Imamat
1
Korban bakaran
1 Allah memanggil Musa lalu berfirman sedemikian kepadanya dari dalam Khemah Pertemuan:a 2 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakanlah kepada mereka, ‘Apabila seseorang dalam kalangan kamu membawa sesuatu persembahan kepada Allah, maka persembahkanlah daripada hasil ternakan, baik daripada kawanan lembu mahupun daripada kawanan domba.
3 Jika persembahannya berupa korban bakaran daripada lembu, maka hendaklah dipersembahkan seekor lembu jantan yang tiada cacat celanya. Hendaklah dia mempersembahkannya di pintu Khemah Pertemuan supaya Allah berkenan menerimanya. 4 Kemudian, hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala korban bakaran itu, maka persembahan itu akan diterima demi pendamaian dirinya.b 5 Selanjutnya, hendaklah dia menyembelih lembu jantan muda itu di hadapan Allah, kemudian anak-anak Harun, iaitu para imam, hendaklah memercikkan darah lembu itu ke sekeliling mazbah yang terletak di hadapan pintu Khemah Pertemuan itu. 6 Hendaklah dia juga menguliti korban bakaran itu dan memotongnya untuk menjadi beberapa potongan, 7 sementara anak-anak Imam Harun hendaklah menyalakan api di atas mazbah dan menyusun kayu di atas api itu. 8 Lalu anak-anak Imam Harun itu, hendaklah menyusun potongan-potongan korban berserta kepala dan lemaknya di atas kayu yang dibakar api di atas mazbah itu. 9 Isi perut dan kaki korban itu hendaklah dibasuh dengan air, lalu semua itu hendaklah disalai oleh para imam itu di atas api di mazbah sebagai korban bakaran, suatu korban persembahan yang keharumannya diredai Allah.
10 Jika persembahannya berupa korban bakaran sama ada daripada kawanan kambing atau kawanan domba, maka kambing atau domba itu hendaklah seekor jantan yang tiada cacat cela. 11 Hendaklah dia menyembelihnya di hadapan Allah, di sebelah utara mazbah, dan anak-anak Harun, iaitu para imam, hendaklah memercikkan darah haiwan itu ke sekeliling mazbah. 12 Kemudian hendaklah dia memotongnya kepada beberapa potongan. Bersama dengan kepala serta lemaknya, semua potongan itu hendaklah disusun oleh imam di atas kayu yang dibakar api pada mazbah. 13 Isi perut dan kakinya harus dibasuh dengan air, lalu imam harus mempersembahkan semua itu dan membakarnya di atas mazbah. Itulah korban bakaran, suatu korban persembahan yang keharumannya diredai Allah.
14 Jika korban yang dipersembahkannya kepada Allah berupa korban bakaran daripada burung, maka burung yang dipersembahkan itu hendaklah burung tekukur atau anak burung merpati. 15 Imam hendaklah membawa burung itu ke mazbah, lalu memulas kepalanya dan membakarnya di atas mazbah itu. Darahnya hendaklah disalirkan keluar di tepi mazbah. 16 Tembolok serta bulunya hendaklah dibuang ke sebelah timur mazbah, iaitu di tempat abu. 17 Hendaklah dia mengoyakkan burung itu pada pangkal sayapnya, tetapi janganlah sampai terpisah. Kemudian imam hendaklah membakarnya pada mazbah, di atas kayu yang dibakar api. Maka itulah korban bakaran, suatu korban persembahan yang keharumannya diredai Allah.
 
 
 
 
 
 
2
Peraturan persembahan bahan makanan
1 Jika seseorang membawa kepada Allah persembahan bahan makanan, maka hendaklah persembahan itu daripada tepung terbaik dan hendaklah dia menuangkan minyak ke atas tepung itu dan meletakkan kemenyan di atasnya. 2 Hendaklah dia membawa persembahan itu kepada anak-anak Harun, para imam itu dan para imam hendaklah mengambil segenggam penuh tepung itu berserta minyak dan seluruh kemenyannya sebagai bahagian peringatan lalu membakarnya hingga berasap sebagai korban bakaran, suatu korban yang keharumannya diredai Allah. 3 Namun begitu, apa-apa bahagian yang tersisa daripada persembahan bahan makanan itu menjadi bahagian milik Harun dan anak-anaknya. Itulah bahagian yang teramat suci daripada korban bakaran untuk Allah.
4 Apabila engkau mahu membawa persembahan bahan makanan yang dibakar di dalam ketuhar, hendaklah persembahan itu daripada tepung terbaik dalam bentuk kuih tidak beragi yang dicampurkan minyak, atau kuih nipis tidak beragi yang disapukan dengan minyak.
5 Jika persembahanmu berupa persembahan bahan makanan yang dipanggang di atas kuali besi leper, maka hendaklah persembahan itu daripada tepung terbaik tanpa ragi yang dicampurkan minyak. 6 Hendaklah kamu memecahkannya kepada beberapa bahagian dan menuangkan minyak ke atasnya, maka itulah persembahan bahan makanan.
7 Jika persembahanmu berupa persembahan bahan makanan yang dimasak di dalam kuali, maka hendaklah persembahan itu dibuat daripada tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak. 8 Hendaklah kamu membawa persembahan bahan makanan yang dibuat sedemikian cara kepada Allah. Maka sampaikanlah persembahan itu kepada imam lalu dia akan membawanya ke mazbah. 9 Imam hendaklah mengambil bahagian peringatannya daripada persembahan bahan makanan itu lalu membakarnya di atas mazbah sebagai korban bakaran yang keharumannya diredai Allah. 10 Namun begitu, apa-apa yang tersisa daripada persembahan bahan makanan itu menjadi bahagian Harun dan anak-anaknya dan itulah bahagian yang teramat suci daripada korban bakaran untuk Allah.
11 Tiada satu pun persembahan bahan makanan yang kamu persembahkan kepada Allah boleh diolah dengan ragi, kerana tiada ragi atau madu boleh dipersembahkan sebagai korban bakaran untuk Allah. 12 Ragi atau madu boleh kamu persembahkan sebagai persembahan daripada hasil pertama kepada Allah, tetapi jangan kamu persembahkannya di atas mazbah sebagai persembahan yang keharumannya meredakan. 13 Setiap persembahan bahan makananmu hendaklah kamu perasakan dengan garam dan jangan lalai membubuh garam yang melambangkan perjanjiana antara kamu dengan Allah daripada persembahan bahan makananmu. Maka bersama-sama segala persembahanmu hendaklah kamu juga mempersembahkan garam.
14 Jika engkau mempersembahkan bahan makanan daripada hasil pertama kepada Allah, bawalah bulir gandum baru yang ditumbuk dan yang dipanggang di atas api sebagai persembahan bahan makanan daripada hasil pertamamu. 15 Tuangkanlah minyak dan letaklah kemenyan di atasnya, maka itulah persembahan bahan makanan. 16 Hendaklah imam membakar bahagian peringatan, iaitu sebahagian daripada gandum yang ditumbuk dan sebahagian daripada minyak berserta seluruh kemenyannya, sebagai korban bakaran untuk Allah.
 
 
 
 
 
 
3
Korban kedamaian
1 Jika persembahan seseorang berupa korban kedamaian daripada kawanan lembu, baik yang jantan mahupun betina, maka hendaklah dia mempersembahkan haiwan yang tidak bercacat cela di hadapan Allah. 2 Hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala korban persembahan itu, lalu menyembelihnya di depan pintu Khemah Pertemuan. Kemudian, hendaklah anak-anak Harun, para imam itu, memercikkan darah korban itu ke sekeliling mazbah itu. 3 Hendaklah dipersembahkan korban kedamaian itu berupa korban bakaran untuk Allah, iaitu yang terdiri daripada lemak yang membungkus isi perut dan semua lemak yang melekat pada isi perut itu, 4 kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya di bahagian daging batang pinang, serta umbai hati yang harus dipisahkan dengan buah pinggang itu. 5 Hendaklah anak-anak Harun membakar kesemuanya di atas korban bakaran pada kayu yang sedang dibakar api pada mazbah, iaitu sebagai persembahan yang keharumannya diredai Allah.
6 Jika persembahan yang dipersembahkannya kepada Allah berupa korban kedamaian daripada kawanan domba, sama ada haiwan jantan atau betina, maka hendaklah dia mempersembahkan haiwan yang tidak bercacat cela. 7 Jika dia mempersembahkan korban berupa seekor domba, maka hendaklah dia membawanya ke hadirat Allah, 8 dan meletakkan tangannya di atas kepala korban persembahannya itu, lalu menyembelihnya di depan Khemah Pertemuan. Kemudian anak-anak Harun hendaklah memercikkan darah korban itu ke sekeliling mazbah. 9 Hendaklah dia mempersembahkan korban kedamaian berupa korban bakaran untuk Allah, iaitu seluruh ekornya yang berlemak, yang harus dipotong di kawasan tulang pinggul, serta lemak yang membungkus isi perut dan semua lemak yang melekat pada isi perut itu, 10 dan kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya di bahagian daging batang pinang, serta umbai hati yang harus dipisahkan dengan buah pinggang itu. 11 Hendaklah imam membakarnya di atas mazbah sebagai korban bakaran untuk Allah.
12 Jika persembahannya seekor kambing, maka hendaklah dia mempersembahkannya di hadapan Allah. 13 Hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di depan Khemah Pertemuan, dan hendaklah anak-anak Harun memercikkan darah korban ke sekeliling mazbah. 14 Hendaklah dia mempersembahkan korbannya berupa korban bakaran untuk Allah, iaitu lemak yang membungkus isi perut dan semua lemak yang melekat pada isi perut itu, 15 kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya di bahagian daging batang pinang, serta umbai hati yang harus dipisahkannya dengan buah pinggang itu. 16 Kemudian semua itu harus dibakar oleh imam di atas mazbah sebagai korban bakaran yang keharumannya meredakan. Kesemua lemak dikhususkan untuk Allah.
17 Inilah satu ketetapan yang kekal selama-lamanya turun-temurun di seluruh tempat tinggalmu: bahawa hendaklah kamu jangan makan baik lemak mahupun darah.’ ”
 
 
 
 
 
 
4
Peraturan bagi korban penghapus dosa
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Beritahulah orang Israel dan katakan, ‘Seandainya seseorang itu tersilap lalu berdosa tanpa disengajakan dengan melakukan satu daripada mana-mana larangan Allah:
3 Jika yang berdosa itu seorang imam yang telah dilantik lantas dosanya menimpakan rasa bersalah kepada umat, maka kerana dosa yang dilakukannya itu, hendaklah dia mempersembahkan kepada Allah seekor lembu jantan muda yang tidak bercacat cela sebagai korban penghapus dosa. 4 Hendaklah lembu itu dibawanya ke pintu Khemah Pertemuan, ke hadapan Allah dan hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala lembu itu, lalu menyembelihnya di hadapan Allah. 5 Hendaklah imam yang telah dilantik itu mengambil sebahagian daripada darah lembu itu dan membawanya ke Khemah Pertemuan. 6 Hendaklah dia mencelup jarinya ke dalam darah itu, lalu memercikkan sebahagian daripada darah itu tujuh kali di hadapan Allah, di depan tabir Tempat Suci. 7 Kemudian, hendaklah imam itu membubuh sebahagian daripada darah itu pada tanduk-tanduk mazbah pembakaran dupa harum yang ada di hadapan Allah, di dalam Khemah Pertemuan, manakala segala baki darah lembu itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah korban bakaran di depan pintu Khemah Pertemuan. 8 Hendaklah dia juga mengambil semua lemak daripada lembu korban penghapus dosa itu, iaitu lemak yang menutupi isi perut dan semua lemak yang melekat pada isi perut itu, 9 kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya di bahagian daging batang pinangnya, serta umbai hati yang perlu dipisahkan dengan buah pinggang itu, 10 iaitu sama seperti yang diambil daripada lembu korban kedamaian. Hendaklah imam membakar kesemua yang tersebut itu di atas mazbah korban bakaran. 11 Tetapi segala sisa lembu itu, iaitu kulitnya dan semua daging pada bahagian kepalanya, kakinya, isi perutnya, dan kotorannya, 12 hendaklah dibawanya ke suatu tempat yang suci di luar perkhemahan, ke tempat pembuangan abu. Selanjutnya, hendaklah dia membakar kesemua sisa lembu itu di atas kayu api, di tempat pembuangan abu tersebut.
13 Apabila seluruh kalangan umat Israel berdosa tanpa sengaja dengan melakukan satu daripada perkara larangan Allah lantas mereka bersalah sekalipun tiada sesiapa yang menyedari hal itu, 14 maka setelah dosa yang dilakukan mereka disedari, hendaklah kalangan umat itu mempersembahkan seekor lembu jantan muda sebagai korban penghapus dosa. Hendaklah mereka membawa korban itu ke hadapan Khemah Pertemuan. 15 Hendaklah kalangan tua-tua umat meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu itu di hadapan Allah, lalu hendaklah lembu itu disembelih di hadapan Allah itu. 16 Hendaklah imam yang terlantik itu membawa sebahagian daripada darah lembu itu ke Khemah Pertemuan. 17 Hendaklah dia mencelup jarinya ke dalam darah itu lalu memercikkannya tujuh kali di hadapan Allah, di depan tabir. 18 Kemudian, hendaklah sebahagian daripada darah itu dibubuh pada tanduk-tanduk mazbah pendupaan yang berada di hadapan Allah, di dalam Khemah Pertemuan, segala baki darah lembu itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah korban bakaran di depan pintu Khemah Pertemuan. 19 Hendaklah dia juga mengambil semua lemak daripada lembu korban penghapus dosa itu dan membakarnya di atas mazbah. 20 Hendaklah diperlakukan sedemikian, iaitu sebagaimana diperlakukannya terhadap lembu korban penghapus dosa. Maka hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi mereka, dan mereka akan diampuni. 21 Kemudian, hendaklah dia membawa lembu itu ke luar perkhemahan, lalu membakarnya sebagaimana yang dilakukan terhadap lembu yang pertama tadi. Itulah korban penghapus dosa untuk jemaah.
22 Apabila seorang pemimpin berdosa tanpa sengaja dengan melakukan salah satu perkara larangan Allah, Tuhannya, lantas dia bersalah, 23 maka sesudah dosanya itu disedarinya, maka hendaklah dia membawa seekor kambing jantan yang tidak bercacat cela sebagai persembahannya. 24 Hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala kambing itu, lalu menyembelihnya di tempat orang biasa menyembelih korban bakaran di hadapan Allah. Itulah korban penghapus dosa. 25 Maka hendaklah imam mengambil dengan jarinya sebahagian daripada darah korban penghapus dosa itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk mazbah korban bakaran manakala baki darah itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah korban bakaran itu. 26 Hendaklah semua lemak dibakarnya di atas mazbah, sama seperti lemak korban kedamaian. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosanya, dan orang itu akan diampuni.
27 aSekiranya seorang rakyat jelata berdosa tanpa sengaja dengan melakukan salah satu perkara larangan Allah lantas dia bersalah, 28 maka sesudah dosanya itu disedarinya, maka hendaklah dia membawa seekor kambing betina yang tidak bercacat cela sebagai persembahannya kerana dosanya itu. 29 Maka hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala korban penghapus dosa itu, lalu menyembelih korban penghapus dosa itu di tempat korban bakaran. 30 Hendaklah imam mengambil dengan jarinya sebahagian daripada darah korban penghapus dosa itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk mazbah korban bakaran manakala baki darah itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah itu. 31 Hendaklah dia memisahkan semua lemak, sama seperti lemak yang diambil daripada korban kedamaian, dan hendaklah imam membakarnya di atas mazbah untuk menjadi korban yang keharumannya diredai Allah dan hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosanya, dan orang itu akan diampuni.
32 Jika dia membawa seekor domba sebagai persembahan untuk korban penghapus dosa, maka hendaklah dia membawa seekor domba betina yang tidak bercacat cela. 33 Hendaklah dia meletakkan tangannya di atas kepala korban penghapus dosa itu, lalu menyembelihnya sebagai korban penghapus dosa di tempat orang biasa menyembelih korban bakaran. 34 Maka hendaklah imam mengambil dengan jarinya sebahagian daripada darah korban penghapus dosa itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk mazbah korban bakaran manakala baki darah itu hendaklah dicurahkannya ke kekaki mazbah korban bakaran itu. 35 Hendaklah imam memisahkan semua lemak sebagaimana lemak domba yang diambil daripada korban kedamaian, dan hendaklah imam membakarnya di atas mazbah untuk menjadi korban bakaran bagi Allah lalu hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosa yang telah dilakukannya, dan orang itu akan diampuni.
 
 
 
 
 
 
5
Peraturan tambahan bagi korban penghapus dosa
1 Jika seseorang berbuat dosa kerana tidak tampil dan menawarkan diri untuk menjadi saksi tentang sesuatu yang didengar, dilihat, atau diketahuinya, maka dia perlu menanggung akibatnya.
2 Atau, jika seseorang tanpa sengaja menyentuh apa-apa pun yang najis, sama ada bangkai binatang liar atau bangkai haiwan ternakan yang najis, atau bangkai kawanan haiwan terbang yang najis, maka sekalipun dia tidak menyedarinya ketika dia bernajis itu, dia memang bernajis dan bersalah.
3 Atau, jika tanpa disengajakan dia tersentuh apa-apa pun kenajisan manusia yang dapat menajiskannya tanpa disedarinya tetapi kemudian dia menyedarinya, maka dia bersalah.
4 Atau, jika seseorang mengikut gerak hatinya lalu tanpa sengaja bersumpah secara sembarangan dengan bibirnya untuk berbuat jahat atau berbuat baik kemudian disedarinya akan hal itu, maka dia bersalah dalam hal salah satu sumpahnya.
5 Jadi, apabila seseorang bersalah dalam salah satu hal tersebut, hendaklah dia dengan serta-merta mengakui dosa yang telah dilakukannya 6 dan hendaklah dia memberi Allah pampasan bagi dosanya, iaitu seekor anak domba atau kambing betina sebagai korban penghapus dosa. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosanya.
7 Jika dia tidak mampu menyediakan anak domba sebagai pampasan bagi dosanya itu, maka hendaklah dia membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati untuk dipersembahkan kepada Allah, seekor untuk menjadi korban penghapus dosa dan seekor lagi untuk menjadi korban bakaran. 8 Hendaklah dia membawanya kepada imam, dan hendaklah imam terlebih dahulu mempersembahkan burung untuk korban penghapus dosa. Hendaklah kepala burung itu dipulasnya daripada pangkal lehernya, tetapi jangan sampai terpisah kepala daripada badan. 9 Kemudian sebahagian daripada darah korban penghapus dosa itu hendaklah dipercikkannya pada tepi mazbah, manakala segala darah yang berbaki itu hendaklah disalirkan keluar ke kekaki mazbah. Itulah korban penghapus dosa. 10 Hendaklah imam menyediakan burung yang kedua untuk dijadikan korban bakaran yang menepati peraturan, dan hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosa yang telah dilakukannya, dan orang itu akan diampuni.
11 Akan tetapi, jika dia tidak mampu mempersembahkan dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati, maka atas sebab dosa yang dilakukannya itu, hendaklah dia membawa sepersepuluh efaa tepung terbaik sebagai persembahan penghapus dosa. Dia tidak boleh menuangkan minyak padanya dan menaruh kemenyan di atasnya, kerana itu persembahan penghapus dosa. 12 Hendaklah dia membawanya kepada imam, dan hendaklah imam mengambil segenggam penuh daripada persembahan itu sebagai bahagian peringatan lalu membakarnya di atas mazbah, di atas korban bakaran untuk Allah. Itulah persembahan penghapus dosa. 13 Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosa yang telah dilakukannya dalam salah satu hal tersebut, dan orang itu akan diampuni. Segala bahagian yang berbaki menjadi bahagian imam, sama seperti peraturan dalam hal persembahan bahan makanan.’ ”
Korban penebus kesalahan
14 Allah berfirman kepada Musa, 15 “Jika seseorang melakukan kemungkaran dan tanpa sengaja berbuat dosa dalam hal yang berkaitan dengan perkara-perkara suci milik Allah, maka sebagai tebusan kesalahannya, hendaklah dia mempersembahkan kepada Allah seekor domba jantan yang tidak bercacat cela daripada kawanan domba yang sudah dinilai menurut syikalb perak, iaitu syikal rasmi Khemah Suci, sebagai korban penebus kesalahan. 16 Hendaklah dia membayar ganti rugi atas dosanya berkaitan dengan hal yang suci itu, dengan menambah seperlima daripada nilainya, lalu menyerahkannya kepada imam. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu dengan domba jantan korban penebus kesalahan itu, dan orang itu akan diampuni.
17 Jika seseorang berbuat dosa dan melakukan satu daripada larangan Allah meskipun dia tidak menyedarinya, maka dia bersalah dan perlu menanggung kesalahannya. 18 Hendaklah dia membawa kepada imam seekor domba jantan yang tidak bercacat cela daripada kawanan domba yang sudah dinilai, untuk menjadi korban penebus kesalahan. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosa yang dilakukannya tanpa sengaja dan tanpa disedarinya itu, dan orang itu akan diampuni. 19 Itulah korban penebus kesalahan, yakni orang itu benar-benar bersalah kepada Allah.”
 
