Lukas
1
Pendahuluan
1 Ramai orang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam kalangan kita 2 sebagaimana yang diberitahu kepada kita oleh saksi-saksi pertama dan pemberita Firman dari awalnya. 3 Oleh sebab aku telah mengkaji perkara-perkara ini dari mulanya, aku berfikir eloklah aku mengarang cerita-Nya dengan teratur untuk tuan Teofilus. 4 Aku berbuat demikian supaya tuan tahu dengan pastinya perkara-perkara yang telah diajarkan kepada tuan.
Pemberitahuan tentang kelahiran Nabi Yahya
5 aPada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia daripada golongan imam Abia. Isterinya, Elisabet,* daripada keturunan Harun. 6 Kedua-duanya orang yang salih di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta ketetapan Tuhan dengan sepenuhnya. 7 Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia.
8 Pada suatu hari Zakharia melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut giliran golongannya bertugas. 9 Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam Bait Allah untuk membakar kemenyan. 10 Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar.
11 Lalu ternampak kepada Zakharia, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan mazbah tempat pembakar kemenyan itu. 12 Hati Zakharia berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut. 13 Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Zakharia, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yahya. 14 Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain 15 bkerana dia akan menjadi mulia di mata Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Allah sejak dari rahim ibunya lagi. 16 Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Allah, Tuhan mereka, 17 cdan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Nabi Ilyas untuk mendamaikan hati bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar kepada hikmah orang yang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan.”
18 Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah aku dapat mengetahui perkara ini akan berlaku? Aku telah tua dan isteriku pun telah lanjut usianya.”
19 dMalaikat itu menjawab lagi, “Akulah Jibrail yang berdiri di hadirat Allah, telah diutuskan untuk menyampaikan berita baik ini kepadamu. 20 Ketahuilah, oleh sebab engkau tidak percaya kepada kata-kataku ini yang akan dipenuhi pada masanya, engkau akan menjadi bisu dan tidak dapat bertutur hingga pada hari semua perkara ini berlaku.”
21 Sementara itu, orang yang berhimpun itu ternanti-nanti akan Zakharia; mereka sangat hairan kerana dia begitu lama di dalam Bait Allah. 22 Apabila dia keluar, dia tidak dapat bertutur kepada mereka. Maka ketahuilah mereka bahawa Zakharia telah nampak suatu penglihatan di dalam Bait Allah. Dia menggunakan isyarat dengan tangannya kerana dia tetap bisu.
23 Setelah tamat masa perkhidmatannya, Zakharia pulang ke rumahnya. 24 Kemudian, Elisabet, isterinya pun hamil lalu dia menyisihkan diri selama lima bulan, katanya, 25 “Inilah perbuatan Tuhan bagiku. Pada hari-hari ini Dia telah berkenan menghapuskan aibku di hadapan orang.”
Pemberitahuan tentang kelahiran Isa
26 Dalam bulan yang keenam, malaikat Jibrail diutus Allah ke Nazaret, sebuah kota di jajahan Galilea, 27 ekepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Nabi Daud. Nama anak dara itu ialah Maryam. 28 Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, “Salam kepadamu yang amat diredai! Tuhan bersamamu!”
29 Hati Maryam runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut. 30 Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Maryam, kerana engkau telah diredai Allah. 31 fEngkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Isa. 32 gDia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Putera Allah Yang Maha Tinggi. Allah, Tuhan kita, akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya. 33 Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaan-Nya berkekalan.”
34 Lalu Maryam berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?”
35 Malaikat itu menjawab, “Roh Allah akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Putera Allah. 36 Tambahan pula, saudaramu Elisabet yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua. 37 hSebabnya bagi Allah tidak ada yang mustahil.”
38 Maryam berkata, “Aku ini hamba Tuhan. Semoga terjadilah kepadaku seperti yang engkau katakan itu.” Lalu malaikat pun meninggalkannya.
Maryam melawat Elisabet
39 Setelah itu, Maryam bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yudea. 40 Dia masuk ke dalam rumah Zakharia dan memberi salam kepada Elisabet. 41 Apabila Elisabet mendengar salam Maryam, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Elisabet dipenuhi Roh Allah. 42 Dia berseru, “Diberkatilah engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu. 43 Siapakah aku ini sehingga ibu Junjunganku datang kepadaku? 44 Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan. 45 Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!”
Nyanyian pujian Maryam
46 Lalu Maryam berkata,
 
“Jiwaku meninggikan Tuhan;
47 rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku,
48 ikerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina.
Dari sekarang hingga selama-lamanya,
orang akan berkata aku diberkati,
49 kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku.
Sucilah Nama-Nya.
50 Dia mengasihani mereka yang bertakwa kepada-Nya,
daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain.
51 Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya;
Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak dalam pemikiran mereka.
52 jDia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka
dan mengangkat tinggi orang yang hina;
53 Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik
tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong.
54 Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya,
kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya
55 kyang dijanjikan kepada nenek moyang kita Nabi Ibrahim
dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.”
 
56 Maryam tinggal bersama Elisabet selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.
Kelahiran Nabi Yahya
57 Tibalah masanya untuk Elisabet bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki. 58 Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan belas kasih yang begitu besar kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya.
59 lPada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunatkan bayi itu. Mereka mahu menamainya Zakharia seperti nama bapanya. 60 Tetapi ibunya berkata, “Tidak! Namanya ialah Yahya.”
61 Mereka berkata kepada Elisabet, “Tiada seorang pun daripada kaum keluargamu yang bernama sedemikian.” 62 Lalu mereka bertanya kepada bapanya dengan menggunakan isyarat nama yang hendak diberikan kepada anaknya itu. 63 Dia meminta papan tulis lalu menulis demikian, “Namanya Yahya.” Semuanya kehairanan. 64 Pada seketika itu, mulut Zakharia terbuka dan lidahnya tidak terikat lalu dia bercakap dan memuji Allah. 65 Semua jirannya sangat takut dan segala perkara ini tersebar ke seluruh pergunungan Yudea. 66 Semua orang yang mendengarnya berkata dalam hati masing-masing, “Bagaimanakah gerangan halnya anak ini kelak?” Jelaslah bahawa tangan Tuhan memimpinnya.
Nubuat Zakharia
67 Bapanya, Zakharia, dipenuhi dengan Roh Allah lalu bernubuat,
 
68 “Segala puji bagi Allah, Tuhan bani Israel!
Kerana Dia telah datang dan menebus umat-Nya;
69 Dia telah mengurniai kita seorang Penyelamat yang berkuasa,
seorang daripada keturunan hamba-Nya, Daud.
70 Demikianlah firman-Nya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya yang suci dari zaman dahulukala,
71 Dia berjanji menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita,
dan daripada tangan semua orang yang membenci kita;
72 Dia mengasihani nenek moyang kita,
dan mengingati perjanjian-Nya yang suci,
73 Dia berjanji kepada nenek moyang kita, Ibrahim,
74 untuk menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita
supaya tanpa rasa takut kita beribadat kepada-Nya
75 dalam kesucian dan perbenaran sepanjang hidup kita.
76 mEngkau, anakku, akan digelar nabi Allah Yang Maha Tinggi
kerana engkau mendahului Tuhan demi menyediakan jalan-Nya,
77 dan memberitahu umat-Nya bahawa mereka diselamatkan
apabila dosa mereka diampunkan.
78 Oleh sebab Allah, Tuhan kita, mengasihani kita,
cahaya matahari akan terbit dari tempat tinggi
79 nuntuk menerangi orang yang tinggal
dalam kegelapan dan bayang maut
serta memimpin kita ke jalan damai.”
 
80 Anak Zakharia itu semakin membesar dan bertambah kuat rohnya. Dia tinggal di gurun sehinggalah dia muncul di khalayak bangsa Israel.
 
 
 
 
 
 
2
Kelahiran Isa
(Matius 1:18-25)
1 Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk di seluruh dunia Rom dibanci. 2 Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria. 3 Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.
4 Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nazaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Baitlahim di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud. 5 Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maryam, tunangnya yang sedang hamil. 6 Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. 7 Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.
Gembala dan malaikat
8 Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. 9 Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. 10 Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. 11 Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu al-Masih, Junjungan itu. 12 Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.”
13 Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan syurga yang besar memuji-muji Allah:
 
14 “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi
dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.”
 
15 Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, “Marilah kita pergi ke Baitlahim untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.”
16 Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maryam dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung.
17 Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu. 18 Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka; 19 tetapi Maryam menyimpan segala perkara ini dalam hatinya dan merenunginya. 20 Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.
Isa dipersembahkan di Bait Allah
21 aLapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberi nama Isa, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maryam.
22 Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Isa ke Yerusalem untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan. 23 bTersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan. 24 cMereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.
25 Pada masa itu ada seorang di Yerusalem yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan bertakwa kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia disertai Roh Allah. 26 Roh Allah telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat al-Masih yang dijanjikan oleh Tuhan. 27 Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam Bait Allah. Ketika Isa, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu, 28 Simeon mendukung Dia dan memuji Allah lalu berkata,
 
29 “Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera,
menurut firman-Mu:
30 kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu
31 yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa,
32 dsatu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing
dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.”
 
33 Ibu dan bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu. 34 Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maryam, ibu anak itu, “Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang di Israel kelak; Dia menjadi tanda daripada Allah yang akan dibantahi orang 35 supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.”
36 Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana binti Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Sesudah berkahwin selama tujuh tahun dan hidup bersama dengan suaminya, 37 Hana kemudian menjadi balu sehingga dia berumur lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Bait Allah, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam. 38 Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Yerusalem.
39 eSetelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nazaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea. 40 Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Rahmat Allah ada pada-Nya.
Isa pada umur dua belas tahun di dalam Bait Allah
41 fTiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paskah. 42 Ketika Isa berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa. 43 Setelah tamat perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Isa, anak mereka itu tertinggal di Yerusalem dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu. 44 Mereka menyangka Dia ada bersama teman-teman seperjalanan. Oleh itu, mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Isa dalam kalangan kaum keluarga dan kenalan mereka. 45 Apabila mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari-Nya. 46 Selepas tiga hari, mereka akhirnya menemui Isa di dalam Bait Allah. Dia duduk dikelilingi oleh ahli-ahli Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan. 47 Semua orang yang mendengar Isa kagum akan pengertian dan jawapan-Nya. 48 Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, “Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-Mu.”
49 Lalu Isa menjawab, “Mengapakah ibu dan ayah mencari Aku? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Aku harus melakukan kerja Bapa-Ku?” 50 Tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka.
51 Kemudian Dia pulang bersama mereka ke Nazaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya. 52 gIsa semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai Allah dan manusia.
 
 
 
 
 
 
3
Khutbah Yahya Pengimad
(Matius 3:1-12; Markus 1:1-8; Yahya 1:19-28)
1 Pada tahun yang kelima belas pemerintahan Kaisar Tiberius, Pontius Pilatus menjadi gabenor negeri Yudea, Herodes menjadi raja negeri Galilea dan saudaranya Filipus menjadi raja di wilayah Iturea dan Trakhonitis, Lisanias menjadi raja Abilene 2 dan Hanas serta Kayafas menjadi Imam Besar. Pada masa ini, firman Allah datang kepada Nabi Yahya, anak Zakharia, di gurun. 3 Lalu Yahya pergi ke seluruh daerah Sungai Yordan mengkhabarkan satu pengimadan sebagai tanda pertaubatan untuk pengampunan dosa, 4 aseperti yang tersurat dalam kitab Nabi Yesaya:
 
“Suara seorang yang berseru di gurun,
‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan,
luruskanlah jalan untuk-Nya.
5 Setiap lembah akan ditambak
dan setiap gunung serta bukit akan diratakan.
Tempat bengkang-bengkok akan diluruskan
dan jalan lekak-lekuk akan dilicinkan.
6 Semua manusia akan melihat penyelamatan yang dikurniakan oleh Allah.’”
 
7 bYahya berkata kepada orang ramai yang berkerumun untuk diimadkan olehnya, “Hai, kamu bagaikan ular kapak berbisa, siapakah yang mengingatkan kamu supaya melepaskan diri daripada kemurkaan Allah kelak? 8 cBuktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat. Jangan mula berkata sesama sendiri, ‘Ibrahim bapa moyang kita.’ Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Ibrahim. 9 dKapak sudah terletak pada akar umbi pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api.”
10 Orang ramai itu bertanya kepada Yahya, “Jadi, apa yang harus kami buat?”
11 Dia menjawab, “Sesiapa yang mempunyai dua helai baju hendaklah memberi kepada orang yang tidak mempunyai baju, dan sesiapa yang mempunyai makanan hendaklah berkongsi dengan orang yang memerlukannya.”
12 eAda pemungut cukai datang untuk diimadkan lalu bertanya kepada Yahya, “Tuan Guru, apa yang harus kami buat?”
13 Yahya berkata kepada mereka, “Jangan suruh orang membayar lebih daripada apa yang ditetapkan.”
14 Ada askar bertanya kepadanya, “Bagaimanakah dengan kami? Apa yang harus kami buat?”
Yahya berkata kepada mereka, “Jangan aniayai orang dan jangan rampas harta benda atau ajukan tuduhan palsu. Berpuas hatilah dengan gajimu.”
15 Orang ramai menanti-nanti dengan penuh harapan dan mereka tertanya-tanya dalam hati tentang Yahya kalau-kalau dialah al-Masih itu. 16 Yahya berkata kepada mereka, “Aku ini mengimadkan kamu dengan air tetapi seorang yang lebih berkuasa daripadaku akan datang. Aku ini tidak layak walaupun untuk mengurai tali kasut-Nya. Dialah yang akan mengimadkan kamu dengan Roh Allah Yang Maha Suci dan api. 17 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan membersihkan tempat pembantingan dan mengumpulkan gandum di dalam jelapang-Nya tetapi sekam akan dibakar-Nya dalam api yang tidak dapat dipadamkan.”
18 Yahya menasihati orang dengan pelbagai cara serta memberitakan Injil kepada mereka. 19 fDia telah menegur Raja Herodes tentang perkahwinannya dengan Herodias, isteri saudaranya, dan tentang segala kejahatan yang dilakukannya. 20 Kemudian, Raja Herodes melakukan dosa yang lebih dahsyat dengan memenjarakan Yahya.
Pengimadan Isa
(Matius 3:13-17; Markus 1:9-11; Yahya 1:32-34)
21 Ketika semua orang diimadkan, Isa pula diimadkan. Ketika Dia berdoa, langit terbuka, 22 gRoh Allah berupa burung merpati turun ke atas-Nya. Kedengaran satu suara dari langit yang berkata, “Engkaulah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.”
Salasilah Isa al-Masih
(Matius 1:1-17)
23 Isa berusia lebih kurang tiga puluh tahun pada masa Dia memulakan pelayanan-Nya. Pada sangkaan orang, Dia anak kepada Yusuf, anak Eli, 24 anak Matat, anak Lewi, anak Malkhi, anak Yanai, anak Yusuf, 25 anak Matica, anak Amush, anak Nahum, anak Hesli, anak Nagai, 26 anak Maat, anak Matica, anak Simei, anak Yosekh, anak Yoda, 27 anak Yohanan, anak Resa, anak Zerubabel, anak Sealtiel, anak Neri, 28 anak Malkhi, anak Adi, anak Kosam, anak Elmadam, anak Er, 29 anak Yesua, anak Eliezer, anak Yorim, anak Matat, anak Lewi, 30 anak Simeon, anak Yudah, anak Yusuf, anak Yonam, anak Elyakim, 31 anak Melea, anak Mina, anak Matata, anak Natan, anak Daud, 32 anak Isai, anak Obed, anak Boas, anak Salmon, anak Nahason, 33 anak Aminadab, anak Admin, anak Arni, anak Hezron, anak Peres, anak Yudah, 34 anak Yakub, anak Ishak, anak Ibrahim, anak Terah, anak Nahor, 35 anak Serug, anak Rehu, anak Peleg, anak Eber, anak Selah, 36 anak Kenan, anak Arpakhsad, anak Sem, anak Nuh, anak Lamekh, 37 anak Metusalah, anak Henokh,* anak Yared, anak Mahalaleel, anak Kenan, 38 anak Enos, anak Set, anak Adam, anak Allah.
 
