Kitab Zabur
1
Jilid I: 1—41
Jalan Orang Benar dan Orang Fasiq
1 Diberkatilah orang
yang tidak berjalan menurut nasihat orang fasiq
atau berdiri di jalan orang berdosa
atau duduk di kerusi orang yang mengejek.
2 Tetapi dia bersukacita dengan hukum Allah,
dan merenung hukum-Nya siang dan malam.
3 Dia seperti pohon yang ditanam di tepi perairan,
yang menghasilkan buahnya pada musimnya dan daunnya tidak layu.
Apa sahaja yang dilakukannya berjaya.
4 Tidak demikian orang fasiq!
Mereka seperti sekam yang dilayangkan angin.
5 Oleh itu, orang fasiq tidak akan bertahan dalam penghakiman,
begitu juga orang berdosa dalam perhimpunan orang benar.
6 Kerana Allah menaungi jalan orang benar,
tetapi jalan orang fasiq akan binasa.
 
 
 
 
 
 
2
Raja yang Ditabalkan Allah
1 Mengapakah bangsa-bangsa
berpakat dan kaum-kaum berkomplot dengan sia-sia?
2 Raja-raja bumi ini menegakkan pendirian
dan para pemerintah bermuafakat
untuk melawan Allah
dan melawan Dia yang diurapi-Nya;
3 Mereka berkata,
“Mari kita putuskan rantai pengikat mereka,
dan buangkan belenggu mereka.”
 
4 Dia yang bertakhta di
syurga tertawa;
Tuhan mencemuh mereka.
5 Kemudian menegur mereka dalam kemarahan-Nya
dan menakutkan mereka dalam kemurkaan-Nya, sambil berfirman,
6 “Aku telah menabalkan Raja-Ku di atas Sion,a bukit suci-Ku.”
 
7 Aku akan mengisytiharkan firman Allah:
Dia berkata kepadaku,
“Engkau Putera-Ku;
pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.b
8 Mintalah daripada-Ku,
Aku akan menjadikan segala bangsa warisan-Mu,
dan setiap pelosok bumi milik-Mu.
9 Engkau akan memerintah mereka dengan tongkat besi;
dan menghancurkan mereka seperti tembikar.”
 
10 Oleh itu, hai kamu raja-raja, bijaksanalah;
berhati-hatilah, kamu para pemerintah bumi.
11 Beribadatlah kepada Allah dalam ketakwaan,
dan bersukacitalah dengan gementar.
12 Ciumlah Putera itu,
jangan sampai Dia marah lalu kamu dibinasakan di jalan,
kerana kemurkaan-Nya mudah bermarak.
Diberkatilah semua orang yang bernaung kepada-Nya.
 
 
 
 
 
 
3
Nyanyian Pagi ketika Menghadapi Musuh
Syair Daud ketika dia melarikan diri daripada anaknya Absalom.
1 Ya Allah, betapa ramainya musuhku!
Betapa ramai yang bangkit melawanku!
2 Ramai yang berkata tentangku,
“Allah tidak akan menyelamatkannya.” Selaa
 
3 Tetapi Engkau ialah perisai yang melindungiku, Ya Allah;
Engkau mengurniakan kemuliaan dan mengangkat kepalaku.
4 Kepada Allah aku berseru lantang,
dan Dia menyahut seruanku dari bukit suci-Nya. Sela
 
5 Aku baring dan tidur;
aku terjaga semula,
kerana Allah memeliharaku.
6 Aku tidak akan takut kepada puluhan ribu yang bersiap sedia melawanku dari setiap pihak.
 
7 Bangkitlah, Ya Allah!
Selamatkanlah aku, Ya Tuhanku!
Palulah semua musuhku di tulang rahang mereka;
patahkanlah gigi orang fasiq.
 
8 Daripada Allah datang penyelamatan.
Semoga Engkau memberkati umat-Mu. Sela
 
 
 
 
 
 
4
Doa Malam Hari
Untuk pemimpin pujian. Dengan iringan alat-alat muzik bertali.
Syair Daud.
1 Jawablah apabila aku berseru kepada-Mu,
Ya Allah, yang membenarkan aku.
Kurangkan penderitaanku;
kasihanilah aku dan dengar doaku.
2 Berapa lamakah, hai manusia,
kamu akan terus menjadikan kemuliaanku satu keaiban?
Berapa lamakah kamu akan mencintai bayangan maya
dan mencari tuhan-tuhan palsu? Sela
3 Ketahuilah, Allah telah memilih orang yang warak untuk diri-Nya;
Allah akan mendengar apabila aku berseru kepada-Nya.
 
4 Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa;
ketika di tempat tidurmu,
sorotilah hatimu dalam senyap sepi. Sela
5 Persembahkan korban-korban yang benar dan percayalah kepada Allah.
 
6 Ramai yang bertanya, “Siapa dapat menunjukkan kita kebaikan?”
Sinari kami dengan cahaya wajah-Mu, Ya Allah.
7 Engkau telah memenuhi hatiku dengan kegembiraan lebih daripada ketika biji-bijian
dan air anggur baru mereka mewah melimpah.
8 Aku akan berbaring dan tidur dalam sejahtera,
kerana hanya Engkau, Ya Allah,
membolehkan aku tinggal dengan selamat.
 
 
 
 
 
 
5
Doa Pagi Hari
Untuk pemimpin pujian. Dengan iringan seruling. Syair Daud.
1 Dengarlah kata-kataku, Ya Allah,
pertimbangkan keluhanku.
2 Dengarlah jeritanku meminta tolong,
wahai Rajaku dan Tuhanku,
kerana kepada-Mu aku berdoa.
3 Pada waktu pagi, Ya Allah, Kaudengar suaraku;
pada waktu pagi kulafazkan permohonanku ke hadirat-Mu lalu menanti dengan harapan.
 
4 Engkau bukanlah Tuhan yang suka akan kejahatan;
dengan-Mu orang fasiq tidak dapat tinggal.
5 Orang angkuh tidak dapat berdiri di hadirat-Mu;
Engkau benci akan semua yang berbuat jahat.
6 Engkau membinasakan orang yang berdusta;
orang yang suka menumpahkan darah dan memperdaya dibenci oleh Allah.
7 Tetapi aku, dengan limpah belas kasihan-Mu,
akan masuk ke rumah-Mu;
dengan sepenuh hormat aku akan tunduk ke arah Bait-Mu yang suci.
8 Pimpinlah aku, Ya Allah, dalam kebenaran-Mu
kerana musuh-musuhku,
luruskanlah jalan-Mu di hadapanku.
 
9 Tiada sepatah kata pun daripada mulut mereka dapat dipercayai;
hati mereka dipenuhi pembinasaan.
Kerongkong mereka seperti kubur terbuka;
lidah mereka menuturkan tipu daya.
10 Isytiharkan mereka bersalah, Ya Allah!
Biarkan pakatan sulit mereka menjatuhkan mereka.
Singkirkan mereka kerana dosa mereka yang banyak,
kerana mereka telah menderhaka terhadap-Mu.
 
11 Tetapi biarlah semua orang yang bernaung kepada-Mu bersukacita;
biar mereka sentiasa bernyanyi kegembiraan.
Berilah mereka perlindungan-Mu,
supaya orang yang mengasihi nama-Mu dapat bersukacita dalam-Mu.
12 Kerana, Ya Allah, tentulah Engkau memberkati orang yang benar;
Engkau melindungi mereka dengan kemurahan-Mu seperti dengan perisai.
 
 
 
 
 
 
6
Doa dalam Kesusahan
Untuk pemimpin pujian. Dengan iringan alat-alat muzik bertali.
Dengan kecapi bertali lapan. Syair Daud.
1 Ya Allah, janganlah menempelak aku dalam kemarahan-Mu
atau menghukum aku dalam kemurkaan-Mu.
2 Kasihanilah aku, Ya Allah, kerana aku longlai;
Ya Allah, sembuhkanlah aku, kerana tulang-tulangku terseksa.
3 Jiwaku gundah-gulana.
Berapa lama, Ya Allah, berapa lama?
4 Berpalinglah semula kepadaku, Ya Allah, dan lepaskan aku;
selamatkan aku kerana kasih abadi-Mu.
5 Tiada sesiapa mengingati-Mu setelah dia mati.
Siapa yang memuji-Mu dari kubur?
 
6 Aku letih lesu kerana mengerang;
sepanjang malam kubanjiri tempat tidurku dengan tangisan dan kubasahi katilku dengan air mata.
7 Mataku menjadi lemah kerana kesedihan;
dan semakin kelam kerana musuhku.
 
8 Nyahlah dari sisiku, hai kamu yang berbuat jahat,
kerana Allah telah mendengar ratapanku.
9 Allah telah mendengar jeritanku memohon belas kasihan; Allah menerima doaku.
10 Semua musuhku akan malu dan kecewa;
mereka akan berpatah balik dalam keaiban yang tiba-tiba.
 
 
 
 
 
 
7
Allah, Hakim yang Benar
Nyanyian ratapan Daud yang dinyanyikan kepada Allah tentang Kush, orang Benyamin.
1 Ya Allah, ya Tuhanku,
pada-Mu aku bernaung;
selamatkan dan lepaskan aku daripada semua yang memburuku,
2 jangan biarkan mereka mengoyak-ngoyakkanku seperti singa
dan mencarik-carikku tanpa sesiapa melepaskanku.
 
3 Ya Allah, ya Tuhanku,
jika aku telah melakukan ini
dan tanganku bergelumang dosa,
4 jika aku telah berbuat jahat kepada orang yang baik denganku
atau tanpa sebab aku telah merampas milik musuhku,
5 maka biarlah musuhku memburu dan menangkapku;
biar dia melanyak nyawaku ke tanah dan membuatku tidur dalam debu. Sela
6 Bangkitlah, Ya Allah, dalam kemarahan-Mu;
bangkit melawan keberangan para musuhku.
Jagalah, ya Tuhanku; firmankan keadilan.
7 Biarlah perhimpunan umat mengelilingi-Mu.
Perintahlah mereka dari tempat-Mu yang tinggi;
8 biar Allah menghakimi segala umat.
Hakimi aku, Ya Allah, berasaskan kebenaranku,
berasaskan keikhlasanku,
Ya Allah Yang Maha Tinggi.
9 Ya Allah Yang Maha Benar,
yang menyoroti fikiran dan hati,
tamatkan keganasan orang fasiq dan pastikan keselamatan orang yang benar.
 
10 Perisaiku Allah Yang Maha Tinggi,
yang menyelamatkan orang tulus.
11 Allah hakim yang benar,
Tuhan menunjukkan kemurkaan-Nya setiap hari.
12 Jika seseorang tidak bertaubat,
Dia akan mengasah pedang-Nya;
Dia akan memasang panah-Nya.
13 Dia telah menyiapkan senjata-senjata-Nya yang membawa maut;
Dia menyediakan anak-anak panah-Nya yang menyala.
 
14 Orang yang menghamilkan kejahatan
dan membenihkan kekacauan akan melahirkan kekecewaan.
15 Orang yang menggali lubang
akan jatuh ke dalam lubang yang digalinya.
16 Kekacauan yang disebabkannya akan memantul ke atas dirinya;
keganasannya menimpa kepalanya sendiri.
 
17 Aku akan bersyukur kepada Allah
kerana kebenaran-Nya
dan akan menyanyikan pujian bagi nama Allah Maha Tinggi.
 
 
 
 
 
 
8
Makhluk Hina Dijadikan Makhluk Mulia
Untuk pemimpin pujian. Dengan iringan gitit. Syair Daud.
1 Ya Allah, ya Rabbana,
betapa agung nama-Mu di seluruh bumi!
 
