Pepatah
 
 
 
 
 
 
1
Apa yang benar, adil, dan lurus
1 aInilah pepatah-pepatah Sulaiman bin Daud, raja Israel:
2 untuk mengetahui hikmah dan didikan,
untuk memahami kata yang dalam ertinya,
3 untuk menerima didikan tentang budi pekerti,
tentang apa yang benar, adil, dan lurus;
4 untuk memberikan kearifan kepada orang yang betul bendul,
serta pengetahuan dan budi bicara kepada kalangan muda.
5 Orang bijaksana mendengar untuk menambah pengertiannya,
dan orang yang arif memperoleh petunjuk
6 untuk memahami pepatah serta petua,
kata-kata orang bijaksana dan teka-teki mereka.
Takut kepada Allah permulaannya
7 bTakut kepada Allah adalah permulaan pengetahuan;
orang bodoh meremehkan hikmah dan didikan.
8 Hai anakku, dengarlah didikan ayahmu,
dan jangan lalai ajaran ibumu;
9 kerana segalanya hiasan indah kepalamu,
dan kalung bagi lehermu.
10 Hai anakku, jika orang berdosa memujukmu,
jangan turuti.
11 Jika mereka berkata, “Ikutlah kami! Mari kita menghendap demi menumpahkan darah;
mari kita serang hendap orang yang tidak bersalah tanpa sebarang sebab;
12 mari kita menjadi bak alam barzakh dan menelan mereka hidup-hidup,
bulat-bulat, seperti orang yang turun ke liang lahat;
13 kita akan mendapat segala macam benda berharga,
kita akan memenuhi rumah kita dengan barang rampasan;
14 buanglah undimu ke tengah-tengah kami;
kita kongsi bersama-sama segala yang kita samun!”
15 Hai anakku, jangan ikut perilaku mereka;
jauhkan kakimu dari jalan-jalan mereka,
16 kerana kaki mereka cuma meluru menuju kejahatan,
dan mereka bergegas kerana mahu menumpahkan darah.
17 Betapa sia-sia membentangkan jaring
di hadapan mata burung;
18 namun mereka menanti untuk menumpahkan darah sendiri
dan menghendap nyawa mereka sendiri.
19 Demikianlah jadinya setiap orang yang tamak akan harta haram;
kerakusannya itu bakal mencabut nyawanya sendiri.
Pentingnya hikmah
20 cHikmah berseru-seru di jalan raya,
ia menyaringkan suaranya di lapangan.
21 Di kepala jalan tumpuan ramai, ia bersuara,
dan di muka pintu gerbang kota ia menyampaikan kata-katanya,
22 “Hai orang yang betul bendul,
sampai bilakah kamu cinta akan keadaanmu sebagai orang yang betul bendul?
Sampai bilakah para pencemuh gemar mencemuh,
dan orang bodoh benci akan pengetahuan?
23 Berpalinglah mendengar teguranku.
Sesungguhnya, aku akan mencurahkan isi hatiku kepadamu,
aku akan menghuraikan manfaat kata-kataku kepadamu.
24 Tetapi kamu menolak ketika kupanggil,
dan tiada seorang pun mengendahkan ketika aku menghulurkan tanganku.
25 Atas sebab kamu mensia-siakan semua nasihatku,
dan tidak mahu menerima teguranku,
26 aku pun akan mentertawakan bencana yang kamu alami;
aku akan mencemuhmu ketika malapetaka menimpamu,
27 ketika kengerian melandamu seperti badai,
ketika bencana mendatangimu seperti angin puting beliung,
ketika kesesakan serta kesusahan menimpamu.
28 Pada waktu itu mereka akan memanggil aku,
tetapi aku tidak akan menjawab.
Mereka akan bersungguh-sungguh mencari aku,
tetapi mereka tidak akan menemukan aku.
29 Mereka benci akan pengetahuan
dan tidak memilih supaya takut kepada Allah.
30 Mereka tidak mahu menerima nasihatku,
dan menolak semua teguranku.
31 Oleh itu, mereka akan memakan buah pilihan mereka,
dan akan kenyang dengan khayalan mereka sendiri.
32 Orang betul bendul akan terbunuh oleh sifat melulunya,
dan kepuasan orang bodoh akan membinasakan mereka.
33 Tetapi orang yang mendengar kata-kataku akan hidup sejahtera
dan berasa selamat tanpa takut akan malapetaka.”
 
 
 
 
 
 
2
Mencarinya seperti perak
1 Hai anakku, jika engkau menerima kata-kataku
dan menyimpan perintah-perintahku dalam dirimu,
2 mengarahkan telingamu kepada hikmah,
dan mencenderungkan hatimu kepada pengertian;
3 jika engkau berseru memohon pengertian,
dan mengangkat suaramu memohon pengertian;
4 jika engkau mencarinya seperti perak,
dan menggalinya seperti menggali harta terpendam,
5 maka engkau akan memahami apa ertinya takut kepada Allah
serta memperoleh pengetahuan tentang Allah.
6 Kerana Allah sajalah yang mengurniakan hikmah,
dan daripada firman-Nyalah datang pengetahuan serta pengertian.
7 Dia menyimpan hikmah bagi orang yang lurus,
dan menjadi perisai bagi mereka yang hidup dalam keikhlasan.
8 Dia menjaga jalan keadilan,
dan memelihara jalan orang salih-Nya.
9 Maka engkau akan memahami apa yang benar, adil, dan saksama
serta segala jalan kebaikan,
10 kerana hikmah akan masuk ke dalam hatimu,
dan pengetahuan akan menyenangkan jiwamu.
11 Budi bicara menjadi pengawas kamu,
dan pengertian akan menjaga kamu,
12 untuk melepaskan kamu daripada cengkaman kejahatan
dan daripada orang yang mengucapkan tipu muslihat,
13 yang meninggalkan jalan-jalan lurus
untuk meredah lorong-lorong gelap,
14 yang suka berbuat kejahatan,
yang gembira kerana tipu muslihat yang jahat,
15 yang sesat jalan-jalannya
serta bengkang-bengkok perilakunya.
16 Engkau pun akan terlepas daripada perempuan lucah,
daripada perempuan penzina dengan pujuk rayunya,
17 yang meninggalkan teman hidup masa mudanya
serta melupakan perjanjian dengan Tuhannya.
18 Sesungguhnya, di liang mautlah rumahnya tergenang,
dan jalannya menuju dunia orang mati.
19 Semua orang yang datang kepadanya tidak akan kembali,
dan tidak menemukan jalan hidup.
20 Dengan demikian engkau dapat menempuh jalan orang baik-baik,
dan tetap berada di jalan orang benar,
21 kerana orang yang tulus hati akan mendiami bumi,
dan orang yang ikhlas akan tetap tinggal di situ;
22 tetapi orang fasiq akan dilenyapkan daripada bumi,
dan para pengkhianat akan direnggut dari situ.
 
 
 
 
 
 
3
Jangan menganggap dirimu bijak
1 Hai anakku, jangan lupakan ajaranku,
tetapi hendaklah hatimu memegang perintah-perintahku,
2 kerana segalanya akan memberikan kepadamu umur panjang, usia lanjut, dan kesejahteraan.
3 Jangan biarkan kasih setia dan kebenaran meninggalkan kamu,
kalungkannya di lehermu dan pahatkannya di loh hatimu.
4 aDengan demikian engkau akan disukai serta memperoleh nama baik
dalam pandangan Allah dan manusia.
5 Percayalah kepada Allah dengan sepenuh hatimu
dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri.
6 Ingatlah Dia dalam segala jalanmu,
maka Dia akan meluruskan jalanmu.
7 bJangan anggap dirimu bijak,
takutlah kepada Allah dan jauhilah kejahatan.
8 Itulah yang kelak mendatangkan kesihatan bagi tubuhmu
dan kekuatan bagi tulang-tulangmu.
9 Muliakanlah Allah dengan hartamu
dan dengan hasil pertama daripada segala penghasilanmu,
10 maka segala bangsal hasil tuaianmu akan terisi hingga melimpah-ruah
dan meluaplah air anggur di dalam segala tempat pemerasan anggurmu.
11 cHai anakku, jangan pandang sepi pengajaran Allah,
dan janganlah berasa geram terhadap teguran-Nya,
12 dkerana Allah menegur orang yang dikasihi-Nya,
seperti seorang bapa terhadap anak yang dikasihinya.
Lebih bernilai daripada permata
13 Betapa berbahagianya orang yang mendapat hikmah,
dan orang yang memperoleh pengertian,
14 kerana labanya lebih besar daripada keuntungan perak,
dan hasilnya lebih berharga daripada emas.
15 Hikmah lebih bernilai daripada batu permata,
dan apa-apa pun yang kamu idamkan tidak sebanding dengannya.
16 Di tangan kanannya umur panjang,
di tangan kirinya kekayaan dan kehormatan.
17 Jalan-jalannya jalan keselesaan,
dan segala lorongnya kesejahteraan.
18 Hikmah pokok hayat bagi yang berpaut padanya,
berbahagialah orang yang memeluknya seerat-eratnya.
19 Dengan hikmah Allah meletakkan asas bumi,
dan dengan pengertian Dia menetapkan langit.
Kehidupan bagi jiwamu
20 Dengan pengetahuan-Nya sumber air yang dalam terpancar keluar,
dan awan-awan menitiskan embun.
21 Hai anakku, peganglah hikmah dan kebijaksanaan,
jangan biarkan semua itu luput daripada pandanganmu;
22 semua itu akan menjadi kehidupan bagi jiwamu
dan perhiasan bagi lehermu.
23 Maka engkau akan melangkah di jalanmu dengan selamat,
dan kakimu tidak akan tersandung.
24 Ketika berbaring, engkau tidak akan berasa takut,
engkau akan berbaring dan mendapat nikmat tidur yang lena.
25 Janganlah takut terhadap kengerian yang datang tiba-tiba,
atau terhadap kebinasaan yang kelak melanda orang fasiq,
26 kerana Allah sumber keyakinanmu,
dan akan menjaga kakimu daripada terjerat.
Persaudaraan sesama manusia
27 Janganlah menahan kebaikan daripada orang yang patut menerimanya,
ketika engkau mampu melakukannya.
28 Jangan katakan kepada sesamamu, “Pergilah dan kembalilah lagi,
esok akan kuberi,” padahal apa yang diminta itu ada padamu.
29 Janganlah merancang kejahatan terhadap jiranmu,
walhal dia tinggal tanpa curiga berdekatan denganmu.
30 Jangan bersengketa tanpa alasan dengan orang
yang tidak pernah berbuat jahat kepadamu.
31 Janganlah iri hati terhadap orang yang ganas,
dan jangan memilih satu pun daripada jalannya,
32 kerana orang yang mungkar adalah kekejian bagi Allah, tetapi Dia akrab dengan orang yang tulus ikhlas.
33 Kutukan Allah adalah terhadap rumah orang fasiq,
tetapi Dia memberkati kediaman orang benar.
34 eDia mencemuh para pencemuh,
tetapi Dia memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati.
35 Orang bijaksana akan mewarisi kehormatan,
tetapi orang bodoh akan mendapat aib.
 
 
 
 
 
 
4
Peganglah didikan dengan teguh
1 Hai anak-anakku, dengarlah didikan seorang ayah
dan perhatikanlah, supaya engkau memperoleh pengertian.
2 Jangan abaikan peraturanku
kerana aku memberimu ajaran yang baik.
3 Ketika aku masih kanak-kanak dan tinggal bersama ayahku, masih kecil,
dan anak tunggal bagi ibuku,
4 ayahku mengajarku, katanya, “Pegang teguh kata-kataku dalam hatimu.
Patuhilah perintah-perintahku, maka engkau akan hidup.
5 Perolehlah hikmah! Perolehlah pengertian!
Jangan lupakan, dan jangan menyimpang daripada kata-kata mulutku.
6 Jangan abaikan hikmah, maka hikmah akan memelihara kamu;
kasihilah ia, maka ia akan menjaga kamu.
7 Hikmah adalah yang paling utama. Perolehlah hikmah
dan dengan segala pemerolehanmu itu, perolehlah pengertian.
8 Junjung tinggi hikmah, maka hikmah akan meninggikanmu.
Ia akan menjadikan kamu terhormat jika engkau mendakapnya.
9 Ia akan meliliti kepalamu dengan karangan bunga yang indah,
dan akan mengurniakan kepadamu mahkota kemuliaan.”
10 Hai anakku, dengarlah dan terimalah kata-kataku,
supaya banyak pula tahun hidupmu.
11 Aku telah menunjukkan kepadamu jalan hikmah,
dan aku telah membimbingmu di jalan-jalan yang lurus.
12 Apabila engkau berjalan, langkahmu tidak akan terhalang,
dan jika engkau berlari, engkau tidak akan tersandung.
13 Peganglah didikan, jangan lepaskan;
peliharalah ia, kerana ia hidupmu.
14 Jangan masuki lorong orang fasiq,
dan jangan ikuti jalan orang yang jahat.
15 Jauhilah jalan itu, jangan lalui.
Menyimpanglah dari jalan itu, dan teruskanlah perjalananmu.
16 Kerana mereka itu tidak dapat tidur
selagi mereka belum melakukan kejahatan,
dan mereka tidak mungkin lena jika
belum membuat seseorang tersandung.
17 Mereka makan roti kefasiqan
dan minum air anggur keganasan.
18 Sebaliknya jalan orang benar seperti cahaya fajar,
yang semakin benderang hingga puncak siang hari.
19 Jalan orang fasiq pula seperti kegelapan yang pekat;
lantas mereka tidak tahu apa yang membuat mereka tersandung.
Mata air kehidupan
20 Hai anakku, perhatikanlah ucapanku,
arahkanlah telingamu kepada kata-kataku.
21 Jangan biarkan semua itu luput daripada pandanganmu,
simpanlah segalanya itu dalam hatimu.
22 Kerana sesiapa menemukannya memperoleh hidup
dan kesembuhan bagi seluruh tubuhnya.
23 Jagalah hatimu lebih daripada segalanya,
kerana dari situlah terpancar mata air kehidupan.
24 Buanglah penipuan daripada mulutmu,
dan jauhkanlah bibir mungkar daripadamu.
25 Hendaklah matamu memandang ke hadapan,
dan tatapanmu lurus ke arah di depanmu.
26 aRatakanlah jalan bagi kakimu,
pastikan segala jalanmu akan teguh.
27 Janganlah menyimpang ke kanan atau ke kiri;
jauhkanlah kakimu daripada kejahatan.
 