 
 
 
 
 
6
Kemungkaran penipuan dan sumpah dusta
1 aAllah berfirman kepada Musa, 2 “Jika seseorang berdosa dan melakukan kemungkaran terhadap Allah dengan menipu sesamanya tentang sesuatu barang yang diamanahkan untuk disimpannya, atau barang yang dirompak, atau yang disita menerusi ugutan dan penganiayaan, 3 atau dia telah menemukan barang yang hilang lalu berbohong mengenai barang itu dan bersumpah dusta, yakni apa-apa pun yang dilakukan seseorang sehingga dia berdosa atas perbuatannya itu, 4 jadi bersalah dan berdosalah dia, maka hendaklah dia memulangkan barang yang disitanya, barang hasil pemerasannya, barang yang disimpan dengannya, atau barang hilang yang dijumpainya, 5 atau apa-apa pun yang dia bersumpah dusta atasnya. Hendaklah dia membayar ganti rugi penuh dengan tambahan sebanyak seperlima daripada nilainya. Hendaklah dia mengembalikan barang itu kepada pemiliknya pada hari dia mempersembahkan korban penebus kesalahannya. 6 Sebagai pampasan, hendaklah dia membawa kepada Allah seekor domba jantan yang tidak bercacat cela daripada kawanan domba yang sudah dinilai dan diserahkan kepada imam untuk menjadi korban penebus kesalahan. 7 Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi pihak orang itu di hadapan Allah, dan orang itu akan diampuni sehubungan dengan apa-apa pun perbuatannya yang menjadikannya bersalah.”
Arahan tentang persembahan korban bakaran
8 Allah berfirman kepada Musa, 9 “Perintahkanlah kepada Harun serta anak-anaknya demikian, ‘Inilah hukum tentang korban bakaran. Hendaklah korban bakaran itu berada di atas kayu apinya di atas mazbah sepanjang malam sehingga pagi hari, dan dengan cara demikianlah api mazbah itu diuruskan agar terus menyala. 10 Apabila korban bakaran sudah habis dimakan api di atas mazbah, hendaklah imam mengenakan pakaian kain linennya, dan mengenakan seluar pendek linennya untuk menutupi auratnya lalu hendaklah dia mengambil abu dan meletakkannya di tepi mazbah. 11 Lalu hendaklah dia menanggalkan pakaiannya lantas mengenakan pakaian lain dan seterusnya membawa abu itu ke luar perkhemahan, ke sebuah tempat yang suci. 12 Hendaklah dengan cara demikian, api di atas mazbah itu dijaga agar terus menyala dan tidak dibiarkan padam. Tiap-tiap pagi hendaklah imam menambahkan kayu api, menyusun korban bakaran di atasnya, dan membakar lemak korban kedamaian di situ. 13 Hendaklah api sentiasa menyala di atas mazbah dan tidak dibiarkan padam.
Persembahan bahan makanan orang ramai
14 Inilah hukum bagi persembahan bahan makanan. Hendaklah anak-anak Harun mempersembahkannya ke hadirat Allah di hadapan mazbah. 15 Hendaklah imam mengambil daripada persembahan bahan makanan itu segenggam tepung terbaik, minyak, dan kesemua kemenyan di atasnya. Semua itu, iaitu bahagian peringatan persembahan tersebut hendaklah dibakar di atas mazbah hingga keharumannya diredai Allah. 16 Bahagian selebihnya hendaklah dimakan tanpa ragi oleh Harun dan anak-anaknya di tempat yang suci, iaitu di laman dalam Khemah Pertemuan. 17 Bahagian itu tidak boleh dibakar dengan dimasukkan ragi. Daripada korban bakaran untuk-Ku, bahagian itulah yang Kuberikan sebagai bahagian mereka, dan bahagian itu bahagian yang teramat suci, sama seperti korban penghapus dosa dan korban penebus kesalahan. 18 Semua lelaki daripada keturunan Harun berhak memakannya. Daripada korban bakaran untuk Allah, bahagian itu bahagian yang ditetapkan untuk seterusnya bagi kamu turun-temurun. Apa-apa pun yang menyentuh persembahan itu akan menjadi suci.’”b
Persembahan bahan makanan para imam
19 Allah berfirman kepada Musa, 20 “Inilah persembahan kepada Allah yang perlu diserahkan oleh Harun dan anak-anaknya pada hari mereka diurapi: sepersepuluh efac tepung terbaik sebagai persembahan bahan makanan yang tetap, separuh daripadanya pada pagi hari dan separuh lagi pada petang hari. 21 Hendaklah kesemuanya dicampurkan dengan minyak zaitun di atas kuali besi leper. Setelah tepung teradun dengan sebaik-baiknya dengan minyak, bawalah masuk, pecah-pecahkannya dan persembahkanlah sebagai persembahan harum yang diredai Allah. 22 Hendaklah penyampaian persembahan itu dilakukan oleh imam daripada kalangan anak Harun yang siap diurapi, yakni anak yang bakal menggantikan tempatnya. Inilah ketetapan yang berkuat kuasa turun-temurun. Hendaklah segalanya dibakar untuk Allah; 23 dan setiap persembahan bahan makanan daripada imam hendaklah dibakar kesemuanya dan tidak boleh dimakan.”
Hukum tentang korban penghapus dosa
24 Allah berfirman kepada Musa, 25 “Beritahu Harun dan anak-anaknya, ‘Inilah hukum tentang korban penghapus dosa. Hendaklah korban penghapus dosa disembelih di hadapan Allah di tempat korban bakaran. Itulah persembahan yang teramat suci. 26 Hendaklah imam yang mempersembahkan korban penghapus dosa itu memakannya di tempat yang suci, iaitu di laman dalam Khemah Pertemuan. 27 Apa-apa sahaja yang menyentuh daging korban itu akan menjadi suci, dan kalau sebahagian daripada darahnya terpercik pada pakaian, maka hendaklah kamu membasuh pakaian tersebut di tempat yang suci. 28 Hendaklah dipecahkan belanga tanah tempat daging itu direbus. Jika daging itu direbus di dalam belanga gangsa, maka hendaklah belanga itu digosok dan dibilas dengan air. 29 Semua lelaki daripada kalangan imam berhak memakan korban penghapus dosa, dan itulah persembahan yang teramat suci. 30 Akan tetapi, setiap korban penghapus dosa yang sebahagian daripada darahnya dibawa masuk ke dalam Khemah Pertemuan demi mengadakan pendamaian di dalam Tempat Suci, tidak boleh dimakan. Hendaklah kesemua korban itu dibakar hingga habis.
 
 
 
 
 
 
7
Peraturan bagi korban penebus kesalahan
1 Inilah peraturan bagi korban penebus kesalahan, korban yang teramat suci. 2 Hendaklah persembahan korban penebus kesalahan juga disembelih di tempat korban bakaran sembelihan, dan darahnya hendaklah dipercikkan ke semua tepi mazbah. 3 Hendaklah dipersembahkan segala lemaknya, iaitu ekornya yang gemuk, lemak yang menutupi isi perut, 4 kedua-dua buah pinggang dengan lemak yang melekat padanya di bahagian daging batang pinang serta umbai hati yang harus dipisahkan dengan buah pinggang itu. 5 Hendaklah imam membakar kesemua itu di atas mazbah sebagai korban bakaran bagi Allah. Itulah korban penebus kesalahan. 6 Semua lelaki daripada kalangan kaum keluarga para imam berhak memakannya, tetapi mereka harus memakannya di tempat yang suci. Itulah korban teramat suci.
7 Korban penebus kesalahan sama seperti korban penghapus dosa. Maka peraturan yang sama berlaku bagi kedua-duanya, iaitu bahawa imam yang mendapat korban itu imam yang mengadakan pendamaian dengan korban itu. 8 Imam yang mempersembahkan korban bakaran seseorang berhak mendapat kulit korban bakaran yang dipersembahkannya. 9 Setiap persembahan bahan makanan yang dibakar di dalam ketuhar, dimasak di dalam kuali atau kuali besi leper menjadi bahagian imam yang mempersembahkannya 10 tetapi setiap persembahan bahan makanan yang dicampurkan minyak zaitun ataupun yang kering menjadi bahagian sama banyak untuk semua anak Harun.
Peraturan bagi korban kedamaian
11 Inilah peraturan bagi korban kedamaian yang patut dipersembahkan seseorang kepada Allah. 12 Jika seseorang mempersembahkan korban itu sebagai pernyataan kesyukuran, hendaklah bersama dengan korban kesyukuran itu dia harus juga mempersembahkan kuih tidak beragi yang dicampurkan minyak zaitun, roti nipis tidak beragi yang disapukan minyak zaitun, serta roti berbentuk cincin daripada tepung terbaik yang diadun dan dicampurkan minyak zaitun dan digoreng. 13 Hendaklah dia mempersembahkan korban kedamaian atas kesyukurannya itu bersama-sama persembahan berupa roti yang beragi. 14 Daripada setiap satu jenis persembahan itu hendaklah dia mempersembahkan sebuku roti sebagai persembahan khusus kepada Allah. Persembahan itu menjadi bahagian imam yang memercikkan darah korban kedamaian. 15 Hendaklah daging korban kesyukuran yang dijadikan korban kedamaiannya itu dimakan pada hari korban itu dipersembahkan dan janganlah ada sisa yang tertinggal sampai pagi hari.
16 Tetapi jika korban sembelihan yang dipersembahkannya itu berupa korban nazar atau korban sukarela, maka korban tersebut harus dimakan pada hari dia mempersembahkannya, dan apa yang tersisa masih boleh dimakan keesokan harinya. 17 Namun demikian, apa-apa yang tersisa daripada daging korban sembelihan itu pada hari ketiga hendaklah dibakar habis. 18 Jika ada bahagian daging korban kedamaian itu yang masih dimakan pada hari ketiga, maka orang yang mempersembahkannya tidak akan diterima dan korbannya tidak diambil kira. Korban itu dianggap jijik dan barang siapa yang memakannya perlu menanggung padah kesalahannya. 19 Daging yang tersentuh apa-apa pun yang najis tidak boleh dimakan dan hendaklah dibakar habis.
Daging korban yang secara istiadatnya suci boleh dimakan oleh semua orang yang suci, 20 tetapi hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya seseorang yang dalam keadaan najis memakan daging daripada korban kedamaian yang dikhususkan untuk Allah. 21 Jika seseorang menyentuh sesuatu yang najis, sama ada puncanya kenajisan manusia, haiwan yang najis, atau segala kejijikan yang najis, lalu dia memakan bahagian daging korban kedamaian yang dikhususkan untuk Allah, maka hendaklah orang itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya.’ ”
Larangan memakan lemak dan darah
22 Allah berfirman kepada Musa, 23 “Beritahu orang Israel, ‘Jangan makan lemak apa-apa pun daripada lembu, domba, atau kambing. 24 Lemak daripada bangkai binatang yang mati biasa dan lemak daripada haiwan yang dibunuh oleh binatang buas boleh digunakan untuk apa-apa tujuan lain, tetapi jangan sekali-kali kamu memakannya. 25 Sesiapa yang makan lemak daripada haiwan yang dipersembahkan sebagai korban bakaran kepada Allah hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya. 26 aJangan makan darah burung atau darah haiwan apa-apa pun di mana-mana tempat tinggalmu. 27 Sesiapa sahaja yang makan apa-apa darah hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya.’ ”
Korban kedamaian bagi imam
28 Allah berfirman kepada Musa, 29 “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Orang yang hendak mempersembahkan korban kedamaian kepada Allah, hendaklah membawa kepada Allah sebahagian daripada korban kedamaiannya itu sebagai persembahannya. 30 Hendaklah dia membawa dengan tangannya sendiri, korban bakaran untuk Allah. Hendaklah dia membawa dada haiwan itu berserta lemaknya, lalu dada itu diunjukkan sebagai persembahan unjukan di hadapan Allah. 31 Hendaklah imam membakar lemak itu di atas mazbah, tetapi dadanya menjadi bahagian Harun serta anak cucunya. 32 Hendaklah kamu memberikan paha kanan kepada imam sebagai persembahan khusus daripada korban kedamaianmu. 33 Sesiapa pun antara anak cucu Harun yang mempersembahkan darah serta lemak korban kedamaian itu, dialah yang mendapat paha kanan itu sebagai bahagiannya. 34 Dada persembahan unjukan dan paha persembahan khusus itu telah Kuambil daripada orang Israel, daripada korban kedamaian mereka, dan telah Kukurniakan kepada Imam Harun serta anak cucunya sebagai peruntukan tetap mereka daripada orang Israel untuk selama-lamanya.’ ” 35 Pada hari Harun serta anak-anaknya dibawa menghadap untuk menunaikan tugas sebagai imam untuk Allah, itulah bahagian Harun dan bahagian anak cucunya daripada korban bakaran untuk Allah. 36 Pada hari Musa mengurapi dan mentahbiskan mereka, Allah memerintahkan agar orang Israel memberikan bahagian itu kepada mereka dan itulah peruntukan tetap untuk mereka selama-lamanya, turun-temurun.
37 Itulah peraturan tentang korban bakaran, persembahan bahan makanan, korban penghapus dosa, korban penebus kesalahan, korban pentahbisan, serta korban kedamaian 38 yang Allah perintahkan kepada Musa di atas Gunung Sinai pada hari Dia menyuruh orang Israel untuk membawa persembahan mereka kepada Allah di daerah gurun Sinai.
 
 
 
 
 
 
8
Pentahbisan para imam
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Bawalah Harun berserta anak-anaknya, juga pakaian-pakaian imam, minyak tahbis, lembu jantan bagi korban penghapus dosa, dua ekor domba jantan, dan bakul berisi roti tidak beragi, 3 lalu suruhlah semua umat berhimpun di hadapan pintu Khemah Pertemuan.”
4 Musa melakukan seperti yang diperintahkan Allah kepadanya, lalu berhimpunlah seluruh umat di hadapan pintu Khemah Pertemuan. 5 Kata Musa kepada umat itu, “Inilah yang diperintahkan Allah untuk dilakukan.”
6 Musa membawa Harun dan anak-anaknya ke hadapan lalu dibasuhnya mereka dengan air. 7 Dia memakaikan tunik, mengikatkan ikat pinggang, dan mengenakan jubah pada Harun, kemudian mengenakan baju efod serta mengikatkan tali pinggang yang siap dengan hiasannya pada baju efod itu lantas baju efod itu terikat pada tubuhnya. 8 Dia pun memasangkan penutup dada Harun serta meletakkan Urim dan Tumima di sebelah dalam penutup dada itu. 9 Dikenakannya pula serban di kepala Harun, dan di sebelah depan serban itu disematnya perhiasan emas, iaitu mahkota yang suci, seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
10 Seterusnya, Musa mengambil minyak tahbis lalu mengurapi Khemah Suci serta segala sesuatu yang ada di dalamnya, dan menyucikan semuanya. 11 Dia memercikkan sebahagian daripada minyak itu tujuh kali ke atas mazbah lalu mengurapi mazbah itu berserta segala peralatannya, juga bejana pembasuhan dengan kekakinya, untuk menyucikan semuanya. 12 Dia mencurahkan sebahagian minyak tahbis itu ke atas kepala Harun lalu mengurapinya demi menyucikannya. 13 Setelah itu, Musa membawa anak-anak Harun ke hadapan lalu mengenakan tunik, mengikatkan ikat pinggang, dan melilitkan ikat kepala pada mereka, seperti yang diperintahkan Allah kepadanya.
14 Lembu jantan bagi persembahan korban penghapus dosa dibawanya ke hadapan lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu jantan korban penghapus dosa itu. 15 Selepas lembu itu disembelih, Musa mengambil darah lembu itu dan membubuhnya pada tanduk-tanduk di sekeliling mazbah dengan jarinya lantas menyucikan mazbah itu. Baki darah itu dicurahkannya ke kekaki mazbah, sehingga mazbah itu ditahbiskan dengan upacara pendamaian yang diadakan itu. 16 Musa mengambil semua lemak yang melekat pada isi perut lembu itu, umbai hatinya, dan kedua-dua buah pinggang dengan lemaknya, lalu dibakarnya semua itu di atas mazbah. 17 Akan tetapi, lembu jantan itu serta kulit, daging, dan kotorannya dibawa keluar dari perkhemahan lalu dibakar habis, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa.
18 Kemudian Musa membawa domba jantan korban bakaran lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu. 19 Sesudah domba itu disembelih, Musa memercikkan darahnya ke sekeliling mazbah. 20 Apabila domba jantan itu sudah dipotong kepada beberapa potongan, Musa pun membakar kepala domba itu, potongan-potongannya, dan lemaknya. 21 Isi perut dan kakinya dibasuh dengan air, lalu Musa membakar seluruh domba jantan itu di atas mazbah sebagai korban bakaran yang keharumannya meredakan serta dipersembahkan kepada Allah, sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Musa.
22 Kemudian Musa membawa domba jantan yang kedua, iaitu domba jantan korban pentahbisan, lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu. 23 Sesudah domba itu disembelih, Musa mengambil sebahagian daripada darahnya dan membubuhnya pada cuping telinga kanan Harun, pada ibu jari tangan kanannya, serta pada ibu jari kaki kanannya. 24 Kemudian anak-anak Harun dibawa ke hadapan lalu Musa membubuh sebahagian daripada darah itu pada cuping telinga kanan mereka, pada ibu jari tangan kanan mereka, dan pada ibu jari kaki kanan mereka. Setelah itu, Musa memercikkan baki darah itu ke sekeliling mazbah. 25 Musa mengambil lemaknya, ekornya yang gemuk, semua lemak yang melekat pada isi perutnya, umbai hatinya, kedua-dua buah pinggang dengan lemaknya, dan paha kanannya. 26 Daripada bakul berisi roti tidak beragi di hadapan Allah itu, Musa mengambil sebuku roti tidak beragi, sebuku roti yang dicampurkan minyak, dan sekeping roti nipis, lalu meletakkan kesemuanya di atas lemak serta paha kanan domba tadi. 27 Maka semua itu diletakkannya di telapak tangan Harun serta anak-anaknya, lalu diunjukkan sebagai persembahan unjukan untuk Allah. 28 Kemudian Musa mengambilnya daripada telapak tangan mereka, lalu membakarnya sebagai korban bakaran di atas mazbah. Itulah korban pentahbisan dan keharumannya meredakan, yakni suatu korban yang dibakar bagi Allah. 29 Lalu Musa mengambil dada domba itu dan mengunjukkannya sebagai persembahan unjukan untuk Allah dan itulah bahagian Musa daripada domba jantan korban pentahbisan, seperti yang diperintahkan Allah kepada Musa.
30 Musa juga mengambil sebahagian daripada minyak tahbis dan sebahagian daripada darah yang ada di atas mazbah, lalu memercikkannya pada Harun serta pada pakaiannya, juga pada anak-anaknya serta pada pakaian mereka. Demikianlah dia mentahbiskan Harun dan menyucikan pakaiannya, begitu juga anak-anaknya dan pakaian mereka.
31 Kata Musa kepada Harun serta anak-anaknya, “Rebuslah daging ini di depan pintu Khemah Pertemuan, lalu makanlah di situ bersama-sama roti yang ada di dalam bakul persembahan pentahbisan, seperti yang aku perintahkan dengan berkata, ‘Harun dan anak-anaknya berhak memakannya.’ 32 Apa-apa yang tersisa daripada daging dan roti itu harus kamu bakar habis. 33 Jangan kamu beranjak dari depan pintu Khemah Pertemuan selama tujuh hari sampai genap hari pentahbisan kamu, kerana Allah akan mentahbiskan kamu selama tujuh hari. 34 Allah telah memerintahkan agar kamu melakukan apa yang telah dilakukan pada hari ini, demi pendamaian bagi dirimu. 35 Hendaklah kamu kekal berada di hadapan pintu Khemah Pertemuan siang dan malam selama tujuh hari dan memegang teguh kewajipanmu terhadap Allah supaya jangan kamu mati. Kerana demikianlah yang diperintahkan kepadaku.” 36 Maka Harun dan anak-anaknya melakukan segala hal yang diperintahkan Allah dengan perantaraan Musa itu.
 
