Matius
Salasilah Isa al-Masih
(Lukas 3:23-38)
1 Inilah salasilah Isa al-Masih, keturunan Daud, keturunan Ibrahim.
2 Ibrahim beroleh anak yang dinamai Ishak, Ishak beroleh Yakub, dan Yakub beroleh Yudah serta saudara-saudaranya.
3 Yudah beroleh Peres dan Zerah daripada isterinya Tamar, Peres beroleh Hezron, dan Hezron beroleh Ram.
4 Ram beroleh Aminadab, Aminadab beroleh Nahason, dan Nahason beroleh Salmon.
5 Salmon beroleh Boas daripada isterinya Rahab, Boas beroleh Obed daripada isterinya Rut, dan Obed beroleh Isai,
6 adan Isai beroleh Raja Daud.
Raja Daud beroleh Sulaiman daripada isteri Uria.
7 Sulaiman beroleh Rehabeam, Rehabeam beroleh Abia, dan Abia beroleh Asa.
8 Asa beroleh Yosafat, Yosafat beroleh Yoram, dan Yoram beroleh Uzia.
9 Uzia beroleh Yotam, Yotam beroleh Ahaz, dan Ahaz beroleh Hizkia.
10 Hizkia beroleh Manasye, Manasye beroleh Amon, dan Amon beroleh Yosia.
11 Yosia beroleh Yoyakhin dan saudara-saudaranya sekitar masa mereka dibawa sebagai tawanan di Babel.
12 Setelah dibuang ke Babel, Yoyakhin beroleh Sealtiel, dan Sealtiel beroleh Zerubabel.
13 Zerubabel beroleh Abihud, Abihud beroleh Elyakim, dan Elyakim beroleh Azur.
14 Azur beroleh Zadok, Zadok beroleh Akhim, dan Akhim beroleh Eliud.
15 Eliud beroleh Eleazar, Eleazar beroleh Matan, dan Matan beroleh Yakub.
16 Maka Yakub beroleh Yusuf, suami Maryam, Maryamlah yang melahirkan Isa yang dipanggil al-Masih.
17 Dengan demikian, ada empat belas keturunan dari Nabi Ibrahim hingga ke Nabi Daud; empat belas keturunan dari Daud hingga ke masa pembuangan di Babel; dan empat belas keturunan dari masa itu hingga kelahiran al-Masih.
Kelahiran al-Masih
(Lukas 2:1-7)
18 bInilah kisah kelahiran Isa al-Masih: Ibu-Nya, Maryam bertunang dengan Yusuf, tetapi sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan, ternyata Maryam mengandung melalui kuasa Roh Allah.
19 Yusuf, seorang yang salih dan berakhlak, tidak mahu memalukan Maryam di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam.
20 Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi bahawa malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, “Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut mengambil Maryam sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Allah.
21 cMaryam akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Isa, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.”
22 Segala ini berlaku supaya terlaksanalah firman Tuhan melalui nabi-Nya:
23 d“Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki,
dan mereka akan menamai-Nya Immanuel,”
yang bererti, “Allah menyertai kita” dalam bahasa Ibrani.
24 Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maryam.
25 eTetapi Yusuf tidak bersentuh dengan Maryam sebagai isterinya hinggalah Maryam melahirkan Anak itu. Yusuf menamai Anak itu Isa.
Ahli ilmu bintang dari Timur
1 Isa dilahirkan di Baitlahim, di Tanah Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Yerusalem.
2 Mereka bertanya, “Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya.”
3 Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Yerusalem.
4 Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan para ahli Taurat berhimpun lalu bertanya kepada mereka di mana tempat lahirnya al-Masih.
5 Mereka menjawab, “Di Baitlahim, di Tanah Yudea. Hal ini tertulis oleh seorang nabi:
6 a “‘Wahai Baitlahim di Tanah Yudah,
engkau bukanlah yang terkecil antara pemimpin kota utama Yudah,
kerana daripadamu akan muncul seorang pemimpin
yang akan menggembalakan umat-Ku Israel.’”
7 Setelah itu, Raja Herodes berjumpa secara rahsia dengan ahli-ahli ilmu bintang itu dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit.
8 Raja Herodes menyuruh ahli-ahli ilmu bintang pergi ke Baitlahim dengan perintah demikian: “Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya. Apabila kamu menjumpai-Nya, beritahulah aku, supaya aku juga dapat pergi menyembah-Nya.”
9 Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu.
10 Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu.
11 Mereka masuk ke dalam rumah itu dan melihat Anak itu dengan ibu-Nya Maryam. Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu membuka harta benda mereka dan mempersembahkan emas, dupa, dan damar wangi kepada-Nya.
12 Allah memberikan peringatan kepada mereka melalui mimpi supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu, mereka pun pulang ke negeri mereka mengikut jalan lain.
Hijrah ke Mesir
13 Selepas itu, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu.”
14 Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir.
15 bMereka tinggal di situ hingga kematian Raja Herodes. Maka terlaksanalah apa yang difirmankan Tuhan menerusi nabi-Nya: “Dari Mesir, Kupanggil Putera-Ku.”
16 Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh ahli-ahli ilmu bintang dari Timur itu, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Baitlahim dan kawasan yang berdekatan. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli ilmu bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul.
17 Oleh yang demikian, terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia:
18 c“Satu suara terdengar di Rama,
rintih ratap dan perkabungan.
Rahel meratapi anak-anaknya;
dia tidak mahu dilipur hatinya, kerana mereka tiada lagi.”
Pulang dari Mesir
19 Selepas kematian Herodes, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf di Mesir.
20 Kata malaikat itu, “Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel, kerana orang yang hendak meragut nyawa Anak itu telah mati.”
21 Yusuf pun bangun lalu membawa Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel.
22 Tetapi apabila mendengar bahawa Arkelaus telah menaiki takhta menggantikan bapanya Herodes di Yudea, Yusuf pun takut pergi ke sana. Setelah mendapat peringatan daripada Allah dalam mimpi, dia pun pergi ke Galilea.
23 dDia menetap di kota yang bernama Nazaret. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh para nabi: “Dia akan dipanggil Orang Nazaret.”
Nabi Yahya
1 Pada masa itu Nabi Yahya Pengimad menyampaikan berita ini di gurun di Yudea.
2 aDia berseru, “Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!”
3 bYahyalah yang dimaksudkan dalam nubuat Nabi Yesaya:
“Suara seorang berseru di gurun:
‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan,
luruskanlah jalan untuk-Nya.’ ”
4 cPakaian Yahya diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun.
5 Orang dari Yerusalem, seluruh Yudea dan segenap kawasan sekitar Sungai Yordan datang mendapatkan Yahya.
6 Mereka mengakui dosa mereka lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan.
7 dRamai orang dari mazhab Farisi dan mazhab Saduki datang untuk diimadkan. Apabila melihat mereka, Yahya berkata, “Hai, kamu bagaikan ular kapak berbisa! Siapakah yang mengingatkan kamu supaya melepaskan diri daripada kemurkaan Allah kelak?
8 Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat.
9 eJangan sangka kamu dapat berkata sesama sendiri, ‘Nabi Ibrahim bapa moyang kita.’ Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Ibrahim!
10 fKapak sudah terletak pada akar umbi pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api.
11 “Aku mengimadkanmu dengan air untuk menunjukkan bahawa kamu telah bertaubat. Tetapi Dia yang datang selepasku akan mengimadkanmu dengan Roh Allah Yang Maha Suci dan api; Dia lebih berkuasa daripadaku; membawakan kasut-Nya pun aku tidak layak.
12 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan membersihkan tempat pembantingan dan mengumpulkan gandum di dalam jelapang-Nya tetapi sekam akan dibakar-Nya di dalam api yang tidak dapat dipadamkan.”
Isa diimadkan oleh Nabi Yahya
13 Ketika itu, Isa meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan untuk diimadkan oleh Yahya.
14 Akan tetapi, Yahya cuba menolak dengan berkata, “Sepatutnya Engkau yang mengimadkanku. Ini Engkau pula datang kepadaku!”
15 Tetapi Isa menjawab, “Biarkanlah demikian untuk sekarang, kerana dengannya kita akan menunaikan segala perbenaran.” Yahya pun patuh.
16 Setelah diimadkan, Isa keluar dari air dengan segera. Lalu terbukalah langit dan Dia melihat Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya.
17 gKemudian kedengaran suara dari syurga, “Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.”
Godaan di padang gurun
1 aSetelah itu, Isa dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis.
2 Setelah Isa berpuasa empat puluh hari empat puluh malam, Dia berasa kelaparan.
3 Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, “Jika Engkau Putera Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.”
4 bIsa menjawab, “Telah tersurat: ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja tetapi dengan setiap firman yang keluar daripada mulut Allah.’ ”
5 Selepas itu, Iblis membawa Isa ke kota suci lalu meletakkan-Nya di puncak Bait Allah.
6 cIblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Putera Allah, terjunlah, kerana telah tersurat:
“‘Tentang-Mu, Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya
dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.’”
7 dIsa menjawab, “Tetapi telah tersurat: ‘Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.’ ”
8 Iblis membawa pula Isa ke atas gunung yang amat tinggi lalu menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia serta kemuliaannya.
9 Kata Iblis kepada Isa, “Semua ini akan kuberikan kepada-Mu jika Engkau sujud menyembahku.”
10 eJawab Isa, “Nyah engkau, Iblis. Telah tersurat: ‘Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu, dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’”
11 Iblis pun meninggalkan Isa dan para malaikat datang melayani-Nya.
Isa mula pelayanan di Galilea
12 fApabila mendengar bahawa Yahya telah dipenjarakan, Isa pun pergi ke Galilea.
13 gDia tidak tinggal di Nazaret tetapi di Kapernaum, sebuah kota di pinggir laut Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali.
14 Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya:
15 h“Tanah Zebulon, tanah Naftali, di pinggir laut,
seberang Sungai Yordan, Galilea, daerah bangsa-bangsa asing.
16 Bangsa yang hidup dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang.
Bagi mereka yang tinggal di negeri yang di bawah bayangan maut,
cahaya telah bersinar!”
17 iIsa pun mula menyampaikan perkhabaran-Nya, “Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!”
Pengikut Isa yang pertama
18 Ketika Isa berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak dua orang saudara, iaitu Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas. Mereka sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan.
19 Isa berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.”
20 Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.
21 Sejurus berjalan dari sana, Isa ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yahya bersama bapa mereka Zabdi, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Isa memanggil dua beradik itu.
22 Seketika itu juga mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikut Isa.
Isa menyembuhkan orang sakit
(Lukas 6:17-19)
23 jIsa menjelajah ke serata Galilea. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan Injil Kerajaan Allah serta menyembuhkan semua jenis penyakit dan kesakitan dalam kalangan mereka.
24 Berita tentang Isa tersebar di seluruh Siria. Maka, ramailah orang yang menanggung pelbagai penyakit dan penderitaan, orang yang dirasuk roh iblis, yang menghidap penyakit gila babi, dan yang lumpuh, dibawa kepada-Nya dan disembuhkan oleh-Nya.
25 Ramai sekali orang mengikut-Nya: dari Galilea dan Dekapolis (bermaksud Sepuluh Kota), dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari kawasan di seberang Yordan.
Yang diberkati
(Lukas 6:20-23)
1 Ketika Isa melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah pengikut-pengikut-Nya kepada-Nya.
2 Dia pun mula mengajar mereka:
3 “Diberkatilah mereka yang miskin kerohanian,
kerana merekalah yang empunya kerajaan syurga.
4 aDiberkatilah mereka yang bersedih,
kerana mereka akan terhibur.
5 bDiberkatilah mereka yang lemah lembut,
kerana mereka akan mewarisi bumi ini.
6 cDiberkatilah mereka yang lapar dan dahaga akan perbenaran,
kerana mereka akan dipuaskan.
7 Diberkatilah mereka yang berpengasihan,
kerana mereka akan dikasihani juga.
8 dDiberkatilah mereka yang suci hati,
kerana mereka akan melihat Allah.
9 Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia,
kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah.”
10 eDiberkatilah mereka yang dianiaya demi perbenaran,
kerana kerajaan syurga untuk mereka.
11 f“Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu dengan segala yang jahat kerana-Ku.
12 gBersukacita dan bergembiralah, kerana besar ganjaranmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya.”
Garam dan cahaya
13 h“Kamu ialah garam bumi. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.
14 i“Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi.
15 jTiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah.
16 kBiarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga.”
Isa dan hukum Taurat
(Lukas 6:27-36)
17 “Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan hukum Taurat, iaitu hukum yang terdapat dalam Kitab Suci Taurat, atau firman yang telah disampaikan Allah melalui para nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya.
18 lSesungguhnya, Aku berkata kepadamu, selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku.
19 Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga.
20 Maka Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga jika kesalihanmu tidak lebih daripada kesalihan para ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi.
21 m“Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh akan dihakimi.’
22 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘bodoh’ akan dihumbankan ke dalam api neraka.
23 “Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu,
24 tinggalkanlah persembahanmu di depan mazbah, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu.
25 “Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai dan kamu akan dimasukkan ke dalam penjara.
26 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.”
Berzina
27 n“Kamu telah mendengar ajaran ini: ‘Jangan berzina.’
28 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati.
29 oJika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka.
30 pJika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.”
Perceraian
31 q“Ada ajaran demikian: ‘Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.’
32 rTetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang menceraikan isterinya kecuali kerana zina, menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu, dia berzina.”
Membuat sumpah
33 s“Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: ‘Jangan bersumpah palsu. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.’
34 tTetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah.
35 uJangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Yerusalem, kerana itu kota Raja Agung, iaitu Allah.
36 Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai.
37 Katakan sahaja ‘Ya’ atau ‘Tidak’ dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana.”
Mata diganti mata
38 v“Kamu telah mendengar ajaran begini: ‘Mata diganti mata, gigi diganti gigi.’
39 Tetapi Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya.
40 Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga.
41 Jika sesiapa memaksamu berjalan sebatu dengannya, pergilah dua batu bersamanya.
42 Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu, berikanlah. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripadamu, usahlah berpaling daripadanya.”
Mengasihi musuhmu
43 “Kamu telah mendengar ajaran yang berikut: ‘Kasihilah sesama manusia dan bencilah musuhmu.’
44 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu.
45 Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari untuk orang yang jahat dan orang yang baik. Dia menurunkan hujan untuk orang yang benar dan orang yang tidak benar.
46 Jika kamu mengasihi orang yang mengasihimu, apakah ganjaranmu? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian?
47 Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian.
48 wHendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga.”
Bersedekah kepada orang miskin
1 a“Ingatlah: Jangan buat amal ibadat di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga.
2 “Oleh itu, ketika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik meniup sangkakala di saumaah dan di jalan raya, supaya dipuji orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang begitu sudah pun mendapat ganjaran mereka.
3 Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu.
4 Jangan siapa pun mengetahuinya. Bapamu yang melihat amalmu yang tersembunyi itu akan memberikan ganjaran kepadamu.”
Doa
(Lukas 11:2-4)
5 b“Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapatkan ganjaran mereka.
6 Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu.
7 Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang.
8 Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.
9 “Berdoalah demikian:
“‘Ya Bapa kami yang di syurga,
sucilah nama-Mu.
10 Datanglah kerajaan-Mu.
Terlaksanalah kehendak-Mu
di bumi sebagaimana di syurga.
11 Berilah kami makanan untuk hari ini.
12 Ampunkanlah kesalahan kami
sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.
