Kejadian
1
Penciptaan daripada Tiada kepada Ada
1 Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi. 2 Bumi belum lagi berbentuk dan kosong; kegelapan menyelubungi permukaan samudera, dan Roh Allah berlayangan di atas permukaan air.
Penciptaan dalam enam hari
3 Berfirmanlah Allah: “Jadilah cahaya.” Lalu terus ada cahaya. 4 Allah melihat cahaya itu baik, lalu Dia memisahkan cahaya itu daripada kegelapan. 5 Allah menamakan cahaya itu siang, dan kegelapan itu Dia namakan malam. Maka jadilah malam dan juga pagi, itulah satu hari, dan yang pertama.
6 Berfirmanlah Allah: “Jadilah cakerawala, iaitu lengkung luas di tengah-tengah segala air itu untuk memisahkan air daripada air.” 7 Maka Allah menjadikan cakerawala lantas memisahkan air yang ada di bawah cakerawala daripada air yang ada di atasnya. Terjadilah yang sedemikian itu. 8 Lalu Allah menamakan cakerawala itu langit. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang kedua.
9 Berfirmanlah Allah: “Mengalir dan berkumpullah kesemua air yang di bawah langit di satu tempat, sehingga kelihatan tanah yang kering.” Maka terjadilah yang sedemikian itu. 10 Lalu Allah menamakan bahagian yang kering itu darat, dan air yang terkumpul itu dinamakan-Nya laut. Allah melihat semua itu baik.
11 Berfirmanlah Allah: “Hendaklah tanah menumbuhkan pelbagai tunas muda, tumbuhan yang berbiji, dan segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji, supaya jenisnya membiak dan terus bertumbuh di bumi.” Maka terjadilah yang sedemikian itu. 12 Lalu tanah pun menumbuhkan pelbagai tunas muda, segala jenis tumbuh-tumbuhan yang berbiji dan segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah yang berbiji. Maka Allah melihat semua itu baik. 13 Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang ketiga.
14 Berfirmanlah Allah: “Jadilah penerang-penerang yang mengisi cakerawala untuk memisahkan siang daripada malam dan jadilah tanda-tanda yang menunjukkan pelbagai musim dan hari serta tahun, 15 dan jadilah penerang-penerang di cakerawala demi menerangi bumi.” Terjadilah yang sedemikian itu. 16 Maka Allah menjadikan dua penerang besar, dengan penerang yang lebih besar menguasai siang dan yang lebih kecil menguasai malam. Allah juga menjadikan bintang-bintang. 17 Allah menempatkan kesemua itu di cakerawala untuk menerangi bumi, 18 dan untuk menguasai siang dan malam, dan juga untuk memisahkan cahaya daripada kegelapan. Maka Allah melihat bahawa semua itu baik. 19 Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang keempat.
20 Berfirmanlah Allah: “Hendaklah berkeriapan makhluk yang hidup di dalam air, dan hendaklah burung-burung berterbangan di ruang cakerawala di atas bumi.” 21 Maka Allah menciptakan pelbagai binatang laut yang besar dan segala jenis hidupan yang bergerak, yang berkeriapan di dalam air serta segala jenis burung yang bersayap, dan Allah melihat semua itu baik. 22 Lantas Allah memberkati kesemuanya sambil berfirman: “Berkembang biaklah dan penuhilah air lautan itu, dan hendaklah bertambah banyak burung di bumi.” 23 Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang kelima.
24 Berfirmanlah Allah: “Hendaklah bumi mengeluarkan segala jenis makhluk yang hidup, ternakan dan binatang melata serta segala jenis binatang liar.” Terjadilah yang sedemikian itu. 25 Allah menjadikan segala jenis binatang liar dan segala jenis ternakan serta segala jenis binatang melata di muka bumi. Maka Allah melihat semua itu baik.
26 Berfirmanlah Allah kemudian: “Baiklah Kitaa menjadikan manusia menurut citra Kita dan rupa Kita.b Mereka akan berkuasa atas ikan-ikan di laut dan atas burung-burung di udara dan atas ternakan serta atas seluruh bumi dan atas segala jenis binatang melata yang merayap di atas bumi.” 27 Maka Allah menciptakan manusia menurut citra-Nya. Menurut citra-Nyalah Dia mencipta mereka, lelaki dan perempuan. 28 Allah memberkati mereka, lalu Allah berfirman kepada mereka: “Beranak cuculah dan bertambah banyak serta penuhilah dan takluki bumi, berkewenangan atas ikan-ikan di laut dan burung-burung di udara serta atas segala makhluk hidup yang berkeliaran dan bergerak di atas bumi.”
29 Berfirmanlah Allah: “Lihatlah, Aku memberikan kepadamu segala tumbuhan yang berbiji di seluruh bumi dan segala pokok buah-buahan yang berbiji; itulah yang akan menjadi makananmu. 30 Kepada segala binatang di bumi dan segala burung di udara serta segala yang merayap di bumi, yang bernyawa, Kuberikan segala tumbuhan hijau sebagai makanannya.” Maka jadilah yang sedemikian itu.
31 Maka Allah melihat segala yang Dia jadikan itu, dan kesemuanya sungguh baik. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang keenam.
 
 
 
 
 
 
2
Penciptaan manusia lelaki dan perempuan
1 Demikianlah diselesaikan penciptaan langit dan bumi serta segala isinya. 2 Setelah Allah siap menyelesaikan kerja penciptaan-Nya pada hari ketujuh itu, Dia pun beristirahat daripada segala pekerjaan yang telah dibuat-Nya itu. 3 Lalu Allah memberkati hari ketujuh itu dan menguduskannya, kerana pada hari itulah Dia berhenti daripada segala kerja penciptaan yang telah dibuat-Nya itu.
4 Demikianlah riwayat penciptaan langit dan bumi.
Pada masa Allah, Al-Khalik, menjadikan bumi dan langit, 5 belum ada rumpun semak dan belukar apa-apa pun di bumi, belum muncul tumbuh-tumbuhan apa-apa pun di padang, kerana Allah, Al-Khalik, belum menurunkan hujan ke bumi, dan belum ada orang yang mengusahakan tanah itu; 6 tetapi dari bumi ada kabus yang naik ke atas lantas membasahi seluruh permukaan bumi. 7 Ketika itulah Allah, Al-Khalik, membentuk manusia daripada debu tanah dan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya lalu manusia menjadi makhluk yang hidup.
Nabi Adam dan Siti Hawa di Taman Eden
8 Selanjutnya Allah, Al-Khalik, membuat taman di Eden di sebelah timur dan di situlah Dia menempatkan manusia yang dibentuk-Nya itu. 9 Lalu dari bumi itu Allah, Al-Khalik, menumbuhkan setiap jenis pokok ada yang menarik untuk dipandang dan yang baik untuk dimakan buahnya, termasuk juga pokok hayat di tengah-tengah taman itu serta pokok pengetahuan mengenai perkara yang baik dan yang jahat.
10 Sebuah sungai yang mengalir dari Eden mengairi taman dan dari situ bercabanglah sungai itu menjadi empat batang sungai. 11 Sungai pertama yang bernama Pison itu mengalir mengelilingi seluruh Tanah Hawila di mana terdapat emas. 12 Emas di situ baik mutunya dan ada juga permata damar dan oniks. 13 Sungai kedua yang bernama Gihon, mengalir mengelilingi seluruh Tanah Kush. 14 Sungai ketiga yang bernama Tigris pula mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat ialah Efrat.
15 Allah, Al-Khalik, mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengusahakan dan memelihara taman itu. 16 Lalu Allah, Al-Khalik, memberikan perintah kepada manusia itu, firman-Nya, “Engkau bebas memakan daripada kesemua pokok di dalam taman ini, 17 tetapi jangan kamu makan daripada pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati.”
18 Maka Allah, Al-Khalik, pun berfirman, “Tidak baik manusia itu bersendirian. Aku akan menjadikan seorang penolong yang sepadan baginya.”
19 Lalu daripada tanah Allah, Al-Khalik, membentuk segala binatang di padang dan segala burung di udara lalu membawa semuanya kepada manusia untuk melihat bagaimana manusia itu menamakan setiap satu. Apa-apa pun nama yang diberikan manusia itu kepada setiap mergastua dan unggas, itulah yang menjadi namanya. 20 Maka manusia itu menamakan segala ternakan, burung-burung di udara, dan segala haiwan di padang, namun bagi dirinya manusia itu tiada seorang pun penolong yang sepadan dengannya. 21 Maka Allah, Al-Khalik, membuat manusia itu tertidur dengan lena dan pada waktu itulah Allah mengambil sebatang tulang rusuknya lalu menutup ruang asal tulang itu dengan daging. 22 Daripada tulang rusuk yang diambil-Nya daripada manusia itu Allah, Al-Khalik, membentuk seorang perempuan lalu membawanya kepada manusia itu.
23 Berkatalah manusia itu,
“Inilah dia! Tulang daripada tulangku,
dan daging daripada dagingku.
Dia akan dipanggil Perempuan
kerana dia diambil daripada Lelaki.”a
24 Atas sebab itulah seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya lalu bersatu dengan isterinya, sehingga mereka berdua menjadi satu.
25 Kedua-dua lelaki dan isterinya itu bertelanjang bulat tetapi mereka tidak berasa malu.
 
 
 
 
 
 
3
Manusia tergoda lalu berdosa
1 Ular memang lebih licik daripada mana-mana haiwan liar lain yang dijadikan oleh Allah, Al-Khalik. Ular itu berkataa kepada perempuan itu, “Adakah Allah benar-benar berfirman, ‘Jangan kamu makan buah daripada mana-mana pun pokok di dalam taman ini’?”
2 Perempuan itu berkata kepada ular itu, “Kami boleh memakan buah daripada pokok-pokok di dalam taman ini, 3 tetapi dalam hal buah daripada pokok yang berada di tengah-tengah taman ini, Allah berfirman, ‘Janganlah kamu makan buah itu, malah jangan kamu menyentuhnya supaya kamu tidak mati.’ ”
4 Berkatalah ular kepada perempuan itu, “Kamu pasti tidak akan mati. 5 Memang Allah tahu bahawa pada hari kamu memakannya akan terceliklah matamu dan kamu akan seperti Allah yang mengetahui yang baik dan yang jahat.”b
6 Apabila perempuan itu melihat bahawa buah pokok itu bagus sebagai makanan dan nampak sedap, apatah lagi buah itu mampu membuat seseorang menjadi bijaksana dia pun mengambilnya lalu memakannya. Dia juga memberikan buah itu kepada suaminya yang bersama-samanya, dan suaminya juga memakannya. 7 Maka terceliklah mata kedua-duanya dan sedarlah mereka bahawa mereka bertelanjang lalu mereka membuat cawat penutup aurat daripada dedaun pokok ara.
8 Terdengar oleh mereka suara Allah, Al-Khalik, yang berjalan di taman pada ketika hari dingin lalu manusia serta isterinya menyembunyikan diri dari hadirat Allah, Al-Khalik, di antara pokok di dalam taman. 9 Akan tetapi Allah, Al-Khalik, memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya, “Di manakah engkau?”c
10 Jawabnya, “Aku mendengar suara-Mu di taman, lalu aku menjadi takut kerana aku ketelanjangan. Jadi aku pun bersembunyi.”
11 Firman-Nya, “Siapakah yang memberitahumu bahawa kamu bertelanjang? Adakah kamu memakan buah daripada pokok yang telah Kularang kamu memakan buahnya?”
12 Jawab manusia itu, “Perempuan yang Kautempatkan bersama-samaku itulah yang memberi aku buah daripada pokok itu, maka aku memakan buah itu.”
13 Allah, Al-Khalik, berfirman kepada perempuan itu, “Apakah yang telah kamu lakukan?” Jawab perempuan itu, “Ular itu memperdayakan aku sehingga aku memakan buah itu.”
14 Maka berfirmanlah Allah, Al-Khalik, kepada ular itu,
“Atas sebab perbuatan engkau itu,
terkutuklah engkau melebihi segala haiwan ternakan dan binatang liar.
Engkau akan menjalar dengan perutmu
dan engkau akan makan debu tanah seumur hidupmu.
15 Aku akan mengadakan permusuhan antara engkau dengan perempuan ini,
dan antara keturunanmu dengan keturunannya.
Keturunannya akan meremukkan kepalamu,
dan kamu akan meremukkan tumitnya.”
16 Firman-Nya kepada perempuan itu,
“Aku akan melipatgandakan kesakitan
dan kesusahanmu semasa engkau melahirkan anak.
Namun begitu, kamu tetap akan menginginkan suamimu,
dan dia akan berkuasa atasmu.”
17 Kepada Adam Allah berfirman, “Oleh sebab engkau menurut kata isterimu dan memakan buah daripada pokok yang telah Kuperintahkan kepadamu, ‘Jangan kaumakan buahnya,’
maka terkutuklah tanah kerana engkau.
Engkau akan bersusah payah mengerjakan tanah
dan memakan hasilnya seumur hidupmu.
18 Tanah akan menumbuhkan duri dan onak untukmu,
dan tumbuh-tumbuhan di padang akan menjadi makananmu.
19 Berkeringat keringlah engkau kelak mendapatkan rezekimu
sehingga kembalinya engkau menjadi tanah,
kerana dari tanahlah engkau diambil.
Oleh sebab asalmu debu,
maka engkau kelak kembali menjadi debu.”
20 Lalu Adam menamakan isterinya Hawa, kerana dialah ibu kepada semua yang hidup.
21 Allah, Al-Khalik, membuat pakaian daripada kulit binatang untuk Adam dan isterinya itu, lalu memakaikannya kepada mereka. 22 Kemudian Allah, Al-Khalik, berfirman, “Lihatlah, betapa manusia itu sudah menjadi seperti satu daripada Kita, yang tahu tentang perkara yang baik dan yang jahat. Maka jangan dibiarkan sampai dia menghulurkan tangannya pula untuk mengambil buah daripada pokok hayat itu lalu memakannya, sehingga dia hidup untuk selama-lamanya.” 23 Lalu Allah, Al-Khalik, memerintahkan manusia itu keluar dari Taman Eden untuk mengerjakan tanah, iaitu asal jasadnya. 24 Lalu Dia mengusir manusia itu keluar, lantas di sebelah timur Taman Eden ditempatkan-Nya dua malaikat kerubin dan sebilah pedang yang bernyala-nyala serta berputar ke segala arah untuk mengawal jalan yang menuju kepada pokok hayat itu.
 
 
 
 
 
 
4
Habil dan Kabil
1 Maka Adam bersentuh dengan isterinya, Hawa, yang seterusnya mengandung dan melahirkan Kabil. Hawa berkata, “Atas pertolongan dan kurnia Allah, aku memperoleh seorang anak lelaki.” 2 Sesudah itu, dia melahirkan pula Habil, adik lelaki kepada Kabil. Habil menggembala haiwan ternakan manakala Kabil bertani. 3 Pada waktu yang ditetapkan, Kabil membawa sebahagian daripada hasil taninya sebagai persembahan kepada Allah. 4 Habil juga mempersembahkan beberapa ekor anak sulung daripada haiwan ternakannya, malah memilih antara yang paling montok daripadanya. Allah berkenan kepada Habil dan persembahannya, 5 tetapi Dia tidak berkenan kepada Kabil dan persembahannya. Naik beranglah Kabil dan masam sungguh mukanya. 6 Berfirmanlah Allah kepada Kabil, “Mengapakah kamu marah, dan mengapa mukamu masam? 7 Bukankah benar jika kamu berbuat baik, kamu akan berkeadaan baik? Tetapi jika kamu tidak berbuat baik, dosa memang mengintai peluang, menanti waktu untuk menguasaimu, namun kamu perlu mengatasinya.”
8 Bagaimanapun, Kabil berkata kepada Habil, adiknya, “Marilah kita pergi ke ladang.” Semasa kedua-duanya berada di ladang, Kabil menyerang Habil, adiknya, lalu membunuhnya. 9 Maka berfirmanlah Allah kepada Kabil, “Di manakah Habil, adikmu itu?” Jawabnya, “Aku tidak tahu! Adakah aku ini penjaga adikku?” 10 Firman-Nya, “Apakah yang telah kamu lakukan? Dari bumi itu, darah adikmu berseru-seru kepada-Ku! 11 Sekarang, terkutuklah kamu, terbuang jauh dari tanah yang membuka mulutnya untuk menerima darah adikmu yang ditumpahkan tanganmu. 12 Apabila kamu mengerjakan tanah itu, maka tanah itu tidak akan lagi memberikan hasil sepenuhnya kepadamu. Kamu akan menjadi pengembara dan pelarian di bumi.” 13 Kata Kabil kepada Allah, “Hukumanku itu terlalu berat dan tidak tertanggung olehku. 14 Sesungguhnya, hari ini Engkau mengusir aku dari tanah ini, maka aku perlu bersembunyi dari hadirat-Mu dan akan menjadi pengembara serta pelarian di bumi. Kelak sesiapa yang bertemu dengan aku akan membunuhku.” 15 Firman Allah kepadanya, “Tidaklah demikian! Sesiapa yang membunuh Kabil akan menerima balasan tujuh kali ganda.” Kemudian Allah membubuh tanda khas pada Kabil supaya dia tidak dibunuh oleh sesiapa pun yang bertemu dengannya. 16 Maka pergilah Kabil dari hadirat Allah lalu tinggal di Tanah Nod, di sebelah timur Eden.
Keturunan Kabil
17 Kabil bersentuh dengan isterinya yang kemudian mengandung lalu melahirkan Henokh. Maka Kabil yang sedang membina sebuah kota menamakan kota itu Henokh, yakni mengikut nama anaknya. 18 Henokh pula beroleh anak, iaitu Irad dan susur galur seterusnya ialah Mehujael, Metusael, dan Lamekh. 19 Lamekh memperisteri dua orang perempuan, iaitu Adah dan Zila. 20 Adah melahirkan Yabal, yakni leluhur warga yang menghuni khemah dan memelihara haiwan ternakan. 21 Adik kepada Yabal bernama Yubal dan dialah leluhur bagi semua warga yang memainkan alat muzik, iaitu hap dan seruling. 22 Zila juga melahirkan anak, iaitu Tubal-Kain yang menjadi tukang yang menempa segala perkakas daripada tembaga dan besi. Adik perempuan Tubal-Kain bernama Naamah.
23 Berkatalah Lamekh kepada isteri-isterinya,
“Adah dan Zila, dengarlah apa yang kusampaikan;
wahai isteri-isteri Lamekh,
amatilah percakapanku.
Aku telah membunuh seorang lelaki kerana dia mencederakan aku,
seorang pemuda kerana dia menyakiti aku.
24 Sekiranya pembunuhan Kabil harus dibalas tujuh kali ganda,
maka bagi Lamekh seharusnya tujuh puluh tujuh kali lipat ganda.”
25 Adam bersentuh dengan isterinya lagi, lalu perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki dan menamakannya Set, kerana katanya, “Allah telah mengurniakan kepadaku keturunan lain sebagai pengganti Habil, kerana Kabil telah membunuhnya.” 26 Seterusnya daripada Set pula lahirlah seorang anak lelaki dan dia menamakannya Enos. Pada waktu itulah manusia mula berseru kepada nama Allah.
 
 
 
 
 
 
5
Keturunan Adam
1 Inilah daftar salasilah keluarga Adam. Pada waktu penciptaan umat manusia, Allah menjadikannya menurut rupa Allah.a 2 Dia menciptakan lelaki dan perempuan, lalu Dia memberkati mereka dan menamakan mereka “manusia.” 3 Setelah Adam hidup 130 tahun, lahirlah baginya seorang anak lelaki yang menurut gambaran dan rupanya. Dia menamakan anak itu Set. 4 Selepas kelahiran Set, Adam hidup 800 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki serta perempuan yang lain. 5 Setelah mencapai usia 930 tahun, Adam pun meninggal dunia.
6 Setelah Set hidup 105 tahun, lahirlah baginya Enos. 7 Selepas kelahiran Enos, Set hidup 807 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki serta perempuan yang lain. 8 Setelah mencapai usia 912 tahun, Set pun meninggal.
9 Setelah Enos hidup 90 tahun, lahirlah baginya Kenan. 10 Selepas kelahiran Kenan, Enos hidup 815 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki serta perempuan yang lain. 11 Setelah mencapai usia 905 tahun, Enos pun meninggal.
12 Setelah Kenan hidup 70 tahun, lahirlah baginya Mahalaleel. 13 Selepas kelahiran Mahalaleel, Kenan hidup 840 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki serta perempuan yang lain. 14 Setelah mencapai usia 910 tahun, Kenan pun meninggal.
15 Setelah Mahalaleel hidup 65 tahun, lahirlah baginya Yared. 16 Selepas kelahiran Yared, Mahalaleel hidup 830 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki serta perempuan yang lain. 17 Setelah mencapai usia 895 tahun, Mahalaleel pun meninggal.
18 Setelah Yared hidup 162 tahun, lahirlah baginya Henokh. 19 Selepas kelahiran Henokh, Yared hidup 800 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki serta perempuan yang lain. 20 Setelah Yared mencapai usia 962 tahun, dia pun meninggal.
21 Setelah Henokhb hidup 65 tahun, lahirlah baginya Metusalah. 22 Selepas kelahiran Metusalah, Henokh hidup akrab dengan Allah selama 300 tahun dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki serta perempuan yang lain. 23 Jadi, Henokh hidup selama 365 tahun. 24 Henokh hidup akrab dengan Allah dan sesudah itu, ghaiblah Henokh kerana Allah membawanya pergi.
25 Setelah Metusalah hidup 187 tahun, lahirlah baginya Lamekh. 26 Selepas kelahiran Lamekh, Metusalah hidup 782 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki serta perempuan yang lain. 27 Setelah Metusalah mencapai usia 969, dia pun meninggal.
28 Setelah Lamekh hidup 182 tahun, lahirlah baginya seorang anak lelaki. 29 Dia menamakannya Nuh, katanya, “Anak ini akan membawa keselesaan selepas kita berpenat lelah di tanah yang telah Allah kutuk.” 30 Selepas kelahiran Nuh, Lamekh hidup 595 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki serta perempuan yang lain. 31 Setelah Lamekh mencapai usia 777 tahun, dia pun meninggal.
32 Setelah Nuh berusia 500 tahun, lahirlah baginya Sem, Ham, dan Yafet.
 
 
 
 
 
 
6
Kejahatan manusia
1 Ketika manusia mula menjadi semakin ramai di muka bumi, dan mereka melahirkan anak-anak perempuan, 2 para insan ciptaan Allaha melihat betapa elok paras rupa anak-anak perempuan manusia itu. Lalu mereka memperisteri sesiapa sahaja perempuan yang dipilih mereka. 3 Maka Allah berfirman, “Roh-Ku tidak akan selama-lamanya menyertai manusia yang fana fitrahnya. Umur mereka setakat 120 tahun sahaja.” 4 Kaum Nefilimb menghuni bumi pada zaman itu, dan juga pada zaman sesudahnya, iaitu ketika insan ciptaan Allah meniduri anak-anak perempuan manusia yang seterusnya melahirkan anak bagi mereka. Golongan manusia itulah wira gagah perkasa yang termasyhur nama mereka pada zaman purba.
5 Namun demikian, Allah melihat betapa jahatnya manusia di bumi, dan segala hasrat serta kecenderungan hati mereka sentiasa tertumpu pada kejahatan sahaja. 6 Maka kesal hati Allah kerana Dia telah menjadikan manusia di bumi dan hal itu mendukakan hati-Nya. 7 Berfirmanlah Allah, “Aku akan menghapuskan manusia yang telah Kuciptakan itu dari muka bumi – manusia dan juga haiwan, termasuk haiwan yang melata, dan burung-burung yang di udara – kerana hati-Ku kesal bahawa Aku telah menjadikan kesemuanya.” 8 Akan tetapi, Nuh mendapat rahmat dalam pandangan Allah.
Nabi Nuh dan banjir besar
9 Inilah riwayat Nuh. Dalam kalangan yang sezaman dengannya, Nuh seorang yang benar dan tidak bercela. Dia hidup akrab dengan Allah. 10 Nuh dikurniai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Ham, dan Yafet.
11 Pada ketika itu, bumi sudah rosak akhlak penghuninya di hadapan Allah dan penuh dengan keganasan. 12 Allah mengamati bumi, dan sesungguhnya betapa rosaknya bumi kerana manusia hidup bergelumang dengan dosa. 13 Maka berfirmanlah Allah kepada Nuh, “Aku telah menetapkan bahawa kesemua makhluk yang hidup mesti mati kerana bumi ini penuh dengan keganasan akibat perbuatan mereka. Sesungguhnya, Aku akan memusnahkan mereka bersama-sama bumi ini. 14 Maka kamu perlu membuat sebuah bahtera daripada kayu sipres. Buatlah bilik-bilik di dalam bahtera itu yang mesti dilapisi dengan gegala di bahagian luar dan dalamnya. 15 Kamu mesti membuat bahtera itu mengikut ukuran ini: panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta, dan tingginya 30 hasta 16 Buatlah lubang cahaya bagi bahtera itu dan semua binaan mesti ada ruang sehasta dari bahagian tertinggi bahtera. Pasangkan pintu bahtera pada rusuknya. Buatlah bahtera itu bertingkat bawah, tengah, dan atas. 17 Ketahuilah, Aku akan mendatangkan banjir untuk melanda bumi demi memusnahkan semua makhluk yang bernyawa di bawah langit dan semua hidupan di bumi akan mati. 18 Tetapi, Aku mengikat perjanjian-Ku dengan kamu. Kamu berserta anak-anakmu, isterimu, dan isteri anak-anakmu akan masuk ke dalam bahtera itu. 19 Sepasang, iaitu jantan dan betina daripada segala makhluk yang hidup mesti kamu bawa masuk ke dalam bahtera, supaya kesemuanya dapat tetap hidup bersama-samamu. 20 Sepasang daripada berbagai-bagai jenis burung, berbagai-bagai jenis haiwan, dan segala jenis binatang melata di bumi akan datang kepadamu supaya kesemuanya dapat tetap hidup. 21 Kamu juga mesti mengumpulkan segala jenis bahan yang dapat dimakan dan menyimpannya. Itulah yang akan menjadi makanan bagimu dan bagi kesemua makhluk itu.” 22 Maka sebagaimana yang diperintahkan Allah kepadanya, sebegitulah yang dilakukan oleh Nuh.
 
 
 
 
 
 
7
Banjir besar
1 Allah berfirman kepada Nuh, “Masuklah engkau berserta seisi keluargamu ke dalam bahtera, kerana Aku lihat engkaulah yang benar dalam kalangan yang sezaman denganmu. 2 Bawalah tujuh pasang, yakni jantan dan betina, daripada segala binatang yang halal dan sepasang daripada binatang yang tidak halal” 3 serta tujuh pasang, yakni jantan dan betina, daripada burung-burung di udara, supaya baka kesemuanya itu dapat dikekalkan di seluruh muka bumi. 4 Sebabnya tujuh hari lagi Aku akan menurunkan hujan ke atas bumi ini empat puluh hari empat puluh malam lamanya, dan kesemua makhluk yang telah Kujadikan itu akan Kuhapuskan dari muka bumi.” 5 Lalu Nuh melaksanakan segala-galanya yang diperintahkan Allah kepadanya.
6 Nuh berusia 600 tahun semasa banjir besar melanda bumi. 7 Lalu Nuh, isteri dan anak-anak serta menantu-menantu perempuannya masuklah ke dalam bahtera itu untuk menyelamatkan diri daripada banjir yang melanda bumi itu. 8 Pasangan segala binatang yang halal dan yang tidak halal, burung-burung, serta segala yang merayap di bumi, 9 yakni yang jantan dan betinanya datang kepada Nuh di dalam bahtera itu sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Nuh. 10 Maka selepas tujuh hari, banjir pun melanda bumi.
11 Ketika Nuh berusia 600 tahun, pada hari ketujuh belas, bulan kedua, meledaklah kesemua mata air samudera raya, dan robohlah benteng langit. 12 Lalu mencurah-curahlah hujan turun ke atas bumi selama empat puluh hari dan empat puluh malam. 13 Pada hari itu juga, Nuh berserta anak-anaknya, iaitu Sem, Ham, dan Yafet, juga isterinya serta ketiga-tiga orang menantu perempuannya, masuk ke dalam bahtera. 14 Mereka diiringi segala jenis makhluk yang hidup mengikut jenisnya, yakni segala jenis haiwan liar dan haiwan ternakan, segala jenis binatang melata yang merayap di bumi, dan segala jenis burung, iaitu segala unggas yang bersayap. 15 Kesemuanya, daripada segala makhluk hidup yang bernyawa, berpasang-pasangan datang kepada Nuh dan masuk ke dalam bahtera. 16 Semua yang masuk ke dalam bahtera itu jantan dan betina seperti yang diperintahkan Allah kepada Nuh. Kemudian Allah menutup pintu bahtera itu setelah Nuh masuk.
17 Empat puluh hari lamanya banjir melanda bumi dan air itu terus naik sehingga mengangkat bahtera itu tinggi dari bumi. 18 Air semakin tinggi dan melonjak di muka bumi, dan bahtera itu pun terapung-apung di permukaan air. 19 Begitu kuatnya pelimpahan air di muka bumi sehingga gunung-ganang tinggi kegenangan lantas tertutuplah seluruh kolong langit. 20 Air itu terus berlimpahan hingga melitupi lima belas hasta di atas segala gunung. 21 Maka binasalah semua makhluk yang bergerak di muka bumi iaitu burung, haiwan ternakan, binatang liar, segala kawanan binatang kecil di bumi, serta semua manusia. 22 Matilah semua yang ada di darat, iaitu semua makhluk yang bernafas. 23 Begitulah bagaimana Allah menghapuskan segala makhluk hidup yang ada di muka bumi, baik manusia, haiwan, binatang yang melata, mahupun burung, iaitu makhluk di udara. Kesemuanya dihapuskan dari muka bumi. Hanya Nuh serta semua yang ada bersama-samanya dalam bahtera itu selamat. 24 Jadi, selama 150 hari banjir melandai muka bumi.
 
 
 
 
 
 
8
Surutnya banjir besar
1 Allah mengingati Nuh dan segala binatang liar serta segala haiwan ternakan yang ada bersama-samanya di dalam bahtera itu. Lalu Allah membuat angin bertiup lantas mulalah surut air banjir itu. 2 Tertutuplah segala mata air samudera raya; begitu jua tertutupnya pintu-pintu air di langit lantas teduh dan seterusnya terhentilah hujan yang turun dari langit. 3 Air semakin surut dari muka bumi, dan selepas 150 hari air banjir itu sudah berkurang. 4 Lalu pada hari ketujuh belas pada bulan ketujuh, bahtera itu pun terkandas di Pergunungan Ararat. 5 Air terus berkurang sehingga bulan kesepuluh. Lalu pada hari pertama pada bulan kesepuluh itu puncak-puncak gunung sudah kelihatan.
6 Empat puluh hari kemudian, Nuh membuka jendela bahtera yang dibuatnya, 7 lalu dia melepaskan seekor burung gagak. Burung itu terbang mundar-mandir sehingga kering air di permukaan bumi. 8 Kemudian dia melepaskan seekor burung merpati untuk melihat sama ada telah surut sepenuhnya air dari permukaan bumi. 9 Namun begitu, burung merpati itu tidak menemukan tempat untuk hinggap kerana air masih meliputi seluruh permukaan bumi. Maka kembalilah merpati itu kepada Nuh di dalam bahtera itu. Nuh menghulurkan tangannya lantas mengambil dan membawa burung itu masuk ke dalam bahtera. 10 Setelah menunggu selama tujuh hari, sekali lagi Nuh melepaskan burung merpati itu dari bahtera. 11 Pada petang harinya, burung merpati itu pulang mendapatkan Nuh, dan di paruhnya tersepit sehelai daun zaitun yang baru dipetik. Lalu tahulah Nuh bahawa air sudah surut dari permukaan bumi. 12 Selepas menunggu selama tujuh hari lagi, sekali lagi Nuh melepaskan burung merpati itu, dan burung itu tidak lagi kembali kepadanya.
13 Pada tahun 601, pada hari pertama bulan pertama, air di permukaan bumi surut sepenuhnya. Ketika Nuh membuka atap bahtera itu, kelihatan bahawa permukaan tanah sudah kering. 14 Seterusnya, pada hari kedua puluh tujuh bulan kedua, bumi memang sudah benar-benar kering. 15 Berfirmanlah Allah kepada Nuh, 16 “Keluarlah dari bahtera itu, engkau berserta isterimu, anak-anakmu, dan para menantu perempuanmu. 17 Bawalah keluar kesemua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu, iaitu segala burung, haiwan, dan segala binatang melata yang merayap di bumi. Biarkan kesemua makhluk itu memenuhi bumi, berkembang biak, dan bertambah banyak di bumi.” 18 Maka keluarlah Nuh berserta anak-anaknya, isterinya, dan para menantu perempuannya. 19 Seterusnya keluar pula dari bahtera itu menurut jenisnya segala haiwan liar, segala binatang melata, segala burung, iaitu semua yang bergerak di bumi.
Perjanjian Allah dengan Nabi Nuh
20 Lalu Nuh mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat mempersembahkan korban kepada Allah. Maka dia mengambil beberapa ekor daripada setiap binatang yang halal dan daripada setiap burung yang halal, lalu dipersembahkannya korban bakaran di atas mazbah itu. 21 Allah menerima persembahan yang berbau harum itu. Maka berkatalah Allah dalam hati-Nya, “Aku tidak akan melaknati bumi ini lagi atas sebab kemungkaran manusia. Biarpun dari kecil lagi ada sifat durjana dalam hati manusia, tidak akan lagi Aku membinasakan segala yang hidup seperti yang telah Kulakukan. 22 Selagi bumi wujud, tidak akan putus silih ganti musim menabur dan musim menuai, sejuk dan panas, musim kemarau dan musim hujan, serta siang dan malam.”
 
