107
Jilid V: 107—150
Ucapan Syukur daripada Orang yang Diselamatkan Allah
1 Bersyukurlah kepada Allah, kerana kebaikan-Nya;
kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.
2 Biarlah mereka yang ditebus oleh Allah berkata demikian,
mereka yang telah ditebus-Nya daripada tangan musuh,
3 dan dikumpulkan-Nya dari negeri-negeri,
dari timur dan dari barat, dari utara dan dari selatan.
 
4 Mereka telah merayau di gurun dalam kehampaan,
mereka tidak dapat mencari kota untuk didiami.
5 Lapar dan dahaga,
jiwa mereka tidak bermaya.
6 Kemudian mereka berseru kepada Allah dalam kesusahan mereka,
dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka.
7 Lalu Dia memandu mereka di jalan yang betul
supaya mereka dapat pergi ke sebuah kota dan tinggal di situ.
8 Biarlah manusia bersyukur kepada Allah kerana kasih abadi-Nya
dan kerana perbuatan-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia,
9 kerana Dia memuaskan jiwa yang penuh kerinduan,
dan mengenyangkan jiwa yang lapar dengan kebaikan.
 
10 Mereka yang duduk dalam kegelapan dan bayangan maut,
dibelenggu dengan derita serta rantai besi,
11 kerana mereka telah memberontak terhadap firman Allah
dan menghina nasihat Yang Maha Tinggi.
12 Oleh itu, Dia menundukkan hati mereka dengan kerja teruk;
mereka jatuh tersungkur, dan tiada siapa yang menolong.
13 Kemudian mereka berseru kepada Allah dalam kesusahan mereka,
dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka.
14 Dia membawa mereka keluar daripada kegelapan dan bayangan maut
dan menghancurkan rantai pengikat mereka.
15 Biarlah manusia bersyukur kepada Allah kerana kasih abadi-Nya
dan kerana perbuatan-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia,
16 kerana Dia telah memecahkan pintu-pintu pagar gangsa
dan memotong palang-palang besi sehingga patah dua.
 
17 Orang yang bodoh, kerana keingkaran mereka
dan kerana dosa mereka, telah ditimpa kesakitan.
18 Jiwa mereka membenci segala jenis makanan,
maka mereka hampir ke pintu maut.
19 Kemudian mereka berseru kepada Allah dalam kesusahan mereka,
dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka.
20 Dia menghantar firman-Nya dan menyembuhkan mereka;
serta melepaskan mereka daripada kemusnahan.
21 Biarlah manusia bersyukur kepada Allah kerana kasih abadi-Nya
dan kerana perbuatan-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia.
22 Biarlah mereka mempersembahkan korban-korban kesyukuran
dan mengisytiharkan perbuatan-Nya sambil bergembira.
 
23 Mereka yang turun ke laut menaiki kapal;
yang berurusan di lautan luas.
24 Mereka melihat perbuatan Allah,
dan keajaiban-Nya di lautan dalam.
25 Kerana Dia memerintahkan angin ribut bertiup
dan meninggikan gelombang-gelombang laut.
26 Mereka naik ke arah langit, mereka turun ke laut dalam;
jiwa mereka lebur dalam kesusahan.
27 Mereka terumbang-ambing dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk;
dan kehilangan akal.
28 Kemudian mereka berseru kepada Allah dalam kesusahan mereka,
dan Dia membawa mereka keluar daripada segala keazaban mereka.
29 Dia menenangkan ribut;
maka laut tidak bergelora lagi.
30 Maka mereka bersukacita kerana telah tenang,
lalu Dia memandu mereka ke tempat berteduh yang diingini mereka.
31 Biarlah manusia bersyukur kepada Allah kerana kasih abadi-Nya
dan kerana perbuatan-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia.
32 Biarlah mereka meninggikan-Nya juga dalam perhimpunan orang
dan memuji-Nya dalam kalangan para penatua.
 
33 Dia menukar sungai menjadi gurun,
dan mata air menjadi tanah kering,
34 tanah yang subur menjadi tandus,
kerana kejahatan mereka yang tinggal di situ.
35 Dia menukar gurun menjadi kolam-kolam air
dan tanah kering menjadi mata air;
36 di sana Dia menempatkan orang yang kelaparan,
supaya mereka membina kota sebagai tempat tinggal.
37 Dan menyemai benih di ladang dan menanam anggur di kebun
untuk mendapat hasil yang mewah;
38 Dia juga memberkati mereka, lalu mereka beranak-pinak dengan ramainya,
dan Dia tidak membiarkan lembu ternakan mereka berkurangan.
 
39 Apabila mereka dijadikan kecil dan lemah
dengan penindasan, derita serta kesedihan;
40 Dia mencurahkan kehinaan ke atas orang bangsawan
dan membuat mereka merayau di gurun serta sesat di situ.
41 Sebaliknya, Dia mengangkat tinggi orang sesak jauh daripada derita
dan menjadikan keluarga mereka seperti kawanan domba.
42 Orang yang tulus melihatnya dan bersukacita,
serta seluruh kejahatan membisu.
43 Sesiapa yang bijaksana akan memerhatikan semua ini
dan akan mengerti kasih Allah.
 
 
 
 
 
 
108
Pujian dan Doa Mohon Kemenangan
Sebuah nyanyian. Syair Daud.
1 Ya Allah, hatiku teguh;
aku akan menyanyi dan menggubah pujian, ya, dengan seluruh jiwaku.
2 Bangunlah, gambus dan kecapi!
Aku akan membangunkan fajar.
3 Aku akan memuji-Mu, Ya Allah, dalam kalangan bangsa-bangsa;
dan aku akan menyanyi untuk-Mu dalam kalangan umat manusia.
4 Kerana kasih-Mu besar menjangkau langit;
dan kesetiaan-Mu mencapai awan.
5 Maha Tinggi Engkau, Ya Allah, memerintah langit,
dan kemuliaan-Mu di atas seluruh bumi.
 
6 Supaya orang yang Kaukasihi dapat diselamatkan,
lepaskanlah dengan tangan kanan-Mu dan dengarlah rayuanku.
7 Allah telah berfirman dalam kesucian-Nya:
“Aku akan bergembira; Aku akan membahagikan tanah Sikhem dan mengukur serta mengagihkan Lembah Sukot.
8 Gilead milik-Ku, Manasye milik-Ku;
Efraim juga ketopong-Ku, Yudah tongkat kerajaan-Ku.
9 Moab tempat pembasuhan-Ku,
ke atas Edom akan Kulemparkan kasut-Ku; ke atas Filistea Aku akan bersorak menang.”
 
10 Siapa akan membawaku ke dalam kota perkasa itu?
Siapa akan memimpinku ke Edom?
11 Bukankah Engkau, Ya Allah, yang menyingkiri kami
dan Engkau, Ya Allah, yang tidak menyertai tentera kami?
12 Berilah kami pertolongan daripada kesusahan,
kerana pertolongan manusia tidak berguna.
13 Melalui Allah, kita akan berjuang dengan berani,
kerana Dialah yang akan menumpaskan musuh kita.
 
 
 
 
 
 
109
Doa Orang yang Difitnah
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Janganlah kiranya Engkau membiarkan aku,
Ya Allah yang kupuji,
2 kerana mulut orang fasiq dan mulut orang berdusta
telah dibuka mengataku; mereka telah memfitnahku dengan lidah berdusta.
3 Mereka juga telah mengelilingiku dengan kata-kata kebencian;
dan memerangiku tanpa sebab.
4 Sebagai balasan kasihku mereka menjadi pendakwaku,
namun aku menumpukan diriku kepada berdoa.
5 Demikianlah mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan,
dan persahabatanku dengan kebencian.
 
6 Letakkanlah dia di bawah kuasa orang durjana;
dan biarlah seorang pendakwa berdiri di sebelah tangan kanannya.
7 Apabila dia dihakimi, biarlah dia didapati bersalah,
dan biarlah doanya menjadi hukuman.
8 Biarlah umurnya pendek;
dan orang lain mengambil jawatan kepimpinannya.
9 Biarlah anak-anaknya menjadi anak yatim
dan isterinya menjadi balu.
10 Biarlah anak-anaknya menjadi pengemis tanpa tempat berteduh;
biarlah mereka mencari makan dari tempat-tempat mereka yang telah runtuh.
11 Biarlah pemiutang merampas segala hartanya;
dan biarlah orang lain merompak hasil jerihnya.
12 Biarlah tiada siapa pun mengasihaninya,
biarlah tiada seorang pun menyukai anak-anaknya yang menjadi yatim.
13 Biarlah semua benihnya dimusnahkan,
dan nama mereka dilupakan oleh keturunan akan datang.
14 Biarlah dosa nenek moyangnya diingati di hadirat Allah;
dan janganlah dosa ibunya diampunkan.
15 Biarlah dosa mereka sentiasa diingati Allah,
supaya Dia meluputkan mereka daripada ingatan manusia di bumi.
 
16 Kerana dia tidak teringat hendak berbuat baik,
tetapi dia menganiaya orang yang miskin dan sesak malah dia membunuh orang yang merana.
17 Kerana dia suka menyumpah,
biarlah sumpahnya berbalik kepadanya.
Kerana dia tidak suka memberkati,
biarlah berkat jauh daripadanya.
18 Kerana dia membiasakan dirinya dengan sumpahan seperti pakaian;
biarlah sumpahan itu masuk ke tubuhnya seperti air, dan ke tulangnya seperti minyak.
19 Biarlah sumpahan itu seperti pakaian yang menyalutinya,
dan tali pinggang yang sentiasa dipakainya.
20 Biarlah ini menjadi balasan Allah kepada mereka yang mendakwaku,
dan kepada mereka yang menuturkan kejahatan tentangku.
 
21 Tetapi Engkau, Ya Allah, Ya Rabbi,
tolonglah aku demi nama-Mu; kerana Engkau pengasihan, selamatkanlah aku.
22 Kerana aku miskin dan sesak, dan memerlukan pertolongan,
dan hatiku luka dalamku.
23 Aku kian lenyap seperti bayang-bayang ketika memanjang;
aku dikebas seperti belalang.
24 Lututku lemah kerana berpuasa;
dan tubuhku tinggal kulit dan tulang.
25 Aku juga telah menjadi celaan orang;
apabila mereka melihatku, mereka menggeleng-geleng kepala.
26 Tolonglah aku, Ya Allah, ya Tuhanku!
Selamatkanlah aku demi kasih abadi-Mu.
27 Supaya mereka tahu bahawa ini kerja tangan-Mu,
bahawa Engkau, Ya Allah, yang melakukannya.
28 Biarlah mereka menyumpah, tetapi Engkau memberkati;
apabila mereka bangkit, biarlah mereka berasa malu, tetapi biarlah hamba-Mu bergembira.
29 Biarlah pendakwa-pendakwaku disaluti malu,
biarlah mereka melitupi tubuh dengan keaiban seperti jubah.
 