 
 
 
 
 
4
Isa digoda
(Matius 4:1-11; Markus 1:12-13)
1 Isa penuh dengan Roh Allah, kembali dari Sungai Yordan dan dipimpin oleh Roh ke padang gurun. 2 Selama empat puluh hari, Dia digoda oleh Iblis. Sepanjang masa itu, Dia tidak makan apa-apa. Sesudahnya semua itu, Dia berasa kelaparan.
3 Lalu Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Putera Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti.”
4 aIsa menjawab, “Telah tersurat, ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja.’ ”
5 Iblis membawa Isa ke satu tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, Iblis menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia. 6 Iblis berkata kepada-Nya, “Segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya akan kuberikan kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka. 7 Jadi, jika Engkau menyembahku, semuanya itu akan menjadi kepunyaan-Mu.”
8 bTetapi Isa menjawab, “Telah tersurat, ‘Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu, dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’ ”
9 Kemudian, Iblis membawa Isa ke Yerusalem lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Allah dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Putera Allah, terjunlah dari sini, 10 ckerana telah tersurat,
 
“‘Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya
untuk menjaga-Mu
11 dan mereka akan menatang-Mu dengan tangannya,
supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.’”
 
12 dTetapi Isa menjawab, “Ada dikatakan, ‘Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.’ ”
13 Setelah Iblis selesai menggoda Isa, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu.
Isa memulakan kerja-Nya di Galilea
(Matius 4:12-17; Markus 1:14-15)
14 Isa kembali ke Galilea dalam kuasa Roh. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu. 15 Dia mengajar di saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya.
Isa tidak diterima di Nazaret
(Matius 13:53-58; Markus 6:1-6)
16 Isa kembali ke Nazaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaah seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci. 17 Kitab Nabi Yesaya diberikan kepada Isa dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat:
 
18 e“Roh Tuhan ada pada-Ku
kerana Dia telah mengurapi Aku
untuk memberitakan khabar baik kepada orang miskin;
Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan,
penyembuhan kepada orang buta,
kelepasan bagi orang yang tertindas,
19 dan mengisytiharkan tahun keredaan Tuhan telah tiba.”
 
20 Isa menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya. 21 Isa mula berucap kepada mereka, “Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah terlaksana ketika kamu mendengarnya.”
22 Semua orang menyanjung Dia dan mengagumi kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, “Bukankah Dia anak Yusuf?”
23 Isa berkata kepada mereka, “Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, ‘Tuan tabib, ubati diri-Mu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.’ ” 24 fIsa menambah, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri. 25 gDengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Nabi Ilyas tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, dan terjadilah bencana kebuluran di seluruh negeri itu. 26 hTetapi Nabi Ilyas tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarfat di Sidon. 27 iDemikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Ilyasa tetapi tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang ditahirkan melainkan Naaman, orang Siria.”
28 Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang. 29 Mereka bangun lalu mengusir Isa dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah. 30 Tetapi Isa berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.
Orang yang dirasuk oleh roh iblis
(Markus 1:21-28)
31 Kemudian Isa pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat. 32 jMereka kagum dengan ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya penuh wibawa.
33 Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring, 34 “Ah, apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Isa orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah.”
35 Isa membentak roh iblis itu, “Diam! Keluar daripada dia!” Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.
36 Mereka semua tercengang dan berkata sesama sendiri, “Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh wibawa dan kuasa Dia memerintah roh-roh jahat itu, mereka terus keluar.” 37 Maka perkhabaran tentang Isa tersebar ke seluruh daerah itu.
Isa menyembuhkan beberapa orang
(Matius 8:14-17; Markus 1:29-34)
38 Isa meninggalkan saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas, dan mereka memohon kepada Isa untuk menolongnya. 39 Isa berdiri di tepi katilnya dan membentak demam itu lalu demam itu pun hilang. Ibu mertua Simon segera bangun dan melayan mereka.
40 Ketika matahari sedang terbenam, semua orang yang menghidap pelbagai penyakit dibawa kepada Isa. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan mereka. 41 Roh-roh iblis juga keluar daripada ramai orang dan berteriak, “Engkaulah Putera Allah.” Isa memarahi roh-roh iblis itu dan tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah al-Masih.
Isa mengkhabarkan Injil di Yudea
(Markus 1:35-39)
42 Ketika fajar menyingsing, Isa meninggalkan kota itu dan pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia, dan apabila mereka menemui-Nya, mereka cuba menahan-Nya daripada meninggalkan mereka. 43 Tetapi Isa berkata kepada mereka, “Aku harus mengkhabarkan berita baik tentang kerajaan Allah di kota-kota lain juga. Sebab untuk tujuan inilah, maka Aku diutus.” 44 Maka, Dia berkhutbah Injil di saumaah di Yudea.
 
 
 
 
 
 
5
Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya yang pertama
(Matius 4:18-22; Markus 1:16-20)
1 aPada suatu hari semasa Isa berdiri di tepi pantai Tasik Genesaret, ramai orang berasak-asak mengerumuni-Nya untuk mendengar firman Allah. 2 Dia melihat dua buah perahu di situ. Para nelayan yang menangkap ikan telah turun dari perahu itu untuk membasuh jala mereka. 3 Isa naik ke dalam salah sebuah perahu, iaitu perahu Simon dan memintanya menolak perahu itu jauh sedikit dari pantai. Isa duduk dan mengajar orang ramai dari perahu itu.
4 Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, “Tolaklah ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan.”
5 bSimon menjawab, “Tuan, semalaman kami cuba sedaya upaya tetapi tidak dapat menangkap apa-apa pun. Tetapi, kerana kata-kata Engkau itu, maka aku akan menebarkan jala.”
6 cSetelah menebarkan jala, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak. 7 Mereka memanggil rakan-rakan dari perahu lain supaya datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam.
8 Apabila Simon Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Isa dan berkata, “Tinggalkan hamba, ya Junjungan, kerana hamba seorang yang berdosa!”
9 Simon dan semua orang yang bersamanya takjub melihat begitu banyak ikan yang dapat ditangkap mereka. 10 Begitu juga Yakobus dan Yahya, anak-anak Zabdi, rakan-rakan Simon. Isa berkata kepada Simon, “Jangan takut! Mulai sekarang, engkau akan menjala manusia!” 11 Setelah mereka menyadaikan perahu-perahu itu, mereka meninggalkan semuanya lalu mengikut Isa.
Isa menyembuhkan seorang yang berpenyakit kusta
(Matius 8:1-4; Markus 1:40-45)
12 Pada suatu hari Isa berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Isa, dia meniarap lalu merayu kepada-Nya, “Tuan, jika Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.”
13 Lalu Isa pun menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga, penyakit kustanya hilang.
14 dIsa menyuruhnya, “Jangan beritahu sesiapa pun hal ini tetapi pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.”
15 Akan tetapi, berita tentang Isa tersebar lebih meluas dan ramai orang datang untuk mendengar-Nya dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. 16 Tetapi Isa beredar ke tempat yang sunyi dan berdoa.
Isa menyembuhkan seorang yang lumpuh
(Matius 9:1-8; Markus 2:1-12)
17 Pada suatu hari ketika Isa sedang mengajar, ada beberapa orang dari mazhab Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di Galilea dan Yudea dan juga dari Yerusalem. Kuasa Tuhan ada pada Isa untuk menyembuhkan orang. 18 Beberapa orang mengusung seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Isa. 19 Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke atas bumbung rumah lalu membuka genting supaya dapat menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Isa.
20 Ketika Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Saudara, dosamu telah diampunkan.”
21 Ahli-ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi mula berkata sesama diri, “Siapakah orang ini yang mengkufuri Allah? Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!”
22 Tetapi Isa mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu? 23 Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan’? 24 Tetapi, supaya kamu tahu bahawa Putera Insan berkuasa di bumi ini mengampunkan dosa,” Dia berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu dan pulanglah!”
25 Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah. 26 Semua orang tercengang dan memuji Allah. Mereka berasa takjub sambil berkata, “Pada hari ini kami telah menyaksikan hal yang ajaib!”
Isa memanggil Lewi
(Matius 9:9-13; Markus 2:13-17)
27 Kemudian Isa keluar dan terpandang seorang pemungut cukai yang bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Isa berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!” 28 Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut-Nya.
29 Lewi menyediakan satu jamuan besar untuk Isa di rumahnya. Ada ramai pemungut cukai dan orang lain yang turut makan bersama mereka. 30 eOrang dari mazhab Farisi dan ahli Taurat mereka bersungut-sungut kepada para pengikut Isa, “Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut cukai dan orang berdosa?”
31 Isa menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. 32 Aku datang bukannya untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertaubat.”
Pertanyaan tentang puasa
(Matius 9:14-17; Markus 2:18-22)
33 Mereka berkata kepada Isa, “Pengikut-pengikut Yahya kerap kali berpuasa dan berdoa. Demikian juga pengikut orang dari mazhab Farisi. Tetapi pengikut-pengikut-Mu ini terus makan dan minum sahaja.”
34 Isa menjawab, “Dapatkah kamu membuat tetamu jamuan perkahwinan berpuasa semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? 35 Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.”
36 Isa memberitahu juga suatu ibarat kepada mereka: “Tiada sesiapa pun yang mengoyak perca kain untuk menampalkannya ke atas pakaian lama. Jika dia demikian, maka dia akan mengoyakkan pakaian baru itu, dan perca kain baru itu tidak akan sepadan dengan yang lama. 37 Tiada siapa menuangkan air anggur baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru itu akan memecahkan kirbat kulit itu, lalu air anggur di dalamnya akan tumpah dan kirbat itu pun rosak. 38 Tetapi air anggur yang baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru. 39 Dan tiada siapa pun yang telah minum air anggur yang lama gemar minum air anggur yang baru kerana katanya, ‘Yang lama itu lebih baik.’ ”
 
 
 
 
 
 
6
Pertanyaan tentang hari Sabat
(Matius 12:1-8; Markus 2:23-28)
1 aPada hari Sabat Isa berjalan melalui ladang gandum dan pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu memakannya. 2 Beberapa orang dari mazhab Farisi berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat?”
3 Isa menjawab, “Tidakkah kamu baca tentang apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan mereka yang mengikutinya berasa lapar? 4 bDia masuk ke dalam Khemah Suci Allah lalu makan roti persembahan serta memberikan roti itu kepada mereka yang mengikutinya, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu.” 5 Seterusnya Isa berkata kepada mereka, “Putera Insan ialah Junjungan atas hari Sabat.”
Isa menyembuhkan orang pada hari Sabat
(Matius 12:9-14; Markus 3:1-6)
6 Pada suatu hari Sabat yang lain, Isa masuk ke saumaah lalu mengajar di situ. Di situ ada seorang yang lumpuh tangan kanannya. 7 Ahli-ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi cuba mencari alasan untuk menuduh Isa. Oleh itu, mereka mengawasi Isa sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. 8 Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada orang yang lumpuh tangan kanannya, “Bangunlah dan berdiri di sini.” Orang itu pun bangun dan berdiri di situ.
9 Isa berkata kepada mereka, “Aku bertanya kepadamu, manakah yang wajar dilakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan atau membinasakan nyawa?” 10 Isa memandang sekeliling mereka lalu berkata kepada orang itu, “Hulurkan tanganmu.” Orang itu langsung melakukannya dan tangannya terus sembuh.
11 Tetapi mereka naik berang lalu berbincang sesama diri tentang apa yang harus dilakukan terhadap Isa.
Isa memilih dua belas pengikut-Nya
(Matius 10:1-4; Markus 3:13-19)
12 Pada masa itu Isa naik ke bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah. 13 Setelah hari siang, Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya dan daripada mereka itu, Dia memilih dua belas orang yang digelar-Nya rasul: 14 Simon yang dinamakan-Nya Petrus, dan Andreas saudaranya, Yakobus dan Yahya, Filipus dan Bartolomeus, 15 Matius dan Tomas, Yakobus bin Alfeus, Simon yang disebut orang Patriot,* 16 Yudas bin Yakobus, dan Yudas Iskariot yang menjadi pengkhianat.
Isa mengajar dan menyembuhkan penyakit
(Matius 4:23-25)
17 Isa turun bersama mereka lalu berdiri di suatu tempat yang rata. Di situ terdapat sebilangan besar daripada pengikut-Nya dan ramai orang dari seluruh jajahan Yudea, dari Yerusalem dan dari wilayah-wilayah Tirus serta Sidon 18 yang datang untuk mendengar Isa dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh-roh jahat turut datang dan mereka juga disembuhkan. 19 Semua orang cuba menyentuh Isa kerana kuasa sedang keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua.
Kebahagiaan dan penderitaan
(Matius 5:1-12)
20 Isa memandang pengikut-pengikut-Nya lalu berkata:
“Diberkatilah kamu yang miskin,
kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah.
21 Diberkatilah kamu yang lapar sekarang,
kerana kamu akan dipuaskan.
Diberkatilah kamu yang menangis sekarang,
kerana kamu akan bersuka ria.
22 cDiberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan menjahatkan namamu kerana Putera Insan.
23 d“Bersuka rialah apabila perkara itu berlaku dan melompatlah kegembiraan, kerana besar ganjaranmu di syurga kelak. Begitu jugalah diperlakukan nenek moyang mereka terhadap para nabi.
24 “Tetapi malangnya kamu yang kaya,
kerana kamu telah beroleh hidup yang senang-lenang.
25 Malangnya kamu yang sekarang kenyang,
kerana kamu akan lapar kelak.
Malangnya kamu yang sekarang tertawa,
kerana kamu akan menangis dan meratap kelak.
26 Malangnya kamu apabila kamu dipuji semua orang,
kerana demikian juga perbuatan nenek moyang mereka kepada nabi-nabi palsu.
 
Kasih kepada musuh
(Matius 5:38-48)
27 “Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata: Kasihilah musuhmu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu; 28 berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu. 29 Jika orang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar sebelah lagi; jika ada orang mengambil jubah kamu, biarkan dia ambil bajumu juga. 30 Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu. 31 eApa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka.
32 “Jika kamu mengasihi orang yang mengasihimu, apakah kelebihanmu? Malah, orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka. 33 Dan jika kamu membalas baik kepada orang yang berbuat baik kepadamu, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun berbuat demikian. 34 Jika kamu meminjami orang yang kamu harap akan memulangkannya, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun meminjami orang berdosa untuk mendapatkan kembali sama banyaknya. 35 Tetapi kamu hendaklah mengasihi musuhmu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang zalim. 36 Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan.
Menghakimi orang
(Matius 7:1-5)
37 “Janganlah kamu hakimi orang supaya kamu tidak akan dihakimi. Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum. Ampunilah orang dan kamu akan diampuni. 38 Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah ruah akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu.”
39 fKemudian Isa memberitahu suatu ibarat lagi. “Bolehkah orang buta memimpin orang buta? Tidakkah kedua-duanya akan jatuh ke dalam parit? 40 gTiada murid yang melebihi gurunya; tetapi setiap murid yang terlatih dengan sempurna akan menyerupai gurunya.
41 “Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari? 42 Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah aku keluarkan selumbar itu daripada matamu’ sedangkan kamu tidak nampak sebatang kayu balak terpampang di matamu sendiri? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak daripada matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu.
Pokok dan buahnya
(Matius 12:33-35)
43 “Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik. 44 hTiap-tiap pokok dikenal daripada buahnya. Orang tidak memetik buah ara daripada pokok duri atau buah anggur daripada semak duri. 45 iOrang yang baik membuahkan hal-hal yang baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan; orang yang jahat membuahkan hal-hal yang jahat kerana hatinya penuh kejahatan. Yang diluahkan mulutnya, meluap daripada hatinya.
Dua orang pembina rumah
(Matius 7:24-27)
46 “Mengapakah kamu memanggil Aku, ‘Ya Junjungan kami, ya Junjungan kami,’ tetapi tidak mematuhi perintah-Ku? 47 Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta menurut kata-kata-Ku. 48 Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh. 49 Akan tetapi, orang yang mendengar dan tidak menurut kata-kata-Ku umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila dilanda arus sungai, rumah itu akan runtuh dan kerosakannya besar sekali.”
 
