Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya [dengan perintah:] Berilah amaran kepada kaummu sebelum datang kepada mereka azab pedih.
2 [Nuh] berkata, "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku adalah pemberi amaran yang jelas bagimu.
3 Sembahlah Allah, bertakwalah kepada-Nya, serta taatlah kamu kepadaku.
4 Dia akan mengampuni dosa-dosamu, dan melambatkan ajal kamu sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya waktu ajal itu [yang ditetapkan] Allah apabila telah datang tidak dapat dilambatkan, sekiranya kamu mengetahui."
5 [Nuh] berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang,
6 tetapi seruanku itu tidak menambah [apapun] kepada mereka kecuali hendak lari.
7 Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka [untuk beriman] agar Engkau mengampuni mereka, mereka menyumbatkan telinganya dengan jari-jarinya serta menyelubungi dirinya dengan pakaian mereka, dan terus bersikap takbur dengan melampau.
8 Kemudian sesungguhnya aku menyeru mereka secara terang-terang.
9 Kemudian sesungguhnya aku mengumumkan kepada mereka secara terbuka dan dengan diam-diam.
10 Maka aku berkata: Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.
11 Dia akan menghantarkan kepadamu hujan yang lebat dari langit,
12 dan Dia memperkuatkan kamu dengan harta serta anak-anak, dan mengadakan kebun-kebun bagimu dan mengadakan sungai-sungai bagimu.
13 Apa hal dengan kamu, mengapa kamu tidak menghargai kebesaran Allah?
14 Dan sungguh, Dia telah menciptakan kamu secara berperingkat.
15 Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit?
16 Dan di sana Dia menjadikan bulan yang bercahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita.
17 Dan Allah menumbuhkan kamu [seperti] pertumbuhan dari tanah,
18 kemudian Dia akan mengembalikan kamu ke dalam [tanah] itu, dan mengeluarkan kamu [pada Hari Kiamat] sebagai pengeluaran baru.
19 Dan Allah telah menjadikan bumi untukmu sebagai hamparan,
20 supaya kamu dapat melalui jalan-jalan yang luas padanya."
21 Nuh berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka derhaka terhadapku, dan mereka mengikuti orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah kerugian baginya.
22 Dan mereka berkomplot suatu muslihat besar,
23 dan mereka berkata, "Janganlah kamu sama sekali tinggalkan tuhan-tuhanmu, dan janganlah kamu tinggalkan Wadd ataupun Suwaa’ ataupun Yaghuts, serta Ya’uq dan Nasr.
24 Dan sungguh, mereka telah menyesatkan banyak orang, dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim kecuali kesesatan."
25 Oleh sebab kesalahan-kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke dalam api [neraka], maka mereka tidak akan mendapati seorang penolong selain Allah.
26 Dan Nuh berkata, "Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan [hidup] di antara orang-orang kafir itu seorangpun penghuni di atas bumi.
27 Sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka [hidup], mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka hanya akan melahirkan anak-anak yang fajir lagi kafir.
28 Ya Tuhanku, ampunilah aku, ibu bapaku, serta sesiapa yang masuk ke rumahku yang beriman dan [juga] semua orang mukmin lelaki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim kecuali kehancuran."
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Katakanlah: Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya sekumpulan jin telah mendengar [bacaan] lalu mereka berkata, "Sesungguhnya kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan,
2 yang memimpin ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sama sekali tidak akan mensyirikkan apapun dengan Tuhan kami.
3 Dan bahawasanya Maha Tinggi keagungan Tuhan kami, Dia tidak beristeri dan tidak [pula] beranak.
4 Dan bahawasanya orang yang kurang akal di antara kami selalu mengatakan sesuatu yang jauh daripada kebenaran terhadap Allah.
5 Dan bahawa kami menyangka manusia dan jin sama sekali tidak akan mengatakan suatu kebohongan terhadap Allah.
6 Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di kalangan manusia yang meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di kalangan jin, maka mereka menambah beban untuk mereka.
7 Dan bahawasanya mereka menyangka sebagaimana yang kamu sangka, bahawa Allah sama sekali tidak akan membangkitkan kembali seorangpun.
8 Dan bahawa kami telah mencuba mencapai syurga tetapi kami mendapatinya penuh dengan kawalan yang kuat dan panah-panah api.
9 Dan bahawa kami pernah menduduki tempat-tempat di dalamnya untuk mendengar, tetapi sekarang sesiapa yang [cuba] mendengar [seperti dahulu] akan mendapati panah api sedia menghendapnya.
10 Dan bahawa kami tidak mengetahui adakah keburukan dimaksudkan bagi orang yang berada di bumi, ataukah Tuhan mereka bermaksud bagi mereka [menempuh] jalan yang benar.