30 Aku akan memberi pujian tinggi kepada Allah dengan lidahku;
ya, aku akan memuji-Nya dalam kalangan orang ramai.
31 Kerana Dia akan berdiri di sebelah kanan orang miskin,
untuk menyelamatkannya daripada orang yang menjatuhkan hukum mati.
 
 
 
 
 
 
110
Penobatan Raja Imam
Syair Daud.
1 Allah berfirman kepada Junjunganku:a
“Duduklah di sebelah kanan-Ku
sehingga Kujadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.”
 
2 Allah akan menghantar tongkat kekuatan-Mu dari Sion;
memerintahlah di tengah-tengah musuh-Mu.
3 Kaum-Mu akan bekerja sukarela pada masa Engkau berkuasa.
Dalam keindahan kesucian dari fajar pagi,
Engkau memiliki kesegaran embun usia muda-Mu.
 
4 Allah telah bersumpah dan tidak akan mungkir:
“Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya,
menurut peraturan Melkisedek.”b
5 Ya Rabbi, di sebelah kanan-Mu;
Dia akan menghancurkan raja-raja ketika Dia murka.c
6 Dia akan menghakimi dalam kalangan bangsa-bangsa,
Dia akan memenuhi serata tempat dengan mayat, Dia akan memusnahkan pemerintah banyak negeri.
7 Dia akan minum air sungai di tepi jalan;
maka Dia akan mengangkat kepala.
 
 
 
 
 
 
111
Puji Allah kerana Kebaikan-Nya
1 Pujilah Allah!
 
Aku akan memuji Allah dengan sepenuh hatiku
dalam perhimpunan orang tulus dan dalam jemaah.
 
2 Sungguh besar perbuatan Allah;
dikaji oleh semua yang berasa ria kerananya.
3 Perbuatan-Nya mulia dan agung,
dan kebenaran-Nya kekal selama-lamanya.
4 Dia telah menghasilkan kerja-Nya yang menakjubkan untuk diingati;
Allah penuh kasih kurnia dan belas kasih.
5 Dia telah memberi makanan kepada mereka yang bertakwa kepada-Nya;
Dia akan sentiasa ingat akan perjanjian-Nya.
6 Dia telah mengisytiharkan kepada umat-Nya kuasa perbuatan-Nya,
dalam memberi mereka warisan bangsa-bangsa.
7 Perbuatan tangan-Nya adalah kesetiaan dan keadilan;
semua ajaran-Nya pasti.
8 Semuanya berdiri kukuh selama-lamanya,
dan dibuat dalam kebenaran serta ketulusan.
9 Dia telah menghantar penebusan kepada umat-Nya;
Dia telah memberikan perintah tentang perjanjian-Nya untuk selama-lamanya. Maha Suci dan Maha Tinggi nama-Nya.
10 Ketakwaan kepada Allah permulaan kebijaksanaan;
pengertian yang sempurna ada pada semua yang mentaati perintah-perintah-Nya.
Pujian bagi-Nya kekal selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
112
Diberkatilah Orang Benar
1 Pujilah Allah!
 
Diberkatilah orang yang bertakwa kepada Allah,
yang menikmati keriaan daripada perintah-perintah-Nya.
 
2 Anak cucunya akan berkuasa di atas bumi;
keturunan orang tulus akan diberkati.
3 Harta kekayaan akan dimiliki keluarganya,
dan kebenarannya kekal selama-lamanya.
4 Bagi orang tulus, cahaya muncul dalam kegelapan,
iaitu dia orang yang penuh pengasih, penyayang dan benar.
5 Orang yang baik sentiasa pemurah dan rela meminjamkan,
dia mengendalikan urusannya dengan adil.
6 Sesungguhnya, dia tidak akan goyah;
orang yang benar akan diingati selama-lamanya.
7 Dia tidak akan takut kepada berita buruk;
hatinya teguh, percaya kepada Allah.
8 Hatinya tenteram, dia tidak akan gentar;
dan dia akan melihat kehendaknya berlaku ke atas musuhnya.
9 Dia telah menaburkan kurnianya merata-rata dalam kalangan orang miskin,
kebenarannya kekal selama-lamanya; martabatnya akan ditinggikan dengan kehormatan.
10 Orang fasiq akan melihatnya dan berduka,
akan menggertakkan gigi dan merana; kehendak orang fasiq tidak akan tercapai.
 
 
 
 
 
 
113
Allah Meninggikan Orang Rendah
1 Pujilah Allah!
 
Pujilah, hai hamba-hamba Allah,
pujilah nama Allah.
2 Terpujilah nama Allah,
dari saat ini dan selama-lamanya.
3 Daripada terbitnya hingga terbenamnya matahari,
nama Allah dipuji.
 
4 Allah dijunjung tinggi mengatasi semua bangsa,
dan kemuliaan-Nya di atas seluruh langit.
5 Siapa yang seperti Allah, Tuhan kita,
yang tinggal jauh di atas,
6 yang merendah diri-Nya sudi memandang seisi langit dan bumi?
 
7 Dia mengangkat orang miskin daripada debu
dan orang yang sesak daripada timbunan abu;
8 untuk mendudukkannya bersama raja-raja,
bersama raja-raja umat-Nya.
9 Dia mengekalkan perempuan mandul dalam rumah tangga
sebagai ibu bahagia kepada anak-anak.
 
Pujilah Allah!
 
 
 
 
 
 
114
Apabila Bani Israel Keluar dari Mesir
1 Apabila kaum Israel keluar dari Mesir,
keturunan Yakub daripada kalangan bangsa berbahasa asing,
2 Yudah menjadi tempat suci-Nya,
dan Israel wilayah kekuasaan-Nya.
 
3 Laut melihatnya lalu lari,
Sungai Yordan berpatah balik;
4 gunung-ganang berlompatan seperti domba jantan,
bukit-bukau seperti anak domba.
5 Mengapa kamu sampaikan lari, hai laut?
Hai Yordan, mengapa berpatah balik?
6 Hai gunung-ganang, mengapa berlompatan seperti domba jantan,
hai bukit-bukau, seperti anak domba?
 
7 Gementarlah, hai bumi, di hadirat Allah,
di hadirat Tuhan yang disembah Yakub,
8 yang telah mengubah batu pejal menjadi kolam air,
dan batu api menjadi air pancuran.
 
 
 
 
 
 
115
Kemuliaan hanyalah kepada Allah
1 Bukan kepada kami, Ya Allah, bukan kepada kami
tetapi kepada nama-Mu berilah kemuliaan, kerana kasih abadi-Mu, kerana kesetiaan-Mu.
 
2 Mengapa bangsa-bangsa harus berkata,
“Di mana Tuhan mereka?”
3 Namun Tuhan kami di syurga;
Dia melakukan apa yang disukai-Nya.
4 Berhala mereka daripada perak dan emas, buatan tangan manusia.
5 Berhala itu ada mulut tetapi tidak berkata-kata,
ada mata, tetapi tidak melihat;
6 ada telinga, tetapi tidak mendengar,
ada hidung, tetapi tidak menghidu;
7 ada tangan, tetapi tidak memegang,
ada kaki, tetapi tidak berjalan;
juga tidak bersuara dari kerongkongnya.
8 Orang yang membuatnya serupalah dengannya,
demikian juga semua yang percaya kepadanya.
 
9 Hai kaum Israel, percayalah kepada Allah!
Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
10 Hai keturunan Harun, percayalah kepada Allah!
Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
 
11 Kamu yang bertakwa kepada Allah, percayalah kepada-Nya!
Dialah penolong dan perisai pelindungmu.
 
12 Allah ingat kepada kita,
Dia akan memberkati kita:
Dia akan memberkati keturunan Israel,
Dia akan memberkati keturunan Harun,
13 Dia akan memberkati semua yang bertakwa kepada Allah,
baik yang berkedudukan rendah atau tinggi.
 
14 Semoga Allah memberimu semakin banyak keturunan,
kamu dan anak-anakmu.
15 Semoga kamu diberkati oleh Allah,
yang menjadikan langit dan bumi.
 
16 Langit, malah seluruh angkasa, ialah milik Allah,
tetapi bumi telah diberikan-Nya kepada anak-anak manusia.
17 Orang mati tidak memuji Allah,
orang yang sudah turun ke alam sunyi;
18 tetapi kita akan menyanjung Allah,
dari saat ini dan untuk selama-lamanya.
 
Pujilah Allah!
 
 
 
 
 
 
116
Terlepas daripada Maut
1 Aku kasih akan Allah, kerana Dia telah mendengar suaraku;
dan permohonanku.
2 Kerana Dia mendengarkan aku,
maka aku akan menyeru-Nya seumur hidupku.
 
3 Azab maut telah mengelilingiku,
dan seksa kubur telah mencengkamku; aku menanggung kesusahan dan kedukaan.
4 Lalu aku menyeru nama Allah:
“Ya Allah, aku merayu kepada-Mu, selamatkanlah jiwaku!”
 
5 Allah penuh kasih kurnia serta benar;
ya, Tuhan kita penuh belas kasih.
6 Allah memelihara orang yang tulus;
ketika aku ditindas, Dia menyelamatkan aku.
 
7 Bertenanglah kembali, wahai jiwaku,
kerana Allah baik kepadamu.
 
8 Ya, Engkau telah melepaskan jiwaku daripada maut,
mataku daripada air mata, dan kakiku daripada tergelincir;
9 aku akan melangkah di hadapan Allah
di alam orang yang hidup.
10 Aku percaya; maka aku berkata,
“Aku ditimpa keazaban teruk.”
11 Dalam kedukaanku, aku berkata,
“Semua manusia pendusta.”
 
12 Apakah yang akan kupersembahkan kepada Allah
untuk segala kebaikan-Nya kepadaku?
13 Aku akan mengangkat cawan penyelamatan
dan menyeru nama Allah.
14 Aku akan menunaikan janjiku kepada Allah
di hadapan seluruh umat-Nya.
 
15 Sungguh tinggi nilainya dalam pandangan Allah
kematian orang warak-Nya.
16 Ya Allah, sesungguhnya aku hamba-Mu;
aku hamba-Mu seperti ibuku dahulu; Engkau telah membukakan ikatanku.
 
17 Aku akan mempersembahkan kepada-Mu korban kesyukuran
dan akan menyeru nama Allah.
18 Aku akan menunaikan janjiku kepada Allah
di hadapan seluruh umat-Nya,
19 di balai-balai Bait Allah,
di tengah-tengahmu, wahai Yerusalem.
 
