Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada satu jiwa, dan menciptakan pasangan baginya daripada [dirinya] itu, dan daripada mereka berdua Dia membiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang demi nama-Nya kamu saling meminta, dan [peliharalah] hubungan kaum kerabat. Sesungguhnya Allah adalah Pengawas bagi kamu.
2 Dan berikanlah kepada anak-anak yatim [yang sudah dewasa] harta mereka, dan janganlah kamu menukar yang baik dengan yang buruk, dan janganlah kamu makan harta mereka sebagai hartamu. Sesungguhnya [yang demikian] itu adalah dosa yang besar.
3 Jika kamu khuatir tidak akan berlaku adil terhadap [hak] perempuan-perempuan yatim, maka nikahilah perempuan [lain] yang kamu suka, dua atau tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak akan berlaku adil, maka [nikahilah] seorang sahaja, atau abdi [perempuan] yang kamu miliki. Itulah lebih sesuai [supaya] kamu tidak berbuat zalim.
4 Dan berikanlah kepada perempuan mas kahwin mereka secara mesra, lalu jika diserahkan mereka kepada engkau apapun daripada [mas kahwin] itu dengan suka hati, maka terimalah itu dengan suka hati lagi puas hati.
5 Dan janganlah kamu serahkan kepada orang yang belum sempurna akalnya harta [mereka di bawah jagaan] kamu yang Allah menjadikan sebagai asas rezeki bagi kamu [untuk mengawasinya]. Dan berilah mereka belanja dan pakaian, dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada mereka.
6 Dan ujilah anak-anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk menikah, lalu jika kamu berpendapat mereka telah cerdas, maka serahkanlah kepada mereka hartanya. Dan janganlah kamu memakan [harta anak yatim] itu secara keterlaluan dan secepatnya sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa [di antara pengawas] yang cukup mampu, maka hendaklah dia menahan diri [daripada memakan harta itu]. Dan sesiapa yang miskin, maka biarlah dia makan [sebahagian] menurut yang patut. Maka apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, hendaklah kamu adakan saksi-saksi terhadap mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Penghisab.
7 Bagi orang-orang lelaki ada bahagian [pusaka] daripada peninggalan ibu bapanya dan kaum kerabatnya, dan bagi orang-orang perempuan [juga] ada bahagian [pusaka] daripada peninggalan ibu bapanya dan kaum kerabatnya, baik sedikit mahupun banyak, suatu bahagian yang diwajibkan.
8 Dan apabila pembahagian [warisan] itu dihadiri oleh kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, maka berilah mereka [sewajarnya] daripada [harta] itu, dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada mereka.
9 Dan orang-orang harus takut sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang daif di belakang mereka, mereka akan khuatir [kesejahteraan] keturunan itu. Maka hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang tepat pada waktunya.
10 Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sesungguhnya mereka hanya menelan api dalam perutnya, dan kelak mereka akan dibakar dalam api [neraka] yang menyala-nyala.
11 Allah perintahkan kamu tentang [pembahagian warisan] anak-anakmu. Bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika ada anak-anak perempuan lebih daripada dua orang, maka mereka mendapat dua pertiga daripada apa [harta] yang ditinggalkan. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka dia mendapat setengah. Dan tiap-tiap seorang ibu bapa mendapat satu per enam harta yang ditinggalkan jika [si mati] mempunyai anak. Tetapi jika tidak mempunyai anak dan ibu bapa [sahaja] yang mewarisi [harta] itu, maka ibunya mendapat satu per tiga. Tetapi jika [si mati] mempunyai beberapa orang saudara, maka ibunya mendapat satu per enam sesudah ditunaikan wasiat atau hutang. Ibu bapamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui yang mana di antara mereka lebih dekat lagi bermanfaat bagimu. [Demikianlah] ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
Juz 4B4
12 Dan kamu mendapat satu per dua [harta] yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka kamu mendapat satu per empat daripada apa [harta] yang ditinggalkan oleh mereka sesudah ditunaikan wasiat atau hutang. Dan isteri-isterimu mendapat satu per empat daripada apa [harta] yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi jika kamu mempunyai anak, maka isteri-isterimu mendapat satu per lapan daripada apa [harta] yang kamu tinggalkan sesudah ditunaikan wasiat atau hutang. Dan jika seseorang [si mati], baik lelaki atau perempuan, tidak meninggalkan ayah atau anak tetapi dia mempunyai seorang saudara [seibu] atau seorang saudari [seibu], maka tiap-tiap seorang daripada mereka berdua mendapat satu per enam. Tetapi jika ada lebih daripada itu, maka mereka berkongsi dalam satu per tiga [harta] itu sesudah ditunaikan wasiat atau hutang supaya tidak membawa mudarat. [Demikianlah] wasiat daripada Allah, dan Allah Maha Mengetahui, Maha Halim.
13 Itulah hudud Allah, dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya akan dimasukkan-Nya ke dalam Jannah-Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, kekallah mereka di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung.
14 Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya serta melanggar hudud-Nya, dia akan memasukkannya ke dalam api [neraka], kekallah dia di dalamnya, dan dia akan mendapat azab yang menghinakan.
15 Dan sesiapa yang berlaku maksiat daripada para wanita kamu, maka hendaklah empat orang di antaramu menjadi saksi terhadap mereka. di dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya, atau sampai Allah mengadakan bagi mereka jalan [lain].
16 Dan terhadap dua orang di antara kamu yang melakukan itu, maka hukumlah mereka berdua, kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki dirinya, maka biarkanlah mereka. Sesungguhnya Allah adalah Penerima taubat, Maha Mengasihani.
17 Sesungguhnya taubat yang Allah terima hanya bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan sebab kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat. Maka mereka itu yang Allah terima taubatnya, dan adalah Allah, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
18 Dan taubat itu tidak [diterima] daripada orang-orang yang mengerjakan kejahatan hingga apabila salah seorang di antara mereka menghadapi maut, [barulah] dia berkata, "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang," ataupun daripada orang-orang yang meninggal dunia sedang mereka dalam keadaan kekufuran. Bagi mereka itu telah Kami sediakan azab pedih.
19 Wahai orang-orang yang beriman! Tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan secara paksa, ataupun menyusahkan mereka untuk mengambil balik sebahagian daripada apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali apabila mereka berlaku maksiat yang jelas. Dan bergaullah dengan mereka secara baik, kerana jika kamu tidak menyukai mereka, maka boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu yang Allah menjadikan padanya banyak kebaikan.
20 Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan harta yang banyak kepada salah seorang antara mereka, maka janganlah kamu mengambil balik sedikitpun daripada [pemberian] itu. Adakah kamu akan mengambil balik itu melalui fitnah dan [menanggung] dosa yang nyata?
21 Dan bagaimana kamu akan mengambilnya balik, padahal kamu telah bersetubuh di antara satu sama lain, dan mereka telah mengikat perjanjian yang teguh dengan kamu?
22 Dan janganlah kamu menikahi perempuan-perempuan yang pernah dinikahi oleh ayahmu kecuali yang sudah terjadi dahulu. Sesungguhnya [yang demikian] itu adalah maksiat dan dibenci [Allah] dan seburuk-buruk jalan [yang ditempuh].
23 Adalah diharamkan kepada kamu [menikahi] ibu-ibumu, anak-anakmu yang perempuan, saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara perempuan kepada bapamu serta kepada ibumu, anak-anak perempuan kepada saudara-saudaramu yang lelaki serta yang perempuan, ibu-ibumu yang menyusukan kamu, saudara-saudara perempuanmu daripada susuan, ibu-ibu isterimu, dan anak-anak tiri perempuan dalam peliharaanmu yang telah kamu campuri dengan [ibu] mereka. Tetapi jika kamu belum campur dengan mereka itu [yang sudah kamu ceraikan], maka tidak salah atasmu. Dan [diharamkan kepadamu] isteri-isteri anak kandungmu dan mengumpulkan dua perempuan adik beradik [dalam perkahwinan], kecuali yang sudah terjadi dahulu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
Juz 5A1
24 Dan [termasuk] perempuan-perempuan yang bersuami, kecuali abdi-abdi yang kamu miliki. [Itulah] ketetapan Allah atas kamu. Dan dihalalkan bagimu [perempuan-perempuan] di luar yang demikian itu supaya kamu mencari [isteri-isteri] dengan hartamu untuk bernikah bukan untuk berzina. Oleh kerana apa yang telah kamu nikmati daripada mereka, maka berikanlah mas kahwin kepada mereka sebagai suatu kewajipan. Dan tidak salah atasmu tentang apa yang kamu saling bersetuju yang lebih daripada yang wajib itu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
25 Dan sesiapa di antaramu tidak mampu pembiayaan untuk menikahi perempuan-perempuan merdeka yang mukmin, maka [nikahilah] perempuan mukmin daripada abdi-abdi yang kamu miliki. Dan Allah lebih mengetahui tentang imanmu, beberapa kamu di antara yang lain [tidaklah sama]. Maka nikahilah mereka dengan izin ahli keluarganya, dan berilah mereka mas kahwinnya menurut yang patut sebagai [isteri] yang muhsin, bukan dengan maksud berzina ataupun untuk menjadikan gundik-gundik. Maka apabila mereka sudah bersuami, lalu jika mereka melakukan maksiat, maka dikenakan mereka separuh seksaan yang dikenakan atas perempuan-perempuan yang merdeka. Demikianlah bagi sesiapa yang takut terhadap kesukaran di antara kamu, tetapi bersabar adalah lebih baik bagimu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
26 Allah hendak menjelaskan kepadamu dan memberi petunjuk kepadamu dengan sunah-sunah orang-orang yang sebelum kamu, dan Dia menerima taubatmu. Dan Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
27 Dan Allah bermaksud menerima taubatmu, sedang orang-orang yang mengikuti hawa nafsu [mereka] hendak agar kamu terpesong sejauh-jauhnya [dari jalan Allah].
28 Allah bermaksud untuk meringankan [kesulitan] bagi kamu, dan manusia diciptakan [berkeadaan] lemah.
29 Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan harta sesamamu dengan cara yang batil, kecuali menjalankan perdagangan dengan persetujuan di antaramu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengasihani terhadap kamu.
30 Dan sesiapa melakukan yang demikian itu secara permusuhan dan zalim, maka kelak Kami akan memasukkan dia ke dalam api [neraka]. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
31 Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan menebus kesalahan-kesalahanmu, dan Kami akan memasukkan kamu [ke syurga] melalui suatu pintu masuk yang mulia.
32 Dan janganlah kamu mencita-citakan apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian di antaramu atas yang lain. Bagi orang-orang lelaki ada bahagian daripada apa yang telah mereka usahakan, dan bagi orang-orang perempuan [pula] ada bahagian daripada apa yang telah mereka usahakan. Dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
33 Dan bagi semua, Kami jadikan para pewaris kepada apa yang ditinggalkan oleh ibu bapanya dan kaum kerabatnya. Dan orang-orang yang kamu terikat dengan sumpah, maka berilah mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu.
34 Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan oleh sebab mereka telah menginfakkan sebahagian daripada hartanya. Maka perempuan-perempuan yang soleh adalah yang tetap taat [kepada Allah], yang memelihara apa yang ghaib sebagaimana Allah telah memelihara [mereka]. Dan [isteri] yang kamu khuatir nusyuz, maka berilah nasihat kepada mereka, dan [kemudian] pisahkanlah daripada mereka di tempat tidur, dan [akhirnya] tinggalkanlah daripada mereka. Tetapi jika mereka taat kepadamu, maka janganlah kamu mencari alasan terhadap mereka [untuk menyakitinya]. Sesungguhnya Allah adalah Maha Tinggi, Maha Besar.
35 Dan jika kamu khuatir berlaku persengketaan antara mereka berdua, maka utuslah seorang hakam daripada keluarga lelaki dan seorang hakam daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang hakam bermaksud mengadakan perdamaian, Allah akan memberikan taufik kepada mereka berdua. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, Maha Mengenal.
Juz 5A2
36 Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mensyirikkan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga dekat, jiran tetangga jauh, rakan-rakan sejawat, orang-orang yang sedang dalam perjalanan, dan abdi-abdi yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, yang bermegah-megah.
37 [Mereka itu] orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil dan menyembunyikan apa yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya. Dan Kami telah menyediakan azab yang menghinakan bagi orang-orang kafir.
38 Dan [termasuk] orang-orang yang mengingfakkan hartanya dengan riyak kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah ataupun Hari Akhirat. Dan sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai pengiring baginya, maka amatlah jahat pengiring itu.
39 Dan apakah [kerugian] bagi mereka sekiranya mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan menginfakkan sebahagian daripada apa yang direzekikan Allah kepada mereka? Dan adalah Allah, Maha Mengetahui akan [keadaan] mereka.
40 Sesungguhnya Allah tidak pernah berlaku zalim [biarpun] sekecil zarah, dan jika ada kebajikan [sekecil zarah], Dia akan melipat gandakan itu dan memberikan pahala yang besar dari sisi-Nya.
41 Maka bagaimanakah [kesudahannya] apabila Kami mendatangkan seorang saksi daripada setiap umat, dan Kami mendatangkan engkau sebagai saksi atas mereka?
42 Pada hari itu orang-orang yang kufur dan derhaka terhadap Rasul berharap sekiranya mereka diranapkan dengan tanah, dan mereka tidak dapat menyembunyikan daripada Allah sepatah perkataan [yang telah mereka ucapkan].
43 Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendekati solat sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu sedar apa yang kamu ucapkan, ataupun [mendekati masjid] sedang kamu dalam keadaan junub, kecuali hendak melalui jalan sahaja, hingga kamu mandi [junub]. Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan, atau salah seorang di antaramu datang dari tempat buang air, atau kamu telah menyentuh perempuan lalu kamu tidak mendapati air, maka hendaklah kamu bertayamum dengan pasir yang bersih, lalu sapulah wajahmu dan [dua belah] tanganmu dengan [pasir] itu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf, Maha Pengampun.
44 Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang telah diberi sebahagian daripada Kitab-Kitab [Allah]? Mereka membeli kesesatan, dan mereka bermaksud supaya kamu tersesat dari jalan [yang lurus].
45 Dan Allah lebih mengetahui tentang musuh-musuh kamu. Dan cukuplah Allah sebagai Wali [bagimu], dan cukuplah Allah sebagai Pelindung.
46 Di kalangan orang-orang Yahudi ada yang mengubah Kalimat [Allah] di luar maknanya. Dan mereka berkata, "Kami dengar tetapi kami ingkar" dan "Ada dengar tetapi tidak mendengar [apapun]" dan "Raa’ina," dengan memutar belitkan lidahnya dan mencela agama. Dan sekira bahawasanya mereka berkata, "Kami dengar dan kami taat" dan "Dengarlah dan perhatikanlah kami," tentulah itu lebih baik bagi mereka dan lebih sesuai. Tetapi Allah melaknat mereka sebab kekufuran mereka, maka mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja.
47 Wahai orang-orang yang telah diberi Kitab! Berimanlah kamu kepada [Al-Qur’an] yang telah Kami turunkan, yang mengesahkan apa yang ada padamu, sebelum Kami mengubah wajah-wajah lalu putarkan [wajah] itu ke belakang mereka, atau Kami laknat mereka sebagaimana Kami melaknat orang-orang yang melanggar hukum Hari Sabat. Dan perintah Allah pasti berlaku.
48 Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni [dosa] mensyirikkan sesuatu dengan-Nya, dan Dia mengampuni [dosa] yang selain itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mensyirikkan [sesuatu] dengan Allah, maka sungguh dia telah mengada-adakan suatu dosa yang besar.
49 Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang [cuba] menyucikan dirinya? Namun Allah menyucikan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mereka tidak akan dirugikan sedikitpun.
50 Perhatikanlah bagaimana mereka mengada-adakan kebohongan terhadap Allah, dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata [bagi mereka].
51 Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang telah diberi sebahagian daripada Kitab-Kitab [Allah]? Mereka percaya kepada Jibt dan Taghut dan mengatakan kepada orang-orang yang kufur, "Mereka itu lebih mendapat petunjuk daripada orang-orang yang beriman menempuh jalan [yang benar]."
52 Mereka itu orang-orang yang dilaknat Allah, dan sesiapa dilaknat Allah, maka engkau tidak akan mendapati seorang penolong baginya.