11 Dan bahawa di antara kami ada orang-orang soleh dan di antara kami ada [juga] yang selain itu. [Masing-masing] kami menempuh jalan yang berlainan.
12 Dan kami yakin bahawa kami sama sekali tidak mampu menggagalkan Allah di bumi ataupun melepaskan diri daripada-Nya dengan lari.
13 Dan bahawa tatkala kami mendengar petunjuk itu, kami beriman kepadanya. Sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka dia tidak takut menanggung kerugian ataupun beban.
14 Dan bahawa di antara kami ada orang-orang Muslim, dan di antara kami ada [juga] orang-orang yang menyimpang daripada keadilan. Sesiapa yang menganut Islam, maka mereka itu menempuh jalan yang benar.
15 Dan adapun orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran, maka mereka menjadi bahan bakar bagi Jahanam."
16 Dan sekiranya mereka berjalan terus-menerus pada jalan lurus itu, nescaya Kami akan memberi minum kepada mereka air yang limpah,
17 untuk Kami menguji mereka pada [jalan] itu. Dan sesiapa yang berpaling daripada mengingati Tuhannya, Dia akan memasukkannya ke dalam azab yang amat berat.
18 Dan bahawasanya masjid-masjid itu adalah untuk Allah, maka janganlah kamu menyeru sesuatupun di samping Allah.
19 Dan bahawasanya tatkala hamba Allah berdiri [untuk bersolat dengan] menyeru kepada-Nya, nyaris-nyaris mereka mengerumuninya kerana berdesak-desakan.
20 Katakanlah: Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku dan aku tidak mensyirikkan sesuatupun dengan-Nya.
21 Katakanlah: Sesungguhnya aku tidak berdaya [menolak] mudarat ataupun petunjuk yang betul kepada kamu.
22 Katakanlah: Sesungguhnya tidak akan seorangpun yang dapat melindungi aku daripada [azab] Allah, dan aku tidak akan mendapati tempat berlindung selain kepada-Nya.
23 [kewajipanku tidak lain] kecuali pemberitahuan [yang jelas] daripada Allah dan amanat-amanat-Nya. Dan sesiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia akan mendapat [azab] api Jahanam, kekallah mereka di dalamnya untuk selama-lamanya.
24 Sehingga apabila mereka melihat [azab] yang dijanjikan terhadap mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan lebih sedikit bilangannya.
25 Katakanlah: Aku tidak mengetahui sama ada [azab] yang dijanjikan kepadamu itu sudah dekat, ataukah Tuhanku menetapkan waktunya yang masih lama.
26 [Dia-lah] yang mengetahui yang ghaib, tetapi Dia tidak memperlihatkan kepada seseorang pun tentang yang ghaib itu,
27 kecuali kepada Rasul yang diredai-Nya di antara rasul-rasul. Maka sesungguhnya Dia mengadakan peninjau-peninjau di hadapan dan di belakangnya,
28 supaya Dia mengetahui bahawa sungguh rasul-rasul itu telah menyampaikan amanat-amanat Tuhannya. Dan [ilmu-Nya] meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia telah yang mengira bilangan segala sesuatu [satu persatu].
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Wahai orang yang berselimut!
2 Bangunlah [engkau] pada waktu malam [untuk sembahyang kecuali sebahagian kecil,
3 [iaitu] separuh [waktu malam] itu atau kurang sedikit darinya,
4 atau lebih dari [separuh] itu, dan bacalah Al-Qur’an secara tartil.
5 Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepada engkau.
6 Sesungguhnya bangun waktu malam itu lebih berkesan dan lebih sesuai untuk bacaan.
7 Sesungguhnya pada siang hari engkau sibuk dengan urusan-urusan yang panjang.
8 Dan sebutlah nama Tuhan engkau, dan beribadatlah kepada-Nya dengan sebulat hati.
9 [Dia-lah] Tuhan timur dan barat, tiada tuhan melainkan Dia, maka pilihlah Dia sebagai Pengurus.
10 Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka katakan, dan jauhilah daripada mereka dengan cara yang elok.
11 Dan biarkanlah Aku [menguruskan] orang-orang yang mendustakan, yang ada [segala] kenikmatan hidup, dan berilah mereka sedikit tangguh.
12 Sesungguhnya di sisi Kami [tersedialah] belenggu-belenggu serta Jahim,
13 dan makanan yang melekat di kerongkong serta azab pedih.
14 [Ingatlah] pada hari [ketika] bumi serta gunung-gunung bergoncang, dan gunung-gunung akan menjadi seperti timbunan pasir yang dicurahkan.
15 Sesungguhnya Kami telah mengutus seorang Rasul kepada kamu sebagai saksi terhadapmu, sebagaimana Kami telah mengutus seorang Rasul kepada Firaun.