 
 
 
 
 
7
Isa menyembuhkan hamba ketua tentera
(Matius 8:5-13; Yahya 4:46-53)
1 Setelah Isa habis mengatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. 2 Terdapat seorang hamba ketua tentera yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati. 3 Apabila ketua tentera itu mendengar tentang Isa, dia menyuruh beberapa tua-tua Yahudi mendapatkan Isa untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu. 4 Ketika mendapatkan Isa, mereka merayu kepada-Nya, “Dia wajar mendapat pertolongan-Mu, 5 kerana dia mencintai bangsa kita dan dia telah mendirikan sebuah saumaah bagi kami.”
6 Lalu Isa pun pergi bersama mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua tentera itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Isa, “Ya Junjungan, tidak usah Junjungan menyusahkan diri kerana aku tidak layak menyambut Junjungan ke rumahku. 7 Aku juga tidak layak datang untuk menemui Junjungan. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. 8 Aku juga di bawah perintah orang atasan dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.”
9 Isa terkagum mendengarnya lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, “Aku berkata kepadamu, belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun.”
10 Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua tentera itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.
Isa menghidupkan anak lelaki seorang balu di Nain
11 Tidak lama kemudian, Isa pergi ke sebuah bandar yang bernama Nain; pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi bersama-Nya. 12 Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama dengan wanita itu. 13 Apabila Junjungan melihat balu itu, Dia berbelas kasihan terhadapnya lalu Dia berkata kepadanya, “Janganlah menangis.”
14 Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Isa berkata, “Hai pemuda, Aku berkata kepadamu – bangun!” 15 Orang yang sudah mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Isa mengembalikannya kepada ibunya.
16 Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: “Seorang nabi yang agung telah muncul dalam kalangan kita!” dan “Allah telah mendatangi umat-Nya.”
17 Khabar tentang Isa ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea dan daerah di sekelilingnya.
Nabi Yahya menyuruh pengikutnya kepada Isa
(Matius 11:2-19)
18 Pengikut-pengikut Yahya memaklumkan segala perkara ini kepadanya. 19 Yahya memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka bertanya kepada Isa, “Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?”
20 Apabila mereka datang kepada Isa, mereka berkata, “Yahya Pengimad itu menyuruh kami bertanya kepada Tuan, ‘Adakah Tuan ini orang yang akan datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?’ ”
21 Pada masa itu, Isa sedang menyembuhkan ramai orang yang menderitai penyakit, wabak dan kerasukan roh iblis serta mencelikkan mata ramai orang buta. 22 aLalu Isa menjawab mereka, “Pulanglah, beritahu Yahya apa yang telah kamu lihat dan dengar: Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta ditahirkan, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula serta perkhabaran baik disampaikan kepada orang miskin. 23 Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.”
24 Setelah utusan-utusan Nabi Yahya pulang, Isa mula berkata kepada orang ramai tentang Yahya, “Apabila kamu mendapatkan Yahya di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin? 25 Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Ketahuilah, orang yang berpakaian mewah dan hidup dalam kekayaan ada di istana. 26 Oleh itu, kamu ke sana untuk melihat apa? Seorang nabi? Betul, malah Aku berkata kepadamu, lebih daripada seorang nabi. 27 bTentang orang itulah telah tersurat dalam Kitab Suci:
 
“‘Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu;
dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.’
 
28 Aku berkata kepadamu bahawa Yahya itu lebih besar daripada semua orang yang pernah dilahirkan. Akan tetapi, orang yang terkecil dalam kerajaan Allah lebih besar daripadanya.”
29 cOrang ramai itu, termasuk pemungut-pemungut cukai, mendengar Isa. Mereka mengakui cara Allah adalah benar kerana mereka telah menerima pengimadan Yahya. 30 Tetapi orang dari mazhab Farisi dan ahli-ahli Taurat enggan menerima pengimadan Yahya, maka mereka menolak kehendak Allah untuk mereka.
31 “Dengan apakah dapat Kubandingkan orang zaman ini? Bagaimanakah keadaan mereka? 32 Mereka umpama anak-anak yang duduk di pasar dan berseru-seru sesama sendiri:
 
“‘Kami memainkan seruling untukmu,
tetapi kamu enggan menari;
kami menyanyi lagu ratap untukmu,
tetapi kamu enggan menangis.’
 
33 Kerana Yahya Pengimad telah datang dengan berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu kamu berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis’ 34 Ketika Putera Insan datang, Dia makan dan minum lalu kamu berkata, ‘Lihatlah Dia ini: pelahap, pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa.’ 35 Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar oleh semua orang yang menerimanya.”
Isa di rumah Simon, seorang dari mazhab Farisi
36 Salah seorang dari mazhab Farisi menjemput Isa makan di rumahnya. Isa masuk ke rumah orang dari mazhab Farisi itu lalu duduk bertelekan di meja. 37 dDi dalam kota itu ada seorang perempuan yang hidup dalam dosa. Setelah dia mendengar bahawa Isa makan di rumah orang dari mazhab Farisi itu, dia membawa sebuah kendi pualam berisi minyak wangi. 38 Dia berdiri di belakang Isa dekat dengan kaki-Nya dan menangis lalu membasahi kaki Isa dengan air matanya. Dia mengeringkan kaki Isa dengan menggunakan rambutnya, mencium kaki-Nya lalu menuang minyak wangi itu pada kaki-Nya.
39 Apabila melihat perkara ini, orang dari mazhab Farisi yang menjemput Isa berkata-kata dalam hatinya, “Jika orang ini seorang nabi, tentulah Dia mengetahui perempuan yang menyentuh-Nya seorang yang hidup berdosa.”
40 Isa menjawabnya, “Simon, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu.”
Simon berkata, “Ya Guru, katakanlah.”
41 “Ada dua orang berhutang kepada seorang pemiutang wang. Seorang berhutang lima ratus keping wang dinar dan seorang lagi lima puluh. 42 Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?”
43 Simon menjawab, “Aku rasa orang yang dihapuskan hutangnya yang lebih besar itu.”
Isa berkata kepadanya, “Betullah anggapanmu.” 44 Lalu Isa berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simon, “Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air untuk membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya. 45 Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku. 46 Engkau tidak menuang minyak pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku. 47 Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kerana kasihnya yang besar, dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja, mengasihi sedikit juga.”
48 Isa berkata kepada perempuan itu, “Dosa-dosamu telah diampunkan.”
49 Mereka yang makan bersama Isa berkata sesama sendiri, “Siapakah orang ini yang mengampunkan dosa pula?”
50 Isa berkata kepada perempuan itu, “Imanmu telah menyelamatkanmu. Pergilah dengan damai sejahtera.”
 
 
 
 
 
 
8
Beberapa orang perempuan menyertai Isa
1 Tidak lama kemudian, Isa pergi dari bandar ke bandar dan dari kampung ke kampung untuk menyampaikan perkhabaran baik tentang kerajaan Allah. Dua belas pengikut itu pergi bersama-Nya. 2 aBegitu juga beberapa orang perempuan yang telah disembuhkan daripada kerasukan roh iblis dan daripada berbagai-bagai penyakit, iaitu Maryam (yang disebut orang Magdala) yang daripadanya telah diusir tujuh roh iblis; 3 Yohana, isteri Khuza, pegawai istana Raja Herodes; Susana dan ramai perempuan lain yang menggunakan harta benda mereka untuk membantu Isa serta pengikut-pengikut-Nya.
Ibarat tentang seorang penyemai
(Matius 13:1-17; Markus 4:1-12)
4 Ketika orang ramai sedang berkumpul, dan orang dari beberapa buah bandar terus-menerus datang kepada-Nya, Dia menceritakan suatu ibarat: 5 “Seorang penyemai pergi menabur benihnya. Semasa dia menabur, ada yang jatuh di tepi jalan dan dipijak orang lalu dimakan burung di udara. 6 Ada pula yang jatuh di tempat berbatu, dan setelah bercambah, tumbuhan itu menjadi layu kerana kurangnya air. 7 Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar bersama-sama dan membantutkannya. 8 Tetapi ada benih yang jatuh di tanah yang subur lalu bertunas dan mengeluarkan hasil seratus ganda.”
Kemudian Isa berseru, “Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”
9 Pengikut-pengikut Isa bertanya kepada-Nya, “Apakah erti ibarat ini?” 10 bIsa berkata, “Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan Allah, tetapi orang lain diberitahu melalui ibarat, supaya ‘mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti.’ ”
Isa menerangkan ibarat penyemai
(Matius 13:18-23; Markus 4:13-20)
11 “Inilah maksud ibarat tadi: Benih itu ialah firman Allah. 12 Benih yang jatuh di tepi jalan itu menggambarkan mereka yang mendengar firman itu tetapi kemudian Iblis datang dan mengambil firman itu daripada hati mereka supaya mereka tidak percaya dan diselamatkan. 13 Benih yang jatuh di tempat berbatu itu bermaksud mereka yang mendengar firman itu dan terus menerima firman itu dengan sukacita tetapi mereka tidak berakar. Mereka itu hanya percaya untuk seketika dan pada waktu dugaan, iman mereka pun luntur. 14 Benih yang jatuh di tengah-tengah semak duri itu ialah mereka yang telah mendengar firman itu, tetapi dalam hidup sehari-hari mereka terhimpit oleh kerunsingan dan kekayaan serta kesenangan hidup sehingga mereka tidak menghasilkan buah yang matang. 15 Benih yang ditabur di tanah yang baik bermaksud orang yang mendengar firman itu dan menyimpannya dalam hati yang tulus ikhlas lalu dengan usaha tekun dia mengeluarkan buah.”
Pelita di bawah pasu
(Markus 4:21-25)
16 c“Tiada seorang pun memasang pelita lalu menutupinya dengan sebuah pasu atau meletakkannya di bawah katil. Tetapi dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya. 17 dTiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak didedahkan; tiada sesuatu rahsia pun yang tidak diketahui. 18 eOleh sebab itu, berhati-hatilah bagaimana kamu mendengar. Sesiapa yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang disangka ada padanya pun akan diambil daripadanya.”
Ibu Isa dan saudara-saudara-Nya
(Matius 12:46-50; Markus 3:31-35)
19 Ibu Isa dan saudara-saudara-Nya datang tetapi mereka tidak dapat bertemu dengan-Nya kerana kesesakan orang ramai. 20 Isa diberitahu, “Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar dan hendak bertemu dengan-Mu.”
21 Isa menjawab kepada mereka, “Ibu-Ku dan saudara-saudara-Ku ialah mereka yang mendengar firman Allah dan melaksanakannya.”
Isa meredakan ribut
(Matius 8:23-27; Markus 4:35-41)
22 Pada suatu hari Isa bersama pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Isa berkata kepada mereka, “Marilah kita pergi ke seberang tasik.” Lalu mereka bertolak. 23 Ketika mereka sedang belayar, Isa tertidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas.
24 Para pengikut-Nya datang kepada Isa dan membangunkan-Nya. Mereka berkata, “Ya Junjungan, ya Junjungan, kita hampir karam!”
Isa bangun lalu menegur angin dan ombak yang bergelora itu. Ribut itu pun berhenti dan segalanya tenang. 25 Isa berkata kepada mereka, “Di manakah imanmu?”
Mereka pun menjadi takut dan tercengang sambil berkata sesama sendiri, “Siapakah Dia ini sehingga angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya?”
Isa menyembuhkan seorang yang dirasuk roh iblis
(Matius 8:28-34; Markus 5:1-20)
26 Mereka belayar ke daerah orang Gerasa yang di seberang Galilea. 27 Setelah Isa mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh-roh iblis dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur. 28 Ketika dia melihat Isa, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berseru dengan suara keras, “Apa urusan-Mu dengan aku, ya Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku.” 29 Dia berkata demikian kerana Isa telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Dia sering kali dikuasai oleh roh jahat itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh jahat ke padang gurun.
30 Isa bertanya kepadanya, “Siapakah namamu?”
Dia menjawab, “Legion” kerana dia telah dirasuk oleh ramai roh iblis. 31 Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya tidak menghalau mereka ke neraka.
32 Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Isa membenarkannya. 33 Roh-roh iblis itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas.
34 Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. 35 Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Isa dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu duduk di kaki Isa. Orang itu berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan. 36 Orang yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan kepada mereka bagaimana orang yang kerasukan roh iblis itu telah disembuhkan. 37 Lalu semua penduduk daerah Gerasa meminta Isa supaya meninggalkan mereka kerana mereka ketakutan. Isa pun menaiki perahu untuk pulang.
38 Orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu meminta Isa membenarkan dia mengikut bersama-Nya tetapi Isa menyuruh dia pulang 39 dan berkata, “Pulanglah ke rumahmu dan khabarkanlah segala yang dilakukan Allah untukmu.” Orang itu pergi menyebarkan segala yang dilakukan Isa untuknya di seluruh bandar itu.
Anak perempuan Yairus dan perempuan yang menyentuh jubah Isa
(Matius 9:18-26; Markus 5:21-43)
40 Sekembalinya Isa ke seberang tasik, orang ramai pun menyambut-Nya kerana mereka menanti-nantikan-Nya. 41 Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua saumaah datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Isa dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya 42 kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati.
Semasa Isa berjalan, orang ramai itu mengasak-Nya dari semua pihak. 43 Di situ ada seorang wanita yang menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun dan walaupun dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib, dia tidak dapat disembuhkan oleh sesiapa pun. 44 Wanita itu mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh.
45 Isa berkata, “Siapakah yang menyentuh Aku?”
Apabila semua orang menafikannya, Petrus berkata, “Ya Junjungan, orang ramai ini menghimpit dan mengasak Engkau.”
46 Tetapi Isa berkata, “Ada orang menyentuh Aku kerana Aku tahu bahawa kuasa telah keluar daripada-Ku.” 47 Apabila perempuan itu mengetahui perbuatannya tidak dapat disembunyikan, dia datang dengan gementar lalu sujud di hadapan Isa dan menceritakan kepada-Nya di hadapan orang ramai itu sebabnya dia menyentuh Isa serta bagaimana dia sembuh seketika itu juga. 48 Isa berkata kepadanya, “Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera.”
49 Sementara Isa masih berkata-kata, seorang utusan datang dari rumah ketua saumaah dan berkata kepada ketua itu, “Anak perempuan tuan telah mati. Tidak usah menyusahkan Guru lagi.”
50 Isa mendengar ini dan berkata kepada ketua itu, “Jangan takut, percaya sahaja dan anakmu akan dipulihkan.”
51 Apabila tiba ke rumah itu, Isa tidak membenarkan sesiapa pun masuk bersama-sama selain Petrus, Yahya dan Yakobus serta ibu bapa budak itu. 52 Semua orang menangis dan meratapi kematian budak itu. Isa berkata, “Janganlah menangis. Dia bukan mati, dia cuma tidur.”
53 Mereka mentertawakan Isa kerana mereka mengetahui anak itu telah mati. 54 Tetapi Isa memegang tangan budak itu dan berseru, “Anak-Ku, bangunlah!” 55 Nyawa budak itu kembali dan dia bangun seketika itu juga. Lalu Isa menyuruh mereka memberi budak itu makanan. 56 Ibu bapanya kagum tetapi Isa melarang mereka mengatakan apa-apa tentang kejadian itu kepada sesiapa pun.
 