53 Ataukah mereka mempunyai bahagian dalam kerajaan? Maka jika demikian, mereka tidak akan memberi manusia sedikit pun [kebajikan].
54 Ataukah mereka dengki terhadap manusia kerana apa yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya? Tetapi sungguh, Kami telah memberi kepada keluarga Ibrahim Kitab serta Hikmah, dan Kami telah memberi mereka kerajaan yang besar.
55 Maka di antara mereka ada yang beriman kepadanya, dan ada [juga] di antara mereka yang menghalangi [orang] daripadanya. Dan cukuplah bagi mereka Jahanam dengan api [neraka] yang menyala-nyala.
56 Sesungguhnya orang-orang yang kufur terhadap tanda-tanda Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam api [neraka]. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti dengan kulit yang lain supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah adalah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
57 Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam Jannah-Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, kekallah mereka di dalamnya untuk selama-lamanya. Dan di sana mereka akan beroleh pelbagai jenis yang disucikan, dan akan Kami masukkan mereka ke tempat teduh yang mendalam.
Juz 5A3
58 Sesungguhnya Allah menyuruhmu untuk menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjadi hakim di antara manusia, hendaklah kamu menghakimi dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar, Maha Melihat.
59 Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasul dan pihak yang berkuasa di antaramu. Tetapi jika kamu bersengketa tentang sesuatu, maka kembalikanlah [hal] itu kepada Allah dan Rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah lebih baik [bagimu] dan lebih elok keterangannya.
60 Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang mendakwa bahawasanya mereka telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang telah diturunkan sebelummu? [Bahkan] mereka menginginkan bahawa Taghut menjadi hakim, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur terhadap [Taghut] itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka jauh dalam kesesatan.
61 Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah [beriman] kepada apa yang telah diturunkan Allah dan kepada Rasul," engkau akan melihat orang-orang munafik menghalangi [orang] daripadamu dengan bersungguh-sungguh.
62 Maka bagaimana halnya apabila mereka dilanda musibah oleh sebab perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepada engkau dan bersumpah, "Demi Allah, kami tidak bermaksud lain kecuali kebaikan dan kedamaian."
63 Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka, maka berpalinglah engkau daripada mereka dan berilah mereka nasihat, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berkesan [pada jiwa mereka].
64 Dan Kami tidak mengutus seorang rasul melainkan untuk ditaati dengan izin Allah. Dan sekira bahawasanya ketika mereka menzalimi diri sendiri datang kepada engkau, lalu beristighfar kepada Allah, dan Rasul pun beristighfar untuk mereka, nescaya mereka mendapati Allah Penerima taubat, Maha Mengasihani.
65 Maka demi Tuhanmu, mereka tidak akan beriman sehingga mereka menjadikan engkau sebagai hakim dalam apa yang diperselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak mendapati dalam dirinya sesuatu keberatan terhadap apa yang telah engkau putuskan dan menyerah sepenuh padanya.
66 Dan sekira bahawasanya Kami tuliskan kepada mereka, "Bunuhlah dirimu," atau “Keluarlah kamu dari kampung halamanmu," maka mereka tidak akan melakukannya kecuali sedikit orang di antara mereka. Dan sekira bahawasanya mereka melakukan apa yang diajarkan kepada mereka, pasti itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan [iman mereka].
67 Dan jika demikian, nescaya Kami berikan kepada mereka pahala yang besar dari sisi Kami,
68 dan nescaya Kami menunjuki mereka ke Jalan yang Lurus.
69 Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul, maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah kepada mereka, di antaranya para nabi, orang-orang siddiq, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang yang soleh. Dan bagusnya mereka itu menjadi teman.
70 Demikianlah kurnia daripada Allah, dan cukuplah Allah adalah Maha Mengetahui.
71 Wahai orang-orang yang beriman! Bersiap sedialah, lalu pergilah keluar [ke medan perang] secara berpasukan atau sekaligus.
72 Dan sesungguhnya di antara kamu pasti ada orang yang berlambat-lambat [ke medan perang], lalu jika kamu dilanda musibah dia berkata, "Sungguh, Allah telah memberikan nikmat kepadaku kerana aku tidak turut berperang bersama mereka."
73 Dan sungguh, jika kamu mendapat kurnia daripada Allah, dia pasti mengatakan seolah-olah tidak pernah ada hubungan kemesraan antara kamu dengan dia, "Aduhai! Alangkah baiknya jika aku turut bersama mereka, maka aku akan memperoleh kemenangan yang agung."
Juz 5A4
74 Maka hendaklah orang-orang yang menjual hayat duniawi untuk [hayat] akhirat berperang di jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang di jalan Allah lalu gugur atau mencapai kemenangan, maka kelak Kami akan memberinya pahala yang besar.
75 Dan mengapa kamu tidak turut berperang di jalan Allah, dan [menyelamatkan] orang-orang yang tertindas di antara kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang berdoa, "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini dengan penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami seorang wali dari sisi-Mu, dan jadikanlah bagi kami seorang penolong dari sisi-Mu."
76 Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kufur berperang di jalan Taghut, maka perangilah teman-teman setia syaitan. Sesungguhnya muslihat syaitan adalah daif.
77 Tidakkah engkau perhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka, "Tahankah tanganmu [daripada berperang], dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat." Tetapi tatkala diwajibkan atas mereka untuk berperang, tiba-tiba sebahagian di antara mereka takut kepada manusia seperti takutnya kepada Allah atau lebih lagi takut. Dan mereka berkata, "Ya Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan atas kami berperang? Sekiranya Engkau melambatkan itu bagi kami sedikit tempoh lagi." Katakanlah: Kesenangan duniawi hanya sedikit, dan di akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa, dan kamu tidak akan dirugikan sedikitpun.
78 Di manapun kamu berada, maut akan mendapatkan kamu, meskipun kamu berada di dalam menara yang tinggi lagi kukuh. Dan jika mereka memperoleh kebaikan, mereka berkata, "Ini adalah dari sisi Allah," tetapi jika mereka ditimpa keburukan, mereka berkata, "Ini adalah dari sisi engkau." Katakanlah: Semuanya [datang] dari sisi Allah. Maka apa hal dengan kaum ini? Mereka hampir-hampir tidak memahami sesuatu perkataan.
79 Apa [pun] kebaikan yang engkau perolehi adalah daripada Allah, dan apa [pun] keburukan yang menimpamu adalah daripada dirimu sendiri. Dan Kami mengutus engkau kepada manusia sebagai Rasul, dan cukuplah Allah sebagai Saksi.
80 Sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sungguh dia telah mentaati Allah, tetapi sesiapa yang berpaling, maka tidaklah Kami mengutus engkau sebagai pengawas kepada mereka.
81 Dan mereka mengatakan, "[Kami] taat," lalu apabila mereka telah pergi dari sisimu, segolongan daripada mereka berkomplot di waktu malam selain apa yang engkau katakan [tadi]. Dan Allah mencatat apa yang mereka berkomplot itu, maka berpalinglah daripada mereka dan bertawakallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pengurus.
82 Maka tidakkah mereka menghayati Al-Qur’an? Dan sekiranya [Al-Qur’an] itu bukan dari sisi Allah, pasti mereka mendapati banyak hal yang bertentangan di dalamnya.
83 Dan apabila datang kepada mereka suatu perkara tentang keamanan atau ketakutan, mereka akan [langsung] menyiarkannya. Dan sekiranya mereka mengembalikan [hal] itu kepada Rasul atau kepada pihak berkuasa di antara mereka, nescaya orang-orang yang ingin mengetahui kebenarannya dapat diketahuinya daripada mereka. Dan sekiranya bukan kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepadamu, pasti kamu akan mengikuti syaitan kecuali sedikit [di antaramu].
84 Maka berperanglah engkau di jalan Allah, engkau tidaklah dibebani kecuali [kewajipan] atas dirimu sendiri. Dan galakkanlah [semangat] orang-orang mukmin [untuk berperang]. Mudah-mudahan Allah menolak serangan orang-orang yang kufur itu. Dan kekuatan Allah amat besar dan amat keras seksaan [Allah].
85 Sesiapa memberikan syafaat untuk yang baik, dia akan beroleh bahagian daripada [pahala] itu. Dan sesiapa memberikan syafaat untuk yang buruk, dia akan menanggung bahagian daripada [dosa] itu. Dan adalah Allah, Pemelihara segala sesuatu.
86 Dan apabila kamu disambut dengan sesuatu penghormatan, maka sambutlah kembali dengan yang lebih baik daripada itu, atau balaslah [salam] itu [dengan yang sama]. Sesungguhnya Allah adalah Penghisab atas segala sesuatu.
87 Allah, tiada tuhan melainkan Dia. Dia pasti akan menghimpunkan kamu pada Hari Kiamat yang tiada keraguan padanya. Dan sabda siapakah yang lebih benar daripada Allah?
Juz 5B1
88 Maka apa hal dengan kamu [terpecah] menjadi dua golongan terhadap orang-orang munafik, padahal Allah telah membalikkan mereka [menjadi kafir] sebab apa yang mereka usahakan. Adakah kamu hendak memberi petunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan Allah? Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka engkau tidak sama sekali mendapati baginya jalan [yang lurus].
89 Mereka berharap sekiranya kamu menjadi kufur sebagaimana mereka telah menjadi kufur, maka kamu menjadi sama [dengan mereka]. Maka janganlah kamu mengambil teman-teman setia di antara mereka sebelum mereka berhijrah pada jalan Allah. Tetapi jika mereka berpaling, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana pun kamu jumpai mereka. Dan janganlah kamu mengambil seorang pundi antara mereka sebagai teman setia ataupun penolong,
90 kecuali orang-orang yang meminta berlindung kepada suatu kaum yang ada perjanjian damai antara kamu dengan kaum itu, atau jika mereka datang kepadamu dengan berat hati untuk memerangi kamu atau memerangi kaumnya. Dan sekiranya dikehendaki Allah, nescaya diberikan-Nya kekuasaan kepada mereka terhadap kamu, lalu nescaya mereka akan memerangimu. Maka jika mereka menarik diri daripadamu, dan tidak memerangi kamu serta menawarkan pendamaian kepadamu, maka Allah tidak mengadakan jalan bagimu [untuk melawan] mereka.
91 Kelak kamu akan mendapati [golongan-golongan] yang lain menginginkan bahawa mereka hidup aman denganmu, dan aman dengan kaumnya. Setiap kali mereka diajak kembali kepada fitnah [kekufuran], mereka terjun ke dalamnya. Maka jika mereka tidak menarik diri daripadamu, dan menawarkan pendamaian kepadamu, dan menahan tangan mereka terhadapmu, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana pun kamu temui mereka. Dan Kami telah adakan bagimu hak kuasa yang nyata terhadap mereka itu.
92 Dan tidaklah patut bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin [yang lain], kecuali tanpa sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin tanpa sengaja, maka hendaklah dia memerdekakan seorang hamba abdi mukmin serta membayar diat yang diserahkan kepada keluarga [si terbunuh] itu, kecuali jika mereka memaafkannya. Tetapi jika [si terbunuh] adalah daripada kaum musuh bagi kamu, sedang dia seorang mukmin, maka hendaklah [si pembunuh] memerdekakan seorang hamba abdi mukmin. Dan jika [si terbunuh] adalah daripada kaum yang ada perjanjian damai antara mereka dengan kamu, maka hendaklah membayar diat kepada keluarga [si terbunuh] itu serta memerdekakan seorang hamba abdi mukmin. Tetapi sesiapa yang tidak mendapatinya, maka hendaklah [si pembunuh] berpuasa dua bulan berturut-turut sebagai taubat kepada Allah. Dan adalah Allah, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
93 Dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekallah dia di dalamnya. Dan Allah naik murka terhadapnya, serta melaknatnya dan menyediakan azab yang berat baginya.
94 Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu pergi [berperang] di jalan Allah, maka selidikilah [dengan jelasnya] dan janganlah kamu mengatakan kepada sesiapa yang mengucapkan salam kepadamu, "Engkau bukan seorang mukmin," dengan maksud mencari harta benda hayat duniawi, padahal di sisi Allah ada banyak kekayaan. Demikianlah keadaan kamu dahulu, lalu Allah memberikan nikmat-Nya kepada kamu. Maka selidikilah [dengan jelasnya]. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.
95 Tidaklah sama antara orang-orang mukmin yang tertinggal [dan tidak turut berperang] tanpa mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan darjat orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang tertinggal. Dan kepada semuanya Allah menjanjikan [pahala] yang terbaik, dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang-orang yang tertinggal dengan pahala yang besar,
96 [iaitu] beberapa darjat daripada-Nya, dan ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah, Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
97 Sesungguhnya orang-orang yang dimatikan oleh para malaikat dalam keadaan menzalimi diri sendiri, mereka ditanya, "Bagaimanakah keadaan kamu ini?" Mereka menjawab, "Kami orang-orang yang tertindas di bumi." [Para malaikat] bertanya, "Bukankah bumi Allah cukup luas, lalu kamu dapat berhijrah di dalamnya? Maka mereka itu, tempat akhir mereka ialah Jahanam, dan amatlah buruk tempat kesudahan itu,
98 kecuali orang-orang yang tertindas daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang tidak sanggup mencari jalan ataupun mengetahui jalan [untuk berhijrah],
99 maka terhadap mereka itu, mudah-mudahan Allah memaafkannya. Dan adalah Allah, Maha Pemaaf, Maha Pengampun.
Juz 5B2
100 Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah akan mendapati di bumi banyak tempat [hijrah] yang luas dan [rezeki] yang limpah. Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya sebagai penghijrah kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian ditimpanya maut, maka sungguh pahalanya telah ditetapkan oleh Allah. Dan adalah Allah, Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
101 Dan apabila kamu mengembara di bumi, maka tidak salah atasmu mengqasarkan solat jika kamu takut diserang oleh orang-orang yang kufur. Sesungguhnya orang-orang kafir itu musuh yang nyata bagimu.
102 Dan apabila engkau berada di antara mereka, lalu engkau hendak mendirikan solat dengan mereka, maka hendaklah segolongan di antara mereka berdiri [solat] bersertamu dan menyandang senjata mereka. Dan apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka [pindah] ke belakang kamu, dan hendaklah golongan lain yang belum solat datang, lalu mereka solat denganmu, dan hendaklah mereka bersiap sedia dan menyandang senjatanya. Orang-orang yang kufur berharap sekiranya kamu cuai terhadap senjatamu dan baranganmu, lalu mereka menyerbu kamu sekaligus. Dan tidak salah atasmu meletakkan senjata-senjatamu jika kamu disusahkan kerana hujan ataupun sakit, tetapi bersiap sedialah. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab yang menghinakan.
103 Kemudian apabila kamu telah selesai solat itu, maka ingatilah Allah [sewaktu] berdiri, duduk, serta berbaring. Tetapi apabila kamu [selamat dan] aman, maka dirikanlah solat [sebagaimana biasa]. Sesungguhnya solat adalah suatu ketetapan atas orang-orang mukmin pada waktu-waktu tertentu.
104 Dan janganlah kamu [berhati] lemah hati dalam mengejar musuh. Jika kamu menderita, maka sesungguhnya mereka [juga] menderita sebagaimana kamu menderita, sedang kamu dapat mengharapkan daripada Allah apa yang tidak dapat mereka harapkan. Dan adalah Allah, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
105 Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab [Al-Qur’an] kepadamu menurut yang benar, supaya engkau menghakimi di antara manusia dengan apa yang telah Allah tunjukkan kepadamu. Dan janganlah engkau menjadi pembela bagi pengkhianat,
106 dan beristighfarlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
107 Dan janganlah engkau berbalah untuk [membela] orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang selalu berkhianat lagi banyak berdosa.
108 Mereka dapat bersembunyi daripada manusia, tetapi mereka tidak dapat bersembunyi daripada Allah, dan Dia berserta mereka ketika mereka berkomplot di waktu malam dengan kata-kata yang tidak diredai-Nya. Dan adalah Allah, Maha Meliputi apa yang mereka kerjakan.
109 Beginilah kamu yang berbalah bagi pihak mereka dalam hayat duniawi. Maka siapakah akan berbalah dengan Allah bagi pihak mereka pada Hari Kiamat? Atau siapakah akan bertanggung jawab atas mereka?
