42
Jilid II: 42—72
Allah Penyelamatku
Untuk pemimpin pujian. Nyanyian pengajaran puak Korah.a
1 Seperti rusa merindui air sungai,
demikianlah jiwaku merindui-Mu, Ya Allah.
2 Jiwaku dahaga akan Allah, Tuhan yang hidup.
Bilakah aku akan datang ke hadirat Allah?
3 Air mataku menjadi makananku siang malam,
manakala mereka terus-menerus berkata kepadaku,
“Di manakah Tuhanmu?”
4 Apabila kukenang segala ini kucurah keluar seluruh jiwaku:
kerana dahulu aku pergi bersama orang ramai, ke Bait Suci Allah,
dengan suara kegembiraan dan puji-pujian bersama orang ramai menyambut hari mulia.
 
5 Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku?
Mengapa engkau resah gelisah?
Berharaplah kepada Allah,
kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku.
 
6 Ya Tuhanku, jiwaku nestapa dalam diriku;
maka aku akan ingat kepada-Mu dari tanah Yordan,
dan puncak Gunung Hermon, serta dari Bukit Mizar.
7 Jiwaku bagai dipanggil-panggil ketika mendengar deru air terjun-Mu;
segala ombak dan gelombang-Mu telah menenggelamkan aku.
 
8 Allah akan melimpahkan kasih-Nya pada siang hari,
dan pada waktu malam nyanyian-Nya akan menemaniku, doa kepada Tuhan hidupku.
 
9 Aku akan berkata kepada Allah, Batu Pejalku,
“Mengapa Engkau melupakan aku?
Mengapa aku bersedih, kerana ditindas musuh?”
10 Seperti mematahkan tulang-tulangku, musuhku mengejekku,
dengan berkata kepadaku sepanjang hari,
“Di manakah Tuhanmu?”
 
11 Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku?
Mengapa kau resah gelisah?
Berharaplah kepada Allah,
kerana aku akan memuji-Nya,
Penyelamatku dan Tuhanku.
 
 
 
 
 
 
43
Mohon Cahaya dan Kebenaran Allah
1 Pertahankan kebenaranku, Ya Allah,
dan sokong perjuanganku menentang bangsa yang mungkar;
selamatkanlah aku daripada manusia yang dusta dan zalim.
2 Kerana Engkaulah Tuhan kekuatanku.
Mengapa Engkau menyingkiri aku?
Mengapa aku bersedih,
kerana ditindas musuhku?
3 Hantarlah cahaya-Mu dan kebenaran-Mu, untuk membimbingku;
membawaku ke bukit suci-Mu,
dan ke khemah-Mu.
4 Maka aku akan pergi ke mazbah Allah,
kepada Allah sumber kebahagiaanku yang tidak terhingga.
Dan sambil bermain kecapi aku akan memuji-Mu,
Ya Allah, Ya Tuhanku.
 
5 Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku?
Mengapa kau resah gelisah?
Berharaplah kepada Allah,
kerana aku akan memuji-Nya,
Penyelamatku dan Tuhanku.
 
 
 
 
 
 
44
Rintihan Bangsa yang Tertindas
Untuk pemimpin pujian. Nyanyian pengajaran puak Korah.
1 Kami telah mendengar dengan telinga kami sendiri, Ya Allah;
nenek moyang kami menceritakan kepada kami
perbuatan yang Kaulakukan pada zaman mereka, zaman dahulukala.
2 Engkau telah mengusir bangsa-bangsa asing dengan tangan-Mu
lalu menempatkan umat-Mu di tanah ini;
Engkau menurunkan bala kepada bangsa-bangsa asing dan menyingkiri mereka.
3 Umat-Mu tidak menakluki tanah ini dengan pedang mereka,
dan tidak menyelamatkan diri dengan kekuatan mereka sendiri;
yang melakukannya ialah tangan kanan-Mu,
kekuatan-Mu dan cahaya wajah-Mu, kerana Engkau meredai mereka.
 
4 Ya Allah, Engkaulah Rajaku,
perintahkanlah kemenangan untuk Yakub.
5 Melalui Engkau kami akan menumbangkan musuh kami;
dengan nama-Mu kami akan menakluki orang yang menyerang kami.
6 Aku tidak akan percaya kepada busurku,
atau pedangku untuk menyelamatkan kami daripada musuh kami;
7 tetapi Engkau telah menyelamatkan kami daripada musuh kami,
dan memalukan mereka yang membenci kami.
8 Kami mengisytiharkan kebenaran Allah sepanjang hari,
dan memuji nama-Mu selama-lamanya. Sela
 
9 Tetapi sekarang Engkau menyingkiri dan memalukan kami;
dan Engkau tidak bersama tentera kami.
10 Engkau membuat kami berundur apabila diserang musuh,
dan mereka yang membenci kami merampas harta kami.
11 Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba dan mencerai-beraikan kami dalam kalangan bangsa-bangsa.
12 Engkau menjual umat-Mu dengan harga picisan,
dan tidak mendapat untung daripada jualan itu.
 
13 Engkau menjadikan kami bahan ejekan jiran kami,
penghinaan dan cemuhan semua orang sekeliling kami.
14 Engkau membuat kami buah mulut bangsa-bangsa;
mereka menggeleng kepala mengumpat kami.
15 Aku sentiasa sedar akan maruahku yang tercemar,
dan keaiban yang terpalit di mukaku
16 kerana suara orang yang mengejek dan mencaci,
kerana suara musuh dan pendendam.
 
17 Segala ini telah menimpa kami,
tetapi kami tidak melupakan-Mu
dan tidak mengkhianati perjanjian dengan-Mu.
18 Hati kami tidak berpaling tadah;
dan langkah kami tidak meninggalkan jalan-Mu.
19 Tetapi Engkau meninggalkan kami untuk dimakan binatang liar
dan meliputi kami dengan bayangan maut.
 
20 Kalaulah kami telah melupakan nama Tuhan kami atau menghulur tangan menyembah dewa asing,
21 tidakkah Allah mengetahuinya,
kerana Dia tahu akan segala rahsia hati?
22 Namun kerana-Mu kami menghadapi maut sepanjang hari;
kami dianggap sebagai domba untuk disembelih.
 
23 Ya Rabbi, bangunlah! Mengapa Engkau berdiam diri?
Bangkitlah! Jangan singkirkan kami selama-lamanya.
24 Mengapa Kausembunyikan wajah-Mu,
dan Kaulupakan penderitaan serta penindasan yang menimpa kami?
 
25 Jiwa kami tersungkur di debu;
tubuh kami terlekap ke tanah.
26 Bangkitlah untuk menolong kami;
dan tebuslah kami demi kasih abadi-Mu.
 
 
 
 
 
 
45
Nyanyian pada Waktu Pernikahan Raja
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu “Bunga Bakung.” Nyanyian pengajaran puak Korah. Lagu kasih.
1 Hatiku melimpah dengan tema yang indah,
aku menyanyikan ciptaanku tentang raja;
lidahku seperti pena pujangga.
 
2 Engkau lebih hebat daripada anak-anak manusia;
kasih kurnia tercurah di bibirmu,
maka Allah memberkatimu selama-lamanya.
3 Ikatkan pedangmu di pinggang, wahai raja yang perkasa;
dengan kemuliaan dan kedaulatanmu.
4 Dan dalam kedaulatanmu tujulah kemenangan
bagi kebenaran, kerendahan hati dan keadilan;
maka tangan kananmu akan mengajarmu pelbagai perkara yang menakjubkan.
5 Anak-anak panahmu tajam menikam jantung musuh raja;
bangsa-bangsa rebah ke bawah kakimu.
6 Takhta-Mu, Ya Allah, kekal selama-lamanya;
tongkat kebenaran adalah tongkat kerajaan-Mu.
7 Engkau mencintai kebenaran dan membenci kejahatan;
oleh itu Allah, Tuhanmu,
telah mengurapimu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-temanmu.
8 Seluruh pakaian diharumi damar wangi, gaharu dan cendana;
dari istana-istana gading yang menggirangkan hatimu.
9 Puteri raja-raja antara perempuan terhormat di kelilingmu;
di sebelah tangan kananmu berdiri permaisuri berhias emas dari Ofir.
 
10 Dengarlah, wahai anak perempuan, pasang telingamu baik-baik dan timbangkan kata-kataku:
Lupakan bangsamu dan rumah ayahandamu.
11 Kecantikanmu memikat hati raja;
hormati dia kerana dia tuanmu.
12 Puteri Tirus akan datang membawa hadiah,
orang kaya akan cuba mengambil hatimu.
13 Puteri penuh kemuliaan di istana;
pakaiannya ditenun dengan benang emas.
14 Dia akan dibawa menghadap raja dengan pakaian aneka warna;
anak-anak dara mengiringnya akan menghadapmu.
15 Dengan gembira dan sorakan ria mereka akan dibawa;
mereka akan masuk ke istana raja.
 
