Jilid IV: 90—106
Allah Tempat Menetap Turun-Temurun
Doa Musa, abdi Allah.
1 Ya Rabbi, Engkaulah tempat kami menetap turun-temurun.
2 Sebelum gunung-ganang diwujudkan
atau Engkau membentuk bumi dan dunia, dari selama-lamanya hingga selama-lamanya, Engkau ialah Tuhan.
3 Engkau memalingkan manusia terhadap pemusnahan, dan berkata,
“Pulanglah, hai anak-anak manusia.”
4 Kerana seribu tahun pada pandangan-Mu
ialah seperti satu hari yang berlalu, dan seperti sebahagian malam.
5 Engkau membawa mereka pergi seperti banjir, mereka seperti tidur;
pada waktu pagi mereka seperti rumput yang tumbuh;
6 pada waktu pagi ia subur dan tumbuh,
pada waktu petang ia ditebas dan layu.
7 Kerana kami telah dibakar oleh kemarahan-Mu
dan kami ketakutan kerana kemurkaan-Mu.
8 Engkau telah membentangkan dosa kami di hadapan-Mu,
segala kesalahan rahsia kami dalam pancaran sinar wajah-Mu.
9 Hari demi hari kami lalui dalam kemurkaan-Mu;
tahun demi tahun kami akhiri dengan keluhan.
10 Hidup kami hanyalah tujuh puluh tahun,
dan jika kerana kekuatan usia kami mencapai lapan puluh tahun;
tiada kemegahannya kecuali penat lelah dan sedih pilu,
kerana sebentar sahaja nyawa pun diragut lalu kami melayang pergi.
11 Siapa yang tahu akan kuasa kemarahan-Mu?
Kerana seperti ketakutan kepada-Mu, demikianlah kemurkaan-Mu.
12 Oleh itu, ajarlah kami menghitung hari kehidupan kami,
supaya hati kami bijaksana.
13 Kembalilah, Ya Allah! Berapa lama?
Berikanlah belas kasih kepada hamba-Mu.
14 Segera limpahkan kasih abadi-Mu kepada kami,
supaya kami bergembira dan bersukacita seumur hidup.
15 Biarlah kami bersukacita sama panjangnya dengan masa kami Kauazabkan,
tahun-tahun kami menemui kedurjanaan.
16 Biarlah perbuatan-Mu dilihat oleh hamba-hamba-Mu,
dan kemuliaan-Mu oleh anak-anak mereka.
17 Dan biarlah keindahan Allah, Tuhan kami, turun ke atas kami;
dan meneguhkan kerja tangan kami. Ya, meneguhkan kerja tangan kami.
Selamat dalam Perlindungan Allah
1 Sesiapa yang tinggal di tempat rahsia Yang Maha Tinggi
akan menetap di bawah bayang-bayang Yang Maha Kuasa.
2 Aku akan berkata tentang Allah, “Dialah penaungku dan bentengku,
Tuhanku, akan kupercaya kepada-Nya.”
3 Sesungguhnya, Dia akan melepaskan kamu daripada jerat pemikat dan wabak yang berbahaya.
4 Dia akan melitupimu dengan bulu-Nya,
dan di bawah sayap-Nya kamu akan bernaung; kesetiaan-Nya akan menjadi perisai dan peneguhmu.
5 Engkau tidak akan takut kepada sesuatu yang ngeri sewaktu malam,
atau anak panah yang meluru sewaktu siang,
6 atau wabak yang merayap dalam kegelapan,
atau kemusnahan yang melanda pada waktu tengah hari.
7 Seribu orang mungkin rebah di sisimu,
dan sepuluh ribu di sebelah kananmu, tetapi maut tidak akan mendekatimu.
8 Hanya dengan matamu kamu akan memandang
dan melihat balasan kepada orang fasiq.
9 Kerana engkau telah menjadikan Allah tempat engkau menetap –
Yang Maha Tinggi tempat aku bernaung –
10 kejahatan tidak akan menimpamu,
dan wabak tidak akan mendekati tempat tinggalmu.
11 Kerana Dia akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya
menjagamu untuk memeliharamu walau di mana kamu berada.
12 Mereka akan menatangmu,
supaya kakimu tidak tersandung batu.
13 Engkau akan memijak singa dan ular tedung;
singa muda dan ular berbisa akan kaulanyak di bawah kaki.
14 Firman Allah, “Kerana dia telah menumpukan kasihnya kepada-Ku, maka Aku akan melepaskannya;
Aku akan meletakkannya di tempat tinggi, kerana dia mengetahui nama-Ku.
15 Dia akan berseru kepada-Ku, dan Aku akan menjawabnya;
Aku akan menyertainya ketika dia dalam kesusahan, dan Aku akan melepaskannya dan memberinya penghormatan.
16 Dengan umur yang panjang Aku akan memberinya kepuasan
dan menunjukkannya penyelamatan-Ku.”
Mengucap Syukur kerana Kasih dan Kesetiaan Allah
Sebuah syair.
Nyanyian untuk hari Sabat.
1 Sungguh baik mengucap syukur kepada Allah
dan menyanyikan pujian untuk nama-Mu, wahai Yang Maha Tinggi,
2 mengisytiharkan kasih-Mu sewaktu pagi dan kesetiaan-Mu setiap malam,
3 diiringi alat muzik bertali sepuluh, gambus dan irama kecapi.
4 Kerana Engkau, Ya Allah, telah membuatku sukacita dengan ciptaan-Mu;
aku akan berbangga dengan perbuatan tangan-Mu.
