Yakobus
1
1 aDaripada Yakobus, hamba Allah dan hamba Isa al-Masih, Junjungan Yang Ilahi,
kepada dua belas suku yang tersebar di serata dunia: Sambutlah salam daripadaku.
Cubaan dan godaan
2 Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan, 3 kerana kamu tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan. 4 Pastikan bahawa ketabahanmu itu berterusan, sehingga kamu menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun. 5 Sekiranya seseorang di antaramu kurang bijaksana, dia haruslah berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebijaksanaan kepadanya, kerana Allah memberi dengan murah hati kepada semua orang tanpa memandang kesalahan mereka. 6 Akan tetapi, apabila dia memohon, dia mesti beriman sepenuhnya. Dia tidak harus ragu-ragu, kerana orang yang ragu-ragu itu umpama ombak laut yang terumbang-ambing ditiup angin. 7 Orang seperti itu tidak boleh berharap untuk menerima apa-apa daripada Tuhan; 8 pendiriannya tidak tetap dan dia sentiasa teragak-agak melakukan sesuatu.
9 Saudara yang hidup dalam keadaan sederhana patut bermegah dengan kedudukannya yang tinggi. 10 bOrang yang kaya pula patut bermegah dengan kedudukannya yang rendah, kerana dia boleh lenyap laksana bunga rumput. 11 Sewaktu matahari meninggi, sinarnya yang panas menyebabkan rumput itu layu sehingga bunganya gugur lalu musnah keindahannya. Begitulah halnya dengan orang kaya yang akan lenyap ketika mengurus perniagaannya.
12 Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. 13 Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, “Godaan ini datang daripada Allah.” Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa. 14 Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. 15 Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian.
16 Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah terperdaya. 17 Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya. 18 Dengan kehendak-Nya Dia mencipta kita melalui firman-Nya yang benar. Dengan demikian kita menjadi yang sulung antara semua makhluk-Nya.
Pendengar dan pelaku
19 Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah. 20 Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah. 21 Oleh itu, kikislah segala tabiat buruk dan kelakuan jahat. Kemudian terimalah firman yang disemaikan-Nya ke dalam hatimu dengan rendah hati, kerana firman itu dapat menyelamatkanmu.
22 Namun demikian, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu. 23 Seseorang yang mendengar firman tetapi tidak melakukannya adalah ibarat orang yang berdiri di hadapan cermin, 24 meneliti dirinya, kemudian pergi dari situ dan terus lupa akan rupanya. 25 Namun demikian, orang yang meneliti hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan manusia, dan melakukannya, akan diberkati dalam segala tindakannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.
26 Jika seseorang menganggap dirinya taat beribadat tetapi tidak mengekang lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu diri sendiri. 27 Allah, Bapa kita, berfirman bahawa ibadat yang murni dan tulen ialah: menolong anak yatim piatu dan balu yang menanggung kesusahan, serta menjaga diri daripada dicemari kejahatan dunia.
 
 
 
 
 