 
 
 
 
 
5
Pahit seperti hempedu
1 Hai anakku, berilah perhatian kepada hikmahku,
dan arahkanlah telingamu kepada pengertianku,
2 supaya kamu sentiasa berbudi bicara,
dan bibirmu dapat memelihara pengetahuan.
3 Biarpun bibir perempuan lucah menitiskan madu,
dan kata-katanya lebih licin daripada minyak,
4 pada akhirnya ia pahit seperti hempedu,
dan tajam seperti pedang bermata dua.
5 Kakinya turun menuju maut,
dan langkahnya langsung menuju alam barzakh.
6 Dia tidak perhatikan jalan kehidupannya;
Jalannya sesat tetapi tidak disedarinya.
7 Maka hai anak-anakku, dengarlah nasihatku,
dan jangan menyimpang daripada kata-kataku.
8 Jauhkan hidupmu daripada perempuan itu,
dan jangan dekati pintu rumahnya,
9 agar kehormatanmu tidak diragut oleh orang lain,
dan tahun-tahun umurmu diserahkan kepada orang yang kejam;
10 supaya jangan orang lain dikenyangkan oleh kekuatanmu,
dan hasil penat lelahmu masuk ke rumah orang asing,
11 sehingga engkau mengeluh akhirnya,
ketika daging dan tubuhmu habis binasa.
12 Kemudian engkau berkata, “Kenapalah aku membenci didikan
dan hatiku menolak teguran?
13 Aku jua tidak mematuhi ajaran para guruku,
dan tidak mengarahkan telingaku kepada orang yang mendidikku.
14 Aku nyaris hancur lebur
di tengah-tengah jemaah dan perhimpunan orang.”
Apa gunanya?
15 Minumlah air daripada telagamu sendiri,
dan air yang segar daripada perigimu sendiri.
16 Patutkah mata airmu memencar ke mana-mana,
dan aliran airmu mengalir di jalan-jalan raya?
17 Biarlah itu menjadi milikmu sendiri,
dan jangan menjadi milik orang asing yang berada bersamamu.
18 Semoga mata airmu diberkati.
Bersukacitalah dengan isteri masa mudamu,
19 bagai seekor rusa yang jelita, kambing hutan anggun.
Biarlah payudaranya sentiasa memuaskanmu,
dan engkau selalu ghairah dengan cintanya.
20 Hai anakku, apa gunanya engkau ghairah dengan perempuan lucah,
dan mendakap dada perempuan penzina?
21 Kerana jalan-jalan manusia nyata di hadapan mata Allah,
dan Dia meneliti setiap langkahnya.
22 Orang fasiq akan terjebak dalam kejahatannya sendiri,
dan terjerat dalam serabut dosanya.
23 Dia akan mati kerana kurang didikan,
dan tersesat dalam keluasan kancah kebodohannya sendiri.
 
 
 
 
 
 
6
Lepaskanlah dirimu
1 Hai anakku, jika engkau menjadi penjamin bagi jiranmu,
dan jika engkau membuat perjanjian jaminan dengan orang asing;
2 jika engkau terjerat oleh kata-kata mulutmu,
dan terbelenggu oleh pengucapan mulutmu,
3 maka buatlah demikian, hai anakku dan lepaskanlah dirimu,
kerana engkau telah jatuh ke dalam genggaman jiranmu.
Pergilah, rendahkanlah dirimu,
dan rayulah bersungguh-sungguh kepada jiranmu itu.
4 Jangan biarkan matamu tertidur,
atau kelopak matamu mengantuk.
5 Lepaskanlah dirimu seperti kijang daripada tangan pemburu,
dan seperti burung daripada tangan pemikat.
Belajarlah dari semut
6 Pergilah kepada semut, hai pemalas,
perhatikanlah cara hidupnya dan jadilah arif.
7 Meskipun tidak punya pemimpin,
pengawas, ataupun penguasa,
8 ia menyediakan makanannya pada musim panas,
dan mengumpulkan perbekalan pada musim menuai.
9 Berapa lama lagi engkau akan berbaring, hai pemalas?
Bilakah engkau akan bangun daripada tidurmu?
10 a“Tidur sebentar, mengantuk sebentar,
lipat tangan sebentar untuk berbaring.”
11 Maka kemiskinan mendatangimu seperti pencuri,
dan kesempitan seperti orang bersenjata.
Sentiasa merancang kejahatan
12 Seorang durjana dan seorang manusia yang tidak berguna,
berjalan ke mana-mana dengan mulut mungkar.
13 Dia mengenyitkan matanya,
memberikan isyarat dengan kakinya dan berisyarat dengan jarinya.
14 Dengan tipu muslihat yang menulari hatinya,
dia sentiasa merancang kejahatan, menimbulkan pertengkaran.
15 Kerana itu bencana akan datang menimpanya dengan tiba-tiba,
dan sekonyong-konyong sahaja dia akan dihancurkan tanpa dapat dipulihkan lagi.
Tujuh perkara keji
16 Ada enam hal yang dibenci Allah,
bahkan tujuh perkara yang menjadi kekejian bagi-Nya:
17 Mata sombong, lidah dusta,
tangan yang menumpahkan darah orang tidak bersalah,
18 hati yang merancang hal-hal durjana,
kaki yang cepat berlari menuju kejahatan,
19 saksi dusta yang bertutur bohong,
dan orang yang menimbulkan perbalahan antara saudara.
Jangan inginkan kecantikannya
20 Hai anakku, peganglah teguh perintah ayahmu,
dan jangan abaikan ajaran ibumu.
21 Tambatkanlah sentiasa semua didikan itu dalam hatimu,
dan kalungkanlah pada lehermu.
22 Apabila engkau berjalan, segalanya itu akan memimpinmu,
apabila engkau berbaring, segalanya akan menjagamu,
dan apabila engkau bangun, segalanya akan menyapamu.
23 Kerana perintah itu pelita, dan ajaran itu cahaya,
dan teguran yang mendidik adalah jalan kehidupan.
24 Dengan demikian, engkau akan terpelihara daripada perempuan yang jahat,
dan daripada pujuk rayu perempuan penzina.
25 Janganlah hatimu mendambakan kecantikannya,
jangan biarkan dia menjebakmu dengan kelopak matanya.
26 Kerana perempuan lucah
dapat disewa dengan sepotong roti,
tetapi perempuan penzina
memburu nyawa yang berharga.
27 Dapatkah seorang lelaki membawa api di dalam dada bajunya,
tanpa api menjilat pakaiannya?
28 Jika seseorang berjalan di atas bara,
masakan kakinya tidak terbakar?
29 Demikian jugalah orang yang mencabul isteri jirannya.
Sesiapa pun yang menyentuhnya tidak akan lepas daripada hukuman.
30 Seorang pencuri tidak dihina jika dia mencuri sesuatu
untuk memuaskan nafsunya ketika dia lapar.
31 Tetapi jika tertangkap maka hendaklah dia mengganti tujuh kali ganda,
dan hendaklah dia menyerahkan segala harta benda di dalam rumahnya.
32 Tetapi orang yang berzina dengan isteri orang lain memang orang yang tidak berakal budi;
dia membinasakan dirinya sendiri dengan berbuat demikian.
33 Yang diperolehnya ialah luka dan aib,
dan celanya tidak terhapuskan.
34 Cemburu memang membuat lelaki berang,
dan pada hari pembalasan dia tidak akan berbelas kasihan.
35 Dia tidak akan mengendahkan tebusan apa pun,
dan tidak akan menerima pemberianmu sebanyak mana pun.
 
 
 
 
 
 
7
Jalan menuju alam kubur
1 Hai anakku, pegang teguh kata-kataku,
dan sematkanlah segala perintahku dalam hatimu.
2 Patuhi segala perintahku, maka engkau akan hidup;
peliharalah ajaranku seperti biji matamu.
3 Tambatkanlah segalanya pada jarimu,
dan pahatkanlah kesemuanya pada loh hatimu.
4 Katakanlah kepada hikmah, “Engkau saudaraku,”
dan anggaplah pengertian itu kerabatmu yang karib,
5 supaya engkau terhindar daripada perempuan lucah,
dan daripada perempuan penzina dengan pujuk rayunya.
6 Dari jendela rumahku,
ketika aku menjenguk melalui kekisi,
7 kulihat di antara orang yang betul bendul, dan
kuperhatikan dalam kalangan teruna, seorang muda yang tidak berakal budi.
8 Dia melintasi jalan dekat persimpangan
lalu melangkah menuju rumah perempuan sebegitu
9 pada waktu maghrib, pada waktu senja,
menjelang malam yang gelap gelita.
10 Muncullah seorang perempuan datang menemuinya,
berpakaian lucah dan berhati licik.
11 Liar sifatnya dan jiwanya memberontak.
Kakinya tidak betah di rumah,
12 sebentar di jalan, sebentar di medan-medan umum,
dan di setiap persimpangan dia menyasar.
13 Dirangkulnya si anak muda itu dan diciumnya,
lalu dengan galak dia berkata kepadanya,
14 “Aku harus mempersembahkan korban kedamaian,
dan pada hari ini aku telah menunaikan nazarku.
15 Maka aku pun keluar untuk bertemu denganmu;
Aku mencarimu dengan sedaya upaya, lalu kini kutemui engkau.
16 Di atas tempat tidurku telah kubentangkan alas,
kain linen beraneka warna dari Mesir.
17 Aku telah mengharumkan katilku itu
dengan damar wangi, gaharu, dan kayu manis.
18 Marilah kita melampiaskan berahi sampai pagi hari,
dan menghirup nikmat cinta,
19 kerana suamiku tiada di rumah,
dia sedang menempuh perjalanan yang jauh.
20 Dia membawa sekantung wang,
dan hanya akan pulang ke rumah menjelang bulan purnama.”
21 Dengan pujuk cumbu dia memikat,
dan dengan rayuan bibirnya yang licin dia menggoda.
22 Lantas anak muda itu mengikutinya
seperti lembu yang dihela ke tempat penyembelihan,
seperti orang terbelenggu yang dihela ke tempat penghukuman orang bodoh,
23 sampai anak panah menikam hatinya.
Dia seperti burung yang bergegas menuju masuk jerat,
tanpa sedar nyawanya terancam.
24 Oleh sebab itu, hai anak-anakku, dengarlah aku,
perhatikanlah kata-kata mulutku.
25 Janganlah hatimu menyimpang ke jalan-jalan perempuan sebegitu,
dan janganlah tersesat di lorong-lorongnya,
26 kerana telah banyak mangsa yang dijatuhkannya,
dan orang gagah yang dimusnahkannya.
27 Rumahnya memang jalan menuju ke alam barzakh,
yang menjunam ke dalam ruang-ruang maut.
 
 
 
 
 
 
8
Hikmah berseru-seru
1 aBukankah hikmah berseru-seru,
dan pengertian menyaringkan suaranya?
2 Di puncak tempat tinggi di tepi jalan
serta di persimpangan, di sanalah ia berdiri.
3 Di sebelah pintu gerbang, tempat masuk menuju kota
serta di pintu-pintu masuk, ia mengangkat suaranya,
4 “Hai umat insan, kepadamulah aku berseru,
kepada semua anak manusia seruanku ditujukan.
5 Hai orang yang betul bendul, perolehlah kecerdasan;
hai orang bodoh, perolehlah pengertian.
6 Dengarlah, kerana aku akan mengatakan hal-hal yang luhur,
bibirku terbuka menyampaikan perkara-perkara yang betul.
7 Mulutku akan mengatakan kebenaran;
kefasiqan adalah kekejian bagi bibirku.
8 Segala kata-kata mulutku adalah benar,
tiada yang songsang atau bengkang-bengkok.
9 Segalanya itu jelas bagi orang yang berpengertian,
dan tepat bagi orang yang berpengetahuan.
10 Pilihlah ajaranku dan bukannya perak;
pilihlah pengetahuan dan bukannya emas pilihan.
11 Kerana hikmah lebih bernilai daripada segala permata,
dan segala yang dihasratkan tidak setara dengannya.
12 Aku, hikmah, hidup seiring kecerdasan,
dan memperoleh pengetahuan serta kebijaksanaan.
13 Takut kepada Allah bererti membenci kejahatan.
Kesombongan, ketakburan, kejahatan,
serta mulut mungkar, semuanya kubenci.
14 Padaku ada nasihat dan hikmah yang baik,
aku memiliki pengertian, dan juga kekuatan.
15 Kerana akulah, raja-raja memerintah,
dan para penguasa menetapkan keadilan.
16 Kerana aku, para raja dan bangsawan berkuasa,
malahan semua yang memerintah di bumi dengan adil.
17 Aku mengasihi orang yang mengasihiku,
sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari aku akan menemuiku.
18 Kekayaan dan kehormatan ada padaku,
demikian pula harta yang kekal dan kemakmuran.
19 Buahku lebih baik daripada emas, bahkan melebihi emas tulen,
demikian pula hasilku lebih baik berbanding dengan perak pilihan.
20 Aku berjalan di jalan yang benar,
di tengah-tengah lorong keadilan,
21 demi mewariskan khazanah kepada kalangan yang mengasihiku,
dan memenuhi perbendaharaan
22 bAllah menjadikan aku pada permulaan pekerjaan-Nya,
sebagai karya-Nya yang sulung pada zaman purba.
23 Aku ditetapkan sejak azali,
sebelum ada bumi.
24 Ketika samudera raya belum ada, aku telah lahir,
ketika belum ada mata air yang berlimpah airnya.
25 Sebelum gunung-ganang didirikan,
dan lebih dahulu daripada penciptaan bukit-bukau, aku telah lahir,
26 ketika Dia belum menjadikan bumi dan padang-padangnya,
atau debu tanah yang mula-mula di dunia ini.
27 Ketika Dia membentangkan langit, aku ada di sana,
ketika Dia menempatkan kaki langit pada permukaan samudera;
28 ketika Dia menetapkan awan-awan di atas,
dan ketika segala mata air samudera menderas;
29 ketika Dia menentukan batas bagi lautan
supaya airnya tidak melanggar perintah-Nya,
dan ketika Dia menetapkan asas-asas bumi,
30 aku ada di samping-Nya sebagai ahli binaan.
Hari demi hari aku menjadi kegembiraan-Nya,
31 dan sentiasa bersenang-senang di hadapan-Nya,
bergembira di atas muka bumi-Nya dan bahagia dengan anak-anak manusia.
32 Sekarang, hai anak-anak, dengarlah kata-kataku,
berbahagialah orang yang memelihara jalan-jalanku.
33 Dengarlah didikan dan jadilah orang yang arif;
jangan abaikannya.
34 Berbahagialah orang yang mendengar kata-kataku,
yang berjaga-jaga setiap hari di pintu gerbangku,
dan yang menanti-nanti di pintu rumahku,
35 kerana sesiapa yang menemukanku, menemukan hidup,
dan Allah berkenan kepadanya.
36 Tetapi sesiapa yang tidak menemukanku, melukai dirinya sendiri.
Semua orang yang membenciku, mengasihi maut.”
 