Pujilah Allah!
 
 
 
 
 
 
117
Pujilah Allah, hai semua Bangsa!
1 Pujilah Allah, hai kamu semua bangsa;
sanjunglah Dia, hai kamu semua umat manusia.
2 Kerana kasih-Nya melimpah kepada kita,
dan kesetiaan Allah kekal selama-lamanya.
 
Pujilah Allah!
 
 
 
 
 
 
118
Kasih Allah Kekal selama-lamanya!
1 Bersyukurlah kepada Allah kerana kebaikan-Nya;
kasih-Nya kekal selama-lamanya.
 
2 Biarlah Israel berkata:
“Kasih-Nya kekal selama-lamanya.”
3 Biarlah keturunan Harun berkata:
“Kasih-Nya kekal selama-lamanya.”
4 Biarlah mereka yang bertakwa kepada Allah berkata:
“Kasih-Nya kekal selama-lamanya.”
 
5 Aku berseru kepada Allah dalam kesusahan,
Allah menjawabku dan meletakkan aku di tempat yang lapang.
6 Allah memihak kepadaku; aku tidak akan takut.
Apakah yang dapat dilakukan manusia kepadaku?
7 Allah menyokongku dalam kalangan mereka yang menolongku.
Oleh itu, aku akan melihat kehendakku berlaku ke atas mereka yang membenciku.
 
8 Lebih baik berlindung kepada Allah
daripada meletakkan keyakinan kepada manusia.
9 Lebih baik berlindung kepada Allah
daripada percaya kepada raja-raja.
 
10 Semua bangsa telah mengepungku,
namun dengan nama Allah aku akan memusnahkan mereka.
11 Mereka telah mengepungku,
namun dengan nama Allah aku akan memusnahkan mereka.
12 Mereka telah mengepungku seperti lebah,
mereka dihapuskan seperti api daripada duri; kerana dengan nama Allah aku akan memusnahkan mereka.
 
13 Aku ditolak dengan ganas supaya aku tersungkur,
tetapi Allah menolongku.
14 Allah adalah kekuatan dan nyanyianku;
dan Dia telah menjadi penyelamatanku.
15 Suara kegembiraan dan penyelamatan
memenuhi perkhemahan orang yang benar: “Tangan kanan Allah gagah berani dan menang!
16 Tangan kanan Allah ditinggikan;
tangan kanan Allah gagah berani dan menang!”
 
17 Aku tidak akan mati, aku hidup,
dan mengisytiharkan perbuatan Allah.
18 Allah telah menghukumku dengan berat,
tetapi Dia tidak membiarkan aku mati.
 
19 Bukakanlah untukku pintu kebenaran;
aku akan masuk melaluinya dan akan memuji Allah.
20 Inilah pintu Allah;
orang yang benar akan masuk melaluinya.
21 Aku akan memuji-Mu, kerana Engkau telah menjawabku;
dan telah menjadi penyelamatanku.
 
22 Batu yang telah dibuang oleh pembina
telah menjadi batu penjuru.
23 Ini perbuatan Allah,
sungguh menakjubkan di mata kita.
24 Ini hari yang dijadikan oleh Allah;
kita akan bergembira dan bersukacita kerananya.
 
25 Selamatkanlah sekarang, aku berdoa, Ya Allah;
Ya Allah, aku berdoa, hantarlah kemakmuran.
26 Diberkatilah orang yang datang dalam nama Allah.
Kami telah memberkatimu dari Bait Allah.
27 Allah adalah Tuhan,
dan Dia telah memberi kita cahaya.
Ikatlah korban dengan tali ke tanduk mazbah.
 
28 Engkaulah Tuhanku, dan aku akan memuji-Mu;
Engkaulah Tuhanku, aku akan meninggikan-Mu.
 
29 Bersyukurlah kepada Allah, kerana kebaikan-Nya;
kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
119
Diberkatilah Orang yang Hidup Menurut Hukum Allah
1 Diberkatilah orang yang tidak tercemar jalannya,
yang melangkah menurut hukum Allah.
2 Diberkatilah mereka yang mematuhi kesaksian-Nya,
yang mencari-Nya dengan sepenuh hati.
3 Mereka juga tidak melakukan dosa;
mereka melangkah menurut jalan-Nya.
4 Engkau telah memerintahkan kami supaya mematuhi ajaran-ajaran-Mu
dengan bersungguh-sungguh.
5 Oh, kalaulah cara-caraku ditujukan ke arah mematuhi ketetapan-Mu!
6 Maka tidaklah aku malu
apabila aku meneliti segala perintah-Mu.
7 Aku akan memuji-Mu dengan tulus hati
apabila kupelajari hukum-Mu yang benar.
8 Aku akan mematuhi ketetapan-Mu;
janganlah tinggalkan aku selama-lamanya.
 
9 Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya?
Dengan berhati-hati menurut firman-Mu.
10 Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu;
janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.
11 Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku
supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.
12 Terpujilah Engkau, Ya Allah;
ajarlah aku ketetapan-Mu.
13 Dengan bibirku telah kuisytiharkan
segala hukum yang Kaufirmankan.
14 Aku telah bergembira dengan cara kesaksian-Mu
seperti dengan segala kekayaan.
15 Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu
dan memikirkan cara-cara-Mu.
16 Aku akan menikmati ketetapan-Mu;
aku tidak akan melupakan firman-Mu.
 
17 Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu;
supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu.
18 Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat
hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu.
19 Aku orang asing di bumi;
janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku.
20 Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu.
21 Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati,
yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.
22 Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan,
kerana aku telah mematuhi kesaksian-Mu.
23 Raja-raja juga duduk mengataku,
tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu.
24 Kesaksian-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan.
 
25 Jiwaku melekap ke debu;
pulihkanlah aku menurut firman-Mu.
26 Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku;
ajarlah aku ketetapan-Mu.
27 Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu;
supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan.
28 Jiwaku lebur ditekan kemuraman;
teguhkanlah aku menurut firman-Mu.
29 Bebaskan aku daripada jalan dusta;
dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia.
30 Aku telah memilih jalan kebenaran;
hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku.
31 Aku berpegang teguh kepada kesaksian-Mu;
Ya Allah, jangan malukan aku.
32 Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu,
kerana Engkau melapangkan hatiku.
33 Ajarlah aku, Ya Allah, jalan ketetapan-Mu;
aku akan mematuhinya hingga ke akhir.
34 Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu;
sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku.
35 Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu,
kerana aku bahagia dengannya.
36 Cenderungkanlah hatiku kepada kesaksian-Mu
bukan kepada ketamakan.
37 Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah;
dan pulihkan aku di jalan-Mu.
38 Tegakkan janji-Mu bagi hamba-Mu,
supaya Engkau ditakwa.
39 Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti,
kerana hukum-hukum-Mu baik.
40 Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu!
Pulihkan aku dalam kebenaran-Mu.
41 Biarlah kasih abadi-Mu juga datang kepadaku, Ya Allah,
penyelamatan-Mu menurut janji-Mu;
42 dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku,
kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu.
43 Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku,
kerana aku berharap kepada hukum-Mu.
44 Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu,
selama-lamanya.
45 Dan aku akan melangkah dengan bebas,
kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu.
46 Aku akan berbicara tentang kesaksian-Mu juga di hadapan raja-raja
dan tidak akan malu,
47 dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu
yang kukasihi.
48 Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi,
dan aku akan merenung ketetapan-Mu.
 
49 Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu,
dengannya Engkau telah memberiku harapan.
50 Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku:
Firman-Mu memberiku hidup.
51 Orang yang sombong mentertawakan aku,
namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu.
52 Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu,
Ya Allah, dan aku melipurkan diriku.
53 Kemarahan telah memenuhiku kerana orang fasiq,
yang meninggalkan hukum-Mu.
54 Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku
dalam perjalanan ibadatku.
55 Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam,
Ya Allah, dan aku mematuhi hukum-Mu.
56 Ini telah menjadi milikku:
kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
 
57 Engkaulah yang ada padaku, Ya Allah;
aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu.
58 Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku;
kasihanilah aku menurut firman-Mu.
59 Aku memikirkan gerak-geriku
lalu aku melangkah ke arah kesaksian-Mu.
60 Aku bertindak segera,
aku tidak berlengah-lengah mematuhi perintah-perintah-Mu.
61 Tali orang fasiq telah mengikatku,
tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu.
62 Pada tengah malam aku akan bangun untuk mengucap syukur kepada-Mu
kerana hukum-hukum-Mu yang benar.
63 Aku teman kepada semua yang bertakwa kepada-Mu,
dan mereka yang mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
64 Bumi ini, Ya Allah, penuh dengan kasih-Mu;
ajarlah aku ketetapan-Mu.
 
65 Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik,
Ya Allah, menurut firman-Mu.
66 Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik,
kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu.
67 Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng,
tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu.
68 Engkau baik, dan berbuat baik;
ajarlah aku ketetapan-Mu.
69 Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku,
tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku.
70 Hati mereka setebal lemak,
tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu.
71 Kesusahan yang menimpaku baik bagiku
kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu.
72 Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada
ribuan keping wang emas dan perak.
 
73 Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku;
berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu.
74 Mereka yang bertakwa kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku,
kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
75 Aku tahu, Ya Allah, bahawa hukum-hukum-Mu benar,
dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku.
76 Aku berdoa, biarlah kasih abadi-Mu melipurkan aku,
menurut janji-Mu kepada hamba-Mu.
77 Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup,
kerana hukum-Mu bahagiaku.
78 Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah;
tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu.
79 Biarlah mereka yang bertakwa kepada-Mu berpaling kepadaku,
mereka yang mengetahui kesaksian-Mu.
80 Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu,
supaya aku tidak menanggung malu.
 
81 Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu,
tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu.
82 Mataku kabur mencari firman-Mu;
dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?”
83 Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi,
namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu.
84 Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu?
Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku?
85 Orang yang sombong telah menggali lubang untukku,
ini tidak menurut hukum-Mu.
86 Semua perintah-Mu benar;
mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku.
87 Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini,
tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu.
88 Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu,
supaya aku mematuhi kesaksian yang Kaufirmankan.
 
89 Untuk selama-lamanya, Ya Allah;
firman-Mu bertapak di syurga.
90 Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman;
Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada.
91 Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu,
kerana semuanya hamba-Mu.
92 Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku,
tentulah aku binasa menanggung penderitaan.
93 Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya,
kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup.
94 Aku milik-Mu, selamatkanlah aku;
kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu.
95 Orang fasiq menantiku untuk memusnahkanku,
tetapi aku akan memikirkan kesaksian-Mu.
96 Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan;
tetapi perintah-Mu maha luas.
 