 
 
 
 
 
9
Allah menerima persembahan Imam Harun
1 Pada hari kelapan, Musa memanggil Harun dan anak-anaknya serta para tua-tua Israel. 2 Katanya kepada Harun, “Ambillah bagimu seekor lembu jantan muda untuk menjadi korban penghapus dosa, dan seekor domba jantan untuk menjadi korban bakaran dan kedua-duanya hendaklah tidak bercacat cela, lalu persembahkanlah di hadapan Allah. 3 Kemudian katakanlah kepada orang Israel, ‘Ambillah seekor kambing jantan untuk menjadi korban penghapus dosa, seekor anak lembu dan seekor anak domba, kedua-duanya berumur setahun tanpa cacat cela untuk menjadi korban bakaran, 4 serta seekor lembu dan seekor domba jantan untuk menjadi korban kedamaian. Persembahkanlah semua itu di hadapan Allah bersama-sama persembahan bahan makanan yang dicampurkan minyak, kerana pada hari ini Allah akan menampakkan diria kepadamu.’ ”
5 Mereka pun membawa apa yang diperintahkan Musa ke hadapan Khemah Pertemuan, lalu seluruh umat juga mendekat lalu berdiri di hadapan Allah. 6 Kata Musa, “Inilah yang diperintahkan oleh Allah untuk kamu lakukan, supaya kemuliaan Allah tampak di hadapanmu.” 7 bKata Musa kepada Harun, “Datang dekatlah ke mazbah dan persembahkanlah korban penghapus dosamu serta korban bakaranmu, dan adakan pendamaian demi dirimu dan demi umat ini. Kemudian persembahkanlah korban umat itu dan adakanlah pendamaian bagi mereka, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah.”
8 Maka Harun mendekati mazbah lalu menyembelih anak lembu korban penghapus dosa untuk dirinya. 9 Anak-anak Harun menyampaikan darah lembu itu kepadanya, lalu dia mencelup jarinya ke dalam darah itu dan membubuhnya pada tanduk-tanduk mazbah. Baki darah pula dicurahkannya ke kekaki mazbah. 10 Lemak, buah pinggang, dan umbai hati daripada korban penghapus dosa itu dibakarnya di atas mazbah, seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa, 11 manakala daging dan kulitnya dibakarnya habis di luar perkhemahan.
12 Kemudian disembelihnya pula korban bakaran. Anak-anak Harun menyerahkan darah korban itu kepadanya, lalu dia memercikkannya ke sekeliling mazbah. 13 Mereka menyerahkan korban bakaran itu pula kepadanya menurut potongan-potongannya berserta kepalanya, lalu dia membakar kesemuanya di atas mazbah. 14 Harun membasuh isi perut dan kaki korban itu lalu dia membakar kesemuanya di atas korban bakaran yang ada di atas mazbah itu.
15 Kemudian dia mempersembahkan korban umat itu pula. Diambilnya kambing jantan korban penghapus dosa untuk umat itu, lalu menyembelihnya dan mempersembahkannya sebagai korban penghapus dosa seperti korban yang sama sebelumnya. 16 Lalu dipersembahkannya korban bakaran itu yang disediakan mengikut peraturan. 17 Seterusnya, dia membawa persembahan bahan makanan, dan diambilnya segenggam penuh daripadanya lantas membakarnya di atas mazbah, di samping korban bakaran pagi hari itu. 18 cDia juga menyembelih lembu dan domba jantan korban kedamaian umat itu. Anak-anak Harun menyerahkan darah korban itu kepadanya lalu dia memercikkannya ke sekeliling mazbah. 19 Mereka meletakkan lemak daripada lembu dan domba jantan itu, iaitu ekornya yang gemuk, lemak yang menutupi isi perut, buah pinggang, serta umbai hati 20 di atas dada korban itu, lalu Harun membakar lemak itu di atas mazbah. 21 Bahagian dada dan paha kanan diunjukkan Harun sebagai persembahan unjukan di hadapan Allah, sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa.
22 dLalu Harun mengangkat kedua-dua tangannya ke hala umat itu dan memohonkan keberkatan atas mereka lalu turun selepas dia mempersembahkan korban penghapus dosa, korban bakaran, dan korban kedamaian itu. 23 Musa dan Harun masuk ke dalam Khemah Pertemuan. Kemudian mereka keluar lantas memohonkan keberkatan atas umat itu, lalu kelihatanlah kemuliaan Allah di hadapan seluruh umat itu. 24 Lalu muncullah api dari hadirat Allah lantas menghanguskan korban bakaran dan lemak di atas mazbah. Apabila umat itu melihat hal itu, mereka pun bersorak-sorai lalu sujud menyembah.
 
 
 
 
 
 
10
Kematian Nadab dan Abihu
1 Pada suatu hari, anak Harun, iaitu Nadab dan Abihu, mengambil pendupaan masing-masing lalu menyalakan api di dalamnya, dan membubuh dupa di atas api itu. Mereka mempersembahkan api yang dilaranga, dan yang tidak diperintahkan itu di hadapan Allah. 2 Maka keluarlah api dari hadirat Allah menghanguskan mereka, sehingga mereka mati di hadapan Allah. 3 Kata Musa kepada Harun, “Inilah yang difirmankan Allah,
‘Melalui orang yang rapat dengan-Ku,
Aku akan menyatakan kesucian-Ku,
dan di hadapan seluruh umat Aku akan dimuliakan.’ ”
Harun pun berdiam diri.
4 Kemudian Musa memanggil Misael dan Elsafan, anak-anak Uziel, bapa saudara Harun, dan berkata kepada mereka, “Datanglah ke mari dan angkatlah saudara-saudara sepupumu ini dari depan tempat suci ke luar perkhemahan.” 5 Mereka pun datang dan mengangkat kedua-dua jenazah yang masih memakai tunik itu ke luar perkhemahan, seperti yang dikatakan oleh Musa.
6 Berkata pula Musa kepada Harun serta kepada Eleazar dan Itamar, iaitu dua orang lagi anak Harun, “Jangan uraikan rambut kepalamu dan jangan koyakkan pakaianmu, supaya jangan kamu mati dan supaya murka Allah tidak menimpa seluruh umat. Tetapi para saudaramu, iaitu seluruh keturunan kaum Israel, boleh berkabung atas sebab api yang telah dinyalakan oleh Allah itu. 7 Jangan pula pergi dari depan pintu Khemah Pertemuan supaya jangan kamu mati, kerana minyak tahbis Allah mengurapi kamu.” Lalu mereka berbuat menurut arahan Musa itu.
8 Allah berfirman kepada Harun, 9 “Baik kamu mahupun anak-anakmu tidak boleh minum apa-apa air anggur atau apa-apa minuman yang memabukkan ketika kamu masuk ke dalam Khemah Pertemuan, supaya jangan kamu mati. Ini suatu peraturan tetap yang berkuat kuasa seterusnya bagi kamu turun-temurun, 10 supaya kamu dapat membezakan antara yang suci dengan yang biasa, antara yang najis dengan yang suci, yakni tidak najis, 11 dan supaya kamu dapat mengajar orang Israel segala ketetapan yang difirmankan Allah kepada mereka dengan perantaraan Musa.”
12 bMusa berkata kepada Harun, dan juga kepada Eleazar dan Itamar, anak Harun yang masih hidup, “Ambillah persembahan bahan makanan yang tersisa daripada korban bakaran bagi Allah, dan makanlah tanpa ragi di tepi mazbah, kerana itu bahagian teramat suci. 13 Hendaklah kamu memakannya di tempat yang suci, kerana itulah peruntukanmu dan peruntukan tetap anak-anakmu daripada korban bakaran untuk Allah kerana demikianlah yang diperintahkan kepadaku. 14 cHendaklah kamu berserta anak-anakmu, baik lelaki mahupun perempuan, memakan daging dada persembahan unjukan dan daging paha persembahan khusus itu di tempat yang suci, kerana semua itu dikurniakan sebagai bahagianmu serta anak-anakmu daripada korban kedamaian orang Israel. 15 Hendaklah mereka membawa paha persembahan khusus dan dada persembahan unjukan itu berserta lemak korban bakaran untuk diunjukkan sebagai persembahan unjukan di hadapan Allah. Itulah bahagianmu dan bahagian anak-anakmu sebagai sesuatu yang menjadi hakmu selama-lamanya, seperti yang diperintahkan oleh Allah.”
16 Kemudian Musa berusaha menyiasat apa yang terjadi kepada kambing jantan korban penghapus dosa itu, tetapi ternyata kambing itu sudah dibakar. Maka marahlah dia kepada Eleazar dan Itamar, anak Harun yang masih hidup itu, katanya, 17 d“Mengapakah kamu tidak memakan korban penghapus dosa itu di tempat yang suci? Bukankah korban itu teramat suci dan telah dikurniakan kepadamu supaya kamu dapat memikul kesalahan umat serta mengadakan pendamaian demi mereka di hadapan Allah? 18 Lihat, darahnya tidak dibawa masuk ke dalam Tempat Suci. Seharusnya kamu memakannya di tempat yang suci seperti yang aku perintahkan.”
19 Kata Harun kepada Musa, “Sesungguhnya, pada hari ini mereka telah mempersembahkan korban penghapus dosa dan korban bakaran mereka di hadapan Allah, tetapi hal-hal seperti tadilah yang terjadi kepadaku. Jika pada hari ini aku juga memakan korban penghapus dosa itu, akankah Allah meredainya?” 20 Ketika Musa mendengar hal itu, dia menerimanya dengan baik.
 
 
 
 
 
 
11
Haiwan yang haram dan yang tidak haram
1 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, 2 “Beritahu orang Israel begini, ‘Inilah haiwan-haiwan hidup yang boleh kamu makan daripada antara segala jenis yang ada di atas bumi: 3 Kamu boleh makan semua haiwan yang terbelah kuku kakinya serta yang mengunyah bahan mamahan. 4 Akan tetapi, kamu tidak boleh makan antara haiwan yang hanya mengunyah bahan mamahan atau yang hanya terbelah kuku kakinya. Jenis-jenis haiwan yang berikut tidak boleh kamu makan: Unta, haiwan yang mengunyah bahan mamahan tetapi tidak terbelah kuku kakinya adalah haram bagimu. 5 Landak, haiwan yang mengunyah bahan mamahan walaupun kuku kakinya tidak terbelah adalah haram bagimu. 6 Arnab, haiwan yang juga mengunyah bahan mamahan walaupun kuku kakinya tidak terbelah adalah haram bagimu. 7 Babi, yang kuku kakinya terbelah walaupun babi tidak mengunyah bahan mamahan adalah haram bagimu. 8 Maka janganlah kamu makan daging haiwan-haiwan itu dan jangan kamu sentuh bangkainya, kerana semua itu haram bagimu.
Makhluk air yang haram dan yang tidak haram
9 “‘Daripada segala makhluk yang hidup di dalam air, inilah yang boleh kamu makan: Kamu boleh makan segala yang bersirip dan bersisik, baik di laut mahupun di sungai. 10 Akan tetapi, daripada semua makhluk yang hidup serta berkerumun di air, segala yang tidak bersirip dan tidak bersisik, baik di laut mahupun di sungai, adalah jijik bagimu. 11 Kesemuanya jijik bagimu. Maka janganlah kamu makan dagingnya, malah bangkainya juga hendaklah kamu anggap jijik. 12 Hendaklah kamu memandang jijik terhadap segala haiwan di dalam air yang tidak bersirip dan tidak bersisik.
Burung haram dan tidak haram
13 “‘Daripada burung-burung, jenis-jenis yang berikut perlu kamu anggap jijik. Janganlah dimakan kerana kesemuanya perkara yang menjijikkan: burung rajawali, burung hering berjanggut, burung hering hitam, 14 burung lang dan pelbagai jenis burung reng, 15 segala jenis burung gagak, 16 burung unta, jampuk, camar, pelbagai jenis burung helang, 17 burung pungguk, burung dendang air, burung hantu, 18 burung hantu putih, burung undan, burung lang hitam, 19 burung ranggung, jenis-jenis burung bangau, burung hudhud, dan kelawar.
20 “‘Semua serangga jenis berkerumun yang bersayap serta berjalan dengan keempat-empat kakinya ialah makhluk yang jijik bagimu. 21 Akan tetapi, daripada segala makhluk jenis berkerumun yang bersayap serta berjalan dengan keempat-empat kakinya itu kamu boleh memakan jenis yang mempunyai kakinya bersendi penyambung untuk melompat di atas tanah. 22 Khususnya, inilah yang boleh kamu makan daripada semua itu: pelbagai jenis belalang besar, pelbagai jenis belalang daun, pelbagai jenis belalang kunyit, dan pelbagai jenis belalang padi. 23 Selain itu, makhluk jenis berkerumun yang bersayap serta berjalan dengan keempat-empat kakinya adalah menjijikkan bagimu.
Kenajisan bangkai
24 “‘Haiwan-haiwan yang berikut boleh membuat kamu ternajis. Sesiapa yang menyentuh bangkainya akan menjadi najis sampai waktu maghrib, 25 dan hendaklah sesiapa yang membawa mana-mana bahagian daripada bangkainya mencuci pakaiannya, lalu dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 26 Haram juga bagimu segala haiwan yang terbelah kukunya namun kukunya tidak terpisah sepenuhnya dan juga haiwan yang tidak mengunyah bahan mamahan, maka sesiapa yang menyentuhnya menjadi najis. 27 Antara segala haiwan yang berjalan dengan keempat-empat kakinya, haram bagimu jenis yang berjalan di atas telapak kakinya. Sesiapa pun yang menyentuh bangkainya menjadi najis sampai waktu maghrib 28 dan hendaklah sesiapa yang membawa bangkainya mencuci pakaiannya dan menjadi najis sampai waktu maghrib. Kesemua itu haram bagimu.
29 “‘Antara makhluk kecil yang berkerumun di atas tanah, inilah yang haram bagimu: tikus mondok, tikus, pelbagai jenis cicak, 30 biawak, cengkarung, cicak pasir, dan sumpah-sumpah. 31 Itulah makhluk merangkak yang haram bagimu. Oleh itu, sesiapa yang menyentuh haiwan itu yang telah mati menjadi najis sampai waktu maghrib. 32 Jika mana-mana antara haiwan itu mati itu lalu jatuh menimpa sesuatu barang, maka barang itu menjadi najis, baik itu perkakas kayu, pakaian, kulit, mahupun karung, apa-apa perkakas yang digunakan untuk pekerjaan apa-apa pun. Hendaklah barang itu dimasukkan ke dalam air dan barang itu menjadi najis sampai waktu maghrib. Sesudah itu, barulah barang itu menjadi suci. 33 Jika satu daripada haiwan itu jatuh ke dalam sebuah belanga tanah, maka segala isinya menjadi najis, dan hendaklah dipecahkan belanga itu. 34 Segala makanan yang dapat dimakan akan menjadi najis kalau terkena air daripada belanga itu, dan segala minuman yang dapat diminum pun akan menjadi najis kalau minuman itu ada di dalam belanga seperti itu. 35 Jika mana-mana bahagian daripada bangkai haiwan itu jatuh menimpa sesuatu barang, maka barang itu menjadi najis dan hendaklah dipecahkan sekalipun barang yang terkena najis itu ketuhar ataupun dapur. Semua itu menjadi najis dan hendaklah kamu anggap sebagai najis. 36 Apa-apa pun yang menyentuh bangkai haiwan-haiwan itu menjadi najis. Akan tetapi, mata air atau perigi penampung air yang tersentuh tetap suci. 37 Jika sebahagian daripada bangkai haiwan itu jatuh mengenai sesuatu benih yang akan disemai, benih itu tetap dianggap suci. 38 Tetapi jika benih itu telah diairi, lalu sebahagian daripada bangkai haiwan itu jatuh menimpanya, maka benih itu menjadi najis bagimu.
39 “‘Jika seekor haiwan yang halal bagimu mati, maka sesiapa yang menyentuh bangkainya menjadi najis sampai waktu maghrib. 40 Hendaklah sesiapa yang memakan daging daripada bangkai haiwan atau membawa bangkai itu mencuci pakaiannya, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib.
41 “‘Mana-mana haiwan yang berkerumun di atas tanah harus kamu pandang sebagai sesuatu yang menjijikkan dan janganlah dimakan. 42 Janganlah kamu memakan sebarang jenis makhluk yang merayap di atas perutnya, yang merangkak dengan keempat-empat kakinya, atau yang banyak kakinya, iaitu kesemua haiwan yang berkerumun di atas tanah kerana kesemuanya menjijikkan. 43 Jangan jadikan dirimu menjijikkan kerana segala haiwan yang berkerumun itu, dan jangan najiskan dirimu sendiri dengan kesemua haiwan itu. 44 aAkulah Allah, Tuhanmu. Oleh itu, sucikanlah dirimu dan jadilah suci kerana Aku ini suci. Jangan najiskan dirimu dengan segala haiwan yang berkerumun yang merayap di atas bumi. 45 Akulah Allah yang telah memimpin kamu keluar dari Tanah Mesir supaya Aku menjadi Tuhanmu. Jadilah suci kerana Aku ini suci.
46 “‘Inilah hukum tentang haiwan, burung-burung dan setiap makhluk hidup yang bergerak di dalam air, dan setiap makhluk yang berkerumun dan merayap di atas bumi. 47 Hendaklah kamu dapat membezakan antara yang najis dengan yang suci, dan antara makhluk hidup yang boleh dimakan dengan makhluk hidup yang tidak boleh dimakan.’”
 
 
 
 
 
 
12
Penyucian darah nifas seorang wanita
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Beritahu orang Israel, ‘Jika seorang wanita yang mengandung melahirkan seorang anak lelaki, maka najislah dia selama tujuh hari. Dia menjadi najis sebagaimana pada hari-hari dia sedang haid atau datang bulan. 3 aPada hari kelapan, hendaklah kulup anak itu disunatkan. 4 Hendaklah wanita itu menunggu selama tiga puluh tiga hari untuk penyucian daripada darah nifasnya. Dia tidak boleh menyentuh apa-apa pun yang suci dan tidak boleh masuk ke dalam tempat suci sehingga genapnya hari-hari penyuciannya.
5 Tetapi jika dia melahirkan anak perempuan, maka dia membawa najis nifas selama dua minggu, yakni sama tempohnya seperti waktu dia haid dan hendaklah dia menunggu selama enam puluh enam hari untuk penyucian daripada darah nifasnya.
6 Setelah genap hari-hari penyuciannya, sama ada anaknya lelaki atau perempuan, hendaklah dia membawa seekor anak domba berumur setahun sebagai korban bakaran dan seekor anak burung merpati atau seekor burung tekukur sebagai korban penghapus dosa di pintu Khemah Pertemuan kepada imam. 7 Hendaklah imam mempersembahkannya di hadapan Allah dan mengadakan pendamaian bagi wanita itu, dan wanita itu akan disucikan daripada darah nifasnya. Itulah hukum tentang wanita yang melahirkan anak, baik anak lelaki mahupun anak perempuan.
8 bJika dia tidak mampu mempersembahkan anak domba, maka hendaklah dia membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati, seekor lagi untuk menjadi korban bakaran dan seekor lagi untuk menjadi korban penghapus dosa. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi wanita itu, dan wanita itu akan menjadi suci.’ ”
 
 
 
 
 