 
 
 
 
 
9
Undangan hikmah
1 Hikmah telah membina rumahnya
serta menegakkan ketujuh-tujuh tiangnya.
2 Ia telah menyembelih haiwannya, mencampurkan air anggurnya,
juga menyediakan sajian mejanya.
3 Ia telah mengutus para pelayan perempuannya,
dan dari atas tempat-tempat tinggi di kota ia mengundang,
4 “Sesiapa yang betul bendul, menyimpanglah ke mari!”
Kepada orang yang kurang akal, demikianlah katanya,
5 “Mari, makanlah rotiku,
dan minumlah air anggur yang telah kucampur.
6 Tinggalkanlah kebebalan, maka kamu akan hidup,
dan majulah di jalan pengertian.”
7 Sesiapa yang membetulkan si pencemuh akan mendapat hinaan,
dan sesiapa yang menegur orang fasiq akan menerima makian.
8 Jangan tegur pencemuh, nanti dia akan membencimu.
Tegurlah orang bijaksana, maka dia akan mengasihimu.
9 Nasihatilah orang bijaksana, maka dia akan bertambah arif,
dan ajarlah orang benar, maka pengetahuannya akan bertambah.
10 aTakut kepada Allah adalah permulaan hikmah,
dan pengetahuan akan Yang Maha Suci adalah pengertian.
11 Kerana melalui aku, hari-harimu akan menjadi banyak,
dan tahun-tahun kehidupanmu akan ditambah.
12 Jika engkau bijaksana, maka kebijaksanaanmu itu bagi dirimu,
dan jika engkau mencemuh, engkau sendiri kelak menanggungnya.
13 Perempuan yang bodoh itu cerewet;
dia tidak bertimbang rasa, tidak tahu malu dan tidak tahu apa-apa.
14 Dia duduk di depan pintu rumahnya,
di tempat-tempat duduk yang terbuka dan tinggi di kota,
15 mengundang orang yang melintasi jalan,
yang sedang berjalan lurus,
16 “Sesiapa yang betul bendul, menyimpanglah ke mari!”
Kepada yang kurang berakal demikian katanya,
17 “Air curian manis rasanya,
dan roti yang dimakan secara bersembunyi-sembunyi sedap rasanya.”
18 Tetapi orang itu tidak tahu bahawa di situ ada arwah,
lantaran tamu-tamunya berada di alam barzakh.
 
 
 
 
 
 
10
Kumpulan pepatah Nabi Sulaiman
Orang benar diberkati
1 Inilah pepatah Sulaiman:
Anak yang arif menyukakan hati ayahnya,
tetapi anak yang bodoh adalah kedukaan ibunya.
2 Harta hasil kefasiqan tidaklah berfaedah,
tetapi kebenaran melepaskan orang daripada maut.
3 Allah tidak akan membiarkan orang benar kelaparan,
tetapi Dia merintangi nafsu orang fasiq.
4 Tangan yang malas menempah kemiskinan,
tetapi tangan yang rajin menghasilkan kekayaan.
5 Anak yang bijaksana mengumpulkan hasil pada musim panas,
tetapi anak yang tidur pada musim menuai membawa aib.
6 Berkat memahkotai orang benar,
tetapi mulut orang fasiq menyembunyikan kejahatan.
7 Kenangan akan orang benar membawa berkat,
tetapi nama orang fasiq akan membusuk.
8 Hati yang bijak menerima perintah,
tetapi orang bodoh yang banyak bercakap akan hancur.
9 Orang yang hidup dalam keikhlasan, aman jalannya,
tetapi sesiapa memesongkan jalannya akan diketahui juga.
10 Orang yang mengenyitkan matanya mendatangkan duka,
tetapi orang bodoh yang banyak bercakap akan hancur.
Lidah orang benar, perak pilihan
11 Mulut orang benar ialah mata air kehidupan,
tetapi mulut orang fasiq menyembunyikan kejahatan.
12 aKebencian menimbulkan perbalahan,
tetapi kasih menutupi segala pelanggaran.
13 Di bibir orang berpengertian terdapat hikmah,
tetapi rotan tersedia bagi belakang orang yang kurang berakal.
14 Orang bijaksana menimbunkan pengetahuan,
tetapi mulut orang bodoh mendampingi kehancuran.
15 Harta kekayaan ialah benteng bagi orang kaya,
tetapi kepapaan adalah kehancuran bagi orang miskin.
16 Hasil usaha orang benar membawa kepada kehidupan,
tetapi dosa tuaian orang fasiq membawa kepada penghukuman.
17 Sesiapa yang memperhatikan didikan menuju jalan kehidupan,
tetapi sesiapa yang menolak teguran bakal tersesat.
18 Sesiapa yang menyembunyikan kebencian bermulut dusta,
dan sesiapa yang menyebar fitnah tidak berakal.
19 Apabila banyak bercakap, dosa pasti ada,
tetapi orang bijaksana mengawal mulutnya.
20 Lidah orang benar bagaikan perak pilihan,
tetapi hati orang fasiq tiada harganya.
21 Bibir orang benar menggandakan belas ihsan,
tetapi orang yang bodoh mati kerana kurang berakal.
Takut kepada Allah memanjangkan umur
22 Berkat Allah mengayakan,
dan Dia tidak menambahkan kesusahan kepadanya.
23 Berbuat jahat bagaikan permainan orang bodoh,
tetapi hikmah ialah kegemaran bagi orang yang berpengertian.
24 Orang fasiq akan ditimpa perkara yang ditakutinya,
tetapi keinginan orang benar akan termakbul.
25 Apabila angin puting beliung melanda akan tiada lagi orang fasiq,
tetapi orang benar akan kukuh selama-lamanya.
26 Sebagaimana kesan cuka bagi gigi dan asap bagi mata,
demikianlah si pemalas bagi orang yang mengutusnya.
27 Takut kepada Allah memanjangkan usia,
tetapi tahun-tahun orang fasiq akan dipersingkat.
28 Harapan orang benar akan menjadi sukacita,
tetapi harapan orang fasiq akan binasa.
29 Jalan Allah adalah perlindungan bagi orang yang tulus,
tetapi kehancuran bagi orang yang berbuat jahat.
30 Orang benar tidak akan goyah untuk selama-lamanya,
tetapi orang fasiq tidak akan lama di bumi ini.
31 Mulut orang benar mengucapkan hikmah,
tetapi lidah yang suka mungkar akan dikerat.
32 Bibir orang benar tahu apa yang menyenangkan,
tetapi mulut orang fasiq hanya tahu kata-kata mungkar.
 
 
 
 
 
 
11
Tanpa pimpinan, jatuhlah bangsa
1 Neraca yang palsu adalah kekejian bagi Allah,
tetapi batu timbangan yang tepat adalah keredaan-Nya.
2 Ketika keangkuhan datang, aib pun menyusul,
tetapi dengan kerendahan hati datangnya hikmah.
3 Orang yang ikhlas akan dipimpin oleh ketulusannya,
tetapi orang yang khianat dibinasakan oleh kecurangannya.
4 Pada hari kemurkaan, harta tidak berguna,
tetapi kebenaran melepaskan orang daripada maut.
5 Jalan orang yang tidak bercela diluruskan oleh kebenarannya,
tetapi orang yang fasiq jatuh oleh kefasiqannya sendiri.
6 Orang yang tulus hati diselamatkan oleh kebenarannya,
tetapi orang yang khianat terjebak oleh kerakusannya sendiri.
7 Ketika orang fasiq mati, harapannya lenyap,
dan segala kekayaan yang diharapkan hancur juga.
8 Orang benar dilepaskan daripada kesesakan,
yang lantas menimpa orang fasiq.
9 Dengan mulutnya, orang yang munafik membinasakan jirannya,
tetapi dengan pengetahuan orang benar terselamat.
10 Jika orang benar beruntung, seluruh kota bergembira,
dan jika orang fasiq binasa, orang bersorak-sorai.
11 Kota dimuliakan kerana keberkatan orang yang lurus hati,
tetapi diruntuhkan kerana mulut orang fasiq.
12 Orang yang tidak berakal budi memandang rendah jirannya,
tetapi orang yang berpengertian berdiam diri.
13 Orang yang membawa mulut ke sana ke mari membuka rahsia,
tetapi orang yang amanah menjaga rahsia.
14 Jika tidak ada pimpinan, jatuhlah sesuatu bangsa,
tetapi jika banyak penasihat keselamatan terjamin.
15 Orang yang menjadi penjamin bagi orang lain bakal mendapat susah,
tetapi orang yang benci urusan menaja jamin akan aman.
16 Perempuan yang bersopan santun memperoleh kehormatan,
walhal orang yang kejam hanya memperoleh kekayaan.
Tumbuh subur seperti daun rimbun
17 Orang yang baik hati menguntungkan dirinya sendiri,
tetapi orang yang kejam memudaratkan diri sendiri.
18 Orang fasiq mendapat upah yang mungkar,
tetapi orang yang menabur kebenaran mendapat pahala yang pasti.
19 Orang yang teguh dalam kebenaran akan memperoleh kehidupan,
tetapi orang yang mengejar kejahatan meluru menempah kematiannya.
20 Orang yang derhaka hatinya adalah kekejian bagi Allah,
tetapi orang yang jalannya tidak bercela adalah keredaan-Nya.
21 Yakinlah, orang yang jahat tidak akan terlepas daripada hukuman,
tetapi keturunan orang benar akan diselamatkan.
22 Seperti anting-anting emas di jongor babi,
demikianlah perempuan cantik yang mengetepikan budi bicara.
23 Keinginan orang benar mendatangkan kebaikan semata-mata,
tetapi harapan orang fasiq mendatangkan murka.
24 Ada orang yang sering bermurah hati namun begitu semakin bertambah kaya,
ada orang yang menahan apa yang patut diberikannya namun kian susut juga miliknya.
25 Jiwa yang suka beramal jariah akan diberi kelimpahan,
orang yang memberikan air kepada orang, dia sendiri akan diberi minum.
26 Kutukan umum tertuju kepada sesiapa yang menyorokkan hasil ladang,
tetapi keberkatan akan tercurah ke atas kepala orang yang menjualnya.
27 Orang yang mencari kebaikan akan mendapat kebajikan,
tetapi orang yang mengejar kejahatan akan ditimpa kejahatan.
28 Sesiapa yang mengharapkan kekayaannya akan jatuh,
tetapi orang benar akan tumbuh subur seperti daun rimbun.
29 Sesiapa yang menyusahkan rumah tangganya akan menangkap angin,
dan orang bodoh akan menjadi hamba kepada orang yang bijaksana.
30 Hasil orang benar ialah pokok hayat,
dan orang yang bijaksana, pandai mengambil hati orang.
31 aJika orang warak pun menerima balasan di bumi ini,
apatah lagi orang yang ingkar dan orang yang berdosa!
 
 
 
 
 
 
12
Akar orang benar tidak goyah
1 Sesiapa yang menyukai didikan, menyukai pengetahuan,
tetapi sesiapa yang membenci teguran adalah bodoh.
2 Orang yang baik menerima keredaan Allah,
tetapi orang yang merancang kejahatan akan dihukum-Nya.
3 Seseorang tidak mampu tegak dengan kefasiqan,
tetapi akar orang benar tidak akan goyah.
4 Isteri yang cemerlang adalah mahkota suaminya,
tetapi isteri yang mengaibkan suaminya bak kereputan pada tulang.
5 Fikiran orang benar adalah lurus,
tetapi nasihat orang fasiq penuh tipu daya.
6 Kata-kata orang fasiq menyerang hendap orang,
tetapi mulut orang yang lurus hati menyelamatkan mereka.
7 Orang fasiq dijatuhkan sehingga mereka tidak ada lagi,
tetapi rumah orang benar berdiri teguh.
8 Orang dipuji selaras dengan akal budinya,
tetapi orang yang munafik akan dihina.
9 Lebih baik dianggap rendah tetapi mempunyai hamba,
daripada berlagak terhormat tetapi kekurangan makanan.
10 Orang benar memperhatikan hidup haiwannya,
tetapi belas kasihan orang fasiq itu kejam.
11 Sesiapa mengusahakan tanahnya akan kenyang dengan makanan,
tetapi sesiapa mengejar hal yang hampa kurang akal budi.
12 Orang fasiq menginginkan jarahan orang durjana,
tetapi akar orang benar mengeluarkan hasil.
13 Orang yang jahat terjerat oleh pelanggaran bibirnya,
tetapi orang benar terlepas daripada kesesakan.
Orang bijaksana mendengar nasihat
14 Seseorang akan kenyang dengan kebaikan daripada buah perkataannya,
dan orang mendapat ganjaran hasil pekerjaan tangannya.
15 Jalan orang bodoh lurus di matanya sendiri,
tetapi orang bijaksana mendengar nasihat.
16 Kejengkelan orang bodoh akan terpamer serta-merta,
tetapi orang bijaksana tidak menghiraukan hinaan.
17 Saksi yang bercakap benar, menyatakan apa yang betul,
tetapi saksi dusta mengucap tipu daya.
18 Ada orang yang kata-katanya terburu-buru laksana tikaman pedang,
tetapi lidah orang bijaksana membawa penyembuhan.
19 Bibir yang mengucap kata-kata benar akan tetap untuk selama-lamanya,
tetapi lidah dusta hanya bertahan sekejap mata.
20 Tipu daya bersarang dalam hati orang yang merancang kejahatan,
tetapi orang yang mengusahakan damai bersukacita.
21 Kesusahan tidak akan menimpa orang benar,
tetapi orang fasiq sentiasa dirundung malang.
22 Bibir dusta adalah kekejian bagi Allah,
tetapi orang yang melakukan apa yang benar adalah kesukaan-Nya.
23 Orang bijaksana menyimpan pengetahuannya,
tetapi hati orang yang bodoh menguar-uarkan kebodohannya.
24 Tangan orang yang rajin akan memerintah,
tetapi si pemalas akhirnya menjadi buruh paksa.
25 Kekhuatiran memberatkan hati,
tetapi kata-kata yang baik menggembirakannya.
26 Orang benar menjadi panduan bagi jirannya,
tetapi jalan orang fasiq menyesatkan mereka.
27 Si pemalas enggan memanggang hasil buruannya,
tetapi orang rajin akan mendapat harta berharga.
28 Hidup ada di jalan yang benar,
dan di jalan itu tidak ada yang menuju maut.
 