16 Putera-puteramu akan menggantikan nenek moyangmu;
Engkau akan merajakan mereka di serata bumi.
17 Dengan nyanyianku ini namamu akan diingati turun-temurun;
maka bangsa-bangsa akan memujimu selama-lamanya.
 
 
 
 
 
 
46
Allah Pelindung Kita
Untuk pemimpin pujian. Dari puak Korah. Menurut nyanyian untuk Alamot.
1 Allah adalah tempat pelindungan dan kekuatan kita.
Penolong yang sentiasa sedia pada waktu kesusahan.
2 Oleh itu, kita tidak akan takut meski bumi ini diganjakkan,
meski gunung-ganang dialih ke tengah laut,
3 meski airnya menderu dan bergelora,
meski pergunungan bergoncang dilandanya. Sela
 
4 Ada sebatang sungai yang alirannya akan menggembirakan kota Allah, tempat suci khemah Yang Maha Tinggi.
5 Allah berada di situ, kota itu tidak akan goyah;
Allah akan membantunya ketika fajar menyingsing.
6 Bangsa-bangsa mengganas, kerajaan-kerajaan bergoncang;
Allah berfirman, lalu bumi pun lebur.
 
7 Allah, Tuhan semesta alam, menyertai kita;
Tuhan yang disembah Yakub tempat kita berlindung. Sela
 
8 Marilah, lihat perbuatan Allah,
yang telah membawa kemusnahan kepada bumi.
9 Dia menghentikan perang di serata bumi;
Dia mematahkan busur dan lembing,
Dia membakar pedati dalam api menyala.
10 “Diamlah, dan ketahuilah Akulah Allah!
Aku akan dimuliakan dalam kalangan bangsa-bangsa,
Aku akan dimuliakan di bumi ini.”
 
11 Allah, Tuhan semesta alam, menyertai kita;
Tuhan yang disembah Yakub tempat kita berlindung. Sela
 
 
 
 
 
 
47
Allah Raja Seluruh Bumi
Untuk pemimpin pujian.
Syair puak Korah.
1 Bertepuklah wahai seluruh bangsa-bangsa;
bersoraklah kepada Allah dengan suara kemenangan.
2 Kerana Allah Yang Maha Tinggi amat menakjubkan,
Dia Raja besar memerintah seluruh bumi!
3 Dia akan menundukkan bangsa-bangsa ke bawah kuasa kita,
dan kaum-kaum ke bawah kaki kita.
4 Dia akan memilihkan warisan untuk kita,
keunggulan Yakub yang dikasihi-Nya. Sela
 
5 Allah telah naik ke takhta-Nya diiringi sorak-sorai,
Ya Allah yang diiringi bunyi nafiri.
6 Nyanyikan puji-pujian kepada Allah, nyanyikanlah puji-pujian;
nyanyikan puji-pujian kepada Raja kita, nyanyikanlah puji-pujian.
 
7 Kerana Allah Raja seluruh bumi;
nyanyikan puji-pujian sepenuh pengertian.
8 Allah memerintah bangsa-bangsa;
Allah bersemayam di atas takhta-Nya.
9 Raja-raja segala bangsa telah berhimpun sebagai umat Tuhan yang disembah Ibrahim,
kerana semua rajaa bumi milik Allah;
Dia sangat dimuliakan!
 
 
 
 
 
 
48
Sion Kota Tuhan
Nyanyian. Syair puak Korah.
1 Maha Besar Allah, segala puji bagi-Nya,
di kota Tuhan kita, di bukit suci-Nya.
2 Indah dalam ketinggiannya,
kegembiraan seluruh bumi.
Bukit Sion di bahagian utara Zafon,
kota Raja yang Agung.
3 Allah berada di istana kota ini;
Dia telah menunjukkan diri-Nya sebagai pelindung.
 
4 Lihatlah, raja-raja telah berhimpun,
mereka lalu bersama-sama,
5 mereka melihatnya lalu berasa takjub;
mereka cemas dan segera pergi.
6 Mereka dicengkam ketakutan di situ,
dan kesakitan seperti perempuan hendak bersalin.
7 Seperti waktu Engkau memecahkan kapal-kapal Tarsis dengan angin ribut dari timur.
 
8 Sebagaimana yang kami dengar,
begitulah yang kami lihat
di kota Allah, Tuhan semesta alam,
di kota Tuhan kita:
Allah akan memeliharanya untuk selama-lamanya. Sela
 
9 Kami telah memikirkan, Ya Allah, kasih abadi-Mu, di dalam Bait Suci-Mu.
10 Menurut nama-Mu, Ya Allah,
demikianlah Engkau dipuji di serata bumi;
tangan kanan-Mu penuh kebenaran.
11 Bergembiralah wahai Bukit Sion,
bersukacitalah puteri-puteri Yudah
kerana penghakiman-Mu yang adil.
12 Berjalanlah serata Sion, bersiar kelilingnya,
hitung menara-menaranya,
13 perhatikan kubu-kubunya,
tatap istana-istananya,
untuk diceritakan kepada anak cucu kelak.
14 Kerana demikianlah Allah, Tuhan kita untuk selama-lamanya;
Dia akan memimpin kita hingga ke akhir hayat.
 
 
 
 
 
 
49
Harta Kekayaan yang Sia-sia
Untuk pemimpin pujian.
Syair puak Korah.
1 Dengarlah, wahai segala bangsa;
pasang telingamu, wahai semua penghuni dunia,
2 baik hina atau mulia, kaya atau miskin:
3 Lidahku akan menuturkan kebijaksanaan;
dan renungan hatiku akan memberi pengertian.
4 Aku akan meneliti peribahasa;
dan menerangkan ertinya sambil memetik kecapi:
5 Mengapa aku harus takut dalam masa kesusahan,
ketika kejahatan yang memburuku telah mengepungku,
6 mereka yang bergantung kepada kekayaan
dan berbangga akan harta yang banyak?
7 Sesungguhnya, seorang pun daripada mereka tidak berdaya menebus saudaranya
dengan membayar harga tebusannya kepada Allah –
8 kerana harga tebusan jiwa mereka sungguh mahal,
maka jiwa mereka akan musnah –
9 mereka tidak dapat hidup selama-lamanya
dan tidak dapat mengelakkan kubur.
 
10 Setiap manusia melihat orang bijaksana meninggal dunia;
begitu juga orang bodoh dan orang tolol
lalu meninggalkan kekayaan mereka kepada orang lain.
11 Dalam hati mereka menyangka rumah mereka akan kekal selama-lamanya,
akan menjadi kediaman zuriat mereka turun-temurun,
mereka menamakan tanah dengan nama mereka.
 
12 Namun demikian manusia,
meskipun terhormat, tidak akan kekal;
sama seperti haiwan, dia akan mati.
 
13 Inilah nasib orang yang bodoh,
dan keturunan mereka yang menyokong kata-kata mereka. Sela
14 Seperti domba mereka berbaring di kubur,
maut akan membaham mereka.
Orang yang tulus akan berkuasa atas mereka setelah pagi nanti;
dan jasad mereka akan dimusnahkan di kubur,
jauh dari tempat kediaman mereka.
15 Kerana Allah yang akan menyambutku dari kuasa alam kubur;
Dia akan membawaku bersama-Nya. Sela
 
16 Jangan runsing ketika melihat orang menjadi kaya-raya,
dan keluarganya semakin dimuliakan;
17 kerana apabila dia mati,
tiada suatu pun dibawanya,
kemuliaannya tidak turut masuk ke kubur.
18 Walaupun dia berasa bahagia ketika hidup –
kerana orang yang berjaya sentiasa dipuji –
19 namun dia akan menyusul nenek moyangnya,
dan tidak akan melihat cahaya selama-lamanya.
 
20 Orang yang dimuliakan tetapi tidak mengerti
samalah seperti haiwan yang mati.
 
 
 
 
 
 
50
Amal Ibadat yang Sebenarnya
Syair Asaf.a
1 Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa,
telah berfirman dan berseru kepada bumi
daripada terbitnya hingga terbenamnya matahari.
2 Dari Sion, puncak keindahan,
Allah akan memancarkan cahaya-Nya.
3 Tuhan kita, akan datang dan tidak akan berdiam diri;
api yang membakar mendahului-Nya,
ribut yang kencang mengelilingi-Nya.
4 Dia akan berseru kepada langit dari takhta-Nya,
dan kepada bumi, supaya menyaksikan Dia menghakimi umat-Nya:
5 “Himpunkan umat-Ku yang warak di hadapan-Ku,
mereka yang telah mengikat perjanjian dengan-Ku
dan meneguhkannya dengan korban.”
6 Langit mengisytiharkan keadilan-Nya,
kerana Allah itu Hakim. Sela
 
7 “Dengarlah, wahai umat-Ku, Aku akan berfirman!
Wahai Israel! Aku akan naik saksi tentang kesalahanmu.
Akulah Allah, Tuhanmu!
8 Aku tidak menyalahkan kamu kerana korban sembelihanmu,
atau kerana korban bakaran yang sentiasa kamu persembahkan kepada-Ku.
9 Aku tidak memerlukan lembu jantan dari kandang di rumahmu atau kambing dari kawananmu,
10 kerana setiap haiwan di gurun ialah milik-Ku,
begitu juga lembu di atas seribu bukit.
11 Aku mengenal semua burung di pergunungan,
dan haiwan liar di padang semuanya milik-Ku.
12 Kalaulah Aku lapar, Aku tidak akan memberitahumu,
kerana dunia ini milik-Ku, dengan seluruh isinya.
13 Adakah Aku akan makan daging lembu jantan atau minum darah kambing?
14 Persembahkan kesyukuran kepada Allah,
dan tunaikan janjimu kepada Yang Maha Tinggi,
15 berdoalah kepada-Ku pada masa kesusahan;
Aku akan menyelamatkanmu,
dan kamu akan memuliakan-Ku.”
 