 
 
 
 
 
9
Perjanjian Allah dengan Nabi Nuh
1 Lalu Allah memberkati Nuh serta anak-anaknya dan berfirman kepada mereka, “Beranak cuculah dan bertambah ramailah, dan penuhilah bumi. 2 Setiap makhluk yang hidup dan setiap burung di udara akan berasa takut serta gentar terhadap kamu. Segala yang merayap di tanah, dan segala ikan di laut berada dalam kekuasaanmu. 3 Segala yang bergerak dan hidup akan menjadi makananmu. Sebagaimana Aku memberimu tumbuh-tumbuhan hijau, kini Aku memberimu kesemuanya. 4 Akan tetapi, jangan kamu makan daging yang masih ada nyawanya, iaitu darahnya. 5 Atas darahmu, iaitu nyawamu, tentu Aku akan mengenakan pembalasan. Aku akan mengenakan balasan terhadap setiap haiwan, dan terhadap setiap manusia. Aku akan mengenakan pembalasan terhadap nyawa manusia biarpun angkara tangan saudaranya. 6 Sesiapa menumpahkan darah manusia, manusia jua akan menumpahkan darahnya, kerana Allah telah menjadikan manusia menurut citra-Nya.
7 Tetapi kamu, beranak cuculah dan bertambah ramailah. Penuhilah bumi dan bertambah ramailah di atasnya.”
8 Lalu Allah berfirman lagi kepada Nuh dan kepada anak-anaknya yang ada bersama-samanya, 9 “Sesungguhnya, Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu dan keturunanmu kelak, 10 dengan semua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu – termasuk segala burung, haiwan ternakan, dan segala jenis haiwan yang ada bersama-samamu – semua yang keluar dari bahtera, iaitu segala makhluk yang hidup di bumi. 11 Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu: tidak akan berlaku lagi kejadian kesemua makhluk dilenyapkan oleh air banjir, dan tidak akan berlaku lagi banjir demi memusnahkan bumi.” 12 Allah pun berfirman, “Inilah tanda perjanjian yang Kuadakan antara Aku dengan kamu dan dengan segala makhluk hidup yang ada bersama-samamu, turun-temurun, untuk selama-lamanya: 13 akan Kuwujudkan pelangi di awang-awangan, dan itulah yang menjadi tanda jaminan bagi perjanjian antara Aku dengan bumi. 14 Apabila Aku mengadakan awan yang berarak di atas bumi dan pelangi kelihatan di awang-awangan, 15 maka Aku akan mengingati perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu dan dengan segala jenis makhluk yang bernyawa. Tidak akan berlaku lagi kejadian air menjadi banjir demi memusnahkan segala hidupan. 16 Apabila muncul pelangi di awang-awangan, maka Aku akan melihatnya dan mengingati perjanjian abadi antara Allah dengan segala jenis hidupan yang ada di bumi.” 17 Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Inilah jaminan bagi perjanjian yang Aku sahkan antara Aku dengan segala hidupan yang ada di bumi.”
Kutukan terhadap Kanaan
18 Anak-anak Nuh yang keluar dari bahtera ialah Sem, Ham, dan Yafet. Ham ialah bapa kepada Kanaan. 19 Mereka bertiga itu anak-anak Nuh, dan leluhur bagi penduduk di seluruh bumi.
20 Nuh menjadi petani, dan dia mulai menanam kebun anggur. 21 Apabila dia minum air anggur lalu mabuk tertidurlah dia dalam keadaan telanjang di dalam khemahnya. 22 Ham, ayah Kanaan yang nampak aurat ayahnya itu menceritakannya kepada kedua-dua orang saudaranya yang berada di luar. 23 Maka Sem dan Yafet mengambil sehelai pakaian lalu menyangkutkannya pada bahu mereka berdua lalu mereka berjalan secara mengundur untuk menutupi aurat ayah mereka. Mereka menghadapkan muka masing-masing ke arah yang membelakangi tubuh ayah mereka lantas mereka tidak melihat aurat ayah mereka. 24 Ketika Nuh sedar daripada pengaruh air anggur itu, tahulah dia tentang apa yang dilakukan oleh anak bongsunya kepadanya. 25 Maka berkatalah ia,
“Terkutuklah Kanaan!a
Dia akan menjadi hamba daripada segala hamba bagi saudara-saudaranya.”
26 Katanya pula,
“Segala puji bagi Allah, Tuhan Sem!
Biarlah Kanaan menjadi hambanya.
27 Semoga Allah meluaskan wilayah Yafet!
Biarlah dia tinggal di dalam khemah-khemah Sem
dan biarlah Kanaan menjadi hambanya.”
28 Selepas banjir besar itu, Nuh hidup selama 350 tahun lagi. 29 Maka setelah Nuh berusia 950 tahun apabila dia meninggal.
 
 
 
 
 
 
10
Bangsa-bangsa keturunan Nuh
1 Inilah keturunan anak-anak Nuh, iaitu Sem, Ham, dan Yafet. Kepada mereka, lahirlah anak-anak lelaki selepas banjir besar itu.
2 Keturunan Yafet ialah Gomer, Majuj, Madai, Yawan, Tubal, Mesekh, dan Tiras. 3 Keturunan Gomer: Askenas, Rifat, dan Togarma. 4 Keturunan Yawan: Elisa, Tarsis, Kitim, dan Rodanim. 5 Daripada mereka inilah tersebar bangsa-bangsa daerah pesisir. Mereka hidup di tanah mereka sendiri, masing-masing dengan bahasa, kaum keluarga, dan bangsa mereka.
6 Keturunan Ham ialah Kush, Misraim, Put, dan Kanaan. 7 Keturunan Kush ialah Seba, Hawila, Sabta, Raema, dan Sabtheka. Anak-anak Raema ialah Syeba dan Dedan. 8 Kush beranakkan seorang anak lelaki yang bernama Nimrod; dia menjadi orang perkasa pertama di bumi. 9 Dia seorang pemburu yang perkasa di hadapan Allah. Itulah sebabnya dikatakan orang, “Seperti Nimrod, seorang pemburu yang perkasa di hadapan Allah.” 10 Wilayah utama kerajaannya terdiri daripada Babel, Erekh, Akad, dan Kalneh, yang kesemuanya terletak di Tanah Sinear. 11 Dari situ dia pergi ke Asyur, lalu membina Niniwe, Rehobot-Ir, kota raya besar, iaitu Kalah, 12 dan Resen, di antara Niniwe dengan Kalah. 13 Misraim beranakkan Ludim, Anamim, Lehabim, Naftuhim, 14 Patrusim, Kasluhim (yang merupakan susur galur Filistin), dan Kaftorim.
15 Kanaan beranakkan Sidon, anak sulungnya, dan Het. 16 Keturunan Kanaan yang lain ialah orang Yebusi, orang Amori, orang Girgasi, 17 orang Hewi, orang Arki, orang Sini, 18 orang Arwadi, orang Semari, dan orang Hamati. Kemudian tersebarlah kaum-kaum orang Kanaan itu. 19 Daerah orang Kanaan terbentang dari Sidon ke arah Gerar sampai Gaza, kemudian ke arah Sodom, Gomora, Adma, dan Zeboim, sampai Lasa. 20 Itulah keturunan Ham menurut kaum, bahasa, negeri, dan bangsa mereka.
21 Lahirlah pula anak-anak bagi Sem, iaitu abang kepada Yafet, bapa leluhur seluruh bani Eber. 22 Keturunan Sem: Elam, Asyur, Arpakhsad, Lud, dan Aram. 23 Anak-anak Aram ialah Us, Hul, Geter, dan Mas. 24 Arpakhsad beranakkan Selah, dan Selah beranakkan Eber. 25 Eber dikurniai dua orang anak lelaki. Nama seorang ialah Peleg, kerana pada zamannya bumi terbahagi, dan nama adiknya ialah Yoktan. 26 Yoktan beranakkan Almodad, Selef, Hazar-Mawet, Yerah, 27 Hadoram, Uzal, Dikla, 28 Obal, Abimael, Syeba, 29 Ofir, Hawila, dan Yobab. Semua ini keturunan Yoktan. 30 Tempat kediaman mereka terbentang dari Mesa ke arah Sefar, iaitu pergunungan di sebelah timur. 31 Itulah keturunan Sem menurut kaum, bahasa, negeri, dan bangsa mereka.
32 Maka itulah susur galur keluarga anak-anak Nuh menurut salasilah keturunan dan bangsa mereka. Daripada mereka inilah bangsa-bangsa tersebar di bumi ini selepas banjir besar itu.
 
 
 
 
 
 
11
Penyerakan bangsa-bangsa Babel
1 Di seluruh bumi cuma satu bahasa dan satu loghat pada ketika itu. 2 Sewaktu perjalanan mereka ke sebelah timur, mereka menemukan dataran di Tanah Sinear lalu menetaplah mereka di situ. 3 Berkatalah mereka sesama sendiri, “Ayuh, kita membuat batu bata dan membakarnya dengan sempurna.” Batu bata itu digunakan mereka sebagai pengganti batu, dan lepa pula sebagai pengganti tanah liat. 4 Seterusnya berkatalah mereka pula, “Ayuh, kita bangunkan sebuah kota raya dan sebuah menara yang puncaknya menanjak sampai langit. Mari kita cari nama bagi diri kita, supaya kita tidak berserakan ke seluruh muka bumi.” 5 Lalu turunlah Allah untuk mengamati kota dan menara yang dibangunkan oleh anak-anak manusia. 6 Maka berfirmanlah Allah, “Sesungguhnya, jika mereka yang satu bangsa, dan sama bahasa pertuturan mereka sudah mula membuat sebegini, maka niat apa-apa pun yang hendak dilaksanakan mereka tidak ada yang tidak dapat dicapai oleh mereka. 7 Baiklah Kita turun dan mencelarukan bahasa di seluruh bumi agar mereka bingung sehingga mereka tidak saling mengerti bahasa satu sama lain.” 8 Demikianlah Allah mencerai-beraikan dan menyerakkan mereka ke seluruh muka bumi, lalu mereka berhenti membina kota raya itu. 9 Itulah sebabnya nama kota raya itu Babel kerana di sanalah Allah mencelarukan bahasa seluruh bumi dan dari sanalah Allah menyerakkan umat manusia ke seluruh muka bumi.
Keturunan Sem
10 Inilah keturunan Sem. Setelah Sem berusia 100 tahun, lahirlah kepadanya Arpakhsad, dua tahun selepas banjir besar. 11 Selepas kelahiran Arpakhsad, Sem hidup 500 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
12 Setelah Arpakhsad berusia 35 tahun, lahirlah kepadanya Selah. 13 Selepas kelahiran Selah, Arpakhsad hidup 403 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
14 Setelah Selah berusia 30 tahun, lahirlah kepadanya Eber. 15 Selepas kelahiran Eber, Selah hidup 403 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
16 Setelah Eber berusia 34 tahun, lahirlah kepadanya Peleg. 17 Selepas kelahiran Peleg, Eber hidup 430 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
18 Setelah Peleg berusia 30 tahun, lahirlah kepadanya Rehu. 19 Selepas kelahiran Rehu, Peleg hidup 209 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan.
20 Setelah Rehu berusia 32 tahun, lahirlah kepadanya Serug. 21 Selepas kelahiran Serug, Rehu hidup 207 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
22 Setelah Serug berusia 30 tahun, lahirlah kepadanya Nahor. 23 Selepas kelahiran Nahor, Serug hidup 200 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan.
24 Setelah Nahor berusia 29 tahun, lahirlah kepadanya Terah. 25 Selepas kelahiran Terah, Nahor hidup 119 tahun lagi dan dia masih dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan yang lain.
26 Setelah Terah berusia 70 tahun, lahirlah kepadanya Abram, Nahor, dan Haran.
Keturunan Terah
27 Inilah keturunan Terah. Terah dikurniai anak, iaitu Abram, Nahor, dan Haran. Seterusnya, Haran dikurniai anak, iaitu Lut. 28 Haran meninggal lebih dahulu daripada Terah, ayahnya, di tanah kelahirannya, Ur-Kasdim. 29 Kemudian Abram dan Nahor beristeri. Nama isteri Abram ialah Sarai, dan nama isteri Nahor ialah Milka, anak Haran. Haran ialah ayah Milka dan Yiska. 30 Akan tetapi, Sarai mandul dan tidak mempunyai anak.
31 Terah membawa Abram anaknya, Lut bin Haran cucunya, serta Sarai menantunya, iaitu isteri Abram anaknya, keluar bersama-sama dari Ur-Kasdim untuk pergi ke Tanah Kanaan. Akan tetapi ketika sampai di Haran, mereka pun menetap di sana. 32 Setelah Terah mencapai usia 205 tahun, meninggallah dia di Haran.
 
 
 
 
 
 
12
Keberkatan Abram (Nabi Ibrahim)
1 Allah berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, dan kaum keluargamu serta rumah ayahmu dan pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu. 2 Aku akan membuat kamu untuk menjadi suatu bangsa yang besar. Aku akan memberkati kamu dan menjadikan namamu hebat. Kamu akan menjadi berkat! 3 Aku akan memberkati mereka yang memohonkan berkat bagimu, dan Aku akan mengutuk mereka yang mengutuk kamu. Melalui kamu, semua suku bangsa di bumi akan diberkati.”
4 Maka berangkatlah Abram seperti yang Allah firmankan kepadanya, dan Lut turut pergi bersama-samanya. Abram berumur tujuh puluh lima tahun sewaktu dia meninggalkan Haran. 5 Dia menuju Tanah Kanaan dengan membawa Sarai isterinya dan Lut anak saudaranya bersama-samanya, serta segala harta benda dan hamba yang diperoleh mereka sewaktu di Haran. Lalu tibalah mereka di Tanah Kanaan. 6 Abram berjalan menjelajahi negeri itu sehingga suatu tempat di Sikhem, yakni di pokok oak More. Pada waktu itu orang Kanaan tinggal di negeri itu. 7 Kemudian Allah menampakkan diri kepada Abram dan berfirman, “Kepada keturunanmu akan Aku kurniakan negeri ini.” Maka Abram membangunkan di sana sebuah mazbah iaitu tempat persembahan korban bagi Allah, yang telah menampakkan diri kepadanya. 8 Dari situ, Abram beralih ke pergunungan di sebelah timur Bait-El lalu mendirikan khemahnya di antara Bait-El di sebelah barat dengan Ai di sebelah timur. Di situ Abram mendirikan sebuah mazbah bagi Allah dan kepada nama Allah. 9 Setelah itu, Abram meneruskan perjalanannya lagi ke arah selatan menuju ke Tanah Negeb.
Keberkatan yang dijanjikan terancam
10 Atas sebab bencana kebuluran yang menimpa negeri itu, Abram pun pergi ke Mesir dan tinggal di sana sebagai pendatang kerana bencana kebuluran itu sangat teruk di negeri itu. 11 Ketika hampir memasuki Mesir, berkatalah dia kepada Sarai, isterinya, “Dengarlah, kamu seorang perempuan dan rupa parasmu cantik. 12 Akan terjadi kelak, apabila orang Mesir melihat kamu, mereka akan berkata, ‘Itu isterinya.’ Lalu mereka akan membunuh aku dan membiarkan kamu hidup. 13 Oleh sebab itu, kamu katakanlah bahawa kamu saudaraku, supaya aku dilayan dengan baik demi dirimu, dan nyawaku selamat berkat dirimu.” 14 Sewaktu Abram memasuki Mesir, memang para warga Mesir melihat betapa cantiknya Sarai. 15 Para pembesar Firaun juga melihat Sarai, lalu memuji-muji kejelitaannya di hadapan Firaun. Lantas perempuan itu dijemput ke istana Firaun, 16 dan Firaun melayan Abram dengan baik demi perempuan itu. Abram mendapat kawanan domba, lembu, keldai jantan dan betina, unta, serta hamba lelaki dan perempuan.
17 Akan tetapi, Allah mengazab Firaun dan istananya dengan pelbagai wabak penyakit yang dahsyat kerana Sarai, isteri Abram itu. 18 Lalu Firaun memanggil Abram dan berkata, “Apakah yang kamu lakukan kepada aku ini? Mengapakah kamu tidak memberitahu aku bahawa dia isterimu? 19 Mengapakah kamu berkata, ‘Dia saudaraku,’ sehingga aku mengambilnya untuk dijadikan isteriku? Sekarang, inilah isterimu. Ambil dia dan pergilah!” 20 Kemudian Firaun memberikan perintah kepada orangnya tentang Abram, lalu mereka menghantar dia pergi bersama-sama isterinya dan segala sesuatu yang dimilikinya.
 
 
 
 
 
 
13
Abram (Nabi Ibrahim) dan Lut berpisah
1 Maka pergilah Abram dari Mesir menuju Tanah Negeb dengan membawa bersama-sama isterinya dan segala harta bendanya. Lut pun turut bersama-samanya.
2 Abram sangat kaya dan banyak sungguh emas, perak dan haiwan ternakannya. 3 Mengembaralah dia dari setempat ke setempat dari Tanah Negeb menuju Bait-El. Lalu dia sampai di antara Bait-El dengan Ai, tempat dia mula-mula mendirikan khemahnya, 4 juga tempat dia membina sebuah mazbah dahulu. Dan di situlah dia menyeru nama Allah. 5 Lut, yang menyertai rombongan Abram itu juga memiliki haiwan ternakan dan sejumlah khemah. 6 Maka tidaklah muat daerah itu untuk mereka semua tinggal bersama-sama kerana harta benda mereka begitu banyak 7 Lalu terjadilah perselisihan antara gembala ternakan Abram dengan gembala ternakan Lut. (Pada waktu itu orang Kanaan dan orang Feris bermastautin di negeri itu.)
8 Kata Abram kepada Lut, “Semoga tidak berlaku perselisihan antara aku dengan kamu, juga antara gembalaku dengan gembalamu, walhal kita ini saudara yang begitu dekat. 9 Bukankah seluruh negeri ini ada di hadapanmu? Baiklah kita berpisah sahaja. Jika kamu ke sebelah kiri, maka aku pergi ke sebelah kanan. Jika kamu ke sebelah kanan, maka aku pergi ke sebelah kiri.” 10 Lut pun mengimbas dan meneliti keseluruhan wilayah di sekelilingnya. Dia nampak betapa seluruh Lembah Yordan diairi dengan baik, seperti taman Allah, seperti Tanah Mesir ke arah Zoar. (Itulah keadaannya sebelum Allah memusnahkan Sodom dan Gomora.) 11 Maka Lut memilih daerah di seluruh Lembah Yordan, lalu berangkatlah dia ke sebelah timur. Demikianlah berpisahnya mereka berdua. 12 Menetaplah Abram di Tanah Kanaan, sementara Lut pula menetap di kota-kota raya di dataran itu dan mendirikan khemahnya sampai berhampiran dengan Sodom. 13 Adapun orang Sodom amat jahat lagi penuh kemungkaran dan dosa terhadap Allah.
14 Setelah Lut berpisah dengan Abram, berfirmanlah Allah kepada Abram, “Layangkanlah pandanganmu dari tempat kamu berdiri itu, dan tengoklah ke sebelah utara, selatan, timur, dan barat, 15 kerana seluruh negeri yang kaulihat itu akan Kukurniakan kepadamu dan kepada keturunanmu untuk selama-lamanya. 16 Aku akan menjadikan keturunanmu seperti debu tanah yang tak terkirakan, hinggakan jika ada sesiapa dapat menghitung debu tanah, maka keturunanmu pun akan terhitung. 17 Bersiaplah, mengembaralah ke seluruh pelosok negeri itu menurut panjang dan lebarnya, kerana kepadamulah akan Kukurniakannya” 18 Abram pun memindahkan khemahnya lalu tinggal dekat pokok-pokok oak Mamre, di wilayah Hebron. Di sana dia mendirikan sebuah mazbah bagi Allah.
 
 
 
 
 
 
14
Abram (Nabi Ibrahim) menyelamatkan Lut
1 Pada zaman itu Amrafel raja Sinear, Ariokh raja Elasar, Kedorlaomer raja Elam, dan Tideal raja Goyim 2 berperang melawan Bera raja Sodom, Birsya raja Gomora, Syinab raja Adma, Syeber raja Zeboim, dan raja Bela, iaitu Zoar. 3 Lima orang raja yang terakhir disebut itu bersekutu di Lembah Sidim, iaitu Laut Mati. 4 Selama dua belas tahun raja-raja itu tertakluk kepada pemerintahan Kedorlaomer, tetapi pada tahun ketiga belas, mereka memberontak. 5 Pada tahun keempat belas datanglah Kedorlaomer bersama-sama para raja yang bersekutu dengannya, lalu mereka mengalahkan orang Refaim di Asterot Karnayim, orang Zuzim di Ham, orang Emim di Syawe-Kiryataim, 6 dan orang Hori di pergunungan mereka yang bernama Seir, sampai El-Paran yang berdekatan dengan gurun. 7 Kemudian mereka kembali menyerang En-Mispat, iaitu Kadesh, dan menakluki seluruh negeri orang Amalek dan juga orang Amori yang tinggal di Hazezon-Tamar.
8 Maka keluarlah raja Sodom, raja Gomora, raja Adma, raja Zeboim, dan raja Bela, iaitu Zoar. Mereka mengatur barisan perang mereka di Lembah Sidim untuk 9 melawan Kedorlaomer raja Elam, Tideal raja Goyim, Amrafel raja Sinear, dan Ariokh raja Elasar. Empat orang raja melawan lima orang raja. 10 Lembah Sidim penuh dengan lubang tar dan ketika raja-raja Sodom dan Gomora melarikan diri ke Lembah Sidim, ada daripada mereka yang terperosok ke dalam lubang-lubang tar itu manakala yang masih hidup melarikan diri ke pergunungan. 11 Empat orang raja yang menang merampas segala harta benda Sodom dan Gomora serta segala bahan makanan mereka lalu pergi. 12 Mereka juga membawa Lut, anak saudara Abram, dengan harta bendanya kerana ia tinggal di Sodom. Setelah itu, mereka pergi.
13 Lalu seorang yang berjaya melarikan diri pergi menemui Abram, orang Ibrani itu untuk memberitahukan hal itu. Pada masa itu Abram tinggal berdekatan dengan pokok-pokok oak milik Mamre, seorang warga Amori, saudara kepada Eskol dan Aner. Mereka ini ialah sekutu Abram. 14 Ketika Abram mendengar bahawa anak saudaranya telah ditawan, dia mengerahkan 318 orang terlatih yang lahir di rumahnya. Lalu mereka mengejar gerombolan tersebut sampai Dan. 15 Abram membahagikan pasukannya untuk menyerang musuh pada waktu malam. Mereka mengalahkan musuh dan mengejar mereka sampai ke Hoba, di sebelah utara Damsyik. 16 Segala harta benda dibawanya kembali, juga Lut, anak saudaranya, dengan harta bendanya, serta perempuan-perempuan dan orang lain.
Abram (Nabi Ibrahim) bertemu dengan Raja Melkisedik
17 Setelah Abram kembali daripada mengalahkan Kedorlaomer serta raja-raja yang menjadi sekutunya, raja Sodom keluar untuk menemui Abram di Lembah Syawe, yang dikenali sebagai Lembah Raja. 18 Kemudian Melkisedik, raja Salem yang merupakan seorang imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan air anggur. 19 Dia memohon agar Abram diberkati, katanya,
“Diberkatilah Abram oleh Allah Yang Maha Tinggi,
Pemilik langit dan bumi.
20 Segala puji bagi Allah Yang Maha Tinggi,
yang telah menyerahkan musuh-musuhmu ke dalam tanganmu.”
Lalu Abram memberinya sepersepuluh daripada segala harta benda itu.
21 Berkatalah raja Sodom kepada Abram, “Kembalikanlah kepadaku semua orangku itu, tetapi ambillah harta benda itu untukmu.” 22 Bagaimanapun Abram menjawab raja Sodom, “Aku telah bersumpah kepada Allah, iaitu Allah Yang Maha Tinggi, Pemilik langit dan bumi, 23 bahawa aku tidak akan mengambil selembar benang atau tali kasut pun daripada semua yang ada padamu supaya jangan kamu berkata, ‘Aku telah membuat Abram kaya.’ 24 Aku tidak akan mengambil apa-apa pun kecuali pampasan bagi apa yang dimakan atau dipakai oleh orang muda yang menyertai aku, iaitu Aner, Eskol, dan Mamre. Biarlah mereka mengambil bahagian masing-masing.”
 
 
 
 
 
 
15
Perjanjian Allah dengan Abram (Nabi Ibrahim)
1 Sesudah berbagai-bagai peristiwa itu, turunlah firman Allah kepada Abram dalam suatu penglihatan demikian, “Jangan takut, Abram, Akulah perisaimu. Ganjaranmu akan sangat besar.” 2 Jawab Abram, “Ya Allah, ya Rabbi, apakah yang hendak Engkau kurniakan kepadaku? Sampai sekarang aku tidak mempunyai anak, dan yang akan mewarisi rumahku ialah Eliezer, orang Damsyik itu.” 3 Kata Abram pula, “Sesungguhnya, Engkau belum mengurniai aku keturunan, sehingga hamba yang lahir di rumahkulah yang akan menjadi ahli warisku.” 4 Akan tetapi, turunlah firman Allah kepadanya demikian, “Bukan orang itu yang akan menjadi ahli warismu, melainkan anak lelaki darah dagingmu sendirilah yang akan menjadi ahli warismu.” 5 Kemudian Dia membawa Abram keluar dan berfirman, “Dongaklah ke langit dan hitunglah bintang jika kamu dapat menghitungnya.” Firman-Nya kepadanya, “Demikianlah banyaknya keturunanmu kelak.” 6 Lalu Abram percaya kepada Allah dan oleh itu, Abram dianggap Allah sebagai orang yang benar.
7 Seterusnya Dia berfirman lagi kepadanya, “Akulah Allah, yang membawa kamu keluar dari Ur-Kasdim untuk memberikan negeri ini kepadamu dan menjadikannya milikmu.” 8 Kata Abram, “Ya Allah, ya Rabbi, bagaimanakah akan kutahu bahawa aku akan memilikinya?” 9 Firman Allah kepadanya, “Ambilkanlah Aku seekor lembu betina muda, seekor kambing betina, dan seekor domba jantan, masing-masing berumur tiga tahun, juga seekor burung tekukur dan seekor anak burung merpati.” 10 Abram mengambilkan-Nya semua itu, memotongnya menjadi dua, lalu meletakkan potongan yang satu berhadapan dengan yang lain. Tetapi burung-burung tidak dibelah dua. 11 Ketika burung-burung pemangsa hinggap di atas daging sembelihan itu, Abram pun menghalaunya.
12 Menjelang matahari terbenam, Abram tertidur lelap. Tiba-tiba, dia diselubungi oleh kegelapan yang dahsyat dan ketakutan mencengkam dirinya. 13 Kemudian Allah berfirman kepada Abram, “Ketahuilah dengan pasti bahawa keturunanmu akan menjadi pendatang di negeri yang bukan negeri mereka. Mereka akan diperhamba dan ditindas empat ratus tahun lamanya. 14 Akan tetapi, bangsa yang memperhamba mereka akan Kuhukum, dan setelah itu mereka akan keluar dengan membawa harta benda yang banyak. 15 Kamu pula akan pulang kepada nenek moyangmu dengan sejahtera. Kamu akan dimakamkan pada usia yang sangat tua. 16 Keturunan yang keempat akan kembali ke sini, kerana kejahatan orang Amori belum mencapai tahap puncaknya.”
17 Setelah matahari terbenam dan hari menjadi gelap, tiba-tiba tampaklah sebuah pendiangan yang berasap dan obor yang menyala-nyala bergerak di antara potongan daging itu. 18 Pada hari itu juga Allah membuat perjanjian dengan Abram, firman-Nya, “Kepada keturunanmu Kuberikan negeri ini, mulai Wadi Mesir sampai sungai besar, iaitu Sungai Efrat, 19 meliputi tanah orang Keni, orang Kenas, orang Kadmon, 20 orang Het, orang Feris, orang Refaim, 21 orang Amori, orang Kanaan, orang Girgasi, dan orang Yebus.”
 
 
 
 
 
 
16
Kelahiran Ismail bin Ibrahim
1 Sarai, isteri Abram, masih belum melahirkan anak bagi Abram. Dia mempunyai seorang hamba perempuan, orang Mesir bernama Hajar. 2 Maka kata Sarai kepada Abram, “Oleh sebab Allah telah menahan aku daripada mengandungkan anak, kahwin sajalah dengan hambaku, siapa tahu aku memperoleh anak melaluinya.” Maka Abram mendengar dan menuruti usul Sarai itu. 3 Lalu Sarai isteri Abram membawa Hajar, orang Mesir yang menjadi hambanya itu, dan memberikannya kepada Abram suaminya untuk dijadikan isterinya. Pada waktu itu sudah sepuluh tahun lamanya Abram tinggal di Tanah Kanaan. 4 Abram pun meniduri Hajar, lalu mengandunglah perempuan itu. Apabila Hajar tahu sahaja bahawa dia mengandung, mulalah dia memandang rendah terhadap cik puannya. 5 Lalu Sarai berkata kepada Abram, “Penghinaan yang kudapat ini tanggunganmu! Aku memberikan hambaku ke pangkuanmu, tetapi ketika dia tahu bahawa dia mengandung, dia memandang rendah terhadapku. Semoga Allah menjadi Hakim antara aku dengan kamu.” 6 Kata Abram kepada Sarai, “Sesungguhnya, hambamu itu berada dalam kekuasaanmu. Lakukanlah apa jua terhadapnya mengikut budi bicaramu.” Maka Sarai menindas Hajar sehingga larilah Hajar daripadanya.
7 Malaikat Allah menjumpainya dekat sebuah mata air di gurun, iaitu berdekatan dengan mata air di jalan yang menuju ke Syur. 8 Sabdanya, “Wahai Hajar, hamba Sarai, dari manakah kamu dan hendak ke mana?” Jawab perempuan itu, “Aku melarikan diri daripada Sarai, cik puanku.” 9 Sabda malaikat Allah kepadanya, “Kembalilah kepada cik puanmu dan tunduklah kepada kuasanya.” 10 Sabda malaikat Allah pula kepadanya, “Aku akan menjadikan keturunanmu tersangat ramai, hingga tidak terhitung banyaknya.” 11 Selanjutnya, malaikat Allah bersabda kepadanya,
“Kamu sedang mengandung
dan kamu akan melahirkan seorang anak lelaki.
Namailah dia Ismail,a
kerana Allah telah mendengar jeritan kesusahanmu.
12 Dia akan menjadi orang yang hidupnya seperti keldai liar.b
Tangannya akan melawan setiap orang,
dan tangan setiap orang akan melawan dia.
Dia akan hidup bertentangan dengan semua saudaranya.”
13 Lalu Hajar menyeru nama Allah yang berfirman kepadanya itu “Engkaulah Allah Yang Memperhatikan,” kerana katanya, “Sungguhkah aku nampak Dia yang memperhatikan aku?” 14 Itulah sebabnya perigi itu, yang letaknya di antara Kadesh dengan Bered, disebut Perigi Lahai-Roi.
15 Maka Hajar melahirkan seorang anak lelaki bagi Abram yang menamakan anaknya yang dilahirkan oleh Hajar itu Ismail. 16 Abram berumur 86 tahun pada waktu Hajar melahirkan Ismail.
 
 
 
 
 
 
17
Tanda perjanjian Allah dengan Nabi Ibrahim
1 Ketika Abram berusia 99 tahun, Allah menampakkan diri kepada Abram dan berfirman kepadanya, “Akulah Allah Yang Maha Kuasa, hiduplah tanpa bercela di hadapan-Ku. 2 Aku akan mengesahkan perjanjian antara Aku dengan kamu, dan Aku akan menjadikan keturunanmu sebegitu ramai.” 3 Maka sujudlah Abram. Lalu Allah berfirman kepadanya, 4 “Daripada pihak-Ku, inilah perjanjian-Ku dengan kamu: Kamu akan menjadi bapa kepada banyak bangsa. 5 Namamu bukan Abram lagi, kini namamu Ibrahim,a kerana Aku akan menjadikan kamu bapa kepada banyak bangsa. 6 Aku akan membuat kamu beranak cucu sangat banyak. Melalui kamu Aku akan menjadikan bangsa-bangsa, bahkan raja-raja akan muncul daripada keturunanmu. 7 Aku akan mengesahkan perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu serta keturunanmu kelak, turun-temurun, untuk menjadi suatu perjanjian yang kekal, iaitu bahawa Aku akan menjadi Tuhan kepadamu dan kepada keturunanmu. 8 Kepadamu dan kepada keturunanmu kelak akan Kuberikan negeri yang kini kamu tinggal sebagai pendatang, iaitu seluruh Tanah Kanaan yang akan menjadi milikmu yang kekal. Aku pun akan menjadi Tuhan mereka.”
9 Firman Allah pula kepada Ibrahim, “Bagi pihakmu, kamu dan juga keturunanmu kelak turun-temurun mesti berpegang teguh kepada perjanjian-Ku. 10 Inilah perjanjian-Ku yang harus kamu pegang dengan teguh, iaitu perjanjian antara Aku dengan kamu serta keturunanmu kelak: setiap lelaki antara kamu harus disunatkan. 11 Kulup iaitu kulit sunatmu mesti dikerat, dan itu akan menjadi tanda perjanjian antara Aku dengan kamu. 12 Bagi kesemua keturunanmu, setiap anak lelaki yang berumur delapan hari mesti disunatkan, sama ada yang dilahirkan di rumahmu ataupun yang dibeli daripada orang asing mana-mana pun yang bukan keturunanmu. 13 Anak lelaki yang lahir di rumahmu ataupun yang dibeli dengan wang harus disunatkan. Demikianlah tanda peringatan perjanjian-Ku akan jelas kelihatan dan kekal pada tubuhmu. 14 Lelaki yang tidak disunatkan, iaitu yang kulupnya tidak dikerat, akan disingkirkan daripada suku bangsanya kerana dia gagal menyempurnakan kehendak perjanjian-Ku.”
Keputeraan Ishak dijanjikan
15 Selanjutnya, Allah berfirman kepada Ibrahim, “Dalam hal Sarai, isterimu, jangan lagi kamu memanggilnya Sarai. Panggil dia Sarah. Itulah namanya. 16 Aku akan memberkatinya, dan melalui dia juga Aku akan memberimu seorang anak lelaki. Aku akan memberkatinya, dan dia akan menjadi ibu bagi bangsa-bangsa. Raja pelbagai negara akan muncul daripada keturunannya.” 17 Maka sujudlah Ibrahim lalu tertawa dan berkata dalam hatinya, “Mungkinkah seorang anak lelaki dilahirkan daripada lelaki yang berumur seratus tahun? Mungkinkah Sarah, yang sudah berusia 90 tahun melahirkan anak?” 18 Lalu berkatalah Ibrahim kepada Allah, “Semogalah Ismail diperkenankan hidup di hadapan-Mu!” 19 Firman Allah, “Sesungguhnya Sarah, isterimu, akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Namailah dia Ishak. Aku akan mengesahkan perjanjian-Ku dengannya untuk menjadi suatu perjanjian yang kekal bagi keturunannya. 20 Tentang Ismail, Aku sudah mendengar permintaanmu. Sesungguhnya, Aku akan memberkatinya dan membuatnya beranak cucu serta melipatgandakan keturunannya dengan banyak sekali. Dia akan menjadi leluhur bagi dua belas orang ketua suku, dan Aku akan menjadikannya suatu bangsa yang besar. 21 Namun begitu, perjanjian-Ku akan Kutetapkan dengan Ishak, yang akan dilahirkan Sarah bagimu pada waktu seperti ini pada tahun mendatang.”
22 Setelah selesai berfirman kepada Ibrahim, Allah pun meninggalkannya. 23 Kemudian Ibrahim memanggil Ismail, anaknya, dan semua orang yang lahir di rumahnya, juga semua orang yang dibeli dengan wang, semua lelaki daripada seisi rumah Ibrahim. Pada hari itu juga, dia menyunatkan kulup mereka, seperti yang difirmankan Allah kepadanya. 24 Ibrahim berumur sembilan puluh sembilan tahun pada waktu dia disunatkan, 25 manakala anaknya, Ismail berusia tiga belas tahun sewaktu dia disunatkan. 26 Pada hari itu juga Ibrahim dan Ismail, anaknya, disunatkan. 27 Semua lelaki yang ada di rumahnya, baik yang lahir di rumahnya mahupun yang dibeli dengan wang daripada orang asing, disunatkan bersama-samanya.
 