110 Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan atau menzalimi dirinya, kemudian dia beristighfar kepada Allah akan mendapati Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
111 Dan sesiapa yang melakukan dosa, maka sesungguhnya dia melakukan itu terhadap dirinya sendiri. Dan adalah Allah, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
112 Dan sesiapa yang melakukan kesalahan atau dosa, kemudian tuduhkan kepada orang yang tidak bersalah, maka sungguh dia menanggung kesalahan fitnah dan dosa yang nyata.
113 Dan sekiranya bukan kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepadamu, tentulah sekumpulan di antara mereka berazam untuk menyesatkan engkau, tetapi mereka hanyalah menyesatkan dirinya sendiri, dan mereka tidak memudaratkan engkau sedikit pun. Dan Allah telah menurunkan Kitab [Al-Qur’an] serta hikmah kepada engkau, dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum engkau ketahui. Dan kurnia Allah atas engkau adalah limpah.
Juz 5B3
114 Tidak ada kebaikan daripada banyak pembicaraan rahsia mereka, kecuali orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat yang makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan sesiapa yang melakukan demikian untuk mencari keredaan Allah, maka kelak Kami akan memberinya pahala yang besar.
115 Dan sesiapa yang menentang Rasul setelah petunjuk [yang dibawa oleh Rasul] menjadi jelas kepadanya, dan mengikuti jalan selain jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan dia menempuh jalan yang dipilihnya, dan Kami akan menggiringnya ke dalam Jahanam, dan amatlah buruk tempat kesudahan itu.
116 Sesungguhnya Allah tidak mengampuni [dosa] mensyirikkan dengan-Nya, dan Dia akan mengampuni [dosa] yang selain itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mensyirikkan [sesuatu] dengan Allah, maka sungguh dia telah sesat jauh dalam kesesatan.
117 Mereka hanyalah menyeru [berhala] jenis perempuan selain Dia, dan tidaklah mereka menyeru melainkan syaitan yang derhaka,
118 yang telah dilaknat oleh Allah. Dan [syaitan] itu berkata, "Aku pasti mengambil di antara hamba-hamba Engkau bahagian yang tertentu.
119 dan pasti aku akan menyesatkan mereka, dan membangkitkan angan-angan [jahat] dalam mereka. Dan aku akan menyuruh mereka, lalu pasti mereka akan memotong telinga-telinga binatang ternak. Dan aku akan menyuruh mereka, lalu pasti mereka akan mengubah ciptaan Allah." Dan sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai wali selain Allah, maka sungguh dia menderita kerugian yang nyata.
120 [Syaitan] memberi mereka janji-janji dan membangkitkan angan-angan [kosong] dalam mereka, dan syaitan itu hanyalah menjanjikan khayalan kepada mereka.
121 [Maka] mereka itu, tempat akhir mereka ialah Jahanam, dan mereka tidak akan mendapati jalan melepaskan diri darinya.
122 Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam Jannah-Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, kekallah mereka di dalamnya untuk selama-lamanya [kerana] janji Allah itu benar. Dan siapakah yang lebih sadik dalam perkataannya daripada Allah?
123 [Janji Allah] itu bukan menurut angan-angan kamu ataupun angan-angan Ahli Kitab. Sesiapa mengerjakan kejahatan akan dibalas menurut [kejahatan] itu. Dan selain Allah dia tidak akan mendapati seorang wali ataupun penolong.
124 Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia seorang mukmin, maka mereka itu akan masuk Jannah dan mereka tidak akan dirugikan sedikitpun.
125 Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia seorang yang muhsin dan mengikuti jalan rohaniah Ibrahim yang tauhid? Dan Allah memilih Ibrahim sebagai sahabat karib.
126 Dan milik Allah [meliputi] apa yang ada di langit serta di bumi, dan adalah Allah, Maha Meliputi segala sesuatu.
127 Dan mereka meminta fatwa kepada engkau tentang para perempuan. Katakanlah: Allah memberimu fatwa tentang mereka, dan apa yang dibacakan kepadamu dalam Kitab tentang para perempuan yatim yang kamu tidak berikan [mas kahwin] yang ditetapkan untuk mereka, sedang kamu berharap untuk menikahi mereka, dan [tentang] yang masih lemah di antara anak-anak. Dan [fatwa Allah] adalah bahawa kamu mengurus anak-anak yatim menurut yang adil. Dan apapun kebaikan yang kamu lakukan, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui akan itu.
128 Jika seorang perempuan khuatir suaminya berlaku curang dan tidak melayaninya, maka tidak salah atas mereka berdua untuk berdamai di antara mereka, dan perdamaian itu lebih baik [bagi mereka] tetapi tabiat tamak ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku muhsin dan bertakwa [kepada Allah], maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.
129 Dan kamu tidak sanggup berlaku adil di antara isteri-isterimu, meskipun itu hasrat kamu. Maka janganlah kamu terlalu cenderung [kepada yang satu] hingga kamu tinggalkan [isteri-isteri] yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu berbuat kebaikan dan bertakwa [kepada Allah], maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
130 Dan jika mereka berpisah, Allah akan mencukupkan [keperluan] masing-masing dari kurnia-Nya. Dan adalah [hadirat] Allah Maha Luas lagi Maha Bijaksana.
131 Dan milik Allah [meliputi] apa yang ada di langit serta di bumi. Dan sungguh, Kami telah berpesan kepada orang-orang yang diberikan Kitab sebelummu dan [juga] kepada kamu, supaya bertakwa kepada Allah. Tetapi jika kamu kufur, maka [ketahuilah] sesungguhnya milik Allah [meliputi] apa yang ada di langit serta di bumi. Dan adalah Allah, Maha Kaya, Maha Terpuji.
132 Dan milik Allah [meliputi] apa yang ada di langit serta di bumi, dan cukuplah Allah sebagai Pengurus.
133 Jika dikehendaki-Nya, Dia akan menghapuskan kamu [semua], wahai manusia, dan Dia akan datangkan [umat] yang lain. Dan adalah Allah, Maha Kuasa berbuat yang demikian itu.
134 Sesiapa yang menghendaki pahala di dunia ini, maka [ketahuilah] di sisi Allah ada pahala dunia dan akhirat. Dan adalah Allah, Maha Mendengar, Maha Melihat.
Juz 5B4
135 Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan sebagai saksi-saksi demi Allah, meskipun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia [yang terdakwa] kaya atau miskin, maka Allah lebih wajar [diutamakan] daripada mereka berdua. Oleh itu janganlah kamu mengikuti [keinginan] hawa nafsu sampai kamu tidak berlaku adil. Dan jika kamu memutar balikkan [kesaksianmu] atau enggan [menjadi saksi], maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.
136 Wahai orang-orang yang beriman! Tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab [Al-Qur’an] yang diturunkan kepada Rasul-Nya serta kepada Kitab yang diturunkan-Nya terdahulu. Dan sesiapa yang kufur terhadap Allah, malaikat-malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, rasul-rasul-Nya serta Hari Akhirat, maka sungguh dia telah sesat jauh dalam kesesatan.
137 Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian mereka kufur, kemudian beriman [lagi], kemudian mereka [kembali] kufur, kemudian bertambah lagi dalam kekufurannya, Allah tidak akan mengampuni mereka ataupun menunjuki mereka ke jalan [yang lurus].
138 Berilah khabar gembira kepada orang-orang munafik bahawasanya mereka akan mendapat azab pedih,
139 [iaitu] orang-orang yang menjadikan orang-orang kafir sebagai wali selain orang-orang mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi [orang-orang kafir] itu? Maka [ingatlah] sesungguhnya [semua] kekuatan milik Allah.
140 Dan sungguh, Dia telah menurunkan [yang benar] bagimu di dalam Kitab, bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah dikufuri dan dipersendakan, maka janganlah kamu duduk bersama mereka sehingga mereka bersembang tentang perbincangan lain. Sesungguhnya jika demikian, kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam neraka.
141 [Adapun] orang-orang yang sentiasa menunggu sesuatu yang akan terjadi pada dirimu, lalu jika kamu mendapat kemenangan daripada Allah, mereka berkata, "Bukankah kami [turut berperang] bersertamu?" Dan jika orang-orang kafir mendapat bahagian [dalam kemenangan], mereka berkata pula, "Bukankah kami mengatasimu, dan membela kamu daripada orang-orang mukmin?" Maka Allah akan menghakimi di antara kamu pada Hari Kiamat, dan orang-orang kafir tidak akan diberi jalan untuk menentang orang-orang mukmin.
142 Sesungguhnya orang-orang munafik cuba menipu Allah, tetapi Dia-lah yang menipu mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas, berbuat riyak di hadapan manusia. Dan mereka tidak mengingati Allah kecuali sedikit sekali.
143 Pendirian mereka bergoyang di antara dua pihak ini, tidak kepada yang beriman dan tidak kepada yang kufur. Dan dikehendaki-Nya, maka engkau tidak sama sekali mendapati baginya jalan [yang lurus].
144 Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang-orang kafir sebagai wali [bagimu] selain orang-orang mukmin. Adakah kamu ingin memberi alasan yang jelas bagi Allah [untuk menghukum kamu]?
145 Sesungguhnya orang-orang munafik [ditempatkan] pada tingkatan terkebawah dalam api [neraka]. Dan engkau tidak akan mendapati seorang penolong baginya.
146 Kecuali orang-orang yang bertaubat serta memperbaiki dirinya, dan berpegang teguh kepada Allah serta ikhlas dengan agama mereka demi Allah. Maka mereka adalah berserta orang-orang mukmin, dan kelak Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang-orang mukmin.
147 Allah tidak akan mengazabmu jika kamu bersyukur dan beriman. Dan adalah, Allah Maha Mensyukuri, Maha Mengetahui.
Juz 6A1
148 Allah tidak suka pada perkataan buruk diumumkan secara terbuka, kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan adalah Allah, Maha Mendengar, Maha Mengetahui.
149 Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan sesuatu kesalahan [terhadapmu], maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf, Maha Kuasa.
150 Sesungguhnya orang-orang yang kufur terhadap Allah dan rasul-rasul-Nya, dan bermaksud untuk membeza-bezakan antara [iman kepada] Allah dan rasul-rasul-Nya dengan berkata, "Kami beriman kepada sebahagian dan kami kufur terhadap sebahagian [yang lain], dan hendak mengambil jalan tengah [antara iman dan kufur],
151 mereka itulah orang-orang kafir yang benar. Dan Kami telah menyediakan azab yang menghinakan untuk orang-orang kafir itu.
152 Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya dan tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka. Dan adalah Allah, Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
153 Ahli Kitab meminta kepadamu supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. Maka sungguh mereka telah meminta kepada Musa yang lebih besar daripada itu lalu mereka berkata, "Perlihatkanlah Allah kepada kami secara nyata." Maka mereka disambar petir kerana kezalimannya. Kemudian mereka mengambil [patung] anak lembu [menjadi tuhan] sesudah datang kepada mereka bukti-bukti yang nyata, lalu Kami memaafkan [mereka] daripada itu. Dan Kami telah berikan kepada Musa hak kuasa yang nyata.
154 Dan Kami angkat gunung di atas mereka untuk mengikat perjanjian dengan mereka. Dan Kami perintahkan kepada mereka: Masukilah pintu gerbang sambil bersujud, dan Kami perintahkan kepada mereka: Janganlah kamu melanggar hukum Hari Sabat. Dan Kami telah mengikat perjanjian yang teguh dengan mereka.
155 Maka [mereka dilaknat] oleh sebab mereka melanggar perjanjian itu, serta kekufuran mereka terhadap ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh nabi-nabi tanpa [alasan yang] hak, dan mereka mengatakan, "Hati kami tertutup." Bahkan Allah telah mengunci [hati] mereka kerana kekufuran mereka. Maka mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja.
156 Dan [juga] kerana kekufuran mereka, dan tuduhan mereka terhadap Maryam suatu fitnah yang besar.
157 Dan [juga] dakwaan mereka, "Kami telah membunuh Al-Masih, Isa bin Maryam, Rasul Allah," padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya, tetapi [hal] itu nampak begitu bagi mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih tentang dia berada dalam syak wasangka mengenainya; mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang [hal] itu kecuali mengikuti sangkaan sahaja. Dan tidaklah mereka membunuh dia dengan yakin.
158 Bahkan Allah telah mengangkat [Isa] ke hadirat-Nya. Dan adalah Allah, Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
159 Dan hanyalah orang di antara Ahli Kitab yang beriman kepadanya sebelum kematiannya, dan pada Hari Kiamat dia akan menjadi saksi terhadap mereka.
160 Maka oleh sebab kezaliman orang-orang Yahudi, Kami haramkan kepada mereka makanan yang baik-baik, yang [dahulu] pernah dihalalkan, dan oleh sebab mereka sering menghalangi [orang] dari jalan Allah,
161 dan [oleh sebab] mereka mengambil riba, padahal mereka telah dilarang daripada itu, dan memakan harta orang lain secara tidak benar. Dan Kami telah menyediakan azab pedih bagi orang-orang kafir itu di antara mereka.
162 Tetapi orang-orang yang ilmunya mendalam di antara mereka dan orang-orang mukmin, mereka beriman kepada [Al-Qur’an] yang diturunkan kepada engkau, dan [Kitab-Kitab] yang diturunkan sebelum engkau. Dan orang-orang yang mendirikan solat, dan menunaikan zakat, serta beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, kepada mereka akan Kami berikan pahala yang besar.
Juz 6A2
163 Sesungguhnya Kami mewahyukan kepada engkau sebagaimana telah Kami wahyukan kepada Nuh dan para nabi setelahnya. Dan Kami [juga] telah mewahyukan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan anak cucunya, Isa, Ayub, Yunus, Harun, dan Sulaiman. Dan Kami telah berikan Zabur kepada Daud.
164 Dan ada beberapa rasul yang telah Kami ceritakan [kisah] mereka kepada engkau sebelum ini, dan ada beberapa rasul [lain] yang tidak Kami kisahkan [tentang] mereka kepadamu. Dan Allah berfirman kepada Musa secara langsung.
165 Rasul-rasul ialah pembawa berita baik dan pemberi amaran, supaya manusia tiada sesuatu hujah terhadap Allah sesudah [diutus-Nya] rasul-rasul itu. Dan adalah Allah, Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
166 Tetapi Allah menjadi saksi terhadap apa yang diturunkan kepada engkau, diturunkan-Nya dengan ilmu-Nya dan para malaikat [turut] menjadi saksi. Dan cukuplah Allah sebagai Saksi.
167 Sesungguhnya orang-orang yang kufur dan menghalangi [manusia] dari jalan Allah telah sesat jauh dalam kesesatan.
168 Sesungguhnya orang-orang yang kufur dan berlaku zalim, Allah tidak akan mengampuni mereka ataupun menunjuki mereka ke jalan [yang lurus],
169 kecuali jalan ke Jahanam, kekallah mereka di dalamnya untuk selama-lamanya. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
170 Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu Rasul dengan kebenaran daripada Tuhanmu, maka berimanlah kamu [kepadanya], itu lebih baik bagimu. Dan jika kamu kufur, [namun] sesungguhnya milik Allah [meliputi] apa yang ada di langit serta di bumi. Dan adalah Allah, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
171 Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya tidaklah Al-Masih Isa bin Maryam melainkan seorang Rasul Allah dan Kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam dan Roh daripada-Nya. Maka berimanlah kepada Allah dan rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan, "[Tuhan itu] tiga." Berhentilah [ucapan itu] lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah itu Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Dia daripada mempunyai anak. Milik-Nya [meliputi] apa yang ada di langit serta di bumi, dan cukuplah Allah sebagai Pengurus.
172 Al-Masih sama sekali tidak akan enggan menjadi hamba Allah, dan begitu juga para malaikat yang terdekat [kepada Allah]. Dan sesiapa enggan beribadat kepada-Nya dan bersikap takbur, maka kelak Dia akan mengumpulkan mereka semua kepada-Nya.
173 Dan adapun orang-orang yang beriman serta beramal soleh, maka Dia akan membalas mereka sepenuhnya dengan pahala mereka dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. Dan adapun orang-orang yang enggan [beriman] dan bersikap takbur, maka Dia akan mengazab mereka dengan azab pedih, dan selain Allah mereka tidak akan mendapati seorang wali ataupun penolong.
174 Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepada kamu bukti daripada Tuhanmu, dan Kami [juga] telah menurunkan kepadamu cahaya yang terang.
