teralihlah kemurkaan Allah yang sedang menyala-nyala terhadap Israel itu.” 5 Maka kepada para hakim orang Israel, berkatalah Musa, “Hendaklah masing-masing membunuh mana-mana orang kamu yang telah turut beribadat kepada Dewa Baal di Peor.”
6 Ketika Musa dan seluruh kalangan umat Israel sedang menangis di depan pintu Khemah Pertemuan itu, muncullah di hadapan mata mereka seorang daripada kalangan orang Israel yang membawa seorang perempuan Madyan kepada sanak saudaranya. 7 Apabila melihat hal itu, segeralah Pinehas bin Eleazar anak Imam Harun meninggalkan umat itu lantas diambilnya sebuah tombak 8 dan dikejarnya orang Israel itu sampai ke dalam khemah, lalu ditikamnya perut mereka berdua, iaitu orang Israel serta perempuan itu. Maka wabak yang melanda orang Israel itu pun berhenti. 9 Orang Israel yang mati kerana wabak itu seramai dua puluh empat ribu orang semuanya.
10 Firman Allah kepada Musa, 11 “Pinehas bin Eleazar anak Imam Harun telah menyurutkan kemurkaan-Ku terhadap orang Israel. Begitu bersemangat dia membela kehormatan-Ku di tengah-tengah mereka, sehingga Aku tidak memusnahkan semua orang Israel dalam cemburu-Ku. 12 Oleh sebab itu, katakanlah bahawa sesungguhnya Aku mengurniakan kepadanya perjanjian damai-Ku. 13 Dia dan keturunannya kelak akan memperoleh perjanjian jawatan imam untuk selama-lamanya, kerana dia begitu bersemangat membela Tuhannya serta mengusahakan pendamaian bagi orang Israel.”
14 Nama orang Israel yang mati dibunuh bersama dengan perempuan Madyan itu ialah Zimri bin Salu, seorang pemimpin kaum keluarga Simeon 15 manakala nama perempuan Madyan yang dibunuh itu ialah Kozbi binti Zur. Zur ialah seorang ketua suku daripada kaum keluarga orang Madyan.
16 Firman Allah kepada Musa, 17 “Lawanlah orang Madyan dan tewaskanlah mereka, 18 kerana mereka telah melawan kamu dengan tipu daya. Mereka memperdayakan kamu, baik dalam hal Peor mahupun dalam hal Kozbi, saudara perempuan mereka, anak pemimpin Madyan yang dibunuh pada waktu wabak melanda atas sebab musibah Peor.”
 
 
 
 
 
 
26
Bancian kedua diperlukan
1 aSesudah peristiwa wabak itu, Allah berfirman kepada Musa dan Eleazar, anak Imam Harun, 2 “Adakanlah bancian terhadap seluruh kalangan umat Israel, khususnya orang yang berumur dua puluh tahun ke atas menurut kaum keluarga mereka, dan yang berkemampuan untuk berperang.” 3 Maka Musa dan Imam Eleazar berkata kepada mereka di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho, 4 “Hitunglah orang yang berumur dua puluh tahun ke atas” seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
Inilah orang Israel yang keluar dari Tanah Mesir: 5 Keturunan Ruben, anak Israel yang sulung: kaum Henokh, daripada Henokh; kaum Palu, daripada Palu; 6 kaum Hezron, daripada Hezron; kaum Karmi, daripada Karmi. 7 Itulah kaum-kaum bani Ruben. Jumlah mereka yang terhitung ialah seramai 43,730 orang. 8 Anak Palu ialah Eliab, 9 sedangkan anak-anak Eliab ialah Nemuel, Datan, dan Abiram. Inilah Datan dan Abiram yang terpilih daripada kalangan umat, namun yang kemudian melawan Musa dan Harun dalam kumpulan Korah ketika orang itu melawan Allah. 10 Pada waktu itu, bumi mengangakan mulutnya dan menelan mereka bersama dengan Korah dan kumpulannya, iaitu 250 orang pengikutnya, mati dimakan api. Mereka menjadi suatu tanda amaran. 11 Tetapi anak-anak Korah tidak ikut mati.
12 Keturunan Simeon menurut kaum-kaum mereka: kaum Nemuel, daripada Nemuel; kaum Yamin, daripada Yamin; kaum Yakhin, daripada Yakhin; 13 kaum Zerah, daripada Zerah; kaum Saul, daripada Saul. 14 Itulah kaum-kaum bani Simeon yang berjumlah 22,200 orang.
15 Keturunan Gad menurut kaum-kaum mereka: kaum Zefon, daripada Zefon; kaum Hagi, daripada Hagi; kaum Syuni, daripada Syuni; 16 kaum Ozni, daripada Ozni; kaum Eri, daripada Eri; 17 kaum Arod, daripada Arod; kaum Areli, daripada Areli. 18 Itulah kaum-kaum bani Gad. Jumlah yang terhitung ialah seramai 40,500 orang.
19 Anak-anak Yudah: Er dan Onan. Tetapi Er dan Onan mati di Tanah Kanaan. 20 Keturunan Yudah menurut kaum-kaum mereka: kaum Syela, daripada Syela; kaum Peres, daripada Peres; kaum Zerah, daripada Zerah. 21 Keturunan Peres: kaum Hezron, daripada Hezron; kaum Hamul, daripada Hamul. 22 Itulah kaum-kaum bani Yudah. Jumlah yang terhitung ialah seramai 76,500 orang.
23 Keturunan Isakhar menurut kaum-kaum mereka: kaum Tola, daripada Tola; kaum Pua, daripada Pua; 24 kaum Yasub, daripada Yasub; kaum Simron, daripada Simron. 25 Itulah kaum-kaum bani Isakhar. Jumlah yang terhitung ialah seramai 64,300 orang.
26 Keturunan Zebulon menurut kaum-kaum mereka: kaum Sered, daripada Sered; kaum Elon, daripada Elon; kaum Yahleel, daripada Yahleel. 27 Itulah kaum-kaum bani Zebulon. Jumlah yang terhitung ialah seramai 60,500 orang.
28 Keturunan Yusuf menurut kaum-kaum mereka, daripada Manasye dan Efraim ialah:
29 Keturunan Manasye: kaum Makhir, daripada Makhir; kaum Gilead, daripada Gilead, anak Makhir. 30 Keturunan Gilead: kaum Iezer, daripada Iezer; kaum Helek, daripada Helek; 31 kaum Asriel, daripada Asriel; kaum Sekhem, daripada Sekhem; 32 kaum Semida, daripada Semida; kaum Hefer, daripada Hefer. 33 Zelafehad bin Hefer tidak mempunyai anak lelaki, melainkan anak perempuan sahaja. Nama anak-anak perempuan Zelafehad ialah Mahla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza. 34 Itulah kaum-kaum bani Manasye. Jumlah yang terhitung ialah seramai 52,700 orang.
35 Keturunan Efraim menurut kaum-kaum mereka: kaum Sutelah, daripada Sutelah; kaum Bekher, daripada Bekher; kaum Tahan, dan daripada Tahan. 36 Keturunan Sutelah: kaum Eran, daripada Eran. 37 Itulah kaum-kaum bani Efraim. Jumlah yang terhitung ialah seramai 32,500 orang. Itulah keturunan Yusuf menurut kaum-kaum mereka.
38 Keturunan Benyamin menurut kaum-kaum mereka: kaum Bela, daripada Bela; kaum Asybel, daripada Asbel; kaum Ahiram, daripada Ahiram; 39 kaum Sefufam, dari Sefufam; kaum Hufam, daripada Hufam. 40 Anak-anak Bela: Ared dan Naaman. Kaum Ared adalah daripada Ared; dan kaum Naaman adalah daripada Naaman. 41 Itulah keturunan Benyamin menurut kaum-kaum mereka. Jumlah yang terhitung ialah seramai 45,600 orang.
42 Keturunan Dan menurut kaum mereka: kaum Suham, daripada Suham. Itulah kaum bani Dan. 43 Jumlah seluruh kaum Suham yang terhitung ialah seramai 64,400 orang.
44 Keturunan Asyer menurut kaum-kaum mereka: kaum Yimna, daripada Yimna; kaum Yiswi, daripada Yiswi; kaum Beria, daripada Beria. 45 Keturunan Beria: kaum Heber, daripada Heber; kaum Malkiel, daripada Malkiel. 46 Nama anak perempuan Asyer ialah Serah. 47 Itulah kaum-kaum bani Asyer. Jumlah yang terhitung ialah seramai 53,400 orang.
48 Keturunan Naftali menurut kaum-kaum mereka: kaum Yahzeel, daripada Yahzeel; kaum Guni, daripada Guni; 49 kaum Yezer, daripada Yezer; kaum Syilem, daripada Syilem. 50 Itulah kaum-kaum bani Naftali. Jumlah yang terhitung ialah seramai 45,400 orang.
51 Itulah jumlah orang yang terhitung daripada orang Israel iaitu seramai 601,730 orang.
52 bAllah berfirman kepada Musa, 53 “Kepada suku-suku itulah harus kaubahagikan tanah untuk menjadi harta pusaka mereka berasaskan jumlah nama yang ada. 54 Kepada suku yang jumlah orangnya ramai, berikanlah harta pusaka yang besar, sedangkan kepada suku yang jumlah orangnya sedikit, berikanlah harta pusaka yang kecil. Masing-masing suku harus diberi harta pusaka berdasarkan jumlah orang yang terhitung. 55 Akan tetapi, tanah itu harus dibahagikan dengan cara membuang undi. Oleh itu, hendaklah mereka mendapatkan harta pusaka mengikut nama suku-suku bapa leluhur mereka, 56 dan hendaklah harta pusaka itu dibahagikan dalam kalangan mereka berdasarkan undian, baik bagi suku yang ramai jumlah orangnya mahupun yang sedikit.”
57 Inilah orang yang dijumlahkan daripada bani Lewi menurut kaum-kaum mereka: kaum Gerson, daripada Gerson; kaum Kehat, daripada Kehat; kaum Merari, daripada Merari. 58 Kaum yang lain daripada bani Lewi: kaum Libni, kaum Hebron, kaum Mahli, kaum Musi, kaum Korah. Kehat mempunyai anak, iaitu Amram. 59 Nama isteri Amram ialah Yokhebed binti Lewi, yang lahir bagi Lewi di Mesir. Bagi Amram perempuan itu melahirkan Harun, Musa, dan Miryam, saudara perempuan mereka. 60 cBagi Harun lahirlah Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar. 61 dNadab dan Abihu mati ketika mereka mempersembahkan api yang haram di hadapan Allah. 62 Jumlah yang terhitung ialah seramai 23,000 orang, semuanya lelaki yang berumur satu bulan ke atas. Mereka tidak dihitung bersama-sama orang Israel yang lain, kerana mereka tidak diberi harta pusaka dalam kalangan orang Israel.
63 Itulah orang yang terhitung jumlahnya oleh Musa dan Imam Eleazar ketika kedua-duanya menghitung orang Israel di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho. 64 Antara orang ini tidak ada seorang pun yang dahulu dihitung oleh Musa dan Imam Harun ketika mereka menghitung orang Israel di Gurun Sinai, 65 ekerana tentang orang itu Allah telah berfirman, “Sesungguhnya, orang itu pasti mati di gurun.” Daripada mereka itu tiada seorang pun yang masih hidup selain Kaleb bin Yefune dan Yusha bin Nun.
 