13 Janganlah biarkan kami tergoda,
tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat.
Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.’
14 cJika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga.
15 Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.”
Berpuasa
16 “Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapat ganjaran mereka.
17 Ketika berpuasa, minyakilah kepalamu dan basuhlah muka
18 supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu.”
Harta di syurga
19 d“Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya.
20 Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya.
21 Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.
22 “Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya.
23 Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelap-gelitalah keadaannya!
24 “Seseorang tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.”
Jangan khuatir
(Lukas 12:22-31)
25 “Oleh itu, Aku berkata kepadamu: janganlah khuatir tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih penting daripada pakaian?
26 Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, atau menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung?
27 Siapakah dalam kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan menaruh khuatir?
28 “Jadi, mengapakah kamu risau tentang pakaian? Lihatlah bunga bakung di padang, yang tidak bekerja atau bertenun.
29 eNamun demikian, Aku berkata kepadamu: Nabi Sulaiman dengan segala kemegahannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu.
30 Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberimu pakaian? Begitu tipis kepercayaanmu!
31 Jangan runsing tentang makanan, minuman atau pakaianmu.
32 Bangsa-bangsa yang tidak mengenal Allah mencari hal-hal ini. Akan tetapi, Bapamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.
33 Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya, dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.
34 Oleh itu, jangan khuatir tentang hari esok, kerana hari esok akan khuatir tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari.”
Menghakimi orang lain
1 “Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi.
2 aKerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu.
3 “Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari?
4 Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah aku keluarkan selumbar daripada mata saudara,’ sedangkan kayu balak terpampang di matamu sendiri?
5 Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak daripada matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar daripada mata saudaramu.
6 “Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijaknya lalu berpaling menyerangmu.”
Nasihat supaya berdoa
(Lukas 11:9-13)
7 “Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.
8 Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.
9 Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti?
10 Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan?
11 Kamu yang berdosa pun tahu memberikan yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya.
12 bSegala sesuatu yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukanlah demikian juga kepada mereka, kerana inilah ajaran hukum Taurat dan firman yang disampaikan Allah melalui para nabi.”
Memilih jalan yang betul
13 “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan menuju kebinasaan itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya.
14 Sebaliknya, pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya.”
Pokok dan buahnya
15 “Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas.
16 Kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri?
17 Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik.
18 Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik.
19 cSetiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar.
20 dDemikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka.
21 “Tidak semua orang yang memanggil-Ku, ‘Ya Junjungan kami, ya Junjungan kami,’ akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga.
22 Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, ‘Ya Junjungan kami, ya Junjungan kami, bukankah kami telah menyampaikan perkhabaran Allah dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?’
23 eTetapi Aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenalmu. Nyahlah kamu dari sini, hai kamu yang mungkar.’”
Dua jenis asas
(Lukas 6:47-49)
24 “Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu.
25 Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu.
26 Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir.
27 Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!”
28 fSetelah selesai Isa menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum dengan ajaran-Nya
29 kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli Taurat mereka.
Seorang yang menghidap penyakit kusta
1 Isa turun dari bukit itu dan ramai orang mengikut-Nya.
2 Seorang yang menghidap penyakit kusta datang bersujud di hadapan-Nya sambil berkata, “Tuan, sekiranya Tuan mahu, Tuan dapat mentahirkanku.”
3 Isa menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!” Pada saat itu juga penyakit kustanya hilang.
4 aLalu Isa berkata kepadanya, “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam. Kemudian, persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka.”
Iman seorang ketua tentera
5 Ketika Isa sampai di Kapernaum, seorang ketua tentera Rom menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya:
6 “Ya Junjungan, hambaku sakit di rumah, terlantar di katil tidak dapat bergerak, dan amat derita.”
7 Isa menjawab, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkannya.”
8 Tetapi ketua tentera itu berkata, “Ya Junjungan, aku tidak layak menyambut Junjungan ke rumahku. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh.
9 Aku juga di bawah perintah orang atasan, dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.”
10 Isa terkagum mendengarnya lalu berkata kepada orang ramai yang mengikut-Nya, “Sesungguhnya, belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun.
11 bKetahuilah! Ramai orang akan datang dari timur dan barat lalu duduk di meja menikmati jamuan bersama Ibrahim, Ishak dan Yakub dalam kerajaan syurga.
12 cSebaliknya, anak-anak kerajaan itu akan dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.”
13 Lalu Isa berkata kepada ketua tentera itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi.” Pada ketika itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu.
Isa menyembuhkan ramai orang
14 Isa pergi ke rumah Petrus. Dia melihat ibu mertua Petrus terbaring di katil kerana demam.
15 Apabila Isa menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Dia pun bangun, dan melayan Isa.
16 Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa. Dia menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja dan menyembuhkan semua yang sakit.
17 dIsa melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya:
“Dialah yang memikul kelemahan kita dan menanggung penyakit kita.”
Mengikut Isa
(Lukas 9:57-62)
18 Apabila Isa melihat orang ramai di sekeliling-Nya, Dia pun mengeluarkan arahan supaya bertolak ke seberang tasik.
19 Seorang ahli Taurat mendapatkan Isa lalu berkata, “Ya Tuan Guru, aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana sahaja.”
20 Isa berkata kepadanya, “Musang ada lubangnya dan burung di udara ada sarangnya, tetapi Putera Insan tidak ada tempat untuk meletakkan kepala-Nya.”
21 Seorang pengikut lain berkata, “Ya Junjungan, izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku.”
22 Tetapi Isa menjawab, “Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka.”
Isa menenangkan badai
23 Isa menaiki sebuah perahu, dan diikut oleh pengikut-pengikut-Nya.
24 Tiba-tiba badai melanda dan ombak mengganas sehingga perahu dipenuhi air. Ketika itu Isa sedang tidur.
25 Para pengikut Isa datang membangunkan-Nya. Mereka berkata, “Ya Junjungan, selamatkan nyawa kami semua daripada maut!”
26 Isa menjawab, “Mengapakah kamu takut? Begitu tipis kepercayaanmu kepada-Ku!” Dia pun bangun menegur angin dan ombak itu. Serta-merta semuanya tenang sekali.
27 Para pengikut Isa tercengang lalu berkata, “Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya. Siapakah orangnya ini?”
Isa menghalau roh iblis
28 Setelah tiba di seberang, di daerah Gadara, Isa didekati oleh dua orang yang dirasuk roh iblis. Mereka keluar dari gua kubur. Kedua-duanya begitu ganas sehingga orang tidak berani lalu di situ.
29 Apabila mereka melihat Isa, mereka berseru, “Apa urusan-Mu dengan kami, hai Putera Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum sampai masanya?”
30 Ada sekawan babi sedang makan agak jauh dari situ.
31 Roh-roh iblis itu merayu kepada Isa, “Jika Engkau hendak menyuruh kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam tubuh babi sekawan itu.”
32 Dan Isa memerintah roh-roh itu, “Pergilah”. Maka roh-roh itu pun keluar lalu memasuki babi-babi itu. Seluruh kawanan babi itu pun lari ke pinggir jurang laut lalu terjun dan mati lemas.
33 Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan hal itu serta apa yang telah terjadi kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh iblis itu.
34 Seluruh penduduk bandar itu pun datang berjumpa dengan Isa dan memohon-Nya pergi dari daerah itu.
Orang lumpuh disembuhkan
1 Isa menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar tempat Dia tinggal.
2 Beberapa orang membawa kepada-Nya seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Tegapkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu telah diampunkan.”
3 Sebilangan ahli Taurat di situ berfikir dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!”
4 Isa tahu apa yang difikirkan oleh mereka itu lalu Dia berkata, “Mengapa kamu fikirkan perkara sejahat itu dalam hatimu?
5 Manakah yang lebih mudah dikatakan, ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau ‘Bangun dan berjalan?’
6 Aku akan membuktikan kepadamu bahawa di bumi ini Putera Insan berkuasa mengampunkan dosa.” Kemudian Isa berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangun, angkat tikarmu dan pulanglah.”
7 Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumahnya.
8 Melihat kejadian itu, orang di situ ketakutan dan memuji Allah yang memberikan kuasa yang sedemikian besarnya kepada manusia.
Matius dipanggil mengikut Isa
9 Isa meninggalkan tempat itu. Ketika Isa berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Matius sedang duduk di tempat memungut cukai. Isa berkata, “Ikutlah Aku”. Lalu Matius berdiri dan mengikut-Nya.
10 aKetika Isa sedang makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama Isa dan pengikut-pengikut-Nya.
11 Orang dari mazhab Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada pengikut-pengikut Isa, “Mengapa gurumu makan bersama pemungut cukai dan orang berdosa?”
12 Isa terdengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat.
13 bKajilah erti ayat ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Itulah maka Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa.”
Perkara tentang puasa
14 Selepas itu, para pengikut Yahya Pengimad mendapatkan Isa lalu bertanya, “Mengapakah kami dan orang dari mazhab Farisi berpuasa tetapi pengikut-pengikut-Mu tidak?”
15 Isa menjawab, “Patutkah tetamu dalam jamuan perkahwinan bersedih semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.
16 “Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian.
17 Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, kirbat itu akan pecah, air anggur itu akan terbuang dan kirbat itu pun rosak. Air anggur yang baru mesti dituangkan ke dalam kirbat kulit yang baru, dan kedua-duanya selamat.”
Isa melakukan mukjizat
18 Sedang Isa berkata-kata hal-hal ini kepada mereka, seorang ketua saumaah bersujud di hadapan-Nya lalu berkata, “Anak perempuanku baru meninggal dunia. Datanglah, letakkan tangan-Mu di atasnya supaya dia hidup kembali.”
19 Isa pun bangun lalu pergi bersamanya, diiringi oleh pengikut-pengikut-Nya.
20 Ketika itu, ada seorang wanita yang telah menghidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya.
21 Fikir wanita itu dalam hatinya, “Apabila kusentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh.”
22 Isa menoleh dan melihatnya lalu berkata kepadanya, “Tegapkanlah hatimu, anak-Ku! Imanmu telah menyembuhkanmu.” Sekitika itu wanita itu sembuh.
23 Apabila Isa sampai di rumah ketua itu, Dia nampak para pemain seruling dan semua orang di situ kelam-kabut.
24 Dia berkata, “Keluarlah kamu semua! Anak ini bukan mati, cuma tidur.” Mereka mentertawakan-Nya.
25 Tetapi setelah mereka keluar, Isa masuk ke bilik anak perempuan itu dan memegang tangannya lalu anak itu bangun.
26 Khabar ini tersebar ke seluruh daerah itu.
Isa menyembuhkan orang buta
27 Ketika Isa meninggalkan tempat itu, dua orang buta mengikut-Nya sambil berseru, “Wahai Anak Daud, kasihanilah kami!”
28 Ketika Isa masuk ke rumah, kedua-dua orang buta itu mendekati-Nya. Isa bertanya, “Percayakah kamu bahawa Aku dapat menyembuhkanmu?” Jawab mereka, “Ya Junjungan, kami percaya!”
29 Isa pun menyentuh mata mereka sambil berkata, “Kerana imanmu, terjadilah seperti apa yang kamu inginkan!”
30 Pada ketika itu juga mereka menjadi celik. Isa mengingatkan mereka, “Jangan ceritakan hal ini kepada siapa pun.”
31 Tetapi mereka pergi menyebarkan khabar tentang Isa ke seluruh daerah itu.
Isa menyembuhkan seorang bisu
32 Selepas itu, seorang yang bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa.
33 Isa menghalau roh iblis itu dan serta-merta orang itu mula berkata-kata. Semua yang melihatnya tercengang lalu berkata, “Belum pernah kami lihat hal begini di Israel!”
34 cTetapi orang dari mazhab Farisi berkata, “Ketua roh iblis telah memberi Isa kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.”
Belas kasihan Isa terhadap orang
35 dDemikianlah Isa berjalan, dari bandar ke bandar, dari pekan ke pekan. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan Injil Kerajaan Syurga, serta menyembuhkan semua penyakit dan kesakitan.
36 eApabila Isa melihat orang yang ramai itu, Dia berbelas kasih terhadap mereka kerana mereka bimbang dan tidak berdaya, ibarat sekawan domba tanpa gembala.
37 fKata Isa kepada pengikut-pengikut-Nya, “Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir.
38 Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai.”
Isa memanggil dua belas orang pengikut
1 Isa memanggil dua belas orang pengikut-Nya lalu memberi mereka kuasa untuk menghalau roh-roh jahat dan menyembuhkan pelbagai penyakit dan kesakitan.
2 Nama dua belas orang itu ialah: Simon yang dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas; Yakobus bin Zabdi, dan Yahya, saudaranya;
3 Filipus dan Bartolomeus; Tomas, dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus bin Alfeus, dan Tadeus;
4 Simon orang Patriot,* dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Dia.
Isa mengutus dua belas orang pengikut
5 Isa mengutus dua belas pengikut-Nya itu dengan petunjuk demikian: “Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria.
6 Pergilah kepada domba-domba hilang antara keturunan bani Israel.
7 Pergilah dan khabarkanlah bahawa kerajaan syurga sudah dekat.
8 Sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan halaukan roh-roh iblis. Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu, limpahkanlah pemberian.
9 Janganlah bawa wang emas, perak mahupun tembaga dalam tali pinggangmu.
10 aJangan bawa beg, atau dua helai baju, atau kasut, atau tongkat dalam perjalananmu, kerana seorang pekerja layak menerima makanannya.
11 “Apabila kamu sampai di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambutmu. Menetaplah di rumahnya hingga kamu beredar dari tempat itu.
12 Ketika kamu masuk ke rumah itu, berilah salam.
13 Jika penghuni di rumah itu layak, biarlah salam sejahteramu merestui mereka. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu.
14 bSekiranya sesuatu rumah atau bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debu daripada tapak kakimu.
15 cSesungguhnya, Aku berkata kepadamu: pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom dan Gomora lebih ringan daripada atas bandar itu.
16 dDengarlah, Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati.
17 e“Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka.
18 Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan pemerintah dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah.
19 Ketika mereka menangkapmu, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu.
20 Bukanlah kamu yang bertutur, tetapi Roh Bapamu yang bertutur melaluimu.
21 f“Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap ibu bapa, lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh.
22 gKamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan.
23 Apabila kamu dianiaya di sesuatu bandar, larilah ke bandar lain. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Putera Insan akan datang semula sebelum kamu sempat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di tanah Israel.
24 h“Tiada murid yang melebihi gurunya; tiada hamba yang melebihi tuannya.
25 iMurid haruslah berpuas hati menjadi seperti gurunya; hamba haruslah berpuas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga dipanggil Beelzebul, betapa lagi ahli-ahli keluarganya!
26 j“Jangan takut akan manusia. Yang tersembunyi akan dinyatakan; yang dirahsiakan akan didedahkan.
27 Apa yang Kukatakan kepadamu secara rahsia, sampaikanlah secara terang-terang. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumkanlah dari atas bumbung.
28 Jangan takut akan mereka yang hanya dapat membunuh jasad tetapi tidak berkuasa memusnahkan jiwa. Takutilah Dia yang berkuasa memusnahkan jasad dan jiwa di dalam neraka.
29 Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu syiling? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu.
30 Setiap helai rambut di kepalamu telah dihitung.
31 Oleh itu, usahlah takut; kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!
32 “Sesiapa mengakui-Ku di hadapan orang ramai, akan Kuakui di hadirat Bapa-Ku di syurga.
