73
Jilid III: 73—89
Pergelutan dan Harapan
Syair Asaf.a
1 Sesungguhnya, Allah baik kepada Israel,
kepada mereka yang murni hati.
 
2 Tetapi aku, kakiku hampir tersandung;
langkahku hampir tergelincir.
3 Kerana aku iri hati kepada mereka yang bermegah apabila kulihat kemewahan orang fasiq.
 
4 Mereka tidak sakit sebelum mati;
kekuatan mereka tetap teguh.
5 Mereka tidak susah seperti orang lain;
mereka tidak dirundung bencana seperti orang lain.
6 Oleh itu, mereka berkalungkan keangkuhan;
keganasan menjadi pakaian mereka.
7 Hati mereka yang kejam penuh kejahatan;
fikiran mereka yang durjana melampaui segala batas.
8 Mereka mencemuh orang dan merancang kejahatan serta penindasan;
mereka bercakap sombong.
9 Mulut mereka lancang menentang syurga,
lidah mereka bercakap bongkak kepada seisi bumi.
10 Maka orang mereka pulang ke sini
dan air secawan penuh habis dihirup mereka.
11 Lalu mereka berkata, “Bagaimana Allah tahu?
Adakah Yang Maha Tinggi mempunyai pengetahuan?”
 
12 Ketahuilah, mereka ini orang mungkar – yang sentiasa senang-lenang, mereka semakin kaya.
 
13 Sesungguhnya, aku telah menyucikan hatiku dengan sia-sia;
dan membasuh tanganku dengan hati yang bersih.
14 Kerana sepanjang hari aku disakiti;
dan dihukum setiap pagi.
 
15 Kalaulah aku telah berkata, “Aku akan bercakap begini,”
ketahuilah, ertinya aku tidak jujur kepada keturunan anak-anak-Mu.
16 Apabila aku memikirkan bagaimana hendak memahami ini,
terlalu pedih bagiku
17 hingga aku masuk ke tempat suci Allah;
barulah aku mengerti tujuan mereka.
 
18 Sesungguhnya, Engkau membawa mereka ke tempat-tempat licin;
Engkau menghumbankan mereka ke dalam kemusnahan.
19 Oh, betapa mereka ditimpa malapetaka, seperti dalam sekelip mata, mereka ketakutan!
20 Seperti mimpi apabila seseorang terjaga,
demikianlah, Ya Rabbi, apabila Engkau bangkit,
Engkau akan meluat akan bentuk mereka.
 
21 Oleh itu, hatiku pilu dan fikiranku risau,
22 Aku begitu bodoh dan jahil;
aku seperti seekor binatang di hadirat-Mu.
 
23 Namun demikian, aku sentiasa bersama-Mu;
Engkau memegang tangan kananku.
24 Engkau akan memandu aku dengan bimbingan-Mu,
dan kemudian menerimaku ke dalam kemuliaan.
25 Siapa yang ada untukku di syurga melainkan Engkau?
Dan tiada siapa di bumi yang kuingini selain Engkau.
26 Tubuh dan hatiku layu,
tetapi Allah kekuatan hatiku dan untukku selama-lamanya.
27 Kerana sesungguhnya, mereka yang jauh daripada-Mu akan binasa;
Engkau telah memusnahkan kesemua mereka yang meninggalkan-Mu untuk melacurkan diri.
28 Tetapi sungguh baik bagiku mendekati Allah.
Aku telah menjadikan Allah Taala tempat perlindunganku
supaya aku dapat mengisytiharkan semua perbuatan-Mu.
 
 
 
 
 
 
74
Meratapi Bait Suci yang Rosak
Nyanyian pengajaran Asaf.a
1 Ya Allah, mengapakah Engkau menyingkirkan kami untuk selama-lamanya?
Mengapakah kemurkaan-Mu berasap terhadap domba di padang-Mu?
2 Ingatlah jemaah-Mu yang telah Kaubeli dahulu,
suku warisan-Mu, yang telah Kautebus –
Bukit Sion ini, tempat Engkau bersemayam.
3 Alihkanlah kaki-Mu kepada malapetaka yang berterusan,
musuh telah merosakkan segala-galanya di tempat suci.
 
4 Musuh-Mu mengganas di tempat perhimpunan-Mu;
mereka mengibarkan panji-panji sebagai tanda.
5 Mereka kelihatan seperti orang yang mengangkat kapak di celah pohon-pohon redang.
6 Dan sekarang mereka meruntuhkan ukirannya dengan kapak dan tukul.
7 Mereka telah membakar tempat suci-Mu;
mereka telah mencemarkan tempat kediaman nama-Mu ke bumi.
8 Mereka berkata dalam hati, “Mari kita musnahkan semuanya!”
Mereka telah membakar semua tempat perhimpunan Allah di tanah ini.
9 Kami tidak melihat tanda-tanda kami;
tidak ada lagi nabi,
dan tiada siapa antara kami yang tahu berapa lama.
 
10 Ya Allah, berapa lamakah seteru akan mencela?
Adakah musuh akan mengkufuri nama-Mu selama-lamanya?
11 Mengapakah Engkau menarik balik tangan-Mu, ya, tangan kanan-Mu?
Hulurkanlah tangan-Mu dan musnahkan mereka!
 
12 Kerana Allah ialah Rajaku dari dahulu;
menjalankan penyelamatan di tengah-tengah bumi.
13 Engkau telah membelah laut dengan kekuatan-Mu;
Engkau telah meremukkan kepala ular-ular laut di perairan.
14 Engkau telah meremukkan kepala-kepala Lewiatanb
dan memberikan sebagai makanan kepada orang yang tinggal di gurun.
15 Engkau telah membukakan pancuran dan banjir;
Engkau telah mengeringkan sungai-sungai besar.
16 Siang milik-Mu, malam juga milik-Mu;
Engkau telah menyediakan cahaya dan matahari.
17 Engkau telah meletakkan semua sempadan bumi;
Engkau telah menjadikan musim panas dan musim dingin.
 
18 Ingatlah ini, bahawa musuh telah mencela, Ya Allah,
dan kaum yang bodoh telah mengkufuri nama-Mu.
19 Janganlah serahkan nyawa merpati-Mu kepada binatang ganas;
janganlah lupakan kehidupan makhluk-Mu yang miskin selama-lamanya.
20 Fikirkanlah perjanjian,
kerana tempat-tempat gelap di bumi penuh dengan sarang kekejaman.
21 Janganlah biarkan orang yang tertindas pulang menanggung malu;
biarlah orang yang miskin dan sesak memuji nama-Mu.
 