16 Namun Firaun menderhakai Rasul itu lalu Kami menyambarnya dengan sambaran yang amat berat.
17 Maka bagaimanakah kamu akan dapat menjaga dirimu jika kamu kufur hari yang menjadikan kanak-kanak beruban?
18 Langit akan terbelah sebab [hari] itu. Janji-Nya pasti berlaku.
19 Sesungguhnya inilah suatu peringatan, maka sesiapa menghendaki akan menempuh jalan kepada Tuhannya.
Juz 29B2
20 Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahawasanya engkau berdiri [solat] kurang dari dua pertiga malam hari, atau satu perdua darinya atau satu pertiga darinya, dan [demikian juga] segolongan di antara orang-orang yang bersamamu. Dan Allah menentukan jangka masa malam dan siang, Dia mengetahui bahawa kamu sama sekali tidak dapat mengira jangka masa itu dengan tepat, maka Dia menerima taubatmu. Oleh itu bacalah apa yang mudah [bagimu] daripada Al-Qur’an. Dia mengetahui bahawa akan adanya di antara kamu orang-orang yang sakit, dan yang mengembara di bumi mencari kurnia Allah, dan yang lain [pula] berperang di jalan Allah. Maka bacalah apa yang mudah [bagimu] daripada [Al-Qur’an] itu, dan dirikanlah solat, dan tunaikanlah zakat, serta pinjamlah kepada Allah pinjaman yang baik. Dan apapun kebaikan yang telah kamu sediakan untuk dirimu, kamu akan mendapati balasannya di sisi Allah yang lebih baik dan lebih besar. Dan hendaklah kamu beristighfar, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Mengasihani.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Wahai orang yang berselimut!
2 Bangunlah, lalu berilah amaran,
3 dan agungkanlah Tuhan engkau.
4 Dan bersihkanlah pakaian engkau,
5 dan jauhilah [segala] yang keji.
6 Dan janganlah engkau berpihak sebelah untuk mendapat [balasan] lebih banyak,
7 dan demi Tuhanmu, bersabarlah.
8 Jadi apabila sangkakala ditiup,
9 maka hari itulah suatu hari yang sukar,
10 tidak mudah bagi orang-orang kafir.
11 Biarkanlah Aku sendirian dengan orang yang telah Aku ciptakan.
12 Dan Aku jadikan baginya harta dengan luas banyak
13 serta anak-anak yang ada bersamanya.
14 Dan Aku mudahkan baginya [supaya] hidup senang,
15 kemudian dia berhasrat bahawa Aku tambah lagi.
16 Sama sekali tidak! Sesungguhnya dia adalah keras kepala terhadap tanda-tanda Kami,
17 Aku akan membebaninya dengan mendaki cerun.
18 Sesungguhnya dia telah memikirkan dan menetapkan,
19 maka terkutuklah dia! Bagaimanakah dia menetapkan?
20 Sekali lagi, terkutuklah dia! Bagaimana dia menetapkan?
21 Kemudian dia mempertimbangkan,
22 setelah itu dia bermuka masam dan merengus.
23 Kemudian dia berpaling dan bersikap takbur,
24 lalu dia berkata, "Ini tidak lain kecuali sihir yang dipelajari.
25 Ini tidak lain kecuali perkataan manusia!"
26 Kelak Aku akan memasukkannya ke dalam Saqar.
27 Dan tahukah engkau apakah Saqar itu?
28 [Saqar] tidak meninggalkan dan tidak membiarkan,
29 [tetapi] menghitamkan kulit [manusia].
30 Di atasnya ada sembilan belas [penjaga],
31 dan Kami tidak menjadikan pengawas-pengawas api [Saqar] itu melainkan malaikat. Dan Kami tidak menjadikan bilangan mereka kecuali sebagai ujian bagi orang-orang yang kufur, supaya orang-orang yang diberi Kitab menjadi yakin serta orang-orang yang beriman bertambah imannya, dan supaya orang-orang yang diberi Kitab serta orang-orang mukmin itu tidak ragu-ragu, dan supaya orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya serta orang-orang kafir akan berkata, "Apakah yang dimaksudkan Allah dengan [bilangan] ini sebagai suatu perumpamaan?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan tidak ada yang mengetahui bala tentera Tuhan engkau melainkan Dia sendiri. Dan [Saqar] itu tidak lain kecuali peringatan bagi manusia.
32 Sama sekali tidak! Demi bulan,
33 dan malam apabila telah berlalu,
34 dan subuh apabila mulai terang,
35 sesungguhnya [Saqar] itu adalah salah satu [azab] yang sangat besar.
36 [Itulah] amaran bagi manusia,
37 bagi sesiapa di antara kamu yang ingin maju atau mundur.