 
 
 
 
 
13
Bergaul dengan orang bijaksana
1 Anak yang arif memperhatikan didikan ayahnya,
tetapi pencemuh tidak mahu mendengar teguran.
2 Daripada buah perkataannya seseorang menikmati kebaikan,
tetapi orang yang khianat menginginkan kekerasan.
3 Orang yang menjaga mulutnya memelihara nyawanya,
tetapi orang yang banyak mulut akan mengalami kehancuran.
4 Hati si pemalas penuh keinginan tetapi tidak mendapat apa-apa,
tetapi hati orang rajin mendapat kepuasan berlimpah-ruah.
5 Orang benar membenci perkara dusta,
tetapi orang fasiq mungkar dan tercela tindakannya.
6 Kebenaran mengawal orang yang hidup tidak bercela,
tetapi kejahatan menghancurkan orang yang berdosa.
7 Ada orang yang berpura-pura kaya tetapi tidak punya apa-apa,
ada pula yang berpura-pura miskin tetapi banyak hartanya.
8 Kekayaan adalah tebusan nyawa seseorang,
tetapi orang miskin tidak akan mendengar ancaman.
9 Cahaya orang benar terang-benderang,
tetapi pelita orang fasiq akan padam.
10 Keangkuhan hanya mendatangkan pertengkaran,
tetapi hikmah ada pada orang yang menerima nasihat.
11 Harta hasil penipuan akan susut dengan cepat,
tetapi orang yang mengumpulkan sedikit demi sedikit akan melipatgandakannya.
12 Harapan yang tertunda menyedihkan hati,
tetapi keinginan yang termakbul ialah pokok hayat.
13 Sesiapa yang menghina firman akan membinasakan dirinya sendiri,
tetapi orang yang mentaati perintah akan mendapat pahala.
14 Ajaran orang bijaksana ialah mata air kehidupan
yang membolehkan orang menghindari jerat-jerat maut.
15 Pengertian yang baik mendatangkan kurnia,
tetapi jalan pengkhianat sarat dengan penderitaan.
16 Setiap orang yang bijaksana bertindak dengan pengetahuannya,
tetapi orang yang bodoh memperagakan kebodohannya.
17 Pesuruh yang fasiq jatuh ke dalam kesusahan,
tetapi duta yang setia membawa penyembuhan.
18 Kemiskinan dan aib akan menimpa dia yang melalaikan didikan,
tetapi penghormatan menanti orang yang mengendahkan teguran.
19 Keinginan yang termakbul begitu menyenangkan hati,
tetapi bagi orang bodoh menjauhkan diri daripada kejahatan sesuatu kekejian.
20 Orang yang bergaul dengan orang arif akan menjadi arif,
tetapi orang yang berkawan dengan orang bodoh akan menderita.
21 Malapetaka mengejar orang berdosa,
tetapi kemakmuran adalah ganjaran orang benar.
22 Orang baik meninggalkan warisan bagi anak cucunya,
tetapi kekayaan orang berdosa tersimpan bagi orang benar.
23 Ladang orang miskin menghasilkan banyak makanan,
tetapi ladang itu lenyap kerana ketidakadilan.
24 Orang yang enggan menggunakan rotan membenci anaknya,
tetapi orang yang mengasihi anaknya sanggup mengajarnya.
25 Orang benar ada kecukupan untuk memenuhi seleranya,
tetapi perut orang yang fasiq selalu merasa kekurangan.
 
 
 
 
 
 
14
Jalan yang dianggap lurus
1 Perempuan yang bijaksana membina rumahnya,
tetapi yang bodoh merobohkannya dengan tangannya sendiri.
2 Sesiapa yang hidup jujur, bertakwa kepada Allah,
tetapi orang yang menyimpang perilakunya menghina Dia.
3 Di dalam mulut orang bodoh ada rotan bagi punggungnya,
tetapi orang bijaksana dijaga oleh bibirnya.
4 Jika tidak ada lembu, maka bersihlah kandang,
tetapi dengan kekuatan lembu banyaklah hasil.
5 Saksi yang setia tidak akan berdusta,
tetapi saksi dusta menyampaikan pembohongan.
6 Si pencemuh mencari hikmah dan tidak mendapatinya,
tetapi orang yang berpengertian mudah mendapati pengetahuan.
7 Jauhilah orang bodoh,
kerana pada bibirnya tidak akan kautemukan pengetahuan.
8 Hikmah orang bijaksana adalah memahami jalan hidupnya,
tetapi kebodohan orang tolol adalah tipu daya.
9 Orang bodoh mencemuh korban yang menebus kesalahan,
tetapi kebajikan terdapat dalam kalangan yang tulus hati.
10 Hati mengetahui kepahitannya sendiri,
dan kegembiraannya tidak dapat turut dirasakan orang lain.
11 Rumah orang fasiq akan musnah,
tetapi khemah orang yang jujur akan berkembang maju.
12 aAda jalan yang dianggap orang lurus,
tetapi akhirnya menuju maut.
13 Dalam tertawa pun hati dapat berasa sakit,
dan kesukaan dapat berakhir dengan duka.
14 Orang yang hatinya menyeleweng akan mendapat balasan untuk jalannya sendiri,
dan orang yang baik untuk perbuatannya.
15 Orang yang betul bendul mempercayai segala-galanya,
tetapi orang bijaksana mempertimbangkan gerak langkahnya.
16 Orang bijaksana berwaspada dan menghindari kejahatan,
tetapi orang bodoh bongkak dan ceroboh.
Kebenaran meninggikan martabat bangsa
17 Orang yang lekas marah bertindak bodoh,
dan sesiapa yang merancang kejahatan dibenci.
18 Orang yang betul bendul mewarisi kebodohan,
tetapi orang yang bijaksana bermahkotakan pengetahuan.
19 Orang jahat tunduk kepada orang baik,
dan orang fasiq di pintu gerbang orang benar.
20 Orang miskin dibenci, bahkan oleh jirannya,
tetapi ramai sekali sahabat si orang kaya.
21 Sesiapa yang menghina jirannya berbuat dosa,
tetapi berbahagialah orang yang mengasihani fakir miskin.
22 Bukankah orang yang merancang kejahatan itu sesat?
Walhal orang yang merancang kebaikan memperoleh kasih dan kesetiaan.
23 Segala penat lelah mendatangkan keuntungan,
tetapi kata-kata kosong hanya mendatangkan kemiskinan.
24 Kekayaan ialah mahkota orang bijaksana,
tetapi kebodohan orang bodoh sekadar menghasilkan kebodohan.
25 Saksi yang bercakap benar menyelamatkan nyawa,
tetapi orang yang berdusta ialah pengkhianat.
26 Orang yang takut kepada Allah menampilkan keyakinan yang kuat,
dan anak-anaknya mendapat perlindungan.
27 Takut kepada Allah ialah mata air kehidupan,
sehingga seseorang itu dapat menghindari jerat-jerat maut.
28 Rakyat yang ramai ialah kemuliaan raja,
tetapi tanpa rakyat runtuhlah pemerintah.
29 Sesiapa yang panjang sabar, besar pengertiannya,
tetapi orang yang lekas naik darah mempamerkan kebodohan.
30 Hati yang tenteram menyegarkan tubuh,
tetapi hasad dengki mereputkan tulang.
31 Sesiapa menindas orang miskin, mencela Penciptanya,
tetapi sesiapa yang mengasihani orang yang melarat, memuliakan Dia.
32 Orang fasiq dihempaskan kerana kejahatannya,
tetapi orang benar mendapatkan pelindung dalam kematiannya.
33 Hikmah wujud dalam hati orang yang berpengertian,
bahkan dalam kalangan bodoh pun hikmah dinyatakan.
34 Kebenaran meninggikan martabat sesuatu bangsa,
tetapi dosa menjadi keaiban mana-mana sahaja bangsa.
35 Raja berkenan kepada hamba yang bijaksana,
tetapi dia murka terhadap orang yang membawa keaiban.
 
 
 
 
 
 
15
Allah melihat perlakuan di mana-mana
1 Jawapan yang lemah lembut meredakan murka,
tetapi perkataan yang tajam membangkitkan amarah.
2 Lidah orang arif menjadikan pengetahuan menarik,
tetapi mulut orang bodoh meluahkan kebodohan.
3 Allah melihat segala-segalanya di mana-mana sahaja,
memperhatikan yang jahat dan yang baik.
4 Lidah yang menenangkan ialah pokok hayat,
tetapi lidah yang memutarbelitkan mematahkan semangat.
5 Orang bodoh menolak didikan ayahnya,
tetapi orang yang mengendahkan teguran memang bijaksana.
6 Ada banyak harta benda di dalam rumah orang benar,
tetapi penghasilan orang fasiq membawa kesusahan.
7 Bibir orang bijaksana menyebarkan pengetahuan,
tetapi hati orang bodoh tidak demikian.
8 Korban sembelihan orang fasiq adalah kekejian bagi Allah,
tetapi doa orang yang tulus memang keredaan-Nya.
9 Jalan orang fasiq adalah kekejian bagi Allah,
tetapi Dia mengasihi orang yang mengejar kebenaran.
10 Hukuman yang keras menanti sesiapa yang meninggalkan jalan yang benar,
dan orang yang membenci teguran akan mati.
11 Alam barzakh dan neraka terbuka di depan Allah,
lebih-lebih lagi hati anak-anak manusia!
Mengindahkan teguran memperoleh pengertian
12 Pencemuh tidak menyukai orang yang memberikan teguran;
dia tidak mahu pergi menemui orang bijaksana.
13 Hati yang gembira membuat wajah berseri,
tetapi ketika hati berduka, patahlah semangat.
14 Hati orang yang berpengertian mencari pengetahuan,
tetapi mulut orang yang bebal menelan kebodohan.
15 Bagi orang yang tertindas hari-harinya buruk belaka,
tetapi hati yang riang sentiasa berpesta.
16 Lebih baik sedikit harta disertai dengan ketakwaan kepada Allah
daripada banyak harta disertai kekacauan.
17 Lebih baik hidangan sayur di tempat wujudnya kasih,
daripada hidangan lembu gemuk disertai kebencian.
18 Orang yang pemarah membangkitkan pertengkaran,
tetapi orang yang panjang sabar menenangkan pertikaian.
19 Jalan si pemalas ibarat pagar duri,
tetapi jalan orang yang lurus hati sebuah lebuh raya.
20 Anak yang bijaksana menyukakan ayahnya,
tetapi orang bodoh menghina ibunya.
21 Kebodohan menjadi kesukaan bagi orang yang tidak berakal budi,
tetapi orang yang berpengertian berjalan lurus.
22 Rancangan gagal kerana tidak ada nasihat,
tetapi berhasil dengan ramai penasihat.
23 Seseorang bergembira kerana jawapan yang diberikannya,
dan alangkah baiknya kata-kata yang diucap tepat pada waktunya!
24 Jalan kehidupan orang bijaksana menuju ke atas,
supaya dia menjauhi alam barzakh di bawah.
25 Allah membongkar rumah orang yang sombong,
tetapi Dia mempertahankan batas tanah seorang balu.
26 Fikiran orang durjana adalah kekejian bagi Allah,
tetapi perkataan yang menyenangkan suci bagi-Nya.
27 Orang yang tamak akan laba haram menyusahkan rumah tangganya sendiri,
tetapi orang yang membenci rasuah akan hidup.
28 Hati orang benar mempertimbangkan jawapannya,
tetapi mulut orang fasiq meluahkan hal-hal yang jahat.
29 Allah jauh daripada orang yang fasiq,
tetapi doa orang benar didengar-Nya.
30 Mata yang bercahaya menyukakan hati,
dan khabar baik menyegarkan tulang.
31 Orang yang mengendahkan teguran yang membawa pada kehidupan
akan tinggal dalam kalangan bijaksana.
32 Sesiapa menolak didikan, menghina diri sendiri,
tetapi sesiapa yang mengendahkan teguran memperoleh pengertian.
33 Takut kepada Allah adalah didikan yang mendatangkan hikmah,
dan di sebalik kehormatan terdapat kerendahan hati.
 
 
 
 
 
 
16
Segala sesuatu menurut tujuannya
1 Manusia dapat menyusun rancangan dalam hati,
tetapi jawapan lidah berasal daripada Allah.
2 Segala jalan seseorang bersih menurut pandangannya sendiri,
tetapi Allah sajalah yang menimbang niat hatinya.
3 Serahkanlah perbuatanmu kepada Allah,
maka rancanganmu akan terlaksana.
4 Allah menjadikan segala sesuatu, masing-masing untuk tujuan-Nya,
bahkan orang fasiq untuk hari malapetaka.
5 Semua yang bongkak hatinya adalah kekejian bagi Allah;
yakinlah, mereka tidak akan terlepas daripada hukuman.
6 Dengan kasih dan kesetiaan, dosa dihapuskan,
dan kerana takut kepada Allah, orang menjauhi kejahatan.
7 Jika Allah berkenan kepada jalan seseorang,
Dia membuat musuh orang itu pun berdamai dengannya.
8 Lebih baik penghasilan sedikit dengan kebenaran,
daripada penghasilan banyak tanpa keadilan.
9 Hati manusia merancang jalannya,
tetapi Allah sajalah yang menentukan langkahnya.
Mahkota yang mulia
10 Pernyataan ilahi ada pada bibir raja,
dalam perkara hukum mulutnya tidak akan berbuat mungkar.
11 Timbangan dan neraca yang benar memang milik Allah,
dan semua batu timbangan dalam pundi-pundi adalah ciptaan-Nya.
12 Perbuatan yang jahat adalah kekejian bagi raja,
kerana takhta kerajaan ditegakkan oleh kebenaran.
13 Bibir yang berkata benar adalah kesukaan raja,
dia mengasihi orang yang jujur perkataannya.
14 Murka raja bagaikan malaikat maut,
tetapi orang yang bijaksana akan meredakannya.
15 Di wajah raja yang bersinar ada kehidupan,
dan kebaikannya seperti awan yang membawa hujan akhir musim.
16 Alangkah lebih baik memperoleh kebijaksanaan daripada emas,
memperoleh pengertian patut lebih dipilih daripada perak!
17 Jalan orang yang tulus menjauhi kejahatan,
dan sesiapa menjaga jalannya, memelihara nyawanya.
18 Keangkuhan mendahului kehancuran,
dan hati yang sombong mendahului kejatuhan.
19 Lebih baik merendahkan diri dengan orang miskin,
daripada membahagi-bahagikan jarahan dengan orang sombong.
20 Sesiapa yang mengendahkan firman akan mendapat kebajikan,
dan berbahagialah orang yang percaya kepada Allah.
21 Orang yang bijak hati disebut orang berpengertian,
dan bicara manis meningkatkan pembelajaran.
22 Akal budi itu mata air kehidupan bagi dia yang memilikinya,
tetapi orang bodoh terseksa oleh kebodohannya.
23 Hati orang bijaksana memimpin mulutnya menjadi bijaksana,
dan menjadikan ucapan bibirnya lebih meyakinkan.
24 Kata-kata yang menyenangkan seperti sarang lebah madu,
manis bagi jiwa dan menyembuhkan tulang.
25 aAda jalan yang dianggap orang sebagai lurus,
tetapi akhirnya menuju maut.
26 Rasa lapar seorang pekerja mendorongnya bekerja,
kerana perutnya terus mendesaknya.
27 Orang yang tidak berguna mencungkil kejahatan,
dan di bibirnya bagaikan ada api yang menghanguskan.
28 Orang yang suka memutarbalikkan sesuatu menimbulkan pertengkaran,
dan pemfitnah menceraikan sahabat yang karib.
29 Orang yang suka kekerasan memujuk jirannya,
dan membawanya ke jalan yang tidak baik.
30 Sesiapa yang sengaja mengenyitkan matanya merancang tipu muslihat,
dan orang yang menggigit bibirnya telah pun melakukan kejahatan.
31 Rambut yang beruban ialah mahkota yang mulia,
yang didapati pada jalan kebenaran.
32 Orang yang panjang sabar lebih baik daripada seorang kesateria,
dan orang yang menguasai dirinya lebih baik daripada dia yang merebut kota.
33 Undi dicabut ke dalam pangkuan,
tetapi Allah sajalah yang menentukan setiap keputusannya.
 