 
 
 
 
 
9
Isa mengutus dua belas pengikut-Nya
(Matius 10:5-15; Markus 6:7-13)
1 Isa memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh iblis dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. 2 Dia mengutus mereka untuk mengkhabarkan kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit. 3 Isa berkata kepada mereka, “Jangan kamu bawa apa jua pun dalam perjalananmu, baik tongkat, baik beg, baik makanan, baik wang mahupun dua helai pakaian. 4 Di rumah mana-mana pun kamu disambut, menetaplah di situ sehingga kamu beredar dari bandar itu. 5 aDi mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.” 6 Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk menyampaikan Injil dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.
Kebingungan Herodes
(Matius 14:1-12; Markus 6:14-29)
7 bHerodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yahya telah dibangkitkan daripada kematian, 8 ada yang berkata bahawa Ilyas telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali. 9 Herodes berkata, “Yahya itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.” Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Isa.
Isa memberikan makanan kepada lima ribu orang
(Matius 14:13-21; Markus 6:30-44; Yahya 6:1-14)
10 Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Isa segala perkara yang telah dilakukan mereka. Isa membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida. 11 Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Isa menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan.
12 Menjelang senja, dua belas pengikut itu datang kepada Isa. Mereka berkata, “Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.”
13 Isa berkata kepada mereka, “Kamulah memberi mereka makanan.”
Pengikut-pengikut itu berkata lagi, “Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.” 14 Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.
Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.” 15 Pengikut-pengikut itu melakukan suruhan Isa dan semua orang pun duduk. 16 Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur atas makanan itu. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. 17 Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul.
Pengakuan Petrus tentang Isa
(Matius 16:13-20; Markus 8:27-30)
18 Pada suatu hari semasa Isa berdoa bersendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Isa bertanya kepada mereka, “Mengikut orang ramai, siapakah Aku?”
19 cMereka menjawab, “Ada yang berkata Yahya Pengimad; ada yang berkata Ilyas; ada pula yang berkata salah seorang nabi telah hidup semula.”
20 dIsa bertanya kepada mereka, “Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?”
Petrus menjawab, “Al-Masih daripada Allah.”
Isa menceritakan kisah penderitaan dan kematian-Nya
(Matius 16:21-28; Markus 8:31—9:1)
21 Dengan tegasnya Isa melarang mereka memberitahu hal ini kepada sesiapa pun; 22 dan menambah, “Putera Insan harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan dibangkitkan semula.”
23 eIsa berkata kepada semua, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib setiap hari, dan mengikut-Ku. 24 fSesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya. 25 Apakah untungnya kepada seseorang jika dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian? 26 Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Putera Insan juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci. 27 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu ada beberapa orang di sini yang tidak akan menemui maut sebelum melihat kerajaan Allah.”
Isa dipermulia di atas gunung
(Matius 17:1-13; Markus 9:2-13)
28 Kira-kira lapan hari setelah Isa mengatakan perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yahya dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa. 29 Semasa Isa berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan. 30 Tiba-tiba dua orang, Musa dan Ilyas, muncul dan bercakap dengan Dia. 31 Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Isa tentang kematian-Nya yang akan ditunaikan di Yerusalem. 32 Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Isa serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya. 33 Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Isa, Petrus berkata kepada-Nya, “Ya Junjungan, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah: satu untuk Engkau, satu untuk Musa dan satu lagi untuk Ilyas.” Dia tidak tahu apa yang dikatakannya.
34 Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan. 35 gLalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, “Inilah Putera-Ku yang Kupilih. Dengarlah kata-kata-Nya!”
36 Setelah suara itu berhenti, Isa kelihatan seorang sahaja. Pengikut-pengikut itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.
Isa menyembuhkan budak yang dirasuk roh iblis
(Matius 17:14-21; Markus 9:14-29)
37 Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan orang ramai bertemu dengan Isa. 38 Seorang antaranya berseru, “Tuan Guru, tolonglah anakku kerana dia anak tunggalku. 39 Dia dirasuk sesuatu roh lalu tiba-tiba dia berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya. 40 Aku telah memohon pengikut-pengikut-Mu supaya menghalau roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.”
41 Isa menjawab, “Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu dan bersabar denganmu? Bawa anakmu itu ke mari.”
42 Semasa dia datang, roh jahat itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Tetapi Isa memarahi roh jahat itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya. 43a Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah.
Isa bercakap tentang kematian-Nya lagi
(Matius 17:22-23; Markus 9:30-32)
43b Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Isa, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, 44 “Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini: Putera Insan akan diserahkan ke tangan manusia.” 45 Mereka tidak mengetahui maksud kata-kata itu kerana tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Isa tentang perkara itu.
Siapakah yang terbesar?
(Matius 18:1-5; Markus 9:33-37)
46 hMereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar. 47 Isa mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di sisi-Nya. 48 iIsa berkata, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menyambut-Ku. Sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku. Sebabnya yang terkecil antara kamu semua ialah yang terbesar!”
Yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu
(Markus 9:38-40)
49 Yahya berkata, “Ya Junjungan, kami telah melihat seorang yang menghalau roh-roh iblis dengan menggunakan Nama-Mu, dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami.”
50 Isa berkata kepadanya, “Janganlah kamu larang dia. Orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.”
Isa dan orang Samaria
51 Tatkala waktunya sudah dekat untuk Isa diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Yerusalem. 52 Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Isa. 53 Tetapi orang Samaria tidak menerima Isa kerana Dia sedang menuju ke Yerusalem. 54 jKetika Yakobus dan Yahya, pengikut-pengikut Isa melihat perkara ini, mereka berkata, “Ya Junjungan, adakah Junjungan mahu kami menyuruhkan api turun dari langit untuk membinasakan orang Samaria ini?” 55 Isa berpaling dan memarahi mereka. 56 Lalu mereka pergi ke sebuah kampung yang lain.
Syarat-syarat menjadi pengikut Isa
(Matius 8:19-22)
57 Ketika mereka dalam perjalanan, seorang berkata kepada Isa, “Aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana sahaja.”
58 Isa berkata kepadanya, “Musang ada lubangnya dan burung di udara ada sarangnya tetapi Putera Insan tidak ada tempat untuk meletakkan kepala-Nya.” 59 Lalu Dia berkata kepada seorang yang lain, “Ikutlah Aku.”
Tetapi orang itu menjawab, “Izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku.”
60 Isa berkata kepadanya, “Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka; tetapi engkau pergilah mengkhabarkan kerajaan Allah.”
61 kSeorang lain pula berkata, “Aku hendak mengikut Tuan, tetapi biarlah aku pergi mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluargaku terlebih dahulu.”
62 Isa berkata kepadanya, “Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah.”
 
 
 
 
 
 
10
Isa mengutus tujuh puluh orang pengikut
1 Setelah itu, Junjungan memilih tujuh puluh orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. 2 aDia berkata kepada mereka, “Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai. 3 bPergilah! Dengarlah, Aku mengutus kamu seperti anak domba ke tengah-tengah serigala. 4 Janganlah bawa dompet atau beg atau kasut dan jangan berhenti di jalan untuk bersalam dengan sesiapa pun.
5 “Apabila kamu masuk ke sesebuah rumah, kamu hendaklah terlebih dahulu mengucapkan ‘Sejahteralah seisi rumah ini.’ 6 Jika orang yang tinggal di rumah itu layak menerima sejahtera, salammu akan tetap padanya. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu. 7 cTinggallah di rumah yang sama, makan dan minumlah apa sahaja yang dihidangkan, kerana seorang pekerja layak mendapat upah. Jangan berpindah dari rumah ke rumah.
8 “Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu disambut, makanlah apa sahaja yang dihidangkan. 9 Sembuhkan orang sakit yang ada di situ dan berkata kepada mereka, ‘Kerajaan Allah hampir tiba kepadamu.’ 10 dApabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu tidak disambut, kamu hendaklah keluar ke jalan dan berkata, 11 e‘Debu bandarmu yang terlekat di kaki kami pun kami kebaskan sebagai bantahan terhadapmu. Tetapi ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.’ 12 fAku berkata kepadamu bahawa pada hari itu kelak, hukuman atas Sodom lebih ringan daripada atas bandar itu.
Malangnya bandar yang tidak percaya
(Matius 11:20-24)
13 g“Malangnya kamu, hai Korazin! Malangnya kamu, hai Baitsaida! Sekiranya mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu dilakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat dengan memakai baju kabung dan membubuh abu di kepala. 14 Pada hari penghakiman itu, hukuman atas Tirus dan Sidon lebih ringan daripada atas kamu. 15 hHai Kapernaum, akankah dirimu ditinggikan sampai ke langit? Tidak, kamu akan dihumbankan ke neraka!”
16 i“Sesiapa yang mendengar kata-katamu mendengar kata-kata-Ku; sesiapa yang menentangmu menentang-Ku; dan sesiapa yang menentang-Ku juga menentang Dia yang mengutus-Ku.”
Tujuh puluh orang pengikut itu kembali
17 Tujuh puluh orang pengikut itu kembali dengan sukacitanya dan berkata, “Ya Junjungan, demi nama-Mu segala roh iblis pun menurut perintah kami.”
18 Isa berkata kepada mereka, “Aku melihat Iblis jatuh dari langit seperti kilat. 19 jAku telah memberimu kuasa untuk memijak ular dan kala jengking serta kuasa atas segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa yang dapat mencederakan kamu. 20 Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh iblis menurut perintahmu tetapi bersukacitalah kerana namamu tercatat di syurga.”
Isa bersukacita
(Matius 11:25-27; 13:16-17)
21 Pada ketika itu, Isa bersukacita dalam Roh Allah lalu berkata, “Ya Bapa, Penguasa langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil. Ya Bapa, memang inilah yang Engkau berkenan.
22 k“Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Putera kecuali Bapa; dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Putera serta orang yang terpilih Putera untuk menyatakan Bapa.”
23 Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata secara sulit, “Diberkatilah mata yang melihat segala perkara yang kamu lihat. 24 Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak mendengarnya.”
Ibarat tentang seorang Samaria yang baik hati
25 lSeorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Isa. Dia bertanya, “Tuan Guru, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?”
26 Isa berkata, “Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?”
27 mAhli Taurat itu menjawab, “ ‘Kasihlah Allah, Tuhanmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri.’ ”
28 nIsa berkata kepadanya, “Betullah jawapanmu. Berbuatlah demikian dan kamu akan hidup.”
29 Tetapi dia hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Isa, “Siapakah sesama manusia itu?”
30 Isa menjawab, “Ada seorang dalam perjalanan dari Yerusalem ke Yerikho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati. 31 Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. 32 Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. 33 oAkan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan. 34 Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas keldai tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ. 35 Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang dinar kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, ‘Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, aku akan membayarnya apabila aku datang kembali.’”
36 Isa berkata, “Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?”
37 Ahli Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.” Isa berkata, “Pergi dan berbuatlah sedemikian.”
Isa melawat Marta dan Maryam
38 pIsa dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan dan sampai di sebuah kampung. Seorang perempuan yang bernama Marta menyambut Dia ke rumahnya. 39 Maryam, adik Marta, duduk sahaja untuk mendengar pengajaran Junjungan 40 tetapi Marta pula sibuk melayani mereka. Marta menghampiri Isa dan berkata, “Ya Junjungan, tidakkah Engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.”
41 Junjungan menjawab, “Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara. 42 Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maryam telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.”
 
 
 
 
 
 
11
Pengajaran Isa tentang doa
(Matius 6:9-13; 7:7-11)
1 Isa berdoa di suatu tempat dan setelah Dia berhenti, salah seorang daripada pengikut-Nya berkata, “Ya Junjungan, ajarlah kami berdoa seperti Yahya mengajar pengikut-pengikutnya.”
2 Isa berkata kepada mereka, “Apabila kamu berdoa, katakanlah:
 
“‘Ya Bapa, sucilah namu-Mu;
Datanglah kerajaan-Mu;
3 Berilah kami makanan setiap hari;
4 Ampunkanlah dosa-dosa kami,
sebagaimana kami mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami;
janganlah biarkan kami tergoda.’”
 
5 Isa meneruskan kata-Nya, “Siapakah antara kamu yang akan pergi kepada sahabatnya pada lewat malam lalu berkata kepadanya, ‘Hai sahabat, pinjamilah aku tiga buku roti 6 kerana seorang sahabatku telah singgah di rumahku dalam perjalanannya dan aku tiada makanan apa-apa untuk dihidangkan.’
7 “Sahabat itu menjawab dari dalam rumahnya, ‘Janganlah ganggu aku kerana pintu sudah dikunci dan kami semua telah pun masuk tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa.’ ” 8 Isa berkata, “Aku berkata kepadamu bahawa sungguhpun, dia tidak mahu bangun memberikan pinjaman itu kepadamu kerana kamu sahabatnya, tetapi dia akan bangun juga dan memberikan pinjaman seberapa banyak yang kamu perlukan kalau kamu tidak segan untuk terus meminta daripadanya.
9 “Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu. 10 Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.
11 “Bapa yang manakah antara kamu akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan, 12 atau memberikan kala jengking kalau dipintanya telur? 13 Kamu yang jahat pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan Roh Allah kepada mereka yang meminta daripada-Nya!”
Isa dan Beelzebul
(Matius 12:22-30; Markus 3:22-27)
14 Isa menghalau roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun tercengang. 15 aTetapi ada orang yang berkata, “Dia menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua roh iblis.” 16 bOrang lain menduga-Nya dengan meminta suatu tanda dari syurga.
17 Isa mengetahui isi hati mereka lalu berkata, “Kerajaan yang berpecah belah tidak akan tahan lama, dan keluarga yang berpecah belah akan hancur. 18 Jika Iblis berpecah belah sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul. 19 Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu. 20 Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu.
21 “Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat; 22 tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya.
23 c“Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan.
Roh jahat kembali
(Matius 12:43-45)
24 “Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, roh itu berkata, ‘Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.’ 25 Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu bersih dan kemas. 26 Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu.”
Kebahagiaan yang sejati
27 Setelah Isa berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, “Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau.”
28 Tetapi Isa berkata, “Bahkan lebih diberkati lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya.”
Meminta mukjizat dilakukan
(Matius 12:38-42)
29 dSemasa orang ramai mengerumuni Isa, Dia berkata, “Betapa durjananya orang zaman ini! Mereka meminta tanda mukjizat daripada Allah tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kecuali tanda Nabi Yunus 30 ekerana seperti Yunus telah menjadi tanda kepada orang Niniwe, demikian juga Putera Insan menjadi tanda kepada orang zaman ini. 31 fPada hari penghakiman, Ratu Syeba* dari Selatan akan bangkit bersama orang dari zaman ini dan menuduh mereka pula, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar hikmah Nabi Sulaiman; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Sulaiman. 32 gPada hari penghakiman, orang Niniwe akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula kerana orang Niniwe itu bertaubat apabila mendengar perkhabaran Yunus; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Yunus.
Pelita bagi tubuh
33 h“Tiada seorang pun yang memasang pelita lalu menyorokkannya di tempat tersembunyi atau di bawah pasu. Sebaliknya, dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya. 34 Matamu ialah pelita tubuhmu. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu pun menjadi gelap. 35 Oleh itu, berjaga-jagalah supaya cahaya dalammu itu tidak menjadi gelap. 36 Jika seluruh tubuhmu itu terang tanpa sebarang bahagian yang gelap, seluruh tubuhmu akan terang-benderang seperti sebuah pelita menerangi kamu dengan cahayanya.”
Isa mengecam orang dari mazhab Farisi dan ahli Taurat
(Matius 23:1-36; Markus 12:38-40; Lukas 20:45-47)
37 Setelah Isa habis bercakap, seorang dari mazhab Farisi menjemput Dia makan di rumahnya. Isa pun pergi lalu duduk bertelekan di meja. 38 Orang dari mazhab Farisi itu hairan apabila melihat Isa tidak membasuh tangan-Nya sebelum makan.
39 Oleh itu, Junjungan berkata kepadanya, “Kamu orang dari mazhab Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu. 40 Hai orang yang bodoh! Bukankah Dia yang menjadikan bahagian luar juga menjadikan bahagian dalam? 41 Berikanlah makanan yang ada di dalam pinggan mangkuk itu kepada orang miskin dan segala-galanya akan menjadi bersih bagimu.
42 i“Malangnya kamu, orang dari mazhab Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lain.
43 “Malangnya kamu orang dari mazhab Farisi! Kamu suka duduk di kerusi khas di saumaah dan diberi salam hormat di pasar.
44 “Malangnya kamu! Kamu umpama kubur-kubur yang tidak bernisan, yang dipijak-pijak tanpa disedari oleh orang yang berjalan di atasnya.”
45 Seorang daripada ahli Taurat berkata kepada Isa, “Guru menghina kami juga apabila Guru berkata sedemikian.”
46 Isa berkata, “Malangnya kamu ahli-ahli Taurat, kerana kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu.
47 “Malangnya kamu! Kamu membina makam untuk nabi-nabi yang telah dibunuh oleh nenek moyangmu. 48 Oleh itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyangmu itu; kerana mereka telah membunuh nabi-nabi itu tetapi kamu membina makam mereka pula. 49 Dengan itu, kebijaksanaan Allah telah mengatakan, ‘Aku mengutus nabi-nabi dan rasul-rasul kepada mereka, yang sesetengahnya akan dibunuh atau dianiayai oleh mereka.’ 50 Jadi, orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi sejak dunia dicipta, 51 jiaitu dari pembunuhan Habil hingga pembunuhan Zakharia di antara mazbah dengan Bait Allah. Ya, Aku berkata kepadamu bahawa orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi itu.
52 “Malangnya kamu, ahli-ahli Taurat! Kunci ilmu telah kamu ambil; kamu sendiri tidak mahu masuk tetapi kamu menghalang orang yang memasukinya.”
53 Setelah Isa keluar dari rumah itu, ahli-ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi mula mengecam Dia. Mereka menanya-Nya tentang banyak perkara, 54 dan cuba memerangkap Dia dengan mencari kesalahan dalam sesuatu yang dikatakan-Nya.
 