 
 
 
 
 
27
Undang-undang pewarisan khas
1 Kemudian datanglah anak-anak perempuan Zelafehad bin Hefer bin Gilead bin Makhir bin Manasye, daripada kaum Manasye bin Yusuf. Nama-nama mereka ialah Mahla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza. 2 Berdirilah mereka menghadap Musa, Imam Eleazar, para pemimpin, serta seluruh umat itu di depan pintu Khemah Pertemuan lalu berkata, 3 “Ayah kami telah meninggal di gurun. Dia bukan antara pengikut Korah yang bermuafakat untuk melawan Allah, melainkan dia meninggal kerana dosanya sendiri. Akan tetapi, dia tidak mempunyai anak lelaki. 4 Mengapakah nama ayah kami harus lenyap daripada kaumnya hanya kerana dia tidak mempunyai anak lelaki? Jadi, berilah kami tanah milik daripada kalangan saudara ayah kami.”
5 Musa menyampaikan perkara mereka itu ke hadirat Allah. 6 Lalu berfirmanlah Allah kepada Musa, 7 a“Kata anak-anak perempuan Zelafehad itu benar. Hendaklah kamu memberikan kepada mereka tanah harta pusaka dalam kalangan saudara ayah mereka, dan hendaklah kamu memindahkan harta pusaka ayah mereka kepada mereka. 8 Katakan pula kepada orang Israel, ‘Jika seseorang mati tanpa mempunyai anak lelaki, maka hendaklah kamu memindahkan harta pusakanya kepada anak-anak perempuannya. 9 Jika dia tidak mempunyai anak perempuan, berikanlah harta pusakanya kepada saudara-saudara lelakinya. 10 Jika dia tidak mempunyai saudara lelaki, berikanlah harta pusakanya kepada saudara-saudara lelaki ayahnya. 11 Jika ayahnya tidak mempunyai saudara lelaki, berikanlah harta pusakanya kepada kerabat terdekat daripada kalangan kaumnya untuk menjadi miliknya.’ ”
Itulah ketetapan hukum yang harus berkuat kuasa atas orang Israel, seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
Nabi Yusha menggantikan Nabi Musa
12 bAllah berfirman kepada Musa, “Naiklah ke Gunung Abarim itu dan lihatlah negeri yang telah Kukurniakan kepada orang Israel. 13 Sesudah kamu melihatnya, kamu pun akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurmu seperti abangmu Harun, 14 kerana kamu berdua telah menderhaka terhadap firman-Ku di Gurun Zin pada waktu berlakunya pertengkaran dalam kalangan umat, sehingga kamu tidak menyatakan kesucian-Ku di hadapan mata mereka di mata air itu.” Itulah mata air Meriba dekat Kadesh, di Gurun Zin.
15 Kata Musa kepada Allah, 16 “Biarlah Allah, Tuhan atas roh semua manusia, melantik daripada umat ini seorang 17 cyang akan memimpin pergerakan mereka dan yang akan membawa mereka keluar masuk, supaya jangan umat Allah seperti domba-domba yang tidak bergembala.”
18 dFirman Allah kepada Musa, “Panggillah Yusha bin Nun, seorang yang penuh dengan Roh, lalu letakkanlah tanganmu ke atasnya. 19 Setelah itu, hadapkanlah dia kepada Imam Eleazar dan kepada seluruh umat, lalu berikanlah amanat kepadanya di hadapan mata mereka. 20 Kamu pun harus memberinya sebahagian daripada kewenanganmu, supaya seluruh umat Israel mentaatinya. 21 eHendaklah dia berdiri di depan Imam Eleazar yang akan menanyakan petunjuk baginya melalui keputusan Urim di hadapan Allah. Atas kata-kata imam itu, mereka akan keluar dan atas kata-kata iman itu, mereka akan masuk baik Yusha mahupun semua orang Israel, iaitu seluruh kalangan umat itu.” 22 Maka Musa melakukan segala-galanya seperti yang diperintahkan Allah kepadanya. Dia memanggil Yusha lalu menghadapkannya kepada Imam Eleazar serta kepada seluruh umat. 23 fKemudian dia meletakkan tangannya ke atas Yusha dan memberikan amanat kepadanya, seperti yang telah difirmankan Allah dengan perantaraan Musa.
 