5 Ya Allah, betapa agung perbuatan-Mu,
fikiran-Mu sungguh dalam!
6 Orang cetek akal tidak mengetahuinya,
dan orang bodoh tidak memahaminya,
7 apabila orang fasiq tumbuh seperti rumput
dan apabila semua pembuat dosa hidup mewah,
ini adalah supaya mereka dimusnahkan untuk selama-lamanya.
8 Tetapi Engkau, Ya Allah, Maha Tinggi selama-lamanya.
9 Kerana sesungguhnya, musuh-Mu, Ya Allah,
kerana sesungguhnya musuh-Mu akan binasa;
semua pembuat dosa akan kucar-kacir.
10 Tetapi Engkau telah meninggikan tandukku seperti lembu liar;
aku telah diurapi dengan minyak yang baru.
11 Mataku telah melihat kehendakku berlaku kepada musuhku;
telingaku telah mendengar kehendakku berlaku kepada orang jahat yang bangkit menentangku.
12 Orang yang benar akan subur seperti pokok palma,
dia akan tumbuh seperti pokok araz di Lebanon;
13 semua yang ditanam di Bait Allah,
akan subur di pekarangan Tuhan kita.
14 Mereka akan tetap berbuah pada usia tua,
mereka akan tetap segar dan subur,
15 untuk mengisytiharkan bahawa Allah adalah tulus;
Dia Batu Pejalku, dan Dia sentiasa benar.
Allah Raja Selama-lamanya
1 Allah bertakhta, pakaian-Nya adalah keagungan;
Allah berpakaian keagungan dan Dia telah menyaluti diri-Nya dengan kekuatan.
Sesungguhnya, dunia telah diasaskan;
dan tidak dapat diganjakkan.
2 Takhta-Mu diasaskan dari dahulu;
Engkau memang ada selama-lamanya.
3 Perairan telah meninggikan, Ya Allah,
perairan telah meninggikan suaranya; perairan meninggikan gelombangnya.
4 Allah yang tinggi di atas segala-galanya,
lebih berkuasa daripada deru perairan yang luas – daripada gelombang laut yang hebat.
5 Kesaksian-Mu cukup pasti;
kesucian menghiasi Bait-Mu, Ya Allah, untuk selama-lamanya.
Allah Pembela Keadilan
1 Ya Allah, ya Tuhan yang memiliki hak membalas bela,
Ya Tuhan yang memiliki hak membalas bela, bertindaklah.
2 Bangkitlah, Ya Hakim seluruh bumi;
jatuhkanlah hukuman ke atas orang yang sombong.
3 Ya Allah, berapa lamakah orang fasiq,
berapa lamakah orang fasiq tetap menang?
4 Mereka berkata-kata, dan bercakap lancang;
semua yang melakukan dosa membesarkan diri.
5 Mereka memecahkan umat-Mu, Ya Allah;
dan merosakkan warisan-Mu.
6 Mereka membunuh balu dan orang asing;
serta meragut nyawa anak yatim.
7 Tetapi mereka berkata, “Allah tidak melihat;
Tuhan yang disembah Yakub tidak mengerti.”
8 Mengertilah, hai kamu yang tidak berakal dalam kalangan manusia;
dan kamu yang cetek akal, bilakah kamu akan menjadi bijaksana?
9 Dia yang mencipta telinga, tidakkah Dia mendengar?
Dia yang membentuk mata, tidakkah Dia melihat?
10 Dia yang mengajar bangsa-bangsa, tidakkah Dia membetulkan?
Dia yang memberi manusia ilmu, tidakkah Dia mendidik?
11 Allah mengetahui fikiran manusia;
betapa sia-sianya.
12 Diberkatilah orang yang Kauajar, Ya Allah,
dan didik menurut hukum-Mu;
13 supaya Engkau dapat memberinya istirahat daripada masa penderitaan,
sehingga lubang kubur digali untuk orang fasiq.
14 Kerana Allah tidak akan menyingkirkan umat-Nya;
dan tidak akan meninggalkan warisan-Nya.
15 Tetapi penghakiman akan kembali kepada kebenaran,
dan semua yang tulus hati akan menurutnya.
16 Siapakah yang akan bangkit menolongku
melawan orang yang melakukan kejahatan?
Siapakah yang akan berdiri di sisiku
menentang orang yang melakukan dosa?
17 Kalaulah Allah tidak menolongku,
tentulah tidak lama jiwaku terus musnah dalam senyap.
18 Jika aku berkata, “Kakiku tergelincir,”
maka kasih abadi-Mu, Ya Allah, akan menegakkanku.
19 Di tengah-tengah kerunsingan yang begitu banyak dalamku,
penglipuran yang Kauberi membahagiakan jiwaku.
20 Mungkinkah takhta kebinasaan yang merancang kejahatan melalui hukum bersekutu dengan-Mu?
21 Mereka berkomplot untuk meragut nyawa orang yang benar
dan menumpahkan darah orang yang tidak bersalah.
22 Tetapi Allah adalah bentengku,
dan Tuhanku batu pejal tempat aku bernaung.
23 Dia telah menimpakan dosa mereka ke atas diri mereka sendiri
dan akan memusnahkan mereka di tengah-tengah kejahatan mereka sendiri;
Allah, Tuhan kita, akan memusnahkan mereka.
Sembah dan Taatilah Allah
1 Marilah, marilah kita menyanyi untuk Allah;
marilah kita bersorak riang untuk Batu Pejal penyelamatan kita.