 
2
Pilih kasih dilarang
1 Saudara-saudaraku, sebagai orang yang beriman kepada Junjungan kita Isa al-Masih yang mulia itu, janganlah amalkan sikap pilih kasih. 2 Andaikan dua orang datang ke tempat pertemuanmu, yang seorang kaya, berpakaian mewah, bercincin emas; yang seorang lagi miskin, berpakaian buruk. 3 Kamu menyambut orang yang berpakaian mewah itu dengan hormat sambil berkata, “Silakan duduk di tempat terbaik ini.” Sebaliknya, kepada orang miskin itu kamu berkata, “Berdiri di sana” atau “Duduk di atas lantai dekat kakiku.” 4 Dengan demikian, kamu membeza-bezakan orang dan menjadi hakim yang berfikiran jahat.
5 Ketahuilah, saudara-saudara yang kukasihi, Allah telah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan mewarisi kerajaan Allah sebagaimana telah dijanjikan-Nya kepada orang yang mengasihi-Nya. 6 Kamu menghina orang miskin, sedangkan orang kayalah yang menindasmu, menyeretmu ke mahkamah, 7 dan menghina nama mulia yang kamu terima daripada Tuhan.
8 aKamu melakukan apa yang benar jika kamu mematuhi hukum kerajaan Allah yang tersurat dalam Kitab Suci, “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” 9 Sebaliknya, jika kamu memilih kasih, kamu berdosa, dan menurut hukum, kamu melanggar hukum. 10 Melanggar satu perintah Taurat bererti melanggar seluruh hukum, 11 bkerana Allah yang berfirman, “Jangan berzina,” juga berfirman, “Jangan membunuh.” Dengan demikian, walaupun kamu tidak berzina, namun sekiranya kamu membunuh, maka kamu telah melanggar hukum. 12 Dalam perkataan dan tindakanmu, ingatlah bahawa kamu akan diadili berdasarkan hukum-hukum yang membebaskan manusia. 13 Orang yang tidak mengamalkan belas kasihan akan dihukum tanpa diberi belas kasihan, tetapi mereka yang mengamalkan belas kasihan tidak akan takut diadili.
Iman dan perbuatan
14 Saudara-saudaraku, apa gunanya seorang berkata, “Aku beriman,” jika dia tidak membuktikan imannya melalui perbuatannya? Iman sedemikian tidak dapat menyelamatkannya. 15 Katakanlah seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan kekurangan makanan. 16 Apakah gunanya kamu berkata kepadanya, “Selamat jalan, pakailah baju panas dan makanlah secukupnya,” jika kamu tidak menghulurkan apa yang diperlukan tubuhnya? 17 Demikian juga dengan iman, jika tidak dinyatakan melalui perbuatan, maka sia-sialah iman itu.
18 Mungkin ada orang yang berkata, “Kamu mempunyai iman; aku mempunyai perbuatan.” Tunjukkan kepadaku seorang yang beriman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, maka dengan perbuatan baikku akan kutunjukkan bahawa aku beriman. 19 Kamu percaya kepada Allah yang Esa. Bagus! Roh-roh iblis juga percaya demikian dan gementar ketakutan. 20 Alangkah tumpul fikiranmu, mengapakah kamu memerlukan bukti bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia sahaja? 21 cBukankah moyang kita, Nabi Ibrahim, diperbenar kerana perbuatannya apabila dia mempersembahkan Ishak, anaknya, di atas mazbah? 22 Tidak jelaskah kepadamu bahawa Ibrahim menunjukkan imannya melalui perbuatannya? Dengan demikian, sempurnalah iman Ibrahim. 23 dDemikian terlaksanalah apa yang dikatakan dalam Kitab Suci, “Ibrahim percaya kepada Allah dan oleh itu, Allah menganggap dia sebagai orang yang benar.”* Oleh itu, Ibrahim dipanggil sahabat Allah. 24 Nyatalah bahawa seseorang itu diperbenar kerana perbuatannya, bukan imannya semata-mata.
25 eDemikian juga dengan Rahab, wanita pelacur itu. Rahab diperbenar kerana perbuatannya ketika dia menyambut pengintip-pengintip Israel dan membantu mereka melarikan diri melalui jalan lain. 26 Tubuh tanpa roh, tubuh yang mati. Begitu jugalah, iman tanpa perbuatan, iman yang mati.
 
 
 
 
 