Engkau telah menetapkan kemuliaan-Mu yang mengatasi langit.
2 Daripada mulut kanak-kanak dan bayi yang masih menyusu,
Engkau telah membina kekuatan untuk menentang musuh-Mu,
supaya Engkau dapat menewaskan seteru dan penuntut bela.
 
3 Apabila aku melihat langit-Mu,
perbuatan tangan-Mu,
bulan dan bintang, yang Kautentukan,
4 apakah manusia maka Engkau memberinya perhatian,
dan anak manusia maka Engkau memeliharanya?
5 Engkau telah menjadikannya rendah sedikit daripada malaikat dan
memahkotakannya dengan kemuliaan dan kehormatan.
 
6 Engkau telah memberinya kekuasaan atas seluruh ciptaan-Mu;
Engkau telah meletakkan semuanya di bawah kakinya:
7 segala domba dan lembu,
segala binatang di padang,
8 burung di udara, dan ikan di laut,
serta segala hidupan di lautan.
 
9 Ya Allah, ya Rabbana,
betapa agung nama-Mu di seluruh bumi!
 
 
 
 
 
 
9
Allah, Pelindung Orang Salih
Untuk pemimpin pujian.
Menurut lagu “Kematian Anak.” Syair Daud.
1 Aku akan memuji-Mu, Ya Allah,
dengan sepenuh hatiku;
aku akan menceritakan segala keajaiban yang Kaulakukan,
2 Aku akan girang bergembira dalam-Mu;
aku akan menyanyikan pujian untuk nama-Mu,
Ya Allah Maha Tinggi.
 
3 Apabila musuhku berpatah balik;
mereka akan jatuh dan musnah di hadirat-Mu.
4 Kerana Engkau telah menegakkan hak dan perjuanganku;
Engkau bertakhta, dan menghakimi dengan adil.
5 Engkau telah memurkai bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu dan
membinasakan orang fasiq;
Engkau telah menghapuskan nama mereka selama-lamanya.
6 Musuh telah musnah dalam kehancuran selama-lamanya,
Engkau telah membinasakan kota-kota;
sehingga luput dari kenangan.
 
7 Namun Allah akan kekal selama-lamanya;
Dia telah menyediakan takhta-Nya untuk penghakiman.
8 Dia akan menghakimi dunia dengan adil;
Dia akan menghakimi manusia dengan saksama.
9 Allah juga akan melindungi orang yang ditindas,
tempat bernaung dalam kesusahan.
10 Dan mereka yang mengenal nama-Mu akan percaya kepada-Mu,
kerana Engkau, Ya Allah, tidak mengabaikan sesiapa yang mencari-Mu.
 
11 Nyanyikanlah pujian kepada Allah yang bertakhta di Sion;
isytiharkan perbuatan-Nya kepada semua bangsa.
12 Dia mengingati mereka apabila Dia membalas kekejaman orang yang menumpahkan darah;
Dia tidak melupakan rintihan mereka yang tidak berdaya.
13 Kasihanilah aku, Ya Allah,
timbangkan penderitaanku di tangan orang yang menganiayaku!
Ya Tuhan yang mengangkatku daripada gerbang maut,
14 supaya aku dapat memuji-Mu di gerbang Puteri Sion,
aku akan bergembira kerana Engkau menyelamatkanku.
15 Bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu telah jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri;
kaki mereka terjerumus di dalam jerat yang dipasang sendiri.
16 Allah dikenali kerana keadilan-Nya;
orang fasiq terjerat dalam perangkap buatan sendiri. Higayon.a Sela
17 Orang fasiq akan musnah selama-lamanya,
begitu juga bangsa-bangsa yang melupakan Allah.
18 Kerana orang sesak tidak akan terus dilupakan,
harapan orang miskin tidak akan musnah selama-lamanya.
 
19 Bangkitlah, Ya Allah, jangan biarkan manusia berleluasa;
biarlah bangsa-bangsa dihakimi di hadirat-Mu.
20 Timbulkan ketakutan di hati mereka, Ya Allah;
supaya mereka sedar diri mereka hanyalah manusia. Sela
 
 
 
 
 
 
10
Keluh-kesah kepada Allah tentang Orang Fasiq
1 Mengapakah Engkau menjauhkan diri, Ya Allah,
dan bersembunyi pada masa kesusahan?
 
2 Orang zalim dalam keangkuhannya menindas orang miskin,
biarlah mereka terperangkap dalam jerat sendiri.
3 Orang zalim berbangga dengan keinginan hatinya;
memberkati orang tamak dan mencerca Allah.
4 Orang fasiq berwajah pongah tidak mendekati Allah;
dalam fikirannya, “Tidak ada Tuhan.”
5 Usahanya sentiasa berjaya;
dia angkuh dan penghakiman-Mu jauh daripada matanya;
dan dia mencemuh semua musuhnya.
6 Dia berkata dalam hatinya, “Aku tidak akan digugat;
aku tidak akan ditimpa penderitaan.”
7 Mulutnya penuh sumpah seranah, dusta dan aniaya;
di bawah lidahnya bersemadi kesusahan dan kejahatan.
8 Dia menghendap di ceruk-ceruk rahsia di kampung;
dan membunuh orang yang tidak bersalah,
matanya mengintip mangsa yang tidak berdaya.
9 Dia menanti mangsa dalam senyap seperti singa;
dia menunggu untuk menangkap orang tidak berdaya;
lalu meragut mereka ke dalam jaringnya.
10 Dia menjongkok dan meniarap;
lalu orang yang tidak berdaya tewas oleh kekuatannya.
11 Dia berkata dalam hatinya, “Allah sudah lupa
dan menyembunyikan wajah-Nya;
Allah tidak akan melihat.”
 
12 Bangkitlah, Ya Allah!
Ya Tuhan, angkatlah tangan-Mu.
Jangan lupakan orang yang daif.
13 Mengapakah orang fasiq mencerca Allah?
Mengapakah dia berkata dalam hatinya,
“Engkau tidak akan menyoal dan menghukum”?
14 Tetapi Engkau, Ya Allah, memang memerhati kesusahan dan kesedihan;
untuk menghukum dengan tangan-Mu.
Orang tidak berdaya berserah kepada-Mu;
Engkau menolong orang yang tiada tempat bergantung.
15 Patahkanlah kekuasaan orang zalim;
hukumlah dia sehingga hapus kejahatannya.
 
16 Allah ialah Raja selama-lamanya;
bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Nya akan lenyap dari tanah-Nya.
17 Ya Allah, Engkau telah mendengar hasrat orang daif;
Engkau akan menetapkan hati mereka,
Engkau akan mendengar keluhan mereka,
18 untuk berlaku adil kepada anak yatim dan orang yang ditindas,
supaya tiada sesiapa di bumi akan menimbulkan ketakutan lagi.
 
 
 
 
 
 
11
Allah Tempat Bernaung
Untuk pemimpin pujian.
Dari Daud.
1 Kepada Allah aku bernaung.
Betapa kamu boleh berkata kepadaku:
“Terbanglah seperti burung ke gunungmu.
2 Lihat! Orang fasiq melengkung busur;
dan memasang anak panah dalam senyap untuk memanah orang yang tulus hati.
3 Jika asas dimusnahkan,
apakah yang dapat dilakukan oleh orang yang benar?”
 
4 Allah di dalam Bait-Nya yang suci;
takhta-Nya di syurga.
Dia memerhatikan;
dan menguji anak-anak manusia.
5 Allah menguji orang yang benar dan orang fasiq.
Dia membenci orang durjana
dan orang yang mencintai keganasan.
6 Dia akan menghujani orang fasiq dengan arang menyala;
api dan belerang serta angin yang membakar
akan menimpa mereka sebagai hukuman.
 
7 Allah adalah benar,
Dia mencintai kebenaran;
wajah-Nya menghadap kepada orang yang tulus.
 
 
 
 
 
 
12
Doa Minta Tolong Menentang Orang Fasiq
Untuk pemimpin pujian.
Menurut kecapi bertali lapan. Syair Daud.
1 Tolonglah, Ya Allah, kerana tiada lagi orang yang warak;
orang beriman telah lenyap daripada kalangan anak manusia.
2 Mereka berkata sama sendiri tanpa keikhlasan,
dengan pujian manis di bibir sedangkan hati bercabang.
 
3 Semoga Allah memotong bibir yang memuji palsu
dan lidah yang bertutur angkuh
4 yang berkata, “Kami akan berkuasa dengan lidah kami;
bibir kami adalah kepunyaan kami. Siapa yang berkuasa ke atas kami?”
 
5 “Kerana orang miskin ditindas
dan kerana orang sesak merintih,
Aku akan bangkit sekarang,” firman Allah.
“Aku akan memberi mereka kesejahteraan yang diingini.”
6 Firman Allah adalah murni,
seperti perak yang teruji dalam relau tanah, dimurnikan tujuh kali.
 
7 Engkau akan memelihara mereka, Ya Allah,
dan melindungi mereka daripada orang zaman ini selama-lamanya.
8 Orang fasiq merayau angkuh merata-rata ketika kekejian disanjung dalam kalangan anak manusia.
 
 
 
 
 
 
13
Doa Orang yang Yakin akan Kasih Abadi Allah
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Berapa lamakah, Ya Allah, akan Kaulupakan aku selama-lamanya?
Berapa lamakah Engkau akan menyembunyikan wajah-Mu daripadaku?
2 Berapa lamakah aku akan bergelut dengan fikiranku sendiri
sedangkan hatiku duka setiap hari?
Berapa lamakah musuhku akan mengatasiku?
 
3 Ya Allah, Ya Tuhanku, pandanglah aku dan dengarlah doaku.
Pulihkan sinar mataku, agar aku tidak lelap dalam maut,
4 agar musuhku tidak berkata, “Aku telah berjaya menewaskannya,”
dan musuhku bergembira dengan kejatuhanku.
 
5 Tetapi aku yakin akan kasih abadi-Mu;
aku bersukacita dalam penyelamatan-Mu.
6 Aku akan menyanyi memuji Allah,
kerana limpah rahmat-Nya kepadaku.
 
 
 
 
 
 
14
Orang Bodoh yang Meniadakan Allah
Untuk pemimpin pujian.
Dari Daud.
1 Orang bodoh berkata dalam hatinya,
“Tidak ada Tuhan.”
Mereka rosak akhlak, mereka melakukan perbuatan keji;
tiada yang berbuat baik.
 
2 Allah memandang dari syurga kepada anak-anak manusia
untuk melihat kalau ada yang mengerti,
yang mencari Allah.
3 Semuanya telah berpaling,
bersama-sama rosak akhlak;
tiada yang berbuat baik,
tidak ada, tiada seorang pun.
 
4 Tidakkah orang yang melakukan kejahatan ini tahu –
mereka merampas hak umat-Ku
dan tidak berseru kepada Allah?
5 Sekarang mereka akan ditimpa ketakutan yang besar,
kerana Allah ada bersama orang yang benar.
6 Kamu menghalang rancangan orang miskin,
tetapi Allah melindungi mereka.
7 Semoga penyelamatan Israel datang dari Sion!
Apabila Allah memulihkan keadaan umat-Nya,
bergembiralah Yakub dan bersukacitalah Israel!
 