 
 
 
 
 
28
Persembahan harian
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Perintahkanlah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Ingatlah baik-baik, pada waktu yang telah ditetapkan, hendaklah kamu bawa persembahan kepada-Ku, iaitu santapan berupa korban bakaran, yang keharumannya diredai Allah.’
3 Katakanlah pula kepada mereka, ‘Inilah korban yang dibakar, yang harus kamu persembahkan secara tetap setiap hari kepada Allah, iaitu dua ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela sebagai korban bakaran. 4 Hendaklah kamu sediakan seekor domba pada waktu pagi dan yang seekor lagi itu pada waktu senja. 5 Selain itu, persembahkanlah sepersepuluh efaa tepung terbaik yang dicampurkan dengan seperempat hinb minyak zaitun yang ditumbuk sebagai persembahan bahan makanan. 6 Itulah korban bakaran tetap yang ditentukan di Gunung Sinai; korban bakaran berupa suatu keharuman yang meredakan dipersembahkan kepada Allah. 7 Persembahan minumannya ialah seperempat hin untuk setiap domba. Curahkanlah minuman yang telah ditapai sebagai persembahan minuman kepada Allah di tempat suci. 8 Demikian pula halnya dengan domba yang seekor lagi itu, yang harus kamu sediakan pada waktu senja. Sama seperti persembahan bahan makanan pada pagi hari dan juga persembahan minumannya, begitu juga hendaklah kamu mempersembahkan korban bakaran, yang keharumannya diredai Allah.
Persembahan mingguan, yakni pada hari Sabat
9 Persembahan untuk hari Sabat ialah dua ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela, dan dua persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan, bersama-sama persembahan minumannya. 10 Itulah korban bakaran untuk setiap hari Sabat, selain korban bakaran yang tetap dan persembahan minumannya.
Persembahan bulanan
11 Pada setiap awal bulan hendaklah kamu persembahkan kepada Allah korban bakaran berupa dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela. 12 Selain itu persembahkanlah tiga persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan untuk setiap lembu jantan, dua persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan untuk domba jantan yang seekor itu, 13 dan sepersepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan untuk setiap anak domba jantan. Itulah korban bakaran yang berupa suatu keharuman yang meredakan dipersembahkan kepada Allah. 14 Bagi persembahan minuman ialah setengah hin air anggur bagi seekor lembu jantan, sepertiga hin untuk seekor domba jantan, dan seperempat hin untuk seekor anak domba. Itulah korban bakaran pada setiap bulan baru dalam setahun. 15 Hendaklah seekor kambing jantan disediakan juga untuk Allah sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap berserta persembahan minumannya.
Persembahan Perayaan Roti Tidak Beragi
16 cHari keempat belas pada bulan pertama ialah Paskah bagi Allah 17 dmanakala hari kelima belas pada bulan itu ialah hari perayaan. Makanlah roti yang tidak beragi selama tujuh hari. 18 Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan jangan lakukan sesuatu pekerjaan yang berat. 19 Persembahkanlah kepada Allah korban yang dibakar, iaitu korban bakaran berupa dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun. Hendaklah semuanya tidak bercacat cela. 20 Sebagai persembahan bahan makanannya sediakanlah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun, tiga persepuluh efa untuk seekor lembu jantan, dua persepuluh efa untuk seekor domba jantan, 21 dan sepersepuluh efa untuk setiap anak domba daripada tujuh ekor anak domba jantan itu. 22 Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa untuk mengadakan pendamaian bagimu. 23 Sediakanlah semua itu, selain korban bakaran pagi yang termasuk korban bakaran tetap. 24 Demikianlah harus kamu sediakan setiap harinya selama tujuh hari santapan berupa korban bakaran, korban yang dibakar yang keharumannya diredai Allah, selain juga korban bakaran yang tetap dan persembahan minumannya. 25 Pada hari ketujuh adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa.
Hasil Tuaian Sulung
26 ePada Hari Hasil Tuaian Sulung, ketika kamu mempersembahkan persembahan bahan makanan yang baru kepada Allah selama Perayaan Tujuh Minggu, adakanlah perhimpunan jemaah yang suci. Jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa. 27 Persembahkanlah korban bakaran, iaitu korban yang keharumannya diredai Allah, berupa dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun. 28 Persembahan bahan makanannya ialah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun, tiga persepuluh efa untuk setiap lembu jantan, dua persepuluh efa untuk domba jantan yang seekor itu, 29 dan sepersepuluh efa untuk setiap anak domba daripada tujuh ekor anak domba jantan itu. 30 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga untuk mengadakan pendamaian bagimu. 31 Sediakanlah semuanya bersama-sama persembahan minumannya, selain korban bakaran tetap dan persembahan bahan makanannya. Hendaklah kesemuanya tidak bercacat cela.
 
 
 
 
 
 
29
Perayaan Peniupan Nafiri
1 Pada hari pertama bulan ketujuh adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah lakukan apa-apa kerja biasa. Itulah hari apabila hendaklah kamu meniup nafiri. 2 Persembahkanlah korban bakaran yang keharumannya diredai Allah, iaitu seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela. 3 Bagi persembahan bahan makanan, persembahkanlah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebanyak tiga persepuluh efaa untuk lembu jantan, dua persepuluh efa untuk domba jantan, 4 dan sepersepuluh efa untuk setiap anak domba yang tujuh ekor itu. 5 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa untuk mengadakan pendamaian bagimu. 6 Semua itu sebagai tambahan bagi korban bakaran bulan baru dengan persembahan bahan makanannya, dan korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan serta persembahan minumannya menurut peraturan yang berkuat kuasa, iaitu korban yang dibakar, yang keharumannya diredai Allah.
Hari Pendamaian
7 bPada hari kesepuluh bulan ketujuh ini juga, adakanlah pula perhimpunan jemaah yang suci. Rendahkanlah dirimu dengan berpantang, dan jangan lakukan apa-apa pekerjaan pun. 8 Persembahkanlah korban bakaran yang keharumannya diredai Allah, iaitu seekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor anak domba jantan berumur setahun. Semuanya hendaklah tidak bercacat cela. 9 Bagi persembahan bahan makanan, persembahkanlah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebanyak tiga persepuluh efa untuk lembu jantan itu, dua persepuluh efa untuk domba jantan yang seekor itu, 10 dan sepersepuluh efa untuk setiap anak domba yang tujuh ekor itu. 11 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa, selain korban penghapus dosa untuk mengadakan pendamaian dan korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan serta persembahan minumannya.
Perayaan Pondok Daun
12 cPada hari kelima belas bulan ketujuh juga, adakanlah lagi perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah lakukan apa-apa pekerjaan biasa kamu. Hendaklah kamu raikan perayaan untuk Allah selama tujuh hari. 13 Persembahkanlah korban bakaran yang keharumannya diredai Allah, iaitu tiga belas ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun. Semuanya hendaklah tidak bercacat cela. 14 Bagi persembahan bahan makanan, persembahkanlah tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun sebanyak tiga persepuluh efa untuk setiap lembu jantan daripada tiga belas ekor itu, dua persepuluh efa untuk setiap domba jantan yang dua ekor itu, 15 dan sepersepuluh efa untuk setiap anak domba yang empat belas ekor itu. 16 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.
17 Pada hari kedua, persembahkanlah dua belas ekor lembu jantan muda, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela, 18 bersama-sama persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, serta anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan. 19 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.
20 Pada hari ketiga, persembahkanlah sebelas ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela, 21 berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan. 22 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.
23 Pada hari keempat persembahkanlah sepuluh ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela, 24 berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan. 25 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.
26 Pada hari kelima persembahkanlah sembilan ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba berumur setahun yang tidak bercacat cela, 27 berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan. 28 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.
29 Pada hari keenam persembahkanlah lapan ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela, 30 berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan. 31 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.
32 Pada hari ketujuh persembahkanlah tujuh ekor lembu jantan, dua ekor domba jantan, empat belas ekor anak domba jantan berumur setahun yang tidak bercacat cela, 33 berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturannya. 34 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.
35 Pada hari kelapan adakanlah perhimpunan ramai, dan jangan lakukan apa-apa kerja biasa kamu. 36 Persembahkanlah korban bakaran yang keharumannya diredai Allah, iaitu seekor lembu jantan, seekor domba jantan, tujuh ekor anak domba berumur setahun yang tidak bercacat cela, 37 berserta persembahan bahan makanan dan persembahan minuman untuk lembu, domba, dan anak domba jantan itu menurut jumlah yang selaras dengan peraturan. 38 Persembahkanlah seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa, selain korban bakaran yang tetap dengan persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya.
39 Hendaklah semua itu kamu persembahkan kepada Allah pada hari-hari perayaan kamu sebagai korban bakaranmu, persembahan bahan makananmu, persembahan minumanmu, dan korban kedamaianmu, selain korban nazarmu dan korban sukarela kamu.’ ”
40 Musa pun menyampaikan kepada orang Israel segala sesuatu yang diperintahkan Allah kepadanya.
 