33 kSebaliknya, sesiapa yang menyangkal-Ku di hadapan manusia, akan Kusangkal di hadirat Bapa-Ku di syurga.
34 “Jangan sangka Aku datang untuk membawa damai ke dunia. Aku datang bukan untuk membawa damai ke dunia melainkan pedang.
35 lDengan kedatangan-Ku,
“‘anak lelaki melawan bapanya, anak perempuan melawan ibunya, dan menantu perempuan melawan ibu mertuanya.
36 Ahli keluarganya sendiri akan menjadi musuhnya.’
37 “Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Begitu juga, sesiapa yang lebih mengasihi anaknya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.
38 mSesiapa yang enggan memikul salibnya dan mengikut-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.
39 nSesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangannya, dan sesiapa yang kehilangan hidupnya kerana menjadi pengikut-Ku akan mendapat hidupnya.
40 o“Sesiapa yang menyambutmu, menyambut-Ku juga, dan sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku.
41 Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima ganjaran seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang yang benar kerana dia seorang yang benar, akan menerima ganjaran seorang yang benar.
42 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang memberikan minum walau hanya secawan air sejuk kepada seorang pengikut-Ku yang paling rendah pun kerana dia pengikut-Ku, pasti akan mendapat ganjarannya.”
Isa dan Nabi Yahya
(Lukas 7:18-35)
1 Setelah Isa memberikan petunjuk kepada dua belas orang pengikut-Nya itu, Dia meninggalkan tempat itu lalu pergi mengajar dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah di bandar-bandar berhampiran.
2 Yahya Pengimad yang meringkuk di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh al-Masih. Yahya pun menyuruh beberapa orang pengikutnya untuk bertanya kepada Isa.
3 Mereka bertanya, “Adakah Tuan ini orang yang datang itu, atau perlukah kami menunggu seorang yang lain?”
4 Isa menjawab mereka, “Pulanglah, beritahu Yahya apa yang kamu dengar dan lihat:
5 aOrang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang kusta ditahirkan, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula, dan Injil disampaikan kepada orang miskin.
6 Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku!”
7 Ketika pengikut-pengikut Yahya beredar dari situ, Isa mula berkata kepada orang ramai tentang Yahya: “Apabila kamu mendapatkan Yahya di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin?
8 Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana.
9 Oleh itu, kamu ke sana untuk melihat apa? Seorang nabi? Betul, malah Aku berkata kepadamu, lebih daripada seorang nabi.
10 bTentang orang itulah telah tersurat dalam Kitab Suci:
“‘Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu;
dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.’
11 “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di antara mereka yang dilahirkan oleh perempuan, belum pernah muncul seorang pun yang lebih besar daripada Yahya Pengimad. Namun begitu, orang yang terkecil dalam kerajaan syurga lebih besar daripadanya.
12 cSejak kedatangan Yahya Pengimad hinggalah ke hari ini, kerajaan syurga telah diserang oleh orang yang ingin menguasainya melalui kekerasan dan keganasan, dan orang yang ganas berusaha menguasainya dengan kekerasan.
13 Kerana semua nabi termasuk Musa dengan Taurat bernubuat hingga datangnya Yahya.
14 dSekiranya kamu mahu percaya akan perkhabaran mereka, Yahya itulah Ilyas yang telah dinubuatkan kedatangannya.
15 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!
16 “Dengan apakah dapat Kubandingkan manusia zaman ini? Mereka umpama anak-anak yang duduk di pasar, satu kumpulan berseru kepada yang lain:
17 “‘Kami memainkan seruling untukmu,
tetapi kamu enggan menari;
kami menyanyi lagu ratap,
tetapi kamu enggan menangis.’
18 “Ketika Yahya datang, dia berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu semua orang berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis!’
19 Ketika Putera Insan datang, Dia makan dan minum, lalu semua orang berkata, ‘Lihatlah si pelahap, pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa!’ Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar dengan perbuatannya.”
Penduduk yang enggan bertaubat
(Lukas 10:13-15)
20 Isa mengecam bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduknya enggan bertaubat.
21 e“Malangnya kamu, hai Korazin! Malangnya kamu, hai Baitsaida! Sekiranya mukjizat-mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu dilakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat, dengan memakai baju kabung dan membubuh abu di kepala.
22 Akan tetapi, pada hari penghakiman itu, hukuman atas Tirus dan Sidon lebih ringan daripada atas kamu!
23 fKamu juga, hai Kapernaum! Akankah dirimu ditinggikan sampai ke langit? Tidak, kamu akan dihumbankan ke neraka! Kalaulah mukjizat-mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu itu dilakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada hingga kini!
24 gAku berkata kepadamu, pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom lebih ringan daripada atas kamu!”
Jemputan Isa
(Lukas 10:21-22)
25 Selepas itu Isa berucap, “Ya Bapa, ya Penguasa langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil.
26 Ya Bapa, memang inilah yang Engkau berkenan.
27 h“Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Putera kecuali Bapa, dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Putera serta orang yang terpilih Putera untuk menyatakan Bapa.
28 “Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan.
29 iAmbillah kuk daripada-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan tenang.
30 Sebab kuk-Ku serba mudah, dan beban-Ku pun ringan.”
Junjungan atas hari Sabat
1 aPada suatu hari Sabat, Isa berjalan melalui ladang gandum. Para pengikut-Nya lapar lalu memetik bulir gandum dan memakannya.
2 Apabila orang dari mazhab Farisi melihat perkara ini, mereka berkata kepada Isa, “Lihatlah, pengikut-Mu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!”
3 bIsa menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud apabila dia dan mereka yang ada bersamanya berasa lapar?
4 cDaud masuk ke dalam Khemah Suci Allah, lalu dia dan mereka yang ada bersamanya makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu.
5 dTidakkah kamu baca dalam Taurat Musa betapa setiap hari Sabat imam di Bait Allah melanggar hukum hari Sabat? Namun demikian, mereka tidak disalahkan.
6 Aku berkata kepadamu: Di sini ada yang lebih besar daripada Bait Allah.
7 eAda tersurat: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentulah tidak kamu salahkan orang yang tidak bersalah;
8 kerana Putera Insan ialah Junjungan atas hari Sabat.”
9 Isa beredar dari situ lalu masuk ke sebuah saumaah.
10 Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Isa. Mereka bertanya kepada-Nya, “Tidakkah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar hukum?”
11 fIsa menjawab, “Apakah yang akan kamu lakukan jika seorang daripadamu mempunyai seekor domba, dan pada hari Sabat domba itu terjatuh ke dalam lubang? Tentulah kamu berusaha untuk menariknya keluar.
12 Betapa lebih berharganya manusia daripada domba? Oleh itu, berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.”
13 Setelah itu, Isa berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh lalu tangan itu terus sembuh sama seperti yang sebelahnya.
14 Ketika itu orang dari mazhab Farisi beredar dari situ lalu berpakat hendak membunuh Isa.
Isa Hamba Allah
15 Apabila Isa mengetahui pakatan itu, Dia pun meninggalkan tempat itu. Ramai orang mengikut-Nya dan ramai yang disembuhkan-Nya daripada pelbagai penyakit.
16 Dia melarang keras mereka mengatakan siapa Dia.
17 Dengan demikian terjadilah firman Allah melalui Nabi Yesaya:
18 g“Inilah hamba-Ku yang telah Kupilih,
Yang Kukasihi dan Kuredai.
Aku akan menaruh Roh-Ku ke atas-Nya,
dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa.
19 Dia tidak akan bertengkar atau membentak,
ataupun bersuara lantang di jalan raya.
20 Sehelai rumput mensiang yang terkulai tidak akan dipatahkan-Nya,
dan sumbu yang malap tidak akan dipadamkan-Nya,
sehingga Dia berjaya menegakkan keadilan.
21 Dalam nama-Nya, bangsa-bangsa asing akan bersandar harap kepada-Nya.”
Isa dan Beelzebul
22 Setelah itu, seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa lalu disembuhkan-Nya.
23 Orang ramai di situ ketakjuban lalu bertanya sama sendiri, “Mungkinkah Dia ini Anak Daud?”
24 hApabila orang dari mazhab Farisi mendengar tentang itu, mereka menjawab, “Dia dapat menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul, ketua roh iblis.”
25 Isa mengetahui isi hati mereka lalu berkata, “Kerajaan yang berpecah lebur dan kota atau keluarga yang berpecah belah tidak dapat bertahan.
26 Begitu juga, andainya Iblis mengusir Iblis, dia akan berpecah belah, dan bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan?
27 Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu.
28 Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan Roh Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu.
29 “Atau bagaimanakah orang dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya kecuali orang gagah itu dapat diikat dahulu? Selepas itu, barulah dia dapat merompak rumahnya.
30 i“Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan.
31 Ketahuilah: Orang yang berbuat dosa dan mengucapkan kata-kata kufur akan diampuni, tetapi mereka yang mengkufuri Roh Allah tidak akan diampuni.
32 jOrang yang menentang Putera Insan dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Allah Yang Maha Suci tidak dapat diampuni, baik di dunia mahupun di akhirat.
33 k“Jika kamu ingin mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya pokok diketahui daripada buahnya.
34 lHai kamu bagaikan ular kapak berbisa, bagaimana dapat kamu tuturkan perkara yang baik sedangkan dirimu jahat? Yang diluahkan mulut meluap daripada hati.
35 Orang yang baik membuahkan hal-hal baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan. Orang yang jahat membuahkan hal-hal jahat kerana hatinya penuh kejahatan.
36 Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, setiap orang harus mempertanggungjawabkan setiap katanya yang tidak sewajarnya dituturkan.
37 Kata-katamu sendiri akan dijadikan ukuran sama ada kamu bersalah atau tidak, dan dengan kata-katamu sendiri pula kamu dihukum.”
Petanda Nabi Yunus
(Lukas 11:29-32)
38 mSelepas itu, beberapa orang ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi berkata kepada Isa, “Tuan Guru, kami ingin melihat suatu tanda mukjizat daripada-Mu.”
39 nTetapi Isa menjawab, “Manusia zaman yang durjana dan tidak setia ini ingin melihat tanda mukjizat. Tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali tanda Nabi Yunus.
40 oSebagaimana Yunus tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut ikan besar, begitu jugalah Putera Insan akan tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut bumi.
41 pPada hari akhir, orang Niniwe akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula kerana orang Niniwe itu bertaubat apabila mendengar perkhabaran Yunus; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Yunus.
42 qPada hari akhir, Ratu Syeba* dari Selatan akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar kebijaksanaan Sulaiman; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Sulaiman.
43 “Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya,
44 roh itu akan berkata, ‘Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.’ Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu kosong, bersih dan kemas.
45 Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu. Inilah yang akan terjadi kepada manusia durjana zaman ini.”
Isa dan sanak saudara-Nya
46 Sedang Isa berbicara dengan orang ramai, ibu dan saudara-saudara-Nya datang berdiri di luar kerana hendak bercakap dengan Isa.
47 Seorang daripada orang ramai itu memberitahu Isa, “Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar dan hendak bercakap dengan-Mu.”
48 Tetapi Isa menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?”
49 Dia menunjuk kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, “Inilah ibu-Ku dan saudara-saudara lelaki-Ku.
50 Sesiapa yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga, merekalah saudara lelaki, saudara perempuan dan ibu-Ku.”
Ibarat tentang seorang penyemai
1 Pada hari itu juga, Isa keluar dari rumah lalu duduk di pinggir laut.
2 aSungguh ramai orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya. Isa pun masuk ke dalam sebuah perahu dan duduk di situ manakala orang ramai itu berdiri di pantai.
3 Isa memberitahu mereka banyak perkara melalui ibarat. Dia berkata: “Seorang penyemai pergi menabur.
4 Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di tepi jalan lalu dimakan burung.
5 Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam.
6 Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar.
7 Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya.
8 Namun demikian, ada yang jatuh di tanah yang subur dan memberikan hasil: seratus kali ganda, enam puluh kali ganda, atau tiga puluh kali ganda.
9 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”
10 Para pengikut Isa datang bertanya kepada-Nya, “Ya Junjungan, mengapa Engkau bercakap kepada mereka melalui ibarat?”
11 Isa menjawab, “Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan syurga, tetapi mereka tidak.
12 bSesiapa yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, sehingga dia penuh kelimpahan. Sebaliknya, sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil.
13 Aku bercakap kepada mereka melalui ibarat:
“ ‘Kerana mereka melihat tetapi tidak nampak,
mereka mendengar tetapi tidak mengerti.’
14 c“Keadaan mereka ini tepat seperti terdapat dalam nubuat Nabi Yesaya:
“ ‘Kamu terus mendengar tetapi tidak mengerti;
kamu akan terus melihat tetapi tidak mengetahui.
15 Kerana hati umat ini telah buntu,
mereka pekakkan telinga,
dan pejamkan mata.
Kalau tidak demikian,
mereka tentu melihat dengan mata,
mendengar dengan telinga,
dan mengerti dengan hati,
lalu berpaling kepada-Ku
dan Aku menyembuhkan mereka.’
16 dTetapi diberkatilah matamu kerana melihat, dan telingamu kerana mendengar.
17 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ramai nabi dan orang yang benar berhasrat melihat apa yang kamu lihat tetapi tidak melihatnya dan mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak mendengarnya.
18 “Oleh itu, dengarlah maksud ibarat penyemai benih:
19 Apabila seseorang mendengar perkhabaran kerajaan Allah dan tidak memahaminya, akan datanglah si durjana menyambar apa yang telah ditabur dalam hatinya. Orang inilah yang menerima benih di tepi jalan.
20 Orang yang menerima benih di tempat berbatu pula bermaksud orang yang mendengar firman itu dan terus menerimanya dengan sukacita.
21 Tetapi dia tidak berakar, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik dia menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, imannya pun segera luntur.
22 Orang yang menerima benih di semak duri ialah orang yang mendengar firman itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal dunia dan tarikan palsu harta kekayaan membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah.
23 Tetapi orang yang menerima benih di tanah subur ialah orang yang mendengar firman itu dan memahaminya lalu menghasilkan seratus kali, enam puluh kali bahkan tiga puluh kali ganda.”
Ibarat tentang lalang di antara gandum
24 Isa menceritakan satu ibarat lagi: “Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya.
25 Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu.
26 Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga.
27 “Hamba peladang berkata, ‘Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?’
28 “Jawab peladang itu, ‘Ini perbuatan musuh.’
“Hamba itu bertanya, ‘Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?’
29 “ ‘Tidak,’ jawab peladang itu, ‘takut tercabut gandum juga sewaktu kamu mencabut lalang itu.
30 Biarkanlah lalang tumbuh di antara gandum hingga sampai musim menuai. Ketika itu aku akan menyuruh orang yang menuai nanti mencabut lalang dahulu, mengikat dan membakarnya. Selepas itu, barulah gandum dituai dan disimpan di dalam jelapang.’ ”
Ibarat tentang biji sesawi dan ragi
31 Seterusnya Isa mengisahkan ibarat demikian: “Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditabur di ladangnya.
32 Biji sesawi itu paling kecil antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung di udara membuat sarang pada cabangnya.”
33 Kemudian Isa menceritakan suatu ibarat lagi, “Kerajaan syurga seumpama ragi yang diambil seorang wanita dan dicampurkan dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.”