2 Marilah kita pergi ke hadirat-Nya sambil mengucap syukur,
marilah kita bersorak riang untuk-Nya dengan nyanyian.
3 Kerana Allah ialah Tuhan Yang Maha Besar,
Raja besar di atas semua tuhan.
4 Dalam tangan-Nya tempat-tempat dalam di bumi,
bukit-bukau yang tinggi juga milik-Nya.
5 Laut milik-Nya kerana Dia yang menjadikannya,
dan tangan-Nya membentuk daratan yang kering.
6 Marilah, marilah kita menyembah dan tunduk,
marilah kita berlutut di hadapan Allah yang menjadikan kita;
7 kerana Dialah Tuhan kita
dan kita umat-Nya, kawanan domba di bawah tangan-Nya.
Hari ini, jika kamu mahu dengar suara-Nya,
8 janganlah keraskan hatimu, seperti di Meriba,
seperti pada hari di Masa di padang gurun,
9 ketika nenek moyangmu menguji-Ku,
mereka mencuba-Ku meski mereka telah melihat perbuatan-Ku.
10 Selama empat puluh tahun Aku berdukacita dengan keturunan itu;
dan Aku berkata, “Kaum ini sesat dalam hatinya, dan tidak mengenal jalan-Ku.”
11 Oleh itu, Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku,
“Mereka tidak akan masuk dalam rehat-Ku.”
Allah, Tuhan dan Hakim Seluruh Bumi
1 Nyanyikanlah untuk Allah lagu baru;
nyanyikanlah untuk Allah, seluruh bumi.
2 Nyanyilah untuk Allah, berkatilah nama-Nya;
isytiharkan berita baik penyelamatan-Nya dari hari ke hari.
3 Isytiharkan kemuliaan-Nya dalam kalangan bangsa-bangsa,
mukjizat-Nya di antara semua umat-Nya.
4 Kerana Allah Maha Besar dan besar puji untuk-Nya;
Dia harus ditakuti di atas semua tuhan.
5 Kerana semua tuhan bangsa-bangsa adalah berhala,
tetapi Allah telah menjadikan langit.
6 Kehormatan dan keagungan ada di hadirat-Nya;
kekuatan dan keindahan di dalam tempat suci-Nya.
7 Berilah Allah, hai keluarga bangsa-bangsa,
berilah Allah puji tentang kemuliaan dan kekuatan.
8 Berilah Allah kemuliaan yang wajar bagi nama-Nya;
bawalah persembahan, dan datanglah ke pekarangan-Nya.
9 Sembahlah Allah dalam keindahan kesucian;
gementarlah di hadirat-Nya, wahai seluruh bumi.
10 Katakanlah dalam kalangan bangsa-bangsa, “Allah bertakhta memerintah.”
Dunia tidak diganjak; Dia akan mengadili kaum-kaum dengan benar.
11 Biarlah langit bergembira, dan biarlah bumi bersukacita;
biarlah laut menderu, dan segala dalamnya;
12 biarlah padang berbahagia, dan semua dalamnya.
Kemudian semua pokok hutan akan bergembira
13 di hadirat Allah kerana Dia akan datang,
Dia akan datang untuk menghakimi bumi dengan keadilan
dan kaum-kaum dengan kebenaran-Nya.
Allah ialah Raja
1 Allah bertakhta memerintah, biarlah bumi bergembira;
biarlah pulau-pulau yang banyak bersukacita.
2 Awan dan kegelapan mengelilingi-Nya;
kebenaran dan keadilan asas takhta-Nya.
3 Api mendahului-Nya
dan membakar musuh-Nya di sekeliling.
4 Kilat-Nya menerangi dunia;
bumi melihat dan gementar.
5 Gunung-ganang cair seperti lilin kerana kehadiran Allah,
kerana kehadiran Tuhan semesta bumi.
6 Seisi langit mengisytiharkan kebenaran-Nya,
dan semua kaum melihat kemuliaan-Nya.
7 Biarlah semuanya dimalukan, semua yang beribadat kepada patung-patung yang diukir,
yang membanggakan berhala; sembahlah Dia, hai kamu semua, tuhan-tuhan!
8 Sion mendengar dan bersukacita
dan puteri-puteri Yudah bergembira dengan penghakiman-Mu, Ya Allah.
9 Kerana Engkau, Ya Allah, yang Maha Tinggi di atas seluruh bumi;
Engkau ditinggikan jauh di atas semua tuhan.
10 Kamu yang kasih akan Allah, bencilah kejahatan!
Dia memelihara jiwa umat-Nya yang warak.
Dia melepaskan mereka daripada tangan orang fasiq.
11 Cahaya disemai untuk orang yang benar
dan sukacita untuk yang tulus hati.
12 Bergembiralah kerana Allah, hai kamu yang benar,
dan ucaplah syukur ketika mengingati nama-Nya yang suci.
Saat Penyelamatan Sudah Dekat
Sebuah syair.
1 Nyanyikan untuk Allah lagu yang baru,
kerana Dia telah melakukan perkara yang menakjubkan;
tangan kanan-Nya dan kuasa-Nya yang suci
telah membawa kemenangan untuk-Nya.
2 Allah telah memberitahu tentang penyelamatan-Nya,
kebenaran-Nya telah ditunjukkan-Nya kepada bangsa-bangsa.
3 Dia telah ingat akan kasih abadi-Nya
dan kesetiaan-Nya kepada kaum Israel;
semua pelosok bumi telah melihat penyelamatan Tuhan kita.