16 Tetapi kepada orang fasiq, Allah berfirman:
“Kamu tidak berhak mengisytiharkan hukum-Ku
atau melafazkan perjanjian-Ku.
17 Kerana kamu benci akan ajaran-Ku
dan membelakangi firman-Ku.
18 Apabila melihat pencuri, kamu berpakat dengannya;
dan kamu telah menyertai orang berzina.
19 Kamu sentiasa menuturkan kejahatan
dan merancang penipuan.
20 Kamu duduk mengumpat saudara sendiri kamu memfitnah saudara kandungmu.
21 Kamu telah melakukan semua ini, dan Aku berdiam diri;
kamu menyangka Aku serupa denganmu.
Tetapi sekarang Aku memarahimu
dan menjelaskan semuanya kepadamu.
 
22 Fikirkan semua ini, hai kamu yang melupakan Allah,
jangan sampai Aku membinasakanmu,
dan tiada siapa dapat menyelamatkanmu:
23 Orang yang mempersembahkan pujian memuliakan Aku,
dan kepada orang yang berkelakuan baik
Aku akan menunjukkan penyelamatan Allah.”
 
 
 
 
 
 
51
Pengakuan Dosa
Untuk pemimpin pujian. Syair Daud apabila ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba.
1 Kasihanilah aku, Ya Allah,
demi kasih abadi-Mu yang kekal;
demi belas kasih-Mu yang melimpah hapuskanlah dosaku.
2 Bersihkan aku daripada kejahatanku,
sucikan aku daripada dosaku.
 
3 Kerana aku mengakui kesalahanku,
dan sentiasa sedar akan dosaku.
4 Kepada-Mu, hanya kepada-Mu, aku berdosa
dan melakukan kejahatan di pandangan-Mu,
maka Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu,
dan penghakiman-Mu tidak bercela.
5 Aku telah dilahirkan dalam kejahatan,
dan dalam dosa ibuku menghamilkan aku.
6 Engkau menghendaki kebenaran dalam diri;
dan di lubuk jiwaku Engkau akan mengajarku mengenal kebijaksanaan.
 
7 Bersihkan aku dengan ranting hisop,a supaya aku suci;
basuhlah aku sehingga lebih putih daripada salji.
8 Perdengarkan kegembiraan dan keriaan kepadaku;
supaya tulang-tulangku yang Kaupatahkan dapat bersukacita.
9 Sembunyikan wajah-Mu daripada dosaku
dan hapuskan segala kejahatanku.
 
10 Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, Ya Allah,
dan pulihkan semangat waja dalam jiwaku.
11 Jangan singkirkan aku dari hadirat-Mu
dan jangan ambil Roh Suci-Mu daripadaku.
12 Bahagiakan aku semula dengan penyelamatan-Mu
dan kuatkan aku dengan Roh-Mu yang pemurah.
 
13 Maka aku akan mengajar orang yang ingkar tentang jalan-Mu,
dan orang berdosa akan kembali taat kepada-Mu.
14 Selamatkan aku daripada kesalahan menumpahkan darah, Ya Allah,
Ya Tuhan keselamatkanku,
maka suaraku akan lantang menyanyikan kebaikan-Mu.
15 Ya Rabbi, bukakan mulutku,
aku akan mengisytiharkan puji-pujian bagi-Mu.
16 Kalaulah Engkau bersukacita dengan korban, tentu kupersembahkan;
Engkau tidak berkenan akan korban yang dibakar.
 
17 Korban untuk Allah ialah hati yang hancur;
hati yang hancur dan sesal,
Ya Allah, tidak akan Kauremehkan.
 
18 Limpahkanlah rahmat-Mu kepada Sion;
binalah tembok-tembok Yerusalem.
19 Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang benar,
dengan korban yang dibakar;
mereka akan mempersembahkan lembu korban di mazbah-Mu.
 
 
 
 
 
 
52
Hukuman bagi Orang Jahat
Untuk pemimpin pujian. Nyanyian pengajaran Daud ketika Doeg, orang Edom, memberitahu Saul: “Daud telah pergi ke rumah Ahimelekh.”
1 Mengapa kaubanggakan kejahatanmu, hai orang berkuasa?
Mengapa engkau sombong sepanjang hari,
hai orang yang bermegah di hadapan Allah?
2 Lidahmu merancang kebinasaan;
seperti pisau cukur yang tajam,
melakukan penipuan.
3 Engkau lebih mencintai kejahatan daripada kebaikan,
berdusta lebih daripada bercakap benar. Sela
4 Engkau mencintai kata-kata yang membinasakan,
Hai lidah berdusta!
 
5 Oleh itu, Allah akan membinasakan kamu untuk selama-lamanya:
Dia akan menyeretmu pergi, meragutmu dari rumah;
dan mencabutmu dari tanah orang yang hidup. Sela
6 Orang yang benar akan melihat ini dan berasa takut;
mereka akan mencemuh dengan berkata,
7 “Inilah orang yang tidak menjadikan Allah kekuatannya
tetapi percaya akan kekayaannya yang bertimbun lalu menguatkan dirinya dalam kejahatan!”
 
8 Tetapi aku seperti pokok zaitun yang hijau di Bait Allah;
aku percaya akan kasih abadi Allah selama-lamanya.
9 Aku akan memuji-Mu selama-lamanya kerana segala yang telah Kaulakukan;
aku akan percaya kepada nama-Mu yang penuh kebaikan.
Di hadapan umat-Mu yang warak, aku akan memuji-Mu.
 
 
 
 
 
 
53
Manusia Rosak Akhlak
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu Mahalat. Nyanyian pengajaran Daud.
1 Orang bodoh berkata dalam hatinya,
“Tidak ada Tuhan.”
Mereka rosak akhlak, dan telah melakukan perbuatan keji;
tiada yang berbuat baik.
 
2 Allah memandang dari syurga
kepada anak-anak manusia
untuk melihat kalau ada yang mengerti,
yang mencari Allah.
3 Semuanya telah berpaling,
bersama-sama rosak akhlak;
tiada yang berbuat baik,
tidak, tiada seorang pun.
 
4 Tidakkah orang yang melakukan kejahatan ini tahu –
mereka merampas hak umat-Ku
dan tidak berseru kepada Allah?
5 Sekarang mereka akan ditimpa ketakutan yang besar,
mereka yang tidak mengenal takut dahulu.
Kerana Allah telah menyerakkan tulang
orang yang hendak menyerang kamu, umat-Nya;
kamu telah menumpaskan mereka, kerana Allah benci akan mereka.
 
6 Semoga penyelamatan Israel datang dari Sion!
Apabila Allah memulihkan keadaan umat-Nya,
bergembiralah Yakub dan bersukacitalah Israel.
 
 
 
 
 
 
54
Doa Mohon Perlindungan
Untuk pemimpin pujian. Dengan alat-alat muzik bertali. Nyanyian pengajaran Daud ketika orang Zif memberitahu Saul, “Daud bersembunyi di kawasan kita.”
1 Selamatkanlah aku, Ya Allah, dengan nama-Mu;
dan belalah aku dengan kekuatan-Mu.
2 Dengarlah doaku, Ya Allah;
dengarlah kata-kataku.
 
3 Orang asing telah bangkit menyerangku;
dan para penindas cuba meragut nyawaku;
mereka tidak ingat akan Allah. Sela
 
4 Allah menolong aku;
Tuhan menyertai orang yang mempertahankan nyawaku.
 
5 Dia akan membalas kejahatan musuhku;
akan menghapuskan mereka dalam kesetiaan-Nya.
 
6 Aku akan mempersembahkan korban kepada-Mu dengan sepenuh kerelaan;
aku akan memuji nama-Mu, Ya Allah,
yang penuh kebaikan.
7 Kerana Dia telah menyelamatkan aku daripada segala kesusahan,
dan mataku telah melihat hasratku tercapai dengan ketewasan musuhku.
 