 
 
 
 
 
15
Siapa Boleh Datang kepada Allah?
Syair Daud.
1 Ya Allah, siapakah yang boleh tinggal di Khemah Suci-Mu?
Siapakah yang boleh duduk di bukit suci-Mu?a
 
2 Orang yang hidup tulus dan mengamalkan kebenaran serta berkata benar dalam hatinya,
3 orang yang lidahnya tidak memfitnah,
dan tidak berbuat jahat kepada orang lain juga tidak mencela temannya,
4 orang yang membenci mereka yang berkelakuan keji,
dan menghormati mereka yang bertakwa kepada Allah,
orang yang tidak berganjak daripada sumpahnya meski memudaratkan dirinya,
5 orang yang tidak mengambil bunga daripada pinjaman wangnya
dan tidak makan suap untuk menghukum mereka yang tidak bersalah.
Orang yang melakukan semua ini tidak akan goyah.
 
 
 
 
 
 
16
Bahagianya Orang Salih
Doa Daud.
1 Peliharakan aku, Ya Allah,
aku bernaung kepada-Mu.
 
2 Wahai rohku, kau telah berkata kepada Allah, “Engkaulah Tuhanku,
tiada kebaikan bagiku selain Engkau.”
3 Dan orang salih di bumi ini,
merekalah manusia terpuji yang membuatku sukacita.
4 Orang yang menyembah dewa
akan berganda deritanya.
Aku tidak akan menerima korban darah mereka
dan tidak akan menyebut nama mereka.
 
5 Ya Allah, Engkaulah warisan dan cawanku;
Engkau memberiku rezeki untuk hidup.
6 Pelbagai nikmat telah Kaukurniakan;
sesungguhnya, warisanku sungguh baik.
 
7 Aku memuji Allah yang telah membimbingku;
sesungguhnya pada waktu malam suara hatiku juga mengajarku.
8 Aku sentiasa menurut panduan Allah.
Dia berada di sampingku,
aku tidak mungkin goyah.
 
9 Oleh itu, hatiku gembira dan bersukacita dalam kemuliaan;
jasadku juga akan tenteram dalam harapan,
10 kerana Engkau tidak akan membiarkan rohku di alam maut,
dan Engkau tidak akan membiarkan orang salih-Mu binasa.
11 Engkau akan menunjukkan aku jalan hidup;
di hadirat-Mu sepenuh bahagia dirasai,
di tangan kanan-Mu nikmat dikecapi selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
17
Diburu walau Tak Bersalah
Doa Daud.
1 Dengarlah rayuanku memohon keadilan, Ya Allah;
dengarlah rintihanku.
Dengarlah doaku yang bukan daripada bibir dusta,
2 Pertahankanlah kebenaranku dari hadirat-Mu;
semoga mata-Mu melihat apa yang benar.
 
3 Engkau telah menguji hatiku dan menelitiku pada waktu malam,
Engkau telah mendugaku dan tidak menemui kecelaan;
aku telah berazam memelihara lidahku daripada dosa.
4 Perihal perbuatan manusia –
menurut kata-kata yang Engkau ucapkan
aku taat akan perintah-Mu;
aku menjauhi segala jalan orang yang ganas.
5 Langkahku tetap di jalan-Mu;
dan kakiku tidak tergelincir.
 
6 Aku menyeru-Mu kerana Engkau akan mendengarku, Ya Allah;
dengarlah, dengarlah kata-kataku ini.
7 Tunjukkan kasih-Mu yang agung,
dengan tangan kanan-Mu yang menyelamatkan semua yang bernaung kepada-Mu daripada mereka yang cuba meruntuhkan.
8 Peliharakanlah aku sebagai kesayangan-Mu;
lindungi aku di bawah naungan-Mu
9 daripada orang fasiq yang menganiayaiku,
daripada musuh pemusnah yang mengepungku.
 
10 Mereka telah menutup hati daripada kebaikan,
mereka menuturkan kata-kata angkuh.
11 Sekarang mereka mengepungku pada setiap langkah,
mereka merenung sambil menjongkok di bumi.
12 Seperti singa yang ingin mengoyak-ngoyak mangsa,
seperti singa muda mengendap di tempat rahsia.
 
13 Bangkitlah, Ya Allah, hadapi dan tumbangkan musuhku;
selamatkan nyawaku daripada orang fasiq dengan pedang-Mu.
14 Dengan tangan-Mu, selamatkan aku daripada manusia sebegitu, Ya Allah,
daripada manusia duniawi yang mengumpul harta dalam hidup ini.
Kaukenyangkan perut mereka yang Kaupelihara;
anak-anak mereka cukup puas,
dan mereka meninggalkan pusaka kepada zuriat.
15 Tetapi, dalam kebenaran aku akan memandang wajah-Mu;
aku akan bahagia sepenuhnya apabila terjaga di hadirat-Mu.
 
 
 
 
 
 
18
Ucapan Syukur Raja Daud
Untuk pemimpin pujian. Dari Daud, hamba Allah. Dia telah menuturkan kata-kata dalam lagu ini kepada Allah pada hari Allah menyelamatkannya daripada semua musuhnya dan daripada Saul. Kata Daud:
1 Aku mengasihi-Mu, Ya Allah, Engkaulah kekuatanku.
 
2 Allah adalah batu pejal perkasaku, kubuku dan penyelamatku;
Dialah Tuhanku adalah batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung.
Dialah perisaiku, teras penyelamatanku, benteng pertahananku.
3 Aku berseru kepada Allah yang layak dipuji,
maka aku akan diselamatkan daripada musuhku.
 
4 Seksa maut telah mengepungku;
banjir kejahatan mengerikanku.
5 Seksa alam kubur melilit aku,
rahang jerat maut mendesak aku.
6 Dalam kesesakanku aku berseru kepada Allah.
Aku meraung kepada Tuhanku.
Dia mendengar suaraku dari Bait-Nya yang suci;
raunganku sampai ke hadirat dan pendengaran-Nya.
7 Maka bumi pun gempa dan gementar,
tapak bukit-bukau bergegar dan bergoncang; kerana Dia murka.
8 Dia menghembuskan asap;
dan api yang membakar,
lalu menyalakan arang batu.
9 Dia menundukkan langit lantas turun;
dengan kegelapan di bawah kaki-Nya.
10 Dia terbang mengenderai malaikat kerubin;
Dia melayang di sayap angin.
11 Dia menjadikan kegelapan tempat rahsia-Nya,
diselubungi perairan kelam dan awan tebal di langit.
12 Daripada cahaya di hadapan-Nya awan tebal berlalu,
dengan hujan batu dan arang yang menyala.
13 Allah mengguntur dari langit;
Yang Maha Tinggi mendengarkan panah suara-Nya.
14 Dia melepaskan anak-anak panah-Nya sehingga musuh bertempiaran,
Dia memancarkan kilat sabung-menyabung lalu menumpaskan mereka.
15 Maka saluran di dasar lautan terserlah
dan asas bumi terdedah akibat kemurkaan-Mu, Ya Allah,
dan hembusan hebat nafas-Mu.
 
16 Dia menghulurkan tangan-Nya dari langit,
Dia menarikku keluar daripada pelbagai bencana yang menenggelamkan.
17 Dia menyelamatkanku daripada musuhku yang kuat,
daripada mereka yang membenciku, kerana mereka terlalu perkasa bagiku.
18 Mereka menyerangku ketika aku dalam kesusahan,
tetapi Allah menolongku.
19 Dia membawaku ke tempat yang luas;
Dia menyelamatkanku kerana Dia berkenan kepadaku.
 
20 Allah memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar;
Dia menggantikan deritaku dengan rahmat kerana tanganku bersih daripada dosa.
21 Kerana aku telah mengikut jalan Allah;
dan tidak menyeleweng daripada Tuhanku dengan melakukan kejahatan.
22 Segala hukum-Nya ada di hadapanku sebagai panduan;
dan aku tidak mengetepikan ketetapan-Nya.
23 Di hadirat-Nya aku tidak bercela
dan aku mengatasi kejahatan dalam diriku.
24 Maka Allah memberiku ganjaran kerana aku melakukan yang benar,
kerana Dia tahu tanganku bersih daripada dosa.
 
25 Kepada orang yang setia Engkau menunjukkan kesetiaan-Mu,
kepada orang yang tidak bercela Engkau menunjukkan Engkau tidak bercela,
26 kepada orang yang suci Engkau memperlihatkan kesucian-Mu,
kepada yang menipu Engkau memperlihatkan kebijaksanaan-Mu.
27 Engkau menyelamatkan orang yang rendah diri
tetapi akan menundukkan orang yang angkuh.
28 Engkau, Ya Allah, akan menyalakan lampuku;
Allah, Tuhanku, akan menerangi kegelapanku.
29 Dengan kekuatan daripada-Mu aku dapat melawan musuh yang ramai;
dengan kekuatan daripada Tuhanku aku dapat melompati tembok.
 
30 Jalan Allah itu sempurna;
firman Allah terbukti benar.
Dialah perisai pelindung semua yang bernaung kepada-Nya.
31 Tiada Tuhan melainkan Allah,
tiada Batu Pejal melainkan Tuhan kita.
32 Allah yang memberiku kekuatan berjuang
dan menjadikan jalan hidupku sempurna.
33 Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa;
dan memantapkan jejakku di pergunungan.
34 Dia melatih tanganku berperang;
berupaya melengkungkan busur gangsa.
35 Engkau telah memberiku perisai penyelamatan-Mu,
tangan kanan-Mu telah memberiku kekuatan;
kelunakan-Mu menjadikan aku besar.
36 Engkau meluaskan jalan yang kutempuh,
supaya kakiku tidak tergelincir.
 
37 Aku telah memburu musuhku dan berdepan dengan mereka;
aku tidak berpatah balik hingga kuhapuskan mereka.
38 Aku telah melukakan mereka sehingga mereka tidak berdaya bangkit lagi;
mereka telah rebah di bawah kakiku.
39 Kerana Engkau telah memberiku kekuatan berperang;
Engkau telah menundukkan di bawahku mereka yang bangkit menyerangku dahulu.
40 Engkau telah menyerahkan nyawa musuhku ke tanganku,
supaya aku membinasakan mereka yang membenciku.
41 Mereka berteriak, tetapi tiada siapa menyelamatkan mereka;
malah mereka merayu kepada Allah,
tetapi Dia tidak menyahut mereka.
42 Lalu aku menghancurkan mereka seperti debu ditiup angin;
aku menghumbankan mereka seperti sampah-sarap di jalan.
43 Engkau telah menyelamatkan aku daripada serangan;
Engkau menjadikan aku pemerintah bangsa asing;
bangsa yang tidak kukenali akan tunduk kepadaku.
44 Sebaik-baik mereka mendengar tentangku, mereka taat kepadaku;
orang asing itu tunduk kepadaku.
45 Mereka menjadi putus asa;
dan datang dengan ketakutan dari tempat persembunyian.
 
46 Allah hidup selama-lamanya! Segala puji bagi Batu Pejalku!
Segala kemuliaan bagi Tuhan, Penyelamatku!
47 Allah yang membalas kejahatan orang terhadapku,
dan menundukkan bangsa asing di bawahku,
48 Dia menyelamatkanku daripada musuhku.
Engkaulah mengangkatku mengatasi mereka yang bangkit menyerangku;
Engkau telah menyelamatkanku daripada manusia yang ganas.
49 Maka itu aku akan mengucap syukur kepada-Mu, Ya Allah, dalam kalangan bangsa asing;
dan menyanyi memuji nama-Mu.
50 Dia telah memberi penyelamatan besar kepada orang yang dijadikan-Nya raja;
Dia melimpahkan kebaikan kepada orang yang diurapi-Nya,
kepada Daud, sampai ke anak cucu selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
19
Kemuliaan Allah dalam Ciptaan dan Hukum-Nya
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Seluruh langit mengakui kemuliaan Allah;
dan cakerawala menunjukkan ciptaan-Nya.
2 Hari menyebutkan kepada hari;
malam memberitahu kepada malam.
3 Tiada pertuturan atau bahasa
yang tidak mendengar suara mereka.
4 Khabar mereka telah sampai ke serata bumi,
dan kata-kata mereka ke hujung dunia.
 