4 Bersorak rianglah kepada Allah, seluruh bumi,
menyanyilah, bergembiralah, dan nyanyikanlah pujian;
5 menyanyilah kepada Allah dengan kecapi,
dengan kecapi dan bunyi lagu,
6 dengan nafiri dan sangkakala.
Bersorak rianglah ke hadirat Raja, iaitu Allah!
7 Biarlah laut menderu, dan segala yang dalamnya,
dunia dan semua penghuninya.
8 Biarlah sungai-sungai bertepuk tangan,
biarlah bukit-bukau berbahagia bersama-sama
9 di hadirat Allah, kerana Dia akan datang untuk menghakimi bumi.
Dengan kebenaran Dia akan menghakimi dunia
dan kaum-kaum dengan saksama.
Allah Raja yang Kudus
1 Allah bertakhta memerintah,
biarlah bangsa-bangsa gementar;
Dia tinggal di antara malaikat kerubin,
biarlah bumi bergegar.
2 Allah Maha Besar di Sion;
dan Dia jauh di atas semua bangsa.
3 Biarlah mereka memuji nama-Mu yang agung dan mengagumkan!
Dia Maha Suci!
4 Kekuatan Raja cinta akan keadilan –
Engkau telah mengasaskan kesaksamaan;
Engkau telah menjalankan keadilan dan kebenaran dalam Yakub.
5 Tinggikanlah Allah, Tuhan kita, dan sembahlah Dia di alas kaki-Nya;
Dia Maha Suci!
6 Musa dan Harun tergolong antara imam-Nya,
dan Samuel antara mereka yang menyeru nama-Nya;
mereka berseru kepada Allah
dan Dia menjawab mereka.
7 Dia berfirman kepada mereka dalam tiang awan;
mereka mematuhi kesaksian-Nya dan ketetapan yang diberi-Nya.
8 Engkau menjawab mereka,
Ya Allah, Tuhan kami;
Engkau Tuhan pengampun kepada mereka,
meskipun Engkau membalas perbuatan mereka dengan hukuman.
9 Tinggikanlah Allah, Tuhan kita dan sembahlah Dia di bukit suci-Nya,
kerana Allah, Tuhan kita Maha Suci!
Pujilah Allah di dalam Bait-Nya
Syair kesyukuran.
1 Bersorak rianglah kepada Allah, wahai seluruh bumi.
2 Sembahlah Allah dengan sukacita;
datanglah ke hadirat-Nya dengan nyanyian.
3 Ketahuilah bahawa Allah, Dialah Tuhan.
Dialah yang telah menjadikan kita, bukan kita sendiri; kita umat-Nya dan kawanan domba di padang rumput-Nya.
4 Masuklah ke pintu pagar-Nya dengan mengucap syukur
dan ke pekarangan-Nya dengan pujian; bersyukurlah kepada-Nya, dan berkatilah nama-Nya.
5 Kerana Allah baik, kasih-Nya untuk selama-lamanya;
dan kesetiaan-Nya kekal turun-temurun, zaman-berzaman.
Raja Bernazar untuk Memerintah dengan Adil Saksama
Syair dari Daud.
1 Aku akan menyanyi tentang kasih dan keadilan;
kepada-Mu, Ya Allah, aku akan menyanyikan pujian.
2 Aku akan mengamalkan hidup yang tidak bercela.
Bilakah Engkau akan datang kepadaku?
Aku akan berjalan di dalam rumahku sendiri
dengan hati yang tidak bercela.
3 Aku tidak akan membiarkan mataku memandang kekejian.
Aku membenci perbuatan orang yang menyeleweng;
aku tidak akan turut berbuat demikian.
4 Hati yang ingkar akan tersingkir daripadaku;
aku tidak akan mengenal kejahatan.
5 Sesiapa yang memfitnah sesama manusia dalam senyap,
akan kemusnahan;
orang yang berlagak angkuh dan berhati sombong,
tidak akan kubiarkan.
6 Mataku akan tertumpu kepada orang beriman di tanah ini,
supaya mereka tinggal bersamaku;
orang yang hidup tidak bercela akan melayaniku.
7 Sesiapa yang melakukan penipuan
tidak akan tinggal di dalam rumahku;
sesiapa yang berdusta
tidak akan ada lagi di hadapanku.
8 Setiap pagi aku akan memusnahkan
semua orang fasiq di tanah ini;
untuk menghapuskan semua yang melakukan kejahatan
dari kota Allah.
Doa Minta Tolong dan Doa untuk Sion
Doa seorang derita apabila dia lemah dan mencurahkan kesusahannya kepada Allah.
1 Dengarlah doaku, Ya Allah;
dan biarlah seruanku datang kepada-Mu.
2 Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku semasa aku dalam kesusahan.
Dengarkanlah aku;
ketika aku berseru, jawablah aku segera.
3 Kerana setiap hari dalam hidupku hilang seperti asap;
dan tulang-tulangku dibakar seperti di tempat berdiang.
4 Hatiku sakit dan layu seperti rumput;
sehingga aku terlupa makan rotiku.
5 Kerana aku mengerang,
tulangku melekat ke kulitku.
6 Aku seperti burung hantu di gurun,
seperti burung hantu di runtuhan.
7 Aku tidak dapat melelapkan mata;
berbaring seperti burung pipit kesepian di bumbung rumah.
8 Musuhku mencelaku sepanjang hari;
mereka yang mencemuhku mengangkat sumpah memfitnahku.