 
3
Mengawal lidah
1 Saudara-saudaraku, seharusnya hanya segelintir daripadamu berusaha untuk menjadi guru. Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain. 2 Kita semua selalu melakukan kesalahan. Sekiranya seseorang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan melalui tutur katanya, maka dia itu seorang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya. 3 Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menurut kemahuan kita. Dengan kekang, kita dapat mengendalikan seluruh tubuh kuda. 4 Begitu juga dengan kapal, walaupun besar dan digerakkan oleh angin kencang, tetapi kapal hanya dikendalikan oleh kemudi yang amat kecil. Kapal bergerak ke arah yang ditentukan oleh pengemudi. 5 Demikianlah dengan lidah kita, walaupun kecil, namun dapat bermegah tentang hal-hal yang besar.
Betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang amat kecil. 6 Lidah laksana api. Lidah kita ibarat dunia yang dikuasai kejahatan dan memenuhi seluruh diri kita dengan kejahatan. Lidah menghanguskan hidup kita dengan api dari neraka.
7 Manusia dapat dan sudah pun menjinakkan makhluk lain – binatang buas, burung, haiwan menjalar, dan binatang-binatang di laut. 8 Akan tetapi, tiada sesiapa pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat, tidak dapat dikuasai, dan penuh dengan racun yang membunuh. 9 aKita menggunakan lidah untuk memuji Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia yang telah dicipta menurut gambaran Allah. 10 Kata-kata berkat dan kata-kata kutukan lahir daripada mulut yang sama. Ini tidak sepatutnya berlaku, saudara-saudaraku. 11 Dapatkah air tawar dan air masin dikeluarkan daripada mata air yang sama? 12 Saudara-saudaraku, pokok ara tidak mungkin menghasilkan buah zaitun, manakala pokok anggur tidak mungkin mengeluarkan buah ara. Mata air yang masin tidak mungkin memancarkan air tawar.
Kebijaksanaan dari syurga
13 Adakah wujud dalam kalanganmu seorang yang bijak bestari? Sifat ini terbukti melalui kelakuan baik dan kebajikan yang diamalkan dengan rendah hati serta bijaksana. 14 Akan tetapi, sekiranya kamu bersikap hasad dengki dan mementingkan diri, janganlah bermegah dengan kebijaksanaan itu atau menafikan yang benar. 15 Kebijaksanaan demikian tidak berasal dari syurga tetapi dari dunia, tabiat manusia yang berdosa, dan roh iblis. 16 Sikap hasad dengki dan mementingkan diri akan menimbulkan kekacauan serta pelbagai kejahatan.
17 Sebaliknya, apabila seseorang memiliki kebijaksanaan yang berasal dari syurga, maka dia bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah. Dia juga bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik. Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka. 18 Buah perbenaran ialah hasil daripada benih kedamaian yang disemaikan oleh orang yang mencintai kedamaian.
 
 
 
 
 
 
4
Tunduk kepada Allah
1 Apakah punca segala pergaduhan dan pertengkaran dalam kalanganmu? Puncanya ialah keinginan hawa nafsu yang sentiasa bergolak dalam dirimu. 2 Kamu berhasrat akan sesuatu tetapi tidak mendapatnya, maka kamu ingin membunuh. Kamu ingin memiliki sesuatu tetapi tidak berjaya, lalu kamu bertengkar dan bergaduh. Kamu tidak mendapat apa yang kamu ingini kerana kamu tidak memohonnya daripada Allah. 3 Kalau kamu memohonnya sekalipun, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuanmu jahat. Kamu memintanya untuk kesenangan diri sendiri.
4 Kamu tidak setia. Tidakkah kamu tahu bahawa sesiapa yang bersahabat dengan dunia menjadi musuh Allah? Oleh itu, sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia menjadikan dirinya musuh Allah. 5 Atau kamu menganggap Kitab Suci mengatakan tanpa sebab bahawa Roh yang ditempatkan di dalam diri kita oleh Allah amat mengingini kita. 6 aWalaupun demikian, rahmat yang diberikan oleh Allah lebih kuat, maka tersurat dalam Kitab Suci:
 
“Allah menentang orang yang angkuh,
tetapi memberikan rahmat kepada orang yang rendah hati.”
 
7 Oleh yang demikian, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripadamu. 8 Dampingi Allah, Allah akan mendampingimu. Basuh bersih tanganmu, wahai kamu yang berdosa. Sucikan hatimu, wahai kamu yang munafik. 9 Menyesallah, menangis dan merataplah kamu. Biar ketawamu menjadi tangisan, kerianganmu menjadi kesedihan. 10 Rendahkan dirimu di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikanmu.
11 Saudara-saudaraku, janganlah fitnah-memfitnah. Sesiapa yang memfitnah atau menghakimi saudara seimannya, maka dia memfitnah atau menghakimi hukum. Jika dia menghakimi hukum, maka dia tidak lagi mematuhi hukum. 12 Hanya ada seorang Pemberi hukum dan Hakim. Hanya Dia yang dapat menyelamatkan atau membinasakan seseorang. Siapakah kamu maka ingin menghakimi sesama manusia?
Jangan memegahkan hari esok
13 bSekarang, dengarlah nasihatku, wahai kamu yang berkata, “Hari ini atau esok kami akan bertolak ke sebuah negeri dan tinggal di situ selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.” 14 Tetapi kamu tidak tahu apa yang akan terjadi dengan kehidupan esok. Kamu umpama wap, yang kelihatan sejurus lantas lenyap. 15 Sepatutnya kamu berkata demikian, “Kalau diizinkan Allah, kami akan terus hidup dan melakukan sekian-sekian.” 16 Sebaliknya kamu angkuh dan bercakap besar. Bercakap besar demikian itu adalah salah.
17 Apabila seseorang tidak melakukan sesuatu yang baik dan sepatutnya dilakukan, maka orang itu berdosa.
 
