2 Yahya
1 Daripadaku, seorang tua-tua,
kepada puan yang terpilih dan kepada anak-anaknya, yang kukasihi di dalam kebenaran. Bukan aku sahaja yang mengasihimu malah sekalian yang mengenal kebenaran,
2 kerana kebenaran ada dalam diri kita dan akan kekal dalam diri kita selama-lamanya:
3 Semoga rahmat, belas kasihan dan damai sejahtera daripada Allah, iaitu Bapa, dan daripada Isa al-Masih, Putera daripada Bapa, menyertai kita dalam kebenaran dan kasih.
Tetaplah dalam ajaran al-Masih
4 Aku sungguh sukacita mengetahui bahawa sebilangan anak puan hidup mengikut kebenaran, sebagaimana yang diperintahkan kepada kita oleh Bapa.
5 aSekarang, puan yang dikasihi, aku memohon agar kita kasih-mengasihi. Aku bukannya mengemukakan perintah baru. Perintah ini telah disampaikan dari mula-mulanya lagi.
6 Inilah kasih, iaitu mengasihi bermakna hidup mengikut perintah Allah. Inilah perintah yang kamu dengar dari mulanya: Kamu haruslah kasih-mengasihi.
7 Ramai penipu telah menjelajah ke seluruh dunia. Mereka itu tidak mengakui bahawa Isa al-Masih telah datang ke dunia sebagai manusia. Orang sedemikian ialah penipu dan dajal, penentang al-Masih.
8 Oleh yang demikian, berhati-hatilah supaya apa yang telah kami usahakan tidak lenyap begitu sahaja, melainkan kamu mendapat ganjaranmu sepenuhnya.
9 Sesiapa yang tidak mengikut ajaran al-Masih dan melanggarnya, maka Allah tidak ada dalam dirinya. Sesiapa yang mengikut ajaran itu maka Bapa dan Putera ada dalam dirinya.
10 Oleh itu, jika sesiapa datang menyebarkan ajaran selain ajaran al-Masih, janganlah alu-alukan dia ke dalam rumahmu. Janganlah berikan salam kepadanya.
11 Sesungguhnya, jika sesiapa memberi salam kepada orang sedemikian, berertilah dia bersubahat dengannya melakukan perbuatan yang durjana.
Salam akhir
12 Ada banyak lagi yang ingin kusebutkan, namun lebih eloklah tidak melalui dakwat dan kertas. Aku berharap akan bertemu dan berbincang denganmu agar kita benar-benar gembira.
13 Anak-anak kepada saudara perempuan puan yang telah dipilih oleh Allah juga berkirim salam kepada puan.