38 Setiap jiwa bertanggung jawab atas apa yang diusahakannya,
39 kecuali ahli pihak kanan,
40 mereka di dalam Jannah-Jannah saling bertanya-tanya
41 tentang [keadaan] orang-orang yang jahat,
42 "Apakah sebab kamu dimasukkan ke dalam Saqar?"
43 Mereka menjawab, "[Dahulu] kami tidak termasuk orang-orang yang melaksanakan solat,
44 dan kami [juga] tidak memberi makan kepada orang miskin,
45 dan kami biasa bersembang bersama orang-orang yang asyik sembang,
46 dan kami mendustakan Hari Pembalasan,
47 hingga datanglah kepada kami [maut] yang tetap yakin itu."
48 Maka tidak berfaedah lagi bagi mereka syafaat daripada pemberi-pemberi syafaat.
49 Jadi mengapa mereka berpaling daripada peringatan [Allah]?
50 Mereka itu seolah-olah keldai yang lari terkejut,
51 lari daripada singa.
52 Bahkan setiap orang di antara mereka ingin agar diberikan kepadanya suhuf yang terbuka.
53 Sama sekali tidak! Bahkan mereka tidak takut pada akhirat.
54 Sama sekali tidak! Sesungguhnya itu suatu peringatan,
55 maka sesiapa menghendaki [akhirat], dia akan mengingati pada itu.
56 Dan mereka tidak akan mengingati itu melainkan bahawa dikehendaki Allah. Dia-lah yang layak ditakuti dan layak memberi ampunan.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Aku bersumpah demi Hari Kiamat,
2 dan aku bersumpah demi jiwa yang amat menyesal.
3 Adakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan [kembali] tulang belulangnya?
4 Bahkan Kami berkuasa untuk menyusun [kembali] jari-jemarinya.
5 Namun manusia hendak meneruskan dengan maksiatnya.
6 Dia bertanya, "Bilakah Hari Kiamat itu?"
7 Maka apabila mata terbelalak [sebab takut],
8 dan bulan ditelan,
9 dan berhimpunlah matahari dan bulan,
10 [maka] berkatalah manusia pada hari itu, "Ke manakah [tempat] melepaskan diri?"
11 Sama sekali tidak! Tiada lagi tempat perlindungan.
12 [Hanya] kepada Tuhan engkau ialah tempat menetap pada hari itu.
13 Manusia akan diberitahukan pada hari itu akan apa yang telah dibuat dan ditinggalkan.
14 Namun manusia akan menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,
15 meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.
16 Janganlah engkau gerakkan lidahmu kerana tergesa-gesa dengan [membaca Al-Qur’an] itu.
17 Sesungguhnya Kami-lah akan bertanggung mengumpulkannya dan membacakannya.
18 Lalu apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya itu.
19 Kemudian sesungguhnya Kami-lah bertanggung menjelaskannya.
20 Sama sekali tidak! Bahkan kamu mencintai yang fana,
21 dan mengabaikan akhirat.
22 [Adapun] wajah-wajah pada hari itu berseri-seri
23 yang memandang kepada Tuhannya.
24 Dan wajah-wajah [lain pula] pada hari itu menjadi suram,
25 mereka yakin bahawa akan ditimpakan kepadanya suatu malapetaka dahsyat.
26 Sama sekali tidak! Apabila [rohnya] sampai ke tulang selangka
27 dan dikatakan [kepadanya], "Siapa yang dapat menyembuhkan?"
28 Dan dia yakin bahawasanya itulah waktu perpisahan,
29 dan betis [kiri] bertaut dengan betis [kanan],
30 pada hari itulah perarakan kembali kepada Tuhan engkau.
31 Oleh itu dia tidak mengakui [yang benar] dan tidak [pula mendirikan] solat,
32 tetapi dia mendustakan dan berpaling [daripada kebenaran],
33 kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong.
34 Celakalah bagi engkau, maka celakalah!
35 Kemudian celakalah bagi engkau, maka celakalah!
36 Adakah manusia mengira bahawa dia akan dibiarkan sahaja?
37 Bukankah dia adalah daripada setitik air mani yang dipancarkan [ke dalam rahim]?
38 Kemudian [mani itu] menjadi gumpalan darah, lalu [Allah] menciptakan dan menyempurnakan [seorang manusia],
39 lalu Dia menjadikan daripadanya sepasang, [iaitu] lelaki dan perempuan.
40 Bukankah [Pencipta] yang demikian itu berkuasa untuk menghidupkan [orang] yang mati?
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Pernahkah adanya suatu masa ketika [umat] manusia tidak dikenang?
2 Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitik air mani yang bercampur untuk Kami mengujinya, lalu Kami jadikan dia boleh mendengar dan melihat.