 
 
 
 
 
55
Doa Mohon Perlindungan daripada Ancaman Rakan Khianat
Untuk pemimpin pujian. Dengan alat-alat muzik bertali. Nyanyian pengajaran Daud.
1 Dengarlah doaku, Ya Allah,
dan jangan palingkan wajah-Mu daripada rayuanku;
2 berilah perhatian-Mu kepadaku, dengarlah kata-kataku.
Aku gelisah menderita, aku merintih kuat
3 kerana mendengar suara musuh,
kerana ditindas orang fasiq;
mereka membawa kesusahan kepadaku
dan mereka marah serta membenciku.
 
4 Hatiku terseksa;
dan dihimpit rasa ngeri akan dahsyatnya maut.
5 Aku berasa gerun dan gementar;
aku tertekan oleh ketakutan.
6 Maka aku berkata, “Kalaulah aku bersayap seperti merpati!
Aku akan terbang ke mana-mana mencari damai,
7 bahkan aku akan pergi jauh dan tinggal di gurun. Sela
8 Aku akan segera melarikan diri,
daripada angin kencang dan ribut.”
 
9 Ya Rabbi, binasakanlah mereka, kelirukan lidah mereka,
kerana aku telah melihat keganasan dan rusuhan di kota.
10 Siang malam mereka mengelilingi kota;
melakukan kejahatan dan membawa kekacauan.
11 Pembinasaan berlaku di tengah-tengah kota;
penindasan dan penipuan menetap di jalan-jalan rayanya.
 
12 Bukan musuh yang mengecamku,
kalau musuh, masih dapat kutanggung;
bukan pembenciku yang bangkit menentangku,
kalau pembenciku, masih dapat aku bersembunyi.
13 Tetapi kamu yang melakukannya, rakan sebayaku, temanku, kawanku,
14 dahulu kita berbincang mesra
dan berjalan seiring ke Bait Allah di tengah-tengah orang ramai.
 
15 Biar maut menyambar mereka;
biar mereka turun hidup-hidup ke neraka,
kerana kejahatan meliputi tempat tinggal dan perhimpunan mereka.
 
16 Aku akan berseru kepada Allah,
dan Allah akan menyelamatkan aku.
17 Petang, pagi dan tengah hari aku akan berdoa dan meratap kuat,
dan Dia akan mendengar suaraku.
18 Dia telah menyelamatkan nyawaku
dan membawaku pulang dengan selamat dari medan perang,
padahal musuhku begitu ramai.
19 Allah yang wujud selama-lamanya,
Dia akan mendengar dan menghukum mereka – Sela
kerana mereka tidak mengubah kelakuan,
nyatalah mereka tidak takut akan Allah.
 
20 Bekas sahabatku itu telah menyerang orang yang hidup berbaik-baik dengannya;
dia telah memungkiri janjinya.
21 Kata-katanya halus lunak,
tetapi niat perang tersembunyi dalam hatinya;
kata-katanya lemah-lembut,
tetapi serupa pedang terhunus.
 
22 Serahkanlah bebanmu kepada Allah,
Dia akan menolongmu;
Dia tidak akan membiarkan orang yang benar dikalahkan.
23 Engkau, Ya Allah, akan membinasakan orang fasiq ke dalam lembah kehancuran;
orang yang suka menumpahkan darah dan menipu tidak akan mencapai separuh usia.
 
Aku akan percaya kepada-Mu.
 
 
 
 
 
 
56
Kepercayaan kepada Allah dalam Kesusahan
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu “Merpati Sepi di Tanah Jauh.”
Miktama dari Daud, pada masa orang Filistin menangkapnya di Gat.
1 Kasihanilah aku, Ya Allah, kerana orang hendak membinasakan aku;
sepanjang hari mereka menyerang dan menganiayaiku.
2 Musuhku memburu aku sepanjang hari;
ramai orang menentangku.
 
3 Apabila aku berasa takut,
aku berharap kepada-Mu.
4 Kepada Allah, aku memuji firman-Nya,
kepada Allah, aku meletakkan kepercayaanku;
aku tidak akan gentar.
Apakah yang dapat dilakukan oleh manusia kepadaku?
 
5 Sepanjang hari mereka memesongkan kata-kataku;
seluruh fikiran mereka penuh kejahatan menentangku.
6 Mereka berhimpun, mereka bersembunyi,
memerhatikan jejak langkahku,
lalu menghendap untuk meragut nyawaku.
7 Mereka tidak patut dibiarkan berleluasa melakukan kejahatan;
binasakanlah mereka dalam kemurkaan-Mu, Ya Allah.
 
8 Engkau memerhati setiap gerak-geriku;
Engkau mengambil kira setiap titis air mataku –
tidakkah mereka itu tercatat dalam buku-Mu?
9 Apabila aku berseru kepada-Mu
musuhku akan berundur.
Ini aku tahu, kerana Allah memihak kepadaku.
 
10 Kepada Tuhan, aku memuji firman-Nya,
kepada Allah, aku memuji firman-Nya,
11 kepada Tuhan kuletakkan kepercayaanku; aku tidak akan gentar.
Apakah yang dapat dilakukan oleh manusia kepadaku?
 
12 Aku akan menunaikan segala janjiku kepada-Mu, Ya Allah;
aku akan bersyukur memuji-Mu.
13 Kerana Engkau telah menyelamatkan aku daripada maut
dan mengelakkan kakiku daripada tergelincir,
supaya aku dapat melangkah di hadapan Allah dalam cahaya orang yang hidup.
 
 
 
 
 
 
57
Diburu Musuh, tetapi Ditolong Allah
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu “Jangan Binasakan.” Miktam dari Daud, ketika dia lari daripada Saul ke dalam gua.
1 Kasihanilah aku, Ya Allah, kasihanilah aku,
kerana jiwaku percaya kepada-Mu.
Dan di bawah naungan sayap-Mu aku akan berlindung
sehingga segala malapetaka ini berlalu.
 
2 Aku akan berseru kepada Allah Yang Maha Tinggi,
kepada Allah yang melakukan segalanya untukku.
3 Dia akan menghantar bantuan dari syurga dan menyelamatkan aku,
Dia memurkai orang yang ingin membinasakan aku; Sela
Allah akan menghantar kasih abadi-Nya dan kesetiaan-Nya.
 
4 Jiwaku dikepung singa;
aku terbaring di antara anak-anak manusia yang ganas membakar seperti api –
gigi mereka lembing dan anak panah, dan lidah mereka pedang yang tajam.
 
5 Maha Tinggi Engkau, Ya Allah, memerintah langit;
tunjukkan kemuliaan-Mu menguasai seluruh bumi.
 
6 Mereka telah memasang jerat supaya kakiku terperosok; jiwaku tertekan.
Mereka telah menggali lubang yang dalam untukku;
lalu mereka sendiri terjatuh ke dalamnya. Sela
 
7 Hatiku teguh, Ya Allah, hatiku teguh;
aku akan menyanyi dan menggubah pujian.
8 Bangunlah, jiwaku!
Bangunlah, gambus dan kecapi!
Aku akan membangunkan fajar.
 
9 Ya Rabbi, aku akan memuji-Mu dalam kalangan bangsa-bangsa;
aku akan menyanyi untuk-Mu dalam kalangan umat manusia.
10 Kerana kasih-Mu menjangkau langit;
dan kesetiaan-Mu mencapai awan.
 
11 Maha Tinggi Engkau, Ya Allah, memerintah langit;
dan kemuliaan-Mu di atas seluruh bumi.
 
 
 
 
 
 
58
Pembalasan terhadap Pembesar yang Zalim
Untuk pemimpin pujian.
Menurut lagu “Jangan Binasakan.” Miktam dari Daud.
1 Benarkah kamu menegakkan kebenaran, hai kamu yang membisu?
Adakah kamu menghakimi dengan adil, hai anak-anak manusia?
2 Tidak, hatimu merancang kejahatan,
tanganmu melakukan keganasan di bumi ini.
3 Orang fasiq tersisih sejak dalam rahim;
mereka sesat sejak lahir, mereka berdusta.
4 Racun mereka seperti racun ular yang bisa,
mereka menutup telinga seperti ular tedung yang tuli,
5 yang tidak mahu mendengar suara tuannya,
walau betapa bijak memujuknya.
 
6 Patahkanlah gigi singa-singa muda itu, Ya Allah;
cabutkan taring mereka, Ya Allah!
7 Biar mereka hilang seperti air mengalir terus-menerus;
apabila mereka memanah, hancurkan anak panah mereka.
8 Jadikan mereka seperti siput yang menjadi lendir,
seperti anak yang dilahirkan mati, tidak sempat melihat matahari.
9 Sebelum mereka sedar ditikam duri berapi,
mereka akan disambar-Nya seperti dengan tiupan taufan
dalam kemurkaan-Nya yang hidup dan menyala-nyala.
10 Orang yang benar akan bergembira melihat pembalasan itu,
lalu membasuh kaki dalam darah orang fasiq.
11 Maka orang akan berkata,
“Sesungguhnya, orang yang benar mendapat ganjaran;
sesungguhnya Tuhan mengadili di bumi ini.”
 