 
 
 
 
 
12
Amaran tentang kemunafikan
(Matius 10:19-20; 10:26-33)
1 aOleh sebab tidak terkira ramainya orang berkerumun, mereka pijak-memijak sesama sendiri. Isa pun berkata, terutamanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Berhati-hatilah dengan ragi orang dari mazhab Farisi, iaitu sifat munafik. 2 bTiada sesuatu pun yang tersembunyi tidak akan dinyatakan, dan tiada sesuatu rahsia pun yang tidak akan didedahkan. 3 Apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengar secara terang-terang, dan apa yang kamu bisikkan di dalam bilik tertutup akan diumumkan dari atas bumbung.
Takut akan Allah
4 “Aku berkata kepadamu, hai sahabat-sahabat-Ku, jangan takut akan mereka yang dapat membunuh jasad dan kemudian tidak berkuasa lagi terhadapmu. 5 Aku menyatakan siapa yang harus kamu takuti: Takutlah akan Dia yang setelah memusnahkan jasad, berkuasa pula membuangmu ke dalam neraka. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu supaya takut akan Dia! 6 Bukankah lima ekor burung pipit dijual orang dengan harga dua syiling sahaja? Namun tidak seekor pun dilupakan Allah. 7 Malahan setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung. Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit.
8 “Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa yang mengakui Aku di hadapan manusia akan diakui oleh Putera Insan di hadapan malaikat-malaikat Allah. 9 Sesiapa yang menyangkal Aku di hadapan manusia akan disangkal di hadapan malaikat-malaikat Allah. 10 cSesiapa yang menentang Putera Insan dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Allah Yang Maha Suci tidak dapat diampuni.
11 d“Apabila orang membawa kamu untuk didakwa di majlis saumaah atau di hadapan pemerintah atau pihak berkuasa, janganlah kamu khuatir bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan, 12 kerana pada waktu itu Roh Allah akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.”
Ibarat tentang orang kaya yang bodoh
13 Seorang daripada orang ramai itu berkata, “Tuan Guru, suruh abang aku membahagikan warisan denganku.”
14 Isa menjawab, “Saudara, siapakah yang menjadikan Aku hakim atau pembahagi warisan kepada kamu?” 15 Isa terus menambah, “Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki.”
16 Lalu Dia pun menceritakan kepada mereka satu ibarat: “Seorang kaya mempunyai tanah yang mengeluarkan hasil yang banyak. 17 Dia berfikir dalam hatinya, ‘Apakah yang harus aku buat? Tiada lagi tempat untuk menyimpan hasil tanahku.’ 18 Dia berkata, ‘Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudangku dan membina yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala gandum dan harta bendaku. 19 Aku akan berkata kepada diriku, engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah.’ 20 Tetapi Allah berfirman kepadanya, ‘Engkau bodoh! Pada malam ini juga, jiwamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?’
21 “Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah.”
Kepercayaan kepada Allah
(Matius 6:19-21, 25-34)
22 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: “Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. 23 Hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian. 24 Perhatikanlah burung gagak yang tidak menyemai atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberinya makan. Kamu jauh lebih bernilai daripada burung-burung itu! 25 Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir? 26 Jika kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain?
27 e“Lihatlah bunga bakung, yang tidak bekerja atau bertenun. Namun demikian, Aku berkata kepadamu: Sulaiman dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu. 28 Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan lebih-lebih lagi memberimu pakaian? Begitu tipis kepercayaanmu! 29 Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah runsing. 30 Bangsa-bangsa di dunia yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua itu. 31 Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.
Harta yang di syurga
(Matius 6:19-21)
32 “Janganlah takut, hai kawanan kecil,* kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu. 33 Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu dompet yang tidak akan usang dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat. 34 Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.
Hamba yang berjaga-jaga
(Matius 24:43-51)
35 f“Kamu hendaklah bersiap sedia dengan pelitamu terpasang. 36 gKamu hendaklah seperti orang yang menantikan kepulangan tuan mereka dari jamuan perkahwinan. Apabila tuan mereka pulang dan mengetuk pintu, mereka akan membuka pintu itu dengan serta-merta. 37 Diberkatilah hamba-hamba yang didapati berjaga-jaga oleh tuan mereka ketika dia pulang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan menyuruh mereka duduk bertelekan di meja dan dia sendiri akan melayan mereka. 38 Diberkatilah hamba-hamba itu jika tuan itu pulang baik pada tengah malam ataupun sebelum fajar menyingsing dan mendapati mereka bersiap sedia. 39 hTetapi ketahuilah kamu bahawa sekiranya tuan rumah mengetahui masa pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk. 40 Oleh itu, kamu hendaklah bersedia kerana Putera Insan akan datang pada suatu masa yang tidak kamu sangka.”
Hamba yang setia dan hamba yang derhaka
41 Petrus bertanya, “Ya Junjungan, adakah Engkau beritahu ibarat ini kepada kami atau kepada semua orang?”
42 Junjungan menjawab, “Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah yang diamanahkan oleh tuannya untuk mengurus rumah tangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya. 43 Diberkatilah hamba itu jika dia didapati menjalankan tugas pada waktu tuannya kembali. 44 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan mengamanahkan segala harta bendanya kepada hamba itu. 45 Tetapi jika hamba itu berfikir dalam hatinya, ‘Tuan akan pulang lambat,’ lalu dia mula memukul hamba-hamba lelaki dan perempuan dan makan minum sehingga mabuk. 46 Kemudian tuan hamba itu akan kembali pada hari yang tidak disangkanya dan pada waktu yang tidak diketahuinya. Dia akan membunuh hamba itu dan menempatkannya bersama orang yang tidak setia.
47 “Seorang hamba yang mengetahui kehendak tuannya tetapi tidak bersedia serta tidak melakukannya, akan disebat dengan teruk. 48 Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum sebat, akan dihukum dengan ringan sahaja. Kerana sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin banyak pula yang akan dituntut daripadanya.
Isa menyebabkan perpecahan
(Matius 10:34-36)
49 “Aku datang untuk melontarkan api ke bumi dan betapa inginnya Aku api itu telah menyala! 50 iAku harus mengalami suatu pengimadan dan betapa resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum selesai. 51 Adakah pada sangkaanmu, Aku datang untuk membawa damai di dunia? Aku berkata kepadamu, bukan perdamaian melainkan perpecahan! 52 Mulai sekarang, lima orang dalam sebuah keluarga akan berpecah, tiga melawan dua dan dua melawan tiga. 53 jBapa melawan anak lelakinya dan anak lelaki melawan bapanya, ibu melawan anak perempuannya dan anak perempuan melawan ibunya, ibu mertua melawan menantu perempuannya serta menantu perempuan melawan ibu mertuanya.”
Memahami tanda zaman ini
54 Isa berkata kepada orang ramai itu, “Apabila kamu melihat awan naik dari barat, kamu akan berkata, ‘Hari mahu hujan,’ dan begitulah berlakunya. 55 Apabila kamu melihat adanya angin selatan bertiup, kamu berkata, ‘Hari akan panas terik,’ dan begitulah berlakunya. 56 Hai munafik! Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat tanda di langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami tanda-tanda zaman ini?
Berdamailah dengan musuh
57 “Mengapakah kamu sendiri tidak dapat menentukan apa yang benar? 58 Apabila engkau berjalan menuju ke mahkamah bersama orang yang mendakwamu, berusahalah untuk berdamai dengan dia sewaktu dalam perjalanan agar dia tidak mengheretmu kepada hakim dan hakim menyerahkanmu kepada pegawai yang akan memasukkanmu ke dalam penjara. 59 Aku berkata kepadamu bahawa kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.”
 
 
 
 
 
 
13
Dosa dan penderitaan
1 Pada masa itu beberapa orang datang memberitahu Isa tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah. 2 Isa berkata, “Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian? 3 Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jika kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga. 4 Bagaimanakah pula dengan lapan belas orang yang mati ditimpa oleh menara di Siloam? Adakah mereka lebih bersalah daripada semua penduduk lain di kota Yerusalem? 5 Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga.”
Ibarat tentang pokok ara yang tidak berbuah
6 Isa menceritakan suatu ibarat. “Seorang telah menanam pokok ara di kebun buah-buahannya. Dia datang mencari buahnya, tetapi tidak dijumpai. 7 Dia berkata kepada tukang kebun, ‘Tengoklah, sudah tiga tahun aku datang mencari buah daripada pokok ara ini, tetapi tidak juga didapati. Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah?’
8 “Tukang kebun menjawab, ‘Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja. 9 Kalau pokok ini berbuah, baiklah! Kalau tidak, tuan boleh menebangnya.’”
Isa menyembuhkan seorang perempuan bongkok
10 Pada hari Sabat Isa mengajar di salah sebuah saumaah. 11 Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh sesuatu roh yang melemahkannya selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok lipat dua dan dia tidak dapat berdiri tegak. 12 Apabila Isa nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, “Sembuhlah daripada penyakitmu.” 13 Lalu Isa meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah.
14 aTetapi ketua saumaah itu marah kerana Isa telah menyembuhkan orang pada hari Sabat. Lalu dia berkata kepada orang ramai, “Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat.”
15 Junjungan menjawab, “Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat? 16 Sekarang perempuan daripada keturunan Ibrahim ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?”
17 Jawapan Isa memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara mulia yang dilakukan oleh Isa.
Ibarat tentang biji sesawi dan ragi
(Matius 13:31-33; Markus 4:30-32)
18 Isa berkata, “Serupa apakah kerajaan Allah dan dengan apakah dapat Aku bandingkannya? 19 Kerajaan Allah seumpama biji sesawi yang dibawa oleh seseorang dan ditabur di dalam kebunnya. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok lalu burung di udara membuat sarang pada dahan-dahannya.”
20 Isa berkata lagi, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan kerajaan Allah? 21 Kerajaan Allah seumpama ragi yang diambil seorang perempuan dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga seluruh adunannya naik.”
Pintu yang sempit
22 Dalam perjalanan ke Yerusalem, Isa melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar. 23 Seorang bertanya kepada-Nya, “Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?”
Isa menjawab, 24 “Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya. 25 Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, ‘Tuan, tuan, bukalah pintu.’
“Tetapi dia akan menjawab, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang.’
26 “Kemudian kamu akan berkata, ‘Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.’
27 b“Tetapi tuan itu akan berkata, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah kamu dari sini, kamu semua penjahat!’
28 c d“Di tempat itu akan terdapat ratapan dan kertakan gigi apabila kamu melihat Ibrahim, Ishak dan Yakub bersama semua nabi dalam kerajaan Allah, tetapi kamu diusir keluar. 29 Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara serta selatan untuk duduk bertelekan di meja menikmati jamuan dalam kerajaan Allah. 30 eSesungguhnya, ada orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan ada orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.”
Keluhan Isa terhadap Yerusalem
(Matius 23:37-39)
31 Pada masa itu beberapa orang dari mazhab Farisi datang kepada Isa dan berkata, “Pergilah dari sini ke tempat yang lain. Herodes hendak membunuh-Mu.”
32 Isa menjawab, “Pergilah beritahu si musang, ‘Pada hari ini dan esok Aku menghalau roh-roh iblis serta menyembuhkan orang tetapi pada hari ketiga Aku akan menyelesaikan tugas-Ku.’ 33 Namun demikian, Aku harus meneruskan perjalanan pada hari ini, esok dan lusa. Seorang nabi tidak dibunuh di tempat lain kecuali di Yerusalem.
34 “Yerusalem, Yerusalem! Kamu membunuh nabi dan merejam utusan Allah. Sudah berapa kali Aku ingin mengumpul anak-anakmu seperti seekor ibu ayam mengumpul anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi kamu tidak mahu. 35 fSekarang rumahmu akan ditinggalkan sama sekali. Aku berkata kepadamu, kamu tidak akan melihat Aku sehingga kamu berkata, ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!’ ”
 
 
 
 
 
 
14
Isa menyembuhkan seorang yang sakit
1 Pada hari Sabat Isa pergi makan di rumah seorang dari mazhab Farisi yang terkemuka. Orang terus memerhatikan Isa dengan teliti. 2 Dan di situ seorang lelaki yang sakit busung berada di hadapan Isa 3 Kemudian Isa bertanya kepada ahli-ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi, “Adakah Taurat membenarkan orang disembuhkan pada hari Sabat atau tidak?” 4 Tetapi mereka diam sahaja. Lalu Isa memanggil orang itu dan menyembuhkannya serta menyuruhnya pulang.
5 aKemudian Isa berkata kepada mereka, “Jika anakmu atau lembumu jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, siapakah antara kamu yang tidak menariknya keluar dengan serta-merta?” 6 Mereka tidak dapat memberikan jawapan tentang perkara itu.
Murah hati dan rendah hati
7 Ketika Isa melihat bagaimana tetamu memilih tempat duduk yang terbaik dalam jamuan itu, Dia mengatakan suatu ibarat kepada mereka: 8 b“Apabila kamu dijemput orang ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin seorang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput, 9 dan tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, ‘Berikanlah tempatmu kepada orang ini.’ Lalu dengan malu sahaja kamu berpindah ke tempat yang paling belakang. 10 Oleh itu, apabila kamu dijemput orang, pergilah duduk di tempat yang paling belakang supaya tuan rumah datang dan berkata kepadamu, ‘Kawan, silakanlah ke tempat yang lebih baik.’ Dengan itu, kamu mendapat penghormatan di hadapan semua orang jemputan itu. 11 cSesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan yang merendahkan diri akan ditinggikan.”
12 Kemudian Isa berkata kepada tuan rumah, “Apabila mengadakan suatu majlis makan tengah hari atau malam, janganlah jemput sahabat-sahabatmu atau adik-beradikmu atau sanak saudaramu atau jiran tetanggamu yang kaya kerana mereka akan menjemputmu pula dan itulah sahaja balasan atas perbuatanmu. 13 Apabila mengadakan suatu jamuan, jemputlah orang miskin, orang kudung, orang tempang dan orang buta. 14 Diberkatilah kamu kelak kerana mereka tidak dapat membalas jemputanmu, tetapi kamu akan dianugerahi Allah pada hari kebangkitan orang yang benar daripada kematian.”
Ibarat tentang jamuan besar
(Matius 22:1-10)
15 Salah seorang jemputan itu mendengar kata-kata Isa lalu berkata, “Diberkatilah orang yang akan dijamu dalam kerajaan Allah.”
16 Isa berkata kepadanya: “Ada seorang yang mengadakan jamuan besar dan dia menjemput ramai orang. 17 Apabila tiba masanya, dia menyuruh hambanya pergi memberitahu para jemputannya, ‘Silakanlah, kerana semuanya siap sedia.’
18 “Tetapi masing-masing mula berdalih. Yang pertama berkata, ‘Aku telah membeli sebuah ladang dan aku harus pergi ke sana. Aku minta maaf.’
19 “Seorang yang lain berkata, ‘Aku telah membeli lima pasang lembu dan harus pergi mencuba lembu-lembu itu. Aku minta maaf.’
20 “Seorang yang lain lagi berkata, ‘Aku baru berkahwin. Oleh itu, aku tidak dapat datang.’
21 “Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya hal ini. Tuan rumah itu sangat marah dan menyuruh hambanya, ‘Pergilah dengan segera ke jalan-jalan dan lorong-lorong kota dan bawalah orang miskin, orang kudung, orang buta dan orang tempang ke mari.’
22 “Hamba itu berkata, ‘Tuan, apa yang tuan suruh telah dilakukan tetapi masih ada tempat lagi.’
23 “Tuan rumah berkata kepada hambanya, ‘Pergilah ke jalan-jalan raya dan lorong-lorong di luar kota serta suruh orang datang supaya rumahku penuh. 24 Aku berkata kepadamu bahawa tiada seorang pun antara mereka yang telah dijemput itu, akan menikmati jamuanku ini.’ ”
Pengorbanan menjadi pengikut Isa
25 Orang ramai sedang mengiringi Isa apabila Dia berpaling dan berkata kepada mereka: 26 d“Jika seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan nyawanya, dia tidak boleh menjadi pengikut-Ku. 27 eSesiapa yang tidak memikul salibnya dan mengikut-Ku tidak boleh menjadi pengikut-Ku.
28 “Jika seseorang antara kamu ingin membina sebuah menara, dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya untuk memastikan sama ada dia mempunyai wang yang cukup untuk menyiapkan pembinaan itu. 29 Jika dia sudah meletakkan asas menara itu, tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya, semua orang yang melihat hal itu akan mengejeknya. 30 ‘Orang ini telah memulakan pembinaan itu, tetapi tidak dapat pula menyiapkannya.’
31 “Jika seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak keluar berperang dengan raja lain yang membawa dua puluh ribu orang askar untuk menyerangnya, dia akan mempertimbangkan dahulu sama ada dia cukup kuat untuk menentang raja tersebut. 32 Kalau dia tidak dapat berbuat demikian, dia akan memerintah utusan-utusannya untuk bertanyakan syarat-syarat perdamaian semasa musuhnya masih jauh lagi. 33 Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala miliknya, tidak boleh menjadi pengikut-Ku.
34 “Garam itu baik tetapi jika menjadi tawar, bagaimanakah garam itu dapat dimasinkan semula? 35 Garam itu tidak berguna untuk menyuburkan tanah atau dijadikan baja kecuali dibuang sahaja. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.”
 