9 Aku telah makan abu seperti roti
dan minumanku bercampur air mata
10 kerana kemarahan dan kemurkaan-Mu,
kerana Engkau telah mengangkatku kemudian menghumbankan aku.
11 Hidupku seperti bayang-bayang memanjang;
dan aku layu seperti rumput.
12 Tetapi Engkau, Ya Allah, akan kekal selama-lamanya;
dan nama-Mu diingati turun-temurun zaman-berzaman.
13 Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion,
kerana saat untuk meredainya; ya, saat yang ditentukan, telah tiba.
14 Kerana hamba-hamba-Mu menghargai batu-batunya;
dan berasa kasihan akan debunya.
15 Maka bangsa-bangsa akan takut kepada nama Allah,
dan raja-raja dunia gentar akan kemuliaan-Mu.
16 Allah akan membina Sion;
Dia akan menampakkan diri dalam kemuliaan-Nya.
17 Dia akan menimbangkan doa orang papa;
dan tidak akan menghina permohonan mereka.
18 Ini akan disuratkan untuk keturunan akan datang,
supaya umat yang belum lahir akan memuji Allah:
19 “Dia memandang ke bawah dari tempat suci-Nya,
dari syurga Allah memerhatikan bumi,
20 untuk mendengar rintihan orang yang dipenjarakan,
untuk membebaskan mereka yang dihukum mati.”
21 Untuk mengisytiharkan nama Allah di Sion
dan pujian untuk-Nya di Yerusalem
22 apabila umat-umat berhimpun dan kerajaan-kerajaan berhimpun untuk beribadat kepada Allah.
23 Dia melemahkan kekuatanku dalam hidup;
Dia memendekkan umurku.
24 Aku berkata:
“Ya Tuhanku, janganlah ambil aku pada separuh umurku; masa-Mu meliputi semua keturunan.
25 Pada mulanya, Engkau meletakkan asas bumi,
dan seluruh langit adalah perbuatan tangan-Mu.
26 Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal;
ya, segalanya akan menjadi usang seperti pakaian.
Seperti jubah Engku akan menggulungnya,
seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah.
27 Tetapi Engkau tetap sama,
dan tahun-tahun-Mu tidak berkesudahan.
28 Anak hamba-hamba-Mu akan berterusan;
dan anak cucu mereka akan berdiri di hadirat-Mu.”
Pujilah Allah, wahai Jiwaku!
Dari Daud.
1 Pujilah Allah, wahai jiwaku;
dan segala yang dalamku,
pujilah nama-Nya yang suci.
2 Pujilah Allah, wahai jiwaku,
dan jangan lupakan segala rahmat-Nya.
3 Dia mengampunkan segala dosamu,
Dia menyembuhkan segala penyakitmu,
4 Dia menyelamatkan nyawamu daripada kemusnahan,
Dia memahkotakanmu dengan kasih sayang dan belas kasih,
5 Dia memuaskan hasratmu dengan yang baik
supaya usia mudamu dibaharui seperti burung rajawali.
6 Allah menjalankan kebenaran
dan keadilan bagi semua yang tertindas.
7 Dia memberitahu jalan-Nya kepada Musa,
perbuatan-Nya kepada kaum Israel:
8 Allah penuh belas kasihan dan kasih kurnia,
panjang sabar serta melimpah kasih abadi-Nya.
9 Dia tidak sentiasa memarahi kita,
dan tidak menyimpan kemarahan-Nya untuk selama-lamanya;
10 Dia tidak memperlakukan kita berdasarkan dosa kita
dan tidak menghukum kita setimpal dengan kesalahan kita.
11 Kerana sebagaimana tingginya langit di atas bumi,
demikianlah limpah kasih-Nya kepada orang yang bertakwa kepada-Nya;
12 sebagaimana jauhnya timur dari barat,
begitulah jauhnya Dia telah membuang keingkaran kita daripada diri kita.
13 Sebagaimana bapa mengasihani anak-anak,
demikianlah Allah mengasihani orang yang bertakwa kepada-Nya;
14 kerana Dia tahu bagaimana kita dibentuk,
Dia ingat bahawa kita ialah debu.
15 Hidup manusia seperti rumput,
seperti bunga di padang, begitulah dia berkembang;
16 angin meniupnya, maka tiadalah dia lagi,
dan tempatnya dahulu tidak mengingatinya.
17 Tetapi kasih abadi Allah dari selama-lamanya sampai selama-lamanya
bagi mereka yang bertakwa kepada-Nya, dan kebenaran-Nya sampai anak cucu,
18 kepada mereka yang mematuhi perjanjian-Nya
dan kepada mereka yang mengingati ajaran-ajaran-Nya.
19 Allah telah menempatkan takhta-Nya di syurga,
dan kerajaan-Nya memerintah semua yang ada.
20 Pujilah Allah, hai kamu para malaikat-Nya yang amat gagah perkasa,
yang menjalankan firman-Nya dan sentiasa mendengar suara firman-Nya.
21 Pujilah Allah, hai kamu semua alam semesta-Nya,
kamu para hamba-Nya yang melakukan apa yang diredai-Nya.
22 Pujilah Allah, segala perbuatan-Nya
di semua tempat yang dikuasai-Nya.
Pujilah Allah, wahai jiwaku.
Kebesaran Allah dalam segala Ciptaan-Nya
1 Pujilah Allah, wahai jiwaku.
Ya Allah, Ya Tuhanku, Engkau Maha Besar;
Engkau penuh kehormatan dan keagungan.