34 Demikianlah Isa mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat.
35 eMaka terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi:
“Aku akan membuka mulut melalui ibarat,
Aku akan menuturkan hal-hal yang dirahsiakan sejak dunia dicipta.”
Ibarat tentang lalang diterangkan
36 Selepas itu, Isa meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah. Pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya lalu berkata, “Terangkanlah kepada kami maksud ibarat lalang di antara gandum itu.”
37 Isa berkata, “Orang yang menabur benih baik itu Putera Insan.
38 Ladang itu dunia. Benih yang baik itu anak-anak kerajaan dan lalang itu anak-anak si durjana.
39 Musuh yang menanam lalang itu Iblis. Masa menuai ialah hari akhir dan para penuai itu malaikat.
40 “Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar, demikianlah halnya akan terjadi pada hari akhir.
41 Putera Insan akan memerintahkan malaikat-Nya mengumpulkan semua dalam kalangan umat-Nya yang melakukan kejahatan dalam kerajaan-Nya dan yang menyebabkan orang berdosa.
42 Mereka akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi.
43 Orang yang benar akan bersinar laksana matahari dalam kerajaan Allah, Bapa mereka. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”
Ibarat tentang harta tersembunyi dan mutiara
44 “Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu, dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu.
45 “Kerajaan syurga juga umpama seorang saudagar yang mencari mutiara yang paling tinggi nilainya.
46 Apabila dia menjumpai mutiara yang paling bernilai, dia pun menjual semua yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.
Ibarat tentang pukat
47 “Kerajaan syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat aneka jenis ikan.
48 Setelah sarat dan ditarik ke darat, para nelayan memeriksanya, lalu menyimpan yang baik di dalam bekas dan membuang yang tidak baik.
49 Demikianlah yang akan terjadi pada akhir zaman. Malaikat akan datang mengasingkan orang durjana daripada orang yang benar.
50 Orang durjana itu akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi.
51 “Fahamkah kamu hal-hal ini?” tanya Isa.
“Kami faham,” jawab mereka.
52 Isa berkata, “Oleh itu, setiap ahli Taurat yang telah menerima ajaran tentang kerajaan syurga adalah seperti ketua rumah yang mengeluarkan barang baru dan barang lama daripada khazanah simpanannya.”
Isa ditolak di Nazaret
53 Setelah Isa selesai menceritakan ibarat, Dia pun beredar dari situ.
54 Lalu Dia pulang ke kampung halaman-Nya. Di situ Dia mengajar di saumaah. Orang yang mendengar-Nya hairan lalu bertanya, “Dari manakah orang ini mendapat kebijaksanaan begini? Dari manakah orang ini mendapat kuasa melakukan mukjizat?
55 Bukankah Dia anak tukang kayu? Bukankah Maryam itu ibu-Nya, dan Yakobus, Yusuf, Simon serta Yudas itu saudara-Nya?
56 Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya ada bersama kita? Dari manakah Dia mendapat semua ini?”
57 fDengan demikian mereka enggan menerima-Nya.
Isa berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati kecuali di kampung halamannya dan keluarganya sendiri.”
58 Isa tidak banyak melakukan mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya.
Nabi Yahya dibunuh
1 Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Isa.
2 Herodes berkata kepada orang di bawahnya, “Ini tentu Yahya Pengimad. Dia telah dibangkitkan daripada kematian! Itulah sebab Dia mempunyai kuasa melakukan mukjizat.”
3 aSebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus.
4 bYahya telah memberitahu Herodes, “Mengambil Herodias sebagai isterimu adalah haram.”
5 Herodes hendak membunuh Yahya tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi.
6 Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis dan menyenangi hati Herodes,
7 sehingga Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu.
8 Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yahya Pengimad di atas talam pada waktu itu juga.
9 Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya. Oleh itu, dia memerintahkan supaya permintaan gadis itu dilaksanakan.
10 Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yahya di penjara.
11 Kepala Yahya diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya.
12 Selepas itu, pengikut Yahya datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Isa tentangnya.
Isa memberi makan kepada lima ribu orang
13 Sebaik-baik mendengar tentang Yahya, Isa menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun demikian, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Isa melalui jalan darat dari kota.
14 Setelah Isa turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya berbelas kasih terhadap mereka lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit dalam kalangan mereka.
15 Apabila menjelang petang, para pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, “Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.”
16 Tetapi Isa menjawab, “Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.”
17 Kata para pengikut Isa, “Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.”
18 Isa berkata, “Bawalah makanan itu kepada-Ku.”
19 Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu.
20 Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para pengikut mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul.
21 Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.
Isa berjalan di atas air
22 Setelah itu, Isa menyuruh pengikut-pengikut-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang.
23 Setelah menyuruh mereka pulang, Isa naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Isa berada di situ seorang diri.
24 Ketika itu perahu yang dinaiki oleh pengikut-pengikut-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan.
25 Antara dinihari dan subuh, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka.
26 Apabila pengikut-pengikut-Nya melihat Isa berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, “Hantu!”
27 Isa segera berkata kepada mereka, “Tabahkanlah hatimu. Aku Isa. Jangan takut.”
28 Petrus berkata, “Jika benar Engkau, ya Junjungan, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.”
29 “Marilah,” sahut Isa.
Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Isa.
30 Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. “Ya Junjungan! Selamatkan aku!” serunya.
31 Isa segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, “Begitu tipis kepercayaanmu, mengapa engkau ragu?”
32 Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada.
33 Selepas itu, para pengikut Isa yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, “Sesungguhnya, Engkaulah Putera Allah!”
Isa menyembuhkan orang sakit di Genesaret
(Markus 6:53-56)
34 Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret.
35 Orang di situ mengenal Isa lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya.
36 Mereka merayu Isa supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.
Perintah Allah dan adat istiadat
(Markus 7:1-23)
1 Setelah itu, beberapa orang dari mazhab Farisi dan para ahli Taurat dari Yerusalem datang mendapatkan Isa lalu bertanya,
2 “Mengapa pengikut-Mu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!”
3 Isa menjawab, “Mengapa kamu membelakangi perintah Allah demi mematuhi adat istiadatmu?
4 aAllah berfirman, ‘Hormatilah ibu bapamu’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.’
5 Sebaliknya kamu mengajar, ‘Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Apa yang patut kugunakan untuk menolong ayah dan ibu, telah kupersembahkan kepada Allah,”
6 maka tidak perlulah orang itu menghormati ibu bapanya. Demikianlah kamu menyatakan Firman Allah tidak berlaku atas sebab adat istiadatmu.’
7 Kamu munafik! Tepat sekali kata-kata Yesaya dalam nubuatnya tentangmu:
8 b“‘Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata
tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.
9 Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku,
sedangkan ajaran yang diajarkan mereka
ialah peraturan manusia.’”
10 Kemudian Isa memanggil orang ramai itu lalu berkata kepada mereka, “Dengar dan fahamlah!
11 Apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya, itulah yang menajiskannya.”
12 Selepas itu, para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan berkata, “Tahukah Engkau, ya Junjungan, bahawa orang dari mazhab Farisi tersinggung dengan kata-kata-Mu?”
13 Isa menjawab, “Segala tanaman selain yang ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut.
14 cJangan hiraukan orang dari mazhab Farisi. Mereka itu orang buta yang memimpin orang buta. Apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya masuk ke dalam parit.”
15 Petrus berkata, “Terangkanlah maksud ibarat tadi kepada kami.”
16 Isa berkata, “Kamu masih tidak faham.
17 Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula.
18 dSebaliknya, apa yang keluar dari mulut datang dari hati, dan inilah yang menajiskan.
19 Dari hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, mencuri, memberi kesaksian palsu, dan memfitnah.
20 Segala itulah yang menajiskan, bukan makan dengan tidak membasuh tangan.”
Wanita Kanaan yang percaya
(Markus 7:24-30)
21 Isa beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon.
22 Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Isa sambil berseru, “Ya Tuan, ya Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!”
23 Isa diam tidak menjawab. Para pengikut-Nya memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung.”
24 Isa berkata kepada wanita itu, “Aku diutus khusus kepada keturunan kaum Israel yang seperti domba yang hilang.”
25 Wanita itu mendekati Isa dan menyembah-Nya sambil berkata, “Ya Tuan, tolonglah aku.”
26 Isa menjawab, “Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anak-anak anjing.”
27 “Benar, ya Tuan,” balas wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.”
28 Oleh yang demikian Isa berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku.” Serta-merta anak wanita itu pulih.
Isa menyembuhkan ramai orang
29 Isa beredar dari situ lalu berjalan menyusur pesisiran Laut Galilea. Setelah itu, Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di situ.
30 Ramailah yang datang mendapatkan-Nya, membawa orang yang tempang, buta, lumpuh, bisu dan yang menghidap pelbagai penyakit. Isa menyembuhkan mereka.
31 Orang ramai tercengang melihat yang bisu bercakap, yang cacat dipulihkan, yang tempang berjalan, dan yang buta melihat, lalu mereka memuji Tuhan bani Israel.
Empat ribu orang diberi makan
(Markus 8:1-10)
32 Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, “Aku berbelas kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan.”
33 Para pengikut-Nya berkata, “Di manakah dapat kami cari roti yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?”
34 Isa bertanya, “Berapa banyakkah roti yang ada padamu?”
“Tujuh buku,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.”
35 Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah.
36 Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu memecah-mecahkannya dan menghulurkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai.
37 Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh.
38 Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak.
39 Setelah itu, Isa menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia menaiki perahu dan pergi ke kawasan Magadan.
Orang dari mazhab Farisi menduga Isa
(Markus 8:11-13)
1 aBeberapa orang dari mazhab Farisi dan Saduki datang kepada Isa. Untuk menduga Isa, mereka meminta-Nya menunjukkan suatu tanda dari syurga.
2 Isa menjawab, “Ketika matahari masuk, kamu berkata, ‘Cuaca baik, kerana langit merah.’
3 Pada waktu pagi, kamu berkata, ‘Cuaca buruk nanti, kerana langit merah mengancam.’ Munafik! Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat tanda-tanda di langit, tetapi kamu tidak dapat memahami tanda-tanda zaman ini.
4 bManusia zaman yang durjana dan tidak setia ini ingin melihat tanda mukjizat. Tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali tanda Nabi Yunus.” Setelah berkata demikian, Isa pun pergi dari situ.
5 Ketika para pengikut Isa berperahu ke seberang, mereka terlupa membawa roti.
6 cIsa berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang dari mazhab Farisi dan Saduki.”
7 Mereka mula berkata-kata sesama sendiri, “Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.”
8 Isa mengetahui apa yang dibincangkan mereka lalu Dia bertanya, “Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Begitu tipis kepercayaanmu!
9 dBelum fahamkah kamu? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima buku roti antara lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?
10 eBagaimana pula dengan tujuh buku roti yang Kubahagikan antara empat ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?
11 Mengapa kamu tidak mengerti bahawa Aku tidak bercakap tentang roti. Berhati-hatilah dengan ragi orang dari mazhab Farisi dan Saduki.”
12 Barulah mereka faham bahawa maksud Isa bukannya ragi penaik roti tetapi ajaran orang dari mazhab Farisi dan Saduki.
Pengakuan Petrus
13 Isa pergi ke daerah berhampiran kota Kaisarea Filipi. Dia bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Menurut kata orang, siapakah Putera Insan ini?”
14 fMereka menjawab, “Ada yang berkata Yahya Pengimad; ada yang berkata Ilyas; ada pula yang berkata Yeremia atau nabi lain.”
15 Isa bertanya, “Menurut kamu, siapakah Aku ini?”
16 gSimon Petrus menjawab, “Ya Junjungan, Engkau ialah al-Masih, Putera Allah Yang Hidup.”
17 Isa berkata, “Diberkatilah engkau, Simon bin Yunus! Yang memberitahumu bukannya manusia tetapi Bapa-Ku di syurga.
18 Oleh itu ketahuilah engkau Petrus, batu yang kukuh, dengan asas batu pejal inilah akan Kubina jemaah-Ku. Alam maut pun tidak dapat merobohkannya.
19 hAku akan memberikan kunci kerajaan syurga kepadamu. Apa yang kamu ikat di dunia akan diikat juga di syurga. Apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.”
20 Selepas itu dengan tegasnya Isa melarang pengikut-pengikut-Nya memberitahu sesiapa bahawa Dia al-Masih.
Isa memberitahu tentang kematian-Nya
21 Sejak itu, Isa mula berkata terus terang kepada pengikut-pengikut-Nya bahawa Dia harus pergi ke Yerusalem dan menanggung banyak penderitaan daripada pihak pemimpin masyarakat, ketua imam, dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga akan dibangkitkan semula.
22 Petrus menarik Isa ke tepi lalu menegur Dia, “Ya Junjungan, semoga Allah jauhi semua itu daripada-Mu! Semua itu tidak boleh berlaku kepada-Mu!”
23 Isa berpaling sambil berkata kepada Petrus, “Pergilah dari sini, Iblis! Engkau batu sandungan bagi-Ku kerana kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia!”
24 iKemudian Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib dan mengikut-Ku.
25 jSesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup, dan sesiapa yang mengorbankan hidupnya kerana-Ku akan memperoleh hidup.
26 Apalah gunanya jika seseorang memperoleh seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya? Apakah yang dapat diberinya sebagai ganti untuk hidup itu?
27 kSudah hampir waktunya Putera Insan datang bersama para malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia akan memberikan balasan kepada setiap orang menurut perbuatannya.
28 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, beberapa orang di sini tidak akan menemui maut sebelum melihat Putera Insan datang sebagai Raja dalam Kerajaan-Nya.”
Isa dimuliakan di atas gunung
1 Enam hari kemudian, Isa membawa Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi.
2 Di situ Isa berubah rupa di hadapan mata mereka. Wajah-Nya bersinar seperti matahari dan pakaian-Nya putih berkilau-kilauan.
3 Musa dan Ilyas muncul pula di hadapan mereka lalu bercakap dengan Isa.
4 Petrus berkata kepada Isa, “Ya Junjungan, baik sekali kami ada di sini. Kalau Engkau mahu, biar kudirikan tiga buah khemah; satu untuk Engkau, satu untuk Nabi Musa, dan satu lagi untuk Nabi Ilyas.”
5 aSedang Petrus berkata-kata, segumpal awan yang bersinar-sinar meliputi mereka. Dari awan itu kedengaran suara berkata, “Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan. Dengarlah kata-kata-Nya!”
6 Mendengar suara itu, para pengikut Isa ketakutan lalu meniarap di tanah.
7 Isa datang menyentuh mereka sambil berkata, “Bangunlah. Jangan takut.”
8 Apabila mereka menengadah ke atas, mereka tidak melihat sesiapa pun selain Isa.
9 Mereka turun dari atas gunung itu. Isa mengeluarkan perintah, “Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu lihat, selagi Putera Insan belum dibangkitkan daripada kematian.”
10 bPara pengikut Isa bertanya kepada-Nya, “Mengapa ahli Taurat berkata Ilyas mesti datang dahulu?”
11 Isa menjawab, “Memang benar Ilyas mesti datang dahulu untuk memulihkan segala sesuatu.
12 cTetapi sesungguhnya Aku berkata kepadamu, Ilyas sudah pun datang tetapi orang tidak mengenalnya. Mereka berbuat sesuka hati kepadanya. Begitulah mereka akan lakukan kepada Putera Insan.”
