Filemon
1 Daripada Paulus yang dipenjarakan kerana Isa al-Masih, dan daripada saudara kita Timotius,
kepada Filemon, sahabat kami dan teman sekerja yang dikasihi,
2 akepada saudari kita Apfia, dan kepada rakan seperjuangan kita Arkhipus, serta kepada jemaah yang berhimpun di rumahmu:
3 Semoga Allah, Bapa kita, dan Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, memberimu rahmat dan damai sejahtera.
Ucapan syukur
4 Saudaraku Filemon, aku sentiasa bersyukur kepada Tuhanku dan menyebut namamu dalam doaku,
5 kerana aku mendengar tentang imanmu kepada Isa, Junjungan Yang Ilahi, dan kasihmu terhadap semua orang salih.
6 Aku berdoa semoga persaudaraan kita sebagai orang yang beriman kepada al-Masih akan membawa pengertian yang lebih mendalam tentang segala yang baik yang kita miliki dalam al-Masih.
7 Saudaraku Filemon, kasihmu sungguh menggembirakan dan menggalakkan hatiku kerana kamu telah menyegarkan hati sekalian orang salih.
Rayuan Paulus bagi pihak Onesimus
8 Oleh itu, aku mempunyai kebebasan dalam al-Masih untuk memerintahkan kamu membuat sesuatu yang harus dilakukan.
9 Namun demikian, kerana aku mengasihimu, aku hanya meminta kamu membuatnya. Aku Paulus, seorang yang sudah tua dan kini dipenjarakan kerana Isa al-Masih.
10 bAku membuat permintaan ini bagi pihak Onesimus, yang telah kujadikan sebagai anakku sendiri sewaktu aku di dalam penjara.
11 Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu malah juga bagiku.
12 Aku menghantar kembali kepadamu Onesimus yang amat kukasihi.
13 Sebenarnya aku mahu dia tetap bersamaku di sini untuk membantuku bagi pihakmu sepanjang tempoh aku dipenjarakan kerana menyebarkan Injil.
14 Namun demikian, aku tidak mahu memaksa kamu membantuku. Biarlah bantuan itu kamu hulurkan dengan rela hati. Oleh itu, aku tidak mahu berbuat apa-apa tanpa persetujuanmu.
15 Mungkin Onesimus meninggalkanmu untuk sementara waktu supaya kamu mendapatnya kembali untuk selama-lamanya.
16 Kini dia bukan hanya seorang hamba, dia saudara yang dikasihi. Dia amat bererti bagiku, dan tentulah lebih bererti bagimu, baik sebagai hamba mahupun sebagai saudara dalam Tuhan.
17 Oleh itu, sekiranya kamu menganggapku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambutku.
18 Jika ada kesalahannya atau hutangnya kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya.
19 Lihatlah, kata-kata yang berikut kuterakan dengan tulisanku sendiri: Aku, Paulus, akan menyelesaikan segala-galanya – Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku dirimu sendiri.
20 Saudaraku, semoga aku mendapat pertolonganmu dalam Junjungan Yang Ilahi. Segarkanlah hatiku dalam al-Masih.
21 Ketika menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan menunaikan permintaanku. Malah sebenarnya aku tahu bahawa lebih daripada yang kuminta itu pun akan kamu lakukan.
22 Sementara itu, sediakanlah bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua semoga aku kembali kepadamu.
Ucapan akhir Paulus
23 cEpafras, yang dipenjarakan bersamaku kerana Isa al-Masih, berkirim salam kepadamu.
24 dJuga sambutlah salam rakan-rakan seperjuanganku: Markus, Aristarkhus, Demas dan Lukas.
25 Rahmat Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi, menyertai roh kamu semua.