2 Engkau menyaluti diri-Mu dengan cahaya seperti pakaian;
Engkau merentangkan angkasa seperti tirai.
3 Dia mengasaskan lantai ruang-ruang atas-Nya di perairan.
Dia menjadikan awan pedati-Nya;
Dia berjalan di atas sayap angin.
4 Dia menjadikan para malaikat-Nya sebagai roh,
para hamba-Nya nyala api.
5 Engkau yang meletakkan asas bumi;
supaya tidak berganjak selama-lamanya.
6 Engkau meliputinya dengan lautan dalam seperti dengan pakaian;
perairan itu berdiri di atas gunung.
7 Apabila Kaumurkai, ia lari,
mendengar suara guruh-Mu, ia segera pergi;
8 perairan itu telah naik ke atas pergunungan,
ia turun ke pelembahan, ke tempat yang Kauasaskan baginya.
9 Engkau telah menentukan sempadan yang tidak boleh dilaluinya;
supaya ia tidak kembali meliputi bumi.
10 Dia menghantar mata air ke pelembahan;
yang mengalir di antara bukit-bukau.
11 Mata air memberikan minuman kepada setiap binatang di padang;
keldai-keldai liar menghilangkan dahaganya.
12 Di sisinya burung-burung angkasa membuat sarang;
dan menyanyi di cabang-cabang pokok.
13 Dia mengairi bukit-bukau dari ruang-ruang atas-Nya;
bumi berpuas dengan buah hasil kerja-Nya.
14 Dia membuat rumput tumbuh untuk lembu ternakan,
dan pelbagai tanaman bagi kegunaan manusia untuk membolehkannya menghasilkan makanan dari bumi:
15 air anggur yang menyukakan hati manusia,
minyak untuk menyerikan mukanya, dan roti yang meneguhkan hati manusia.
16 Pokok-pokok Allah segar dan subur,
pokok-pokok araz di Lebanon yang ditanam-Nya.
17 Di situ burung-burung membuat sarangnya;
burung ranggung tinggal di pokok sanubar.
18 Bukit-bukit tinggi untuk kambing liar;
curaman-curaman tempat landak bernaung.
19 Dia menentukan bulan untuk menandakan musim,
matahari tahu bila waktu untuknya terbenam.
20 Engkau mencipta kegelapan, maka menjadi malam,
masa untuk binatang-binatang hutan merayau.
21 Singa-singa muda mengaum mencari mangsa
dan memohon makannya daripada Allah.
22 Apabila matahari terbit;
mereka berhimpun lalu baring di gua mereka.
23 Manusia keluar ke tempat kerjanya,
dan memerah tenaga hingga lewat petang.
24 Ya Allah, sungguh beraneka hasil kerja-Mu!
Dengan bijaksana Engkau telah mencipta segala-galanya; bumi penuh dengan milik-Mu.
25 Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya,
makhluk hidup yang kecil dan besar.
26 Di situ kapal-kapal belayar,
dan Lewiatan yang telah Kaujadikan untuk bermain di sana.
27 Semuanya menantikan-Mu
bahawa Engkau akan memberi mereka makanan pada waktu yang ditentukan.
28 Apa yang Kauberikan,
mereka kumpulkan;
Engkau membuka genggaman tangan-Mu,
penuh dengan segala yang baik.
29 Engkau menyembunyikan wajah-Mu,
mereka menanggung kesusahan;
Engkau mengambil nafas mereka,
lalu mereka mati dan kembali menjadi debu.
30 Engkau menghantar Roh-Mu,
lalu mereka dicipta, dan Engkau membaharui muka bumi.
31 Semoga kemuliaan Allah kekal selama-lamanya;
semoga Allah bergembira dengan perbuatan-Nya!
32 Dia memandang bumi, lalu bumi gementar,
Dia menyentuh bukit, lalu bukit berasap.
33 Aku akan menyanyi untuk Allah sepanjang hayatku;
aku akan menyanyikan pujian untuk Tuhanku selagi aku hidup.
34 Semoga renunganku baik di sisi-Nya,
aku akan bersukacita kerana Allah.
35 Semoga orang berdosa dihapuskan dari bumi
dan orang fasiq tiada lagi.
Pujilah Allah, wahai jiwaku.
Pujilah Allah!
Puji-pujian atas Perbuatan Allah yang Menakjubkan untuk Israel
1 Bersyukurlah kepada Allah, serulah nama-Nya;
beritahulah bangsa-bangsa tentang perbuatan-Nya.
2 Menyanyilah untuk-Nya, nyanyikan puji-pujian untuk-Nya;
katakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan.
3 Muliakanlah nama-Nya yang suci;
biarlah hati mereka sukacita, mereka yang mencari Allah.
4 Carilah Allah dan kekuatan-Nya;
carilah wajah-Nya selama-lamanya.
5 Ingatlah perbuatan-Nya yang menakjubkan,
mukjizat-Nya, dan hukum-hukum yang difirmankan-Nya,
6 Wahai benih Ibrahim hamba-Nya,
kamu anak cucu Yakub, orang pilihan-Nya.
7 Dia Allah, Tuhan kita;
hukum-hukum-Nya di seluruh bumi.
8 Dia ingat akan perjanjian-Nya selama-lamanya,
firman yang diperintahkan-Nya, bagi seribu keturunan,
9 perjanjian yang telah dibuat-Nya dengan Ibrahim,
dan sumpah-Nya kepada Ishak.