13 Ketika itu barulah para pengikut Isa faham bahawa yang dimaksudkan-Nya ialah Yahya Pengimad.
Anak lelaki yang kerasukan roh iblis disembuhkan
14 Setelah Isa dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya itu kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang berlutut di hadapan-Nya.
15 Lelaki itu berkata, “Ya Tuan, kasihanilah anakku! Dia menghidap sakit gila babi dan penyakitnya sungguh teruk. Sering kali dia terjatuh ke dalam air atau api.
16 Aku sudah pun membawanya kepada pengikut-pengikut-Mu, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.”
17 Isa menjawab, “Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini. Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke sini!”
18 Isa mengherdik roh iblis itu. Roh iblis itu pun keluar daripada anak itu lalu dia sembuh serta-merta.
19 Para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan bertanya ketika tiada orang lain di situ, “Mengapa kami tidak dapat menghalau roh iblis itu?”
20 dIsa menjawab, “Ini kerana kepercayaanmu tipis. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada gunung, ‘Beralihlah ke situ,’ maka bukit itu akan beralih. Tidak ada satu pun yang mustahil bagi kamu.
21 Jenis ini hanya dapat dihalau dengan berdoa dan berpuasa.”
22 Ketika semua pengikut Isa berhimpun di Galilea, Isa berkata kepada mereka, “Putera Insan akan diserahkan kepada manusia.
23 Mereka akan membunuh-Nya, tetapi Dia akan dibangkitkan semula pada hari ketiga.” Mendengar kata-kata itu, para pengikut Isa berdukacita.
Membayar cukai
24 eApabila Isa dan pengikut-pengikut-Nya sampai di Kapernaum, pemungut-pemungut cukai dua dirham datang kepada Petrus lalu bertanya, “Adakah gurumu membayar cukai Bait Allah?”
25 Petrus menjawab, “Tentu sekali.”
Sebaik-baik Petrus masuk ke rumah, sebelum dia dapat berkata apa-apa, Isa bertanya, “Simon, bagaimana pandanganmu, daripada siapakah raja-raja dunia ini memungut cukai, daripada anak-anak mereka atau orang lain?”
26 “Orang lain,” jawab Petrus.
“Kalau begitu,” kata Isa, “anak-anak tidak perlu membayar.
27 Tetapi usahlah kita singgung perasaan orang. Pergilah memancing di laut. Ambillah ikan pertama yang kautangkap, dan bukalah mulutnya. Engkau akan mendapati sekeping duit syiling sebesar empat dirham. Ambillah duit itu dan berikan kepada mereka, untuk-Ku dan untukmu.”
Yang terbesar di dalam kerajaan syurga
1 aPada ketika itu para pengikut Isa datang bertanya kepada-Nya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang dalam kerajaan syurga nanti?”
2 Isa memanggil seorang kanak-kanak, disuruh-Nya berdiri di hadapan mereka semua.
3 bIsa pun berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali kamu menjadi seperti kanak-kanak kecil, kamu tidak akan masuk ke dalam kerajaan syurga.
4 Oleh itu, orang yang dianggap terbesar dalam kerajaan syurga ialah yang merendah diri dan bersikap seperti kanak-kanak.
5 “Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku.
6 Sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak kecil yang percaya kepada-Ku ini berdosa, lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam.
7 “Malanglah dunia yang penuh dengan perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa! Memang dosa tetap berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya!
8 cSekiranya tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu mempunyai dua tangan dan dua kaki tetapi dihumbankan ke dalam api neraka.
9 dJika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu memiliki dua mata tetapi terhumban ke dalam api neraka.
Ibarat tentang domba yang hilang
(Lukas 15:3-7)
10 e“Hati-hatilah, jangan hinakan seorang daripada pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa berada di hadirat Bapa-Ku di syurga.
11 Putera Insan datang untuk menyelamatkan orang yang hilang.
12 “Bagaimana pandanganmu? Jika seseorang mempunyai seratus ekor domba dan seekor daripadanya hilang, apa yang akan dilakukannya? Tentulah dia meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang merumput di bukit dan pergi mencari domba yang hilang* itu.
13 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila dia menjumpainya, domba yang seekor itu lebih menggembirakannya daripada sembilan puluh sembilan ekor yang lain itu.
14 Demikianlah juga Bapamu yang di syurga, tidak mahu seorang pun pengikut-Ku yang kecil ini hilang.
Saudaramu yang berdosa terhadapmu
15 f“Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah mendapatkannya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan diam-diam, antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mahu mendengar katamu, ertinya kamu berjaya mendapat kembali saudaramu.
16 gJika tidak, bawalah seorang dua bersamamu; kerana telah tersurat, ‘Setiap tuduhan harus disokong dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi.’
17 Sekiranya dia enggan menerima nasihat mereka, maklumkan hal itu kepada jemaah. Jika nasihat jemaah pun tidak diterimanya, anggaplah dia seperti orang yang tidak mengenal Allah atau pemungut cukai.
18 h“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang kamu ikat di dunia akan diikat di syurga, dan apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.
19 “Ketahuilah juga, setiap kali dua orang daripadamu di dunia ini bersetuju untuk memohon sesuatu daripada-Ku, permohonan itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga;
20 kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun dalam nama-Ku, Aku ada di situ bersama mereka.”
Ibarat tentang pengampunan
21 iPetrus datang mendapatkan Isa lalu bertanya, “Ya Junjungan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?”
22 jIsa menjawab, “Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali.”
23 “Kerana kerajaan syurga seperti yang berikut: Seorang raja hendak menyelesaikan kira-kira dengan para hambanya.
24 Salah seorang hambanya yang berhutang sebanyak sepuluh ribu talenta dibawa menghadapnya.
25 Hamba itu tidak dapat menjelaskan hutangnya. Oleh itu, raja memerintahkan supaya hamba itu dijual bersama anak isteri dan harta bendanya untuk membayar hutang itu.
26 “Hamba itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutang itu.’
27 Raja itu berasa kasihan kepadanya lalu menghapuskan segala hutangnya dan membebaskannya.
28 “Tetapi ketika hamba itu keluar, dia menemui seorang hamba lain yang berhutang seratus keping wang dinar perak kepadanya. Dia menangkap dan hendak mencekik rakannya itu sambil berkata, ‘Bayar semua hutangmu.’
29 “Rakannya itu menyembah dan merayu, ‘Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutangku.’
30 “Tetapi hamba itu tidak mempedulikan rayuan rakannya. Malah dia memerintahkan supaya rakannya dipenjarakan sehingga menjelaskan hutangnya.
31 Hamba-hamba lain dukacita melihatnya lalu mengadukan hal itu kepada raja.
32 “Raja pun memanggil hamba yang tidak berhati perut itu lalu berkata, ‘Sungguh kejam perbuatanmu! Aku telah menghapuskan segala hutangmu kerana kamu merayu supaya aku mengampunimu.
33 Bukankah sepatutnya kamu mengasihani rakanmu sebagaimana aku mengasihanimu?’
34 Dengan murkanya raja menitahkan supaya hamba yang tidak berperikemanusiaan itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dibayar.
35 “Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas.”
Perceraian
(Markus 10:1-12)
1 Selepas Isa selesai berkata tentang hal-hal itu, Dia beredar dari Galilea pergi ke Yudea di seberang Sungai Yordan.
2 Ramai orang mengikut-Nya dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ.
3 Beberapa orang dari mazhab Farisi datang untuk menduga Isa. Mereka bertanya, “Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya dengan apa sebab jua?”
4 aIsa menjawab, “Tidakkah kamu baca ayat Kitab Suci yang menyatakan betapa pada mulanya Allah menjadikan lelaki dan perempuan?
5 bSetelah itu, Allah berfirman, ‘Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya lalu mereka berdua menjadi satu.’
6 Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah janganlah manusia pisahkan.”
7 cKata orang dari mazhab Farisi itu, “Kalau begitu, mengapakah Musa memberikan hukum membenarkan seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan menulis surat cerai?”
8 Isa menjawab mereka, “Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana hati kamu begitu tegar. Tetapi pada mulanya bukanlah begitu.
9 dSesungguhnya, jika seseorang lelaki menceraikan isterinya, kecuali kerana zina, lalu berkahwin pula dengan perempuan lain, dia berzina.”
10 Para pengikut Isa berkata, “Kalau begitulah hidup suami isteri, lebih baiklah tidak berkahwin langsung.”
11 Isa menjawab, “Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang dikurniai keupayaan untuk menerimanya.
12 Ada beberapa sebabnya seseorang itu tidak berkahwin. Ada yang dilahirkan begitu, ada yang dibuat orang begitu, dan ada pula yang membuat dirinya begitu untuk mengabdikan diri kepada kerajaan syurga. Biarlah ajaran ini diterima oleh yang mampu menerimanya.”
Isa memberkati kanak-kanak
13 Beberapa orang membawa kanak-kanak supaya diberkati oleh Isa dengan meletakkan tangan-Nya ke atas mereka serta mendoakan mereka. Tetapi para pengikut Isa memarahi orang yang membawa kanak-kanak itu.
14 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang seperti itulah yang empunya kerajaan syurga.”
15 Isa meletakkan tangan-Nya ke atas kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Kemudian Dia beredar dari situ.
Orang muda yang kaya
16 Pada suatu hari seorang pemuda datang berjumpa Isa lalu bertanya, “Ya Tuan Guru, apakah perbuatan baik yang harus aku lakukan untuk mendapat kehidupan kekal?”
17 Isa menjawab, “Mengapa kamu bertanya kepada-Ku apa yang baik? Hanya ada Satu yang baik. Sekiranya kamu ingin masuk ke dalam hidup, patuhilah hukum-Nya.”
18 ePemuda itu bertanya, “Hukum yang mana?”
Isa menjawab, “ ‘Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan memberi kesaksian palsu;
19 fhormatilah ibu bapamu; kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’ ”
20 “Semua hukum ini telah kupatuhi,” kata pemuda itu. “Adakah lagi yang harus kulakukan?”
21 Isa menjawab, “Jika kamu ingin menjadi sempurna, pergilah, jual segala harta bendamu dan sedekahkan kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu, datanglah dan ikut Aku.”
22 Apabila mendengar jawapan Isa, pemuda itu beredar dari situ dengan dukacita, kerana dia seorang yang kaya-raya.
23 Isa pun berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, susah sekali bagi orang kaya memasuki kerajaan syurga.
24 Aku berkata kepadamu, lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.”
25 Para pengikut Isa hairan mendengar kata-kata itu lalu bertanya, “Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?”
26 Sambil memandang mereka Isa menjawab, “Hal itu mustahil bagi manusia, tetapi bagi Allah tidak ada satu pun yang mustahil.”
Upah mengikut Isa
27 Petrus menjawab, “Kami telah meninggalkan segala-galanya untuk mengikut-Mu, ya Junjungan. Apakah yang akan kami terima?”
28 gIsa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ketika Putera Insan duduk di atas takhta-Nya yang mulia, kamu pengikut-Ku juga akan bertakhta menghakimi dua belas suku Israel.
29 Setiap orang yang telah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, saudara perempuan, ibu bapa, anak-anak, atau ladang kerana nama-Ku, akan menerima seratus kali ganda apa yang ditinggalkannya dan akan memperoleh hidup kekal.
30 hTetapi ramai orang yang terdahulu akan menjadi terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang terdahulu.
Ibarat tentang pekerja di ladang anggur
1 “Kerajaan syurga seperti seorang tuan tanah yang keluar pada awal pagi untuk mengupah orang bekerja di ladang anggurnya.
2 Dia bersetuju membayar upah yang biasa dibayar untuk bekerja sehari iaitu sekeping wang dinar. Kemudian dia pun menyuruh mereka pergi ke ladang.
3 “Kira-kira pukul sembilan pagi, tuan tanah itu keluar lagi lalu melihat beberapa orang lain berdiri-diri tanpa berbuat apa-apa di pasar.
4 Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan memberimu upah yang berpatutan.’ ”
5 Mereka pun pergi.
“Pada pukul dua belas tengah hari dan pada pukul tiga petang, begitu jugalah yang terjadi.
6 Pada kira-kira pukul lima petang dia pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang berdiri-diri tidak berbuat apa-apa. Dia menanya mereka, ‘Mengapa kamu membuang masa tidak membuat apa-apa kerja?’
7 “Mereka menjawab, ‘Tiada siapa mengupah kami bekerja.’
“Kalau begitu, pergilah bekerja di ladang anggurku,” kata tuan tanah itu.
8 a“Setelah hari petang, tuan ladang anggur itu berkata kepada ketua pekerja, ‘Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir hingga kepada pekerja yang datang awal sekali.’
9 “Mereka yang bekerja dari pukul lima petang menerima sekeping wang dinar seorang.
10 Oleh itu, mereka yang bekerja sejak pagi menjangka akan menerima bayaran yang lebih, tetapi mereka pun mendapat sekeping wang dinar seorang.
11 Mereka pun mulalah bersungut kepada tuan tanah itu.
12 Mereka berkata, ‘Pekerja-pekerja yang baru datang itu cuma bekerja sejam sedangkan kami sehari suntuk dalam panas matahari. Tetapi tuan membayar kami dan mereka sama sahaja!’
13 “Tuan tanah itu menjawab seorang daripada mereka, ‘Dengarlah, kawan, aku tidak menipumu. Bukankah kamu telah bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang dinar sehari?
14 Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu upah yang sama.
15 Bukankah hakku berbuat sesuka hati dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu busuk hati kerana aku bermurah hati?’ ”
16 bIsa berkata lagi, “Begitulah, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang terdahulu akan menjadi yang terakhir.”
Isa memberitahu tentang kematian-Nya
17 Ketika Isa sedang dalam perjalanan ke Yerusalem, Dia mengajak dua belas orang pengikut-Nya ke tepi dan berkata hanya kepada mereka:
18 “Dengarlah, kita sekarang ke Yerusalem. Di sana Putera Insan akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.
19 Kemudian mereka akan menyerahkan-Nya ke tangan bangsa yang tidak mengenal Allah. Dia akan diejek, disebat dan disalib oleh mereka. Tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan semula.”
Permintaan seorang ibu
(Markus 10:35-45)
20 Setelah itu, isteri Zabdi datang mendapatkan Isa dengan kedua-dua orang anaknya. Dia bersujud di hadapan Isa dan memohon sesuatu.
21 “Apakah permintaanmu?” tanya Isa.
Ibu itu menjawab, “Ya Junjungan, berjanjilah bahawa apabila Engkau menjadi raja, kedua-dua orang anakku itu akan duduk dalam kerajaan-Mu di kiri dan kanan-Mu.”
22 Isa berkata kepada kedua-dua anak lelaki ibu itu, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta itu. Sanggupkah kamu minum dari cawan yang akan Kuminum?”
“Sanggup,” jawab mereka.
23 Isa berkata kepada mereka, “Memang cawan berisi minuman yang akan Kuminum itu akan kamu minum juga. Tetapi untuk duduk di kiri dan kanan-Ku, bukanlah Aku memberikannya, tetapi tempat itu milik mereka yang telah disediakan oleh Bapa-Ku.”
24 Apabila sepuluh pengikut Isa yang lain mendengar perkara itu, mereka marah kepada dua orang saudara itu.
25 cOleh itu, Isa memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, “Kamu tahu bahawa pemerintah bangsa yang tidak mengenal Allah memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka.
26 dIni tidak harus berlaku dalam kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu.