Dia telah mendirikan khemah di langit untuk matahari,
5 yang seperti pengantin lelaki keluar dari astaka kamarnya,
seperti lelaki gagah ghairah berlumba.
6 Matahari terbit lalu beredar dari satu hujung ke satu hujung langit;
tiada yang terlindung daripada panasnya.
 
7 Hukum Allah sempurna, mengubah jiwa.
Kesaksian Allah pasti,
memberi kebijaksanaan kepada orang yang tulus.
8 Ajaran-ajaran Allah benar, menggembirakan hati.
Perintah Allah suci, memberi pengertian.
9 Bertakwa kepada Allah itu murni,
kekal selama-lamanya.
Penghakiman Allah adil dan benar sepenuhnya.
10 Segalanya lebih berharga daripada emas,
ya, daripada emas tulen;
dan lebih manis daripada madu,
madu daripada sarangnya.
11 Dengannya hamba-Mu diingatkan;
dan sesiapa mematuhinya mendapat ganjaran besar.
 
12 Siapakah yang dapat memahami kesalahan sendiri?
Bersihkan aku daripada kecelaan tersembunyi.
13 Jauhkan juga hamba-Mu daripada dosa yang sengaja;
jangan sampai aku dikuasainya.
Supaya aku bebas daripada kesalahan,
bersih daripada keingkaran yang berat.
 
14 Semoga segala yang kututurkan dengan lidah dan kurenungkan dalam hati diterima oleh-Mu,
Ya Allah, Batu Pejalku dan Penebusku.
 
 
 
 
 
 
20
Doa Mohon Kemenangan bagi Raja Daud
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Semoga Allah mengabulkan doamu pada waktu kesusahan;
semoga nama Allah, yang disembah oleh Yakub, melindungimu.
2 Semoga Dia menghantar pertolongan kepadamu dari tempat suci,
dan memberimu kekuatan dari Sion.
3 Semoga Dia ingat akan segala persembahanmu
dan menerima korbanmu. Sela
4 Semoga Dia mengurniakan hasrat hatimu dan menyampaikan semua tujuanmu.
5 Kami akan bersukacita dengan penyelamatanmu
dan mengibarkan bendera merayakannya dengan nama Tuhan kita.
Semoga Allah mengabulkan segala rayuanmu.
 
6 Kini aku tahu Allah menyelamatkan orang yang dipilih-Nya;
Dia akan mengabulkan doanya dari syurga-Nya yang suci
dengan tangan kanan-Nya yang menyelamatkan.
7 Ada orang yang meletakkan kepercayaan pada pedati atau kuda,
tetapi kita semata-mata mengingati nama Allah, Tuhan kita.
8 Mereka telah tunduk dan rebah,
tetapi kita telah bangkit dan tegak berdiri.
 
9 Selamatkanlah raja, Ya Allah!
Semoga Engkau menyahut apabila kami berseru!
 
 
 
 
 
 
21
Ucapan Syukur kerana Kemenangan Raja
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Raja akan bersukacita dengan kekuatan-Mu, Ya Allah.
Dan dengan penyelamatan-Mu betapa gembiranya dia!
2 Engkau telah memberinya hasrat hatinya
dan tidak menolak permohonan yang disuarakannya. Sela
3 Engkau melimpahinya dengan berkat kebaikan
Engkau memakaikannya mahkota emas tulen.
4 Dia memohon hidup daripada-Mu, lalu Kaukurniakan –
panjang umur untuk selama-lamanya.
5 Penyelamatan-Mu memberinya kemuliaan yang besar;
Engkau mengurniainya kehormatan dan kedaulatan.
6 Kerana Engkau telah menjadikannya paling diberkati selama-lamanya
Engkau membuatnya paling bahagia dengan kehadiran-Mu.
7 Kerana raja percaya penuh kepada Allah;
dengan kasih abadi Yang Maha Tinggi dia tidak akan dapat digugat.
 
8 Tangan-Mu akan memberkas semua musuh-Mu;
kekuasaan-Mu akan dapat mencari mereka yang membenci-Mu.
9 Engkau akan membakar mereka dalam nyala api ketika Engkau murka.
Allah akan menyambar mereka dalam kemurkaan-Nya,
dan api itu akan memusnahkan mereka.
10 Segala zuriat mereka akan Kaulenyapkan dari bumi,
dan keturunan mereka daripada kalangan anak manusia.
11 Kerana mereka telah berniat jahat terhadap-Mu,
mereka menyusun rancangan yang tidak dapat mereka laksanakan.
12 Oleh itu, Engkau akan membuat mereka undur;
Engkau akan membidik muka mereka dengan anak panah-Mu.
 
13 Ya Allah, Engkau ditinggikan dalam kekuatan-Mu!
Kami akan menyanyi memuji kekuasaan-Mu.
 
 
 
 
 
 
22
Allah boleh Dipercayai dalam Kesusahan
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu “Rusa Subuh.” Syair Daud.
1 Ya Tuhanku, ya Tuhanku, mengapa Engkau meninggalkan aku?
Mengapa Engkau terlalu jauh untuk menolongku,
dan untuk mendengar kata-kata rintihanku?
2 Ya Tuhanku, aku meratap sepanjang siang, tetapi Engkau tidak mendengar,
dan semalaman aku tidak berhenti merayu.
 
3 Tetapi Engkau suci;
bertakhta di atas puji-pujian umat Israel.
4 Nenek moyang kami percaya kepada-Mu;
mereka percaya dan Engkau menyelamatkan mereka.
5 Mereka merayu kepada-Mu,
lalu mereka diselamatkan;
mereka percaya kepada-Mu, dan tidak kecewa.
 
6 Tetapi aku makhluk melata, bukan manusia, dikeji dan dihina orang.
7 Semua yang melihatku mentertawakanku;
mereka mencaciku, menggeleng kepala, sambil berkata:
8 “Dia percaya kepada Allah;
biar Allah selamatkan dia.
Biar Allah lepaskan dia,
kerana Allah berkenan kepadanya.”
 
9 Tetapi Engkaulah yang mengeluarkan aku dari rahim;
Engkau membuat aku percaya ketika masih disusui ibuku.
10 Aku diserahkan kepada-Mu sejak lahir;
semenjak di rahim ibuku lagi Engkaulah Tuhanku.
11 Janganlah jauh daripadaku,
kerana kesusahan dekat denganku
dan tiada siapa yang menolong.
 
12 Banyak lembu jantan mengelilingiku;
lembu jantan Basan yang kuat telah mengepungku.
13 Mereka merenungku dengan mulut ternganga seperti singa yang mengaum ganas.
14 Aku dicurah keluar seperti air,
dan semua tulangku terseliuh daripada sendinya.
Hatiku seperti lilin;
dan telah cair dalam diriku.
15 Kekuatanku telah kering-kontang,
dan lidahku melekat ke langit-langitku;
Engkau telah membawaku ke debu maut.
16 Anjing-anjing telah mengelilingiku;
gerombolan orang durjana mengepungku,
mereka telah menembusi tangan dan kakiku.
17 Aku dapat membilang semua tulangku;
mereka membelalak merenungku.
18 Mereka membahagikan pakaianku antara mereka
dan untuk itu mereka membuang undi.
 
19 Tetapi Engkau, Ya Allah, janganlah jauh daripadaku;
Ya kekuatanku, segeralah datang menolongku.
20 Selamatkan aku daripada pedang,
dan nyawaku yang satu-satunya daripada cengkaman anjing.
21 Selamatkan aku daripada mulut singa;
dan daripada tanduk lembu liar.
 
22 Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku;
di tengah-tengah perhimpunan aku akan memuji-Mu.
23 Kamu yang bertakwa kepada Allah, pujilah Dia!
Semua kamu zuriat Yakub,
muliakan Dia!
Gentarlah terhadap Dia, semua kamu anak cucu Israel!
24 Kerana Dia tidak menghina atau menjijikkan derita orang yang menderita;
dan Dia tidak menyembunyikan wajah-Nya daripada dia.
Apabila dia berseru kepada-Nya,
Dia mendengar.
 
25 Pujian-pujian aku untuk-Mu kelak di jemaah yang besar;
aku akan menunaikan sumpahku di hadapan mereka yang bertakwa kepada Dia.
26 Orang miskin akan makan sehingga puas;
mereka yang mencari Allah akan memuji-Nya.
Semoga hatimu hidup selama-lamanya!
27 Setiap pelosok dunia akan ingat dan berpaling kepada Allah,
dan semua suku bangsa akan menyembah-Mu,
28 kerana kerajaan milik Allah
dan Dia memerintah segala bangsa.
 
29 Semua orang yang makmur di bumi akan berjamu dan menyembah-Nya;
semua yang turun ke debu akan tunduk kepada-Nya,
termasuk yang tidak dapat memelihara nyawa sendiri.
30 Orang kemudian akan beribadat kepada-Nya;
perihal Allah akan disampaikan kepada keturunan akan datang.
31 Mereka akan datang mengisytiharkan kebenaran-Nya
kepada bangsa yang akan lahir,
bahawa Dia telah melakukan ini.
 
 
 
 
 
 
23
Allah Gembalaku yang Baik
Syair Daud.
1 Allah ialah gembalaku, aku tidak akan kekurangan apa-apa pun.
2 Dia membuat aku berbaring di padang rumput yang hijau,
Dia membimbingku ke tepian air tenang,
3 Dia memulihkan jiwaku.
Dia membimbingku ke jalan benar demi nama-Nya.
4 Ya, meski aku melangkah di lembah bayangan maut,
aku tidak akan takut kepada kejahatan,
kerana Engkau ada bersamaku;
gada dan tongkat-Mu menetapkan hatiku.
 
5 Engkau menyediakan hidangan untukku di hadapan musuhku.
Engkau mengurapi kepalaku; cawanku melimpah.
6 Tentulah kebaikan dan kasih akan mengiringiku seumur hidupku,
dan aku akan tinggal di dalam Bait Allah selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
24
Keberangkatan Raja Kemuliaan ke Bait Allah
Syair Daud.
1 Bumi ini milik Allah dengan seluruh isinya,
dunia dan semua penghuninya;
2 kerana Dia telah mengasaskannya di atas lautan dan menegakkannya di atas perairan.
3 Siapa yang boleh naik ke bukit Allah?
Siapa yang boleh berdiri di tempat suci-Nya?
4 Manusia yang bersih tangannya dan murni hatinya,
yang tidak mempersembahkan jiwanya kepada berhala atau sumpah palsu.
5 Dia akan diberkati Allah
dan menerima kebenaran daripada Tuhan Penyelamatnya.
6 Inilah keturunan yang mencari Dia,
yang mencari wajah-Mu, Ya Tuhan yang disembah Yakub. Sela
 
7 Angkatlah kepalamu,
wahai pintu gerbang;
dan terangkatlah, kamu pintu yang kekal,
Raja kemuliaan akan berangkat masuk.
8 Siapakah Raja kemuliaan ini?
Allah yang gagah perkasa,
Allah yang perkasa dalam peperangan.
9 Angkatlah kepalamu,
wahai pintu gerbang;
angkatlah, kamu pintu yang kekal,
Raja kemuliaan akan berangkat masuk.
10 Siapakah Raja kemuliaan ini?
Allah, Tuhan semesta alam,
Dialah Raja kemuliaan. Sela
 
 
 
 
 
 
25
Doa Mohon Ampun dan Perlindungan
Dari Daud.
1 Kepada-Mu, Ya Allah, kuserahkan jiwaku;
2 Ya Tuhanku, aku percaya kepada-Mu.
Janganlah biarkan aku malu,
janganlah biarkan musuhku menewaskan diriku.
3 Sesungguhnya, janganlah biarkan sesiapa yang menantikan-Mu
menanggung malu,
biarlah yang dimalukan itu mereka yang berbuat khianat tanpa sebab.
 