 
13
Peraturan tentang penyakit kulit
1 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, 2 “Apabila terjadi bengkak, ruam atau berbintik-bintik pada kulit tubuh seseorang yang kemudian menjadi jangkitan penyakit kulit, maka hendaklah orang itu dibawa kepada Imam Harun atau kepada seorang daripada imam, iaitu anak-anaknya. 3 Hendaklah imam memeriksa kudis pada kulit tubuh orang itu. Jika bulu di tempat jangkitan itu sudah berubah menjadi putih, dan kelihatan betapa penyakit itu sudah berakar lebih dalam daripada lapisan kulit pada tubuhnya, maka kudisnya itu jangkitan penyakit kulit. Setelah imam selesai memeriksanya, hendaklah dia mengisytiharkan bahawa orang itu najis. 4 Jika terdapat bintik-bintik putih pada kulit tubuhnya tetapi kelihatannya hal itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, dan bulunya pun tidak berubah menjadi putih, maka hendaklah imam mengasingkan orang yang berpenyakit itu selama tujuh hari. 5 Hendaklah imam memeriksa orang itu semula pada hari yang ketujuh. Jika kudis yang berkenaan tidak kian meluas dan merebak pada kulit, maka hendaklah imam mengasingkannya selama tujuh hari lagi. 6 Hendaklah imam memeriksanya semula pada hari ketujuh, dan jika ternyata telah pudar dan tidak lagi kudis itu merebak pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu suci. Ini bererti terjadi ruam sahaja, maka hendaklah orang itu mencuci pakaiannya lalu dia menjadi suci. 7 Namun begitu, jika ruam itu merebak pada kulit setelah orang itu menunjukkan diri kepada imam untuk diisytiharkan suci, maka hendaklah dia menunjukkan dirinya untuk pemeriksaan oleh imam. 8 Maka hendaklah imam memeriksa orang itu semula. Jika terbukti ruam itu merebak pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu najis. Penyakit itu jangkitan penyakit kulit.
Bengkak pada kulit
9 Apabila seseorang terkena jangkitan penyakit kulit, hendaklah dia dibawa kepada imam. 10 Hendaklah imam menjalankan pemeriksaan. Jika terbukti ada bengkak keputihan pada kulit orang itu malah bulu di tempat itu juga menjadi putih dan terjadi ketumbuhan daging pada bengkak itu, 11 maka itulah jangkitan penyakit parah pada kulit tubuh orang itu. Maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis, tetapi tidak perlu mengasingkannya kerana sudah jelas betapa bernajis orang itu. 12 Namun begitu, jika sejauh yang terlihat oleh imam, penyakit itu sudah menutupi seluruh kulit orang itu dari kepala sampai kakinya 13 maka hendaklah imam menjalankan pemeriksaan. Jika jelas bahawa penyakit kulit itu memang menutupi seluruh tubuhnya, maka hendaklah diisytiharkan bahawa orang yang berpenyakit itu suci kerana keseluruhannya sudah berubah menjadi putih, maka sucilah dia. 14 Akan tetapi, jika muncul radang daging padanya, maka dia menjadi najis. 15 Hendaklah imam memeriksa radang daging itu dan mengisytiharkan orang itu najis. Radang daging itu najis, dan itu jangkitan penyakit kulit. 16 Walau bagaimanapun, jika radang daging itu berubah menjadi putih semula, maka hendaklah orang itu datang kepada imam. 17 Hendaklah imam memeriksanya dan jika terbukti bahawa kudis itu telah berubah menjadi putih, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang yang berpenyakit itu suci, dan sucilah dia.
Bisul pada kulit
18 Jika ada bisul yang telah sembuh pada kulit tubuh seseorang, 19 tetapi pada bekas bisul itu muncul pula bengkak berwarna putih atau bintik-bintik putih kemerah-merahan, maka hendaklah keadaan itu ditunjukkan kepada imam. 20 Hendaklah imam menjalankan pemeriksaan. Jika tampaknya bintik-bintik itu berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, dan bulu di tempat itu telah berubah menjadi putih, maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis. Itu jangkitan penyakit kulit yang muncul di bekas bisul itu. 21 Akan tetapi, jika imam memeriksanya dan terbukti bahawa bulu di tempat itu tidak ada yang putih, dan bintik-bintik itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, malah sudah menjadi pudar, maka hendaklah imam mengasingkan orang itu tujuh hari lamanya. 22 Jika bintik-bintik itu merebak pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu najis. Itu suatu jangkitan penyakit. 23 Tetapi jika bintik-bintik itu tetap pada tempatnya dan tidak merebak, maka itu bekas bisul, dan hendaklah imam mengisytiharkan orang itu suci.
Luka terbakar
24 Apabila ada bekas luka terbakar pada kulit tubuh seseorang lalu bekas luka terbakar itu menjadi bintik-bintik putih kemerah-merahan atau putih, 25 maka hendaklah imam memeriksanya. Jika terbukti bahawa bulu pada bintik-bintik itu telah berubah menjadi putih dan kelihatannya berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, maka itulah jangkitan penyakit kulit yang muncul di tempat luka terbakar itu. Hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis. Itu jangkitan penyakit kulit. 26 Akan tetapi, setelah imam memeriksanya ternyata tidak ada bulu yang putih di tempat bintik-bintik itu, dan bintik-bintik itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, malah menjadi pudar, maka hendaklah imam mengasingkan orang itu selama tujuh hari. 27 Kemudian pada hari ketujuh hendaklah imam memeriksa orang itu semula. Jika bintik-bintik itu semakin merebak pada kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis. Itu jangkitan penyakit kulit. 28 Tetapi jika bintik-bintik itu tetap pada tempatnya dan tidak merebak pada kulit, malah menjadi kian pudar, maka itu hanyalah bengkak akibat luka terbakar. Hendaklah imam mengisytiharkan bahawa orang itu suci, kerana itu sekadar bekas luka terbakar.
29 Jika seseorang, lelaki ataupun perempuan, terkena penyakit kulit pada kepalanya atau pada dagunya, 30 maka hendaklah imam memeriksa penyakit itu. Jika tampaknya penyakit itu berakar lebih dalam daripada lapisan kulit dan terdapat rambut halus kekuningan padanya, maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis. Itu kudis, sejenis penyakit kulit pada kepala atau dagu. 31 Jika imam memeriksa jangkitan penyakit kudis itu dan terbukti penyakit itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit serta tidak ada rambut yang hitam padanya, maka hendaklah imam mengasingkan orang yang berpenyakit kudis itu selama tujuh hari. 32 Pada hari ketujuh hendaklah imam memeriksa kudis itu dan jika terbukti kudis itu tidak semakin merebak dan tiada rambut yang kuning di tempat itu, lalu kudis itu tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, 33 maka hendaklah orang itu bercukur tetapi dia tidak boleh bercukur di tempat adanya kudis itu. Kemudian hendaklah imam mengasingkan orang yang berpenyakit kudis itu selama tujuh hari, 34 dan pada hari ketujuh hendaklah imam memeriksa kudis itu semula. Jika terbukti kudis itu tidak merebak pada kulit dan tampaknya tidak berakar lebih dalam daripada lapisan kulit, maka hendaklah imam mengisytiharkan orang itu suci. Hendaklah orang itu mencuci pakaiannya, dan dia pun menjadi suci. 35 Namun begitu, jika kudis itu merebak pada kulit sesudah dia diisytiharkan suci, 36 maka hendaklah imam memeriksanya. Jika terbukti bahawa kudis itu telah merebak pada kulit, imam tidak perlu lagi mencari rambut yang kuning; orang itu memang najis. 37 Tetapi jika menurut pengamatannya kudis itu tidak merebak dan rambut yang hitam telah tumbuh padanya, maka sesungguhnya kudis itu sudah sembuh dan orang itu suci. Hendaklah imam mengisytiharkan orang itu suci.
38 Jika pada kulit tubuh seorang lelaki ataupun perempuan terdapat bintik-bintik putih, 39 maka hendaklah imam menjalankan pemeriksaan. Jika terbukti bintik-bintik tersebut putih pudar, maka itulah ruam yang timbul pada kulitnya, dan orang itu suci.
40 Jika berguguran rambut daripada kulit kepala seseorang dan dia menjadi botak, dia suci. 41 Jika berguguran rambut kepalanya daripada bahagian dahi dan dia menjadi gondol, dia juga suci. 42 Tetapi apabila pada kepala botak atau dahi gondol itu timbul bengkak putih kemerah-merahan, maka ada kemunculan penyakit kulit pada kepala botak atau dahinya yang gondol itu. 43 Hendaklah imam memeriksanya. Jika terbukti bengkak pada kepalanya yang botak atau dahinya yang gondol itu menjadi putih kemerah-merahan dan kelihatan seperti penyakit memang menyerang kulit tubuhnya, 44 maka orang itu memang ditimpa musibah penyakit kulit dan najislah dia. Hendaklah imam mengisytiharkan orang itu najis atas sebab penyakit pada kepalanya itu.
45 Maka hendaklah orang yang ditimpa jangkitan penyakit kulit itu memakai pakaian yang terkoyak-koyak dan membiarkan rambut kepalanya terurai. Hendaklah dia menutupi misai atau bahagian di atas bibirnya dan hendaklah dia berseru-seru, ‘Najis! Najis!’ 46 Selama dia menghidap penyakit itu dan berkudis, najislah dia dan hendaklah dia tinggal secara terasing di luar perkhemahan.
47 Apabila pada sesuatu pakaian, baik daripada bulu domba mahupun kain linen, ada kesan kotor daripada jangkitan penyakit kulit, 48 pada benang lungsin atau pakan daripada pakaian bulu domba atau linen itu, pada pakaian daripada kulit, atau pada barang apa-apa pun yang terbuat daripada kulit— 49 dan jika kesan kotor pada pakaian atau barang tersebut itu sudah menjadi kehijau-hijauan atau kemerah-merahan, itu bererti bahawa kulapuk atau jangkitan penyakit kulit itu kian meluas dan perlu ditunjukkan kepada imam. 50 Hendaklah imam memeriksa tanda itu dan mengasingkan barang yang memiliki kesan kotor itu selama tujuh hari. 51 Kemudian pada hari ketujuh, hendaklah imam memeriksa kesan kotor itu lagi. Jika tanda itu semakin meluas pada pakaian, pada benang lungsin dan pakannya, atau pada kulit, untuk keperluan apa-apa pun kulit itu dipakai, maka jangkitan itu penyakit kulit yang cenderung menjadi lebih teruk dan najislah barang itu. 52 Hendaklah imam membakar pakaian, benang lungsin dan pakan pada pakaian bulu domba atau linen, atau barang apa-apa pun daripada kulit yang memiliki tanda itu, kerana jangkitan itu penyakit kulit yang cenderung menjadi lebih teruk. Hendaklah barang-barang yang berkenaan itu dibakar habis.
53 Jika imam menjalankan pemeriksaan dan terbukti bahawa kesan kotor itu tidak semakin meluas pada pakaian, pada benang lungsin dan pakan, atau pada barang apa-apa pun daripada kulit, 54 maka hendaklah imam menyuruh orang mencuci barang yang memiliki kesan kotor itu. Hendaklah dia mengasingkan barang tersebut selama tujuh hari lagi. 55 Sesudah barang yang memiliki kesan kotor itu dicuci, hendaklah imam menjalankan pemeriksaan semula. Jika terbukti kesan kotor itu tidak berubah rupanya meskipun tidak meluas, maka barang itu najis, dan hendaklah engkau membakarnya habis, tidak kira sama ada kesan kotor itu berada di sebelah belakang atau di depan. 56 Jika pemeriksaan imam menunjukkan bahawa kesan kotor itu menjadi pudar sesudah dicuci, maka hendaklah dia membuang bahagian berkesan kotor itu daripada pakaian, kulit, benang lungsin atau pakan itu. 57 Jika kesan kotor itu muncul semula pada pakaian, benang lungsin dan pakan, atau pada barang apa-apa pun daripada kulit, itu bererti bahawa jangkitan penyakit itu berkembang. Hendaklah kamu membakar habis barang yang berkesan kotor itu. 58 Hendaklah pakaian, benang lungsin, benang pakan, atau barang apa-apa pun daripada kulit yang sudah kamu cuci hingga tanda itu hilang itu dicuci lagi. Setelah itu, barulah barang itu suci.
59 Itulah hukum tentang jangkitan penyakit kulit pada pakaian daripada bulu domba atau linen, pada benang lungsin, benang pakan, atau pada barang apa-apa pun daripada kulit, untuk menyatakan sama ada barang itu suci atau najis.”
 
 
 
 
 
 
14
Upacara penyucian bagi penyakit kulit
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 a“Inilah hukum tentang orang yang menghidap jangkitan penyakit kulit pada hari penyuciannya. Hendaklah orang itu dibawa kepada imam, 3 dan hendaklah imam pergi ke luar perkhemahan lalu menjalankan pemeriksaan terhadap jangkitan kulit itu. Jika terbukti orang itu telah sembuh daripada jangkitan penyakit kulit yang dihidapinya, 4 maka hendaklah imam memerintahkan agar dibawa dua ekor burung hidup yang halal, kayu araz, secebis kain merah menyala, dan ranting hisopb bagi orang yang hendak disucikan itu. 5 Kemudian hendaklah dia memerintahkan salah seekor burung disembelih di atas belanga tanah yang diletakkan di atas air yang mengalir. 6 Kemudian hendaklah dia mengambil dan mencelup burung yang masih hidup itu ke dalam darah burung yang sudah disembelih itu, bersama-sama kayu araz, kain merah menyala, dan ranting hisop. 7 Hendaklah dia memerciki orang yang hendak disucikan daripada jangkitan penyakit kulit itu sebanyak tujuh kali dan mengisytiharkan orang itu suci, lalu hendaklah dia melepaskan burung yang hidup itu di padang yang terbuka. 8 Hendaklah orang yang akan disucikan itu mencuci pakaiannya, mencukur semua rambutnya, dan membasuh dirinya dengan air, barulah dia menjadi suci. Sesudah itu, dia boleh masuk ke dalam perkhemahan, tetapi hendaklah dia tinggal selama tujuh hari di luar khemahnya. 9 Pada hari ketujuh hendaklah dia mencukur semua rambutnya, iaitu rambut kepala, janggut, alis, bahkan seluruh bulu di tubuhnya. Hendaklah dia mencuci pakaiannya, membasuh tubuhnya di dalam air, dan dia akan menjadi suci.
10 Pada hari kelapan hendaklah dia mengambil dua ekor domba jantan yang tidak bercacat cela, seekor domba betina berumur setahun yang tidak bercacat cela, tiga persepuluh efac tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan, dan satu logd minyak zaitun. 11 Hendaklah imam yang menjalankan penyucian itu menghadapkan orang itu dan persembahannya ke hadirat Allah, di depan pintu Khemah Pertemuan. 12 Hendaklah imam mengambil seekor daripada domba jantan itu lalu mempersembahkannya sebagai korban penebus kesalahan bersama dengan minyak zaitun sebanyak satu log,e dan mengunjukkannya sebagai persembahan unjukan di hadapan Allah. 13 Hendaklah dia menyembelih domba itu di tempat orang biasa menyembelih korban penghapus dosa dan korban bakaran, iaitu di tempat suci, kerana sama seperti korban penghapus dosa, korban penebus kesalahan pun menjadi bahagian imam, yakni korban itu teramat suci. 14 Hendaklah imam mengambil sebahagian daripada darah korban penebus kesalahan itu lalu membubuhnya pada cuping telinga kanan orang yang hendak disucikan, pada ibu jari tangan kanannya, serta ibu jari kaki kanannya. 15 Kemudian, hendaklah imam mengambil sebahagian daripada satu logf minyak zaitun itu dan menuangkannya di telapak tangan kirinya 16 lalu hendaklah dia mencelup jari tangan kanannya ke dalam minyak di telapak tangan kirinya itu, lantas memercikkan sebahagian daripada minyak itu dengan jarinya tujuh kali di hadapan Allah. 17 Daripada baki minyak di telapak tangannya, hendaklah imam membubuh sebahagian pada cuping telinga kanan orang yang hendak disucikan, pada ibu jari tangan kanannya serta ibu jari kaki kanannya, di atas bekas darah korban penebus kesalahan. 18 Minyak selebihnya di telapak tangan hendaklah dibubuh imam pada kepala orang yang hendak disucikan. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu di hadapan Allah.
19 Kemudian hendaklah imam mempersembahkan korban penghapus dosa dan mengadakan pendamaian bagi orang yang hendak disucikan daripada kenajisannya. Sesudah itu, hendaklah dia menyembelih korban bakaran. 20 Hendaklah imam mempersembahkan korban bakaran dan persembahan bahan makanan di atas mazbah, lalu hendaklah dia mengadakan pendamaian bagi orang itu, dan orang itu akan menjadi suci.
21 Jika orang itu miskin dan tidak mampu, maka hendaklah dia membawa seekor domba jantan sebagai korban penebus kesalahan yang akan diunjukkan oleh imam yang mengadakan pendamaian bagi orang itu. Selain itu, hendaklah orang itu juga membawa sepersepuluh efag tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun sebagai persembahan bahan makanan, satu logh minyak zaitun, 22 serta dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati mengikut kemampuannya. Seekor adalah untuk dijadikan korban penghapus dosa dan seekor lagi untuk menjadi korban bakaran. 23 Pada hari kelapan hendaklah dia membawa kesemua persembahan itu kepada imam di depan pintu Khemah Pertemuan, di hadapan Allah, untuk penyuciannya. 24 Hendaklah imam mengambil anak domba korban penebus kesalahan dan minyak zaitun sebanyak satu log,i lalu mengunjukkan semua itu sebagai persembahan unjukan di hadapan Allah. 25 Hendaklah imam juga menyembelih domba korban penebus kesalahan, lalu mengambil sebahagian daripada darah korban penebus kesalahan itu dan membubuhnya pada cuping telinga kanan orang yang hendak disucikan, pada ibu jari tangan kanannya serta ibu jari kaki kanannya. 26 Kemudian hendaklah imam menuangkan sebahagian daripada minyak itu ke telapak tangan kirinya sendiri, 27 lalu memercikkan sebahagian daripada minyak di telapak tangan kirinya itu dengan jari kanannya sebanyak tujuh kali di hadapan Allah. 28 Selanjutnya, hendaklah imam membubuh sebahagian daripada minyak di telapak tangannya itu pada cuping telinga kanan orang yang hendak disucikan, pada ibu jari tangan kanannya serta ibu jari kaki kanannya, di tempat yang sama seperti bagi darah korban penebus kesalahan. 29 Akhir sekali, hendaklah imam membubuh baki minyak itu di telapak tangan lalu dibubuhnya pada kepala orang yang hendak disucikan demi mengadakan pendamaian bagi orang itu di hadapan Allah. 30 Kemudian hendaklah dia mempersembahkan seekor daripada burung tekukur atau anak burung merpati yang dibawa orang itu mengikut kemampuannya, 31 iaitu seekor lagi untuk korban penghapus dosa dan seekor untuk korban bakaran, berserta persembahan bahan makanan. Hendaklah imam mengadakan pendamaian demi orang yang hendak disucikan itu di hadapan Allah. 32 Begitulah hukum tentang orang yang menghidap jangkitan penyakit kulit yang tidak mampu membawa persembahan untuk penyuciannya.”
33 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, 34 “Apabila kamu telah sampai di Tanah Kanaan yang akan Kukurniakan kepadamu sebagai milikmu dan Aku mendatangkan tanda jangkitan penyakit kulit di sebuah rumah di tanah milikmu itu, 35 maka hendaklah pemilik rumah itu datang memberitahukan sedemikian kepada imam, ‘Padaku, kelihatannya ada semacam tanda jangkitan di rumahku.’ 36 Imam memerintahkan agar rumah itu dikosongkan sebelum dia datang untuk memeriksanya, supaya bukan semua isi rumah itu diisytiharkan sebagai najis kelak. Setelah itu, barulah imam datang untuk memeriksa rumah itu. 37 Hendaklah dia memeriksa tanda jangkitan itu. Jika terbukti tanda pada dinding rumah itu berupa lekuk-lekuk yang kehijau-hijauan atau kemerah-merahan, dan kelihatannya berakar lebih dalam daripada permukaan dinding, 38 maka hendaklah imam keluar dari rumah itu melalui pintu rumah lalu menutup rumah itu selama tujuh hari. 39 Kemudian pada hari ketujuh hendaklah imam datang untuk menjalankan pemeriksaan semula. Jika terbukti tanda itu meluas pada dinding rumah, 40 maka hendaklah dia memerintahkan agar batu-batu yang memiliki tanda jangkitan itu dicungkil dan dibuang ke luar kota, yakni ke sebuah tempat yang najis. 41 Hendaklah dia juga memerintahkan agar seluruh bahagian dalam rumah itu dikikis dan lepa yang terkikis itu hendaklah dibuang ke luar kota, di sebuah tempat yang najis. 42 Akhir sekali, hendaklah batu-batu lain diambil untuk dipasang menggantikan batu-batu yang dibuang tadi, lalu rumah itu harus disapukan dengan lepa yang baru.
43 Jika tanda jangkitan itu muncul kembali dan meluas di dalam rumah itu sesudah batu-batunya dicungkil, dan sesudah dinding-dindingnya dikikis serta dilepa kembali, 44 maka hendaklah imam datang untuk menjalankan pemeriksaan. Jika terbukti tanda itu kian meluas di dalam rumah, maka rumah itu terkena penyakit kusta yang berjangkit, dan rumah itu najis. 45 Batu-batunya, kayu-kayunya, dan seluruh lepa rumah itu hendaklah dibongkar, lalu semuanya hendaklah dibawa ke luar kota, ke sebuah tempat yang najis. 46 Tambahan pula, sesiapa yang masuk ke dalam rumah itu pada bila-bila masa selama rumah itu ditutup, dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 47 Hendaklah sesiapa berbaring ataupun makan di dalam rumah itu mencuci pakaiannya.
48 Jika imam datang dan menurut pemeriksaannya ternyata tanda itu tidak meluas di dalam rumah sesudah rumah itu dilepa, maka hendaklah imam mengisytiharkan bahawa rumah itu suci kerana tanda-tanda itu telah lenyap. 49 Untuk menyucikan rumah itu hendaklah dia mengambil dua ekor burung, kayu araz, kain merah menyala, dan ranting hisop. 50 Hendaklah dia menyembelih salah seekor burung di dalam belanga tanah yang diletakkan di atas air yang mengalir. 51 Kemudian hendaklah dia mengambil kayu araz, ranting hisop, kain merah menyala, dan burung yang masih hidup itu lalu mencelup kesemuanya ke dalam darah burung yang telah disembelih serta air segar tadi, untuk selanjutnya memerciki rumah itu tujuh kali. 52 Hendaklah dia menyucikan rumah itu dengan darah burung, air segar, burung yang hidup, kayu araz, ranting hisop, dan kain merah menyala itu 53 lalu burung yang hidup itu hendaklah pula dilepaskannya di padang yang terbuka di luar kota. Demikianlah caranya dia perlu mengadakan pendamaian bagi rumah itu, dan rumah itu menjadi suci.
54 Itulah hukum tentang semua jenis kudis, jangkitan penyakit kulit, 55 tentang jangkitan penyakit kulit pada pakaian dan rumah, 56 tentang bengkak, ruam, serta bintik-bintik. 57 Hukum ini memberikan petunjuk tentang yang mana najis dan yang mana suci. Itulah hukum tentang jangkitan penyakit kulit.”
 