 
 
 
 
 
59
Doa Mohon Pertolongan Melawan Musuh
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu “Jangan Binasakan.” Miktam dari Daud, ketika Saul menghantar orang mengawasi rumah Daud untuk membunuhnya.
1 Ya Tuhanku, selamatkan aku daripada musuhku;
pertahankan aku daripada mereka yang bangkit menyerangku.
2 Selamatkan aku daripada orang yang melakukan kejahatan
dan lindungi aku daripada manusia yang dahagakan darah.
 
3 Lihatlah, mereka mengendap menanti untuk meragut nyawaku!
Orang yang berkuasa berpakat menentangku
bukan kerana apa-apa kesalahan atau dosaku, Ya Allah.
4 Mereka bersiap-siap menyerangku, sedangkan aku tidak bersalah.
Bangunlah untuk menolongku; lihatlah!
5 Engkau, Allah, Tuhan semesta alam, Tuhan yang disembah bani Israel,
bangunlah dan hukumlah segala bangsa itu;
jangan kasihani mereka yang zalim dan berdosa. Sela
 
6 Pada waktu senja mereka datang lagi,
menderam seperti anjing,
dan mengelilingi kota.
7 Mulut mereka meluahkan kata-kata –
yang tajam seperti pedang,
mereka menyangka tiada siapa yang mendengar.
8 Tetapi Engkau, Ya Allah, akan mentertawakan mereka;
Engkau akan menjadikan segala bangsa itu bahan ejekan.
 
9 Ya, Kekuatanku, aku akan menanti-Mu dengan penuh keyakinan;
Allah adalah pelindungku.
 
10 Allah yang mengasihiku akan datang kepadaku.
Allah akan menunaikan permohonanku tentang musuhku.
11 Jangan terus matikan mereka,
takut nanti kaumku lupa.
Pecah belahkan mereka dengan kekuasaan-Mu,
dan jatuhkan mereka, Ya Rabbi, perisai pelindung kami.
12 Kerana kelancangan mulut mereka,
melemparkan kata-kata berdosa,
biarlah mereka disambar di tengah-tengah keangkuhan mereka.
Dan kerana mereka menyumpah dan berdusta,
13 musnahkan mereka dalam kemurkaan-Mu,
musnahkan mereka, supaya mereka tidak wujud lagi.
Dan tunjukkan bahawa Allah memerintah dalam Yakub,
dan setiap pelosok bumi. Sela
 
14 Pada waktu senja mereka datang lagi,
mereka menderam seperti anjing,
dan mengelilingi kota.
15 Mereka merayau-rayau mencari makanan
dan melolong jika tidak kenyang.
16 Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuasaan-Mu,
ya, aku akan menyanyi setiap pagi dengan nyaring tentang kasih-Mu;
kerana Engkau pelindungku,
dan penaungku pada waktu kesusahan.
 
17 Untuk-Mu, kekuatanku,
aku akan menyanyikan puji-pujian;
kerana Allah adalah pelindungku, Tuhan yang mengasihiku.
 
 
 
 
 
 
60
Doa Mohon Kemenangan selepas Ketewasan
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu “Bunga Bakung Perjanjian.”
Miktam dari Daud. Untuk pengajaran. Ketika dia berperang melawan Mesopotamia dan Syam-Zobah, dan Yoab pulang lalu membunuh dua belas ribu orang Edom di Lembah Garam.
1 Ya Allah, Engkau telah menyingkiri kami, Engkau telah membiarkan kami tewas;
Engkau telah murka; terimalah kami semula!
2 Engkau telah membuat bumi bergegar, Engkau telah membuatnya pecah belah;
pulihkanlah semula, kerana bumi sedang gementar.
3 Engkau telah menimpakan kesengsaraan ke atas umat-Mu;
Engkau telah memberi kami minum anggur kekeliruan.
 
4 Engkau telah mengurniakan panji-panji kepada orang yang bertakwa kepada-Mu,
untuk dikibarkan kerana kebenaran. Sela
 
5 Supaya orang yang Kaukasihi dapat diselamatkan,
lepaskanlah dengan tangan kanan-Mu dan dengarlah rayuanku.
6 Allah telah berfirman dalam kesucian-Nya:
“Aku akan bergembira, Aku akan membahagikan tanah Sikhem
dan mengukur serta mengagihkan Lembah Sukot.
7 Gilead milik-Ku, Manasye milik-Ku;
Efraim juga ketopong-Ku,
Yudah tongkat kerajaan-Ku.
8 Moab tempat pembasuhan-Ku,
ke atas Edom akan Kulemparkan kasut-Ku;
ke atas Filistea Aku akan bersorak menang.”
 
9 Siapa akan membawaku ke dalam kota perkasa itu?
Siapa akan memimpinku ke Edom?
10 Bukankah Engkau, Ya Allah, yang menyingkiri kami
dan Engkau, Ya Allah, yang tidak menyertai tentera kami?
11 Berilah kami pertolongan daripada kesusahan,
kerana pertolongan daripada manusia tidak berguna.
12 Melalui Allah, kita akan berjuang berani,
kerana Dialah yang akan menumpaskan musuh kita.
 
 
 
 
 
 
61
Doa untuk Raja
Untuk pemimpin pujian. Dengan alat muzik bertali. Dari Daud.
1 Dengarlah rayuanku, Ya Allah; dengarlah doaku.
 
2 Dari hujung bumi aku akan merayu kepada-Mu,
ketika hatiku tertekan;
bimbinglah aku ke batu pejal yang lebih tinggi daripadaku.
3 Kerana Engkaulah tempat aku bernaung,
menara perkasa yang melindungiku daripada musuh.
 
4 Aku akan tinggal di Khemah Suci-Mu selama-lamanya;
aku akan meletakkan kepercayaan kepada naungan sayap-Mu. Sela
5 Kerana Engkau, Ya Allah, telah mendengar segala janjiku;
Engkau telah memberiku warisan mereka yang berkhidmat kepada nama-Mu.
 
6 Engkau akan melanjutkan usia raja,
hayatnya dan zuriatnya turun-temurun.
7 Dia akan berada di hadirat-Mu selama-lamanya;
kurniakanlah kasih abadi dan kesetiaan yang akan memeliharanya.
8 Maka aku akan menyanyikan puji-pujian bagi nama-Mu selama-lamanya
untuk menunaikan janjiku setiap hari.
 
 
 
 
 
 
62
Jiwa Senyap Hening Menantikan Allah
Untuk pemimpin pujian.
Menurut Yedutun.a Syair Daud.
1 Sesungguhnya, jiwaku senyap hening menantikan Allah;
daripada-Nya datang penyelamatanku.
2 Hanyalah Dia batu pejalku dan penyelamatanku;
Dialah yang melindungiku, maka aku tidak akan digulingkan.
 
3 Berapa lamakah kamu akan terus menyerang?
Kamu semua akan dimusnahkan –
seperti dinding yang miring
dan pagar yang hampir rebah.
4 Mereka berkomplot semata-mata untuk menggulingkannya
daripada kedudukannya yang tinggi;
mereka suka berdusta.
Mereka memberkati dengan mulut,
tetapi menyumpah dalam hati. Sela
 
5 Jiwaku, senyap heninglah menantikan Allah sahaja;
kerana harapanku terletak pada-Nya.
6 Hanyalah Dia batu pejalku dan penyelamatanku;
Dialah pertahananku, maka aku tidak akan digugat.
7 Pada Allah penyelamatanku dan kemuliaanku;
batu pejal kekuatanku, dan tempat perlindunganku pada Allah.
8 Percayalah kepada-Nya setiap waktu, hai umatku;
curahkan isi hatimu di hadirat-Nya,
Allah Pelindung kita. Sela
 
9 Sesungguhnya, manusia baik rendah mahupun tinggi kedudukannya,
hanyalah nafas dan bayangan maya;
jika mereka ditimbang dengan neraca;
semuanya lebih ringan daripada nafas.
10 Jangan letakkan kepercayaan kepada penindasan,
usah berharap sia-sia kepada hasil rompakan;
walaupun kekayaanmu bertambah,
jangan bergantung kepadanya.
 
11 Allah telah berfirman beberapa kali,
dan aku telah mendengar:
bahawa kuasa hanya milik Allah,
12 kasih abadi juga milik-Mu, Ya Rabbi.
Engkau memberi ganjaran yang sepadan dengan usaha setiap orang.
 
 
 
 
 
 
63
Kerinduan kepada Allah
Syair Daud ketika dia di gurun Yudah.
1 Ya Allah, Engkaulah Tuhanku,
aku akan mencari-Mu segera;
jiwaku dahaga kepada-Mu,
jasadku merindui-Mu,
di tanah gersang tandus tanpa air.
 
2 Maka aku mencari-Mu di tempat suci-Mu untuk melihat kekuasaan dan kemuliaan-Mu.
3 Kerana kasih-Mu lebih bernilai daripada nyawa,
bibirku akan memuji-Mu.
4 Demikian aku akan memuji-Mu seumur hidupku,
aku akan menadah tanganku dengan nama-Mu.
5 Jiwaku akan berasa puas seperti dijamu;
dan aku akan memuji-Mu dengan sukacita.
 