 
 
 
 
 
15
Ibarat tentang domba yang hilang
(Matius 18:12-14)
1 aPada suatu hari semua pemungut cukai dan orang yang berdosa datang mendengar Isa. 2 Orang dari mazhab Farisi dan ahli-ahli Taurat bersungut-sungut, “Orang ini menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.”
3 Isa pun mengatakan ibarat ini kepada mereka. 4 “Jika seorang antara kamu mempunyai seratus ekor domba lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga ditemukannya. 5 Setelah dia menemukannya, dia memikul domba itu di atas bahunya. 6 Setibanya di rumah, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya lalu berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan domba aku yang hilang itu.’ 7 Aku berkata kepadamu bahawa begitu jugalah kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat lebih daripada kegembiraan ke atas sembilan puluh sembilan orang yang benar yang tidak perlu bertaubat.
Ibarat tentang wang yang hilang
8 “Atau seandainya seorang perempuan yang mempunyai sepuluh keping wang perak kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita lalu menyapu rumah dan mencari dengan cermat sehingga dia menemukannya kembali. 9 Setelah itu, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya dan berkata, ‘Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan sekeping wang yang hilang itu.’ 10 Aku berkata kepadamu bahawa malaikat-malaikat Allah bergembira kerana seorang yang berdosa bertaubat.”
Ibarat tentang anak lelaki yang hilang
11 Isa berkata seterusnya: “Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki. 12 Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’ Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu.
13 “Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. 14 Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan. 15 Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya. 16 Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya.
17 “Akhirnya, dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji bapaku dapat makan sehingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan! 18 Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah. 19 Aku tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah aku ini sebagai salah seorang gaji ayah.’ 20 Dia pun kembali kepada bapanya.
“Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya.
21 “Anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, aku telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.’
22 “Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, ‘Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin pada jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya. 23 Pilihlah dan sembelihlah anak lembu yang tambun, dan marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria; 24 kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.’ Lalu mereka mula bersuka ria.
25 “Pada masa itu anak sulung bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari. 26 Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku ini?’ 27 Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.’
28 “Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia. 29 Anak sulung itu berkata, ‘Tengoklah, bertahun-tahun aku bekerja untuk ayah. Aku tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada aku supaya aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku. 30 Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya!’
31 “Bapa itu berkata kepadanya, ‘Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu. 32 Kita patut bersuka ria kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.’ ”
 
 
 
 
 
 
16
Ibarat tentang pengurus yang cerdik
1 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: “Seorang kaya mempunyai seorang pengurus untuk harta bendanya. Dia diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang tuannya. 2 Tuan itu memanggil pengurus itu lalu berkata, ‘Apakah yang telah kudengar tentangmu? Serahkanlah kira-kira yang lengkap bagi semua hartaku kerana kamu tidak boleh menjadi pengurus lagi.’
3 “Pengurus itu berkata kepada dirinya, ‘Apakah yang harus aku buat? Tuan aku hendak memecatku. Aku tidak kuat untuk mencangkul dan aku malu meminta sedekah. 4 Aku tahu apa yang harus aku buat supaya apabila aku dipecat nanti daripada jawatan pengurus itu, aku ada ramai sahabat yang akan menerimaku ke rumah mereka.’
5 “Dia pun memanggil semua orang yang berhutang kepada tuannya. Dia berkata kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada tuan aku?’
6 “Orang itu menjawab, ‘Seratus tong minyak zaitun.’
“Pengurus itu berkata, ‘Inilah kira-kiramu. Duduk dan tulislah lima puluh.’
7 “Dia berkata kepada seorang yang lain, ‘Berapakah hutangmu pula?’
“Orang itu menjawab, ‘Seratus pikul gandum.’
“Pengurus itu berkata, ‘Inilah kira-kiramu. Tulislah lapan puluh.’
8 “Tuan itu memuji pengurus yang tidak jujur itu kerana perbuatannya yang cerdik. Orang di dunia ini lebih cerdik menguruskan pekerjaan mereka daripada orang yang hidup dalam cahaya. 9 Aku berkata kepadamu supaya menggunakan kekayaan dunia untuk mendapat sahabat bagi dirimu. Apabila kekayaanmu lenyap, kamu akan disambut ke tempat kediaman yang kekal.
10 “Orang yang setia dalam perkara yang kecil akan setia juga dalam perkara yang besar; dan orang yang tidak setia dalam perkara yang kecil tidak akan setia dalam perkara yang besar. 11 Oleh itu, jika kamu tidak setia dalam kekayaan dunia ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan yang sejati kepadamu? 12 Dan jika kamu tidak setia dengan milik orang lain, siapakah pula yang akan memberimu apa yang menjadi milik kamu sendiri?
13 a“Seorang hamba tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.”
14 Orang dari mazhab Farisi yang mendengar kata-kata Isa mengejek-Nya kerana mereka loba akan wang. 15 Isa berkata kepada mereka, “Kamulah orang yang membela diri di hadapan khalayak ramai, tetapi Allah mengetahui isi hatimu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia tidak ada nilainya di sisi Allah.
Beberapa ajaran Isa
16 b“Sebenarnya, hukum Taurat dan tulisan para nabi berkuat kuasa sehingga zaman Yahya. Semenjak itu, perkhabaran baik tentang kerajaan Allah diberitakan, dan orang berasak-asak hendak memasukinya. 17 cTetapi lebih mudah lenyapnya langit dan bumi daripada hilangnya sepatah kata pun hukum Taurat.
18 d“Sesiapa menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, dia berzina dan sesiapa berkahwin dengan seorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya, dia berzina.
Orang kaya dan Lazarus yang miskin
19 “Ada seorang kaya yang berpakaian linen ungu yang mahal dan hidup mewah setiap hari. 20 Ada pula seorang peminta sedekah bernama Lazarus yang penuh dengan pekung. Dia selalu dibawa ke muka pintu rumah orang kaya itu. 21 Dia ingin mendapat sisa-sisa makanan yang dibuang dari meja orang kaya itu. Anjing pula datang menjilat pekung-pekungnya.
22 “Peminta sedekah itu mati dan malaikat-malaikat membawanya ke sisi Nabi Ibrahim di syurga. Orang kaya itu pun mati lalu dikebumikan. 23 Dia menderita di alam maut. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Ibrahim jauh di sana dan Lazarus di sisinya. 24 Dia berseru, ‘Bapa Ibrahim, kasihanilah aku dan suruh Lazarus datang mencelupkan jarinya di dalam air untuk menyejukkan lidahku kerana aku sengsara di dalam nyala api ini.’
25 “Tetapi Ibrahim berkata, ‘Anakku, ingatlah bahawa engkau telah menikmati yang baik dalam hidupmu, tetapi Lazarus mengalami kesengsaraan. Sekarang Lazarus senang di sini tetapi engkau menderita. 26 Selain itu, terdapat satu jurang yang dalam di antara kami dengan kamu supaya orang yang hendak menyeberang dari sini kepada kamu tidak dapat berbuat demikian, dan orang dari sana tidak dapat menyeberang kepada kami.’
27 “Orang kaya itu berkata, ‘Jika begitu, aku memohon, ya bapa, suruh Lazarus ke rumah ayahku 28 kerana aku mempunyai lima adik-beradik lelaki. Biarlah Lazarus pergi memberikan amaran kepada mereka supaya mereka tidak datang ke tempat sengsara ini.’
29 “Ibrahim berkata, ‘Mereka ada kitab Musa dan nabi-nabi. Biarlah mereka mendengar pengajaran itu.’
30 “Orang kaya itu berkata, ‘Itu tidak cukup, Bapa Ibrahim. Jika seorang antara orang mati pergi kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa-dosa mereka.’
31 “Tetapi Ibrahim berkata, ‘Jika mereka tidak mahu mendengar pengajaran kitab Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya sekalipun seorang bangkit daripada kematian.’ ”
 
 
 
 
 
 
17
Dosa, iman dan kewajipan seorang hamba
1 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: “Hal yang membuat orang melakukan dosa memang ada, tetapi malangnya bagi orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku. 2 Lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan pada lehernya dan dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan seorang daripada kanak-kanak kecil ini berdosa. 3 aBerwaspadalah!
“Jika saudaramu telah berbuat dosa terhadapmu, tegurlah dia dan jika dia bertaubat, ampunilah dia. 4 Jika dia berdosa sebanyak tujuh kali terhadapmu dalam sehari dan setiap kali dia datang kepadamu serta berkata, ‘Aku bertaubat,’ kamu hendaklah mengampuninya.”
5 Rasul-rasul itu berkata kepada Junjungan, “Kuatkanlah iman kami.”
6 Junjungan menjawab, “Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu akan dapat berkata kepada pokok ara ini, ‘Tercabutlah akar-akarmu dan tertanamlah kamu di laut,’ dan pokok ara akan menurut perintahmu.
7 “Jika salah seorang kamu mempunyai hamba yang membajak atau menggembalakan domba, siapakah antara kamu akan berkata kepadanya sewaktu dia pulang dari ladang, ‘Marilah segera dan duduklah untuk makan?’ 8 Bukankah kamu akan berkata kepadanya, ‘Hidangkan makanan dan bersedia untuk melayan aku semasa aku makan. Selepas itu, barulah kamu makan’? 9 Adakah dia mengucapkan terima kasih kepada hamba itu kerana dia menurut perintah? 10 Begitu juga dengan kamu. Apabila kamu telah berbuat segala yang diperintahkan kepadamu, kamu hendaklah berkata, ‘Kami ini hamba yang tidak layak menerima apa-apa; kami cuma menjalankan kewajipan kami.’ ”
Isa menyembuhkan sepuluh orang berpenyakit kusta
11 Dalam perjalanan Isa ke Yerusalem, Dia melalui sempadan Samaria dan Galilea. 12 Apabila Dia memasuki sebuah kampung, sepuluh orang berpenyakit kusta datang bertemu dengan-Nya. Mereka berdiri jauh sedikit daripada Isa 13 dan berseru kepada-Nya, “Ya Isa, ya Junjungan, kasihanilah kami!”
14 bApabila Isa melihat mereka, Dia berkata kepada mereka, “Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam-imam.” Dalam perjalanan, mereka pun menjadi tahir.
15 Seorang daripada mereka ketika melihat dirinya sembuh, kembali dan memuji Allah dengan suara yang kuat. 16 Dia sujud pada kaki Isa dan mengucapkan terima kasih. Dia seorang Samaria.
17 Isa bertanya, “Bukankah sepuluh orang telah ditahirkan? Di manakah sembilan orang lagi? 18 Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk memberikan pujian kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?” 19 Isa pun berkata kepadanya, “Bangunlah dan pergi. Imanmu telah menyembuhkan kamu.”
Kedatangan kerajaan Allah
(Matius 24:23-28, 36-41)
20 Terdapat beberapa orang dari mazhab Farisi bertanya kepada Isa bila kerajaan Allah akan datang dan Isa menjawab, “Kerajaan Allah tidak datang dengan tanda-tanda yang dapat dilihat. 21 Tiada orang akan berkata, ‘Lihatlah di sini!’ atau ‘Lihatlah di sana!’ kerana kerajaan Allah sebenarnya ada di dalam kamu.”
22 Kemudian Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: “Masanya akan datang apabila kamu ingin melihat salah satu hari Putera Insan, tetapi kamu tidak dapat melihatnya. 23 Orang akan berkata kepadamu, ‘Lihat di situ!’ atau ‘Lihat di sini!’ Tetapi janganlah kamu pergi atau mengikutnya. 24 Seperti kilat memancar dari sebelah kaki langit ke sebelah yang lain, demikianlah juga halnya Putera Insan pada hari-Nya kelak. 25 Tetapi terlebih dahulu Dia akan mengalami banyak penderitaan dan Dia tidak akan diterima oleh orang zaman ini.
26 c“Sebagaimana yang berlaku pada zaman Nabi Nuh, demikianlah kelak pada zaman Putera Insan. 27 dMereka makan minum, berkahwin dan dikahwinkan hinggalah waktu Nuh masuk ke bahtera, lalu banjir melanda dan membinasakan mereka semua.
28 e“Demikian juga yang berlaku pada zaman Lut. Mereka makan dan minum, berjual beli, bercucuk tanam dan mendirikan rumah. 29 Pada hari Lut keluar dari Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua.
30 “Begitulah yang berlaku kelak pada hari Putera Insan menunjukkan diri-Nya. 31 fPada hari itu orang yang di atas bumbung, janganlah dia turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Demikian juga janganlah orang di ladang pulang ke rumahnya. 32 gIngatlah akan isteri Lut! 33 hSesiapa yang cuba memelihara nyawanya akan kehilangannya, tetapi sesiapa yang sanggup mengorbankan nyawanya akan menyelamatkannya. 34 Aku berkata kepadamu bahawa pada malam itu dua orang berbaring di atas katil. Seorang dibawa dan seorang ditinggalkan. 35 Dua orang perempuan bersama-sama mengisar gandum. Seorang dibawa dan seorang lagi ditinggalkan. 36 Dua orang lelaki bekerja di ladang. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.”
37 Mereka bertanya kepada Isa, “Di manakah, ya Junjungan?”
Isa menjawab, “Di mana ada bangkai, di situlah berkerumunnya burung nasar.”
 
 
 
 
 
 
18
Ibarat tentang seorang balu dan seorang hakim
1 Kemudian Isa menceritakan ibarat ini untuk mengajar mereka bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak putus asa. 2 Isa berkata, “Di dalam sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah atau mempedulikan sesiapa. 3 Di kota itu juga ada seorang balu yang kerap kali datang kepada hakim itu untuk menuntut keadilan terhadap lawannya.
4 “Sekian lama hakim itu menolak tuntutannya, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut akan Allah dan tidak pedulikan sesiapa pun, 5 tetapi disebabkan balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku mengadili tuntutannya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan mengganggu aku!’”
6 Junjungan menambah, “Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang tidak adil itu. 7 Tidakkah Allah akan membela umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam? Adakah Dia akan bertangguh untuk melaksanakan keadilan bagi mereka? 8 Aku berkata kepadamu bahawa Allah akan melaksanakan keadilan bagi mereka dengan segera. Tetapi, apabila Putera Insan datang, adakah Dia akan menjumpai iman di bumi ini?”
Ibarat tentang orang dari mazhab Farisi dan pemungut cukai
9 Isa juga menceritakan ibarat ini kepada orang yang menganggap diri mereka sebagai orang yang benar dan menghina orang lain: 10 “Dua orang masuk ke dalam Bait Allah untuk berdoa. Seorang daripadanya orang dari mazhab Farisi dan seorang lagi pemungut cukai. 11 Orang dari mazhab Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: ‘Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau berzina seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. 12 Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku.’
13 “Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.’
14 a“Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang dari mazhab Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”
Isa memberkati kanak-kanak
(Matius 19:13-15; Markus 10:13-16)
15 Orang membawa anak mereka kepada Isa supaya Dia memberkati mereka. Tetapi apabila pengikut-pengikut Isa melihat hal ini, mereka menegur orang itu. 16 Namun Isa memanggil kanak-kanak itu datang kepada-Nya lalu Dia berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku. Jangan larang mereka kerana orang yang seperti itulah yang empunya kerajaan Allah. 17 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, tidak akan masuk ke dalamnya.”
Seorang yang kaya
(Matius 19:16-26; Markus 10:17-27)
18 Seorang pemimpin bangsa Yahudi bertanya kepada Isa, “Ya Tuan Guru yang baik, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?”
19 Isa menjawab, “Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada siapa yang baik kecuali Allah. 20 bEngkau mengetahui perintah-perintah Allah: ‘Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan memberi kesaksian palsu, hormatilah ibu bapamu.’ ”
21 Orang itu berkata, “Semua ini telah kutaati dari usia muda lagi.”
22 Apabila Isa mendengar ini, Dia berkata kepadanya, “Masih ada satu kekuranganmu. Jual segala hartamu dan berdermalah kepada orang miskin. Engkau akan mendapat harta di syurga. Kemudian, datanglah dan ikut Aku.”
23 Tetapi apabila pemimpin itu mendengar demikian, dia menjadi sangat sedih kerana dia seorang yang amat kaya. 24 Isa nampak kesedihannya lalu berkata, “Alangkah susahnya bagi orang kaya memasuki kerajaan Allah! 25 Lebih mudah seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.”
26 Orang yang mendengar-Nya berkata, “Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?”
27 Isa menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia itu tidak mustahil bagi Allah.”
28 Petrus berkata, “Ya Junjungan, kami telah meninggalkan segala-gala milik kami untuk mengikut-Mu.”
29 Isa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang telah meninggalkan rumah, atau isteri, atau saudara lelaki, atau ibu bapa, atau anak-anak demi kerajaan Allah 30 akan menerima ganjaran berlipat ganda pada masa ini, dan pada kemudian hari, hidup kekal.”
Kali ketiga Isa berkata tentang kematian-Nya
(Matius 20:17-19; Markus 10:32-34)
31 Isa membawa dua belas pengikut-Nya ke tepi dan berkata kepada mereka, “Kita akan pergi ke Yerusalem dan segala yang tersurat dalam kitab-kitab nabi tentang Putera Insan akan berlaku di sana. 32 Dia akan diserahkan ke tangan bangsa yang tidak mengenal Allah. Dia akan diejek dan dimaki serta diludahi orang. Mereka akan menyebat Dia dan membunuh-Nya. 33 Pada hari yang ketiga Dia akan bangkit semula.”
34 Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak mengerti sepatah kata pun. Maksud kata-kata ini dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak memahami apa yang dikatakan oleh Isa.
Isa menyembuhkan seorang pengemis yang buta
(Matius 20:29-34; Markus 10:46-52)
35 Ketika Isa menghampiri kota Yerikho, ada seorang buta yang duduk di tepi jalan meminta sedekah. 36 Apabila dia mendengar bunyi orang ramai lalu, dia bertanya, “Apakah yang sedang berlaku?” 37 Orang memberitahu dia bahawa Isa, orang Nazaret, sedang lalu.
38 Dia pun berseru, “Ya Isa, ya Anak Daud, kasihanilah aku!”
39 Orang yang di hadapannya memarahinya dan menyuruhnya diam, tetapi dia semakin kuat berseru, “Ya Anak Daud, kasihanilah aku!”
40 Isa berhenti dan menyuruh orang membawa dia kepada-Nya. Lalu tanya Isa apabila dia mendekati-Nya, 41 “Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?”
Jawab orang itu, “Ya Junjungan, aku ingin melihat.”
42 Isa berkata kepadanya, “Terimalah penglihatanmu kembali, imanmu telah menyembuhkanmu.” 43 Serta-merta, orang itu dapat melihat lalu mengikut Isa sambil memuji Allah. Semua orang yang menyaksikan kejadian ini memuji Allah.
 