 
 
 
 
 
18
Tiga orang tetamu istimewa
1 Allah menampakkan diri kepada Ibrahim dekat pokok-pokok oak Mamre semasa dia duduk di pintu khemahnya ketika hari paling panas terik. 2 Apabila dia mengangkat kepalanya kelihatan tiga orang berdiria tidak begitu jauh daripadanya. Sebaik sahaja melihat mereka, berlarilah dia dari pintu khemahnya untuk mendapatkan mereka lalu sujud memberi hormat. 3 Katanya, “Wahai Tuanku, jika Tuanku perkenankan hamba ini, janganlah kiranya Tuan berlalu meninggalkan hambamu ini begitu sahaja. 4 Air akan diambil agar Tuan-tuan membasuh kaki dan beristirahat di bawah pokok ini. 5 Izinkan hamba membawakan roti agar Tuan-tuan dapat menyegarkan diri, kerana Tuan-tuan sudah datang mengunjungi hamba. Setelah itu, barulah Tuan-tuan meneruskan perjalanan.” Kata mereka, “Baik, lakukanlah seperti yang kaukatakan.” 6 Ibrahim segera masuk ke dalam khemah untuk mendapatkan Sarah dan berkata, “Cepat, ambillah tiga sukat tepung terbaik! Ulilah dan buatlah roti.” 7 Kemudian Ibrahim berlari ke arah ternakan lembunya. Diambilnya seekor anak lembu yang tambun dan baik dagingnya lalu diserahkannya kepada hambanya, yang segera menyediakannya. 8 Selepas itu, Ibrahim membawa dadih, air susu, dan daging anak lembu yang telah disediakan itu, lalu menyajikannya di depan para tetamunya itu. Sementara mereka makan, dia berdiri berdekatan dengan mereka di bawah pokok itu.
9 Kemudian mereka bertanya kepadanya, “Di manakah isterimu, Sarah?” Jawabnya, “Di sana, di dalam khemah.” 10 Kata seorang daripada mereka, “Tahun depan Aku akan kembali kepadamu, dan pada waktu itu Sarah, isterimu, akan mempunyai seorang anak lelaki.” Hal itu didengar oleh Sarah dari pintu khemah di belakang Ibrahim. 11 Pada masa itu, Ibrahim dan Sarah sudah tua dan lanjut umur mereka, malah Sarah pun sudah putus haid. 12 Oleh sebab itu, tertawalah Sarah dalam hatinya, katanya, “Akan bergembirakah aku setelah sebegini tua, apatah lagi suamiku pun sudah tua?” 13 Lalu berfirmanlah Allah kepada Ibrahim, “Mengapakah Sarah tertawa dan berkata, ‘Akankah aku lahirkan anak, kerana kini aku sudah tua begini?’ 14 Adakah apa-apa yang mustahil bagi Allah? Pada waktu yang telah ditetapkan, iaitu tahun depan, Aku akan kembali kepadamu dan Sarah akan mempunyai seorang anak lelaki.” 15 Sarah menjadi takut lantas dia menyangkalnya dan berkata, “Aku tidak tertawa.” Akan tetapi jawab-Nya, “Tidak, kamu memang tertawa.”
16 Kemudian tiga tetamu itu berangkat dari sana dan memandang ke arah Sodom. Ibrahim berjalan menyertai mereka untuk menghantar mereka. 17 Lalu Allah berfirman, “Akankah Kusembunyikan daripada Ibrahim apa yang hendak Kulakukan ini, 18 sedangkan Ibrahim akan menjadi bangsa yang besar dan kuat, dan melaluinya semua bangsa di bumi akan beroleh berkat? 19 Aku telah memilih dia agar dia memerintahkan anak-anak serta kaum keluarganya untuk memelihara jalan Allah dengan melakukan apa yang benar dan adil. Dengan demikian, Allah memenuhi apa yang telah dijanjikan-Nya kepada Ibrahim.” 20 Selanjutnya, Allah berfirman, “Dahsyat sekali jeritan terhadap Sodom dan Gomora dan dosa mereka teramat teruk. 21 Aku akan hadir untuk mengamati sama ada perbuatan mereka memang selaras dengan bangkangan yang diteriakkan kepada-Ku atau tidak. Aku mahu menyelidikinya.”b
Nabi Ibrahim bersyafaat Sodom
22 Maka dua orang itu beranjak dari sana dan berjalan ke arah Sodom, tetapi Ibrahim masih tetap berdiri di hadirat Allah. 23 Lalu Ibrahim mendekati-Nya dan berkata, “Masakan Engkau melenyapkan orang benar bersama-sama orang fasiq? 24 Kalau ada lima puluh orang benar di dalam kota itu, akankah tetap Engkau lenyapkan tempat itu? Tidakkah Engkau mahu pelihara tempat itu kerana lima puluh orang benar yang ada di dalamnya? 25 Pantang bagi Tuhan melakukan hal itu, membunuh orang benar bersama-sama orang fasiq, sehingga orang benar itu disamakan dengan orang fasiq. Pantang bagi Tuhan! Bukankah Hakim semesta bumi akan berlaku adil?” 26 Firman Allah, “Jika Kudapati lima puluh orang benar di Kota Sodom, maka akan terpelihara seluruh tempat itu kerana mereka.”
27 Kata Ibrahim pula, “Sesungguhnya aku memberanikan diri berbicara kepada TUHAN, sekalipun aku hanyalah debu dan abu. 28 Kalau kurang lima sahaja daripada lima puluh orang benar itu, akankah tetap Engkau musnahkan seluruh kota itu hanya kerana lima orang itu?” Firman-Nya, “Jika Kudapati di sana empat puluh lima orang, Aku tidak akan memusnahkannya.” 29 Ibrahim berkata lagi kepada-Nya, “Kalau didapati empat puluh orang di sana?” Firman-Nya, “Kerana empat puluh orang itu, Aku tidak akan melakukannya.” 30 Kata Ibrahim, “Janganlah kiranya TUHAN murka jika aku berbicara lagi. Kalau didapati di sana tiga puluh orang?” Firman-Nya, “Jika Kudapati di sana tiga puluh orang, Aku tidak akan melakukan hal itu.” 31 Kata Ibrahim, “Sesungguhnya aku memberanikan diri berbicara kepada TUHAN. Kalau didapati di sana dua puluh orang?” Firman-Nya, “Kerana dua puluh orang itu, Aku tidak akan memusnahkannya.” 32 Kata Ibrahim, “Semoga TUHAN tidak murka jika aku berbicara sekali ini sahaja lagi. Kalau didapati di sana sepuluh orang?” Firman-Nya, “Kerana kesepuluh orang itu, Aku tidak akan memusnahkannya.” 33 Setelah selesai berfirman kepada Ibrahim, Allah meninggalkan tempat itu, lalu Ibrahim pun kembali ke kediamannya.
 
 
 
 
 
 
19
Allah menyelamatkan Nuh dan keluarga
1 Maka malaikat berdua itu sampai di Sodom pada petang hari. Lut yang pada masa itu sedang duduk di pintu gerbang Sodom nampak mereka. Dia pun bangkit dan menyambut mereka lalu bersujud. 2 Katanya, “Tuan-tuan, kumohon semoga Tuan-tuan bersinggahlah di rumah hambamu ini, dan bermalamlah. Basuhlah kaki Tuan-tuan, esok pagi Tuan-tuan dapat melanjutkan perjalanan.” Jawab mereka, “Tak perlu susah-susah, kerana kami akan bermalam di kawasan lapang sahaja.” 3 Namun begitu, Lut mendesak mereka sehingga mereka singgah juga dan masuk ke rumahnya. Dia menjamu mereka. Dibuatnya roti yang tidak beragi, lalu mereka pun makan.
4 Akan tetapi, sebelum mereka tidur lelaki dari seluruh penjuru Kota Sodom, daripada yang muda sampai yang tua, datang mengepung rumah itu. 5 Mereka memanggil Lut dan berkata kepadanya, “Di manakah dua orang lelaki yang bertamu denganmu malam ini? Bawalah mereka keluar kepada kami, supaya kami dapat meniduri mereka.” 6 Lalu keluarlah Lut mendapatkan mereka di depan pintu, tetapi ditutupnya pintu itu di belakangnya. 7 Katanya, “Wahai saudara-saudaraku, aku minta sangat-sangat, janganlah berbuat kejam. 8 Dengarlah, aku mempunyai dua orang anak perempuan yang belum pernah dijamah lelaki. Biarlah kubawa mereka keluar kepadamu. Lakukanlah kepada mereka menurut apa yang kamu pandang baik. Hanya, jangan lakukan apa-apa terhadap mereka yang datang berlindung di bawah atap rumahku.” 9 Kata mereka, “Nyahlah kamu jauh-jauh!” Kata mereka pula, “Lelaki ini datang menetap di sini sebagai pendatang, tetapi kini dia mahu menjadi hakim! Sekarang, kamu akan kami perlakukan lebih keras daripada kami perlakukan mereka.” Lalu dengan kasar mereka menolak kuat Lut, sehingga cukup dekat untuk memecahkan pintu. 10 Bagaimanapun, malaikat berdua itu menghulurkan tangan dan menarik Lut masuk ke dalam rumah, lalu menutup pintu. 11 Kemudian mereka membutakan mata kalangan lelaki yang ada di depan pintu rumah itu, daripada yang kecil sampai yang besar, sehingga mereka kepayahan mencari-cari pintu.
12 Berkatalah kedua-duanya kepada Lut, “Siapakah lagi keluargamu di sini? Bawalah keluar dari tempat ini menantu, anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan, atau siapa sahaja keluargamu di kota ini, 13 kerana kami akan memusnahkan tempat ini. Sesungguhnya, begitu dahsyat jeritan terhadap kota ini di hadirat Allah sehingga Allah mengutus kami untuk memusnahkannya.” 14 Maka keluarlah Lut lalu berbicara dengan kedua-dua bakal menantunya yang akan memperisteri anak-anak gadisnya. Katanya, “Bersiaplah, keluarlah dari tempat ini, kerana Allah akan memusnahkan kota ini!” Tetapi kedua-dua orang bakal menantu Lut itu menganggap Lut cuma sedang bergurau senda dengan mereka.
15 Ketika fajar menyingsing, kedua-dua malaikat itu mendesak Lut, kata mereka, “Cepat! Bawalah isterimu dan kedua-dua orang anak perempuanmu yang ada di sini, supaya kamu tidak ikut dilenyapkan kerana kedurjanaan kota ini.” 16 Bagaimanapun, Lut masih berlengah-lengah, jadi kedua-dua malaikat pun memegang tangannya, tangan isterinya, dan tangan kedua-dua anak perempuannya, kerana Allah berbelas kasihan kepada mereka. Mereka dibawa ke luar dan dilepaskan di luar kota. 17 Setelah mereka membawa keluarga itu keluar, berkatalah seorang daripada malaikat itu, “Larilah, selamatkanlah nyawamu! Jangan menoleh ke belakang dan jangan berhenti di mana-mana pun di lembah ini. Larilah ke pergunungan, supaya kamu tidak dilenyapkan.” 18 Akan tetapi kata Lut kepada mereka, “Janganlah begitu, ya Tuan. 19 Memang Tuan telah mengasihani hambamu ini, dan Tuan sudah sangat-sangat berbuat baik kepada hamba dengan menyelamatkan nyawa hamba. Tetapi hamba tidak sanggup lari ke pergunungan itu, jangan-jangan hamba dipintasi malapetaka itu lalu mati. 20 Lihat, kota di sana itu cukup dekat untuk dituju, apatah lagi kota itu kecil. Izinkan hamba lari ke sana supaya nyawa hamba terselamat. Bukankah kota itu kecil?” 21 Katanya kepada Lut, “Baiklah, dalam hal ini pun permintaanmu kuterima. Aku tidak akan menelungkupkan kota yang kausebutkan itu. 22 Larilah segera ke sana, kerana aku tidak dapat berbuat apa-apa sebelum kamu sampai di sana.” Itulah sebabnya kota itu dinamai Zoar.
Allah memusnahkan Sodom dan Gomora
23 Matahari baru sahaja terbit di atas bumi ketika Lut sampai di Zoar. 24 Lalu Allah menghujani Sodom dan Gomora dengan belerang dan api. Dari langitlah Allah turunkan belerang dan api itu. 25 Dia menelungkupkan kota-kota itu bahkan seluruh lembah, seluruh penduduk, serta tumbuh-tumbuhan di tanah. 26 Akan tetapi, isteri Lut menoleh ke belakang lalu menjadi sebatang tiang garam.
27 Ibrahim bangun pagi-pagi lalu pergi ke tempat dia berdiri di hadirat Allah. 28 Dilayangkannya pandangannya ke arah Sodom dan Gomora serta seluruh lembah itu. Tampak asap membumbung dari tanah itu, seperti asap dari sebuah relau.
29 Pada waktu Allah memusnahkan kota-kota di lembah itu, Dia mengingati permohonan Ibrahim. Oleh sebab itu, Dia menyuruh Lut keluar daripada tengah-tengah kehancuran itu semasa Dia menelungkupkan kota-kota raya tempat Lut tinggal.
Asal usul bangsa Moab dan Amon
30 Kemudian dari Zoar, Lut bersama-sama dua orang anak perempuannya pergi tinggal di pergunungan kerana dia berasa takut untuk tinggal di Zoar. Maka menetaplah Lut di dalam sebuah gua bersama-sama dua orang anak perempuannya itu. 31 Pada suatu waktu, anaknya yang lebih tua berkata kepada adiknya, “Ayah kita sudah tua, dan tidak ada lelaki di negeri ini yang akan mengahwini kita, seperti kebiasaan di seluruh bumi. 32 Marilah kita beri ayah kita minum air anggur lalu kita tidur dengannya, supaya kita dapat melanjutkan keturunan ayah kita.” 33 Maka mereka membuat ayah mereka minum air anggur yang memabukkan pada malam itu. Lalu masuklah anak yang sulung dan tidur dengan ayahnya.a Tetapi ayahnya tidak sedar, baik ketika anaknya itu berbaring mahupun ketika anaknya itu bangkit.
34 Keesokan harinya, berkatalah si kakak kepada adiknya, “Dengarlah, semalam aku meniduri ayah. Mari kita membuat dia mabuk dengan air anggur lagi malam ini. Kemudian masuklah kamu dan tidur dengannya, supaya kita dapat melanjutkan keturunan ayah kita.” 35 Maka mereka membuat ayah mereka minum air anggur lagi pada malam itu, lalu masuklah anak yang lebih muda dan tidur dengan ayahnya. Tetapi ayahnya tidak sedar, baik ketika anaknya itu berbaring mahupun ketika anaknya itu bangkit. 36 Maka kedua-dua orang anak perempuan Lut itu pun mengandung akibat perbuatan ayah mereka sendiri. 37 Anak yang sulung melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Moab. Dialah bapa leluhur orang Moab yang ada sekarang ini. 38 Anak yang bongsu pun melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Bin-Ami. Dia bapa leluhur bani Amon yang ada sekarang ini.
 
 
 
 
 
 
20
Nabi Ibrahim dan Raja Abimelekh
1 Kemudian Ibrahim berangkat dari sana ke Tanah Negeb lalu menetap di antara Kadesh dengan Syur. Dia tinggal di Gerar sebagai pendatang. 2 Tentang Sarah, isterinya, Ibrahim berkata, “Dia saudaraku.” Maka Abimelekh, raja Gerar, menyuruh orang untuk mengambil Sarah. 3 Akan tetapi, Allah muncul dalam suatu mimpi Abimelekh pada malam hari dan berfirman kepadanya, “Ketahuilah, kamu akan mati kerana perempuan yang kamu ambil itu sudah pun bersuami.” 4 Pada waktu itu Abimelekh belum menghampiri Sarah. Maka katanya, “Ya Rabbi, akankah Engkau membunuh bangsa yang tidak bersalah? 5 Bukankah orang itu sendiri berkata kepadaku, ‘Dia saudaraku’? Bahkan perempuan itu sendiri pun berkata, ‘Dia saudaraku.’ Jadi, dengan tulus hati dan dengan tangan yang suci aku melakukan hal ini.” 6 Lalu firman Allah kepadanya dalam mimpi itu, “Aku tahu bahawa kamu melakukan hal itu dengan tulus hati. Itulah sebabnya Aku hendak mencegah kamu daripada berbuat dosa terhadap Aku, dan sebabnya Aku tidak membiarkan kamu menyentuh perempuan itu. 7 Sekarang, kembalikanlah isteri orang itu kerana suaminya seorang nabi. Dia akan berdoa untukmu sehingga kamu akan tetap hidup. Tetapi jika kamu tidak mengembalikan perempuan itu, ketahuilah bahawa kamu dan semua orang yang ada denganmu sesungguhnya akan mati.”
8 Keesokan harinya Abimelekh bangun pagi-pagi, lalu memanggil semua hambanya dan memberitahukan semua hal itu kepada mereka. Maka mereka menjadi sangat takut. 9 Kemudian Abimelekh memanggil Ibrahim dan berkata kepadanya, “Apakah yang telah kaulakukan terhadap kami? Apakah dosaku kepadamu sehingga kamu mendatangkan dosa yang besar terhadap diriku dan terhadap kerajaanku? Kamu telah melakukan perbuatan yang tidak patut terhadapku.” 10 Kata Abimelekh pula kepada Ibrahim, “Apakah maksudmu sehingga kamu berbuat demikian?” 11 Jawab Ibrahim, “Aku menyangka bahawa di tempat ini sama sekali tidak ada orang yang takut kepada Allah, sehingga tentulah aku akan dibunuh kerana isteriku. 12 Apatah lagi, memang dia saudaraku. Dia anak ayahku, tetapi dia bukanlah anak ibuku, dan dia menjadi isteriku. 13 Jadi, ketika Allah menyuruh aku untuk mengembara meninggalkan rumah ayahku, aku berkata kepadanya, ‘Nyatakanlah kasihmu kepadaku dengan cara ini: Di tempat mana-mana pun kita tiba, katakanlah bahawa aku saudaramu.’ ”
14 Kemudian Abimelekh mengambil kawanan domba, kawanan lembu, dan hamba-hamba lelaki serta perempuan, dan memberikan semua itu kepada Ibrahim. Dia pun mengembalikan kepadanya Sarah, isteri Ibrahim itu. 15 Kata Abimelekh, “Lihatlah, negeriku terbuka untukmu. Tinggallah di mana-mana sahaja kau suka.” 16 Katanya kepada Sarah, “Dengarlah, aku telah memberikan seribu keping perak kepada saudaramu di hadapan mata semua orang yang ada bersama-samamu sebagai bukti kesucianmu. Dalam segala hal ternyatalah kamu tidak bersalah.” 17 Lalu Ibrahim memanjatkan doa kepada Allah, dan Allah menyembuhkan Abimelekh, isterinya, serta hamba-hambanya perempuannya sehingga mereka dapat melahirkan anak lagi. 18 Sebabnya sebelum itu Allah telah menutup rahim setiap perempuan di istana Abimelekh kerana Sarah, isteri Ibrahim itu.
 
 
 
 
 
 
21
Kelahiran Ishak bin Ibrahim
1 Allah memperhatikan Sarah seperti yang telah difirmankan-Nya, dan Allah melakukan kepada Sarah seperti yang telah dijanjikan-Nya. 2 Maka mengandunglah Sarah, lalu melahirkan seorang anak lelaki bagi Ibrahim pada usia tuanya, iaitu pada waktu yang telah ditentukan, selaras dengan janji Allah kepadanya. 3 Ibrahim menamakan anaknya yang baru lahir itu, Ishak, iaitu anak yang dilahirkan Sarah baginya. 4 Lalu Ibrahim menyunatkan Ishak anaknya itu pada usia delapan hari, seperti yang diperintahkan Allah kepadanya. 5 Umur Ibrahim seratus tahun ketika anaknya, Ishak, dilahirkan. 6 Sarah berkata, “Allah telah membuat aku tertawa. Setiap orang yang mendengarnya akan tertawa bersama-samaku.” 7 Katanya pula, “Siapakah yang dahulu dapat mengatakan kepada Ibrahim bahawa Sarah menyusui anak? Namun demikian, aku telah melahirkan seorang anak lelaki baginya pada usia tuanya.”
Siti Hajar dan Ismail disuruh pergi
8 Anak itu kian membesar lalu dia dicerai susu. Ibrahim membuat kenduri besar pada hari Ishak dicerai susu. 9 Pada suatu hari, Sarah terlihat anak Hajar, perempuan Mesir itu, mengolok-olok dengan Ishak. 10 Maka berkatalah Sarah kepada Ibrahim, “Usirlah hamba perempuan itu bersama-sama anaknya, kerana anak hamba perempuan ini tidak boleh menjadi ahli waris bersama-sama anakku, Ishak.” 11 Hal itu sangat menyusahkan hati Ibrahim kerana Ismail juga anaknya. 12 Akan tetapi, Allah berfirman kepada Ibrahim, “Janganlah bersusah hati kerana anak itu dan hamba perempuanmu itu. Semua yang dikatakan Sarah kepadamu haruslah kaudengar, kerana keturunan daripada Ishaklah yang akan disebut sebagai keturunanmu yang Kujanjikan.a 13 Bagaimanapun, anak daripada hamba perempuan itu pun akan Kujadikan satu bangsa, kerana dia juga keturunanmu.” 14 Keesokan harinya Ibrahim bangun pagi-pagi. Diambilnya roti serta sebuah kantung kulit berisi air, lalu diberikan kepada Hajar dengan meletakkannya pada bahunya. Anaknya juga diserahkan lalu disuruhnya perempuan itu pergi. Maka berjalanlah Hajar dan berkelana di Gurun Bersyeba.
15 Apabila kehabisan air di dalam kantung kulit itu, Hajar merebahkan anaknya di bawah rimbunan pokok renek. 16 Lalu pergilah dia duduk agak jauh berseberangan dengan anak itu, kira-kira sepemanah jaraknya kerana katanya, “Semoga janganlah aku melihat anak itu mati.” Sambil duduk jauh berhadapan dengan anaknya itu, diangkatlah suaranya dan menangis dengan nyaring. 17 Allah mendengar suara anak itu, lalu malaikat Allah memanggil Hajar dari langit. Sabda-Nya kepadanya, “Ada apa dengan kamu, Hajar? Jangan takut, kerana Allah mendengar suara anak itu dari tempat dia direbahkan itu. 18 Bangkitlah, angkatlah anak itu, dan tuntunlah dia, kerana Aku akan menjadikannya satu bangsa yang besar.” 19 Kemudian Allah membuka mata Hajar sehingga dia melihat sebuah perigi. Maka pergilah dia mengisi kantung kulitnya dengan air, lalu memberi anak itu minum. 20 Allah menyertai anak itu yang kian membesar. Dia tinggal di gurun itu lalu menjadi seorang pemanah. 21 Tinggallah dia di Gurun Paran, dan seterusnya, ibunya mendapatkan seorang isteri dari Tanah Mesir untuknya.
Perjanjian Nabi Ibrahim dengan Raja Abimelekh
22 Pada waktu itu berkatalah Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, kepada Ibrahim, “Allah menyertai kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan. 23 Sekarang, bersumpahlah kepadaku di sini demi Allah bahawa kamu tidak akan mendustai aku, anak-anakku, atau cucu-cicitku. Sebagaimana aku telah melayan kamu dengan baik, berlaku jugalah demikian terhadap aku dan terhadap negeri ini, tempat kamu tinggal sebagai pendatang.” 24 Kata Ibrahim, “Aku bersumpah.”
25 Kemudian Ibrahim merungut kepada Abimelekh mengenai perigi yang dirampas oleh para hamba Abimelekh. 26 Abimelekh menjawab, “Aku tidak tahu siapa yang melakukan hal itu. Apatah lagi, kamu tidak memberitahukan perkara itu kepadaku. Belum pernah aku dengar fasalnya sehingga hari ini.” 27 Maka Ibrahim mengambil beberapa ekor domba dan beberapa ekor lembu daripada ternakannya lalu memberikannya kepada Abimelekh dan dengan itu kedua-duanya mengikat perjanjian. 28 Seterusnya Ibrahim mengasingkan tujuh ekor anak domba betina daripada ternakannya itu. 29 Bertanyalah Abimelekh kepada Ibrahim, “Apakah maksudmu mengasingkan tujuh ekor anak domba betina ini?” 30 Jawabnya, “Kamu hendaklah mengambil ketujuh-tujuh ekor anak domba betina ini daripada tanganku sebagai kesaksian bahawa akulah yang menggali perigi ini.” 31 Maka itulah sebabnya tempat itu dinamai Bersyeba, kerana kedua-duanya telah mengangkat sumpah di sana. 32 Setelah mereka mengikat perjanjian di Bersyeba, bersiaplah Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, lalu kembalilah mereka ke negeri orang Filistin. 33 Ibrahim menanam sebatang pokok tamariska di Bersyeba, dan berseru kepada nama Allah, Tuhan Yang Kekal. 34 Tinggallah Ibrahim sebagai pendatang di negeri orang Filistin buat beberapa lama.
 
 
 
 
 
 
22
Terujinya iman Nabi Ibrahim
1 Selepas pelbagai peristiwa itu, Allah menguji Ibrahim. Firman-Nya kepadanya, “Ibrahim.” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.” 2 Firman-Nya, “Bawalah anakmu, anak tunggal yang kamu kasihi, iaitu Ishak,a dan pergilah ke Tanah Moria. Persembahkanlah dia di sana sebagai korban bakaran, di atas salah sebuah gunung yang akan Kusebutkan kepadamu.” 3 Ibrahim pun bangun pagi-pagi. Dia memasang pelana pada keldainya lalu mengajak dua orang hambanya untuk menyertainya, dan juga Ishak, anaknya. Dia membelah kayu untuk korban bakaran lalu segera berangkat menuju tempat yang disebutkan Allah kepadanya. 4 Pada hari ketiga, ketika Ibrahim melayangkan pandangannya, kelihatanlah tempat itu dari jauh. 5 Maka kata Ibrahim kepada hamba-hambanya, “Tinggallah di sini dengan keldai ini. Aku dan anak ini hendak pergi ke sana. Kami akan menyembah Tuhan dan kemudian akan kembali lagi kepadamu.” 6 Ibrahim mengambil kayu untuk korban bakaran dan meletakkannya pada bahu Ishak, anaknya. Dia sendiri membawa api dan sebilah pisau. Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama. 7 Kata Ishak kepada Ibrahim, ayahnya, “Ayah!” Jawabnya, “Ya, anakku?” Kata Ishak, “Di sini ada api dan kayu api, tetapi di manakah anak domba yang akan dikorbankan?” 8 Jawab Ibrahim, “Allah sendirilah yang akan menyediakan bagi diri-Nya anak domba untuk korban bakaran itu, anakku.” Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama.
9 Sesampainya mereka di tempat yang disebutkan Allah kepadanya, Ibrahim mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat membakar korban. Dia mengatur kayu bakar, mengikat Ishak, anaknya, lalu meletakkannya di atas kayu api, di atas mazbah itu. 10 Kemudian Ibrahim menghulurkan tangannya, mengambil pisau untuk menyembelih anaknya. 11 Akan tetapi, malaikat Allah berseru kepadanya dari langit, “Ibrahim! Ibrahim!” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.” 12 Firman-Nya, “Jangan mudaratkan anak itu dan jangan kauapa-apakan dia, kerana sekarang Aku tahu bahawa kamu bertakwa kepada Allah dan reda menyerahkan anakmu, anakmu yang tunggal itu, kepada-Ku.” 13 Apabila Ibrahim mengangkat mukanya dan mengamati di sekelilingnya, nampaklah di belakangnya seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut di dalam belukar. Ibrahim pergi mengambil domba jantan itu, lalu menjadikannya persembahan korban bakaran untuk menggantikan anaknya. 14 Maka Ibrahim menamakan tempat itu “Allah menyediakan.” Oleh itu, sehingga sekarangpun orang mengatakan, “Di atas gunung Allah, akan disediakan.”
15 Kemudian untuk kali kedua malaikat Allah berseru kepada Ibrahim dari langit, 16 sabda-Nya, “Demi diri-Ku sendiri Aku bersumpah, demikianlah firman Allah, kerana kamu telah melakukan hal ini dan dengan reda menyerahkan kepada-Ku anakmu, anak tunggalmu itu, 17 maka pastilah Aku memberkatimu dan pastilah Aku memperbanyak keturunanmu seperti bintang di langit dan seperti pasir di tepi laut. Keturunanmu akan menguasai segala kubu musuh mereka, 18 dan melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati, kerana kamu telah mematuhi kata-kata-Ku.” 19 Setelah itu, kembalilah Ibrahim kepada hamba-hambanya. Mereka pun bersiap-siap lalu pergi bersama-sama ke Bersyeba. Kemudian menetaplah Ibrahim di Bersyeba.
20 Sesudah berbagai-bagai peristiwa itu, Ibrahim mendapat khabar demikian, “Ketahuilah, Milka pun telah melahirkan anak-anak lelaki bagi Nahor, saudara Tuan. 21 Us, anak yang sulung, kemudian Bus, adiknya, selanjutnya Kemuel (bapa Aram), 22 Kesed, Haso, Pildas, Yidlaf, dan Betuel.” 23 Betuel mempunyai anak, iaitu Ribka. Kelapan-lapan orang anak ini dilahirkan Milka bagi Nahor, saudara Ibrahim. 24 Selain itu, daripada gundik Nahor yang bernama Reuma lahir juga Tebah, Gaham, Tahas, dan Maakha.
 
 
 
 
 
 
23
Siti Sarah wafat dan dimakamkan
1 Sarah hidup 127 tahun. Itulah tempoh hayat Sarah. 2 Sarah wafat di Kiryat-Arba, iaitu Hebron, di Tanah Kanaan. Lalu Ibrahim datang meratapi serta menangisi Sarah. 3 Beberapa waktu kemudian Ibrahim bangkit dari sisi isterinya, yang telah wafat itu, lalu berkata bani Het. Katanya, 4 “Aku ini pendatang dan perantau antara kamu. Berilah aku suatu tempat pemakaman hak milikku antara kamu, supaya aku dapat memakamkan isteriku, yang telah wafat.” 5 Jawab bani Het kepada Ibrahim, 6 “Tuan, dengarlah kami. Tuan pemimpin besar di tengah-tengah kami. Makamkanlah isteri Tuan di dalam makam kami yang terpilih. Tidak akan ada seorang pun antara kami yang enggan memberikan tanah pemakaman miliknya untuk Tuan memakamkan isteri Tuan.” 7 Maka Ibrahim bangun dan sujud memberi hormat kepada bani Het, penduduk negeri itu. 8 Dia berkata kepada mereka, “Jika hatimu ikhlas mengizinkan aku untuk memakamkan isteriku di sini, dengarlah. Minta kepada Efron bin Zohar atas namaku 9 supaya dia memberi aku gua Makhpela miliknya, yang terletak di hujung ladangnya. Hendaklah dia memberikannya kepadaku dengan harga penuh sebagai suatu pemakaman hak milikku di tengah-tengah kamu.”
10 Pada waktu itu Efron hadir di tengah-tengah bani Het. Lalu disaksikan oleh bani Het, iaitu semua orang yang datang ke pintu gerbang kotanya, Efron orang Het itu menjawab Ibrahim. Katanya, 11 “Tidak, Tuanku, dengarlah aku. Ladang itu kuberikan kepada Tuan. Gua yang ada di dalamnya pun kuberikan kepada Tuan. Di depan mata orang yang sebangsa denganku, aku memberikannya kepada Tuan. Makamkanlah isteri Tuan di sana.” 12 Maka sujudlah Ibrahim memberi hormat kepada penduduk negeri itu. 13 Disaksikan oleh penduduk negeri itu, berkatalah dia kepada Efron, “Jika kamu tidak keberatan, dengarlah aku. Aku akan membayar harga ladang itu. Terimalah wang daripadaku supaya aku akan memakamkan isteriku di sana.” 14 Jawab Efron kepada Ibrahim, 15 “Tuanku, dengarlah aku. Sebidang tanah harganya empat ratus syikal perak, apalah ertinya itu bagiku dan bagi Tuan? Oleh itu, makamkan sajalah isteri Tuan di sana.” 16 Ibrahim menuruti kata-kata Efron, lalu dia menimbang bagi Efron wang perak sebanyak yang telah disebutkannya di hadapan bani Het itu, iaitu empat ratus syikal perak, sama dengan timbangan yang digunakan oleh para saudagar.
17 Demikianlah ladang Efron di Makhpela, di sebelah timur Mamre, iaitu ladang dan gua yang ada di dalamnya, serta semua pokok di ladang itu sampai sekeliling perbatasannya, 18 ditetapkan sebagai milik Ibrahim di hadapan mata bani Het serta di depan semua orang yang datang ke pintu gerbang kota itu. 19 Sesudah itu, Ibrahim memakamkan Sarah isterinya di dalam gua di ladang Makhpela, di sebelah timur Mamre, iaitu Hebron, di Tanah Kanaan. 20 Demikianlah ladang itu dengan gua yang ada di dalamnya itu ditetapkan oleh bani Het bagi Ibrahim sebagai pemakaman hak miliknya.
 