 
 
 
 
 
30
Nazar kaum perempuan
1 Musa berkata kepada ketua-ketua suku orang Israel, “Inilah perkara yang diperintahkan Allah. 2 aJika seorang lelaki bernazar kepada Allah atau mengikat dirinya dengan mengangkat sumpah, dia tidak boleh melanggar sumpahnya, tetapi hendaklah dia berbuat sebagaimana yang telah diucapkannya itu.
3 Jika seorang perempuan yang masih tinggal di rumah ayahnya pada masa mudanya bernazar kepada Allah lantas dirinya terikat oleh suatu ikrar, 4 dan ayahnya mendengar nazar serta ikrar yang mengikat diri anaknya itu tetapi diam sahaja, maka segala nazarnya akan tetap berkuat kuasa dan segala ikrar yang mengikat dirinya akan tetap berkuat kuasa juga. 5 Akan tetapi, jika ayahnya mendengar dia bernazar itu lalu melarangnya, maka tidak berkuat kuasalah segala nazar dan ikrar yang mengikat dirinya itu. Allah akan mengampuninya, kerana ayahnya telah melarangnya.
6 Jika perempuan itu menjadi isteri seseorang ketika dia masih terikat di bawah sesuatu nazar atau kerana tidak berhati-hati mengucapkan sesuatu, 7 dan suaminya mendengar tentang hal itu tetapi diam sahaja, maka segala nazarnya akan tetap berkuat kuasa dan segala ikrar yang mengikat dirinya akan tetap berkuat kuasa juga. 8 Akan tetapi, jika pada ketika suaminya mendengar perkara itu lantas melarangnya, maka batallah nazar yang tertanggung oleh isterinya atau ucapan tidak berhati-hati yang mengikat isterinya itu, dan Allah akan mengampuni perempuan itu.
9 Apabila nazar diucapkan oleh seorang balu atau seorang perempuan yang telah diceraikan, maka segala sesuatu yang mengikat dirinya akan tetap berkuat kuasa atasnya.
10 Jika seorang isteri bernazar di rumah suaminya atau mengikatkan diri pada suatu ikrar dengan bersumpah, 11 dan suaminya mendengar hal itu tetapi diam sahaja serta tidak melarangnya, maka segala nazarnya akan tetap berkuat kuasa dan segala ikrar yang mengikat dirinya akan tetap berkuat kuasa juga. 12 Sebaliknya, jika suaminya membatalkan secara tegas ketika didengarnya hal itu, maka segala sesuatu yang diucapkan mulutnya, baik nazar mahupun ikrar yang mengikat dirinya, tidak akan berkuat kuasa. Suaminya telah membatalkannya, dan Allah akan mengampuni perempuan itu. 13 Setiap nazar atau ikrar sumpah yang diucapkan seorang isteri untuk merendahkan dirinya dengan berpantang boleh disahkan atau dibatalkan oleh suaminya. 14 Tetapi jika suaminya diam sahaja dari hari ke hari, maka dengan demikian segala nazar isterinya atau segala ikrar yang tertanggung oleh isterinya sah berkuat kuasa kerana dengan berdiam diri apabila mendengar hal itu, si suami mengesahkan berkuat kuasanya nazar dan ikrar isterinya. 15 Namun begitu, jika pada kemudian hari selepas mendengar hal itu dia membatalkan nazar dan ikrar itu, maka dialah yang perlu menanggung kesalahan isterinya itu.”
16 Itulah ketetapan-ketetapan yang diperintahkan Allah kepada Musa mengenai hubungan antara seorang suami dengan isterinya, serta hubungan antara seorang ayah dengan anak perempuannya ketika anaknya itu masih muda dan masih tinggal di rumah ayahnya.
 
 
 
 
 