 
 
 
 
 
15
Lelehan tubuh lelaki
1 Allah berfirman kepada Musa dan Harun, 2 “Beritahu orang Israel, ‘Apabila seseorang lelaki mengeluarkan lelehan daripada tubuhnya, maka lelehan itu najis. 3 Lelehan itu najis sama ada alirnya berterusan atau telah berhenti, dia tetap najis. 4 Setiap tempat tidur orang yang mengeluarkan lelehan itu menjadi najis dan setiap tempat yang didudukinya juga menjadi najis. 5 Hendaklah sesiapa sahaja yang menyentuh tempat tidur orang itu mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 6 Sesiapa sahaja yang duduk di tempat yang telah diduduki orang itu hendaklah mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 7 Hendaklah sesiapa yang menyentuh tubuh orang itu juga mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 8 Jika orang yang mengeluarkan lelehan itu meludahi orang yang suci, maka orang yang diludahi itu harus mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 9 Najis jugalah setiap pelana yang ditunggangi orang yang mengeluarkan lelehan itu. 10 Maka sesiapa menyentuh barang yang pernah ada di bawah orang itu menjadi najis sampai waktu maghrib, dan sesiapa yang mengangkatnya harus mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, lalu dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 11 Jika orang yang mengeluarkan lelehan itu menyentuh orang lain tanpa terlebih dahulu mencuci tangannya dengan air, maka orang yang disentuh itu harus mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 12 Bahkan jika orang yang mengeluarkan lelehan itu menyentuh belanga tanah, maka belanga itu harus dipecahkan, jika disentuhnya mana-mana perkakas kayu, hendaklah perkakas itu dicuci dengan air.
Peraturan penyucian bagi lelehan tubuh lelaki
13 Apabila orang itu sudah suci daripada lelehannya, maka hendaklah dia melalui tujuh hari untuk penyuciannya. Hendaklah dia mencuci pakaiannya, membasuh tubuhnya dengan air segar, dan dia pun menjadi suci. 14 Pada hari kelapan hendaklah dia mengambil dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati lalu datang ke hadapan Allah di pintu Khemah Pertemuan, dan menyerahkan burung-burung itu kepada imam. 15 Hendaklah imam mempersembahkannya, seekor sebagai korban penghapus dosa, dan seekor lagi sebagai korban bakaran. Hendaklah imam mengadakan pendamaian demi orang itu di hadapan Allah kerana lelehannya itu.
16 Jika seorang lelaki mengeluarkan maninya, hendaklah dia membasuh sekujur tubuhnya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 17 Setiap pakaian dan setiap benda daripada kulit yang terkena mani itu harus dicuci dengan air dan menjadi najis sampai waktu maghrib. 18 Demikian pula jika seorang lelaki tidur dengan seorang perempuan lalu lelaki itu mengeluarkan maninya, maka kedua-duanya harus membasuh diri dengan air dan mereka menjadi najis sampai waktu maghrib.
Lelehan daripada tubuh perempuan
19 Jika seorang perempuan mengeluarkan lelehan darah daripada tubuhnya, maka dia dalam keadaan haid selama tujuh hari dan sesiapa pun yang menyentuhnya menjadi najis sampai waktu maghrib. 20 Najislah segala sesuatu yang mengalas tempat tidurnya pada waktu dia sedang haid, dan najis jugalah segala sesuatu yang mengalas tempat duduknya. 21 Sesiapa yang menyentuh tempat tidurnya hendaklah mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai maghrib. 22 Demikian pula sesiapa yang menyentuh tempat yang diduduki perempuan itu juga perlu mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. 23 Begitu juga jika seseorang menyentuh segala sesuatu yang ada di atas tempat tidur atau di atas apa-apa pun yang mengalas tempat duduk perempuan itu, maka najislah dia sampai waktu maghrib. 24 Najislah selama tujuh hari seseorang lelaki yang meniduri perempuan itu lalu terkena lelehan haidnya, dan setiap tempat tidur lelaki itu juga menjadi najis.
25 Jika seorang perempuan mengeluarkan lelehan darah selama beberapa hari di luar masa haidnya, atau jika dia mengeluarkan lelehan lebih lama daripada masa haidnya, maka kenajisannya berlangsung selama dia mengeluarkan lelehan itu. Dia menjadi najis sebanyak bilangan hari haidnya. 26 Najislah setiap tempat tidur yang ditidurinya selama dia mengeluarkan lelehan itu, yakni sama seperti tempat tidur pada masa haidnya, demikian jugalah setiap tempat duduknya menjadi najis, sama seperti kenajisan haidnya. 27 Hendaklah sesiapa sahaja yang menjadi najis kerana menyentuh barang-barang itu mencuci pakaiannya, membasuh dirinya dengan air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib.
Peraturan penyucian bagi lelehan tubuh perempuan
28 Akan tetapi, jika perempuan itu sudah suci daripada lelehannya, hendaklah dia mengira untuk dirinya tempoh selama tujuh hari untuk penyuciannya dan selepas itu sucilah dia. 29 Pada hari kelapan hendaklah dia mengambil dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati lalu datang ke pintu Khemah Pertemuan, ke hadapan Allah, dan menyerahkan burung-burung itu kepada imam. 30 Hendaklah imam mempersembahkan salah seekor sebagai korban penghapus dosa, dan seekor lagi sebagai korban bakaran. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu di hadapan Allah atas sebab lelehannya yang najis itu.
31 Hendaklah kamu memisahkan orang Israel daripada kenajisan mereka dengan cara demikian, supaya jangan mereka mati dalam keadaan bernajis atas sebab menajiskan Khemah Suci-Ku yang ada di tengah-tengah mereka itu.
32 Itulah hukum tentang orang yang mengeluarkan lelehan, tentang lelaki yang terpancut maninya sehingga dia menjadi najis kerananya, 33 dan tentang perempuan yang bernajis dalam tempoh haidnya, tentang lelaki dan perempuan yang mengeluarkan lelehan, dan tentang lelaki yang meniduri perempuan yang bernajis.’ ”
 
 
 
 
 
 
16
Hari penebusan
1 Berfirmanlah Allah kepada Musa selepas kematian kedua-dua orang anak Harun ketika mereka mendekat ke hadapan Allah. 2 bDemikianlah firman Allah kepada Musa, “Beritahu abangmu Harun agar jangan masuk pada sembarangan waktu ke dalam Tempat Suci di sebalik tabir, di hadapan penutup pendamaian yang ada di atas tabut,a supaya jangan dia mati, kerana Aku menampakkan diri di dalam awan di atas penutup pendamaian itu. 3 cBeginilah cara Harun harus masuk ke dalam Tempat Suci: hendaklah dia membawa seekor lembu jantan muda sebagai korban penghapus dosa, dan seekor domba jantan sebagai korban bakaran.
4 Hendaklah dia mengenakan tunik linen yang suci, menutupi auratnya dengan seluar pendek linen dan selempang linen membaluti dirinya serta dengan memakai serban linen. Itulah seperanggu pakaian suci yang perlu dipakainya. Sebelum mengenakan kesemua itu, hendaklah dia memandikan tubuhnya dengan air.
5 Hendaklah dia mengambil dua ekor kambing jantan daripada jemaah Israel sebagai korban penghapus dosa dan seekor domba jantan sebagai korban bakaran. 6 Hendaklah Harun mempersembahkan lembu jantan bagi dirinya sendiri untuk dijadikan korban penghapus dosa, untuk mengadakan pendamaian demi dirinya serta demi keluarganya. 7 Setelah itu, hendaklah dia mengambil kedua-dua ekor kambing jantan tadi lalu menempatkannya di hadapan Allah, di depan pintu Khemah Pertemuan. 8 Hendaklah Harun mencabut undi atas kedua-dua ekor kambing jantan itu, satu undi bagi Allah dan satu undi lagi bagi Azazeld 9 maka hendaklah Harun mempersembahkan kambing jantan yang terundi untuk Allah dan menyediakannya sebagai korban penghapus dosa. 10 Akan tetapi, kambing jantan yang terundi bagi Azazel hendaklah ditempatkan hidup-hidup di hadapan Allah untuk upacara pendamaian, lalu dilepaskan ke gurun untuk Azazel.
11 Untuk dirinya, hendaklah Harun mempersembahkan lembu jantan yang akan dijadikan korban penghapus dosa, untuk kemudian mengadakan pendamaian bagi dirinya serta demi keluarganya. Hendaklah lembu jantan itu disembelihnya sebagai korban penghapus dosa bagi dirinya. 12 Hendaklah dia mengambil pendupaan yang dipenuhi bara api daripada mazbah di hadapan Allah serta segenggam penuh dupa harum yang ditumbuk halus, lalu membawanya masuk ke balik tabir. 13 Dupa itu hendaklah diletakkannya di atas api di hadapan Allah, sehingga asap dupa itu menyelubungi penutup pendamaian yang ada di atas tabut loh hukum supaya dia tidak mati. 14 Hendaklah dia mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan itu lalu memercikkannya dengan jarinya ke atas penutup pendamaian itu di sebelah timur dan sebahagian lagi daripada darah itu dipercikkannya di bahagian depan penutup pendamaian itu sebanyak tujuh kali dengan jarinya.
15 eSelanjutnya, hendaklah dia menyembelih kambing jantan yang dijadikan korban penghapus dosa bagi umat, lalu membawa darahnya masuk ke balik tabir. Hendaklah darah itu diperlakukan sebagaimana yang dibuat pada darah lembu jantan tadi, iaitu memercikkannya ke sebelah atas serta ke sebelah depan penutup pendamaian. 16 Hendaklah dia mengadakan pendamaian demi Tempat Suci atas sebab kenajisan orang Israel dan kerana segala pelanggaran mereka yang berkaitan dengan apa-apa pun dosa mereka. Demikianlah yang harus diperlakukannya ke atas Khemah Pertemuan yang ada bersama-sama mereka di tengah-tengah kenajisan mereka. 17 Tiada seorang pun boleh berada di dalam Khemah Pertemuan ketika Harun masuk untuk mengadakan pendamaian di Tempat Suci, sampai dia keluar sesudah selesai mengadakan pendamaian demi dirinya, demi keluarganya, dan demi seluruh kalangan umat Israel. 18 Kemudian hendaklah dia keluar menuju mazbah yang ada di hadapan Allah, lalu mengadakan pendamaian demi mazbah itu. Hendaklah dia mengambil sebahagian daripada darah lembu jantan dan daripada darah kambing jantan itu, lalu membubuhnya pada tanduk-tanduk di sekeliling mazbah. 19 Sebahagian daripada darah itu hendaklah dipercikkannya sebanyak tujuh kali dengan jarinya ke mazbah. Demikianlah cara mazbah disucikan daripada kenajisan orang Israel.
20 Setelah selesai mengadakan pendamaian demi Tempat Suci, demi Khemah Pertemuan, dan demi mazbah, hendaklah Harun mempersembahkan kambing jantan yang hidup. 21 Hendaklah Harun meletakkan kedua-dua tangannya di atas kepala kambing jantan yang hidup itu dan mengakui di atasnya segala kesalahan orang Israel serta segala pelanggaran mereka, atas apa-apa sahaja jenis dosa mereka. Hendaklah kesemuanya ditanggungkannya ke atas kepala kambing jantan itu, lalu kambing itu dilepaskan ke gurun dengan perantaraan seorang yang sudah disiapkan untuk tugas tersebut. 22 Kambing jantan itu akan memikul segala kesalahan mereka ke tanah yang sunyi, dan kambing jantan itu harus dilepaskan di gurun.
23 fKemudian, hendaklah Harun masuk ke dalam Khemah Pertemuan, menanggalkan pakaian linen yang dikenakannya sewaktu dia masuk ke dalam Tempat Suci sebelumnya, lalu meninggalkannya di situ. 24 Hendaklah dia membasuh tubuhnya dengan air di tempat yang suci dan mengenakan pakaiannya sendiri. Setelah itu, hendaklah dia keluar dan mempersembahkan korban bakaran bagi dirinya serta korban bakaran umat, lalu mengadakan pendamaian demi dirinya dan demi umat. 25 Hendaklah lemak korban penghapus dosa itu dibakarnya di atas mazbah. 26 Sementara itu, hendaklah orang yang melepaskan kambing jantan bagi Azazel tadi mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air. Sesudah itu, barulah dia boleh masuk ke perkhemahan. 27 gLembu jantan dan kambing jantan korban penghapus dosa, yang darahnya telah dibawa masuk ke dalam Tempat Suci untuk upacara pendamaian itu hendaklah dibawa ke luar perkhemahan. Hendaklah kulitnya, dagingnya, dan kotorannya dibakar habis. 28 Orang yang membakar kesemua itu hendaklah mencuci pakaiannya dan membasuh tubuhnya dengan air. Sesudah itu, barulah dia boleh masuk ke perkhemahan.
29 hHendaklah hal ini menjadi peraturan tetap seterusnya bagi kamu, iaitu bahawa pada hari kesepuluh pada bulan ketujuh, hendaklah kamu merendahkan diri dengan berpantang dan tidak melakukan sebarang pekerjaan pun, baik warga asli mahupun pendatang asing yang menghuni di tengah-tengah kalangan kamu, 30 kerana pada hari itu akan diadakan pendamaian bagi kamu, untuk menyucikan kamu. Kamu akan disucikan di hadapan Allah daripada segala dosamu. 31 Hari itu hari Sabat bagi istirahat sepenuhnya bagimu, dan hendaklah kamu merendahkan diri dengan berpantang. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa untuk seterusnya. 32 Hendaklah imam yang mengadakan pendamaian itu diurapi dan ditahbiskan untuk menjalankan tugas-tugas imam bagi menggantikan ayahnya. Dengan mengenakan pakaian linen, iaitu pakaian suci, 33 hendaklah dia mengadakan pendamaian demi Tempat Suci, demi Khemah Pertemuan, demi mazbah, demi para imam, dan demi seluruh umat, iaitu kesemua anggota jemaah. 34 Hendaklah hal ini menjadi ketetapan untuk seterusnya bagi kamu, iaitu bahawa setahun sekali hendaklah diadakan pendamaian demi orang Israel atas segala dosa mereka.”
Maka seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa, itulah yang dilakukan Harun.
 
 
 
 
 
 
17
Penyembelihan haiwan
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Katakanlah kepada Harun dan anak-anaknya serta kepada seluruh orang Israel, ‘Inilah yang diperintahkan oleh Allah: 3 Apabila sesiapa daripada keturunan kaum Israel menyembelih lembu, domba, atau kambing baik di dalam mahupun di luar perkhemahan 4 namun tidak membawanya untuk dipersembahkan di pintu Khemah Pertemuan sebagai korban kepada Allah di hadapan Khemah Suci-Nya, maka orang itu dianggap berhutang darah, iaitu dia telah menumpahkan darah, dan dia harus disingkirkan daripada kalangan bangsanya. 5 Perintah itu bertujuan agar korban sembelihan yang biasa dipersembahkan oleh orang Israel di padang terbuka mereka dibawa kepada Allah dengan menyerahkannya kepada imam di pintu Khemah Pertemuan, dan dipersembahkan sebagai korban kedamaian kepada Allah. 6 Hendaklah imam memercikkan darah korban itu ke mazbah Allah di pintu Khemah Pertemuan, lalu membakar lemaknya hingga keharuman diredai Allah. 7 Mereka tidak boleh lagi mempersembahkan korban sembelihan mereka kepada jin kambing—sebelumnya mereka seumpama menyundalkan diri dengan menyembah jin itu. Inilah peraturan yang tetap dan berkekalan terhadap mereka turun-temurun.
8 Katakanlah ini juga kepada mereka: Apabila sesiapa daripada keturunan kaum Israel atau warga asing yang menghuni dengan mereka mempersembahkan korban bakaran atau korban sembelihan 9 namun tidak dibawanya untuk mempersembahkannya di pintu Khemah Pertemuan sebagai korban kepada Allah, maka hendaklah orang itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya.’ ”
Larangan memakan darah atau bangkai
10 b“Apabila sesiapa daripada keturunan kaum Israel atau warga asing yang menghuni dengan mereka memakan darah, dia akan Aku musuhi dan akan Aku singkirkan daripada kalangan bangsanya.a 11 cNyawa sesuatu makhluk itu ada di dalam darahnya, dan Aku telah menentukan agar darah itu dicurahkan bagimu di atas mazbah untuk pendamaian demi nyawamu, kerana darah yang merupakan nyawa, memungkinkan terjadinya pendamaian. 12 Atas sebab itulah Aku berfirman kepada orang Israel: Tiada seorang pun antara kamu boleh makan darah dan begitu jugalah warga asing yang menghuni antara kamu.
13 Apabila sesiapa daripada umat Israel atau warga asing yang menghuni dengan kamu memburu seekor binatang atau burung yang halal dimakan, hendaklah dia menumpahkan darah makhluk itu lalu menutupinya dengan tanah; 14 kerana bagi setiap makhluk, darahnya ialah nyawanya. Lantaran itu, Aku berfirman kepada orang Israel: Janganlah kamu memakan darah makhluk apa-apa pun, kerana nyawa setiap makhluk ada di dalam darahnya. Hendaklah sesiapa pun yang memakannya disingkirkan.
15 Hendaklah setiap orang, baik warga asli mahupun warga asing, yang memakan bangkai atau haiwan yang dikoyak-koyak oleh binatang buas, mencuci pakaiannya, mandi di dalam air, dan dia menjadi najis sampai waktu maghrib. Sesudah itu, barulah dia menjadi suci. 16 Tetapi jika dia tidak mencuci pakaiannya dan tidak membasuh tubuhnya, hendaklah dia menanggung akibat daripada kesalahannya.”
 
 
 
 
 
 
18
Hubungan jenis yang terlarang
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Akulah Allah, Tuhanmu. 3 Janganlah kamu lakukan kegiatan seperti yang terdapat di Tanah Mesir, di mana kamu menghuni dahulu; dan janganlah kamu lakukan kegiatan seperti yang terdapat di Tanah Kanaan, ke mana Aku membawa kamu. Dan jangan kamu jalani kehidupanmu menurut segala hukum dan peraturan mereka. 4 Kamu dimestikan mematuhi segala hukum dan peraturan-Ku dan kehidupan kamu mestilah berpegang teguh pada kesemua ketetapan. Akulah Allah, Tuhanmu. 5 aTaatilah segala ketetapan-Ku dan peraturan-Ku, kerana jika seseorang melakukannya, dia akan hidup mengikutnya. Akulah Allah.
6 Janganlah seorang pun antara kamu menghampiri sesiapa yang menjadi kerabat dekatnya untuk menidurinya. Akulah Allah. 7 Janganlah meniduri ayahmu dan janganlah meniduri ibumu. Dia ibumu, jangan engkau menidurinya. 8 bJangan meniduri isteri ayahmu, kerana hal itu mengaibkan ayahmu. 9 cJangan meniduri saudara perempuanmu, anak ayahmu atau anak ibumu, baik yang lahir serumah mahupun yang lahir di luar. Jangan menidurinya. 10 Jangan meniduri cucu perempuan, baik daripada anak lelakimu atau anak perempuanmu, kerana hal itu mengaibkan dirimu sendiri. 11 Jangan meniduri adik tiri perempuan daripada isteri ayahmu yang melahirkannya baginya, kerana dia saudara perempuanmu, jangan engkau menidurinya. 12 dJangan meniduri saudara perempuan ayahmu; dia kerabat terdekat ayahmu. 13 Jangan meniduri saudara perempuan ibumu; dia kerabat terdekat ibumu. 14 Jangan aibkan saudara lelaki ayahmu dengan meniduri isterinya; dia ibu saudaramu. 15 eJangan meniduri menantu perempuanmu kerana dia isteri anakmu. Jangan menidurinya. 16 fJangan meniduri isteri saudara lelakimu, kerana hal itu mengaibkan saudaramu. 17 gJangan meniduri seorang perempuan dan juga dengan anak perempuannya. Juga, jangan meniduri cucu perempuannya, baik daripada anak lelakinya mahupun daripada anak perempuannya, kerana mereka kerabat dekatnya dan hal itu mengaibkan. 18 Jangan mengahwini saudara perempuan isterimu dan menyetubuhinya selama isterimu itu masih hidup.
19 hJangan hampiri seorang perempuan untuk menidurinya pada waktu dia najis kerana sedang haid. 20 iJangan meniduri isteri sesamamu, lantas engkau menajiskan dirimu dengannya. 21 jJangan serahkan seorang daripada keturunanmu untuk dipersembahkan kepada Molokh, dan jangan cemarkan nama Tuhanmu. Akulah Allah. 22 kJangan meniduri lelaki seperti meniduri perempuan; itu hal yang keji. 23 lJangan meniduri binatang jenis apa-apa pun sehingga kamu menajiskan dirimu dengan binatang itu. Seorang perempuan tidak boleh mengambil tempat di depan seekor binatang untuk melakukan hubungan jenis dengan haiwan itu kerana perbuatan itu keji.
24 Jangan najiskan dirimu dengan semua itu, kerana bangsa-bangsa yang akan Kuusir dari hadapanmu telah menajiskan diri mereka dengan semua hal itu. 25 Bumi itu juga menjadi najis lalu Aku menghukum dosanya sehingga negeri itu memuntahkan penduduknya. 26 Akan tetapi, kamu baik warga asli mahupun pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu, mesti berpegang teguh pada segala ketetapan-Ku dan peraturan-Ku. Jangan lakukan satu pun daripada segala hal keji itu, 27 kerana penduduk negeri ini sebelum kamu telah melakukan segala hal keji itu sehingga bumi itu menjadi najis. 28 Jika kamu menajiskannya, maka negeri itu akan memuntahkan kamu, sebagaimana bangsa yang tinggal sebelum kamu dimuntahkannya. 29 Sesiapa pun yang melakukan satu sahaja daripada segala hal keji itu hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya.
30 Maka berpeganglah dengan teguh segala kewajipanmu terhadap Aku dan jangan lakukan satu pun daripada segala perbuatan keji yang dilakukan oleh warga sebelum kamu. Jangan najiskan dirimu dengan semua itu. Akulah Allah, Tuhanmu.’ ”
 
 
 
 
 