4 Tunjukkanlah aku jalan-Mu, Ya Allah,
ajarkanlah aku mengikut jalan-Mu.
5 Bimbinglah aku kepada kebenaran-Mu dan ajarlah aku,
kerana Engkaulah Tuhan Penyelamatku,
Engkau kunantikan sepanjang waktu.
6 Ingatilah, Ya Allah,
belas kasihan-Mu yang lembut mesra,
kerana segalanya dari zaman dahulu.
7 Janganlah ingati dosaku di usia muda dan keingkaranku;
ingatilah aku dengan kasih-Mu,
demi kebaikan-Mu, Ya Allah.
 
8 Allah baik dan tulus;
maka Dia mengajar orang berdosa jalan yang benar.
9 Dia membimbing orang yang rendah hati dalam keadilan
dan mengajar mereka
jalan-Nya.
10 Semua jalan Allah adalah kasih dan kebenaran
bagi mereka yang berpegang kepada perjanjian dan kesaksian-Nya.
 
11 Demi nama-Mu, Ya Allah,
ampunkanlah kejahatanku, walaupun amat besar.
12 Siapakah manusia yang bertakwa kepada Allah?
Allah akan mengajarnya di jalan pilihan-Nya.
13 Orang itu akan hidup makmur,
dan zuriatnya akan mewarisi bumi ini.
14 Rahsia Allah ada pada mereka yang bertakwa kepada-Nya;
dan Dia akan menunjukkan mereka perjanjian-Nya.
15 Mataku sentiasa ke arah Allah,
kerana Dia akan melepaskan kakiku daripada jerat.
 
16 Berpalinglah kepadaku,
dan kasihanilah aku,
kerana aku sepi dan sengsara.
17 Kesusahan hatiku telah bertambah;
bawalah aku keluar daripada segala derita ini.
18 Lihatlah kesengsaraan dan keazabanku
dan ampunkanlah segala dosaku.
19 Perhatikanlah segala musuhku yang amat ramai;
mereka membenciku dengan kebencian yang kejam!
20 Peliharakanlah jiwaku, selamatkanlah aku;
jangan biarkan aku malu,
aku berlindung kepada-Mu.
21 Biar keikhlasan dan ketulusan memeliharaku,
aku setia menanti-Mu.
 
22 Tebuslah Israel, Ya Allah,
daripada segala kesusahan mereka!
 
 
 
 
 
 
26
Doa Mohon Diperbenar oleh Allah
Dari Daud.
1 Tunjukkanlah kebenaranku, Ya Allah,
kerana aku telah hidup dalam kebaikan;
dan aku percaya kepada Allah
maka aku tidak tergelincir.
2 Periksalah aku, Ya Allah, dan dugalah aku,
ujilah fikiran dan hatiku;
3 kerana aku melihat belas kasih abadi-Mu,
dan aku telah hidup dalam kebenaran-Mu.
4 Aku tidak duduk bersama penyembah berhala,
dan tidak menyertai orang munafik;
5 aku membenci perhimpunan orang yang berbuat jahat
dan tidak akan duduk di sisi orang fasiq.
6 Aku akan membasuh tanganku dalam kesucian,
dengan demikian aku ke tempat menyembah-Mu,
Ya Allah,
7 supaya aku dapat mengisytiharkan dengan suara kesyukuran
segala perbuatan-Mu yang menakjubkan.
8 Ya Allah, aku mencintai kepada bait kediaman-Mu,
dan tempat kemuliaan-Mu.
 
9 Janganlah himpunkan jiwaku dengan orang berdosa,
dan hidupku dengan manusia penumpah darah,
10 yang merancang
perbuatan jahat,
manakala tangan mereka penuh rasuah.
11 Tetapi aku, aku akan terus hidup dalam kebaikan;
tebuslah aku dan kasihanilah aku.
 
12 Kakiku berpijak di
tempat mantap;
dalam perhimpunan aku akan memuji Allah.
 
 
 
 
 
 
27
Yakin dalam Perlindungan Allah
Dari Daud.
1 Allah cahayaku dan penyelamatanku;
siapa perlu kutakuti?
Allah kekuatan hidupku;
siapa harus aku gentar?
2 Apabila orang durjana menyerangku
untuk membaham dagingku,
semua musuh dan seteruku itu,
tersandung lalu rebah.
3 Kalaupun seangkatan tentera mengepungku,
hatiku tidak akan ngeri;
meski perang bangkit melandaku,
tentang ini aku tetap yakin.
 
4 Satu perkara yang kuingini daripada Allah,
akan kupohonkan:
semoga aku akan tinggal di dalam Bait Allah seumur hidupku,
melihat keindahan Allah
dan bertafakur di dalam Bait Suci-Nya.
5 Kerana pada waktu kesusahan
Dia akan menyembunyikan aku di astaka-Nya;
di ruang rahsia Khemah Suci-Nya Dia akan menyembunyikan aku.
Dia akan mengangkatku ke atas batu pejal.
6 Dan sekarang kepalaku diangkat tinggi di atas musuh sekelilingku;
maka aku akan mempersembahkan korban dengan gembira di Khemah Suci-Nya;
aku akan menyanyi, ya, aku akan menyanyi memuji Allah.
 
7 Dengarlah, Ya Allah, apabila suaraku berseru;
dan kasihanilah aku, serta sahut seruanku.
8 Hatiku berkata tentang-Mu, “Carilah wajah-Nya!”
Wajah-Mu, Ya Allah, akan kucari.
9 Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku,
jangan singkirkan hamba-Mu dengan murka;
Engkau telah menolongku.
Jangan pergi daripadaku, jangan tinggalkan aku,
Ya Tuhan Penyelamatku.
10 Apabila ibu bapaku berpaling daripadaku,
Allah akan memeliharaku.
11 Ajarlah aku jalan-Mu, Ya Allah,
dan bimbinglah aku ke jalan sejahtera
kerana aku diserang musuh.
12 Jangan serahkan aku ke tangan seteruku,
kerana aku digugat saksi-saksi palsu,
dan orang yang ganas.
13 Tentulah aku putus asa melainkan aku percaya:
bahawa aku akan melihat kebaikan Allah di tempat kehidupan kekal.
14 Nantikanlah Allah;
tabahkan dirimu, teguhkan hatimu.
Ya, nantikanlah Allah!
 
 
 
 
 
 
28
Allah Perisaiku
Dari Daud.
1 Kepada-Mu aku berseru,
Ya Allah, Batu Pejalku;
janganlah berdiam diri terhadapku.
Takut nanti, jika Engkau membisu kepadaku,
aku menjadi seperti mereka yang masuk ke lubang yang dalam.
2 Dengarlah suaraku merayu
apabila aku berseru kepada-Mu,
apabila aku mengangkat tangan
ke arah Tempat Teramat Suci-Mu.
 
3 Jangan singkirkan aku bersama orang fasiq,
dan mereka yang melakukan kejahatan,
yang menuturkan kata-kata damai kepada sesama manusia
tetapi kejahatan terpendam dalam hati mereka.
4 Hukumlah mereka setimpal dengan perbuatan mereka
sepadan dengan kedurjanaan usaha mereka;
hukumlah mereka setimpal dengan apa yang dilakukan mereka;
berilah mereka hukuman yang wajar.
5 Kerana mereka tidak menghiraukan segala perbuatan Allah
mahupun segala perbuatan tangan-Nya,
Dia akan membinasakan mereka dan tidak akan memulihkan mereka.
 
6 Segala puji bagi Allah,
kerana Dia telah mendengar suaraku merayu.
7 Allah kekuatan dan perisaiku;
hatiku percaya kepada-Nya, dan aku ditolong-Nya.
Oleh itu, hatiku amat gembira
dan dengan nyanyianku aku akan memuji-Nya.
 
8 Allah kekuatan mereka,
dan Dia tempat berlindung orang yang diurapi-Nya.
9 Selamatkanlah umat-Mu dan berkatilah mereka yang menjadi milik-Mu;
jadilah gembala pembimbing mereka dan teguhkan mereka selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
29
Kebesaran Allah dalam Badai
Syair Daud.
1 Pujilah Allah, hai kamu yang perkasa,
pujilah kemuliaan dan kekuatan Allah.
2 Pujilah kemuliaan nama Allah;
sembahlah Allah Yang Maha Suci.
 
3 Suara Allah bergema di atas lautan;
Tuhan Yang Maha Mulia mengguntur, Allah di atas segala lautan.
4 Suara Allah penuh kekuasaan;
suara Allah penuh kedaulatan.
5 Suara Allah mematahkan pokok araz;
ya, Allah menghancurkan pokok araz di Lebanon.
6 Dia membuat Lebanon melompat seperti anak lembu,
dan Sirion seperti lembu muda liar.
7 Suara Allah membelah nyala api.
8 Suara Allah menggoncang gurun;
Allah menggoncang Gurun Kadesh.
9 Suara Allah membuat rusa melahirkan anak
dan menggugurkan daun segala hutan.
Maka di Bait Suci-Nya setiap orang berkata, “Muliakan!”
 
10 Allah bertakhta di banjir besar;
dan memerintah sebagai Raja selama-lamanya.
11 Allah akan memberikan kekuatan kepada umat-Nya;
Allah akan memberkati umat-Nya dengan kesejahteraan.
 
 
 
 
 
 
30
Ucapan Syukur kerana Selamat daripada Maut
Syair Daud. Nyanyian.
Untuk dedikasi tempat beribadat.
1 Aku akan memuji-Mu, Ya Allah,
kerana Engkau telah menyelamatkan aku
dan tidak membiarkan seteruku bergembira menumpaskan aku.
2 Ya Allah, Ya Tuhanku, aku telah berseru kepada-Mu lalu Engkau menyembuhkan aku.
3 Ya Allah, Engkau telah membawa nyawaku keluar dari kubur;
Engkau telah melanjutkan usiaku supaya aku tidak masuk ke lubang maut.
 
4 Nyanyikanlah puji-pujian kepada Allah, wahai umat-Nya yang warak;
dan bersyukurlah mengingati nama-Nya yang suci.
5 Kerana kemurkaan-Nya cuma sebentar,
keredaan-Nya sepanjang kehidupan kekal;
tangisan mungkin berlangsung semalaman,
tetapi kegembiraan muncul sewaktu pagi.
 
6 Ketika aku berjaya aku berkata,
“Aku tidak akan goyah.”
7 Ya Allah, dengan keredaan-Mu,
Engkau mengukuhkan gunungku;
dahulu ketika Engkau menyembunyikan wajah-Mu,
aku berasa bimbang.
 
8 Aku telah berseru kepada-Mu, Ya Allah;
dan kepada-Mu aku telah merayu:
9 “Apakah gunanya jika darahku tertumpah,
dan aku masuk ke kubur?
Adakah debu akan memuji-Mu
dan mengisytiharkan kesetiaan-Mu?
10 Dengarlah, Ya Allah, dan kasihanilah aku;
Ya Allah, tolonglah aku.”
 