175 Oleh itu adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada-Nya [dalam iman], maka kelak Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat dan kurnia daripada-Nya, dan menunjuki mereka Jalan yang Lurus kepada-Nya.
176 Mereka meminta fatwa kepada engkau. Katakanlah: Allah memberimu fatwa tentang [hukum] Kalaalah. Jika seseorang meninggal dunia tanpa mempunyai anak, tetapi dia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua daripada harta yang ditinggalkan [oleh si mati]. Dan seorang saudara lelaki mewarisi [semua harta] itu jika saudara perempuannya [mati] dengan tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi kedua-duanya dua per tiga dari [harta] yang ditinggalkan. Dan jika [si mati] ada beberapa saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sama dengan bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menjelaskan [fatwa ini] bagimu agar kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah [semua] akad-akad. Haiwan ternak dihalalkan bagimu, kecuali yang akan disebutkan kepadamu, [dan] berburu tidak dihalalkan bagimu ketika kamu sedang berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan apa hukum yang Dia berkehendak.
2 Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah, ataupun [terhadap] bulan-bulan haram, ataupun [terhadap] haiwan-haiwan korban, ataupun [terhadap] kalung-kalung haiwan korban, ataupun [terhadap] pengunjung-pengunjung Rumah Suci itu yang mencari kurnia dan keredaan daripada Tuhannya. Dan apabila kamu telah menyelesaikan ihram, maka bolehlah kamu berburu. Dan janganlah sampai kebencian kamu terhadap suatu kaum yang menghalangimu dari Masjid al-Haram menyebabkan kamu berbuat jahat. Dan hendaklah kamu bekerjasama dalam kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bekerjasama dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat keras hukuman-Nya.
3 Diharamkan kepadamu [memakan] bangkai, darah, daging khinzir, dan apa yang disembelih kepada selain Allah, [haiwan] yang mati kerana dicekik, dipukul, jatuh [dari tempat tinggi], ditanduk, dimakan binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelihnya atas [nama] berhala. Dan [diharamkan juga] untuk kamu mengundi nasib dengan anak panah. Demikianlah perbuatan yang fasiq. Pada hari ini orang-orang yang kufur telah berputus asa untuk [mengalahkan] agamamu, maka janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku. Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu bagimu, dan Aku telah genapkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redai Islam sebagai agamamu. Maka sesiapa terpaksa kerana kelaparan, bukan kerana ingin berdosa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
4 Mereka bertanya kepada engkau, "Apakah yang dihalalkan bagi mereka." Katakanlah: Dihalalkan bagimu ialah [makanan] yang baik-baik dan [buruan yang ditangkap] oleh binatang pemburu yang telah kamu latih untuk berburu, yang telah kamu latihnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah daripada apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atasnya [ketika melepaskannya]. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah cepat dalam penghisaban-Nya.
5 Pada hari ini dihalalkan bagimu [segala] yang baik-baik, dan makanan [sembelihan] orang-orang yang diberi Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal bagi mereka. Dan [dihalalkan bagimu menikahi] perempuan-perempuan yang muhsin di antara perempuan-perempuan mukmin, dan [juga] perempuan-perempuan yang muhsin di antara orang-orang yang diberi Kitab sebelummu, apabila kamu memberi mereka mas kahwin mereka untuk menikahinya bukan dengan maksud berzina ataupun untuk menjadikan gundik-gundik. Sesiapa yang kufur terhadap iman, maka sungguh terhapuslah amal-amalnya dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi.
6 Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berdiri melaksanakan solat, maka [sebelum itu] basuhlah wajahmu dan dua belah tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu serta [basuhlah] dua belah kakimu sampai ke mata kaki. Dan jika kamu junub, maka mandilah, dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan, atau salah seorang di antaramu datang dari tempat buang air, atau kamu telah menyentuh perempuan lalu kamu tidak mendapati air, maka hendaklah kamu bertayamum dengan pasir yang bersih, lalu sapulah wajahmu dan [dua belah] tanganmu dengan [pasir] itu. Allah tidak bermaksud supaya kamu menanggung kesulitan, tetapi Dia bermaksud menyucikan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya atasmu, semoga kamu bersyukur.
7 Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu dan perjanjian-Nya yang telah diikatkan denganmu, ketika kamu mengatakan, "Kami mendengar dan kami taat." Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.
8 Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu orang-orang yang berdiri teguh demi Allah [ketika] menjadi saksi-saksi menurut yang adil. Dan janganlah [sampai kebencian kamu terhadap suatu kaum menyebabkan kamu berbuat jahat dan tidak berlaku adil. Berlakulah adil [kerana] itu lebih dekat kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.
9 Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman serta beramal soleh, bahawa mereka akan beroleh ampunan dan pahala yang besar.
10 Dan orang-orang yang kufuri dan mendustakan tanda-tanda Kami, mereka itu ahli-ahli Jahim.
11 Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah nikmat Allah kepadamu, ketika suatu kaum berazam hendak menghulurkan tangannya [untuk menyerang] kamu, lalu Dia menahan tangan mereka daripadamu. Dan bertakwalah kepada Allah, dan [hanya] kepada Allah maka haruslah orang-orang mukmin bertawakal.
Juz 6A4
12 Dan sungguh, Allah telah mengikat perjanjian dengan Bani Israel, dan Kami telah mengutus dua belas orang pemimpin daripada mereka. Dan Allah berfirman: Sesungguhnya Aku berserta kamu. Sungguh, jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasul-Ku, dan kamu membantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya Aku akan menebus kesalahan-kesalahanmu, dan nescaya kamu akan Ku-masukkan ke dalam Jannah-Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Tetapi sesiapa yang kufur di antara kamu setelah itu, maka sungguh dia telah sesat dari jalan yang betul.
13 Tetapi oleh sebab mereka melanggar perjanjiannya, Kami melaknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka mengubah Kalimat [Allah] di luar maknanya, dan mereka melupakan sebahagian daripada apa yang telah diperingatkan kepada mereka tentang itu. Dan engkau masih akan melihat pengkhianatan di kalangan mereka kecuali sedikit di antara mereka, maka maafkanlah dan biarkanlah [sahaja] mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang muhsin.
14 Dan di antara orang-orang yang mengatakan, "Sesungguhnya kami orang Kristian," Kami telah mengikat perjanjian dengan mereka, lalu mereka melupakan sebahagian daripada apa yang telah diperingatkan kepada mereka tentang itu, maka Kami menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga Hari Kiamat. Dan kelak Allah akan memberitahukan mereka tentang apa yang telah mereka buat.
15 Wahai Ahli Kitab! Sungguh, telah datang kepadamu Rasul Kami dengan menjelaskan kepadamu banyak yang telah kamu sembunyikan daripada Kitab dan memaafkan kamu banyak [juga]. Sungguh, telah datang kepadamu cahaya daripada Allah dan Kitab yang jelas.
16 Dengan [Kitab] itu, Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya dengan izin-Nya, dan menunjuki mereka ke Jalan yang Lurus.
17 Sesungguhnya, telah kufurlah orang-orang yang berkata, "Sesungguhnya Allah, Dia-lah al-Masih bin Maryam." Katakanlah: Maka siapakah dapat menghalang Allah sedikitpun jika Dia bermaksud membinasakan Al-Masih bin Maryam berserta ibunya dan semua orang yang berada di bumi? Dan milik Allah [meliputi] kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada di antara dua-duanya. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
18 Dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian berkata, "Kami adalah anak-anak Allah dan yang disayangi-Nya." Katakanlah: Maka mengapa Dia mengazab kamu kerana dosa-dosamu? Bahkan kamu adalah manusia di antara orang-orang [lain] yang diciptakan-Nya. Dia mengampuni sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengazab sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan milik Allah [meliputi] kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada di antara dua-duanya, dan kepada Allah ialah tempat kesudahan.
19 Wahai Ahli Kitab! Sungguh, Rasul Kami telah datang kepadamu dengan menjelaskan [kebenaran] kepadamu ketika [pengutusan] rasul-rasul terputus, agar kamu tidak mengatakan, "Tiada [pun] yang datang kepada kami baik seorang pembawa berita baik mahupun seorang pemberi amaran." Tetapi sebenarnya telah datang kepadamu seorang pembawa berita baik dan seorang pemberi amaran. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
20 Dan [ingatlah] ketika Musa berkata kepada kaumnya, "Wahai kaumku! Ingatlah nikmat Allah kepadamu, ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu, dan menjadikan kamu kaum yang berdaulat, dan memberimu apa yang belum pernah diberikan kepada seorang pun dari seluruh alam.
21 Wahai kaumku! Masukilah tanah suci yang telah ditetapkan Allah bagimu, dan janganlah kamu berbalik ke belakang [menjadi kufur], maka kamu kembali menjadi orang-orang yang rugi.
22 Mereka berkata, "Wahai Musa! Sesungguhnya di dalam negeri itu ada kaum yang kejam. Dan sesungguhnya kami sama sekali tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar darinya. Oleh itu jika mereka keluar darinya, maka sesungguhnya kami akan masuk."
23 Berkatalah dua orang lelaki di antara orang-orang yang takut [kepada Allah] lagi diberi nikmat Allah, "Serbulah mereka melalui pintu gerbang [kota] itu, lalu apabila kamu memasukinya, maka sesungguhnya kamu akan menang. Dan bertawakallah kepada Allah, jika kamu orang-orang mukmin."
24 Mereka [yang lain] berkata, "Wahai Musa! Sesungguhnya kami sama sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya selagi mereka masih ada di dalamnya. Maka pergilah engkau bersama Tuhanmu, lalu perangilah mereka. Sesungguhnya kami akan tetap tinggal di sini."
25 [Musa] berkata, "Ya Tuhan, aku tidak berdaya [menolong sesiapapun] kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Maka pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasiq itu."
26 Allah berfirman: Oleh itu sesungguhnya [negeri] itu diharamkan kepada mereka selama empat puluh tahun. Mereka akan merayau-rayau di bumi [selama itu], maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasiq itu.
Juz 6B1
27 Dan bacakanlah kepada mereka kisah dua orang anak lelaki Adam menurut yang benar, ketika mereka berdua mempersembahkan korban, lalu diterima [korban] daripada salah seorang dan tidak diterima-Nya [korban] daripada yang lain. [Kabil] berkata, "Aku pasti akan membunuh engkau." [Habil] menjawab, "Sesungguhnya Allah menerima [korban] daripada orang-orang yang bertakwa.
28 Sungguh, jika engkau menghulur tanganmu untuk membunuhku, aku tidak akan menghulur tanganku untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seluruh alam.
29 Sesungguhnya aku ingin agar engkau membawa dosaku dan dosamu sendiri. Maka engkau akan menjadi ahli api [neraka], dan itulah balasan bagi orang-orang zalim."
30 Maka [Kabil] didorong oleh nafsunya untuk membunuh saudaranya, lalu dia pun membunuhnya, maka jadilah dia termasuk orang-orang yang rugi.
31 Kemudian Allah mengutus seekor burung gagak mencari-cari di tanah untuk memperlihatkan kepadanya bagaimana menimbus mayat saudaranya. [Kabil] berkata, "Aduhai, celakalah aku! Aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku tidak dapat menimbuskan mayat saudaraku." Maka jadilah dia termasuk orang-orang yang menyesal.
32 Oleh kerana itu Kami tetapkan bagi Bani Israel bahawasanya sesiapa yang membunuh seseorang bukan untuk [membalas] jiwa lain atau membuat kerosakan di bumi, maka [pembunuh itu] seolah-olah telah membunuh semua manusia. Dan sesiapa yang memelihara hidup seorang, maka seolah-olah dia telah memelihara hidup semua manusia. Dan sungguh, telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata. Kemudian, sesungguhnya banyak di antara mereka setelah itu tetap melampaui batas di seluruh muka bumi.
33 Sesungguhnya balasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta berusaha membuat kerosakan di bumi adalah hanya dibunuh, disalib, dipotong tangan serta kaki mereka secara silang, atau dibuang dari negeri. Yang demikian itu suatu kehinaan bagi mereka di dunia, dan di akhirat mereka mendapat azab yang berat,
34 kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menguasai mereka. Maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
35 Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan carilah wasilah kepada-Nya, dan berjihadlah di jalan-Nya, semoga kamu beruntung.
36 Sesungguhnya orang-orang yang kufur, sekira bahawasanya mereka memiliki semuanya yang ada di bumi dan [ditambah lagi] sebanyak itu bersertanya untuk menebus diri mereka daripada azab pada Hari Kiamat, tidaklah [semua] itu akan diterima daripada mereka, dan mereka mendapat azab pedih.
37 Mereka ingin keluar dari api [neraka], tetapi tidaklah mereka dapat keluar darinya, dan mereka mendapat azab yang kekal.
38 Dan orang-orang pencuri lelaki dan perempuan, maka potonglah tangan mereka berdua [sebagai] balasan sebab apa yang telah mereka usahakan dan sebagai hukuman [pencegah] daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.
39 Maka sesiapa yang bertaubat setelah dia berlaku zalim dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
40 Tidak tahukah engkau bahawasanya milik Allah [meliputi] kerajaan langit serta bumi? Dia mengazab sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengampuni sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Juz 6B2
41 Wahai Rasul! Janganlah engkau bersedih hati sebab orang-orang bersegera menjadi kufur di antara orang-orang [munafik] yang mengatakan dengan mulutnya, "Kami telah beriman," padahal hati mereka belum beriman, dan [juga] di antara orang Yahudi. Mereka [semua itu] suka mendengar [berita] bohong, mereka [juga] suka mendengar [kata-kata] kaum lain yang belum pernah datang kepada engkau. Mereka mengubah Kalimat [Allah] di luar maknanya. Mereka mengatakan, "Jika ini [yang telah diubah] diberikan kepadamu, maka terimalah, dan jika kamu tidak diberikannya, maka berhati-hatilah." Dan sesiapa yang Allah bermaksud untuk mengujinya, maka engkau tidak sama sekali dapat menghalang Allah sedikitpun. Mereka itu orang-orang yang Allah tidak bermaksud untuk menyucikan hati mereka. Di dunia mereka mendapat kehinaan, dan di akhirat mereka akan mendapat azab yang berat.
42 Mereka suka mendengar [berita] bohong, suka memakan yang haram. Oleh itu jika mereka datang kepadamu, maka hakimkanlah antara mereka atau berpalinglah daripada mereka. Dan jika engkau berpaling daripada mereka, maka mereka tidak dapat memudaratkanmu sedikit pun, tetapi jika engkau menghakimi, maka hakimkanlah di antara mereka menurut yang adil. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
43 Dan bagaimanakah mereka menjadikan engkau hakim, padahal di sisinya Taurat yang mengandungi hukum Allah? Kemudian mereka berpaling setelah [menerima] itu, dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.
44 Sesungguhnya Kami telah menurunkan Taurat yang mengandungi petunjuk dan cahaya. Dengan [Taurat] itu nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah menghakimi orang-orang Yahudi. Dan [begitu juga] tuan-tuan guru dan pendeta-pendeta oleh sebab mereka diamanahkan untuk memelihara Kitab-Kitab Allah, dan mereka menjadi saksi-saksi terhadapnya. Maka janganlah kamu takut kepada manusia tetapi takutlah kepada-Ku, dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga murah. Dan sesiapa yang tidak menghakimi menurut apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir.
45 Dan Kami telah menetapkan bagi mereka di dalamnya, bahawasanya jiwa [dibalas] dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka [pun] ada hukum balasannya. Tetapi sesiapa yang melepaskan hak itu sebagai sedekah, maka itu menjadi kafarah dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak memutuskan dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang zalim.
46 Dan Kami menyusuli jejak mereka dengan [mengutus] Isa bin Maryam untuk mengesahkan [Kitab] yang sebelumnya, iaitu Taurat. Dan Kami memberinya Injil yang mengandungi petunjuk serta cahaya, dan yang mengesahkan apa yang sebelumnya, iaitu Taurat, serta sebagai petunjuk dan pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa.
47 Dan hendaklah Ahli Injil menghakimi menurut apa yang telah diturunkan Allah di dalamnya. Dan sesiapa yang tidak menghakimi menurut apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.