22 Bangkitlah, Ya Allah, tegakkanlah perjuangan-Mu sendiri;
ingatlah betapa orang bodoh mencela-Mu setiap hari.
23 Janganlah lupakan suara musuh-Mu,
hiruk-pikuk mereka,
yang bangkit menentang-Mu semakin bertambah.
 
 
 
 
 
 
75
Allah Hakim yang Adil
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu “Jangan Musnahkan.” Syair Asaf. Sebuah nyanyian.
1 Kami mengucap syukur kepada-Mu, Ya Allah,
kami mengucap syukur, kerana perbuatan-Mu yang menakjubkan;
mengisytiharkan bahawa nama-Mu dekat.
 
2 Engkau berkata, “Apabila Aku memilih masa yang wajar;
Aku akan menghakimi dengan adil.
3 Bumi dan semua penghuninya dilarutkan,
aku memacakkan tiang-tiang cukup teguh. Sela
4 Aku telah berfirman kepada orang yang angkuh, ‘Janganlah melakukan sesuatu dengan cakap besar,’
dan kepada orang yang fasiq, ‘Janganlah mengangkat tanduk.
5 Janganlah mengangkat tandukmu tinggi-tinggi;
janganlah bercakap dengan bertegang urat leher.’ ”
 
6 Kerana peninggian tidak datang dari timur atau dari barat ataupun dari selatan.
7 Tetapi Allah yang menjadi hakim:
Dia menurunkan seseorang dan meninggikan orang lain.
8 Kerana di tangan Allah ada cawan
dan air anggur-Nya merah;
sudah cukup dibancuh, lalu Dia menuangkannya.
Sesungguhnya, semua orang fasiq di bumi akan meneguknya sampai habis setiap titik.
 
9 Tetapi aku akan mengisytiharkannya untuk selama-lamanya;
aku akan menyanyikan pujian kepada Tuhan yang disembah Yakub.
10 Semua tanduk orang fasiq akan dipotong-Nya,
tetapi tanduk orang yang benar akan ditinggikan.
 
 
 
 
 
 
76
Allah Hakim segala Bangsa
Untuk pemimpin pujian. Dengan alat-alat bertali. Syair Asaf. Sebuah nyanyian.
1 Di Yudah Allah dikenali;
nama-Nya besar di Israel.
2 Di Salem juga terletak Khemah Suci-Nya,
dan tempat bersemayam-Nya di Sion.
3 Di sana Dia telah mematahkan anak-anak panah busur,
perisai dan pedang pertempuran. Selaa
 
4 Engkau lebih mulia dan unggul,
daripada gunung-gunung haiwan buruan.
5 Mereka yang perkasa telah dirampas barangnya,
mereka telah terlelap dalam tidur terakhir;
tiada seorang pun orang yang gagah dapat menggunakan tangannya lagi.
6 Apabila Kaumarahi, Ya Tuhan yang disembah Yakub,
pedati dan kuda tidur mati.
7 Engkau, Engkaulah, yang ditakuti.
Siapa sanggup berdiri di hadirat-Mu apabila Engkau murka?
8 Engkau memperdengarkan penghakiman dari syurga,
bumi ketakutan lalu diam
9 apabila Allah bangkit membuat penghakiman,
untuk melepaskan semua yang tertindas di bumi. Sela
10 Sesungguhnya, kemarahan manusia akan mendatangkan puji untuk-Mu,
mereka yang terselamat daripada kemarahan itu akan menyanjung kebesaran-Mu.
 
11 Berjanjilah kepada Allah, Tuhanmu, dan tunaikan janji itu;
biarlah semua sekeliling-Nya membawa persembahan kepada Dia yang patut ditakuti.
12 Dia akan menundukkan semangat raja-raja;
Dia mengagumkan raja-raja di bumi.
 
 
 
 
 
 
77
Perbuatan Allah pada Masa Silam
Untuk pemimpin pujian.
Untuk Yedutun. Syair Asaf.
1 Aku telah berseru kepada Allah dengan suaraku;
kepada Allah dengan suaraku dan Dia mendengarku.
2 Pada masa kesusahan kucari Tuhan;
tangan kutadahkan sepanjang malam jiwaku enggan dilipurkan.
3 Aku ingat akan Allah, dan berasa rusuh;
aku mengadu, dan semangatku tertekan. Sela
4 Engkau mencekang kelopak mataku;
aku rusuh sehingga tidak dapat berkata-kata.
5 Aku telah memikirkan masa silam,
tahun-tahun zaman dahulu;
6 Aku mengingati kembali nyanyianku sewaktu malam.
Aku merenung dalam hati dan rohku tekun mencari:
7 Adakah Tuhan akan menyingkiri selama-lamanya?
Dan tidakkah Dia berkenan lagi?
8 Sudah berakhirkah kasih abadi-Nya untuk selama-lamanya?
Sudah batalkah janji-Nya untuk selama-lamanya?
9 Sudah lupakah Allah bersikap penuh belas kasihan?
Dalam kemurkaan-Nya sudahkah ditutup-Nya belas kasih-Nya? Sela
 
10 Maka aku berkata, “Inilah kekhuatiranku:
tetapi aku akan mengingati tahun-tahun kekuasaan Yang Maha Tinggi.”
11 Aku akan mengingati perbuatan-perbuatan Allah;
sesungguhnya aku akan mengingati keajaiban yang Kaulakukan dahulu.
12 Aku juga akan merenung segala hasil kerja-Mu
dan bercakap tentang perbuatan-Mu.
 
13 Jalan-Mu suci, Ya Allah.
Siapakah tuhan yang sama besar dengan Allah?
14 Engkaulah Tuhan yang melakukan keajaiban;
Engkau telah mengisytiharkan kekuatan-Mu dalam kalangan umat-Mu.
15 Dengan tangan-Mu Engkau telah menebus umat-Mu,
anak-anak Yakub dan Yusuf. Sela
 
16 Perairan telah melihat-Mu, Ya Allah,
perairan melihat-Mu lalu berasa takut; bahagian lautan dalam juga gementar.
17 Awan mencurahkan air,
langit menghantar bunyi; anak-anak panah-Mu memancar sabung-menyabung.
18 Suara guruh-Mu dalam angin puting-beliung,
api menerangi dunia;
bumi bergegar dan bergempa.
19 Jalan-Mu di laut, lorong-Mu di perairan luas,
dan jejak langkah-Mu tidak dikenali.
 