3 Sesungguhnya Kami telah memberi petunjuk kepadanya ke jalan [yang lurus], sama ada dia bersyukur ataupun berlaku kufur.
4 Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu, serta api [neraka] yang menyala-nyala.
5 Sesungguhnya orang-orang yang abrar akan minum dari cawan berisi campuran Kafur
6 [iaitu] mata air [di Jannah] yang hamba-hamba Allah meminum darinya, yang mereka dapat mengalirkannya dengan semudah-mudahnya.
7 Mereka memenuhi nazar dan takut akan suatu hari yang keburukannya berleluasa.
8 Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim, dan orang tawanan.
9 [Mereka berkata,] "Sesungguhnya kami memberi makan kepadamu hanya kerana keredaan Allah, kami tidak mahu balasan ataupun [ucapan] terima kasih daripada kamu.
10 Sesungguhnya kami takut akan [azab] Tuhan kami pada hari [ketika] orang bermuka masam penuh kesulitan."
11 Maka Allah memelihara mereka daripada kesengsaraan pada hari itu, dan menganugerahkan kepada mereka kecerahan serta kebahagiaan.
12 Dan Dia akan mengganjarkan mereka oleh sebab kesabaran mereka, [dengan] Jannah dan [pakaian] sutera.
13 Di sana mereka bertelekan di atas pelamin-pelamin, mereka tidak melihat matahari [dengan teriknya] ataupun terlalu dingin [tanpa teriknya].
14 Dan naungan [pepohonan di Jannah] itu dekat di atas mereka, [buah-buahannya] mudah dipetik.
15 Dan kepada mereka diedarkan bejana-bejana daripada perak dan piala-piala minum yang bening laksana kaca,
16 [iaitu] kaca bening terbuat daripada perak yang mereka tentukan ukurannya dengan tepat.
17 Dan di dalam [Jannah] itu mereka diberi minum secawan yang campurannya ialah Zanjabil
18 [dari] sebuah mata air di dalamnya yang dinamakan Salsabil.
Juz 29B4
19 Dan mereka dikelilingi oleh Wildan Mukhalladun. Apabila engkau melihat pada mereka, engkau mengira mereka [bagaikan] mutiara yang bertaburan.
20 Dan apabila engkau melihat [keadaan] di sana, engkau akan melihat [berbagai macam] kenikmatan dan kerajaan yang besar.
21 Mereka berpakaian sutera halus berwarna hijau dan sutera tebal, dan mereka dihiaskan dengan gelang-gelang perak, dan Tuhan mereka memberi mereka suatu minuman yang bersih suci.
22 [Kepada mereka dikatakan:] Sesungguhnya ini adalah ganjaran untukmu, dan usaha kamu itu dihargai [oleh Allah].
23 Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur’an kepada engkau secara beransuran.
24 Maka bersabarlah untuk [dilaksanakan] hukum Tuhanmu, dan janganlah engkau, mematuhi orang yang berdosa atau orang yang kufur di antara mereka.
25 Dan sebutlah nama Tuhan engkau [dalam solat] pada pagi dan petang.
26 Dan pada sebahagian dari malam, maka bersujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bahagian yang panjang di waktu malam.
27 Sesungguhnya mereka ini [yang kufur] mencintai yang fana dan meninggalkan hari [Kiamat] yang berat itu di belakangnya.
28 Kami telah menciptakan mereka dan menguatkan sendi-sendi tubuh mereka, dan apabila Kami menghendaki Kami dapat mengganti dengan yang serupa mereka.
29 Sesungguhnya inilah suatu peringatan, maka sesiapa menghendaki akan menempuh jalan kepada Tuhannya.
30 Dan tidaklah kamu menghendaki [jalan itu] kecuali dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
31 Dia memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya, tetapi bagi orang-orang yang zalim, Dia telah menyediakan azab pedih.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Demi [mereka] yang membawa kebaikan,
2 dan [mereka] yang terbang dengan kencang,
3 dan [mereka] yang sebar dengan meluas,
4 dan [mereka] yang membezakan [baik daripada buruk] dengan sejelas-jelasnya,
5 dan [mereka] yang menyampaikan peringatan,
6 untuk menolak alasan-alasan atau memberi amaran.
7 Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu pasti terjadi.
8 Maka apabila bintang-bintang hilang lenyap,
9 dan apabila langit terbelah,
10 dan apabila gunung-gunung menjadi hancur lebur,
11 dan apabila telah sampai waktunya bagi rasul-rasul,
12 sampai hari bilakah hari itu ditundakan?