97 Oh, betapa kucintai hukum-Mu!
Aku merenungnya sepanjang hari.
98 Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku,
kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku.
99 Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku,
kerana kesaksian-Mu menjadi renunganku.
100 Aku mengerti lebih daripada penatuaku,
kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
101 Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan
supaya aku dapat mematuhi firman-Mu.
102 Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu,
kerana Engkau sendiri telah mengajarku.
103 Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku,
lebih manis daripada madu bagi lidahku!
104 Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian;
oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu.
 
105 Firman-Mu lampu bagi kakiku
dan cahaya bagi jalanku.
106 Aku telah bersumpah dan menegaskan,
bahawa aku akan mematuhi hukum-hukum-Mu yang benar.
107 Aku menanggung kesusahan yang amat berat;
pulihkanlah aku, Ya Allah, menurut firman-Mu.
108 Aku berdoa, terimalah puji-pujianku yang kupersembahkan dengan sepenuh kerelaan, Ya Allah,
dan ajarlah aku hukum-hukum-Mu.
109 Nyawaku sentiasa terancam,
namun aku tidak melupakan hukum-Mu.
110 Orang fasiq telah memasang jerat untukku,
namun aku tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran-Mu.
111 Kesaksian-Mu telah kuambil sebagai warisan selama-lamanya;
kerana ia menggembirakan hatiku.
112 Aku telah mencenderungkan hatiku untuk menjalankan ketetapan-Mu
selama-lamanya, hingga ke akhir.
 
113 Aku membenci orang yang curang,
tetapi aku mencintai hukum-Mu.
114 Engkaulah perlindunganku dan perisaiku;
aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
115 Pergilah daripadaku, hai orang yang berbuat jahat,
kerana aku akan mematuhi perintah-perintah Tuhanku!
116 Teguhkanlah aku menurut firman-Mu, supaya aku dapat hidup;
dan jangan biarkan aku malu kerana harapanku.
117 Tegakkanlah aku, maka aku akan selamat;
dan aku akan sentiasa mentaati ketetapan-Mu.
118 Engkau menolak kesemua mereka yang menyimpang daripada ketetapan-Mu,
kerana mereka memperdaya dan itu adalah pendustaan.
119 Engkau menyingkirkan semua orang fasiq di bumi seperti barang tidak berguna;
oleh itu, aku mencintai kesaksian-Mu.
120 Tubuhku gementar kerana takut kepada-Mu;
dan aku takut akan penghakiman-Mu.
 
121 Aku telah melakukan keadilan dan kebenaran;
janganlah tinggalkan aku di tangan penindasku.
122 Jadilah penjamin hamba-Mu;
jangan biarkan orang sombong menindasku.
123 Mataku kabur mencari penyelamatan-Mu,
dan mencari firman-Mu yang benar.
124 Perlakukan hamba-Mu berdasarkan kasih abadi-Mu
dan ajarlah aku ketetapan-Mu.
125 Aku hamba-Mu; berilah aku pengertian
supaya aku dapat mengetahui kesaksian-Mu.
126 Sudah sampai masanya Engkau bertindak, Ya Allah,
kerana mereka menganggap hukum-Mu batal.
127 Justeru aku mencintai perintah-perintah-Mu
lebih daripada emas, ya, daripada emas tulen,
128 justeru semua ajaran-Mu tentang semua perkara kuanggap benar,
aku membenci setiap jalan yang palsu.
 
129 Kesaksian-Mu menakjubkan;
oleh itu jiwaku mematuhinya.
130 Kedatangan firman-Mu membawa cahaya;
memberi pengertian kepada orang yang tulus.
131 Aku membuka mulut dan tercungap-cungap,
kerana aku merindui perintah-perintah-Mu.
132 Pandanglah aku dan kasihanilah aku,
sebagaimana yang biasa Kaulakukan kepada mereka yang mencintai nama-Mu.
133 Pandulah langkahku dengan firman-Mu;
dan jangan biarkan dosa menguasaiku.
134 Lepaskan aku daripada penindasan manusia,
supaya aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
135 Limpahkanlah sinar wajah-Mu ke atas hamba-Mu
dan ajarlah aku ketetapan-Mu.
136 Air mataku mengalir laksana sungai,
kerana manusia tidak mematuhi hukum-Mu.
 
137 Maha Benar Engkau, Ya Allah,
dan adil semua penghakiman-Mu.
138 Kesaksian-Mu yang telah Kauperintahkan
benar dan sungguh setia.
139 Semangatku telah membakar hatiku,
kerana musuhku telah melupakan firman-Mu.
140 Janji-Mu sudah teruji,
dan hamba-Mu mencintainya.
141 Aku daif dan dihina,
namun aku tidak melupakan ajaran-ajaran-Mu.
142 Keadilan-Mu kekal selama-lamanya
dan hukum-Mu benar.
143 Kesusahan dan kekhuatiran telah menyelubungiku,
namun perintah-perintah-Mu bahagiaku.
144 Kesaksian-Mu benar selama-lamanya;
berilah aku pengertian, maka aku akan hidup.
 
145 Aku berseru dengan sepenuh hatiku; dengarlah aku, Ya Allah!
Aku akan mematuhi ketetapan-Mu.
146 Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku,
maka aku akan mematuhi kesaksian-Mu.
147 Aku bangun sebelum fajar menyingsing, lalu berseru memohon pertolongan;
aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
148 Aku bercekang mata sepanjang malam,
supaya dapat merenung janji-Mu.
149 Dengarlah suaraku dengan kasih-Mu;
Ya Allah, pulihkanlah hidupku menurut hukum-Mu.
150 Mereka yang mengikut jalan kejahatan semakin dekat,
mereka telah menjauhi hukum-Mu.
151 Namun Engkau dekat, Ya Allah,
dan semua perintah-Mu ialah kebenaran.
152 Tentang kesaksian-Mu, aku telah tahu dari dahulu
bahawa Engkau mengasaskannya untuk selama-lamanya.
 
153 Pertimbangkanlah kesakitanku dan lepaskanlah aku,
kerana aku tidak melupakan hukum-Mu.
154 Belalah dan tebuslah aku;
pulihkanlah hidupku menurut janji-Mu.
155 Penyelamatan jauh daripada orang yang fasiq,
kerana mereka tidak mencari ketetapan-Mu.
156 Sungguh limpah belas kasih-Mu, Ya Allah;
pulihkanlah hidupku menurut hukum-hukum-Mu.
157 Besar bilangan penganiayaku dan musuhku,
namun aku tidak berpaling daripada kesaksian-Mu.
158 Aku melihat orang yang khianat dan aku berasa meluat,
kerana mereka tidak mematuhi firman-Mu.
159 Pertimbangkanlah betapa aku mencintai ajaran-ajaran-Mu;
pulihkanlah hidupku, Ya Allah, dengan kasih-Mu.
160 Seluruh firman-Mu benar;
dan seluruh hukum-Mu yang benar kekal selama-lamanya.
 
161 Raja-raja menganiaya aku tanpa sebab,
tetapi hatiku mengagumi firman-Mu.
162 Aku bergembira dengan janji-Mu
umpama orang yang menjumpai harta yang amat bernilai.
163 Aku benci dan jijik kepada pendustaan
tetapi aku mencintai hukum-Mu.
164 Tujuh kali sehari aku memuji-Mu
kerana hukum-hukum-Mu yang benar.
165 Sungguh besar kesejahteraan mereka yang mencintai hukum-Mu,
dan tiada suatu pun menyebabkan mereka tergelincir.
166 Ya, Allah, aku mengharapkan penyelamatan-Mu,
dan aku menjalankan perintah-perintah-Mu.
167 Jiwaku mematuhi kesaksian-Mu,
dan aku sungguh mencintainya.
168 Aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu dan kesaksian-Mu,
kerana semua langkahku terbentang di hadapan-Mu.
 
169 Biarlah seruanku datang ke hadirat-Mu, Ya Allah;
berilah aku pengertian menurut firman-Mu.
170 Biarlah permohonanku datang ke hadirat-Mu;
selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
171 Bibirku akan melafazkan pujian,
kerana Engkau mengajarku ketetapan-Mu.
172 Lidahku akan bertutur tentang firman-Mu,
kerana semua perintah-Mu ialah kebenaran.
173 Biarlah tangan-Mu menolongku,
kerana aku telah memilih ajaran-ajaran-Mu.
174 Aku merindui penyelamatan-Mu, Ya Allah,
dan hukum-Mu kebahagiaanku.
175 Biarlah jiwaku hidup, maka ia akan memuji-Mu,
dan biarlah hukum-hukum-Mu menolongku.
176 Aku telah tersesat seperti domba yang hilang.
Carilah hamba-Mu, kerana aku tidak melupakan perintah-perintah-Mu.
 
 
 
 
 
 
120
Selamatkanlah Jiwaku daripada Pemfitnah
Nyanyian ziarah.a
1 Dalam kesusahanku aku berseru kepada Allah,
dan Dia mendengar seruanku.
2 Selamatkanlah jiwaku, Ya Allah, daripada bibir berdusta
dan lidah yang menipu.
 
3 Apakah yang akan diberikan kepadamu,
atau apakah yang akan dilakukan kepadamu, hai kamu lidah yang palsu?
4 Dia akan menghukummu dengan anak-anak panah tajam perwira,
dengan kayu arar yang menyala.
 
5 Betapa malangnya aku, kerana aku tinggal di Mesekh,
di antara khemah Kedar!
6 Jiwaku telah tinggal terlalu lama dengan orang yang membenci damai.
7 Aku menyokong damai;
tetapi apabila aku bersuara, mereka menyokong perang.
 
 
 
 
 
 
121
Allah Pemelihara Israel
Nyanyian ziarah.
1 Aku mengangkat mataku ke bukit.
Dari manakah datangnya pertolongan untukku?
2 Pertolongan untukku datang daripada Allah,
yang menjadikan langit dan bumi.
 
3 Dia tidak akan membenarkan kakimu diganjakkan;
Dia yang memeliharamu tidak akan lena.
4 Ketahuilah, Dia yang memelihara Israel
tidak akan lena atau tidur.
 
5 Allah adalah pemeliharamu;
Allah adalah naunganmu di tangan kananmu.
6 Matahari tidak akan menyakitimu sewaktu siang,
atau bulan sewaktu malam.
 
7 Allah akan melindungimu daripada segala kejahatan;
Dia akan melindungi jiwamu.
8 Allah akan melindungi pemergianmu dan kepulanganmu
dari sekarang untuk selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
122
Doa Kesejahteraan untuk Yerusalem
Nyanyian ziarah. Dari Daud.
1 Aku sukacita apabila mereka berkata kepadaku,
“Marilah kita masuk ke Bait Allah.”
2 Kaki kami telah berjejak
dalam kawasanmu, wahai Yerusalem.
 