 
 
 
 
 
17
Allah menguji hati
1 Lebih baik sepotong roti kering dengan kesentosaan
daripada jamuan makan serumah penuh dengan perbalahan.
2 Hamba yang bijaksana akan menguasai si anak yang membuat malu,
dan akan mendapat bahagian warisan sebagai salah seorang saudara anak itu.
3 Mangkuk pijar untuk perak dan relau untuk emas,
tetapi Allah menguji hati.
4 Orang yang berbuat jahat mematuhi ucapan bibir yang jahat,
dan si pembohong memasang telinga kepada lidah yang bertutur jahat.
5 Siapa mengolok-olokkan orang miskin, mencela Penciptanya,
dan sesiapa yang gembira kerana sesuatu bencana, tidak terlepas daripada hukuman.
6 Anak cucu mahkota bagi kalangan tua-tua,
dan kemuliaan anak-anak adalah leluhur mereka.
7 Bicara yang indah tidak patut bagi orang yang betul bendul,
apatah lagi bicara dusta bagi orang yang mulia.
8 Kepada pemberinya, rasuah itu bagaikan permata yang indah,
ke mana-mana pun dia berpaling, dia beruntung jua.
9 Sesiapa yang menutupi pelanggaran orang mengejar kasih,
tetapi orang yang mengungkit-ungkit sesuatu hal menceraikan sahabat yang karib.
10 Kesan sebuah herdikan lebih mendalam bagi orang yang berpengertian
melebihi seratus pukulan atas orang yang bebal.
11 Orang yang jahat memberontak hanya mencari kederhakaan,
maka utusan yang bengis akan dikirim kepadanya.
12 Lebih baik bertemu dengan beruang yang kehilangan anak,
daripada bertemu dengan orang yang betul bendul dengan kebodohannya.
13 Bagi sesiapa yang membalas kebaikan dengan kejahatan,
kejahatan tidak akan meninggalkan rumahnya.
14 Permulaan pertengkaran adalah seperti membuka aliran air,
sebab itu berhentilah sebelum perbalahan meledak.
15 Membebaskan orang yang mungkar dan menyalahkan orang warak,
kedua-duanya adalah kekejian bagi Allah.
16 Apa gunanya wang di tangan orang bodoh,
kerana dia tidak berniat untuk mendapat hikmah?
Semangat yang patah mengeringkan tulang
17 Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu,
dan seorang saudara lahir untuk masa menghadapi kesukaran.
18 Orang yang tidak berakal budi membuat perjanjian menaja jamin,
dan menjadi penjamin bagi jirannya.
19 Orang yang menyukai pelanggaran suka juga kepada pertengkaran,
dan orang yang meninggikan pintunya menempah kehancuran.
20 Orang yang bengkok hatinya tidak akan mendapat kebajikan,
dan orang yang lidahnya berdolak-dalik akan jatuh ke dalam bencana.
21 Sesiapa yang mendapat anak yang bebal, mendapat duka,
dan ayah kepada si tolol tidak akan bersukacita.
22 Hati yang gembira adalah ubat yang baik,
tetapi semangat yang patah mengeringkan tulang.
23 Orang fasiq menerima rasuah secara sembunyi-sembunyi
untuk menyelewengkan jalan keadilan.
24 Hikmah ada di hadapan orang yang berpengertian,
tetapi mata orang bodoh melayang sampai ke hujung bumi.
25 Anak yang bodoh mendukakan ayahnya,
dan memahitkan hati ibu yang melahirkannya.
26 Tidaklah baik menghukum orang benar,
atau menyesah orang yang mulia kerana ketulusannya.
27 Orang yang berpengetahuan mengawal kata-katanya,
dan orang yang berpengertian tenang jiwanya.
28 Orang bodoh pun disangka arif jika dia berdiam diri,
dan disangka cerdas jika dia mengatupkan bibirnya.
 
 
 
 
 
 
18
Seumpama palang pintu sebuah puri
1 Orang yang mengasingkan diri mencari keinginannya sendiri;
betapa kukuh pun pertimbangan dipertikaikannya.
2 Orang bebal tidak suka kepada pengertian,
dia hanya ingin mencurahkan isi hatinya.
3 Kefasiqan turut diiringi penghinaan,
berserta dengan aib dan celaan.
4 Kata-kata mulut orang seperti air yang dalam,
tetapi sumber hikmah seperti aliran air yang memancar.
5 Tidaklah baik memihak kepada orang fasiq
dan mengetepikan hak orang benar dalam pengadilan.
6 Bibir orang bodoh menerbitkan persengketaan,
dan mulutnya berseru-seru meminta tamparan.
7 Mulut orang bodoh punca kehancurannya,
dan bibirnya menjadi jerat bagi jiwanya.
8 Kata-kata pemfitnah seperti makanan lazat,
semuanya turun jauh ke dalam lubuk hati orang.
9 Orang yang malas dalam pekerjaannya
memanglah saudara kepada si perosak.
10 Nama Allah ialah menara yang kukuh,
orang benar lari ke sana dan mendapat keselamatan.
11 Harta kekayaan ialah benteng bagi orang kaya,
dan seperti tembok yang tinggi menurut sangkaannya.
12 Kesombongan mendahului kehancuran,
tetapi kerendahan hati mendahului kehormatan.
13 Sesiapa yang memberikan jawapan sebelum mendengar,
itulah kebodohan dan kecelaan baginya.
14 Semangat menguatkan seseorang dalam kesakitan,
tetapi jika patah semangatnya, siapalah yang dapat bertahan?
15 Hati orang yang berpengertian memperoleh pengetahuan,
dan telinga si bijaksana mencari pengetahuan.
16 Pemberian seseorang memberikan tempat yang luas baginya,
dan membawanya ke hadapan orang besar.
17 Orang yang mula-mula mengadukan perkaranya tampak benar,
sehingga kemudian datang orang lain mengujinya.
18 Cabutan undi menghentikan pertengkaran,
dan meleraikan pihak yang sama-sama kuat.
19 Saudara yang dikhianati lebih sulit didekati daripada kota benteng,
dan pertengkaran seumpama palang-palang pintu sebuah puri.
20 Daripada buah mulutnya seseorang dikenyangkan,
dan puaslah dia dengan hasil pengucapan lidahnya.
21 Hidup dan mati ada dalam kuasa lidah,
orang yang menyukainya akan memakan buahnya.
22 Sesiapa yang mendapat isteri, mendapat sesuatu yang baik;
serta memperoleh keredaan Allah.
23 Orang miskin memohon dan merayu,
tetapi orang kaya menjawab dengan kasar.
24 Orang yang ramai sangat temannya boleh membinasakan dirinya,
tetapi ada sahabat yang lebih karib daripada saudara sendiri.
 
 
 
 
 
 
19
Berpegang teguh pada pengertian
1 Lebih baik orang miskin yang hidup dalam keikhlasan
daripada orang bodoh yang kata-katanya penuh tipuan.
2 Bersemangat pun tidak baik jika tanpa pengetahuan,
dan orang yang terburu-buru melangkah akan tersesat.
3 Kebodohan seseorang menyesatkan jalannya,
lalu hatinya gusar terhadap Allah.
4 Kekayaan akan memperbanyak sahabat,
tetapi orang miskin ditinggalkan oleh kawannya.
5 Saksi dusta tidak akan terlepas daripada hukuman,
dan orang yang berbohong tidak akan terselamat.
6 Ramai orang yang meminta belas kasihan daripada orang yang pemurah,
dan setiap orang hendak bersahabat dengan si pemberi hadiah.
7 Orang miskin dibenci oleh semua saudaranya, apatah lagi para sahabatnya; mereka menjauhkan diri daripadanya.
Dia mengejar sambil memohon,
tetapi mereka tidak ada lagi.
8 Sesiapa memperoleh hikmah, mengasihi jiwanya sendiri,
dan orang yang berpegang teguh pada pengertian akan memperoleh kebajikan.
9 Seorang saksi dusta tidak akan terlepas daripada hukuman,
dan orang yang berbohong akan binasa.
10 Memang kemewahan tidak sesuai bagi orang bodoh,
lebih tidak sesuai lagi seorang hamba memerintah pembesar.
11 Kebijaksanaan seseorang menjadikannya panjang sabar,
dan kemuliaannya adalah mengampunkan pelanggaran.
12 Murka raja laksana ngauman seekor singa,
tetapi kebaikannya ibarat embun di atas rumput.
13 Anak yang bodoh membawa bencana bagi ayahnya,
dan isteri yang suka berbantah ibarat air yang terus menitik.
14 Rumah dan harta warisan nenek moyang,
tetapi isteri yang bijaksana kurnia Allah.
15 Kemalasan membawa tidur lelap,
dan orang yang menganggur akan kelaparan.
16 Sesiapa yang mentaati perintah memelihara jiwanya,
tetapi orang yang cuai, jalannya akan mati.
17 Sesiapa mengasihani orang miskin memberikan pinjaman kepada Allah,
dan Dia akan membalas jasa baiknya itu.
Jika engkau berhenti mendengar didikan
18 Selagi ada harapan, didiklah anakmu agar bertatatertib,
tetapi janganlah engkau menghendaki kematiannya.
19 Orang yang cepat marah akan menanggung hukuman,
jika engkau menolongnya, perlulah engkau berulang kali berbuat begitu.
20 Dengarlah nasihat dan terimalah didikan,
supaya pada akhirnya engkau menjadi bijaksana.
21 Ada banyak rancangan dalam hati manusia,
tetapi keputusan Allah sajalah yang terlaksana.
22 Apa yang diinginkan pada seseorang ialah kasih setianya;
lebih baik menjadi orang miskin daripada menjadi seorang pembohong.
23 Takut kepada Allah membawa kepada kehidupan,
maka orang dapat bermalam dengan puas, tidak terusik oleh kejahatan.
24 Si pemalas mencelup tangannya ke dalam pinggan,
tetapi tidak membawanya semula ke mulutnya.
25 Pukullah pencemuh, maka si betul bendul akan menjadi arif;
tegurlah orang yang berpengertian, maka dia akan memahami pengetahuan.
26 Sesiapa yang merampas harta ayahnya dan mengusir ibunya
adalah anak yang memalukan dan tercela.
27 Hai anakku, jika engkau berhenti mendengar didikan,
maka engkau terus menyimpang daripada kata-kata berisi pengetahuan.
28 Saksi yang tidak berguna mencemuh keadilan,
dan mulut orang fasiq menelan kejahatan.
29 Hukuman tersedia bagi pencemuh,
dan sebatan bagi belakang orang bodoh.
 
 
 
 
 
 
20
Siapa dapat menemukannya?
1 Air anggur itu pencemuh, minuman keras itu membuat gaduh,
sesiapa yang terperdaya olehnya sememangnya tidak bijaksana.
2 Murka raja laksana ngauman sang singa,
sesiapa membangkitkan amarahnya, kehilangan nyawanya.
3 Terhormatlah orang yang menjauhi persengketaan,
tetapi setiap orang yang bodoh suka berbantah.
4 Pada musim dingin si pemalas enggan membajak kerana kesejukan.
Maka dia mencari hasil pada musim menuai dan tidak mendapat apa-apa.
5 Niat yang terkandung dalam hati manusia seumpama air yang dalam,
tetapi orang yang berpengertian dapat menyelaminya.
6 Ramailah orang mencanangkan fasal kesetiaan mereka,
tetapi siapakah yang dapat menemui orang yang betul-betul setia?
7 Orang benar yang hidup dalam keikhlasan,
begitu berbahagia sekali keturunannya!
8 Raja yang duduk di atas kerusi pengadilan,
menyingkirkan segala kejahatan dengan matanya.
9 Siapa dapat berkata, “Aku telah menyucikan hatiku,
dan aku tahir daripada dosaku”?
10 Batu timbangan dan sukatan yang berbeza-beza,
kedua-duanya kekejian bagi Allah.
11 Kanak-kanak pun dapat dikenal melalui perbuatannya,
sama ada kelakuannya bersih dan jujur ataupun tidak.
Permata yang paling bernilai
12 Telinga yang mendengar dan mata yang melihat,
kedua-duanya dijadikan oleh Allah.
13 Janganlah suka tidur, supaya engkau tidak menjadi miskin,
bukalah matamu, maka engkau akan berlebihan makanan.
14 Kata si pembeli, “Tidak baik! Tidak baik!”
Tetapi, setelah pergi berbanggalah dia.
15 Ada emas dan banyak batu permata,
tetapi bibir yang berpengetahuan ialah permata yang paling bernilai.
16 Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang lain, ambillah pakaiannya,
dan tahanlah dia sebagai jaminan ganti orang asing.
17 Roti hasil tipu daya sedap rasanya bagi seseorang,
tetapi kemudian mulutnya penuh dengan batu kerikil.
18 Rancangan terlaksana dengan adanya nasihat;
dan berperanglah dengan pimpinan yang ampuh.
19 Seseorang yang ke sana ke mari sebagai pemfitnah membuka rahsia,
maka janganlah bersekongkol dengan orang yang bocor mulut.
20 Sesiapa yang mengutuk ayahnya atau ibunya,
pelitanya akan dipadamkan ketika gelap gelita.
21 Harta warisan yang mula-mulanya diperoleh dengan segera,
akhirnya tidak diberkati.
Segala hal dalam batin manusia
22 Jangan berkata, “Aku hendak membalas kejahatan!”
Nantikanlah Allah, maka Dia akan menyelamatkanmu.
23 Batu timbangan yang berbeza-beza adalah kekejian bagi Allah,
dan neraca tipuan tidaklah baik.
24 Langkah-langkah manusia ditentukan oleh Allah.
Maka bagaimana manusia dapat mengerti jalannya sendiri?
25 Terjeratlah seseorang yang terburu-buru mengatakan sesuatu itu “Suci,”
dan hanya memikirkannya semula setelah dia bernazar.
26 Raja yang bijak menyingkirkan orang fasiq,
lalu mengirik mereka secara berulang-ulang.
27 Roh manusia seumpama pelita Allah,
yang menyelami seluruh sanubarinya.
28 Kasih kurnia dan kesetiaan melindungi raja,
belas kasihan pula menopang takhtanya.
29 Kemuliaan orang muda adalah kekuatannya,
dan kehormatan tua-tua ialah uban mereka.
30 Bilur-bilur luka mengumbah kejahatan,
dan pukulan pula membersihkan sanubari.
 