 
31
Pembalasan terhadap orang Madyan dan Bileam
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Lakukanlah pembalasan terhadap orang Madyan atas segala perbuatan mereka terhadap orang Israel. Setelah itu, kamu akan dikumpulkan bersama dengan kaum leluhurmu.”
3 Kata Musa kepada bangsa itu, “Hendaklah kamu persenjatai beberapa orang daripada kalangan kamu untuk berperang. Hendaklah mereka menyerang Madyan demi menjalankan pembalasan Allah terhadap Madyan. 4 Hendaklah kamu hantar seribu orang daripada setiap suku di Israel untuk berperang.”
5 Maka dikerahkanlah ribuan orang Israel yang sanggup berperang, seribu orang daripada setiap suku. Jadi, jumlah seluruhnya dua belas ribu orang. 6 Musa pun menghantar mereka, iaitu seribu orang daripada setiap suku itu, untuk berperang bersama-sama Pinehas, anak Imam Eleazar, yang membawa kelengkapan tempat suci serta segala nafiri yang memberikan isyarat semboyan di tangannya. 7 Lalu seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa, berperanglah mereka melawan orang Madyan, dan membunuh setiap lelaki. 8 Mereka juga berjaya membunuh kelima-lima orang raja orang Madyan, iaitu Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba. Malahan riwayat Bileam bin Beor juga ditamatkan mereka dengan pedang.a
9 Para warga perempuan Madyan berserta anak mereka ditawan oleh orang Israel. Semua haiwan, kawanan ternakan, dan segala harta benda mereka juga dijarah. 10 Selain itu, semua kota tempat kediaman mereka dan semua perkhemahan Madyan dibakar. 11 Orang Israel mengambil segala jarahan serta rampasan itu, termasuk juga haiwan dan para tawanan, 12 lalu membawa semua itu kepada Musa, Imam Eleazar, dan umat Israel di perkhemahan mereka yang terletak di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho.
13 Kemudian Musa, Imam Eleazar, dan semua pemimpin umat itu pergi menyongsong mereka di luar perkhemahan. 14 Akan tetapi, Musa menjadi marah dengan ketua-ketua pasukan, iaitu para pemimpin pasukan seribu orang dan para pemimpin pasukan seratus orang yang pulang daripada peperangan. 15 Kata Musa kepada mereka, “Jadi, kamu membiarkan semua perempuan hidup? 16 bIngat, atas nasihat Bileam, merekalah yang menyebabkan orang Israel berbuat mungkar terhadap Allah berhubungan dengan perkara Peor, sehingga wabak melanda umat Allah. 17 Sekarang, matikanlah semua anak lelaki mereka, juga semua perempuan yang pernah bersetubuh dengan lelaki. 18 Tetapi biarkanlah hidup semua anak perempuan yang belum pernah bersetubuh dengan lelaki, dan ambillah mereka bagi dirimu. 19 Berkhemahlah di luar perkhemahan tujuh hari lamanya, hendaklah sesiapa pun yang telah membunuh orang serta menyentuh mayat orang yang tewas itu menyucikan diri pada hari ketiga dan ketujuh. Hal ini berkuat kuasa baik bagi kamu mahupun orang tawananmu. 20 Sucikanlah setiap pakaian, setiap barang yang terbuat daripada kulit, daripada bulu kambing, serta daripada kayu juga.”
21 Maka berkatalah Imam Eleazar kepada pejuang yang telah pergi berperang, “Inilah ketetapan hukum yang diperintahkan Allah kepada Musa. 22 Hendaklah emas, perak, tembaga, besi, timah putih, dan timah hitam, 23 iaitu segala sesuatu yang tahan api disucikan di dalam api supaya menjadi suci. Tetapi kemudian hendaklah barang-barang itu juga disucikan dengan air pembersih kecemaran. Manakala semua yang tidak tahan api hendaklah kamu celup ke dalam air. 24 Cucilah pakaianmu pada hari ketujuh, maka kamu akan menjadi suci. Sesudah itu, barulah kamu boleh masuk ke dalam perkhemahan.”
Pembahagian jarahan
25 Allah berfirman kepada Musa, 26 “Hendaklah kamu, Imam Eleazar, dan ketua-ketua kaum keluarga umat itu menghitung jumlah rampasan yang telah diangkut, baik manusia mahupun haiwan. 27 Bahagikanlah rampasan itu menjadi dua bahagian, separuh untuk pasukan perang yang telah pergi bertempur, dan separuh lagi untuk seluruh umat. 28 Daripada pejuang yang pergi bertempur, pungutlah ufti bagi Allah, iaitu satu daripada setiap lima ratus bilangan manusia, lembu, keldai, serta domba. 29 Ambillah itu daripada separuh bahagian milik mereka, lalu serahkanlah kepada Imam Eleazar sebagai persembahan khusus kepada Allah. 30 Sementara itu, daripada separuh bahagian milik orang Israel ambillah satu daripada setiap lima puluh bilangan manusia, lembu, keldai, domba, serta segala haiwan, lalu serahkanlah kepada bani Lewi yang berkewajipan menguruskan Khemah Suci Allah.” 31 Maka Musa dan Imam Eleazar melakukan seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
32 Jumlah baki barang rampasan daripada jarahan yang diambil oleh pasukan perang itu ialah 675,000 ekor domba, 33 72,000 ekor lembu, 34 dan 61,000 ekor keldai. 35 Jumlah perempuan yang belum pernah bersetubuh dengan lelaki ialah 32,000 orang. 36 Separuh bahagian yang menjadi milik orang yang pergi berperang berjumlah 337,500 ekor domba. 37 Daripada domba itu, 675 ekor diserahkan kepada Allah sebagai ufti. 38 Daripada lembu sejumlah 36,000 ekor, dan 72 ekor diserahkan kepada Allah sebagai ufti. 39 Daripada keldai sejumlah 30,500 ekor, 61 ekor diserahkan kepada Allah sebagai ufti. 40 Jumlah orang ialah 16,000, dan 32 orang daripada jumlah ini diserahkan kepada Allah sebagai ufti. 41 Kemudian Musa menyerahkan kepada Imam Eleazar ufti yang menjadi persembahan khusus bagi Allah, seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
42 Separuh bahagian lagi ialah milik orang Israel, yang dipisahkan Musa daripada bahagian orang yang telah berperang. 43 Separuh bahagian milik umat itu berjumlah 337,500 ekor domba, 44 36,000 ekor lembu, 45 30,500 ekor keldai, 46 dan 16,000 orang manusia. 47 Daripada separuh bahagian milik orang Israel itu, Musa mengambil satu daripada setiap lima puluh bilangan manusia dan juga binatang, lalu menyerahkannya kepada bani Lewi yang berkewajipan menguruskan Khemah Suci Allah, seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
48 Kemudian orang yang mengetuai ribuan tentera itu, iaitu para pemimpin pasukan seribu orang dan para pemimpin pasukan seratus orang, datang menghadap Musa. 49 Mereka berkata kepada Musa, “Hamba-hambamu ini telah menghitung jumlah pejuang yang ada di bawah pimpinan kami. Tiada seorang pun hilang daripada kalangan kami. 50 Oleh sebab itu, kami membawa persembahan berupa barang-barang emas yang didapati oleh mereka masing-masing untuk dipersembahkan kepada Allah, iaitu gelang kaki, gelang tangan, cincin, anting-anting, dan gelang lengan supaya diadakan pendamaian bagi nyawa kami di hadapan Allah.” 51 Musa dan Imam Eleazar menerima emas itu daripada mereka. Semuanya ialah barang tempaan. 52 Seluruh emas persembahan khusus yang diserahkan kepada Allah oleh para pemimpin pasukan seribu orang dan para pemimpin pasukan seratus orang itu ialah 16,750 syikal beratnya. 53 Para pejuang itu memang telah mengambil rampasan bagi diri masing-masing. 54 Setelah Musa dan Imam Eleazar menerima emas itu daripada para pemimpin pasukan seribu orang dan pasukan seratus orang, mereka membawanya masuk ke Khemah Pertemuan sebagai tanda peringatan bagi orang Israel di hadapan Allah.
 
 
 
 
 
 
32
Bani Ruben dan bani Gad menetap di Tanah Gilead
1 Bani Ruben dan bani Gad mempunyai jumlah haiwan ternakan yang sangat besar dan apabila mereka melihat Tanah Yaezer dan Tanah Gilead, mereka menilai bahawa tempat itu baik untuk ternakan. 2 Maka bani Gad dan bani Ruben datang kepada Musa, Imam Eleazar, serta para pemimpin umat lalu berkata, 3 “Atarot, Dibon, Yaezer, Nimra, Hesbon, Eleale, Sebam, Nebo, dan Beon, 4 iaitu tanah yang ditaklukkan Allah di hadapan umat Israel, ialah tanah yang baik untuk ternakan. Hamba-hambamu ini mempunyai banyak sekali ternakan.” 5 Kata mereka lagi, “Jika tuan berkenan, berikanlah tanah ini kiranya kepada hamba-hambamu ini sebagai milik. Jangan bawa kami ke seberang Sungai Yordan.”
6 Jawab Musa kepada bani Gad dan bani Ruben, “Patutkah saudara-saudaramu pergi berperang, sementara kamu tinggal di sini? 7 Mengapakah kamu membuat orang Israel tawar hati untuk menyeberang ke negeri yang dikurniakan Allah kepada mereka? 8 aBegitulah yang dilakukan oleh kalangan bapa kamu ketika aku mengutus mereka dari Kadesh-Barnea untuk mengamati negeri itu. 9 Setelah mereka berjalan sampai ke Lembah Eskol dan mengamati negeri itu, mereka membuat orang Israel tawar hati sehingga mereka tidak mahu masuk ke negeri yang dikurniakan Allah kepada mereka. 10 bMaka menyalalah murka Allah pada waktu itu dan Dia pun bersumpah demikian, 11 ‘Sesungguhnya, tiada seorang pun daripada orang yang berumur dua puluh tahun ke atas saat keluar dari Mesir akan melihat tanah yang Kujanjikan dengan bersumpah kepada Ibrahim, Ishak, dan Yakub, kerana mereka tidak mengikuti Aku dengan sepenuh hati. 12 Tiada seorang pun daripada mereka akan melihat tanah itu kecuali Kaleb bin Yefune, orang Kenas itu, dan Yusha bin Nun, kerana kedua-duanya mengikuti Allah dengan sepenuh hati.’ 13 Murka Allah menyala terhadap orang Israel sehingga dibuat-Nya mereka mengembara di gurun selama empat puluh tahun sehingga habis seluruh angkatan yang berbuat jahat dalam pandangan Allah. 14 Sekarang kamu bangkit menggantikan kalangan bapa kamu, sekumpulan orang berdosa, untuk menambah murka Allah lagi terhadap orang Israel. 15 Jika kamu berbalik dan tidak lagi mengikuti Dia, maka Dia akan membuat umat terlantar lagi di gurun, sehingga kamu akan menyebabkan seluruh bangsa ini musnah.”
16 Mereka pun tampil mendekati Musa dan berkata, “Kami akan membina kandang-kandang bagi ternakan kami dan kota-kota bagi anak-anak kami di sini. 17 Namun demikian, kami sendiri akan segera mempersenjatai diri untuk maju di depan orang Israel sehingga kami membawa mereka ke tempat mereka. Sementara itu, anak-anak kami akan tinggal di kota-kota berkubu, terlindung daripada penduduk negeri ini. 18 Kami tidak akan kembali ke rumah kami sampai setiap orang Israel mendapat bahagian harta pusaka masing-masing. 19 Kami pun tidak ingin memperoleh harta pusaka bersama-sama mereka di seberang Sungai Yordan sana dan sekitarnya, kerana kami telah memperoleh harta pusaka di sini, di seberang Sungai Yordan sebelah timur.”
20 Kata Musa kepada mereka, “Jika itulah yang hendak kamu lakukan, iaitu bahawa kamu akan mempersenjatai diri untuk berperang di hadapan Allah, 21 dan bahawa semua orang kamu yang bersenjata mahu menyeberangi Sungai Yordan di hadapan Allah sampai Dia mengusir musuh-Nya dari hadapan-Nya 22 dan negeri itu tertakluk di hadapan Allah, maka sesudah itu kamu akan kembali dan bebas daripada kewajipanmu terhadap Allah dan terhadap orang Israel. Tanah ini pun akan menjadi milikmu di hadapan Allah. 23 Akan tetapi, jika kamu tidak berbuat demikian, sesungguhnya kamu berdosa terhadap Allah dan ketahuilah bahawa dosamu itu akan menimpa kamu. 24 Bangunkanlah kota-kota untuk anak-anakmu dan kandang-kandang untuk kawanan dombamu, lalu lakukanlah apa yang telah kamu ucapkan.”
25 Kemudian bani Gad dan bani Ruben berkata kepada Musa, “Hamba-hambamu ini akan berbuat seperti yang tuanku perintahkan. 26 Anak-anak kami, isteri-isteri kami, ternakan kami, dan segala haiwan kami akan menetap di sini, di kota-kota Gilead 27 manakala hamba-hambamu ini, iaitu semua orang yang sanggup berperang, akan menyeberang di hadapan Allah untuk berperang, seperti yang tuanku katakan.”
28 cKemudian Musa memberikan perintah kepada Imam Eleazar, Yusha bin Nun, dan ketua kaum keluarga daripada suku-suku orang Israel mengenai mereka. 29 Kata Musa, “Jika bani Gad dan bani Ruben, khususnya orangnya yang bersenjata, mahu menyeberangi Sungai Yordan bersama-sama kamu untuk berperang di hadapan Allah, dan negeri itu sudah takluk kepadamu, maka berikanlah Tanah Gilead kepada mereka sebagai milik. 30 Tetapi jika orang bersenjatanya tidak menyeberang bersamamu, maka hendaklah mereka memperoleh tanah milik di tengah-tengah kamu di Tanah Kanaan.”
31 Jawab bani Gad dan bani Ruben, “Seperti yang difirmankan Allah kepada hamba-hambamu ini, demikianlah yang akan kami lakukan. 32 Kami sendiri akan menyeberang dengan bersenjata di hadapan Allah ke Tanah Kanaan, tetapi bagi kami, tanah harta pusaka kami tetaplah di seberang Sungai Yordan ini.”
33 Lalu kepada mereka, iaitu bani Gad, bani Ruben, dan separuh suku Manasye bin Yusuf, Musa memberikan kerajaan Sihon raja bani Amori dan kerajaan Og raja Basan meliputi negeri serta kota-kotanya, termasuk kota-kota di sekeliling negeri itu. 34 Kemudian bani Gad membina Dibon, Atarot, Aroer, 35 Atarot-Sofan, Yaezer, Yogbeha, 36 Bet-Nimra, dan Bet-Haran untuk menjadi kota-kota yang berkubu dan tempat bagi segala kandang bagi kawanan domba mereka. 37 Bani Ruben pula membina Hesbon, Eleale, Kiryataim, 38 Nebo, Baal-Meon (nama-namanya diubah), dan Sibma. Lalu kota-kota yang dibangunkan mereka itu diberikan mereka nama lain.
39 Bani Makhir bin Manasye pergi ke Gilead lalu merebut tanah itu dan mengusir bani Amori yang tinggal di sana. 40 Musa memberikan Gilead kepada Makhir bin Manasye, dan dia pun tinggal di sana. 41 Yair, seorang daripada keturunan Manasye, pergi merebut kota-kota kecilnya dan menamainya Hawot-Yair. 42 Nobah pergi merebut Kenat dengan kampung-kampungnya dan menamainya Nobah, menurut namanya sendiri.
 