13 Sampai Hari Penghakiman!
14 Dan tahukah engkau apakah Hari Penghakiman itu?
15 Celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
16 Bukankah Kami telah binasakan orang-orang dahulukala?
17 Kemudian Kami menyusuli mereka dengan orang-orang yang datang kemudian.
18 Demikianlah Kami memperlakukan terhadap orang-orang yang jahat.
19 Celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
20 Bukankah Kami telah menciptakan kamu daripada air yang hina?
21 Lalu Kami jadikannya [disimpan] dalam tempat yang kukuh,
22 sampai waktu yang termaklum,
23 lalu Kami tentukan [bentuknya], maka [Kami-lah] sebaik-baiknya yang menentukan.
24 Celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
25 Bukankah telah Kami jadikan bumi sebagai penampung untuk
26 yang [masih] hidup dan yang [sudah] mati?
27 Dan Kami jadikan pada [bumi] itu gunung-ganang yang kukuh lagi tinggi, dan Kami memberi minum kepadamu air tawar.
28 Celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
29 [Kepada mereka dikatakan:] Pergilah kamu ke [dalam neraka] yang dahulu kamu dustakan.
30 Pergilah kamu ke naungan [asap api neraka] yang bercabang tiga,
31 yang tidak teduh ataupun berfaedah untuk menolak api [neraka] yang bernyala.
32 Sesungguhnya [api] itu melontarkan bunga api [setinggi] seperti istana,
33 seolah-olah [bunga api] itu rombongan unta kuning.
34 Celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
35 Inilah hari mereka tidak dapat bercakap,
36 ataupun diberi mereka izin untuk berdalih.
37 Celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
38 Inilah Hari Penghakiman! Kami menghimpunkan kamu dan orang-orang dahulukala.
39 Jadi jika kamu ada tipu daya, maka lakukanlah itu terhadap Aku.
40 Celakalah pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan.
41 Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di tempat yang teduh dengan mata air,
42 serta buah-buahan daripada apa [jenis] yang mereka ingini.
43 [Kepada mereka dikatakan:] Makanlah dan minumlah dengan suka hati sebab apa yang telah kamu kerjakan.
44 Sesungguhnya, demikianlah Kami mengganjar orang-orang yang muhsin.
45 Celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
46 [Kepadanya dikatakan:] Makanlah dan bersenang-senanglah kamu untuk sementara, sesungguhnya kamu adalah penjahat!
47 Celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
48 Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Rukuklah," mereka enggan rukuk.
49 Celakalah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.
50 Maka kepada sabda yang manakah mereka akan beriman?
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Tentang apakah mereka saling bertanya-tanya?
2 Tentang berita yang besar,
3 yang mereka berselisih pendapat tentangnya.
4 Sama sekali tidak! Kelak mereka akan mengetahui.
5 Kemudian, sama sekali tidak! Kelak mereka akan mengetahui.
6 Bukankah Kami telah menjadikan bumi sebagai hamparan,
7 dan gunung-gunung sebagai pasak-pasak?
8 Dan Kami menciptakan kamu berpasang-pasangan,
9 dan Kami menjadikan tidur kamu untuk rehat.
10 Dan Kami menjadikan malam sebagai pakaian,
11 dan Kami menjadikan siang untuk menjalani kehidupan.
12 Dan Kami membina di atas kamu tujuh [petala] yang kukuh,
13 dan Kami menjadikan pelita yang terang-benderang.
14 Dan Kami menurunkan dari awan air [hujan] yang mencurah-curah,
15 supaya Kami menghasilkan dengan air itu biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan,
16 serta kebun-kebun yang lebat.
17 Sesungguhnya Hari Penghakiman adalah suatu waktu yang telah ditentukan.
18 Pada hari ditiup sangkakala, lalu kamu datang beramai-ramai,
19 dan langit dibuka, maka terdapatlah beberapa pintu,
20 dan gunung-gunung diganjakkan lalu menjadi fatamorgana.
21 Sesungguhnya Jahanam sedang mengamati,
22 sebagai tempat kembali untuk orang-orang yang melampaui batas.
23 Mereka tinggal di dalamnya berabad-abad lamanya.
24 Di dalam [Jahanam] itu Mereka tidak merasakan kesejukan ataupun [mendapat] minuman
25 kecuali air yang mendidih dan yang danur,
26 sebagai balasan yang setimpal.
27 Sesungguhnya dahulu mereka tidak [pernah] mengharapkan penghisaban,
28 dan mereka mendustakan tanda-tanda Kami dengan sesungguh-sungguhnya.
29 Dan segala sesuatu telah Kami menghisab dalam sebuah kitab.
30 Oleh itu rasakanlah [pembalasan], dan tidaklah akan Kami tambah kepadamu kecuali azab.
31 Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa ialah pencapaian,
32 kebun-kebun dan buah anggur,
33 yang penuh berair dan matang,
34 dan cawan-cawan yang [sentiasa] penuh.