 
19
Peraturan-peraturan keagamaan
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 a“Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel, ‘Hendaklah kamu suci, kerana Aku, Allah, Tuhanmu, suci. 3 bHendaklah setiap orang daripada kamu penuh takzim kepada ibu dan ayahnya serta memelihara hari Sabat-Ku. Akulah Allah, Tuhanmu.
4 cJanganlah berpaling lalu menyembah apa-apa berhala dan janganlah kamu buat apa-apa tuhan tuangan. Akulah Allah, Tuhanmu.
5 Apabila kamu mempersembahkan korban kedamaian kepada Allah, hendaklah kamu mempersembahkannya sedemikian supaya persembahan itu diterima demi dirimu. 6 Hendaklah korban itu dimakan pada hari kamu mempersembahkannya atau pada keesokan harinya; tetapi hendaklah dibakar habis segala yang tersisa sampai hari ketiga. 7 Jika ada yang dimakan juga pada hari ketiga, maka kejilah korban itu dan tidaklah korban itu akan diterima. 8 Apatah lagi, hendaklah sesiapa yang memakannya menanggung kesalahannya mencemari persembahan suci untuk Allah. Hendaklah orang itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya.
9 dApabila kamu menuai hasil tanahmu, hendaklah kamu menuai ladangmu tidak habis sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut saki-baki tuaianmu. 10 Demikian jugalah, jangan kamu petik kebun anggurmu sampai habis licin dan janganlah kamu pungut buah anggur yang berguguran di kebun anggurmu. Hendaklah kamu tinggalkanlah semua itu untuk para fakir miskin serta pendatang. Akulah Allah, Tuhanmu.
11 eJangan mencuri, menipu atau berbohong antara satu sama lain.
12 fJangan bersumpah palsu atas nama-Ku agar jangan sampai kamu mencemarkan nama Tuhanmu. Akulah Allah.
13 gJangan menindas atau merompak sesamamu manusia; dan secara khususnya, jangan kamu tahan pembayaran upah seseorang semalaman sampai pagi harinya. 14 hJangan kamu mengutuk orang yang pekak dan jangan kamu letakkan batu sandungan di laluan orang buta. Bertakwalah kepada Tuhanmu. Akulah Allah.
15 iJangan berlaku tidak adil dalam pengadilan, usah bersikap berat kepada orang miskin dan usah lebih menghormati kalangan yang besar dan berkuasa, melainkan mengadili sesama manusia secara benar. 16 Jangan ke sana ke mari menyebar fitnah dalam kalangan umat sebangsamu, begitu juga jangan berdiam diri sahaja tatkala nyawa sesamamu terancam. Akulah Allah.
17 jJangan kamu membenci saudaramu dalam hatimu tetapi berikan teguran sesamamu secara berterus terang agar kamu tidak terbawa dosa kerana dia. 18 kJangan membalas dendam ataupun berdendam kepada sesiapa antara umat sebangsamu, tetapi kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri. Akulah Allah.
19 lBerpegang teguhlah pada segala ketetapan-Ku. Jangan membiak baka kacukan daripada dua jenis haiwan ternakanmu. Jangan semai dua jenis benih bijirin di ladangmu. Jangan kenakan pada tubuhmu pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang.
20 Seandainya seorang lelaki meniduri seorang hamba perempuan yang telah dijanjikan untuk menjadi gundik seseorang tetapi belum pernah ditebus dan dimerdekakan, maka perlu diadakan penyiasatan. Namun begitu, janganlah mereka dihukum mati, kerana perempuan itu belum dimerdekakan. 21 Sebagai pemampasan, hendaklah lelaki itu membawa seekor domba jantan sebagai korban penebus kesalahannya ke pintu Khemah Pertemuan untuk dipersembahkan kepada Allah. 22 Hendaklah imam mengadakan pendamaian dengan domba jantan korban penebus kesalahan bagi orang itu di hadapan Allah kerana dosanya, dan orang itu akan diampuni.
23 Apabila kamu meneroka negeri itu lalu kamu menanam segala jenis pohon buah-buahan, maka hendaklah selama tiga tahun buahnya kamu pandang sebagai buah terlarang. Jangan kamu memakannya. 24 Pada tahun keempat kesemua buahnya hendaklah suci dan menjadi sebagai suatu persembahan puji-pujian kepada Allah. 25 Pada tahun kelima barulah kamu boleh memakan buahnya. Dengan demikian, pohon-pohon itu akan memberikan hasil kepadamu. Akulah Allah, Tuhanmu.
26 mJangan memakan sesuatu dengan darahnya. Jangan bernujum dan jangan lakukan peramalan nasib. 27 nJangan kamu cukur licin rambut di pelipismu dan jangan rosakkan tepi janggutmu. 28 Jangan buat torehan pada daging tubuhmu demi orang yang mati dan jangan cacah kulitmu. Akulah Allah.
29 oJangan cemarkan anak perempuanmu dengan menjadikannya pelacur agar bumi itu tidak terjerumus dalam kancah persundalan lalu dipenuhi oleh keaiban. 30 pPeliharalah hari-hari Sabat-Ku dan hormatilah tempat suci-Ku. Akulah Allah.
31 qJangan menggunakan khidmat pemanggil arwah dan para ahli sihir. Jangan mencari mereka sehingga kamu tercemar kerana mereka. Akulah Allah, Tuhanmu.
32 Bangkitlah berdiri di hadapan orang yang sudah beruban, hormatilah orang yang sudah tua, dan bertakwalah kepada Tuhanmu. Akulah Allah.
33 rJika seorang warga asing tinggal dalam kalangan kamu di negerimu, jangan kamu tindas dia. 34 Sebaliknya, hendaklah kamu menganggap pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu itu sebagai warga asal sepertimu. Kasihilah dia seperti dirimu sendiri, kerana kamu pun dahulu pendatang di Tanah Mesir. Akulah Allah, Tuhanmu.
35 sJangan berlaku curang dalam hal ukuran, dalam hal timbangan, dan dalam hal sukatan. 36 Gunakanlah neraca yang betul, batu timbangan yang betul, efat yang betul, dan hinu yang betul. Akulah Allah, Tuhanmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir. 37 Berpegang teguhlah pada segala ketetapan-Ku dan segala peraturan-Ku, dan lakukanlah semua itu. Akulah Allah.’ ”
 
 
 
 
 
 
20
Pelbagai perbuatan keji dan hukumannya
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Sesiapa pun daripada orang Israel atau warga pendatang antara orang Israel yang mempersembahkan seorang daripada keturunannya kepada Dewa Molokh, dia mesti dihukum mati. Rakyat negeri harus merejam dia dengan batu. 3 Aku juga akan memusuhi dan akan menyingkirkan orang itu daripada kalangan bangsanya, kerana dia mempersembahkan anaknya kepada Dewa Molokh, lantas menajiskan tempat suci-Ku dan mencemarkan nama-Ku yang suci. 4 Jika warga negeri menutup mata terhadap orang itu ketika dia mempersembahkan anaknya kepada Molokh, dan mereka tidak menghukum mati orang itu, 5 maka Aku sendiri akan menentang orang itu serta kaum keluarganya. Aku akan menyingkirkan dia daripada kalangan bangsanya, juga kesemua orang yang turut terpesong sepertinya dengan menyembah Molokh.
6 Orang yang berpaling kepada pemanggil arwah dan ahli sihir sehingga terpesong lantaran mengikut mereka itu akan Kumusuhi dan Kusingkirkan daripada kalangan bangsanya. 7 Oleh itu, sucikanlah dirimu dan jadilah suci kerana Akulah Allah, Tuhanmu. 8 Berpegang teguhlah pada segala ketetapan-Ku dan amalkanlah kesemuanya. Akulah Allah yang menyucikan kamu.
9 aSesungguhnya, sesiapa pun yang mengutuk ayahnya atau ibunya, dia pasti dihukum mati dan hutang darahnya tertanggung atas dirinya sendiri.
10 bSeseorang lelaki yang berzina dengan isteri orang lain, iaitu isteri sesama jirannya, pastilah dia dihukum mati, dan begitu jugalah perempuan yang berzina itu dihukum mati. 11 cSeseorang lelaki yang meniduri isteri ayahnya bererti bahawa dia mengaibkan ayahnya. Kedua-duanya pasti dihukum mati, dan darah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri. 12 dJika seorang lelaki meniduri menantu perempuannya, maka pastilah kedua-duanya dihukum mati. Mereka telah melakukan suatu kemungkaran, dan darah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri. 13 eJika seorang lelaki meniduri lelaki lain sebagaimana lelaki meniduri perempuan, maka kedua-duanya melakukan perkara yang keji. Mereka mesti dihukum mati dan darah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri. 14 fJika seorang lelaki memperisteri seorang perempuan dan sekali gus juga ibunya, maka hal itu suatu kehinaan. Hendaklah ketiga-tiga mereka, iaitu lelaki itu dan kedua-dua orang perempuan itu harus dibakar dengan api, supaya jangan ada kecabulan dalam kalangan kamu. 15 gJika seorang lelaki meniduri seekor binatang, dia mesti dihukum mati, dan hendaklah kamu juga bunuh binatang itu. 16 Jika seorang perempuan menghampiri binatang apa-apa pun untuk menidurinya, maka hendaklah kamu membunuh perempuan itu dan juga binatang itu. Hendaklah kedua-duanya dibunuh dan darah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri.
17 hJika seorang lelaki memperisteri saudara perempuannya, sama ada anak ayahnya atau anak ibunya, maka dia seterusnya melihat aurat perempuan itu dan perempuan itu melihat auratnya, maka perkara itu sesuatu yang memalukan. Hendaklah mereka disingkirkan daripada depan mata umat sebangsa mereka. Atas sebab lelaki itu telah meniduri saudara perempuannya, maka hendaklah dia menanggung kesalahannya. 18 iJika seorang lelaki meniduri seorang perempuan yang sedang haid sehingga dia menyingkapkan lelehan darah perempuan itu dan perempuan itu menyingkapkan lelehan darahnya, maka hendaklah kedua-duanya disingkirkan daripada kalangan bangsa mereka.
19 jJangan meniduri saudara perempuan ibumu atau saudara perempuan ayahmu, kerana orang yang berbuat demikian mengaibkan kerabat sendiri. Hendaklah kedua-duanya menanggung kesalahan mereka. 20 Jika seorang lelaki meniduri ibu saudaranya, dia mengaibkan bapa saudaranya. Hendaklah mereka menanggung dosa mereka dan mereka akan mati tanpa mempunyai anak. 21 kJika seorang lelaki memperisteri isteri saudaranya, maka hal itu suatu perbuatan yang tercemar. Dia mengaibkan saudaranya itu dan mereka tidak akan mempunyai anak.
22 Oleh itu, taatilah segala ketetapan-Ku dan segala peraturan-Ku, serta amalkanlah kesemuanya supaya jangan kamu dimuntahkan oleh negeri ke mana Aku membawamu untuk kamu huni. 23 Jangan hidup menurut kebiasaan bangsa-bangsa yang akan Kuusir daripadamu, kerana mereka telah melakukan semua kemungkaran seperti yang tersebut itulah, maka Aku amat membenci mereka. 24 Tetapi Aku berfirman kepadamu: Kamu akan menduduki tanah mereka dan Aku akan mengurniakannya kepadamu untuk menjadi milikmu, negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu. Akulah Allah, Tuhanmu, yang telah mengasingkan kamu daripada bangsa-bangsa lain. 25 Oleh sebab itu, kamu harus mengasingkan haiwan yang suci daripada yang najis, demikian pula burung yang najis daripada yang suci. Jangan kamu cemari dirimu dengan haiwan, burung, atau segala yang merayap di tanah, yang telah Kuasingkan untuk kamu golongkan sebagai najis. 26 Hendaklah kamu suci untuk-Ku kerana Aku, Allah, suci adanya, dan Aku telah mengasingkan kamu daripada bangsa-bangsa lain supaya kamu menjadi milik-Ku.
27 Seorang lelaki atau perempuan yang menjadi pemanggil arwah atau ahli sihir pastinya dihukum mati. Hendaklah mereka direjam dengan batu dan darah mereka tertanggung atas diri mereka sendiri.”
 
 
 
 
 
 
21
Pelbagai peraturan demi kesucian para imam
1 Allah berfirman kepada Musa, “Berbicaralah kepada para imam, iaitu anak-anak Harun, dan katakanlah kepada mereka, ‘Seorang imam tidak boleh menajiskan dirinya dengan menyentuh sesiapa pun yang mati daripada kalangan umat sebangsanya, 2 kecuali para saudara terdekat yang sedarah sedaging dengannya seperti ibunya, ayahnya, anak lelakinya, anak perempuannya, saudara lelakinya, 3 atau saudara perempuannya yang masih perawan dan yang belum bersuami. Dengan mereka itu dia boleh menajiskan diri. 4 Sebagai seorang ketua dalam kalangan bangsanya, dia tidak boleh menajiskan diri sehingga dirinya tercemar.
5 aPara imam tidak boleh menggondolkan kepala mereka, mencukur tepi janggut mereka, ataupun membuat torehan pada tubuh mereka. 6 Sebaliknya, hendaklah mereka suci untuk Tuhan mereka dan tidak boleh mencemarkan nama Tuhan mereka, kerana merekalah yang mempersembahkan korban bakaran untuk Allah, iaitu santapan berupa korbanb kepada Tuhan mereka. Oleh itu, mereka haruslah suci. 7 Mereka tidak boleh memperisteri perempuan sundal atau perempuan yang ternoda atau perempuan yang sudah diceraikan oleh suaminya, kerana imam itu suci untuk Tuhan mereka. 8 Hendaklah kamu tahbiskan dia kerana dialah yang mempersembahkan santapan berupa korban kepada Tuhanmu. Hendaklah dia suci buat kamu kerana Aku, Allah yang menyucikan kamu, sememangnya kudus. 9 Jika anak perempuan seorang imam menjadi pelacur lantas mencemarkan dirinya, dia mencemarkan ayahnya, dan hendaklah dia dibakar dengan api.
10 Orang yang menjadi imam besar dalam kalangan saudaranya, iaitu yang kepalanya sudah dicurahi minyak tahbis dan yang sudah dilantik untuk mengenakan pakaian suci, tidak boleh menguraikan rambutnya dan tidak boleh mengoyakkan pakaiannya. 11 Dia tidak boleh mendekati mayat sesiapa pun, bahkan tidak boleh menajiskan diri dengan jenazah ayahnya atau ibunya. 12 Dia tidak boleh keluar dari tempat suci dan tidak boleh mencemari tempat suci Tuhannya, kerana minyak tahbis Tuhannya ada padanya. Akulah Allah. 13 Hendaklah dia memperisteri seorang perawan. 14 Tidak boleh dia memperisteri seorang balu, perempuan yang sudah diceraikan, perempuan yang ternoda, atau perempuan sundal. Dia hanya diperkenankan memperisteri seorang perawan dalam kalangan bangsanya, 15 supaya jangan dia mencemarkan keturunannya antara umatnya, kerana Akulah Allah yang menyucikannya.’ ”
16 Allah berfirman kepada Musa, 17 “Katakanlah kepada Harun, ‘Sesiapa pun antara keturunanmu turun-temurun yang cacat tubuhnya tidak boleh tampil untuk mempersembahkan santapan berupa korban kepada Tuhannya. 18 Sebabnya tiada sesiapa pun yang memiliki cacat tubuh boleh tampil: sama ada orang buta, orang tempang, orang yang cacat mukanya, orang yang cacat teruk atau terlalu panjang anggota tubuhnya, 19 orang yang patah kakinya atau yang patah tangannya, 20 orang yang belakangnya bongkok melengkung, orang kerdil, orang yang ada selaput pada matanya, orang yang berkudis, orang yang berkurap, atau orang yang rosak buah zakarnya. 21 Tiada seorang pun daripada keturunan Imam Harun yang cacat tubuhnya boleh tampil untuk mempersembahkan korban bakaran untuk Allah. Tubuhnya cacat, maka dia tidak boleh tampil untuk mempersembahkan santapan berupa korban kepada Tuhannya. 22 Dia boleh memakan santapan Tuhannya itu, baik yang teramat suci mahupun yang suci. 23 Oleh sebab tubuhnya cacat, maka dia tidak boleh masuk ke balik tabir dan tidak boleh mendekati mazbah atau tempat pembakaran korban, supaya jangan dia mencemari tempat suci-Ku kerana Akulah Allah yang menyucikan mereka.’ ”
24 Demikianlah yang dikatakan Musa kepada Harun, kepada anak-anaknya, dan kepada seluruh orang Israel.
 
 
 
 
 
 
22
Peraturan tentang persembahan korban
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Katakanlah kepada Harun dan anak-anaknya agar mereka mengawasi diri terhadap persembahan-persembahan suci yang ditakdiskan orang Israel bagi-Ku, supaya jangan mereka mencemarkan nama-Ku yang suci. Akulah Allah. 3 Katakanlah kepada mereka: Sesiapa pun daripada semua keturunanmu turun-temurun, yang dalam keadaan najis mendekati persembahan-persembahan suci yang ditakdiskan orang Israel untuk Allah, hendaklah dia disingkirkan daripada hadapan-Ku. Akulah Allah.
4 Sesiapa pun daripada keturunan Harun yang sakit kusta atau yang mengeluarkan lelehan tidak boleh memakan persembahan-persembahan suci sebelum dia menjadi suci. Jika seseorang menyentuh sesuatu yang najis kerana mayat atau kerana orang yang keluar air maninya, 5 dan jika seseorang menyentuh seekor binatang merayap yang menajiskan dia ataupun manusia yang menajiskan dia, baik apa-apa pun kenajisannya, 6 maka orang itu menjadi najis sampai waktu maghrib. Dia tidak boleh makan daripada persembahan-persembahan suci, kecuali jika dia sudah membasuh tubuhnya dengan air. 7 Setelah matahari terbenam barulah dia menjadi suci, dan sesudah itu, dia boleh makan daripada persembahan-persembahan suci, kerana itu memang makanannya. 8 Dia tidak boleh memakan bangkai atau haiwan yang dikoyak-koyak binatang buas, kerana dengan demikian dia menjadi najis. Akulah Allah.
9 Para imam wajib memegang teguh kewajipan mereka terhadap-Ku, supaya jangan mereka menanggung dosa sehubungan dengan hal itu lalu mati kerananya, iaitu atas sebab mereka mencemari kewajipan itu. Akulah Allah yang menyucikan mereka.
10 Tiada sesiapa dalam kalangan bukan imam yang boleh memakan apa-apa persembahan suci dan begitu jugalah perantau yang menumpang kediaman imam ataupun pekerja upahannya tidak boleh memakan persembahan suci. 11 Namun begitu, jika imam ada hamba yang dibelinya, hamba itu dan sesiapa juga yang lahir di rumah imam, boleh memakan apa yang dimakan oleh imam itu. 12 Anak perempuan imam yang bersuamikan orang awam tidak boleh memakan persembahan khusus daripada segala persembahan suci. 13 Namun demikian, jika anak perempuan imam itu menjadi balu atau bercerai tanpa mempunyai keturunan lalu kembali ke rumah ayahnya seperti pada masa mudanya, dia boleh makan apa yang dimakan ayahnya, tetapi semua orang awam tidak boleh memakannya.
14 Jika seseorang tanpa sengaja memakan persembahan suci, maka hendaklah dia membayar ganti persembahan suci itu kepada imam dengan menambah seperlima daripada nilainya. 15 Para imam tidak boleh mencemari segala persembahan suci yang dipersembahkan orang Israel kepada Allah, 16 lantas dengan demikian mereka menyebabkan orang Israel menanggung kesalahan yang harus ditebus, apabila orang Israel itu memakan persembahan suci mereka. Akulah Allah yang menyucikan mereka.”
17 Allah berfirman kepada Musa, 18 “Berbicaralah kepada Harun dan anak-anaknya, dan kepada seluruh orang Israel, dan katakanlah kepada mereka, ‘Sesiapa pun dalam kalangan keturunan kaum Israel atau warga pendatang dalam kalangan orang Israel yang membawa persembahannya, baik korban nazar mahupun korban sukarela yang hendak dipersembahkannya sebagai korban bakaran kepada Allah, 19 hendaklah dia mempersembahkan seekor haiwan jantan yang tidak bercacat cela daripada lembu, domba, atau kambing, supaya persembahan itu diterima-Nya demi kamu. 20 aKamu tidak boleh mempersembahkan apa-apa pun yang ada cacat cela kerana persembahan itu tidak akan diterima-Nya demi kamu. 21 Sesiapa sahaja yang mempersembahkan korban kedamaian kepada Allah sama ada sebagai pembayar nazar khusus atau sebagai korban sukarela daripada kawanan lembu, kambing atau domba, maka korban itu hendaklah tidak bercacat cela, agar Dia berkenan menerimanya. Tidak boleh ada apa-apa yang cacat pun pada tubuh haiwan korbannya. 22 Jangan persembahkan kepada Allah binatang yang buta, yang luka, yang kudung, yang ada kudis bernanah lagi busuk, atau yang berkurap, dan jangan serahkan semua itu sebagai korban bakaran di atas mazbah untuk Allah. 23 Seekor lembu jantan atau anak domba yang terlalu panjang atau terlalu pendek anggota tubuhnya boleh kamu persembahkan sebagai persembahan sukarela, tetapi tidak sebagai korban nazar, kerana Dia tidak akan berkenan menerimanya. 24 Binatang yang buah pelirnya terjepit, atau dikerat, terluka janganlah kamu persembahkan kepada Allah. Hal itu tidak boleh kamu lakukan di bumimu.
25 Jangan menerima binatang seperti itu daripada tangan orang asing lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk bersyukur kepada Tuhanmu, kerana semua binatang itu rosak dan memiliki kecacatan tubuh dan Dia tidak akan berkenan menerimanya demi kamu.’ ”
26 Allah berfirman kepada Musa, 27 “Hendaklah seekor anak haiwan, yakni lembu, domba, atau kambing yang baru lahir berada dengan induknya selama tujuh hari, tetapi mulai hari kelapan dan seterusnya haiwan itu sudah boleh dijadikan korban persembahan yang dibakar untuk Allah. 28 Namun begitu, jangan sembelih seekor lembu atau domba dengan anaknya pada hari yang sama. 29 Apabila kamu mempersembahkan korban syukur kepada Allah, hendaklah kamu mempersembahkannya sedemikian rupa agar Dia berkenan menerimanya demi kamu. 30 Korban itu mesti dimakan pada hari itu juga, dan jangan tinggalkan sisa sampai pagi hari esoknya. Akulah Allah.
31 Kamu wajib mentaati segala perintah-Ku dan mengamalkan kesemuanya. Akulah Allah. 32 Janganlah kamu mencemarkan nama-Ku yang suci. Aku mesti disembah sebagai Yang Maha Suci di tengah-tengah orang Israel. Akulah Allah yang menyucikan kamu, 33 yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir supaya Aku menjadi Tuhanmu. Akulah Allah.”
 