 
 
 
 
 
5
Amaran kepada orang kaya
1 Dengarlah nasihatku, wahai orang kaya. Menangis dan merataplah, kerana kesusahan akan menimpamu. 2 aKekayaanmu akan reput dan pakaianmu dimakan gegat. 3 Emas perakmu akan berkarat, karatnya akan menjadi saksi menuduhmu dan akan menghanguskan tubuhmu seperti api. Kamu telah mengumpulkan harta pada akhir zaman ini. 4 bKamu tidak membayar upah orang yang bekerja di ladangmu. Dengarlah rintihan mereka! Orang yang menuai hasil ladangmu berseru minta dibela nasibnya dan suara mereka telah sampai ke telinga Tuhan alam semesta. 5 Hidupmu di dunia ini senang-lenang dalam kemewahan melimpah-limpah. Kamu bagaikan menggemukkan diri untuk hari penyembelihan. 6 Kamu menghukum dan membunuh orang yang tidak bersalah, dan mereka tidak melawanmu.
Tabah menanggung kesengsaraan
7 Saudara-saudaraku, bersabarlah menanti kedatangan Tuhan. Lihatlah betapa sabarnya seorang peladang menunggu tanahnya mengeluarkan hasil yang bernilai. Dengan sabar dia menanti hujan musim luruh dan hujan musim bunga. 8 Demikian jugalah kamu harus bersabar. Tabahkanlah hatimu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah hampir tiba. 9 Saudara-saudaraku, janganlah bersungut-sungut, supaya kamu tidak dihukum. Hakim sedang berdiri di ambang pintu.
10 Saudara-saudaraku, ingatlah nabi-nabi yang bersabda dengan nama Tuhan. Teladanilah kesabaran dan ketabahan mereka menanggung kesengsaraan. 11 cKami mengatakan mereka orang yang diberkati kerana mereka tabah menanggung kesengsaraan. Kamu telah mendengar kisah kesabaran Nabi Ayub, dan kamu tahu pada akhirnya Tuhan memberkatinya. Tuhan amat berpengasihan dan penuh belas kasihan.
12 dSaudara-saudaraku, ini sangat penting: Janganlah bersumpah ketika mengikat janji. Jangan bersumpah demi langit, bumi atau apa-apa pun. Katakan “ya” apabila maksudmu ya, dan “tidak” apabila maksudmu tidak. Dengan demikian tidaklah kamu dihukum Allah.
Doa orang yang benar
13 Adakah sesiapa dalam kalanganmu yang sedang mengalami kesusahan? Berdoalah. Adakah sesiapa yang sedang bergembira? Nyanyikanlah lagu pujian kepada Allah. 14 eAdakah sesiapa yang sakit? Panggillah para tua-tua jemaah untuk mendoakannya dan menyapukan minyak padanya dengan nama Tuhan. 15 Doa yang dilafazkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya, dan dosanya akan diampunkan. 16 Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui dosa serta mendoakan satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat.
17 fNabi Ilyas seorang manusia biasa seperti kita. Dia berdoa bersungguh-sungguh supaya hujan tidak turun, maka selama tiga tahun setengah hujan tidak turun di bumi. 18 gSelepas itu, dia berdoa lagi, lalu langit menurunkan hujan mencurah-curah dan tanah mengeluarkan hasil.
19 Saudara-saudaraku, jika seorang dalam kalanganmu tersesat daripada jalan kebenaran, lalu yang lain memimpinnya kembali kepada Allah, 20 hingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang yang berdosa kembali daripada jalan yang salah, maka dia menyelamatkan roh orang yang berdosa itu daripada kematian dan menutupi banyak dosa.