48 Dan Kami telah menurunkan Kitab [Al-Qur’an] kepada engkau menurut yang benar, yang mengesahkan apa yang sebelumnya dan menjadi pelihara atasnya. Maka hakimkanlah antara mereka menurut apa yang telah diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka selain kebenaran yang telah datang kepadamu. Bagi setiap [umat] di antara kamu telah Kami adakan syariat-syariat dan jalan menguruskan ibadat agama. Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu dalam apa yang telah diberikan kepadamu. Maka bersainglah untuk berbuat kebajikan. [Kemudian] kepada Allah kembalinya kamu semua, lalu Dia akan memberitahukan kepadamu tentang apa yang selalu kamu perselisihkan.
49 Dan hendaklah engkau menghakimkan di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka. Dan berwaspadalah engkau terhadap mereka, nanti mereka memesongkan engkau daripada sebahagian [hukum] yang telah diturunkan Allah kepadamu. Oleh itu jika mereka berpaling [daripada hukum], maka ketahuilah bahawasanya Allah bermaksud untuk menyeksa mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang fasiq.
50 Maka adakah hukum-hukum jahiliah yang diinginkan mereka, dan siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam hukum bagi kaum yang meyakini?
Juz 6B3
51 Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Kristian sebagai teman-teman setia. Mereka saling melindungi sesama mereka, dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka pelindung, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
52 Maka engkau akan melihat orang-orang yang di dalam hatinya ada penyakit segera untuk berpihak dengan mereka [yang beriman] berkata, "Kami takut akan ditimpa malang. Tetapi mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan atau perintah dari sisi-Nya, maka mereka menjadi menyesal atas apa yang telah mereka rahsiakan dalam dirinya.
53 Dan orang-orang yang beriman akan berkata, "Mereka inikah orang-orang yang bersumpah demi Allah dengan sungguh-sungguh bahawasanya mereka benar-benar berserta kamu?" Sia-sia sahaja amal-amal mereka, maka mereka telah menjadi orang-orang yang rugi.
54 Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, Dia mengasihi mereka dan mereka pun mengasihi-Nya. [Mereka itu] bersikap rendah hati kepada orang-orang mukmin dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan [hadirat] Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.
55 Sesungguhnya wali-wali kamu hanya Allah, Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk [kepada Allah].
56 Dan sesiapa yang menjadikan Allah, Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman sebagai penolongnya, maka sesungguhnya golongan [pihak] Allah itulah orang-orang yang menang.
57 Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan wali [bagimu] orang-orang yang menganggap agamamu senda gurau dan permainan, [iaitu] di antara orang-orang yang telah diberi Kitab sebelummu dan orang-orang kafir. Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu orang-orang mukmin.
58 Dan apabila kamu menyeru [mereka] untuk bersolat, mereka menganggapnya sebagai senda gurau dan permainan. Yang demikian itu sebab bahawasanya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.
59 Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Adakah kamu menyalahkan kami kecuali kerana kami beriman kepada Allah, kepada apa yang diturunkan kepada kami, serta kepada apa yang diturunkan sebelumnya, dan bahawasanya kebanyakan daripada kamu adalah orang-orang fasiq?
60 Katakanlah: Adakah aku akan beritahukan kepadamu pembalasan yang lebih buruk daripada itu menurut Allah? [Itulah] orang yang dilaknat Allah dan dimurkai-Nya, dan di antara mereka [ada] yang dijadikan kera dan khinzir dan abdi-abdi Taghut. Mereka itu paling buruk kedudukannya dan jauh sesat dari Jalan yang Lurus.
61 Dan apabila mereka datang kepada engkau, mereka berkata, "Kami telah beriman," padahal mereka masuk [menemuimu] dengan kekufuran [dalam hatinya] dan mereka pergi pun demikian, dan Allah lebih mengetahui tentang apa yang mereka sembunyikan.
62 Dan engkau akan melihat banyak di antara mereka bersegera dalam [usaha] dosa, permusuhan dan memakan yang haram. Amatlah buruk apa yang telah mereka kerjakan.
63 Mengapa tuan-tuan guru dan pendeta-pendeta tidak melarang mereka daripada mengucapkan yang dosa dan memakan yang haram? Amatlah buruk apa yang mereka buat.
64 Dan orang-orang Yahudi berkata, "Tangan Allah terbelenggu," [padahal] tangan mereka yang dibelenggu dan mereka dilaknat sebab apa yang telah mereka katakan itu. Bahkan kedua-dua tangan-Nya terbuka, Dia menafkahkan sebagaimana dikehendaki-Nya. Dan apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhan engkau pasti akan menambah kesesatan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Dan Kami telah menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara mereka sehingga Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya. Dan mereka berusaha membuat kerosakan di bumi, dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan.
65 Dan sekira bahawasanya Ahli Kitab itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan menghapus kesalahan-kesalahan mereka, dan nescaya mereka akan Kami masukkan ke dalam Jannah-Jannah yang penuh kenikmatan.
66 Dan sekira bahawasanya mereka mendirikan [hukum Allah dalam] Taurat dan Injil serta apa yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhannya, pasti mereka mendapat makan [rezeki] dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Dan di kalangan mereka ada suatu umat yang munasabah, tetapi banyak di antara mereka [amat] buruk apa yang mereka kerjakan.
Juz 6B4
67 Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhan engkau, dan jika tidak engkau lakukannya, maka [itu bermakna] engkau tidak menyampaikan amanat-Nya. Dan Allah akan melindungi engkau daripada [kejahatan] manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
68 Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak berasaskan apapun hingga kamu mendirikan [dalam hayatmu] Taurat dan Injil serta [Al-Qur’an] yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Dan apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhan engkau pasti akan menambah kesesatan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.
69 Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang Yahudi, Sabian dan Kristian, sesiapa beriman kepada Allah serta Hari Akhirat dan beramal soleh, maka tiada ketakutan pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.
70 Sungguh, Kami telah mengikat perjanjian dengan Bani Israel dan Kami telah mengutus kepada mereka rasul-rasul. Setiap kali datang kepada mereka seorang rasul dengan [membawa] apa yang tidak menurut keinginan mereka, maka beberapa orang [di antaranya] mereka dustakan dan beberapa [yang lain] mereka bunuh.
71 Mereka mengira itu tidak menjadi ujian, lalu mereka menjadi buta dan tuli. Kemudian Allah menerima taubat mereka, kemudian banyak [lagi] di antara mereka menjadi buta dan tuli. Dan Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.
72 Sesungguhnya, telah kufurlah orang-orang yang berkata, "Sesungguhnya, Allah ialah al-Masih bin Maryam." Padahal al-Masih [sendiri] berkata, "Wahai Bani Israel! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu." Sesungguhnya sesiapa yang mensyirikkan Allah, maka sungguh Allah mengharamkan Jannah baginya dan tempat akhirnya ialah api [neraka]. Dan tidaklah bagi orang-orang zalim seorangpun penolong.
73 Sesungguhnya, telah kufurlah orang-orang yang berkata, "Sesungguhnya Allah yang ketiga daripada tiga." Dan tiada tuhan melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kufur di antara mereka akan ditimpa azab pedih.
74 Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan beristighfar kepada-Nya? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
75 Tidaklah al-Masih bin Maryam melainkan seorang rasul, sebelumnya beberapa rasul sudah berlalu. Dan ibunya adalah seorang yang siddiq, kedua-dua mereka memakan makanan [biasa]. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan tanda-tanda itu kepada mereka. Kemudian, perhatikanlah bagaimanakah mereka diperdayakan?
76 Katakanlah: Adakah kamu menyembah sesuatu selain Allah yang tidak berdaya menolak mudarat ataupun memberi manfaat kepadamu, sedang Allah, Dia-lah yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui?
77 Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agamamu tanpa hak, dan janganlah kamu mengikuti keinginan kaum yang telah sesat sebelum ini dan mereka telah menyesatkan banyak [orang]. Mereka telah sesat dari jalan yang betul.
78 Terlaknatlah orang-orang yang kufur di antara Bani Israel melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu oleh sebab mereka derhaka dan selalu melanggar hukum.
79 Mereka selalu tidak melarang [berbuat] yang mungkar sesama mereka yang dilakukan mereka. Amatlah buruk apa yang telah mereka lakukan.
80 Engkau melihat banyak di antara mereka bersahabat dengan orang-orang yang kufur. Amatlah buruk apa [pun] perbuatan mereka untuk diri mereka, iaitu kemurkaan Allah terhadap mereka, dan kekallah mereka dalam azab.
81 Dan sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi, dan kepada apa yang diturunkan kepadanya, mereka tidak akan menjadikan orang [musyrik] itu sebagai teman setia, tetapi banyak di antara mereka adalah orang-orang fasiq.
Juz 7A1
82 Tentunya engkau akan dapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan tentunya engkau akan dapati orang-orang yang paling dekat kemesraannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata, "Sesungguhnya kami orang-orang Kristian." Yang demikian itu sebab bahawasanya di antara mereka ada paderi-paderi dan rahib-rahib, dan mereka tidak bersikap takbur.
83 Dan apabila mereka mendengar [Al-Qur’an] yang diturunkan kepada Rasul, engkau melihat mata mereka bercucuran air mata disebabkan kebenaran yang telah mereka ketahui. Mereka berkata, "Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi.
84 Dan mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah dan kebenaran yang datang kepada kami? Dan kami berhasrat bahawa Tuhan kami memasukkan kami bersama [golongan] kaum yang soleh."
85 Maka Allah mengganjarkan mereka sebab apa yang telah mereka ucapkan, [iaitu] Jannah-Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, kekallah mereka di dalamnya. Dan itulah ganjaran [bagi] orang-orang yang muhsin.
86 Dan orang-orang yang kufuri dan mendustakan tanda-tanda Kami, mereka itu ahli-ahli Jahim.
87 Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagimu, dan janganlah kamu melanggar hukum. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melanggar hukum.
88 Dan makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang direzekikan Allah kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang [hanya] kepada-Nya kamu beriman.
89 Allah tidak menghukum kamu sebab sumpah-sumpahmu yang tidak disengajakan, tetapi Dia menghukum kamu sebab [melanggar] sumpah-sumpah yang kamu sengaja. Maka kafarah [sumpah] itu ialah memberi makan sepuluh orang miskin, yang sama banyaknya kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi mereka pakaian, atau memerdekakan seorang hamba abdi. Maka sesiapa yang tidak dapat [tunaikan kafarah] maka berpuasalah tiga hari. Itulah kafarah sumpah-sumpahmu apabila kamu bersumpah, dan peliharalah sumpahmu. Demikianlah Allah menjelaskan kepadamu ayat-ayat-Nya, semoga kamu bersyukur.
90 Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya khamar, berjudi, [mazbah-mazbah] berhala, serta mengundi nasib dengan anak panah hanya perbuatan syaitan yang keji. Maka jauhilah [perbuatan-perbuatan] itu semoga kamu beruntung.
91 Sesungguhnya syaitan hanya ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian di antaramu melalui khamar dan berjudi, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah, dan daripada [mendirikan] solat, maka adakah kamu mahu berhenti?
92 Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kamu kepada Rasul, dan berhati-hatilah. Tetapi jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawasanya kewajipan Rasul Kami hanyalah pemberitahuan yang jelas.
93 Tidak salah atas orang-orang yang beriman serta beramal soleh tentang apa yang telah mereka makan [dahulu], apabila [sekarang] mereka bertakwa dan beriman serta beramal soleh, kemudian mereka [tetap] bertakwa dan beriman, kemudian mereka [terus] bertakwa dan berbuat baik. Dan Allah mengasihi orang-orang yang muhsin.
94 Wahai orang-orang yang beriman! Allah pasti akan menguji kamu melalui haiwan buruan yang ditangkap oleh tanganmu dan lembing-lembingmu, supaya Allah mengetahui siapa yang takut kepada-Nya, [Tuhan yang] tidak kelihatan. Tetapi sesiapa yang melanggar hukum setelah itu, maka dia akan mendapat azab pedih.
95 Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh haiwan buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya ialah mengganti dengan haiwan ternak yang sepadan dengan buruan yang dibunuhnya menurut penghakiman dua orang yang adil di antaramu sebagai persembahan korban yang disampaikan ke Kaabah. Atau sebagai kafarah, memberi makan kepada orang-orang miskin, atau berpuasa sepadan dengan makanan yang dikeluarkan itu, supaya dia merasakan akibat buruk daripada perbuatannya. Allah telah memaafkan apa yang telah lampau tetapi sesiapa yang mengulanginya, maka Allah akan melaksanakan pembalasan. Dan Allah Maha Perkasa, Pemilik pembalasan.
96 Dihalalkan bagimu haiwan buruan laut, dan makanan dari laut ialah bekalan bagimu dan bagi orang-orang musafir, dan diharamkan kepadamu [memburu] haiwan darat selagi kamu sedang berihram. Bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan.
Juz 7A2
97 Allah telah menjadikan Kaabah, Rumah Suci itu pusat untuk manusia berkumpul, dan [begitu juga] bulan suci, haiwan-haiwan korban dan kalung-kalung [haiwan korban]. Demikianlah supaya kamu mengetahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada di langit serta di bumi, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
98 Ketahuilah bahawasanya Allah amat keras hukuman-Nya, dan bahawasanya Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
99 Tiada kewajipan atas Rasul kecuali pemberitahuan [yang jelas]. Dan Allah mengetahui apa yang kamu nyatakan serta apa yang kamu sembunyikan.
100 Katakanlah: Tidaklah sama yang buruk dengan yang baik, meskipun kebanyakan yang buruk itu menarik hati engkau. Maka bertakwalah kepada Allah, wahai orang-orang yang berakal waras, semoga kamu beruntung.
101 Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu menanyakan hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu. Dan jika kamu menanyakan tentangnya semasa Al-Qur’an diturunkan, pasti akan diterangkan kepadamu. Allah telah memaafkan [kamu] tentang [hal] itu, dan Allah Maha Pengampun, Maha Halim.
102 Sungguh, suatu kaum sebelum kamu bertanya [hal-hal] itu, kemudian sebab itu mereka menjadi orang-orang kafir.
103 Allah tidak mensyariatkan [hal-hal tentang] Bahirah, Sa’ibah, Wasilah, ataupun Haam, tetapi orang-orang yang kufur mengada-adakan kebohongan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.
104 Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah [beriman] kepada apa yang telah diturunkan Allah dan kepada Rasul," mereka menjawab, "Cukuplah untuk kami apa yang telah kami dapati daripada nenek moyang kami." Dan apakah jikalau nenek moyang mereka tidak mengetahui apapun dan tidak mendapat petunjuk?
105 Wahai orang-orang yang beriman! kewajipan kamu atas dirimu sendiri. Tidaklah orang yang sesat akan memudaratkan kamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. [Kemudian] kepada Allah kembalinya kamu semua, lalu Dia akan memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
106 Wahai orang-orang yang beriman! Apabila seseorang di antara kamu menghadapi maut semasa dia berwasiat, hendaklah [wasiat itu] disaksikan oleh dua orang yang adil dari kalanganmu atau dua orang di luar kalanganmu. Jika kamu sedang mengembara di muka bumi lalu kamu dilanda musibah yang membawa maut, hendaklah kamu tahan kedua-dua saksi itu sesudah solat, lalu mereka berdua bersumpah demi Allah jika kamu ragu-ragu, "Kami tidak akan menukar [sumpah] ini untuk mencari untung, meskipun dia karib kerabat ataupun menyembunyikan kesaksian di hadapan Allah. Sesungguhnya jika demikian, kami adalah termasuk orang-orang yang berdosa."
107 Tetapi jika diketahui bahawasanya kedua-dua saksi itu betul-betul berdosa, maka hendaklah dua orang yang lain menggantikan kedudukan mereka berdua di antara waris-waris yang berhak lalu kedua-duanya bersumpah demi Allah, "Kesaksian kami adalah lebih benar daripada kesaksian mereka berdua, dan kami tidak melanggar hukum. Sesungguhnya jika demikian, kami adalah termasuk orang-orang yang zalim."
108 Itulah lebih sesuai untuk mereka memberikan kesaksian yang benar, atau [sekurang-kurangnya] mereka rasa takut bahawa sumpah-sumpah ditolak setelah mereka bersumpah. Dan bertakwalah kepada Allah dan dengarkanlah [perintah-Nya]. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq itu.
Juz 7A3
109 [Ingatlah] pada hari [ketika] Allah menghimpunkan para rasul, lalu Dia bertanya: Apakah jawapan kepada [seruan] kamu? Mereka menjawab, "Kami tiada pengetahuan [tentang ini]. Sesungguhnya Engkau-lah yang mengetahui [segala] yang ghaib."