20 Engkau membimbing umat-Mu seperti sekawan domba dengan tangan Musa dan Harun.
 
 
 
 
 
 
78
Pengajaran daripada Sejarah
Nyanyian pengajaran Asaf.
1 Dengarlah hai umatku, ajaran tentang hukum;
pasang telingamu untuk mendengar kata-kataku.
2 Aku akan membuka mulut menggunakan ibarat,
aku akan menuturkan kata-kata zaman dahulu yang penuh rahsia –
3 yang telah kita dengar dan ketahui,
dan telah disampaikan oleh nenek moyang kita.
4 Kita tidak akan merahsiakannya daripada anak cucu mereka;
kita akan memberitahu keturunan yang akan datang
tentang pujian untuk Allah,
dan kekuatan-Nya, serta perbuatan-Nya yang menakjubkan.
5 Kerana Dia telah menetapkan kesaksian pada Yakub
dan mengadakan hukum Taurat bagi Israel,
yang diperintahkan-Nya kepada nenek moyang kita supaya diberitahu kepada anak-anak mereka,
6 agar keturunan akan datang mengetahuinya,
anak-anak yang bakal lahir, dan mereka akan bangkit mengisytiharkannya kepada anak-anak mereka.
7 Dengan demikian mereka akan menyandarkan harapan kepada Allah
dan tidak melupakan perbuatan Allah serta mematuhi perintah-perintah-Nya.
8 Maka tidaklah mereka menjadi seperti nenek moyang mereka,
keturunan yang degil dan memberontak,
Keturunan yang tidak membetulkan hatinya, dan yang rohnya tidak setia kepada Allah.
 
9 Kaum Efraim yang bersenjatakan panah,
berundur pada hari pertempuran;
10 mereka tidak berpegang kepada perjanjian Allah
mereka tidak mahu hidup mengikut hukum-Nya.
11 Dan melupakan perbuatan-Nya,
serta keajaiban yang telah ditunjukkan-Nya kepada mereka.
12 Perbuatan yang menakjubkan telah dilakukan-Nya di hadapan nenek moyang mereka di Tanah Mesir, di padang Zoan.
13 Dia telah membelah laut dan membolehkan mereka menyeberanginya;
Dia menegakkan air seperti tembok.
14 Pada waktu siang Dia memandu mereka dengan awan dan sepanjang malam dengan cahaya api.
15 Dia membelah batu pejal di gurun
dan memberi mereka minuman sebanyak-banyaknya air di lautan dalam;
16 Dia memancarkan air dari batu pejal
dan membuatnya mengalir seperti sungai.
 
17 Tetapi mereka semakin berdosa terhadap-Nya,
dengan menderhaka terhadap Yang Maha Tinggi di gurun.
18 Dan mereka menguji Allah dalam hati mereka
dengan meminta makanan yang diingini.
19 Ya, mereka bercakap menentang Allah, mereka berkata,
“Dapatkah Allah menyediakan jamuan di gurun?
20 Lihatlah, Dia memukul batu pejal supaya air memancut keluar,
dan sungai melimpah.
Dapatkah Dia memberi roti juga?
Dapatkah Dia membekalkan daging kepada umat-Nya?”
21 Allah mendengar kata-kata ini lalu murka;
maka api dinyalakan menyerang kaum Yakub, dan kemarahan-Nya menimpa kaum Israel,
22 kerana mereka tidak percaya kepada Allah,
dan tidak yakin akan penyelamatan-Nya.
23 Namun Dia memerintahkan awan
dan membuka pintu langit;
24 menghujani mereka dengan manna untuk makanan mereka,
dan memberi mereka roti syurga.
25 Manusia makan makanan malaikat;
Dia menghantar mereka makanan melimpah-limpah.
26 Dia meniupkan angin timur di langit
dan dengan kuasa-Nya membawakan angin selatan.
27 Dia juga menghujani mereka dengan daging sebanyak debu,
burung sebanyak pasir di tepi laut.
28 Dia menjatuhkan semua itu di tengah-tengah perkhemahan mereka,
di sekeliling tempat tinggal mereka.
29 Lalu mereka makan sekenyang-kenyangnya,
kerana Dia memberikan kehendak mereka.
30 Keinginan mereka tidak dipuaskan,
ketika makanan masih di dalam mulut mereka,
31 kemurkaan Allah menimpa mereka;
meragut nyawa yang paling gagah antara mereka, dan menumpangkan orang Israel yang paling istimewa.
 
32 Namun demikian mereka terus berbuat dosa;
dan tidak percaya akan mukjizat-Nya.
33 Oleh itu, Dia menjadikan hidup mereka sia-sia
dan sepanjang usia mereka dalam ketakutan.
34 Apabila Dia membunuh sebilangan mereka, maka mereka berpaling kepada-Nya;
mereka kembali mencari Allah dengan bersungguh-sungguh.
35 Ketika itu mereka ingat bahawa Allah adalah batu pejal mereka,
dan Allah Yang Maha Tinggi adalah penebus mereka.
36 Tetapi mulut mereka memberi-Nya puji palsu,
dan lidah mereka berdusta kepada-Nya;
37 kerana hati mereka tidak teguh kepada-Nya,
dan mereka tidak setia kepada perjanjian dengan-Nya.
38 Namun Dia, yang penuh belas kasihan;
mengampunkan dosa mereka dan tidak memusnahkan mereka.
Ya, berkali-kali Dia memalingkan kemarahan-Nya daripada mereka
dan tidak membiarkan kemurkaan-Nya menyala.
39 Kerana Dia ingat bahawa mereka hanyalah manusia,
sehembus nafas yang berlalu dan tidak muncul lagi.
 