 
 
 
 
 
24
Isteri pilihan untuk Nabi Ishak
1 Ibrahim sudah tua dan lanjut umurnya, dan Allah memberkati Ibrahim dalam segala hal. 2 Pada suatu hari berkatalah Ibrahim kepada hambanya, hamba yang tertua di rumahnya dan yang diberi kuasa atas segala sesuatu yang dimilikinya, “Letakkanlah tanganmu di bawah pahaku. 3 Aku meminta kamu bersumpah demi Allah, Tuhan semesta langit dan Tuhan semesta bumi, bahawa kamu tidak akan mengambil seorang isteri bagi anakku daripada kalangan anak perempuan Kanaan, sekalipun aku tinggal dalam kalangan mereka. 4 Tetapi kamu harus pergi ke negeri asalku dan kepada sanak saudaraku untuk mengambil seorang isteri bagi Ishak, anakku.” 5 Kata hambanya kepadanya, “Mungkin perempuan itu tidak mahu mengikut aku ke negeri ini. Jika demikian, bolehkah aku kembali untuk membawa anak Tuan ke negeri tempat asal Tuan itu?” 6 Kata Ibrahim kepadanya, “Ingat, jangan kaubawa anakku kembali ke sana! 7 Allah, Tuhan semesta langit, telah mengambil aku dari rumah ayahku dan dari tanah kelahiranku. Dia telah berfirman dan bersumpah kepadaku demikian, ‘Kepada keturunanmu Aku akan mengurniakan negeri ini.’ Maka tentunya Dia juga akan mengutus malaikat-Nya berjalan di depanmu, supaya kamu dapat mengambil seorang isteri bagi anakku dari sana. 8 Akan tetapi, jika perempuan itu tidak mahu mengikut kamu, maka bebaslah kamu daripada sumpahmu kepadaku. Cuma jangan kaubawa anakku kembali ke sana.” 9 Kemudian, hamba itu meletakkan tangannya di bawah paha Ibrahim, tuannya, dan bersumpah kepadanya seperti yang dikehendaki oleh tuannya.
10 Hamba itu mengambil sepuluh ekor unta daripada kawanan unta tuannya lalu pergi dengan membawa berbagai-bagai barang berharga milik tuannya. Dia berangkat ke Aram-Mesopotamia, ke kota Nahor. 11 Di sana, dia memberhentikan unta-untanya dekat sebuah perigi di luar kota pada waktu petang, waktu kaum perempuan keluar untuk menimba air. 12 Lalu katanya, “Ya Allah, Tuhan yang disembah Tuanku Ibrahim, semoga aku berhasil pada hari ini dan tunjukkanlah kasih-Mu kepada Tuanku, Ibrahim. 13 Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini, dan anak-anak perempuan penduduk kota ini datang untuk menimba air. 14 Kalau aku berkata kepada seorang gadis, ‘Tolong turunkan buyungmu dan beri aku minum,’ dan dia menjawab, ‘Minumlah, unta-untamu pun akan kuberi minum,’ maka dialah orang yang Engkau tentukan bagi hamba-Mu Ishak. Dengan cara itulah aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih kepada Tuanku.”
15 Belum selesai dia berkata-kata, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia anak perempuan Betuel – Betuel ialah anak lelaki Milka, iaitu isteri Nahor, saudara Ibrahim. 16 Gadis itu sangat cantik parasnya, anak dara yang belum pernah disentuhi lelaki. Dia turun ke mata air itu dan mengisi buyungnya, lalu naik lagi.
17 Maka berlarilah hamba itu mendapatkannya dan berkata, “Tolong beri aku minum daripada buyungmu itu, sedikit sahaja.”
18 Jawabnya, “Minumlah, tuan.” Dia segera menurunkan buyungnya ke tangannya lalu memberinya minum.
19 Setelah selesai memberikan minum kepada hamba itu, berkatalah gadis itu, “Aku akan menimba air juga untuk unta-unta tuan sehingga semuanya puas minum.” 20 Dengan segera dituangnya isi buyungnya ke dalam tempat minum ternak, kemudian berlari lagi ke perigi untuk menimba air bagi semua unta orang itu. 21 Sambil memperhatikan gadis itu, orang itu berdiam diri untuk mengetahui sama ada Allah membuat perjalanannya berhasil atau tidak.
22 Setelah unta-unta selesai minum, orang itu mengambil anting-anting emas seberat setengah syikal dan sepasang gelang tangan daripada emas seberat sepuluh syikal. 23 Lalu dia bertanya, “Anak siapakah kamu? Katakanlah kepadaku. Adakah tempat di rumah ayahmu untuk kami bermalam?” 24 Jawab gadis itu kepadanya, “Aku ini anak Betuel. Betuel ialah anak yang dilahirkan Milka bagi Nahor.” 25 Kata gadis itu pula kepadanya, “Jerami dan makanan ternak ada banyak pada kami. Tempat bermalam pun ada.” 26 Maka sujudlah orang itu menyembah Allah. 27 Katanya, “Segala puji bagi Allah, Tuhan Tuanku Ibrahim. Tak putus-putus kasih-Nya dan kesetiaan-Nya bagi Tuanku. Allah telah memimpin aku ke rumah saudara-saudara Tuanku.” 28 Gadis itu pun berlari dan pergi memberitahu seisi rumah ibunya mengenai hal ini.
29 Ribka mempunyai seorang saudara lelaki yang bernama Laban. Berlarilah Laban menuju mata air untuk menemui orang itu. 30 Sebai sahaja Laban melihat anting-anting dan gelang di tangan saudaranya serta mendengar apa yang dikatakan Ribka, saudaranya, “Begitulah kata orang itu kepadaku,” dia pergi mendapatkan orang itu, yang sedang berdiri di tepi unta-untanya dekat mata air. 31 Kata Laban, “Marilah, wahai kamu yang diberkati Allah. Mengapakah kamu berdiri di luar? Rumah sudah kusiapkan, juga tempat untuk unta-unta ini.” 32 Maka masuklah orang itu ke dalam rumah, kemudian muatan unta-unta diturunkan, jerami dan makanan ternak diberikan kepada unta-unta itu, begitu pula air untuk membasuh kaki orang itu serta orang yang mengiringinya. 33 Setelah itu, makanan dihidangkan di hadapan mereka. Akan tetapi, orang itu berkata, “Aku tidak mahu makan sebelum aku menyampaikan pesan yang kubawa.” Jawab Laban, “Sampaikanlah.”
34 Berkatalah dia, “Aku ini hamba Ibrahim. 35 Allah sangat memberkati Tuanku itu sehingga dia menjadi kaya. Allah mengurniakan kepadanya kawanan domba, lembu, unta, dan keldai, juga emas dan perak, serta hamba-hamba lelaki dan perempuan. 36 Sarah, isteri Tuanku, melahirkan seorang anak lelaki pada usia tuanya bagi Tuanku. Kepada anaknya itu Tuanku memberikan segala sesuatu yang dimilikinya. 37 Lalu Tuanku menyuruh aku bersumpah, katanya, ‘Jangan kauambil seorang isteri bagi anakku daripada kalangan anak gadis warga Kanaan, yang negeri mereka kudiami ini. 38 Tetapi kamu harus pergi kepada keluarga ayahku dan kepada kaumku untuk mengambil seorang isteri bagi anakku.’ 39 Kataku kepada Tuanku, ‘Mungkin perempuan itu tidak mahu mengikut aku.’ 40 Katanya kepadaku, ‘Allah, yang di hadirat-Nya aku menjalani hidupku, akan mengutus malaikat-Nya untuk menyertai kamu dan akan membuat perjalananmu berhasil, sehingga kamu dapat mengambil seorang isteri bagi anakku daripada kaumku dan daripada keluarga ayahku. 41 Apabila kamu sampai kepada kaumku, kamu akan bebas daripada sumpahmu. Sekiranya mereka tidak memberikan perempuan itu kepadamu, kamu juga bebas daripada sumpahmu.’
42 “Pada hari ini aku sampai ke mata air itu. Lalu aku berkata, ‘Ya Allah, Tuhan Tuanku Ibrahim, berkenanlah membuat perjalanan yang kutempuh ini berhasil. 43 Lihatlah, aku berdiri dekat mata air ini. Kalau ada seorang gadis keluar untuk menimba air, aku akan berkata kepadanya, “Tolong beri aku minum daripada buyungmu itu, sedikit sahaja.” 44 Jika kemudian dia berkata kepadaku, “Minumlah. Untuk unta-untamu pun akan kutimba air,” maka dialah perempuan yang Allah tentukan bagi anak Tuanku.’
45 “Belum selesai aku berkata-kata dalam hatiku, tiba-tiba datanglah Ribka dengan buyung di atas bahunya. Dia turun ke mata air lalu menimba air. Aku berkata kepadanya, ‘Tolong beri aku minum.’ 46 Segera dia menurunkan buyungnya dari atas bahunya dan berkata, ‘Minumlah. Unta-unta tuan pun akan kuberi minum.’ Kemudian minumlah aku, dan unta-unta itu pun diberinya minum. 47 Setelah itu, aku bertanya kepadanya, ‘Anak siapakah kamu?’ Jawabnya, ‘Anak Betuel. Betuel anak Nahor yang dilahirkan Milka.’ Aku pun mengenakan anting-anting pada hidungnya dan gelang pada tangannya. 48 Lalu aku sujud menyembah Allah, serta memuji Allah, Tuhan Tuanku Ibrahim. Dialah yang telah memimpin aku di jalan yang betul untuk mengambil anak perempuan saudara Tuanku ini bagi anaknya. 49 Sekarang, seandainya kamu hendak menunjukkan kasih dan kesetiaan kepada Tuanku, katakanlah kepadaku, tetapi seandainya tidak, katakanlah juga kepadaku, supaya aku tahu sama ada aku harus berpaling ke kanan atau ke kiri.”
50 Laban dan Betuel menjawab, “Semua ini berasal daripada Allah. Kami tidak dapat mengatakan kepadamu baik atau buruknya. 51 Lihatlah, Ribka ada di hadapanmu. Bawalah dia pergi. Biarlah dia menjadi isteri anak tuanmu itu, seperti yang difirmankan Allah.”
52 Apabila hamba Ibrahim itu mendengar kata-kata mereka, sujudlah dia menyembah Allah. 53 Lalu hamba itu mengeluarkan perhiasan perak, perhiasan emas, dan pakaian-pakaian. Diberikannya semua itu kepada Ribka. Dia pun memberikan barang-barang berharga kepada saudara lelakinya serta ibunya. 54 Setelah itu, dia dan orang yang berada bersama dengannya makan dan minum, serta bermalam di sana. Ketika mereka bangun pagi-pagi, berkatalah hamba itu, “Izinkanlah aku pulang kepada Tuanku.” 55 Akan tetapi, saudara lelaki Ribka serta ibunya berkata, “Biarkanlah anak perempuan ini tinggal dengan kami sekurang-kurangnya sepuluh hari lagi, kemudian bolehlah dia pergi.” 56 Kata hamba itu kepada mereka, “Janganlah tahan aku. Allah sudah membuat perjalananku berhasil. Jadi, izinkanlah aku pulang kepada Tuanku.” 57 Jawab mereka, “Kami akan memanggil anak perempuan itu dan menanyainya.” 58 Kemudian mereka memanggil Ribka dan bertanya kepadanya, “Mahukah kamu pergi bersama-sama orang ini?” Jawabnya, “Mahu.” 59 Maka mereka pun mengizinkan Ribka, saudara perempuan mereka, berserta pengasuhnya, pergi bersama dengan hamba Ibrahim dan orangnya. 60 Mereka memohonkan berkat bagi Ribka dan berkata kepadanya,
“Saudara kami, semoga kamu menjadi berpuluh-puluh ribu
dan semoga keturunanmu menakluki pintu-pintu gerbang orang yang membenci mereka.”
61 Kemudian berangkatlah Ribka dan hamba-hamba perempuan mudanya dengan menunggang unta untuk mengikuti orang itu. Demikianlah hamba itu membawa Ribka lalu berjalan pulang.
62 Sementara itu, Ishak datang dari arah perigi Lahai-Roi. Dia tinggal di Tanah Negeb. 63 Menjelang petang, Ishak keluar untuk berjalan-jalan di padang. Ketika dia melayangkan pandangannya dan mengamati, dia nampak beberapa ekor unta datang. 64 Ribka juga melayangkan pandangannya, dan ketika dia melihat Ishak, turunlah dia dari untanya 65 lalu bertanya kepada hamba itu, “Siapakah lelaki yang sedang berjalan menyambut kita di padang itu?” Jawab hamba itu, “Dialah Tuanku.” Kemudian Ribka mengambil selendangnya untuk menutup kepala dan mukanya. 66 Hamba itu menceritakan kepada Ishak segala hal yang telah dilakukannya. 67 Setelah itu, Ishak membawa Ribka ke dalam khemah Sarah, ibunya, dan menikahinya. Ribka menjadi isterinya, dan Ishak mencintainya. Maka terhiburlah Ishak setelah kematian ibunya.
 
 
 
 
 
 
25
Wafatnya Nabi Ibrahim dan salasilah keturunannya
1 Ibrahim mengambil seorang isteri lagi yang bernama Ketura. 2 Ketura melahirkan baginya Zimran, Yoksan, Medan, Madyan, Isbak, dan Suah. 3 Yoksan mempunyai anak, iaitu Syeba dan Dedan. Keturunan Dedan ialah orang Asyur, orang Letus, dan orang Leum. 4 Anak-anak Madyan ialah Efa, Efer, Hanokh, Abida, dan Eldaa. Semuanya ini keturunan Ketura. 5 Ibrahim memberikan segala sesuatu yang dimilikinya kepada Ishak, 6 tetapi dia hanya memberikan pemberian kepada anak gundik-gundiknya. Semasa dia masih hidup, dia menyuruh mereka untuk meninggalkan Ishak anaknya dan pergi ke sebelah timur, ke Tanah Timur.
7 Ibrahim mencapai usia 175 tahun. 8 Setelah itu, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir dan wafat ketika sudah sangat tua lagi lanjut umur. Lalu dia dikumpulkan kepada kaum leluhurnya. 9 Anak-anaknya, iaitu Ishak dan Ismail, memakamkannya di dalam Gua Makhpela di ladang Efron bin Zohar, orang Het, yang terletak di sebelah timur Mamre. 10 Ladang itu telah dibeli Ibrahim daripada bani Het. Di sanalah Ibrahim dimakamkan bersama-sama Sarah, isterinya. 11 Setelah Ibrahim wafat, Allah memberkati Ishak, anaknya. Ishak tinggal dekat perigi Lahai-Roi.
Keturunan Ismail bin Ibrahim
12 Inilah keturunan Ismail, anak Ibrahim yang dilahirkan untuknya oleh Hajar, seorang perempuan Mesir yang menjadi hamba Sarah. 13 Inilah nama anak-anak Ismail mengikut urutan kelahiran mereka: Nebayot, anak sulung Ismail, diikuti Kedar, Adbeel, Mibsam, 14 Misma, Duma, Masa, 15 Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedma. 16 Inilah anak-anak Ismail dan nama mereka menurut kampung serta perkhemahan mereka, dua belas orang pemimpin suku, masing-masing dengan sukunya. 17 Ismail mencapai usia 137 tahun. Setelah itu, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir dan wafat, lalu dia dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurnya. 18 Bani Ismail mendiami daerah dari Hawila ke daerah Syur yang terletak di sebelah timur Mesir ke arah Asyur. Mereka hidup bertentangan dengan semua saudara.
Keturunan Ishak bin Ibrahim, iaitu Esau dan Yakub
19 Inilah keturunan Ishak, anak Ibrahim. Ibrahim mempunyai anak, iaitu Ishak. 20 Ishak berumur empat puluh tahun ketika dia memperisteri Ribka. Ribka anak Betuel, orang Aram dari Padan-Aram, dan saudara perempuan Laban, orang Aram itu. 21 Ishak berdoa kepada Allah untuk isterinya, kerana isterinya itu mandul. Allah mengabulkan doanya, lalu Ribka, isterinya pun mengandung. 22 Namun begitu, anaknya bertolak-tolakan dalam kandungannya sehingga dia berkata, “Mengapakah hal ini berlaku kepadaku?” Lalu pergilah dia mencari petunjuk Allah. 23 Firman Allah kepadanya,
“Dua bangsa ada dalam kandunganmu,
dan dua suku bangsa akan terpencar daripada rahimmu.
Suku bangsa yang satu akan lebih kuat daripada yang lain,
dan yang tua akan melayani yang muda.”
24 Setelah tiba masanya bagi Ribka bersalin, ternyata ada anak kembar dalam kandungannya. 25 Yang pertama keluar dalam keadaan kemerah-merahan, dan seluruh tubuhnya seperti jubah berbulu. Oleh sebab itu, dia dinamai Esau. 26 Kemudian keluarlah adiknya. Tangannya memegang tumit Esau, sehingga dia dinamai Yakub. Ishak berumur enam puluh tahun ketika mereka dilahirkan.
27 Kedua-dua orang anak itu membesar. Esau menjadi pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, manakala Yakub seorang yang tenang dan suka tinggal di khemah. 28 Ishak menyayangi Esau, kerana dia suka makan hasil buruannya tetapi Ribka menyayangi Yakub.
Esau menjual haknya sebagai anak sulung
29 Pada satu kali ketika Yakub sedang memasak sesuatu, Esau pulang dari padang dan berasa lapar betul. 30 Lalu berkatalah Esau kepada Yakub, “Berilah aku makan sedikit masakan yang merah-merah itu, kerana aku lapar sangat.” Itulah sebabnya dia dinamai Edom.
31 Kata Yakub, “Juallah dahulu kepadaku hakmu sebagai anak sulung.”
32 Kata Esau, “Sebentar lagi aku mati. Apakah gunanya hak sebagai anak sulung itu bagiku?”
33 Kata Yakub, “Bersumpahlah dahulu kepadaku.” Maka bersumpahlah Esau kepadanya dan dijualnyalah haknya sebagai anak sulung itu kepada Yakub.
34 Kemudian Yakub memberi Esau roti dan masakan kacang merah itu. Esau makan dan minum, lalu bangkit dan pergi. Demikianlah Esau meremehkan haknya sebagai anak sulung itu.
 
 
 
 
 
 
26
Janji Allah kepada Nabi Ishak
1 Maka berlakulah bencana kebuluran di negeri itu, seperti kebuluran pertama yang pernah menimpa pada zaman Ibrahim. Maka pergilah Ishak ke Gerar untuk menghadap Abimelekh, raja orang Filistin. 2 Lalu Allah menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Jangan pergi ke Mesir. Tinggallah di negeri yang akan Kuberitahu kepadamu. 3 Tinggallah sementara di negeri itu, maka Aku akan bersama-samamu dan memberkatimu, kerana kepadamu dan kepada keturunan kamulah akan Kukurniakan seluruh negeri itu. Aku akan memenuhi ikrar yang Kuucapkan kepada ayahmu, Ibrahim. 4 Aku akan melipatgandakan keturunanmu sehingga ramainya seperti bintang di langit. Aku akan mengurniakan seluruh negeri ini kepada keturunanmu, dan melalui keturunanmu semua bangsa di bumi akan diberkati, 5 kerana Ibrahim mematuhi firman-Ku serta berpegang teguh pada segala kewajipannya kepada-Ku, segala perintah-Ku, segala ketetapan-Ku, dan segala hukum-Ku.”
Nabi Ishak dengan Raja Abimelekh
6 Maka tinggallah Ishak di Gerar. 7 Ketika para lelaki di tempat itu bertanya tentang isterinya, Ishak menjawab, “Dia saudaraku,” kerana dia takut mengatakan, “Dia isteriku.” Fikirnya, “Jangan-jangan aku dibunuh oleh para lelaki di tempat ini kerana Ribka, yang cantik sungguh parasnya.” 8 Setelah agak lama Ishak berada di situ, pada suatu kali, Abimelekh, raja orang Filistin, yang melihat keluar dari jendela, ternampak Ishak sedang bercumbuan dengan Ribka, isterinya. 9 Maka Abimelekh memanggil Ishak dan berkata, “Ternyatalah dia isterimu! Bagaimanakah boleh kaukatakan, ‘Dia saudaraku’?” Jawab Ishak kepadanya, “Kerana fikirku, ‘Jangan-jangan aku mati kerana dia.’ ” 10 Kata Abimelekh pula, “Apakah yang telah kaulakukan terhadap kami ini? Mudah sahaja seorang daripada warga ini meniduri isterimu sehingga dengan demikian engkau menimpakan kesalahan kepada kami.” 11 Kemudian Abimelekh memberikan perintah kepada seluruh bangsa itu, katanya, “Sesiapa menyentuh orang ini atau isterinya, dia pasti dihukum mati.”
12 Ishak bertani di negeri itu dan dalam tahun itu juga dia memperoleh hasil seratus kali ganda kerana Allah memberkatinya. 13 Lalu dia menjadi kaya dan terus bertambah kaya, bahkan amat kaya sekali. 14 Dia memiliki kawanan domba, kawanan lembu, dan banyak hamba, sehingga orang Filistin iri hati terhadapnya. 15 Semua perigi yang digali oleh hamba-hamba ayahnya pada zaman Ibrahim, ayahnya, telah ditutup oleh orang Filistin dan ditimbunkan dengan tanah. 16 Kemudian Abimelekh berkata kepada Ishak, “Pergilah daripada kami, kerana kamu telah menjadi jauh lebih kuat daripada kami.”
17 Maka pergilah Ishak dari sana. Didirikan khemahnya di Lembah Gerar lalu tinggal di situ. 18 Kemudian Ishak menggali kembali perigi-perigi yang telah digali pada zaman Ibrahim, ayahnya, kerana orang Filistin telah menutupnya sesudah wafatnya Ibrahim. Dia pun menamakan perigi-perigi itu sebagaimana yang dinamakan ayahnya. 19 Akan tetapi, ketika hamba-hamba Ishak menggali di lembah itu dan mendapati di sana sebuah mata air yang memancarkan airnya, 20 bertengkarlah gembala-gembala Gerar dengan gembala-gembala Ishak. Kata mereka, “Air ini milik kami!” Maka Ishak menamakan perigi itu Esek, kerana warga di situ bertengkar dengannya. 21 Mereka menggali perigi yang lain pula, tetapi orang situ mengatakan itu juga milik mereka. Maka Ishak menamakan perigi itu Sitna. 22 Ishak berpindah dari sana lalu menggali perigi yang lain, tetapi kali ini orang situ tidak mempertikaikan pemilikannya. Maka dia menamakan perigi itu Rehobot, kerana katanya, “Sekarang Allah telah memberikan kelapangan kepada kita, sehingga kita dapat beranak cucu di negeri ini.”
23 Dari sana dia pergi ke Bersyeba. 24 Lalu pada waktu malam Allah menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Akulah Tuhan Ibrahim, ayahmu. Jangan takut, kerana Aku menyertai kamu. Aku akan memberkatimu dan memperbanyak keturunanmu kerana Ibrahim, hamba-Ku itu.” 25 Kemudian Ishak membina sebuah mazbah di sana dan berseru kepada nama Allah. Di situ dia mendirikan khemahnya, dan hamba-hambanya menggali sebuah perigi.
26 Maka datanglah Abimelekh kepadanya dari Gerar bersama-sama Ahuzat sahabatnya dan Pikhol panglima tenteranya. 27 Kata Ishak kepada mereka, “Apakah sebabnya kamu datang menemuiku padahal kamu benci kepadaku dan telah menyuruh aku pergi daripada kamu?” 28 Jawab mereka, “Kami sudah melihat dengan nyata bahawa Allah menyertai kamu. Jadi, kami berfikir, ‘Sebaiknya ada ikrar antara kita,’ iaitu antara kami dengan kamu. Mari kita mengikat perjanjian antara kita 29 bahawa kamu tidak akan berbuat jahat terhadap kami, seperti kami dahulu tidak mengusik kamu melainkan selalu berbuat baik terhadapmu dan menyuruh kamu pergi dengan damai. Sekarang ini pun kamu diberkati Allah.” 30 Ishak mengadakan jamuan untuk mereka, lalu mereka pun makan dan minum. 31 Keesokan harinya mereka bangun pagi-pagi lalu bersumpah antara satu sama lain. Setelah itu, Ishak melepaskan mereka dan mereka pun pergi meninggalkannya dengan damai. 32 Pada hari itu juga hamba-hamba Ishak datang memberitahunya tentang perigi yang telah digali mereka. Kata mereka kepadanya, “Kami telah menjumpai air!” 33 Ishak menamakan perigi itu Syeba. Itulah sebabnya kota itu dinamai Bersyeba sehingga hari ini.
34 Ketika Esau berumur empat puluh tahun, dia memperisteri Yudit binti Beeri, orang Het, dan Basmat binti Elon, orang Het. 35 Kedua-dua orang isterinya itu menimbulkan kegetiran dalam hati Ishak dan Ribka.
 
 
 
 
 
 
27
Ishak memberkati Yakub
1 Ketika Ishak sudah tua dan sudah kabur matanya sehingga tidak dapat melihat lagi, dia memanggil Esau, anaknya yang sulung. Katanya kepada Esau, “Anakku.” Jawabnya, “Ya ayah, aku ada di sini.” 2 Kata Ishak, “Dengarlah, aku ini sudah tua. Aku tidak tahu bila hari kematianku. 3 Sekarang, ambillah senjatamu, tabung panahmu dan busurmu. Pergilah ke padang dan dapatkan daging rusa untukku. 4 Masak makanan yang sedap untukku, seperti yang kugemari dan bawalah kepadaku agar aku dapat memakannya dan kumohonkan berkat untukmu sebelum aku mati.”
5 Ribka mendengar apa yang dikatakan Ishak kepada Esau, puteranya. Kemudian ketika Esau pergi ke padang memburu seekor binatang untuk dibawa pulang, 6 berkatalah Ribka kepada Yakub, anaknya, “Ketahuilah, telah kudengar ayahmu berkata kepada Esau, abangmu. Katanya, 7 ‘Bawalah daging rusa untukku dan buatkan aku makanan yang sedap agar dapat aku makannya dan mohonkan berkat bagimu di hadirat Allah sebelum aku mati.’ 8 Maka sekarang, anakku, dengarlah kata-kataku dan lakukanlah apa yang kuperintahkan kepadamu. 9 Pergilah ke tempat ternakan domba kita dan ambilkanlah aku dua ekor anak kambing yang baik dari sana. Aku akan mengolahnya untuk menjadi makanan sedap kegemaran ayahmu. 10 Kemudian kamu harus membawanya kepada ayahmu untuk dimakannya agar dia memohonkan berkat bagimu sebelum dia mati.” 11 Kata Yakub kepada Ribka, ibunya, “Betapa Esau abangku itu seorang yang berbulu, sedangkan aku berkulit licin. 12 Jangan-jangan ayah akan meraba aku dan aku akan dianggapnya sebagai penipu, malah aku mendatangkan kutukan dan bukannya berkat kepada diriku.” 13 Kata ibunya kepadanya, “Akulah yang menanggung kutukanmu itu, anakku. Dengarlah sahaja kata-kataku. Pergilah, dan bawakanlah aku anak kambing dua ekor itu.”
14 Maka pergilah Yakub mengambil dua ekor anak kambing dan membawanya kepada ibunya. Lalu ibunya memasak makanan sedap kegemaran ayahnya. 15 Setelah itu, Ribka mengambil pakaian terbaik milik Esau, anaknya yang sulung, iaitu pakaian yang disimpannya di rumah, lalu memakaikannya kepada Yakub, anaknya yang bongsu. 16 Kemudian dibalutnya kedua-dua belah tangan Yakub serta bahagian lehernya yang licin dengan kulit anak kambing tadi. 17 Selanjutnya, diserahkannyalah makanan yang sedap dan roti yang telah dibuatnya itu kepada Yakub, anaknya.
18 Yakub pun mendatangi ayahnya dan berkata, “Ayah.” Jawab Ishak, “Ya. Siapakah kamu, anakku?” 19 Kata Yakub kepada ayahnya, “Aku Esau, anak ayah yang sulung. Aku sudah melakukan seperti yang ayah pesan kepadaku. Bangunlah dan duduklah, makanlah hasil buruanku, supaya ayah dapat memohonkan berkat untukku.” 20 Kata Ishak kepada anaknya, “Bagaimanakah kamu mendapatkannya secepat itu, anakku?” Jawabnya, “Sebabnya Allah, Tuhanmu, membuat aku berhasil.” 21 Lalu kata Ishak kepada Yakub, “Marilah dekat-dekat, anakku. Aku mahu merabamu, sama ada kamu ini anakku Esau atau bukan.” 22 Yakub pun mendekati Ishak, ayahnya. Lalu Ishak merabanya dan berkata, “Suaranya suara Yakub, tetapi tangannya tangan Esau.” 23 Ishak tidak mengenali dia kerana kedua-dua belah tangannya berbulu seperti tangan Esau, abangnya. Jadi, Ishak hendak memohonkan berkat baginya. 24 Akan tetapi, dia masih bertanya lagi, “Sungguhkah kamu ini anakku Esau?” Jawabnya, “Ya.” 25 Kemudian kata Ishak, “Dekatkanlah hasil buruanmu itu kepadaku. Aku akan memakannya supaya kumohonkan berkat bagimu.” Yakub mendekatkan masakan itu kepada ayahnya, lalu Ishak memakannya. Yakub juga membawa air anggur untuknya, lalu Ishak pun meminumnya.
26 Setelah itu, Ishak, ayahnya, berkata kepadanya, “Ke marilah dan ciumlah aku, anakku.” 27 Yakub mendekati dan mencium ayahnya. Ketika Ishak mencium bau pakaiannya, dimohonkannyalah berkat baginya, katanya,
“Sesungguhnya, bau anakku ini
seperti bau padang yang diberkati Allah.
28 Kiranya Allah mengurniakan kepadamu embun dari langit,
tempat-tempat yang subur di bumi,
da hasil tani serta air anggur yang berlimpahan.
29 Semoga bangsa-bangsa takluk kepadamu,
dan suku-suku bangsa tunduk kepadamu.
Jadilah tuan atas saudara-saudaramu,
dan semoga anak-anak ibumu tunduk kepadamu.
Terkutuklah orang yang mengutuk kamu,
dan diberkatilah orang yang memberkati bagimu.”
30 Setelah Ishak selesai memohonkan berkat bagi Yakub, dan baru sahaja Yakub keluar meninggalkan Ishak ayahnya, datanglah Esau abangnya daripada berburu. 31 Dia juga memasak makanan yang sedap, lalu membawanya kepada ayahnya. Katanya kepada ayahnya, “Marilah ayah makan hasil buruan anakmu, supaya ayah memohonkan berkat bagiku.” 32 Tanya Ishak, ayahnya, kepadanya, “Siapakah kamu?” Jawabnya, “Aku anakmu. Anakmu yang sulung, Esau.” 33 Maka gementarlah Ishak kerana sangat terkejut. Katanya, “Siapakah gerangan dia, yang tadi mendapatkan daging rusa lalu membawanya kepadaku? Aku telah memakan semuanya sebelum kamu datang dan aku telah memohonkan berkat baginya. Ya, dialah orang yang diberkati!” 34 Apabila Esau mendengar kata-kata ayahnya itu, menjeritlah dia dengan nyaring dan penuh kepiluan. Katanya kepada ayahnya, “Mohonkanlah berkat bagiku juga, ayah!” 35 Kata ayahnya, “Adikmu mendatangi aku dengan tipu helah dan telah mengambil berkat yang menjadi bahagianmu.” 36 Kata Esau, “Bukankah tepat dia dinamakan Yakub? Dia telah memperdaya aku sebanyak dua kali. Dahulu hakku sebagai anak sulung diambilnya, dan lihatlah, sekarang diambilnya pula berkat yang menjadi bahagianku.” Katanya pula, “Tidakkah ayah menyimpan berkat lain untukku?” 37 Jawab Ishak kepada Esau, “Sesungguhnya, telah kutetapkan dia menjadi tuanmu, dan semua saudaranya telah kuberikan kepadanya untuk menjadi hambanya. Dengan hasil tani dan air anggur telah kutunjangi dia. Jadi, apa lagi yang dapat kulakukan untukmu, anakku?” 38 Kata Esau kepada ayahnya, “Hanya satu berkat itukah yang ada padamu, ayah? Mohonkanlah berkat bagiku juga, ayah!” Lalu menangislah Esau dengan suara yang nyaring.
39 Jawab Ishak, ayahnya, kepadanya,
“Sesungguhnya, tempat tinggalmu
akan jauh dari tempat-tempat subur di bumi
dan jauh daripada embun langit di atas.
40 Kamu akan hidup dengan pedangmu,
dan kamu akan menjadi hamba adikmu.
Tetapi akan terjadi kelak,
apabila kamu mahu jadi bebas,
kamu akan melepaskan kuknya daripada tengkukmu.
41 Esau benci dan berdendam terhadap Yakub atas sebab berkat yang dipohonkan ayahnya untuk Yakub. Kata Esau kepada dirinya, “Akan tiba hari perkabungan ayahku dan pada waktu itulah aku akan membunuh Yakub, adikku.” 42 Bagaimanapun, kata-kata Esau, anaknya yang sulung itu disampaikan seseorang kepada Ribka lalu disuruhnyalah orang memanggil Yakub, anaknya yang bongsu. Berkatalah Ribka kepadanya, “Ketahuilah bahawa Esau abangmu menenangkan dirinya dengan rancangan untuk membunuhmu. 43 Maka, wahai anakku, dengarlah kata-kataku. Larilah segera ke tempat Laban, saudaraku, di Haran. 44 Tinggallah bersama-samanya selama beberapa waktu sehingga surut keberangan 45 serta amarah abangmu kepadamu dan dia lupa tentang apa yang telah kaulakukan terhadapnya. Nanti aku akan menyuruh orang untuk menjemputmu dari sana. Mengapakah aku harus kehilangan kamu berdua dalam satu hari?”
46 Kemudian Ribka berkata kepada Ishak, “Aku sudah jemu hidup kerana para perempuan Het itu. Jika Yakub juga memperisteri seorang perempuan dari negeri ini, iaitu perempuan Het seperti mereka itu, apa gunanya lagi aku hidup?”
 
 
 
 
 
 
28
Yakub diarahkan pergi kepada Laban
1 Maka Ishak pun memanggil Yakub lalu mendoakan berkat baginya dan berpesan kepadanya, “Kamu tidak boleh memperisteri siapa-siapa pun daripada kaum perempuan Kanaan. 2 Bersiaplah, pergi ke Padan-Aram, ke rumah Betuel, ayah kepada ibumu. Ambillah dari sana seorang isteri bagimu daripada antara anak perempuan Laban, saudara ibumu. 3 Semoga Allah Yang Maha Kuasa memberkati kamu, membuat kamu beranak cucu, dan memperbanyak bilangan keturunanmu, sehingga kamu menjadi satu bangsa yang besar. 4 Semoga Dia mengurniakan berkat Ibrahim kepadamu dan kepada keturunanmu, sehingga kamu mewarisi negeri tempat kamu tinggal sebagai pendatang ini, iaitu negeri yang telah dikurniakan Allah kepada Ibrahim.” 5 Kemudian Ishak menyuruh Yakub pergi. Lalu Yakub berangkat ke Padan-Aram, iaitu kepada Laban bin Betuel, warga Aram itu. Laban ialah saudara Ribka, ibu Yakub dan Esau.
Esau menikahi Malahat, Puteri Ismail
6 Esau melihat bahawa Ishak memberkati Yakub dan menyuruhnya pergi ke Padan-Aram untuk mengambil isteri dari sana. Esau pun menyaksikan sewaktu Ishak memohonkan berkat bagi Yakub, dia berpesan kepadanya, “Kamu tidak boleh memperisteri siapa-siapa pun daripada kaum perempuan Kanaan,” 7 dan bahawa Yakub mentaati arahan ayah serta ibunya lalu pergi ke Padan-Aram. 8 Sedarlah Esau bahawa kaum perempuan Kanaan tidak disukai oleh Ishak, ayahnya. 9 Lalu Esau pergi kepada Ismail, dan mengambil Mahalat sebagai isterinya di samping isteri-isterinya yang lain. Mahalat ialah adik Nebayot, anak Ismail bin Ibrahim.
Mimpi Yakub di Bait El
10 Yakub meninggalkan Bersyeba dan pergi ke Haran. 11 Sampailah dia di suatu tempat dan lantaran matahari sudah terbenam, bermalamlah dia di situ. Dia mengambil sebuah batu yang berada di situ untuk dijadikan bantal lalu berbaringlah dia di situ. 12 Dia pun bermimpi bahawa dia nampak sebuah tangga yang terdiri di bumi dengan bahagian puncaknya sampai di langit. Para malaikat Allah turun naik di tangga itu. 13 Tampak pula Allah berdiri di sisi Yakub dan berfirman, “Akulah Allah, Tuhan Ibrahim datukmu, dan Tuhan Ishak ayahmu. Tanah tempat kamu berbaring ini akan Kuberikan kepadamu dan kepada keturunanmu. 14 Keturunanmu akan menjadi begitu ramai bagaikan debu tanah, dan kamu akan berkembang ke barat, ke timur, ke utara, dan ke selatan. Melalui kamu dan melalui keturunanmu semua suku bangsa di bumi akan beroleh berkat. 15 Sesungguhnya, Aku menyertai kamu dan akan menjaga kamu ke mana-mana pun kamu pergi. Aku akan membawa kamu kembali ke negeri ini, kerana Aku tidak akan meninggalkan kamu sehingga Aku melaksanakan apa yang telah Kujanjikan kepadamu.” 16 Lalu terjagalah Yakub daripada tidurnya. Katanya, “Sesungguhnya, Allah hadir di tempat ini dan aku tidak mengetahuinya!” 17 Dia menjadi takut lalu berkata, “Betapa menggerunkan tempat ini! Ini tidak lain daripada bait Allah! Dan ini pintu gerbang syurga!”
18 Keesokan harinya Yakub bangun pagi-pagi. Dia mengambil batu yang dijadikan bantalnya lalu mendirikannya sebagai sebuah tugu dan menuangkan minyak ke atas tugu itu. 19 Dia menamakan tempat itu Bait-El; biarpun dahulunya kota itu bernama Lus. 20 Kemudian Yakub pun bernazar, katanya, “Jika Allah menyertai aku dan menjaga aku di jalan yang kutempuhi ini, memberi aku makanan untuk dimakan dan pakaian untuk dipakai 21 sehingga aku kembali dengan selamat ke rumah ayahku, maka Allah akan menjadi Tuhanku, 22 dan batu yang kudirikan sebagai tugu ini akan menjadi bait Allah. Aku akan mempersembahkan kepada-Mu sepersepuluh daripada segala sesuatu yang Kaukurniakan kepadaku.”
 