6 Apabila aku ingat kepada-Mu di tempat tidurku;
aku berjaga merenungkan Engkau sepanjang malam.
7 Kerana Engkau telah menolongku,
maka di bawah naungan sayap-Mu aku akan bergembira.
8 Jiwaku mengikut jejak-Mu dari dekat;
tangan kanan-Mu memberiku kekuatan.
 
9 Tetapi mereka yang ingin meragut nyawaku;
akan terbenam jauh di dalam bumi.
10 Mereka mati ditikam pedang
mereka akan menjadi habuan serigala.
 
11 Raja akan bersukacita kerana Allah;
setiap orang yang bersumpah demi Dia akan memuliakan-Nya,
tetapi mulut pendusta akan dibisukan.
 
 
 
 
 
 
64
Hukuman Allah bagi Orang Jahat
Untuk pemimpin pujian. Syair Daud.
1 Dengarlah suaraku, Ya Allah, dalam renunganku;
peliharakan nyawaku daripada ancaman ngeri musuh.
2 Lindungi aku daripada pakatan rahsia orang jahat,
daripada pemberontakan mereka yang melakukan kejahatan.
 
3 Mereka menajamkan lidah mereka seperti pedang
dan melengkungkan busur memanahkan kata-kata pahit.
4 Jangan biarkan mereka memanah dengan rahsia orang yang tidak bersalah;
mereka memanahnya mendadak tanpa takut.
 
5 Mereka saling menggalakkan ke arah kejahatan,
mereka berbincang hendak memasang jerat dalam rahsia;
kata mereka, “Siapa yang akan melihat mereka?”
6 Mereka merancang pelbagai kejahatan,
“Kami telah menyiapkan muslihat licik!”
Fikiran dan hati manusia memang sukar diselami.
 
7 Tetapi Allah akan melepaskan anak panah-Nya kepada mereka;
tiba-tiba mereka akan luka.
8 Dia akan membinasakan mereka dengan kata-kata mereka sendiri;
semua yang melihat mereka menggeleng kepala.
 
9 Semua manusia akan ketakutan;
dan akan mengisytiharkan perbuatan Allah kerana dengan bijaksana mereka akan merenung tindakan-Nya.
10 Orang yang benar akan bersukacita kerana Allah
dan berlindung kepada-Nya;
dan semua yang tulus hati akan memuliakan-Nya!
 
 
 
 
 
 
65
Ucapan Syukur atas Berkat yang Dilimpahkan Allah
Untuk pemimpin pujian. Syair Daud. Sebuah nyanyian.
1 Puji-pujian menanti-Mu, Ya Allah, di Sion;
dan janji kami kepada-Mu akan ditunaikan.
2 Engkau yang mendengar doa,
semua manusia akan datang kepada-Mu.
3 Dosa-dosaku terlalu berat bagiku,
kami manusia berdosa, tetapi Engkau melorongkan pendamaian.
4 Diberkatilah orang yang Kaupilih untuk mendekati-Mu!
Dan tinggal di tempat Engkau bertakhta,
kami akan dilimpahi rahmat Rumah-Mu, iaitu dalam Bait-Mu yang suci.
 
5 Engkau akan menjawab rayuan kami dengan perbuatan benar yang menakjubkan,
Ya Allah, penyelamat kami,
Engkaulah harapan seluruh bumi dan lautan yang jauh,
6 Engkau yang menegakkan gunung pada tempatnya dengan kekuatan-Mu,
kerana Engkau lengkap dengan kekuasaan,
7 Engkau yang menenangkan deru lautan, gemuruh gelombangnya,
dan gelora bangsa-bangsa.
8 Orang yang tinggal di setiap pelosok bumi gerun melihat tanda-tanda-Mu;
Engkau memberi kegembiraan dari fajar menyingsing hingga matahari terbenam.
 
9 Engkau mengairi bumi;
dan menyuburkannya.
Sungai Allah penuh dengan air;
Engkau memberi rezeki kepada manusia,
dengan menyediakan tanah untuk tanaman mereka.
10 Engkau mengairi batas-batas ladang mereka dan menggemburkan alur-alurnya;
Engkau melembutkannya dengan hujan
dan memberkati pertumbuhan tanaman.
11 Engkau mencurahkan rahmat-Mu sepanjang tahun,
melimpahkan kemakmuran merata-rata.
12 Rahmat-Mu menyuburkan padang rumput di gurun;
segala bukit kecil di sekitar bergembira.
13 Padang-padang rumput penuh dengan ternakan;
lembah lurah kaya dengan ternakan;
semuanya bersorak riang dan menyanyi.
 
 
 
 
 
 
66
Ucapan Syukur kerana Orang Israel Dilindungi
Untuk pemimpin pujian. Syair sebuah nyanyian.
1 Bersoraklah dengan girang kepada Allah, wahai seluruh bumi!
2 Nyanyikan kebesaran nama-Nya;
lafazkan puji-pujian untuk-Nya penuh kemuliaan!
3 Katakan kepada Allah, “Alangkah menakjubkan segala perbuatan-Mu!
Kekuasaan-Mu sungguh besar semua musuh-Mu akan tunduk kepada-Mu.
4 Seluruh bumi akan menyembah-Mu;
dan menyanyikan pujian kepada-Mu,
mereka akan menyanyi, menyanyi pujian kepada nama-Mu.” Sela
5 Marilah melihat perbuatan Allah,
Dia sungguh menakjubkan dalam perbuatan-Nya terhadap anak-anak manusia!
6 Dia mengubah laut menjadi tanah kering,
mereka menyeberangi berjalan kaki.
Di sana kami bersukacita kerana-Nya.
7 Dia memerintah dengan kekuasaan-Nya untuk selama-lamanya,
Dia mengawasi bangsa-bangsa;
jangan ada pemberontak cuba melawan-Nya. Sela
 
8 Pujilah Tuhan kami, hai bangsa-bangsa,
biar suara puji untuk-Nya didengar orang;
9 Dia telah melindungi kami daripada kematian
dan tidak membiarkan kami dikalahkan.
10 Kerana Engkau, Ya Allah, telah menguji kami;
Engkau telah memurnikan kami seperti perak yang dimurnikan.
11 Engkau membiarkan kami terjerumus ke dalam perangkap;
Engkau membebani kami dengan derita.
12 Engkau membiarkan orang memijak kepala kami;
kami mengharungi api dan air,
tetapi Engkau telah membawa kami keluar ke dalam limpahan rahmat dan pencapaian hasrat.
 
13 Aku akan masuk ke Bait-Mu membawa korban yang dibakar
aku akan menunaikan segala janjiku kepada-Mu,
14 yang telah kulafazkan ketika aku dalam kesusahan.
15 Aku akan mempersembahkan kepada-Mu ternakan yang digemukkan sebagai korban yang dibakar bersama bauan harum daging domba jantan;
aku akan mempersembahkan lembu jantan dan kambing. Sela
 
16 Marilah dan dengarlah, wahai kamu yang bertakwa kepada Allah;
aku akan mengisytiharkan apa yang telah dilakukan-Nya untukku.
17 Aku berseru kepada-Nya dengan mulutku;
dan dengan lidahku Dia disanjung.
18 Kalaulah ada niat jahat dalam hatiku,
Tuhan tidak akan mendengar rayuanku;
19 tetapi sesungguhnya Allah telah mendengar suaraku
dan telah mengabulkan doaku.
20 Segala puji bagi Allah,
yang tidak menolak doaku
dan tidak menyingkirkan aku daripada kasih abadi-Nya!
 
 
 
 
 
 
67
Puji Allah atas segala Berkat-Nya
Untuk pemimpin pujian. Dengan alat muzik bertali. Syair sebuah nyanyian.
1 Ya Allah, kasihani dan berkatilah kami
dan limpahi kami dengan sinar wajah-Mu, Sela
2 supaya jalan-Mu diketahui di bumi ini,
penyelamatan-Mu diisytiharkan kepada semua bangsa.
 
3 Biar umat memuji-Mu, Ya Allah;
biar semua umat memuji-Mu.
4 Biar bangsa-bangsa bersukacita dan menyanyi kegirangan,
kerana Engkau akan menghakimi manusia dengan adil
dan memerintah bangsa-bangsa di bumi. Sela
5 Biar umat memuji-Mu, Ya Allah;
biar semua umat memuji-Mu.
 
6 Maka bumi akan bertambah subur,
Allah, Tuhan kita, akan memberkati kita.
7 Allah akan memberkati kita,
dan setiap pelosok bumi akan bertakwa kepada-Nya.
 
 
 
 
 
 
68
Perarakan Kemenangan Allah
Untuk pemimpin pujian.
Syair Daud. Sebuah nyanyian.
1 Semoga Allah bangkit, semoga musuh-Nya bertempiaran;
semoga semua yang membenci-Nya lari daripada-Nya.
2 Seperti angin meniup asap,
Engkau usirkan mereka;
seperti lilin dilebur oleh api,
semoga orang fasiq binasa di hadirat Allah.
3 Biar orang yang benar bersukacita;
biar mereka bergembira di hadapan Allah;
ya, biar mereka bergembira tidak terhingga.
 