 
 
 
 
 
23
Peraturan pelbagai hari perayaan
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Beritahu orang Israel dan katakanlah kepada mereka, ‘Inilah hari-hari perayaan yang Allah tetapkan dan hendaklah kamu isytiharkan sebagai hari ibadat berjemaah yang suci. 3 aHendaklah selama enam hari umat melakukan pekerjaan mereka, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat, hari istirahat penuh, hari perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah dilakukan apa-apa pekerjaan pun. Itu ialah hari Sabat untuk Allah yang berkuat kuasa di seluruh tempat kediaman kamu.
Perayaan Hari Paskah dan Roti Tidak Beragi
4 ‘Inilah hari-hari perayaan yang ditetapkan Allah, hari ibadat berjemaah yang suci, dan hendaklah kamu isytiharkannya menurut waktu yang ditentukan. 5 cPada waktu senja hari keempat belas bulan pertama ialah perayaan Hari Paskahb untuk Allah. 6 dPada hari kelima belas bulan itu juga ialah Hari Perayaan Roti Tidak Beragi untuk Allah. Hendaklah kamu memakan roti yang tidak beragi selama tujuh hari lamanya. 7 Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci dan janganlah dilakukan sebarang pekerjaan biasa kamu. 8 Selama tujuh hari hendaklah kamu membawa persembahan berupa korban bakaran kepada Allah dan pada hari ketujuh adakanlah perhimpunan jemaah yang suci pula. Jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa.”
Persembahan Hasil Tuaian Sulung
9 Allah berfirman kepada Musa, 10 “Beritahu orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Setelah kamu telah berada di negeri yang akan Kukurniakan kepadamu, lalu kamu menuai hasil tanahnya, maka hendaklah kamu membawa berkas hasil pertama tuaian itu kepada imam. 11 Hendaklah imam mengunjukkan berkas itu di hadapan Allah supaya Dia berkenan menerimanya demi kamu. Kemudian hendaklah imam mengunjukkannya sehari sesudah hari Sabat. 12 Pada hari kamu mengunjukkan berkas itu, hendaklah kamu mempersembahkan kepada Allah seekor anak domba berumur setahun yang tidak bercacat cela sebagai korban bakaran. 13 Selain itu, hendaklah kamu juga persembahkan kepada Allah bahan makanan daripada dua persepuluh efae tepung terbaik dicampurkan dengan minyak zaitun, yang keharumannya meredakan, serta persembahan minuman daripada seperempat hinf anggur. 14 Sehingga tiba hari itu, iaitu sampai kamu membawa persembahan untuk memuliakan Tuhanmu, janganlah makan roti, bertih bijirin, atau bijirin baru. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana pun tempat tinggalmu.
15 gHendaklah kamu menghitung tujuh minggu genap dari hari sesudah hari Sabat itu, iaitu pada hari kamu membawa berkas persembahan unjukan. 16 Sesudah tiba pada hari Sabat yang ketujuh, hitunglah lima puluh hari lagi, kemudian persembahkanlah persembahan bahan makanan yang baru untuk memuliakan Allah. 17 Dari tempat-tempat tinggalmu bawalah dua buku roti persembahan unjukan yang dibuat daripada dua persepuluh efah tepung terbaik dan yang dibakar dengan ragi, sebagai roti hasil pertama untuk dipersembahkan kepada Allah. 18 Bersama-sama roti itu, persembahkanlah tujuh ekor domba berumur setahun yang tidak bercacat cela, seekor lembu jantan muda, dan dua ekor domba jantan. Hendaklah kesemuanya menjadi korban bakaran yang dipersembahkan kepada Allah, bersama-sama persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya—menjadi korban yang dibakar, yang keharuman diredai Allah. 19 Persembahkan seekor kambing jantan juga sebagai korban penghapus dosa dan dua ekor domba berumur setahun sebagai korban kedamaian. 20 Hendaklah imam mengunjukkan kedua-dua ekor domba itu sebagai persembahan unjukan untuk Allah, bersama-sama roti hasil pertama tadi. Itulah persembahan suci yang dipersembahkan kepada Allah, yang menjadi bahagian imam. 21 Pada hari itu juga hendaklah kamu menguar-uarkan dan mengadakan perhimpunan jemaah yang suci. Jangan lakukan sebarang pekerjaan biasa. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana pun tempat tinggalmu.
22 iApabila kamu menuai hasil tanahmu, jangan kamu tuai habis licin ladangmu sampai ke pinggir-pinggirnya, dan jangan kamu pungut apa-apa yang tertinggal daripada penuaianmu. Tinggalkanlah semua itu untuk para fakir miskin dan pendatang. Akulah Allah, Tuhanmu.’ ”
Perayaan Peniupan Nafiri dan Hari Pendamaian
23 Allah berfirman kepada Musa, 24 “Beritahu orang Israel, ‘Pada hari pertama bulan ketujuh adakanlah hari istirahat penuh yang diperingati dengan bunyi nafiri, suatu hari perhimpunan jemaah yang suci. 25 Janganlah dilakukan sebarang pekerjaan biasa kamu dan hendaklah kamu persembahkan korban bakaran kepada Allah.’ ”
26 jAllah berfirman kepada Musa, 27 “Hari kesepuluh pada bulan ketujuh itu Perayaan Hari Pendamaian, maka hendaklah kamu mengadakan perhimpunan jemaah yang suci dan menahan nafsumu dengan berpantang. Persembahkanlah korban bakaran kepada Allah. 28 Pada hari itu janganlah lakukan apa-apa pekerjaan pun, kerana itu Perayaan Hari Pendamaian, hari untuk mengadakan pendamaian demi dirimu di hadapan Allah, Tuhanmu. 29 Sesungguhnya, hendaklah sesiapa sahaja yang tidak merendahkan diri dan menahan nafsunya dengan berpantang pada hari itu disingkirkan daripada kalangan bangsanya; 30 dan sesiapa sahaja yang melakukan sesuatu pekerjaan pada hari itu akan Kubinasakan daripada kalangan bangsanya. 31 Jangan melakukan apa-apa pekerjaan pun. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun di mana-mana jua pun tempat tinggalmu. 32 Itulah hari Sabat bagimu, iaitu hari istirahat penuh, dan hendaklah kamu menahan nafsumu dengan berpantang. Hendaklah kamu merayakan hari Sabat dengan beristirahat penuh dari waktu maghrib pada hari kesembilan bulan itu hingga waktu maghrib pada hari esoknya.”
Perayaan Pondok Daun
33 kAllah berfirman kepada Musa, 34 “Beritahu orang Israel, ‘Pada hari kelima belas bulan ketujuh ini ialah Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari untuk Allah. 35 Pada hari pertama, adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, dan janganlah dilakukan sebarang pekerjaan biasa kamu. 36 Selama tujuh hari hendaklah kamu mempersembahkan korban bakaran kepada Allah. Pada hari kelapan adakan perhimpunan jemaah yang suci lagi, dan persembahkanlah korban bakaran kepada Allah. Itu ialah hari perhimpunan umum maka janganlah dilakukan sebarang pekerjaan biasa kamu.
37 Itulah hari-hari perayaan yang Allah tetapkan, maka hendaklah kamu menguar-uarkan sebagai hari perhimpunan ibadat yang suci serta bawalah persembahan berupa korban bakaran kepada Allah, iaitu korban bakaran dan persembahan bahan makanan, korban sembelihan dan persembahan minuman menurut jumlah yang ditetapkan bagi setiap harinya. 38 Hari-hari perayaan tersebut adalah di luar hari-hari Sabat Allah, demikian jugalah korban serta persembahan itu pun di luar segala persembahanmu, korban nazarmu, juga korban sukarelamu yang kamu persembahkan kepada Allah.
39 Jadi, setelah kamu mengumpulkan hasil tanahmu, mulai hari kelima belas bulan ketujuh itu, hendaklah kamu mengadakan perayaan selama tujuh hari untuk Allah. Hari pertama dan hari kelapan ialah hari istirahat penuh. 40 Pada hari pertama ambillah buah daripada pokok yang baik-baik, pelepah-pelepah pokok kurma, cabang-cabang pokok yang rendang, dan pokok gandarusa di tepi sungai, kemudian bersuka rialah di hadapan Allah, Tuhanmu selama tujuh hari. 41 Hendaklah kamu merayakannya sebagai hari perayaan selama tujuh hari dalam setahun untuk Allah. Itu ialah ketetapan yang berkuat kuasa secara berkekalan untuk kamu turun-temurun. Rayakanlah pada bulan ketujuh. 42 Hendaklah kamu tinggal selama tujuh hari di dalam pondok sementara. Hendaklah semua warga asli Israel tinggal di dalam pondok sementara, 43 supaya keturunanmu tahu bahawa Aku telah membuat orang Israel tinggal di dalam pondok sementara ketika Aku membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Akulah Allah, Tuhanmu.’ ”
44 Maka Musa pun mengumumkan kepada orang Israel hari-hari perayaan yang Allah tetapkan itu.
 
 
 
 
 
 
24
Peraturan dan persembahan di Khemah Suci
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Perintahkanlah orang Israel untuk membawa kepadamu minyak murni daripada buah zaitun yang ditumbuk hancur untuk pencahayaan agar pelita sentiasa ternyala. 3 Hendaklah Harun mengatur pelita supaya sentiasa ternyala dari petang sampai pagi di hadapan Allah, di luar tabir yang menudungi tabut loh hukum di dalam Khemah Pertemuan. Inilah ketetapan bagi kamu untuk turun-temurun. 4 Hendaklah dia sentiasa menyusun pelita di atas kaki pelita daripada emas tulen itu di hadapan Allah.”
5 b“Hendaklah kamu mengambil tepung terbaik dan menggunakannya untuk membakar dua belas buku roti daripada tepung itu, iaitu dua persepuluh efaa bagi setiap buku roti. 6 Atur buku roti dalam dua baris, enam buku setiap baris, di atas meja daripada emas tulen di hadapan Allah. 7 Letakkan kemenyan murni di atas setiap baris sebagai bahagian peringatan bagi roti itu, iaitu sebuah korban bakaran untuk Allah. 8 Dengan tetap, hendaklah Harun sentiasa menyusun roti itu di hadapan Allah pada setiap hari Sabat, demi orang Israel, sebagai kewajipan daripada perjanjian yang berkuat kuasa selama-lamanya. 9 cRoti itu menjadi bahagian Harun dan anak-anaknya dan hendaklah mereka memakannya di sebuah tempat yang suci, kerana itulah bahagian yang teramat suci daripada korban bakaran bagi Allah, suatu peruntukan berkekalan untuk selama-lamanya.”
Hukuman atas perbuatan mengkufuri nama Allah
10 Hadirlah seorang anak lelaki kepada seorang perempuan Israel yang bersuamikan seorang lelaki Mesir di tengah-tengah kalangan orang Israel. Lelaki itu berkelahi di perkhemahan itu dengan seorang Israel, 11 lalu dalam perkelahian itu, anak lelaki perempuan Israel itu mengeluarkan kutukan dengan mengkufuri nama Allah. Maka dia pun dibawa menghadap Musa. (Nama ibunya ialah Selomit binti Dibri, daripada suku Dan). 12 Dia ditahan dan dikawal dalam tahanan sambil menunggu keputusan jelas dari segi hukum yang dibuat berdasarkan firman Allah.
13 Maka berfirmanlah Allah kepada Musa, 14 “Bawalah orang yang mengutuk itu ke luar perkhemahan. Semua orang yang mendengarnya harus meletakkan tangan di atas kepala orang itu, lalu hendaklah seluruh umat merejam dia dengan batu. 15 Lebih daripada itu, hendaklah kamu memberitahu orang Israel, ‘Hendaklah sesiapa sahaja yang mengutuk Tuhannya menanggung akibat daripada dosanya 16 dan sesiapa sahaja yang mengkufuri nama Allah, sama ada dia pendatang asing ataupun warga tempatan, mesti dihukum mati, yakni seluruh umat harus merejam dia dengan batu.
17 dSesiapa yang memukul lalu membunuh seorang yang lain mesti dihukum mati. 18 Hendaklah sesiapa yang memukul lalu membunuh seekor haiwan membayar ganti rugi, nyawa ganti nyawa.
19 Jika seseorang mencederakan sesamanya, maka hendaklah dia diperlakukan sebagaimana yang dilakukannya terhadap sesamanya itu: 20 fluka diganti luka, mata diganti mata, gigi diganti gigi,e yakni sebagaimana dia mencederakan orang lain maka hendaklah dibalas atasnya kecederaan yang sedemikian juga. 21 Hendaklah orang yang membunuh seekor haiwan membayar ganti rugi, tetapi hendaklah seseorang yang membunuh sesama seorang yang lain dihukum mati. 22 gPeraturan yang sama berkuat kuasa terhadap kamu, baik pendatang asing mahupun warga asli, kerana Akulah Allah, Tuhanmu.’ ”
23 Demikianlah yang dikatakan Musa kepada orang Israel. Kemudian lelaki yang mengutuk itu dibawa ke luar perkhemahan lalu direjam dengan batu. Orang Israel melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa.
 
 
 
 
 
 
25
Peraturan bagi tahun Sabat
1 aAllah berfirman kepada Musa di Gunung Sinai demikian: 2 “Beritahu orang Israel, ‘Setelah kamu masuk ke negeri yang akan Kukurniakan kepadamu, tanah itu pun harus diberi masa istirahat sebagai Sabat bagi Allah. 3 Hendaklah selama enam tahun kamu menyemai ladangmu, memangkas kebun anggurmu, serta mengumpulkan hasilnya. 4 Tetapi pada tahun ketujuh hendaklah dikuatkuasakan masa istirahat penuh bagi tanah itu, iaitu Sabat bagi Allah. Maka janganlah kamu semai ladangmu dan jangan kamu pangkas kebun anggurmu. 5 Jangan kamu tuai apa-apa yang tumbuh sendiri setelah masa penuaian, dan jangan kamu petik buah daripada pohon anggurmu yang tidak dipangkas. Hendaklah tahun itu menjadi tahun istirahat penuh bagi tanah itu. 6 Namun begitu, segala hasil tanah selama tahun Sabat itu akan menjadi makanan buat kamu, bagi para hambamu baik lelaki mahupun perempuan, bagi pekerja upahanmu, dan bagi para peneroka yang menghuni berdekatan denganmu, 7 juga bagi haiwan ternakanmu dan apa-apa haiwan liar yang ada di tanahmu—segala hasil tanah itu boleh dijadikan makanan.
Peraturan bagi tahun pembebasan
8 Hendaklah kamu menghitung tujuh tahun Sabat, iaitu tujuh kali tujuh tahun sampai tempoh selama empat puluh sembilan tahun. 9 Lalu pada hari kesepuluh bulan ketujuh, iaitu Perayaan Hari Pendamaian, hendaklah di seluruh bumimu dikumandangkan bunyi tiupan kuat sangkakala. 10 Hendaklah kamu menjadikan tahun kelima puluh itu suci dengan mengisytiharkan kebebasan bagi seluruh penduduk di setiap ceruk rantau negeri. Tahun itu Tahun Pembebasan Jublib bagimu. Hendaklah masing-masing kembali ke tanah miliknya dan kembali kepada kaumnya. 11 Hendaklah tahun kelima puluh itu menjadi Tahun Pembebasan bagimu. Jangan semai, jangan tuai apa-apa yang tumbuh dengan sendiri, dan jangan petik buah daripada pohon anggur yang tidak dipangkas. 12 Sebabnya tahun itu Jubli Pembebasan. Maka hendaklah kamu menganggap tahun itu suci bagimu. Kamu semua boleh memakan hasil yang diambil daripada ladang pada tahun itu.
13 Dalam Tahun Pembebasan itu setiap orang harus pulang ke tanah miliknya. 14 Jika kamu menjual apa-apa kepada sesama jiranmu, janganlah kamu rugikan satu sama lain. 15 Sebaliknya, hendaklah kamu mengambil kira bilangan tahun selepas jubli ketika kamu membeli tanah daripada jiranmu, dan hendaklah dia menjual kepadamu berdasarkan jumlah tahun penuaian yang akan dilakukan. 16 Jika jumlah tahun yang berbaki itu banyak, maka kamu akan menaikkan harganya; jika jumlah tahun berbaki itu sedikit, maka kamu akan menurunkan harganya, kerana yang sebenarnya dijualnya kepadamu ialah jumlah tahun penuaian. 17 Maka janganlah kamu saling mengambil kesempatan melainkan bertakwalah kepada Tuhanmu, kerana Akulah Allah, Tuhanmu.
18 Sebaliknya, taatilah segala ketetapan-Ku dan berpeganglah teguh pada segala peraturan-Ku serta amalkan kesemuanya, maka kamu akan tinggal dengan selamat dan aman di bumi ini. 19 Bumi itu akan mengeluarkan hasil, lalu kamu akan cukup makan dan tinggal dengan selamat di sana.
20 Jika kamu bertanya, “Apakah yang akan kami makan pada tahun ketujuh itu sekiranya kami tidak boleh menyemai dan tidak boleh menuai hasil tanah kami?” 21 Aku akan memerintahkan berkat-Ku kepadamu pada tahun keenam, sehingga tanah itu mengeluarkan hasil untuk tiga tahun. 22 Ketika kamu menyemai benih pada tahun kelapan, kamu masih akan makan daripada hasil yang lama sampai tahun kesembilan ketika hasil yang baru dibawa masuk.
Penebusan tanah dan rumah
23 Tanah tidak boleh dijual secara mutlak, yakni untuk selama-lamanya kerana Akulah yang memiliki tanah itu, sedangkan bagi-Ku, kamu hanyalah warga dan pendatang sementara.
24 Oleh itu, apabila kamu menjual tanah milikmu, kamu mesti memasukkan syarat hak menebus tanah itu semula. 25 Jika saudaramu menjadi miskin lalu dijualnya sebahagian daripada tanah miliknya, maka seorang kerabatnya yang terdekat harus datang untuk menebus tanah yang dijualnya itu. 26 Jika seseorang tidak mempunyai kerabat untuk menebus tanah itu semula, tetapi kemudian dia menjadi kaya sehingga mempunyai cukup harta untuk menebus miliknya itu, 27 maka hendaklah dia menghitung bilangan tahun sejak dijualnya tanah itu lalu mengembalikan nilai bagi jumlah tahun yang selebihnya kepada pembeli tanah tersebut. Sesudah itu, barulah dia boleh pulang ke tanah miliknya. 28 Akan tetapi, jika orang itu tidak cukup kemampuan untuk mendapatkan tanah itu kembali, maka tanah yang telah dijualnya itu tetap berada dalam tangan orang yang membelinya sampai Tahun Pembebasan. Pada Tahun Pembebasan tanah itu bebas, dan si penjual tanah itu boleh kembali ke tanah miliknya.’ ”
29 “Jika seseorang menjual sebuah tempat kediaman di dalam sebuah kota bertembok, maka dia ada tempoh selama satu tahun selepas tarikh penjualan itu untuk menebus kediamannya semula. Jadi, hanya selama setahun itulah berkuat kuasa haknya untuk menebus semula itu. 30 Tetapi jika rumah itu tidak juga ditebus sampai genap setahun penuh, maka hendaklah hak pemilikan rumah di dalam kota yang bertembok itu ditetapkan sebagai milik mutlak si pembeli turun-temurun, dan tidak akan bebas (dan berbalik kepada pemilik asal) pada Tahun Pembebasan. 31 Tetapi rumah-rumah di daerah kampung yang tidak dikelilingi tembok hendaklah ditangani sama sebagaimana ladang-ladang di negeri itu. Semuanya boleh ditebus dan hendaklah bebas pada Tahun Pembebasan. 32 Mengenai kota-kota orang Lewi pula, orang Lewi sentiasa berhak untuk menebus rumah di kota-kota milik mereka semula pada bila-bila masa. 33 Jika seseorang membeli rumah yang dimiliki oleh orang Lewi, rumah yang dijualnya di kota di mana dia memiliki harta akan bebas dan kembali menjadi milik orang Lewi itu pada Tahun Pembebasan kerana rumah di kota-kota orang Lewi ialah milik suku kaum mereka di tengah-tengah orang Israel. 34 Akan tetapi, segala padang ragut di sekitar kota-kota mereka tidak boleh dijual, kerana padang itu milik mereka untuk selama-lamanya.”
Peraturan tentang hutang dan perhambaan
35 c“Jika seorang sesama bangsa Israel dalam kalangan kamu jatuh miskin dan tidak mampu menyara hidupnya, hendaklah kamu menyokongnya sebagaimana kamu akan membantu seorang pendatang dan pemastautin sementara supaya dapat diteruskannya kehidupan dalam kalanganmu. 36 Jangan kaukenakan faedah atau ambil untung daripadanya, tetapi bertakwalah kepada Tuhanmu, supaya saudaramu dapat terus hidup dalam kalangan kamu. 37 dJangan mengambil wang faedah daripadanya atau mengambil untung atasnya apabila kamu meminjamkan wang atau memberikan makanan kepadanya. 38 Akulah Allah, Tuhanmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir untuk mengurniakan kepadamu Tanah Kanaan, supaya Aku menjadi Tuhanmu.
39 eJika seorang sesama bangsa Israel dalam kalangan kamu jatuh miskin lalu menjual dirinya kepadamu, janganlah kamu kerahnya bekerja sebagai hamba. 40 Sebaliknya, hendaklah kamu melayan dia sebagaimana seorang pekerja upahan atau perantau dan hendaklah dia bekerja denganmu sehingga Tahun Pembebasan. 41 Setelah itu, hendaklah dia berserta anak-pinaknya bebas daripada kamu, lalu kembali kepada kaumnya dan memiliki tanah warisan nenek moyangnya semula. 42 Mereka ialah para hamba-Ku, yang Kubawa keluar dari Tanah Mesir, maka mereka tidak boleh dijual sebagaimana hamba abdi dijual. 43 Jangan kamu layani dia secara terlalu keras, melainkan bertakwalah kepada Tuhanmu. 44 Hamba lelaki dan hamba perempuan yang kamu miliki hendaklah berasal daripada bangsa-bangsa yang ada di sekelilingmu. Hendaklah kamu membeli hamba lelaki dan hamba perempuan daripada kalangan mereka. 45 Kamu juga boleh membeli anak para perantau yang tinggal dalam kalangan kamu, dan begitulah juga dengan anggota kaum keluarga mereka yang lahir di bumimu. Mereka boleh menjadi milikmu. 46 Kamu juga boleh mewariskan mereka sebagai harta pusaka kepada anak-anakmu kelak, dan kamu boleh memperhamba mereka seumur hidup mereka. Tetapi dalam kalangan sesama orang Israel, iaitu para saudaramu, tidak ada sesiapa pun melayani yang sesamanya secara terlalu keras.
47 Jika seorang pendatang atau perantau dalam kalanganmu menjadi kaya, sementara seorang sesama bangsa Israel dalam kalangan kamu pula menjadi miskin sehingga dia menjual dirinya kepada pendatang atau perantau itu ataupun kepada kaum keluarganya, 48 maka dia boleh ditebus setelah dia menjual dirinya. Salah seorang saudara lelakinya boleh menebus dia. 49 Bapa saudaranya atau sepupu lelakinya, atau sesiapa kerabat terdekat daripada kaumnya pun boleh menebusnya. Jika dia sendiri kemudiannya menjadi kaya, maka dia boleh menebus dirinya sendiri. 50 Hendaklah dia membuat perhitungan dengan orang yang membelinya, iaitu tempoh masa sejak tahun dia menjual dirinya kepada orang itu sampai Tahun Pembebasan. Harga penjualan dirinya hendaklah berdasarkan jumlah tahun dia terjual dan tempoh dia menjadi seorang pekerja upahan. 51 Jika baki tahunnya banyak, maka berdasarkan jumlah tahun itulah dia mesti membayar harga tebusannya daripada harga pembeliannya. 52 Jika jumlah tahun sampai Tahun Pembebasan tinggal sedikit sahaja, maka hendaklah dia membuat perhitungan dengan orang itu. Berdasarkan jumlah tahun itulah hendaklah dia membayar harga tebusannya. 53 Hendaklah dia tinggal dengan orang itu seperti pekerja upahan dari setahun ke setahun, dan hendaklah kamu memastikan bahawa dia tidak dilayani secara terlalu keras. 54 Jika dia tidak ditebus dengan mana-mana cara seperti yang tersebut, dia berserta anak-pinaknya hendaklah tetap dibebaskan pada Tahun Pembebasan. 55 Bagi-Ku, orang Israel menghambakan diri lantaran merekalah para hamba-Ku yang Kubawa keluar dari Tanah Mesir. Akulah Allah, Tuhanmu.”
 