 
 
 
 
 
21
Melakukan kebenaran dan keadilan
1 Hati raja seumpama anak sungai di dalam tangan Allah,
dialirkan-Nya ke mana sahaja Dia kehendaki.
2 Setiap jalan orang lurus menurut pandangannya sendiri,
tetapi Allah sajalah yang menimbang hati.
3 Melakukan yang benar dan adil lebih disukai
Allah daripada korban sembelihan.
4 Mata yang sombong dan hati yang bongkak,
iaitu pelita orang fasiq, adalah dosa.
5 Rancangan orang rajin hanya mendatangkan keuntungan,
tetapi setiap orang yang terburu-buru hanya akan berkekurangan.
6 Harta yang diperoleh dengan lidah dusta
seperti wap yang lenyap bagi orang yang mengejar maut.
7 Keganasan orang fasiq menyeret mereka sendiri,
kerana mereka enggan melakukan keadilan.
8 Jalan orang yang bersalah bengkang-bengkok,
tetapi langkah orang yang ikhlas adalah lurus.
9 Lebih baik tinggal di sudut bumbung rumah
daripada serumah dengan isteri yang suka bertengkar.
10 Hati orang fasiq menginginkan kejahatan,
tidak ada belas kasihan di matanya bagi jirannya.
11 Jika pencemuh dihukum, si betul bendul menjadi bijaksana,
dan jika orang bijaksana diajar, dia memperoleh pengetahuan.
12 Yang Maha Benar memperhatikan rumah orang fasiq,
lalu menjatuhkan orang fasiq itu ke dalam kehancuran.
13 Sesiapa menutup telinganya terhadap jeritan orang miskin,
tidak akan dijawab ketika dia sendiri berseru-seru.
14 Pemberian secara diam-diam memadamkan amarah,
rasuah secara bersembunyi-sembunyi meredakan murka besar.
15 Melakukan keadilan adalah kesukaan bagi orang benar,
tetapi menakutkan bagi orang yang berbuat jahat.
16 Orang yang menyimpang dari jalan kebijaksanaan,
akan tinggal di perhimpunan para arwah.
Kemenangan dari Allah
17 Orang yang suka bersenang-senang akan menjadi si miskin,
dan sesiapa menyukai air anggur serta minyak, tidak akan kaya.
18 Orang fasiq menjadi tebusan bagi orang benar,
dan pengkhianat bagi orang yang lurus hati.
19 Lebih baik tinggal di gurun
daripada bersama isteri yang suka bertengkar dan pemarah.
20 Ada harta yang berharga dan minyak di dalam rumah orang bijaksana,
tetapi orang bodoh memboroskan hartanya.
21 Sesiapa mengejar kebenaran dan kasih
akan menemukan kehidupan, kejayaan, dan kehormatan.
22 Orang bijaksana dapat menyerang kota para kesateria perkasa,
dan merobohkan benteng-benteng yang diharapkan mereka.
23 Sesiapa menjaga mulut dan lidahnya,
menjaga jiwanya daripada malapetaka.
24 Orang yang angkuh dan sombong itu “pencemuh” namanya;
dia bertindak amat biadab dan sangat angkuh!
25 Keinginan si pemalas membunuh dirinya,
kerana tangannya enggan bekerja.
26 Sepanjang hari dia terus menginginkan sesuatu,
tetapi orang benar terus memberi tanpa menahan dirinya.
27 Korban sembelihan orang fasiq adalah kekejian,
apatah lagi jika dipersembahkan dengan niat jahat.
28 Saksi dusta akan binasa,
tetapi orang yang taat dan patuh akan terus berbicara.
29 Orang yang fasiq menebalkan mukanya,
tetapi orang yang lurus hati mengatur jalannya.
30 Tidak ada kebijaksanaan, tidak ada pengertian,
dan tidak ada pertimbangan yang dapat melawan Allah.
31 Kuda diperlengkap untuk hari peperangan,
tetapi kemenangan berasal daripada Allah.
 
 
 
 
 
 
22
Pada masa tuanya tidak akan menyimpang
1 Nama baik patut lebih didambakan daripada banyak harta,
dihargai orang lebih baik daripada perak dan emas.
2 Orang kaya dan orang miskin mempunyai kesamaan:
Allah yang menjadikan mereka semua.
3 Orang yang bijaksana melihat bahaya lalu bersembunyi,
tetapi orang betul bendul berjalan terus lalu menderita akibatnya.
4 Ganjaran atas sifat rendah hati dan ketakwaan kepada Allah
ialah kekayaan, kehormatan, dan kehidupan.
5 Duri dan jerat ada di jalan orang yang menyeleweng,
tetapi sesiapa yang memelihara nyawanya, menjauhi semua itu.
6 Didiklah seorang anak di jalan yang patut dilaluinya,
maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu.
7 Orang kaya menguasai orang miskin,
dan si penghutang menjadi hamba kepada si pemiutang.
8 Sesiapa yang menyemai kezaliman akan menuai kesia-siaan,
dan rotan amarahnya akan binasa.
9 Orang yang murah hati akan diberkati,
kerana dia berkongsi makanannya dengan orang miskin.
10 Usirlah si pencemuh, maka pertengkaran turut pergi,
dan berakhirlah pertikaian serta kutukan.
11 Sesiapa yang menyukai kesucian hati
dan santun bicaranya akan menjadi sahabat raja.
12 Mata Allah memelihara pengetahuan,
tetapi Dia memusnahkan kata-kata si pengkhianat.
13 Kata si pemalas, “Ada singa di luar!
Aku akan dibunuhnya di tengah-tengah jalan.”
14 Mulut si perempuan penzina sebuah jebak yang dalam;
orang yang dimurkai Allah akan jatuh ke dalamnya.
15 Kebodohan melekat dalam hati anak-anak,
tetapi rotan didikan akan mengenyahkannya daripada mereka.
16 Sesiapa menindas orang miskin untuk memperkaya diri
atau memberikan hadiah kepada orang kaya, hanya akan menderita kemiskinan.
Petua-petua orang bijak
Orang yang terampil dalam pekerjaannya
Petua 1
17 Pasanglah telingamu dan dengarlah kata-kata orang bijaksana;
perhatikan pengetahuanku!
18 Kerana akan menyenangkan jika itu engkau memegang teguh dalam hatimu,
dan jika semua itu tersedia pada bibirmu.
19 Supaya kepercayaanmu sepenuhnya kepada Allah,
maka aku memberitahukan kepadamu pada hari ini, ya kepadamu.
20 Bukankah aku telah menuliskan kepadamu tiga puluh pepatah,
iaitu nasihat serta pengetahuan,
21 untuk mengajar kamu kata-kata yang benar dan dapat dipegang,
sehingga engkau dapat memberikan jawapan yang tepat kepada orang yang menyuruhmu?
Petua 2
22 Jangan rompak orang miskin kerana dia tidak berdaya,
dan jangan hancurkan orang yang tertindas di sidang pengadilan,
23 kerana Allah akan membela perkara mereka,
lalu merampas orang yang merampasi mereka.
Petua 3
24 Jangan bersahabat dengan pemarah,
atau bergaul dengan orang yang panas baran,
25 supaya jangan engkau meniru tingkah lakunya
lalu jiwamu terjerat.
Petua 4
26 Jangan menjadi orang yang menaja jamin,
yang menjadi penjamin bagi hutang orang lain.
27 Jika engkau tidak mempunyai apa-apa pun untuk membayarnya,
mengapa tempat tidurmu harus diambil daripadamu?
Petua 5
28 Jangan pindahkan batas tanah lama
yang ditetapkan oleh para leluhurmu.
Petua 6
29 Adakah engkau memperhatikan orang yang mahir dalam pekerjaannya?
Dia akan menghadap raja-raja, bukan berdiri di hadapan orang bawahan.
 
 
 
 
 
 
23
Jadilah orang bijaksana
Petua 7
1 Apabila engkau duduk makan dengan seorang penguasa,
perhatikanlah baik-baik apa yang ada di hadapanmu.
2 Tempatkanlah pisau pada lehermu,
jika engkau seorang yang rakus.
3 Jangan ingini makanannya yang sedap,
kerana makanan itu tipuan.
Petua 8
4 Jangan bersusah payah untuk menjadi kaya,
jadilah bijaksana dan batalkan niat sedemikian.
5 Jika kaupandang sekilas, kekayaan itu lenyap,
kerana pasti akan bersayap
lalu terbang ke langit seperti rajawali.
Petua 9
6 Jangan makan roti orang yang kikir,
dan jangan ingini makanannya yang sedap-sedap,
7 kerana dia seperti orang yang selalu menghitung-hitung dalam hati.
Katanya kepadamu, “Makanlah dan minumlah,”
tetapi hatinya tidak tulus terhadapmu.
8 Sepotong yang telah kaumakan akan kaumuntahkan,
dan sia-sia sahaja kata pujianmu yang manis itu.
Petua 10
9 Jangan berkata-kata di telinga orang bodoh,
kerana dia akan menghina kata-katamu yang bijaksana.
Petua 11
10 Jangan pindahkan batas tanah lama,
dan jangan masuki ladang anak-anak yatim,
11 kerana Penebus mereka kuat,
dan Dia akan membela perkara mereka melawanmu.
Petua 12
12 Arahkanlah hatimu kepada didikan,
dan telingamu kepada kata-kata pengetahuan.
Petua 13
13 Jangan enggan menertibkan anakmu,
walaupun engkau memukulnya dengan rotan, dia tidak akan mati.
14 Engkau memukul dia dengan rotan,
dan rohnya engkau selamatkan daripada alam barzakh.
Petua 14
15 Hai anakku, jika hatimu bijaksana,
hatiku juga gembira.
16 Batinku pun bersuka ria
ketika bibirmu berkata perkara benar.
Petua 15
17 Janganlah hatimu menaruh hasad dengki terhadap orang yang berdosa,
tetapi takutlah kepada Allah selalu,
18 kerana sesungguhnya ada masa depan,
dan pengharapanmu tidak akan putus.
Belilah kebenaran
Petua 16
19 Dengarlah, hai anakku, dan jadilah bijaksana,
tujukanlah hatimu ke jalan yang benar.
20 Jangan berada bersama-sama pemabuk
atau orang yang rakus makan daging,
21 kerana peminum dan orang yang rakus menjadi miskin,
dan rasa mengantuk membuat orang berpakaian compang-camping.
Petua 17
22 Dengarlah ayahmu, dia yang berolehmu,
dan janganlah menghina ibumu pada masa tuanya.
23 Belilah kebenaran dan jangan menjualnya,
peroleh juga kebijaksanaan, didikan, dan pengertian.
24 Ayah orang benar akan sangat gembira. Orang yang memiliki anak bijaksana akan bersukacita kerananya.
25 Biarlah ayah dan ibumu bersukacita,
dan biarlah dia yang melahirkanmu bersukacita.
Petua 18
26 Hai anakku, berikanlah hatimu kepadaku,
dan biarlah matamu menyukai jalan-jalanku.
27 Kerana mulut perempuan lucah adalah lubang yang dalam,
dan perempuan penzina ialah sumur yang sempit.
28 Bahkan dia menunggu seperti penyamun,
dan menambah jumlah pengkhianat dalam kalangan manusia.
Petua 19
29 Siapa sengsara? Siapa menderita?
Siapa berbantah-bantah? Siapa yang mengeluh?
Siapa luka tanpa sebab? Siapa yang merah matanya?
30 Mereka yang berlengah-lengah dengan air anggur,
dan yang pergi mencari air anggur campuran.
31 Jangan lirik air anggur ketika merah warnanya,
meskipun berkilau-kilauan di dalam gelas,
dan akan dengan lancar mengalir masuk.
32 Pada akhirnya air anggur itu memagut seperti ular,
dan menyemburkan racun seperti ular berbisa.
33 Matamu akan melihat hal-hal yang aneh,
dan fikiranmu mengutarakan hal-hal yang kacau.
34 Engkau akan seperti orang yang berbaring di tengah laut,
seperti orang yang berbaring di puncak tiang kapal.
35 Engkau akan berkata, “Orang memukulku, tetapi aku tidak kesakitan,
orang memalu aku, tetapi aku tidak merasakannya.
Bila aku akan bangun?
Aku akan mencari air anggur lagi.”
 