3 Yerusalem telah dibina sebagai kota yang padu padat dan mampat.
4 Di sana suku-suku pergi,
suku-suku umat Allah,
kepada kesaksian Israel
untuk mengucap syukur kepada nama Allah.
5 Takhta-takhta ditempatkan di situ untuk penghakiman,
takhta-takhta keluarga Daud.
 
6 Berdoalah untuk kesejahteraan Yerusalem:
“Semoga makmur mereka yang mengasihimu.
7 Semoga kesejahteraan meliputi kawasanmu
dan kemakmuran memenuhi istana-istanamu.”
8 Untuk saudara-saudara dan teman-temanku,
aku akan berkata sekarang, “Semoga sejahtera di dalammu.”
9 Kerana Bait Allah, Tuhan kita,
aku akan berusaha untuk kebaikanmu.
 
 
 
 
 
 
123
Berharap kepada Belas Kasihan Allah
Nyanyian ziarah.
1 Kepada-Mu kuangkat mataku,
wahai Engkau yang berada di langit.
2 Lihatlah, sebagaimana mata seorang hamba hanya memandang ke tangan tuannya,
sebagaimana mata jariah memandang ke tangan tuan perempuannya,
demikianlah mata kami memandang kepada Allah, Tuhan kami,
sehingga Dia berbelas kasihan kepada kami.
 
3 Kasihanilah kami, Ya Allah, kasihanilah kami,
kerana kami sangat tertekan oleh penghinaan.
4 Jiwa kami sebak kerana dicemuh oleh orang yang bongkak,
dan dihina oleh orang yang sombong.
 
 
 
 
 
 
124
Terpujilah Penolong Israel
Nyanyian ziarah. Dari Daud.
1 Kalaulah tidak kerana Allah yang memihak kepada kami –
biarlah Israel berkata sekarang –
2 kalaulah tidak kerana Allah yang memihak kepada kami
ketika orang bangkit menentang kami,
3 tentulah mereka menelan kami hidup-hidup,
apabila kemarahan mereka dinyalakan terhadap kami;
4 tentulah air menguasai kami,
arus menenggelamkan jiwa kami,
5 maka air yang naik melimpah
tentu menenggelamkan jiwa kami.
 
6 Terpujilah Allah,
yang tidak menyerahkan kami sebagai mangsa ke rahang mereka.
7 Jiwa kami telah terlepas seperti burung daripada jerat pemikat;
jerat telah koyak, dan kami telah terlepas.
8 Kami mendapat pertolongan daripada nama Allah,
yang telah menjadikan langit dan bumi.
 
 
 
 
 
 
125
Sejahtera dalam Perlindungan Allah
Nyanyian ziarah.
1 Mereka yang menyandarkan kepercayaan kepada Allah seperti Bukit Sion,
yang tidak dapat diganjak dan tetap selama-lamanya.
2 Sebagaimana gunung-ganang mengelilingi Yerusalem,
begitulah Allah mengelilingi umat-Nya dari sekarang untuk selama-lamanya.
 
3 Tongkat kerajaan orang fasiq tidak akan bertakhta di tanah yang diperuntukkan bagi orang yang benar,
supaya orang yang benar tidak tergoda melakukan dosa.
 
4 Buatlah kebaikan, Ya Allah, kepada mereka yang baik,
dan kepada mereka yang tulus.
5 Bagi mereka yang berpaling kepada cara yang penuh tipu daya
Allah akan membawa mereka pergi bersama orang yang melakukan dosa.
 
Sejahteralah Israel.
 
 
 
 
 
 
126
Harapan dalam Penderitaan
Nyanyian ziarah.
1 Apabila Allah memulihkan keadaan Sion,
kami seperti orang bermimpi.
2 Maka mulut kami dipenuhi dengan gelak ketawa,
dan lidah kami dengan nyanyian.
Kemudian mereka berkata dalam kalangan bangsa,
Allah telah melakukan perbuatan yang hebat-hebat untuk mereka.”
3 Allah telah melakukan perbuatan yang hebat-hebat untuk kami,
dan kami bersukacita.
 
4 Pulihkanlah keadaan kami, Ya Allah,
seperti sungai-sungai di Tanah Negeb.
5 Mereka yang menyemai dengan air mata
akan menuai dengan bahagia.
6 Orang yang sentiasa pergi sambil menangis,
membawa benih untuk disemai,
pasti akan datang lagi dengan bergembira,
membawa hasil tuaiannya.
 
 
 
 
 
 
127
Pengasasan Berkat Allah
Nyanyian ziarah Sulaiman.
1 Melainkan Allah mendirikan rumah,
sia-sialah tenaga orang yang membinanya.
Melainkan Allah menjaga kota,
sia-sialah pengawal berjaga malam.
2 Sia-sia sahaja kamu bangun awal pagi, berjaga sampai larut malam, bertungkus-lumus untuk mencari makanan;
kerana demikianlah Dia memberikan tidur lena kepada orang yang dikasihi-Nya.
 
3 Ketahuilah, anak-anak ialah warisan daripada Allah,
hasil daripada rahim adalah suatu pahala.
4 Seperti anak-anak panah di tangan perwira, demikianlah anak-anak daripada usia muda seseorang.
5 Diberkatilah orang yang banyak mempunyai anak-anak panah demikian.
Mereka tidak akan malu tetapi akan berbicara dengan musuh mereka di pintu pagar.
 
 
 
 
 
 
128
Rumah Tangga yang Diberkati
Nyanyian ziarah.
1 Diberkatilah setiap orang yang bertakwa kepada Allah,
yang melangkah di jalan-jalan-Nya.
2 Apabila engkau makan hasil usaha tanganmu;
engkau akan bahagia, dan segalanya baik bagimu.
3 Isterimu seperti pokok anggur yang berbuah di tengah-tengah rumahmu;
dan anak-anakmu seperti pokok-pokok zaitun di keliling mejamu.
4 Ketahuilah, demikian akan diberkati orang yang bertakwa kepada Allah.
 
5 Semoga Allah memberkatimu dari Sion sepanjang hayatmu;
dan semoga engkau melihat kemakmuran Yerusalem,
6 ya, semoga kamu melihat anak-anak kepada anak-anakmu.
 
Sejahteralah Israel.
 
 
 
 
 
 
129
Terlepas daripada Kesesakan
Nyanyian ziarah.
1 Sudah berkali-kali mereka menyakitiku sejak usia mudaku –
biarlah Israel berkata sekarang –
2 sudah berkali-kali mereka menyakitiku sejak usia mudaku,
namun mereka tidak menundukkan aku.
3 Para pembajak membajak belakangku;
mereka membuat alur-alur yang panjang.
4 Allah itu benar;
Dia telah memutus-mutuskan tali orang fasiq.
 
5 Biarlah kesemua mereka yang membenci Sion dimalukan dan diundurkan.
6 Biarlah mereka menjadi seperti rumput di atas bumbung rumah,
yang layu sebelum tumbuh membesar;
7 yang tidak akan memenuhi segenggaman tangan penuai,
atau sepemeluk pengikat hasil tuaian.
8 Dan janganlah biarkan orang yang lalu dekat mereka berkata,
“Semoga kamu diberkati Allah. Kami memberkatimu dengan nama Allah.”
 
 
 
 
 
 
130
Seruan dalam Derita
Nyanyian ziarah.
1 Daripada deritaku yang dalam aku berseru kepada-Mu, Ya Allah.
2 Ya Rabbi, dengarlah suaraku!
Berilah perhatian-Mu kepada suara permohonanku!
 
3 Jika Engkau, Allah, mengingati dosa,
Ya Rabbi, siapa yang dapat bertahan?
4 Tetapi ada pengampunan dengan-Mu;
supaya Engkau ditakuti.
 
5 Aku menantikan Allah, ya, jiwaku menanti,
dan kepada firman-Nya kusandarkan harapan.
6 Jiwaku menantikan Tuhan lebih daripada penjaga menunggu pagi,
ya, lebih daripada penjaga menunggu pagi.
 
7 Wahai Israel, berharaplah kepada Allah,
kerana pada Allah ada kasih abadi, dan Dia pemurah dengan penebusan.
8 Dan Dia akan menebus Israel daripada segala dosanya.
 
 
 
 
 
 
131
Berharap kepada Allah
Nyanyian ziarah Daud.
1 Allah, hatiku tidak angkuh,
dan mataku tidak bongkak;
aku juga tidak mengambil tahu tentang hal-hal besar
atau perkara yang terlalu ajaib bagiku.
2 Sesungguhnya, aku telah menenangkan dan menenteramkan jiwaku;
seperti anak yang telah bercerai susu dengan ibunya, demikianlah jiwaku.
 
3 Wahai Israel, sandarkanlah harapan kepada Allah
dari sekarang untuk selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
132
Allah Memilih Raja Daud dan Kota Sion
Nyanyian ziarah.
1 Ya Allah, ingatlah akan Daud
dan segala deritanya.
 
2 Betapa dia bersumpah kepada Allah
dan berjanji kepada Yang Maha Perkasa, Tuhan disembah Yakub:
3 “Sesungguhnya, aku tidak akan masuk ke bilik rumahku
atau baring di tempat tidurku yang selesa.
4 Aku tidak akan membenarkan mataku lena,
atau kelopak mataku lelap,
5 hingga aku dapat mencari tempat untuk Allah,a
tempat kediaman untuk Yang Maha Perkasa, Tuhan disembah Yakub.”
 
6 Ketahuilah, kami mendengar tentangnya di Efrata,
kami menjumpainya di padang di tengah-tengah Yaar:
7 “Marilah kita masuk ke dalam khemah-Nya;
marilah kita menyembah-Nya di alas kaki-Nya.
8 Bangkitlah, Ya Allah, ke tempat persemayam-Mu,
Engkau dan tabut kekuatan-Mu.
9 Biarlah imam-imam-Mu berpakaian kebenaran;
dan biarlah umat-Mu yang warak bersorak bahagia.”
 
10 Untuk kesejahteraan hamba-Mu Daud,
janganlah singkirkan wajah orang yang Kautabalkan.
 
11 Allah telah bersumpah dengan benar kepada Daud,
dan Dia tidak akan mungkir: “Aku akan mendudukkan anak-anakmu di atas takhtamu.
12 Jika anak-anakmu memegang janji-Ku
dan kesaksian-Ku yang akan Kuajarkan kepada mereka,
anak-anak mereka juga akan duduk di atas takhtamu selama-lamanya.”
 