 
 
 
 
 
19
Isa dengan Zakheus
1 Isa meneruskan perjalanan ke Yerikho dan melalui kota itu. 2 Di situ ada seorang yang bernama Zakheus. Dia ketua pemungut cukai dan sangat kaya. 3 Dia cuba hendak melihat siapa Isa itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana orang terlalu ramai dan dia pendek orangnya. 4 Dia pun berlari mendahului mereka lalu memanjat pokok ara untuk melihat Isa yang akan melalui jalan itu.
5 Apabila Isa sampai ke tempat itu, Dia mendongak ke atas lalu berkata kepadanya, “Zakheus, turunlah dengan segera kerana pada hari ini Aku harus menumpang di rumahmu.” 6 Zakheus turun dengan segera dan menyambut Isa dengan sukacitanya.
7 Semua orang yang melihat hal ini bersungut-sungut, “Dia hendak menumpang di rumah orang yang berdosa pula!”
8 Tetapi Zakheus berdiri dan berkata kepada Junjungan, “Ya Junjungan, sekarang ini juga aku hendak memberikan separuh hartaku kepada orang miskin, dan jika aku telah menipu sesiapa, aku akan membayarnya kembali empat kali ganda.”
9 Isa berkata kepadanya, “Pada hari ini juga penyelamatan telah datang kepada seisi rumah* ini kerana kamu juga seorang keturunan Ibrahim. 10 aPutera Insan datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.”*
Ibarat tentang kepingan wang emas
(Matius 25:14-30)
11 Isa menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba di Yerusalem dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi. 12 Jadi, Isa berkata: “Seorang bangsawan telah berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali. 13 Terlebih dahulu dia memanggil sepuluh orang hambanya, lalu memberi mereka sepuluh mina dan berkata kepada mereka, ‘Uruskanlah wang ini sehingga aku pulang.’
14 “Tetapi rakyat negeri itu membencinya dan menyuruh utusan-utusan untuk memberitahunya, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’
15 “Setelah dia menjadi raja, dia kembali dan memerintah hamba-hamba yang telah diberi wang emas datang menghadapnya dengan segera. Dia ingin mengetahui jumlah keuntungan dalam perniagaan masing-masing.
16 “Yang pertama menghadap dan berkata, ‘Tuan, satu mina tuan itu telah menjadi sepuluh mina.’
17 “Tuan itu berkata kepadanya, ‘Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.’
18 “Yang kedua menghadap dan berkata, ‘Tuan, satu mina tuan itu telah menjadi lima mina.’
19 “Tuan itu berkata kepadanya, ‘Engkau akan menjadi penguasa lima buah kota.’
20 “Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, ‘Tuan inilah mina tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain. 21 Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati. Tuan mengambil apa yang bukan milik tuan, dan menuai apa yang tidak tuan taburkan.’
22 “Tuan itu berkata, ‘Hamba yang jahat! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan. 23 Jadi, mengapakah engkau tidak memasukkan wang itu ke dalam tabung? Kemudian, setelah aku kembali, dapatlah aku ambil wang itu dengan faedahnya.’
24 “Lalu tuan itu berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ambillah mina itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang mempunyai sepuluh mina itu.’
25 “Mereka pun berkata kepadanya, ‘Tuan, dia sudah ada sepuluh mina.’
26 b“Jawabnya, ‘Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak, sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya akan diambil daripadanya. 27 cSekarang, bawalah ke mari seteru-seteruku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka di hadapanku.’”
Isa masuk ke Yerusalem
(Matius 21:1-9; Markus 11:1-10; Yahya 12:12-15)
28 Setelah Isa berkata demikian, Dia pun berjalan mendahului mereka menuju ke Yerusalem. 29 Apabila Dia berhampiran Baitfagi dan Baitani, yang terletak di bukit bernama Bukit Zaitun, Dia mengutus dua orang pengikut-Nya, kata-Nya, 30 “Pergilah ke kampung di hadapan itu. Apabila kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke sini. 31 Jika ada orang bertanya kepadamu, ‘Mengapakah kamu melepaskan keldai?’ kamu hendaklah berkata kepadanya, ‘Junjungan memerlukannya.’ ”
32 Mereka pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Isa kepada mereka. 33 Ketika mereka melepaskan anak keldai itu, tuan anak keldai itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?”
34 Pengikut-pengikut itu menjawab, “Junjungan memerlukannya.”
35 Lalu mereka membawanya kepada Isa. Kemudian, mereka menghamparkan jubah mereka di atas anak keldai itu dan mendudukkan Isa di atasnya. 36 Ketika Isa menunggang keldai itu, orang ramai pun membentangkan jubah mereka di jalan.
37 Apabila Dia menghampiri jalan yang turun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersukacita dan memuji Allah dengan suara yang kuat kerana semua mukjizat yang telah disaksikan oleh mereka:
38 d“Diberkatilah Dia yang datang sebagai raja dengan nama Tuhan!”
“Damai sejahtera di syurga dan kemuliaan di tempat yang maha tinggi!”
39 Antara orang ramai itu ada beberapa orang dari mazhab Farisi yang berkata kepada Isa, “Tuan Guru, tegurlah pengikut-pengikut-Mu.”
40 Isa menjawab, “Aku berkata kepadamu bahawa jika mereka diam, batu-batu pula akan bersorak.”
Tangisan Isa bagi Yerusalem
41 Ketika Isa menghampiri Yerusalem dan melihat kota itu, Dia pun menangisinya, 42 lalu berkata, “Kalaulah kiranya pada hari ini engkau mengetahui perkara-perkara yang dapat membawa sejahtera kepadamu! Tetapi sekarang semuanya dirahsiakan daripadamu. 43 Masanya akan datang apabila musuh-musuhmu akan mengelilingimu dengan sekatan, mengepung dan mengasakmu dari semua arah. 44 Mereka akan membinasakanmu dan semua pendudukmu. Mereka tidak akan meninggalkan seketul pun batu tersusun kerana kamu tidak tahu masanya Allah datang kepadamu.”
Isa pergi ke dalam Bait Allah
(Matius 21:12-13; Markus 11:15-18; Yahya 2:13-16)
45 Isa masuk ke dalam Bait Allah lalu mengusir semua pedagang di situ. 46 eDia berkata kepada mereka, “Telah tersurat, ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa’; tetapi kamu telah menjadikannya ‘sarang pencuri.’ ”
47 fSetiap hari Isa mengajar di dalam Bait Allah. Ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para pemimpin mereka mencari jalan untuk membunuh-Nya 48 tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian kerana orang ramai terus-menerus datang mendengar Isa dan mereka tidak mahu terlepas sepatah kata Isa pun.
 
 
 
 
 
 
20
Kekuasaan Isa dipersoalkan
(Matius 21:23-27; Markus 11:27-33)
1 Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang ramai di dalam Bait Allah dan menyampaikan Injil, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan para tua-tua datang kepada Isa. 2 Mereka berkata kepada-Nya, “Katakanlah kepada kami dengan kuasa siapakah Kamu melakukan perkara-perkara ini. Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa itu?”
3 Isa menjawab, “Aku juga hendak bertanya kepadamu suatu perkara. Katakanlah kepada-Ku, 4 pengimadan Yahya daripada syurga atau daripada manusia?”
5 Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga,’ Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’ 6 Sebaliknya, kalau kita berkata, ‘Daripada manusia,’ orang ramai sudah tentu akan merejam kita kerana mereka yakin bahawa Yahya itu seorang nabi.”
7 Mereka pun menjawab kepada Isa bahawa mereka tidak mengetahui dari mana asalnya pengimadan Yahya itu.
8 Oleh itu, Isa pun berkata kepada mereka, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.”
Ibarat tentang penyewa ladang
(Matius 21:33-46; Markus 12:1-12)
9 aKemudian Isa menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: “Seorang menanam ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa penyewa lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ. 10 Apabila tiba musim memetik, dia menyuruh seorang hamba pergi kepada para penyewa itu supaya mereka memberikan sebahagian daripada hasil ladang anggur kepadanya. Tetapi para penyewa itu memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong. 11 Dia menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi para penyewa itu memukulnya, mencercanya dan mengusirnya pergi dengan tangan kosong juga. 12 Tuan itu menyuruh hamba yang ketiga pula. Tetapi para penyewa itu mencederakannya lalu mengusirnya.
13 “Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang hendak kubuat? Baik kusuruh puteraku yang kukasihi. Tentu para penyewa itu akan menghormatinya.’
14 “Tetapi apabila para penyewa itu melihatnya, mereka berbincang sesama sendiri, ‘Inilah warisnya. Marilah kita bunuh dia supaya ladang ini menjadi hak kita.’ 15 Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.”
Isa bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh tuan ladang anggur itu terhadap para penyewa tersebut? 16 Sudah tentu dia akan datang dan membunuh para penyewa itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula.”
Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, “Semoga tidak begitu!”
17 bTetapi Isa memandang mereka dan bertanya, “Kalau begitu, apakah maksud ayat yang tersurat ini:
 
“‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru?’
 
18 Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.”
19 Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam cuba menangkap Isa ketika itu juga kerana mereka tahu ibarat itu ditujukan terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai.
Pertanyaan tentang pembayaran cukai kepada Kaisar
(Matius 22:15-22; Markus 12:13-17)
20 Mereka menunggu peluang. Lalu mereka mengutus beberapa orang supaya berpura-pura ikhlas untuk memerangkap Isa dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Isa ke dalam kekuasaan dan bidang kuasa pemerintah. 21 Mereka bertanya kepada Isa, “Tuan Guru, kami tahu apa yang Engkau katakan dan ajarkan itu betul. Kami juga tahu bahawa Engkau tidak pilih kasih tetapi dengan ikhlas mengajar Jalan Allah berdasarkan yang benar. 22 Wajarkah kami membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?”
23 Isa mengetahui niat muslihat mereka lalu berkata, 24 “Tunjukkanlah Aku sekeping wang dinar. Gambar dan nama siapakah ini?”
25 Mereka menjawab, “Gambar dan nama Kaisar.”
Isa berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.”
26 Mereka tidak dapat memerangkap Isa mengenai apa yang Dia katakan di hadapan orang ramai itu. Maka mereka diam sahaja kerana kagum akan jawapan-Nya.
Pertanyaan tentang kebangkitan daripada maut
(Matius 22:23-33; Markus 12:18-27)
27 cBeberapa orang dari mazhab Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Isa lalu bertanya, 28 d“Tuan Guru, Musa menulis untuk kami bahawa jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya. 29 Ada tujuh orang adik-beradik lelaki. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. 30 Yang kedua berkahwin dengan balunya, 31 kemudian yang ketiga dan seterusnya sampai kepada ketujuh saudara itu. Semuanya meninggal dunia tanpa anak. 32 Akhirnya, wanita itu pun meninggal dunia. 33 Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu kerana ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya?”
34 Isa menjawab, “Orang dunia zaman ini berkahwin dan dikahwinkan 35 tetapi mereka yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin dan tidak dikahwinkan. 36 Mereka itu seperti malaikat dan tidak boleh mati lagi. Mereka menjadi anak Allah kerana mereka telah dibangkitkan. 37 eNabi Musa telah menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Dalam kisah belukar yang bernyala, Allah disebut Tuhan yang disembah oleh Ibrahim, Ishak, dan Yakub. 38 Dia bukan Tuhan yang disembah oleh orang mati, tetapi Tuhan orang yang hidup kerana semua hidup pada Allah.”
39 Beberapa orang ahli Taurat berkata, “Tuan Guru, betul jawapan-Mu.” 40 Mereka tidak berani menyoal-Nya apa-apa lagi.
Pertanyaan tentang Isa dan Nabi Daud
(Matius 22:41-46; Markus 12:35-37)
41 Isa berkata kepada mereka, “Bagaimana dikatakan bahawa al-Masih itu anak Daud 42 fsedangkan Daud sendiri berkata dalam Kitab Zabur:
 
“‘Tuhan berfirman kepada Junjunganku:
“Duduklah di sebelah kanan-Ku
43 sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.”’
44 Daud menyebut Dia ‘Junjungan,’ bagaimana mungkin Dia anaknya pula?”
Isa menasihatkan supaya waspada terhadap ahli-ahli Kitab Suci Taurat
(Matius 23:5-7; Markus 12:38-40)
45 Di hadapan orang ramai itu Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, 46 “Berhati-hatilah dengan ahli-ahli Taurat yang suka ke sana sini berjubah labuh, suka diberi salam hormat di pasar, suka duduk di kerusi khas di saumaah dan tempat terhormat di majlis jamuan. 47 Mereka merampas rumah balu tetapi kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Mereka ini akan menerima hukuman yang lebih berat.”
 