110 [Ingatlah] ketika Allah berfirman: Wahai Isa bin Maryam! Ingatlah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu ketika Aku memperkuatkan engkau dengan Roh Kudus. Engkau dapat berkata-kata dengan manusia [semasa] dalam buaian dan setelah dewasa. Dan [ingatlah] ketika Aku mengajarkan kepada engkau penulisan, Hikmah, Taurat dan Injil. Dan [ingatlah] ketika engkau mencipta daripada tanah yang berupa seperti burung dengan izin-Ku lalu engkau meniup ke dalamnya, maka menjadilah itu seekor burung dengan izin-Ku. Dan [ingatlah ketika] engkau menyembuhkan orang yang buta [sejak lahir] dan orang yang berpenyakit kusta dengan izin-Ku. Dan [ingatlah] ketika engkau menghidupkan orang-orang yang telah mati dengan izin-Ku. Dan [ingatlah] ketika Aku menghalangi Bani Israel daripada [kejahatan terhadap] engkau tatkala engkau datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang nyata, lalu orang-orang yang kufur di antara mereka berkata, "Ini tidak lain kecuali sihir yang nyata."
111 Dan [ingatlah] ketika Aku wahyukan kepada para hawariun: Berimanlah kepada-Ku serta Rasul-Ku. Mereka menjawab, "Kami telah beriman dan bersaksi bahawasanya kami adalah orang-orang Muslim."
112 [Ingatlah] ketika para hawariun berkata, "Wahai Isa bin Maryam! Adakah Tuhan engkau sanggup menurunkan kepada kami hidangan dari langit?" Dia menjawab, "Bertakwalah kepada Allah, jika kamu orang-orang mukmin."
113 Mereka berkata, "Kami ingin makan daripada hidangan itu dan menjadi tenteram hati kami, dan kami mengetahui bahawa engkau berkata yang benar kepada kami, dan kami adalah di antara orang-orang yang menyaksikan [hidangan] itu.
114 Isa bin Maryam berdoa, "Ya Allah, Tuhan kami, turunkanlah kepada kami hidangan dari langit yang menjadi hari raya bagi kami, [iaitu] bagi orang-orang kami sekarang dan orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai suatu tanda [mukjizat] daripada Engkau. Dan berilah kami rezeki, dan Engkau-lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya."
115 Allah berfirman: Sesungguhnya Aku akan menurunkan [hidangan] itu kepadamu, lalu sesiapa kufur di antara kamu setelah [turun hidangan] itu, maka sesungguhnya Aku akan mengazabnya dengan azab yang tidak pernah Aku mengazab seorang pun dari seluruh alam.
116 Dan [ingatlah] ketika Allah berfirman: Wahai Isa bin Maryam! Adakah engkau mengatakan kepada manusia, "Anggaplah aku dan ibuku sebagai dua tuhan selain Allah"? [Isa] menjawab, "Maha Suci Engkau! Tidaklah patut bagiku mengatakan sesuatu yang bukan hak aku. Jika aku pernah mengatakan itu, maka sungguh Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, padahal aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Mengetahui [segala] yang ghaib.
117 Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku, ‘Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu,’ dan aku menjadi saksi terhadap mereka selagi aku berada di kalangan mereka. Maka tatkala Engkau mewafatkan aku, Engkau adalah yang mengawasi mereka. Dan Engkau menjadi Saksi atas segala sesuatu.
118 Jika Engkau mengazab mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau adalah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
119 Allah berfirman: Inilah hari yang berfaedah bagi orang-orang yang sadik kerana kelurusan mereka. Mereka beroleh Jannah-Jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, kekallah mereka di dalamnya untuk selama-lamanya. Allah reda kepada mereka, dan mereka [pun] reda kepada-Nya. Itulah kemenangan yang agung.
120 Milik Allah [meliputi] kerajaan langit dan bumi serta apa yang ada di dalam dua-duanya, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan langit dan bumi, serta menjadikan gelap dan terang. Namun orang-orang yang kufur menyamakan [yang lain] dengan Tuhan mereka.
2 Dia-lah yang telah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian ditetapkan-Nya ajal [kematianmu], dan suatu [lagi] ajal tertentu yang ada pada sisi-Nya, kemudian kamu [masih] meragukannya.
3 Dan Dia-lah Allah [Tuhan] di langit dan di bumi, Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu umumkan, dan Dia mengetahui apa yang kamu usahakan.
4 Dan tidak disampaikan kepada mereka suatu tanda di antara tanda-tanda Tuhan, kecuali mereka selalu berpaling daripadanya.
5 Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran tatkala sampai kepada mereka, maka kelak akan datanglah kepada mereka [kenyataan] berita-berita itu yang mereka selalu mempersendakan.
6 Tidakkah mereka perhatikan betapa banyak generasi sebelum mereka yang telah Kami binasakan, [iaitu] yang telah Kami teguhkan kedudukan mereka di bumi yang tidak pernah Kami berikan kepadamu.? Dan Kami hantarkan hujan yang lebat atas mereka, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, maka Kami binasakan mereka sebab dosa mereka, dan Kami mengadakan setelah mereka suatu generasi yang lain.
7 Dan sekiranya Kami turunkan kepada engkau sebuah kitab yang tertulis pada kertas, lalu mereka dapat menyentuhnya dengan tangan mereka sendiri, pasti orang-orang yang kufur itu akan berkata, "Ini tidak lain kecuali sihir yang nyata."
8 Dan mereka berkata, "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya?" Jika Kami turunkan malaikat [kepadanya], tentu selesailah perkara itu, kemudian mereka tidak akan diberi tangguh [sedikitpun].
9 Dan sekiranya rasul itu Kami jadikan [di antara] malaikat, nescaya Kami jadikannya [berupa] seorang lelaki, dan nescaya Kami samarkan mereka sebagaimana mereka menyamarkan dirinya.
10 Dan sungguh, beberapa rasul sebelum engkau telah pun dipersendakan, maka orang-orang yang mencemuh [rasul-rasul] di antara mereka diliputi oleh apa yang mereka selalu mempersendakan.
11 Katakanlah: Jelajahilah kamu di bumi lalu perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan [rasulnya].
12 Katakanlah: Milik siapakah apa yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: Milik Allah. Dia telah menetapkan [sifat] rahmat demi diri-Nya. Nescaya Dia akan menghimpunkan kamu pada Hari Kiamat yang tiada keraguan padanya. Orang-orang yang merugikan dirinya, mereka itu tidak beriman.
Juz 7A4
13 Dan milik-Nya [meliputi] apa pun yang tinggal [dan rehat] pada malam dan siang, dan Dia-lah yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.
14 Katakanlah: Adakah aku akan mengambil wali selain Allah, Pencipta langit dan bumi? Dan Dia memberi makan dan tidak [perlu] diberi makan. Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama-tama menyerah diri, [kepada Allah], dan jangan sama sekali engkau termasuk orang-orang yang musyrik.
15 Katakanlah: Sesungguhnya aku takut akan azab pada hari yang besar jika aku menderhakai Tuhanku.
16 Sesiapa yang dijauhkan daripada [azab] pada hari itu, maka sungguh Dia telah memberikan rahmat kepadanya. Dan itulah kemenangan yang nyata.
17 Dan jika Allah menimpakan suatu mudarat terhadap engkau, maka tiada yang dapat singkirkannya melainkan Dia. Dan jika Dia mendatangkan suatu kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
18 Dan Dia-lah yang Berkuasa atas hamba-hamba-Nya, dan Dia-lah yang Maha Bijaksana, Maha Mengenal.
19 Katakanlah: Apakah yang lebih kuat kesaksiannya? Katakanlah: Allah menjadi Saksi antara aku dengan kamu. Dan Al-Qur’an ini diwahyukan kepadaku supaya dengan itu aku memberimu amaran dan kepada sesiapa yang telah sampai kepadanya [peringatan itu]. Adakah sesungguhnya kamu mengakui bahawasanya ada tuhan-tuhan lain di samping Allah? Katakanlah: Tidaklah aku bersaksi [akan itu]. Katakanlah: Sesungguhnya Dia-lah sahaja Tuhan yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu syirikkan [dengan Allah].
20 Orang-orang yang telah Kami berikan Kitab kepadanya, mereka mengenalnya sebagaimana mereka mengenali anak-anaknya sendiri. Orang-orang yang merugikan dirinya [di akhirat], maka mereka itu orang-orang yang tidak beriman.
21 Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan beruntung.
22 Dan [ingatlah] pada hari [ketika] Kami mengumpulkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: Di manakah sekutu-sekutumu yang dahulu kamu anggap [sebagai tuhan]?
23 Kemudian mereka tiada lagi alasan kecuali mengatakan, "Demi Allah, ya Tuhan kami, bukanlah kami yang mensyirikkan [Allah]."
24 Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap dirinya sendiri, dan lenyaplah daripada mereka apa yang dahulu mereka ada-adakan.
25 Dan di antara mereka ada yang mendengarkan bacaan engkau, tetapi Kami telah menjadikan tutupan pada hati mereka dan sumbatan pada telinga mereka, agar mereka tidak memahaminya. Dan jika mereka melihat segala tanda [mukjizat], mereka tidak akan beriman kepadanya, sehingga apabila mereka datang kepada engkau, mereka berbalah dengan engkau. Orang-orang yang kufur itu berkata, "Ini tidak lain kecuali cerita-cerita dongeng orang-orang dahulukala."
26 Dan mereka melarang [orang lain] daripada [bacaan] itu dan mereka sendiri menjauhkan diri daripadanya. Dan mereka tidak membinasakan melainkan dirinya sendiri dan tidaklah mereka sedar.
27 Dan [amatlah dahsyat] sekiranya engkau dapat melihat apabila mereka dihadapkan ke api [neraka], lalu mereka berkata, "Aduhai! Alangkah baiknya jika kami dikembalikan [ke dunia] dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan kami, dan jadilah kami di antara orang-orang yang beriman."
28 Bahkan setelah nyata apa yang disembunyikan mereka dahulu, dan sekiranya mereka dikembalikan [ke dunia], tentu mereka akan mengulangi apa yang telah dilarang untuk mereka. Dan sesungguhnya mereka adalah orang-orang pendusta.
29 Dan mereka berkata, "Tidak ada yang lain kecuali hayat duniawi kita, dan tidaklah kita akan dibangkitkan."
30 Dan sekiranya engkau dapat melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhannya, [lalu] Dia akan berfirman: Bukankah [kebangkitan] ini benar? Mereka menjawab, "Ya benar, demi Tuhan kami." Dia berfirman: Maka rasakanlah azab oleh sebab kamu selalu kufur.
31 Sungguh rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan dengan Allah, sehingga apabila saat [Kiamat] itu datang kepada mereka secara tiba-tiba, mereka berkata, "Aduhai! Betapa sesalnya kami sebab kami cuai tentang itu," sedang mereka menanggung beban [dosa] di belakang [badan] mereka. Alangkah buruknya [dosa] yang mereka tanggung itu.
32 Dan tidaklah hayat duniawi kecuali permainan dan hiburan, tetapi Darul Akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu mengerti?
33 Sungguh, Kami mengetahui bahawasanya apa yang mereka katakan itu pasti menyedihkan hatimu, dan sesungguhnya mereka bukan mendustakan engkau tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah.
34 Dan sungguh, rasul-rasul sebelum engkau telah pun didustakan, tetapi mereka sabar terhadap [orang-orang] yang mendustakan dan menyakiti mereka sehingga datang pertolongan Kami kepada mereka. Dan tiada yang dapat mengubah kalimat-kalimat Allah. Dan sungguh, telah datang kepada engkau sebahagian daripada berita rasul-rasul itu.
35 Dan jika menjadi berat bagimu [bahawa] mereka berpaling, maka [lebih berat lagi] jika engkau dapat membuat terowong di bumi atau tangga ke langit lalu mendatangkan suatu tanda [mukjizat] kepada mereka. Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia akan menyatukan mereka semua atas petunjuk, maka jangan sama sekali engkau termasuk orang-orang yang jahil.
Juz 7B1
36 Sesungguhnya hanya orang-orang yang mendengar akan menyahut [seruan Allah]. Dan orang-orang yang mati akan dibangkitkan oleh Allah, kemudian kepada-Nya mereka akan dikembalikan.
37 Dan mereka berkata, "Mengapa tidak diturunkan kepadanya suatu tanda [mukjizat] daripada Tuhannya?" Katakanlah: Sesungguhnya Allah yang berkuasa untuk menurunkan suatu tanda [mukjizat], tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
38 Dan tidak ada seekor makhluk bergerak di bumi ataupun seekor burung yang terbang dengan dua-dua sayapnya, kecuali [semuanya] merupakan umat seperti kamu. Tidak ada sesuatu pun yang Kami cuai [mencatat] di dalam Kitab, kemudian mereka akan dikumpulkan kepada Tuhan mereka.
39 Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami adalah tuli, bisu dan berada dalam kegelapan. Sesiapa yang Allah kehendaki disesatkan-Nya, dan sesiapa yang Dia kehendaki dijadikan-Nya berada di Jalan yang Lurus.
40 Katakanlah: Apakah pendapat kamu, jika datang kepadamu azab Allah, atau saat [Kiamat] itu datang kepadamu? Adakah kamu akan menyeru [tuhan] selain Allah, jika kamu orang-orang yang sadik?
41 Namun kepada-Nya kamu menyeru lalu disingkirkan-Nya apa [bahaya] yang kamu mohonkan kepada-Nya jika Dia kehendaki, dan kamu lupakan apa yang kamu syirikkan [dengan Allah].
42 Dan sungguh, Kami telah mengutus [rasul-rasul] kepada umat-umat sebelum engkau, lalu Kami menyambar mereka dengan kemelaratan dan penderitaan, semoga mereka merendahkan hati.
43 Maka mengapa mereka tidak rendah hati apabila seksaan Kami datang kepada mereka? Tetapi hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan memperelokkan kepada mereka apa [kejahatan] yang selalu mereka kerjakan.
44 Maka tatkala mereka melupakan apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu [kesenangan] kepada mereka. Sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami menyambar mereka secara tiba-tiba, maka ketika itu mereka pun putus asa.
45 Maka kaum zalim itu ditumpaskan. Alhamdulillah, Tuhan seluruh alam!
46 Katakanlah: Apakah pendapat kamu, jika Allah menyambar pendengaran dan penglihatan serta mengunci hatimu, siapakah tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepadamu? Perhatikanlah bagaimana Kami mempelbagaikan tanda-tanda itu, kemudian mereka [tetap] berpaling.
47 Katakanlah: Apakah pendapat kamu, jika datang kepadamu azab Allah secara tiba-tiba atau terang-terang, [maka] adakah yang dibinasakan kecuali kaum yang zalim?
48 Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul melainkan sebagai pembawa berita baik dan pemberi amaran, maka sesiapa beriman dan memperbaiki dirinya, maka tiada ketakutan pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.
49 Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami akan ditimpa azab oleh sebab mereka selalu berlaku fasiq.
50 Katakanlah: Aku tidak mengatakan kepadamu bahawa khazanah Allah ada padaku, dan aku tidak mengetahui [perkara] yang ghaib. Dan aku [juga] tidak mengatakan kepadamu bahawa aku ini malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku. Katakanlah: Samakah orang yang buta dengan orang yang dapat melihat? Maka tidakkah kamu harus berfikir?
51 Berilah amaran dengan [wahyu] itu kepada orang-orang yang takut akan dikumpulkan kepada Tuhan mereka, tiada bagi mereka seorang wali ataupun pemberi syafaat selain-Nya, semoga mereka bertakwa.
52 Janganlah engkau mengusir orang-orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan-Nya. Dan engkau tidak bertanggungjawab sedikitpun terhadap perbuatan mereka, dan mereka [juga] tidak bertanggungjawab sedikitpun terhadap perbuatanmu. Oleh itu jika engkau mengusir mereka, maka engkau akan termasuk kaum yang zalim.
53 Dan demikianlah Kami telah menguji beberapa [orang] di antara mereka dengan beberapa yang lain, supaya mereka [yang diuji] berkata, "Inikah mereka yang Allah melimpahkan kurnia di antara kita?" Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur?