4 Menyanyilah untuk Allah, nyanyikan pujian untuk nama-Nya,
sanjungi Dia yang memerintah awan!
Nama-Nya Allah;
bergembiralah di hadirat-Nya!
5 Dialah bapa kepada anak yatim, pelindung kepada balu,
Dialah Allah di tempat bersemayam-Nya yang suci.
6 Allah meletakkan mereka yang sebatang kara dalam lingkungan keluarga,
Dia melepaskan mereka yang terikat
dan memberi mereka kemakmuran;
tetapi orang yang memberontak
akan menetap di tanah tandus.
 
7 Ya Allah, apabila Engkau memimpin umat-Mu,
Engkau menyeberangi gurun, Sela
8 bumi bergempa, langit menurunkan hujan kerana kehadiran Allah,
Sinai terharu dengan kedatangan Allah,
Tuhan yang disembah bani Israel.
9 Ya Allah, Engkau menghantar hujan lebat;
untuk mengesahkan warisan-Mu, umat-Mu yang lesu menderita.
10 Umat-Mu tinggal di situ,
Engkau, Ya Allah, memberi rahmat-Mu kepada mereka yang miskin melarat.
 
11 Tuhan menurunkan firman,
maka sungguh besar perhimpunan orang yang mengisytiharkannya:
12 “Raja-raja yang memimpin tentera melarikan diri, mereka lari;
kaum perempuan di rumah membahagikan rampasan.
13 Walaupun engkau baring di antara kawanan domba,
engkau seperti sayap merpati disalut perak,
dan bulunya disalut emas tulen.”
14 Ketika Allah Yang Maha Kuasa mengusir raja-raja bertempiaran,
kelihatan seputih salji di Zalmon.
 
15 Gunung Basan sebuah gunung Allah;
Gunung Basan banyak puncaknya.
16 Mengapa kamu iri hati, hai gunung-gunung yang berpuncak banyak?
Allah memilih gunung ini untuk kediaman-Nya,
ya, Allah akan berada di sini selama-lamanya.
17 Allah memiliki dua puluh ribu pedati malah ribuan ribu;
Tuhan hadir di antara semuanya itu seperti di Sinai, di tempat suci.
18 Engkau telah naik ke tempat yang tinggi,
Engkau membawa orang tawanan;
Engkau menerima persembahan dalam kalangan manusia,
malah daripada pemberontak –
supaya Allah, Al Khalik, akan bersemayam di sana.
 
19 Segala puji bagi Tuhan,
yang setiap hari melimpahkan rahmat kepada kita, Allah adalah sumber keselamatan kita. Sela
20 Bagi kita, Allah adalah Tuhan yang menyelamatkan;
dan daripada Allah Taala ada kebebasan daripada kematian.
 
21 Tetapi Allah akan mencederakan kepala musuh-Nya,
mereka yang terus melakukan dosa.
22 Tuhan telah berfirman, “Aku akan membawa mereka pulang dari Basan;
Aku akan membawa mereka pulang dari lautan dalam,
23 supaya kakimu dapat meremukkan mereka dalam lumuran darah,
dan anjingmu menjilat habuannya daripada musuhmu.”
 
24 Mereka telah melihat perarakan-Mu, Ya Allah, perarakan Tuhanku dan Rajaku ke Khemah Suci-Mu.
25 Para biduan berjalan di hadapan, pemain alat muzik di belakang;
antara mereka gadis-gadis bermain tamborin.
26 Pujilah Allah dalam semua perhimpunan;
pujilah Allah wahai umat daripada perhimpunan Israel.
27 Suku Benyamin yang terkecil berjalan dahulu,
diikuti ketua-ketua Yudah dan pengikut mereka,
kemudian ketua-ketua Zebulon dan Naftali.
 
28 Tuhanmu telah memerintahkan supaya kami diberi kekuatan;
Kukuhkanlah, Ya Allah,
segala yang telah Kaulakukan untuk kami.
29 Kerana Bait Suci-Mu di Yerusalem
raja-raja membawa persembahan untuk-Mu.
30 Murkailah bangsa yang seperti binatang liar di rumput air,
dan bangsa-bangsa yang seperti lembu jantan bersama anak-anaknya.
Sehingga semuanya tunduk mempersembahkan perak kepada-Mu.
Usirlah pencinta perang sehingga bertempiaran.
31 Para utusan akan dihantar dari Mesir;
Habsyaha akan segera menghulur tangan kepada Allah.
 
32 Bernyanyilah untuk Allah, hai kerajaan-kerajaan di bumi,
nyanyikan puji-pujian kepada Tuhan, Sela
33 kepada Dia pemerintah langit purba tertinggi,
sesungguhnya Dia berfirman dengan penuh kekuasaan.
34 Isytiharkan kekuatan Allah,
keunggulan-Nya memerintah Israel,
dan kekuatan-Nya di angkasa.
35 Ya Allah, Engkau lebih menakjubkan daripada tempat-tempat suci-Mu;
Tuhan yang disembah bani Israel memberi kekuatan dan kekuasaan kepada umat-Nya.
 
Segala puji bagi Allah!
 
 
 
 
 
 
69
Doa dalam Kesesakan
Untuk pemimpin pujian. Menurut lagu “Bunga Bakung.” Dari Daud.
1 Selamatkanlah aku, Ya Allah,
kerana air sudah naik ke leherku.
2 Aku tenggelam dalam air lumpur yang dalam, aku tidak dapat berjejak.
Aku telah masuk ke air yang dalam;
dan aku hampir lemas.
3 Aku lesu meratap; kerongkongku kering.
Mataku kelam, menanti Tuhanku.
4 Mereka membenciku tanpa alasan lebih banyak daripada rambut di kepalaku;
mereka yang hendak membinasakan aku amat berkuasa,
mereka memusuhiku sedangkan aku tidak bersalah.
Meski aku tidak mencuri apa-apa aku dipaksa membayar.
 
5 Ya Allah, Engkau mengetahui kebodohanku;
dan dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu.
 
6 Jangan biarkan orang yang menanti-Mu menanggung malu keranaku,
Ya Allah, Tuhan semesta alam!
Jangan biarkan mereka yang mencari-Mu menjadi kelam-kabut keranaku,
Ya Tuhan yang disembah bani Israel.
7 Kerana-Mu aku telah menerima celaan,
keaiban telah menyaluti mukaku.
8 Aku telah menjadi orang asing kepada saudara-saudaraku,
orang luar kepada anak-anak ibuku;
9 kerana kasihku terhadap Bait-Mu membakar hatiku,
lalu segala celaan daripada mereka yang mencela-Mu telah menimpaku.
10 Apabila aku menangis dan membersihkan jiwaku dengan berpuasa,
aku dicela kerananya;
11 ketika aku mengenakan pakaian penyesalan dosa, mereka mengejek aku.
12 Orang yang duduk di pintu pagar mengumpat aku,
dan aku menjadi bahan nyanyian orang mabuk.
 
13 Tetapi aku tetap berdoa kepada-Mu, Ya Allah,
pada masa yang Kauredai;
Ya Allah, dengan limpah kasih abadi-Mu,
dengarlah rayuanku demi kebenaran penyelamatan-Mu.
14 Selamatkanlah aku daripada perangkap lumpur,
jangan biarkan aku tenggelam;
selamatkan aku daripada mereka yang membenciku,
dan daripada air yang dalam.
15 Jangan biarkan ombak melemaskan aku
jangan biarkan aku terbenam ke dasar laut atau lubang kubur menelanku.
16 Dengarlah rayuanku, Ya Allah, kerana kasih-Mu sungguh besar;
berpalinglah kepadaku demi limpah belas kasihan-Mu.
17 Jangan sembunyikan wajah-Mu daripada hamba-Mu;
kerana aku dalam kesusahan, segeralah kabulkan doaku.
18 Dekatilah aku, selamatkan aku;
lepaskan aku daripada musuhku.
 
19 Engkau tahu bagaimana aku dicela, dimalukan dan dihina;
musuhku semuanya berada di hadapan-Mu.
20 Celaan mematahkan hatiku
dan aku menanggung kepiluan;
kucari orang yang kasihan, tiada seorang pun kutemui,
kucari orang yang melipurkan, tidak kujumpai.
21 Mereka memberi aku hempedu untuk dimakan
dan apabila aku dahaga, mereka memberiku cuka untuk diminum.
 