27 Sesiapa yang ingin menjadi orang yang pertama dalam kalanganmu, haruslah menjadi hambamu.
28 Demikianlah Putera Insan juga datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.”
Isa menyembuhkan dua orang buta
29 Isa meninggalkan Yerikho bersama pengikut-pengikut-Nya. Ramai orang mengikut mereka.
30 Dua orang buta yang duduk di tepi jalan mendengar bahawa Isa lalu di situ lalu berseru, “Ya Junjungan, ya Anak Daud, kasihanilah kami!”
31 Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi mereka semakin kuat berseru, “Ya Junjungan, ya Anak Daud, kasihanilah kami!”
32 Isa berhenti lalu memanggil mereka dan bertanya, “Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?”
33 Jawab mereka, “Ya Junjungan, kami ingin melihat!”
34 Isa berbelas kasihan kepada mereka. Dia menyentuh mata mereka, dan serta-merta mereka dapat melihat, lalu mereka pun mengikut-Nya.
Ketibaan Isa di Yerusalem
1 Apabila mereka sudah berhampiran Yerusalem, di Baitfagi, di Bukit Zaitun, Isa mengutus dua orang pengikut-Nya,
2 kata-Nya, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Kamu akan terus melihat seekor keldai tertambat, serta anaknya. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku.
3 Sekiranya ada orang berkata apa-apa, katakan kepadanya, ‘Junjungan memerlukannya.’ Dia akan terus memulangkannya.”
4 Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh nabi:
5 a“Katakanlah kepada puteri Sion,
‘Rajamu datang kepadamu dengan rendah hati,
menunggang seekor keldai,
seekor keldai muda.’ ”
6 Kedua-dua orang pengikut Isa itu pun pergi menjalankan segala yang disuruh-Nya.
7 Mereka membawa keldai itu bersama anak keldainya lalu mengalas keldai itu dengan jubah mereka. Isa pun duduk di atasnya.
8 Ramai orang membentangkan jubah di atas jalan manakala yang lain memotong ranting-ranting pokok dan menyelerakkannya di jalan.
9 bOrang ramai yang berjalan di hadapan dan di belakang Isa berseru-seru,
“Segala puji bagi Anak Daud!”
“Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!”
“Segala puji di Tempat Yang Maha Tinggi!”
10 Apabila Dia masuk ke Yerusalem, seisi kota itu kagum lalu bertanya, “Siapakah ini?”
11 Orang ramai itu berkata, “Inilah Isa, nabi dari Nazaret di Galilea.”
Isa menyucikan Bait Allah
12 Setelah itu, Isa masuk ke Bait Allah dan mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati.
13 cDia berkata kepada mereka, “Telah tersurat, ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang pencuri.’ ”
14 Selepas itu, orang yang buta dan yang tempang datang mendapatkan Isa di Bait Allah, lalu Dia menyembuhkan mereka.
15 Tetapi apabila ketua imam dan ahli Taurat melihat segala mukjizat yang dilakukan-Nya, dan kanak-kanak berseru di dalam Bait Allah, “Segala puji bagi Anak Daud!” mereka berasa marah.
16 dMereka berkata kepada Isa, “Kamu dengarkah apa yang dikatakan mereka?”
Isa menjawab, “Ya, belum pernahkah kamu baca,
“‘Daripada mulut kanak-kanak dan bayi yang masih menyusu,
Engkau telah menyediakan puji-pujian.’?”
17 Kemudian Dia meninggalkan mereka dan keluar dari kota itu lalu pergi ke Baitani. Dia menginap di situ.
Pokok ara yang tidak berbuah
18 Pada pagi esoknya, ketika Dia pergi semula ke kota Yerusalem, Dia berasa lapar.
19 Dia melihat sebatang pokok ara di tepi jalan. Apabila Dia mendekatinya dan mendapati pokok itu hanya berdaun tidak berbuah, Dia berkata kepadanya, “Janganlah berbuah lagi selama-lamanya.” Serta-merta pokok itu layu dan mati.
20 Apabila dilihat oleh pengikut-pengikut-Nya, mereka hairan dan bertanya, “Bagaimana pokok ara itu boleh layu dan mati serta-merta?”
21 eIsa menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu beriman tanpa ragu, kamu dapat melakukan begitu juga kepada pokok ara itu, malah kamu boleh berkata kepada gunung ini, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke dalam laut,’ lalu hal itu akan terjadi.
22 Apa sahaja yang kamu minta dalam doa dengan iman, akan kamu terima.”
Kuasa Isa dicabar
23 Apabila Isa masuk ke Bait Allah, ketua imam dan tua-tua datang kepada-Nya ketika Dia sedang mengajar, “Dengan kuasa apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa itu?”
24 Isa menjawab, “Aku juga akan bertanya satu soalan. Jika kamu memberitahu-Ku, Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara itu:
25 Pengimadan Yahya dari manakah asalnya? Daripada syurga atau daripada manusia?”
Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga,’ Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’
26 Tetapi kalau kita berkata, ‘Daripada manusia,’ takut orang ramai marah, kerana mereka menganggap Yahya seorang nabi.”
27 Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.”
Isa berkata kepada mereka, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.
Ibarat tentang dua orang anak
28 “Tetapi bagaimana pandanganmu? Seorang ada dua orang anak lelaki. Dia mendapatkan yang sulung dan berkata, ‘Anakku, pergilah bekerja hari ini di ladang anggurku.’
29 “Anak itu menjawab, ‘Aku tidak mahu,’ tetapi kemudian dia menyesal lalu pergi bekerja di ladang bapanya.
30 “Ayah itu pergi pula mendapatkan anaknya yang kedua dengan kata-kata yang sama. Anak itu menjawab, ‘Baiklah, aku pergi, ayah,’ tetapi dia tidak pergi.
31 “Antara dua itu, yang mana melakukan kehendak bapanya?”
Mereka menjawab, “Yang sulung.”
Isa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pemungut cukai dan pelacur akan memasuki kerajaan Allah terlebih dahulu daripadamu.
32 fYahya datang kepadamu untuk menunjukkan jalan yang benar tetapi kamu tidak percaya kepadanya; manakala pemungut cukai dan pelacur percaya kepadanya. Setelah melihat hal ini pun, kamu tetap tidak menyesal dan percaya kepadanya.
Ibarat tentang penyewa ladang
33 g“Dengarlah satu ibarat lagi: Seorang tuan tanah menanam sebuah ladang anggur. Dia memasang pagar sekeliling ladangnya, menggali lubang tempat memeras anggur, dan membina menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu pergi ke negeri lain.
34 Apabila tiba musim memetik, tuan tanah itu menghantar hamba-hambanya kepada para penyewa itu meminta bahagiannya daripada hasil ladang itu.
35 “Tetapi para penyewa ladang menangkap hamba-hamba itu. Ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada yang direjam.
36 Tuan tanah itu menghantar hamba-hamba yang lain pula, lebih banyak lagi bilangannya. Tetapi hamba-hamba itu pun diperlakukan begitu juga.
37 Akhirnya tuan itu menghantar puteranya sambil berfikir, ‘Tentu mereka akan menghormati puteraku.’
38 “Tetapi apabila para penyewa itu melihat putera tuan tanah itu, mereka berkata sama sendiri, ‘Marilah kita bunuh warisnya, supaya dapat kita rampas harta pusakanya.’
39 Mereka pun menangkapnya, menghumbankannya ke luar ladang dan membunuhnya.”
40 Selepas itu Isa bertanya, “Apabila tuan ladang anggur itu pulang, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa itu?”
41 Mereka menjawab, “Tentu dia akan membunuh semua orang yang jahat itu dan menyewakan ladang anggurnya kepada orang lain yang sanggup memberikan bahagiannya daripada hasil ladang itu pada musim memetik anggur.”
42 hIsa berkata kepada mereka, “Tidakkah kamu baca apa yang tersurat dalam Kitab Suci:
“‘Batu yang dibuang oleh pembina
telah menjadi batu penjuru.
Inilah perbuatan Tuhan;
Sungguh hebat di mata kami!’?
43 “Sesungguhnya, hak untuk memasuki kerajaan Allah akan diambil daripadamu dan diberikan kepada bangsa yang memberikan hasil yang dikehendaki Allah.
44 Sesiapa yang jatuh ke atas batu itu akan hancur luluh; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.”
45 Apabila ketua imam dan orang dari mazhab Farisi mendengar ibarat-ibarat Isa, fahamlah mereka bahawa Dia bercakap tentang mereka.
46 Oleh itu, mereka cuba menangkap Isa. Tetapi mereka takut akan orang ramai yang menganggap Isa sebagai seorang nabi.
Ibarat tentang majlis perkahwinan
(Lukas 14:15-24)
1 Isa bercakap lagi kepada orang ramai melalui ibarat.
2 Dia berkata, “Kerajaan syurga seperti ibarat ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk anaknya.
3 Raja menitahkan hamba-hambanya menjemput orang ke majlis jamuan itu tetapi mereka enggan hadir.
4 “Kemudian raja itu menghantar lagi hamba-hambanya yang lain. Titah raja itu, ‘Katakan kepada mereka, lembu yang terbaik telah disembelih, semuanya sudah siap, datanglah ke majlis perkahwinan.’
5 “Tetapi orang yang diundang tidak ambil peduli, masing-masing sibuk dengan kerjanya. Ada yang ke ladang, ada yang ke kedai.
6 Manakala yang lain menangkap hamba-hamba itu lalu mendera dan membunuh mereka.
7 Raja pun teramat murka lalu menitahkan tenteranya menghapuskan semua pembunuh itu dan membakar kota mereka.
8 “Setelah itu, raja memanggil hamba-hambanya dan berkata, ‘Majlis perkahwinan sudah siap tetapi orang yang diundang tidak layak menghadirinya.
9 Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemput seramai mungkin orang yang kamu temui ke majlis perkahwinan ini.’
10 Hamba-hamba raja itu pun pergi ke jalan raya lalu mengumpulkan semua orang yang ditemui, tidak kira baik ataupun jahat, maka penuh sesaklah balai majlis jamuan itu dengan tetamu.
11 “Raja itu masuk melihat para tetamunya. Dilihatnya seorang yang tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan.
12 Raja berkata kepadanya, ‘Bagaimana engkau dapat masuk ke sini dengan tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan?’ Orang itu terdiam.
13 a“Raja itu pun berkata kepada hamba-hambanya, ‘Ikat kaki dan tangan orang ini, buangkan dia ke dalam kegelapan di luar. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’
14 “Ramai yang dipanggil, tetapi cuma sedikit yang dipilih.”
Membayar cukai kepada Kaisar
15 Beberapa orang dari mazhab Farisi pergi dan berpakat bagaimana hendak memerangkap Isa dengan menyoal kata-kata yang digunakan-Nya.
16 Mereka menghantar para pengikut mereka dan sebilangan orang Herodes mendapatkan Isa dan berkata, “Tuan Guru, kami tahu Engkau ikhlas dan mengajar Jalan Allah berdasarkan yang benar. Engkau tidak takut kepada sesiapa pun kerana Engkau tidak pilih kasih.
17 Jadi, katakanlah pendapat-Mu kepada kami. Wajarkah membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?”
18 Isa mengetahui niat jahat mereka lalu berkata, “Hai munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap-Ku?
19 Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai.” Mereka membawa sekeping wang dinar itu kepada-Nya.
20 Lalu Isa bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?”
21 “Kaisar,” jawab mereka.
Lalu Isa berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan milik Allah kepada Allah.”
22 Mereka tercengang mendengar kata-kata Isa, lalu pergi dari situ.
Perkahwinan dan kebangkitan
23 bPada hari itu juga, orang dari mazhab Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Isa lalu bertanya,
24 c“Tuan Guru, Musa berkata begini: Jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya.
25 Ada tujuh orang adik-beradik lelaki dalam kalangan kami. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Jadi, saudara yang kedua pun berkahwin dengan balunya.
26 Saudara yang kedua itu pula meninggal dunia tanpa anak. Demikianlah terjadi seorang demi seorang hingga saudara yang ketujuh.
27 Akhirnya wanita itu meninggal dunia.
28 Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu? Ini sebab ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.”
29 Isa menjawab, “Kamu tersilap kerana kamu tidak memahami baik Kitab Suci mahupun kuasa Allah.
30 Pada hari kebangkitan, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga.
31 Tentang soal orang mati dibangkitkan semula, tidakkah kamu baca firman Allah:
32 d‘Akulah Tuhan yang disembah oleh Ibrahim, Ishak dan Yakub.’ Oleh itu, Dia bukanlah Tuhan orang mati tetapi Tuhan orang hidup.”
33 Orang ramai kagum mendengar ajaran Isa.
Perintah yang terutama
34 Apabila orang dari mazhab Farisi mendengar betapa Isa menyebabkan orang dari mazhab Saduki terdiam, mereka pun datang berkumpul.
35 Seorang ahli Taurat antara mereka cuba memerangkap Isa dengan suatu soalan:
36 “Tuan Guru, perintah manakah yang terutama dalam Taurat?”
37 eIsa menjawab, “ ‘Kasihilah Allah, Tuhanmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu.’
38 Inilah perintah yang terutama dan terpenting.
39 fPerintah kedua sama pentingnya: ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’
40 gSeluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini.”
Pertanyaan tentang Isa dan Nabi Daud
41 Isa bertanya kepada orang dari mazhab Farisi yang berkumpul itu:
42 “Apa pendapatmu tentang al-Masih? Anak siapakah Dia?”
“Anak Daud,” jawab mereka.
43 “Kalau begitu, mengapakah Daud, ketika diilhami Roh Allah, menyebut-Nya ‘Junjungan’? Daud berkata,
44 h“‘Tuhan telah berfirman kepada Junjunganku:
“Duduklah di kanan-Ku,
sehingga Kujadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.”’
45 Jika Daud menyebut Dia ‘Junjungan,’ bagaimana mungkin Dia anaknya?”
46 Tiada seorang pun terjawab soalan Isa. Sejak hari itu, tiada siapa yang berani menyoal-Nya apa-apa lagi.
Isa mengecam orang dari mazhab Farisi
1 Isa berkata kepada orang ramai dan pengikut-pengikut-Nya:
2 “Para ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi menduduki kerusi Musa.
3 Oleh itu, patuhilah dan turutilah perintah yang diajarkan oleh mereka. Tetapi jangan contohi perbuatan mereka, kerana tidak selaras dengan ajaran mereka.
4 Mereka meletakkan beban yang berat dan sukar dipikul ke atas bahu orang, tetapi mereka langsung tidak mahu menolong orang memikul beban itu.
5 a“Mereka melakukan sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Kitab Suci yang diikatkan pada dahi dan lengan mereka, serta betapa panjangnya rumbai jubah mereka.
6 Mereka suka duduk di tempat terhormat di majlis jamuan dan kerusi khas di saumaah.
7 Mereka suka diberi salam hormat di pasar dan suka dipanggil ‘Guru.’*
8 “Janganlah suruh orang memanggilmu ‘Guru,’ kerana kamu semua bersaudara dan Gurumu hanya satu.
9 Janganlah panggil sesiapa pun di dunia ini ‘Bapa,’ kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga.
10 Janganlah suruh orang memanggilmu ‘pemimpin,’ kerana Pemimpinmu hanya satu, iaitu al-Masih.
11 bOrang yang terbesar antaramu haruslah menjadi pelayanmu.
12 cOrang yang meninggikan diri akan direndahkan, dan orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.