 
 
 
 
 
24
Ada masa hadapan
Petua 20
1 Jangan iri hati terhadap orang yang jahat,
dan jangan ingin bergaul dengan mereka,
2 kerana hati mereka memikirkan keganasan,
dan bibir mereka membicarakan kejahatan.
Petua 21
3 Dengan hikmah rumah dibina,
dan dengan pengertian dikukuhkan.
4 Dengan pengetahuan bilik-bilik dipenuhi
dengan segala harta yang berharga dan indah.
Petua 22
5 Orang bijaksana memiliki kuasa,
dan orang yang berpengetahuan memantapkan kekuatan.
6 Kerana dengan bimbingan engkau dapat berperang,
dan jika banyak penasihat, ada kemenangan.
Petua 23
7 Hikmah terlalu tinggi bagi orang bodoh,
tidak berani dia membuka mulutnya di sidang pengadilan.
Petua 24
8 Sesiapa merancang kejahatan
akan disebut dalang.
9 Rancangan yang bodoh adalah dosa,
dan pencemuh adalah kekejian bagi manusia.
Petua 25
10 Jika semangatmu lemah pada masa kesesakan,
kecillah kekuatanmu.
11 Lepaskanlah mereka yang ditawan untuk dibunuh,
dan tahanlah mereka yang terhuyung-huyung menuju pembantaian.
12 Jika engkau berkata, “Sungguh, kami tidak tahu hal itu!”
Bukankah Dia, yang menguji hati, memahaminya?
Bukankah Dia, yang memelihara nyawamu, mengetahuinya?
Bukankah Dia akan membalas setiap orang menurut perbuatannya?
Petua 26
13 Hai anakku, makanlah madu, kerana itu baik,
dan titisan madu manis dari sarang lebah manis untuk dikecapi.
14 Ketahuilah bahawa demikianlah hikmah bagi jiwamu:
jika engkau mendapatkannya, maka ada masa depan,
dan harapanmu tidak akan lenyap.
Petua 27
15 Jangan membidik kediaman orang benar seperti orang fasiq,
jangan rosakkan tempat tinggalnya.
16 Walaupun orang benar jatuh tujuh kali, dia akan bangkit lagi,
tetapi orang fasiq dimusnahkan oleh malapetaka.
Petua 28
17 Jangan bersuka ria ketika musuhmu jatuh,
dan janganlah hatimu gembira ketika dia tersandung,
18 supaya jangan Allah melihat hal itu dan berasa tidak senang,
sehingga Dia memalingkan murka-Nya daripada orang itu.
Petua 29
19 Jangan sebal hati kerana orang yang berbuat jahat,
dan jangan iri hati terhadap orang yang fasiq,
20 kerana tidak ada masa depan bagi orang yang jahat,
dan pelita orang yang fasiq akan padam.
Petua 30
21 Hai anakku, takutlah kepada Allah dan raja,
dan jangan bergabung dengan para pemberontak,
22 kerana kedua-duanya dapat menimbulkan bencana dengan tiba-tiba,
dan siapa yang tahu kemalangan apa yang datang daripada kedua-duanya?
Mengambil iktibar
23 Ini juga pepatah-pepatah orang bijaksana:
Tidaklah baik bersikap berat sebelah dalam pengadilan.
24 Sesiapa yang berkata kepada orang fasiq, “Engkau benar,”
dia akan dikutuk oleh umat dan disumpah oleh suku-suku bangsa.
25 Tetapi sesiapa menegur orang fasiq itu akan disukai,
dan berkat melimpah akan datang ke atasnya.
26 Sesiapa memberikan jawapan yang tepat,
seperti memberikan ciuman di bibir.
27 Aturlah pekerjaanmu di luar,
siapkanlah ladangmu,
kemudian baru bina rumahmu.
28 Janganlah menjadi saksi terhadap jiranmu tanpa alasan,
atau memperdaya dengan bibirmu.
29 Jangan berkata, “Sebagaimana dia berbuat atasku, akan kubalas setimpal atasnya juga.
Aku membalas orang selaras dengan perbuatannya.”
30 Aku lalu di ladang seorang pemalas,
serta berdekatan kebun anggur seorang yang kurang akal.
31 Lihatlah, duri tumbuh di seluruh tempat itu,
permukaan tanahnya diliputi jelatang,
dan pagar batunya telah roboh.
32 Aku memandangnya dan merenungkan hal itu;
aku melihatnya lalu mengambil iktibar.
33 a“Tidur sebentar, mengantuk sebentar,
lipat tangan sebentar untuk berbaring.”
34 Maka kemiskinan mendatangimu seperti pencuri,
dan kesempitan seperti orang bersenjata.
 
 
 
 
 
 
25
Pepatah-pepatah lainnya dari Nabi Sulaiman
Epal emas dalam pinggan perak
1 Ini juga pepatah-pepatah Sulaiman yang disalin oleh para pegawai Hizkia, raja Yudah:
2 Kemuliaan Allah adalah merahsiakan suatu perkara,
tetapi kemuliaan para raja adalah menyelidiki suatu perkara.
3 Seperti tingginya langit dan dalamnya bumi,
demikianlah hati para raja tidak dapat diselidiki.
4 Singkirkanlah tahi leburan daripada perak,
maka terhasillah barang yang indah oleh tukang perak.
5 Singkirkanlah orang fasiq dari hadapan raja,
maka takhtanya akan kukuh dalam kebenaran.
6 aJangan membesarkan diri di hadapan raja,
dan jangan berdiri di tempat para dif terulung,
7 kerana lebih baik orang berkata kepadamu, “Naiklah ke mari,”
daripada engkau direndahkan di hadapan orang mulia
yang matamu telah lihat sendiri.
8 Janganlah terburu-buru membawa hal ke pengadilan,
kerana apakah yang dapat kaulakukan pada akhirnya
jika lawanmu mengaibkan kamu?
9 Bicarakanlah perkaramu dengan jiranmu,
tetapi jangan buka rahsia orang lain,
10 supaya engkau tidak dicela oleh orang yang mendengar,
dan nama kamu buruk selama-lamanya.
11 Seperti buah epal emas bertata perak,
demikianlah kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya.
12 Seperti anting-anting emas dan perhiasan emas,
demikianlah teguran yang bijaksana bagi telinga yang mendengarnya.
13 Seperti sejuk salji pada musim menuai,
demikianlah duta yang setia bagi orang yang mengutusnya;
dia menyegarkan hati tuannya.
14 Seperti awan dan angin yang tidak ada hujan,
demikianlah orang yang bercakap besar fasal hadiah yang tidak pernah diberikannya.
15 Dengan kesabaran seorang penguasa pun dapat diyakinkan,
dan lidah yang lembut dapat mematahkan tulang.
16 Kalau engkau mendapat madu, makanlah secukupnya.
Jangan sampai terlalu kenyang lalu muntah.
Jikalau musuhmu lapar
17 Janganlah sering pergi ke rumah jiranmu,
supaya jangan dia jemu lalu membencimu.
18 Seperti belantan, pedang, atau anak panah yang tajam,
demikianlah orang yang bersaksi dusta atas jirannya.
19 Seperti gigi yang patah dan kaki yang tergeliat,
demikianlah kepercayaan kepada pengkhianat pada masa kesesakan.
20 Seperti orang yang menanggalkan pakaian pada hari dingin
dan seperti cuka pada garam abu,
demikianlah orang yang bernyanyi untuk hati yang berdukacita.
21 bJika musuhmu lapar, berilah dia makan,
dan jika dia dahaga, berilah dia minum,
22 kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya,
dan Allah pun akan memberimu pahala.
23 Angin utara menghasilkan hujan,
dan lidah fitnah menghasilkan muka marah.
24 Lebih baik tinggal di sudut bumbung rumah
daripada serumah dengan isteri yang suka bertengkar.
25 Seperti air sejuk bagi jiwa yang lelah,
demikianlah khabar baik dari negeri yang jauh.
26 Seperti mata air yang kotor atau pancuran air yang cemar,
demikianlah orang benar yang goyah di hadapan orang fasiq.
27 Tidak baik makan madu banyak-banyak,
demikian juga tidak terhormat orang yang mencari kehormatan diri.
28 Seperti kota terbongkar yang tidak punya tembok,
demikianlah orang yang tidak mengawal dirinya.
 
 
 
 
 
 
26
Pepatah di mulut orang bodoh
1 Seperti salji pada musim kemarau dan hujan pada musim menuai,
demikianlah kehormatan tidak patut bagi orang bodoh.
2 Seperti tangkasnya terbang burung pipit dan mengapungnya burung layang-layang,
demikianlah kutukan tanpa alasan tidak akan hinggap pada sasarannya.
3 Cemeti bagi kuda, kekang bagi keldai,
dan rotan bagi belakang si orang bodoh.
4 Jangan menjawab orang bodoh menurut kebodohannya,
supaya jangan engkau sendiri menjadi sama dengannya.
5 Jawablah orang bodoh sepadan dengan kebodohannya,
supaya jangan dia menganggap dirinya bijaksana.
6 Seperti memotong kaki sendiri dan menghirup kekerasan,
demikianlah orang yang mengirim pesan melalui tangan si bodoh.
7 Seperti kaki orang tempang yang terkulai,
demikianlah pepatah di mulut orang bodoh.
8 Seperti orang mengikat batu pada tarbil,
demikianlah orang yang memberi hormat kepada orang bodoh.
9 Seperti duri menusuk tangan pemabuk,
demikianlah pepatah di mulut orang bodoh.
10 Seperti pemanah yang melukai setiap orang,
demikianlah orang yang mengupah si bodoh atau sesiapa sahaja yang lalu-lalang.
11 aSeperti anjing menjilat muntahnya kembali,
demikianlah orang bodoh yang mengulangi kebodohannya.
12 Adakah engkau memperhatikan orang yang menganggap dirinya arif?
Orang yang bodoh ada lebih banyak harapan daripada dia.
Lapisan perak menutupi periuk tanah
13 Kata si pemalas, “Ada singa di jalan!
Ada singa berkeliaran di tengah-tengah jalan!”
14 Seperti pintu berputar pada engselnya,
demikianlah si pemalas di tempat tidurnya.
15 Si pemalas mencelup tangannya ke dalam pinggan,
tetapi dia terlalu penat untuk membawanya semula ke mulutnya.
16 Si pemalas menganggap dirinya lebih bijak
daripada tujuh orang yang dapat menjawab dengan bijaksana.
17 Seperti orang yang menangkap telinga anjing yang sedang lalu,
demikianlah orang yang masuk campur perbalahan yang bukan urusannya.
18 Seperti orang gila menembakkan panah api, anak panah, dan maut,
19 demikianlah orang yang menipu jirannya
lalu berkata, “Bukankah aku hanya bersenda gurau?”
20 Kerana kayu habis, padamlah api,
dan jika tidak ada pemfitnah, redalah pertengkaran.
21 Sebagaimana arang untuk bara dan kayu untuk api,
demikianlah orang yang suka bertengkar mengapi-apikan pertikaian.
22 Kata-kata pemfitnah seperti makanan lazat,
semuanya turun jauh ke dalam lubuk hati orang.
23 Seperti tembikar bersalut keladak perak,
demikianlah bibir yang manis dengan hati yang jahat.
24 Si pembenci berpura-pura dengan bibirnya,
tetapi dalam hatinya ia menyimpan tipu daya.
25 Meskipun bicaranya ramah, jangan percaya kepadanya,
kerana tujuh kekejian ada dalam hatinya.
26 Sekalipun kebenciannya ditutupi tipu daya,
kejahatannya akan nyata dalam jemaah.
27 Sesiapa menggali lubang akan terperosok ke dalamnya,
dan batu yang digulingkan orang akan kembali menimpa dirinya.
28 Lidah dusta membenci orang yang disakitinya,
dan mulut yang penuh pujuk rayu membawa kehancuran.
 
 
 
 
 
 
27
Besi menajamkan besi
1 aJangan bermegah tentang hari esok,
kerana engkau tidak tahu apa yang akan terjadi pada hari itu.
2 Biarlah orang lain memujimu, jangan mulutmu sendiri,
bahkan orang yang tidak kaukenal, bukan bibirmu sendiri.
3 Batu itu berat, begitu juga pasir,
tetapi hasutan orang bodoh lebih berat daripada kedua-duanya.
4 Murka itu bengis, dan kemarahan seperti air bah,
tetapi siapa dapat bertahan terhadap cemburu?
5 Lebih baik teguran yang nyata
daripada kasih yang tersembunyi.
6 Pukulan seorang sahabat dapat diyakini baik,
tetapi ciuman seorang musuh menubikan kelicikan.
7 Orang yang kenyang meluat akan indung madu,
tetapi bagi orang lapar, semua yang pahit terasa manis.
8 Seperti burung yang menyimpang jauh lalu meninggalkan sarangnya,
demikianlah perantauan orang yang meninggalkan tempat tinggalnya.
9 Minyak dan wangi-wangian menyenangkan hati,
begitu jugalah keikhlasan nasihat seseorang manis bagi sahabatnya.
10 Jangan tinggalkan sahabatmu atau sahabat ayahmu,
dan jangan datangi rumah saudaramu pada waktu kemalanganmu;
tetangga yang dekat lebih baik
daripada saudara yang jauh.
11 Hendaklah engkau bijaksana, hai anakku, dan sukakanlah hatiku
supaya aku dapat menjawab kalangan yang mencelaku.
12 Orang bijaksana melihat bahaya lalu bersembunyi,
tetapi orang betul bendul berjalan terus lalu menderita akibatnya.
13 Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang lain, ambillah pakaiannya,
dan tahanlah dia jika dia menjadi penjamin bagi perempuan penzina.
14 Kata-kata berkat yang diucapkan bagi kawan dengan suara keras pada awal-awal pagi,
akan dianggap sebagai kutukan.
15 Seperti titisan air pada waktu hujan,
demikianlah isteri yang suka bertengkar;
16 sesiapa menahannya, menahan angin
atau menggenggam minyak dengan tangan kanannya.
17 Besi menajamkan besi,
demikian juga orang menajamkan sesamanya.
18 Sesiapa memelihara pokok ara, akan memakan buahnya,
dan orang yang melindungi tuannya akan dihormati.
19 Seperti air mencerminkan wajah,
demikianlah hati manusia mencerminkan diri manusia itu.
20 Alam kubur dan tempat kebinasaan tidak pernah puas,
demikian jugalah mata manusia tidak pernah puas.
21 Mangkuk pijar untuk perak dan relau untuk emas,
tetapi manusia diuji menurut pujian yang diterimanya.
22 Sekalipun orang bodoh kautumbuk dalam lesung
dengan alu bersama-sama gandum, tidak akan hilang kebodohannya daripadanya.
23 Ketahuilah dengan baik keadaan haiwanmu
dan perhatikanlah kawanan ternakmu,
24 kerana harta benda tidaklah kekal,
begitu juga mahkota tidak tetap turun-temurun.
25 Ketika rumput lama menghilang, rumput muda terlihat,
dan tumbuh-tumbuhan gunung dikumpulkan,
26 maka domba-domba akan menyediakan pakaian bagimu
dan kambing-kambing jantan akan menyediakan wang pembeli ladang.
27 Akan cukup susu kambing untuk rezekimu, rezeki keluargamu,
dan penghidupan para pelayan perempuanmu.
 