11 Engkau telah mengubah kesedihanku menjadi tarian riang;
Engkau telah melucutkan kedukaanku dan meliputiku dengan keriaan,
12 supaya aku menyanyikan puji-pujian untuk-Mu sepanjang masa.
Ya Allah, Ya Tuhanku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
31
Berlindung dalam Naungan Hadirat Allah
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Kepada-Mu, Ya Allah, kuletakkan kepercayaanku;
jangan biarkan aku menanggung malu;
selamatkanlah aku kerana kebenaran-Mu.
2 Dengarkanlah aku,
selamatkanlah aku dengan segera;
jadilah batu pejal tempat aku berlindung,
kubu pertahanan untuk keselamatanku.
3 Kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku;
oleh itu, demi Nama-Mu, bimbing dan pandulah aku.
4 Lepaskan aku daripada jerat yang mereka pasang untukku dalam rahsia,
kerana Engkaulah kekuatanku.
5 Ke dalam tangan-Mu kuserahkan rohku;
Engkau telah menebusku,
Ya Allah, Tuhan kebenaran.
 
6 Aku membenci penyembah berhala yang tidak berguna;
aku percaya kepada Allah.
7 Aku akan gembira dan bersukacita dengan kasih-Mu,
kerana Engkau melihat penderitaanku;
Engkau tahu segala kesusahan yang menimpaku.
8 Engkau tidak menyerahkan aku ke dalam cengkaman musuh;
Engkau telah menjejakkan kakiku di tempat yang lapang.
 
9 Kasihanilah aku, Ya Allah,
kerana aku dalam kesusahan;
mataku kian musnah oleh kesedihan,
ya, seluruh jiwa ragaku.
10 Kerana hidupku habis dengan berduka
dan usiaku dengan mengeluh;
kekuatanku hilang akibat dosaku,
dan tulang-tulangku semakin rapuh.
11 Aku dicemuh oleh segala musuhku,
tetapi lebih-lebih lagi oleh jiran tetanggaku;
aku dipandang jijik oleh kenalanku;
sesiapa melihatku di jalan lari daripadaku.
12 Aku dilupakan seperti orang yang sudah mati, luput dari ingatan;
aku seperti sebuah bekas yang pecah.
13 Aku mendengar ramai orang memfitnahku;
ketakutan mengepungku;
mereka sedang berpakat menentangku;
mereka merancang untuk meragut nyawaku.
 
14 Namun aku tetap percaya kepada-Mu, Ya Allah;
aku berkata, “Engkaulah Tuhanku.”
15 Usiaku berada dalam tangan-Mu;
selamatkanlah aku daripada segala musuhku
dan daripada mereka yang menganiayaiku.
16 Limpahkan cahaya wajah-Mu ke atas hamba-Mu; selamatkan aku demi kasih abadi-Mu.
17 Jangan biarkan aku malu, Ya Allah,
kerana aku telah berseru kepada-Mu;
biarlah orang fasiq ditimpa malu
biarlah mereka membisu dalam kubur.
18 Biar lidah mereka yang berdusta dikelukan,
lidah yang menuturkan kata-kata biadab dengan sombong dan menghina terhadap orang yang benar.
 
19 Betapa limpahnya kebaikan-Mu,
yang telah Kausediakan untuk mereka yang bertakwa kepada-Mu,
yang telah Kausiapkan di hadapan manusia untuk mereka yang berlindung dalam-Mu.
20 Engkau akan menyembunyikan mereka dalam naungan hadirat-Mu daripada pakatan jahat manusia;
Engkau akan menyembunyikan mereka
di tempat selamat daripada serangan lidah manusia.
 
21 Segala puji bagi Allah,
kerana Dia telah menunjukkan aku kebaikan-Nya yang menakjubkan ketika aku di kota yang dikepung.
22 Kerana aku telah berkata dengan tidak sabar,
“Aku telah disingkirkan daripada pandangan-Mu!”
Namun Kau dengar suaraku merayu
apabila aku berseru kepada-Mu.
 
23 Kasihilah Allah, wahai umat-Nya yang warak!
Kerana Allah memeliharakan orang yang setia,
dan membalas sepenuhnya orang yang angkuh.
24 Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu,
semua kamu yang berharap kepada Allah.
 
 
 
 
 
 
32
Diberkati Orang yang Diampuni Dosanya
Dari Daud. Nyanyian pengajaran.
1 Diberkatilah orang yang diampuni keingkarannya,
dan yang dihapuskan dosa-dosanya.
2 Diberkatilah orang yang tidak dianggap berdosa oleh Allah
dan yang tiada penipuan dalam hatinya.
 
3 Ketika aku membisu,
tulang-tulangku kian uzur
akibat rintihanku sepanjang hari.
4 Kerana siang malam hukuman-Mu berat menekanku;
tenagaku hilang bagaikan kemarau musim panas. Sela
5 Lalu aku mengakui dosaku kepada-Mu
dan tidak menyembunyikan kejahatan dosaku.
Kataku, “Aku akan mengakui keingkaranku kepada Allah,”
maka Engkau mengampunkan dosaku. Sela
 
6 Oleh itu, setiap orang yang warak hendaklah berdoa kepada-Mu
ketika Engkau masih dapat dicari;
apabila banjir besar melanda,
tentulah dia akan terselamat.
7 Engkau tempatku berlindung;
Engkau akan menaungiku daripada kesusahan;
Engkau akan memeliharaku dengan nyanyian penyelamatan. Sela
 
8 Aku akan mendidik dan mengajarmu ke jalan yang benar;
Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku.
9 Janganlah berkelakuan seperti kuda atau keldai, yang tidak berakal
dan perlu dipasangkan tali serta kekang supaya menurut kata.
10 Orang fasiq akan menanggung pelbagai penderitaan,
tetapi orang yang percaya kepada Allah akan dilimpahi kasih abadi.
 
11 Bersukacitalah dalam Allah dan bergembiralah, wahai orang yang benar;
dan bersoraklah dengan girang, wahai semua orang yang tulus hati!
 
 
 
 
 
 
33
Puji-pujian kepada Tuhan yang Disembah Bani Israel
1 Bergembiralah tentang Allah, wahai orang yang benar;
kerana pujian daripada orang tulus sungguh indah.
2 Pujilah Allah dengan bermain kecapi;
mainkan lagu untuk-Nya dengan alat bertali sepuluh.
3 Nyanyikan lagu baru untuk-Nya;
mainkan dengan mahir sekali sambil bersorak ria.
 
4 Kerana firman Allah itu benar;
dan semua kerja-Nya dilakukan dengan kesetiaan.
5 Allah mencintai kebenaran dan keadilan;
bumi ini dipenuhi kasih abadi-Nya.
 
6 Dengan firman Allah langit telah dicipta,
dan seluruh cakerawala dengan perintah-Nya.
7 Dia menghimpunkan air segala lautan;
Dia menyimpan khazanah lautan dalam perbendaharaan.
8 Takutilah Allah, hai seluruh bumi;
gerunlah kepada-Nya, hai semua penghuni dunia.
9 Kerana Dia berfirman, lalu segalanya terjadi;
Dia memberikan perintah, lalu segalanya teguh.
10 Allah mematahkan rancangan bangsa-bangsa;
Dia menjadikan niat mereka sia-sia.
11 Rancangan Allah bertapak selama-lamanya,
niat hati-Nya bagi manusia zaman-berzaman.
 
12 Diberkatilah bangsa yang Tuhan mereka ialah Allah,
mereka yang telah dipilih sebagai warisan-Nya sendiri.
13 Allah memandang dari syurga;
Dia melihat semua anak manusia.
14 Dari tempat bersemayam-Nya Dia memandang semua penghuni bumi.
15 Dia membentuk hati setiap orang,
Dia mempertimbangkan seluruh perbuatan mereka.
16 Tiada raja yang diselamatkan oleh tentera yang besar;
orang gagah perkasa tidak dapat diselamatkan oleh kekuatan yang hebat.
17 Kuda yang diharapkan untuk menyelamatkan pasti mengecewakan;
kekuatannya yang hebat tidak akan menyelamatkan sesiapa.
18 Lihatlah, Allah menumpukan perhatian kepada mereka yang bertakwa kepada-Nya,
kepada mereka yang berharapkan kasih abadi-Nya,
19 untuk menyelamatkan mereka daripada maut,
dan membolehkan mereka hidup ketika berlaku kebuluran.
 
20 Jiwa kita berharap kepada Allah;
Dialah yang menolong dan melindungi kita.
21 Hati kita akan bergembira kerana Dia,
sebab kita percaya akan nama-Nya yang suci.
22 Limpahi kami dengan kasih abadi-Mu, Ya Allah,
sebagaimana kami berharap kepada-Mu.
 
 
 
 
 
 
34
Diberkati Orang yang Berlindung kepada Allah
Dari Daud. Ketika dia berpura-pura gila di hadapan Abimelekh, yang mengusirnya, lalu dia pergi.
1 Aku akan memuji Allah setiap waktu;
puji-pujian untuk-Nya akan sentiasa di bibirku.
2 Jiwaku akan mengisytiharkan kebesaran Allah;
rakyat yang menderita akan mendengar dan bersukacita.
3 Pujilah kebesaran Allah bersamaku;
marilah kita memuliakan nama-Nya bersama-sama.
 
4 Aku telah berseru kepada Allah, dan Dia mendengar seruanku;
lalu Dia menyelamatkanku daripada semua yang kutakuti.
5 Orang yang dalam kesusahan bermohon kepada-Nya;
maka wajah mereka berseri-seri
dan tidak menanggung malu.
6 Orang malang berseru merayu,
dan Allah mendengar rayuannya;
lalu menyelamatkannya daripada segala kesusahannya.
7 Para malaikat Allah berjaga sekeliling orang yang bertakwa kepada-Nya,
dan menyelamatkan mereka.
 
8 Rasakan dan lihatlah kebaikan Allah;
diberkatilah orang yang berlindung kepada-Nya.
9 Bertakwalah kepada Allah, wahai umat-Nya yang salih,
mereka yang bertakwa kepada-Nya tidak kekurangan apa-apa.
10 Anak-anak singa menjadi lemah dan lapar,
tetapi mereka yang berpaling kepada Allah tidak akan kekurangan sesuatu yang baik.
 
11 Marilah anak-anak, dengar kata-kataku;
aku akan mengajarmu bertakwa kepada Allah.
12 Siapa yang sayangkan hidup
dan inginkan panjang umur,
13 jagalah lidahmu daripada kejahatan
dan bibirmu daripada
kata-kata palsu.
14 Tinggalkan kejahatan dan lakukan kebaikan;
cari dan burulah kedamaian.
15 Pandangan Allah tertuju kepada orang yang benar,
dan pendengaran-Nya kepada rayuan mereka;
16 Allah menentang mereka yang berbuat jahat,
sehingga ingatan tentang mereka luput dari bumi.
 
17 Orang yang benar berseru merayu, dan Allah mendengar;
lalu menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan mereka.
18 Allah merapati orang yang patah hati
dan menyelamatkan orang yang menyesal.
 
19 Orang yang benar banyak ditimpa penderitaan,
Tetapi Allah menyelamatkannya daripada segala-galanya;
20 Dia menjaga setiap tulangnya,
satu pun tidak patah.
 
21 Orang fasiq akan dibunuh oleh kejahatan;
dan mereka yang membenci orang benar akan dihukum.
22 Allah menebus roh hamba-Nya;
tiada seorang pun yang berlindung kepada-Nya akan dihukum.
 
 
 
 
 
 
35
Doa Minta Tolong Menghadapi Musuh
Dari Daud.
1 Sokonglah perjuanganku, Ya Allah, dengan orang yang memerangiku;
lawanlah mereka yang melawanku.
2 Gunakan perisai dan baju zirah-Mu;
dan bangkitlah menolongku.
3 Hunuslah lembing dan hentikan mereka daripada memburuku.
Katakan kepada jiwaku,
“Aku penyelamatanmu.”
 