40 Betapa kerapnya mereka menyakitkan hati-Nya ketika di gurun
dan menyedihkan-Nya semasa di padang pasir!
41 Ya, berkali-kali mereka menduga Allah;
dan membatasi Yang Maha Suci, Tuhan bani Israel.
42 Mereka tidak ingat akan kuasa-Nya –
hari Dia menyelamatkan mereka daripada musuh,
43 apabila Dia melakukan mukjizat-Nya di Mesir,
dan perbuatan-Nya yang menakjubkan di padang Zoan.
44 Menukarkan air sungai mereka menjadi darah, juga anak-anak air mereka;
maka mereka tidak dapat minum.
45 Dia menghantar lalat yang banyak untuk memakan mereka,
dan katak untuk memusnahkan mereka.
46 Dia menyebabkan tanaman mereka dimakan ulat,
dan hasil usaha mereka dimakan belalang.
47 Dia memusnahkan pokok anggur mereka dengan hujan batu
dan pohon-pohon sikamor mereka dengan air batu.
48 Dia membiarkan ternakan mereka mati ditimpa hujan batu,
dan kawanan domba mereka disambar kilat.
49 Dia melemparkan kepada mereka kemarahan, kemurkaan, keberangan, dan kesusahan – dengan menghantar para malaikat pemusnah dalam kalangan mereka.
50 Dia membuat lorong untuk kemarahan-Nya;
Dia tidak mengecualikan jiwa mereka daripada maut tetapi membiarkan wabak penyakit meragut nyawa mereka.
51 Dan memusnahkan semua anak lelaki sulung orang Mesir,
kekuatan pertama mereka di perkhemahan Ham.
52 Tetapi Dia membolehkan umat-Nya pergi seperti domba;
dan memandu mereka di gurun seperti satu kawanan.
53 Dan Dia memandu mereka dengan selamat, maka mereka tidak takut;
sedangkan laut menenggelamkan musuh mereka.
54 Lalu Dia membawa mereka ke sempadan-Nya yang suci,
gunung ini yang telah diambil-Nya dengan tangan kanan-Nya.
55 Dia mengusir bangsa-bangsa dari tempat yang didatangi umat-Nya
dan membahagikan tanah sebagai warisan mereka;
serta menyuruh suku-suku Israel tinggal di khemah mereka.
 
56 Namun demikian, mereka menguji dan menyakitkan hati Allah Yang Maha Tinggi;
dan tidak mematuhi kesaksian-Nya.
57 Mereka berpaling tadah dan berkelakuan tidak setia seperti nenek moyang mereka,
mereka menyeleweng seperti busur yang bengkok.
 
58 Mereka membuat Dia marah dengan tempat-tempat pemujaan;
dan menyengutukan-Nya dengan patung-patung yang diukir.
59 Apabila Allah mendengarnya, Dia amat murka;
dan sangat membenci kaum Israel.
60 Sehingga Dia meninggalkan Khemah Suci-Nya di Silo,
yang telah diletakkan-Nya dalam kalangan mereka.
61 Dan membiarkan lambang kekuatan-Nya ditawan,
dan lambang kemuliaan-Nyaa jatuh ke tangan musuh.
62 Dia membiarkan umat-Nya musnah di hujung pedang;
Dia amat murka akan warisan-Nya.
63 Api membakar pemuda-pemuda mereka,
maka gadis-gadis mereka tidak dijodohkan;
64 imam-imam mereka gugur di hujung pedang,
dan balu-balu mereka tidak meratap.
 
65 Kemudian, bangkitlah Tuhan seperti orang bangun daripada tidur,
seperti seorang gagah yang bertempik kerana berkobar-kobar semangatnya.
66 Dan Dia mengusir musuh-Nya;
Dia memalukan mereka selama-lamanya.
67 Juga Dia menolak khemah Yusuf,
dan tidak memilih suku Efraim;
68 tetapi memilih suku Yudah,
Bukit Sion yang dicintai-Nya.
69 Dan Dia membina tempat suci-Nya seperti di syurga,
seperti bumi yang telah ditapakkan-Nya untuk selama-lamanya.
70 Dia juga memilih Daud hamba-Nya
dan mengambilnya dari kawanan domba;
71 daripada mengikuti domba beranak kecil, diambil-Nya Daud
untuk menjadi gembala umat-Nya Yakub, dan warisan-Nya Israel.
72 Maka Daud menggembalakan mereka menurut keikhlasan hatinya;
dan memandu mereka dengan kemahiran tangannya.
 
 
 
 
 
 
79
Doa Umat yang Terancam
Syair Asaf.
1 Ya Allah, bangsa-bangsa telah merampas warisan-Mu;
Bait Suci-Mu telah dicemari oleh mereka, mereka telah meruntuhkan Yerusalem.
2 Mayat hamba-hamba-Mu
telah diberi mereka sebagai makanan burung angkasa, tubuh umat-Mu yang warak dijadikan habuan binatang di bumi.
3 Darah mereka telah ditumpahkan seperti air sekitar Yerusalem,
dan tiada siapa yang mengebumikan mereka.
4 Kami telah menjadi bahan celaan negeri-negeri jiran,
sasaran bagi cemuhan dan ejekan mereka yang di sekeliling kami.
 
5 Berapa lama, Ya Allah? Akan murkakah Engkau selama-lamanya?
Akan terus menyalakah rasa cemburu-Mu seperti api?
6 Curahkanlah kemarahan-Mu ke atas bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu,
dan kerajaan-kerajaan yang tidak menyeru nama-Mu;
7 kerana mereka telah menelan Yakub
dan meranapkan tempat kediamannya.
8 Janganlah ingat akan dosa kami yang silam;
segeralah limpahkan belas kasihan-Mu ke atas kami, kerana kami telah dijatuhkan sama sekali.
 
9 Tolonglah kami, Ya Allah yang menyelamatkan kami,
demi kemuliaan nama-Mu;
lepaskan kami serta berilah kami peluang menebus dosa kami demi nama-Mu.
10 Mengapa bangsa-bangsa harus berkata,
“Di mana Tuhan mereka?”
Biarlah bangsa-bangsa sekeliling kami mengetahui pembelaan darah hamba-hamba-Mu yang telah ditumpahkan.
11 Biarkan rintihan orang tawanan sampai ke hadirat-Mu;
dengan kebesaran kuasa-Mu peliharalah mereka yang dihukum mati.
 
12 Dan balaskan tujuh kali ganda kepada bangsa-bangsa jiran kami yang telah mencela-Mu, Ya Rabbi!
13 Oleh itu, kami, umat-Mu dan kawanan domba-Mu,
akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya;
kami akan memuji-Mu turun-temurun.
 
 
 
 
 
 
80
Doa untuk Pemulihan Israel
Untuk pemimpin pujian.
Menurut lagu “Bunga Bakung Perjanjian.” Syair Asaf.
1 Dengarlah, wahai Gembala Israel,
Engkau yang telah memandu Yusuf seperti sekawan domba;
Engkau yang tinggal di antara malaikat-malaikat kerubin, limpahkanlah sinar-Mu
2 di hadapan suku Efraim, Benyamin, dan Manasye.
Bangkitkanlah kekuatan-Mu; dan datang menyelamatkan kami.
 