 
 
 
 
 
29
Yakub menikahi Lea dan Rahel
1 Maka berangkatlah Yakub meneruskan perjalanannya ke negeri orang di sebelah timur. 2 Dia meninjau keadaan sekeliling dan terkelihatan ada sebuah perigi di padang dengan tiga kawanan domba yang berbaring di sisi perigi itu. Dari perigi itulah orang memberikan minum kepada kawanan ternakan mereka. Ada sebuah batu besar yang menutupi mulut perigi itu. 3 Apabila seluruh kawanan ternakan siap terkumpul di sana, barulah para gembala akan menggolekkan batu itu daripada mulut perigi lalu memberikan minum kepada kawanan domba mereka. Setelah selesai kerja itu, batu tersebut dialihkan semula ke tempatnya, iaitu di mulut perigi itu.
4 Yakub bertanya kepada warga di situ, “Saudara-saudaraku, dari manakah kamu ini?” Jawab mereka, “Kami ini dari Haran.” 5 Tanya Yakub pula kepada mereka, “Adakah kamu mengenali Laban, cucu Nahor?” Jawab mereka, “Kenal.” 6 Tanyanya kepada mereka, “Apa khabar dia?” Jawab mereka, “Baik! Lihatlah, itu Rahel, anak perempuannya, datang dengan kawanan dombanya!” 7 Kata Yakub, “Hari masih siang, belum waktunya ternakan dikumpulkan. Jadi, berilah kawanan dombamu minum dan pergilah gembalainya lagi.” 8 “Tidak boleh,” jawab mereka. “Sesudah seluruh kawanan ternakan dikumpulkan dan batu digulingkan daripada mulut perigi, barulah kami boleh memberikan minum kepada kawanan domba kami.”
9 Sewaktu Yakub sedang bercakap dengan mereka itu, Rahel tiba bersama-sama kawanan domba ayahnya yang digembalainya. 10 Maka Yakub yang melihat ketibaan Rahel, anak perempuan Laban berserta kawanan domba Laban pun pergi menggolekkan batu daripada mulut perigi itu lalu diberinya minum kepada kawanan domba Laban, saudara ibunya itu. 11 Lalu Yakub mencium Rahel dan menangis dengan suara nyaring. 12 Yakub memberitahu Rahel bahawa dia anak Ribka, saudara kepada ayah Rahel. Maka berlarilah Rahel memberitahukan hal itu kepada ayahnya.
13 Lalu setelah Laban mendengar khabar tentang Yakub, anak saudaranya, berlarilah dia menyambutnya. Laban memeluk dan mencium Yakub, lalu membawanya masuk ke rumahnya. Kemudian Yakub menceritakan segala hal ehwalnya kepada Laban. 14 Kata Laban kepadanya, “Sesungguhnya, kamu memang darah dagingku.” Maka tinggallah Yakub bersama-samanya selama sebulan.
15 Maka berkatalah Laban kepada Yakub, “Patutkah kamu bekerja denganku secara percuma hanya kerana kamu saudaraku? Katakanlah kepadaku apakah upah yang patut bagimu?” 16 Laban mempunyai dua orang anak perempuan, yang lebih tua bernama Lea manakala yang muda bernama Rahel. 17 Lea bermata kuyu, tetapi Rahel elok perawakannya dan cantik parasnya. 18 Yakub jatuh cinta kepada Rahel lalu dia berkata, “Aku akan bekerja dengan pak cik selama tujuh tahun lama demi mendapatkan Rahel, anak pak cik yang lebih muda itu.” 19 Jawab Laban, “Lebih baik kuberikan dia kepadamu daripada memberikannya kepada orang lain. Tinggallah bersama-samaku.” 20 Maka bekerjalah Yakub selama tujuh tahun demi Rahel. Namun demikian, baginya tujuh tahun itu bagaikan beberapa hari sahaja kerana cintanya kepada Rahel.
21 Kemudian berkatalah Yakub kepada Laban, “Berikanlah bakal isteriku kerana waktuku sudah tiba. Aku mahu menikahinya.” 22 Maka Laban mengundang semua orang di tempat itu dan mengadakan kenduri. 23 Akan tetapi, pada malam hari dia mengambil Lea, anaknya, dan membawanya kepada Yakub lalu Yakub menidurinya. 24 Laban juga memberikan seorang hamba perempuannya yang bernama Zilpa kepada Lea, anaknya itu, untuk menjadi hambanya. 25 Pada pagi harinya, ternyatalah kepada Yakub bahawa perempuan itu Lea! Lalu berkatalah Yakub kepada Laban, “Apakah yang pak cik lakukan terhadap aku ini? Bukankah aku bekerja dengan pak cik demi mendapatkan Rahel? Mengapakah pak cik menipuku?” 26 Jawab Laban, “Di tempat kami ini tiada orang yang memberikan anak yang lebih muda mendahului anaknya yang sulung. 27 Genapkan dahulu tujuh hari pernikahanmu dengan anakku ini, kemudian anakku yang muda itu akan kuberikan juga kepadamu dengan syarat kamu bekerja denganku selama tujuh tahun lagi.” 28 Yakub menyanggupinya. Dia menggenapi tujuh hari pernikahannya dengan Lea, dan setelah itu Laban memberikan Rahel pula, anaknya kepada Yakub untuk menjadi isterinya. 29 Kepada anaknya Rahel, Laban juga memberikan seorang hamba perempuan yang bernama Bilha untuk menjadi hambanya. 30 Yakub pun meniduri Rahel yang lebih dicintainya berbanding dengan Lea. Kemudian dia bekerja lagi untuk Laban selama tujuh tahun.
Keluarga Yakub bin Ishak
31 Allah melihat betapa Lea tidak dicintai. Maka Dia membuka rahim Lea, tetapi Rahel mandul. 32 Lea pun mengandung lalu melahirkan seorang putera yang dinamakannya Ruben kerana katanya, “Sesungguhnya, Allah memperhatikan kesusahanku dan pastinya kini aku akan dicintai oleh suamiku.” 33 Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang putera. Katanya, “Sesungguhnya, Allah mendengar bahawa aku tidak dicintai, maka dikurniakan-Nya pula anak ini kepadaku.” Oleh sebab itu, dia menamakan anak itu Simeon 34 Selanjutnya, dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang putera. Katanya, “Kali ini suamiku akan bertambah erat lagi denganku kerana aku sudah melahirkan tiga orang putera untuknya.” Oleh sebab itu, dia menamakan anak itu Lewi. 35 Dia mengandung lagi lalu melahirkan seorang putera. Katanya, “Kali ini aku hendak memuji Allah.” Oleh sebab itu, dia menamakan anak itu Yudah. Setelah itu, dia tidak melahirkan anak lagi.
 
 
 
 
 
 
30
1 Apabila Rahel melihat bahawa dia tetap tidak melahirkan anak untuk Yakub, dia pun mencemburui kakaknya. Maka berkatalah dia kepada Yakub, “Berilah aku anak. Kalau tidak, biarlah aku mati.” 2 Naik marahlah Yakub kepada Rahel, katanya, “Adakah aku di tempat Allah, yang menghalang kamu daripada mengandung?” 3 Kata Rahel, “Ini Bilha, hambaku. Kahwinilah dia, supaya anak yang dilahirkannya diletakkan di pangkuanku, sehingga aku juga dapat mempunyai anak melalui dia.” 4 Maka diserahkannya Bilha, hambanya, kepada Yakub untuk menjadi isterinya. Yakub pun meniduri hamba itu. 5 Bilha mengandung lalu melahirkan seorang putera untuk Yakub. 6 Berkatalah Rahel, “Allah bertindak adil terhadapku dan memakbulkan doaku dan mengurniai aku seorang putera.” Oleh itu, dia menamakan anak itu Dan. 7 Kemudian Bilha, hamba Rahel itu, mengandung lagi dan melahirkan putera yang kedua untuk Yakub. 8 Rahel berkata, “Begitu hebatnya aku bergelut dengan kakakku, dan aku menang.” Maka dia menamakan anak itu Naftali.
9 Apabila Lea melihat bahawa dia telah berhenti melahirkan anak, dia pun membawa Zilpa, hambanya, lalu diserahkannya kepada Yakub untuk menjadi isterinya. 10 Lalu Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan seorang putera untuk Yakub. 11 Kata Lea, “Sungguh beruntung!” Maka dinamainya anak itu Gad. 12 Kemudian Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan putera yang kedua pula untuk Yakub. 13 Lea berkata, “Betapa bahagianya aku! Tentunya segala kaum wanita akan menyebut bahawa aku berbahagia.” Maka dia menamakan anak itu Asyer.
14 Sewaktu Ruben pergi berjalan-jalan pada musim menuai gandum, dia terjumpa akar mandragora di padang lalu dibawanya kepada Lea, ibunya. Kata Rahel kepada Lea, “Berilah aku sedikit akar mandragora milik anakmu itu.” 15 Jawab Lea kepadanya, “Belum cukup lagikah kamu mengambil suamiku, sehingga kamu mahu mengambil akar mandragora anakku pula?” Kata Rahel, “Baiklah, biar dia tidur denganmu malam ini sebagai ganti akar mandragora anakmu itu.” 16 Petang harinya, ketika Yakub kembali dari ladang, keluarlah Lea menyambutnya dan berkata, “Kamu harus datang kepadaku, kerana aku sudah menyewamu dengan akar mandragora anakku.” Maka Yakub menidurinya pada malam itu. 17 Allah memakbulkan doa Lea lalu ia mengandung dan melahirkan putera yang kelima untuk Yakub. 18 Kata Lea, “Allah telah memberiku upah, kerana aku sudah menyerahkan hambaku kepada suamiku.” Oleh itu, dia menamakan anak itu Isakhar.
19 Lea mengandung lagi dan melahirkan putera yang keenam untuk Yakub. 20 Maka kata Lea, “Allah mengurniakan satu anugerah yang bagus untukku. Tentunya suamiku akan tinggal bersama-samaku kerana aku telah melahirkan enam orang putera untuknya.” Oleh itu, dia menamakan anak itu Zebulon. 21 Setelah itu, dia melahirkan seorang anak perempuan yang dinamainya Dina.
22 Allah mengendahkan Rahel pula dan mendengar serta memakbulkan doanya lalu membuka rahimnya. 23 Maka Rahel pun mengandung dan melahirkan seorang putera. Katanya, “Allah sudah menghapuskan aibku.” 24 Dia menamakan anak itu Yusuf, sambil berkata, “Semoga Allah menganugerahiku seorang lagi putera.”
Kawanan ternakan Yakub bin Ishak
25 Setelah Rahel melahirkan Yusuf, Yakub berkata kepada Laban, “Izinkanlah aku pergi. Aku hendak pulang ke negeriku, ke tempat kelahiranku. 26 Berikanlah kepadaku isteri-isteri serta anak-anakku, yang kudapat dengan bekerja bagi pak cik, dan biarkan aku pergi. Pak cik sendiri tahu bagaimana aku telah bekerja bagi pak cik.” 27 Tetapi kata Laban kepadanya, “Jika kamu berkenan, tinggal sajalah di sini, kerana mengikut firasatku ternyata bahawa Allah memberkati aku kerana kamu.” 28 Katanya lagi, “Sebutkan jumlah upahmu, aku akan memberikannya.” 29 Jawab Yakub kepadanya, “Pak cik sendiri tahu bagaimana aku bekerja bagi pak cik dan bagaimana keadaan ternak pak cik di bawah jagaanku. 30 Sebelum kedatanganku, sedikit sahaja yang pak cik miliki, tetapi kini sudah menjadi teramat banyak. Allah memberkati pak cik selama aku berada di sini. Sekarang, bila boleh aku bekerja bagi rumah tanggaku sendiri?” 31 Tanya Laban, “Apa yang harus kuberikan kepadamu?” Jawab Yakub, “Pak cik tidak usah memberikan sesuatu pun kepadaku. Aku mahu kembali menggembalakan dan menjaga kawanan domba pak cik jika pak cik mengizinkan hal ini bagiku: 32 Hari ini aku akan berjalan melalui seluruh kawanan domba pak cik dan memisahkan dari situ setiap anak domba yang berbintik-bintik dan berbelang-belang, setiap anak domba yang berwarna hitam, serta setiap kambing yang berbelang-belang dan berbintik-bintik. Itulah yang akan menjadi upahku. 33 Pada kemudian hari kejujuranku akan terbukti apabila pak cik datang memeriksa upahku. Setiap kambing yang bukan berbintik-bintik atau berbelang-belang, dan setiap anak domba yang tidak berwarna hitam, akan dianggap sebagai curian.” 34 Jawab Laban, “Boleh sahaja, aku bersetuju dengan apa yang kamu katakan itu.” 35 Akan tetapi, pada hari itu Laban mengasingkan kambing-kambing jantan yang bercelorong-celoreng dan berbelang-belang, semua kambing betina yang berbintik-bintik dan berbelang-belang, iaitu semua yang ada warna putih pada badannya, serta semua anak domba yang berwarna hitam, lalu menyerahkan kesemuanya kepada anak-anaknya. 36 Setelah itu, dia menentukan jarak sejauh tiga hari perjalanan antara dia dengan Yakub, sementara Yakub menggembalakan kawanan ternakan Laban yang lain.
37 Lalu Yakub mengambil dahan-dahan segar daripada pokok hawar, pokok badam, dan pokok berangan. Dikupasnya sebahagian kulitnya hingga tampak belang-belang putih pada dahan-dahan itu. 38 Kemudian dahan-dahan yang telah dikupasnya itu diletakkannya di dalam palung tempat air minuman, sehingga tepat berada di depan kawanan domba yang datang minum. Biasanya, haiwan ternakan itu saling mengawan ketika datang minum. 39 Maka, mengawanlah segala haiwan itu berdekatan dengan dahan-dahan tadi sehingga lahirlah anak-anak domba yang bercelorong-celoreng, berbintik-bintik, dan berbelang-belang. 40 Yakub memisahkan anak-anak domba itu, lalu menghadapkan muka kawanan domba yang selebihnya ke arah kawanan domba Laban yang bercelorong-celoreng dan yang berwarna hitam. Dia mengasingkan kawanan ternaknya sendiri dan tidak menempatkannya bersama-sama haiwan-haiwan milik Laban. 41 Maka setiap kali kawanan domba yang kuat mengawan, Yakub meletakkan dahan-dahan itu di dalam palung, di hadapan mata haiwan-haiwan itu, sehingga mereka mengawan dekat dahan-dahan itu. 42 Akan tetapi jika kawanan domba itu lemah, dahan-dahan itu tidak diletakkan di depannya. Dengan demikian, haiwan yang lemah menjadi milik Laban manakala yang kuat menjadi milik Yakub. 43 Maka semakin bertambah-tambahlah kekayaan Yakub. Dia mempunyai banyak kawanan domba, unta, dan keldai, serta hamba lelaki dan perempuan.
 
 
 
 
 
 
31
Yakub lari meninggalkan Laban
1 Yakub terdengar anak-anak Laban merungut, “Yakub telah mengambil segala sesuatu yang dimiliki ayah kita, dan dia menjadi kaya raya hasil daripada harta milik ayah kita.” 2 Dan Yakub nampak bahawa air muka Laban terhadapnya tidak seramah dahulu. 3 Allah berfirman kepada Yakub, “Pulanglah ke negeri nenek moyangmu, kepada sanak saudaramu. Aku akan menyertaimu.”
4 Lalu Yakub menyuruh orang untuk memanggil Rahel dan Lea ke padang, ke tempat kawanan ternakannya. 5 Katanya kepada mereka, “Aku lihat air muka ayahmu tidak lagi seramah dahulu terhadapku. Namun demikian, Tuhan ayahku menyertaiku. 6 Kamu pun tahu bahawa aku telah mengabdi kepada ayahmu dengan sekuat tenaga. 7 Meskipun begitu, ayahmu telah menipu aku. Dia mengubah upahku sampai sepuluh kali. Akan tetapi, Allah tidak mengizinkannya berbuat jahat terhadap aku. 8 Jika dia berkata, ‘Haiwan yang berbintik-bintik akan menjadi upahmu,’ maka seluruh kawanan domba itu melahirkan anak yang berbintik-bintik. Jika dia berkata, ‘Haiwan yang bercelorong-celoreng akan menjadi upahmu,’ maka seluruh kawanan domba itu melahirkan anak yang bercelorong-celoreng. 9 Demikianlah Allah mengambil ternakan ayahmu dan memberikannya kepadaku. 10 Pernah pada musim pengawanan segala ternakan itu, aku bermimpi. Dalam mimpi itu kulihat domba jantan yang sedang mengawan itu bercelorong-celoreng, berbintik-bintik dan berbelang-belang. 11 Kemudian dalam mimpi itu malaikat Allah bersabda kepadaku, ‘Yakub!’ Jawabku, ‘Ya, aku ada di sini.’ 12 Sabda-Nya, ‘Angkatlah wajahmu dan lihatlah, semua domba jantan yang sedang mengawan itu bercelorong-celoreng, berbintik-bintik, dan berbelang-belang kerana telah Kulihat semua yang dilakukan Laban terhadap kamu. 13 Akulah Tuhan yang menunjukkan diri di Bait-El. Di tempat itu kamu mencurahkan minyak pada sebuah tugu batu, dan kamu bernazar kepada-Ku. Sekarang, bersiaplah, keluarlah dari negeri ini dan pulanglah ke tanah kelahiranmu.’ ” 14 Lalu jawab Rahel dan Lea kepadanya, “Masih adakah bahagian atau milik pusaka kami di rumah ayah kami? 15 Bukankah kami ini dianggapnya orang asing? Dia telah menjual kami, bahkan bahagian milik kami pun telah dihabiskannya. 16 Sesungguhnya, segala kekayaan yang diambil Allah daripada ayah kami merupakan milik kami dan anak-anak kami. Sekarang, lakukanlah semua yang difirmankan Allah kepadamu.”
17 Maka Yakub terus menaikkan para isteri serta anaknya pada unta. 18 Dibawanyalah semua ternaknya dan segala harta benda yang diperolehnya, iaitu ternak miliknya yang diperolehnya di Padan-Aram, untuk pergi kepada Ishak, ayahnya, di Tanah Kanaan. 19 Ketika Laban pergi menggunting bulu domba-dombanya, Rahel sempat mencuri terafim milik ayahnya itu. 20 Yakub mengakali Laban, orang Aram itu, dengan tidak memberitahunya bahawa dia berhasrat untuk lari. 21 Maka larilah Yakub dengan segala sesuatu yang dimilikinya. Dia menyeberangi Sungai Efrat, lalu berjalan ke arah Pergunungan Gilead.
22 Pada hari ketiga Laban diberitahu bahawa Yakub telah lari. 23 Lalu Laban mengajak sanak saudaranya dan mengejar Yakub sejauh tujuh hari perjalanan sehingga dia berjaya memintasnya di Pergunungan Gilead. 24 Akan tetapi, pada malam harinya Allah datang dalam suatu mimpi kepada Laban, orang Aram itu, serta berfirman kepadanya, “Awas, jangan katakan apa-apa pun sama ada yang baik ataupun yang buruk kepada Yakub!”
25 Maka sampailah Laban di tempat Yakub. Apabila Yakub mendirikan khemahnya di Pergunungan Gilead, Laban dan sanak saudaranya juga mendirikan khemah mereka di pergunungan itu. 26 Kata Laban kepada Yakub, “Apakah yang kaulakukan ini? Kamu mengakaliku dan membawa lari anak-anak perempuanku seolah-olah mereka tawanan. 27 Mengapakah kamu lari secara senyap-senyap dan mengakaliku? Mengapakah kamu tidak memberitahu aku agar dapat aku menghantar kamu dengan senang hati diiringi nyanyian, rebana, dan kecapi? 28 Kamu pun tidak memberiku kesempatan untuk mencium cucu-cucuku serta anak-anakku. Kali ini perbuatanmu bodoh sungguh! 29 Aku berkuasa untuk menyakitimu, tetapi semalam Tuhan ayahmu berfirman kepadaku, ‘Awas, jangan katakan apa-apa pun sama ada yang baik ataupun yang buruk kepada Yakub!’ 30 Sekarang, kalau memang kamu harus pergi kerana sudah begitu merindukan rumah ayahmu, mengapakah kamu mencuri berhalaku?” 31 Jawab Yakub kepada Laban, “Sebabnya aku takut sekiranya pak cik akan merebut anak-anak pak cik daripadaku. 32 Namun begitu, sesiapa pun yang pak cik dapati membawa berhala pak cik itu, dia tidak akan dibiarkan hidup. Jadi, periksalah di hadapan sanak saudara kita apa barang-barang pak cik yang ada padaku, dan ambillah.” Yakub tidak tahu bahawa memang Rahel mencuri barang-barang itu.
33 Maka masuklah Laban ke dalam khemah Yakub, khemah Lea, dan khemah kedua-dua hamba perempuan anak-anaknya, tetapi tidak ditemukannya. Setelah keluar dari khemah Lea, dia masuk pula ke dalam khemah Rahel. 34 Akan tetapi, Rahel sudah lebih dahulu mengambil terafim itu dan memasukkannya ke dalam pelana unta lalu duduk di atasnya. Laban menggeledah seluruh khemah itu tetapi tidak juga menemukan barang yang dicari. 35 Kata Rahel kepada ayahnya, “Janganlah ayah marah kerana aku tidak dapat berdiri di hadapan ayah. Aku sedang haid.” Laban memeriksa lagi, tetapi dia tidak menemukan terafim itu.
36 Yakub menjadi marah lalu berbantah-bantahan dengan Laban. Katanya kepada Laban, “Apakah salahku dan apakah dosaku hingga pak cik mengejar aku segigih ini? 37 Setelah pak cik menggeledah semua barangku, apakah pak cik menjumpai barang-barang rumah pak cik? Letakkanlah di sini, di hadapan sanak saudaraku dan saudara-saudara pak cik. Biarlah mereka memutuskan keadilan antara kita berdua. 38 Dua puluh tahun lamanya aku bersama dengan pak cik. Domba dan kambing betina pak cik tidak pernah keguguran, domba dan kambing jantan pak cik tidak pernah kumakan. 39 Tidak pernah kubawa kepada pak cik ternakan yang telah dikoyak-koyakkan oleh binatang buas. Aku sendirilah yang menggantinya. Ternakan yang dicuri pada siang atau malam hari pun pak cik tuntut daripadaku. 40 Siang hari aku dilayur oleh teriknya panas matahari, dan malam hari disiat-siat oleh udara dingin. Mataku sering tidak terpejam. 41 Dua puluh tahun lamanya aku di rumah pak cik. Empat belas tahun aku bekerja dengan pak cik demi kedua-dua orang anak pak cik, dan enam tahun demi ternakan pak cik. Selama itu, sudah sepuluh kali pak cik mengubah upahku. 42 Kalaulah Tuhan, yang disembah oleh datukku, Ibrahim dan Yang Dijunjung Tinggi oleh Ishak tidak menyertaiku, tentu sekarang pak cik melepaskan aku pergi dengan tangan kosong. Akan tetapi, Allah melihat betapa teraniayanya aku serta jerih lelahku, maka Dia menegur pak cik semalam.”
43 Jawab Laban kepada Yakub, “Perempuan-perempuan ini anakku, anak-anak ini cucuku, kawanan ternakan ini milikku, demikian pula semua yang kaulihat ini. Tetapi apakah yang boleh kulakukan hari ini untuk anak-anakku atau untuk anak-anak yang dilahirkan mereka? 44 Ayuh, sekarang kita mengikat perjanjian antara aku dengan kamu! Biarlah perjanjian itu menjadi saksi antara kita.” 45 Maka Yakub mengambil sebuah batu dan mendirikannya untuk menjadi sebuah tugu. 46 Kata Yakub kepada sanak saudaranya, “Kumpulkanlah batu.” Lalu mereka mengambil batu-batu dan membuat suatu timbunan. Setelah itu, mereka makan berdekatan dengan timbunan batu itu. 47 Laban menamakan timbunan batu itu Yegar-Sahaduta, tetapi Yakub menamakannya Galed. 48 Kata Laban, “Pada hari ini, timbunan batu ini menjadi saksi antara aku dengan kamu.” Itulah sebabnya timbunan batu itu dinamakan Galed 49 dan juga Mizpa, kerana katanya, “Semoga Allah mengawasi antara aku dengan kamu semasa kita tidak bersama-sama. 50 Jika kamu menganiaya anak-anakku, dan jika kamu mengambil isteri lain selain anak-anakku, ingatlah, Allah menjadi saksi antara aku dengan kamu, walaupun tiada orang bersama-sama kita.”
51 Kata Laban pula kepada Yakub, “Lihat, inilah timbunan batu dan inilah tugu yang telah kudirikan antara aku dengan kamu. 52 Timbunan batu inilah saksi, juga tugu inilah saksi, bahawa aku tidak akan melintasi timbunan batu ini untuk mendatangimu dengan niat jahat, dan kamu pun tidak akan melintasi timbunan batu ini serta tugu ini untuk mendatangiku dengan niat serupa. 53 Tuhan, yang disembah oleh Ibrahim, Nahor, dan nenek moyang mereka menjadi hakim antara kita.” Lalu bersumpahlah Yakub demi Yang Dijunjung Tinggi oleh Ishak, ayahnya. 54 Setelah itu, Yakub mempersembahkan korban sembelihan di pergunungan itu dan mengundang sanak saudaranya untuk makan. Mereka pun makan dan bermalam di pergunungan itu.
55 Keesokan harinya Laban bangun pagi-pagi. Diciumnya cucu-cucu serta anak-anaknya, dan dia mendoakan berkat untuk mereka. Setelah itu, Laban pun berangkat pulang.
 
 
 
 
 
 
32
Yakub bersiap menemui Esau, abangnya
1 Yakub meneruskan perjalanannya, lalu para malaikat Allah datang menemuinya. 2 Tatkala Yakub melihat mereka, dia berkata, “Ini sebuah perkhemahan para malaikat Allah!” Maka dinamakannya tempat itu Mahanaim.
3 Lalu Yakub menghantar beberapa orang utusan mendahuluinya untuk menemui Esau, abangnya, di Tanah Seir, wilayah Edom. 4 Pesannya kepada mereka, “Beginilah harus kamu katakan kepada Tuanku Esau: Hambamu Yakub berkata, ‘Selama ini aku tinggal dengan Laban sebagai pendatang dan menetap di sana sampai sekarang. 5 Aku mempunyai lembu, keldai, domba, hamba lelaki, serta hamba perempuan, dan aku mengirim utusan untuk memberitahukan hal itu kepada tuanku, supaya tuan berkenan padaku.’ ”
6 Maka kembalilah para utusan itu kepada Yakub dan berkata, “Kami telah menemui Esau, abangmu, dan dia pun dalam perjalanan bersama-sama empat ratus orang lelaki untuk menemuimu.” 7 Maka sangat susah hati dan ketakutanlah Yakub. Lalu dia membahagikan semua orang yang menyertainya dan kawanan domba, lembu, serta unta menjadi dua rombongan. 8 Fikirnya, “Jika Esau menyerang salah satu rombongan, rombongan yang satu lagi akan terlepas.”
9 Berkatalah Yakub, “Ya Tuhan, yang disembah oleh datukku Ibrahim dan oleh ayahku Ishak, ya Allah yang telah berfirman kepadaku, ‘Pulanglah ke negerimu, kepada sanak saudaramu, dan Aku akan berbuat baik kepadamu,’ 10 aku tidak layak menerima sedikit pun daripada segala ihsan serta kasih setia yang telah Engkau tunjukkan kepada hamba-Mu ini, kerana hanya dengan tongkat ini aku menyeberangi Sungai Yordan ini dahulu, tetapi kini aku terbahagi menjadi dua rombongan. 11 Namun begitu, lepaskanlah aku daripada tangan Esau, abangku, kerana aku takut kepadanya, jangan-jangan dia datang untuk menyerang aku serta para ibu dengan anak-anak mereka. 12 Bukankah Engkau pernah berfirman, ‘Aku pasti berbuat baik kepadamu dan menjadikan keturunanmu tidak terhitung banyaknya bagaikan pasir di laut.’ ”
13 Maka pada malam itu, Yakub pun bermalam di situ. Kemudian dia menyediakan persembahan untuk abangnya, Esau dengan mengambil beberapa harta benda miliknya, 14 iaitu dua ratus ekor kambing betina, dua puluh ekor kambing jantan, dua ratus ekor domba betina, dua puluh ekor domba jantan, 15 tiga puluh ekor unta betina dengan anak-anaknya yang masih menyusu, empat puluh ekor lembu betina, sepuluh ekor lembu jantan, dua puluh ekor keldai betina, dan sepuluh ekor keldai jantan. 16 Dia menyerahkan kesemua itu kepada para hambanya, masing-masing menjaga sekawanan ternak. Lalu kata Yakub kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku dan berikanlah jarak di antara satu kawanan ternakan dengan kawanan ternakan yang lain.” 17 Kepada hambanya yang berjalan paling depan dia berpesan, “Apabila Esau, abangku, menemuimu dan bertanya kepadamu, ‘Hamba siapakah kamu? Ke manakah kamu hendak pergi? Milik siapakah ternakan di hadapanmu ini?’ 18 Maka jawablah, ‘Milik hambamu, Yakub. Inilah persembahan yang dikirimnya bagi tuanku Esau. Sesungguhnya, dia sendiri ada di belakang kami.’ ” 19 Demikianlah juga pesannya kepada hambanya yang kedua dan yang ketiga, serta kepada semua orang yang berjalan mengikuti kawanan ternakan itu. Katanya, “Begitulah harus kamu katakan kepada Esau apabila kamu berjumpa dengannya. 20 Katakanlah juga, ‘Sesungguhnya, hambamu Yakub ada di belakang kami.’ ” Kerana fikir Yakub, “Aku hendak melembutkan hatinya dengan persembahan yang dihantar terlebih dahulu ini, setelah itu barulah aku akan melihat wajahnya. Barangkali dia mahu menerima aku.” 21 Jadi, persembahan itu dihantar terlebih dahulu, sementara dia sendiri bermalam di perkhemahannya pada malam itu.
Yakub bergelut dengan seorang “Lelaki” di Peniel
22 Pada malam itu juga dia bangun lalu dibawanya kedua-dua isterinya dan kedua-dua hamba perempuannya bersama-sama sebelas orang anaknya menyeberang melalui tempat penyeberangan Sungai Yabok. 23 Setelah membawa mereka ke seberang, dibawanya pula ke seberang segala harta bendanya. 24 Maka tinggallah Yakub seorang diri lalu muncul seorang lelaki yang bergelut dengannyaa sehingga fajar menyingsing. 25 Apabila lelaki itu melihat bahawa dia tidak dapat mengalahkan Yakub, dipukulnyalah pangkal paha Yakub. Maka terseliuhlah pangkal paha Yakub akibat bergelut dengan lelaki itu. 26 Lalu kata lelaki itu, “Biarkan aku pergi kerana fajar sudah mula menyingsing.” Tetapi jawab Yakub, “Aku tidak akan membiarkan kamu pergi sebelum kamu memberkati aku.” 27 Lalu lelaki itu bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?” Jawabnya, “Yakub.” 28 Kata lelaki itu, “Kini namamu bukan lagi Yakub tetapi Israel, kerana kamu sudah berjaya bergelut dengan Allah dan dengan manusia.”b 29 Maka Yakub pun berkata, “Mohon beritahukanlah namamu.” Jawabnya, “Mengapakah kamu menanyakan namaku?” Kemudian dia memberkati Yakub di situ. 30 Yakub menamakan tempat itu Peniel kerana katanya, “Aku telah bersemuka dengan Allah dan nyawaku terselamat.” 31 Matahari sudah terbit ketika dia melalui Peniel, dan dia tempang kerana pangkal pahanya cedera. 32 Maka sampai hari ini orang Israel tidak makan urat pinggul yang ada pada pangkal paha binatang kerana Dia telah memukul pangkal paha Yakub pada urat pinggul itu.
 
 
 
 
 
 
33
Nabi Yakub bertemu dan berbaik semula dengan Esau
1 Ketika Yakub mendongak, terkelihatan Esau datang dengan disertai oleh empat ratus orang lelaki. Lalu dia membahagikan anaknya antara Lea dengan Rahel, serta kedua-dua hamba perempuan mereka. 2 Dia menempatkan hamba-hamba perempuan itu dengan anak-anak mereka di depan, kemudian Lea dengan anak-anaknya, dan diikuti Rahel dengan Yusuf di belakang sekali. 3 Yakub sendiri berjalan di depan mereka. Tujuh kali dia sujud memberi hormat sehingga tibalah dia dekat dengan abangnya.
4 Akan tetapi, Esau berlari mendapatkannya lalu dipeluknya Yakub, dirangkul lehernya serta ciumnya Yakub, maka bertangis-tangisanlah kedua-dua mereka. 5 Ketika Esau mengangkat mukanya, kelihatannya kaum wanita serta anak-anak di hadapannya. Maka bertanyalah dia, “Siapakah semua orang yang menyertaimu ini?” Jawab Yakub, “Itulah kesemua anak yang telah Allah anugerahkan kepada hambamu ini.” 6 Lalu para hamba perempuan itu berserta anak-pinak masing-masing datang dekat dan sujud memberi hormat. 7 Lea dan anak-anaknya pun turut mendekat lalu sujud memberi hormat. Setelah itu, Yusuf dan Rahel pula mendekat serta sujud memberi hormat. 8 Bertanyalah Esau, “Apakah maksudmu dengan semua rombongan yang kutemui tadi?” Jawab Yakub, “Supaya tuanku berkenan pada hamba.” 9 Tetapi kata Esau, “Aku berkecukupan, adikku. Biarlah apa yang ada padamu tetap menjadi milikmu.” 10 Kata Yakub, “Kuminta janganlah demikian. Jika tuan memang berkenan pada hamba, terimalah persembahan daripada tangan hamba ini, kerana bagi hamba melihat wajah tuan sahaja rasa seperti melihat wajah Allah. Tuan telah menyambut aku dengan baik. 11 Kumohon terimalah pemberian yang dihantar kepada tuan itu, kerana Allah telah bermurah hati kepada hamba sehingga hamba mempunyai semua ini.” Dia bersungguh-sungguh meminta sedemikian hingga Esau pun sudi menerimanya.
12 Kata Esau, “Ayuh kita meneruskan perjalanan ini. Biar aku berjalan mendahuluimu.” 13 Tetapi kata Yakub kepadanya, “tuanku maklum bahawa anak-anak ini masih lemah, apatah lagi kawanan ternakan yang ada pada hamba ada yang masih menyusu. Jika dipaksakan berjalan satu hari sahaja, maka kesemua haiwan itu akan mati. 14 Jadi, biarlah tuanku berjalan mendahului hambamu dan hamba akan maju perlahan-lahan menurut langkah ternakan yang ada di depan hamba serta langkah anak-anak, hingga hamba sampai kepada tuanku di Seir.”
15 Kata Esau, “Kalau begitu, biarlah kutinggalkan denganmu beberapa orang yang menyertaiku.” Jawab Yakub, “Mengapakah harus demikian? Cukuplah bagi hamba jika tuanku berkenan pada hamba.” 16 Maka pulanglah Esau pada hari itu juga menuju Seir. 17 Sebaliknya, Yakub berangkat menuju Sukot di mana dia mendirikan sebuah rumah baginya dan petak-petak bagi ternakannya. Itulah sebabnya tempat itu dinamai Sukot.
18 Setelah berjalan sekian lama dari Padan-Aram, sampailah Yakub dengan selamat di Kota Sikhem, di Tanah Kanaan, lalu didirikannya khemahnya berdekatan dengan kota itu. 19 Kemudian dibelinya sebidang tanah berharga seratus keping wang perak daripada bani Hemor, iaitu ayah Sikhem, di tempat dia mendirikan khemahnya. 20 Lalu dia mendirikan sebuah mazbah di sana dan menamakannya “Allah ialah Tuhan yang disembah Israel.”
 