4 Malukan dan cemarkan nama orang yang hendak meragut nyawaku;
dan mereka yang merancang untuk mencederakanku akan berundur dan kelam-kabut.
5 Jadikan mereka seperti sekam ditiup angin,
dan perintahkan malaikat Allah menghalau mereka;
6 jadikan jalan yang mereka tempuh gelap dan licin,
dan perintahkan malaikat Allah memburu mereka.
7 Kerana tanpa sebab mereka memasang jerat tersembunyi untukku
dan tanpa sebab mereka gali lubang untuk meragut nyawaku,
8 biar kebinasaan menimpa mereka dengan tiba-tiba,
dan jerat yang disembunyikan mereka itu menjerat diri mereka sendiri,
biar mereka terjerumus lalu binasa.
9 Maka jiwaku akan bersukacita dengan pertolongan Allah,
akan bergembira dengan penyelamatan-Nya.
10 Semua tulangku akan berkata,
“Ya Allah, tiada siapa seperti-Mu,
yang menyelamatkan orang daif daripada orang yang terlalu kuat bagi mereka,
ya, menyelamatkan orang miskin
dan sesak daripada orang yang merampas milik mereka.”
 
11 Saksi-saksi yang berniat jahat menuduhku;
menyoalku tentang perkara yang tidak kuketahui.
12 Mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan sehingga jiwaku berduka.
13 Sedangkan ketika mereka sakit dahulu,
aku telah berkabung;
aku merendahkan diriku dengan berpuasa.
Dan doaku sentiasa kembali ke hatiku.
14 Aku mundar-mandir seolah-olah mereka sahabat atau saudaraku.
Aku tunduk bersedih,
bagaikan berkabung untuk ibu.
15 Namun demikian, apabila aku dalam kesusahan,
mereka bergembira dan berhimpun;
mereka berkumpul menyerangku sedangkan aku tidak tahu.
Mereka memfitnahku dengan ganas terus-menerus.
16 Bersama pencemuh mungkar yang mencemuh di majlis jamuan,
mereka menggertakkan gigi terhadapku.
17 Ya Rabbi, berapa lamakah Engkau akan melihat sahaja?
Selamatkanlah aku daripada binasa di tangan mereka,
dan nyawaku yang satu-satunya daripada mulut singa.
18 Aku akan mengucapkan syukur kepada-Mu di jemaah yang besar;
aku akan memuji-Mu di hadapan khalayak ramai.
 
19 Jangan benarkan mereka yang memusuhiku dengan alasan palsu bergembira kerana kekalahanku;
jangan benarkan mereka yang membenciku tanpa sebab berkenyitan riang kerana kejatuhanku.
20 Mereka tidak bertutur untuk kesejahteraan,
tetapi merancang kepalsuan dan penipuan terhadap orang yang hidup damai.
21 Mereka juga telah bersuara lantang menuduhku dengan berkata, “Aha, aha!
Kami telah melihatnya dengan mata kami.”
 
22 Ini telah Kaulihat, Ya Allah; janganlah berdiam diri.
Ya Rabbi, janganlah jauh daripadaku.
23 Bangkit dan pertahankanlah kebenaranku!
Sokong perjuanganku,
Ya Tuhanku, Junjunganku!
24 Tunjukkan kebenaranku, Ya Allah, Ya Tuhanku, menurut kebenaran-Mu;
dan jangan biarkan mereka bergembira kerana kekalahanku.
25 Jangan biarkan mereka berkata dalam hati, “Aha, inilah yang kita mahu!”
Jangan biarkan mereka berkata, “Kita telah menghapuskannya.”
 
26 Malukan dan kelirukanlah mereka yang bergembira kerana penderitaanku;
aibkan dan cemarkan nama mereka yang mengangkat diri menentangku.
27 Gembirakan hati sehingga bersorak girang,
mereka yang menyokong perjuanganku yang benar;
biar mereka berkata setiap waktu, “Muliakan Allah,
yang meredai kejayaan hamba-Nya.”
28 Lidahku akan mengisytiharkan kebenaran-Mu serta memuji-Mu sepanjang hari.
 
 
 
 
 
 
36
Keingkaran Orang Zalim dan Kasih Abadi Allah
Untuk pemimpin pujian. Dari Daud, hamba Allah.
1 Satu nubuat dalam hatiku
tentang keingkaran orang fasiq:
dia tidak takut kepada Allah.
2 Kerana dia memuliakan dirinya dalam pandangannya apabila dia tidak tahu keingkarannya dan berasa kebencian.
3 Kata-kata daripada mulutnya jahat dan dusta;
dia tidak lagi bijaksana dan berbuat baik.
4 Dia merancang kejahatan
di tempat tidurnya;
dia mengikut jalan
yang tidak baik,
dia tidak membenci kejahatan.
 
5 Kasih-Mu, Ya Allah, menjangkau langit,
kesetiaan-Mu mencecah awan.
6 Kebenaran-Mu setinggi gunung,
penghakiman-Mu sedalam lautan.
Ya Allah, Engkau melindungi manusia dan haiwan.
7 Betapa berharganya kasih abadi-Mu, Ya Allah!
Oleh itu, anak manusia meletakkan kepercayaan
berlindung di bawah bayangan sayap-Mu.
8 Mereka dijamu sehingga puas dari limpahan kurnia Bait-Mu;
dan Kauberi mereka minum dari sungai nikmat-Mu.
9 Kerana pada-Mu pancuran hidup;
dalam cahaya-Mu kami melihat cahaya.
 
10 Teruskanlah kasih-Mu kepada mereka yang mengenal-Mu,
dan kebaikan-Mu kepada mereka yang tulus hati.
11 Jangan biarkan kaki orang yang angkuh menerajangku,
dan jangan biarkan tangan orang fasiq mengusirku.
12 Lihatlah, orang yang melakukan kejahatan telah jatuh,
mereka telah digulingkan dan tidak berdaya bangkit lagi!
 
 
 
 
 
 
37
Kebahagiaan Orang Zalim akan Lenyap
Dari Daud.
1 Jangan gusar kerana orang melakukan kejahatan
dan jangan iri hati kepada orang yang melakukan kedurjanaan;
2 kerana tidak lama lagi mereka akan ditebas seperti rumput,
dan layu seperti layunya tumbuhan hijau.
 
3 Percayalah kepada Allah, dan lakukan kebaikan;
tinggallah di tanah ini dan berpeganglah kepada kesetiaan-Nya.
4 Cari kebahagiaan daripada Allah
maka Dia akan menunaikan hasrat hatimu.
 
5 Serahkan jalan hidupmu kepada Allah;
percayalah kepada-Nya maka Dia akan bertindak:
6 Dia akan menyatakan kebenaranmu seterang cahaya,
dan keadilanmu seterang matahari tengah hari.
 
7 Sandarkan hatimu kepada Allah dan sabarlah menanti tindakan-Nya;
jangan gusar kerana ada yang makmur mengikut jalan sendiri,
kerana ada yang menjayakan rancangan jahat.
 
8 Jangan marah, jangan meradang.
Jangan gusar; segalanya cuma membawa mudarat.
9 Orang yang melakukan kejahatan akan dimusnahkan,
tetapi orang yang berharap kepada Allah akan mewarisi bumi.
10 Hanya seketika lagi, orang fasiq akan lenyap;
malah kamu akan mencari dengan teliti bekas tempatnya, tetapi hapus sama sekali.
11 Orang yang rendah hati akan mewarisi bumi ini dan akan bersukacita dengan kesejahteraan yang melimpah-limpah.
 
12 Orang fasiq menyusun rancangan menentang orang yang benar
dan menggertakkan gigi terhadapnya;
13 Tuhan mentertawakannya,
kerana Dia tahu harinya akan tiba.
 
14 Orang fasiq telah menghunus pedang
dan melengkungkan busur mereka
untuk menindas orang miskin dan sesak, serta membunuh orang yang hidup tulus.
15 Pedang mereka akan menembusi hati sendiri,
dan busur mereka akan dipatahkan.
 
16 Sedikit yang dimiliki oleh seorang yang benar lebih baik daripada kekayaan besar orang fasiq;
17 kerana lengan orang fasiq akan dipatahkan,
tetapi Allah akan menolong orang yang benar.
 
18 Allah mengetahui hidup orang yang tidak bercela,
dan warisan mereka akan kekal selama-lamanya.
19 Mereka tidak akan menanggung malu pada masa kesusahan;
dan pada masa kebuluran bekalan makanan mereka akan mencukupi.
 
20 Tetapi orang fasiq akan binasa:
dan semua musuh Allah seperti keindahan padang rumput,
semuanya akan lenyap seperti asap.
 
21 Orang fasiq meminjam lantas tidak membayar,
tetapi orang yang benar menunjukkan belas kasihan lalu memberi;
22 orang yang diberkati Allah akan mewarisi bumi ini,
tetapi mereka yang disumpah-Nya akan disingkiri.
 
23 Langkah seorang yang baik diperintahkan oleh Allah,
dan Dia meredai jalan yang dilaluinya;
24 kalaupun orang itu tergelincir, dia tidak akan rebah,
kerana Allah menyokongnya dengan tangan-Nya.
 
25 Dari usia muda hingga tua sekarang,
tidak pernah kulihat orang benar diabaikan Allah
atau anak cucunya mengemis untuk makan.
26 Mereka sentiasa pengasihan dan membantu;
dan anak cucu mereka diberkati.
 
27 Tinggalkanlah kejahatan, dan lakukan kebaikan;
lalu hiduplah selama-lamanya.
28 Kerana Allah kasih akan keadilan dan tidak akan meninggalkan umat-Nya yang warak.
Mereka dipeliharakan selama-lamanya,
tetapi keturunan orang fasiq akan disingkiri.
29 Orang yang benar akan mewarisi tanah ini
dan tinggal di sini selama-lamanya.
 
30 Mulut orang yang benar menuturkan kebijaksanaan,
dan lidahnya bercakap tentang keadilan.
31 Hukum Tuhannya bertapak dalam hatinya;
kakinya tidak akan tergelincir.
 
32 Orang fasiq memerhatikan orang yang benar;
dan cuba membunuhnya;
33 Allah tidak akan membiarkan orang yang benar di tangan orang fasiq
dan tidak akan menghukum orang benar dalam penghakiman.
 
34 Berharaplah kepada Allah dan ikuti jalan-Nya.
Maka Dia akan mengangkatmu untuk mewarisi tanah ini;
apabila orang fasiq disingkiri,
kamu akan melihatnya.
35 Aku telah melihat orang zalim berkuasa besar
dan meluaskan lagi kuasanya seperti dahan-dahan pokok yang subur,
36 namun dia lenyap, tiba-tiba dia tiada lagi;
aku mencarinya, tetapi dia tidak mungkin ditemui.
 
37 Perhatikan orang yang tidak bercela, teliti orang yang tulus;
kerana masa hadapannya adalah kesejahteraan.
38 Tetapi orang yang ingkar akan dibinasakan bersama-sama;
masa hadapan orang fasiq akan dihapuskan.
 
39 Penyelamatan orang yang benar adalah daripada Allah;
Dia ialah kekuatan mereka pada waktu kesusahan.
40 Allah akan menolong dan menyelamatkan mereka;
Dia akan menyelamatkan mereka daripada orang fasiq dan memelihara mereka,
kerana mereka berlindung kepada-Nya.
 
 
 
 
 
 
38
Doa pada Waktu Sakit
Syair Daud. Pengingatan.
1 Ya Allah, jangan marahi aku dalam kemurkaan-Mu
jangan hukum aku dalam nyala keberangan-Mu.
2 Kerana anak-anak panah-Mu menikamku sungguh dalam,
dan tangan-Mu menekanku.
3 Seluruh tubuhku sakit kerana kemurkaan-Mu;
tulang-tulangku rapuh kerana dosaku.
4 Kejahatan yang kulakukan telah keterlaluan seperti beban yang terlampau berat untukku.
 