10 Dan mengesahkannya kepada Yakub sebagai ketetapan,
kepada Israel sebagai perjanjian yang kekal selama-lamanya:
11 “Kepadamu Aku akan memberi Tanah Kanaan
sebagai bahagian warisanmu.”
12 Ketika mereka hanya sebilangan kecil,
cuma segelintir, dan orang asing di situ,
13 apabila mereka pergi daripada satu bangsa kepada satu bangsa,
daripada satu kerajaan kepada yang lain.
14 Dia tidak membenarkan sesiapa pun menyakiti mereka;
ya, Dia memarahi raja-raja kerana mereka:
15 “Jangan sentuh umat yang Kuurapi;
dan jangan sakiti nabi-nabi-Ku.”
16 Dia juga mengadakan kebuluran di tanah itu,
Dia memusnahkan semua bekalan makanan;
17 Dia menghantar kepada mereka seorang bernama Yusuf,
yang telah dijual sebagai hamba.
18 Mereka menyakitkan kakinya dengan belenggu,
dan mengikatnya dengan rantai besar,
19 hingga sampai masa terjadi apa yang telah dikatakan-Nya,
dan janji Allah membuktikan dia benar.
20 Raja menghantar orang untuk mengeluarkannya dari penjara,
pemerintah bangsa itu membebaskannya.
21 Dia menjadikan Yusuf ketua rumahnya,
dan penguasa segala miliknya,
22 untuk mengarahkan putera-puteranya sekehendak hatinya
dan mengajarkan kebijaksanaan kepada para penatuanya.
23 Kemudian Israel datang ke Mesir;
dan Yakub tinggal di tanah asing Ham.
24 Lalu Allah menambah umat-Nya dengan ramainya;
dan menjadikan mereka lebih perkasa daripada musuh mereka,
25 raja memalingkan hati mereka supaya membenci umat-Nya,
memperdaya hamba-hamba-Nya.
26 Maka Dia menghantar hamba-Nya Musa,
dan Harun yang telah dipilih-Nya.
27 Mereka menunjukkan tanda-tanda-Nya dalam kalangan mereka,
dan melakukan mukjizat di tanah Ham.
28 Kemudian Dia menghantar kegelapan menyelubungi segala-galanya –
kerana mereka memberontak terhadap firman-Nya.
29 Dia menukarkan perairan mereka menjadi darah,
dan membunuh ikan mereka.
30 Tanah mereka dipenuhi katak,
sampai ke bilik istana raja-raja mereka.
31 Dia berfirman, maka datanglah lalat yang banyak,
dan agas di seluruh wilayah mereka.
32 Dia mengubah hujan menjadi hujan batu,
dan mencurahkan api bernyala-nyala di tanah mereka.
33 Dia juga menumbangkan pokok anggur dan pokok ara
serta menghancurkan pokok-pokok di wilayah mereka.
34 Dia berfirman, maka datanglah belalang,
belalang muda yang tidak terkira banyaknya;
35 yang memakan semua tanaman di tanah mereka,
dan buah-buahan di kawasan mereka.
36 Dia juga membunuh semua anak lelaki sulung di tanah mereka,
yang pertama daripada seluruh kekuatan mereka.
37 Dia membawa umat-Nya keluar dengan perak dan emas,
dan tiada yang lemah antara suku-suku-Nya.
38 Apabila mereka pergi orang Mesir bersukacita,
kerana takut akan mereka.
39 Dia memayungi umat-Nya dengan awan untuk berteduh,
dan memberikan api untuk menerangi mereka pada waktu malam.
40 Mereka memohon, lalu Dia membawakan burung puyuh
dan mengenyangkan mereka dengan roti syurga.
41 Dia membukakan batu pejal, maka air terpancar;
lalu mengalir di tempat-tempat gersang seperti sungai.
42 Kerana Dia ingat akan janji-Nya yang suci
dan hamba-Nya Ibrahim.
43 Dia membawa keluar umat-Nya dengan bahagia,
kaum pilihan-Nya dengan sorak-sorai kegembiraan;
44 Dia memberi kepada mereka tanah orang asing,
dan mereka mewarisi usaha bangsa-bangsa lain,
45 supaya mereka mematuhi ajaran-ajaran-Nya
dan mentaati hukum-hukum-Nya.
Pujilah Allah!
Kasih Allah dan Ketegaran Bani Israel
1 Pujilah Allah!
Bersyukurlah kepada Allah, kerana kebaikan-Nya;
kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.
2 Siapa yang dapat menyebutkan perbuatan-perbuatan Allah yang hebat,
siapa dapat mengisytiharkan seluruh puji bagi-Nya?
3 Diberkatilah mereka yang menjaga keadilan,
dan orang yang melakukan apa yang benar setiap waktu.
4 Ingatlah aku, Ya Allah, dengan keredaan yang Kauberi,
selamatkan aku ketika Engkau menyelamatkan mereka,
5 supaya aku dapat menikmati kemewahan orang pilihan-Mu,
supaya aku dapat bergembira dengan rasa sukacita bangsa-Mu,
supaya aku dapat merasakan kemuliaan dengan warisan-Mu.
6 Kami telah berdosa bersama nenek moyang kami;
kami telah melakukan dosa,
kami telah berbuat jahat.
7 Nenek moyang kami di Mesir,
tidak memahami mukjizat-Mu;
mereka tidak ingat akan keihsanan-Mu yang melimpah-limpah,
tetapi telah memberontak di pinggir laut, Laut Merah.