 
 
 
 
 
33
Perjalanan orang Israel
1 Inilah peringkat perjalanan orang Israel, pasukan demi pasukan, setelah mereka keluar dari Tanah Mesir di bawah pimpinan Musa dan Harun. 2 Musa menulis titik permulaan perjalanan mereka menurut peringkat berdasarkan perintah Allah. Inilah peringkat perjalanan mereka.
3 Mereka berangkat dari Rameses pada bulan pertama. Pada hari kelima belas bulan itu, sehari sesudah Perayaan Paskah, orang Israel berjalan keluar dengan semangat tinggi di hadapan mata semua orang Mesir. 4 Pada waktu itu, orang Mesir sedang menguburkan semua anak sulung yang ditewaskan Allah dalam kalangan mereka. Bahkan atas tuhan mereka pun Allah menjatuhkan hukuman.
5 Orang Israel berangkat dari Rameses, lalu berkhemah di Sukot. 6 Setelah itu, mereka berangkat dari Sukot, lalu berkhemah di Etam, di tepi gurun. 7 Dari Etam mereka berangkat, lalu kembali ke Pi-Hahirot yang berseberangan dengan Baal-Zefon. Di sana mereka berkhemah, berhadapan dengan Migdol. 8 Dari Pi-Hahirot mereka berangkat, lalu melintas di tengah laut menuju gurun. Kemudian mereka berjalan sejauh tiga hari perjalanan di Gurun Etam dan berkhemah di Mara. 9 Dari Mara mereka berangkat dan tiba di Elim. Di Elim ada dua belas mata air dan tujuh puluh pokok kurma. Mereka pun berkhemah di sana.
10 Dari Elim mereka berangkat, lalu berkhemah di tepi Laut Merah. 11 Dari Laut Merah mereka berangkat, lalu berkhemah di Gurun Sin. 12 Selanjutnya, dari Gurun Sin mereka berangkat lalu berkhemah di Dofka, 13 dan dari Dofka mereka berangkat lalu berkhemah di Alus. 14 Dari Alus mereka berangkat lagi, lalu berkhemah di Rafidim. Di sana tidak ada air untuk diminum oleh bangsa itu, 15 maka berangkatlah mereka dari Rafidim lalu berkhemah di Gurun Sinai.
16 Dari Gurun Sinai mereka berangkat, lalu berkhemah di Kibrot-Taawa. 17 Dari Kibrot-Taawa mereka berangkat lagi, lalu berkhemah di Hazerot. 18 Dari Hazerot mereka berangkat, lalu berkhemah di Ritma. 19 Dari Ritma mereka berangkat, lalu berkhemah di Rimon-Peros. 20 Dari Rimon-Peros mereka berangkat, lalu berkhemah di Libna. 21 Dari Libna mereka berangkat, lalu berkhemah di Risa. 22 Dari Risa mereka berangkat, lalu berkhemah di Kehelata. 23 Dari Kehelata mereka berangkat, lalu berkhemah di Gunung Syafer. 24 Dari Gunung Syafer mereka berangkat, lalu berkhemah di Harada. 25 Dari Harada mereka berangkat, lalu berkhemah di Makhelot. 26 Dari Makhelot mereka berangkat, lalu berkhemah di Tahat. 27 Dari Tahat mereka berangkat, lalu berkhemah di Tarah. 28 Dari Tarah mereka berangkat, lalu berkhemah di Mitka. 29 Dari Mitka mereka berangkat, lalu berkhemah di Hasmona. 30 Dari Hasmona mereka berangkat, lalu berkhemah di Moserot. 31 Dari Moserot mereka berangkat, lalu berkhemah di Bene-Yaakan. 32 Dari Bene-Yaakan mereka berangkat, lalu berkhemah di Hor-Gidgad. 33 Dari Hor-Gidgad mereka berangkat, lalu berkhemah di Yotbata. 34 Dari Yotbata mereka berangkat, lalu berkhemah di Abrona. 35 Dari Abrona mereka berangkat, lalu berkhemah di Ezion-Geber. 36 Dari Ezion-Geber mereka berangkat, lalu berkhemah di Gurun Zin, iaitu Kadesh. 37 Dari Kadesh mereka berangkat, lalu berkhemah di Gunung Hor, di tepi Tanah Edom.
38 aKemudian atas perintah Allah, Imam Harun naik ke Gunung Hor, dan dia wafat di sana, pada tahun keempat puluh sesudah orang Israel keluar dari Tanah Mesir, tepatnya pada hari pertama bulan kelima. 39 Harun berumur seratus dua puluh tiga tahun ketika dia wafat di Gunung Hor itu.
40 bSementara itu, raja negeri Arad, bani Kanaan yang tinggal di Negeb, Tanah Kanaan, mendengar tentang kedatangan orang Israel.
41 Dari Gunung Hor mereka berangkat, lalu berkhemah di Zalmona. 42 Dari Zalmona mereka berangkat, lalu berkhemah di Funon. 43 Dari Funon mereka berangkat, lalu berkhemah di Obot. 44 Dari Obot mereka berangkat, lalu berkhemah di reruntuhan Abarim, di daerah Moab. 45 Dari reruntuhan itu mereka berangkat dari Iyim, lalu berkhemah di Dibon-Gad. 46 Dari Dibon-Gad mereka berangkat, lalu berkhemah di Almon-Diblataim. 47 Dari Almon-Diblataim mereka berangkat, lalu berkhemah di Pergunungan Abarim, di seberang Nebo. 48 Dari Pergunungan Abarim mereka berangkat, lalu berkhemah di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho. 49 Mereka berkhemah di tepi Sungai Yordan, dari Bet-Yesimot sampai ke Abel-Sitim di dataran Moab.
Pengusiran Penduduk Tempatan
50 Di tempat itu, iaitu di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho, Allah berfirman kepada Musa, 51 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan menuju Tanah Kanaan, 52 usirlah seluruh penduduk negeri itu dari hadapanmu dan musnahkanlah segala batu berukir mereka. Musnahkanlah segala patung tuangan mereka juga dan punahkanlah segala bukit pemujaan mereka. 53 Dudukilah negeri itu dan tinggallah di sana, kerana kepadamu telah Kukurniakan negeri itu untuk kamu duduki. 54 cKemudian bahagi-bahagikanlah negeri itu menurut kaum yang ada padamu dengan cara mencabut undi. Kepada suku yang besar jumlahnya, berikanlah harta pusaka yang lebih besar, manakala kepada suku yang kecil jumlahnya, berikanlah harta pusaka yang lebih kecil. Di mana-mana pun undi itu jatuh bagi mereka, di situlah bahagian mereka. Hendaklah kamu mendapat harta pusaka menurut suku-suku bapa leluhurmu. 55 Akan tetapi, jika kamu tidak mengusir penduduk tempatan negeri itu dari hadapanmu, maka orang yang kamu biarkan hidup daripada kalangan mereka akan menjadi seperti onak di matamu dan duri di rusuk kamu. Mereka akan menyusahkan kamu di negeri yang kamu diami. 56 Jika demikian, Aku akan melakukan rancangan terhadap kamu seperti yang Kurancangkan terhadap mereka.’ ”
 