 
 
 
 
 
34
Dina dan bani Sikhem
1 Maka Dina, anak gadis Lea yang dilahirkannya untuk Yakub, pergi mengunjungi para anak gadis di negeri itu. 2 Apabila Sikhem bin Hemor, orang Hewi, anak raja negeri itu terlihat Dina, dia menculik lalu memperkosa gadis itu. 3 Bagaimanapun dia terpaut serta jatuh cinta kepada Dina, anak Yakub itu dan dia berusaha untuk menenteramkan hati gadis itu. 4 Lalu berkatalah Sikhem kepada bapanya, Hemor, “Ambillah anak gadis itu untuk menjadi isteriku.”
5 Khabar bahawa Sikhem telah menodai Dina, anaknya kemudian terdengar oleh Yakub. Akan tetapi, pada waktu itu para anak lelakinya berada bersama-sama ternakan mereka di padang. Maka Yakub berdiam diri sehingga mereka pulang. 6 Kemudian Hemor, ayah Sikhem, pergi menemui Yakub untuk berbicara dengannya. 7 Sekembalinya para anak Yakub dari padang mereka terdengar khabar itu. Tersinggung sekali dan marah sungguh mereka kerana Sikhem berlaku amat keji terhadap warga Israel dengan memperkosa anak perempuan Yakub, suatu perbuatan yang tidak patut dilakukan.
8 Lalu Hemor berbicara kepada Yakub dan anak-anaknya, katanya, “Hati anakku Sikhem begitu terpaut oleh anak gadismu. Kumohon semoga kamu berikan dia untuk menjadi isterinya. 9 Marilah kita berkawin campur. Berikanlah gadis-gadismu kepada kami, dan ambillah gadis-gadis kami bagimu. 10 Tinggallah dengan kami dan negeri ini terbuka untukmu. Tinggallah, berniagalah, dan kumpulkanlah harta di sini.” 11 Kemudian Sikhem berkata kepada ayah Dina dan kepada para saudaranya, “Kumohon berbaik hatilah kepadaku. Apa-apa pun yang kamu perlu daripadaku akan kuberikan. 12 Tetapkanlah kepadaku mahar dan hadiah seberapa tinggi sekalipun, dan aku akan membayar sebanyak yang kamu sebutkan. Hanya, berikanlah gadis itu kepadaku untuk menjadi isteriku.”
13 Oleh sebab Sikhem telah menodai Dina, adik mereka, anak-anak Yakub menjawab Sikhem dan Hemor, ayahnya dengan penuh tipu daya. 14 Kata mereka kepada kedua-dua orang itu, “Kami tidak dapat berbuat demikian kerana perbuatan menyerahkan adik kami kepada lelaki yang tidak bersunat itu suatu keaiban buat kami. 15 Kami akan menyetujui permintaanmu hanya dengan syarat kamu menjadi sama seperti kami iaitu setiap lelaki antara kamu harus disunatkan. 16 Setelah itu, barulah kami akan memberikan anak gadis kami kepadamu, atau sebaliknya akan kami ambil anak gadismu untuk kami dan seterusnya kami tinggal antara kamu sehingga kita menjadi satu bangsa. 17 Tetapi jika kamu tidak mengendahkan syarat kami untuk disunatkan, maka kami akan membawa adik kami dan pergi dari sini.”
18 Permintaan mereka itu diterima dengan sukacita oleh Hemor dan Sikhem bin Hemor. 19 Tanpa bertangguh lagi, pemuda itu segera memenuhi syarat yang diminta kerana dia teramat suka kepada Dina, anak Yakub, apatah lagi dia warga yang paling dihormati antara seluruh kaum keluarganya. 20 Maka pergilah Hemor dan Sikhem, anaknya, ke pintu gerbang kota mereka, lalu berbicara dengan para warga kota itu. Kata mereka, 21 “Orang ini menunjukkan sikap berdamai dengan kita. Biarlah mereka tinggal di negeri ini dan berniaga di sini, kerana lihatlah, negeri ini masih cukup luas untuk mereka! Dengan demikian kita dapat memperisteri anak gadis mereka, dan kita juga dapat membenarkan mereka memperisteri anak gadis kita. 22 Namun begitu, hanya dengan syarat ini mereka bersetuju untuk tinggal bersama dengan kita sehingga kita menjadi satu bangsa, iaitu jika semua lelaki antara kita disunatkan, sebagaimana mereka disunatkan. 23 Bukankah kelak segala ternakan mereka, harta milik mereka, dan segala haiwan mereka akan menjadi milik kita? Kita cuma perlu menyetujui syarat mereka, sehingga mereka mahu tinggal bersama-sama kita.” 24 Kesemua lelaki yang datang berkumpul di pintu gerbang kota itu menyetujui usul Hemor dan Sikhem, anaknya. Maka disunatkanlah semua lelaki, iaitu semua orang yang hadir di pintu gerbang kota itu.
25 Pada hari ketiga, ketika warga lelaki mereka masih kesakitan, dua orang anak Yakub, iaitu Simeon dan Lewi, para abang kepada Dina, mengambil pedang masing-masing lalu memasuki kota itu tanpa diduga lalu membunuh semua lelaki di situ. 26 Mereka turut membunuh Hemor dan Sikhem dengan pedang. Mereka mengambil Dina dari rumah Sikhem lalu pergi. 27 Anak-anak Yakub merampas harta benda warga yang terbunuh lalu menjarah kota itu, kerana adik mereka telah dinodai. 28 Mereka mengambil kawanan ternakan serta keldai mereka, dan apa-apa sahaja yang ada di kota itu, juga apa-apa yang ada di padang. 29 Mereka pun menjarah seluruh kekayaan penduduk, menawan semua perempuan serta anak, dan merampas segala sesuatu yang ada di dalam rumah.
30 Berkatalah Yakub kepada Simeon dan Lewi, “Kamu telah menyusahkan aku dengan membusukkan namaku dalam kalangan penduduk negeri ini, iaitu orang Kanaan dan orang Feris. Jumlah kita hanya sedikit. Jika mereka bergabung melawan kita dan menyerang kita, maka musnahlah aku berserta seisi rumahku.” 31 Akan tetapi jawab mereka, “Patutkah adik kami diperlakukan seperti perempuan sundal?”
 
 
 
 
 
 
35
Nabi Yakub kembali ke Bait-El
1 Allah berfirman kepada Yakub, “Bersiaplah, pergilah ke Bait-El dan tinggallah di sana. Di sana bangunkanlah sebuah mazbah untuk Allah, yang telah menampakkan diri kepadamu ketika kamu melarikan diri daripada Esau, abangmu.” 2 Lalu Yakub berkata kepada seisi rumahnya dan kepada semua orang yang menyertainya, “Buanglah kesemua berhala bangsa asing yang ada dalam simpananmu. Sucikanlah dirimu dan tukarlah pakaianmu. 3 Marilah kita bersiap-siap pergi ke Bait-El. Di sana aku akan mendirikan sebuah mazbah untuk Allah, yang mempedulikan aku ketika aku dalam kesusahan dan yang menyertai aku di jalan yang kutempuhi.” 4 Maka mereka memberi Yakub kesemua berhala bangsa asing yang dimiliki mereka dan anting-anting yang ada di telinga mereka, lalu Yakub menanam kesemuanya di bawah pokok oak yang berdekatan dengan Sikhem.
5 Kemudian mereka pun berangkat. Allah menyebabkan rasa takut melanda kota-kota yang ada di sekeliling mereka dan tiada yang memburu para anak Yakub itu. 6 Maka Yakub bersama-sama semua anggota rombongannya itu tiba di Lus, iaitu Bait-El, di Tanah Kanaan. 7 Dia pun mendirikan sebuah mazbah di situ lalu menamakan tempat itu “Tuhan Yang Menyatakan Diri di Bait-El”, kerana di sanalah Allah menunjukkan diri kepadanya ketika dia melarikan diri daripada abangnya. 8 Pada waktu itu Deborah, pengasuh Ribka, meninggal lalu di dikuburkan di hilir Bait-El, di bawah sebatang pokok oak. Maka pokok itu dinamai Pokok Oak Tangisan.
9 Setelah Yakub kembali dari Padan-Aram, Allah menampakkan diri lagi kepadanya dan memberkatinya. 10 Firman Allah kepadanya, “Namamu Yakub, tetapi kamu tidak akan lagi disebut Yakub. Namamu akan menjadi Israel.” Maka Allah menamakannya Israel. 11 Firman Allah kepadanya pula, “Akulah Allah Yang Maha Kuasa. Beranak cuculah dan bertambah ramailah. Sebuah bangsa, bahkan sekumpulan bangsa akan berasal daripadamu, dan daripada keturunanmu akan muncul raja-raja. 12 Negeri ini, yang Kukurniakan kepada Ibrahim dan Ishak, akan Kukurniakan kepadamu. Aku pun akan mengurniakan negeri ini kepada keturunanmu kelak.” 13 Setelah itu, Allah meninggalkan Yakub di tempat Dia berfirman kepadanya. 14 Lalu tepat di tempat Allah berfirman kepadanya itu Yakub mendirikan sebuah tugu batu. Dicurahkannya persembahan minuman dan dituang minyak di atasnya. 15 Yakub menamakan tempat itu Bait-El, tempat Allah telah berfirman kepadanya.
Kelahiran Benyamin dan kematian Rahel
16 Lalu berangkatlah mereka dari Bait-El. Ketika mereka tidak jauh lagi dari Efrata, tiba waktunya bagi Rahel untuk bersalin, dan sakit hendak bersalin itu sangat perit. 17 Ketika kesakitannya paling teruk, berkatalah bidan kepadanya, “Jangan takut, kerana kali ini pun kamu akan mendapat seorang putera.” 18 Ketika dia hampir-hampir menghembuskan nafasnya yang terakhir, dinamakannya anak itu Bin-oni, namun ayah bayi itu menamakannya Benyamin. 19 Maka Rahel meninggal dan dikuburkan di sisi jalan menuju Efrata, iaitu Baitlahim. 20 Di atas kuburnya Yakub mendirikan sebuah nisan, dan nisan Rahel itu masih ada sampai hari ini. 21 Kemudian Israel berangkat lagi. Didirikannya khemahnya di seberang Migdal-Eder.
22 Ketika Israel tinggal di negeri itu, Ruben meniduri Bilha, gundik ayahnya, dan hal itu diketahui oleh Israel.
Anak-anak lelaki Yakub semuanya berjumlah dua belas orang. 23 Anak daripada Lea ialah Ruben, anak sulung Yakub, kemudian Simeon, Lewi, Yudah, Isakhar, dan Zebulon. 24 Anak daripada Rahel ialah Yusuf dan Benyamin. 25 Anak daripada Bilha, hamba Rahel ialah Dan dan Naftali 26 manakala anak-anak daripada Zilpa, hamba Lea ialah Gad dan Asyer. Itulah anak-anak lelaki Yakub yang dilahirkan baginya di Padan-Aram.
27 Akhirnya sampailah Yakub di tempat Ishak, ayahnya, di Mamre dekat Kiryat-Arba, iaitu Hebron, tempat Ibrahim dan Ishak tinggal sebagai pendatang. 28 Ishak mencapai usia seratus delapan puluh tahun. 29 Setelah Ishak tua dan lanjut umurnya, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu wafat dan terkumpullah dia bersama-sama para leluhurnya. Lalu anak-anaknya, iaitu Esau dan Yakub memakamkannya.
 
 
 
 
 
 
36
Keturunan Esau
1 Inilah keturunan Esau, yang juga dikenali sebagai Edom. 2 Esau memperisteri perempuan-perempuan Kanaan, iaitu Adah binti Elon, orang Het; Oholibama, binti Ana bin Zibeon, orang Hewi; 3 dan juga Basmat binti Ismail, adik Nebayot. 4 Untuk Esau, Adah melahirkan Elifas, Basmat melahirkan Rehuel, 5 manakala Oholibama melahirkan Yeus, Yaelam, dan Korah. Itulah anak-anak Esau yang dilahirkan isteri-isterinya untuknya di Tanah Kanaan.
6 Esau membawa isteri-isterinya, anak-anaknya baik lelaki mahupun perempuan, semua orang yang ada di rumahnya, ternakannya, segala haiwannya, dan segala harta benda yang diperolehnya di Tanah Kanaan pergi ke sebuah negeri, jauh daripada Yakub, adiknya. 7 Memang harta benda kedua-dua saudara itu terlalu banyak, sehingga tidak mungkin bagi mereka untuk tinggal bersama-sama. Selain itu, negeri tempat mereka tinggal sebagai pendatang itu pun tidak dapat menampung mereka kerana ternakan mereka amat banyak sekali. 8 Maka tinggallah Esau, iaitu Edom, di Pergunungan Seir.
9 Inilah urutan salasilah Esau, leluhur orang Edom di Pergunungan Seir. 10 Nama anak-anak Esau ialah Elifas, daripada isterinya, Adah, dan Rehuel, daripada isterinya, Basmat. 11 Anak-anak Elifas ialah Teman, Omar, Zefo, Gaetam, dan Kenas. 12 Timna, gundik Elifas bin Esau, melahirkan Amalek untuk Elifas. Itulah keturunan Adah, isteri Esau. 13 Anak-anak Rehuel ialah Nahat, Zerah, Syama, dan Miza. Itulah keturunan Basmat, isteri Esau. 14 Oholibama binti Ana binti Zibeon, isteri Esau, melahirkan anak, iaitu Yeus, Yaelam, dan Korah untuk Esau.
15 Inilah ketua-ketua kaum bani Esau. Keturunan Elifas, anak sulung Esau, menjadi ketua kaum Teman, ketua kaum Omar, ketua kaum Zefo, ketua kaum Kenas, 16 ketua kaum Korah, ketua kaum Gaetam, dan ketua kaum Amalek. Itulah para ketua kaum Elifas di Tanah Edom, dan itulah keturunan Adah. 17 Keturunan Rehuel bin Esau menjadi ketua kaum Nahat, ketua kaum Zerah, ketua kaum Syama, dan ketua kaum Miza. Itulah para ketua kaum Rehuel di Tanah Edom, dan itulah keturunan Basmat, isteri Esau. 18 Keturunan Oholibama, isteri Esau, menjadi ketua kaum Yeus, ketua kaum Yaelam, dan ketua kaum Korah. Itulah para ketua keturunan kaum Oholibama binti Ana, isteri Esau itu. 19 Demikianlah daftar keturunan bani Esau, iaitu Edom, dan itulah para ketua kaum mereka.
20 Ini ialah anak-anak Seir, orang Hori, penduduk negeri itu, iaitu Lotan, Syobal, Zibeon, Ana, 21 Disyon, Ezer, dan Disyan. Itulah keturunan Seir yang menjadi ketua kaum orang Hori di Tanah Edom. 22 Anak Lotan ialah Hori dan Hemam; dan Timna ialah saudara perempuan Lotan. 23 Anak Syobal ialah Alwan, Manahat, Ebal, Syefo, dan Onam. 24 Anak Zibeon ialah Aya dan Ana. Ana inilah yang menemukan mata air panas di gurun sewaktu dia menggembalai keldai Zibeon, ayahnya. 25 Ana mempunyai seorang anak lelaki, iaitu Disyon, dan seorang anak perempuan, iaitu Oholibama. 26 Anak Disyon ialah Hemdan, Esban, Yitran, dan Keran. 27 Anak Ezer ialah Bilhan, Zaawan, dan Akan. 28 Anak Disyan ialah Us dan Aran. 29 Inilah ketua kaum orang Hori iaitu ketua kaum Lotan, ketua kaum Syobal, ketua kaum Zibeon, ketua kaum Ana, 30 ketua kaum Disyon, ketua kaum Ezer, dan ketua kaum Disyan. Itulah susunan ketua kaum orang Hori menurut kaum-kaum mereka di Tanah Seir.
31 Inilah barisan raja yang bertakhta di Tanah Edom sebelum ada seorang raja yang bertakhta di atas orang Israel: 32 Bela bin Beor bertakhta di Edom, nama kotanya ialah Dinhaba. 33 Setelah Bela mati, Yobab bin Zerah dari Bozra menaiki takhta untuk menggantikannya. 34 Setelah Yobab mati, Husyam dari negeri orang Teman menaiki takhta untuk menggantikannya. 35 Setelah Husyam mati, Hadad bin Bedad, yang mengalahkan orang Madyan di daerah Moab, menaiki takhta untuk menggantikannya. Nama kotanya ialah Awit. 36 Setelah Hadad mati, Samla dari Masreka menaiki takhta untuk menggantikannya. 37 Setelah Samla mati, Saul dari Rehobot, yang terletak di tepi sungai, menaiki takhta untuk menggantikannya. 38 Setelah Saul mati, Baal-Hanan bin Akhbor menaiki takhta untuk menggantikannya. 39 Setelah Baal-Hanan bin Akhbor mati, Hadar menaiki takhta untuk menggantikannya, nama kotanya ialah Pahu. Isterinya bernama Mehetabeel binti Matred anak perempuan Mezahab.
40 Inilah nama pemimpin keturunan Esau menurut kaum dan tempat tinggal mereka, dengan nama masing-masing: ketua kaum Timna, ketua kaum Alwa, ketua kaum Yetet, 41 ketua kaum Oholibama, ketua kaum Ela, ketua kaum Pinon, 42 ketua kaum Kenas, ketua kaum Teman, ketua kaum Mibzar, 43 ketua kaum Magdiel, dan ketua kaum Iram. Itulah para ketua kaum Edom menurut tempat tinggal mereka di tanah milik mereka. Itulah Esau, bapa leluhur orang Edom.
 
 
 
 
 
 
37
Nabi Yusuf dan saudara-saudaranya
1 Yakub tinggal di negeri tempat ayahnya menjadi pendatang, iaitu di Tanah Kanaan.
2 Inilah riwayat keturunan Yakub.
Maka Yusuf anaknya yang berusia tujuh belas tahun itu menggembalakan kawanan ternakan bersama-sama saudara-saudaranya. Dia yang masih muda itu menyertai anak Bilha dan Zilpa, kedua-dua isteri ayahnya, dan Yusuf sering menyampaikan laporan yang buruk tentang saudara-saudaranya kepada ayahnya.
3 Israel memang lebih mengasihi Yusuf daripada semua anaknya yang lain, kerana dialah anak yang lahir pada masa tuanya. Maka dia membuatkan Yusuf sehelai jubah indah yang berlengan panjang. 4 Apabila saudara-saudaranya melihat betapa ayah mereka lebih mengasihi Yusuf berbanding dengan kesemua saudaranya, mereka pun membencinya dan tidak mahu ramah mesra jika berbicara dengannya.
5 Yusuf yang mendapat satu mimpi menceritakan mimpinya itu kepada para saudaranya lalu mereka semakin benci kepadanya. 6 Kata Yusuf kepada mereka, “Dengarlah mimpi yang kudapat ini. 7 Sewaktu kita sedang mengikat berkas-berkas gandum di ladang, tiba-tiba berkas gandumku bangkit dan berdiri tegak, lalu datanglah berkas gandummu mengelilingi berkas gandumku dan sujud memberi hormat.” 8 Kata para saudaranya kepadanya, “Masakan engkau mahu bertakhta atas kami atau berkuasa atas kami?” Tentunya mereka semakin benci kepadanya atas sebab mimpinya serta kata-katanya itu.
9 Selepas itu, Yusuf bermimpi suatu mimpi yang lain, lalu dia menceritakannya kepada para saudaranya, katanya, “Dengarlah, aku bermimpi lagi. Kelihatan matahari, bulan, dan sebelas butir bintang sujud memberi hormat kepadaku.” 10 Akan tetapi, ketika Yusuf menceritakan mimpinya itu kepada ayahnya serta para saudaranya, ayahnya mengherdiknya dan berkata kepadanya, “Mimpi apa itu? Akankah aku, ibumu, dan para saudaramu datang dan sujud memberi hormat kepadamu?” 11 Maka dengkilah para saudaranya terhadap dia namun ayahnya menyimpan hal itu dalam hatinya.
Nabi Yusuf dijual oleh saudara-saudaranya
12 Ketika saudara-saudara Yusuf pergi menggembala kawanan ternakan ayah mereka dekat Sikhem, 13 berkatalah Israel kepada Yusuf, “Saudara-saudaramu sedang menggembala kawanan ternakan dekat Sikhem, bukan? Marilah, aku mahu menyuruh kamu pergi menemui mereka.” Jawab Yusuf, “Ya, ayah.” 14 Lalu dia berpesan kepada Yusuf, “Pergilah dan lihat, sama ada saudara-saudaramu serta seluruh kawanan ternakan dalam keadaan baik. Setelah itu, kembalilah dan khabarkan kepadaku.” Lalu dia menyuruh Yusuf pergi melalui Lembah Hebron. Yusuf pun sampai di Sikhem. 15 Dia berjalan ke sana ke mari di padang, lalu bertemu dengan seorang lelaki. Tanya orang itu kepadanya, “Apakah yang kamu cari?” 16 Jawabnya, “Aku mencari saudara-saudaraku. Tolong beritahu aku di mana mereka menggembala ternakan mereka.” 17 Kata orang itu, “Mereka sudah berangkat dari sini, kerana kudengar mereka berkata, ‘Mari kita pergi ke Dotan.’ ” Maka pergilah Yusuf menyusul saudara-saudaranya, lalu menemui mereka di Dotan.
18 Saudara-saudaranya melihat dia dari jauh. Bagaimanapun, sebelum Yusuf mendekat, mereka bersekongkol untuk membunuhnya. 19 Kata mereka sesama sendiri, “Lihat, si tukang mimpi itu datang! 20 Ayuh, sekarang kita bunuh dia dan kita humban mayatnya ke dalam salah sebuah perigi di sini. Kita katakan sahaja bahawa dia dibaham oleh binatang buas. Nanti kita lihat, apa yang akan terjadi dengan segala mimpinya itu!” 21 Tetapi ketika Ruben mendengar hal itu, dia berusaha menyelamatkan Yusuf daripada perbuatan tangan mereka itu. Katanya, “Jangan kita bunuh dia.” 22 Kata Ruben lagi kepada mereka, “Jangan tumpahkan darah. Lemparkan dia sahaja ke dalam perigi yang ada di gurun ini, tetapi jangan cederakan dia.” Maksudnya adalah untuk menyelamatkan Yusuf daripada penganiayaan mereka dan membawanya kembali kepada ayahnya. 23 Maka setibanya Yusuf di tempat para saudaranya, mereka menanggalkan jubahnya, iaitu jubah indah berlengan panjang yang dipakainya itu, 24 lalu membawa dia dan melemparkannya ke dalam sebuah perigi kosong yang tidak berair.
25 Setelah itu, mereka pun duduk untuk makan roti. Ketika mendongak, kelihatan ada sebuah kafilah bani Ismail yang datang dari Gilead. Unta mereka sarat dengan muatan rempah-ratus, balsam, dan damar wangi untuk dibawa ke Mesir. 26 Lalu berkatalah Yudah kepada para saudaranya, “Apa untungnya kita membunuh adik kita dan menyembunyikan penumpahan darahnya? 27 Mari kita jualnya kepada bani Ismail ini. Jangan kita cederakan dia, kerana dia memang adik kita, darah daging kita.” Maka para saudaranya pun menyetujui kata-katanya. 28 Ketika para saudagar Madyan itu tiba berdekatan dengan mereka, Yusuf ditarik dan diangkat keluar dari dalam perigi, lalu dijual kepada bani Ismaila itu dengan harga dua puluh keping perak. Maka kumpulan orang itu pun membawa Yusuf ke Mesir.
29 Ketika Ruben kembali ke perigi itu, dilihatnya Yusuf sudah tiada di dalam perigi. Maka dia pun mengoyakkan pakaiannya. 30 Dia kembali kepada para saudaranya dan berkata, “Budak itu tidak ada lagi! Ke manakah aku harus pergi sekarang?” 31 Lalu mereka menyembelih seekor kambing jantan lalu mengambil jubah Yusuf dan mencelupkan jubah tersebut ke dalam darah kambing tadi. 32 Setelah itu, mereka membawa jubah indah berlengan panjang itu kepada ayah mereka lalu berkata, “Kami menemukan jubah ini. Periksalah, sama ada ini jubah anak bapa atau bukan.” 33 Yakub memeriksanya, lalu berkata, “Ini jubah anakku! Binatang buas menyerangnya! Pasti Yusuf telah dibaham oleh binatang itu!” 34 Lalu Yakub mengoyakkan pakaiannya dan mengenakan pakaian berkabung lalu diratapinya anaknya itu berhari-hari lamanya. 35 Semua anaknya baik lelaki mahupun perempuan berusaha menghiburkannya, tetapi dia enggan dihiburkan. Katanya, “Tidak! Dengan meratap aku akan turun mendapatkan anakku di alam kubur.” Demikianlah Yusuf ditangisi oleh ayahnya. 36 Sementara itu, di negeri Mesir Yusuf dijual oleh orang Madyan itu kepada Potifar, seorang pegawai istana Firaun, iaitu ketua pengawal diraja.
 
 
 
 
 
 
38
Yudah dan Tamar
1 Maka Yudah pun pergi meninggalkan para saudaranya dan menumpang dengan seorang bani Adulam yang bernama Hira. 2 Di situ Yudah melihat anak perempuan seorang Kanaan yang bernama Syua. Maka Yudah memperisteri perempuan itu dan menidurinya. 3 Perempuan itu mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Er. 4 Lalu dia mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Onan. 5 Setelah itu, dia sekali lagi melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya Syela. Yudah berada di Kezib pada masa anak itu dilahirkan.
6 Maka Yudah pun mengambil seorang isteri untuk anaknya yang sulung, iaitu Er. Nama perempuan itu ialah Tamar. 7 Akan tetapi Allah mengambil nyawa Er, anak sulung Yudah yang jahat dalam pandangan Allah. 8 Lalu berkatalah Yudah kepada Onan, “Kahwinilah isteri abangmu dan penuhilah kewajipanmu sebagai ipar, supaya kamu membina keturunan untuk abangmu.” 9 Akan tetapi, Onan tahu bahawa keturunan itu kelak tidak akan diakui sebagai miliknya. Jadi, setiap kali dia meniduri isteri abangnya, dia melepaskan air maninya ke tanah kerana dia tidak mahu ada keturunan untuk abangnya. 10 Perbuatannya itu jahat dalam pandangan Allah lalu Allah pun mengambil nyawanya. 11 Lalu Yudah berkata kepada Tamar, menantunya, “Tinggallah sebagai balu di rumah ayahmu sehingga anakku Syela dewasa,” kerana fikir Yudah, “Jangan-jangan Syela juga mati seperti kedua-dua abangnya.” Maka pergilah Tamar dan tinggal di rumah ayahnya.
12 Setelah beberapa lama kemudian, isteri Yudah, iaitu anak perempuan kepada Syua meninggal. Ketika hati Yudah sudah pulih, dia pun pergi ke tempat para penggunting bulu kawanan dombanya di Timna bersama-sama sahabatnya, Hira, seorang Adulam. 13 Maka Tamar dikhabarkan demikian: “Ketahuilah, ayah mentuamu sedang menuju Timna untuk menggunting bulu kawanan dombanya.” 14 Maka Tamar pun menanggalkan pakaian kelaziman seorang balu lalu menutupi wajahnya dan menyelubungi dirinya, lalu duduk di pintu masuk menuju Enaim, yang terletak di jalan ke Timna. Dilakukannya sedemikian kerana dia melihat bahawa Syela sudah dewasa tetapi dia tidak juga diberikan kepada Syela untuk diperisteri. 15 Ketika Yudah melihat Tamar yang menutupi wajahnya itu, dia menyangka perempuan itu seorang pelacur. 16 Lalu didekatinya perempuan itu di tepi jalan dan tanpa mengetahui perempuan itu menantunya, berkatalah dia, “Marilah, aku mahu tidur denganmu.” Balas perempuan itu, “Apa yang akan kauberikan kepadaku kalau kamu tidur dengan aku?” 17 Jawabnya, “Nanti kukirimkan kepadamu seekor anak kambing daripada kawanan ternakanku.” Kata perempuan itu, “Asalkan kamu memberikan jaminan sampai kamu mengirimkannya kepadaku.” 18 Tanyanya, “Jaminan apa yang harus kuberikan kepadamu?” Jawab perempuan itu, “Cincin materaimu, kalungmu, dan tongkat yang ada di tanganmu itu.” Maka diberikannyalah semua itu kepadanya, lalu dia menidurinya. Maka mengandunglah perempuan itu akibat kejadian itu. 19 Lalu bangkitlah perempuan itu dan pergi dari situ. Dia menanggalkan penutup wajahnya dan memakai pakaian lazim seorang balu semula.
20 Yudah mengirimkan anak kambing yang dijanjikannya melalui sahabatnya, orang Adulam itu, dan juga untuk mengambil barang-barang jaminannya kembali daripada perempuan itu. Namun demikian, sahabatnya tidak berjaya menemukan perempuan itu. 21 Dia bertanya-tanya kepada orang di tempat itu, katanya, “Di manakah perempuan pelacur kuila yang ada di tepi jalan dekat Enaim itu?” Jawab mereka, “Di sini tidak ada perempuan pelacur kuil.” 22 Maka kembalilah dia kepada Yudah dan berkata, “Aku tidak berjaya menemukannya. Apatah lagi, orang di tempat itu berkata, ‘Di sini tidak ada perempuan pelacur kuil.’ 23 Kata Yudah, “Biarlah barang-barang itu diambilnya, supaya kita tidak diketawakan orang. Sesungguhnya, aku sudah mengirimkan anak kambing ini, tetapi kamu tidak menemukan dia.”
24 Kira-kira tiga bulan kemudian kepada Yudah dikhabarkan, “Tamar, menantumu, telah berbuat zina. Malah, ketahuilah bahawa dia mengandung akibat perzinaannya itu.” Kata Yudah, “Bawalah dia ke mari, biar dia dibakar!” 25 Ketika dia sedang dibawa keluar, dia menyuruh orang untuk menyampaikan pesan kepada ayah mentuanya, “Aku mengandung atas perbuatan lelaki yang memiliki barang-barang ini.” Pesannya pula, “Periksalah, siapa gerangan pemilik cincin materai, kalung, dan tongkat ini.” 26 Yudah memeriksa barang-barang itu lalu katanya, “Perempuan itulah yang lebih tulus, kerana aku tidak memberikan dia kepada Syela, anakku.” Sejak itu Yudah tidak lagi meniduri perempuan itu.
27 Apabila tiba waktu perempuan itu akan bersalin, diketahui bahawa ada anak kembar di dalam kandungannya. 28 Semasa kelahiran itu, seorang daripada bayi kembar itu mengeluarkan tangannya. Bidan mengambil seutas benang merah tua lalu diikatkannya pada tangan bayi itu, katanya, “Inilah yang keluar lebih dahulu.” 29 Tetapi bayi itu menarik tangannya kembali, lalu keluarlah saudara kembarnya. Kata bidan itu, “Betapa kuatnya kamu menerobos keluar!” Oleh sebab itu, dia dinamai Peres. 30 Barulah kemudian keluar saudaranya, yang pada tangannya ada benang merah tua, lalu dia dinamai Zerah.
 
 
 
 
 
 
39
Nabi Yusuf dan isteri Potifar
1 Sementara itu, Yusuf dibawa ke Mesir lalu seorang Mesir, Potifar, pegawai istana Firaun dan ketua pengawal diraja, membelinya daripada tangan bani Ismail yang membawanya ke sana. 2 Allah menyertai Yusuf sehingga dia menjadi seorang yang berjaya dalam pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu. 3 Tuannya melihat betapa Allah menyertai Yusuf dan bahawa Allah membuat segala sesuatu yang dikerjakannya berjaya. 4 Maka dia berkenan kepada Yusuf dan menjadikan Yusuf khadam peribadi yang melayaninya. Dia menugaskan Yusuf untuk menjadi pengawas di rumahnya. Segala harta bendanya diserahkannya kepada kuasa tadbir Yusuf. 5 Semenjak Yusuf ditugaskan untuk mentadbir urusan di rumahnya dan segala harta bendanya, Allah memberkati rumah tangga warga Mesir itu atas sebab Yusuf. Berkat Allah melimpah atas segala harta bendanya, baik yang ada di rumah mahupun yang ada di ladang. 6 Lalu dia menyerahkan segala harta bendanya untuk ditadbir urus oleh Yusuf, dan dengan bantuan Yusuf dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi selain makanan yang hendak dimakannya.
Yusuf seorang yang berbadan tegap dan tampan parasnya. 7 Setelah beberapa lamanya, isteri tuannya mengerlingkan mata kepada Yusuf dan berkata, “Ayuh, tidurlah dengan aku.” 8 Akan tetapi, Yusuf menolaknya. Katanya kepada isteri tuannya itu, “Sesungguhnya, dengan bantuanku tuanku itu tidak perlu memikirkan apa-apa lagi di rumah ini. Segala sesuatu yang dimilikinya telah diserahkannya kepada kuasa tadbir urusku. 9 Di rumah ini tidak ada seorang pun yang lebih besar kuasanya daripada aku, dan tuanku tidak menahan apa-apa pun daripada aku kecuali cik puan, kerana cik puan isterinya. Bagaimanakah mungkin aku melakukan kejahatan besar ini dan berdosa terhadap Allah?” 10 Jadi, meskipun hari demi hari dia memujuk Yusuf namun Yusuf tidak mengendahkan pujukannya untuk tidur dengannya, ataupun sekadar bersama-samanya.
11 Pada suatu hari, Yusuf masuk ke dalam rumah untuk menjalankan tugasnya. Tiada seorang pun ada di rumah pada waktu itu. 12 Lalu perempuan itu memegang jubah Yusuf sambil berkata, “Ayuh, tidurlah dengan aku!” Bagaimanapun, Yusuf meninggalkan jubahnya di tangan perempuan itu lalu lari keluar. 13 Apabila perempuan itu melihat bahawa Yusuf lari keluar dengan meninggalkan jubahnya di tangannya, 14 dia pun memanggil seisi rumahnya. Katanya kepada mereka, “Lihatlah, suamiku membawakan kita seorang Ibrani untuk mempermainkan kita! Dia masuk untuk tidur dengan aku, tetapi aku berteriak dengan suara nyaring. 15 Apabila dia mendengar aku berteriak dengan kuat, dia meninggalkan jubahnya di sisiku lalu lari keluar.” 16 Lalu perempuan itu menyimpan jubah Yusuf di sisinya sehingga tuan rumah pulang. 17 Lalu perempuan itu berkata demikian kepada Potifar, katanya, “Hamba Ibrani yang kaubawa untuk kita itu datang kepadaku untuk mempermainkan aku. 18 Sebaik sahaja aku berteriak dengan suara nyaring, dia meninggalkan jubahnya di sisiku lalu dia lari keluar.”
19 Setelah Potifar mendengar kata-kata yang disampaikan isterinya kepadanya, “Begitulah hambamu memperlakukan aku,” dia menjadi tersangat marah. 20 Lalu dia membawa Yusuf lalu memasukkannya ke dalam penjara, tempat para tahanan raja dikurung. Maka Yusuf dipenjarakan di situ. 21 Akan tetapi, Allah menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih-Nya kepadanya lalu Dia membuat ketua penjara itu berkenan pada Yusuf. 22 Lalu ketua penjara itu menyerahkan semua tahanan di dalam penjara itu kepada pengawasan Yusuf. Segala sesuatu yang harus dikerjakan di situ, Yusuflah yang mengerjakannya. 23 Ketua penjara itu tidak perlu lagi untuk mengurus segala sesuatu yang sudah dijalankan oleh Yusuf, kerana Allah menyertainya dan Allah membuat apa-apa yang dikerjakannya berhasil.
 