13 Kerana Allah telah memilih Sion,
Dia telah menghendakinya sebagai tempat kediaman-Nya:
14 “Inilah tempat persemayam-Ku untuk selama-lamanya;
di sini Aku akan tinggal, kerana Aku menghendakinya.
15 Aku akan melimpahkan berkat ke atas sumber makanannya;
Aku akan mengenyangkan orang miskinnya dengan roti.
16 Aku juga akan memakaikan imam-imamnya dengan penyelamatan,
dan orangnya yang salih akan bersorak bahagia.
 
17 Di situ Aku akan membuat tanduk Daud bertumbuh;
Aku akan menyediakan lampu untuk dia yang Kuurapi.
18 Musuhnya akan Kumalukan,
tetapi pada dirinya mahkota akan berkekalan.”
 
 
 
 
 
 
133
Saudara Seiman yang Hidup Bersatu Padu
Nyanyian ziarah Daud.
1 Lihatlah, betapa baik dan menyenangkan hati
apabila saudara-saudara seiman hidup bersama dengan bersatu-padu!
2 Umpama minyak yang amat dihargai di atas kepala,
mengalir turun ke janggut,
janggut Harun,
mengalir turun di tepi jubahnya.
3 Umpama embun Hermon
menitik ke atas Bukit Sion.
Kerana di sanalah Allah memerintahkan berkat,
hidup selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
134
Puji-pujian pada Malam Hari
Nyanyian ziarah.
1 Dengarlah, pujilah Allah, kesemua kamu hamba Allah
yang bertugas di Bait Allah pada waktu malam.
2 Angkatlah tanganmu di tempat suci
dan pujilah Allah.
 
3 Semoga Allah yang menjadikan langit dan bumi
memberkatimu dari Sion.
 
 
 
 
 
 
135
Hanya Allah yang Patut Dipuji
1 Pujilah Allah!
 
Pujilah nama Allah;
pujilah Dia, hai kamu hamba-hamba Allah,
2 kamu yang berdiri di Bait Allah,
di balai-balai rumah Tuhan kita.
 
3 Pujilah Allah, kerana Allah itu baik;
nyanyikan pujian untuk nama-Nya, kerana sungguh menyenangkan.
4 Kerana Allah telah memilih Yakub untuk diri-Nya,
Israel untuk kesayangan-Nya yang istimewa.
 
5 Kerana aku tahu bahawa Allah Maha Besar,
dan Tuhan kita di atas semua tuhan.
6 Apa sahaja yang Allah berkenan,
dilakukan-Nya, di syurga dan di bumi, di lautan dan di semua tempat yang dalam.
7 Dia membuat wap naik dari semua pelosok bumi;
Dia menghantar kilat bersama hujan; Dia mengeluarkan angin daripada perbendaharaan-Nya.
 
8 Dia memusnahkan anak sulung Mesir,
baik manusia mahupun binatang.
9 Dia menghantar tanda dan keajaiban ke kalanganmu, hai Mesir,
kepada Firaun dan semua hambanya.
10 Dia mengalahkan banyak bangsa
dan membunuh raja-raja perkasa –
11 Sihon raja bangsa Amori,
Og raja Basan dan semua kerajaan di Kanaan –
12 lalu memberikan tanah mereka sebagai warisan,
warisan kepada umat-Nya Israel.
 
13 Nama-Mu, Ya Allah, kekal selama-lamanya,
kemasyhuran-Mu, Ya Allah, turun-temurun zaman-berzaman.
14 Kerana Allah akan menghakimi umat-Nya
dan Dia akan berbelas kasih ke atas hamba-hamba-Nya.
 
15 Berhala bangsa-bangsa diperbuat daripada perak dan emas,
hasil pertukangan tangan manusia.
16 Ia ada mulut, tetapi tidak berkata-kata,
ada mata tetapi tidak melihat;
17 ia ada telinga, tetapi tidak mendengar,
dan tiada nafas di mulutnya.
18 Orang yang membuatnya serupalah dengannya,
demikian juga setiap orang yang menyandarkan kepercayaan kepadanya.
 
19 Pujilah Allah, hai keturunan kaum Israel;
pujilah Allah, hai keturunan kaum Harun;
20 pujilah Allah, hai keturunan kaum Lewi;
kamu yang bertakwa kepada Allah, pujilah Allah.
21 Pujilah Allah dari Sion,
yang bersemayam di Yerusalem.
 
Pujilah Allah!
 
 
 
 
 
 
136
Kasih Allah kepada Bani Israel
1 Bersyukurlah kepada Allah, kerana Dia baik,
kasih-Nya kekal selama-lamanya.
2 Bersyukurlah kepada Tuhan segala tuhan,
kasih-Nya kekal selama-lamanya.
3 Bersyukurlah kepada Junjungan segala junjungan,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
4 kepada Dia yang satu-satunya melakukan keajaiban besar,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
5 kepada Dia yang dengan kebijaksanaan menjadikan langit,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
6 kepada Dia yang membentangkan bumi di atas perairan,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
7 kepada Dia yang menjadikan cahaya-cahaya besar,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
8 matahari untuk memerintah sewaktu siang,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
9 bulan dan bintang untuk memerintah sewaktu malam,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
10 kepada Dia yang memusnahkan anak sulung Mesir,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
11 dan mengeluarkan kaum Israel daripada kalangan mereka,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
12 dengan tangan yang perkasa, dan kuasa yang nyata,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
13 kepada Dia yang membelah Laut Merah,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
14 dan membolehkan kaum Israel berjalan melaluinya,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
15 tetapi menewaskan Firaun dan tenteranya di Laut Merah,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
16 kepada Dia yang memandu umat-Nya merentas gurun,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
17 kepada Dia yang menggulingkan raja-raja besar,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
18 dan membunuh raja-raja yang masyhur,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
19 Sihon raja orang Amori,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
20 dan Og raja Basan,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
21 dan memberikan tanah mereka sebagai warisan,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
22 warisan kepada hamba-Nya Israel,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
23 kepada Dia yang ingat kepada kita sewaktu kita tertindas,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
24 dan menyelamatkan kita daripada musuh kita,
kasih-Nya kekal selama-lamanya;
25 Dia memberikan makanan kepada semua makhluk,
kasih-Nya kekal selama-lamanya.
 
26 Bersyukurlah kepada Tuhan semesta langit,
kasih-Nya kekal selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
137
Tangisan di Tebing Sungai-sungai Babel
1 Di tebing sungai-sungai Babel, di sanalah kami duduk dan menangis
ketika mengenang Sion.
2 Dalam demikian kami gantungkan kecapi
di pokok gandarusa,
3 kerana di sana mereka yang membawa kami sebagai orang tawanan meminta kami menyanyi,
dan mereka yang telah merampas milik kami meminta hiburan;
dengan berkata, “Nyanyikanlah untuk kami salah satu lagu Sion!”
 
4 Betapa mungkin kami nyanyikan lagu Allah
di tanah asing?
5 Jika aku melupakan engkau, wahai Yerusalem,
biarlah tangan kananku melupakan kemahirannya.
6 Jika aku tidak ingat kepadamu,
biarlah lidahku melekat ke langit-langitku,
jika aku tidak meninggikan Yerusalem di atas kebahagiaanku yang utama.
 
7 Ingatlah, Ya Allah, betapa anak-anak Edom berkata
pada hari kecelakaan Yerusalem, “Runtuhkan, runtuhkan sampai ke asas-asasnya!”
 
8 Hai anak perempuan Babel, yang akan dimusnahkan,
berbahagialah orang yang membalas perbuatanmu kerana apa yang telah kaulakukan kepada kami!
9 Berbahagialah orang yang meragut dan
menghempaskan anak-anak kecilmu ke batu pejal.
 
 
 
 
 
 
138
Ucapan Syukur atas Pertolongan Allah
Dari Daud.
1 Aku akan memuji-Mu dengan seluruh hatiku, Ya Allah;
di hadapan perhimpunan syurgawi aku akan menyanyikan pujian untuk-Mu.
2 Aku akan menyembah ke arah Bait-Mu yang suci
dan memuji nama-Mu kerana kasih abadi-Mu dan kesetiaan,
kerana Engkau telah meninggikan firman-Mu
dan nama-Mu di atas segala sesuatu.
3 Pada hari aku berseru, Engkau telah menjawab aku;
dan menjadikan aku berani dengan kekuatan dalam jiwaku.
 
4 Semua raja di bumi akan memuji-Mu, Ya Allah,
apabila mereka mendengar janji-janji yang Kausampaikan.
5 Mereka akan menyanyi tentang cara-cara Allah,
kerana sungguh besar kemuliaan Allah.
 
6 Meski Allah Maha Tinggi, namun Dia mengambil berat tentang orang yang dihinakan,
tetapi orang angkuh dikenal-Nya dari jauh.
7 Meski aku berjalan di tengah-tengah kesusahan,
Engkau akan memulihkan aku;
Engkau akan menghulurkan tangan-Mu menentang kemarahan musuhku,
dan tangan kanan-Mu akan menyelamatkan aku.
8 Allah akan menyempurnakan hal ehwalku;
kasih-Mu, Ya Allah, kekal selama-lamanya.
Janganlah tinggalkan perbuatan tangan-Mu.
 
 
 
 
 
 
139
Doa di Hadirat Allah yang Maha Tahu
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Ya Allah, Engkau telah menelitiku dan mengenalku.
2 Engkau mengenal dudukku dan berdiriku;
Engkau memahami fikiranku dari jauh.
3 Engkau meneliti jalanku dan baringku;
serta mengerti semua caraku.
4 Sebelum ada sepatah kata di lidahku, Ya Allah,
Engkau telah mengetahui seluruhnya.
 
5 Engkau telah merangkulku, di belakang dan di hadapan;
dan meletakkan tangan-Mu ke atasku.
6 Pengetahuan demikian terlalu menakjubkan bagiku,
tingginya tidak tercapai olehku.
 
7 Ke mana dapat aku pergi daripada Roh-Mu?
Atau ke mana dapat aku lari dari hadirat-Mu?
8 Jika aku naik ke syurga, Engkau di sana;
jika aku membuat tempat tidurku di neraka, lihatlah, Engkau di sana.
9 Jika kuambil sayap pagi,
dan tinggal di bahagian laut yang paling dalam,
10 di sana pun tangan-Mu akan memimpinku,
tangan kanan-Mu akan memegangku.
 
11 Jika aku berkata, “Tentulah kegelapan akan menyelubungiku dan cahaya sekelilingku akan menjadi malam,”
12 sesungguhnya kegelapan tidak gelap bagi-Mu;
dan malam terang-benderang seperti siang, kegelapan dan cahaya serupa bagi-Mu.
13 Kerana Engkau telah membentuk bahagian-bahagian dalamku;
Engkau melindungiku di dalam rahim ibuku.
14 Aku akan memuji-Mu, kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan;
sungguh menakjubkan ciptaan-Mu, dan ini amat diketahui oleh jiwaku.
15 Bentukku tidak tersembunyi daripada-Mu
ketika aku dicipta dalam rahsia
dan diukir dengan mahir di bahagian bumi yang paling bawah.
16 Mata-Mu telah melihat zatku yang masih belum dibentuk. Dan dalam kitab-Mu segalanya tersurat
hari-hari yang ditentukan untukku.
 