 
 
 
 
 
34
Sempadan Tanah Kanaan (Palestin Purba)
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Perintahkanlah orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu telah memasuki Tanah Kanaan, maka itulah negeri yang akan menjadi harta pusakamu, iaitu Tanah Kanaan menurut semua perbatasannya. 3 Sempadan selatanmu adalah dari Gurun Zin berpinggirkan Edom. Batas selatanmu dari hujung Laut Mati ke arah timur, 4 kemudian membelok ke selatan Tanjakan Akrabim, dan menyeberang ke Zin, dan berakhir di sebelah selatan Kadesh-Barnea. Dari situ perbatasan berlanjutan ke Hazar-Adar dan terus ke Azmon, 5 lalu dari Azmon membelok ke Wadi Mesir dan berakhir di laut.
6 Sempadan barat wilayah kamu ialah Laut Besar dan sepanjang pesisirnya. Itulah sempadan barat kamu.
7 Bagi sempadan utara kamu, tentukanlah tanda perbatasan dari Laut Besar ke Gunung Hor, 8 lalu dari Gunung Hor ke jalan masuk menuju Hamat, hingga berakhir di Zedad. 9 Kemudian perbatasan menjalar ke Zifron dan berakhir di Hazar-Enan. Itulah perbatasan utara kamu.
10 Tentukanlah tanda sempadan kamu di sebelah timur dari Hazar-Enan ke Sefam. 11 Dari Sefam perbatasan menurun ke Ribla, di sebelah timur Ain, kemudian menurun lagi hingga sampai ke lereng Danau Kineret di sebelah timur. 12 Selanjutnya, batas turun ke Sungai Yordan dan berakhir di Laut Mati.
Itulah negerimu dengan perbatasan yang mengelilinginya.’ ”
13 abMusa memberikan perintah kepada orang Israel, “Itulah negeri yang akan kamu warisi dengan mencabut undi. Allah memerintahkan agar negeri itu diberikan kepada suku yang sembilan setengah itu, 14 kerana setiap kaum keluarga dalam suku bani Ruben, dan setiap kaum keluarga dalam suku bani Gad telah menerima harta pusaka mereka, demikian jugalah halnya dengan separuh suku Manasye. 15 Kedua-dua suku serta setengah suku itu telah menerima harta pusaka mereka di seberang Sungai Yordan dekat Yerikho, iaitu di sebelah timur, ke arah matahari terbit.”
Senarai ketua suku kaum
16 Allah berfirman kepada Musa, 17 “Inilah nama orang yang harus membahagi-bahagikan negeri itu antaramu sebagai harta pusaka, iaitu Imam Eleazar dan Yusha bin Nun. 18 Kemudian ambillah seorang pemimpin daripada setiap suku untuk membahagikan negeri itu sebagai harta pusaka. 19 Inilah nama-nama mereka:
Kaleb bin Yefune,
daripada suku Yudah;
20 Samuel bin Amihud,
daripada suku bani Simeon;
21 Elidad bin Kislon,
daripada suku Benyamin;
22 Buki bin Yogli,
seorang pemimpin daripada suku bani Dan;
23 Haniel bin Efod,
seorang pemimpin daripada suku bani Manasye, keturunan Yusuf;
24 dan Kemuel bin Siftan,
seorang pemimpin daripada suku bani Efraim, keturunan Yusuf;
25 Elisafan bin Parnah,
seorang pemimpin daripada suku bani Zebulon;
26 Paltiel bin Azan,
seorang pemimpin daripada suku bani Isakhar;
27 Ahihud bin Selomi,
seorang pemimpin daripada suku bani Asyer;
28 Pedael bin Amihud,
seorang pemimpin daripada suku bani Naftali.
29 Itulah orang yang diperintahkan Allah untuk membahagi-bahagikan harta pusaka di Tanah Kanaan kepada orang Israel.”
 
 
 
 
 