8 Namun demikian Dia telah menyelamatkan mereka demi nama-Nya,
untuk menunjukkan kuasa-Nya yang besar.
9 Dia juga memurkai Laut Merah, maka laut itu kering;
lalu Dia memandu mereka menyeberangi laut seperti merentas gurun.
10 Dia menyelamatkan mereka daripada tangan orang yang membenci mereka;
dan melepaskan mereka daripada tangan musuh.
11 Air laut menenggelamkan musuh mereka;
tiada seorang pun yang tinggal.
12 Lalu mereka percaya akan firman-Nya;
mereka menyanyikan pujian untuk-Nya.
13 Tidak lama kemudian mereka melupakan perbuatan-Nya;
mereka tidak menantikan bimbingan-Nya.
14 Tetapi dikuasai nafsu buas di gurun;
dan menguji Allah di tanah tandus.
15 Dia memberi mereka apa yang diminta oleh mereka,
tetapi menghantar kelemahan ke dalam jiwa mereka.
16 Mereka iri hati kepada Musa di perkhemahan
dan Harun, orang suci pilihan Allah.
17 Bumi terbuka lalu menelan Datan;
dan mengambus Abiram serta para pengikutnya.
18 Api dinyalakan dalam kalangan pengikut mereka;
lalu membakar orang fasiq.
19 Mereka membuat patung anak lembu di Horeb
lalu menyembah patung buatan mereka.
20 Dengan demikian mereka menukar kemuliaan mereka
untuk patung lembu jantan yang makan rumput.
21 Mereka melupakan Allah yang menyelematkan mereka,
yang telah melakukan perkara-perkara hebat di Mesir,
22 mukjizat-mukjizat di tanah Ham;
perkara-perkara yang menakjubkan di pinggir Laut Merah.
23 Oleh itu, Dia berfirman bahawa Dia akan memusnahkan mereka –
tetapi Musa, orang pilihan-Nya,
berdiri di hadirat-Nya memohon untuk mereka,
bagi memalingkan kemurkaan-Nya, supaya Dia tidak memusnahkan mereka.
24 Kemudian, mereka membenci tanah yang begitu baik;
mereka tidak percaya akan firman-Nya.
25 Sebaliknya, bersungut di khemah-khemah mereka
dan tidak menghiraukan suara Allah.
26 Oleh itu, Dia mengangkat tangan-Nya bersumpah
bahawa Dia akan membawa kekalahan kepada mereka di gurun,
27 dan kepada anak cucu mereka dalam kalangan bangsa-bangsa,
serta menyelerakkan mereka di serata negeri.
28 Mereka juga beribadat kepada Dewa Baal di Peor
dan makan persembahan yang dibuat kepada orang mati.
29 Mereka membangkitkan kemurkaan-Nya dengan perbuatan mereka,
lalu berlaku wabak dalam kalangan mereka.
30 Maka Pinehas tampil memohon untuk mereka,
lalu wabak itu berakhir.
31 Perbuatannya itu dikira sebagai kebenarannya
turun-temurun selama-lamanya.
32 Mereka menimbulkan kemurkaan Allah di mata air Meriba,
lalu Musa ditimpa kesusahan kerana mereka;
33 kerana mereka membuat hatinya pahit,
Musa bersuara dengan gopoh.
34 Mereka tidak memusnahkan bangsa-bangsa
sebagaimana telah diperintahkan oleh Allah kepada mereka,
35 sebaliknya mereka bergaul dengan bangsa-bangsa itu
dan mempelajari amalan-amalan mereka.
36 Mereka beribadat kepada berhala-berhala mereka,
yang menjadi jerat kepada mereka.
37 Malah mereka mengorbankan anak-anak lelaki
dan anak-anak perempuan mereka kepada roh-roh Iblis.
38 Dan menumpahkan darah mereka yang tidak bersalah,
darah anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan mereka,
yang dikorbankan oleh mereka untuk berhala-berhala Kanaan,
maka tanah itu dicemari darah.
39 Demikianlah mereka dinodai oleh perbuatan mereka sendiri;
dan menjadi seperti pelacur dengan kelakuan mereka sendiri.
40 Oleh itu, kemurkaan Allah dinyalakan terhadap umat-Nya,
maka Dia jijik akan warisan-Nya sendiri.
41 Lalu Dia menyerahkan mereka ke tangan bangsa-bangsa asing,
dan orang yang membenci mereka memerintah mereka.
42 Musuh mereka juga menindas mereka
dan mereka tunduk di bawah tangan musuh.
43 Berkali-kali Dia menyelamatkan mereka,
tetapi mereka memberontak menurut fikiran sendiri, lalu mereka dijatuhkan kerana dosa mereka.
44 Namun demikian, Dia mengambil berat tentang derita mereka
apabila Dia mendengar seruan mereka;
45 dan untuk mereka Dia ingat akan perjanjian-Nya
lalu berlembut kerana kasih abadi-Nya melimpah-limpah.
46 Dia juga menyebabkan mereka dikasihani
oleh semua yang membawa mereka pergi sebagai orang tawanan.
47 Selamatkanlah kami, Ya Allah, ya Tuhan kami!
Kumpulkan kami daripada kalangan bangsa asing,
supaya kami bersyukur kepada nama-Mu yang suci,
supaya kami berbangga dengan pujian untuk-Mu.
48 Pujilah Allah, Tuhan yang disembah bani Israel,
dari selama-lamanya ke selama-lamanya.
Dan biarlah semua orang berkata, “Amin!”
Pujilah Allah!