17 Betapa bernilai fikiran-Mu juga bagiku, Ya Allah!
Betapa besar jumlahnya!
18 Jika kuhitung,
jumlahnya lebih banyak daripada pasir.
Apabila aku terjaga,
aku masih bersama-Mu.
 
19 Semoga Engkau musnahkan orang fasiq, Ya Allah!
Maka pergilah daripadaku, hai orang yang suka menumpahkan darah!
20 Kerana mereka bercakap menentang-Mu dengan durjana;
musuh-Mu menyebut nama-Mu sewenang-wenang.
21 Tidakkah aku membenci mereka yang membenci-Mu, Ya Allah,
dan membenci mereka yang bangkit menentang-Mu?
22 Aku membenci mereka dengan sepenuh kebencian;
aku menganggap mereka musuhku.
 
23 Telitilah aku, Ya Allah, dan kenallah hatiku;
dugalah aku dan ketahuilah kebimbanganku.
24 Lihatlah jika ada kecenderungan durjana di dalamku,
dan pimpinlah aku ke jalan yang kekal selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
140
Doa Minta Tolong Dilepaskan daripada Orang Durjana
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Lepaskanlah aku, Ya Allah, daripada orang durjana;
peliharalah aku daripada orang ganas,
2 yang merancang perbuatan durjana dalam hati mereka;
mereka selalu menyalakan peperangan.
3 Mereka menajamkan lidah mereka seperti ular;
racun ular kapak berbisa di bawah bibir mereka. Selaa
 
4 Jauhkanlah aku, Ya Allah, daripada tangan orang fasiq;
peliharalah aku daripada orang ganas yang berniat membuat kakiku tersandung.
5 Orang angkuh telah menyembunyikan jerat untukku;
mereka telah merentang jaring di tepi jalan,
dan telah memasang perangkap untukku. Sela
 
6 Aku berkata kepada Allah, “Engkaulah Tuhanku.”
Dengarlah suara permohonanku, Ya Allah.
7 Ya Allah, Ya Rabbi, kekuatan penyelamatanku,
Engkau telah menutup kepalaku pada hari pertempuran.
8 Janganlah kabulkan, Ya Allah, keinginan orang fasiq;
janganlah lorongkan rancangan mereka yang durjana, supaya mereka tidak disanjung. Sela
 
9 Biarlah kepala mereka yang mengepungku
diliputi kejahatan mulut mereka.
10 Biarlah arang yang menyala jatuh ke atas mereka;
biarlah mereka dihumbankan ke dalam api, ke dalam jurang yang dalam, supaya mereka tidak bangkit semula.
11 Janganlah biarkan seorang pemfitnah bertapak di bumi;
biarlah kejahatan memburu orang ganas untuk menggulingkannya.
12 Aku tahu Allah akan membela nasib orang yang menderita
dan menegakkan keadilan untuk orang miskin.
13 Sesungguhnya, orang yang benar akan mengucap syukur kepada nama-Mu;
orang yang tulus akan menetap di hadirat-Mu.
 
 
 
 
 
 
141
Doa dalam Cubaan
Syair Daud.
1 Ya Allah, aku berseru kepada-Mu; segeralah datang kepadaku.
Dengarlah suaraku apabila aku berseru kepada-Mu.
2 Biarlah doaku hadir di hadapan-Mu sebagai setanggi;
penadahan tanganku sebagai korban persembahan petang.
 
3 Jagalah, Ya Allah, mulutku;
awasilah pintu bibirku.
4 Jangan cenderungkan hatiku ke arah kejahatan,
untuk mengamalkan perbuatan yang fasiq
dengan orang yang melakukan durjana;
dan jangan biarkan aku makan hidangan lazat mereka.
 
5 Biarlah orang yang benar memukulku – itu suatu kebaikan kepadaku;
biarlah dia memarahiku – itu seperti minyak yang unggul. Janganlah biarkan kepalaku menolaknya.
Namun demikian, doaku tetap menentang perbuatan orang durjana;
6 hakim-hakim mereka dihumbankan dari tepi gaung,
dan mereka mendengar kata-kataku kerana kata-kataku manis.
7 Mereka akan berkata, “Tulang-tulang kami berserakan di lubang kubur,
seperti ketika orang membajak dan memecah-mecahkan tanah.”
 
8 Tetapi mataku tertumpu kepada-Mu, Ya Allah, Ya Rabbi;
kepada-Mu aku berlindung;
janganlah tinggalkan jiwaku dalam kepapaan.
9 Jauhkan aku daripada jerat yang telah dipasang oleh mereka untukku,
dan daripada perangkap orang yang melakukan kejahatan.
10 Biarlah orang fasiq terjerumus ke dalam jerat mereka sendiri,
sedangkan aku terlepas dan selamat.
 
 
 
 
 
 
142
Doa Seorang yang Tertindas
Nyanyian pengajaran Daud, ketika dia berada di gua.
Suatu doa.
1 Aku berseru kepada Allah dengan suaraku;
kepada Allah aku membuat permohonanku.
2 Aku mencurahkan aduanku di hadirat-Nya;
aku mengisytiharkan di hadirat-Nya kesusahanku.
 
3 Apabila rohku tertekan di dalamku,
ketika itu Engkau tahu jalanku.
Di jalan tempat aku melangkah,
senyap-senyap mereka memasang jerat untukku.
4 Pandanglah ke sebelah kananku dan lihatlah;
tiada sesiapa pun yang mengiktirafku.
Penaungku tidak menolongku;
tiada sesiapa pun yang mengambil berat tentang jiwaku.
 
5 Aku telah berseru kepada-Mu, Ya Allah;
aku berkata, “Engkaulah penaungku, yang ada padaku di alam orang hidup.”
6 Dengarlah seruanku,
kerana aku ditindas jauh ke bawah;
lepaskanlah aku daripada penganiayaku,
kerana mereka terlalu kuat bagiku.
7 Keluarkanlah jiwaku daripada penjara,
supaya aku dapat memuji nama-Mu.
 
Orang yang benar akan mengelilingiku
kerana Engkau akan melimpahkan kebaikan-Mu kepadaku.
 
 
 
 
 
 
143
Doa Mohon Melakukan Kehendak Allah dan Dipulihkan
Syair Daud.
1 Dengarlah doaku, Ya Allah,
dengarlah permohonanku;
jawablah dengan kesetiaan-Mu
dan dengan kebenaran-Mu.
2 Janganlah jalankan penghakiman ke atas hamba-Mu,
kerana dalam pandangan-Mu tiada makhluk hidup yang benar.
 
3 Kerana musuh telah menganiaya jiwaku,
dia telah menindasku ke tanah;
dia telah membuat aku tinggal dalam kegelapan
seperti orang yang sudah lama mati.
4 Oleh itu, rohku tertekan di dalamku;
hatiku gundah di dalamku.
 
5 Aku mengenang zaman silam;
aku merenungkan semua perbuatan-Mu,
aku memikirkan segala perbuatan tangan-Mu.
6 Aku menadahkan tanganku kepada-Mu;
jiwaku merindui-Mu seperti tanah yang dahaga. Sela
 
7 Jawablah segera, Ya Allah;
rohku layu.
Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku,
takut nanti aku menjadi seperti mereka yang masuk ke dalam jurang.
8 Perdengarkanlah kasih abadi-Mu kepadaku pada waktu pagi,
kerana kepada-Mu kusandarkan kepercayaanku.
Beritahulah aku jalan yang harus kuambil,
kerana aku mengangkatkan jiwaku kepada-Mu.
9 Lepaskanlah aku, Ya Allah, daripada musuhku,
kepada-Mu aku berlindung.
10 Ajarlah aku melakukan kehendak-Mu,
kerana Engkaulah Tuhanku;
biarlah Roh-Mu yang baik
membimbing aku di alam ketulusan.
 
11 Pulihkanlah aku, Ya Allah, demi nama-Mu;
demi kebenaran-Mu, bawalah jiwaku keluar daripada kesusahan.
12 Dengan kasih abadi-Mu, tumbangkanlah musuhku;
dan musnahkanlah kesemua mereka yang menyakiti jiwaku, kerana aku hamba-Mu.
 
 
 
 
 
 
144
Ucapan Syukur Raja Daud
Dari Daud.
1 Pujilah Allah, Batu Pejalku,
yang melatih tanganku untuk peperangan, dan jari-jariku untuk pertempuran.
2 Allah kasih sayangku dan bentengku,
kota perkasaku dan penyelamatku,
perisaiku dan tempat aku bernaung,
yang menundukkan kaum-kaum di bawahku.
 
3 Ya Allah, apakah manusia, maka Engkau memeliharanya,
atau anak manusia maka Engkau memberinya perhatian?
4 Manusia seperti sehembus nafas;
hidupnya seperti bayang-bayang lalu.
 
5 Tundukkan langit-Mu, Ya Allah, dan turunlah;
sentuhlah gunung, maka ia akan berasap.
6 Pancarkan kilat dan kucar-kacirkan mereka;
lepaskan anak-anak panah-Mu dan musnahkan mereka.
7 Hulurkan tangan-Mu dari atas;
selamatkan aku dan lepaskan aku
daripada bahaya air yang besar,
daripada tangan orang asing
8 yang berdusta dengan lidah
dan menipu dengan tangan kanan.
 
9 Aku akan menyanyikan lagu baru untuk-Mu, Ya Allah;
dengan kecapi bertali sepuluh aku akan menyanyikan pujian untuk-Mu,
10 Engkau memberi penyelamatan kepada raja-raja,
Engkau melepaskan hamba-Nya Daud daripada pedang maut.
 
11 Selamatkan aku dan lepaskan aku daripada tangan orang asing
yang berdusta dengan lidah,
dan menipu dengan tangan kanan.
 
12 Maka anak-anak lelaki kami
seperti pohon yang tumbuh subur di usia mudanya,
dan anak-anak perempuan kami laksana tiang
yang terukir dalam gaya seni istana.
13 Jelapang kami penuh membekalkan segala jenis hasil.
Dan domba kami membiakkan ribuan
serta puluhan ribu di padang-padang kami;
14 biarlah lembu-lembu jantan kami membawa muatan,
dengan tiada kemalangan atau kerugian, dan janganlah berlaku kekecohan di jalan-jalan raya kami.
 
