3 Yahya
1 aDaripadaku, seorang tua-tua,
kepada Gayus, sahabat yang dikasihi, yang kukasihi dalam kebenaran.
2 Aku berdoa semoga kamu berada dalam keadaan sejahtera serta sihat jasmanimu sebagaimana rohanimu berbahagia.
3 Aku sungguh bersukacita apabila beberapa orang saudara seiman datang berkunjung dan memberikan kesaksian tentang kesetiaanmu kepada kebenaran, kerana memang kamu hidup dalam kebenaran.
4 Tiada yang lebih membahagiakanku daripada berita bahawa anak-anakku hidup mengikut kebenaran.
5 Sahabat yang kukasihi, kamu sungguh setia dalam usahamu untuk saudara-saudara seiman, termasuklah yang belum kamu kenali.
6 Mereka telah memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu terhadap mereka. Baik juga perbuatanmu jika engkau dapat membantu mereka dalam perjalanan mereka dengan cara yang berkenan kepada Allah.
7 Mereka berangkat demi nama Tuhan tanpa menerima sebarang bantuan daripada orang yang belum mengenal Allah.
8 Oleh itu, kita mestilah membantu orang seperti ini. Dengan demikian kita menjadi rakan sekerja dalam usaha menyebarkan kebenaran.
9 Aku telah menulis surat ringkas kepada jemaah, tetapi Diotrefes yang berhasrat memimpin jemaah enggan menurut kataku.
10 Ketika aku ke sana nanti, aku akan mendedahkan segala yang telah dilakukannya, iaitu memfitnahkan kami dengan pelbagai perkara jahat yang dusta sama sekali. Bukan itu sahaja, dia tidak mahu menerima saudara-saudara seiman apabila mereka datang. Malah dia menghalang orang yang hendak menyambut saudara-saudara itu, dan dia cuba mengusir mereka keluar daripada jemaah.
11 Sahabat yang kukasihi, janganlah contohi kelakuan yang buruk. Teladanilah kelakuan yang baik. Sesiapa berbuat baik, maka dia milik Allah. Sesiapa berbuat jahat, maka dia belum mengenal Allah.
12 Demetrius menerima kesaksian baik daripada setiap orang, malah daripada kebenaran itu sendiri. Kami juga memberinya kesaksian baik, dan kamu tahu bahawa kami menyatakan apa yang benar.
Salam akhir
13 Ada banyak lagi yang hendak kusebutkan kepadamu, tetapi lebih eloklah tidak melalui pena dan dakwat.
14 Aku berharap akan dapat segera bertemu dan berbincang denganmu.
15 Damai sejahtera damai sejahtera menyertai kamu. Semua sahabatmu di sini berkirim salam. Sampaikan salamku kepada setiap sahabat di sana dengan menyebut nama masing-masing.