35 Di dalamnya mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia ataupun yang dusta,
36 sebagai ganjaran daripada Tuhan engkau, suatu pemberian [menurut] penghisaban [oleh-Nya].
37 Tuhan [seluruh] langit dan bumi serta apa yang ada di antara dua-duanya, yang Maha Pemurah, mereka tidak berhak untuk berbicara dengan-Nya.
38 Pada hari ketika Roh dan para malaikat berdiri bersaf-saf, mereka tidak berkata-kata kecuali orang yang telah diberi izin kepadanya oleh Tuhan yang Maha Pemurah, dan dia hanya mengatakan yang benar.
39 Itulah Hari yang Benar, maka sesiapa yang menghendaki akan menempuh jalan kepada Tuhannya.
40 Sesungguhnya Kami memberi amaran kepadamu akan azab yang dekat, [iaitu] pada hari seseorang akan melihat perbuatan oleh tangannya sendiri, dan orang kafir berkata, "Aduhai! Alangkah baiknya jika aku menjadi tanah."
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Demi yang mencabut [nyawa] secara kasar,
2 demi yang mencabut [nyawa] secara lembut,
3 demi yang terbang lagi meluncur,
4 dan yang berkejaran dalam perlumbaan,
5 dan yang mentadbir urusan [di dunia].
6 [Ingatlah] pada hari ketika tiupan [sangkakala] menggoncangkan alam.
7 [Tiupan pertama] itu diikuti oleh tiupan yang kedua.
8 Hati [manusia] pada hari itu berdebar-debar [kerana takut],
9 pandangannya tunduk.
10 Mereka berkata, "Adakah sesungguhnya kita akan dikembalikan dalam keadaan yang asal?
11 Adakah [kita akan dibangkitkan] apabila kita sudah menjadi tulang belulang yang reput?"
12 Mereka berkata, "Jika begitu, itulah pengembalian yang merugikan!"
13 Maka sesungguhnya [pengembalian] itu hanya dengan satu teriakan.
14 Maka dengan tiba-tiba mereka [hidup kembali] di bumi yang baru.
15 Sudahkah sampai kepada engkau kisah Musa?
16 Ketika dia diseru oleh Tuhannya di lembah suci Tuwa,
17 [dengan perintah:] Pergilah engkau kepada Firaun. Sesungguhnya dia telah melampaui batas.
18 Lalu katakanlah, "Adakah engkau mahu menyucikan dirimu?
19 Dan engkau akan kuberi petunjuk kepada Tuhanmu agar engkau takut [kepada-Nya]."
20 Maka [Musa] memperlihatkan kepada Firaun tanda [mukjizat] yang paling besar,
21 tetapi Firaun mendustakan dan menderhakai.
22 Kemudian dia membelakangi [Musa] seraya berusaha [menentangnya].
23 Maka dia mengumpulkan [orang-orang bangsawan] dan menyeru
24 dengan berkata, "Akulah tuhan kamu yang tertinggi!"
25 Maka Allah menyambar [Firaun] sebagai contoh hukuman di akhirat dan di dunia ini.
26 Sesungguhnya dengan yang demikian itu adalah suatu ibarat bagi orang yang takut [kepada Tuhan].
27 Adakah penciptaan kamu yang lebih sulit, ataukah langit yang telah dibina-Nya?
28 Dia telah meninggikan [langit] bangunannya lalu menyempurnakannya,
29 dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita serta menjadikan duhanya [terang-benderang].
30 Dan setelah yang demikian itu, bumi dihamparkan-Nya,
31 Dia pancarkan [mata] air dari [bumi] itu dan [ditumbuhkan] rumput-rampainya,
32 serta menegakkan gunung-gunung pada tempatnya.
33 [Semua itu] untuk kesenangan kamu, dan untuk haiwan ternakmu.
34 Maka apabila telah datang malapetaka yang paling besar,
35 pada hari [ketika] manusia teringat akan apa yang telah diusahakannya,
36 dan Jahim dinyatakan kepada [setiap] orang yang melihat,
37 lalu adapun orang yang melampaui batas,
38 dan lebih mengutamakan hayat duniawi,
39 maka sesungguhnya Jahim menjadi tempat yang akhir [baginya].
40 Dan adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya, dan menahan dirinya daripada [keinginan] hawa nafsu,
41 maka sesungguhnya Jannah menjadi tempat yang akhir [baginya].
42 Mereka bertanya kepada engkau tentang saat [Kiamat] itu, "Bilakah tibanya?"
43 Dengan apakah [wibawa] engkau menyebutnya?
44 Kepada Tuhanmu ialah kesudahannya [bagi segala sesuatu].
45 Sesungguhnya engkau hanya seorang pemberi amaran bagi orang yang takut akan [Kiamat] itu.
46 Pada hari [ketika] mereka melihat [Kiamat] itu, [keadaannya] seolah-olah mereka tidak tinggal [di dunia] kecuali satu hari petang atau paginya.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Dia bermuka masam dan berpaling
2 sebab seorang buta telah datang kepadanya.