5 Luka-lukaku busuk bernanah kerana kebodohanku.
6 Aku menderita, aku sungguh tertekan;
aku berduka sepanjang hari.
7 Kerana pinggangku penuh radang;
dan seluruh tubuhku sakit.
8 Aku daif dan remuk-redam;
aku merintih kerana hatiku rusuh.
 
9 Ya Rabbi, seluruh keinginanku terdedah di hadapan-Mu;
dan rintihanku tidak tersembunyi daripada-Mu.
10 Hatiku berdebar-debar, kekuatanku hilang;
malah mataku juga kehilangan cahaya.
11 Orang yang kusayangi dan sahabat handaiku takut mendekatiku kerana penyakit hawarku;
dan saudara-maraku menjauhkan diri daripadaku.
12 Orang yang ingin membunuhku memasang jerat untukku,
mereka yang hendak mencederakan aku bercakap tentang kebinasaanku;
dan merancangkan penipuan sepanjang hari.
 
13 Tetapi aku, seperti orang tuli, tidak mendengar,
aku seperti orang bisu yang tidak membuka mulut;
14 Demikianlah aku seperti seorang yang tidak mendengar,
dan tidak berkata apa-apa tentang segala yang berlaku.
15 Kepada-Mu, Ya Allah, aku berharap;
Engkau akan mendengar, Ya Junjunganku, ya Tuhanku.
16 Kerana aku berkata, “Dengarlah rayuanku,
supaya mereka tidak bergembira dengan penderitaanku,
supaya apabila kakiku tergelincir, mereka tidak mengangkat diri menentangku.”
 
17 Aku lemah mungkin rebah,
dan kesedihan sentiasa kurasakan.
18 Aku akan mengakui kejahatanku;
aku sedih terseksa kerana dosaku.
19 Tetapi musuhku bertenaga dan gagah;
dan mereka yang membenciku tanpa sebab yang wajar telah berganda bilangannya.
20 Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan
menjadi seteruku kerana aku menegakkan kebaikan.
21 Janganlah tinggalkan aku, Ya Allah;
Ya Tuhanku, janganlah jauh daripadaku.
22 Segeralah tolong aku,
Ya Rabbi, penyelamatku!
 
 
 
 
 
 
39
Usia begitu Singkat
Untuk pemimpin pujian.
Untuk Yedutun. Syair Daud.
1 Aku telah berkata, “Aku akan menjaga langkahku
takut nanti aku berdosa dengan lidahku;
aku akan mengekang mulutku
ketika orang fasiq di hadapanku.”
2 Aku senyap membisu,
kebaikan pun tidak kututurkan,
lalu kesedihanku berkecamuk.
3 Hatiku panas, ketika aku bermenung, apinya menyala;
lalu lidahku berkata:
4 “Ya Allah, tunjukkanlah aku bila ajalku
dan berapa lama aku akan hidup;
supaya aku tahu betapa fananya aku.
5 Sememangnya Engkau telah membuat hidupku begitu singkat;
dan usiaku bagaikan tiada bagi-Mu.
Sebenarnya manusia dalam keadaan terbaik pun hanyalah sehembus nafas. Sela
6 Sesungguhnya, setiap manusia melangkah seperti bayang-bayang:
Sesungguhnya, dia sibuk dengan sia-sia;
dia menimbun harta, dan tidak tahu siapa mendapatnya nanti.
7 Sekarang, Ya Rabbi, apa yang kunantikan?
Harapanku tertumpu kepada-Mu.
8 Bebaskanlah aku daripada segala dosaku;
jangan biarkan aku diejek oleh orang bodoh.
9 Aku membisu; aku tidak membuka mulutku,
kerana Engkau yang melakukannya.
10 Sembuhkanlah penyakit yang Kautimpakan kepadaku;
aku binasa di bawah hukuman-Mu.
11 Apabila Engkau memurkai dan menghukum manusia kerana dosa mereka;
Engkau membuat kehebatannya lenyap seperti terbangnya rama-rama;
sesungguhnya setiap manusia itu hanya sehembus nafas.” Sela
12 “Dengarlah doaku, Ya Allah, dengarlah rayuanku;
jangan berdiam diri melihat air mataku.
Kerana aku orang asing bagi-Mu,
menumpang untuk sementara, seperti nenek moyangku.
13 Alihkan renungan tajam-Mu daripadaku, supaya tenagaku pulih
sebelum aku pergi dan tiada lagi.”
 
 
 
 
 
 
40
Kesyukuran dan Doa Minta Tolong
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Aku menantikan Allah dengan sabar;
lalu Dia berpaling kepadaku dan mendengar rayuanku.
2 Dia mengeluarkanku daripada lubang yang dahsyat,
daripada tanah liat berpaya;
dan meletakkan aku berpijak di atas batu pejal serta menetapkan langkahku.
3 Dia telah meletakkan nyanyian baru di bibirku,
puji-pujian kepada Tuhan kita.
Ramai yang akan melihat, lalu bertakwa dan percaya kepada Allah.
 
4 Diberkatilah orang yang percaya kepada Allah kepercayaannya,
dan tidak gentar terhadap orang angkuh serta pendusta.
5 Sungguh banyak, Ya Allah, Ya Tuhanku,
perbuatan menakjubkan yang telah Kaulakukan.
Dan ingatan-Mu kepada kami tidak dapat disebutkan satu persatu;
kalaulah aku cuba mengisytiharkannya, banyaknya tidak terkira.
 
6 Korban dan persembahan tidak Kauingini,
tetapi Engkau telah membukakan telingaku;
persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai.
7 Kemudian aku berkata, “Lihatlah, aku telah datang;
dalam naskhah kitab ada tersurat tentangku.
8 Aku sukacita menjalankan kehendak-Mu, Ya Tuhanku;
dan hukum-Mu tertera di hatiku.”
 
9 Aku telah mengisytiharkan berita baik tentang kebenaran di jemaah yang besar;
sesungguhnya aku tidak mengekang mulutku,
Ya Allah, Engkau sendiri mengetahui.
10 Aku tidak menyembunyikan kebaikan-Mu dalam hatiku;
aku telah mengisytiharkan kesetiaan-Mu dan penyelamatan-Mu.
Aku tidak merahsiakan kasih abadi-Mu dan kebenaran-Mu daripada jemaah yang besar.
 
11 Janganlah berhenti memberikan belas kasihan-Mu, Ya Allah;
peliharakanlah aku sentiasa dengan kasih abadi-Mu dan kebenaran-Mu.
12 Kerana terlalu banyak kejahatan mengelilingiku;
dosaku telah dapat memburuku,
tidak terdaya aku mengangkat mata.
Bilangannya melebihi rambut di kepalaku,
maka hatiku tidak bermaya menghadapinya.
 
13 Ya Allah, berkenanlah untuk menyelamatkanku;
Ya Allah, segeralah tolong aku.
14 Biar mereka dimalukan dan dikelirukan,
mereka yang ingin meragut nyawaku;
biar mereka berundur dan menanggung aib,
mereka yang hendak memusnahkan aku.
15 Biar mereka berundur kerana malu,
mereka yang mengejekku, “Aha! Aha!”
16 Biar semua yang mencari-Mu
bergembira dan bersukacita kerana-Mu;
dan biar mereka yang cinta akan penyelamatan-Mu berkata sentiasa,
Allah Maha Tinggi!”
 
17 Aku miskin dan sesak;
tetapi Rabbi ingat kepadaku.
Engkaulah penolong dan penyelamatku;
janganlah berlengah-lengah, Ya Tuhanku.
 
 
 
 
 
 
41
Doa Mohon Penyembuhan
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud.
1 Diberkatilah orang yang mengambil berat terhadap orang miskin;
Allah akan menyelamatkannya pada waktu kesusahan.
2 Allah akan memeliharanya dan melindungi nyawanya;
dan dia akan diberkati di atas bumi;
Engkau tidak akan menyerahkannya ke tangan musuhnya.
3 Allah akan memberinya kekuatan ketika dia terbaring sakit;
Engkau akan memelihara dan memulihkannya.
 
4 Aku berkata, “Ya Allah, kasihanilah aku;
pulihkan jiwaku, kerana aku telah berdosa kepada-Mu.”
5 Musuhku menuturkan kata-kata yang buruk tentangku,
“Bilakah dia akan mati dan namanya lenyap?”
6 Dan jika dia datang menziarahiku,
dia berdusta, hatinya mengumpul kejahatan;
dan apabila dia pergi, dia menyebarkannya.
 
7 Semua yang membenciku berbisik dan berpakat menentangku;
mereka merancang untuk mencederakan aku.
8 “Penyakit yang keji,” kata mereka, “telah menimpanya;
sekarang dia terlantar dan tidak akan bangun lagi.”
9 Sampaikan sahabat karibku yang kupercayai,
yang makan bersama di rumahku,
telah berpaling menentangku.
 
10 Tetapi Engkau, Ya Allah, kasihanilah aku;
dan pulihkan aku, supaya dapat kubalas perbuatan mereka.
11 Dengan demikian tahulah aku bahawa Engkau berkenan kepadaku,
apabila musuhku tidak Kaubiarkan mengalahkanku.
12 Dan Engkau menegakkan aku dalam keikhlasanku
dan meletakkan aku di hadirat-Mu selama-lamanya.
 
13 Segala puji bagi Allah, Tuhan yang disembah bani Israel,
yang tiada permulaan dan tiada kesudahan selama-lamanya.
Amin, ya Amin.
 
 
 
 
 
 
42
Jilid II: 42—72
Allah Penyelamatku
Untuk pemimpin pujian. Nyanyian pengajaran puak Korah.a
1 Seperti rusa merindui air sungai,
demikianlah jiwaku merindui-Mu, Ya Allah.
2 Jiwaku dahaga akan Allah, Tuhan yang hidup.
Bilakah aku akan datang ke hadirat Allah?
3 Air mataku menjadi makananku siang malam,
manakala mereka terus-menerus berkata kepadaku,
“Di manakah Tuhanmu?”
4 Apabila kukenang segala ini kucurah keluar seluruh jiwaku:
kerana dahulu aku pergi bersama orang ramai, ke Bait Suci Allah,
dengan suara kegembiraan dan puji-pujian bersama orang ramai menyambut hari mulia.
 
5 Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku?
Mengapa engkau resah gelisah?
Berharaplah kepada Allah,
kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku.
 
6 Ya Tuhanku, jiwaku nestapa dalam diriku;
maka aku akan ingat kepada-Mu dari tanah Yordan,
dan puncak Gunung Hermon, serta dari Bukit Mizar.
7 Jiwaku bagai dipanggil-panggil ketika mendengar deru air terjun-Mu;
segala ombak dan gelombang-Mu telah menenggelamkan aku.
 
8 Allah akan melimpahkan kasih-Nya pada siang hari,
dan pada waktu malam nyanyian-Nya akan menemaniku, doa kepada Tuhan hidupku.
 
9 Aku akan berkata kepada Allah, Batu Pejalku,
“Mengapa Engkau melupakan aku?
Mengapa aku bersedih, kerana ditindas musuh?”
10 Seperti mematahkan tulang-tulangku, musuhku mengejekku,
dengan berkata kepadaku sepanjang hari,
“Di manakah Tuhanmu?”
 
11 Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku?
Mengapa kau resah gelisah?
Berharaplah kepada Allah,
kerana aku akan memuji-Nya,
Penyelamatku dan Tuhanku.