13 “Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi! Kamu munafik! Kamu menutupi kerajaan syurga di muka orang. Kamu bukan sahaja enggan memasuki kerajaan syurga; kamu halang pula orang lain yang berusaha untuk masuk.
14 Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi! Kamu munafik! Kamu menipu balu dan merampas rumahnya, kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang lebih berat.
15 “Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi! Kamu munafik! Kamu merentas lautan dan daratan untuk menarik seseorang menganut agamamu. Namun demikian, setelah berjaya, kamu menjadikannya isi neraka yang dua kali lebih buruk daripadamu.
16 “Malanglah kamu, pemimpin yang buta! Kamu mengajar orang demikian, ‘Jika seorang bersumpah demi Bait Allah, dia tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam Bait Allah, dia terikat pada sumpahnya.’
17 Hai orang bodoh dan buta! Yang mana lebih penting, emas atau Bait Allah yang menjadikan emas itu suci?
18 Kamu juga mengajar orang begini, ‘Jika seseorang bersumpah demi mazbah, dia tidak terikat pada sumpahnya; tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah, dia terikat pada sumpahnya.’
19 Hai orang yang buta hati! Yang manakah lebih penting, persembahan atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci?
20 Ketahuilah apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah dan demi segala persembahan di atasnya.
21 Apabila seseorang bersumpah demi Bait Allah, dia bersumpah demi Bait Allah itu dan demi Dia yang tinggal di situ.
22 dApabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Dia yang duduk di atas takhta itu.
23 e“Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada pelbagai jenis rempah seperti selasih, adas manis dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mematuhi ajaran Taurat yang benar-benar penting seperti keadilan, belas kasihan dan kesetiaan. Kamu harus mengerjakan semua ini tanpa melalaikan ajaran yang lain.
24 Hai pemimpin yang buta! Agas kamu tapis, tetapi unta kamu telan.
25 “Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, sedangkan bahagian dalamnya penuh dengan hasil kekerasan dan kerakusanmu.
26 Hai orang dari mazhab Farisi yang buta hati! Bersihkan bahagian dalam cawan itu, bahagian luarnya akan bersih juga.
27 f“Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih: cantik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang mayat dan segala macam kekotoran.
28 Begitulah kamu! Pada lahirnya kamu orang yang benar, tetapi sebenarnya kamu durjana dan munafik.
29 “Malanglah kamu, ahli Taurat dan orang dari mazhab Farisi! Kamu munafik! Kamu membina makam yang indah untuk nabi-nabi dan menghiasi kubur orang yang benar.
30 Kamu berkata, ‘Kalaulah kami hidup pada zaman nenek moyang kami dahulu, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang menumpahkan darah para nabi.’
31 Jadi, kamu sendiri memberikan kesaksian bahawa kamu keturunan pembunuh nabi!
32 Kalau begitu, teruskan dan sempurnakanlah apa yang dimulakan oleh nenek moyangmu!
33 g“Hai kamu ular, bahkan kamu bagaikan ular kapak berbisa! Bagaimana kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman neraka?
34 Sesungguhnya Aku akan mengutus nabi, orang bijaksana, dan ahli kitab kepadamu. Kamu akan membunuh dan menyalib mereka. Yang lain pula kamu sebat di dalam saumaah, dan buru dari kota ke kota.
35 hDengan demikian darah semua orang benar yang tertumpah di bumi akan ditanggungkan kepadamu: mulai daripada darah Habil yang tidak bersalah itu hingga kepada darah Zakharia bin Berekhya, yang kamu bunuh di antara Bait Allah dengan mazbah.
36 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, semuanya itu akan ditanggungkan kepada keturunan zaman ini.
Ratapan terhadap Yerusalem
(Lukas 13:34-35)
37 “Yerusalem, Yerusalem! Kamu membunuh nabi dan merejam utusan Allah! Sudah berapa kali Aku ingin mengumpul anak-anakmu seperti seekor ibu ayam mengumpul anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi kamu tidak mahu.
38 iRumahmu akan ditinggalkan dan terbiar.
39 jSesungguhnya Aku berkata kepadamu, kamu tidak akan melihat Aku lagi sehingga kamu berkata, ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.’ ”
Tanda-tanda akhir zaman
1 Apabila Isa melangkah keluar dari Bait Allah, pengikut-pengikut-Nya datang mendapatkan-Nya lalu menunjukkan bangunan-bangunan Bait Allah itu.
2 Isa berkata kepada mereka, “Lihatlah semuanya ini! Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tiada seketul pun batunya akan tinggal tersusun; semuanya akan dirobohkan.”
3 Ketika Isa duduk di atas Bukit Zaitun, pengikut-pengikut-Nya datang mendapatkan-Nya. Pada masa itu tiada orang lain di situ. Mereka bertanya, “Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan terjadi? Apakah tanda-tanda kedatangan-Mu dan akhir zaman?”
4 Isa menjawab mereka, “Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun!
5 Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah al-Masih!’ Mereka akan membuat ramai orang terperdaya.
6 Kamu akan mendengar tentang peperangan dan desas-desus peperangan, tetapi janganlah kamu gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman.
7 Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Kebuluran dan gempa bumi akan berlaku di merata-rata.
8 Segala ini cuma permulaan kesakitan sebelum bersalin.
9 a“Setelah itu, kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua bangsa kerana nama-Ku.
10 Pada masa itu ramai tidak akan lagi beriman kepada-Ku dan mereka akan saling mengkhianati dan membenci.
11 Ramai nabi palsu akan tampil memperdaya orang ramai.
12 Kejahatan semakin merebak sehingga kasih sayang hampir luput dari hati manusia.
13 bNamun demikian, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan.
14 Injil tentang kerajaan Allah akan disebarkan ke seluruh pelosok bumi sebagai suatu kesaksian kepada semua bangsa. Selepas itu, barulah tiba akhir zaman.”
Seksaan yang besar
15 c“Oleh itu, apabila kamu melihat ‘kekejian yang membawa kebinasaan’ yang disebut oleh Nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikan ertinya),
16 ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.
17 dOrang yang di atas bumbung ketika itu janganlah masuk ke rumah mengambil apa-apa.
18 Orang yang di ladang usahlah pulang mengambil jubah.
19 Malanglah ibu yang mengandung dan menyusui anak.
20 Berdoalah semoga kamu tidak terpaksa melarikan diri pada musim dingin atau hari Sabat.
21 eKetika itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta sampai sekarang, dan yang tidak akan pernah berlaku lagi.
22 Kalaulah masa itu tidak disingkatkan, tiada seorang pun akan selamat. Namun demikian, demi umat pilihan-Nya, masa itu disingkatkan.
23 Pada waktu itu, jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat, al-Masih ada di sini!’ atau ‘Dia ada di sana!’ janganlah percaya.
24 Kerana beberapa al-masih palsu dan nabi palsu akan muncul dan menunjukkan pelbagai mukjizat serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk umat pilihan-Nya.
25 Dengarlah! Aku telah memberitahumu semua ini sebelum terjadi.
26 f“Jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat! Dia ada di gurun!’ janganlah kamu ke sana. Dan jika mereka berkata, ‘Dia ada di dalam bilik!’ usahlah kamu percaya.
27 Sesungguhnya, Putera Insan akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur hingga ke barat.
28 gDi mana ada bangkai, di situlah berkerumunnya burung nasar.”
Kedatangan yang mulia
29 h“Tidak lama selepas kesengsaraan masa itu,
“‘matahari akan dikelamkan
dan bulan tidak akan bersinar lagi;
Bintang-bintang di langit akan gugur,
dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang.’
30 i“Tanda Putera Insan akan kelihatan di langit. Semua suku bangsa di bumi akan menangis melihat Putera Insan dalam awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.
31 Sangkakala akan dibunyikan dengan kuatnya, dan Putera Insan akan menghantar malaikat-malaikat-Nya dan menghimpunkan umat pilihan-Nya dari empat mata angin, dari satu hujung langit ke hujung yang lain.
32 “Ambillah iktibar daripada ibarat tentang pokok ara. Apabila dahan-dahannya sudah melembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba.
33 Demikianlah apabila kamu melihat perkara-perkara ini, ketahuilah kamu bahawa waktunya hampir tiba, sudah di ambang pintu.
34 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan zaman ini tidak akan luput sebelum segalanya ini terjadi.
35 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.
Nasihat supaya berjaga-jaga
36 “Tetapi tentang hari dan waktunya, tiada siapa yang tahu hari atau waktunya, baik para malaikat di syurga mahupun Putera. Hanya Bapa yang tahu.
37 jSebagaimana yang berlaku pada zaman Nabi Nuh, demikianlah kelak pada hari kedatangan Putera Insan.
38 Sebelum banjir melanda, mereka makan minum, berkahwin dan dikahwinkan, hinggalah waktu Nuh masuk ke bahtera.
39 kMereka tidak sedar apa yang berlaku hingga banjir memusnahkan mereka. Demikianlah kelak pada hari kedatangan Putera Insan.
40 Pada masa itu, ada dua orang yang sedang bekerja di ladang, seorang dibawa dan seorang ditinggalkan.
41 Antara dua orang wanita yang sedang menggiling gandum, seorang akan dibawa manakala yang seorang lagi ditinggalkan.
42 “Berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya Junjunganmu datang.
43 lIngatlah: Sekiranya tuan rumah mengetahui bila masanya pencuri akan datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk.
44 Kamu juga hendaklah sentiasa bersedia. Putera Insan akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.
Ibarat tentang hamba yang setia dan hamba yang jahat
(Lukas 12:41-48)
45 “Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah yang diamanahkan oleh tuannya menjadi pengurus rumahnya dan memberikan makan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya.
46 Diberkatilah hamba itu jika dia didapati menjalankan tugas pada waktu tuannya kembali.
47 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan mengamanahkan segala harta bendanya kepada hamba itu.
48 Tetapi jika hamba itu jahat, dia akan berkata dalam hatinya, ‘Tuan akan pulang lambat,’
49 lalu dia pun memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan pemabuk.
50 Kemudian tuan hamba itu akan kembali pada hari yang tidak disangkanya, dan pada waktu yang tidak diketahuinya.
51 Dia akan membunuh hamba itu dan membuangnya ke tempat orang munafik. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.
Ibarat tentang sepuluh anak dara
1 a“Kerajaan syurga ibarat sepuluh orang anak dara yang membawa lampu dan berjalan keluar untuk menyambut pengantin lelaki.
2 Lima orang daripada mereka itu bijak manakala yang lima lagi kurang berakal.
3 Yang kurang berakal membawa lampu sahaja tanpa bekalan minyak.
4 Yang bijak membawa lampu bersama bekas berisi minyak.
5 Apabila pengantin lelaki lewat tiba, mereka semuanya mengantuk lalu tertidur.
6 “Pada waktu tengah malam terdengar seruan, ‘Pengantin lelaki sudah dekat; pergilah menyambutnya!’
7 “Kesemua anak dara itu pun membetul-betulkan lampu mereka.
8 Yang kurang berakal berkata kepada yang bijak, ‘Berilah kami minyakmu itu sedikit, kerana lampu kami hampir padam.’
9 “Tetapi yang bijak menjawab, ‘Kami tidak dapat memberimu, nanti tidak cukup minyak ini; pergilah beli minyak daripada penjual.’
10 “Sementara yang kurang berakal pergi membeli minyak, pengantin lelaki pun sampai. Semua mereka yang sudah sedia terus mengiringinya ke majlis perkahwinan, maka pintu pun ditutup.
11 b“Kemudian barulah anak dara yang berlima lagi itu tiba lalu berseru, ‘Tuan, tuan, bukalah pintu untuk kami!’
12 “Tetapi pengantin lelaki berkata, ‘Sesungguhnya, aku tidak mengenalmu.’
13 “Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya.
Ibarat tentang talenta
(Lukas 19:12-27)
14 c“Kerajaan syurga sama seperti seorang yang berpergian dan memanggil hamba-hambanya untuk berpesan menjaga hartanya.
15 Kepada yang seorang dia memberikan lima talenta, kepada seorang lagi dua, kepada yang seorang lagi satu, masing-masing menurut kebolehannya. Setelah itu, dia pun bertolak.
16 Hamba yang menerima lima talenta itu memperniagakannya, lalu mendapat untung lima talenta lagi.
17 Demikian juga yang menerima dua talenta, dia mendapat laba dua talenta lagi.
18 Tetapi yang menerima satu talenta menggali lubang di tanah dan menyembunyikan wang tuannya di situ.
19 “Selepas beberapa lama, tuan kepada hamba-hamba itu pulang lalu menyelesaikan kira-kira dengan mereka.
20 Hamba yang menerima lima talenta dahulu membawakan lima talenta lagi sambil berkata, ‘Tuan, tuan telah memberiku lima talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan lima talenta lagi dengannya.’
21 “Tuannya berkata kepadanya, ‘Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit, maka aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.’
22 “Yang telah menerima dua talenta pula datang lalu berkata, ‘Tuan, tuan telah memberiku dua talenta. Lihatlah, aku telah mendapatkan dua talenta lagi dengannya.’
23 “Tuannya berkata kepadanya, ‘Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit. Aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.’
24 “Kemudian hamba yang menerima satu talenta itu datang lalu berkata, ‘Tuan, aku tahu tuan berhati batu. Tuan menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.
25 Jadi aku takut, lalu kusorokkan satu talenta tuan itu di dalam tanah. Lihat, itulah hak milik tuan.’
26 “Tetapi tuannya menjawab, ‘Hai hamba yang jahat dan malas, kamu tahu aku menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.
27 Oleh itu, sepatutnya kamu simpan wang itu di dalam tabung, supaya ketika aku pulang, aku menerima wang itu dengan faedahnya.
28 “ ‘Sekarang, ambillah talenta itu daripadanya dan berikannya kepada yang mempunyai sepuluh talenta itu.
29 dDemikianlah, kepada setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih lagi, sehingga dia penuh kelimpahan; sebaliknya orang yang tidak mempunyai sesuatu, apa yang ada padanya pun akan diambil.
30 eBuangkan hamba yang tidak berguna ini ke dalam kegelapan di luar. Di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’
Hukuman
31 f“Apabila Putera Insan datang dengan segala kemuliaan-Nya, diiringi sekalian malaikat suci, Dia akan duduk di atas takhta kemuliaan-Nya.
32 Semua bangsa akan berhimpun di hadapan-Nya, dan Dia akan mengasing-asingkan mereka, sebagaimana gembala mengasing-asingkan domba daripada kambing.
33 Dia akan meletakkan domba di sebelah kanan-Nya dan kambing di sebelah kiri-Nya.
34 “Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, ‘Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta.
35 Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu;
36 Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.’
37 “Orang yang benar itu pun bertanya, ‘Ya Junjungan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman?
38 Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian?
39 Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?’
40 “Raja akan menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.’
41 “Selepas itu, Dia akan berkata kepada mereka yang di sebelah kiri-Nya, ‘Nyahlah dari sisi-Ku, kamu yang terlaknat, ke dalam api kekal yang telah disediakan untuk Iblis dan para penyokongnya;
42 kerana Aku lapar dan kamu tidak memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu tidak memberi-Ku minuman.
43 Aku orang asing dan kamu tidak menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu tidak memberi-Ku pakaian; Aku sakit, Aku di dalam penjara, dan kamu tidak melawat-Ku.’
44 “Mereka akan berkata, ‘Ya Junjungan kami, bilakah kami melihat-Mu lapar, atau dahaga, orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau di dalam penjara, dan tidak mengambil berat tentang-Mu?’