3 Dan tahukah engkau mungkin dia ingin menyucikan dirinya,
4 atau dia [mahu] diingatkan lalu peringatan itu bermanfaat kepadanya?
5 Adapun orang yang anggap dirinya serba cukup,
6 lalu engkau melayaninya.
7 Dan tidak ada [salah] atas engkau kalau dia tidak [mahu] menyucikan dirinya.
8 Dan adapun orang yang datang kepada engkau dengan berusaha,
9 sedang dia takut [kepada Allah],
10 lalu engkau tidak melayaninya.
11 Sama sekali tidak! Sesungguhnya [ayat-ayat] itu suatu peringatan,
12 maka sesiapa menghendaki, dia akan memperhatikan [peringatan] itu,
13 [terkandung] di dalam suhuf yang dimuliakan,
14 yang ditinggikan lagi disucikan,
15 di tangan para jurutulis
16 yang bermaruah, yang berbakti.
17 Terkutuklah manusia! Alangkah teruk kufurnya!
18 Daripada apakah Dia menciptakannya?
19 Daripada setitik air mani Dia menciptakannya lalu menentukan [kehidupan] baginya.
20 Kemudian Dia memudahkan jalan baginya,
21 kemudian Dia mematikannya lalu menguburkannya,
22 kemudian bila Dia menghendaki, Dia membangkitkannya [kembali].
23 Sama sekali tidak! Manusia belum melaksanakan apa yang [Allah] perintahkan kepadanya.
24 Maka hendaklah manusia perhatikan makanannya,
25 bahawasanya Kami mencurahkan air [hujan] dengan lebat,
26 kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan sesuainya,
27 lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di [bumi] itu,
28 dan anggur serta sayur-sayuran,
29 dan zaitun serta pokok-pokok kurma,
30 dan kebun-kebun yang tumbuh lebat,
31 dan buah-buahan serta rumput-rumputan.
32 [Semua itu] untuk kesenangan kamu, dan untuk haiwan ternakmu.
33 Maka apabila datang bunyi yang memekakkan,
34 pada hari itu seseorang akan lari daripada saudaranya,
35 dan daripada ibu serta ayahnya,
36 dan daripada isteri serta anak-anaknya.
37 Setiap orang di antara mereka pada hari itu sibuk dengan urusannya.
38 Pada hari itu ada wajah-wajah yang berseri-seri,
39 ketawa dengan bergirang hati.
40 Dan pada hari itu ada [juga] wajah-wajah yang penuh berdebu,
41 diliputi habuk hitam.
42 Mereka itulah orang-orang yang kufur lagi fajir.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
1 Apabila matahari digulung,
2 dan apabila bintang-bintang gugur bertempiaran,
3 dan apabila gunung-gunung diganjakkan,
4 dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan,
5 dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan,
6 dan apabila lautan menjadi gelora,
7 dan apabila jiwa-jiwa disatukan [dengan jasadnya],
8 dan apabila anak perempuan yang dikuburkan hidup-hidup dipersoalkan
9 sebab dosa apa dia dibunuh,
10 dan apabila suhuf telah dibuka lebar-lebar,
11 dan apabila langit dilenyapkan,
12 dan apabila Jahim dinyalakan,
13 dan apabila Jannah didekatkan,
14 [setiap] jiwa akan mengetahui amal yang dibawanya.
15 Maka Aku bersumpah demi bintang-bintang yang mundur,
16 yang beredar lagi tidak terlihat,
17 dan malam apabila telah larut,
18 dan subuh apabila mula terangnya.
19 Sesungguhnya [Al-Qur’an] itu adalah sabda [yang dibawa oleh] utusan yang mulia,
20 yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai [kedudukan] tinggi di sisi [Tuhan] yang mempunyai Arasy,
21 yang ditaati [oleh para malaikat] di sana lagi amanah.
22 Dan sahabat kamu itu bukanlah seorang gila.
23 Dan sungguh, dia telah melihatnya di ufuk yang terang.
24 Dan bukanlah dia enggan menerangkan yang ghaib.
25 Dan [Al-Qur’an] itu bukanlah perkataan syaitan yang terkutuk,
26 maka ke manakah kamu akan pergi?
27 Itu tidak lain kecuali peringatan bagi seluruh alam,
28 [dan] bagi sesiapa di antara kamu yang menghendaki menempuh Jalan yang Lurus.
29 Dan tidaklah kamu menghendaki [jalan itu] kecuali dikehendaki Allah, Tuhan seluruh alam.