3 Pulihkanlah kami, Ya Allah;
pancarkanlah sinar wajah-Mu, maka kami akan selamat!
 
4 Ya Allah, Tuhan semesta alam,
berapa lama Engkau akan murka dan tidak mendengar doa umat-Mu?
5 Engkau telah memberi mereka makan roti kesedihan;
dan minum beberapa banyak air mata.
6 Engkau telah membiarkan bangsa-bangsa di sekeliling memerangi kami,
dan musuh kami tertawa sesama sendiri.
 
7 Pulihkan kami, Ya Allah, Tuhan semesta alam;
pancarkanlah sinar wajah-Mu, maka kami akan selamat.
 
8 Engkau telah membawa pokok anggur keluar dari Mesir;
Engkau telah mengusir bangsa-bangsa dan menanam pokok anggur itu.
9 Engkau menyediakan ruang untuknya,
dan membuatnya berakar-umbi memenuhi tanah ini.
10 Bukit-bukau diliputi oleh bayang-bayangnya,
dan pokok-pokok araz yang gagah dengan dahan-dahannya.
11 Ia telah menghulurkan dahan-dahannya ke laut,
dan cabang-cabangnya ke Sungai Efrat.
 
12 Mengapakah Engkau memecahkan pagar-pagarnya
sehingga semua yang lalu-lalang memetik buahnya?
13 Babi hutan dari belukar mencabutnya
dan binatang liar dari padang memakannya.
14 Kembalilah, kami merayu-Mu, Ya Allah, Tuhan semesta alam!
Pandanglah ke bawah dari syurga dan lihatlah!
Lalu lawatlah pokok anggur ini,
15 dan ladang anggur yang telah ditanami tangan kanan-Mu,
dan cabang yang Kaujadikan kuat untuk-Mu.
 
16 Telah dibakar api, telah dipotong;
telah binasa akibat kemarahan wajah-Mu.
17 Letakkanlah tangan-Mu di atas orang yang menjadi tangan kanan-Mu,
di atas anak manusia yang Kaujadikan kuat untuk-Mu.
18 Maka kami tidak berpaling daripada-Mu;
pulihkanlah kami, maka kami akan menyeru nama-Mu.
 
19 Pulihkan kami, Ya Allah, Tuhan semesta alam;
pancarkanlah sinar wajah-Mu, maka kami akan selamat.
 
 
 
 
 
 
81
Nyanyian pada Waktu Pembaharuan Perjanjian
Untuk pemimpin pujian.
Menurut lagu: Gitit. Dari Asaf.
1 Menyanyilah dengan lantang untuk Allah kekuatan kita;
bersoraklah dengan girang kepada Tuhan yang disembah Yakub!
2 Nyanyikanlah lagu sambil memukul tamborin,
bermain kecapi merdu serta gambus.
 
3 Tiuplah nafiri ketika bulan baru,
dan semasa bulan purnama, pada hari perayaan kita yang luhur;
4 kerana ini adalah ketetapan bagi umat Israel,
suatu hukum Tuhan yang disembah Yakub.
5 Ini berasaskan-Nya pada Yusuf sebagai kesaksian
apabila Dia menjelajah seluruh Tanah Mesir, di situ aku mendengar bahasa yang tidak kufahami.
 
6 Dia berkata, “Aku melepaskan bahunya daripada beban;
tangan mereka dibebaskan daripada bakul.
7 Kamu menyeru-Ku ketika dalam kesusahan dan Aku melepaskan kamu,
Aku menjawabmu di tempat rahsia guruh; Aku mengujimu di perairan Meriba. Sela
 
8 Dengarlah, wahai umat-Ku, Aku akan menegurmu!
Wahai Israel, kalaulah kamu mahu mendengar kata-Ku!
9 Tidak boleh ada tuhan asing dalam kalanganmu;
dan kamu tidak boleh menyembah tuhan asing.
10 Akulah Allah, Tuhanmu,
yang telah membawamu keluar dari Tanah Mesir.
Bukalah mulutmu luas-luas,
Aku akan memenuhinya.
 
11 Tetapi umat-Ku enggan mendengar suara-Ku;
dan Israel sama sekali tidak mahu menerima-Ku.
12 Oleh itu, Aku biarkan mereka mengikut hati mereka yang degil
hidup menurut fikiran mereka sendiri.
 
13 Kalaulah umat-Ku mahu mendengar-Ku,
dan Israel mahu hidup menurut jalan-Ku,
14 tentu Aku segera menundukkan musuh mereka
dan memalingkan tangan-Ku menentang musuh mereka!
15 Pembenci Allah pura-pura tunduk kepada-Nya,
dan hukuman ke atas mereka kekal selama-lamanya.
16 Tentu diberi-Nya mereka makan gandum terbaik;
dan dengan madu dari batu pejal tentu Kukenyangkan kamu.”
 
 
 
 
 
 
82
Allah dalam Jemaah-Nya
Syair Asaf.
1 Allah mengambil tempat dalam perhimpunan jemaah-Nya;
Dia menghakimi antara penguasa perkasa:a
2 “Berapa lamakah kamu akan menghakimi dengan tidak adil
dan memihak kepada orang zalim? Sela
3 Belalah orang miskin dan anak yatim;
lakukanlah keadilan kepada orang yang miskin dan ditindas.
4 Selamatkan orang yang lemah dan sesak;
lepaskan mereka daripada tangan orang zalim.”
 
5 “Mereka tidak tahu, dan tidak mengerti.
Mereka merayau dalam kegelapan; semua asas bumi sudah goyah.”
 
6 “Aku berkata, ‘Kamu ilahi;
dan kesemua kamu anak Yang Maha Tinggi.’b
7 Tetapi kamu akan mati seperti manusia;
dan jatuh seperti seorang anak raja.”
 
8 Bangkitlah, Ya Allah, hakimilah bumi,
kerana semua bangsa ialah warisan-Mu.
 
 
 
 
 
 
83
Doa Mohon Pertolongan Melawan Musuh
Sebuah nyanyian. Syair Asaf.
1 Janganlah senyap, Ya Allah;
janganlah Engkau membisu, dan janganlah berdiam diri, Ya Allah.
2 Kerana lihatlah, musuh-Mu berbuat huru-hara,
dan mereka yang membenci-Mu telah mengangkat kepala.
3 Mereka berunding mengatur tipu muslihat menentang umat-Mu;
dan berpakat melawan orang yang Kaulindungi.
4 Mereka telah berkata, “Marilah kita hapuskan mereka sebagai suatu bangsa,
supaya nama Israel akan luput dari ingatan.”
 