 
 
 
 
 
40
Yusuf mentafsir mimpi dua orang tahanan
1 Tidak lama sesudah peristiwa-peristiwa itu, pengurus minuman dan tukang roti raja Mesir melakukan kesalahan terhadap tuan mereka, raja Mesir. 2 Maka murkalah Firaun kepada kedua-dua orang pegawai istananya itu, iaitu kepada ketua pengurus minuman serta ketua tukang rotinya. 3 Dia menempatkan mereka dalam tahanan di rumah ketua pengawal diraja, iaitu ke dalam penjara tempat Yusuf ditahan. 4 Lalu ketua pengawal diraja menyuruh Yusuf untuk menjadi pengiring mereka, dan Yusuf pun melayani mereka. Mereka berada dalam tahanan selama beberapa waktu.
5 Maka terjadilah pada malam yang sama, pengurus minuman serta tukang roti raja Mesir yang ditahan di dalam penjara itu bermimpi. Mimpi masing-masing memiliki erti yang berbeza. 6 Pada pagi harinya, ketika Yusuf datang menemui mereka dan memperhatikan mereka, tampak mereka sedang bersusah hati. 7 Maka bertanyalah Yusuf kepada kedua-dua pegawai istana Firaun yang dikurung bersama-sama dengannya di dalam penjara di rumah tuannya itu, “Mengapakah wajah kamu muram hari ini?” 8 Jawab mereka kepadanya, “Kami bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya.” Kata Yusuf kepada mereka, “Bukankah tafsiran mimpi itu adalah daripada Allah? Ceritakanlah mimpi itu kepadaku.”
9 Lalu ketua pengurus minuman menceritakan mimpinya kepada Yusuf, katanya, “Dalam mimpiku itu kelihatan sebuah pokok anggur di hadapanku. 10 Pokok anggur itu bercabang tiga. Sebaik pokok itu bertunas, bunganya berkembang dan tandannya pun mengeluarkan buah anggur yang ranum. 11 Pada waktu itu cawan Firaun ada di tanganku. Lalu buah anggur itu kuambil dan kuperah ke dalam cawan Firaun. Lalu kupersembahkan cawan itu kepada tangan Firaun.” 12 Kata Yusuf kepadanya, “Inilah tafsiran bagi mimpimu: tiga cabang itu bererti tiga hari. 13 Dalam masa tiga hari, Firaun akan membebaskan kamu dan mengembalikan jawatan dahulu kepada kamu. Kamu akan kembali mempersembahkan cawan kepada tangan Firaun, seperti yang biasa kamu lakukan sebelumnya ketika kamu menjadi pengurus minuman. 14 Tetapi ingatlah akan aku apabila keadaanmu sudah baik nanti dan berbuat baiklah kepadaku. Ceritakanlah perihalku kepada Firaun dan tolong keluarkan aku dari rumah ini, 15 kerana sebenarnya aku ini diculik dari negeri orang Ibrani, dan di sini pun aku tidak pernah berbuat sesuatu yang menyebabkan aku patut dimasukkan ke dalam kurungan ini.”
16 Apabila ketua tukang roti melihat betapa baiknya tafsiran mimpi itu, dia pun berkata kepada Yusuf, “Aku juga bermimpi: Kelihatan tiga bakul roti di atas kepalaku. 17 Di dalam bakul teratas ada segala jenis santapan Firaun buatan tukang roti, tetapi burung-burung memakannya daripada bakul yang ada di atas kepalaku itu.” 18 Jawab Yusuf, “Inilah tafsiran bagi mimpimu: tiga bakul itu bererti tiga hari. 19 Dalam masa tiga hari, Firaun akan memenggal kamu dengan menggantung kamu pada sebatang tiang, lalu burung-burung akan memakan daging tubuhmu.”
20 Pada hari ketiga, iaitu hari ulang tahun kelahiran Firaun, Firaun mengadakan jamuan untuk meraikan kesemua pegawainya. Dia membebaskan ketua pengurus minuman serta ketua tukang roti di hadapan para pegawainya. 21 Kemudian dia memulihkan kedudukan ketua pengurus minuman, maka dapatlah orang tersebut kembali mempersembahkan cawan kepada tangan Firaun. 22 Akan tetapi, ketua tukang roti digantungnya, seperti yang ditafsirkan Yusuf kepada mereka. 23 Namun begitu, ketua pengurus minuman tidak teringat akan Yusuf, malah dia melupakannya.
 
 
 
 
 
 
41
Nabi Yusuf mentafsir mimpi Firaun
1 Genap dua tahun selepas itu, bermimpilah Firaun. Kelihatan ketika dia berdiri di tepi Sungai Nil 2 tiba-tiba muncul tujuh ekor lembu yang elok bentuknya dan gemuk badannya dari Sungai Nil, lalu lembu-lembu itu meragut rumput di antara tumbuhan mensiang. 3 Sesudah itu, muncul pula tujuh ekor lembu lain yang buruk bentuknya dan kurus badannya dari Sungai Nil, lalu lembu-lembu itu berdiri di sisi lembu-lembu yang terdahulu di tepi Sungai Nil itu. 4 Kemudian lembu-lembu yang buruk bentuknya dan kurus itu memakan ketujuh-tujuh ekor lembu yang elok bentuknya dan gemuk tadi. Lalu terjagalah Firaun. 5 Firaun tertidur lagi dan bermimpi untuk kali kedua. Kelihatan tujuh bulir gandum yang berisi dan elok tumbuh pada satu batang. 6 Tidak lama kemudian tumbuh pula tujuh bulir gandum yang kurus dan layu oleh bahang angin timur. 7 Lalu ketujuh-tujuh bulir yang kurus itu menelan ketujuh-tujuh bulir yang berisi dan masak. Firaun pun terjaga lagi dan menyedari bahawa dia sebenarnya bermimpi! 8 Maka pada pagi harinya resahlah hatinya. Dia mengerah orang untuk memanggil semua ahli sihir Mesir serta semua cendekiawan, lalu menceritakan mimpinya kepada mereka. Namun begitu, tiada seorang pun dapat mentafsirkannya untuk Firaun.
9 Maka berkatalah ketua pengurus minuman kepada Firaun, “Hari ini hamba teringat kesalahan hamba. 10 Dahulu Firaun pernah murka kepada pegawai-pegawainya, kemudian hamba berserta ketua tukang roti dimasukkan ke dalam tahanan di rumah ketua pengawal diraja. 11 Pada malam yang sama, kami, iaitu hamba dan rakan hamba itu, bermimpi. Mimpi kami masing-masing memiliki tafsiran tersendiri. 12 Bersama-sama kami di sana ada seorang pemuda Ibrani, hamba ketua pengawal diraja. Kemudian kami menceritakan mimpi kami kepadanya, lalu dia mentafsirkan mimpi kami masing-masing. 13 Ternyata tepat seperti apa yang ditafsirkannya kepada kami, demikianlah yang terjadi. Hamba dikembalikan kepada kedudukan hamba, dan rakan hamba itu digantung.”
14 Maka Firaun memerintahkan orang untuk memanggil Yusuf, dan dengan segera dia dikeluarkan daripada kurungan. Setelah bercukur dan berganti pakaian, masuklah dia menghadap Firaun. 15 Kata Firaun kepada Yusuf, “Aku bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkannya. Lalu kudengar khabar tentang kamu bahawa apabila kamu mendengar suatu mimpi, kamu dapat mentafsirkannya.” 16 Jawab Yusuf kepada Firaun, “Bukan hamba, melainkan Allah sajalah yang akan memberikan jawapan demi kesejahteraan Firaun.” 17 Berkatalah Firaun kepada Yusuf, “Dalam mimpiku itu, aku sedang berdiri di tepi Sungai Nil. 18 Tiba-tiba muncul tujuh ekor lembu yang elok bentuknya dan gemuk badannya dari Sungai Nil, lalu lembu-lembu itu meragut rumput di antara tumbuhan mensiang. 19 Sesudah itu, muncul pula tujuh ekor lembu lain yang lemah lumpuh, sangat buruk bentuknya dan kurus kering badannya. Belum pernah aku melihat lembu seburuk itu di seluruh Tanah Mesir. 20 Kemudian lembu-lembu yang kurus dan buruk itu makan tujuh ekor lembu gemuk yang mula-mula muncul tadi. 21 Namun begitu, sekalipun telah makan lembu-lembu yang gemuk itu, masih tiada tanda-tanda bahawa lembu-lembu gemuk itu sudah menjadi makanan kerana bentuk lembu-lembu yang kurus kering itu tetap buruk seperti mula-mulanya. Lalu aku pun terjaga. 22 Dalam mimpiku selanjutnya kelihatan tujuh bulir gandum yang berisi dan elok tumbuh pada satu batang. 23 Setelah itu, tumbuh pula tujuh bulir gandum yang kering, kurus dan layu oleh bahang angin timur. 24 Lalu bulir yang kurus itu menelan ketujuh-tujuh bulir yang elok. Semua ini telah kuceritakan kepada para ahli sihir tetapi tiada seorang pun yang dapat memberitahukan ertinya kepadaku.”
25 Maka berkatalah Yusuf kepada Firaun, “Mimpi-mimpi Firaun itu sama. Allah memberitahu Firaun apa yang hendak dilakukan oleh-Nya. 26 Tujuh ekor lembu yang baik itu ertinya tujuh tahun, dan tujuh bulir gandum yang baik itu pun ertinya tujuh tahun. Jadi, kedua-dua mimpi itu sama. 27 Tujuh ekor lembu kurus dan buruk yang muncul kemudian ertinya tujuh tahun, demikian juga tujuh bulir gandum yang kering, kurus dan layu oleh bahang angin timur itu. Itulah petanda akan berlaku tujuh tahun bencana kebuluran. 28 Inilah maksud seperti apa yang hamba sampaikan tadi kepada Firaun, iaitu bahawa Allah telah menyatakan kepada Firaun apa yang hendak dilakukan-Nya. 29 Sesungguhnya, akan datang tujuh tahun kelimpahan besar di seluruh Tanah Mesir, 30 tetapi sesudah itu akan muncul tujuh tahun bencana kebuluran. Segala kelimpahan sebelumnya di Tanah Mesir akan dilupakan, dan bencana kebuluran itu akan memusnahkan negeri ini. 31 Kelimpahan yang pernah dialami di negeri ini tidak akan diingati lagi, kerana bencana kebuluran yang datang sesudahnya sangatlah dahsyat. 32 Mimpi itu diulang sampai dua kali untuk Firaun kerana hal itu sudah ditetapkan Allah dan Allah akan melaksanakannya dengan seberapa segera. 33 Maka sekarang, sebaik-baiknya Firaun mencari seorang yang arif lagi bijaksana, dan mengangkatnya untuk mengetuai Tanah Mesir. 34 Selanjutnya hendaklah Firaun melantik para pengawas atas negeri ini untuk mengambil satu perlima bahagian daripada hasil Tanah Mesir dalam tujuh tahun kelimpahan itu. 35 Mereka harus mengumpulkan semua bahan makanan dalam tahun-tahun baik yang akan datang itu dan menyimpan gandum bawah kekuasaan Firaun sebagai bahan makanan di kota-kota, serta menjaganya. 36 Bahan makanan itu akan menjadi persediaan untuk negeri ini menghadapi tujuh tahun bencana kebuluran yang akan terjadi di Tanah Mesir, supaya negeri ini tidak binasa akibat bencana kebuluran itu kelak.”
Nabi Yusuf diangkat menjadi pentadbir Mesir
37 Usul itu dipandang baik oleh Firaun dan semua pegawainya. 38 Lalu kata Firaun kepada para pegawainya, “Bolehkah kita mencari orang seperti itu, yang dipenuhi roh dari Allah?” 39 Lalu Firaun berkata kepada Yusuf, “Oleh sebab Allah telah menyatakan kepadamu semua hal ini, tentunya tidak ada orang yang sedemikian arif dan bijaksana seperti kamu. 40 Kamu akan mengetuai istanaku, dan seluruh rakyatku harus tunduk kepada pentadbiranmu. Takhta ini sahaja yang membuat aku lebih besar daripada kamu.” 41 Kata Firaun lagi kepada Yusuf, “Dengan ini aku mengangkat kamu untuk mentadbir seluruh Tanah Mesir.” 42 Kemudian Firaun mencabut cincin daripada jari tangannya dan memakaikannya pada jari Yusuf. Dipakaikannya pula pakaian daripada kain linen yang halus pada Yusuf, serta dikalungkannya kalung emas di lehernya. 43 Dia memerintahkan orang untuk menaikkan Yusuf ke kereta kudanya yang kedua, dan di hadapan Yusuf orang berseru, “Berlutut!” Demikianlah Yusuf diberi kuasa pentadbiran ke seluruh Tanah Mesir. 44 Firaun berkata kepada Yusuf, “Akulah Firaun, tetapi tanpa keizinanmu tiada seorang pun boleh melakukan sesuatu di seluruh Tanah Mesir.” 45 Firaun mengurniakan gelaran Zafnat-Paaneah kepada Yusuf, dan memberinya Asnat, anak gadis Potifera, imam di On, sebagai isterinya. Maka berkuasalah Yusuf ke seluruh Tanah Mesir.
46 Yusuf berumur tiga puluh tahun ketika dia menghadap Firaun, raja Mesir. Kemudian Yusuf pergi dari hadapan Firaun dan menjelajah ke seluruh Tanah Mesir. 47 Selama tujuh tahun kelimpahan itu, negeri itu mendapat hasil tuaian yang melimpah ruah. 48 Yusuf mengumpulkan semua bahan makanan yang berlebihan dalam tempoh tujuh tahun kelimpahan di Tanah Mesir itu dan menimbunnya di kota-kota. Di setiap kota ditimbunnya bahan makanan, hasil daripada ladang di sekeliling kota itu. 49 Demikianlah Yusuf menimbun amat banyak sekali gandum bagaikan pasir di laut, hingga dia berhenti menghitungnya kerana memang tidak terhitung lagi.
50 Sebelum munculnya tahun bencana kebuluran itu, Yusuf dikurniai dua orang anak lelaki yang dilahirkan oleh Asnat, anak Potifera, imam di On itu. 51 Yusuf menamakan anak sulungnya Manasye, kerana katanya, “Allah telah membuat aku lupa akan segala kesusahanku dan akan seisi rumah ayahku.” 52 Anaknya yang kedua pula dinamainya Efraim, kerana katanya, “Allah telah mengurniakan anak kepadaku di negeri aku ditimpa kesusahan.”
53 Maka berakhirlah tujuh tahun kelimpahan di Tanah Mesir itu 54 dan muncullah tujuh tahun bencana kebuluran, seperti yang telah dikatakan oleh Yusuf. Bencana kebuluran melanda semua negeri tetapi di Tanah Mesir masih ada makanan. 55 Ketika kebuluran juga menimpa seluruh penduduk Tanah Mesir, berserulah mereka kepada Firaun meminta makanan. Lalu kata Firaun kepada semua orang Mesir itu, “Pergilah kepada Yusuf. Lakukanlah apa yang dikatakannya kepadamu.”
56 Apabila bencana kebuluran itu melanda seluruh muka bumi, Yusuf membuka semua jelapang lalu menjual gandum kepada orang Mesir, kerana teruknya bencana kebuluran itu di Tanah Mesir. 57 Maka warga setiap negara juga datang ke Mesir untuk membeli gandum daripada Yusuf lantaran teruk sekali kebuluran yang melanda seluruh bumi.
 
 
 
 
 
 
42
Saudara Nabi Yusuf pergi ke Mesir
1 Yakub mendengar khabar bahawa di Mesir ada gandum. Maka berkatalah Yakub kepada anak-anaknya, “Mengapakah kamu pandang-memandang sahaja?” 2 Katanya lagi, “Aku mendengar bahawa di Mesir ada gandum. Pergilah ke sana dan belilah gandum untuk kita dari sana, supaya kita tetap hidup dan tidak mati.” 3 Maka pergilah sepuluh orang saudara Yusuf ke Mesir untuk membeli gandum. 4 Namun begitu, Yakub tidak membenarkan Benyamin, adik Yusuf, untuk pergi bersama-sama abang-abangnya kerana fikirnya, “Semoga tiada kemalangan menimpanya.” 5 Maka para anak Israel adalah antara orang ramai yang datang untuk membeli gandum, kerana bencana kebuluran melanda Tanah Kanaan dengan teruk.
6 Yusuf telah menjadi pembesar di bumi itu dan dialah yang menjual gandum kepada seluruh rakyat negeri itu. Jadi, setibanya para saudara Yusuf di sana, sujudlah mereka kepadanya demi memberi hormat. 7 Ketika Yusuf melihat abang-abangnya, dia memang mengenali mereka tetapi dia tetap berpura-pura sebagai orang asing dan berkata-kata kepada mereka dengan kasar. Tanyanya kepada mereka, “Dari manakah kamu datang?” Jawab mereka, “Dari Tanah Kanaan, hendak membeli bahan makanan.” 8 Meskipun Yusuf mengenali abang-abangnya, mereka tidak mengenalinya. 9 Maka teringatlah Yusuf akan mimpi-mimpinya dahulu tentang mereka. Lalu katanya kepada mereka, “Kamu ini pengintip! Kamu datang untuk meninjau-ninjau kelemahan negeri ini.” 10 Jawab mereka kepada Yusuf, “Bukan, tuanku. Hamba-hambamu ini datang untuk membeli bahan makanan. 11 Kami semua ini anak-anak daripada seorang ayah, dan kami ini orang jujur. Hamba-hambamu ini bukan pengintip.”
12 Akan tetapi, Yusuf berkata kepada mereka, “Tidak! Kamu datang untuk meninjau-ninjau kelemahan negeri ini!” 13 Jawab mereka, “Hamba-hambamu ini dua belas orang bersaudara, anak-anak daripada seorang ayah yang tinggal di Tanah Kanaan. Adik bongsu kami ada bersama-sama ayah kami sekarang, sedangkan yang seorang lagi sudah tidak ada.” 14 Kata Yusuf kepada mereka, “Seperti sudah kukatakan kepadamu tadi, kamu ini pengintip! 15 Demi hidup Firaun,a kamu harus diuji demikian: Kamu tidak boleh pergi dari sini kecuali jika adik bongsumu datang ke mari. 16 Suruhlah seorang daripada kamu pergi menjemput adikmu, sementara yang lain ditahan di sini. Dengan demikian kesahihan kata-katamu dapat diuji. Jika tidak, maka demi hidup Firaun, pastilah kamu ini pengintip!” 17 Kemudian dia memasukkan mereka ke dalam tahanan selama tiga hari.
18 Pada hari ketiga berkatalah Yusuf kepada mereka, “Aku bertakwa kepada Allah. Lakukanlah hal ini, maka kamu akan terus hidup: 19 Jika kamu memang orang jujur, biarkan seorang daripada kamu bersaudara tinggal terkurung di rumah tahanan, sementara yang lain pergi membawa gandum untuk keluargamu yang sedang kelaparan. 20 Tetapi kemudian bawalah adik bongsumu itu kepadaku, supaya kata-katamu terbukti benar dan kamu tidak mati.” Mereka pun menyetujuinya. 21 Kata mereka sesama sendiri, “Sesungguhnya, kita menanggung dosa kita terhadap adik kita. Kita lihat betapa menderita hatinya ketika dia memohon belas kasihan daripada kita, tetapi kita tidak mahu mendengarkannya. Itulah sebabnya penderitaan ini menimpa kita pula.” 22 Lalu Ruben menjawab mereka, “Bukankah sudah kukatakan kepada kamu, ‘Jangan berbuat dosa terhadap anak itu’? Tetapi kamu tidak mahu mendengar! Sekarang lihatlah, darahnya dituntut daripada kita.” 23 Mereka tidak tahu bahawa Yusuf faham akan percakapan mereka, kerana selama itu ada seorang jurubahasa yang bertugas antara mereka. 24 Maka berpalinglah Yusuf daripada mereka lalu menangis. Kemudian dia kembali lagi dan bercakap dengan mereka. Dia mengambil Simeon daripada antara mereka lalu menggarinya di hadapan mata mereka. 25 Setelah itu, Yusuf memberikan perintah agar karung-karung mereka diisi gandum, dan agar wang mereka dikembalikan ke dalam karung masing-masing. Selain itu, dia pun memberikan perintah agar mereka diberi bekal untuk perjalanan mereka. Maka demikianlah yang dilaksanakan.
26 Mereka memuatkan gandum itu ke atas keldai-keldai mereka lalu pergi dari situ. 27 Ketika seorang daripada mereka membuka karungnya untuk memberi keldainya makan di tempat bermalam, dilihatnya wangnya di mulut karung itu. 28 Katanya kepada para saudaranya, “Wangku dikembalikan! Lihat, ada di dalam karungku!” Maka cemaslah hati mereka, dan dengan gementar mereka berpandang-pandangan lalu berkata, “Apa gerangan yang dilakukan Allah terhadap kita?”
29 Sesampainya mereka di tempat Yakub, ayah mereka, di Tanah Kanaan, mereka menceritakan kepadanya segala sesuatu yang terjadi kepada mereka. Kata mereka, 30 “Orang yang berkuasa di negeri itu berkata-kata dengan kasar kepada kami. Disangkanya kami orang yang sedang mengintip negeri itu. 31 Jawab kami kepadanya, ‘Kami ini orang jujur, bukan pengintip. 32 Kami ini dua belas orang bersaudara, anak-anak daripada seorang ayah. Seorang sudah tidak ada, dan yang bongsu sekarang bersama-sama ayah kami di Tanah Kanaan.’ 33 Tetapi orang yang berkuasa di negeri itu berkata kepada kami, ‘Melalui hal ini aku akan tahu sama ada kamu orang jujur: tinggalkanlah seorang saudaramu denganku, kemudian ambillah makanan untuk keluargamu yang sedang kelaparan dan pergilah. 34 Kemudian bawalah adik bongsumu kepadaku, supaya aku tahu bahawa kamu bukan pengintip melainkan orang jujur. Setelah itu, aku akan mengembalikan saudaramu kepadamu, dan kamu pun boleh berniaga di negeri ini.’ ”
35 Ketika mereka hendak mengosongkan karung mereka, kelihatan kantung wang masing-masing ada di dalam karung. Apabila melihat kantung-kantung wang itu, mereka dan juga ayah mereka menjadi sangat ketakutan. 36 Lalu Yakub, ayah mereka, berkata kepada mereka, “Kamu membuat aku kehilangan anak-anakku. Yusuf sudah tidak ada, demikian pula Simeon. Sekarang, Benyamin pun hendak kamu ambil. Akulah yang menanggung semua ini!” 37 Kemudian Ruben berkata kepada ayahnya, “Bunuhlah dua orang anak lelakiku jika aku tidak membawanya kembali kepada ayah. Serahkanlah dia ke dalam tanganku, maka aku akan membawanya kembali kepada ayah.” 38 Akan tetapi jawabnya, “Anakku itu tidak boleh pergi bersama-sama kamu, kerana abangnya sudah mati, dan dia sendirilah yang masih hidup. Jika kemalangan menimpanya dalam perjalanan yang kamu tempuh, maka kamu akan membuat aku yang beruban ini turun ke alam kubur dalam dukacita.”
 
 
 
 
 
 
43
Saudara Nabi Yusuf berkunjung lagi ke Mesir
1 Begitu teruk bencana kebuluran melanda bumi itu. 2 Maka setelah gandum yang dibawa mereka dari Mesir habis dimakan, ayah mereka berkata kepada mereka, “Pergilah lagi dan beli sedikit lagi bahan makanan untuk kita.” 3 Akan tetapi, Yudah berkata kepadanya, “Orang itu bersungguh-sungguh mengingatkan kami, ‘Kamu tidak boleh melihat mukaku lagi, kecuali ada adikmu bersama-samamu.’ 4 Jika ayah mengizinkan adik kami pergi bersama-sama kami, barulah kami akan pergi membeli bahan makanan untuk ayah. 5 Tetapi jika ayah tidak mengizinkannya, kami tidak akan pergi, kerana orang itu telah berkata kepada kami, ‘Kamu tidak boleh melihat mukaku lagi, kecuali ada adikmu bersama-samamu.’ ” 6 Lalu kata Israel, “Mengapakah kamu menyusahkan aku dengan memberitahu orang itu bahawa kamu masih ada seorang lagi adik?” 7 Jawab mereka, “Orang itu bertanya dengan terperinci mengenai kami dan tentang sanak saudara kita. Dia bertanya, ‘Masih hidupkah ayahmu? Masih ada lagikah saudaramu?’ Maka kami menjawab seperti yang kami katakan itu. Bagaimanakah kami tahu kemudiannya dia akan berkata, ‘Bawalah adikmu ke mari’?” 8 Lalu kata Yudah pula kepada Israel, ayahnya, “Izinkanlah anak itu pergi bersama-samaku. Kami akan segera pergi supaya kita, iaitu kami, ayah, dan anak-anak kami, dapat terus hidup dan tidak mati. 9 Akulah yang menjamin keselamatannya. Ayah boleh menuntutnya daripada tanganku. Jika aku tidak membawanya kembali kepada ayah dan menyerahkannya kepada ayah, maka seumur hiduplah aku akan menanggung dosa itu terhadap ayah. 10 Jika kita tidak berlengah, tentunya sekarang ini pun kami sudah pulang untuk kali kedua.”
11 Lalu berkatalah Israel, ayah mereka, kepada mereka, “Jika memang perlu begitu, lakukanlah sebegini: Bawalah hasil terbaik negeri ini di dalam karung-karung kamu, dan bawalah kepada orang itu persembahan berupa sedikit balsam, sedikit madu, rempah-ratus, damar wangi, buah pistasio, dan buah badam. 12 Selain itu, bawalah wang sebanyak dua kali ganda dan wang yang dahulu dikembalikan di mulut karungmu masing-masing haruslah kamu bawa kembali. Mungkin terjadi kekeliruan pada masa itu. 13 Bawalah adikmu juga dan segeralah kembali kepada orang itu. 14 Kiranya Allah Yang Maha Kuasa menganugerahi aku rahmat di hadapan orang itu semoga dia membebaskan saudaramu yang lain itu dan juga Benyamin. Bagi diriku, sekiranya aku harus kehilangan anak-anakku, biarlah aku menanggung kehilangan itu.”
15 Lalu mereka menyiapkan segala barang persembahan itu berserta wang sebanyak dua kali ganda dan bersama-sama Benyamin, pergilah mereka ke Mesir. Sesampainya di sana, berdirilah mereka di hadapan Yusuf.
16 Ketika Yusuf melihat Benyamin ada bersama-sama mereka, berkatalah ia kepada pengawas rumah tangganya, “Bawalah para lelaki itu ke dalam rumah. Sembelihlah seekor haiwan dan sediakanlah makanan, kerana mereka itu akan makan bersama-samaku pada tengah hari ini.” 17 Orang itu melaksanakan perintah Yusuf, lalu dia membawa mereka masuk ke rumah Yusuf. 18 Para saudara menjadi ketakutan kerana mereka dibawa masuk ke rumah Yusuf. Kata mereka, “Kita dibawa masuk atas sebab wang yang dikembalikan ke dalam karung kita dahulu. Dia hendak menuduh kita, menangkap kita, menjadikan kita hamba-hambanya, serta mengambil keldai-keldai kita pula.” 19 Oleh sebab itu, mereka mendekati pengawas rumah tangga Yusuf itu dan bercakap dengannya di depan pintu rumah. 20 Kata mereka, “Ya tuan, dahulu memang kami pernah datang untuk membeli bahan makanan. 21 Pada waktu kami sampai di tempat bermalam dan membuka karung kami, kelihatan sejumlah wang yang telah kami bayar sebelumnya ada di mulut karung. Tetapi sekarang kami membawanya kembali, 22 dan kami juga membawa sejumlah wang lain untuk membeli bahan makanan. Kami tidak tahu siapa yang meletakkan wang itu ke dalam karung-karung kami.”
23 Kata pengawas itu, “Tenanglah, jangan takut! Tuhanmu dan Tuhan ayahmu telah mengurniakan kepadamu harta karun di dalam karungmu. Wangmu dahulu telah kuterima.” Kemudian dia membawa Simeon kepada mereka.
24 Setelah itu, dia membawa mereka masuk ke rumah Yusuf lalu memberi mereka air supaya mereka dapat membasuh kaki. Kemudian dia memberi keldai-keldai mereka makan. 25 Mereka menyiapkan persembahan mereka sambil menantikan kedatangan Yusuf pada tengah hari, kerana mereka mendengar bahawa mereka akan dijamu makan di situ. 26 Sesudah Yusuf pulang ke rumah, mereka pun menyerahkan kepada Yusuf segala persembahan yang dibawa masuk oleh mereka lalu mereka sujud di hadapannya memberi hormat. 27 Yusuf bertanyakan keadaan mereka, lalu katanya, “Baikkah keadaan ayahmu, orang tua yang kamu ceritakan itu? Masih hidupkah dia?”
28 Jawab mereka, “Hambamu, ayah kami, baik-baik dan masih hidup.” Lalu mereka membongkok dan sujud memberi hormat.
29 Yusuf memandang mereka lalu dilihatnya Benyamin, adiknya, saudara yang seibu dengannya. Tanyanya, “Inikah adikmu yang bongsu, yang kamu ceritakan kepadaku?” Katanya pula, “Kiranya Allah bermurah hati kepadamu, anakku!” 30 Yusuf pun segera beredar mencari tempat untuk menangis kerana hatinya sangat terharu melihat adiknya. Dia memasuki biliknya dan menangis di situ. 31 Setelah itu, dia membasuh mukanya dan keluar. Sambil menahan diri dia berkata, “Sajikan makanan.” 32 Makanan pun disajikan, di tempat Yusuf tersendiri, dengan para saudaranya di tempat tersendiri, dan tempat tersendiri juga bagi para warga Mesir yang makan bersama-sama. Orang Mesir memang tidak boleh makan sehidangan dengan orang Ibrani kerana bagi warga Mesir perkara itu suatu kekejian. 33 Para saudara Yusuf didudukkan di hadapannya mengikut urutan kelahiran mereka, daripada yang sulung sampai yang bongsu. Mereka pun berpandang-pandangan dalam kehairanan. 34 Kemudian sebahagian hidangan dari meja Yusuf disajikan di hadapan mereka masing-masing, tetapi bahagian untuk Benyamin disajikan lima kali lebih banyak daripada bahagian untuk semua yang lain. Mereka pun minum dan bersuka ria dengan Yusuf.
 
 
 
 
 
 
44
Nabi Yusuf menguji saudaranya
1 Setelah itu, Yusuf memberikan perintah kepada pengawas rumah tangganya, katanya, “Isikan bahan makanan ke dalam karung para lelaki itu sebanyak yang dapat dibawa mereka, dan letakkan wang masing-masing di mulut karungnya. 2 Selepas itu, simpan pialaku, iaitu piala perak itu, berserta dengan wang gandumnya, di mulut karung lelaki yang termuda.” Pengawas itu pun melakukan arahan Yusuf itu.
3 Sebaik sahaja pagi hari, para lelaki itu berserta keldai mereka dilepaskan. 4 Belum beberapa jauh mereka keluar dari kota itu, Yusuf berkata kepada pengawas rumah tangganya, “Cepatlah kejar kumpulan orang itu, dan ketika kamu sudah memintas mereka, katakan kepada mereka, ‘Mengapakah kamu membalas kebaikan dengan kejahatan? 5 Bukankah itu piala yang digunakan tuanku untuk minum dan untuk bernujum? Kamu telah melakukan perbuatan jahat!’ ”
6 Maka setelah pengawas itu memintas mereka dikatakannya sebagaimana yang diperintahkan oleh Yusuf. 7 Jawab mereka kepadanya, “Mengapakah tuan mengucapkan kata-kata seperti itu? Pantang bagi hamba-hambamu ini untuk melakukan hal seperti itu! 8 Malahan wang yang kami temukan di mulut karung kami dahulu pun telah kami bawa dari Tanah Kanaan dan kembalikan kepada tuan. Masakan kami mencuri perak atau emas dari rumah majikan tuan? 9 Jika ada sesiapa antara hambamu ini didapati menyimpan barang itu, biarlah dia dihukum mati dan biarlah kami menjadi hamba tuanku.” 10 Jawab orang itu, “Baik, kamu telah mengusulkan hukumanmu. Sesiapa yang didapati menyimpan barang itu akan menjadi hambaku, tetapi yang lain bebas daripada kesalahan.” 11 Maka mereka dengan segera menurunkan karung masing-masing ke tanah lalu membukanya. 12 Pengawas itu memeriksa, mulai yang tertua hingga yang termuda. Akhirnya, cawan itu ditemukan di dalam karung Benyamin. 13 Mereka pun mengoyakkan pakaian mereka. Kemudian masing-masing memuati keldainya, dan kembali semula ke kota.
14 Maka Yudah dan para saudaranya masuk ke rumah Yusuf dan mereka mendapati Yusuf masih ada di situ. Lalu sujudlah mereka di hadapannya. 15 Kata Yusuf kepada mereka, “Perbuatan apa yang kamu lakukan ini? Tidakkah kamu tahu bahawa orang seperti aku ini benar-benar dapat bernujum?” 16 Jawab Yudah, “Apakah yang dapat kami katakan kepada tuanku? Bagaimanakah kami harus berbicara? Bagaimanakah kami dapat membebaskan diri daripada hal ini? Allah telah memperlihatkan kesalahan hamba-hambamu ini. Sekarang, biarlah kami menjadi hamba tuanku, baik kami mahupun dia, yang di dalam karungnya telah ditemukan piala tuan.” 17 Tetapi jawab Yusuf, “Janganlah aku sekali-kali berbuat demikian! Hanya orang yang didapati membawa piala itu yang akan menjadi hambaku manakala kamu yang lain, pulanglah dengan sejahtera kepada ayahmu.”
18 Kemudian Yudah tampil mendekati Yusuf dan berkata, “Ya tuanku, mohon izinkan hambamu ini menyampaikan sepatah kata kepada tuanku. Janganlah amarah tuanku menyala kepada hambamu ini, kerana tuanku sama dengan Firaun sendiri. 19 Dahulu tuanku bertanya kepada hamba-hamba tuanku ini, ‘Adakah kamu masih mempunyai ayah atau saudara lagi?’ 20 Jawab kami kepada tuanku, ‘Kami mempunyai seorang ayah yang sudah tua. Ada juga seorang anaknya yang muda, yang lahir pada masa tuanya. Abangnya sudah meninggal, dan daripada anak-anak ibunya hanya dialah yang tinggal. Oleh itu, ayahnya menyayanginya.’ 21 Kemudian tuanku berkata kepada hamba-hambamu ini, ‘Bawalah dia kepadaku supaya aku dapat melihatnya.’ 22 Jawab kami kepada tuanku, ‘Anak muda itu tidak dapat meninggalkan ayahnya, kerana jika dia berpergian tentu ayahnya akan mati.’ 23 Akan tetapi, tuanku berkata kepada hamba-hambamu ini, ‘Jika adikmu yang bongsu itu tidak datang bersama-samamu, maka kamu tidak boleh melihat mukaku lagi.’
24 “Jadi, ketika kami pulang kepada hambamu, iaitu ayah hamba, kami menyampaikan kata-kata tuanku kepadanya. 25 Suatu kali ayah kami berkata, ‘Kembalilah, belilah sedikit bahan makanan untuk kita.’ 26 Bagaimanapun, kami berkata kepadanya, ‘Kami tidak boleh pergi. Jika adik kami yang bongsu ada bersama-sama kami, barulah kami akan pergi, kerana kami tidak boleh melihat muka orang itu jika adik kami yang bongsu tiada bersama-sama kami.’ 27 Lalu hambamu, iaitu ayah hamba, berkata kepada kami, ‘Kamu tahu bahawa isteriku telah melahirkan dua orang anak untukku. 28 Seorang sudah pergi meninggalkanku. Fikirku, “Pasti dia telah dibaham oleh binatang buas,” dan sampai sekarang aku memang tidak pernah melihatnya lagi. 29 Jika kamu mengambil anak ini juga daripadaku dan dia ditimpa kemalangan, maka kamu akan membuat aku yang beruban ini turun ke alam kubur dalam keadaan yang amat menyedihkan.’
30 “Maka sekarang, jika hamba kembali kepada ayah hamba, dan anak muda ini tidak bersama-sama kami padahal ayah hamba itu tidak dapat hidup tanpanya, 31 tentunya apabila dilihatnya anak muda ini tidak ada, dia akan mati. Dengan demikian, hamba-hambamu ini akan membuat hambamu, iaitu ayah kami yang beruban itu, turun ke alam kubur dengan penuh dukacita. 32 Sesungguhnya, hambamu ini telah menjamin keselamatan anak muda ini di hadapan ayah hamba dengan berkata, ‘Jika aku tidak membawanya kembali kepada ayah, biarlah aku menanggung dosa itu terhadap ayah seumur hidup.’ 33 Jadi sekarang, izinkan hambamu ini tinggal menggantikan anak muda ini untuk menjadi hamba tuanku, dan biarlah anak muda ini pulang dengan para saudaranya. 34 Sebabnya bagaimanakah hamba boleh kembali kepada ayah hamba jika anak muda ini tidak bersama-sama hamba? Hamba tidak sanggup melihat ayah hamba menderita lantaran kesedihannya.”
 