 
 
 
 
 
28
Jatuh ke dalam lubangnya sendiri
1 Orang fasiq lari padahal tidak ada yang mengejarnya,
tetapi orang benar berani seperti singa muda.
2 Ketika sebuah negeri memberontak, akan ada ramai penguasanya,
tetapi jika adanya seorang yang berpengertian dan berpengetahuan, maka negeri itu akan bertahan.
3 Orang miskin yang menindas orang miskin
seumpama hujan lebat yang tidak membawa rezeki.
4 Orang yang mengabaikan Hukum Taurat memuji orang fasiq,
tetapi orang yang berpegang teguh pada Hukum Taurat menentang mereka.
5 Orang yang jahat tidak mengerti keadilan,
tetapi orang yang mencari Allah mengerti segala sesuatu.
6 Lebih baik orang miskin yang hidup dalam keikhlasannya
daripada orang kaya yang berliku-liku jalannya.
7 Anak yang memelihara Hukum Taurat mempunyai pengertian,
tetapi sesiapa yang bergaul dengan orang rakus mengaibkan ayahnya.
8 Orang yang menambah kekayaannya dengan wang faedah dan riba,
mengumpulkannya bagi orang yang mengasihani orang miskin.
9 Orang yang memalingkan telinganya supaya tidak mendengar Hukum Taurat,
maka doanya pun adalah kekejian.
10 Sesiapa menyesatkan orang yang lurus hati di jalan yang jahat,
akan jatuh dalam lubang jebaknya sendiri.
Tetapi orang yang tidak bercela akan mewarisi kebajikan.
11 Orang kaya menganggap dirinya bijaksana,
tetapi orang miskin yang berpengertian mengenalinya.
12 Ketika orang benar menang, ada kemuliaan besar,
tetapi ketika orang fasiq bangkit, orang menyembunyikan diri.
13 Orang yang menyembunyikan pelanggarannya tidak akan beruntung,
tetapi sesiapa mengakui dan meninggalkannya akan mendapat rahmat.
14 Berbahagialah orang yang sentiasa takut kepada Allah,
tetapi orang yang mengeraskan hati akan terperosok ke dalam malapetaka.
15 Seperti singa yang mengaum dan beruang yang menyerang,
demikianlah orang fasiq yang menguasai rakyat miskin.
16 Pemimpin yang kurang pengertian besar penindasannya,
tetapi orang yang membenci laba haram memanjangkan umurnya.
17 Orang yang berhutang darah kepada sesiapa pun
akan jadi pelarian sampai ke liang lahat;
janganlah ada yang menolongnya.
18 Sesiapa yang hidup tidak tercela akan diselamatkan,
tetapi orang yang jalannya berliku-liku akan jatuh serta-merta.
Kawan si perosak
19 Sesiapa mengusahakan tanahnya akan kenyang dengan makanan,
tetapi sesiapa mengejar hal yang hampa akan kenyang dengan kemiskinan.
20 Orang yang setia akan memperoleh banyak berkat,
tetapi orang yang ingin cepat kaya tidak akan lepas daripada hukuman.
21 Tidaklah baik bersikap berat sebelah;
kerana sekadar untuk sepotong roti orang akan melakukan pelanggaran.
22 Orang yang kikir memburu kekayaan,
tidak tahu bahawa kemiskinan bakal menimpanya.
23 Sesiapa yang menegur seseorang akhirnya akan lebih disayangi
daripada orang yang mengampu dengan lidahnya.
24 Sesiapa merampas harta ayahnya atau ibunya
lalu berkata, “Itu bukan pelanggaran,”
sememangnya kawan kepada si perosak.
25 Orang yang tamak membangkitkan pertengkaran,
tetapi orang yang percaya kepada Allah akan diberi kelimpahan.
26 Bodohlah orang yang mempercayai hatinya sendiri,
tetapi sesiapa yang hidup dengan hikmah akan selamat.
27 Orang yang memberi kepada orang miskin tidak akan berkekurangan,
tetapi orang yang menutup matanya akan mendapat banyak kutukan.
28 Ketika orang fasiq bangkit, orang menyembunyikan diri,
tetapi ketika mereka binasa, orang benar bertambah ramai.
 
 
 
 
 
 
29
Orang bijaksana menahan diri
1 Orang yang kerap kali ditegur tetapi tetap berdegil
akan tiba-tiba binasa dan tidak dapat dipulihkan lagi.
2 Ketika orang benar bertambah ramai, bersukacitalah rakyat,
tetapi ketika orang fasiq memerintah, mengeluhlah rakyat.
3 Sesiapa menyukai hikmah, menyukakan ayahnya,
tetapi orang yang bergaul dengan pelacur memboroskan hartanya.
4 Raja menegakkan negeri dengan keadilan,
tetapi orang yang menerima rasuah meruntuhkannya.
5 Orang yang mengampu jirannya
membentangkan jaring bagi kakinya.
6 Orang yang jahat terjerat oleh pelanggarannya,
tetapi orang benar bersorak-sorai dan bersukacita.
7 Orang benar prihatin fasal hak orang miskin,
tetapi orang fasiq tidak memahami hal sedemikian.
8 Para pencemuh membuat kota bergejolak,
tetapi orang bijak menyurutkan amarah.
9 Jika orang bijaksana berperkara dengan orang bodoh,
orang bodoh itu marah dan mencemuh, akibatnya tidak ada ketenangan.
10 Kalangan yang suka menumpahkan darah membenci orang yang tidak bersalah,
dan mereka menginginkan nyawa orang yang tulus.
11 Orang bodoh melampiaskan segala kemarahannya,
tetapi orang bijaksana menahan diri.
12 Jika seorang penguasa mendengar kata-kata dusta,
maka semua pegawainya menjadi fasiq.
13 Si miskin dan si penindas mempunyai persamaan:
Allah yang membuat mata kedua-duanya bersinar.
Tanpa hidayah Allah
14 Jika raja mengadili orang miskin dengan adil,
maka takhta kerajaannya akan sentiasa kukuh.
15 Rotan dan teguran memberikan hikmah,
tetapi anak yang dibiarkan sahaja mendatangkan malu bagi ibunya.
16 Ketika orang fasiq bertambah ramai, bertambah pulalah pelanggaran,
tetapi orang benar akan melihat kejatuhan mereka.
17 Didiklah anakmu, maka dia akan memberikan ketenteraman kepadamu,
dan menyukakan hatimu.
18 Tanpa hidayah, rakyat tidak terkendali,
tetapi berbahagialah orang yang berpegang teguh pada Hukum Taurat.
19 Seorang hamba tidak dapat diajar dengan kata-kata sahaja,
kerana sekalipun dia mengerti, dia tidak mengendahkannya.
20 Adakah engkau memperhatikan orang yang bercakap dengan terburu-buru?
Orang yang bodoh ada lebih banyak harapan daripada dia.
21 Hamba yang dimanjakan sejak kecil
pada akhirnya tidak tahu berterima kasih.
22 Orang yang pemarah membangkitkan pertengkaran,
dan orang yang panas baran banyak pelanggarannya.
23 Keangkuhan seseorang akan merendahkannya,
tetapi orang yang rendah diri akan memperoleh kehormatan.
24 Sesiapa bersekutu dengan pencuri, membenci jiwanya sendiri;
dia mendengar sumpah, tetapi tidak mahu menyatakan apa-apa.
25 Rasa takut terhadap manusia mendatangkan jerat,
tetapi sesiapa percaya kepada Allah akan terselamat.
26 Ramai orang mencari muka pada penguasa,
tetapi orang mendapat keadilan daripada Allah.
27 Orang yang tidak adil adalah kekejian bagi orang benar,
dan orang yang lurus jalannya dipandang keji oleh orang fasiq.
 
 
 
 
 
 
30
Pepatah-pepatah Agur anak Yake
Perisai bagi mereka yang berlindung
1 Inilah kata-kata Agur bin Yake, dari Masa:
Berkatalah orang itu kepada Itiel, kepada Itiel dan Ukal,
2 “Sesungguhnya, aku ini lebih bodoh daripada orang lain,
dan aku tidak mempunyai pengertian manusia.
3 Aku tidak mempelajari hikmah,
dan aku tidak mempunyai pengetahuan tentang Yang Maha Suci.”
4 Siapa naik ke langit dan turun?
Siapa mengumpulkan angin dalam genggamannya?
Siapa yang membungkus air di dalam jubahnya?
Siapa menetapkan segala hal hujung bumi?
Siapa namanya dan siapa nama anaknya?
Engkau pasti tahu!
5 Semua firman Allah teruji.
Dia perisai bagi mereka yang berlindung kepada-Nya.
6 Jangan tambahkan sesuatu pun kepada firman-Nya,
supaya jangan engkau ditegur-Nya dan terbukti pendusta.
7 Dua hal kupinta daripada-Mu,
janganlah Kautolak sebelum aku mati:
8 Jauhkanlah daripadaku kesia-siaan dan perkara dusta,
janganlah beri aku kemiskinan atau kekayaan,
berilah aku makanan secukupnya.
9 Jangan sampai aku kenyang lalu menyangkal Engkau
dan berkata, “Siapakah Allah itu?”
Jangan sampai aku miskin lalu mencuri
dan memfitnah nama Tuhanku.
10 Jangan fitnahkan seorang hamba di hadapan tuannya,
supaya jangan dia mengutukmu dan engkau dihukum.
11 Ada keturunan yang mengutuk ayahnya
dan tidak memohonkan berkat bagi ibunya.
12 Ada pula orang yang menganggap dirinya tahir,
tetapi belum juga bersih daripada kecemarannya.
13 Ada orang yang matanya sangat bongkak,
dan kelopak matanya terangkat tinggi!
14 Ada keturunan yang giginya seperti pedang
dan rahangnya seperti pisau,
untuk membaham orang miskin dari bumi
dan kaum tertindas daripada kalangan manusia.
Empat hal tidak pernah puas
15 Si lintah mempunyai dua orang anak perempuan,
“Berilah! Berilah!”
Ada tiga hal yang tidak pernah puas,
bahkan empat hal yang tidak pernah berkata, “Cukup”:
16 alam barzakh, rahim yang mandul,
bumi yang tidak pernah puas dengan air,
dan api yang tidak pernah berkata, “Cukup!”
17 Mata yang mengolok-olokkan ayah,
dan mencemuh bimbingan si ibu,
akan dicungkil oleh burung gagak dari lembah,
dan dimakan oleh burung nasar.
Empat hal misteri
18 Ada tiga hal yang terlalu ajaib bagiku,
bahkan empat hal yang tidak kufahami:
19 jalan rajawali di udara,
jalan ular di atas batu,
jalan kapal di tengah lautan,
dan jalan seorang lelaki dengan seorang gadis.
20 Demikianlah perilaku si perempuan penzina:
dia makan lalu mengesat mulutnya
dan berkata, “Aku tidak berbuat salah.”
Empat hal yang tidak tertahankan
21 Atas sebab tiga hal bumi ini bergetar,
bahkan kerana empat hal ia tidak dapat bertahan:
22 kerana seorang hamba menjadi raja,
kerana seorang bodoh kenyang dengan makanan,
23 kerana seorang perempuan yang dibenci menikah,
dan kerana seorang pelayan perempuan menggantikan tempat cik puannya.
Empat hal kecil yang menakjubkan
24 Ada empat hal yang kecil di bumi
namun sangat bijaksana:
25 semut, makhluk yang tidak kuat
tetapi menyediakan makanannya pada musim panas;
26 Landak, haiwan yang lemah
tetapi membuat sarangnya di bukit batu;
27 belalang, yang tidak mempunyai raja
tetapi semuanya berbaris berpasukan,
28 dan cicak, yang dapat kautangkap dengan tangan
tetapi ada di istana raja.
Empat hal yang gagah
29 Ada tiga hal yang gagah langkahnya,
bahkan empat hal yang gagah jalannya:
30 singa, yang terkuat antara segala haiwan
dan tidak mundur terhadap apa-apa pun;
31 ayam jantan yang angkuh, atau kambing jantan,
dan seorang raja di hadapan pasukannya.
32 Jika engkau bersikap bodoh dengan meninggikan dirimu,
atau jika engkau ada niat melakukan kejahatan,
tekapkanlah tanganmu pada mulutmu,
33 kerana seperti susu yang diaduk akan menghasilkan mentega,
hidung yang ditekan akan mengeluarkan darah,
demikianlah kemarahan yang digalakkan bakal mencetuskan sengketa.
 
 
 
 
 
 
31
Adililah secara benar
1 Inilah kata-kata Lemuel, raja Masa, yang diajarkan oleh ibunya kepadanya:
2 Hai anakku, hai anak daripada rahimku,
dan hai anak nazarku,
3 jangan serahkan kekuatanmu kepada perempuan,
dan jalan hidupmu kepada pembinasa para raja.
4 Tidaklah patut bagi raja, hai Lemuel,
tidaklah patut bagi raja minum air anggur,
atau bagi para penguasa menginginkan minuman keras.
5 Kerana jika mereka meminumnya, jangan-jangan mereka lupa kepada ketetapan,
dan menyelewengkan hak semua orang yang tertindas.
6 Berikanlah minuman keras kepada orang yang hampir mati,
dan air anggur kepada orang yang getir hatinya.
7 Biarlah dia minum dan lupa akan kemiskinannya,
serta tidak lagi mengingat akan kesusahannya.
8 Bukalah mulutmu demi mempertahankan orang bisu,
dan bagi hak semua orang yang hampir lenyap.
9 Bukalah mulutmu, adililah secara benar,
belalah hak orang miskin dan orang melarat.
Puji-pujian bagi isteri yang cemerlang
10 Isteri yang cemerlang, siapakah dapat menemukannya?
Dia jauh lebih berharga daripada intan berlian.
11 Hati suaminya mempercayainya
dan suaminya tidak akan kekurangan keuntungan.
12 Dia berbuat baik kepada suaminya, bukan berbuat jahat,
seumur hidupnya.
13 Dia mencari bulu domba dan rami,
lalu dengan senang hati bekerja dengan tangannya.
14 Dia seperti kapal saudagar,
dibawanya makanannya dari jauh.
15 Dia bangun ketika hari masih gelap,
disiapkannya makanan untuk seisi rumahnya,
dan bahagian tugas bagi setiap pelayan perempuannya.
16 Setelah menimbangkan sewajar-wajarnya, dibelinya sebuah ladang,
dan daripada hasil tangannya ditanaminya kebun anggur.
17 Dia mengikat pinggangnya dengan kekuatan,
dan menguatkan lengannya.
18 Dia tahu bahawa usahanya menguntungkan;
pada malam hari pelitanya tidak padam.
19 Tangannya diletakkannya pada pemintal,
dan jari-jarinya memegang gelendong benang.
20 Dia membuka tangannya bagi orang miskin,
dan menghulurkan tangannya bagi orang melarat.
21 Dia tidak mengkhuatirkan keluarganya ketika musim sejuk tiba,
kerana seisi rumahnya berpakaian tebal.
22 Dia membuat bagi dirinya permaidani,
dan pakaiannya pun daripada linen halus berwarna ungu.
23 Suaminya dikenal orang di pintu gerbang,
ketika dia duduk bersama para tua-tua negeri.
24 Dia membuat pakaian daripada linen lalu menjualnya,
dan dia menyediakan ikat pinggang bagi para pedagang.
25 Kekuatan dan kehormatan adalah pakaiannya;
dia tersenyum terhadap hari yang mendatang.
26 Dia membuka mulutnya dengan hikmah,
dan ajaran kebaikan hati ada di lidahnya.
27 Dia mengawasi jalan rumah tangganya,
dan buah hasil kemalasan tidak dijamahnya.
28 Anak-anaknya bangkit dan menyanjungnya,
suaminya pun memujinya,
29 “Ramai perempuan yang perbuatan mereka sangat baik,
tetapi engkau melebihi mereka semua.”
30 Daya tarikan memperdaya dan kecantikan cuma kesia-siaan,
tetapi perempuan yang bertakwa kepada Allah akan dipuji-puji.
31 Berikanlah kepadanya hasil tangannya,
dan biarlah hasil kerjanya memuji-mujinya di pintu-pintu gerbang!