5 Mereka telah berpakat dan bersatu hati;
mereka telah membentuk komplot menentang-Mu –
6 orang Edom dan orang Ismail, Moab dan Hagri,
7 Gebal, Amon dan Amalek, Filistea dan Tirus.
8 Asyur pun telah menyertai mereka;
mereka membantu keturunan Lut. Sela
 
9 Perlakukanlah mereka seperti Kauperlakukan orang Madyan,
dan Sisera serta Yabin di Sungai Kison,
10 yang binasa di En-Dor
dan menjadi seperti sampah di atas bumi.
11 Jadikanlah para pemimpin mereka seperti Oreb dan Zeeb,
ya, dan raja-raja mereka seperti Zebah dan Salmuna,
12 yang telah berkata, “Marilah kita ambil padang-padang berumput Allah sebagai milik kita.”
 
13 Ya Tuhanku, jadikan mereka seperti debu berterbangan,
seperti sekam ditiup angin.
14 Seperti api membakar hutan
dan membuat gunung-ganang menyala,
15 burulah mereka dengan badai-Mu
dan takutkan mereka dengan ribut-Mu.
16 Malukanlah mereka supaya mereka mencari nama-Mu, Ya Allah.
 
17 Biarlah mereka keliru dan kecewa selama-lamanya;
ya, biarkanlah mereka malu dan binasa.
18 Supaya mereka tahu hanya Engkau, yang bernama Allah,
Engkaulah Yang Maha Tinggi menguasai seluruh bumi.
 
 
 
 
 
 
84
Rindu akan Bait Allah
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu: Gitit. Syair dari puak Korah.
1 Betapa indahnya Khemah Suci-Mu,
Ya Allah, Tuhan semesta alam!
2 Jiwaku ingin, ya rindu, akan pekarangan Allah;
hatiku dan jasadku berseru kepada Tuhan yang hidup.
 
3 Sedangkan burung pipit ada tempat kediamannya,
dan burung layang-layang ada sarangnya sendiri, tempat dia meletakkan anak-anaknya –
malah juga mazbah-Mu,a Ya Allah, Tuhan semesta alam,
Ya Rajaku dan Tuhanku.
4 Diberkatilah mereka yang tinggal di Bait-Mu;
mereka berterusan memuji-Mu. Sela
 
5 Diberkatilah orang yang kekuatannya dalam-Mu,
yang hatinya tertumpu kepada perjalanan suci.
6 Ketika mereka melalui Lembah Baka,
mereka menjadikannya mata air; hujan pula memenuhinya dengan kolam.
7 Mereka mencapai kekuatan demi kekuatan,
setiap orang tiba di hadirat Allah di Sion.
 
8 Ya Allah, Tuhan semesta alam, perhatikanlah doaku;
dengarlah, Ya Tuhan yang disembah Yakub. Sela
 
9 Ya Allah, lihatlah perisai kami;
dan pandanglah wajah orang yang telah Kautabalkan.
 
10 Kerana satu hari di dalam Bait-Mu
lebih baik daripada seribu di tempat lain;
aku rela menjadi penjaga pintu di Bait Tuhanku daripada tinggal di khemah orang fasiq.
11 Kerana Allah, Al Khalik, ialah matahari dan perisai;
Allah akan memberi kasih kurnia dan kemuliaan;
tiada kebaikan yang tidak dilimpahkan-Nya
kepada mereka yang hidup tulus.
 
12 Ya Allah, Tuhan semesta alam,
diberkatilah orang yang percaya kepada-Mu.
 
 
 
 
 
 
85
Doa Mohon Israel Dipulihkan
Untuk pemimpin pujian.
Syair dari puak Korah.
1 Allah, Engkau telah meredai tanah-Mu;
Engkau telah membawa Yakub pulang daripada tawanan.
2 Engkau telah mengampunkan dosa umat-Mu;
Engkau telah menghapuskan semua dosa mereka. Sela
3 Engkau telah menarik balik segala kemurkaan-Mu;
Engkau telah berpaling daripada nyala kemarahan-Mu.
 
4 Pulihkanlah kami, Ya Allah, yang menyelamatkan kami,
dan padamkanlah kemarahan-Mu terhadap kami.
5 Akan marahkah Engkau kepada kami selama-lamanya?
Akan Kauteruskankah kemarahan-Mu turun-temurun?
6 Tidakkah Engkau mahu memulihkan kami, supaya umat-Mu dapat bergembira kerana-Mu?
7 Tunjukkanlah kasih abadi-Mu kepada kami, Ya Allah,
dan kurniai kami penyelamatan-Mu.
 
8 Aku akan mendengar firman Allah, iaitu Tuhan;
kerana Dia akan berfirman sejahtera kepada umat-Nya dan orang warak-Nya.
Tetapi janganlah mereka kembali kepada kebodohan mereka.
9 Sesungguhnya, penyelamatan-Nya dekat kepada mereka yang bertakwa kepada-Nya,
supaya kemuliaan menetap di tanah kita.
 
10 Kasih sayang dan kesetiaan telah bertemu;
kebenaran dan sejahtera telah berdakapan.
11 Kesetiaan akan muncul dari bumi,
dan kebenaran akan memandang ke bawah dari syurga.
12 Allah akan memberikan apa yang baik,
dan tanah kita akan bertambah makmur.
13 Kebenaran akan berjalan di hadapan-Nya
dan menjadikan jejak langkah-Nya jalan untuk kita turuti.
 
 
 
 
 
 
86
Doa Mohon Pertolongan
Doa Daud.
1 Dengarkanlah aku, Ya Allah, dan jawablah aku,
kerana aku miskin dan sesak.
2 Peliharakanlah nyawaku, kerana aku suci.
Ya Tuhanku, selamatkanlah hamba-Mu yang percaya kepada-Mu.
3 Kasihanilah aku, Ya Rabbi,
kerana aku berseru kepada-Mu sepanjang hari.
4 Gembirakanlah jiwa hamba-Mu,
kerana kepada-Mu, Ya Rabbi, kuangkatkan jiwaku.
 
5 Kerana Engkau, Ya Rabbi, baik dan sedia mengampuni,
serta melimpahkan kasih kepada semua yang menyeru-Mu.
6 Dengarlah, Ya Allah, doaku;
dan berilah perhatian kepada suara permohonanku.
7 Dalam kesusahan aku akan berseru kepada-Mu,
kerana Engkau akan menjawabku.
 