54 Dan apabila orang-orang yang beriman kepada tanda-tanda Kami datang kepada engkau, maka katakanlah: Salam sejahtera kepadamu! Tuhanmu telah menetapkan rahmat atas diri-Nya, bahawasanya sesiapa yang berbuat kejahatan di antara kamu sebab jahil, kemudian dia bertaubat setelah itu serta memperbaiki dirinya, maka bahawasanya Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
55 Dan demikianlah Kami memperincikan tanda-tanda itu, dan supaya jelas dinampak jalan orang-orang yang jahat.
56 Katakanlah: Sesungguhnya aku dilarang menyembah [berhala-berhala] yang kamu sembah selain Allah. Katakanlah: Aku tidak akan mengikuti keinginan kamu. Sungguh, tersesatlah aku jika demikian, dan tidaklah aku di antara orang-orang yang menerima petunjuk.
57 Katakanlah: Sesungguhnya aku berada atas bukti yang nyata daripada Tuhanku, sedang kamu mendustakannya. Tidaklah di sisiku apa yang kamu minta disegerakan itu. Hanyalah Allah yang menetapkan, Dia menerangkan kebenaran dan Dia adalah Pemberi keputusan yang sebaik-baiknya.
58 Katakanlah: Sekira bahawasanya ada di sisiku apa yang kamu minta disegerakan itu, tentu selesailah perkara itu antara aku dengan kamu. Dan Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang zalim.
Juz 7B2
59 Dan sisi-Nya ada kunci-kunci [segala] yang ghaib, tiada yang mengetahuinya melainkan Dia. Dan Dia mengetahui apa yang ada di darat serta di laut. Dan tidaklah sehelai daun pun yang gugur kecuali diketahui-Nya, dan tidaklah sebutir biji pun dalam kegelapan bumi ataupun sesuatu yang basah ataupun sesuatu yang kering, kecuali [tersurat] dalam Kitab yang jelas.
60 Dan Dia-lah yang mengambil nyawa kamu pada malam hari, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari. Kemudian Dia membangunkan kamu pada [siang hari] itu supaya disempurnakan umurmu yang telah ditentukan. Kemudian kembalinya kamu kepada-Nya, lalu Dia akan memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
61 Dan Dia-lah yang Berkuasa atas hamba-hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu [malaikat-malaikat] penjaga, hingga apabila maut datang kepada salah seorang di antara kamu, utusan-utusan Kami akan mengambil nyawanya, dan mereka tidak cuai [dalam tugasnya].
62 Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah, Pelindung mereka yang Benar. Ketahuilah, bagi-Nya [segala] penghakiman dan Dia-lah Maha Penghisab yang paling cepat.
63 Katakanlah: Siapakah yang menyelamatkan kamu dari naungan [bahaya] di darat dan di laut? Kamu berdoa kepada-Nya dengan rendah hati dan suara lembut, "Sungguh, jika Dia menyelamatkan kami dari [bahaya] ini, pasti menjadilah kami di antara orang-orang yang bersyukur."
64 Katakanlah: Allah yang menyelamatkan kamu dari [bencana] itu dan dari setiap bencana, kemudian kamu mensyirikkan-Nya.
65 Katakanlah: Dia adalah yang berkuasa untuk menghantarkan azab terhadapmu, dari atasmu atau dari bawah kakimu, atau Dia mengelirukan kamu menjadi berpuak-puak, dan merasakan kepada sebahagian kamu keganasan sebahagian yang lain. Perhatikanlah bagaimana Kami mempelbagaikan tanda-tanda itu, semoga mereka memaham.
66 Dan kaum engkau mendustakannya, padahal itulah kebenaran. Katakanlah: Aku ini bukanlah seorang wakil kepadamu.
67 Bagi setiap berita [yang rasul wahyukan] ada [waktu] terjadinya, dan kelak kamu akan mengetahui.
68 Dan apabila engkau melihat orang-orang yang bersembang [yang batil] tentang tanda-tanda Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka bersembang tentang perbincangan lain. Dan jikalau syaitan menjadikan engkau terlupa, maka janganlah engkau duduk lagi bersama kaum yang zalim itu setelah teringat kembali larangan itu.
69 Dan orang-orang yang bertakwa tidak bertanggungjawab sedikitpun atas [dosa] mereka itu, tetapi untuk memperingatkan, semoga mereka [juga] bertakwa.
70 Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agamanya sebagai permainan dan hiburan, dan mereka telah ditipu oleh hayat duniawi tetapi peringatkanlah [mereka] dengan [Al-Qur’an] itu supaya tiada jiwa terjerumus [ke dalam Jahanam] sebab apa yang diusahakannya. Tiada baginya seorang wali ataupun pemberi syafaat selain Allah dan jika dia [cuba] menebus dengan segala macam tebusan pun tidak akan diterima. Mereka itu orang-orang yang dijerumuskan [ke dalam neraka] sebab apa yang mereka diusahakan. Bagi mereka [disediakan] minuman air yang mendidih dan azab pedih oleh sebab mereka selalu kufur.
71 Katakanlah: Adakah kita akan menyeru sesuatu selain Allah yang tidak berfaedah ataupun memudaratkan kita, dan [adakah] kita akan dikembalikan ke belakang setelah Allah memberi petunjuk kepada kita? Seperti orang yang telah dipujuknya oleh syaitan di bumi, dalam keadaan bingung, dia ada kawan-kawan yang memanggilnya ke [jalan] petunjuk, "Datanglah kepada kami." Katakanlah: Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk [sebenarnya], dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan seluruh alam.
72 Dan [disuruh] supaya mendirikan solat, serta bertakwa kepada-Nya. Dan Dia-lah [Tuhan] yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan.
73 Dan Dia-lah yang menciptakan langit serta bumi menurut yang benar. Dan pada hari Dia berkata: Jadilah! Maka jadilah itu, [menurut] firman-Nya yang benar. Dan miliki-Nya [segala] kerajaan pada hari sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang disaksikan, dan Dia-lah yang Maha Bijaksana, Maha Mengenal.
Juz 7B3
74 Dan [ingatlah] ketika Ibrahim berkata kepada bapanya, Azar, "Adakah engkau menganggap berhala-berhala itu tuhan? Sesungguhnya aku melihat engkau dan kaummu berada dalam kesesatan yang nyata."
75 Dan demikianlah Kami memperlihatkan kepada Ibrahim kebesaran alam langit dan bumi, dan supaya dia menjadi di antara orang-orang yang yakin.
76 Maka tatkala malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang [lalu] dia berkata, "Inilah Tuhanku," tetapi tatkala bintang itu terbenam, dia berkata, "Aku tidak suka pada yang terbenam."
77 Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit, dia berkata, "Inilah Tuhanku," tetapi tatkala bulan itu terbenam, dia berkata, "Sungguh, jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pasti menjadilah aku termasuk kaum yang sesat."
78 Maka tatkala dia melihat matahari terbit, [Ibrahim] berkata, "Inilah Tuhanku, ini lebih besar," lalu tatkala matahari terbenam, dia berkata, "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri daripada apa yang kamu syirikkan [dengan Allah].
79 Sesungguhnya aku hadapkan wajahku kepada [Tuhan] yang menciptakan langit serta bumi, seorang tauhid, dan tidaklah aku termasuk orang-orang yang musyrik."
80 Dan kaumnya berhujah dengannya. [Ibrahim] berkata, "Adakah kamu hendak berhujah dengan aku tentang Allah? Dan sungguh, Dia telah memberi petunjuk kepadaku dan aku tidak takut kepada apa yang kamu syirikkan dengan-Nya, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu. [Ilmu] Tuhanku meliputi segala sesuatu, maka tidakkah kamu mahu ingat [dan insaf]?
81 Dan bagaimanakah aku takut kepada apa yang kamu syirikkan [dengan Allah] manakala kamu tidak takut bahawasanya kamu telah mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang tidak diturunkan sebarang hak kuasa mengenai itu? Maka yang manakah di antara dua kumpulan itu lebih berhak mendapat keamanan, jika kamu tahu?"
82 Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itu beroleh keamanan dan mereka mendapat petunjuk.
83 Dan itulah hujah Kami yang telah Kami berikan kepada Ibrahim untuk menghadapi kaumnya. Kami tinggikan darjat sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhan engkau Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.
84 Dan Kami telah menganugerahinya Ishak dan Yakub, masing-masingnya telah Kami berikan petunjuk. Dan sebelum itu Kami telah memberi petunjuk kepada Nuh, dan kepada beberapa di antara keturunan [Nuh], [iaitu] Daud, Sulaiman, Ayub, Yusuf, Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami mengganjar orang-orang yang muhsin.
85 Dan Zakharia, Yahya, Isa, serta Ilyas, semuanya di antara orang-orang yang soleh.
86 Dan Ismail, Ilyasa, Yunus, dan Lut. Masing-masing Kami telah mengutamakan atas seluruh umat manusia.
87 Dan di antara nenek moyang mereka, keturunan mereka, serta saudara-saudara mereka, Kami telah memilih mereka dan Kami telah memberi petunjuk kepada mereka ke Jalan yang Lurus.
88 Itulah petunjuk Allah, yang dengannya Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. Dan sekiranya mereka mensyirikkan Allah, pasti terhapuslah daripada mereka [amalan] yang telah mereka kerjakan.
89 Mereka itu orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka Kitab, serta Hukum dan kenabian. Tetapi jika mereka kufur terhadapnya, maka sungguh Kami akan amanahkannya kepada kaum orang yang tidak kufur terhadapnya.
90 Mereka itu orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka. Katakanlah: Aku tidak meminta sebarang upah kepadamu atas [dakwah] ini. Itu tidak lain kecuali peringatan bagi seluruh alam.
91 Dan mereka tidak mengagungkan Allah sebagaimana harusnya ketika mereka berkata, "Allah tidak menurunkan apapun kepada seorang manusia." Katakanlah: Siapakah yang menurunkan Kitab [Taurat] yang dibawa oleh Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia? Kamu jadikan [Kitab] itu lembaran-lembaran kertas untuk menunjuk-nunjuk, dan kamu memperlihatkan [sebahagiannya] dan banyak yang kamu sembunyikan, padahal telah diajarkan kepadamu apa yang tidak diketahui oleh kamu ataupun nenek moyangmu? Katakanlah: Allah [yang menurunkannya]. Kemudian biarkanlah mereka dalam kebatilannya, leka bermain-main.
92 Dan inilah Kitab [Al-Qur’an] yang telah Kami turunkan dengan penuh berkat, yang mengesahkan apa yang sebelumnya, dan supaya engkau memberi amaran kepada [penduduk] Mekah dan orang-orang di sekitarnya. Dan orang-orang yang beriman kepada akhirat [juga] beriman kepadanya, dan mereka memelihara [waktu] solatnya.
93 Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah atau yang berkata, "Telah diwahyukan kepadaku," padahal tidak diwahyukan sesuatupun kepadanya, dan sesiapa yang berkata, "Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah." Dan [amatlah dahsyat] sekiranya engkau dapat melihat ketika orang-orang yang zalim dalam keperitan maut, sedang para malaikat menghulurkan tangannya [lalu berkata:] Keluarkanlah nyawamu! Pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan sebab apa yang telah kamu katakan terhadap Allah selain yang benar, dan kamu bersikap takbur terhadap ayat-ayat-Nya.
94 Dan sungguh, kamu akan datang kepada Kami secara perseorangan sebagaimana Kami menciptakan kamu pada pertama kali, dan apa yang telah Kami kurniakan kepadamu [di dunia], kamu tinggalkan di belakangmu. Dan Kami tidak melihat pemberi-pemberi syafaat bersertamu yang kamu anggap bahawasanya mereka itu sekutu-sekutu [bagi Allah]. Sungguh, telah terputuslah [perhubungan] antaramu, dan lenyaplah daripadamu apa yang dahulu kamu anggap [sebagai sekutu Allah].
Juz 7B4
95 Sesungguhnya Allah menumbuhkan benih dan biji kurma, Dia mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup. Demikian itulah Allah, maka bagaimanakah kamu diperdayakan?
96 Dia-lah yang menyingsingkan fajar dan menjadikan malam untuk berehat, matahari dan bulan untuk pengiraan [waktu]. Itulah ketentuan oleh yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui.
97 Dan Dia-lah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, supaya dengannya kamu dapat petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sungguh, Kami telah memperincikan tanda-tanda itu bagi kaum yang mengetahui.
98 Dan Dia-lah yang menciptakan kamu daripada satu jiwa, maka [bagimu] ada tempat menetap dan tempat penyimpanan. Sungguh, Kami telah memperincikan tanda-tanda itu bagi kaum yang memahami.
99 Dan Dia-lah yang menurunkan air [hujan] dari langit, lalu Kami hasilkan dengan [air] itu segala sesuatu pertumbuhan. Maka Kami hasilkan daripada [pertumbuhan] itu tanaman yang menghijau. Kami hasilkan daripada [tanaman yang menghijau] itu biji-bijian yang bergugus-gugus, dan daripada mayang kurma [Kami keluarkan] tandan-tandan buah yang tergantung rendah. Dan [Kami hasilkan] kebun-kebun anggur, dan zaitun, dan delima yang berlainan. Perhatikanlah buahnya pada musim berbuah, dan menjadi masak. Sesungguhnya dengan yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi kaum yang beriman.
100 Dan mereka menjadikan jin sekutu-sekutu bagi Allah, padahal Dia yang menciptakan jin-jin itu, dan mereka berbohong [dengan mengatakan,] "Allah mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan," dengan tanpa [dasar] pengetahuan. Maha Suci Dia dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka sifatkan.
101 [Dia-lah] Pengasal langit dan bumi. Bagaimana [mungkin] Dia mempunyai anak lelaki, padahal Dia tidak mempunyai isteri.? Dan Dia menciptakan segala sesuatu, dan Dia-lah Maha Mengetahui segala sesuatu.
102 Demikian itulah Allah, Tuhan kamu. Tiada tuhan melainkan Dia, Pencipta segala sesuatu, maka sembahlah Dia. Dan Dia-lah Pengurus atas segala sesuatu.
103 Penglihatan mata tidak dapat melihat-Nya, padahal Dia yang melihat [segala] penglihatan, dan Dia-lah yang Maha Latif, Maha Mengenal.
104 Sungguh, telah datang kepadamu pencerahan daripada Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang boleh melihat maka [untunglah] bagi dirinya sendiri, dan sesiapa yang buta maka dia menanggung [ruginya] itu. Dan aku bukanlah seorang pengawas kepada kamu.
105 Dan demikianlah Kami mempelbagaikan tanda-tanda itu, dan supaya mereka mengatakan, "Telah pun engkau mempelajari," dan supaya Kami menjelaskannya kepada kaum yang mengetahui.
106 Ikutilah apa yang telah diwahyukan oleh Tuhan engkau kepadamu. Tiada tuhan melainkan Dia, dan berpalinglah daripada orang-orang yang musyrik.
107 Dan sekiranya Allah menghendaki, mereka tidak akan mensyirikkan. Dan tidaklah Kami menjadikan engkau pengawas kepada mereka, dan engkau bukanlah wakil kepada mereka.
108 Dan janganlah kamu memaki [berhala-berhala] yang mereka menyembah selain Allah, nanti mereka akan memaki Allah sebagai musuh dengan tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan kepada setiap umat amal-amal mereka. Kemudian kembalinya mereka kepada Tuhannya, lalu Dia akan memberitahukan mereka tentang apa yang telah mereka kerjakan.
109 Dan mereka bersumpah demi Allah dengan sungguh-sungguh bahawasanya jika datang suatu tanda [mukjizat] kepada mereka, pasti mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah: Sesungguhnya tanda-tanda itu hanya di sisi Allah, dan tidaklah kamu sedar bahawasanya apabila [mukjizat] itu datang mereka tidak akan beriman.
110 Dan [oleh itu] Kami membolak-balikkan hati dan penglihatan mereka sebagaimana pada pertama kali mereka tidak [mahu] beriman kepadanya, dan Kami biarkan mereka bergelimang dalam kesesatan mereka.
Juz 8A1
111 Dan sekira bahawasanya Kami menurunkan para malaikat kepada mereka, dan orang yang telah mati bercakap dengan mereka, dan Kami kumpulkan di hadapan mereka segala sesuatu, mereka [juga] tidak akan beriman kecuali jika Allah menghendaki, tetapi kebanyakan mereka jahil.