 
35
Kota-kota raya bani Lewi
1 aAllah berfirman kepada Musa di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho, 2 “Perintahkanlah kepada orang Israel supaya mereka memberikan kepada bani Lewi kota-kota daripada harta pusaka mereka untuk didiami. Berikanlah juga kepada bani Lewi tanah ternakan di sekeliling kota-kota raya itu. 3 Kota-kota raya itu akan menjadi tempat kediaman mereka, dan segala tanah ternakan mereka adalah untuk ternakan mereka, harta benda mereka, serta segala haiwan mereka. 4 Hendaklah tanah ternakan kota raya yang kamu berikan kepada bani Lewi itu sejauh seribu hasta dari tembok kota ke sebelah luar. 5 Hendaklah kamu ukur di sebelah luar kota itu dua ribu hasta ke sebelah timur, dua ribu hasta ke sebelah selatan, dua ribu hasta ke sebelah barat, dan dua ribu hasta ke sebelah utara, sehingga kota itu berada di tengah-tengah. Itulah yang akan menjadi tanah ternakan kota-kota raya mereka. 6 Hendaklah kota-kota raya yang kamu berikan kepada bani Lewi itu termasuk enam kota perlindungan, supaya seorang pembunuh dapat melarikan diri ke sana. Selain itu, berikanlah empat puluh dua buah kota raya yang lain pula, 7 sehingga seluruh kota yang harus kamu berikan kepada orang Lewi berjumlah empat puluh lapan kota kesemuanya berserta tanah ternakannya. 8 Dalam hal kota-kota raya yang akan kamu berikan daripada tanah milik orang Israel itu, ambillah banyak daripada suku yang besar, dan ambillah sedikit daripada suku yang kecil. Hendaklah masing-masing suku memberikan kota-kotanya kepada bani Lewi selaras dengan harta pusaka yang diwarisi mereka.”
Kota-kota perlindungan
9 bAllah berfirman kepada Musa, 10 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Sesudah kamu menyeberangi Sungai Yordan dan masuk ke Tanah Kanaan, 11 pilihlah beberapa buah kota untuk menjadi kota-kota perlindungan bagimu, supaya orang yang tanpa sengaja telah membunuh orang lain dapat lari ke sana. 12 Kota-kota itu akan menjadi tempat perlindungan bagimu daripada orang yang hendak menuntut balas, supaya jangan seseorang pembunuh mati sebelum dia menghadap majlis umat untuk diadili. 13 Daripada kota-kota raya yang kamu tentukan itu, enam buah kota raya akan menjadi kota perlindungan bagimu. 14 Tentukanlah tiga buah kota raya di seberang Sungai Yordan dan tentukanlah tiga buah kota lagi di Tanah Kanaan untuk dijadikan kota-kota perlindungan. 15 Keenam-enam buah kota itu akan menjadi tempat perlindungan, baik bagi orang Israel mahupun bagi pendatang dan perantau yang ada dalam kalangan kamu, supaya sesiapa pun yang telah membunuh orang tanpa sengaja dapat lari ke sana.
16 Akan tetapi, jika seseorang menghentam orang lain dengan benda daripada besi hingga orang itu mati, maka dia seorang pembunuh, dan pembunuh itu pasti dihukum mati. 17 Jika seseorang menghentam orang lain dengan batu di tangan hingga orang itu mati kerana batu tersebut, maka dia seorang pembunuh, dan pembunuh itu pasti dihukum mati. 18 Atau jika dia menghentam orang itu dengan benda daripada kayu di tangan hingga orang itu mati kerana kayu tersebut, maka dia seorang pembunuh, dan pembunuh itu pasti dihukum mati. 19 Orang yang berhak menuntut balasan darahlah yang harus menjalankan hukum bunuh terhadap pembunuh itu. Apabila dia bertemu dengannya, hendaklah dia membunuhnya.
20 Jika seseorang menyerang orang lain kerana benci, atau melempar sesuatu dengan sengaja kepada orang lain hingga orang itu mati, 21 atau jika seseorang menghentam orang lain dengan tangannya kerana permusuhan hingga orang itu mati, maka dia pasti dihukum mati, kerana dia seorang pembunuh. Orang yang menuntut balasan darah berhak menjalankan hukum bunuh terhadap pembunuh itu apabila dia bertemu dengannya.
22 Akan tetapi, jika seseorang menolak orang lain secara tiba-tiba bukan kerana permusuhan, atau melempar sesuatu benda kepadanya tanpa sengaja, 23 atau tanpa sedar menjatuhkan batu terhadap seseorang hingga orang itu mati kerana batu itu, padahal dia bukan musuhnya dan juga tidak berniat mencederakannya, 24 maka hendaklah majlis umat memutuskan hukum antara pembunuh itu dengan orang yang menuntut balasan darah menurut hukum-hukum ini. 25 Hendaklah umat membebaskan pembunuh itu daripada tangan orang yang menuntut balasan darah, kemudian hendaklah mereka mengembalikan dia ke kota perlindungan, tempat pelariannya. Hendaklah dia tinggal di sana sehingga kematian imam besar yang telah diurapi dengan minyak suci. 26 Tetapi jika pembunuh itu keluar dari batasan kota perlindungan tempat pelariannya, 27 lalu di luar sempadan kota perlindungannya itu dia didapati oleh orang yang menuntut balasan darah dan dibunuh, maka orang ini tidak berhutang darah kepadanya, 28 kerana memang pembunuh itu wajib tinggal di kota perlindungannya sampai orang yang menjadi imam besar meninggal. Sesudah imam besar meninggal, barulah dia boleh kembali ke tanah miliknya. 29 Itulah ketetapan hukum bagi kamu turun-temurun di seluruh tempat kediamanmu.
30 cHendaklah sesiapa yang membunuh orang lain dikenakan hukum mati atas keterangan saksi. Namun demikian, seorang saksi sahaja tidak cukup untuk dapat menjatuhkan hukuman mati kepada seseorang. 31 Apatah lagi, jangan terima tebusan sebagai ganti nyawa seseorang pembunuh yang patut dihukum mati, kerana hendaklah dia tetap dihukum mati. 32 Jangan pula terima tebusan daripada seorang yang melarikan diri ke kota perlindungan jika maksudnya supaya dia dapat kembali tinggal di negeri itu sebelum imam besar meninggal. 33 Jangan najiskan negeri tempat kediamanmu, kerana darah yang tertumpah menajiskan negeri itu. Tidak ada pendamaian yang dapat diadakan bagi negeri itu akibat darah yang tertumpah di atasnya, kecuali dengan darah orang yang menumpahkannya. 34 Jangan najiskan negeri tempat tinggalmu, tempat Aku bersemayam, kerana Aku, Allah, bersemayam dalam kalangan orang Israel.’ ”
 
 
 
 
 
 
36
Perkahwinan anak perempuan dan hak warisnya
1 Ketua keluarga daripada kaum bani Gilead bin Makhir bin Manasye, salah satu keturunan kaum Yusuf, datang dan berbicara di hadapan Musa serta para pemimpin, iaitu para ketua keluarga orang Israel. 2 aKata mereka, “Allah telah memerintahkan tuanku untuk memberikan tanah itu kepada orang Israel sebagai harta pusaka melalui cabutan undi. Allah juga telah memerintahkan tuanku untuk memberikan harta pusaka Zelafehad, saudara kami, kepada anak-anak perempuannya. 3 Akan tetapi, jika mereka bernikah dengan seorang lelaki daripada mana-mana suku orang Israel yang lain, maka warisan mereka itu tentunya akan diambil daripada harta pusaka leluhur kami lalu ditambahkan kepada harta pusaka suku yang akan dimasuki oleh mereka. Dengan demikian akan berkuranganlah harta pusaka yang dicabut undi kepada kami. 4 Lalu apabila tiba Tahun Pembebasan bagi orang Israel, harta pusaka mereka akan ditambahkan kepada harta pusaka suku yang dimasuki mereka, walhal harta pusaka suku leluhur kami berkurang kerana warisan mereka itu diambil orang suku lain.”
5 Kemudian, Musa memberikan perintah kepada orang Israel berdasarkan perintah Allah, katanya, “Benarlah seperti yang dikatakan oleh suku bani Yusuf itu. 6 Inilah perintah Allah mengenai anak-anak perempuan Zelafehad, ‘Mereka boleh bernikah dengan sesiapa sahaja yang baik menurut mereka, tetapi hanya daripada kalangan kaum suku leluhur mereka. 7 Oleh yang demikian, harta pusaka orang Israel tidak akan beralih daripada suku kepada suku, kerana orang Israel harus tetap berada pada harta pusaka suku leluhur masing-masing. 8 Hendaklah setiap anak perempuan dalam kalangan suku-suku orang Israel yang mewarisi harta pusaka menikah seorang daripada kaum suku leluhurnya, supaya orang Israel dapat mewarisi harta pusaka leluhur masing-masing. 9 Harta pusaka itu tidak boleh beralih daripada satu suku kepada suku yang lain, kerana suku orang Israel harus tetap berada pada harta pusaka masing-masing.’ ”
10 Maka seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa, demikianlah yang dilakukan oleh anak-anak perempuan Zelafehad. 11 Anak perempuan Zelafehad, iaitu Mahla, Tirza, Hogla, Milka, dan Noa, bernikah dengan anak-anak lelaki daripada saudara ayah mereka. 12 Mereka menikah orang daripada kaum bani Manasye bin Yusuf, maka dengan demikian, harta pusaka mereka tetap berada dalam tangan suku kaum leluhur mereka.
13 Itulah perintah dan peraturan yang diberikan Allah dengan perantaraan Musa kepada orang Israel di dataran Moab, di tepi Sungai Yordan dekat Yerikho.