8 Tiada tuhan seperti-Mu, Ya Rabbi;
dan tiada yang dapat melakukan apa yang Kaulakukan.
9 Semua bangsa yang telah Kaujadikan
akan datang menyembah-Mu, Ya Rabbi;
dan akan memuliakan nama-Mu.
10 Kerana Engkau besar dan melakukan perkara yang menakjubkan;
hanya Engkaulah Tuhan.
 
11 Ajarlah aku jalan-Mu, Ya Allah,
aku akan melangkah dalam kebenaran-Mu;
padukan hatiku, supaya bertakwa kepada nama-Mu.
12 Aku akan memuji-Mu, Ya Rabbi, Ya Tuhanku, dengan sepenuh hatiku;
dan aku akan memuliakan nama-Mu untuk selama-lamanya.
13 Kerana sungguh melimpah kasih-Mu kepadaku;
dan Engkau telah melepaskan jiwaku daripada kubur.
14 Ya Allah, orang yang sombong telah bangkit menentangku;
dan orang ganas beramai-ramai hendak membunuhku.
Mereka tidak berpandu kepada-Mu.
15 Tetapi Engkau, Ya Rabbi, adalah Tuhan Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih,
panjang sabar serta berlimpah kasih abadi dan setia.
16 Berpalinglah kepadaku, dan kasihanilah aku;
berilah kekuatan-Mu kepada hamba-Mu dan selamatkanlah aku yang mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu.
17 Tunjukkanlah aku tanda kebaikan,
supaya orang yang membenciku melihatnya lalu berasa malu, kerana Engkau, Ya Allah,
telah menolongku dan melipurkan aku.
 
 
 
 
 
 
87
Sion, iaitu Yerusalem, Kota Allah
Syair dari puak Korah.
Sebuah nyanyian.
1 Asas-Nya di bukit suci;
2 Allah mencintai pintu pagar Sion
lebih daripada segala tempat kediaman Yakub.
3 Pelbagai kemuliaan disebutkan tentangmu,
Wahai kota Allah: Sela
4 “Aku akan menyebut Rahaba dan Babel
kepada mereka yang mengenal-Ku;
ketahuilah, wahai Filistea dan Tirus, serta Habsyah,
‘Dia ini dilahirkan di Sion.’ ”b
 
5 Dan tentang Sion akan dikatakan,
“Dia ini dan dia itu telah dilahirkan dalamnya, dan Yang Maha Tinggi sendiri akan mengukuhkannya.”
6 Allah akan mencatatkan ketika Dia mendaftarkan umat-Nya:
“Dia ini dilahirkan di Sion.” Sela
7 Kedua-dua penyanyi dan pemain muzik berkata,
“Semua sumber bahagiaku dalammu.”
 
 
 
 
 
 
88
Doa pada Waktu Sakit Tenat
Sebuah Nyanyian. Syair dari puak Korah. Untuk pemimpin pujian.
Menurut lagu Mahalat Leanor. Nyanyian pengajaran Heman, orang Ezrahi.
1 Ya Allah, Ya Tuhan yang menyelamatkanku,
aku telah berseru siang malam di hadapan-Mu.
2 Biarlah doaku datang ke hadirat-Mu;
dengarkanlah kepada seruanku.
 
3 Kerana jiwaku dipenuhi kesusahan
dan hidupku semakin hampir ke kubur.
4 Aku dikira serupa dengan mereka yang masuk ke kubur;
aku seperti orang yang tidak bermaya.
5 Hanyut di antara orang mati,
seperti orang terbunuh yang terbaring di dalam kubur,
yang tidak Kauingati lagi,
dan telah tersingkir daripada tangan-Mu.
 
6 Engkau telah meletakkan aku di kubur paling dalam,
dalam kegelapan, jauh di dalam.
7 Kemurkaan-Mu berat menekanku;
dan Engkau telah menimpakan segala azab-Mu seperti ombak ke atasku. Sela
8 Engkau telah menjauhkan semua kenalanku daripadaku
Engkau telah menjadikan aku jijik di mata mereka.
Aku terkurung, tidak dapat keluar;
9 mataku semakin pudar kerana kesakitan derita yang kutanggung.
 
Ya Allah, aku telah berseru kepada-Mu setiap hari;
aku telah menghulurkan tanganku kepada-Mu.
10 Akan Kaubuatkah mukjizat untuk orang mati?
Akan bangkitkah orang mati lalu memuji-Mu? Sela
11 Akan disebutkah kasih-Mu di kubur,
atau kesetiaan-Mu di tempat Kemusnahan?
12 Akan dikenalkah mukjizat-Mu dalam kegelapan,
dan kebenaran-Mu di alam kelupaan?
 
13 Tetapi kepada-Mu aku telah berseru, Ya Allah;
dan pada waktu pagi doaku datang ke hadirat-Mu.
14 Ya Allah, mengapa Kausingkirkan jiwaku,
mengapa Kausembunyikan wajah-Mu daripadaku?
 
15 Aku telah ditimpa azab dan hampir mati sejak usia mudaku;
aku menderita ketakutan kerana-Mu, aku resah gelisah.
16 Kemurkaan-Mu yang dahsyat menimpaku;
ketakutan kepada-Mu membinasakanku.
17 Segalanya mengepungku sepanjang hari seperti banjir; segalanya menenggelamkan aku.
18 Orang tersayang dan sahabat telah Kaujauhkan daripadaku;
dan kenalanku dalam kegelapan.
 
 
 
 
 
 
89
Kesetiaan Allah kepada Raja Daud
Nyanyian pengajaran Etan, orang Ezrahi.a
1 Aku akan menyanyi tentang kasih Allah selama-lamanya;
dengan mulutku akan kuceritakan kesetiaan-Mu kepada semua keturunan zaman-berzaman.
2 Kerana aku telah berkata, “Kasih-Mu akan kekal selama-lamanya,
kesetiaan-Mu akan Kauteguhkan hingga ke langit.”
 