 
 
 
 
 
45
Nabi Yusuf berdamai dengan saudaranya
1 Kemudian Yusuf tidak dapat menahan dirinya lagi di hadapan semua orang yang berdiri dekatnya. Dia pun berseru, “Arahkan semua orang keluar meninggalkan aku!” Maka tiada seorang pun ada bersama-samanya ketika dia memperkenalkan dirinya yang sebenar kepada para saudaranya. 2 Lalu dia menangis dengan suara yang kuat, sehingga terdengar oleh orang Mesir dan seisi istana Firaun. 3 Kata Yusuf kepada para saudaranya, “Akulah Yusuf! Adakah ayah masih hidup?” Akan tetapi, para saudaranya yang terkejut dan gementar di hadapannya tidak dapat menjawabnya.
4 Kata Yusuf kepada para saudaranya, “Datanglah lebih dekat kepadaku.” Lalu mereka pun mendekatinya. Kata Yusuf, “Akulah Yusuf, saudaramu, yang kamu jual ke Mesir. 5 Tetapi sekarang, janganlah bersusah hati atau marah kepada dirimu sendiri kerana kamu menjual aku ke mari. Sebabnya Allah menghantar aku mendahului kamu untuk menyelamatkan nyawa. 6 Selama dua tahun bencana kebuluran melanda negeri ini dan masih ada tempoh lima tahun lagi orang tidak dapat membajak atau menuai. 7 Maka Allah mengutus aku mendahului kamu untuk menjamin kelanjutan keturunanmu di bumi dan untuk memelihara hidupmu melalui suatu penyelamatan yang besar. 8 Oleh itu, bukanlah kamu yang menyuruh aku ke sini, melainkan Allah. Dia mengangkat aku sebagai bapa bagi Firaun dan tuan atas seisi istananya, bahkan pemerintah atas seluruh Tanah Mesir.
9 Segeralah kembali kepada ayah dan katakan kepadanya, ‘Beginilah kata anakmu Yusuf, “Allah telah mengangkat aku menjadi tuan atas seluruh Mesir. Datanglah kepadaku, jangan berlengah lagi! 10 Ayah akan tinggal di Tanah Gosyen, dekat dengan aku – ayah, anak-anak dan cucu-cucu ayah, segala kawanan ternakan ayah, serta segala harta benda ayah. 11 Aku akan membekalkan segala keperluan ayah di sana, kerana tempoh berlakunya kebuluran ini masih ada lima tahun lagi. Jangan sampai kemiskinan dan ketandusan menimpa ayah dan seluruh keluarga ayah serta segala harta benda ayah.” ’
12 Sesungguhnya, matamu sendiri dan mata Benyamin, adikku, melihat sendiri bahawa mulut akulah yang mengatakan hal ini kepadamu. 13 Oleh itu, beritahulah ayah tentang segala kemuliaanku di Mesir dan segala sesuatu yang telah kamu lihat, dan bersegeralah membawa ayah ke mari.”
14 Kemudian Yusuf memeluk Benyamin, adiknya, dan menangis. Benyamin pun menangis di bahu dan lehernya. 15 Yusuf mencium kesemua saudaranya dan menangis dalam pelukan mereka. Setelah itu, barulah para saudaranya bercakap dengannya.
16 Ketika hal kedatangan para saudara Yusuf dikhabarkan di istana Firaun, perkara itu disambut dengan baik oleh Firaun dan para pegawainya. 17 Kata Firaun kepada Yusuf, “Katakanlah kepada para saudaramu, ‘Lakukanlah hal ini: Siapkan muatan haiwan pengangkut bebanmu dan berangkatlah pulang ke Tanah Kanaan. 18 Jemputlah ayahmu serta keluargamu dan datanglah kepadaku. Aku akan memberi kamu tanah yang terbaik di Tanah Mesir, dan kamu akan menikmati kesuburan negeri ini.’ 19 Kamu juga kuperintahkan untuk mengatakan demikian kepada mereka, ‘Lakukanlah hal ini: Bawalah beberapa buah gerabak dari Tanah Mesir untuk para anakmu dan isterimu. Jemputlah ayahmu dan datanglah ke mari. 20 Jangan berasa sayang meninggalkan barang-barangmu, kerana apa yang terbaik di seluruh Tanah Mesir pun akan menjadi milikmu.’ ”
21 Maka para anak Israel pun berbuat demikian. Yusuf memberi mereka beberapa buah gerabak sebagaimana yang diperintahkan oleh Firaun, serta bekal untuk kegunaan dalam perjalanan. 22 Selain itu, dia memberi masing-masing sepasang persalinan, tetapi Benyamin diberinya tiga ratus keping wang perak dan lima pasang persalinan. 23 Untuk ayahnya pula dikirimnya sepuluh ekor keldai jantan yang memuat barang-barang terbaik dari Mesir serta sepuluh ekor keldai betina yang memuat gandum, roti, dan makanan untuk perjalanannya ayahnya kelak. 24 Kemudian Yusuf melepaskan pemergian para saudaranya. Ketika mereka berangkat, berpesanlah dia kepada mereka, “Semoga jangan ada perkelahian sesama sendiri sewaktu dalam perjalanan!”
25 Maka pergilah mereka dari Mesir lalu sampai di Tanah Kanaan, tempat Yakub, ayah mereka. 26 Mereka memberitahunya, “Yusuf masih hidup! Bahkan dialah yang menjadi pemerintah ke atas seluruh Tanah Mesir!” Hati Yakub tetap dingin kerana dia tidak mempercayai mereka. 27 Namun demikian, ketika mereka memberitahunya semua yang diucapkan Yusuf kepada mereka, dan setelah dilihatnya gerabak yang dikirim oleh Yusuf untuk menjemputnya, baru bangkitlah semula semangat Yakub, ayah mereka itu. 28 Maka berkatalah Israel, “Cukuplah sudah! Anakku Yusuf masih hidup! Aku hendak pergi melihat dia sebelum aku mati.”
 
 
 
 
 
 
46
Keluarga Nabi Yakub berpindah ke Mesir
1 Maka berangkatlah Israel dengan membawa segala harta bendanya. Setibanya di Bersyeba, dia mempersembahkan korban sembelihan kepada Tuhan yang disembah oleh Ishak, ayahnya. 2 Lalu Allah berfirman kepada Israel dalam penglihatan pada malam hari, “Yakub, Yakub.” Jawabnya, “Ya, ini aku.” 3 Firman-Nya, “Akulah Allah, Tuhan ayahmu. Jangan takut untuk pergi ke Mesir, kerana Aku akan menjadikan kamu sebuah bangsa yang besar di sana. 4 Aku akan menyertai kamu di Mesir, dan Aku juga akan pasti membawa kamu kembali. Tangan Yusuflah yang akan menutupkan kelopak matamu.”
5 Kemudian berangkatlah Yakub dari Bersyeba, dan anak-anak Israel membawa Yakub, ayah mereka, juga anak dan isteri masing-masing dengan gerabak yang dikirimkan oleh Firaun untuk menjemput mereka. 6 Selain itu, mereka juga membawa ternakan dan harta benda yang diperoleh mereka di Tanah Kanaan. Lalu tibalah Yakub di Mesir bersama-sama seluruh keturunannya, 7 iaitu kesemua anak cucunya, baik lelaki mahupun perempuan. Seluruh keturunannya dibawa bersertanya ke Mesir.
8 Inilah nama orang Israel yang datang ke Mesir, iaitu Yakub dan keturunannya. Anak Yakub yang sulung, ialah Ruben. 9 Para anak Ruben ialah Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi. 10 Para anak Simeon ialah Yemuel, Yamin, Ohad, Yakhin, Zohar, dan Saul, anak seorang perempuan Kanaan. 11 Para anak Lewi ialah Gerson, Kehat, dan Merari. 12 Para anak Yudah ialah Er, Onan, Syela, Peres, dan Zerah. Akan tetapi, Er dan Onan sudah mati di Tanah Kanaan. Para anak Peres ialah Hezron dan Hamul. 13 Para anak Isakhar ialah Tola, Pua, Ayub, dan Simron. 14 Para anak Zebulon ialah Sered, Elon, dan Yahleel. 15 Mereka ini anak lelaki Lea, yang dilahirkannya untuk Yakub di Padan-Aram, di samping Dina, anak perempuannya. Jadi, seluruh keturunan Yakub daripada Lea, sama ada lelaki ataupun perempuan, berjumlah tiga puluh tiga orang.
16 Para anak Gad ialah Zifyon, Hagi, Syuni, Ezbon, Eri, Arodi, dan Areli. 17 Para anak Asyer ialah Yimna, Yiswa, Yiswi, Beria, serta Sera, saudara perempuan mereka. Para anak Beria ialah Heber dan Malkiel. 18 Mereka ini anak Zilpa, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Lea, anaknya. Jadi, seluruh keturunan Yakub daripada Zilpa berjumlah enam belas orang.
19 Para anak Rahel, isteri Yakub ialah Yusuf dan Benyamin. 20 Para anak Yusuf ialah Manasye dan Efraim, yang dilahirkan di Mesir oleh Asnat binti Potifera, imam di On. 21 Para anak Benyamin ialah Bela, Bekher, Asybel, Gera, Naaman, Ehi, Ros, Mupim, Hupim, dan Ared. 22 Mereka ini keturunan Yakub daripada Rahel yang berjumlah empat belas orang.
23 Anak Dan ialah Husyim 24 Para anak Naftali ialah Yahzeel, Guni, Yezer, dan Syilem. 25 Mereka itu anak Bilha, hamba perempuan yang diberikan Laban kepada Rahel, anaknya. Jadi, seluruh keturunan Yakub daripada Bilha berjumlah tujuh orang.
26 Jumlah orang yang datang ke Mesir bersama-sama Yakub, iaitu keturunannya, belum termasuk isteri masing-masing, ialah enam puluh enam orang. 27 Jika diambil kira dua orang anak Yusuf yang dilahirkan untuknya di Mesir, maka seluruh keluarga Yakub yang ada di Mesir pada masa itu berjumlah tujuh puluh orang.
Pertemuan semula Nabi Yakub dengan Nabi Yusuf
28 Yakub menyuruh Yudah mendahuluinya untuk menemui Yusuf dan menunjukkan arah menuju Gosyen. Setelah mereka sampai di Tanah Gosyen, 29 Yusuf menyediakan kereta kudanya lalu pergi untuk menemui Israel, ayahnya, di Gosyen. Sebaik sahaja bertemu, Yusuf memeluk leher ayahnya dan menangis lama di bahunya. 30 Kata Israel kepada Yusuf, “Sekarang biarlah aku mati, kerana aku telah melihat wajahmu dan tahu bahawa kamu masih hidup.” 31 Lalu Yusuf berkata kepada para saudaranya dan kepada keluarga ayahnya, “Aku akan pergi memberitahu Firaun, ‘Saudara-saudara hamba dan keluarga ayah hamba, yang tinggal di Tanah Kanaan, sudah datang kepada hamba. 32 Mereka itu gembala dan memang biasa memelihara kawanan ternakan dan mereka membawa bersama-sama mereka kesemua kawanan domba, lembu, dan kesemua harta benda mereka.’ 33 Jadi, apabila Firaun memanggil kamu dan bertanya, ‘Apakah pekerjaanmu?’ 34 Jawablah, ‘Sejak kecil bahkan sampai sekarang hamba-hambamu ini memelihara ternakan, sebagaimana juga para nenek moyang kami.’ Dengan demikian, kamu dapat tinggal di Tanah Gosyen, kerana warga Mesir memandang keji terhadap semua gembala ternakan.”
 
 
 
 
 
 
47
Keluarga Nabi Yakub menetap di Gosyen
1 Kemudian Yusuf pergi memberitahu Firaun, katanya, “Ayah hamba dan para saudara hamba berserta kawanan domba, kawanan lembu, dan segala harta benda mereka sudah tiba dari Tanah Kanaan. Mereka kini berada di Tanah Gosyen.” 2 Yusuf membawa lima orang daripada para saudaranya untuk menghadap Firaun. 3 Bertanyalah Firaun kepada para saudara Yusuf itu, “Apakah pekerjaanmu?” Jawab mereka kepada Firaun, “Hamba-hambamu ini gembala ternakan, seperti nenek moyang kami.” 4 Kata mereka pula kepada Firaun, “Kami datang untuk tinggal di negeri ini sebagai pendatang, kerana bencana kebuluran di Tanah Kanaan itu begitu teruk sehingga tidak ada lagi padang rumput bagi kawanan domba hamba-hambamu ini. Sekarang, izinkanlah hamba-hambamu ini tinggal di Tanah Gosyen.” 5 Lalu kata Firaun kepada Yusuf, “Ayahmu dan para saudaramu sudah datang. 6 Tanah Mesir ini terbuka untukmu. Sediakanlah bagi ayahmu dan para saudaramu tempat menetap di daerah yang terbaik di negeri ini. Biarlah mereka tinggal di Tanah Gosyen. Selain itu, jika kamu tahu ada antara mereka yang berkebolehan, angkatlah mereka untuk menjadi pengawas ternakanku.”
7 Kemudian Yusuf membawa Yakub ayahnya masuk menghadap Firaun, lalu Yakub mendoakan berkat bagi Firaun. 8 Firaun bertanya kepada Yakub, “Berapakah umur kamu?” 9 Jawab Yakub kepada Firaun, “Umur hamba sebagai pendatang di dunia ini sudah seratus tiga puluh tahun. Tempoh usia hamba singkat dan susah, tidak seperti tempoh hayat nenek moyang hamba ketika mereka menjadi pendatang di dunia ini.” 10 Setelah itu, Yakub mendoakan berkat bagi Firaun lalu beredar daripada Firaun. 11 Yusuf menyediakan tempat menetap bagi ayahnya dan para saudaranya. Dia memberikan kepada mereka tanah di daerah yang terbaik di Mesir, iaitu di Tanah Rameses, menurut perintah Firaun. 12 Yusuf juga menyediakan keperluan makan secukupnya bagi ayahnya, para saudaranya, dan seisi rumah ayahnya, menurut bilangan anak-pinak masing-masing.
Nabi Yusuf menangani bencana kebuluran
13 Sampailah masanya tidak ada lagi makanan di seluruh negeri itu kerana begitu teruk sekali bencana kebuluran yang melanda. Tanah Mesir dan Tanah Kanaan menderita bahana bencana kebuluran itu. 14 Yusuf mengumpulkan kesemua wang yang ada di Tanah Mesir serta Kanaan, iaitu wang yang dibayar orang untuk membeli gandum, lalu dibawanya wang itu ke istana Firaun. 15 Setelah habis wang di Tanah Mesir serta Tanah Kanaan, datanglah semua warga Mesir kepada Yusuf dan berkata, “Berilah kami makanan. Haruskah kami mati di hadapan tuan? Wang kami sudah habis!” 16 Jawab Yusuf, “Jika wangmu habis, serahkanlah ternakanmu, maka aku akan memberikan kepadamu makanan sebagai ganti ternakanmu.” 17 Lalu mereka membawa ternakan mereka kepada Yusuf, dan Yusuf memberi mereka makanan sebagai ganti kuda, domba, lembu, serta keldai mereka. Pada tahun itu Yusuf menampung keperluan makanan mereka dengan bayaran berupa kesemua haiwan ternakan mereka. 18 Apabila tahun itu berakhir, mereka datang lagi kepada Yusuf pada tahun seterusnya lalu berkata, “Tidak dapat kami sembunyikan daripada tuanku bahawa wang kami sudah habis dan bahawa haiwan ternakan kami sudah menjadi milik tuanku. Tiada baki apa-apa lagi di hadapan tuanku selain batang tubuh kami dan tanah kami. 19 Haruskah kami dan juga tanah kami mati di hadapan mata tuan? Belilah diri kami dan juga tanah kami sebagai ganti makanan. Biarlah kami dan tanah kami menjadi hamba Firaun. Berikanlah benih, supaya kami hidup dan tidak mati, dan supaya tanah tidak menjadi tandus.”
20 Oleh sebab warga Mesir menjual ladang akibat teruk sekali bencana kebuluran yang menimpa mereka, Yusuf membeli kesemua tanah di Mesir untuk Firaun lantas negeri itu menjadi milik Firaun. 21 Setelah itu, Yusuf memindahkan rakyat ke kota-kota di Mesir, dari satu hujung negeri ke hujung yang lain. 22 Namun begitu, dia tidak membeli tanah para imam kerana para imam mempunyai peruntukan yang tetap daripada Firaun, dan mereka makan daripada peruntukan tetap yang diberikan oleh Firaun kepada mereka itu. Oleh sebab itulah, mereka tidak menjual tanah mereka.
23 Berkatalah Yusuf kepada rakyat, “Pada hari ini aku telah membeli dirimu dan tanahmu untuk Firaun. Inilah benih untuk kamu mengusahakan tanah itu. 24 Pada waktu menuai kelak, hendaklah kamu menyerahkan seperlima bahagian kepada Firaun, dan baki empat bahagiannya menjadi milikmu. Gunakannya untuk benih ladangmu, untuk makanan kamu dan seisi rumahmu, serta para anakmu.” 25 Jawab mereka, “Tuan sudah menyelamatkan nyawa kami! Asalkan tuanku berkenan, kami mahu menjadi hamba Firaun.” 26 Maka Yusuf membuat ketetapan perihal tanah di Mesir yang masih berkuat kuasa sehingga kini, iaitu bahawa seperlima bahagian daripada hasil tanah menjadi milik Firaun. Tanah para imamlah sahaja yang tidak menjadi milik Firaun.
27 Maka tinggallah Israel di Tanah Mesir, iaitu di Tanah Gosyen tempat mereka memiliki tanah. Mereka beranak cucu dan bilangan mereka menjadi sangat banyak. 28 Yakub tinggal selama tujuh belas tahun di Tanah Mesir dan dengan itu jumlah usianya mencapai seratus empat puluh tujuh tahun.
29 Ketika hari kewafatan Israel hampir tiba, dia memanggil anaknya, Yusuf, dan berkata kepadanya, “Jika kamu berkenan, letakkanlah tanganmu di bawah pahaku dan berjanjilah bahawa kamu akan menunjukkan kasih dan kesetiaan kepadaku. Kumohon jangan makamkan aku di Mesir. 30 Setelah aku beristirahat bersama-sama nenek moyangku, bawalah jenazahku dari Mesir untuk dimakamkanlah di dalam makam mereka.” Jawab Yusuf, “Akan kulaksanakan pesan ayah itu.” 31 Kata Yakub, “Bersumpahlah kepadaku.” Lalu Yusuf pun bersumpah kepadanya. Setelah itu, Israel sujud menyembah Allah di bahagian kepala tempat tidurnya.
 
 
 
 
 
 
48
Nabi Yakub memberkati Manasye dan Efraim
1 Maka setelah berlakunya pelbagai peristiwa itu ada orang memberitahu Yusuf, “Ketahuilah, ayah tuan sedang sakit.” Lalu Yusuf pergi kepadanya dengan membawa kedua-dua orang anaknya, Manasye dan Efraim. 2 Apabila Yakub diberitahu, “Anakmu Yusuf datang mengunjungimu,” Israel mengerahkan seluruh tenaganya untuk duduk di tempat tidurnya. 3 Berkatalah Yakub kepada Yusuf, “Allah Yang Maha Kuasa pernah menampakkan diri kepadaku di Lus, di Tanah Kanaan. Allah memberkati aku 4 dan berfirman kepadaku, ‘Sesungguhnya, Aku akan membuat kamu beranak cucu dan melipatgandakan keturunanmu. Aku akan menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa, dan Aku akan mengurniakan negeri ini kepada keturunanmu kelak sebagai milik mereka untuk selama-lamanya.’ 5 Maka sekarang, kedua-dua anakmu yang dilahirkan di Tanah Mesir sebelum aku datang kepadamu di Mesir, menjadi milikku. Sebagaimana Ruben dan Simeon milikku, Efraim dan Manasye juga akan menjadi milikku. 6 Akan tetapi, para anakmu yang lahir selepas mereka berdua ini, mereka milikmu. Dalam hal warisan pusaka, mereka akan disebut berdasarkan nama kedua-dua abang mereka. 7 Ketika aku dalam perjalanan dari Padan-Aram, aku kesedihan atas kematian Rahel di Tanah Kanaan, tidak beberapa jauh jaraknya dari Efrata. Lalu aku memakamkan dia di sana, di sisi jalan menuju Efrata (iaitu Baitlahim).”
8 Apabila Israel melihat anak Yusuf, dia bertanya, “Siapakah mereka ini?”
9 Jawab Yusuf kepada ayahnya, “Inilah anakku, yang dikurniakan Allah kepadaku di sini.” Kata Yakub, “Bawalah mereka dekat denganku, supaya aku dapat mendoakan berkat bagi mereka.” 10 Ketika itu, atas sebab usianya yang lanjut, penglihatan kedua-dua belah mata Israel sudah kabur. Jadi, dia tidak dapat melihat dengan jelas. Yusuf mendekatkan mereka kepada Yakub, lalu Yakub mencium serta memeluk mereka. 11 Kata Israel kepada Yusuf, “Aku tidak menyangka bahawa aku akan melihat wajahmu lagi, tetapi kini Allah mengizinkan aku untuk melihat keturunanmu juga.” 12 Yusuf menarik mereka dari celah lutut Yakub, lalu dia sujud memberi hormat.
13 Lalu Yusuf memegang kedua-duanya. Efraim dipegang dengan tangan kanannya di sebelah kiri Israel, dan Manasye dipegang dengan tangan kirinya di sebelah kanan Israel. Lalu dia mendekatkan mereka kepada Yakub. 14 Akan tetapi, Israel menghulurkan tangan kanannya dan meletakkannya di atas kepala Efraim, anak yang bongsu, dan tangan kirinya di atas kepala Manasye. Dia sengaja menyilangkan tangannya meskipun Manasye anak yang sulung. 15 Lalu dia mendoakan berkat bagi Yusuf, katanya,
“Semoga Allah, yang di hadirat-Nya para bapa pendahuluku,
Ibrahim dan Ishak, menjalani hidup mereka,
Allah yang telah menjadi gembalaku
sepanjang hidupku sampai hari ini,
16 Malaikata yang telah menebus aku daripada segala yang jahat,
memberkati para anak muda ini.
Semoga namaku dan nama para bapa pendahuluku,
Ibrahim dan Ishak,
Disebut-sebut oleh mereka.
Semoga mereka bertambah ramai di bumi ini.”
17 Yusuf yang terlihat bahawa ayahnya meletakkan tangan kanannya di atas kepala Efraim, menganggap hal itu tidak baik. Lalu dia memegang tangan ayahnya untuk memindahkannya dari atas kepala Efraim ke atas kepala Manasye. 18 Kata Yusuf kepada ayahnya, “Janganlah begitu, ayah, kerana Manasye inilah yang sulung. Letakkanlah tangan kanan ayah ke atas kepalanya.”
19 Bagaimanapun, ayahnya enggan dan berkata, “Aku tahu, anakku, aku tahu. Dia juga akan kelak menjadi sebuah bangsa, dan dia juga akan menjadi besar. Meskipun begitu, adiknya akan menjadi lebih besar daripadanya dan keturunannya akan menjadi berbagai-bagai bangsa.”
20 Lalu dia mendoakan berkat bagi mereka pada hari itu juga, katanya,
“Dengan menyebut namamulah orang Israel akan saling memohonkan berkat sedemikian,
‘Semoga Allah menjadikan kamu seperti Efraim dan seperti Manasye!’ ”
Demikianlah Yakub menempatkan Efraim lebih dahulu daripada Manasye. 21 Kemudian Israel berkata kepada Yusuf, “Ketahuilah, ajalku hampir tiba, tetapi Allah akan menyertai kamu dan membawa kamu kembali ke negeri nenek moyangmu. 22 Untukmu kuberikan satu bahagian yang lebih besar daripada bahagian para saudaramu, iaitu lereng gunung yang telah kurebut daripada tangan bani Amori dengan pedangku dan panahku.”
 
 
 
 
 
 
49
Kata-kata terakhir Nabi Yakub kepada para anaknya
1 Maka Yakub memanggil para anaknya dan berkata,
“Berkumpullah kamu, aku akan memberitahu kamu
apa yang akan terjadi kepada kamu pada kemudian hari.
2 Berkumpullah dan dengarlah,
hai para anak Yakub,
Dengarlah pesan Israel, ayahmu.
3 Ruben, kamulah anakku yang sulung,
kekuatanku dan permulaan keperkasaanku,
terunggul dalam keluhuran,
terunggul dalam kegagahan.
4 Kamu, yang meluap seperti air,
tidak lagi menjadi yang terunggul,
kerana kamu telah menaiki tempat tidur ayahmu,
kemudian menodainya.
Dia telah menaiki peraduanku!a
5 Simeon dan Lewi, adik-beradik,
pedang mereka senjata kekerasan.
6 Jangan ikut dalam permuafakatan mereka,
wahai jiwaku,
jangan bersekutu dengan perkumpulan mereka, wahai batinku,
kerana dalam amarah mereka membunuh orang,
dan dalam angkara mereka melumpuhkan lembu-lembu jantan
7 Terkutuklah kemarahan mereka yang sebegitu bengis,
terkutuklah keberangan mereka yang sebegitu ganas.
Aku akan membahagi-bahagikan mereka antara anak Yakub,
dan menyebarkan mereka antara anak Israel.
8 Yudah, kamu akan dipuji oleh para saudaramu.
Tanganmu akan mencengkam tengkuk para musuhmu,
dan para anak ayahmu akan tunduk kepadamu.
9 Yudah, kamu laksana seekor anak singa.
Kamu naik meninggalkan mangsa, wahai anakku.
Dia merunduk, mendekam seperti singa jantan
atau singa betina
siapakah yang berani merangsangkannya?
10 Cokmar kuasa tidak akan berpindah daripada Yudah,
begitu jua tongkat pemerintah daripada di antara kakinya,
hingga datang dia yang berhak atasnya;
kepadanyalah bangsa-bangsa akan tunduk.
11 Dia menambatkan anak keldainya pada pokok anggur,
dan keldai jantan mudanya pada pokok anggur pilihan.
Dia membasuh pakaiannya dengan air anggur,
dan jubahnya dengan cairan buah anggur.
12 Merahlah matanya kerana air anggur,
dan putihlah giginya kerana susu.
13 Zebulon akan mendiami kawasan di tepi laut
dan akan menjadi pelabuhan bagi kapal-kapal,
dan perbatasannya akan sampai ke Sidon.
14 Isakhar bagai seekor keldai yang tegap,
merunduk di antara dua kantung pelana.
15 Apabila dia terlihat tempat istirahat yang baik
dan sebuah negeri yang menyenangkan,
dia akan membongkokkan bahunya untuk memikul beban
lalu menjadi hamba kerahan.
16 Dan akan mengadili bangsanya
sebagai salah satu suku orang Israel.
17 Semoga Dan menjadi seperti ular di tepi jalan,
seperti ular bertanduk di sisi lorong
yang memagut tumit kuda,
sehingga penunggangnya jatuh tertelentang.
18 Aku menantikan pembebasan daripada-Mu, ya Allah.
19 Gad akan diserang oleh gerombolan penjarah,
tetapi dia akan menyerang tumit mereka.
20 Asyer, makanannya mewah dan berlimpah ruah,
dia akan menyajikan santapan nikmat kepada para raja.
21 Naftali bagaikan seekor rusa betina yang terlepas,
indah-indah ucapan yang dilafazkannya.
22 Yusuf bagai cabang yang sarat berbuah,
cabang sarat berbuah dekat mata air
yang ranting-rantingnya berjulai melintasi tembok.
23 Para pemanah memberikan kesusahan kepadanya,
memanahnya, dan menganiayainya.
24 Namun demikian, busurnya terus tegap bertahan,
dan lengan kedua-dua belah tangannya tetap mahir membidik,
dengan kuasa Yang Maha Perkasa, Tuhan Yakub,
kerana Sang Gembala, Batu Pejal Israel,
25 kerana Tuhan ayahmu, yang akan menolong kamu,
dan kerana Yang Maha Kuasa, yang akan memberkatimu
dengan berkat daripada langit di atas,
dengan berkat daripada samudera yang terhampar di bawah,
dengan berkat daripada payudara dan rahim.
26 Berkat ayahmu melebihi berkat nenek moyangku,
mengatasi batas bukit-bukit yang malar hidup.
Kesemuanya akan turun mengurapi kepala Yusuf,
ke atas ubun-ubun orang yang teristimewa antara saudaranya.
27 Benyamin bagai seekor serigala yang rakus
pada pagi hari dia memakan mangsanya,
dan pada petang hari dia membahagi-bahagikan hasil jarahannya.”
Nabi Yakub wafat dan dimakamkan
28 Itulah kesemua suku Israel, jumlahnya dua belas, dan itulah yang dikatakan ayah mereka kepada mereka ketika dia mendoakan berkat bagi mereka, iaitu berkat yang khusus dan sewajarnya bagi setiap orang. 29 Setelah itu, berpesanlah Yakub kepada mereka, “Tidak lama lagi aku akan dikumpulkan bersama-sama para leluhurku. Makamkanlah aku di sisi nenek moyangku di dalam gua di ladang Efron, bani Het itu, 30 iaitu gua di ladang Makhpela, sebelah timur Mamre, di Tanah Kanaan. Gua itu dibeli oleh Ibrahim sekali gus dengan ladangnya daripada Efron, bani Het, untuk dijadikan permakaman khusus miliknya. 31 Di sanalah Ibrahim dan Sarah isterinya dimakamkan, demikian pula Ishak dan Ribka isterinya. Di sana jugalah aku memakamkan Lea. 32 Ladang dan gua yang ada di dalamnya sudah dibeli daripada bani Het.” 33 Setelah Yakub selesai berpesan kepada para anaknya, dia pun menarikkan kedua-dua belah kakinya ke atas tempat tidur. Kemudian dia menghembuskan nafasnya yang terakhir lalu terkumpullah dia bersama-sama para leluhurnya.
 
 
 
 
 
 
50
1 Kemudian Yusuf mendakap kepala ayahnya lalu menangisi dan menciuminya. 2 Yusuf memerintahkan para tabib bawah perkhidmatannya untuk mengawetkan jenazah ayahnya. Maka para tabib itu pun mengawetkan jenazah Israel iaitu Yakub. 3 Mereka menyempurnakan pengawetan jenazah itu hingga genapnya tempoh masa yang diperlukan, iaitu selama empat puluh hari. Lalu warga Mesir berkabung selama tujuh puluh hari.
4 Setelah berakhirnya tempoh perkabungan, berkatalah Yusuf kepada seisi istana Firaun, “Jika kamu semua berkenan menolongku, tolong sampaikan kepada Firaun demikian, 5 ‘Ayah hamba telah menyuruh hamba bersumpah, katanya, “Sesungguhnya, ajalku hampir tiba. Kamu harus memakamkan aku di dalam makam yang kugali sendiri di Tanah Kanaan.” Maka sekarang izinkanlah hamba pergi memakamkan ayah hamba, kemudian hamba akan kembali.’ ” 6 Kata Firaun, “Pergilah, makamkanlah ayahmu menurut apa yang disuruhnya kamu bersumpah.” 7 Maka pergilah Yusuf untuk memakamkan ayahnya. Seluruh pegawai Firaun pergi menyertainya, iaitu para pegawai kanan istana Firaun dan semua golongan ketua di Tanah Mesir, 8 dan begitu jugalah seisi rumah Yusuf, para saudaranya, dan anggota keluarga ayahnya. Yang ditinggalkan mereka di Tanah Gosyen hanyalah anak-anak kecil serta semua kawanan ternakan mereka. 9 Pasukan kereta kuda serta pasukan berkuda juga pergi bersama-sama sehingga tersangat besarlah rombongan itu. 10 Apabila mereka tiba di tempat pengirikan Atad, yang terletak di seberang Sungai Yordan, merataplah mereka dengan suara yang kuat lagi memilukan. Lalu Yusuf menetapkan tujuh hari perkabungan untuk ayahnya. 11 Apabila penduduk negeri itu, iaitu bani Kanaan melihat perkabungan di tempat pengirikan Atad itu, berkatalah mereka, “Ini perkabungan yang besar bagi orang Mesir.” Itulah sebabnya tempat di seberang Yordan itu dinamai Abel-Mizraim. 12 Para anak Yakub melaksanakan apa yang dipesan oleh Yakub kepada mereka. 13 Mereka mengusung jenazahnya ke Tanah Kanaan lalu memakamkannya di dalam gua di ladang Makhpela, di sebelah timur Mamre, yang dibeli sekali gus dengan ladangnya oleh Ibrahim daripada bani Het, iaitu Efron, untuk dijadikan pemakaman persendirian keluarganya. 14 Setelah ayahnya dimakamkan, pulanglah Yusuf ke Mesir bersama-sama para saudaranya dan kesemua orang yang turut serta dalam upacara pemakaman ayahnya.
Nabi Yusuf menenteramkan hati para saudaranya
15 Kematian ayah mereka membuat para saudara Yusuf memikirkan nasib mereka. Lalu berkatalah mereka, “Mungkin Yusuf berdendam terhadap kita dan akan membalas sepenuhnya semua kejahatan yang kita lakukan terhadapnya.” 16 Maka mereka mengutus orang untuk menemui Yusuf dengan pesan, “Sebelum ayah tuan meninggal, dia berpesan, 17 ‘Beginilah harus kamu katakan kepada Yusuf, “Ampunkanlah segala kesalahan dan dosa para saudaramu yang pernah berbuat jahat terhadapmu.” ’ Jadi, sekarang ampunkanlah kesalahan hamba-hamba Tuhan ayahmu.” Ketika Yusuf mendengar pesan itu, dia pun menangis. 18 Kemudian datanglah para saudaranya lalu mereka sujud memberi hormat di hadapannya. Kata mereka, “Kami datang untuk menjadi hamba tuan.” 19 Akan tetapi, kata Yusuf kepada mereka, “Jangan takut. Adakah diri aku ini Allah? 20 Memang dahulu kamu berniat melakukan kejahatan terhadapku, tetapi Allah memaksudkan perbuatan kamu untuk tujuan yang baik sehingga wujud apa yang terjadi sehingga hari ini, iaitu dengan terpeliharanya kelangsungan hidup ramai manusia. 21 Jadi, janganlah takut, aku akan menyediakan dan memenuhi keperluan hidupmu dan para anakmu.” Demikianlah Yusuf menenteramkan hati mereka dengan kata-kata yang lembut.
Wafatnya Nabi Yusuf
22 Yusuf terus tinggal di Mesir berserta kaum keluarganya. Dia hidup selama seratus sepuluh tahun. 23 Yusuf masih melihat keturunan ketiga daripada Efraim, bahkan para anak Makhir bin Manasye sempat diletakkan di pangkuan Yusuf. 24 Maka berkatalah Yusuf kepada para saudaranya, “Ajalku hampir tiba, tetapi Allah pasti akan mendatangi kamu dan membawa kamu keluar dari negeri ini ke negeri yang dijanjikan-Nya dengan bersumpah kepada Ibrahim, Ishak, dan Yakub.” 25 Kemudian Yusuf menyuruh orang Israel bersumpah, “Allah pasti akan mendatangi kamu. Pada waktu itu, kamu harus membawa tulang-tulangku dari sini.” 26 Lalu wafatlah Yusuf ketika berusia seratus sepuluh tahun. Jenazahnya diawetkan dan ditempatkan di dalam sebuah keranda di Mesir.