45 “Dia akan menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu tidak melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu tidak melakukannya kepada-Ku.’
46 g“Mereka itu akan menanggung azab hukuman selama-lamanya, manakala mereka yang benar akan menikmati hidup kekal.”
Rancangan untuk membunuh Isa
1 Setelah selesai Isa menyampaikan semua ini, Dia pun berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,
2 a“Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paskah menjelang, dan Putera Insan akan diserahkan untuk disalib.”
3 Ketua-ketua imam dan para tua-tua berhimpun di istana Imam Besar yang bernama Kayafas.
4 Mereka berpakat untuk memerangkap Isa secara tipu daya dan membunuh-Nya.
5 Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.”
Isa dituangi minyak
6 Apabila Isa berada di Baitani di rumah Simon, yang menghidap penyakit kusta,
7 bseorang wanita mendekati-Nya dengan membawa kendi pualam berisi minyak wangi yang amat mahal, lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala-Nya ketika Dia sedang duduk bertelekan di meja.
8 Apabila pengikut-pengikut-Nya melihat perbuatan wanita itu, mereka marah lalu berkata, “Mengapa membazir begini?
9 Minyak wangi ini boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin.”
10 Tetapi apabila Isa mengetahui kemarahan mereka, Dia berkata, “Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku.
11 cOrang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu.
12 Dengan menuangkan minyak wangi ini ke atas tubuh-Ku, dia membuat persiapan untuk pengebumian-Ku.
13 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.”
Yudas mengkhianati Isa
14 Selepas itu, seorang daripada dua belas pengikut Isa, bernama Yudas Iskariot, pergi kepada ketua-ketua imam.
15 dDia berkata kepada mereka, “Apakah yang sanggup kamu berikan kepadaku kalau kuserahkan Dia kepadamu?” Mereka memberinya tiga puluh keping wang perak.
16 Sejak itu dia pun mencari peluang untuk mengkhianati Isa.
Isa makan Paskah dengan para pengikut-Nya
17 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, “Ya Junjungan, di manakah mahu kami sediakan jamuan Perayaan Paskah untuk-Mu?”
18 Isa berkata, “Pergilah ke kota kepada seorang tertentu dan katakanlah kepadanya, ‘Guru berkata: Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut Perayaan Paskah di rumahmu bersama para pengikut-Ku.’ ”
19 Pengikut-pengikut Isa menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan Perayaan Paskah.
20 Menjelang malam, Dia pun duduk bertelekan di meja bersama pengikut-Nya yang dua belas itu.
21 Sambil makan itu Dia berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.”
22 Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, “Ya Junjungan, tentunya aku bukan orang itu?”
23 eIsa menjawab, “Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku.
24 Putera Insan memanglah harus pergi seperti yang tersurat tentang-Nya, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.”
25 Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, “Ya Tuan Guru,* akukah orangnya?”
Isa berkata kepadanya, “Kamu telah mengatakannya.”
26 Ketika mereka sedang makan, Isa mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.”
27 Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Minumlah dari cawan ini, kamu semua.
28 fInilah darah perjanjian yang ditumpahkan bagi ramai orang untuk pengampunan dosa.
29 Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.”
Petrus akan menyangkal Isa
30 Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.
31 gKemudian Isa berkata kepada mereka, “Kamu semua akan goyah kerana-Ku malam ini, seperti yang telah tersurat:
“‘Aku akan merebahkan Gembala,
dan kawanan domba akan bertempiaran.’
32 h“Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.”
33 Petrus menjawab, “Kalaupun semua yang lain goyah kerana-Mu, ya Junjungan, aku tidak akan goyah.”
34 Isa berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini juga, sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.”
35 Petrus berkata kepada Isa, “Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu, ya Junjungan!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian.
Di taman Getsemani
36 Selepas itu, Isa pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.”
37 Isa membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zabdi. Dia mula berasa dukacita dan resah.
38 Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.”
39 Isa pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, bukanlah seperti yang Kukehendaki, melainkan seperti yang Kaukehendaki.”
40 Kemudian Dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, “Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku?
41 Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.”
42 Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, “Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, terlaksanalah kehendak-Mu.”
43 Selepas itu, Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk.
44 Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama.
45 Setelah itu, Dia mendapatkan pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Putera Insan sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa.
46 Bangunlah, mari kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.”
Isa ditangkap
47 Ketika Dia sedang berkata-kata itu, seorang daripada pengikut-Nya yang dua belas, Yudas, datang diiringi orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam dan tua-tua.
48 Pengkhianat Isa telah menetapkan satu isyarat dengan mereka, “Yang kucium nanti, itulah Dia; tangkaplah Dia.”
49 Dengan segera dia menghampiri Isa sambil berkata, “Selamat sejahtera, ya Tuan Guru!” lalu mencium-Nya.
50 Isa berkata kepadanya, “Kawan, mengapakah kamu datang?”
Orang ramai itu pun menangkap Isa.
51 Tiba-tiba seorang pengikut Isa menghunus pedangnya lalu menetak hamba Imam Besar, sehingga terputus telinganya.
52 Tetapi Isa berkata kepada pengikut-Nya itu, “Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang.
53 Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas pasukan tentera malaikat untuk menolong-Ku?
54 Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat dalam Kitab Suci ternyata benar?”
55 iKemudian Isa berkata kepada orang ramai itu, “Patutkah kamu datang, bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Hari demi hari Aku duduk bersamamu, mengajar di Bait Allah, dan kamu tidak menangkap-Ku.
56 Tetapi segala berlaku supaya yang tersurat dalam kitab nabi-nabi terlaksana.” Setelah itu, semua pengikut Isa meninggalkan-Nya, masing-masing melarikan diri.
Isa di hadapan Majlis Agama
57 Orang yang menangkap Isa membawa-Nya kepada Kayafas, Imam Besar. Di situ ahli Taurat dan tua-tua telah berhimpun.
58 Petrus mengikut dari jauh ke bahagian laman dalam rumah Imam Besar, lalu masuk dan duduk dalam kalangan hamba di situ untuk melihat kesudahan perkara itu.
59 Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian palsu terhadap Isa supaya dapat membunuh-Nya.
60 Tetapi mereka tidak berjaya sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil.
Akhirnya dua orang saksi tampil
61 jdengan kesaksian: “Orang ini telah berkata, ‘Aku dapat memusnahkan Bait Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.’”
62 Imam Besar berdiri lalu berkata kepada Isa, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?”
63 Tetapi Isa berdiam diri.
Imam Besar berkata kepada-Nya, “Demi Tuhan yang hidup, katakan kepada kami, adakah Kamu ini al-Masih, Putera Allah?”
64 kIsa berkata kepadanya, “Benarlah seperti katamu. Namun demikian, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Putera Insan duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.”
65 lKemudian Imam Besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya!
66 Bagaimana pendapatmu?”
Mereka menjawab, “Dia patut dibunuh.”
67 mSetelah itu, mereka meludahi muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya.
68 Mereka berkata, “Bernubuatlah pada kami, hai al-Masih! Siapa yang memukul-Mu?”
Petrus menyangkal Isa
69 Sedang Petrus duduk di laman dalam rumah itu, seorang hamba perempuan datang dan berkata kepadanya, “Kamu pun bersama Isa orang Galilea itu.”
70 Tetapi Petrus menyangkal di hadapan mereka semua, “Aku tak tahu apa yang kaukatakan itu.”
71 Setelah Petrus pergi ke luar ke pintu gerbang, seorang perempuan lagi melihatnya dan berkata kepada orang di situ, “Orang ini pun bersama Isa orang Nazaret.”
72 Petrus menyangkal lagi sambil bersumpah, “Aku tak kenal orang itu!”
73 Tidak lama kemudian orang yang berdiri-diri di situ menghampiri Petrus dan berkata kepadanya, “Sudah tentu kamu juga seorang daripada mereka; ini jelas daripada loghatmu.”
74 Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang itu!”
Serta-merta ayam berkokok.
75 Lalu Petrus teringat kata-kata Isa kepadanya, “Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.” Petrus pun keluar dari situ lalu menangis dengan amat kesalnya.
Yudas menggantung diri
1 Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Isa.
2 Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor, Pontius Pilatus.
3 aApabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Isa telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua.
4 Yudas berkata, “Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.”
Kata mereka, “Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!”
5 Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam Bait Allah lalu pergi menggantung dirinya.
6 Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, “Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan Bait Allah, kerana wang ini harga darah.”
7 Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing.
8 Oleh itu, padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini.
9 bDengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia: “Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel,
10 lalu membeli tanah tukang tembikar seperti yang diperintahkan Tuhan kepadaku.”
Isa di hadapan Pilatus
11 Gabenor itu bertanya kepada Isa yang berdiri di hadapannya, “Adakah Engkau raja orang Yahudi?”
Isa berkata, “Begitulah seperti katamu.”
12 Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa.
13 Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah Kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadap-Mu dalam kesaksian mereka?”
14 Tetapi Isa tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor melihat-Nya.
15 Pada waktu perayaan, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai.
16 Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas.
17 Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, “Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Isa yang dipanggil al-Masih?”
18 Gabenor itu tahu bahawa mereka telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati.
19 Ketika Pilatus sedang duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, “Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.”
20 Tetapi ketua-ketua imam dan para tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Isa dibunuh.
21 Gabenor itu berkata kepada mereka, “Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?”
Mereka menjawab, “Barabas!”
22 Pilatus bertanya kepada mereka, “Jadi, apa yang harus kubuat dengan Isa yang dipanggil al-Masih?”
Kesemua mereka berkata kepadanya, “Salibkan Dia!”
23 Gabenor berkata, “Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?”
Tetapi mereka berseru semakin kuat, “Salibkan Dia!”
24 cApabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, “Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.”
25 Kesemua mereka menjawab, “Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.”
26 Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyebat Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
Askar mengejek Isa
27 Kemudian askar-askar gabenor membawa Isa ke istana gabenor dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ.
28 Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya.
29 Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Isa dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, “Hai raja orang Yahudi!”
30 Selepas itu, mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu.
31 Setelah selesai mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib.
Isa disalib
32 Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Isa.
33 Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak.
34 dDi situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum.
35 eSelepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.
36 Kemudian mereka duduk berjaga di situ.
37 Di atas kayu salib Isa mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya:
Inilah Isa, Raja Orang Yahudi.
38 Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
39 fOrang yang lalu di situ mengejek-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala
40 gmereka berkata, “Engkau mahu memusnahkan Bait Allah dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Putera Allah, turunlah dari salib itu.”
41 Begitu jugalah ketua-ketua imam, para ahli Taurat, dan para tua-tua, turut mengejek Isa:
42 “Dia telah menyelamatkan orang lain tetapi Dia tidak dapat menyelamatkan diri-Nya. Kalau benar Dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya.
43 hDia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, ‘Aku Putera Allah.’”
44 Perompak yang disalib bersama Isa pun mencela-Nya dengan kata-kata demikian.
Isa wafat
45 Dari tengah hari hingga tiga petang, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan.
46 iKira-kira pukul tiga petang, Isa berseru dengan suara yang lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” maksudnya “Ya Allah, ya Allah, mengapa Kautinggalkan Aku?”
47 Beberapa orang yang berdiri di situ mendengar seruan itu berkata, “Orang ini memanggil Ilyas.”
48 jSerta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Isa sebagai minuman.
49 Yang lain berkata, “Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Ilyas datang menyelamatkan-Nya.”
50 Isa berseru dengan kuat sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir.
51 kSejurus itu tirai Bait Allah terbelah dua dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terpecah;
52 kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang salih dibangkitkan semula;
53 mereka keluar dari kubur dan selepas Isa dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ.
54 Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Isa melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, “Benarlah Dia Putera Allah!”
55 lRamai wanita yang telah mengikut Isa dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh.
56 Antara mereka ialah Maryam dari Magdala, Maryam ibu kepada Yakobus dan Yusuf, serta ibu kepada anak-anak Zabdi.
Isa dimakamkan
57 Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi pengikut Isa.
58 Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Isa. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya.
59 Yusuf mengambil jenazah itu dan mengafankannya dengan kain linen yang bersih.
60 Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ.
61 Ketika itu Maryam dari Magdala ada di situ, begitu juga Maryam yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu.
62 Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang dari mazhab Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus.
63 mMereka berkata, “Ya Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan bangkit.’
64 Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau pengikut-pengikut-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, ‘Dia telah bangkit daripada kematian.’ Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.”
65 Pilatus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.”
66 Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu dengan memateraikannya supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.
Kebangkitan Isa
1 Selepas hari Sabat, ketika fajar menyingsing pada hari pertama minggu itu, Maryam Magdalena dan Maryam yang seorang lagi pergi melihat makam Isa.
2 Tiba-tiba terjadi gempa bumi yang hebat, kerana seorang malaikat Tuhan turun dari syurga lalu menggulingkan batu yang menutup makam itu dan duduk di atasnya.
3 Wajahnya laksana kilat dan pakaiannya seputih salji.
4 Para pengawal menggeletar ketakutan apabila melihatnya, lalu menjadi seperti orang mati.
5 Tetapi malaikat itu berkata kepada perempuan-perempuan itu, “Jangan takut, aku tahu kamu mencari Isa yang telah disalib.
6 Dia tidak ada di sini, kerana Dia telah bangkit semula, seperti yang dikatakan-Nya. Marilah lihat tempat Dia dibaringkan dahulu.
7 Kemudian, segeralah pergi dan katakan kepada pengikut-pengikut-Nya bahawa Dia telah bangkit daripada kematian, dan Dia mendahului kamu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya. Lihatlah, aku telah memberitahumu.”
8 Mereka pun keluar dari makam itu dengan takut dan amat gembira, lalu berlari untuk membawa berita itu kepada para pengikut Isa.
9 Dalam perjalanan, tiba-tiba Isa menemui mereka sambil berkata, “Salam sejahtera!” Lalu mereka pun mendekati Isa dan memegang kaki-Nya serta menyembah-Nya.
10 Kemudian Isa berkata kepada mereka, “Jangan takut. Pergilah dan suruh saudara-saudara-Ku ke Galilea. Di sana mereka akan melihat-Ku.”
Laporan pengawal
11 Sementara perempuan itu sedang dalam perjalanan, beberapa orang pengawal tersebut masuk ke kota dan melaporkan kepada ketua-ketua imam apa yang telah terjadi.
12 Setelah bermesyuarat dengan tua-tua, mereka memberikan sejumlah wang yang besar kepada askar-askar yang berkawal itu
13 serta berpesan, “Beritahu orang, ‘Para pengikut-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya lalu dibawa pergi sewaktu kami sedang tidur.’
14 Kalau hal ini sampai ke telinga gabenor, kami akan melembutkan hatinya dan kamu tidak akan diapa-apakan.”
15 Mereka menerima wang itu dan melakukan apa yang diarahkan. Cerita ini biasa disebarkan dalam kalangan orang Yahudi hingga sekarang.
Perintah untuk memberitakan Injil
16 aKemudian, pengikut Isa yang sebelas itu pergi ke Galilea, ke gunung yang telah ditetapkan oleh-Nya.
17 Di sana mereka melihat-Nya lalu menyembah-Nya. Namun demikian, ada antara mereka yang ragu.
18 Isa datang dan berkata kepada mereka, “Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi.
19 bOleh itu pergilah, jadikan semua bangsa pengikut-Ku. Imadkanlah mereka dengan nama Bapa, Putera, dan Roh Allah Yang Maha Suci.
20 Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.”