 
 
 
 
 
26
Gesaan untuk ketaatan
1 aJangan buat berhala apa-apa bagimu dan jangan juga kamu dirikan patung ukiran atau tiang berhala bagimu. Jangan tempatkan batu berukir di mana-mana pun di negerimu untuk kamu sujud menyembahnya kerana Akulah Allah, Tuhanmu. 2 Peliharalah hari-hari Sabat-Ku dan hormatilah tempat suci-Ku. Akulah Allah.
Kelebihan ketaatan
3 bJika kamu hidup menurut segala ketetapan-Ku, mentaati segala perintah-Ku, dan mengamalkan kesemuanya, 4 maka Aku akan menurunkan hujan bagimu pada musimnya sehingga tanah memberikan hasil dan pohon-pohon di ladang mengeluarkan buah. 5 Musim mengirik tuaian bijirin akan berlanjutan sampai musim memetik buah anggur, dan musim memetik buah anggur akan berlanjutan sampai musim menyemai. Kamu akan memakan rezekimu sampai kenyang dan tinggal di negerimu dengan aman.
6 Aku akan mengurniakan kedamaian di negerimu sehingga kamu akan berbaring tanpa berasa takut akan sesiapa pun. Aku akan menyingkirkan binatang buas dari negerimu dan ancaman pedang tidak akan melanda negerimu. 7 Kamu akan mengejar musuhmu dan mereka akan tewas di hadapanmu oleh pedangmu. 8 Lima orang daripada kamu akan mengejar seratus orang, dan seratus orang daripada kamu akan mengejar sepuluh ribu orang. Musuhmu akan tewas di hadapanmu oleh pedangmu. 9 Aku akan mempedulikan kamu dan membuat kamu beranak cucu serta bertambah ramai. Aku akan meneguhkan perjanjian-Ku dengan kamu. 10 Kamu akan terus menikmati dan memakan sepuas-puasnya daripada hasil tuaian tahun sebelumnya, dan kamu akan mengeluarkan baki daripada hasil tuaian yang lama itu untuk menyimpan hasil tuaian yang baru. 11 Aku akan menempatkan Khemah Suci-Ku di tengah-tengah kamu dan Aku tidak akan menolak kamu. 12 cAku akan hadir menyertai kamu dan menjadi Tuhanmu, kamu pun akan menjadi umat-Ku. 13 Akulah Allah, Tuhanmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, supaya kamu tidak lagi menjadi hamba mereka. Aku telah mematahkan palang kuk di tengkuk kamu dan membuat kamu berjalan dengan tegak.
Pelbagai akibat daripada ketidaktaatan
14 dAkan tetapi, jika kamu tidak mahu mendengar gesaan-Ku dan tidak mahu mematuhi semua perintah ini, 15 jika kamu menolak ketetapan-ketetapan-Ku dan jiwamu membenci peraturan-peraturan-Ku sehingga kamu tidak mahu mematuhi segala perintah-Ku serta mengingkari perjanjian-Ku, 16 maka inilah yang akan Kulakukan terhadapmu. Aku akan mendatangkan rasa ngeri kepadamu, juga batuk kering dan demam yang memalapkan pandanganmu serta menghilangkan kekuatanmu. Sia-sia sahaja kamu menyemai benih, kerana hasilnya akan dimakan oleh para musuhmu. 17 Aku akan memusuhi kamu dan kamu akan tumpas kepada para musuhmu. Mereka yang membenci kamu akan menguasai kamu, dan kamu akan melarikan diri walhal tiada sesiapa yang mengejar kamu.
18 Jika sampai sedemikian pun kamu tetap tidak mendengar segala perintah-Ku, maka Aku akan menghukum kamu tujuh kali lipat ganda kerana dosa-dosamu. 19 Aku akan menghapuskan rasa bangga kamu terhadap kuasamu sendiri. Aku akan menjadikan langit di atasmu seperti besi, dan tanahmu seperti gangsa. 20 Kekuatanmu akan habis dengan sia-sia kerana tanahmu tidak akan mengeluarkan hasil, dan pohon-pohon di tanah itu tidak akan mengeluarkan buah.
21 Ya, jika kamu terus hidup dengan melawan Aku dan tidak mengendahkan Aku, maka Aku akan menambahkan malapetaka yang menimpamu tujuh kali lipat ganda selaras dengan dosa-dosamu. 22 Ke tengah-tengah kamu akan Aku lepaskan binatang liar yang akan membuat kamu kehilangan anak-anakmu, memusnahkan ternakanmu dan mengurangkan bilanganmu sehingga jalan-jalanmu menjadi sunyi sepi.
23 Jika dalam keadaan demikian pun kamu enggan menerima pengajaran-Ku dan masih terus hidup melawan Aku, 24 maka Aku pun akan menentang kamu. Ya, Aku akan memukul kamu tujuh kali lipat ganda atas dosamu. 25 Aku akan mendatangkan pedang atasmu, sebagai balasan kerana kamu melanggar perjanjian. Ketika kamu berkumpul di kota-kotamu, Aku akan melepaskan wabak penyakit ke tengah-tengahmu, dan kamu akan diserahkan ke dalam tangan musuh. 26 Pada waktu Aku tidak lagi menyediakan makanan bagimu, sepuluh orang perempuan akan membakar roti di dalam satu ketuhar lalu mengagih-agihkan rotimu mengikut timbangan kepadamu dan kamu akan makan, tetapi tidak akan kenyang.
27 Jika dalam keadaan demikian pun kamu masih enggan mengendahkan Aku tetapi terus hidup melawan Aku, 28 maka dengan kemurkaan, Aku juga akan menentang kamu. Aku sendiri akan menghukum kamu tujuh kali lipat ganda atas dosa-dosamu. 29 Kamu akan memakan daging anak-anakmu sendiri, baik anak lelaki mahupun anak perempuan. 30 Aku akan memusnahkan bukit-bukit pemujaanmu dan meranapkan tugu-tugu mazbah dupa serta mencampakkan bangkaimu ke atas bangkai segala berhala kamu. Aku teramat membencimu. 31 Kota-kota rayamu akan Kujadikan reruntuhan dan tempat-tempat sucimu akan Kubinasakan. Aku tidak mahu lagi menghidu keharuman persembahanmu. 32 Aku akan menjadikan bumimu tandus hinggakan para musuhmu yang menghuni di dalamnya akan kehairanan kerananya. 33 Akan Kuserakkan kamu antara kalangan bangsa itu dan akan Kuhunuskan pedang untuk mengejar kamu. Negerimu akan menjadi sunyi sepi dan kota-kotamu akan menjadi reruntuhan. 34 Pada waktu itulah tanah itu akan mendapatkan hari Sabatnya dan menikmati tahun-tahun Sabatnya, iaitu selama kamu berada di negeri para musuhmu dan selama tanah itu tandus. 35 Ketika dalam ketandusan itulah tanah itu akan mendapatkan istirahatnya yang tidak didapatkannya pada tahun-tahun Sabat kamu, ketika kamu masih tinggal di situ.
36 Sementara itu, bagi kalangan kamu yang masih hidup, Aku akan mendatangkan keresahan dalam hati mereka sewaktu mereka tinggal di negeri-negeri musuh, sehingga mereka akan berasa seperti dikejar-kejar apabila terdengar bunyi daun yang diterbangkan angin sekalipun. Mereka akan melarikan diri seperti orang lari daripada pedang, dan mereka akan jatuh meski tiada sesiapa yang mengejar mereka. 37 Mereka akan terhantuk dan berlanggaran sesama sendiri untuk lari daripada pedang walhal tiada sesiapa yang mengejar mereka. Kamu tidak akan berdaya untuk bertahan di hadapan para musuhmu. 38 Dalam kalangan bangsa itu kamu akan binasa, dan negeri musuhmu akan melenyapkan kamu.
Dipulih kerana bertaubat
39 Sisa-sisa dalam kalangan kamu akan merana di negeri-negeri musuhmu kerana kesalahan mereka. Dan kerana kesalahan nenek moyang mereka juga, begitulah mereka akan merana sama seperti nenek moyang mereka.
40 Kemudian, mereka akan mengakui kesalahan dan kesalahan nenek moyang mereka, iaitu kemungkaran yang dilakukan terhadap Aku dalam masa pemberontakan mereka dan mereka akan mengaku bahawa mereka memang telah menentang Aku 41 sehingga Aku pun melawan mereka serta membawa mereka ke negeri para musuh mereka; atau jika kemudian hati mereka yang tidak bersunat itu merendah dan mereka menerima hukuman, 42 emaka Aku akan mengingati perjanjian-Ku dengan Yakub, Ishak, dan juga perjanjian-Ku dengan Ibrahim. Bumi itu pun akan Kuingati. 43 Demikianlah tanah yang ditinggalkan oleh mereka itu akan menikmati tahun-tahun Sabatnya, selama tanah itu tandus tanpa mereka. Mereka akan menerima hukuman atas sebab mereka menolak peraturan-peraturan-Ku dan kerana hati mereka membenci ketetapan-ketetapan-Ku. 44 Meskipun begitu, Aku tidak akan menolak mereka ketika mereka berada di negeri para musuh mereka. Aku tidak akan membenci mereka sehingga Aku memusnahkan mereka atau mengingkari perjanjian-Ku dengan mereka, kerana Akulah Allah, Tuhan mereka. 45 Sebaliknya, demi mereka Aku akan mengingati perjanjian dengan para leluhur mereka, yang telah Kubawa keluar dari Tanah Mesir di hadapan mata segala bangsa, supaya Aku menjadi Tuhan mereka. Akulah Allah.’”
46 Itulah hukum, ketetapan, dan pengajaran yang Allah sendiri sampaikan kepada orang Israel di Gunung Sinai dengan perantaraan Musa.
 
 
 
 
 
 
27
Pembayaran nazar
1 Allah berfirman kepada Musa, 2 “Beritahu orang Israel dan katakanlah kepada mereka, ‘Jika seseorang bernazar secara khusus kepada Allah untuk mempersembahkan pemberian setara dengan nilai seorang manusia, maka orang yang dinazarkan itu boleh ditebus menurut nilai yang kautetapkan.a 3 Maka bagi lelaki yang berumur dalam lingkungan dua puluh tahun sampai enam puluh tahun hendaklah kaunilai lima puluh syikal perak, menurut syikal rasmi Khemah Suci. 4 Akan tetapi sekiranya orang itu perempuan, maka hendaklah kaunilai sebanyak tiga puluh syikal. 5 Lelaki yang berumur lima tahun sampai dua puluh tahun hendaklah kaunilai dua puluh syikal, sedangkan perempuan sepuluh syikal. 6 Lelaki yang berumur satu bulan sampai lima tahun hendaklah kaunilai lima syikal perak, sedangkan perempuan tiga syikal perak. 7 Lelaki yang berusia enam puluh tahun ke atas hendaklah kaunilai lima belas syikal, sedangkan perempuan sepuluh syikal.
8 Akan tetapi, jika orang itu terlampau miskin untuk membayar nilai yang kautetapkan, maka hendaklah dia menghadapkan orang yang dinazarkan itu kepada imam, lalu orang ini harus dinilai oleh imam. Kemudian imam akan menetapkan nilainya berdasarkan kemampuan orang yang bernazar itu.
9 Jika yang dinazarkannya ialah seekor haiwan yang biasa dipersembahkan kepada Allah sebagai korban, maka bahagian apa-apa pun daripada haiwan itu yang dipersembahkan kepada Allah akan menjadi suci. 10 Tidak boleh diganti serta ditukar haiwan yang baik dengan yang buruk atau yang buruk dengan yang baik. Tetapi jika ditukarkannya haiwan itu dengan seekor haiwan lain, maka baik haiwan itu mahupun haiwan tukarannya menjadi suci. 11 Jika yang dinazarkannya ialah seekor haiwan yang najis, yang tidak boleh dipersembahkan sebagai korban kepada Allah, maka haiwan itu harus dihadapkan kepada imam. 12 Hendaklah imam menetapkan nilainya menurut baik buruknya, dan selaras dengan penilaian imam demikianlah jadinya. 13 Tetapi jika orang itu hendak menebusnya, maka hendaklah dia menambah seperlima daripada nilai yang kautetapkan.
14 Jika seseorang mentakdiskan rumahnya sebagai persembahan suci kepada Allah, maka hendaklah imam menetapkan nilainya menurut baik buruknya. Lalu selaras dengan penilaian imam, demikianlah yang harus ditetapkan. 15 Jika orang yang mentakdiskan rumahnya itu hendak menebusnya, maka hendaklah dia menambah seperlima daripada nilai yang ditetapkan, lalu rumah itu pun menjadi miliknya kembali.
16 Jika seseorang mentakdiskan sebahagian daripada ladang miliknya kepada Allah, maka penilaianmu hendaklah berdasarkan jumlah benihnya, iaitu ukuran satu homerb benih barli berharga lima puluh syikal perak. 17 Jika dia mentakdiskan ladangnya sejak Tahun Pembebasan, maka selaras dengan penilaianmu, demikianlah yang harus ditetapkan. 18 Tetapi jika dia mentakdiskan ladangnya selepas Tahun Pembebasan, maka hendaklah imam menghitung harganya bagi orang itu berdasarkan baki bilangan tahun sehingga Tahun Pembebasan. Kemudian hendaklah harga itu dikurangkan daripada jumlah nilai yang kautetapkan. 19 Jika orang yang mentakdiskan ladang itu benar-benar ingin menebusnya, maka hendaklah dia menambah seperlima daripada nilai yang kautetapkan, dan ladang itu akan ditetapkan baginya. 20 Jika dia tidak mahu menebus ladang itu atau jika dia sudah menjual ladang itu kepada orang lain, maka ladang itu tidak boleh ditebus lagi. 21 Namun demikian, ketika bebas pada Tahun Pembebasan, ladang itu menjadi suci bagi Allah, seperti tanah yang telah dikhususkan bagi Allah. Kemudian ladang itu akan menjadi milik imam.
22 Jika dia mentakdiskan ladang yang telah dibelinya bagi Allah, yang tidak termasuk ladang miliknya, 23 maka hendaklah imam menghitung bagi orang itu harga penilaian sampai Tahun Pembebasan. Hendaklah orang itu membayar nilai yang kautetapkan pada hari itu juga sebagai persembahan suci kepada Allah. 24 Pada Tahun Pembebasan hendaklah ladang itu dipulangkan kepada orang yang menjualnya kepadanya, iaitu kepada orang yang memiliki tanah itu.
25 Hendaklah kesemua penilaian kamu menurut syikal rasmi Khemah Suci, iaitu satu syikal beratnya dua puluh gera.c
26 Yang tidak boleh ditakdiskan hanyalah anak-anak sulung haiwan, baik lembu mahupun domba, yang memang menjadi hak Allah. 27 Jika haiwan itu termasuk salah satu haiwan yang najis, maka hendaklah orang menebusnya menurut nilai yang kautetapkan dengan menambah seperlimanya. Jika tidak ditebus, haiwan itu harus dijual menurut yang kautetapkan.
28 dNamun begitu, segala sesuatu daripada milik seseorang yang sudah dikhususkan bagi Allah, baik manusia, haiwan, mahupun ladangnya, tidak boleh dijual dan tidak boleh ditebus. Semua yang dikhususkan itu teramat suci bagi Allah. 29 Bahkan manusia yang dikhususkan untuk dihukum mati pun tidak boleh ditebus. Hendaklah dia dihukum mati.
30 eSemua persembahan sepersepuluh daripada hasil tanah, baik biji-bijian daripada tanah mahupun daripada buah pohon-pohonan, ialah milik Allah. Itu ialah bahagian suci bagi Allah. 31 Akan tetapi, jika seseorang hendak menebus sebahagian daripada persembahan sepersepuluhnya, maka hendaklah dia menambah seperlima daripada nilainya. 32 Sepersepuluh daripada kawanan lembu atau kawanan domba, iaitu haiwan kesepuluh yang berlalu di bawah tongkat gembala sewaktu dihitung, harus menjadi persembahan suci bagi Allah. 33 Jangan memilih-milih yang baik daripada yang buruk, dan janganlah tukarkannya. Tetapi jika ditukarnya juga, maka haiwan itu serta haiwan tukarannya menjadi suci dan tidak boleh ditebus.’ ”
34 Itulah perintah-perintah yang diberikan Allah kepada Musa di Gunung Sinai untuk orang Israel.