112 Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, [iaitu] syaitan-syaitan [dari kalangan] manusia dan jin yang saling membisikkan perkataan yang indah sebagai khayalan. Dan sekiranya dikehendaki Tuhan engkau, maka mereka tidak akan melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.
113 Dan supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat tertarik kepada bisikan itu, serta mereka rasa senang padanya, dan supaya mereka melakukan apa yang biasa mereka lakukan.
114 Maka adakah aku mencari hakim selain Allah, padahal Dia-lah yang menurunkan Kitab kepadamu dengan terperinci? Dan orang-orang yang telah Kami berikan Kitab itu mengetahui bahawasanya itu diturunkan daripada Tuhan engkau menurut yang benar. Maka jangan sama sekali engkau termasuk orang-orang yang ragu.
115 Dan terkabullah kalimat Tuhan engkau [menurut] yang sadik dan adil. Tiada yang dapat mengubah kalimat-Nya, dan Dia-lah yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.
116 Dan jika engkau mematuhi [kehendak] kebanyakan orang di bumi, mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidaklah mengikuti kecuali sangkaan [sahaja] dan mereka hanyalah memalsukan [yang benar].
117 Sesungguhnya Tuhan engkau, Dia-lah lebih mengetahui akan orang yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia lebih mengetahui akan orang-orang yang menerima petunjuk.
118 Maka makanlah daripada apa [yang halal] yang telah disebut nama Allah [ketika disembelih], jika kamu beriman kepada ayat-ayat-Nya.
119 Dan apa hal dengan kamu tidak [mahu] memakan daripada apa yang telah disebut nama Allah? Dan sungguh, telah pun diperincikan-Nya bagimu apa yang diharamkan-Nya atasmu kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya. Dan sesungguhnya kebanyakan [manusia] pasti menyesatkan [orang lain] melalui keinginannya dengan tanpa [dasar] pengetahuan. Sesungguhnya Tuhan engkau, Dia lebih mengetahui akan orang-orang yang melanggar hukum.
120 Dan tinggalkanlah kamu dosa yang zahir dan yang batin. Sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, kelak akan dibalas menurut apa yang telah mereka lakukan.
121 Dan janganlah kamu memakan daripada apa yang tidak disebut nama Allah [ketika disembelih], dan sesungguhnya perbuatan itu pasti suatu kefasiqan. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan pasti akan membisikkan kepada teman-teman setianya supaya mereka berbalah dengan kamu. Dan jika kamu mematuhi mereka, sesungguhnya kamu adalah orang-orang musyrik.
122 Dan adakah orang yang sudah mati lalu Kami hidupkannya dan Kami jadikan baginya cahaya untuk berjalan dengan [cahaya] itu di kalangan manusia, sama dengan orang yang berada dalam kegelapan lalu tidak dapat keluar dari sana? Demikianlah dipandang elok bagi orang-orang kafir apa yang telah mereka kerjakan.
123 Dan demikianlah Kami adakan dalam setiap negeri pembesar-pembesar yang jahat supaya mereka berkomplot di negeri itu, padahal mereka tidak berkomplot melainkan terhadap dirinya sendiri dan tidaklah mereka sedar.
124 Dan apabila datang suatu ayat kepada mereka, mereka berkata, "Kami sama sekali tidak akan percaya sebelum diberikan kepada kami seperti apa yang telah diberikan kepada rasul-rasul Allah." Allah lebih mengetahui di mana Dia menempatkan amanat-Nya. Kelak orang-orang yang berbuat jahat akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan azab yang keras oleh sebab mereka selalu berkomplot [jahat].
125 Maka sesiapa yang Allah hendak dia mendapat petunjuk, Dia akan memasrahkan hatinya kepada Islam, dan sesiapa yang [Allah] hendak menyesatkannya, Dia akan jadikan dadanya sempit dan sesak, seolah-olah dia sedang mendaki ke langit. Demikianlah Allah meletakkan kekejian atas orang-orang yang tidak beriman.
126 Dan inilah jalan Tuhan engkau yang lurus. Sungguh, Kami telah memperincikan tanda-tanda itu bagi kaum yang selalu ingat [dan insaf].
Juz 8A2
127 Mereka beroleh tempat di Darul Salam di sisi Tuhan mereka, dan Dia menjadi Wali mereka kerana apa yang telah mereka kerjakan.
128 Dan [ingatlah] pada hari [ketika] Dia mengumpulkan mereka semuanya, [lalu berfirman:] Wahai golongan jin! Sungguh, kamu telah banyak [menyesatkan] manusia. Dan berkatalah teman-teman mereka daripada golongan manusia, "Ya Tuhan, kami telah bersenang-senang sesama kami, dan sekarang sampailah waktu yang telah Engkau tentukan untuk kami." [Allah] berfirman: Api [neraka] ialah tempat tinggalmu, kekallah kamu di dalamnya, kecuali jika Allah menghendaki [yang lain]. Sesungguhnya Tuhan engkau Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.
129 Dan demikianlah Kami jadikan beberapa orang yang zalim berteman dengan sesamanya sebab apa yang telah mereka usahakan.
130 Wahai golongan jin dan manusia! Tidakkah datang kepadamu rasul-rasul dari kalangan kamu yang menyampaikan ayat-ayat-Ku dan memberi amaran kepadamu tentang pertemuan dengan hari kamu ini? Mereka menjawab, "Kami bersaksi terhadap diri kami sendiri." Dan mereka telah ditipu oleh hayat duniawi, sedang mereka bersaksi terhadap dirinya sendiri bahawasanya mereka adalah orang-orang kafir.
131 Demikianlah kerana Tuhan engkau tidak akan membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya [dalam keadaan] lalai.
132 Dan setiap orang ada darjat menurut apa yang mereka kerjakan, dan Tuhan engkau tidak lalai terhadap apa yang mereka kerjakan.
133 Dan Tuhan engkau Maha Kaya, penuh dengan rahmat. Jika dikehendaki-Nya, Dia akan menghapuskan kamu dan menggantimu sesudah itu dengan sesiapa yang dikehendaki-Nya, sebagaimana Dia telah menjadikan kamu daripada keturunan kaum yang lain.
134 Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu pasti datang dan kamu tidak mampu menolaknya.
135 Katakanlah: Wahai kaumku! Kerjalah menurut kedudukan kamu, sesungguhnya aku pun sedang bekerja. Maka kelak kamu akan mengetahui siapa yang akan beroleh kesudahan di Darul [Akhirat] itu. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan beruntung.
136 Dan mereka memperuntukkan untuk Allah sebahagian daripada hasil tanaman dan haiwan ternak, lalu mereka berkata menurut dakwa mereka, "Ini untuk Allah dan ini untuk [berhala-berhala] kami." Tetapi yang diperuntukkan bagi [berhala-berhala] mereka tidak akan sampai kepada Allah, dan yang diperuntukkan bagi Allah maka itulah sampai kepada [berhala-berhala] mereka. Amatlah buruk apa yang mereka putuskan itu.
137 Dan demikianlah sekutu-sekutu mereka memperelokkan [kejahatan] kepada kebanyakan daripada orang-orang musyrik supaya membunuh anak-anak mereka untuk membinasakan mereka dan untuk mengelirukan mereka terhadap agama mereka. Dan sekiranya Allah menghendaki, mereka tidak melakukannya, maka biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.
138 Dan mereka berkata, "Inilah haiwan ternak dan hasil tanaman yang dilarang, tidak boleh memakannya, kecuali orang yang kami kehendaki," menurut dakwa mereka. Dan ada pula haiwan ternak yang diharamkan menunggangnya, dan ada haiwan ternak yang [ketika disembelih] tidak [perlu] menyebut nama Allah atasnya [sebagai] pendustaan terhadap-Nya. Kelak [Allah] akan membalas mereka sebab apa yang selalu mereka ada-adakan.
139 Dan mereka berkata, "Apa yang ada di dalam perut haiwan ternak ini khusus untuk kaum lelaki kami, dan diharamkan bagi kaum perempuan kami." Dan jika [yang dalam perut] itu [dilahirkan] mati, maka mereka semua ada kongsi dalamnya. Kelak [Allah] akan membalas mereka sebab apa yang mereka sifatkan [terhadap-Nya]. Sesungguhnya Dia Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.
140 Sungguh rugilah orang-orang yang membunuh anak-anaknya kerana kebodohan tanpa pengetahuan, dan mengharamkan apa yang direzekikan Allah kepada mereka dengan pendustaan terhadap Allah. Sungguh sesat mereka, dan tidaklah mereka diberi petunjuk.
Juz 8A3
141 Dan Dia-lah yang menjadikan kebun-kebun bertumbuh, yang merambat dan yang tidak merambat, dan pokok kurma, dan tanam-tanaman yang beraneka buahnya, zaitun dan delima, yang serupa dan yang tidak serupa. Makanlah buahnya apabila berbuah, dan tunaikanlah zakat pada hari memetik buahnya, dan janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
142 Dan di antara haiwan ternak itu ada yang dijadikan pengangkut [beban] dan ada yang untuk disembelih. Makanlah daripada apa yang direzekikan Allah kepadamu, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya [syaitan] itu musuh yang nyata bagimu.
143 Lapan ekor, [empat] pasangan, sepasang domba, dan sepasang kambing. Katakanlah: Adakah yang diharamkan Allah dua yang jantan, atau dua yang betina, atau yang ada dalam kandungan dua-dua betina itu? Terangkanlah kepada aku dengan [dasar] pengetahuan, jika kamu orang-orang yang sadik.
144 Dan daripada unta sepasang dan daripada lembu sepasang. Katakanlah: Adakah yang diharamkan Allah dua yang jantan, atau dua yang betina, atau yang ada dalam kandungan dua-dua betina itu? Adakah kamu menjadi saksi-saksi ketika Allah berpesan ini kepadamu? Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tanpa [dasar] pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
145 Katakanlah: Tidaklah aku dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya kecuali [daging] bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging khinzir. Maka sesungguhnya semua itu ialah perbuatan keji atau perbuatan yang fasiq, [seperti haiwan] disembelih kepada selain Allah. Tetapi sesiapa terpaksa [memakannya] bukan kerana menginginkannya ataupun melanggar hukum, maka sesungguhnya Tuhan engkau Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
146 Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala [haiwan] yang berkuku, dan Kami haramkan kepada mereka lemak daripada lembu dan kambing kecuali [lemak] yang melekat di punggungnya, atau yang dalam isi perutnya, atau apa yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami membalas mereka kerana kezaliman mereka, dan sesungguhnya Kami adalah yang sadik.
147 Jika mereka mendustakan engkau, maka katakanlah: Tuhanmu penuh dengan rahmat yang luas, dan seksaan-Nya tidak dapat ditolak daripada kaum yang jahat."
148 Orang-orang musyrik akan mengatakan, "Sekiranya menghendaki Allah, kami tidak akan mensyirikkan-Nya ataupun nenek moyang kami, dan kami tidak akan mengharamkan apapun." Demikian pula orang-orang yang sebelum mereka [juga] telah mendustakan, sehingga mereka merasakan seksaan Kami. Katakanlah: Adakah padamu sesuatu pengetahuan yang dapat kamu kemukakan kepada kami? Kamu tidaklah mengikuti kecuali sangkaan [sahaja] dan kamu hanyalah memalsukan [yang benar].
149 Katakanlah: Maka hujah [muktamad] itu milik Allah, maka sekiranya Dia menghendaki, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada kamu semuanya.
150 Katakanlah: Bawalah ke mari saksi-saksi kamu yang bersaksi bahawasanya Allah mengharamkan ini. Kemudian jika mereka bersaksi [demikian], maka janganlah engkau turut bersaksi bersama mereka. Janganlah engkau mengikuti keinginan orang-orang yang mendustakan tanda-tanda Kami dan orang-orang yang tidak beriman kepada akhirat, sedang mereka menyamakan [yang lain] dengan Tuhan mereka.
Juz 8A4
151 Katakanlah: Marilah, aku akan bacakan apa yang diharamkan kepadamu oleh Tuhanmu: Janganlah kamu mensyirikkan-Nya dengan sesuatupun, dan berbuat baik kepada ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana [takut] kepapaan, Kami-lah yang memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan yang maksiat, baik yang terlihat mahupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah kecuali menurut yang benar. Demikianlah Dia berpesan kepadamu, semoga kamu mengerti.
152 Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali itu [ada manfaat] yang baik, sehingga dia sampai dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan menurut yang adil. Kami tidak membebani seseorang kecuali menurut keupayaannya. Dan apabila kamu berkata sesuatu, maka [kesaksian] kamu hendaklah adil, meskipun dia karib kerabat, dan penuhilah janji Allah. Demikianlah Dia berpesan kepadamu, semoga kamu selalu ingat [dan insaf].
153 Dan bahawasanya inilah Jalan-Ku yang Lurus maka ikutilah [jalan] itu, dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan [yang lain] nanti kamu menjadi terpisah dari jalan-Nya. Demikianlah Dia berpesan kepadamu, semoga kamu bertakwa.
154 Kemudian Kami telah memberikan Kitab kepada Musa untuk menyempurnakan [nikmat Kami] kepada orang yang berbuat baik untuk menjelaskan segala sesuatu, serta sebagai petunjuk dan rahmat, semoga mereka beriman kepada [hari] pertemuan dengan Tuhan mereka.
155 Dan inilah Kitab yang telah Kami turunkan dengan penuh berkat, maka ikutilah itu dan bertakwalah, semoga kamu diberi rahmat.
156 [Diturunkannya] supaya tidak kamu katakan, "Sesungguhnya Kitab hanya diturunkan kepada dua golongan sebelum kami, tetapi kami lalai terhadap apa yang mereka pelajari."
157 Atau [supaya tidak] kamu katakan, "Sekira bahawasanya Kitab itu diturunkan kepada kami, nescaya kami mendapat lebih petunjuk daripada mereka." Maka sungguh telah datang kepadamu bukti yang nyata daripada Tuhan kamu, serta petunjuk dan rahmat. Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya? Kelak Kami akan membalas orang-orang yang berpaling daripada ayat-ayat Kami dengan azab yang sangat buruk oleh sebab mereka selalu berpaling.
158 Apakah lagi mereka menunggu kecuali datangnya para malaikat kepada mereka, atau datangnya Tuhan engkau, atau datangnya beberapa tanda [mukjizat] daripada Tuhanmu? Pada hari datangnya beberapa tanda [mukjizat] Tuhan engkau, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau [tidak] berusaha dengan imannya. Katakanlah: Tunggulah! Sesungguhnya Kami pun sedang menunggu.
159 Sesungguhnya orang-orang yang memecah belah agamanya menjadi beberapa mazhab, engkau tidak [ada kaitan] dengan mereka sedikitpun. Sesungguhnya urusan mereka hanya [terserah] kepada Allah, kemudian Dia akan memberitahukan mereka tentang apa yang telah mereka lakukan.
160 Sesiapa yang datang membawa kebaikan, maka dia beroleh [ganjaran] sepuluh kali ganda amalnya, dan sesiapa yang datang membawa kejahatan, maka dia tidak dibalas kecuali setimpal dengan [kejahatan] itu dan mereka tidak akan dizalimi.
161 Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku telah memberi petunjuk kepadaku ke Jalan yang Lurus, agama yang lurus, jalan rohaniah Ibrahim yang tauhid, dan tidaklah dia termasuk orang-orang yang musyrik.
162 Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah untuk Allah. Tuhan seluruh alam.
163 Tiadalah sekutu bagi-Nya, dan menurut demikian itu aku disuruh dan aku menjadi orang yang pertama-tama berserah diri.
164 Katakanlah: Adakah aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dia-lah Tuhan bagi segala sesuatu? Dan tidaklah setiap jiwa mengusahakan kecuali terhadap dirinya sendiri, dan seorang pemikul tidak boleh menanggung beban [dosa] orang lain. Kemudian kembalinya kamu kepada Tuhanmu, lalu Dia akan memberitahukan kepadamu tentang apa yang selalu kamu perselisihkan.
165 Dan Dia-lah yang menjadikan kamu pengganti-pengganti di bumi dan Dia meninggikan [darjat] sebilangan di antaramu atas yang lain, untuk mengujimu dalam apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhan engkau cepat dengan hukuman-Nya, dan sesungguhnya Dia benar-benar Maha Pengampun, Maha Mengasihani.