15 Diberkatilah orang dalam keadaan demikian;
diberkatilah orang yang bertuhankan Allah.
 
 
 
 
 
 
145
Puji-pujian atas Kebaikan Allah yang Melimpah
Puji-pujian Daud.
1 Aku akan meninggikan-Mu, Ya Tuhanku, ya Raja;
aku akan memberkati nama-Mu selama-lamanya.
2 Setiap hari aku akan memuji-Mu,
aku akan menyanjung nama-Mu selama-lamanya.
 
3 Maha Besar Allah dan besar pujian untuk-Nya;
dan kebesaran-Nya tidak dapat diselami.
4 Setiap keturunan akan memuji hasil kerja-Mu kepada keturunan lain;
dan akan mengisytiharkan perbuatan-Mu yang hebat.
5 Aku akan merenung keagungan-Mu yang penuh kemuliaan dan kegemilangan,
serta perbuatan-Mu yang menakjubkan.
6 Orang akan memperkatakan kehebatan perbuatan-Mu yang mengagumkan,
dan aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu.
7 Mereka akan bercakap mengingati kebaikan-Mu yang melimpah
dan menyanyi dengan gembira tentang kebenaran-Mu.
 
8 Allah penuh kasih kurnia dan belas kasihan,
tidak cepat murka dan amat pengasihan.
9 Allah baik kepada semua,
dan belas kasihan-Nya meliputi semua ciptaan-Nya.
10 Semua ciptaan-Mu akan memuji-Mu, Ya Allah;
umat-Mu yang warak akan menyanjung-Mu.
11 Mereka akan memperkatakan kemuliaan kerajaan-Mu
dan berbicara tentang kuasa-Mu,
12 untuk memberitahu anak-anak manusia mengenai perbuatan-Mu yang hebat,
serta kemuliaan dan keagungan kerajaan-Mu.
13 Kerajaan-Mu kekal selama-lamanya dalam penguasaan-Mu,
dan kekuasaan-Mu berterusan zaman-berzaman.
 
Allah setia dalam segala janji-Nya
dan penuh kasih dalam semua perbuatan-Nya.
14 Allah membangunkan semua yang rebah
dan menegakkan semua yang tersungkur.
15 Semua mata tertumpu penuh harapan kepada-Mu,
dan Engkau memberi mereka makanan tepat pada musimnya.
16 Engkau membuka tangan-Mu
lalu memenuhi hasrat setiap makhluk hidup.
 
17 Allah benar dalam semua cara-Nya,
penuh kasih dalam semua perbuatan-Nya.
18 Allah dekat dengan semua yang menyeru-Nya,
semua yang menyeru-Nya dalam kebenaran.
19 Dia akan memenuhi hasrat mereka yang bertakwa kepada-Nya;
Dia akan mendengar seruan mereka lalu menyelamatkan mereka.
20 Allah memelihara semua yang mengasihi-Nya,
tetapi semua orang fasiq akan dimusnahkan-Nya.
 
21 Lidahku akan menuturkan pujian kepada Allah.
Semua makhluk akan memberkati nama-Nya yang suci selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
146
Allah Satu-satunya Penolong
1 Pujilah Allah!
 
Pujilah Allah, wahai jiwaku.
2 Selagi aku hidup, aku akan memuji Allah;
aku akan menyanyikan pujian untuk Tuhanku selagi aku masih wujud.
 
3 Janganlah sandarkan kepercayaanmu kepada raja-raja,
atau kepada anak manusia kerana pertolongan bukanlah daripadanya.
4 Rohnya pergi, dia kembali menjadi tanah;
pada hari itu juga semua rancangannya musnah.
 
5 Diberkatilah orang yang ditolong oleh Tuhan yang disembah Yakub,
yang berharap kepada Allah, Tuhannya,
6 yang telah menjadikan langit dan bumi,
laut, dan segala yang di dalamnya.
Dia tetap setia selama-lamanya.
7 Dia menjalankan keadilan bagi mereka yang ditindas;
Dia memberi makanan kepada mereka yang lapar.
Allah memberi kebebasan kepada mereka yang dipenjarakan,
8 Allah mencelikkan mata orang buta, Allah menegakkan mereka yang tersungkur,
Allah mengasihi orang yang benar.
9 Allah menaungi orang asing;
Dia membantu anak yatim dan balu, tetapi usaha orang fasiq dihancurkan-Nya.
 
10 Allah akan memerintah selama-lamanya,
Tuhanmu, wahai Sion, turun-temurun zaman-berzaman.
 
Pujilah Allah!
 
 
 
 
 
 
147
Kekuasaan dan Kemurahan Allah
1 Pujilah Allah!
 
Kerana menyanyikan pujian kepada Tuhan kita itu baik,
serta menyenangkan, dan pujian itu indah!
 
2 Allah membina semula Yerusalem;
Dia mengumpulkan umat Israel yang tersingkir.
3 Dia menyembuhkan mereka yang patah hati
dan membalut luka mereka.
 
4 Dia menghitung bintang-bintang;
Dia memanggil setiap satu dengan namanya.
5 Tuhan kita besar dan berlimpah kekuatan;
pengertian-Nya tidak ada batasan.
6 Allah mengangkat tinggi mereka yang rendah hati;
Dia menghumbankan orang yang fasiq ke tanah.
 
7 Menyanyilah kepada Allah dengan mengucapkan kesyukuran;
nyanyikan pujian dengan iringan kecapi kepada Tuhan kita.
8 Dia melitupi langit dengan awan;
Dia menyediakan hujan untuk bumi;
Dia menumbuhkan rumput di atas gunung.
9 Dia memberi makanan kepada haiwan
dan kepada anak-anak gagak yang menciap.
 
10 Dia tidak menikmati kekuatan kuda,
Dia tidak berkenan akan manusia kerana kegagahannya;
11 Allah meredai mereka yang bertakwa kepada-Nya,
mereka yang berharapkan kasih abadi-Nya.
 
12 Sanjunglah Allah, wahai Yerusalem!
Pujilah Tuhanmu, wahai Sion!
13 Dia telah mengukuhkan palang-palang pintu pagarmu;
Dia telah memberkati anak-anak di dalammu.
14 Dia menjadikan sempadan-sempadanmu aman
dan memenuhimu dengan gandum terbaik.
 
15 Dia menghantarkan perintah-Nya ke bumi;
firman-Nya sampai dalam seketika.
16 Dia memberi salji seperti bulu domba;
Dia menaburkan air beku seperti abu.
17 Dia melemparkan hujan batu-Nya.
Siapa yang dapat menghadapi kedinginan-Nya?
18 Dia menghantarkan firman-Nya lalu mencairkan semuanya;
Dia membuat angin-Nya bertiup dan air mengalir.
 
19 Dia mengisytiharkan firman-Nya kepada Yakub,
ketetapan dan hukum-Nya kepada Israel.
20 Dia tidak melakukan yang demikian kepada bangsa lain;
dan hukum-hukum-Nya tidak diketahui oleh mereka.
 
Pujilah Allah!
 
 
 
 
 
 
148
Pujilah Allah, Langit dan Bumi!
1 Pujilah Allah!
 
Pujilah Allah dari syurga,
pujilah Dia di tempat-tempat tinggi.
2 Pujilah Dia, hai semua malaikat-Nya,
pujilah Dia, hai alam semesta.
3 Pujilah Dia, hai matahari dan bulan,
pujilah Dia, hai kamu semua bintang bercahaya.
4 Pujilah Dia, hai kamu langit di atas langit
dan kamu air di atas segala langit.
5 Biar mereka memuji nama Allah,
kerana Dia telah memberikan perintah lalu mereka dicipta.
6 Dia juga menapakkan mereka selama-lamanya;
Dia membuat ketetapan yang tidak akan lenyap.
 
7 Pujilah Allah dari bumi,
hai kamu makhluk besar laut dan bawah lautan,
8 api dan hujan batu, salji dan awan,
angin ribut yang menunaikan firman-Nya,
9 gunung-gunang dan segala bukit,
pokok berbuah dan semua pokok araz,
10 haiwan dan segala lembu kerbau,
binatang menjalar dan burung yang terbang,
11 raja-raja di bumi dan semua bangsa,
putera-putera dan semua pemerintah di bumi,
12 pemuda dan gadis,
orang tua dan kanak-kanak.
 
13 Biar mereka memuji nama Allah,
kerana hanya nama-Nya ditinggikan; kemuliaan-Nya mengatasi bumi dan langit.
14 Dan Dia telah mengangkat tinggi tanduk umat-Nya,
pujian seluruh umat-Nya yang warak, anak-anak Israel, umat yang dekat dengan-Nya.
 
Pujilah Allah!
 
 
 
 
 
 
149
Nyanyian Kemenangan bagi Orang Israel
1 Pujilah Allah!
 
Nyanyikanlah kepada Allah lagu baru,
dan pujian untuk-Nya dalam perhimpunan orang warak.
2 Biarlah Israel bergembira kerana Pencipta mereka;
biarlah anak-anak Sion berbahagia kerana Raja mereka.
3 Biarlah mereka memuji nama-Nya dengan tarian;
biar mereka menyanyikan pujian kepada-Nya dengan tamborin dan kecapi.
4 Kerana Allah berkenan akan umat-Nya;
Dia akan memahkotai mereka yang rendah hati dengan penyelamatan.
5 Biarlah orang warak berbahagia dalam kemuliaan;
biarlah mereka menyanyi gembira di tempat tidur.
 
6 Biarlah pujian tinggi bagi Allah di lidah mereka
dan pedang bermata dua di tangan mereka,
7 untuk membalas perbuatan bangsa-bangsa
dan menghukum kaum-kaum,
8 untuk mengikat raja-raja mereka dengan rantai,
dan orang bangsawan mereka dengan belenggu besi,
9 untuk menjalankan ke atas mereka penghakiman yang tersurat.
Kehormatan ini dimiliki seluruh umat-Nya yang warak.
Pujilah Allah!
 
 
 
 
 
 
150
Pujilah Allah dengan Bunyi-bunyian!
1 Pujilah Allah!
 
Pujilah Allah di tempat suci-Nya;
pujilah Dia dalam langit-Nya yang perkasa.
2 Pujilah Dia kerana perbuatan-Nya yang hebat;
pujilah Dia kerana kebesaran-Nya yang unggul.
3 Pujilah Dia dengan bunyi sangkakala,
pujilah Dia dengan gambus dan kecapi,
4 pujilah Dia dengan tamborin dan tarian,
pujilah Dia dengan alat bertali dan seruling,
5 pujilah Dia dengan simbal yang gempita,
pujilah Dia dengan simbal yang gemerencing.
6 Setiap yang bernafas, pujilah Allah.
 
Pujilah Allah!