22 Biarlah mereka terjerat oleh jamuan sendiri;
dan terperangkap oleh kesenangan sendiri.
23 Kelamlah mata mereka, supaya mereka buta,
dan biarlah pinggang mereka lemah menggeletar.
24 Curahkan kemurkaan-Mu ke atas mereka;
dan biarkan keberangan-Mu memusnahkan mereka.
25 Biar tempat tinggal mereka lengang dan sepi;
dan khemah-khemah mereka tiada penghuni.
26 Kerana mereka menganiaya orang yang telah Kauhukum
dan memperkatakan kesedihan orang yang telah Kaulukakan.
27 Tambahkan lagi kejahatan mereka;
jangan biarkan mereka menyertai penyelamatan-Mu.
28 Biar mereka dipadamkan daripada buku orang yang hidup
dan tidak tersurat bersama orang yang benar.
 
29 Aku daif dan hiba;
selamatkanlah aku, Ya Allah,
supaya aku dilindungi.
 
30 Aku akan memuji nama Allah dengan nyanyian
dan membesarkan-Nya dengan lafaz kesyukuran.
31 Ini akan mendapat keredaan Allah lebih daripada persembahan korban lembu jantan,
yang bertanduk dan berkuku.
32 Orang yang rendah hati akan melihatnya dan bersukacita –
dan kamu yang mencari Allah, hatimu akan pulih!
33 Kerana Allah mendengar rayuan orang miskin
dan tidak menyingkiri umat-Nya yang dipenjarakan.
 
34 Biar langit dan bumi memuji-Nya,
begitu juga lautan dan segala hidupan di dalamnya,
35 kerana Allah akan menyelamatkan Sion
dan membina semula kota-kota Yudah.
Supaya umat-Nya tinggal di sana dan memilikinya;
36 keturunan hamba-hamba-Nya akan mewarisi tempat itu,
dan mereka yang mengasihi nama-Nya akan tinggal di situ.
 
 
 
 
 
 
70
Doa Mohon Pertolongan Segera
Untuk pemimpin pujian.
Dari Daud. Persembahan peringatan.
1 Segeralah, Ya Allah, selamatkan aku;
Ya Allah, segeralah tolong aku.
2 Biar mereka dimalukan dan dikelirukan,
mereka yang ingin meragut nyawaku;
biar mereka berundur dan menanggung aib,
mereka yang hendak memusnahkan aku.
3 Biar mereka berundur kerana malu,
mereka yang mengejekku, “Aha! Aha!”
4 Biar semua yang mencari-Mu
bergembira dan bersukacita kerana-Mu;
dan biar mereka yang cinta akan penyelamatan-Mu berkata sentiasa,
“Allah Maha Besar!”
 
5 Aku miskin dan sesak;
segeralah datang kepadaku, ya Allah.
Engkaulah penolongku dan penyelamatku;
Ya Allah, janganlah berlengah-lengah!
 
 
 
 
 
 
71
Doa Mohon Perlindungan pada Masa Tua
1 Kepada-Mu, Ya Allah, kuletakkan kepercayaanku;
jangan biarkan aku menanggung malu.
2 Selamatkanlah aku dalam kebenaran-Mu dan biar aku melepaskan diri;
dengarlah rayuanku, dan selamatkan aku.
3 Jadilah batu pejal perlindunganku yang perkasa,
tempat aku bernaung setiap waktu;
Engkau telah memberikan perintah supaya aku diselamatkan,
kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku.
4 Selamatkanlah aku, Ya Tuhanku, daripada tangan orang fasiq,
daripada tangan orang durjana dan kejam.
 
5 Kerana Engkaulah harapanku, Ya Allah, Ya Rabbi,
Engkaulah kepercayaanku sejak daripada usia mudaku.
6 Kepada-Mu aku bersandar sejak kelahiran;
Engkaulah yang membawaku keluar daripada rahim ibuku.
Aku akan sentiasa memuji-Mu.
7 Aku telah menimbulkan takjub orang ramai,
tetapi Engkau pelindungku yang perkasa.
8 Biarlah aku sentiasa memuji-Mu,
dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu sepanjang hari.
 
9 Janganlah singkirkan aku dalam usia tua;
jangan tinggalkan aku ketika kekuatanku hilang.
10 Kerana musuhku mencerca aku;
dan mereka yang mengendap untuk meragut nyawaku berpakat sama sendiri.
11 Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia;
buru dan tangkaplah dia,
kerana tiada siapa yang akan menyelamatkannya.”
12 Ya Allah, janganlah jauh daripadaku; Ya Tuhanku, segeralah tolong aku.
13 Biar mereka dicela dan dihina;
mereka yang cuba mencederakan aku akan dihina dan diaibkan.
 
14 Aku akan sentiasa berharap;
dan akan lebih-lebih lagi memuji-Mu.
15 Lidahku akan menuturkan kebenaran-Mu,
dan penyelamatan-Mu sepanjang hari,
meski aku tidak dapat menduga batas-batasnya.
16 Aku akan mengisytiharkan perbuatan-Mu, Allah Taala;
aku akan menyebut kebenaran-Mu, yang hanya milik-Mu.
17 Ya Allah, Engkau telah mengajarku sejak daripada usia mudaku,
dan hingga hari ini aku tetap mengisytiharkan perbuatan-Mu yang menakjubkan.
18 Kini aku sudah tua dan rambutku putih,
Ya Allah, jangan tinggalkan aku,
kuisytiharkan kuasa-Mu kepada orang zaman ini,
kekuatan-Mu kepada semua keturunan yang akan datang.
19 Kebenaran-Mu, Ya Allah, sungguh tinggi,
Engkau telah membuat perkara yang besar-besar.
Ya Allah, siapa yang serupa dengan-Mu?
20 Engkau yang telah memberiku penderitaan yang pedih,
Engkau akan memulihkan aku;
dan membawaku naik semula dari perut bumi.
21 Engkau akan menambah kebesaranku
dan melipurkan hatiku sepenuhnya.
 
22 Dengan kecapi aku akan memuji-Mu
bagi kesetiaan-Mu, Ya Tuhanku;
Untuk-Mu aku akan menyanyi sambil bermain kecapi,
Ya Allah Yang Maha Suci, Tuhan yang disembah umat Israel.
23 Bibirku bergembira menyanyi untuk-Mu – begitu juga jiwaku yang telah Kauselamatkan.
24 Lidahku akan menuturkan kebenaran-Mu sepanjang hari,
kerana mereka telah dikelirukan dan mereka telah dimalukan,
mereka yang cuba mencederakan aku.
 
 
 
 
 
 
72
Doa Pengharapan untuk Raja
Dari Sulaiman.
1 Berikanlah penghakiman-Mu, Ya Allah, kepada raja,
dan kebenaran-Mu kepada anak raja.
2 Dia akan menghakimi umat-Mu dengan adil,
dan orang miskin-Mu dengan saksama.
3 Gunung-ganang akan membawa kesejahteraan kepada umat,
dan bukit membawa hasil kebenaran.
4 Dia akan membawa keadilan kepada umat yang miskin,
Dia akan menyelamatkan anak-anak sesak;
dan akan menghancurkan penindas.
 
5 Mereka akan takut kepada-Mu, selagi ada matahari dan bulan,
turun-temurun zaman-berzaman.
6 Dia akan turun seperti hujan ke atas rumput sebelum ditebas,
seperti hujan yang mengairi bumi.
7 Dalam pemerintahannya orang yang benar akan makmur;
dan kesejahteraan penuh melimpah selagi bulan bercahaya.
 
8 Dia akan berkuasa dari laut ke laut
dan dari Sungai Efrat ke hujung bumi.
9 Mereka yang tinggal di gurun akan tunduk kepadanya
dan semua musuhnya akan menjilat debu.
10 Raja-raja Tarsis dan kepulauan akan membawa persembahan;
raja-raja Syeba dan Seba akan membawa persembahan.
11 Ya, semua raja akan sujud menghormatinya,
semua bangsa menghambakan diri kepadanya.
 
12 Kerana dia akan menolong orang sesak yang berseru kepadanya,
dan orang yang menderita, serta mereka yang tidak ada penolong.
13 Dia akan mengasihani orang yang miskin dan memerlukan bantuan,
dia akan menyelamatkan orang yang perlu diselamatkan.
14 Dia akan membebaskan hidup mereka daripada penindasan dan keganasan,
dan darah mereka amat berharga baginya.
 
15 Hiduplah dia!
Emas dari Syeba akan dipersembahkan kepadanya.a
Orang akan sentiasa menunaikan doa baginya
dan setiap hari dia akan diberkati.
16 Tanaman biji-bijian akan subur dan makmur;
hingga ke puncak gunung.
Buahnya melambai-lambai seperti di Lebanon;
dan penduduk kota akan bertambah seperti rumput di bumi.
17 Namanya akan tetap selama-lamanya;
namanya akan masyhur selagi ada matahari.
 
Manusia akan diberkati kerananya,
semua bangsa akan memujinya.
 
18 Segala puji bagi Allah, Tuhan kita, iaitu Tuhan yang disembah umat Israel,
hanya Dia yang melakukan perbuatan yang menakjubkan.
19 Segala puji bagi nama-Nya untuk selama-lamanya;
semoga seluruh bumi dipenuhi dengan kemuliaan-Nya.
Amin, ya Amin!
 
20 Sekian doa Daudb bin Isai.