3 Engkau berkata, “Aku telah membuat perjanjian dengan orang yang Kupilih,
Aku telah berjanji kepada hamba-Ku Daud,
4 ‘Benihmu akan Kuteguhkan selama-lamanya
dan takhtamu akan Kupeliharakan untuk keturunanmu zaman-berzaman.’ ” Sela
 
5 Seisi langit akan memuji keajaiban-Mu, Ya Allah,
kesetiaan-Mu juga dalam perhimpunan orang yang hidup suci.
6 Kerana siapa di langit yang dapat dibandingkan dengan Allah?
Siapa antara anak orang berkuasa dapat disamakan dengan Allah?
7 Tuhan amat ditakuti dalam perhimpunan orang yang hidup suci;
dan amat dihormati oleh semua yang di sekeliling-Nya.
8 Ya Allah, Tuhan semesta alam, siapakah yang berkuasa seperti-Mu?
Ya Allah, kesetiaan-Mu juga di sekeliling-Mu.
 
9 Engkau menguasai gelora laut;
apabila gelombangnya tinggi, Engkau menenangkannya.
10 Engkau telah meremukkan Rahab, seperti manusia yang dibunuh;
Engkau telah menyebabkan musuh-Mu bertempiaran dengan kekuatan-Mu.
11 Langit milik-Mu, bumi juga milik-Mu;
dunia dengan segala isinya, Engkau yang menjadikannya.
12 Utara dan selatan, Engkau yang menciptanya;
Gunung Tabor dan Hermon bergembira dengan nama-Mu.
13 Engkau mempunyai tangan yang perkasa;
tangan-Mu kuat, tangan kanan-Mu ditinggikan.
 
14 Kebenaran dan keadilan adalah asas takhta-Mu;
kasih abadi dan kesetiaan berjalan di hadapan-Mu.
15 Diberkatilah orang yang mengenal bunyi bahagia itu,
mereka melangkah, Ya Allah, dalam cahaya wajah-Mu.
16 Dengan nama-Mu mereka bergembira sepanjang hari;
dan dalam kebenaran-Mu mereka ditinggikan.
17 Kerana Engkau kemuliaan kekuatan mereka,
dan dengan keredaan-Mu tanduk kami ditinggikan.
18 Perisai kami milik Allah,
dan raja kami milik Yang Maha Suci, Tuhan bani Israel.
 
19 Kemudian Engkau berfirman melalui satu penglihatan kepada orang warak-Mu:
“Aku telah memberi pertolongan kepada seorang yang perkasa;
Aku telah mengangkat tinggi seorang yang dipilih daripada kalangan umat.
20 Aku telah menemui hamba-Ku Daud;
dan Aku telah menabalkan dia dengan minyak upacara-Ku yang suci.
21 Tangan-Ku akan tetap menyertainya;
dan tangan-Ku akan menguatkan dia.
22 Musuh tidak akan dapat memperdayanya;
dan anak kedurjanaan tidak akan dapat menyakitinya.
23 Aku akan menumbangkan musuhnya di hadapan matanya
dan menyeksa mereka yang membencinya.
24 Kesetiaan-Ku dan kasih abadi-Ku akan menyertainya,
dan dengan nama-Ku kejayaannya akan ditinggikan.
25 Juga Aku akan meletakkan laut di bawah tangannya,
dan sungai-sungai di bawah tangan kanannya.
26 Dia akan berseru kepada-Ku, ‘Engkaulah Bapaku,
Tuhanku, dan Batu Pejal Penyelamatku.’
27 Aku juga akan menjadikannya anak sulung-Ku,
tertinggi antara raja-raja di bumi.
28 Kasih-Ku akan Kuperuntukkan baginya untuk selama-lamanya,
dan perjanjian-Ku akan berdiri teguh dengannya.
29 Keturunannya juga akan Kukekalkan selama-lamanya,
dan takhtanya berterusan seperti syurga.
 
30 Jika anak cucunya meninggalkan hukum-Ku
dan tidak hidup mengikut kesaksian-Ku,
31 jika mereka melanggar ketetapan-Ku
dan tidak mematuhi perintah-perintah-Ku,
32 Maka Aku akan menghukum keingkaran mereka dengan gada,
dan dosa mereka dengan cemeti;
33 namun demikian, kasih-Ku tidak akan Kutarik sepenuhnya daripada mereka,
dan kesetiaan-Ku tidak akan Kubiarkan lupus.
34 Perjanjian-Ku tidak akan Kumungkiri
dan Aku tidak akan mengubah firman yang telah terbit daripada Aku sendiri.
35 Aku telah bersumpah demi kesucian-Ku,
maka Aku tidak akan berdusta kepada Daud.
36 Keturunannya akan kekal selama-lamanya
dan takhtanya seperti matahari di hadapan-Ku;
37 bertapak selama-lamanya seperti bulan,
seperti saksi setia di langit.” Sela
 
38 Tetapi Engkau telah menyingkirkan dan membenci,
Engkau telah murka akan orang yang Kautabalkan.
39 Engkau telah membatalkan perjanjian dengan hamba-Mu;
Engkau telah mencemarkan mahkotanya dengan menghumbankannya ke tanah.
40 Engkau telah memecahkan semua pagarnya;
Engkau telah meranapkan semua bentengnya.
41 Semua orang yang lalu-lalang menyamun dia;
dia menjadi celaan jiran-jirannya.
42 Engkau telah mengangkat tinggi tangan kanan seterunya;
Engkau telah menyebabkan semua musuhnya bergembira.
43 Engkau telah membengkokkan hujung pedangnya dan tidak menyokongnya dalam pertempuran.
44 Engkau telah meluputkan kemuliaannya
dan melontarkan takhtanya ke tanah.
45 Usia mudanya telah Kausingkatkan;
Engkau telah memalukannya. Sela
 
46 Betapa lama, Ya Allah? Adakah Engkau akan menyembunyikan diri-Mu selama-lamanya?
Adakah kemurkaan-Mu akan terus menyala seperti api?
47 Ingatlah betapa singkat usiaku.
Adakah Engkau telah mencipta anak-anak manusia untuk hidup sia-sia?
48 Manusia manakah dapat hidup dan tidak menemui maut,
dapatkah dia melepaskan nyawanya daripada kuasa kubur? Sela
49 Ya Rabbi, di manakah kasih-Mu yang dahulu,
yang telah Kaujanjikan kepada Daud dalam kesetiaan-Mu?
50 Ingatlah, Ya Rabbi, celaan terhadap hamba-hamba-Mu,
betapa dadaku menanggung celaan daripada segala bangsa,
51 musuh-Mu telah mencela, Ya Allah,
mereka telah mencela jejak langkah orang yang telah Kautabalkan.
 
52 Pujilah Allah selama-lamanya!
Amin, ya Amin.