 
 
 
 
 
21
Persembahan seorang balu
(Markus 12:41-44)
1 Isa memandang di sekeliling lalu nampak orang kaya memasukkan wang persembahan mereka ke dalam peti persembahan. 2 Dia nampak juga seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping wang tembaga. 3 Lalu Isa berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, balu yang miskin ini telah memasukkan lebih banyak daripada semua yang lain, 4 kerana yang lain memasukkan persembahan daripada kemewahan masing-masing tetapi perempuan ini walaupun sangat miskin, telah memasukkan seluruh nafkahnya.”
Robohnya Bait Allah
(Matius 24:1-2; Markus 13:1-2)
5 Beberapa orang berkata-kata tentang Bait Allah yang dihiasi dengan batu-batu permata yang indah serta barang-barang yang dipersembahkan kepada Allah. 6 Isa pun berkata, “Akan tiba masanya semua yang kamu lihat di sini tiada seketul batu pun akan tinggal tersusun; semuanya akan dirobohkan.”
Kesusahan dan penganiayaan
(Matius 24:3-14; Markus 13:3-13)
7 Mereka bertanya kepada Isa, “Tuan Guru, bilakah hal-hal ini akan terjadi? Apakah tandanya hal-hal itu akan terjadi?”
8 Isa berkata, “Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun. Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia,’ dan ‘Masanya sudah tiba.’ Janganlah kamu ikut mereka. 9 Apabila kamu mendengar tentang peperangan dan pemberontakan, janganlah kamu gentar. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu tetapi waktu akhir zaman tidak akan berlaku dengan segera.”
10 Kemudian Isa berkata kepada mereka, “Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan; 11 gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di merata-rata. Perkara-perkara dahsyat dan tanda-tanda yang hebat akan kelihatan di langit.
12 “Tetapi sebelum segala perkara yang disebut ini berlaku, kamu akan ditawan dan dianiayai. Kamu akan didakwa di majlis saumaah dan dipenjarakan. Kamu akan didakwa di hadapan raja dan pemerintah kerana nama-Ku. 13 Inilah peluang bagimu untuk memberikan kesaksian. 14 aJadi, teguhkanlah hatimu supaya tidak bimbang bagaimana hendak membela diri 15 kerana Aku akan memberimu kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh seorang pun daripada musuh-musuhmu. 16 Kamu akan dikhianati oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu 17 dan kamu akan dibenci oleh semua kerana nama-Ku. 18 Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang. 19 Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan nyawamu.
Isa memperkatakan keruntuhan Yerusalem
(Matius 24:15-21; Markus 13:14-19)
20 “Apabila kamu melihat kota Yerusalem terkepung oleh tentera-tentera, ketahuilah kamu bahawa kebinasaannya telah hampir. 21 Pada masa itu mereka yang berada di jajahan Yudea hendaklah melarikan diri ke gunung; mereka yang ada di dalam kota hendaklah meninggalkannya dan mereka yang ada di luar kota janganlah masuk ke kota itu. 22 bInilah hari-hari hukuman apabila segala perkara yang tersurat dalam Kitab Suci akan terjadi. 23 Malanglah ibu yang mengandung dan ibu yang menyusui anak pada masa itu! Kesengsaraan yang teruk akan melanda bumi dan kemurkaan akan menimpa bangsa ini. 24 Mereka akan dibunuh dengan pedang dan ada pula yang akan dibawa ke negeri lain sebagai orang tawanan. Kota Yerusalem akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa asing sehingga tamat tempoh yang ditetapkan untuk mereka.
Kedatangan Putera Insan
Ibarat tentang pokok ara
(Matius 24:29-35; Markus 13:24-31)
25 c“Alamat akan kelihatan pada matahari, bulan dan bintang-bintang. Di muka bumi ini semua bangsa kelak sengsara dan bingung akan deru serta gelora lautan. 26 Sementara menantikan apa yang akan datang ke muka bumi, manusia akan jatuh pengsan kerana takut dan bimbang terhadap apa yang akan terjadi di dunia. Kuasa-kuasa di langit akan digoncang. 27 dLalu mereka akan melihat Putera Insan datang dalam awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 28 Apabila segala perkara ini mula terjadi, teguhkanlah hatimu dan angkat kepalamu kerana masa penyelamatanmu telah hampir tiba.”
29 Isa menceritakan suatu ibarat kepada mereka: “Tengoklah pokok ara dan segala pokok kayu yang lain! 30 Apabila pokok itu mengeluarkan tunas, kamu tahu musim panas hampir tiba. 31 Demikian juga apabila kamu melihat segala perkara ini terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.
32 “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan zaman ini tidak akan luput sebelum segalanya ini terjadi. 33 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.
Perlunya berjaga-jaga
34 “Berjaga-jagalah agar hatimu tidak dibeban dengan kesia-siaan dan kemabukan serta soal-soal hal hidup sehingga kamu tidak bersedia menghadapi hari itu yang datang dengan tidak disangka-sangka. 35 Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua manusia di seluruh muka bumi ini. 36 Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Putera Insan.”
37 ePada siang hari Isa mengajar di dalam Bait Allah. Pada waktu malam Dia keluar dari kota itu dan bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun. 38 Pada pagi-pagi lagi orang ramai pergi ke Bait Allah untuk mendengar Dia.
 
 
 
 
 
 
22
Komplot menentang Isa
(Matius 26:1-5; Markus 14:1-2; Yahya 11:15-53)
1 aPerayaan Roti Tidak Beragi, iaitu Perayaan Paskah, telah menjelang. 2 Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Isa secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.
Yudas mengkhianati Isa
(Matius 26:14-16; Markus 14:10-11)
3 Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas pengikut Isa. 4 Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal Bait Allah untuk membincangkan bagaimana dia dapat mengkhianati Isa dan menyerahkan-Nya kepada mereka. 5 Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya. 6 Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang untuk mengkhianati Isa dan menyerahkan-Nya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.
Isa bersedia untuk makan jamuan Paskah
(Matius 26:17-19; Markus 14:12-16)
7 Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba Paskah harus disembelih untuk jamuan Paskah. 8 Isa menyuruh Petrus dan Yahya, “Pergilah sediakan jamuan Paskah untuk kita.”
9 Mereka bertanya kepada Isa, “Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?”
10 Isa menjawab, “Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya 11 lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan pengikut-pengikut-Ku?’ 12 Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Di situlah kamu sediakan jamuan Paskah.”
13 Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Isa kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah.
Isa makan Paskah dengan para pengikut-Nya
(Matius 26:20-29; Markus 14:17-25; Yahya 13:21-30; 1 Korintus 11:23-25)
14 Apabila tiba masanya, Isa pun duduk bertelekan di meja bersama pengikut-pengikut yang dua belas itu. 15 Lalu Isa berkata kepada mereka, “Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paskah ini bersama kamu sebelum Aku menderita. 16 Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paskah dinyatakan dalam kerajaan Allah.”
17 Setelah itu, Isa mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, “Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu. 18 Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah kerajaan Allah datang.”
19 Kemudian Isa mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan roti itu dan memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya, sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.”
20 bDemikian juga, sesudah makan, Dia mengambil cawan sambil berkata, “Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku yang ditumpahkan bagimu. 21 cTengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini. 22 Putera Insan memanglah harus pergi seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!” 23 Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah antara mereka yang akan berbuat demikian.
Perselisihan tentang kebesaran
24 dSatu perselisihan timbul dalam kalangan pengikut itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar. 25 Isa berkata kepada mereka, “Raja-raja bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan mereka yang melaksanakan kekuasaan digelar pembawa kebajikan kepada rakyat. 26 eTetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain. 27 fSiapakah yang lebih besar – orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan. 28 Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku. 29 Aku memberikan hak kerajaan kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku. 30 gKamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.
Isa memperkatakan penyangkalan Petrus
(Matius 26:31-35; Markus 14:27-31; Yahya 13:36-38)
31 “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum. 32 Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.”
33 Petrus berkata kepada Isa, “Ya Junjungan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.”
34 Isa menjawab, “Aku berkata kepadamu, Petrus, sebelum ayam berkokok pada hari ini, kamu akan menyangkal bahawa kamu mengenal Aku sebanyak tiga kali.”
Dompet, beg dan pedang
35 hIsa berkata kepada mereka, “Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?”
Mereka menjawab, “Satu pun tidak.”
36 Isa berkata lagi, “Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah. 37 iAku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: ‘Dia tergolong bersama dengan penjahat.’ Sebabnya apa yang tersurat tentang Aku akan terlaksana.”
38 Pengikut-pengikut itu berkata, “Ya Junjungan, tengoklah, di sini ada dua bilah pedang!”
Isa berkata, “Cukuplah!”
Isa berdoa di Taman Getsemani
(Matius 26:36-46; Markus 14:32-42)
39 Isa meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Pengikut-pengikut-Nya pergi bersama Dia. 40 Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.” 41 Isa pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa. 42 “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.” 43 Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya. 44 Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.
45 Isa bangun daripada berdoa, dan kembali kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih. 46 Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.”
Isa ditangkap
(Matius 26:47-56; Markus 14:43-50; Yahya 18:1-11)
47 Ketika Isa masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang dua belas pengikut-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Isa untuk mencium-Nya. 48 Isa berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Putera Insan?”
49 Apabila pengikut-pengikut Isa melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Isa, “Ya Junjungan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?” 50 Seorang daripada mereka menyerang hamba Imam Besar, dan menetaknya sehingga terputus telinga kanannya.
51 Tetapi Isa berkata, “Biarkanlah mereka.” Lalu Isa menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.
52 Kemudian Isa berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Allah dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun? 53 jSemasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam Bait Allah, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.”
Petrus menyangkal Isa
(Matius 26:57-58, 69-75; Markus 14:53-54, 66-72; Yahya 18:12-18, 25-27)
54 Setelah menangkap Isa, mereka membawa Dia ke rumah Imam Besar. Petrus pun mengikut dari jauh. 55 Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka. 56 Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.”
57 Tetapi Petrus menyangkal katanya, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia!”
58 Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu.”
Tetapi Petrus menjawab, “Bukan, aku bukan!” 59 Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.”
60 Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. 61 Junjungan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Junjungan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.” 62 Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya.
Isa di hadapan Majlis Agama
(Matius 26:63-68; Markus 14:60-65; Yahya 18:19-24)
63 Orang yang mengawal Isa mengejek dan memukul Dia. 64 Mereka menutupi mata Isa dan bertanya, “Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!” 65 Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya.
66 Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat bermesyuarat, dan Isa dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata, 67 “Jika Engkau al-Masih, katakanlah kepada kami.”
Isa berkata kepada mereka, “Jika Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga. 68 Dan jika Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab. 69 Tetapi mulai sekarang, Putera Insan akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.”
70 Mereka semua bertanya, “Kalau begitu, Engkaulah Putera Allah?”
Isa berkata kepada mereka, “Benarlah katamu.”
71 Mereka berkata, “Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!”
 
 
 
 
 
 
23
Isa di hadapan Pilatus
(Matius 27:1-2, 11-14; Markus 15:1-5; Yahya 18:28-38)
1 Semua anggota Majlis Agama bangun lalu membawa Isa menghadap Pilatus. 2 Mereka mula menuduh Dia, “Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya al-Masih, seorang raja!”
3 Pilatus bertanya kepada Isa, “Adakah Engkau raja orang Yahudi?” Isa menjawab, “Begitulah seperti katamu.”
4 Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai itu, “Aku tidak mendapati-Nya bersalah.”
5 Tetapi mereka semakin mendesak, “Dia menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak dengan ajaran-Nya. Dia memulakannya di Galilea dan sekarang telah sampai ke tempat ini.”
Isa di hadapan Herodes
6 Setelah Pilatus mendengar hal ini, dia bertanya sama ada Isa seorang Galilea. 7 Ketika Pilatus mengetahui Isa berasal dari jajahan pemerintahan Herodes, dia menyuruh supaya Isa dibawa kepada Herodes kerana pada masa itu Herodes ada di kota Yerusalem.
8 Apabila Herodes melihat Isa, dia sangat gembira. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Isa kerana dia telah mendengar banyak hal tentang Isa. Lagipun, dia berharap dapat menyaksikan Isa melakukan mukjizat. 9 Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Isa tetapi Isa tidak menjawab sepatah kata pun. 10 Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Isa. 11 Herodes dan askar-askarnya menghina Isa dan sebagai ejekan mengenakan pakaian indah pada-Nya lalu menghantar-Nya kembali kepada Pilatus. 12 Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu.
Isa dijatuhi hukuman mati
(Matius 27:15-26; Markus 15:6-15; Yahya 18:38—19:16)
13 Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai 14 lalu berkata kepada mereka, “Kamu telah membawa orang ini kepadaku dan mengatakan Dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapanmu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhanmu. 15 Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati. 16 Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya.” 17 Pada setiap Perayaan Paskah Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka.
18 Tetapi semua orang berteriak, “Bunuh Dia! Bebaskan Barabas bagi kami.” 19 (Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)
20 Pilatus hendak membebaskan Isa. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi. 21 Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!”
22 Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka: “Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat-Nya dan kemudian membebaskan-Nya.”
23 Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Isa disalib. Akhirnya, mereka berjaya. 24 Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan. 25 Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Isa diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka.
Isa disalib
(Matius 27:32-44; Markus 15:21-32; Yahya 19:17-27)
26 Ketika askar-askar membawa Isa ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Isa dan berjalan di belakang-Nya. 27 Ramai orang mengikut Isa; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya. 28 Isa berpaling kepada mereka lalu berkata, “Kaum perempuan Yerusalem, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri. 29 Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!’ 30 aPada masa itulah,
“ ‘mereka akan berkata kepada gunung-gunung, “Timpalah kami!”
dan kepada bukit-bukit, “Timbuslah kami!” ’
31 “Jika perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?”
32 Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Isa. 33 Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Isa dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. 34 bIsa berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.
35 cOrang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya al-Masih yang dipilih oleh Allah.”
36 dAskar-askar juga memperolok-olokkan Isa. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya 37 lalu berkata, “Jika Engkau raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.”
38 Pada sebelah atas kayu salib Isa tertulis kata-kata:
“Inilah Raja Orang Yahudi.”
39 Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau al-Masih? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!”
40 Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. 41 Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.”
42 Dia berkata kepada Isa, “Ya Isa, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.”
43 Isa menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.”
Kewafatan Isa
(Matius 27:45-46; Markus 15:31-41; Yahya 19:28-30)
44 eKetika itu kira-kira pukul dua belas tengah hari, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan hingga pukul tiga petang, 45 kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Allah pun terbelah dua. 46 fIsa berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Isa berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.
47 Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, “Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.” 48 Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka. 49 gSemua sahabat Isa, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.
Isa dimakamkan
(Matius 27:57-61; Markus 15:42-47; Yahya 19:38-42)
50 Terdapat seorang bernama Yusuf, ahli Majlis Agama, seorang yang baik dan benar. 51 Yusuf tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu. Dia yang berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah. 52 Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Isa. 53 Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengafankannya dengan kain linen lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan. 54 Hari itu ialah Hari Persediaan, dan hari Sabat hampir bermula.
55 Perempuan-perempuan yang telah mengikut Isa dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Isa diletakkan di dalamnya. 56 hKemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Isa. Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.
 
 
 
 
 
 
24
Kebangkitan Isa
(Matius 28:1-10; Markus 16:1-8; Yahya 20:1-10)
1 Pada hari pertama minggu itu ketika masih awal pagi lagi, mereka pun pergi ke makam dengan membawa ramuan rempah yang telah disediakan mereka. 2 Mereka mendapati batu penutup makam itu telah digulingkan dari makam. 3 Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Isa, Junjungan Yang Ilahi, tiada lagi. 4 Mereka berdiri di situ dan berasa kebingungan tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka. 5 Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu menundukkan muka ke tanah. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup di antara orang mati? 6 aDia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea: 7 ‘Putera Insan harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalib dan bangkit pada hari yang ketiga.’ ” 8 Mereka pun teringatlah akan kata-kata Isa.
9 Sekembali mereka dari makam itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. 10 Mereka, iaitu Maryam dari Magdala, Yohana, Maryam ibu Yakobus, dan perempuan-perempuan yang lain mengatakan segala perkara itu kepada rasul-rasul itu. 11 Tetapi mereka itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak percaya kepada mereka. 12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kafan linen sahaja di situ. Dia pulang dengan hairan sambil memikirkan apa yang telah berlaku.
Isa menunjukkan diri-Nya di jalan menuju Emaus
13 Pada hari itu juga dua orang antara pengikut Isa sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Yerusalem. 14 Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu. 15 Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Isa sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama. 16 Mereka nampak Isa tetapi mereka tidak mengenali Dia.
17 Isa berkata kepada mereka, “Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?”
Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung.
18 Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Isa, “Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?”
19 Isa berkata, “Apakah yang telah berlaku?”
Mereka menjawab, “Segala perkara yang berlaku kepada Isa, orang Nazaret. Dia seorang nabi. Di hadapan Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya. 20 Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya. 21 Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku. 22 Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi. 23 Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup. 24 Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.”
25 Kemudian, Isa berkata kepada mereka, “Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya hatimu percaya akan segala kata nabi-nabi! 26 Bukankah al-Masih harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?” 27 Lalu Isa menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam seluruh Kitab Suci mulai kitab-kitab Nabi Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain.
28 Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Isa kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan. 29 Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, “Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.” Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka.
30 Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka. 31 Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka. 32 Mereka berkata satu sama lain, “Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?”
33 Mereka terus bangun dan kembali ke Yerusalem. Mereka mendapati sebelas pengikut itu berkumpul dengan pengikut yang lain. 34 Mereka berkata, “Sesungguhnya, Junjungan Yang Ilahi telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!” 35 Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Isa semasa Dia membahagikan roti.
Isa menunjukkan diri-Nya kepada para pengikut-Nya
(Yahya 20:19-23)
36 Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Isa sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, “Damai sejahtera kepada kamu!”
37 Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu. 38 Tetapi Isa berkata kepada mereka, “Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu? 39 Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.”
40 Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. 41 Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Isa pun bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” 42 Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak, 43 lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua.
44 Kemudian, Dia berkata kepada mereka, “Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersamamu dahulu: Segala perkara yang tersurat tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan Kitab Zabur pasti akan berlaku.”
45 Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci. 46 Dia berkata lagi, “Demikianlah yang tersurat: Bahawa al-Masih harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga, 47 dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Yerusalem. 48 Kamulah saksi segala perkara ini. 49 bDan Aku akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan Bapa-Ku kepadamu. Tetapi, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkap dengan kuasa dari tempat tinggi.”
Isa terangkat ke syurga
50 cKemudian Isa membawa pengikut-pengikut-Nya ke luar kota sehingga Baitani. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka. 51 Ketika Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka. 52 Pengikut-pengikut-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. 53 Mereka menumpukan masa di Bait Allah untuk memuji Allah.